RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Awasi Setiap Pergerakan Anda

Posted: 06 May 2012 10:15 PM PDT

Beberapa kedai di Jalan Pasar, Kuala Lumpur menjual kamera intip dalam pelbagai bentuk seperti penyangkut baju dan kunci kereta.

KUALA LUMPUR: Awas, jika seseorang memberi kertas tisu di dalam sebuah kotak. Kotak tersebut mungkin merupakan sebuah kamera yang merakamkan setiap pergerakan anda.

Kamera intip kini boleh diperolehi dalam pelbagai bentuk dan saiz serta boleh kelihatan seperti barangan biasa termasuk penyangkut baju, teg pengenalan, jam, pemadan elektrik, pembersih udara dan tanda keluar.

Ia beroperasi seperti kamera biasa tetapi saiznya berbeza mengikut aktiviti penyamaran.

Ada di antaranya boleh merakam imej jelas dan dijual pada harga berpatutan.

Kamera intip seperti kunci kereta sebagai contoh boleh dibeli pada harga serendah RM45 berbanding kamera televisyen litar tertutup.

Kebanyakan kamera intip adalah tanpa wayar dan menghantar data kepada penerimanya tanpa wayar.

Bagi kamera intip murah, video dirakam dan disimpan di dalam memori dalaman alat tersebut atau kad memori berasingan.

Video itu boleh diperolehi semula apabila disambung ke komputer menerusi wayar USB.

Seorang jurujual peralatan elektronik di Jalan Pasar di sini memberitahu The Star bahawa model kamera intip tanpa wayar yang popular adalah dalam bentuk jam tangan, pen dan kunci kereta.

Dia turut menunjukkan sebuah kotak tisu yang mempunyai kamera dengan lensa yang direka seperti kod bar.

"Kamera intip berbentuk kotak tisu ini berada di pasaran sejak lima atau enam tahun lalu tetapi tidak begitu popular sekarang. Ia boleh merakam bunyi," katanya.

Kamera tersebut berharga sekitar RM250 dan didatangkan bersama dengan alat kawalan untuk memulakan dan menghentikan rakaman.

Jurujual itu berkata, kamera tersebut boleh merakam video sehingga dua atau setengah jam dengan kad memori bersaiz empat gigabait.

Katanya, beberapa pembeli terdiri daripada anggota polis dan mereka yang ingin mengintip pergerakan pasangan masing-masing atau mengawasi amah di rumah.

Seorang jurujual di kedai berasingan berkata kamera intip boleh menyerupai penyangkut baju yang diperkenalkan di pasaran tahun ini.

"Apa yang anda perlukan ialah meletakkan kad memori di dalam kamera intip untuk merakamkan video. Bateri di dalam kamera itu boleh dicas menggunakan wayar USB," katanya.

Kamera intip berbentuk penyangkut baju dijual pada harga RM90 manakala yang menyerupai tag pengenalan berharga RM420.

Jangka hayat bateri kebanyakan kamera intip bagaimanapun bergantung kepada aktiviti penyamaran kerana peralatan itu kebanyakannya tanpa wayar dan tidak dihubungkan dengan bekalan elektrik.

Kamera intip, bergantung kepada model, boleh merakam video di mana saja bermula dari 40 minit selama beberapa hari.

Terbuka selera di Nyaman Kafe

Posted: 06 May 2012 10:14 PM PDT

SET asam pedas ikan pari, ikan kembung atau ikan tongkol ini antara hidangan istimewa di Nyaman Kafe.

UNIK, menarik dan lain daripada yang lain. Itulah keistimewaan Nyaman Kafe yang terletak betul-betul di tepi jambatan Sungai Malim di Pulau Gadong, tidak jauh dari Pantai Klebang, Melaka.

Pemiliknya, Harun Yusof yang berasal dari Pantai Puteri, Melaka mengilhamkan konsep tradisional dan rumah untuk kafenya itu.

Jika anda melewati Jalan Pulau Gadong dan terlihat Nyaman Kafe, pasti anda akan menyangka ia hanya sebuah rumah yang comel. Hakikatnya, rumah kecil yang dicat putih dan dihiasi atap rumbia itu adalah sebuah kafe yang menyediakan makanan yang enak.

Terletak berhadapan Pusat Pertanian Melaka di Pulau Gadong, restoran ini menyediakan hidangan seperti set asam pedas, gulai itik, sandwich berulam, sirap magik, jus mangga pudina, jus alpukat, jus nangka dan banyak lagi.

"Di kafe ini saya tidak menjual mi goreng, mihun goreng, tomyam ataupun nasi goreng. Saya inginkan kelainan dan ada di antara resipi saya ilhamkan daripada buku resipi saya, Uniknya Rasa Penambat Selera-Nyaman.

"Selain itu, saya juga menggunakan perkakas pinggan hidang jenis ayan. Ayan banyak digunakan sebelum merdeka sehingga 1980. Kebetulan saya dapat mencarinya di sebuah kedai Cina di Bandar Hilir.

"Ayan banyak memberi kenangan nostalgia kepada saya dan kepada ramai orang yang membesar di zaman selepas dan sebelum merdeka," terang Harun yang mendirikan rumah tangga dengan Cheriah Abdul Rahman ini dengan yakin.

Jika anda ke Nyaman Kafe, anda harus merasa masakan asam pedasnya yang istimewa. Set asam pedas ikan pari, ikan kembung atau ikan tongkol ini disaji dengan ulaman, ikan masin dan sambal belacan.

Menurut Harun lagi, sekarang ini menu yang paling popular adalah gulai itik dan daging goreng petai.

Restoran yang dihiasi dengan pokok sirih yang ditanamnya sendiri menjalar di dinding dan tiang, membuatkan suasana sekitarnya redup dan menarik.

Harga makanan yang dijual juga tidak mahal iaitu sekitar RM2 hingga RM20 bergantung pada pesanan.

Selain gulai itik, belut goreng istimewa juga antara menu yang harus anda cuba. Anda tidak perlu risau kerana belutnya tidak hanyir.

Stew daging ala Turki juga unik. Ia dimakan dengan roti dan sesuai bagi mereka yang menjaga diet.

"Di sini saya juga menyediakan jus buah binjai mengikut musimnya. Buah binjai biasanya kita buat sambal belacan, tapi di sini saya juskan. Kami juga ada cendol dan tauhu bakar.

"Satu lagi resipi istimewa saya adalah pisang emas yang dibakar dan dihidangkan dengan jus buah naga dan lemak santan,''katanya lagi.

Nyaman Kafe juga menitikberatkan konsep hijau dan tidak hairanlah jika Harun dan isteri rajin mengusahakan tanah di sekeliling dengan menanam pokok cili, bunga matahari, palma, kacang bendi dan pokok pisang selain membela ayam dan itik.

Donut kembali lembut

Posted: 06 May 2012 10:12 PM PDT

Ikan goreng sos masala.

SEJAK kehadiran ruangan Dari Dapur Azli, saya menerima banyak maklum balas tidak kurang juga soalan-soalan daripada pembaca yang bertanyakan tentang resipi dan pelbagai tip masakan.

Terima kasih kepada pembaca yang setia mengikuti ruangan ini. Minggu ini saya siarkan dua soalan yang dihantar melalui e-mel oleh pembaca untuk kita kongsi bersama.

Soalan 1

Chef, saya baru membuat donut semalam. Bila baru digoreng, rasanya sedap, ringan dan lembut. Tapi bila dah semalaman disimpan dalam peti sejuk, ia tak berapa ringan lagi dan teksturnya menjadi padat. Adakah keadaan ini normal?

Zumaira3@yahoo.com

Jawapan

Situasi seperti ini sering berlaku pada produk-produk roti seperti donut jika anda menyimpannya dalam peti sejuk.

Menurut ahli sains makanan, sebab utama donut menjadi liat dan keras jika disimpan dalam peti sejuk adalah proses yang dinamakan retrogradasi. Proses ini menyebabkan molekul kanji dalam donut menghablur yang menyebabkan donut itu liat dan keras.

Proses retrogradasi berlaku lebih kurang enam kali lebih cepat pada suhu dalam peti sejuk (dua hingga empat darjah Celsius) berbanding pada suhu bilik. Ini bermakna donut yang disimpan dalam peti sejuk akan menjadi liat dan kering selepas satu hari berbanding tiga hari jika disimpan pada suhu bilik.

Retrogradasi yang berterusan akan mengeluarkan air dari rangkaian polimer di mana proses ini dikenali sebagai sinerisis dan pengeluaran air ini akan mengeringkan donut atau roti.

Produk roti yang mengalami retrogradasi boleh dilembutkan dengan pemanasan semula menggunakan oven dengan suhu lebih daripada 600 Celsius (suhu penukaran kanji gandum menjadi molekul-molekul membentuk satu gel).

Oleh kerana itu roti yang meliat akan menjadi lembut apabila kita memanaskannya semula.

Untuk meminimumkan retrogradasi berlaku, anda perlu menyimpan produk roti seperti donut dalam bekas yang bertutup atau balutnya dengan plastik pembungkus makanan.

Kemudian simpan dalam persekitaran suhu bilik.

Soalan 2

Sebelum ini chef ada memberikan resipi membuat garam masala dalam ruangan ini. Tetapi malangnya saya tidak tahu untuk menggunakan garam masala dalam makanan. Bolehkan chef memberi idea jenis masakan bagaimanakah yang sesuai untuk mengadunkan rempah ini. Terima kasih.

Zaitun

Lembah Keramat

Jawapan

Sebenarnya garam masala boleh dipelbagaikan penggunaannya dalam masakan. Namun masyarakat India gemar menggunakan garam masala sebagai bahan perapan selain menggunakannya dalam makanan-makanan yang bergoreng dan berkuah.

Atas permintaan anda saya kongsikan satu resipi yang menggunakan garam masala.

Sajian pengantin di restoran Arab

Posted: 06 May 2012 10:11 PM PDT

MADGHUT KAMBING

Nasi minyak atau nasi beriani, ayam masak merah, rendang daging dan acar buah, bagaikan menu wajib dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu di negara ini sehingga ada yang berpendapat tanpa sajian tersebut 'tidak sah' majlis.

Namun kini sudah ada kecenderungan di kalangan masyarakat untuk memilih menu yang berbeza termasuk memilih sajian-sajian Arab semata-mata mahu mengikut tema perkahwinan yang dipilih.

Justeru jangan rasa pelik jika dihidangkan dengan nasi mandy berlauk kambing atau ayam, kambing panggang, roti Arab dicecah bersama hummus dan sebagainya.

Lebih mudah apabila ada pihak katering atau restoran yang mampu memenuhi permintaan tersebut sebagaimana yang ditawarkan oleh Restoran ZamZam yang terletak di Oasis 9, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Dengan kapasitinya yang boleh memuat 1,000 pengunjung pada satu masa, memberi kelebihan kepada restoran itu untuk mengendalikan majlis-majlis besar seperti perkahwinan, sambutan hari jadi, makan malam korporat dan sebagainya.

Apatah lagi apabila baru-baru ini ia mempromosikan pakej sajian Arab untuk majlis perkahwinan yang turut meliputi sajian makan beradab dan pelamin.

Penolong Pengurusnya, Ashraf Azizan, berkata, selain terkenal dengan sajian makanan Arab asli, restoran dua tingkat itu mempunyai pelbagai keistimewaan terutama dari segi hiasan dalaman yang eksklusif dan mewah.

"Pelbagai tema dan gaya majlis boleh disediakan mengikut cita rasa pelanggan. Bagi majlis perkahwinan, selain tema Arab ada juga pelanggan yang mahukan konsep tradisional mengikut asal usul keturunan mereka seperti India, Pakistan dan sebagainya," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, restoran yang mula beroperasi pada November tahun lepas itu menyajikan makanan popular 100 peratus masakan Arab.

Antara makanan popular yang dihidangkan sudah tentunya nasi mandy kambing dan ayam, kabsa ayam dan kambing, hummus (celupan kacang kuda dengan minyak zaitun dan jus lemon), shish tawook (kebab ayam panggang) madghut kambing, fatoush, muhammara dan banyak lagi.

Selain itu kata Ashraf, menu Arab cukup terkenal dengan kepelbagaian pencuci mulutnya seperti buqlava, basbousa, karamel krim, kek dan sebagainya.

Tidak ketinggalan sajian teh Arab dan ZamZam Yogurt Shake yang merupakan minuman paling digemari pengunjung.

Menurutnya, apa yang menjadikan sajian di restoran ZamZam begitu istimewa ialah, selain menggunakan rempah ratus, herba dan ramuan-ramuan tempatan dan ada yang diimport dari Asia Barat.

Senaman membentuk punggung

Posted: 06 May 2012 10:10 PM PDT

Baring dan letakkan bola di atas lantai.
Tarik bola ke dalam dengan kaki perlahan-lahan.

BAHAGIAN punggung cukup penting dalam menampilkan bentuk badan menawan terutama bagi perempuan.

Memiliki punggung yang lebar sememangnya tidak menarik.

Bagi mendapatkan punggung yang cantik, cuba amalkan senaman menggunakan bola seperti di bawah sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

Sebaik-baiknya amalkan setiap hari secara konsisten dan pilihlah masa yang sesuai, asalkan anda melakukannya. Selamat bersenam!

Mona kumpul karya Islam

Posted: 06 May 2012 10:09 PM PDT

Antara seni khat tempatan yang dimiliki Mona.

