RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Beribadat sebagai isteri

Posted: 21 Jul 2012 10:29 PM PDT

KERJASAMA...Megat (kiri) dan Syaiful tulang belakang Baharim & Co membantu sesi fotografi.
KERJASAMA...Megat (kiri) dan Syaiful tulang belakang Baharim & Co membantu sesi fotografi.

APABILA melangkah ke fasa dewasa, hari raya tidak lagi sama kemeriahannya seperti zaman kanak-kanak. Itu perubahan normal yang dilalui kebanyakan insan dan perkara itu diakui dua sahabat popular, Scha Al-Yahya dan Lisa Surihani.

Bagaimanapun, apabila bergelar isteri kepada Awal Ashaari dan Yusry Abdul Halim, persepsi mereka berubah kerana kemeriahan itu seakan-akan kembali mencuit tangkai hati. Mana yang hambar kembali berseri, mana yang dirasakan biasa-biasa saja kembali terasa istimewa.

Pendek kata, perasaan teruja menyambut kehadiran Ramadan, penghulu segala bulan, semalam bersama pasangan masing-masing tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Itulah yang dikongsi dua jelitawan ini ketika menjayakan sesi fotografi eksklusif bersama SELEBRITI yang menjadi pembuka tirai edisi Ramadan.


Anggun dalam persalinan sentuhan pereka fesyen terkenal, Syaiful Baharim, baik Scha mahupun Lisa rancak berkongsi perancangan sepanjang Ramadan dan persiapan sambutan lebaran yang menjadi tanda kemenangan umat Islam mengharungi cabaran mengerjakan ibadah puasa.


Semalam, buat kali pertama mereka berpuasa sebagai isteri dan semestinya momen itu sungguh indah. Bersahur, berbuka puasa dan mengerjakan solat tarawih bersama kekasih hati mengundang rasa luar biasa di hati.

Apatah lagi sebagai suri, mereka gembira dapat menyediakan juadah untuk suami dengan tangan sendiri.

Bagi Scha, amalan bersahur dititikberatkan setiap kali tibanya Ramadan. Segala rasa mengantuk hilang apabila tangan rancak memasak dan menghidangkan sajian di atas meja. Tambah seronok apabila Awal berselera menjamu juadah air tangannya.

"Lain rasanya apabila bergelar isteri orang. Kalau dulu saya makan saja apa yang ada ketika bersahur, tetapi kini saya lebih bersungguh-sungguh dalam menyediakan makanan.

"Demi suami, saya sanggup bangun awal, memasak apa saja yang dia teringin makan. Senang cerita, kalau boleh, saya mahu sajikan yang terbaik untuknya.

"Kami juga sepakat untuk berbuka puasa bersama-sama. Saya mahu menikmati detik ini dan kerana itu mengurangkan aktiviti seni sepanjang Ramadan.

"Awal yang sibuk kerana jadual kerja padat, jadi saya akan ke tempat kerjanya untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama-sama.

"Menu kegemaran kami apabila berbuka adalah ayam percik dan untuk pencuci mulut, saya suka kuih popia manakala Awal pula seri muka," katanya.

Bintang Awan Dania ini juga menjual baju raya di kios shapoholic di pusat beli-belah The Curve. Kata Scha, ada banyak pilihan cantik dan harganya berpatutan antara RM150 hingga RM300.

Sementara itu, Lisa berkata, suaminya tidak cerewet dalam soal penyediaan makanan. Masaklah apa saja, asalkan bukan makanan Itali dan Korea.

Sepanjang mengenali hati budi Yusry, dia tahu pengarang jantungnya tidak gemar berbuka puasa di luar, sebaliknya lebih selesa di rumah kerana tidak perlu terkejar-kejar, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan menunggu lama hidangan dipesan.

"Biasalah, setiap kali puasa, ramai berpusu-pusu mahu pulang awal untuk berbuka puasa bersama keluarga dan ia menyebabkan kesesakan lalu lintas. Jika berbuka puasa di luar pula, boleh dikatakan semua tempat penuh kerana ramai orang.

"Yusry bukan jenis suka terkejar-kejar dan menunggu lama untuk berbuka puasa.
Jadi, berbuka di rumah lebih sesuai. Lagipun, kalau berbuka di rumah nak solat pun senang.

"Bagaimanapun, saya ingatkan dia, jika ada undangan berbuka puasa, kena pergi.
Orang dah jemput, tak baik pula kita tolak.

"Saya sangat teruja merancang menu untuk bersahur dan berbuka. Apa yang suami mahu dan teringin makan, sebagai isteri saya mesti sediakan. Buat masa ini kami masih menetap di rumah keluarga kerana rumah baru kami di Kajang belum siap.

"Seronok dapat bersahur dan berbuka puasa ramai-ramai. Kami berulang-alik ke rumah keluarga masing-masing, bergantung mana yang lebih dekat dengan tempat kerja," katanya yang terikat dengan penggambaran drama Mana Hilangnya Juwita untuk Astro Ria hingga pertengahan Ramadan.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, Scha terharu apabila Awal meletakkan sepenuh kepercayaan terhadapnya untuk melakukan persiapan, termasuk kuih raya, baju raya dan menghias kediaman mereka.

Keseronokan itu lebih terasa apabila buat kali pertama, mereka akan mengadakan rumah terbuka. Justeru, dari awal dia merangka bagaimana mahu menghias kediaman itu supaya nampak cantik apabila tiba lebaran.

"Saya tak pernah buat rumah terbuka, jadi tentu saya gembira bila Awal bersetuju dengan cadangan ini. Awal percaya dengan selera saya dan dia menyerahkan tanggungjawab menghias rumah, memilih langsir, kuih raya dan baju raya kepada saya. Mungkin hijau menjadi warna tema pilihan saya untuk raya ini.

"Soal beraya di mana dulu, kami tiada masalah kerana rumah keluarga saya dan Awal dekat saja. Saya akan beraya di rumah mentua sebab keluarga Awal ramai tetapi sebelum itu, saya akan jumpa keluarga saya terlebih dulu untuk bersalam-salaman.

"Pada hari raya ketiga, kami akan pulang beraya di Kedah. Awal tak sabar-sabar menanti detik itu sebab dia tak ada kampung.

"Kalau bercakap bab raya, menu wajib keluarga saya adalah roti kerca yang dicicah dengan kuah daging hancur. Awal suka makan, jadi saya akan masak untuk dia.

"Selain itu, antara hidangan yang selalu ada adalah laksa, ketupat jagung, rendang dan kuih muih. Sebelah keluarga Awal pula, saya suka makan nasi ayam dan rendang dibuat ibu mentua," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Lisa pula menyerahkan urusan memutuskan beraya di mana dulu kepada Yusry sepenuhnya. Tiada ragu kerana dia yakin suaminya mampu bersikap adil dalam soal pembahagian, apatah lagi dari dulu lagi buah hatinya sedia maklum keakraban hubungannya dengan keluarga.

"Tahun lalu, Yusry pernah datang beraya di rumah keluarga saya dan saya juga mengikut Yusry beraya di kampung halamannya di Gopeng, Perak. Menerusi kunjungan istimewa itu, kami belajar menyesuaikan diri dengan keluarga masing-masing.

"Alhamdulillah, kali ini lebaran lebih bermakna buat kami kerana menyambutnya sebagai suami isteri. Cara persiapan juga berbeza dengan zaman bujang kerana saya sudah berkeluarga.

"Selain menyediakan apa yang perlu untuk keluarga sendiri, saya kena fikirkan mentua dan ipar duai. Saya suka buat persediaan awal dan sudah belikan Yusry baju raya sebelum puasa.

"Sejak ketiadaan ayah, sambutan puasa dan raya terasa hambar. Kehadiran keluarga baru bagaimanapun sedikit sebanyak dapat mengubat kehilangan itu.
Terasa kembali kemeriahan yang sudah lama hilang dan saya bersyukur ke hadrat Ilahi," katanya yang ditemani ibu tercinta.

Cinta Berlandaskan Islam Jue Aziz & Azam Pitt

Posted: 21 Jul 2012 10:27 PM PDT

Drama khas Ramadan - Ilaika Yusuf.

PETALING JAYA: Kemunculan pelakon jelita Jue Aziz dan Azam Pitt menerusi drama Ilaika Yusuf akan membuatkan ramai yang terpesona dan kagum dengan perhubungan cinta yang dilakonkan.

Drama yang yang telah pun menemui penonton sejak 13 Julai lalu itu, mengangkat kisah cinta Umaira (Jue) dan Yusuf (Azam) yang begitu mencintai antara satu sama lain, namun hubungan cinta itu dilakukan berlandaskan agama Islam.

Kisahnya bermula apabila Umaira, Intan, Aisyah, Steven dan Bob menaiki sebuah van, mereka menikmati keindahan panorama kampung dan persekitarannya.

Ketika van menghampiri kampung terdekat, kedengaran suara merdu yusuf sedang mengalunkan azan.

Ketika solat maghrib berjemaah di masjid, Yusuf dan Umaira bertentangan mata. Intan dan Aisyah bercerita tentang kekacakan Yusuf sebaliknya Umaira menunjukkan rasa tak minat.

Yusuf meluahkan rasa berat hatinya kerana dilantik sebagai pengerusi belia masjid kepada Yaakob yang memberinya semangat.

Salina menghantar makanan kepada Yusuf dan Yaakob. Umaira bertembung dengan Salina dan kecewa kerana menyangkakan Salina kekasih Yusuf.

Tanpa sedar wujud rasa cinta di hati Yusuf dan Umaira begitu juga sebaliknya. Namun ianya tidak semudah yang disangka apabila hubungan mereka tersekat.

Pada masa yang sama Yusuf keliru terhadap perasaan Umaira kepadanya kerana dia pernah salah faham mengatakan Umaira enggan menerimanya sebagai sahabat satu ketika dulu kerana keadaan keluarganya yang miskin.

Sebaliknya Umaira berkelakuan begitu kerana menyangkakan Yusuf dan Salina sedang berhubungan.

Kepulangan Umaira ke Kuala Lumpur telah mengubah segalanya. Apatahlagi sebelum pulang, dia sempat mengetahui keadaan sebenar bahawa Yusuf hanya menganggap Salina sebagai teman.

Bagaimana pun hubungan mereka mendapat tentangan hebat keluarga masing-masing.

Drama 26 episod arahan Haris Fadzillah ini turut dibintangi oleh Aida Khalida, Hamidah Wahab, Roslan Salleh dan Ramasundram.

Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat menerusi saluran TVi.

Rumah agam RM250j

Posted: 21 Jul 2012 10:23 PM PDT

TERGENDALA... 'istana' Siegel yang terjejas akibat masalah ekonomi AS.
TERGENDALA... 'istana' Siegel yang terjejas akibat masalah ekonomi AS.

KETIKA ekonomi terus sukar dan pasaran hartanah merudum, rumah terbesar di Amerika Syarikat juga tidak terkecuali daripada menderitai kesannya.

Sebuah rumah agam 30 bilik tidur di Windermere, dekat Orlando, Florida, yang dibina dengan reka bentuk mencontohi Istana Versailles di Perancis, mengalami penyusutan nilai sebanyak AS$10 juta (RM30 juta) dan kini berharga RM205 juta.


Anda mungkin terfikir, dengan harga sebegitu, rumah berkenaan boleh diduduki dengan hanya memberi notis singkat kepada pemiliknya.

  • Foto

    LUAS... ruang legar yang belum siap. Gambar di sebelah ialah gambaran artis apabila ia siap.

  • Foto

    ROMANTIS... pasangan Siegel dan Jackie.

  • Foto

    SERBA MEWAH... gambaran artis apabila istana Siegel siap.

  • Foto

    RAMAI ANAK... Jackie sibuk melayan anak-anaknya di rumah yang menjadi kediaman sementara mereka sebelum rumah sebenar dapat disiapkan.

  • Foto

    KAYA... rumah yang menjadi kediaman Siegel ketika ini.

Namun, kediaman mewah itu baru dua pertiga siap dan dianggarkan RM90 juta lagi diperlukan untuk menyempurnakannya.


Apabila siap, rumah agam itu ditawarkan kepada sesiapa yang sanggup membayar AS$90 juta (RM283.9 juta) - itu pun selepas diberi potongan harga sebanyak AS$10 juta (RM30 juta).


Ketika pembinaannya dimulakan, pemilik rumah itu tidak menyangka akan menjadi mangsa kelembapan ekonomi AS. Justeru, mengikut perancangan asal, rumah berkenaan dibina dengan pelbagai kemudahan, termasuk gelanggang boling, litar kasut roda dan kolam renang bersaiz Olimpik.

Rumah itu dimiliki David Siegel, 77, dan isterinya yang juga bekas ratu cantik, Jackie, 56.


Sebelum ini, mereka terikat dengan pembikinan filem dokumentari berjudul Queen Of Versailles yang sepatutnya menceritakan pembinaan rumah terbesar di AS itu.

Keruntuhan ekonomi AS memaksa rancangan asal diubah menjadi dokumentari mengenai masalah kewangan dihadapi pasangan terbabit sehingga menyebabkan pembinaannya terhenti empat tahun.


Pembinaan 'istana' itu - dianggap ramai sebagai 'cita rasa buruk' pemiliknya terhenti pada 2010 apabila Siegel mula terasa kesan kemelesetan.


Membesarkan lapan anak, pasangan Siegel kemudian bercadang menjual rumahnya supaya memperoleh modal bagi dilaburkan semula dalam bisnesnya.


Awal tahun ini, Siegel berkata, bisnesnya kini pulih dan kerja menyiapkan rumah agam itu disambung semula.


Siegel menjangkakan, rumah agam itu dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun dan jika tidak dibeli sesiapa, mereka akan berpindah ke situ.


Ketika ini, Siegel sekeluarga menetap dalam sebuah rumah agam berhampiran.


Kata Siegel, sama ada rumah itu terjual atau tidak adalah isu lain.


Ejen hartanah sebelum ini berkata, ada pembeli dari Russia dan Asia Timur berminat kepada rumah itu, yang dibina 32 kilometer dari Orlando.


Selain 30 bilik tidur, rumah Siegel dibina dengan 23 bilik mandi yang menghadap pemandangan indah Tasik Butler, selain ruang tamu yang dihias pelbagai perabot mahal, serta panggung kanak-kanak.


Turut dibina tiga kolam renang, sebuah rumah bot yang besar, taman, rumah pengawal dan garaj bawah tanah yang muat untuk 20 kereta.


Semua 23 bilik mandi itu dilengkapi tab mandi, tingkap kaca tiga lapis dan pintu kayu mahogani Brazil dengan gaya Perancis bagi memastikan lebih banyak cahaya masuk ke rumah berkenaan.


Tingkap rumah itu juga ditempah khas dan disiapkan secara manual dengan kos lebih RM10 juta.


Untuk aktiviti riadah, Siegel membina satu gelanggang besbol, dua gelanggang tenis, dewan tertutup yang mempunyai kubah setinggi 10 meter, dua tangga utama, 10 dapur sampingan, dua tingkat stor arak dan tiga spa berasingan di sebalik kolam buatan yang dihiasi air terjun hampir 30 meter.


Untuk keselesaan bertugas, ada dua ruang pejabat dibina, masing-masing untuk Siegel dan Jackie yang dihiasi akuarium sepanjang empat meter.


Kata Siegel, dia tidak mengehadkan sebarang kos bagi membina rumah berkenaan.


"Bahan menyiapkan rumah ini diterbangkan khas dari seluruh dunia," katanya.


Jackie yang memenangi anugerah Ratu Cantik Florida pada 1990-an, memang gemar bersosial dengan golongan hartawan di negeri itu.


Untuk membolehkan Jackie bergaul dengan orang ramai, dia menggaji sekumpulan pembantu bagi menjaga semua anaknya yang berusia antara enam hingga 17 tahun.

Klinik global Noorul Ameen

Posted: 21 Jul 2012 10:22 PM PDT

TULANG BELAKANG...Noorul Ameen bersama sebahagian kakitangan Qualitas Medical Group yang dianggap seperti keluarga sendiri.
TULANG BELAKANG...Noorul Ameen bersama sebahagian kakitangan Qualitas Medical Group yang dianggap seperti keluarga sendiri.

TIDAK pernah terdetik dalam fikirannya untuk memiliki lebih 250 cawangan klinik bukan saja di Malaysia malah di empat negara lain iaitu Singapura, New Zealand, India dan Australia.

Ada yang ragu-ragu, tidak kurang juga yang berbangga dengan pencapaian lelaki kelahiran Taiping, Perak ini.

  • Foto

    KERJASAMA...sering mengambil berat pekerjanya.

  • Foto

    LUAS...suasana sebuah klinik di luar negara milik Noorul Ameen.

  • Foto

    BANGGA...ketika menerima anugerah Top Nominee of the Ernst & Young Entrepreneur 2011.

Meskipun ketika kecil dulu minatnya lebih terarah ke bidang muzik, siapa sangka pemilik nama Datuk Dr Noorul Ameen Mohd Ishack kini bergelar Pengarah Urusan Qualitas Health yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor.

Bapa kepada seorang cahaya mata lelaki ini dikenali dengan sifat merendah diri bukan saja di kalangan rakan dan keluarga, malah pekerjanya.


Sambil tersenyum ketika menceritakan pengalaman hidupnya bersama penulis, figura yang lebih mesra disapa Noorul Ameen ini sememangnya bercita-cita tinggi sejak kecil.


"Sebenarnya minat saya lebih kepada bidang muzik, namun rezeki nampaknya lebih terarah dalam bidang perubatan. Keluarga tidak membantah apa saja cita-cita, malah sentiasa menyokong.

"Saya memulakan langkah dalam bidang perubatan selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Mysore, India, seterusnya berkhidmat bersama Kementerian Kesihatan di beberapa hospital di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang," katanya.

Pada 1981, beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia sebagai Pegawai Perubatan berpangkat kapten hingga 1984 serta pernah bertugas di Pahang dan Sarawak.

Dalam masa sama, beliau menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang Perubatan Sukan selain menyertai pasukan bola sepak negara sebagai doktor perubatan bermula 1983 hingga 1984.

Menurutnya, selama berkhidmat di hospital, dia mendapati tiada perkhidmatan di bawah satu bumbung. Misalnya, jika mahu mendapatkan rawatan ortopedik atau neurologi, perlu ke hospital lain.

Keadaan itu menyebabkan beliau berfikir menubuhkan pusat kesihatan, yang mana pesakit boleh mendapatkan rawatan pelbagai di bawah satu bumbung.

"Pada saya, apabila pesakit datang mendapatkan rawatan, mereka tidak perlu ke hospital lain bagi mendapatkan pemeriksaan disebabkan di hospital berkenaan tiada pakar atau kelengkapan diperlukan.

"Atas sebab itu, saya terfikir mahu membuka pusat kesihatan harian lengkap dengan peralatan dan rawatan misalnya kaunseling, dermatologi, pembedahan minor, pemeriksaan kesihatan dan lain-lain perkhidmatan di bawah satu bumbung," katanya yang pernah bergelar Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Selangor.

Disebabkan itu, pada 1997 beliau menubuhkan Qualitas Medical Group yang fokusnya lebih kepada penjagaan kesihatan.

Tanpa disangka, kliniknya mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi antara klinik khidmat am terbesar di Malaysia.

"Saya terkejut dengan tindak balas diterima, namun dalam masa sama bersyukur dengan pencapaian itu. Pada 2002, tanpa diduga, saya mendapat peluang membuka cawangan Qualitas di India sebelum mengembangkannya ke Australia, New Zealand, Singapura dan dalam masa terdekat, di Sri Lanka.

"Di Qualitas, kami ada pakar dalam bidang perubatan masing-masing. Selain perkhidmatan memuaskan, bayaran dikenakan juga berpatutan," katanya.

Ditanya tidakkah menyesal meninggalkan jawatan dan kedudukan sebelum menubuhkan Qualitas, sambil tersenyum beliau berkata, tidak pernah ada istilah menyesal dalam kamus hidupnya.

"Dulu, sewaktu mengutarakan hasrat membuka klinik sendiri kepada rakan, mereka membantah dengan alasan saya ada kerjaya dan kedudukan stabil.

"Berlainan pula dengan ibu bapa yang tidak kisah dan menyokong setiap keputusan. Dengan modal sendiri kira-kira RM100,000, saya memberanikan diri membuka Qualitas Medical Group dengan sokongan isteri serta anak," kata datuk kepada seorang cucu ini.

Kini Qualitas Medical Group dilihat setanding dengan klinik sedia ada. Umum mengetahui bukan mudah mahu melebarkan empayar ke luar negara, namun Noorul Ameen membuktikan tiada apa yang mustahil dikecapi andai memiliki sifat rajin dan tidak cepat putus asa.

"Adalah normal bila ada yang memandang rendah ketika kali pertama menyuarakan hasrat membuka cawangan klinik di luar negara. Namun saya tidak pernah ambil peduli kerana yakin mampu lakukannya.

"Memang bukan mudah, prosedur mereka ketat dan perlu mematuhi syarat ditetapkan. Sebab itu saya melawat cawangan Qualitas di luar negara sekali setiap dua bulan bagi memastikan peralatan dalam keadaan baik dan pekerja memberi perkhidmatan cemerlang," katanya yang memenangi anugerah Commerce-Ventures CEO of Year 2006 dan anugerah Top Nominee of the Ernst & Young Entrepreneur 2011.

Qualitas Health menyediakan perkhidmatan 'all in one' di bawah satu bumbung.
Pesakit boleh mendapatkan khidmat nasihat atau rawatan di sini dengan peralatan canggih dan terkini.

Muzik unik Nanta Cookin’

Posted: 21 Jul 2012 10:21 PM PDT

KENANGAN...delegasi media dari Malaysia, Indonesia dan Vietnam yang menyertai 2012 LG Home Appliances Green Health Plus Press Tour.
KENANGAN...delegasi media dari Malaysia, Indonesia dan Vietnam yang menyertai 2012 LG Home Appliances Green Health Plus Press Tour.