KETIKA memasuki kediaman usahawan wanita, Mona Din, pandangan mata terpesona melihat karya seni unik yang tersusun rapi di satu sudut.

Walaupun tampil dengan hiasan dalaman serba moden, kediaman 12 bilik itu menyerlah dengan karya tulisan khat kalimah Allah dan buku-buku agama.

Pengusaha Serenity Spa, Leesa Formula dan Hajaba itu ternyata berada di kelas tersendiri apabila berjaya menghasilkan dekorasi yang menyuntik ketenangan.

"Ruang ini baru diwujudkan. Dulu, saya tidak pernah terfikir mewujudkan kediaman berkonsepkan Islamik.

"Kebetulan saya dan suami sering ke negara-negara Islam yang lain. Kami tidak melepaskan peluang membeli buah tangan berbentuk seni kraf Islam.

"Lama-kelamaan ia menjadi hobi saya dan suami," cerita Mona tentang hobi barunya ini.

Justeru, Mona bercadang menghiaskan kediamannya dengan karya keindahan Islam.

"Ia sebagai terapi ketenangan yang paling mujarab. Lagipun saya mahu mendidik anak-anak agar menghargai kraf Islam.

"Mungkin inilah cara terbaik untuk kita berdakwah," katanya.

Mini muzium itu juga menjadi lebih indah dengan latar dinding berwarna putih.

Pasti tetamu juga terpikat dengan penggunaan cermin di sudut tersebut yang menampilkan nilai eksotik kediaman berkenaan.

Lantai marmar putih pula menghasilkan ruang yang lebih luas.

DekorasiSebagai pereka fesyen jenama Hajaba, Mona ternyata hebat di gelanggang dekorasi apabila berjaya menata rias kediamannya dengan perabot yang kemas dan selesa. Kediamannya banyak menitikberatkan keselesaan dan ketenangan.

Dekorasi yang menarik tidak perlu terlalu sarat dengan hiasan dan dilengkapi perabot mewah.

Segenap ruang lebih istimewa jika diberi sentuhan bersesuaian serta selesa keadaannya.

Menjenguk hiasan dalaman rumah berkonsepkan selesa dan tenang itu, pelbagai kelainan cuba diketengahkan Mona termasuk warna perabot seperti sofa yang tertumpu kepada rona gelap.

Kombinasi putih dan hitam menghasilkan suasana yang moden tetapi merehatkan minda.

Selain sofa fabrik kain, pilihan perabot moden seperti kulit juga menjadi penyeri kediaman Mona.

Rekaan menarik tingkap mesra alam yang merungkaikan batasan pemandangan luar menghiasi segenap ruang.

Malah, penggunaan langsir moden menjadikan dekorasi kediamannya ringkas.

Di sudut rehat menghadap kolam renang, rekaan set kerusi agak unik. Pilihan corak bunga ros tampak mewah dan eksklusif.

Sedikit hiasan bunga pada meja di ruang santai tersebut menjadi penghias yang ringkas.

"Di sinilah saya dan keluarga menghabiskan masa berbual. Jika tiada acara di luar pada hujung minggu, kami akan minum petang," bicaranya.

KagumMemang kagum melihat kesungguhan dan kecekalan wanita yang memiliki sentuhan emas ini. Walaupun dilahir dan dibesarkan serba kekurangan malah boleh saja dikategorikan miskin tegar katanya, Mona berjaya mengubah hidupnya menjadi antara ikon wanita berjaya dalam perniagaan.

Nyata berkat kesungguhan dan perancangan yang teliti telah membantunya membina tapak perniagaan walaupun pada awalnya ramai yang menganggap apa yang dilakukan adalah satu kerja gila.

Mona sendiri berpandangan sama jika mengenang kembali pada peringkat awal penglibatannya dalam perniagaan tersebut. Mana tidaknya, sebelum menceburi bidang perniagaan, beliau sudah pun memegang jawatan tinggi sebagai pengurus besar pengiklanan di sebuah syarikat penerbitan majalah terkemuka.

Begitu juga suaminya, Zulkefli Mohd. Ali yang memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat media turut sama mengikut jejak langkahnya malah lebih awal berhenti kerja kerana mendambakan cabaran membina perniagaan sendiri.

"Saya sangat bersyukur dengan anugerah tuhan yang memberikan suami yang tiada tandingannya. Suami saya bukan seorang yang suka melepak pada waktu malam dan masanya dihabiskan di pejabat dan bersama keluarga.

"Kami juga mempunyai peranan masing-masing iaitu saya terlibat dalam hal seperti pengiklanan, perhubungan awam dan promosi manakala suami saya lebih menumpukan perhatian dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran," katanya.

Komik punca berjaya

Posted: 06 May 2012 10:08 PM PDT

DANIAL bersama-sama sebahagian koleksi komik yang disimpannya di studio Avell Enterprise di Wangsa Maju.

RAMAI menganggap hobi membaca komik perbuatan yang sia-sia dan membuang masa kerana tiada apa faedah diperolehi daripadanya.

Namun, kenyataan itu disangkal oleh Mohammad Danial Mohamed Yusuf, 26, kerana buku yang dikatakan tidak berguna itulah punca rezeki dan pencapaiannya sebagai pengurus syarikat penerbitan komik sekarang ini.

Cerita anak muda yang menguruskan syarikat Avell Enterprise itu, hobi membaca komik berputik sejak berusia sembilan tahun dan dikongsi bersama abangnya, Asrul Sani Mohamed Yusuf, yang juga pelukis komik Celestial Saga (Cesaga) di syarikatnya.

Masih terpahat di ingatannya komik pertama yang dibeli iaitu Mutiara Naga episod ketiga oleh Akira Toriyama - yang membuatkan dia terus ketagih dengan buku komik terutamanya dari Jepun seperti Detective Conan, Budak Getah, Slamdunk, Sailormoon dan Naruto.

"Sewaktu kecil, saya pernah mengepos duit syiling simpanan harian di dalam sampul surat ke syarikat penterjemahan iaitu Comic House untuk mendapatkan komik kegemaran saya terutamanya Mutiara Naga.

"Malah saya pernah menghubungi nombor Comic House yang tertera di belakang buku komik tersebut kerana menyangka ia adalah nombor pelukis komik tersebut, Akira Toriyama," ceritanya sambil ketawa mengenang kisah lama ketika ditemui di studionya yang terletak di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Menurut Danial, lebih 400 buah komik masih disimpannya dan jumlah sebenarnya lebih daripada itu tetapi ada yang dipinjam dan masih belum dipulangkan termasuk yang telah hilang.

Komik bacaan Danial lebih kepada jenis 'shounan' iaitu kisah pengembaraan yang lebih fokus kepada kanak-kanak lelaki seperti Naruto dan Mutiara Naga.

Kesan bahan bacaan sejak kanak-kanak yang melarat hingga dewasa itu mencetuskan idea kepada Danial dan abangnya menghasilkan komik sendiri, Cesaga yang kini menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

"Selalunya tanggapan orang kononnya membaca komik membuang masa tetapi sebenarnya ia menjana minda terutamanya kanak-kanak untuk menjadi lebih kreatif malah seperti saya, ia kini menjadi kerjaya," ujarnya.

Terang Danial, Cesaga yang bermaksud pengembaraan kayangan menembusi pasaran antarabangsa selepas ia memenangi pertandingan komik yang diadakan di laman visual kreatif terkemuka, Deviantart.com yang disertai pelukis komik dari seluruh dunia.

Menggunakan lakaran kartun Jepun (manga), komik Cesaga menceritakan dua watak adik-beradik kembar, Bulan dan Purnama yang turun dari kayangan untuk menentang kuasa jahat di bumi dan uniknya, kisah pengembaraan itu menggabungkan mitos serantau terutamanya dari Malaysia seperti kisah badang dan bunian.

Selain itu, Cesaga juga dihidupkan dengan nama dan istilah budaya setempat dari segi peralatan, makanan dan tempat pelancongan seperti keris, tombak, permainan congkak, sepak raga, sate serta Pulau Pangkor menjadikan ia komik manga kebudayaan yang pertama di dunia.

"Perancangan kami selepas ini adalah menerbitkan animasi, seterusnya menjadikan Cesaga seperti satu jenama yang mengeluarkan pelbagai produk lain seperti permainan komputer serta patung dan ia merupakan langkah baik mempromosikan negara kita," ujarnya yang sedang mencari pemberi dana bagi membantu usahanya itu.

Carmen serasi bidang chef

Posted: 06 May 2012 10:07 PM PDT

Chef Carmen turut menghasilkan sebuah buku resipi bertajuk My Venezuelan Cuisine.

Dalam memilih kerjaya pilihan, ada segelintir daripada kita bertukar kerjaya dari bidang yang dipelajari di peringkat universiti ke bidang lain selepas melangkah ke alam pekerjaan.

Begitu juga dengan Chef Carmen Rawstron, 45, yang bertukar haluan dari bidang guaman ke kulinari.

Berasal dari Caracas, chef jemputan khas dari Pejabat Kedutaan Venezuela di Malaysia ini ditemui S3 ketika minggu hidangan Venezuela diadakan di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.

Selaku graduan undang-undang, Chef Carmen berpendapat kerjaya chef merupakan suatu pekerjaan yang menyeronokkan.

"Selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang, saya sempat bekerja dalam bidang guaman.

"Namun saya dapati bidang masakan lebih serasi dengan naluri keibuan dan bidang ini mampu memberikan kepuasan berbanding dengan bidang lain," katanya.

Perkenalkan hidangan Venezuela

Chef Carmen berkata, minat untuk bekerja sebagai chef bermula sejak dari kecil lagi.

"Saya mempunyai keluarga yang suka kepada makanan dan kami gemar menjamu selera bersama ahli keluarga.

"Selain itu, nenek saya banyak mengajar saya kerana beliau juga merupakan pemilik sebuah kedai roti dan pastri di Venezuela.

"Dengan pendedahan awal yang diberikannya itu, ia banyak membantu saya dalam kerjaya sebagai seorang chef," jelasnya.

Beliau berkata, gaya masakannya banyak dipengaruhi oleh masakan Itali tetapi selaku chef yang berasal dari Venezuela, beliau lebih gemar memperkenalkan hidangan dari kampung halamannya.

"Hidangan Venezuela amat jarang di Malaysia. Sebab itu, saya ingin memperkenalkan hidangan ini kepada penduduk tempatan," ujarnya.

Bagi Chef Carmen, sesuatu hidangan perlu dimasak sepenuh hati, barulah masakan itu boleh menambat cita rasa pelanggan.

"Makan suatu hidangan yang menyelerakan mampu menghilangkan tekanan, lebih-lebih lagi jika berpeluang menikmati juadah tersebut bersama keluarga," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan masakan Venezuela, Chef Carmen berkata hidangan ini menawarkan pelbagai rasa yang unik.

"Setiap hidangan memberikan cita rasa berbeza kerana hidangan Venezuela dipengaruhi oleh pelbagai gaya masakan gabungan (fushion) seperti Sepanyol, Eropah dan Asia.

"Bahan yang banyak digunakan dalam hidangan Venezuela adalah seperti kacang hitam dan tepung jagung," ujarnya.

Antara hidangan istimewa yang disajikan oleh Chef Carmen di Hotel Renaissance Kuala Lumpur adalah Pabellon Criollo dan Tequenos.

"Pabellon Criollo ini nampak seperti nasi lemak, cuma bezanya hidangan ini dimasak bersama kacang hitam manakala Tequenos pula dimasak bersama keju dan susu kambing.

"Keju tersebut digoreng dan bagi mereka yang menikmati hidangan ini, pasti dapat merasai lapisan rangup di luar, manakala lapisan dalaman pula lebih cheezy.

"Pilihan keju yang sesuai perlu dibuat sebelum hidangan ini disediakan kerana keju seperti Mozarela tidak sesuai digunakan dalam hidangan ini kerana ia memerlukan keju yang lebih keras untuk digoreng sehingga berwarna keemasan," jelasnya.

Tambah Chef Carmen, antara hidangan tempatan yang disukainya termasuk Nasi Lemak, Nasi Kerabu dan Laksa Perlis.

"Saya tidak makan hidangan yang terlalu pedas kerana rasa pedas di bahagian lidah saya boleh menghilangkan sumber rasa yang lain.

"Kalau saya makan cili padi, saya tidak dapat menikmati rasa yang lain," katanya.

Eksperimentasi ruang geometrik

Posted: 06 May 2012 10:05 PM PDT

DHAVINDER SINGH

Oleh demikian, pelbagai hiasan dicipta bagi memenuhi ruangan kosong tersebut dari karya lukisan, gambar ataupun arca.

Sempena pameran 'Songsang' yang diadakan di Galeri Chandan, beberapa seniman telah mempamerkan karya mereka untuk memberikan gambaran perubahan atau keterbalikan yang agak drastik.

Antaranya seperti karya yang dihasilkan oleh Dhavinder Singh, 29.

Bertajuk Paroxysm, karya akuarium mini ini dihasilkan menggunakan bahan media campuran bersaiz 76x107cm.

Menurut Dhavinder, beliau mengambil masa selama seminggu untuk menghasilkan bahan visual ini.

Pada mulanya, beliau secara tidak sengaja berjaya mencipta akuarium bersaiz mini setelah menggunakan objek hidup iaitu ikan laga.