PERILAKU melagakan perkakas dapur seperti pisau, kuali, periuk mahupun penyapu sememangnya mampu membuatkan individu mengalami tekanan gara-gara bunyi menyakitkan telinga, selain tidak sopan mengikut norma kehidupan masyarakat Timur.

Bagaimanapun, masyarakat Korea Selatan menganggap perbuatan itu sebagai satu muzik, keseronokan, kreativiti dan drama dalam kehidupan mereka.

  • Foto

    HADIAH...cenderamata dari negara K-Pop.

  • Foto

    SESAK...masyarakat Korea yang membanjiri lokasi tumpuan pelancong Myeong Dong.

  • Foto

    FESYEN...tarikan mampu membuatkan golongan wanita rambang mata.

  • Foto

    LAMBAKAN...lambakan butik kosmetik memenuhi Myeong Dong.

Ia terbukti dengan penerimaan menggalakkan daripada orang ramai terhadap siri persembahan muzikal pentas, Nanta Cookin' yang kali pertama diadakan di Hoam Art Hall, Seoul pada Oktober 1997.

Kunjungan ke Korea Selatan buat kali kedua menggalas tanggungjawab kerja menyertai kempen 2012 LG Home Appliance Green Health Plus Press Tour anjuran LG Electronics (LG), baru-baru ini, mempertemukan penulis dengan seni muzik baru hasil inspirasi masyarakat negara kimchi.


Berlatar belakangkan tiga lelaki bersama seorang wanita beruniform putih bersih, apron tersemat kemas di badan dan kepala pula dihiasi topi chef yang sibuk memotong kobis menggunakan pisau panjang di atas papan pemotong masing-masing, tiba-tiba seorang daripada tiga pembantu chef tidak sengaja 'menerbangkan' cebisan sayuran ke arah teman di sebelah.


Tidak berpuas hati dengan kecuaian dan kelalaian si teman, pembantu chef pertama cuba mengetuk kepala lelaki berkenaan menggunakan pisau dipegang namun apabila me­nyedari reaksi itu, secara spontan bakal mangsa mengangkat pisau cuba menghalang perbuatan itu, lantas terhasilnya 'muzik'.

Apabila mengetahui pembantunya mula leka bermain di dapur, ketua chef mengetuk pisau di tangan ke atas papan pemotong dan tindakan sama dilakukan pembantu perempuan dengan niat menghentikan pergaduhan mereka.

Permulaannya, telinga penulis menangkap bunyi yang sangat membingitkan tetapi apabila setiap ketukan menggunakan perkakas dapur disusun mengikut tempo dan giliran tertentu, terhasillah irama muzik menarik serta unik, sekali gus tepukan penonton mengiringi alunannya.

Kira-kira lima minit 'muzik' dimainkan, kemudian muncul lelaki bermisai memakai kot sambil tangan di pinggang, riak wajahnya menzahirkan perasaan marah menyaksikan kelakuan pekerja di dapur restorannya.

Dengan pantas, pengurus itu mengejar keempat-empat stafnya menggunakan penyapu tersandar di dinding hingga menyelerakkan bahan mentah di lantai, lantas mengundang tawa hampir 386 penonton.

Selepas menerima hukuman, dua pekerja yang membuat onar pada permulaannya ditugaskan membersihkan ruang dapur supaya kerja memasak dapat diteruskan.

Sekali lagi, perbalahan antara mereka timbul dan perkakas dapur dijadikan senjata pertahanan diri, serentak muzik indah itu bergema memenuhi dewan khas Myeong Dong Theater, Seoul.

Penyertaan penulis bersama delegasi media dari Malaysia, Indonesia dan Vietnam bukan satu-satunya kelompok warga asing yang menyaksikan persembahan berkenaan, sebaliknya ramai pelancong, terutama dari Eropah, memenu­hi tempat duduk.

Sedikit kecewa apabila hasrat penulis untuk merakam gambar sebagai tanda kenangan tidak dapat dipenuhi apabila larangan dinyatakan sebelum memasuki dewan.

Persembahan 'bisu' dan hanya sesekali pelakon berbahasa Korea atau Inggeris, Nanta Cookin' sebenarnya memiliki nama besar di kalangan masyarakat Korea, apatah lagi ia turut dikatakan satu persembahan paling lama diadakan dalam sejarah negara berkenaan.

Menariknya, persembahannya bukan saja memperkenalkan elemen muzik baru, bahkan turut diserikan dengan tarian akrobatik, silap mata, komedi, pantomim dan juga penyerta­an antara pelakon bersama pengunjung.

Pernah dipentaskan di 18 negara seluruh dunia, termasuk New York, muzikal Nanta Cookin' sebenarnya menceritakan tiga tukang masak cuba memenuhi tempahan majlis perkahwinan dalam jangka masa terhad.

Akibat kekangan itu, pengurus restoran memasukkan anak saudaranya yang tidak berkemahiran menyertai dapur, sekali gus menimbulkan masalah di kalangan kakitangan.

Pengalaman pertama penulis menyaksikan kehebatan pelakon melahirkan muzik dan melakukan aksi akrobatik meninggalkan kesan mendalam dan menarik untuk dikongsikan bersama, malah tempoh satu jam 30 minit persembahan berlangsung tidak terasa lama mahupun bosan.

Nyata keputusan tidak pulang berehat di Hotel Millennium Seoul Hilton tajaan LG selepas mengunjungi Menara Namsan yang terkenal dengan kunci cinta, membuka kesempatan kepada penulis untuk mengenali satu lagi sisi istimewa di Korea.

Pelancong yang berhasrat ke Korea disaran menyaksikan Nanta Cookin' biarpun harganya mahal iaitu antara RM100 hingga RM160, namun anda pasti berpuas hati sejurus tirai pentas persembahan dilabuhkan.

Lokasi hotel yang terletak berdekatan pusat tumpuan pelancong, Namdaemun membuatkan penulis tidak sabar-sabar mahu menerokai keistimewaannya serta mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air.

Agak menyedihkan apabila 'syur­ga dunia' itu hanya ber­operasi dari 10 pagi hingga sembilan malam, berbeza de­ngan Myeong Dong yang sentiasa 'hidup' sehingga awal pagi.

Kesibukan menghadiri sesi taklimat dan temubual bersama individu penting LG, malah terbang ke Busan untuk melihat lebih dekat proses pembuatan mesin basuh tidak menghalang niat penulis mengunjungi Namdaemun biarpun jam mencecah 10 malam.

Bersama wakil media dari TV3, berbekalkan baju sejuk nipis, kami menyusuri setiap lorong pasar pelancong yang menawarkan harga barangan jauh lebih murah antara RM3 hingga RM20 bergantung kepada jenis cenderahati.

Seperti disaksikan menerusi siri drama Hallyu, ada gerai kecil menjual makanan dan 'soju' (minuman beralkohol Korea) dilitupi plastik jernih membentuk ruangan pelanggan dipenuhi warga Korea memakai kot berbual dengan nada suara kuat.

Ada segelintir pekedai mengajak penulis dan teman memanaskan badan di gerainya, namun kami hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala sebelum pulang ke hotel bersama cenderahati dari Korea selepas dua jam menerokai lorong Namdaemun.

Kesempatan mengunjungi Myeong Dong yang juga lokasi kegemaran pelancong di Seoul sememangnya peluang dinantikan penulis, apatah lagi kunjungan kali pertama atas tiket bercuti sebelum ini gagal memuaskan hati gara-gara kesuntukan masa.

Biarpun kunjungan dilakukan pada hari bekerja dengan harapan lokasi berkenaan tidak dipenuhi orang ramai, namun sebaliknya berlaku apabila hampir setiap pelosok Myeong Dong dikerumuni masyarakat Korea sama ada pekerja, pelajar, anak muda mahupun golongan dewasa sibuk membeli-belah.

Paling membuatkan penulis tertarik ialah fesyen pakaian warga Korea yang tampak menarik dan bergaya tanpa mengira perbezaan umur, sukar melihat mereka memakai baju, seluar mahupun kasut yang sama rekaannya, sekali gus menunjukkan identiti personaliti berlainan.

Rambang mata melihat pelbagai fesyen ditawarkan lebih 200 kedai di Myeong Dong, penulis menasihatkan supaya kerap melakukan tinjauan harga sebelum membeli kerana terselit premis busana menawarkan harga jauh lebih rendah. Jika bernasib baik, anda boleh mendapat harga antara RM15 hingga RM30 untuk pakaian sama.

Juga diingatkan supaya pelancong mengetahui saiz baju mahupun seluar ingin dibeli kerana kebanyakan butik mahupun kedai di Myeong Dong tidak membenarkan pelanggan mencuba terlebih dulu, selain tiada unsur penawaran harga.

Mengetahui pengaruh kuat artis Korea Selatan terhadap masyarakat dunia, hampir kebanyakan pekedai memanfaatkan kelebihan itu dengan meletakkan gambar pelakon dan penyanyi terkenal untuk menarik perhatian pelancong memasuki premis masing-masing.

Di Myeong Dong juga, pelancong digalakkan mengunjungi butik kecantikan yang memenuhi lorong di kawasan berkenaan. Selain mempunyai banyak pilihan sama ada Skin Food, Etude House dan Nature Republic, harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding di Malaysia, malah ia juga boleh dijadikan cenderamata untuk teman.

Menyedari persaingan sengit antara jenama, hampir di depan setiap premis kecantikan, seorang wanita muda cantik akan memanggil dan mengalu-alukan kedatangan pelanggan, selain tidak kedekut memberikan pek percubaan seperti krim BB dan pelembap wajah kepada pengunjung.

Permulaannya, penulis tidak mengharapkan pengalaman menarik dalam kunjungan kali kedua ke Korea Selatan kerana yakin ia hanya menjurus kepada tugasan diberi.

Namun, kesempatan menge­nali keistimewaan sama ada daripada segi budaya dan kesenian negara berkenaan membuatkan penulis tidak teragak-agak menjadikan Korea satu destinasi pelancongan pilihan di masa depan kerana banyak perkara lain mahu ditempuhi.

Penyertaan pelbagai usia

Posted: 21 Jul 2012 10:20 PM PDT

pix_middle

'MAN jadda wa jadda' - kata-kata hikmat Arab bermaksud 'siapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya' - adalah ungkapan terbaik menterjemahkan kesungguhan anak muda bersaing dalam pertandingan Nasyid bahasa Arab.

Hadir seawal jam 9 pagi, sekumpulan anak muda segak mengenakan baju Melayu sambil mengenakan tarbus atau songkok dihias kemas di kepala menarik perhatian siapa saja yang memandang.

  • Foto

    UNIK...kumpulan terdiri ahli keluarga sendiri iaitu ibu bapa serta anak.

  • Foto

    TARBUS...imej padang pasir dibawa oleh wakil Al-Kauthar.

  • Foto

    WAKIL...kumpulan Sautul Imtiyaz dari MRSM Felda Trolak, Perak.

  • Foto

    REBANA...antara alat muzik kumpulan Al-Farabi.

Kelompok gadis cilik pula tersenyum simpul sambil melantunkan suara lunak bagi memikat juri yang tekun meneliti persembahan peserta di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Rasa takjub kerana irama padang pasir itu mampu didendang fasih oleh peserta sekecil usia lapan tahun. Turut memeriahkan pertandingan, ada penyertaan kumpulan ahli keluarga seperti ibu bapa serta anak. Ia memberi pengalaman berbeza, meskipun sebahagian kumpulan pernah menyertai pertandingan nasyid Arab sebelum ini.


Bagi Muhammad Ashraf Sahari, pertandingan nasyid itu memberi pengalaman berbeza meskipun dia sering mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid.


"Saya tetap rasa gemuruh walaupun sering mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid. Saya yang bersekolah aliran agama pernah dihantar pihak sekolah ke beberapa siri pertandingan seperti Majlis Istifal antara Sekolah Agama peringkat negeri.

"Namun pengalaman kali ini masih berbeza kerana pesaing saya membabitkan pelbagai latar belakang. Saya lihat ada peserta semuda murid sekolah rendah hinggalah usia belia," kata pelajar tingkatan lima, Sekolah Menengah Agama (Arab) Kota Tinggi, Johor itu.

Tampak menyerlah dalam persalinan baju Melayu warna merah bersama tarbus di kepala, dia berkata, kumpulannya mendapat bimbingan Ustaz Fahmi Kamaruddin.

"Lirik dua lagu digubah oleh Ustaz Fahmi sering membimbing kami dalam pertandingan nasyid. Manakala melodi nasyid, saya dan rakan menyumbang bersama supaya ia sesuai dengan suara kami.

"Alhamdulillah, selepas dua tiga kali latihan, kami mampu menghafal lirik dan mungkin kelebihan kerana kami bersekolah Arab menyebabkan ia kelihatan mudah.

"Namun kami perlu menjaga formasi supaya persembahan dapat memikat hati juri," katanya yang turut hadir bersama Ustaz Fahmi serta pengurus kumpulan, Muzaidi Muzamil.

Nor Zulfa Sainal, 14, pula kelihatan teruja dengan penyertaan sulungnya mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, Perak. Hadir bersama 10 rakannya, dia berkata, ini kali pertama dia memasuki pertandingan nasyid Arab.

"Seronok dan perasaan gemuruh bercampur gaul. Namun mengingatkan peluang serta pengalaman dapat mewakili sekolah, saya bertekad melakukan yang terbaik untuk sekolah.

"Sekolah memilih saya daripada sesi uji bakat khusus untuk menubuhkan kumpulan nasyid terbabit. Ditambah lagi dengan kesusahan menghafal dan berlatih formasi selama tiga minggu bersama rakan meyakinkan saya untuk membuat persembahan," katanya yang bakal mendendangkan lagu bertajuk Hiwayati atau hobi.

Muhammad Luqman Haquim, 19, pula berkata, dia tambah bersemangat kerana lagu yang dipersembahkan adalah nukilan sendiri sambil dibantu rakannya, Aizil Aswadi Shukor, 29.

"Meskipun hanya tiga hari berlatih lirik, lagu serta formasi sesuai sempat dihasilkan.

"Mujur sembilan ahli lagi kumpulan mempunyai asas bahasa Arab, jadi mereka cepat menguasai lirik dan formasi, sekali gus membantu menyerikan persembahan," katanya.

Luqman berkata, dia berpuas hati melihat kerja keras dan komitmen rakan sepasukan dalam memberi persembahan terbaik.

Tidak terkecuali, kehadiran kumpulan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Mohd Redza, Seremban, Negeri Sembilan bersama 'prop' menarik membuatkan kredit diberikan terhadap kumpulan terbabit.

Menurut ketua kumpulan Iltizam, Muhammad Thaqif Amzar, dia menghargai kesungguhan ustazah membimbing kumpulannya, Hasnah Mansur.

"Ustazah banyak memberi dorongan dan membantu persiapan 'prop' dalam persembahan. Walaupun ada penonton tidak tahu makna lagu kami, mereka faham apa yang cuba kami sampaikan," katanya yang berlatih bersama rakan selama dua minggu selepas sesi sekolah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Saffron Integrated Marketing, Ahmad Fauzi Mohamad berkata, sambutan sangat menggalakkan, malah ada yang sanggup datang dari Johor serta Kedah untuk menyertai pertandingan.

"Melihat kesungguhan peserta menyertai pertandingan ini membuatkan objektif penganjuran, iaitu memperkasakan program pengajaran dan pembelajaran JQAF (singkatan kepada Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain), terutama membabitkan bahasa Arab dengan kaedah muzik, tercapai.

"Bagi yang menang, kita akan tawar peluang merakam album Arab di studio dan ia akan diletakkan sebagai artis bawah pengurusan syarikat kami.

"Kita juga akan meneruskan penganjuran pertandingan ini pada tahun depan pada skala lebih besar," katanya.



PROFIL 1:

NAMA: Muhammad Luqman Haquim
UMUR: 19 tahun
ASAL: Batu Pahat, Johor
KUMPULAN: Al-Farabi
LAGU: Al-Quran An Jabbar Tahmilul Ummah (Al-Quran menjana transformasi ummah)


PROFIL 2:

NAMA: Nor Zulfa Zainal
UMUR: 14 tahun
ASAL: Felda Trolak, Perak
KUMPULAN: Sautul Imtiyaz
LAGU: Hiwayati (Hobi)


PROFIL 3:

NAMA: Muhammad Ashraf Sahari
UMUR: 17 tahun
ASAL: Pasir Gudang, Johor
KUMPULAN: A- Kauthar
LAGU: Tarakib Tarhib (Ucapan Harian)


PROFIL 4:

NAMA: Muhammad Thaqif Amzar
UMUR: 14 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan.
KUMPULAN: Iltizam
LAGU: Nazalam Mathor (Hujan Turun) dan Sadiqi (Sahabatku)


INFO:

  • Pertandingan Nasyid Bahasa Arab 2012 anjuran Saffron Integrated Marketing.

  • Diadakan di Dewan Solat Bawah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

  • Disertai 12 kumpulan dari seluruh negara.

  • Johan menerima RM3,000, naib johan RM2,000 dan ketiga RM1,000 manakala yang lain menerima sagu hati.
  • Tak cukup ilmu keagamaan

    Posted: 21 Jul 2012 10:18 PM PDT

    HARAPAN...kanak-kanak Muslim Kemboja, terutama golongan Zahideen perlu bimbingan agama.
    HARAPAN...kanak-kanak Muslim Kemboja, terutama golongan Zahideen perlu bimbingan agama.

    SUDAHLAH daif dari segi material, mereka juga daif dalam asas agama. Golongan Zahideen percaya, selain daripada kitab al-Quran, kononnya ada buku lain yang menjadi panduan umat Islam, iaitu gyude.

    Begitupun, golongan Zahideen sebenarnya bukan masyarakat yang mengamalkan ajaran sesat, sebaliknya mereka adalah sekumpulan umat yang tidak menerima ajaran Islam secara sempurna.

    Ketika mengikuti rombongan media dalam misi mendekati umat Islam di negara itu, penulis berpeluang mengenali lebih dekat masyarakat Zahideen dengan pertemuan bersama Hassan Soleh, 30, bekas pengamal cara hidup golongan ini.

    "Mereka (golongan Zahideen) bukan sesat. Cuma ilmu agama mereka tidak cukup," kata Hassan yang fasih berbahasa Melayu dan Arab.


    Hassan terus mengamalkan cara hidup masyarakat Zahideen hinggalah dia melanjutkan pengajian ke sekolah tinggi dan seterusnya ke Madinah ketika berusia awal 20-an.


    "Selepas melanjutkan pengajian dan mendalami Islam, baru saya sedari apa diamalkan masyarakat Zahideen sebenarnya menyimpang daripada ajaran Islam sebenar," katanya.

    Daripada apa yang Hassan fahami, kepercayaan Islam dalam masyarakat Zahideen sama saja dengan orang Islam lain, cuma amalan ibadat mereka tidak betul.

    Menurutnya, golongan ini menganggap solat hanya perlu pada hari Jumaat saja, dan untuk hari lain cukup sekadar sematkan dalam hati. Pada Ramadan, mereka hanya berpuasa pada tiga hari awal, tiga akhir pertengahan dan tiga hari terakhir.

    "Masih ramai berpegang pada ajaran salah ini hinggakan di beberapa kampung, mereka mempunyai imam sendiri dan ada negeri melantik mufti di kalangan orang Zahideen.

    "Kesilapan itu perlu diperbetulkan dalam masyarakat Zahideen supaya mereka tidak terus silap dalam mengerjakan ibadat mengikut ajaran Islam sebenar," katanya.

    Kini, Hassan giat mengambil inisiatif menjalankan aktiviti dakwah untuk memperbetulkan semula cara hidup Islam yang diamalkan golongan Zahideen.

    Untuk tujuan itu, dia menjalin kerjasama dengan Koperasi Muslim Kemboja (KMK) bagi menjalankan aktiviti dakwah terhadap golongan berkenaan.

    Dalam KMK, Hassan adalah Pengurus Bahagian Pendidikan dan Dakwah yang memainkan peranan untuk merealisasikan tujuan itu.

    Dia turut menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Jamiliah al-Hidayah yang bertanggungjawab khusus untuk berdakwah di kalangan golongan muda dan kanak-kanak Zahideen.

    "Saya percaya, untuk membawa mereka (Zahideen) ke jalan Islam sebenar, ia perlu bermula dengan generasi muda. Jika tidak, generasi akan datang akan terus menerus hidup dengan ajaran Islam yang terpesong," katanya.

    Buat masa ini, tidak dapat dipastikan berapa ramai umat Islam di Kemboja tergolong dalam golongan Zahideen.

    Begitupun, golongan Zahideen boleh ditemui di 96 perkampungan di seluruh Kemboja membabitkan empat wilayah utama.

    Di wilayah Chhnang ada 40 perkampungan, wilayah Battambang (30), wilayah Pursat (20) dan enam perkampungan di wilayah Kompot.

    Bagi sebilangan umat Islam Kemboja, golongan Zahideen dianggap 'orang asli'.
    Golongan ini juga didakwa berasal dari Vietnam, bahkan ada sebuah perkampungan di Vietnam bagi penempatan golongan ini di Wilayah Bang Rang.

    Hassan berkata, setakat ini dia bersama KMK mendapat sedikit halangan untuk meneruskan dakwah di kalangan golongan Zahideen disebabkan kekangan kewangan.

    Katanya, untuk berdakwah di 96 perkampungan itu membabitkan belanja besar, dan pada masa sama umat Islam di seluruh Kemboja masih memerlukan bantuan dan perhatian.

    "Walaupun sumber kewangan terhad, kami (KMK) akan membuka lebih banyak madrasah di perkampungan terbabit bagi menarik golongan muda mempelajari ilmu Islam sebenar.

    "Ia bukan perjalanan mudah untuk kami, tetapi ia juga bukan halangan untuk kami meneruskan impian mengukuhkan dakwah Islamiah di bumi Kemboja," katanya.

    Di setiap wilayah berkenaan, pendakwah dan ahli KMK, termasuk Pertubuhan Jamiliah al-Hidayah, kini giat menggerakkan dakwah terhadap golongan terbabit di setiap madrasah dan masjid untuk anak-anak Zahideen.