"Ketika proses melakar karya ini saya tidak terfikir untuk menggunakan ikan laga tetapi ketika menghasilkannya saya terfikir mengenai koleksi ikan laga.

"Selepas meletakkan ikan tersebut secara tidak sengaja, karya ini kelihatan seperti akuarium tergantung dan objek seperti ini boleh penuhi ruangan kosong dengan mudah," jelasnya.

Beliau berkata, konsep ini akan diketengahkannya kerana bahan seni tidak semestinya hanya terhad kepada karya lukisan ataupun arca sahaja.

Sesuai dengan tajuk pameran ini, kerja-kerja seni Dhavinder dilihat telah mencabar norma normal dalam tabiat seni moden.

"Sebagai orang seni, kita perlu mempunyai kebebasan untuk menghasilkan sesebuah karya tanpa hanya terhad kepada jenis, saiz atau bahan yang boleh digunapakai.

"Seperti karya saya ini, tempoh penghasilannya tidak mengambil masa yang panjang dan bahan-bahan yang digunakan seperti besi dan cermin mudah didapati.

"Hasilnya saya berjaya memenuhi ruangan kosong dengan karya seni kontemporari," katanya.

Tambahnya lagi, sesebuah karya yang dihasilkan memerlukan kos yang agak tinggi bergantung kepada bahan yang ingin digunakan.

"Kita perlu bijak memilih bahan yang ingin digunakan dan kalau boleh belilah bahan-bahan yang tahan lasak.

"Di kemudian hari nanti, bahan-bahan tersebut akan tahan lebih lama dan mudah disimpan atau dijaga," ujarnya.

Siti Zuriah bangkit demi keluarga

Posted: 06 May 2012 10:04 PM PDT

Siti Zuriah Mat Zaid mengukur ukuran pelanggan yang menempah jahitan baju daripadanya.

WALAUPUN pernah melalui detik sukar dalam kehidupannya, wanita berusia awal 40-an ini tetap bersemangat meneruskan hidup demi membantu keluarga tercinta.

Siti Zuriah Mat Zaid, 42, dahulunya pernah memiliki perniagaan sendiri yang berdaftar atas nama Butik Zurish tetapi terpaksa ditutup beberapa tahun lalu atas desakan kesihatannya yang tidak mengizinkan ketika itu.

Mengimbas saat itu, wanita cekal dan juga ibu kepada tiga orang cahaya mata berumur dua hingga enam tahun ini, berkata, segalanya bermula apabila dengan tiba-tiba dia mengalami kelumpuhan pada anggota badan dan kaki menyebabkan sebahagian besar pergerakannya terbatas, kira-kira dua tahun lepas.

"Pengalaman terjatuh dari tangga bas ketika zaman belajar di universiti dahulu memberi kesan pada bahagian pinggang dan tulang belakang saya selepas itu.

"Pada peringkat permulaan saya hanya ingat sakit belakang biasa. Tetapi setelah membuat pemeriksaan, doktor memberitahu bahawa tulang belakang dan tulang pinggul bergesel menyebabkan saya tidak boleh berjalan. Pergerakan yang boleh dilakukan hanya mengengsot sahaja," katanya.

Ketika itu dia sedang mengandung anaknya yang ketiga dan pernah doktor menyarankan agar dia menggugurkan kandungan kerana dikhuatiri akan membahayakan diri.

"Kerana sayang untuk menggugurkan kandungan, saya bertawakal kepada Allah dan selamat melahirkan bayi lelaki," katanya.

Waktu itu, Siti Zuriah hanya mampu bergantung kepada suami, Nik Halimi Awang, 42, yang banyak membantu dari segi sokongan moral dan menjaga makan minumnya.

"Sehinggakan sampai satu tahap, suami mengambil keputusan berhenti kerja sebagai akauntan di sebuah bank kerana ingin menjaga saya dan anak-anak.

"Dalam tempoh lumpuh tersebut, saya tidak mampu melakukan apa-apa. Semua tanggungjawab kerja rumah dan membesarkan anak-anak dilakukan oleh suami," katanya ketika ditemui di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Selepas mengamalkan pengambilan ubat yang berterusan dari doktor dan mengamalkan homeopati, sakitnya mula sembuh secara perlahan-lahan dan pergerakannya mula lebih cergas.

Bermula pada tahun lepas, Siti Zuriah mengambil keputusan meneruskan kembali menerima tempahan jahitan di kedai milik rakan kongsinya.

"Pada permulaan kembali menjahit, keluarga tidak memberi restu sebab mereka khuatir saya akan kembali sakit kerana menjahit memerlukan pergerakan bahagian kaki dan badan," katanya.

Walaupun keluarganya tidak mengizinkan, tetapi apabila memikirkan masa depan keluarga dia gagahkan juga menerima tempahan.

Sekali lagi dengan bantuan suami, mereka bersama-sama memikul tanggungjawab membuka kembali perniagaan menjahit baju.

"Apabila memikirkan menjahit sebagai punca rezeki keluarga, saya berazam membuka kembali perniagaan ini. Tambahan ia menjadi semakin ringan apabila dibantu oleh suami.

"Suami saya daripada tidak berkemahiran dalam bidang jahitan sudah pandai menjahit manik dan labuci pada pakaian yang ditempah pelanggan," katanya.

Tambahnya, pada awalnya dia berhadapan dengan masalah modal.

Tetapi kemudian dia bersyukur kerana mendapat bantuan modal yang dipinjam daripada Tekun Nasional.

Katanya, dalam keadaan kesihatannya yang baru pulih, sekarang dia hanya mampu menjahit tiga hingga empat pasang baju sehari.

"Tambahan, sekarang pelanggan mempunyai banyak pilihan untuk memilih baju yang siap dijahit dengan rekaan dan warna yang menarik," katanya.

Dia berkata, selain menerima tempahan baju kurung pelanggan juga boleh menempah baju kebaya, kurung moden, dan baju kurung pesak gantung.

"Harga untuk sepasang baju kurung adalah RM38, baju kurung moden RM55, dan baju kurung pesak gantung RM55,' katanya.

Selain itu, dia juga ada menerima tempahan jahitan manik dan labuci dan juga membuka kelas jahitan asas manik yang dibuka setiap hari sabtu pada jam 9 pagi hingga 5 petang dengan yuran sebanyak RM 150 seorang.

Segala tempahan jahitan dan kelas menjahit diadakan di Butik Kayangan yang beroperasi di Sri Bangi, Seksyen 8, Bangi, Selangor, bersama rakan kongsinya yang dibuka dari 10 pagi hingga 7 malam.

Sebarang tempahan boleh menelefon 010-6451854 atau 019-3870697.

'Menantu pukul anak saya depan mata'

Posted: 06 May 2012 10:03 PM PDT

TIDAK ada ibu bapa yang mahu melihat anak mereka menderita setelah diijabkabulkan dengan lelaki pilihan hati mereka.

Namun takdir hidup ketentuan Allah, tidak siapa menduga apa yang akan datang dalam hidup terutama berkaitan rumah tangga.

Menjadi lumrah, sebelum dapat tingkah laku memang baik, budi pekerti terpuji dan hormat orang bagai pijak semut tidak mati. Setelah duduk sebumbung, wajah sebenar menantu mula ketara.

Demikian sedikit mukadimah mengenai isu yang ingin saya paparkan minggu ini. Kisah rasa kecewa seorang ibu melihat penderitaan anak bongsunya yang menjadi mangsa dera suami yang tidak berhati perut. Kepada saya, Puan Idah (bukan nama sebenar) berkongsi kisah sedih anaknya untuk dijadikan teladan.

"Saya, ibu kepada empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan yang kesemuanya telah berumah tangga. Saya seorang pesara guru dan suami telah lama meninggal dunia.

"Malang bagi saya apabila anak bongsu saya, Yati (bukan nama sebenar) menghadapi masalah rumah tangga setelah dua tahun hidup bersama suaminya, Nazri (bukan nama sebenar).

"Mereka bernikah atas dasar cinta dan saya merestui pernikahan itu kerana merasakan anak bongsu saya telah bertemu dengan lelaki yang boleh menjaga nya hingga ke akhir hayat.

"Malangnya Yati telah tersilap membuat pilihan. Dia menjadi mangsa dera suami yang kaki perempuan dan suka berjudi. Pada mulanya saya tidak tahu nasib yang menimpa Yati.

"Dia sedaya upaya cuba menyembunyikan masalah rumah tangganya daripada saya kerana tidak mahu saya susah hati. Malah sebelum ini saya tidak pernah nampak dia ada masalah sebab wajahnya selalu ceria.

"Suatu hari saya tergerak hati untuk menelefonnya bertanya khabar tetapi dimaklumkan anak saya tidak datang kerja kerana sakit.

"Lalu saya mengambil keputusan ke rumahnya yang hanya setengah jam memandu dari rumah saya. Sampai di rumah saya lihat kereta suaminya ada di garaj. Saya memberi salam tetapi tidak berjawab.

"Oleh sebab pintu tidak berkunci, saya terus masuk. Dari arah pintu saya mendengar suara lelaki menjerit di tingkat atas. Saya pasti itu suara Nazri, menantu saya.

"Kemudian saya mendengar Yati menangis. Berkali-kali dia meminta maaf tetapi suaranya tenggelam dengan jeritan Nazri yang bagaikan orang gila sedang mengamuk.

"Hati saya mendidih. Saya menjadi amat marah, sebagai ibu saya tidak pernah menengking Yati dan meninggikan suara dengan anak-anak. Tapi lelaki ini sudah melampau.

"Lalu saya berlari menaiki anak tangga ke tingkat atas. Pintu bilik mereka tidak berkunci. Saya dapat lihat dengan jelas Nazri sedang memukul Yati. Saya terus menerpa dan mengheret Yati keluar.

"Kalau macam ini kamu layan anak aku, baik kamu tinggalkan dia. Apa salah dia sampai kamu buat macam ini?

"Saya menjerit melepaskan kemarahan. Rasa hormat saya kepada menantu hilang dalam sekelip mata.

"Saya benar-benar kecewa dan ralat dengan perbuatan Nazri. Tak sangka dia menantu yang kejam. Saya selama ini dipermainkan oleh Nazri yang berlagak baik di hadapan saya.

"Nazri hilang punca melihat saya mengamuk. Dia terkejut kerana tidak sangka saya akan muncul di rumahnya. Biar apa pun alasan yang dia berikan saya tidak akan memaafkan dia. Saya akan pastikan Yati mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya marahkan Yati kerana tidak memberitahu saya hal sebenar. Kata Yati dia sanggup dipukul kerana tidak mahu saya susah hati.

"Dia malas hendak bercerita dengan saya kerana diugut Nazri yang selalu balik lewat malam, ada perempuan lain dan suka berjudi.

"Malang juga bagi Yati yang dia sendiri tidak tahu suaminya seorang kaki perempuan dan judi sebab sepanjang mereka berkawan, tidak ada tanda-tanda Nazri berkelakuan seperti itu.

"Setelah memberi kata dua supaya menjauhkan dirinya daripada Yati, saya mengheret Yati keluar dari rumah dan memberi amaran kepada Nazri. Kata saya kita jumpa di mahkamah.

"Saya terus membawa Yati ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan. Kemudian kami ke balai polis untuk membuat laporan. Walaupun Yati enggan saya terpaksa lakukan tanggungjawab saya sebagai ibu. Mujur saya seorang guru, sedikit sebanyak tahu apa yang harus dilakukan.

"Sepanjang jalan, Yati menangis mengenangkan nasibnya. Saya marahkan dia kerana tidak beritahu saya masalah rumah tangganya. Katanya, dia takut didera lebih teruk oleh Nazri.

"Selesai urusan di hospital dan balai polis, saya menelefon besan saya minta mereka datang untuk selesaikan masalah anak mereka dengan anak saya.

"Apabila mereka tiba saya ceritakan apa yang berlaku dan menunjukkan bukti surat hospital dan laporan polis. Ibu bapa Nazri hilang kata-kata dan meminta maaf atas perlakuan anak mereka.

"Saya terus beritahu mereka yang saya mahu bawa kes ini ke mahkamah. Biarpun Yati masih sayangkan Nazri tetapi mereka tidak boleh hidup sebumbung lagi. Saya tahu tempat seorang isteri di sisi suami tetapi apa yang Nazri buat akan menyebabkan Yati menderita sepanjang hayatnya.

"Mereka tidak membantah dan menyerahkan kes itu kepada mahkamah. Nazri pula menghilangkan diri selepas kejadian itu. Usaha menjejaknya di pejabat juga gagal kerana dia dikatakan sudah bertukar kerja di tempat lain.

"Semuanya kerja Tuhan dan saya akur dengan ketentuan-Nya. Saya akan terima Yati semula dalam hidup saya. Biarpun dia tidak bahagia dalam rumah tangga saya mahu dia bahagia bersama saya, abang serta kakaknya.

"Anak-anak saya mengamuk dan mahu memukul Nazri tetapi saya khabarkan kepada mereka, kita buat ikut saluran undang-undang.