    Hassan turut mengerahkan kudratnya berdakwah terhadap anak-anak Zahideen di beberapa perkampungan di Wilayah Chhnang dan sekitar Phnom Penh.

    "Masyarakat Islam bagaikan baru bangkit di bumi Kemboja. Selain ingin keluar daripada kemiskinan, kami dalam usaha mengukuhkan kembali syiar Islam di sini," katanya.



    INFO:

  • DI Kemboja, majoriti penganut agama Islam adalah masyarakat Cham, mereka juga dikenali sebagai Khmer Islam.

  • Masyarakat Muslim di Kemboja dianggarkan tujuh peratus daripada 15 juta penduduk Kemboja. Etnik dominan di negara itu adalah bangsa Khmer.

  • Golongan Zahideen adalah sekumpulan masyarakat Islam di Kemboja yang mengamalkan solat sekali seminggu dan berpuasa sembilan hari pada Ramadan.

  • Golongan ini percaya, selain kitab al-Quran, kononnya ada buku lain menjadi panduan umat Islam, iaitu gyude.

  • Masyarakat majoriti Islam di Kemboja menganggap golongan ini sebagai 'orang asli' dan mereka dikatakan berasal dari Vietnam.

  • Golongan Zahideen ini boleh ditemui di 96 perkampungan di seluruh Kemboja membabitkan empat wilayah utama.

  • Koperasi Muslim Kemboja (KMK) antara badan bukan kerajaan yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti dakwah untuk membimbing masyarakat ini kembali kepada ajaran Islam sebenar.

  • Ketika rejim Pol Pot berkuasa, cendikiawan dan tokoh agama di kalangan masyarakat Islam negara itu dibunuh. Dianggarkan ada 200,000 masyarakat Islam Kemboja sehingga lewat 1975, dan hampir separuh daripada jumlah itu dibunuh.
  • Barang kemas ditemui semula

    Posted: 21 Jul 2012 10:16 PM PDT

    INI DIA...pegawai polis menunjukkan antara barangan kemas yang ditemui semula.
    INI DIA...pegawai polis menunjukkan antara barangan kemas yang ditemui semula.

    SHAH ALAM: Gara-gara leka ketika berurusan di kaunter, seorang pengurus syarikat barang kemas di Hong Kong menerima padah apabila sebuah beg miliknya berisi barang kemas bernilai RM2 juta dilarikan perompak, dipercayai sindiket rompakan barang kemas antarabangsa, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Rabu lalu.

    Dalam kejadian jam 6.30 petang, pengurus wanita warga Hong Kong berusia 53 tahun itu baru tiba di negara ini untuk menghadiri pameran barang kemas di Kuala Lumpur, Khamis lalu, sebelum sebuah beg yang diletakkan dalam troli dilarikan penjenayah ketika dia sibuk berurusan di kaunter di KLIA.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, susulan laporan dibuat mangsa serta pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA, polis menyerbu sebuah kondominium di Jalan Semantan, Kuala Lumpur, petang kelmarin, dan menahan tujuh warga asing yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

    Katanya, mereka yang ditahan adalah empat lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 48 tahun iaitu tiga warga Costa Rica, seorang Mexico dan seorang Uganda serta dua anak beranak warga Colombia berusia 48 dan 29 tahun.


    Dalam serbuan jam 2.25 petang, polis menemui semula 309 barang kemas pelbagai jenis yang dicuri daripada mangsa, selain merampas empat telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Myvi yang disewa suspek.

    Derita berkekalan

    Posted: 21 Jul 2012 10:14 PM PDT

    RITA... bakal timang cahaya mata.
    RITA... bakal timang cahaya mata.

    KUALA LUMPUR: Insan mana tidak marah dan berdendam terhadap pembunuh ibunya, apatah lagi kematiannya dalam suasana sungguh tragik.

    Itu yang dialami Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 27, dan lima adiknya yang masih terkenangkan kejadian pembunuhan ibu mereka, jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada Ramadan, dua tahun lalu.

    Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika umat Islam melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi.

    Walaupun cuba melupakan tragedi berkenaan, namun dendam itu masih terus membara, malah ingatan terhadap ibu mereka semakin kuat apabila tiba 1 Ramadan, semalam.


    Menurut Erni yang lebih mesra disapa Rita, sebagai kakak sulung, dia paling terkesan melihat adiknya sedih mengenangkan emak, terutama menjelang Ramadan, apatah lagi lebaran bakal tiba.

    Awie selamba daki Tembok Besar China

    Posted: 21 Jul 2012 10:10 PM PDT

    • Foto

    • Foto

    Pelakon dan penyanyi rock ini teruja, kagum kehebatan tamadun China

    TIDAK lengkap pengembaraan ke kota Beijing jika tidak memanjat Tembok Besar China. Pelakon dan penyanyi rock terkenal, Awie berjaya mendaki beratus-ratus anak tangga dengan berlari hingga sampai ke puncak dan menerima `Hero Card'. Hanya mereka yang berjaya mendaki ke puncak saja diberikan kad penghargaan yang dikenakan harga RM20.
    Walaupun cuaca sehangat 40 darjah celcius begitu menggigit kulit, ia bukan halangan besar, malah Awie berjaya sampai ke puncak dalam tempoh tidak sampai 30 minit. Bukan berjalan tapi berlari! Itulah Awie, tenaganya masih kuat walaupun kini berusia 43 tahun.

    Awie bersama lebih 30 peminat dan wartawan mengembara dalam Eks'pdc 1Malaysia Beijing-Mongolia anjuran Arlief Event & Management pada 9 hingga 14 Julai lalu. Dan mendaki Tembok Besar China yang juga antara tujuh keajaiban dunia menjadi kenangan yang tidak mampu dilupakan.

    "Saya mahu ke Tembok Besar lagi, tapi saya mahu mendaki lebih jauh lagi. Tembok Besar menjadi tumpuan pelancong dibina pada Zaman Dinasti Ming, lebih 700 tahun lalu, tetapi masih dipelihara dengan baik. Tembok sepanjang 6,000 kilometer kelihatan kukuh hingga ke saat ini.

    Walaupun jalannya berliku dan tangga terlalu curam dan berbahaya, saya menyimpan impian mahu mendaki lebih jauh pada masa akan datang," kata Awie yang kelihatan bermandi peluh sebaik tiba di kaki puncak.
    Hebatnya binaan ini sehingga angkasawan terkemuka, Neil Amstrong yang menjelajah angkasa lepas mendedahkan Tembok Besar adalah satu daripada dua binaan di muka bumi yang dapat dilihat dengan jelas dari angkasa.

    Selepas hampir tiga dekad bergelar penyanyi dan pelakon, pengembaraan Awie kali ini menjadi detik paling bermakna dalam hidupnya.

    Biarpun menempuh sedikit dugaan sepanjang ekspedisi percutian merentasi laluan sutera itu, Awie dan peminatnya masih teruja, malah tidak melepaskan peluang mengikuti setiap acara lawatan sepanjang lima hari.

    Awie dan peminat dibawa ke lokasi bersejarah iaitu Kota Larangan (The Forbidden City) juga dikenali Muzium Istana (Palace Museum), bangunan yang digunakan pada zaman Dinasti Ming (1368-1644 Masihi) dan Dinasti Qing (1644-1999 Masihi). Istana yang siap dibina pada tahun 1420 Masihi itu mempunyai 9,999 bilik di kawasan seluas 72 hektar. Biarpun berjalan kaki hampir dua kilometer dan mengambil masa berjam-jam dalam cuaca panas terik, ia bagaikan tidak terasa apabila pemandangannya indah dan dikelilingi enam istana lama dan unik.

    Bersebelahan dengan kota itu, terletaknya Dataran Tiananmen, iaitu lokasi yang pernah mencatat sejarah hitam dalam politik moden China apabila berlakunya rusuhan pelajar universiti pada 1989 hingga mengorbankan ribuan nyawa.

    Sudah menjadi kewajiban, rombongan juga dibawa melawat kedai sutera, urutan kaki, teh, pengeluaran krim, pusat barangan kristal dan jade serta Hard Rock Cafe. Tidak ketinggalan, satu lagi destinasi wajib dikunjungi iaitu Stadium Bird Nest kerana bentuknya seperti sarang burung. Beijing adalah tuan rumah Sukan Olimpik 2008.

    Pengembaraan diteruskan ke Hot Hot, ibu negeri Mongolia Dalam. Ia mengambil masa enam jam perjalanan dari Beijing. Bagaimanapun kekangan masa, hanya separuh hari diberikan melawat Mongolia Dalam menyebabkan banyak tempat menarik tidak dapat dilawati.

    Ketika tiba di Hot Hot, hari sudah subuh. Keesokannya, selepas dibawa berjalan mengelilingi `daerah muslim' selama setengah jam dan makan tengah hari, rombongan terus dibawa ke Grassland di Xilamuren yang mengambil masa dua jam dari Hot Hot.

    Grassland, kawasan pertanian dan gurun rumput yang luas mata memandang menjadi tumpuan pelancong pada Julai, Ogos dan September kerana ketika itu musim panas. Selebihnya, kawasan berkenaan bercuaca dingin dan paras beku sepanjang tahun.

    Tarikannya ialah binaan hotel atau rumah tradisional Mongolia berbentuk bulat. Dan pelancong boleh menikmati pemandangan gurun rumput yang luas itu dengan menaiki kuda dan motosikal beroda tiga.

    Bagaimanapun, penulis menempuh pengalaman cemas apabila dilarikan kuda yang dinaiki di tengah-tengah gurun berkenaan. Penulis hampir jatuh kerana kuda berkenaan terlalu laju sedangkan penulis pertama kali menunggang kuda. Bahaya kerana mereka hanya membiarkan penunggang bersama kuda tanpa memikirkan keselamatan. Itulah orang Mongolia, mereka beranggapan semua pelancong pandai menunggang kuda!

    Perjalanan pulang ke Beijing mengambil masa 15 jam kerana rombongan tiba di lebuh raya agak lewat.
    Undang-undang kerajaan mereka, kenderaan berat sama ada lori atau bas yang membawa pelancong tidak dibenarkan menggunakan lebuh raya dari jam 8 malam hingga 5 pagi bagi mengelak kesesakan. Perjalanan menggunakan jalan biasa, bukanlah jalan raya tetapi jalan berbatu kelikir yang sempit dan sesak dengan lori.

    "Inilah dinamakan ekspedisi sebenar. Selalunya, kita menerima kemudahan selesa, tapi berbeza kali ini. Saya seronok menempuh pelbagai pengalaman baru dan mencabar ketika pengembaraan ke Beijing dan Mongolia. Dan, saya bersyukur menjadi anak Malaysia kerana negara kita mempunyai kemudahan selesa dan lengkap. Di sini, tandas pun terlalu kotor.

    "Paling seronok ketika berada di Mongolia. Siang terlalu panjang, jam 9 malam pun masih terang benderang dan cuacanya sejuk. Malam pula singkat, jam 4.30 pagi sudah terang. Insya-Allah, saya akan ke Mongolia lagi, tapi kali ini, saya mahu bermalam di hotel mereka yang unik dan kelihatan seperti rumah tradisional. Saya mahu mengembara ke gurun dan padang rumput yang kita tidak tahu di mana penghujungnya.