"Soal harta dan wang ringgit saya tidak kisah lagi. Sebab saya yakin saya masih boleh tanggung Yati. Syukur dia masih belum dikurniakan cahaya mata, jika tidak lagi saya sedih. Apa pun, saya bersyukur kerana saya dapat menyelamatkan anak saya dari terus menjadi mangsa dera suami. Semoga cerita ini menjadi teladan untuk pembaca semua. Jika ada masalah, beritahu keluarga supaya masalah boleh diselesaikan dan penderitaan dapat dihentikan. Semoga Allah memberi hidayah-Nya kepada anak saya." begitu Puan Idah menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah, saya amat bangga dengan Puan Idah yang sanggup membela nasib anak bongsunya yang didera suami.

Lihatlah pembaca, betapa besar pengorbanan seorang ibu terhadap anak walaupun anak itu sudah mempunyai kehidupan sendiri dan tidak membahagiakan.

Yati patut bersyukur dengan tindakan ibunya. Jika tidak tentu dia akan terus menderita di belasah suami yang tidak berhati perut.

Dalam keadaan ini, Yati perlu kuatkan semangat, fikir positif dan menerima takdir hidupnya untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Biar segala urusan diselesaikan mengikut saluran undang-undang. Benar kata pepatah, hidup perlukan pengorbanan. Kita tidak boleh bahagia hanya dengan kasih sayang dan kasih sayang juga tidak semestinya boleh membawa bahagia.

Apa yang berlaku jadikan pengajaran. Ambil iktibar atas semua kejadian dan bangkit memulakan hidup baru. Semoga Allah lindungi Yati dari segala masalah dan diberi hidayah untuk lebih menghargai kehidupannya.

Mengundur diri, pesanan saya, keselesaan itu satu kekurangan, kepuasan pula satu pencapaian tetapi kebahagiaan adalah penentu ketenangan dan kedamaian jiwa seorang insan.

Salam.

'Batik mewarnai kehidupan kami'

Posted: 06 May 2012 10:01 PM PDT

PASANGAN Wan Mohd. Ariffin Wan Long dan Noor Hijerah Hanafiah bahagia melayari bahtera rumah tangga sejak 32 tahun yang lalu.

NOOR ARFA, sebuah syarikat pengeluar batik terbesar di negara ini dan juga suatu jenama produk batik yang dikenali meluas termasuk di luar negara dengan mutu yang diyakini dan mempunyai prestij yang tersendiri.

Ia bermula lebih tiga dekad lalu melalui usaha pasangan suami isteri, mengharungi suka duka, merangkak dan bertatih dalam dunia perniagaan yang rencam sehinggalah mereka mula dilihat sebagai usahawan bumiputera yang berjaya dan boleh dibanggakan.

Kompleks batiknya di Cendering, Kuala Terengganu dengan reka bentuk seni bina Melayu bukan sahaja menjadi simbol kepada perkembangan suatu yang dikaitkan dengan warisan bangsa tetapi kukuh dan semaraknya hubungan pasangan ini, Wan Mohd. Ariffin Wan Long, 56, dan Noor Hijerah Hanafiah, 55,

Tidak ramai yang menyedari bahawa nama Noor Arfa muncul hasil gabungan nama mereka berdua yang telah melayari bahtera perkahwinan sejak 32 tahun lalu.

Kali pertama menemui pasangan suami isteri ini, kemesraan jelas terpancar dan tahulah mengapa mereka terus menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga yang berpanjangan.

Sifat rendah diri, bersyukur dengan apa yang ada, sentiasa sedia bertolak ansur, saling menghormati malah gemar menegur kesilapan yang dilakukan secara berhemah dengan terbuka membolehkan sinar kebahagiaan terpancar pada wajah pasangan usahawan ini.

Wajah Noor Hijerah atau lebih mesra dipanggil Kak Noor kelihatan berseri semasa meminta izin daripada suaminya apabila kami meminta untuk menyingkap kisah silam mereka.

Menurutnya, pertama kali beliau bertemu dengan suaminya ketika berusia 18 tahun apabila berhijrah ke Kelantan untuk mengikuti satu kursus anjuran Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia (LKKM) pada akhir tahun 1970-an yang mana Wan Mohd. Ariffin merupakan salah seorang tenaga pengajar.

"Saya sebenarnya memang minat dalam seni lukisan dan ketika tamat belajar sekolah menengah, saya dapat tahu dengan mengikuti kursus latihan batik ini, saya berpeluang ke Jepun.

"Ya...lah, ketika itu masih muda, jadi memang ghairah untuk pergi ke luar negara, namun apabila telah mengikuti kursus itu, tiba-tiba kami dimaklumkan peluang itu sudah tiada.

"Memang kecewalah ketika itu dan dalam pada masa yang sama juga, saya tahu suami yang ketika itu menyukai saya, namun saya tidak mahu balas perasaannya, sebab masa itu saya lebih bersemangat untuk cari duit sendiri dahulu dengan bekerja," katanya.

Tambahnya, setelah tamat latihan itu kira-kira enam bulan, Noor Hijerah pulang ke kampung di Alor Setar, Kedah untuk menamatkan pelajaran di tingkatan enam dan perlahan-lahan rasa sayang bersemi apabila suaminya mengutus surat saban minggu.

Pun begitu, sambil tersenyum beliau menceritakan perasaan juga diburu bimbang jika menerima Wan Mohd Ariffin kerana kehidupan masyarakat di pinggir pantai Terengganu sering dimomokkan dengan kisah perlu 'menunaikan hajat' di tandas yang dibina di luar rumah.

"Saya memang... kalau boleh tak mahu suami dari negeri Terengganu kerana perkara itu. Namun kerana jodoh kami bertemu dan bersatu. Selama empat tahun saya menguji kesetiaan cinta suami walaupun ketika awal perkenalan lagi dia sudah ajak untuk berkahwin," ujarnya sambil ketawa.

Ujar Noor Hijerah, suaminya tidak banyak kerenah dan lebih mementingkan kesederhanaan di dalam apa jua perkara, malah beliau lebih gemar makan di rumah bersama keluarga berbanding makan di kedai.

Sifatnya yang pemalu dan pendiam juga menyebabkan Noor Hijerah lebih banyak berbicara dengan pelanggan.

"Dia memang kurang bercakap. Namun dari hari ke hari saya ajar dia bagaimana berkomunikasi dengan pelanggan kerana sebagai peniaga kita kena ada kemahiran itu dan bagi saya kami saling lengkap-melengkapi," katanya.

Bagi Wan Mohd. Ariffin pula, isterinya seorang wanita yang sangat berdikari serta mempunyai semangat yang kuat kerana amat tegas dalam memutuskan sesuatu perkara sama ada mengenai kekeluargaan, perniagaan mahupun rumah tangga.

Akuinya, memang di sebalik kejayaan Noor Arfa kini, isterinya menjadi tulang belakang beliau sehingga ke hari ini.

Tambah beliau, isterinya merupakan wanita yang sangat kuat bekerja dan tidak kenal erti putus asa, malah sering menyokong apa sahaja keputusan yang beliau buat demi kejayaan syarikatnya ketika itu.

"Dulu ketika saya mahu ajak dia kahwin, saya 'tipu sunat' pada dia bahawa saya ada sebuah kilang perusahaan batik besar di Terengganu. Terpaksa 'menipu' supaya dia yakin dengan saya dan rasa selamat jika berkahwin nanti, padahal saya hanya mengusahakan perusahaan batik di rumah nenek dan ketika itu saya hanya buat dua hingga tiga helai kain sahaja.

"Selepas berkahwin, saya bawa ke rumah dan dia sangat terkejut melihat bengkel buruk sahaja, namun dia sedikit pun tidak menyesal malah dia yang banyak membantu saya sebelum syarikat Noor Arfa ini ada.

"Saya ingat lagi ketika itu dia baru lepas pantang melahirkan anak sulung kami, dia sanggup bekerja seorang diri kerana kami tidak mampu mengupah pekerja. Dia yang mencanting batik, membasuh, menjemur dan menjual ke pasar-pasar sendirian," jelasnya.

Bagaimanapun ujar Wan Mohd. Ariffin, kejayaan yang dikecapi itu adalah datang daripada-Nya dan ia harus disyukuri.

Mereka telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wan Mohd. Azwan, 31, Wan Mohd. Affiz, 28, dan Wan Mohd. Affendi, 23, sebagai pelengkap yang mewarnai corak kehidupan mereka.

U'th Club rawat 'penagih' kafe siber

Posted: 06 May 2012 10:00 PM PDT

Zaridah Abu Zarin turut meluangkan masa bersama remaja di U'th Club yang diasaskannya.

MENJADI rutin Zaridah Abu Zarin, 39, setiap petang menghantar anaknya ke sekolah untuk menjalani latihan rugbi. Tamat latihan, tanpa lewat sesaat Zaridah pasti akan berada di perkarangan sekolah untuk menjemput anak tersayang.

Tapi petang itu tidak seperti biasa, padang kosong dan kelibat anaknya juga tidak kelihatan.

"Saya hairan lalu bertanya kepada salah seorang pelajar yang kebetulan lalu di situ. Agak mengejutkan saya apabila pelajar itu memberitahu latihan rugbi telah dibatalkan kerana guru tidak dapat hadir. Perasaan risau memuncak, lalu saya bertanya kepada pegawai keselamatan sekolah ke mana agaknya anak saya pergi.

"Mengikut makluman daripada pegawai keselamatan tersebut, majoriti remaja di sekolah itu gemar berkunjung ke kafe siber yang terletak tidak jauh dari sekolah.

"Dengan penuh curiga saya mula melakukan penyiasatan sendiri dan ternyata anak saya berada di situ. Dalam 'siasatan tidak rasmi' itu saya dapati budak sekecil usia empat tahun juga tekun bermain game di situ. Penjaga kafe siber yang saya temui dengan bersahaja berkata dia menerima siapa saja sebagai pelanggan.

"Ketika saya sampai di komputer yang digunakan anak saya, saya mengetuk mejanya. Bayangkan tiada respons darinya dek terlalu khusyuk bermain game.

"Saya membawa pulang anak saya bersama seorang lagi rakannya. Rakan anak saya beria-ia mengaku itu kesalahan dia dan mengambil tanggung jawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

"Sempat saya menasihati kedua mereka supaya tidak ketagih untuk bermain komputer di kafe siber, namun saya sedar nasihat semata tanpa ada tindakan yang sepatutnya memang tidak berguna," ujar Zaridah.

Memikirkan tentang alternatif aktiviti yang lebih bermanfaat dan selamat untuk remaja seperti anak tunggalnya, Zaridah tekad menubuhkan U'th Club bersama rakan kongsinya, Michelle Wong.

Pada awal penubuhannya dia membayangkan kelab tersebut sebagai pusat 'terapi' bagi anak-anak remaja merawat ketagihan terhadap permainan komputer di kafe siber dengan melakukan aktiviti yang lebih menarik.

Dia tidak mahu aktiviti bermain permainan komputer sehingga berjam-jam melalaikan anaknya dan remaja sebaya yang lain.

"Saya percaya kebimbangan saya ini turut dikongsi oleh ramai ibu lain di luar sana yang anak-anak mereka lebih banyak menghabiskan masa di kafe siber berbanding di rumah.

"Setakat rasa bimbang tidak mampu mengubah apa-apa. Jadi saya fikir, saya perlu berbuat sesuatu," katanya.

Penubuhan U'th Club dibuat bukan secara melulu tanpa persediaan, sebaliknya Zaridah menggunakan pengalamannya sebagai pengurus di sebuah pusat asuhan kanak-kanak, Westminster Children Society di London selama beberapa tahun sebagai panduan untuk memulakan projek tersebut.

Malah sekembalinya ke Malaysia selepas 15 tahun menetap di United Kingdom (UK), dia membuka pusat jagaan harian kanak-kanak yang diberi nama Kid'sQ.

"Untuk memahami sesuatu perkara itu kita mesti bermula dari asas. Ketika di London, adik saya pernah datang ke tempat kerja saya dan melihat sendiri bagaimana sistem jagaan harian kanak-kanak di sana yang begitu mengagumkan.

"Saya juga mengambil masa tiga tahun berkursus sebelum layak bergelar pelatih di pusat jagaan tersebut, ia satu persediaan yang holistik.

"Kid's Q untuk kanak-kanak ini sudah tiga tahun beroperasi dan selepas insiden yang berlaku pada anak tunggal saya, jadi saya berfikir apa salahnya ruang rumah teres dua tingkat lot tepi ini dimanfaat untuk remaja pula.

"Saya dapati anak-anak remaja kini tiada arah tuju, justeru saya merangka beberapa aktiviti untuk mereka di U'th Club.

"Sebagai permulaan saya telah menghubungi seorang rakan saya di UK untuk mengadakan aktiviti seperti drama. Ini salah satu aktiviti yang boleh menaikkan keyakinan diri remaja di samping membantu mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik," jelas Zaridah yang ditemui di U'th Club, Selangor baru-baru ini.

Walaupun baru seminggu dilancarkan, Zaridah berkata, U'th Club telah berjaya mengumpul 19 ahli yang terdiri dari 11 lelaki dan lapan perempuan bermula dari usia sembilan hingga 27 tahun.

"Saya tidak merancang aktiviti mereka sebaliknya memberi kepercayaan kepada anak-anak ini menentukan apa yang mereka mahu dan minat.

"Sudah tentu pendapat mereka berbeza dengan kita dan apabila kita menerima cadangan mereka pasti timbul rasa dihargai.

"Ada juga ahli yang berusia sembilan tahun mencadangkan kelas komputer yang memberi panduan bagaimana membuat blog dan menubuhkan boredom club, bukankah itu satu cadangan yang sangat mengagumkan dari seorang anak kecil?

"Selain itu, ada juga remaja yang mencadangkan untuk mengadakan perlawanan sepak takraw, melawat tempat menarik dan saya juga galakkan mereka agar menubuhkan jawatankuasa mereka sendiri.

"Ini boleh memupuk sifat bertanggung jawab dan yang lebih penting segala apa yang mereka lakukan itu di bawah pengawasan kami dan bukan perkara sia-sia.

"U'th Club juga bertuah kerana mendapat penasihat dari pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Zahya Hanafi. Selain saya, kelab ini juga diterajui Michelle Wong dan Eleen Lopez.

"Saya juga telah berbincang dengan beberapa guru kaunseling dari beberapa buah sekolah untuk menambah baik program yang akan berlangsung di sini," katanya.

Apa yang penting kata Zaridah, 'terapi' yang dilakukan itu dapat mengurangkan atau menghilangkan terus ketagihan atau keinginan golongan remaja tersebut terhadap permainan komputer di kafe siber.

Setakat ini U'th Club dibuka setiap hari Sabtu dan Ahad bertempat di Jalan Kiara SD 11/2F, Bandar Sri Damansara.

Sesiapa saja boleh menyertainya tanpa syarat-syarat tertentu dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan, Zaridah tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan kelab tersebut bagi memenuhi keperluan anak-anak remaja di kawasan lain.

"Memang usaha ini nampak kecil, tetapi sesuatu perlu dimulakan dan saya percaya U'th Club mampu menjadi alternatif lebih baik kepada anak-anak remaja berbanding jika mereka melangkah ke kafe siber," katanya.

Diberi layanan VIP

Posted: 06 May 2012 09:59 PM PDT

LAZIMNYA anak-anak yatim diraikan dengan makanan yang lazat, persembahan nyanyian serta lawak jenaka di hotel bertaraf lima bintang.

Adakalanya juga mereka dibawa melawat ke tempat menarik secara rombongan, semuanya dengan niat untuk memberi pengalaman istimewa kepada anak-anak yang tidak punya ibu dan bapa ini.

Namun Telekung Project dengan kerjasama Seri's Spa memberikan satu pengalaman yang cukup berbeza.

Dengan layanan bagaikan orang kenamaan (VIP), anak-anak yatim itu mendapat khidmat rawatan di spa dan layanan oleh sukarelawan yang dipanggil 'mama' dan 'papa' sepanjang acara berlangsung.

Peluang dipotong kuku oleh ahli terapi, diurut dan dibelai tangan, rambut dipotong dan kemudiannya dicuci memang menghiburkan.

Buat pihak yang menganjurkan pula pasti begitu bertuah sekali kerana mendapat peluang mengusap kepala anak-anak yatim yang telah diberitahu oleh Rasulullah SAW memang banyak kelebihannya.

Acara yang dipanggil The Gathering; Wash & About menyaksikan perhimpunan ceria 60 anak yatim dan anak HIV dari Rumah At-Taqwa dan Solehah.

Jangan katakan anak-anak, penjaga, ibu bapa juga teruja melihat dekorasi khemah, tempat makan, kerusi meja, susunan belon dan cenderahati yang semuanya menggunakan warna tema merah jambu dan kelabu.

Dalam program yang bermula dari pukul 11 pagi hingga 3 petang itu, anak-anak yatim itu diraikan dengan penuh ceria oleh sahabat sukarelawan dari Telekung Project.

Malah mereka turut diberi beg cenderahati yang setiap satunya mengandungi kit penjagaan kebersihan diri seperti tuala, sabun, berus gigi, ubat gigi, bedak, kepit kuku dan syampu.

Pengasas Telekung Project, Norazila Aziz berkata, program itu bermatlamat meraikan anak yatim di samping mengeratkan silaturrahim dengan mereka.

Pada masa sama katanya, program tersebut juga mempunyai bertujuan mengajar anak-anak tentang kebersihan.

"Sambil berukhuwah, objektif perhimpunan ini juga untuk mendidik tentang kesedaran kepentingan kesucian dan penjagaan diri.

"Dengan tema Kami Suka Kebersihan, kami mahu mendidik anak-anak ini menyintai kebersihan sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah," katanya.

Sementara itu, pemilik Seri's Spa, Seri Syamsidatul Safrun Mohd. Thani berkata, idea mengadakan program The Gathering; Wash & About timbul apabila memikirkan apa yang boleh diberi kepada anak-anak yatim sebagai meraikan mereka.

"Dengan adanya spa, saya memberikan apa yang saya mampu untuk mereka. Mahu mereka merasa pengalaman tersebut yang amat jarang dinikmati oleh kanak-kanak lain.

"Alhamdulillah sambutan sungguh menggalakkan. Kami menerima kunjungan dari ramai sukarelawan dan banyak juga makanan yang semuanya hasil sumbangan," jelas Seri.

Para sukarelawan yang berminat ikuti program penjagaan kebersihan di rumah-rumah kebajikan ini boleh kunjungi laman Facebook Seri's spa.

BoBoiBoy jadi gilaan

Posted: 06 May 2012 09:58 PM PDT

Zuhaimi Nubil Yusoff (kiri) dan dua rakan kongsinya menunjukkan antara baju siri kartun BoboiBoy keluaran Asatera.

BOBOIBOY, Gopal, Ying dan Ya Ya antara watak utama dalam siri animasi tempatan, BoBoiBoy.

Mereka bukan sahaja merupakan adiwira (superhero) pujaan anak-anak masa kini malah apa jua produk yang dipakai oleh karakter-karakter ini pastinya menjadi idaman untuk dijadikan koleksi.

Bagaimanapun, setakat ini antara produk yang memaparkan karakter-karakter hanyalah dikeluarkan dalam bentuk kelengkapan alat tulis.

Yang terbaru, di pasaran hari ini terdapat koleksi pakaian kanak-kanak perempuan serta lelaki yang memaparkan keempat-empat karakter superhero tersebut.

Menurut Pengarah Eksekutif Asatera Sdn. Bhd., Zuhaimi Nubil Yusoff, pihaknya telah membeli hak untuk menggunakan jenama BoBoiBoy dalam koleksi pakaian kanak-kanak.

Tambahnya, dengan pembelian hak tersebut, secara tidak langsung produk keluaran syarikatnya merupakan barangan asli.

"Setakat ini kami merupakan pengedar yang dikhususkan untuk pasaran tempatan seperti di pasar malam, down town, up town, kiosk serta di kedai-kedai pakaian.

"Buat masa sekarang produk keluaran syarikat Asatera ini lebih menumpukan kepada pakaian kanak-kanak.

"Yang pasti produk-produk keluaran kami dihasilkan daripada fabrik yang berkualiti, 100 peratus kain kapas," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaanya di Sungai Long, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Menawarkan 12 jenis corak dengan tiga rekaan yang berbeza, produk ini boleh didapati dalam enam warna pilihan seperti merah, kuning, hijau, biru, oren dan biru gelap.

Jelas Zuhaimi lagi, rangkaian pakaian keluaran syarikatnya mensasarkan kanak-kanak yang berumur antara satu hingga lapan tahun.

Berbicara lanjut mengenai produk tersebut, ulas Zuhaimi, sebelum kata putus dibuat, pihaknya terlebih dahulu melakukan pelbagai kajian mengenai karakter animasi BoBoiBoy mahupun jenis produk yang disukai kanak-kanak.

Akhirnya setelah dua tahun kajian dilakukan, mereka memilih untuk mengeluarkan produk berasaskan pakaian yang terdiri daripada baju-T, baju-T beserta seluar pendek (sepasang) dan juga dres untuk kanak-kanak perempuan.

Ini kerana jelas Zuhaimi, permintaan untuk baju lebih tinggi jika dibandingkan dengan produk lain seperti topi, tudung, penutup mata dan sebagainya.

Bagaimanapun, pihaknya kini dalam perancangan memasarkan produk-produk tersebut pada masa hadapan.

"Apa yang dikeluarkan hari ini adalah mengikut permintaan pasaran. Kami dapati baju mempunyai permintaan yang tinggi jika dibandingkan dengan produk lain.

"Begitupun kami dalam perancangan untuk mengeluarkan produk-produk lain pada masa hadapan selain menambah lagi watak-watak lain seperti Adudu, Tok Aba dan ramai lagi," jelasnya.

Apa yang menarik mengenai produk BoBoiBoy keluaran Asatera ialah, selain memaparkan karakter imej dalam bentuk tiga dimensi, ia juga mempunyai logo untuk membuktikan bahawa produk tersebut adalah asli.

Selain itu, mereka yang membeli produk tersebut juga akan dibungkus di dalam beg plastik yang memaparkan siri animasi tersebut.

Kesemua produk yang ditawarkan boleh didapati pada harga RM28 hingga RM35. Mereka yang berminat untuk menjadi ejen boleh hubungi Zuhaimi di talian 016-9933066 atau layari www.asatera.com.

Menabung sejak lahir

Posted: 06 May 2012 09:47 PM PDT

Ahmad Shuhail Shawaludin menerima hadiah kemenangannya sambil diiringi ibunya, Norhaiza Abas (kiri).

USIANYA baru mencecah lima tahun tetapi siapa sangka Ahmad Shuhail Shawaludin kini sudah mampu memilik sebuah kamera jenama Olympus Pen EPL-1, Samsung tab 7.7 dan juga Sony PlayStation 3.

Jangan terkejut kerana kesemua barangan tersebut bukannya dibeli dengan wang ringgit tetapi berkat jimat cermat adik Ahmad Shuhail menabung dalam akaun simpanan-i Al-Awfar Junior, Bank Islam. Akhirnya dia terpilih sebagai pemenang hadiah pertama cabutan keenam akaun tersebut.

Anak kelahiran Kampung Pinang Merah, Paka, Dungun, Terengganu itu ketika ditemui kelihatan terpinga-pinga mungkin kerana tidak mengetahui apa yang berlaku di kelilingnya. Tetapi Ahmad Shuhail dilihat memeluk erat Samsung tab yang baru diperolehnya.

Walaupun kanak-kanak itu baru berusia lima tahun tetapi jangan fikir dia tidak mengerti apa-apa kerana kebanyakan kanak-kanak hari ini sebenarnya merupakan individu yang mampu berfikir jauh daripada usia sebenarnya.

Menurut ibunya, Norhaiza Abas, 39, menabung sememangnya menjadi amalan mereka sekeluarga.

Malah anak-anaknya telah dibuka akaun simpanan sebaik sahaja mereka dilahirkan.

"Keempat-empat anak saya telah mempunyai akaun simpanan masing-masing sebaik sahaja mereka dilahirkan.

"Tabungan ini adalah untuk masa hadapan mereka agar tidak susah di kemudian hari. Saya sememangnya menggalakkan anak-anak untuk menabung dan dengan ini secara tidak langsung mengajar mereka berjimat cermat," ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Dungun, Terengganu, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, kesemua anaknya bermula dengan akaun simpanan di Tabung Haji dan bermula bulan September tahun lalu dia telah membuka akaun simpanan Al-Awfar Junior di Bank Islam untuk kesemua anaknya.

Ternyata rezeki menyebelahi anaknya ketiganya, apabila diberitahu telah memenangi hadiah pertama cabutan ke-6 akaun simpanan tersebut.

Tetapi bagi Norhaiza, pada mulanya dia tidak mempercayai berita tersebut memandangkan hari ini terdapat banyak penipuan bagaimanapun setelah melayari laman web Bank Islam dan melihat nama anaknya tertera di situ barulah dia mempercayainya.

"Bayangkan selama ini saya tidak pernah melayari Internet apatah lagi laman web Bank Islam.

"Tetapi sebaik sahaja mendapat panggilan daripada Bank Islam memberitahu Ahmad Shuhail menang, saya terus membuka laman web Bank Islam untuk mengesahkannya.

"Sebaik sahaja terpandang nama Ahmad Shuhail di laman web tersebut barulah saya tahu panggilan yang diterima sebelum ini adalah benar dan sudah pasti saya terkejut," katanya.

Begitupun, bagi Norhaiza, kemenangan tersebut adalah rezeki Ahmad Shuhail dan sudah pasti selepas ini dia akan terus menggalakkan anak-anaknya menabung.

Malah dia turut menyatakan bahawa tidak rugi menabung di usia muda malah ia begitu bermanfaat sekali.

Perjalanan dari Moscow ke Kuala Lumpur

Posted: 06 May 2012 09:44 PM PDT

JIKA mendengar pada gaya pertuturan suami isteri ini sahaja tiada siapa menyangka bahawa si isteri orang Rusia.

SAYA tidak perlu terlalu berhati-hati mengatur ayat atau perkataan yang dipilih untuk berbicara dengan 'minah saleh' ini.

Ia kerana penguasaan bahasa Melayu Olga Vasilevskaya, 25, memang boleh dikatakan sama setanding seperti penduduk di negara ini dan bukan seperti warga asing yang baru belajar menguasai bahasa ini.

Menggunakan 100 peratus perkataan Melayu, adakalanya saya pula yang termalu sendiri kerana sesekali 'merojakkan' perbualan dengan beberapa perkataan Inggeris.

Menyelusuri perjalanan hidup wanita yang berasal dari Moscow, Rusia ini, ternyata memberikan satu pandangan baru tentang wanita Eropah.