    "Saya akui seorang yang suka pada tempat bersejarah dan pengembaraan. Sebelum ini, saya pernah mengembara ke Indonesia, Perancis, Hong Kong dan Thailand untuk mengetahui sejarah negara mereka. Saya teringin ke Palestin pula," katanya yang sibuk di lokasi penggambaran filem Mafia pada Ramadan ini.

    Selain Awie, pengembaraannya juga diikuti teman artis lain seperti Oney (May), Keff (Melissa) dan penyampai radio KLFM, Hezri. Turut serta, Pengarah Urusan Arlief Event & Managemenat, Muhammad Alif Haziq.

    Awal, Scha harap keberkatan Ramadan

    Posted: 21 Jul 2012 10:06 PM PDT

    Awal, Scha harap keberkatan Ramadan
    Awal dan Scha.
    Awal, Scha harap keberkatan Ramadan
    Awal, Scha tunai ibadah puasa.

    Ketibaan bulan Ramadan sememangnya amat dinantikan oleh seluruh umat Islam di dunia. Apatah lagi dapat menjalani ibadah yang penuh keberkatan ini bersama insan tersayang.

    Begitulah yang dirasai Sharifah Norazlin Syed Mahadzir Al-Yahya dan Ahmad Awaludin Ashaari, yang bergelar suami isteri Mei lalu. Masih dalam mood berbulan madu, baik Scha mahu pun Awal, keduanya mengakui berasa terharu dan seronok kerana Ramadan kali ini dapat disambut dengan jalinan ikatan yang suci.

    "Pertama kali menyambut puasa sebagai isteri, saya rasa amat terharu dan seronok. Jika dulu saya ada satu keluarga, tapi kini saya berpeluang menyambut Ramadan dengan dua keluarga.

    "Bila dapat bersahur, berbuka, tarawih dengan suami dan keluarga memang sudah lama saya nantikan. Alhamdulillah ianya tercapai juga sekarang," ujar Scha kepada Zass.

    Sama pendapat dengan isterinya, Awal juga mengakui teruja kerana tidak lagi sendirian menyambut puasa di rumahnya.

    "Apabila pertama kali menyambut puasa sebagai suami, saya rasa amat teruja kerana dapat menjalani ibadah ini di samping isteri tercinta. "Lebih bermakna saya tidak lagi berbuka dan bersolat bersendirian, sebaliknya sudah ada teman yang setia menemani saya di sisi," katanya.

    Awa l tolon g Scha d i dapur

    MENURUT Scha, dia lebih selesa memasak sendiri juadah berbuka. Namun masih tetap membeli juadah sampingan seperti kuih-muih.

    "Saya kalau nak masak kena pandai pilih masakan yang sesuai, sihat dan mengenyangkan kerana Awal tidak suka makan nasi. Tapi pada kebiasaannya saya masak sayur bak choi, sambal ikan bilis, atau sotong goreng. "Jika saya tidak sempat masak, mungkin kami akan beli sahaja di bazar Ramadan berdekatan. Namun, kami juga merancang untuk berbuka bersama keluarga kedua-dua belah pihak secara bergilir-gilir.

    "Namun untuk bersahur, saya hanya masak atau makan yang ringan sahaja kerana Awal tidak gemar bersahur," katanya yang menggemari menu ayam percik dan air tebu ketika berbuka.

    Awal berkata, jika ada kelapangan, dia juga gemar membantu Scha memasak dan menyediakan juadah berbuka.

    "Sebelum ini, sama ada masak seorang atau lihat mak masak, tapi kini ada isteri yang masakkan di rumah. "Jadi kadangkala bila balik awal atau tidak ke lokasi, saya suka menolong Scha di dapur. Malah walaupun tidak bersahur, saya akan tetap bangun untuk menemani Scha bersahur," katanya yang menyukai juadah bubur lambuk Kampung Baru, murtabak, ayam percik, roti john dan air tebu.

    Sibuk di lokasi

    MENURUT Awal, dia hanya sempat bersahur bersama Scha di rumah mereka di Damansara semalam dan berbuka di lokasi penggambaran Awal Lagi di Suria KLCC.

    "Walaupun berpuasa, aktiviti seni berjalan seperti biasa. Macam saya, setiap Ahad, jam 12.30 tengah hari, saya tetap menjalankan tugas sebagai pengacara Melodi di samping Zizan.

    "Selain itu, saya kini sedang sibuk dengan rakaman talkshow saya sendiri iaitu Awal Lagi yang kini ke udara setiap Sabtu, jam 8.30 malam di TV9," ujarnya.

    Manakala Scha pula akan sibuk dilokasi penggambaran filem Dampak di samping program amal bersama Kenanga Wholesale City, Bio Essence dan Watson.

    "Tahun ini alhamdulillah rezeki murah kerana saya menjadi duta kepada Kenanga Wholesale City, Bio Essence dan Watson. Jadi saya akan sibuk dengan program amal yang telah di aturkan mereka.

    "Selain itu penggambaran filem Dampak masih belum berakhir dan saya masih terlibat dengan beberapa babak. "Walaupun kami sibuk dengan jadual kerja masing-masing, kami akan tetap meluangkan masa sekurangkurangnya bersahur atau berbuka dalam sehari," jelas Scha.

    Perancangan Lebara n

    SEMENTARA itu, menyentuh mengenai persiapan Lebaran, Scha mengakui masih belum melakukan sebarang persiapan. Bagaimanapun, bekas juara Dewi Remaja ini mengakui sudah merancang warna tema baju mereka pada tahun ini.

    "Memandangkan masih terlalu awal untuk membuat persiapan raya, jadi saya tumpukan dulu pada kerja. "Tapi secara kasarnya, kami merancang untuk menggunakan warna tema olive untuk baju raya kami nanti. "Apa-apa pun ia mungkin aberubah dan saya akan membuat persiapan sedikit demi sedikit.

    "Secara jujurnya, pengalaman pertama ini membuatkan rasa amat teruja untuk berpuasa dan menyambut raya," ujar Scha.

    Akan membantu isterinya dari segi idea, Awal berkata, dia dan Scha sentiasa berbincang dari masa ke semasa mengenai persiapan raya mereka bagi menggelakkan pertelingkahan.

    "Semenjak berkahwin, kami lebih mengenali diri masing-masing dansaya rasa, kami lebih bertoleransi dalam banyak perkara semenjak berkahwin," jelas Awal.

    Mood berbulan mad u

    KETIKA dihubungi Zass, Scha dan Awal berada di Bangkok untuk bercuti dan sebelum itu sempat ke Jakarta untuk membeli stok barangan kiosk Schapoholic yang terletak di The Curve.

    "Memandangkan Awal ada kelapangan, jadi dia menemani saya ke Jakarta untuk mendapatkan bekalan baju sempena perayaan. "Kemudian kami ke Bangkok untuk berehat dan meluangkan masa bersama di samping mencari barangan yang sesuai di sana. Tapi kami sempat pulang ke Malaysia untuk bersahur bersama di rumah," ujarnya.

    Scha berkata, setelah dua bulan bergelar isteri, dia mengakui masih belajar untuk menjadi isteri yang baik.

    Katanya, dia juga dapat mengenali Awal dengan lebih rapat dan setiap perkara baru yang dipelajari membuatkan dia berasa seronok dan teruja.

    "Walaupun dah lebih dua tahun bercinta, ia bukan bermakna kami dah mengenali antara satu sama lain dengan sempurna. "Tapi bila berkahwin, saya banyak belajar perkara baru mengenai Awal dan begitu juga Awal yang mengakui banyak belajar perkara baru mengenai saya.

    Semua itu menjadikan kami lebih menghargai dan menyayangi diri masing-masing. Ibaratnya, setiap hari seperti hari bulan madu buat kami," katanya.

    Salam Ramadan

    Posted: 21 Jul 2012 10:05 PM PDT

    Salam Ramadan
    Bienda

    Rasanya belum terlambat untuk Zass mengucapkan selamat menyambut Ramadan buat semua pembaca beragama Islam.

    Sempena kedatangan bulan mulia ini, ramai artis mengambil kesempatan untuk mengurangkan aktiviti seni dan menumpukan amal ibadah.

    Tidak kurang juga yang ambil peluang untuk berniaga di bazar Ramadan seperti Bienda, Zulkifli Zain dan Shida Dangdut.

    Malah, jadual sepanjang Ramadan ini juga padat dengan undangan menghadiri majlis berbuka puasa yang dianjurkan pelbagai pihak. Sama-samalah kita mengimarahkan bulan baik ini dan semoga mendapat keberkatan-Nya, Insya-Allah.

    Farid Kamil bertongkat

    Posted: 21 Jul 2012 10:04 PM PDT

    Farid Kamil
    Farid Kamil

    Pelakon kacak, Farid Kamil memang dikenali suka melakukan sendiri aksi lasak dalam lakonannya. Malah, Farid sanggup mengambil kursus khas lagak ngeri di luar negara tidak lama dulu.

    Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila Farid mengalami kecederaan di tempurung lutut kiri ketika melakonkan babak aksi dalam filem terbarunya, Dampak.

    Akibatnya, Farid kini terpaksa berjalan menggunakan tongkat dan dinasihatkan doktor untuk berehat selama enam minggu.

    Zass doakan agar Farid cepat sembuh dan lebih berhati-hati apabila melakukan adegan aksi selepas ini.

    Yahoo! Malaysia melancarkan laman web Ramadan

    Posted: 21 Jul 2012 10:02 PM PDT

    YAHOO! Malaysia melancarkan laman web Ramadan
    Laman web Ramadan Mubarak.

    YAHOO!Malaysia melancarkan laman web Ramadan Mubarak, iaitu pusat sehenti yang direka untuk menyediakan maklumat berkaitan yang diperlukan umat Islam sepanjang bulan ini.

    Pengarah jualannya, Jon-Tjin berkata, laman web itu akan menyediakan mesej-mesej berunsur kerohanian dan sosial.

    "Kandungan yang telah dibangunkan secara menyeluruh mengimbangi kepentingan umat Islam dalam mematuhi nilai-nilai Islam dan memenuhi keperluan gaya hidup pengguna.

    "Antara yang dipaparkan di dalam laman web itu adalah resipi, artikel kerohanian, ulasan bazar Ramadan dan foto yang boleh dimuat naik pengguna dan berkongsi untuk menjadi daripada sebahagian komuniti dalam talian sempena perayaan ini," katanya.

    Selain itu, kandungan di laman web Yahoo! turut dihubungkan dengan akaun Facebook pengguna menerusi bar sosial. Apabila membaca sesuatu artikel, ia akan dikongsi terus di rangkaian sosial.

    Ramadan Mubarak merupakan destinasi dalam talian yang diwujudkan bagi menyampaikan maklumat relevan kepada orang Islam di negara ini ketika bulan puasa, boleh dilayari menerusi peranti telefon pintar dan tablet.

    Laman web itu tersedia sehingga 24 Ogos yang akan menyiarkan kandungan eksklusif seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin, resipi daripada Chef Wan, ulasan bazar dan petikan surah al-Quran.