Olga memang berbeza, pada pengamatan saya dia seorang yang lemah lembut, berbudi bahasa, bersopan-santun, mesra dan tidak banyak kerenah.

Kemesraan yang ditunjukkan memudahkan tugas saya 'mengorek' kisah hidup Olga sejak zaman kanak-kanak lagi.

"Ketika zaman kanak-kanak saya tinggal di Moscow. Ibu bapa saya merupakan jurutera di sebuah stesen hidroelektrik yang terletak di sebuah kampung yang bernama Talakan, berdekatan bandar Blagovechensk di timur Rusia. Saya tinggal di Talakan hinggalah usia mencecah 15 tahun.

"Pada satu hari sekolah saya terbakar, kebetulan itulah satu-satunya sekolah di situ jadi untuk meneruskan pelajaran saya perlu berpindah ke St. Petersburg. Di sana saya tinggal di asrama dan menyambung pelajaran hingga berusia 17 tahun," ujarnya yang ditemui di Hotel Palm Garden, Putrajaya baru-baru ini.

Seperti remaja lain, selepas tamat sekolah Olga mula membayangkan universiti mana dan jurusan apa yang akan dipilih.

Pada satu pameran pendidikan beliau tertarik untuk mengetahui tentang bahasa Thailand.

"Selepas mengikuti pameran pendidikan tersebut saya terus pulang ke Moscow dan terus mendaftarkan diri ke Institute of Oriental Studies.

"Ketika melihat senarai kursus, mata saya tertarik pada Kursus Bahasa dan Sejarah Malaysia. Terus terang saya katakan saya tidak pernah mengetahui apa pun tentang negara ini. Saya cakap pada diri saya saya perlu ambil kursus ini walaupun saya tidaklah begitu berminat tentangnya.

"Memikirkan usia yang masih muda jadi saya fikir apa salahnya mencuba dan mencabar diri, kebetulan ayah dan ibu juga memberikan sokongan sepenuhnya.

"Minat saya sebenarnya dipupuk dua pensyarah saya, Dorofeeva Tatiana dan Kukushkina Evgeniya. Mereka berdua adalah pakar persuratan dan bahasa Melayu di Rusia dan sangat berpengalaman dalam sejarah dan bahasa Melayu.

"Kedua-dua pensyarah ini memberikan gambaran yang menarik tentang Malaysia dalam bentuk penceritaan kisah dongeng. Saya teruja untuk mengetahui lebih lagi tentang masyarakat Malaysia dan kebetulan pada satu hari saya terlibat dalam satu acara yang turut disertai oleh pelajar Malaysia yang menuntut dalam jurusan perubatan di Rusia.

Sudah makan ke belum?

"Pada mulanya saya melihat pelajar Malaysia tidak suka bergaul dan duduk dalam kelompok mereka sendiri. Jadi untuk merapatkan hubungan kami menganjurkan satu perkhemahan.

"Dari situ kami menjadi lebih rapat dan ketika pertama kali saya dan keluarga hendak melancong ke Malaysia, rakan-rakan dari Malaysia inilah membantu dalam urusan membeli tiket dan sebagainya," jelas Olga yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Ketika pertama kali di Malaysia, beliau mendapati rakyat negara ini begitu peramah, malah yang paling melucukan ialah cara mereka bertutur.

"Biasanya kita akan bertanya: Apa khabar? Tetapi rakyat Malaysia akan bertanya sudah makan ke belum? Ketika itu saya belum begitu mahir dengan cara bertutur rakyat ini dan rasa begitu pelik untuk menjawab soalan tersebut.

"Kali kedua saya datang ke Malaysia ialah apabila terlibat dalam pertandingan pidato bahasa Melayu. Ketika tempoh pertandingan tersebut, walaupun teruja tapi saya sudah mula mengalami krisis dalam diri apabila mengetahui bahasa Melayu bukanlah satu tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.

"Kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan bahasa Inggeris dan saya mula rasa mahu berhenti belajar dan mahu bertukar ke bidang kejuruteraan.

"Memang saya cintakan bahasa ini tapi saya tidak nampak kegunaannya. Ayah saya setuju cadangan saya untuk mengambil kursus baru tapi dengan syarat mesti menamatkan kursus Bahasa Melayu.

"Akhirnya selepas empat tahun saya berjaya menamatkan pengajian dalam kursus Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia tapi pengajian bidang kejuruteraan saya tidak dapat dihabiskan.

"Sebaliknya saya telah beralih ke bidang sarjana dalam jurusan kewangan dan pelaburan di Universiti Nottingham cawangan Semenyih. Setelah mendapatkan sarjana pada tahun 2010 saya telah memasuki dunia pekerjaan dan pada masa yang sama turut terlibat menguruskan perniagaan suami," ujar Olga.

Putus cinta, Tom jadi penkid

Posted: 06 May 2012 09:43 PM PDT

Tom kini bukan saja berpenampilan seperti lelaki bahkan nalurinya juga telah berubah kepada kaum sejenisnya. - Gambar hiasan

TIADA siapa menduga peristiwa hitam akibat dikecewakan oleh teman lelaki kira-kira lima tahun lalu telah mengubah perwatakannya daripada seorang wanita normal kepada wanita yang berperwatakan seperti lelaki.

Peristiwa cinta tulusnya dikhianati telah memadamkan sepenuh kepercayaan Tom (bukan nama sebenar), 25, terhadap kaum Adam lantas memberi kesan kepada seluruh kehidupannya sehingga sekarang.

Dia bukan setakat tidak lagi meletakkan cintanya pada lelaki. Bahkan sedikit demi sedikit menghakis minatnya terhadap kaum itu sebaliknya telah beralih ke kaum sejenis

Berasal dari selatan tanah air, Tom mengakui dia terlalu mengikut perasaan ketika itu kerana tidak boleh menerima kenyataan ditinggalkan kekasih.

"Kami berkenalan ketika sama-sama belajar di universiti. Hubungan tersebut hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja.

"Saya telah ditipu dan dipermainkan apabila dia berlaku curang dengan menjalinkan hubungan dengan kawan baik sendiri.

"Selepas peristiwa itu, saya tidak dapat mengawal diri dan mengalami tekanan yang amat sangat hingga pernah bertindak memakan pil tidur kerana tidak boleh melupakan bekas kekasih," katanya.

Tom berkata, selepas itu dia berazam mencari kebahagiaan dengan cara sendiri dan telah memilih jalan hitam.

"Jalan yang saya pilih ini ternyata memberikan saya kepuasan dan kebahagiaan yang patut saya miliki sejak dulu lagi biarpun terpaksa menagih cinta dari kaum sejenis.

"Selain perubahan ketara pada perasaan dengan menyukai wanita, perubahan aspek fizikal juga berlaku kepada golongan seperti kami seperti berambut pendek dan berperwatakan seperti seorang lelaki.

"Berhubungan dengan wanita lebih bahagia kerana mereka memahami dan tidak banyak kerenah seperti kaum lelaki," katanya.

Tambah Tom, cita rasa golongan penkid kepada wanita tidak ubah seperti lelaki. Mereka gemar mendekati wanita yang berkulit putih, berambut panjang dan manja.

"Kami gemarkan wanita kerana sifat yang berbeza dengan kami. Dengan mereka akan memperolehi kepuasan dan layanan yang baik.

"Selain itu, kami juga akan menggunakan modal mulut manis untuk memikat gadis-gadis muda terutama yang masih bersekolah dan tidak ada haluan hidup.

"Pada permulaan mereka akan disogokkan dengan kemewahan, kasih sayang dan perhatian sehinggalah mereka terjebak dan termakan budi dengan kami," katanya.

Katanya lagi, dalam situasi itu mereka yang terlibat tidak boleh melarikan diri kerana semua kehidupan telah di kawal.

"Pernah beberapa kali kami bergaduh sesama sendiri kerana berebut kekasih lantaran wujud perasaan cemburu dan sayang yang mendalam.

"Kami juga seperti insan lain, tidak boleh menerima jika kekasih berlaku curang. Akibatnya kami akan bertindak di luar kawalan seperti sanggup memukul dan mencederakan mereka yang cuba menjadi perampas," katanya.

Tambahnya, bukan dia tidak pernah memikirkan kesan kepada diri kerana terjebak dengan perkara ini tetapi keadaan tidak memihak kepadanya untuk kembali berubah.

"Pernah terdetik dalam hati untuk berubah tetapi ia seperti susah kerana dendam kepada bekas kekasih masih tidak boleh dibuang dan segar dalam ingatan.

"Sepanjang tempoh dua tahun juga saya tidak balik menjenguk keluarga di kampung.

"Hanya telefon yang menjadi penghubung antara kami kerana saya tidak mahu melihat mereka sedih dengan perubahan terhadap diri saya," katanya.

Hidup tanpa seks

Posted: 06 May 2012 09:42 PM PDT

DIANGGARKAN satu peratus daripada penduduk di dunia terdiri daripada mereka yang hidup tanpa seks dalam istilah bahasa Inggeris asexual.

Walaupun kajian mengenainya terhad, namun golongan ini merupakan kelompok yang tidak akan melalui pengalaman seks sampai mati.

Dalam satu soal selidik di Amerika Syarikat yang disiarkan dalam akhbar The Guardians, United Kingdom, salah seorang respondennya yang hanya dikenali sebagai Annette memberitahu, pada usia 47 tahun dia tidak pernah mempunyai teman hidup.

Namun katanya, perjalanan hidup yang dipilih itu turut membawanya kepada pelbagai cabaran terutama desakan supaya memiliki pasangan daripada keluarga dan rakan-rakan.

Annette memberitahu, kumpulan wanita di gereja yang selalu dikunjungi sering melakukan doa agar dia ditemukan suami.

Sementara seorang saudaranya pula telah mendaftar nama Annette dengan sebuah agensi mencari jodoh.

Annette dan golongan asexual lain sepertinya tidak pernah dan kemungkinan langsung tidak akan melalui pengalaman seks.

Annette sendiri berulang kali mengatakan dia bahagia dan gembira dengan cara hidup itu.

Dalam kaji selidik melalui e-mel itu, Annette yang menetap di Minnesota, Amerika Syarikat (AS) bertugas di firma guaman.

"Kerja ini membuatkan saya gembira untuk menjadi seorang yang asexual, sebab saya melihat banyak kes penceraian dan apa yang berlaku dalam perhubungan seperti suami tinggalkan isteri kerana ada hubungan dengan lelaki," katanya.

Walaupun hidup di negara maju, kehidupan asexual Annette tetap menimbulkan syak wasangka.

Bagi Annatte sendiri, sepanjang hidupnya dia sentiasa cuba memahami apa yang mendorong mereka di sekeliling mahu mempunyai hubungan seksual yang baginya penuh dengan masalah.

Mendengar golongan asexual bercerita tentang kehidupan harian menunjukkan mereka mempunyai ruang lingkup sendiri.

"Hidup dengan dunia yang romantik dan ada hubungan seksual yang ideal sangat sukar.

"Kesan yang paling meresap dalam hidup saya ketika ini sebagai pelajar ialah banyaknya perbualan yang berkisar tentang seks dan tarikan seksual pada seseorang yang mana saya tidak berminat mengetahuinya," kata Bryony, 20, pelajar biologi dari Manchester.

David Jay dari California yang menubuhkan komuniti online mengenai asexual yang kini telah mengumpulkan 50,000 ahli pula berkata, komuniti taliannya merujuk perkara itu sebagai gerakan asexuality yang kini kononnya telah masuk fasa ketiga.

Fasa pertamanya dakwanya, bermula awal 2000-an. Namun itu tidak bermakna, kelompok asexual itu tidak wujud sebelum itu. Ini kerana ia tidak memiliki identiti khusus untuk mengenali golongan itu.

Asexual bukan bermakna golongan itu menafikan keinginan seks mereka yang menyebabkan mereka hidup tanpa seks, tetapi mereka tidak mempunyai keinginan.

Fasa kedua pula didakwa mula melibatkan gerakan membabitkan golongan itu.

Pada tahun 2006 Jay mula mendedahkan pada media mesej-mesej tentang asexual.

Pada tahun ini fasa ketika gerakan asexual seperti yang didakwa oleh Jay ialah untuk mencabar tanggapan umum mengenai apa yang dianggap sebagai kehendak seks yang normal.

"Secara teorinya ketiadaan keinginan seks bukan satu masalah. Tetapi disebabkan aktiviti seksual adalah sesuatu yang normal, maka kehadiran kumpulan asexual berpotensi untuk jadi masalah kerana ia semakin kelihatan dan ia mungkin menjadi satu stigma baru," kata profesor dari Universiti Brock, Ontario, Dr. Tony Bogaert yang pakar dalam penyelidikan asexual.

Neth, 24, dari West County pula berkata, dia mengetahui dirinya seorang asexual sejak remaja tetapi hanya baru-baru ini tahu terdapat istilah mengenai apa yang dirasainya itu.

untuk menggambarkan dirinya, Neth juga mengatakan dia sebagai genderqueer, istilah umum untuk mereka yang tidak mahu dikenali sebagai lelaki atau perempuan.

"Kadang-kadang saya rasa lebih sebagai perempuan kadang-kadang tidak ada langsung," katanya.

Dia pernah mempunyai teman lelaki tetapi telah berpisah.