    U Mobile, Jackcow jalin kerjasama

    Posted: 21 Jul 2012 10:00 PM PDT

    U Mobile, Jackcow jalin kerjasama
    Ketua Pegawai Operasi Jackcow, Wong Sui Ting (kiri) dan Jaffa Sany Ariffi n menjalin kerjasama bagi memberikan kemudahan tambah nilai kepada pelanggan U Mobile.

    SYARIKAT telekomunikasi inovatif dan dinamik negara, U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), menjalinkan kerjasama dengan Jackcow, laman web kumpulan pembeli, bagi menawarkan cara terbaik sebagai tambah nilai kepada pelanggan pelan prabayar.

    Syarikat telekomunikasi itu juga akan beri Jackcow kredit apabila menambah nilai menerusi laman web itu.

    Pelanggan prabayar U Mobile kini boleh menambah nilai kredit pada harga RM30, RM50 dan RM100 dan turut menerima RM5, RM8 dan RM20 kredit Jackcow sertamerta setiap kali tambah nilai, dengan tempoh sah laku selama tiga bulan dari tarikh pembelian.

    Ketua Pegawai Operasi U Mobile, Jaffa Sany Ariffin, berkata, kerjasama itu sebahagian strategi syarikat untuk mengembangkan pengedaran rangkaian dan pastikan produk mudah diperoleh.

    "Sebagai pembekal telekomunikasi negara, kami sentiasa berusaha teroka peluang perniagaan menguntungkan dengan saluran pengedaran bukan tradisional untuk manfaat pelanggan kami dan pertumbuhan syarikat," katanya.

    Pemilik kedai motosikal rugi RM43,000

    Posted: 21 Jul 2012 09:57 PM PDT

    Pemilik kedai motosikal rugi RM43,000
    Polis mengumpul bukti bagi membantu siasatan kes rompakan sebuah kedai motosikal di Taman Sri Muda, Seksyen 25, semalam.

    SHAH ALAM - Pemilik sebuah kedai motosikal kerugian kira-kira RM43,000, apabila bukan sahaja wang tunai hasil keuntungan dirompak, malah beberapa aksesori di premisnya turut dilarikan dalam kejadian di Jalan 25/41, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, kelmarin.

    Kejadian itu bagaimanapun hanya disedari pemilik premis ketika hendak memulakan operasi perniagaan kira-kira jam 9 pagi, semalam.

    Timbalan Ketua Polis daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, setelah membuka kedai, pemilik terbabit terus mengeluarkan motosikalnya untuk disusun di bahagian luar premis.

    Menurutnya, kejadian hanya disedari pemilik terbabit, selepas topi keledar serta baju hujan di atas rak dalam kedai didapati berkurangan.

    Katanya, almari besi premis turut dipecahkan dan wang tunai hasil kutipan sebanyak RM10,000 yang disimpan di situ lesap.

    "Wang berjumlah RM5,000 di dalam mesin tunai juga hilang. "Perompak melarikan 30 helai baju hujan, lima topi keledar serta cakera padat (CD) rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) premis," katanya.

    Mazlan berkata, nilai kerugian termasuk kerosakan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM43,000.

    Katanya, beberapa kesan cap jari dijumpai dan sampel itu sudah dihantar ke jabatan kimia untuk dikenal pasti identiti pemiliknya.

    Beliau berkata, tiada sebarang kesan pecah masuk ditemui dan pihaknya tidak menolak, kejadian ada kaitandengan orang dalam.

    "Bagaimanapun terdapat juga kemungkinan perompak itu adalah individu tertentu yang menyorok atau bersembunyi di dalam kedai tanpa disedari pemilik premis," katanya.

    Menurutnya, perompak dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang berdasarkan kesan potong pada mangga di sebelah dalam pintu premis.

    Kulit bagai terkena air panas

    Posted: 21 Jul 2012 09:53 PM PDT

    Kulit bagai terkena air panas
    Norhaliza menunjukkan keadaan kulit dua anaknya, Ahmad Rayyan Hamas Ahmad Faisal, 4, dan Nur Qistina Dayana, 5, yang teruk menggelupas selepas pulang dari aktiviti di sebuah tam

    UMBAI - Tidak pasti apa puncanya, sembilan kanak-kanak dari tiga buah keluarga, di sini, mengalami masalah kulit seperti melecur selepas balik dari aktiviti perkelahan di sebuah taman tema air di negeri ini.

    Selain kanak-kanak berkenaan, difahamkan, terdapat 15 orang lagi menghadapi masalah sama yang turut mendakwa mengalami masalah kegatalan kulit yang serius, di samping demam, batuk dan selsema.

    Salah seorang mangsa, Hamima Khamis, 43, dari Taman Balqis, Kampung Bukit Tembakau, di sini, berkata kejadian disedari selepas mereka pulang dari aktiviti perkelahan di lokasi terbabit, Ahad lalu.

    Menurutnya, sebaik saja pulang ke rumah, dia bersama ahli keluarga lain mula terasa sesuatu tidak selesa pada bahagian muka serta keseluruhan badan.

    "Kulit kami terutama pada bahagian muka pada mulanya terasa amat pedih dan panas. Kemudiannya bertukar menjadi gatal sehingga menggelupas bagaikan melecur terkena air panas.

    "Akibat terasa malu untuk keluar rumah, kami mengambil keputusan mendapatkan rawatan di klinik sehingga penyakit itu reda," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, di sini semalam.

    Masalah sama turut dihadapi Norhaliza Mohd Nor, 27, dari Merlimau apabila mendakwa dua anaknya berusia lima dan empat tahun menghadapi masalah kulit menggelupas selepas pulang dari taman tema terbabit.

    Malah, katanya, anaknya tidak dapat tidur malam dan kerap menangis akibat tidak tahan dengan kesan daripada masalah berkenaan.

    "Kulit dua anak saya mengelupas teruk bagaikan dicurah air panas.

    "Mereka turut mengalami demam dan batuk sehingga akhirnya saya membawanya ke Klinik Kesihatan berhampiran. Pada mulanya muka dan sebahagian badan mengalami bengkak-bengkak, tetapi kemudian kulit anak saya terus terkopek sehingga kini," katanya.

    Kedua-dua keluarga berkenaan berkata, mereka sudah melaporkan mengenai kesan dialami kepada pihak pengurusan taman tema berkenaan, namun belum ada sebarang maklum balas.

    Berikutan itu, katanya, mereka bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ekoran kejadian berkenaan.

    Derita kontraktor kelas F

    Posted: 21 Jul 2012 09:51 PM PDT

    Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F Negeri, Ahmad Faiz Zulkifly
    Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F Negeri, Ahmad Faiz Zulkifly

    KUANTAN – Kira-kira 1,600 kontraktor Kelas F merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempertimbangkan kemasukan projek pembinaan dan pembaikan dalam usaha untuk meningkatkan serta menstabilkan pendapatan mereka.

    Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F Negeri, Ahmad Faiz Zulkifly berkata, ramai ahli persatuan tidak dapat sebarang projek hingga sebahagiannya terpaksa gulung tikar memandangkan kebanyakan projek disalurkan kepada kontraktor kelas lain.

    "Kami juga penjana ekonomi negara, namun sering dianaktirikan. Sedangkan kebanyakan daripada kami bukan sahaja mempunyai keluarga, malah perlu menanggung sekurang-kurangnya lima pekerja di bawah kelolaan syarikat.

    "Sekiranya peruntukan terlalu kecil, keadaan tersebut menyukarkan kami meneruskan pekerjaan ini," katanya kepada Sinar Harian, di sini, baru-baru ini.

    Ahmad Faiz berkata, perhatian Perdana Menteri juga amat penting dengan memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan untuk kontraktor terbabit dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi negara.

    Menurutnya, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tentu dapat menilai sejauh mana keperluan kontraktor sama seperti golongan peneroka, nelayan, kartunis dan pemandu teksi.

    "Sebagai contoh dalam pemberian kerja menerusi undian. Seramai 300 kontraktor hadir, namun jumlah kerja kurang daripada 10. Keadaan itu menunjukkan ketidakseimbangan penyaluran jumlah projek.

    "Peluang untuk mendapat projek begitu tipis. Malah ada dalam kalangan kontraktor tidak mendapat sebarang kerja selama tiga tahun sedangkan mereka perlu membayar gaji pekerja, sewa pejabat, memperbaharui lesen dan sebagainya," katanya.

    Tukang jahit tersohor

    Posted: 21 Jul 2012 09:50 PM PDT

    Mohd Zaki
    Mohd Zaki tekun menjahit bagi menyiapkan tempahan baju Melayu untuk digayakan pelanggan di Aidilfitri ketika ditemui di kedainya di di tingkat atas Pasar Besar Kuala Berang, sem

    KUALA BERANG - Biarpun kudratnya kian terbatas, namun seorang datuk empat cucu di sini tetap memerah keringat dan bersengkang mata saban tahun mengambil upah menjahit baju Melayu untuk digayakan pelanggannya di pagi Aidilfitri.

    Menurut Mohd Zaki Mohamad, 68, walaupun sudah lebih 40 tahun benang dan jarum menjadi teman setianya, dia tidak pernah merasa jemu mengambil upah menjahit apatah lagi rezeki tukang jahit sepertinya pasti akan meningkat berbanding bulan biasa menjelang hari raya.

    Mengimbau nostalgia lalu, warga emas yang tinggal di Rumah Murah Jalan Pusara, Kuala Berang ini mengakui dia mula mengenali dunia jahitan ketika mengikuti kursus di Pusat Latihan Belia, Dusun Tua sekitar 1960-an lalu dan minatnya mulai timbul sehinggalah kini.

    "Walaupun menjahit sinonim dengan wanita, tetapi ia bukan halangan untuk pakcik meminati bidang ini. Asalnya, pakcik berada di pusat latihan tersebut untuk jalani latihan kawad namun ketika itu pelatih turut diajar menjahit sarung bantal dan kelambu.

    "Lama-kelamaan minat itu semakin timbul, malah pakcik juga menjalani praktikal di beberapa kedai sekitar Kuala Lumpur. Sekitar akhir 1970-an, pakcik membuka sebuah kedai jahit di Kuala Berang ini dengan kadar sewa ketika itu RM30 sebulan," katanya.

    Katanya, tapak asal kedai yang disewa ketika itu adalah Bangunan Umno Bahagian Hulu Terengganu kini dan kedai sekarang ini adalah yang keempat.

    "Sedar tak sedar, sudah lebih 40 tahun pakcik mengambil upah menjahit baju Melayu ini dan syukurlah ia memberikan pakcik sumber rezeki.

    "Walaupun pendapatan tidak menentu, tetapi cukuplah untuk belanja pada hari raya. Pelanggan membuat tempahan baju raya seawal Mei lalu lagi, bulan puasa hanya digunakan untuk menyiapkan baju Melayu ditempah dan pakcik tidak lagi mengambil tempahan baru," katanya ketika ditemui di kedainya di tingkat atas Pasar Besar Kuala Berang, di sini, semalam.

    Tidak hairanlah nama pakcik Zaki meniti di bibir penduduk sekitar setiap kali tiba musim perayaan, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki dalam jahitan baju Melayu tidak boleh dipertikaikan.