"Kehendak dan tarikannya berbeza dengan saya. Saya tidak fikir dia sedar apa yang berlaku pada saya. Pada permulaan memang ada sesuatu berkaitan dengan seksual. Dia mahukannya dan saya terperangkap dengan memiliki teman lelaki.

"Tetapi wujud perasaan janggal selepas itu. Setelah bertahun bersama ternyata saya tidak mahukan seks.

"Saya berusaha mengelakkannya dan akhirnya kami hanya menjadi kawan," kata Neth.

Dr. Lori Brotto dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti of British Columbia dalam kajiannya mendapati tidak ada pemisahan gender dalam asexual. Kebarangkalian lelaki dan perempuan untuk menjadi seorang yang asexual adalah sama.

Tetapi, lelaki yang asexual ada kemungkinan akan beronani berbanding perempuan. Ini kerana lelaki yang mempunyai keinginan seks normal akan bertindak balas terhadap tuntutan mereka itu.

Eksperimen yang dilakukan oleh Brotto dengan mengukur reaksi vagina terhadap rangsangan seksual secara visual bagi wanita normal dan wanita asexual juga tidak menunjukkan sebarang perbezaan.

Katanya, reaksi fizikal wanita asexual adalah sama dengan wanita yang ada keinginan seks secara normal.

Laura, 21, dari Scotland pula memberitahu, dia juga tahu dirinya seorang yang asexual ketika remaja.

"Ketika di sekolah pelajar perempuan mula bercakap tentang seks ketika berusia 13 tahun. Saya tidak faham apa yang mereka cakapkan ketika itu," katanya.

Dia yang bekerja di sebuah bar sentiasa berhadapan dengan godaan pelanggan lelaki saban hari.

Tetapi ia tetap gagal mendorongnya untuk memiliki keinginan seks.

"Saya cuba memberitahu dan menerangkan kepada mereka yang saya seorang yang asexual.

"Tetapi apa yang mereka jawab ialah itu disebabkan saya belum mencubanya dengan mereka.

"Jadi akhirnya pada saya lebih baik tidak bercakap mengenainya langsung," kata Laura.

Teknik goda suami

Posted: 06 May 2012 09:41 PM PDT

Intim

I NGATKAH bagaimana manjanya reaksi anda pada suami di awal usia perkahwinan atau ketika berbulan madu dahulu? Ketika itu rengekan, lentukan kepala, mata bercahaya, pandangan kuyu, cumbuan dan ciuman sentiasa menghiasi suasana di samping menghangatkan kamar beradu anda dengan ritma aromatik dan erotik.

Setelah usia perkahwinan semakin panjang, apa kata sesekali anda melakukan sesuatu untuk menggoda suami agar hubungan berkasih sayang dapat dipupuk seerat mungkin.

Pastinya, setiap sentuhan, belaian manja, dan bisikan hangat adalah antara beberapa cara anda berinteraksi untuk membuatkan suami tergila-gilakan anda setiap hari.

Apa kata sekiranya pada waktu pagi ketika suami sedang berjalan keluar dari bilik untuk ke tempat kerja, pegang tangannya dengan cara anda memandang tepat ke matanya dan kemudian berdakapan dengan suami anda.

Peluklah suami anda sepenuhnya dengan rasa kasih sayang dan kemudian memberikan lambaian mesra kepadanya sebelum dia berlalu.

Sebelum itu secara sembunyi, perlahan-lahan masukkan sekeping nota pendek berbau cinta dan sulaman kasih ke dalam poket seluar atau jaketnya.

Atau mungkin juga nota mengajaknya untuk makan malam di sebuah restoran pada malam itu atau apa sahaja.

Apabila sesampainya di pejabat suami anda menyeluk sakunya dia terpegang nota anda dan membacanya. Pastinya dia akan menelefon anda sejurus selepas dia membacanya.

Juga anda boleh menelefon suami anda pada tengah hari itu untuk memastikan dia pulang pada masa yang tepat pada petang atau malam nanti.

Ketika panggilan itu dilakukan, bisikan kata-kata dengan suara yang seksi kepada suami anda dan beberapa perkataan yang anda memang tahu suami anda sukakannya ketika beraksi di katil.

Sudah pasti suami anda amat menghargai setiap kata-kata bisikan yang jarang-jarang kedengaran daripada mulut anda seperti itu.

Sebaik suami anda balik ke rumah, pastikan rumah anda berbau keharuman bunga-bungaan, bersih, kemas dan pasangkan lagu lembut dan romantik yang memberikan rasa ketenangan kepadanya.

Jemput dia tidur di riba anda, urut perlahan bahunya sambil melakukan belaian erotik di sekitar dada, perut dan dahinya menggunakan jari-jemari anda.

Cara godaan ini mungkin agak ekstrem. Tapi anda boleh melakukannya sesekali. Ketika mandi di dalam bilik mandi di dalam bilik tidur, anda biarkan pintunya sedikit terbuka dan biarkan suami anda yang ketika itu berada di atas katil melihat anda.

Lihatlah apa reaksi suami anda yang gugup menelan air liur melihatkan permainan godaan anda yang kelihatan hangat dalam bilik mandi sambil tubuh disirami air.

Sekiranya anda ingin kelihatan lebih seksi apa kata anda memakai minyak wangi yang baru atau mengubah bau minyak wangi anda.

Bau-bauan sebenarnya dapat menawan hati suami. Pilihlah bau minyak wangi yang mungkin dia suka. Letakkan sedikit di belakang leher, belakang telinga, sedikit di celah dalam paha yang pastinya memberikan rasa godaan yang bukan sedikit kepada suami anda.

Kadang-kala ada sesetengah suami yang suka melihat isterinya memakai barangan kemas atau aksesori contohnya mutiara.

Jadi goda suami anda dengan memakai mutiara ketika berada di atas katil tanpa pakaian di badan anda.

Atau sesekali cuba goda suami dengan memakai pakaian dalam yang berwarna erotik dan warna yang terang seperti merah atau berbintik harimau bintang.

Fabriknya pula perlulah daripada sutera yang menyerap peluh, berkilat dan lembut untuk mudah diusap oleh suami ketika berada di atas katil berduaan.

10 pasangan rebut gelaran juara

Posted: 06 May 2012 09:40 PM PDT

Noor Amiera Alias dan Anwar Abdullah.

Teka-teki siapa bakal menjuarai Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3, hampir terjawab apabila 10 pasangan terpilih ke peringkat akhir baru-baru ini.

Pemilihan kesemua 10 calon akhir tersebut dilakukan selepas tamat sesi temu duga ke atas 30 pasangan yang berjaya memasuki peringkat separuh akhir.

Kesemua 10 pasangan yang berjaya ke peringkat akhir ialah Nor Syafiqah Syahirah Mohamed dan Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi; Nurul Hanim Abdul Malek dan Herul Azrul Shafi; Noor Amiera Alias dan Anwar Abdullah; Raudhah Ismail dan Khairul Zulhilmi Abu Bakar; Zazalina Ghazali dan Mohd. Zaidi Mohd. Bishan.

Selain itu, Samsul Khairul Samsuddin dan Anis Sabrina Azman; Mohd. Afrizal Aziz@Azis dan Noraini Abdul Karim; Sharifah Norazlin Sy. Abidin dan Azrul Iszreen Awang Hin; Dinie Fitri Ridzwan dan Nurhafizah Mohd. Noor; dan Amir Hashim dan Norsyazwani Md Johari.

Sesi pemilihan yang berlangsung baru-baru ini di ibu pejabat Utusan Melayu, di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, dilakukan oleh panel juri diketuai Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid.

Sesi temu duga tersebut dibuat bagi melihat sejauh mana kesungguhan peserta merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Dalam pada itu temu duga tersebut juga meliputi 50 markah bagi penentuan tempat pertama hingga ke lima serta lima sagu hati.

Sebanyak 40 markah lagi akan ditentukan melalui tugasan khas dan 10 markah undian orang ramai melalui Facebook di alamat www.facebook.com/gerbangcinta.utusan

Melalui tugasan khas peserta akhir akan dibawa melawat melakukan kerja-kerja amal di dua rumah kebajikan kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 5 dan 6 Mei ini.

Orang ramai juga berpeluang mengundi 10 pasangan yang nama dan gambar mereka akan mula dimuatkan dalam Facebook.

Peraduan yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000 termasuk sebuah kereta dan pakej perkahwinan menyaksikan penyertaan KPWKM sebagai penaja utama serta penaja-penaja lain seperti Dios Astana Bridal (busana dan cenderamata) , Mastar Catering (jamuan), Kampung Pengantin (lokasi), Precious Moments (pelamin), D Sayang Entertainment (sistem bunyi dan fotografi) dan Afidah Khamis Makeup & Stuff (jurusolek)

Turut menaja , Preety Peektures (video perkahwinan), Sri Sutra Travel (pakej bulan madu), CJ Print (kad perkahwinan) dan Utusan Online.

Legasi perusahaan mentua

Posted: 06 May 2012 09:35 PM PDT

Beh Wong King menyelia kerja-kera menjemur ikan bilis di Pulau Pangkor.

Jika ramai mengatakan bandar Tawau di Sabah sinonim dengan ikan bilis kerana kepelbagaian saiz dan jenisnya, di Semenanjung Malaysia, pulau Pangkor juga tidak kurang hebatnya. Malah ada yang menganggap ikan bilis di pulau itu terbaik di Asia Tenggara.

Sejauh mana kebenarannya tidaklah dapat dibuktikan. Tetapi apabila berkongsi pengalaman seorang tauke ikan bilis di pulau tersebut baru-baru ini, dia ada sebab untuk berkata demikian.

Tauke ikan bilis yang dimaksudkan itu merupakan sebahagian kecil daripada penduduk Pulau Pangkor, Perak yang menikmati limpahan ekonomi hasil daripada kekayaan perairan pulau berkenaan.

Meskipun sekadar menyambung tradisi perniagaan keluarga yang diusahakan sejak lebih lima dekad lepas, Beh Wong King , 47, tetap bersyukur kerana projek ikan bilis kering itu kini telah mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.

Malah, dia bukan sahaja dikenali sebagai pembekal ikan bilis terbesar di pulau berkenaan tetapi juga pengeluar ikan bilis kering terbaik di Asia Tenggara.

"Ini warisan perusahaan ibu dan bapa mentua saya yang datang dari China. Mereka memulakan perniagaan ini dengan tangan kosong," katanya pada satu pertemuan di Pulau Pangkor baru- baru ini.

Perniagaan ikan bilis itu dimulakan pada 1950-an, di tapak asal sekarang di pekan Pangkor.

Ketika itu bapa mertuanya bekerja sebagai buruh kasar dan hasil daripada itu, mereka menyimpan wang dan jimat berbelanja.

Daripada berjimat-cermat itu mereka mampu membeli bot kecil dan menangkap ikan bilis secara kecil-kecilan serta menghasilkan sendiri produk kering berasaskan ikan berkenaan.

Usaha tanpa jemu dan dalam serba kekurangan, mereka berjaya membangunkan perusahaan keluarga secara perlahan-lahan

Bak kata pepatah, langit tidak selalunya cerah, kejayaan singkat dan paling manis yang dikecapi hanya sementara.

Perusahaan tersebut tanpa disangka-sangka menghadapi masalah dan gagal dimajukan sehingga hampir bankrap. Antara masalahnya ialah susahnya mendapat bekalan mentah.

Namun menurut Wong King, hasil kesabaran dan ketekunan, ia bukan sahaja dapat dipulihkan malah semakin maju.

Dia dan suaminya berkahwin pada 1987. Mereka mengambil alih perniagaan tersebut daripada mertuanya pada 2001.

Dengan 60 pekerja iaitu masing-masing 20 orang bertugas di setiap bot, 10 orang lagi untuk kerja-kerja mengurus ikan bilis di darat dan 10 lagi untuk menggredkan produk, perusahan mereka mampu menghasilkan minimum 10 tan ikan bilis kering sebulan.

Ikan bilis berkenaan sangat istimewa kerana ia rangup, tanpa pengawet dan tidak terlalu masin.

Dengan kualiti yang baik, ikan bilis tahan disimpan selama sebulan dalam peti sejuk. Harganya bergantung kepada saiz iaitu lebih besar lebih murah dan begitulah sebaliknya.

"Ikan bilis paling mahal ialah jenis mata biru," ujarnya sambil memberitahu bahawa harga ikan bilis kering adalah antara RM12 sekilogram dengan RM70 sekilogram.

Baju zirah dunia Islam

Posted: 06 May 2012 09:34 PM PDT

BAJU zirah berhias dari Mindanao, Filipina (Abad ke 19 Masihi / abad ke 13 Hijrah)

BAJU zirah juga dikenali sebagai baju besi. Pakaian ini digunakan oleh para kesatria atau tentera di seluruh dunia untuk melindungi badan daripada kecederaan senjata tajam seperti pedang, anak panah dan tombak sewaktu pertempuran.

Sebelum baju besi digunakan dengan meluas, kebanyakan tentera menggunakan kulit haiwan sebagai pakaian untuk melindungi diri mereka dalam peperangan.

Seperti di China, tentera berjalan kaki khususnya menggunakan baju zirah yang diperbuat daripada kepingan kulit tebal yang dijahit menjadi baju.

Baju yang menggunakan cengkerang kura-kura dan besi digunakan oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada para panglima dan keluarga diraja.