    Kata suami kepada Limah Sulong, 61 ini, walaupun tempahan menjelang Aidilfitri masih ada, namun dia tidak dapat menerimanya kerana khuatir tidak dapat siapkan tempahan apatah lagi dengan kudratnya yang kian terbatas.

    "Pakcik mengambil tempahan pelanggan mengikut kemampuan, untuk baju Melayu sahaja, kini sudah lebih 50 pasang ditempah. Kadar bayaran antara RM80 hingga RM90 sepasang. Jika tidak sempat di kedai pakcik akan menyambungnya di rumah, bimbang pelanggan tidak dapat pakai baju raya nanti.

    "Pakcik bersyukur kerana masih dikurniakan penglihatan yang baik untuk menjahit. Sehari tidak menjahit, dirasakan ada sesuatu yang kurang dan pastinya pakcik tidak akan berhenti menjahit selagi terdaya," katanya.

    Naik pangkat lepas pencen

    Posted: 21 Jul 2012 09:44 PM PDT

    Hasmah menunjukkan surat keputusan kenaikan pangkatnya daripada DG34 ke DG38.
    Hasmah menunjukkan surat keputusan kenaikan pangkatnya daripada DG34 ke DG38.

    TUMPAT – "Alhamdulillah, rezeki selepas pencen," kata bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kok Pasir, Che Hasmah Salleh, 56, yang dinaikkan pangkat secara 'Time-Based' daripada DG34 ke DG38.

    Hasmah berkata, dia bersara daripada jawatan guru besar pada 8 April lalu, bagaimana pun teruja apabila menerima surat kenaikan pangkat selepas dia pencen.

    Hasmah berkata, mungkin rezekinya selepas pencen, kenaikan pangkat ini satu rahmat buatnya.

    "Begitu juga kepada guru–guru lain menerima kenaikan pangkat secara ini, mereka perlu tunjukkan prestasi baik demi kecemerlangan pendidikan," katanya.

    Hasmah berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Surat Keputusan Kenaikan Pangkat Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat 1.

    Penyerahan surat keputusan itu disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang kepada kira-kira 183 guru di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat.

    Hussain berkata, istimewanya kenaikan pangkat secara 'Time-Based' dinilai berdasarkan kecemerlangan guru itu sendiri.

    "Sebelum ini kenaikan pangkat bagi guru lepasan diploma hanya setakat DG32, tetapi sekarang ini kenaikan hingga DG34, setaraf dengan jawatan guru besar," katanya.

    Datuk ditahan ponteng puasa

    Posted: 21 Jul 2012 09:42 PM PDT

    warga emas tidak puasa
    Penguatkuasa Jaim menyoal tiga lelaki beragama Islam yang sedang menikmati sarapan pagi di sebuah kedai kopi di Bukit Rambai, semalam.

    BANDARAYA MELAKA – Hari pertama bulan Ramadan dicemari dengan tingkah laku warga emas beragama Islam tanpa segan silu menikmati sarapan pagi di sebuah kedai makan bukan Islam.

    Tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu lalang, warga emas terbabit dengan selamba menghirup hidangan kopi panas sambil menikmati roti bakar.

    Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dikesan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang bertindak menyerbu kedai makan berkenaan, pagi semalam.

    "Saya mengaku saya makan tadi," kata warga emas berusia 65 tahun itu sebaik saja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

    Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, warga emas berkenaan merupakan seorang daripada lima yang dicekup kerana makan di khalayak ramai di bulan puasa.

    "Kesemua mereka berusia 40 hingga 65 tahun itu, termasuk tiga daripadanya sudah bergelar warga emas, di tahan di kawasan 'panas' tempat tumpuan mereka yang ponteng puasa.

    "Lebih mengejutkan, ada antara warga emas berkenaan sudah pun bergelar datuk kepada sembilan orang cucu," katanya kepada pemberita ketika mengikuti operasi berkenaan, semalam.

    Rahimin turut melahirkan rasa kecewa kerana masih ada pengusaha kedai makan Islam yang beroperasi di siang hari, sekali gus memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuasa.

    "Tindakan peniaga ini mencemarkan imej umat Islam sendiri. Sepatutnya mereka sama-sama menghormati Ramadan dan tidak mengambil kesempatan untuk kejar keuntungan semata-mata," katanya.

    Menurutnya, kesemua yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka yang memperuntukkan denda RM1,000 dan penjara enam bulan.

    Berikutan itu juga, katanya, Jaim akan terus melipat gandakan penguatkuasaan untuk memastikan kesucian Islam sepanjang Ramadan ini tidak diperlekehkan.

    Katanya, ini termasuk tindakan terhadap mereka yang dikesan membeli nombor ekor pada bulan Ramadan.

    Isu KWSP: MTUC gesa pencarum diberi opsyen

    Posted: 21 Jul 2012 09:39 PM PDT

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

    SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu pencarum diberi opsyen untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan undang-undang baru menaikkan usia persaraan swasta kepada 60 tahun.

    Presidennya, Khalid Atan berkata, kerajaan khususnya KWSP sewajarnya memberi pilihan kepada para pencarum, termasuk tempoh peralihan tiga hingga lima tahun, sebelum menguatkuasakan peraturan baru selari dengan keputusan menaikkan usia persaraan swasta.

    "Undang-undang usia persaraan baru diluluskan dan hendak dikuatkuasakan, ramai pencarum tidak bersetuju had usia pengeluaran dinaikkan.

    "Kemungkinan ada pencarum yang sudah membuat perancangan pengeluaran... jadi kita wajar memberi peluang dan opsyen kepada mereka, misalnya tempoh peralihan tiga hingga lima tahun, baru peraturan KWSP dikuatkuasakan," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

    Sehubungan itu Khalid berkata, pihaknya akan membangkitkan perkara tersebut ketika pertemuan dengan KWSP minggu ini.

    Ketika ini, penyumbang boleh membuat pengeluaran KWSP separa pada usia 50 tahun dan pengeluaran penuh simpanan mereka selepas bersara pada usia 55 tahun.

    Laporan media baru-baru ini menyebut bahawa had umur untuk pengeluaran penuh KWSP akan dinaikkan kepada 60 tahun dan pengeluaran separa hingga 55 tahun.

    "Ia merupakan satu langkah yang berbangkit. Sebaik sahaja kami meningkatkan umur persaraan minimum, kita perlu menaikkan umur pengeluaran KWSP juga," kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim.

    Lim berkata, keputusan itu telah dibuat dan ia hanya menunggu masa sebelum pindaan itu akan berkuat kuasa.

    Minggu lalu, beberapa pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar pekerja diberi pilihan untuk mengeluarkan simpanan KWSP pada umur 55 atau 60 tahun.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilapor berkata, kerajaan belum membuat keputusan berhubung had umur pengeluaran caruman KWSP.

    Khalid juga mengesyorkan agar mereka yang mengeluarkan simpanan sepenuhnya pada usia 55 tahun sekarang dan mahu terus bekerja, dibenarkan mencarum 11 peratus, bukannya enam peratus yang diamalkan sekarang.

    "Amalan sekarang, jika seseorang mengeluarkan carumam penuh pada usia 55 tahun dan memilih untuk meneruskan caruman, mereka hanya dibenar membuat caruman enam peratus.

    "Jadi, kita mencadangkan agar pekerja-pekerja ini dibenar caruman 11 peratus sebagai bahagian mereka manakala majikan pula 13 peratus," katanya lagi.

    Rezeki nira kelapa RM3,000 sebulan

    Posted: 21 Jul 2012 09:38 PM PDT


    MAT NOR mengumpul air nira manis dari pokok kelapa bagi memenuhi permintaan pelanggan di daerah Pasir Puteh, Kelantan. Gambar kecil, air nira yang dijual.


    PASIR PUTEH - Kehadiran Ramadan bukan sahaja memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan bagi mendapat ganjaran pahala tetapi bulan ini turut dianggap rahmat yang melimpahkan rezeki berlipat kali ganda.

    Seorang petani, Mat Nor Ismail, 64, dari Kampung Gong Kulim dekat sini yang memegang falsafah itu terus mengerah kudratnya melakukan kerja-kerja memotong mayang kelapa bagi memperoleh nira manis untuk dijual sebagai juadah berbuka puasa.

    Walaupun usianya sudah lanjut selain bekerja dalam keadaan lapar dan dahaga kerana berpuasa, permintaan tinggi terhadap nira manis daripada pelanggan menjadikan Mat Nor semakin sibuk sehingga terpaksa memanjat purata 30 batang pokok kelapa sehari.

    "Permintaan nira manis akan terus meningkat menjelang Aidilfitri apabila ramai anak perantauan yang kembali ke kampung halaman tidak melepaskan peluang untuk menikmati minuman tradisional ini," katanya ketika ditemui di kampung tersebut semalam.

    Mat Nor berkata, pada bulan Ramadan tahun lalu dia berupaya meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan, meningkat tiga kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

    Awal Ramadan di Ipoh lebih meriah tahun ini

    Posted: 21 Jul 2012 09:38 PM PDT


    AHMAD ZAWAWI menunjukkan buah kabung yang laris dijual sempena kedatangan Ramadan di Ipoh semalam.


    IPOH - Awal Ramadan yang kebetulan jatuh pada hujung minggu memberi kesempatan kepada warga bandar raya ini membuat persiapan membeli barangan harian untuk bersahur dan berbuka puasa.

    Tinjauan Kosmo! Ahad di Pasar Besar Ipoh, Pasar Jelapang, dan Pasar Gunung Rapat di sini semalam mendapati ia sesak dengan orang ramai yang mencari barangan keperluan seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.

    Permintaan terhadap sayur, timun, betik dan buah kabung yang sering menjadi pilihan utama sajian pencuci mulut penduduk tempatan sewaktu berbuka puasa juga laris dijual.

    Seorang pengunjung Pasar Besar Ipoh, Rohani Muhammad, 33, dari Taman Jati di sini berkata, hari pertama Ramadan yang jatuh pada Sabtu memudahkan dia membeli keperluan dapur bagi menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga yang lebih istimewa berbanding hari biasa.

    Ramli Samsuddin, 45, dari Silibin di sini pula berkata, selain barang keperluan keluarga, dia turut membeli bahan membuat kuih untuk disedekahkan sebagai moreh di surau berhampiran rumahnya.

    Otak-otak, pulut panggang Shamsuddin menjadi tumpuan

    Posted: 21 Jul 2012 09:36 PM PDT


    SHAMSUDDIN sibuk membakar otak-otak dan pulut panggang di gerainya di Bazar Ramadan Kampung Peramu, Kuantan semalam.


    SEDAP. Gerai otak-otak milik seorang peniaga, Shamsuddin Yunus, 43, sememangnya menjadi tumpuan pengunjung Bazar Ramadan Kampung Peramu di Kuantan, Pahang.

    Menurut Shamsuddin, selain otak-otak yang dijual pada harga RM1 untuk tiga keping, dia juga menjual pulut panggang pada harga RM2 untuk lima biji.

    Juadah tradisi itu mendapat sambutan menggalakkan setiap kali Ramadan terutamanya daripada masyarakat Islam di negeri Pantai Timur itu untuk berbuka puasa.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

    Categories