Baju besi yang pertama dipercayai dicipta oleh orang Celt pada tahun 300 Sebelum Masihi. Walaupun baju besi mula dipakai di Barat, ia juga telah digunakan oleh tentera Islam seperti di Iran, India, Turki dan Asia Tenggara.

Terdapat tiga jenis baju zirah yang digunakan oleh tentera dalam dunia Islam iaitu baju besi berantai, baju besi bersisik dan baju besi yang menggabungkan rantai dan plat.

Baju besi berantai diperbuat daripada jalinan besi bentuk cincin. Jalinan ini kemudiannya disusun dalam bentuk baju yang digunakan oleh tentera sewaktu peperangan. Terdapat baju yang mempunyai satu lapis rantai besi dan ada yang mempunyai dua lapis dan lebih.

Baju yang mempunyai lapisan rantai besi yang lebih daripada satu mempunyai tahap keselamatan yang lebih baik berbanding yang hanya mempunyai selapis rantai.

Jalinan rantai ini juga boleh menghasilkan seluar dan sarung tangan untuk tujuan perlindungan bagi para tentera.

Bentuk rantai besi yang dihasilkan oleh tukang besi boleh mempengaruhi rekaan baju besi yang dihasilkan.

Sebagai contoh terdapat dua jenis rekaan rantai besi yang digunakan oleh tukang besi dalam menghasilkan baju besi seperti rantai yang dihasilkan daripada cecincin kecil yang bulat dan yang kedua ialah cecincin besar leper yang akan menghasilkan bentuk seperti sisik.

Baju besi bukan mampu dimiliki oleh semua tentera yang menyertai peperangan. Baju besi yang halus buatannya digunakan oleh pemimpin tentera yang selalunya terdiri daripada raja dan panglima sesebuah kerajaan. Ini kerana proses pembuatannya yang rumit dan harganya yang mahal.

Baju besi bersisik pula diperbuat daripada kepingan kecil besi atau besar yang disusun secara berlapis dan melintang di atas sekeping kulit haiwan untuk dijadikan baju.

Susunan kepingan besi yang dibuat perlu diberi perhatian supaya ia tidak mengganggu pergerakan seseorang tentera.

Jenis yang ketiga ialah baju besi yang menggabungkan rantai dan plat besi. Keseluruhan baju akan diperbuat daripada rantai besi manakala sesetengah bahagian badan akan dilindungi dengan plat besi seperti di bahagian dada.

Terdapat juga baju besi yang menggunakan plat besi di keseluruhan badan dan rantai di bahagian tangan.

Baju zirah juga mendapat sentuhan hiasan terutamanya bagi golongan bangsawan. Teknik dan hiasan baju zirah juga dapat membezakan status tentera di medan peperangan.

Sebagai contoh, baju zirah yang menggunakan kepingan kulit di bahagian dada dihiasi dengan kepingan besi yang dipotong dalam pelbagai bentuk.

Jalinan rantai yang menggunakan kombinasi warna dan susunan yang menarik dapat menghasilkan kesan seperti tenunan di atas baju besi.

Baju zirah boleh dilihat oleh para pengunjung di Galeri Senjata dan Perisai, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) yang dibuka setiap hari kepada para pengunjung.

Malaysia perlu institut farmaseutikal halal

Posted: 06 May 2012 09:33 PM PDT

Institut farmaseutikal halal negara perlu ditubuhkan bagi menjadi rujukan penyelidik untuk menghasilkan ubatan yang halal.- Gambar hiasan

PENGAMBILAN bahan makanan daripada sumber dan proses yang halal sangat dititikberatkan oleh umat. Sebab itu kewujudan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) mendapat sambutan baik kerana ia dianggap penyelesaian kepada kemelut pemakanan halal yang tidak pernah selesai itu.

Ramai yang beranggapan itu memadai dalam memastikan sumber makanan yang masuk ke dalam tubuh mereka adalah benar-benar halal dan tayyiba.

Namun, sedarkah kita bahawa setiap manusia termasuk umat Islam sentiasa mengalirkan darah di dalam tubuh yang mengandungi sumber yang tidak halal.

Kedengaran agak mengelirukan. Namun itulah situasi sebenar yang berlaku dalam sektor farmaseutikal di negara ini.

Mustahil jika dikatakan ada dalam kalangan kita yang tidak pernah mendapat penyakit dan mengambil ubat. Hampir semua penyakit tersebut memerlukan rawatan dengan bantuan ubat-ubatan.

Namun, sejauhmana keyakinan kita terhadap kesucian ubat-ubatan tersebut daripada bahan yang tidak halal.

Malah, terdapat banyak ubat-ubatan yang jelas mengandungi elemen campuran tidak halal.

Inilah yang dibimbangi Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Syed Azhar Syed Sulaiman.

Tetapai terdapat juga ubat-ubatan yang terdapat di pasaran di negara ini tidak halal yang mana ia bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit, dan telah menjadikan setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah, dan jangan berubat dengan ubatan yang haram," (riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun kata Syed Azhar, dalam situasi ini, Islam membenarkan umatnya menggunakan bahan yang tidak halal dalam ubatan dengan dinisbahkan sebagai situasi darurat.

Pun begitu, sudah tiba masanya negara melakukan transformasi terhadap industri farmaseutikal yang sedia ada kepada farmaseutikal halal.

"Sampai bila negara harus bergantung dengan nisbah darurat ini? Adakah selama-lamanya tanpa mengambil apa-apa tindakan? Sedangkan kita mempunyai ramai tenaga pakar dan juga peralatan teknologi yang serba canggih.

"Oleh itu, para penyelidik dan pakar-pakar dalam bidang perubatan perlu bekerjasama dalam mengubah industri farmaseutikal negara kepada sumber halal dengan menubuhkan sebuah badan atau institut farmaseutikal halal di peringkat negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja yang bertajuk Ubatan Halal Dalam Industri Farmaseutikal Hari Ini: Langkah Kepada Penghasilan dan Pemerkasaan dalam seminar Kemelut Pemakanan Halal anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk membincangkan penggunaan elemen yang diragui terutamanya unsur babi dan alternatifnya daripada perspektif pemakanan dan juga meninjau isu kepenggunaan dan penguatkuasaan berkaitan industri halal.

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan oleh pakar dan ahli akademik yang berpengalaman dalam penyelidikan halal.

Syed Azhar berkata, institut farmaseutikal halal itu penting bagi mengumpulkan dan menerbitkan hasil kajian atau penyelesaian terhadap sesuatu penyelidikan yang dilakukan.

"Fenomena di negara ini, kita mempunyai ramai pakar dan penyelidik daripada industri dan juga akademik. Tetapi ramai yang hanya pakar menjalankan kajian masing-masing semata-mata untuk bersaing.

"Kita juga lebih suka memerhati dan meneliti sekadar atas kertas tanpa mengambil apa-apa tindakan.

"Dengan adanya institut farmaseutikal halal ini, diharap ia boleh menggabungkan segala kepakaran dalam semua bidang bagi menghasilkan ubatan yang halal," ujarya.

Sementara itu, Pengurus Besar, Pejabat Transformasi dan Kecemerlangan Halal, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM), Roziatul Akmam Osman berkata, terdapat lima perkara perlu dipatuhi bagi mengharuskan penggunaan ubat-ubatan tidak halal dalam perspektif Islam.

"Lima perkara itu adalah, ubat tersebut mestilah tiada bahan suci lain yang boleh diguna sebagai ganti. Rawatan perlulah bersifat kritikal dan sangat diperlukan bagi kesejahteraan pesakit.

"Hanya doktor Muslim yang fasih mengenai ilmu dan hukum ini sahaja boleh memberikan rawatan menggunakan ubat-ubatan ini. Pesakit dan waris terdekat haruslah diberikan penerangan sejelasnya oleh doktor mengenai perkara ini.

"Ubat tersebut hanya boleh digunakan untuk jangkamasa tertentu sahaja mengikut rawatan yang disyorkan oleh doktor," katanya.

Pengguna Islam kurang prihatin

Posted: 06 May 2012 09:32 PM PDT

MOHD. Amri Abdullah (kiri) memeriksa bilik sejuk beku semasa serbuan premis pengendali makanan yang mencampurkan makanan tidak halal dan halal. - Gambar hiasan

MALAYSIA negara Islam, kita ada akta halal dan undang-undang sendiri yang telah diperuntukkan oleh pihak berkuasa, kenapa perlu risau dan kenapa tidak pernah habis membincangkan isu halal dan haram ini."

Begitulah ungkapan yang sering didengari daripada segelintir masyarakat di negara ini apabila mempersoalkan mengenai tahap kesedaran dan hak pengguna dalam pengambilan produk halal.

Ramai yang beranggapan, kewujudan akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada awal Januari lalu menjadi jaminan kepada pengguna yang beragama Islam untuk mendapatkan makanan atau produk yang diyakini suci dan halal.

Atas alasan Malaysia merupakan negara Islam juga, ramai yang kurang mengambil perhatian terhadap status sesuatu makanan atau produk yang diambil.

Sikap kurang prihatin menjadi punca yang mengakibatkan industri halal di negara ini sukar untuk berkembang dan mencapai kepada tahap yang memuaskan.

Akibatnya, makanan dan produk daripada sumber tidak halal terus terjual meluas di pasaran kerana mendapat sambutan daripada orang ramai yang bergelar pengguna termasuk orang Islam.

Kita kerap melenting apabila mendapat tahu sesuatu produk yang telah sekian lama kita gunakan diwartakan mempunyai kandungan tidak halal oleh pihak berkuasa.

Sedar atau tidak, pengguna sebenarnya mempunyai kuasa yang mampu mengubah dan menganjakkan industri halal di negara ini ke arah yang lebih maju dengan mendahului negara-negara Islam yang lain.

Inilah yang ditekankan oleh Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Terbelakah Hak Pengguna Dalam Isu Pemakanan Halal dan Berkhasiat' dalam seminar Kemelut Pemakanan Halal, baru-baru ini.

Mohd. Yusof berkata, perkara tersebut diyakini mampu dicapai kerana pengguna Islam merupakan penyumbang terbesar terhadap permintaan produk di negara ini.

"Masyarakat Islam merupakan pengguna terbesar berbanding penganut agama lain. Statistik pada tahun 2010 menunjukkan seramai 61.3 peratus atau 17.3 juta rakyat di negara ini beragama Islam.

"Oleh itu, pengguna Islam mempunyai peranan yang penting dalam menentukan permintaan produk makanan halal di negara ini.

"Jika semua pengguna Islam sedar mengenai kepentingan ini, maka pengusaha produk akan berusaha memastikan produk atau makanan mereka adalah halal.

"Justeru, pengguna umpama kuasa besar yang boleh memandu industri halal di negara ini dengan mewujudkan permintaan besar produk keluaran halal di pasaran," katanya.

Sebagai pengguna Islam, kita tidak boleh hanya bergantung kepada akta dan pihak berkuasa dalam memastikan produk yang dipasarkan berstatus halal. Mereka sendiri harus memahami dan peka terhadap konsep halal dan haram.

Sebagai contoh, pengguna perlu mengetahui sedikit sebanyak mengenai kandungan bahan dalam makanan atau produk yang ingin diambil.

Pengguna perlu tahu mengenalpasti sesuatu produk dihasilkan tersebut sama ada mematuhi tuntutan agama atau tidak.

Di samping itu, pengguna juga perlu mengetahui bahawa mereka mempunyai hak dalam menentukan dan membuat pemilihan sumber makanan atau produk yang ingin digunakan itu halal.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Yusof, terdapat lapan garis panduan yang telah disepakati oleh pergerakan pengguna seluruh dunia terhadap hak seorang pengguna.

"Hak tersebut adalah, hak untuk mendapatkan keperluan asas, hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk mendapatkan keselamatan, hak membuat pilihan, hak mendapatkan pendidikan berguna, hak mendapatkan ganti rugi, hak untuk bersuara, serta hak mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat. Pembungkusan makanan perlulah mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar.

"Ternyata hak pengguna tersebut telah disepakati oleh pergerakan pengguna seluruh dunia. Jika pengguna tahu memanfaatkan hak mereka, pasti sesuatu perkara yang disepakati akan tercapai.

"Jika pengguna tegas menitikberatkan bab halal dan haram ini, pastinya ia secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada peniaga atau pengusaha produk mengenai kepentingan mengenai halal," jelasnya.

Walaupun Islam telah lama bertapak dan diamalkan oleh majoriti masyarakat di negara ini, namun industri halal negara masih berada ditahap yang kurang memuaskan.

Ia berikutan terdapat beberapa faktor yang membantutkan perkembangan industri halal.

Mohd. Yusof berkata, antara faktor tersebut adalah, pengeluaran produk dan makanan dikuasai oleh orang bukan Islam dan kekurangan rantaian bekalan bahan makanan halal.

"Statistik pada tahun 2010 menunjukkan 74.7 peratus pemegang sijil halal Malaysia adalah bukan Bumiputera bagi kategori produk, premis makanan dan rumah sembelihan.

"Kita juga mengalami masalah kekurangan rantaian bekalan bahan makanan halal. Ini menjadi masalah kepada pengusaha untuk mendapatkan persijilan halal disebabkan kekurangan bahan makanan halal seperti bahan mentah, ramuan, bahan tambahan dan sebagainya," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories