RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Saya bagi tempoh seminggu cari bukti - Jue Aziz

Posted: 22 Aug 2012 06:21 PM PDT

JUE AZIZ begitu terkilan kerana didakwa menjalin hubungan cinta dengan Aidil Zafuan yang merupakan suami kepada pelakon Rita Rudaini.


NAMA pelakon cantik Zuliana Abd. Aziz, 29, atau lebih popular dengan panggilan Jue Aziz hampir tidak pernah dibicarakan lagi sejak kebelakangan ini. Jue seperti sudah terhakis dengan sebarang kontroversi, terutamanya yang berkaitan soal cinta.

Bagaimanapun, nama pelakon berkenaan tiba-tiba kembali hangat diperkatakan ramai apabila sebuah akhbar baru-baru ini mendedahkan tentang hubungan istimewanya dengan pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aidil Zafuan Abd. Radzak yang juga suami kepada pelakon Rita Rudaini Mokhtar.

Hubungan antara Jue dan Aidil dikatakan akrab dan seperti pasangan dilamun cinta, sedangkan pada masa yang sama kes membabitkan Aidil dan Rita masih lagi dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ketika dihubungi Kosmo! semalam, Jue mengakui dirinya terlalu kecewa dengan kontroversi yang melanda dan menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pemain bola sepak tersebut.

Kosmo!: Apakah reaksi Jue apabila didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan Aidil?

JUE: Sudah tentu saya berasa sedih dan kecewa kerana ketika sambutan

1 Syawal umat Islam merayakan Aidilfitri dan dihidangkan dengan pelbagai juadah, saya pula telah dihidangkan dengan sebuah kisah kontroversi yang boleh mengaibkan diri saya.

Apa yang boleh anda katakan apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan suami orang?

Pertama sekali, saya ingin menegaskan yang saya memang tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan Aidil seperti yang didedahkan. Saya sendiri agak hairan apabila nama saya telah dikaitkan sehingga boleh menimbulkan impak yang buruk. Bagaimanapun, saya akui memang mengenali Aidil dan sejujurnya ia sekadar kenalan biasa. Tidak lebih daripada itu. Kalau ada yang mengatakan kami dilamun cinta atau pernah keluar berdua-duaan, sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Sejak kebelakangan ini juga jadual saya agak padat dengan aktiviti lakonan dan sering menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur. Jadi, tidak mungkin saya ada masa untuk keluar dengan Aidil, apatah lagi dengan statusnya yang masih lagi suami orang.

AIDIL ZAFUAN


Adakah anda tahu individu atau pihak yang telah mengaitkan nama anda dalam kontroversi ini?

Sebenarnya saya tahu identiti individu yang bertanggungjawab mereka cerita ini memandangkan nama Ayu Raudhah turut dikaitkan sama. Lagipun saya yakin, pembaca yang membaca cerita berkenaan juga sudah dapat agak siapa individu tersebut. Cuma saya agak hairan apabila nama saya telah dikaitkan pula, sedangkan saya langsung tiada masalah dengan individu itu. Kalau betul dia ada bukti seperti yang diperkatakan, sila bersemuka dengan saya.

Setelah kontroversi berkenaan tersebar, adakah ia memberi impak kepada anda?

Apa yang saya dapat tahu bukan nama saya seorang sahaja yang telah terjejas, malah ia juga memberi impak yang buruk terhadap Ayu. Walaupun hubungan kami tidaklah terlalu rapat, tetapi saya kasihan dengan Ayu apabila dia pula dituduh menjadi orang tengah.

Bagaimana pula dengan tindakan anda selanjutnya untuk berhadapan dengan kontroversi ini?

Saya beri tempoh seminggu kepada individu tersebut untuk mengemukakan bukti kalau betul saya ada hubungan dengan Aidil. Sekiranya tidak ada bukti yang dikemukakan, saya mahu dia membuat permohonan maaf secara terbuka malah saya berani tampil dan bersemuka dengannya kerana tahu diri saya memang tidak bersalah. Saya ada

hak untuk membersihkan nama kerana kontroversi ini pastinya boleh menjejaskan periuk nasi saya sebagai seorang pelakon.

Rozita Che Wan Mahu Lelaki Kacak Tak Banyak Kerenah

Posted: 22 Aug 2012 06:19 PM PDT

Rozita Che Wan

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah berulang kali dikaitkan dengan lelaki muda, aktres Rozita Che Wan tidak keberatan mengakui dia sebenarnya mencari jejaka kacak, berkemampuan dan tidak banyak kerenah.

Rozita berkata, ciri-ciri itu adalah kriteria utama yang ditekankannya dalam membuat penilaian terhadap mana-mana lelaki muda yang cuba mendekatinya.

"Kalau saya hendak berkawan dengan lelaki muda, biarlah orang itu menepati kriteria yang saya cari.

"Saya suka lelaki yang kacak, tidak banyak kerenah dan matang dalam menangani hubungan, bukannya lelaki yang perlu saya bimbing," katanya ketika ditemui mStar Online.

Justeru itu, kata pelakon siri Miss Octopus, ini jika dia ditipu atau dipermainkan, ia tidak begitu menyakitkan kerana menyedari hakikat dia menjalin hubungan dengan lelaki yang menjadi idaman ramai wanita.

"Kalau ditakdirkan saya dipermainkan oleh golongan itu, ia logik kerana saya sedar hakikat lelaki itu kacak dan berduit, sekali gus dia boleh buat perangai dan diidamkan ramai wanita.

"Apa yang menyakitkan kalau ditipu oleh lelaki biasa yang kekurangan banyak aspek. Sebab itu, saya lebih rela mencari kekasih yang kacak dan berharta," luahnya.

Mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Rozita berkata, dia bercuti selama 10 hari dan mahu menghabiskan waktu itu dengan bercuti bersama keluarga di pulau Langkawi.

"Ibu saya sangat suka pada Langkawi walaupun sudah berkali-kali kami ke sana. Tahun ini, kami sekeluarga ke sana lagi dan menghabiskan masa tiga hari dua malam untuk berehat dan membeli barangan.

"Selepas cuti tamat, saya akan kembali dengan komitmen duta produk dan pelbagai penggambaran drama bersiri dan filem," kongsi pelakon telefilem Raya berjudul Lepas Raya Harap Balas ini.

Shila Amzah Rasa Debar Mahu Jumpa Keluarga Sharnaaz

Posted: 22 Aug 2012 06:18 PM PDT

Shila dan kekasihnya Sharnaaz

PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah meluahkan rasa debarnya untuk berjumpa dengan ibu dan bapa kekasih hatinya, Sharnaaz Ahmad di Pulau Pinang pada suatu tarikh yang belum ditetapkan pada Aidilfitri ini.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata, kunjungan itu merupakan yang pertama sejak menjalinkan hubungan cinta dengan Sharnaaz pada hujung tahun lalu.

"Insya-Allah saya akan menziarahi keluarga Sharnaaz sekadar untuk mengikat tali silaturahim. Berdebar juga dibuatnya.

"Bagaimanapun pada Hari Raya pertama Ahad lalu, saya sekeluarga telah beraya sakan di kampung ibu saya di Banting, Selangor dan kemudian terus ke Perak," katanya.

Sementara itu, penyanyi yang baru sahaja mengenakan hijab pada 1 Ramadan lalu berkata, dia telah menyediakan juadah rendang kerang untuk santapan seisi keluarganya pada hari Raya Raya pertama.

Kata Shila, resepsi itu merupakan juadah kegemaran keluarganya yang wajib ada setiap kali hadirnya Aidilfitri.

"Biasanya pada pagi raya saya akan bantu emak memasak untuk juadah raya dan saya sendiri ada hidangan istimewa iaitu rendang kerang," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Shila masih lagi sibuk menyiapkan albumnya yang dijangka keluar pada Februari tahun depan.

"Insya-Allah, dengan berkat penghijrahan saya (bertudung) ini, saya harap album yang memuatkan sebanyak tujuh buah lagu ini akan diterima ramai.

"Menariknya kesemua lagu pada album itu nanti dicipta sepenuhnya oleh saya khas buat para peminat yang banyak menyokong saya sejak dulu lagi," katanya.

Muka 'Jambu' Fadlan Untuk Lariskan VIP

Posted: 22 Aug 2012 06:16 PM PDT

Fadlan Hazim

PETALING JAYA: Anggota kumpulan VIP, Fadlan Hazim, 20, mengaku dirinya dijadikan sebagai tempelan bagi "melariskan" kumpulan tersebut disebabkan raut wajahnya yang dikatakan comel dan "jambu".

Kata Fadlan, walaupun pihak KRU menjadikan wajahnya sebagai sandaran untuk menambahkan lagi sokongan peminat terhadap kumpulan berkenaan, ia bukanlah ruang untuk dia bermegah-megah dengan kelebihan tersebut.

"Saya mengaku salah satu sebab saya dimasukkan dalam VIP kononnya wajah saya ini digilai golongan remaja. Saya merasakan ia adalah satu kelebihan yang ada pada diri saya dan amat bersyukur mengenainya," katanya kepada mStar Online di sini.

Ditanya bagaimanakah bakat nyanyiannya dalam kumpulan tersebut, Fadlan mengakui vokalnya tidaklah begitu hebat berbanding anggota VIP yang lain tetapi dia sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi kemampuan suaranya.

Dalam perkembangan lain Fadlan sedang mengintai peluang untuk berlakon dalam drama televisyen tempatan selepas sekian lama memandam hasrat tersebut.

"Selama ini saya belum bersedia untuk menjadi pelakon kerana kurang berkeyakinan. Bagaimanapun selepas saya bersama VIP, keyakinan diri semakin bertambah dan saya berharap dapat memperluaskan cita-cita seni saya untuk bidang yang lain," ujarnya.

Mengenai khabar angin yang mengatakan dia terlalu bersandarkan kepada wajah jambunya sahaja Fadlan berkata, tiada guna bagi seseorang artis yang terlalu mengharapkan rupa paras tetapi tidak mempunyai bakat dan kesungguhan.

Katanya, muka jambu seseorang hanya satu kelebihan tetapi apa yang lebih penting ialah bakat yang hendak dijual kepada orang ramai.

"Saya tidak menganggap muka saya ini mampu membawa kejayaan sepenuhnya kepada saya kerana ia hanya satu kelebihan. Selebihnya adalah bakat yang perlu dibina dengan memperbanyakkan lagi ilmu dalam bidang yang dipilih," jelasnya.

Wana, Keluarga Raikan Lebaran Di Panggung Wayang

Posted: 22 Aug 2012 06:15 PM PDT

Wana

PETALING JAYA: Penyanyi Wana mengambil pendekatan berbeza dalam menyambut Aidilfitri dengan menonton wayang bersama-sama keluarganya di Johor Bahru (JB), Johor.

Wana atau nama sebenarnya Noriezuana Syed Shafudin berkata, walaupun ramai yang berasa janggal dengan cara keluarganya menyambut hari pertama lebaran, namun ia adalah salah satu rutin wajib yang mesti dilakukan setiap kali tibanya Hari Raya.

"Biasanya saya dan keluarga akan berkumpul beramai-ramai dan kemudian kami berjalan-jalan meluangkan masa bersama. Dan semestinya menjadi rutin wajib buat kami untuk menonton filem-filem terkini di panggung wayang.

"Maklumlah, di JB tidak ada suasana kampung, maka 'mood' raya agak berbeza sedikit. Bagaimanapun kami sekeluarga akan ke rumah atuk di Larkin Jaya untuk bersalam dan bermaaf-maafan," katanya.

Bagaimanapun tambah Wana, kesibukan menyediakan juadah Aidilfitri adalah perkara wajib dan antara juadah yang mesti dimasak ialah serunding, kuah lodeh dan sambal kacang.

"Cuma satu saja yang saya tak suka, apabila atuk meminta untuk mengacau serunding, semua akan lari entah ke mana. Maklumlah nak buat serunding, ia mengambil masa yang lama kerana nak tunggu inti kelapa serunding itu menjadi kering.

"Jadi, sayalah yang menjadi mangsa kerana saya sahaja cucunya yang belum berkahwin," ujarnya.

Dalam pada itu, wujud perasaan sedih dalam hati penyanyi ini apabila dia begitu teringin merasai pengalaman menyambut Aidilfitri bersama ayahnya yang dikhabarkan telah pulang ke Pakistan sejak usianya 12 tahun.

"Setiap kali Syawal, walaupun dah lama ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga, perasaan rindu tak pernah luput di hati.

"Syukurlah, ibu tabah menghadapi dugaan, tambahan pula diberi sokongan daripada kaum keluarga," tuturnya.

'Dande Lion' Jenama Pakaian Kanak-Kanak Juliana Ibrahim

Posted: 22 Aug 2012 06:10 PM PDT

Juliana memberitahu memang meminati bidang fesyen dan ingin memberikan tumpuan kepada pakaian kanak-kanak.

PETALING JAYA: Pelakon Juliana Ibrahim bakal muncul dengan jenama pakaian kanak-kanak di bawah labelnya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Juliana, 33, berkata, dia mengambil keputusan untuk memiliki label pakaian yang diberi nama "Dande Lion" selepas melancong ke Bali, Indonesia baru-baru ini.

"Semasa saya melawat ke Bali saya terjumpa sebuah butik yang menjual pakaian kanak-kanak dan pemiliknya bertanya dengan saya jika berminat untuk menjadi pengedar di Kuala Lumpur.

"Saya bersetuju dan mendapat hak eksklusif untuk menjual pakaian tersebut," katanya kepada mStar Online.

Ditanya mengapa dia memilih untuk menjual pakaian kanak-kanak, Juliana memberitahu dia memang berminat untuk terlibat dalam bidang perniagaan selain faktor dirinya sebagai ibu kepada dua cahaya mata.

Dalam pada itu, Juliana memberitahu buat sementara waktu pakaian kanak-kanak untuk bayi baru lahir sehingga 10 tahun itu hanya akan dijual secara dalam talian selain dan akan dipamerkan di beberapa butik terpilih di ibu negara.

Juliana dan keluarganya berhari raya di Shah Alam pada tahun ini.

Menurut Juliana, dia enggan terlalu tergopoh-gapah dengan membuka butik sendiri dan mahu melihat keadaan pasaran terlebih dahulu.

"Jika nak berjaya saya percaya kita kena mula dari bawah dan tidak terburu-buru mengejar kejayaan," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai sambutan Hari Raya, Juliana dan keluarganya akan menyambut Syawal di rumah ibu bapanya di Shah Alam, dekat sini.

Sedang hamil anak ketiganya, Juliana menganggap dirinya bertuah kerana tidak pernah bertekak dengan suami, Palle Aardewerk mengenai lokasi untuk pulang berhari raya.

"Memandangkan suami seorang warganegara Belanda jadi kami tidak perlu bertekak untuk menyambut Hari Raya.

Tambah Juliana, anak-anaknya iaitu Luna Allysa, 3, dan Alaia Zahira, 2, paling seronok dengan ketibaan Syawal kerana dapat bertemu dengan sanak saudara.

Begitu juga dengan suaminya yang begitu gemar menikmati rendang ayam dan ketupat.

Tak berbaloi nak cantik

Posted: 22 Aug 2012 06:09 PM PDT

TAK BERKUALITI...kanta lekap yang menyebabkan penglihatan Nabila menjadi kabur.
TAK BERKUALITI...kanta lekap yang menyebabkan penglihatan Nabila menjadi kabur.

KLANG: Gara-gara memakai kanta lekap berwarna jenis murah dan tidak berkualiti, seorang gadis berusia 18 tahun dari Kapar, di sini, kini berdepan masalah penglihatan sehari selepas memakainya.

Nabila Rosli yang membeli kanta lekap itu dengan RM25 sepasang di Seremban, Khamis lalu, berkata sejurus bangun daripada tidur esoknya, dia tidak boleh melihat apabila kedua-dua mata sakit dan membengkak teruk.

Kejadian itu turut menyebabkan penglihatan mata pelajar kolej di Seremban itu menjadi kabur selama dua hari.

Malah, sambutan Aidilfitri yang sepatutnya ceria bertukar muram berikutan dia tidak boleh berjalan jauh disebabkan mata bengkak dan penglihatan kabur.

Ketawa penawar duka Didie, Jihan

Posted: 22 Aug 2012 06:07 PM PDT

SIBUK...Didie bersama Jihan mewarnai musim raya tahun ini dengan pelbagai program TV.
SIBUK...Didie bersama Jihan mewarnai musim raya tahun ini dengan pelbagai program TV.

TATKALA kebaya rekaan klasik membaluti tubuh mereka, lengkap bersanggul dengan sekuntum bunga, lekas pesona wajah Didie Alias dan Nuur Jihan Musa terus menyerlah.

Mungkin sudah selalu sangat kita melihat Didie muncul dengan fesyen moden yang pelik-pelik persis Lady Gaga manakala Jihan pula suka bergaya kasual, lantaran solekan khas sempena Syawal kali ini menampakkan lagi sudut feminin mereka.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Jihan Musa yang juga naib juara program Raja Lawak 3 kelihatan begitu mesra dengan Didie yang dianggap sebagai kakak dan senior dalam bidang lawak jenaka. Mereka kerap usik-mengusik ketika jurugambar merakamkan aksi mereka kerana ada-ada saja ayat-ayat lucu terbit daripada mulut mereka.

Namun apabila diwawancara, nada suara Didie menjadi semakin serius."Dalam hidup ini, saya bukannya ketawa 24 jam. Walaupun orang nampak saya 'happy go lucky' dan selalu ceria di luar set atau di rumah, saya macam wanita lain juga. Malah sebagai wanita dan ibu, hati saya juga mudah tersentuh - sama seperti orang lain juga. Kelakar menjadi sebahagian daripada imej untuk periuk nasi saya membesarkan anak-anak. Ada masa kita kelakar dan ada masa saya juga sangat serius.


"Kadang-kadang orang tengok kita ketawa tapi orang tidak tahu di dalam hati, kita juga ada masalah, menangis dan berendam air mata.

"Alhamdulillah sekarang rezeki saya murah Tuhan beri. Banyak pihak menaruh kepercayaan kepada bakat saya dan sebagai balasan saya kena bagi yang terbaik kepada penonton.

"Mungkin semua itu berkat kerja keras dan kesabaran yang saya lalui selama ini. Tidak ramai yang tahu saya pernah melarat dan merangkak sebelum ini. Untuk sampai ke tahap sekarang memang susah perjalanan kerjaya saya.

"Namun saya sentiasa berusaha dan tidak pernah menyerah kalah. Saya perbaiki mutu persembahan saya terutamanya lakonan dan bidang pengacaraan untuk sampai ke tahap ini. Syukur kepada Tuhan," ujar Didie sambil membetulkan kerongsang di kebaya.

Mula dikenali melalui filem Kanta Serigala, Ghazal Untuk Rabiah dan Boss, Didie pernah tenggelam seketika kerana meletak fokus kepada keluarga dan membesarkan anak-anaknya iaitu Dhaniyah yang sudah berusia 19 tahun, Dhanial, 18, (menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak), Dinie, 16, Danie, 14, serta Diyana 13.

Didie yang kini berkahwin dengan bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail nyata mendapat semangat baru untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

Dia bukan saja semakin hebat menjadi pengacara bagi acara anugerah berprestij, malah pernah dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, April lalu.

Akhir-akhir ini Didie banyak berlakon cerita komedi seram seperti Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Pelesit.

Menyentuh cerita rayanya, wanita yang tidak lekang berjenaka sambil mengusik suaminya yang kini bertindak selaku pengurus itu, lebih banyak memberikan tumpuan kepada anak-anak kalau dia tidak berlakon atau terbabit dengan acara pentas.

"Bezanya kali ini, dua anak saya sudah tidak tinggal bersama lagi kerana masing-masing belajar di asrama. Jadi suasana riuh-rendah di rumah kami agak kurang sedikit dan membuatkan saya rasa sayu dan sedih kerana selalu rindukan mereka.

"Namun jujurnya saya bersyukur kerana berjaya membesarkan mereka dengan pendidikan yang secukupnya demi masa depan. Kita belajar tidak pandai, jadi biarlah anak-anak yang lebih berjaya dalam pengajian.

"Untuk raya kali ini, saya tidak membuat persediaan besar, cukuplah baju raya sekadar yang perlu, kuih-muih dan keperluan anak-anak. Kami sekeluarga pulang beraya di Johol, Negeri Sembilan dan kemudiannya di keluarga saya di Melaka," katanya.

Bagi Jihan pula, satu-satunya pelakon komedi wanita angkatan muda paling menyerlah masa kini, cerita karier lakonannya cukup berbeza.

Anak kedua daripada empat beradik yang kini berusia 29 tahun ini akui karektor kelakar dengan personaliti bersahaja sudah sinonim dengannya.

Meskipun awalnya jenaka hanya dijadikan batu loncatan semata-mata, hari ini anak kelahiran Selangor ini terus menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa sehingga dia sudah dilabel pelakon komedi.

"Saya asalnya adalah penggiat teater kecil. Banyak pengalaman yang saya timba dalam pementasan tapi semuanya mula berubah sebaik saya diterima masuk ke dalam Raja Lawak. Sejak itu juga, saya sudah tidak ada masa lagi untuk kembali mengikuti gerakan teater seperti dulu kerana jadual lakonan yang bertambah banyak. Saya amat bersyukur dengan peluang dan ruang yang diberikan oleh produser tempatan.

"Namun tidak dinafikan, ada kalanya rasa rindu sangat berlakon teater itu kembali kerana kepuasannya cukup berbeza. Saya hanya berlawak sekarang kerana itu saja peluang yang diberikan sedangkan saya mampu melakonkan apa saja peranan.

"Bagaimanapun saya yakin dan percaya, satu hari nanti saya akan merealisasikan juga impian untuk menghidupkan pelbagai karektor dan bukan lagi terikat dengan genre komedi semata-mata," katanya yang pernah membintangi drama Pelakon Extra dan Patah Seribu.

Melihat dari sisi berbeza, status pelakon komedi yang ada pada Jihan kadangkala dipermainkan orang.

"Nak menangis pun tak boleh tapi itulah hakikat. Mentang-mentang kita pelakon komedi, ada juga orang yang datang dekat saya dan terus meminta untuk saya buat lawak tanpa sebab. Saya hanya berlawak di pentas lawak dan kalau di luar. Saya juga macam Kak Didie, kami orang biasa. Kalau kita terhegeh-hegeh tidak tentu pasal, orang belum tentu suka atau naik meluat," katanya yang akan pulang beraya bersama ibu dan tiga lagi saudara di Langat, Selangor.

Sepanjang musim raya, wajah kedua bintang ini mewarnai ruang rumah bagi menghiburkan seisi keluarga dengan pelbagai program TV.

Jihan umpamanya muncul drama Order Saja tayangan Astro, Tutty Polkadot dan Konangan di RTM, sitkom Seri Pantun serta menjadi pengacara kepada program Tiada Lama Tiada Baharu juga menerusi RTM.

Didie pula muncul dalam pelbagai program termasuk mengacarakan Sampaikan Aidilfitri dan drama Untung Atas Angin di RTM, Daging Batang Pinang dan Stalista Aidilfitri di Astro dan juga program muzikal Randy Oh Randy.

Bintang komedi dua generasi ini sekali lagi akan dipertemukan dalam sebuah mencuit hati iaitu Pontianak Beraya Di Kampung Batu 2 Setengah yang akan menemui penonton pada 28 Ogos ini, jam 9 malam di Astro Ria.

Rona cerah naikkan seri muka

Posted: 22 Aug 2012 06:03 PM PDT

pix_middle

LANGKAH disusun teratur penuh sopan dan memikat. Berkebaya anggun menawan menyerlahkan kejelitaan gadis Melayu manakala kuntuman bunga menghiasi rambut ikal mayang bersama solekan ceria. Semuanya serba sempurna memperlihatkan keayuan si dara menyambut tetamu di bulan mulia ini.

Bak kata pepatah dari mata turun ke hati, pasti setiap gadis mahukan penampilan sempurna menyambut raya. Bukan saja mengenakan sepasang kurung Pahang merah ceria atau kebaya polos bersulam indah, solekan juga memainkan peranan penting bagi menyerlahkan keanggunan si pemakai. Selain nampak segar dan semula jadi solekan menggunakan rona ceria mampu menambah kemanisan kala melayan tetamu.

  • Foto

    SEBELUM...wajah model sebelum disolek. Memiliki kulit cerah tanpa sebarang cela memberi kelebihan kepada Aida Kurniah Sulaiman, 30.

  • Foto

    ASAS...sapuan bedak asas mampu menutup cela. Namun pastikan pemilihan rona sesuai dengan kulit.

  • Foto

    MATA...untuk tampil menyerlah, gunakan rona ceria ungu dan merah jambu bersama coklat berkilat. Ratakan pada kelopak mata.

  • Foto

    PIPI...pemilihan rona merah jambu pada tulang pipi menyerlah keanggunan wajah.

  • Foto

    BIBIR...sapuan gincu bersama pengilat bibir menjadikan senyuman lebih menawan.

Menurut jurusolek profesional, Arra Farhana, kuasa solekan mampu membuatkan wajah kusam dan lesu bertukar jelita sekali gus meningkatkan keyakinan diri menerima kunjungan tetamu.

"Kebanyakan wanita sering mengabaikan solekan di musim perayaan dengan beranggapan melayan tetamu di rumah tidak perlu berhias cantik, cukup sekadar berpakaian baru. Sebenarnya ia satu tanggapan yang salah. Ini kerana solekan mempunyai kuasa dan daya tarikan tersendiri kerana berupaya menutup kekurangan pada wajah sekali gus menjadikan seorang wanita itu tidak jemu dipandang," katanya.Tanpa jurusolek profesional sekali pun, seseorang itu akan kekal menyerlah sekiranya bijak mengadunkan warna pada wajah, asalkan tidak keterlaluan sehingga menenggelamkan kecantikan asli seseorang.


Teknik menggunakan bedak asas, penutup cela dan bedak debu akan menyembunyikan kekurangan wajah seperti rona kulit tidak sekata, jeragat serta bekas jerawat. Rahsia teknik wajah sempurna terletak pada tiga langkah awal menyediakan kulit wajah sebelum proses mengadun warna untuk mata, pipi dan bibir bagi solekan sederhana. Selesai proses itu, wajah bagaikan sekeping kanvas yang sedia untuk dilukis mengikut gaya solekan diingini.

Bagi solekan kali ini, Arra menggunakan rona cerah seperti ungu, merah jambu dan sedikit kilatan coklat bagi memberikan kesan ceria. Untuk tampil berseri, celak dilayangkan pada kelopak mata dan bawah mata menjadikan mata lebih galak bersinar. Tanpa bulu mata palsu, hanya olesan maskara menjadikan bulu mata lebih lentik dan panjang sekali gus menjadikan anda tampil berbeza.

Dengan paduan warna bedak asas serta pembayang mata bersesuaian, ia mampu menyerlahkan keanggunan wanita.

"Kesannya wajah pucat tampil lebih berseri dengan bedak asas, mata yang kusam kelihatan galak bersinar dengan celak dan rona pembayang mata, selain alis panjang dan lentik dengan olesan maskara," jelasnya yang menasihatkan wanita supaya bijak memilih bedak asas bersesuaian dengan kulit dan tidak berminyak bagi memastikan solekan tahan lama dan tidak diganggu oleh kilatan di sekitar pipi.

Bagi wanita berwajah bulat, teknik bayangan penting bagi menjadikan wajah sedikit bujur. Selepas itu, pilih pemerah pipi merah jambu dan gincu bersama pengilat bibir menjadikan bibir seksi menawan. Setelah lengkap bersolek, pastikan anda menyesuaikan dengan dandanan rambut.

Bagi wanita yang memilih kebaya atau baju kurung Pahang, ikatan rambut dengan kuntuman bunga mampu menyerlah keanggunan atau boleh membuat sanggul kecil untuk lebih kemas dan menawan.

Kelantan Delights akan buka dua restoran di London

Posted: 22 Aug 2012 06:01 PM PDT

Kelantan Delights akan buka dua restoran di London
Kelantan Delights

KUALA LUMPUR - Kelantan Delights Sdn Bhd (Kelantan Delights), satu restoran khusus yang menyediakan masakan popular Kelantan dan selatan Thai, merancang melabur £4 juta (£1 = RM4.86) bagi membuka dua restoran di London bagi menampung permintaan yang semakin meningkat mendapatkan makanan Asia di sana.

Pengerusinya, Sabri Ab Rahman berkata syarikat itu terdorong untuk meneroka pasaran itu kerana status metropolitannya, yang membolehkannya menampung pasaran mewah serta menyasarkan pelanggan perniagaan dan kumpulan berpendapatan tinggi.

"Sasaran jualan kami bagi cawangan London ialah £1.5 juta bagi setiap cawangan dan kami yakin mencapainya."

"Kami juga merancang membuka dua lagi restoran di sana dalam tempoh empat tahun dan selepas itu kami akan mengkaji untuk meneroka Singapura dan Australia," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Kelantan Delights kini mengendalikan dua cawangan -- Subang dan Kuala Lumpur Sentral.

Sabri berkata, syarikat itu yang mengendalikan cawangan itu di sini sejak lebih 14 tahun lepas, menyaksikan jualannya meningkat tiga kali ganda selepas mengubah strateginya pada Januari tahun lepas dengan persekitaran dan perkhidmatan yang baik dan ditambah dengan makanan yang baik.

Katanya syarikat itu merancang membuka dua lagi restoran -- Cawangan Putrajaya dan Johor Premium -- bagi menyasarkan pelanggan perniagaan bagi Putrajaya dan pelancong di Johor Premium, di dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sabri berkata syarikat itu akan melabur sehingga RM2 juta bagi setiap cawangan, di mana separuh daripadanya diperuntukkan bagi infrastrutkur dan bakinya bagi dekorasi dalaman.

Pada tahun lepas, katanya syarikat itu mencatatkan perolehan RM3 juta bagi dua cawangannya di sini dan menjangka meningkatkannya antara 20-30 peratus pada tahun ini.

Lemang Warisan pilihan utama Aidilfitri

Posted: 22 Aug 2012 05:52 PM PDT

Lemang Warisan amat menitik beratkan kualiti lemang yang disediakan.
Lemang Warisan amat menitik beratkan kualiti lemang yang disediakan.
Sukatan santan perlu selari dengan kapasiti beras dalam buluh.
Sukatan santan perlu selari dengan kapasiti beras dalam buluh.
Pulut yang telah dikeringkan dimasukkan ke dalam buluh.
Pulut yang telah dikeringkan dimasukkan ke dalam buluh.
Buluh yang telah dipilih dan diletakkan daun pisang.
Buluh yang telah dipilih dan diletakkan daun pisang.
Persiapan memproses lemang dilakukan bersama pekerja.
Persiapan memproses lemang dilakukan bersama pekerja.
Rohana memasukkan daun pisang ke dalam buluh lemang.
Rohana memasukkan daun pisang ke dalam buluh lemang.

Ketibaan Syawal membawa seribu makna kepada Pengusaha Lemang, Rahimah Kamaruddin berikutan ia menjadi salah satu sumber pendapatan buat keluarganya.

Mula bertapak sejak tahun 1996, pada awalnya penjualan lemang boleh diibaratkan sebagai 'rezeki bermusim' tetapi lama-kelamaan ia mendapat sambutan menggalakkan walaupun bukan pada musim perayaan.

Dahulunya, terkenal dengan jolokan 'Lemang Pak Ali' menerusi keenakan dan kelembutan lemang yang dihasilkan, ia sentiasa menjadi pilihan utama tatkala hari raya.

Sejak 2005, jolokan itu ditukar kepada 'Lemang Warisan' berikutan perniagaan yang diusahakan telah diwarisi kedua-dua anaknya, Mohd Eruan Ramli dan Rohana Ramli.

Warisi teknik pembuatan lemang

Rahimah berkata, menyedari penjualan lemang tidak hanya tertumpu pada musim perayaan, maka teknik dan resipi pembuatannya diturunkan kepada kedua-dua anaknya.

Katanya, Eruan dan Rohana mula mempelajari cara membuat lemang dan sering mengikut ayahnya untuk mencari buluh, santan, dan beras pulut sejak dari sekolah rendah.

"Kini, legasi perniagaan lemang diteruskan dua orang anak saya yang telah banyak mempelajari selok belok pembuatan serta penyediaan bahan bagi menghasilkan lemang.

"Pembuatan lemang mungkin dilihat mudah tetapi kami amat menitik beratkan kualiti khususnya dari segi rasa masin dan lemak," katanya kepada Sinar Harian.

Lebih 3,000 lemang dijual

Rahimah berkata, sepanjang tempoh Ramadan, lebih 3,000 lemang dapat dijual berikutan peningkatan permintaan adalah secara berperingkat.

Katanya, kebiasaannya, dua minggu pertama tidak banyak membakar lemang, purata sehari adalah 30 hingga 40 batang sahaja.

"Minggu terakhir dan awal Syawal, permintaan mula meningkat sedikit demi sedikit setiap hari bergantung kepada keperluan dan kehendak pelanggan," katanya.

Menurutnya, kini, lemang tidak hanya mendapat permintaan pada musim perayaan sahaja, sebaliknya juga pada bulan lain. Cuma kuantiti disediakan sedikit berkurangan.

Harga mengikut saiz buluh

Dia berkata, pelanggan boleh mendapatkan lemang warisan dengan harga serendah RM9 hingga RM16 mengikut saiz buluh.

Katanya, waktu operasi setiap hari adalah bermula jam 9 pagi hingga 11 malam, manakala dua hari sebelum raya pula dibuka 24 jam.

"Sejak menjalankan perniagaan ini, kebanyakannya adalah pelanggan tetap yang akan membeli pada setiap tahun.

"Ada juga di antara mereka yang mengetahui mengenai lemang warisan daripada laman sesawang dan melalui laporan akhbar," katanya.

Rahimah berkata, kekangan masa membuatkan mereka terpaksa membeli buluh daripada peraih orang asli di Pahang. Santan dan pulut juga dibeli daripada pemborong.

Katanya, seperti tahun lalu, pendapatan diperoleh Lemang Warisan dianggarkan mencecah RM15,000 dan ia sebenarnya turut bergantung kepada keadaan ekonomi.

Turut terima tempahan katering

Menurut Rahimah, selain menjual lemang secara terus kepada pelanggan, mereka turut menawarkan perkhidmatan katering.

Dia berkata, banyak tempahan untuk majlis keramaian diterima dan diadakan di pelbagai lokasi termasuk hotel, dewan orang ramai dan sebagainya.

"Tidak hanya tertumpu pada penjualan lemang semata-mata tetapi turut mendapat tempahan katering daripada hotel dan majlis berbuka puasa.

"Bukan itu sahaja, pelanggan mempunyai pelbagai pilihan dan boleh memilih juadah lain yang dijual termasuk rendang, ketupat nasi dan palas, serta kuah kacang," katanya.

Rahimah berkata, beroperasi di Lembah Keramat AU5, sehingga kini, Lemang Warisan mempunyai tiga orang pekerja dan akan menambahnya ketika menjelang Syawal bergantung kepada permintaan.

Katanya, syarikat juga bercadang untuk membuka kilang dan restoran membuat serta menjual lemang dalam masa lima tahun di sekitar Hulu Klang.

Dulu pekan kecil, kini tumpuan global

Posted: 22 Aug 2012 05:49 PM PDT

SEBAHAGIAN penemuan fosil rangka manusia dan tembikar oleh penyelidik USM di Lembah Lenggong yang dipamerkan Muzium Arkeologi.


SALAH satu tajuk berita yang disiarkan sebuah akhbar tempatan awal Julai lalu menyebabkan Muhammad Solihin Abdul Majid terpaku. Anak muda berusia 21 tahun itu lantas menguntum senyum, melirik penuh teruja menggambarkan isi hati dan perasaannya.

Fikirannya tiba-tiba melayang. Tanpa sedar, dia mengimbau kelibat sekumpulan lelaki dan wanita dewasa yang keluar masuk ke sebuah kawasan berdekatan ladang kelapa sawit. Ladang itu terletak tidak jauh dari rumahnya di Kampung Kota Tampan, Lenggong lebih sedekad lalu.

Kumpulan tersebut ialah orang universiti yang berkampung di kawasan itu semata-mata mencari tinggalan sejarah.

Bagaimanapun dalam meniti usia, Muhammad Solihin mula memahami dan menyedari kehadiran mereka bukan sekadar membuat kajian biasa-biasa, sebaliknya meneroka khazanah sejarah jutaan tahun.

Muhammad Solihin mengakui, dia tidak menyangka penerokaan dan kajian yang dilakukan secara berterusan oleh para penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu telah mengangkat Lenggong di persada dunia.

Katanya, kebanggaan terhadap status Tapak Warisan Dunia yang dianugerahkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) semasa bersidang di Rusia pada 30 Jun lalu dikongsi sama oleh 30,000 penduduk Lenggong. Begitu juga dengan ribuan lain yang berasal atau mempunyai pertalian keluarga mereka dengan daerah kecil ini.

"Sebak rasanya apabila saya membaca tajuk berita yang tersiar itu. Lembah Lenggong diisytihar sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO," katanya yang menetap dan bekerja di Lenggong.

Sebelum ini Muhammad Solihin hanya menumpang bangga dengan beberapa penemuan-penemuan besar kumpulan penyelidik USM terbabit seperti rangka Perak Man yang berusia 10,000 hingga 11,000 tahun di Gunung Gua Runtuh dan fosil rangka Wanita Perak pada tahun 2004 di Teluk Gua Kelawar.

Perasaan yang sama turut dirasai Norazam Idzha Mohamed Rashidi. Pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad, Lenggong itu tidak dapat menyembunyikan keterujaannya tatkala ditebak rasa hatinya mengenai pengiktirafan badan dunia tersebut.

"Saya masih ingat bagaimana sukarnya untuk menjelaskan kedudukan Lenggong kepada kenalan. Biasanya saya hanya nyatakan ia sebuah pekan kecil di antara Kuala Kangsar dan Gerik.

"Namun, kini ramai yang sudah mengetahui kedudukan Lenggong. Dahulu tidak ramai yang tahu mengenai kawasan ini," katanya.

Dilahir dan dibesarkan di Lenggong, Norazam Idzha, 19, mengakui dia tidak sabar untuk melihat perubahan yang bakal berlaku di kawasan itu.

Sifat ingin tahu mengenai pengiktirafan Lenggong sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia memuncak.


MALIK REDZUAN, penduduk tempatan menunjukkan serpihan batu suevit yang ditemui di tapak kajian meteorit di Bukit Bunuh, Lenggong.


"Baru saya tahu bukan sembarangan tempat boleh diangkat sebagai tapak Warisan Dunia," katanya bangga.

Apa yang pasti, pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia bertitik tolak daripada penemuan bukti di Bukit Bunuh. Ia merupakan tapak Paleolitik tertua dunia yang berada di luar Afrika dan mempunyai pentarikhan kronometrik.

Migrasi kuno

Ia disahkan sebagai salah sebuah tapak Paleolitik terpenting di dunia kerana mendedahkan sebuah kompleks Paleolitik seluas empat kilometer persegi dengan pentarikhan lebih 1.83 juta tahun, 40,000 dan 30,000 tahun dahulu.

Biarpun teori Out of Africa mengaitkan setiap manusia mempunyai hubung kait turun-temurun dengan sekumpulan homo sapiens yang merantau keluar dari Afrika, namun migrasi kuno itu mempunyai jejak signifikan di sebuah tempat di negara ini.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof. Dr. Mokhtar Saidin, terdapat bukti menunjukkan bahawa penempatan manusia prasejarah di Lembah Lenggong telah wujud sejak 1.83 juta tahun lalu.

"Manusia terawal di dunia dibuktikan wujud di Afrika dua juta tahun dahulu, tetapi di Lenggong ia tertua di luar Afrika.

"Penemuan ini menyaingi bukti dunia yang mengatakan manusia terawal wujud di luar Afrika hanya bertapak di Dmanisi Georgia sekitar 1.8 juta tahun dahulu," katanya kepada Kosmo!.

Bukti-bukti yang ditemui dalam penyelidikan di Bukit Bunuh yang dilakukan sejak tahun 2001 menunjukkan tapak ini dihuni secara berterusan.

"Bukit Bunuh menjadi pilihan kawasan penempatan awal kerana ia menyediakan sumber alam yang diperlukan untuk menyediakan peralatan batu.

"Ia menyediakan persekitaran kuno yang mempunyai sumber air dari tasik kuno, flora dan fauna yang mereka perlukan," kata Mokhtar.

Penggunaan kapak genggam yang diumumkan pada tahun 2009 menunjukkan kawasan ini merupakan satu-satunya tapak Paleolitik dunia yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu.

"Penyelidikan di Bukit Bunuh juga menemukan bukti tentang sebab kemusnahan budaya awal Paleolitik ini akibat jatuhan meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu yang telah dikenal pasti melalui bukti geomorfologi, kehadiran batuan suevit dan geologi kawasan," katanya.


ASID deoksiribonukleik (DNA) kaum Semang beretnik Negrito juga ditemui di Lenggong. – Gambar hiasan


Tambahnya, ekskavasi yang dipelopori oleh penyelidik USM, Prof. Datuk Zuraina Majid di Kota Tampan, Lenggong juga menemui bukti-bukti kewujudan manusia awal menerusi analisis mitokondrial asid deoksiribonukleik (DNA) kaum Semang beretnik Negrito.

Penemuan tersebut menunjukkan kaum berkenaan berasal daripada sekumpulan manusia yang meninggalkan Afrika kira-kira 80,000 tahun dahulu.

Selain itu, penyelidikan yang dijalankan mendapati, penempatan zaman prasejarah iaitu Zaman Paleolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam wujud di Lembah Lenggong.

Penemuan di Bukit Jawa misalnya, hasil pemetaaan paleoalam tapak Kota Tampan mendedahkan penempatan masyarakat Paleolitik yang biasanya di gigi tasik, mempunyai enapan kelilir Sungai Perak yang digunakan untuk membuat alas batu, sekitar 100,000 ke 200,000 tahun dahulu.

Di tapak Gua Gunung Runtuh pula telah ditemui rangka lelaki Perak Man yang merupakan satu-satunya rangka manusia terlengkap prasejarah, dilahirkan dengan kecacatan genetik Brachymesophalangia Jenis A2.

Perak Man yang hidup kira-kira 10,000 ke 11,000 tahun dahulu dan dipercayai mati kerana sakit tua pada usia 40 ke 45 tahun. Berdasarkan kehausan gigi gerahamnya, dia dipercayai manusia tertua berikutan jangka hayat individu pada masa itu antara 20 hingga 30 tahun sahaja.

Rangka manusia

Ciri keunikan Zaman Neolitik di Lembah Lenggong pula boleh ditemui di Gua Harimau apabila 11 pengkebumian rangka manusia berusia kira 2,000 ke 4,000 tahun dahulu dijumpai dengan barangan kiriman seperti bekas tembikar, alatan batu, perhiasan badan dan sisa makanan.

Malah, penemuan tunggal penempatan Zaman Logam di Gua Harimau itu juga menunjukkan logam yang digunakan lebih tua usianya berbanding alatan sama yang ditemui di Sarawak (Gua Niah dan Gua Sireh), Selangor (Jenderam Hilir dan Kampung Sungai Lang) dan Sabah (Gua Agop Atas dan Gua Pusu Lumut).

Sebagai salah seorang individu yang bertanggungjawab menulis cadangan untuk dipertimbangkan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia kepada UNESCO, Mokhtar mengakui beliau yakin segala-galanya berjalan lancar.

Jelasnya, pengiktirafan tersebut amat penting bagi memastikan artifak-artifak yang ada termasuk batu-batu suevit perlu dipelihara sebagai warisan negara.

"Kita juga mahu ia terus diselidiki bagi mendapat gambaran sebenar mereka yang menghuni di kawasan ini sejak lebih 1.83 juta tahun lalu yang sebenarnya berupaya mengubah beberapa teori tentang masyarakat Paleolitik seperti teori normadik dan pergerakan manusia awal," jelas Mokhtar.

Pengiktirafan beri manfaat setempat

Posted: 22 Aug 2012 05:47 PM PDT


PARA peserta Persidangan Antarabangsa mengenai Arkeologi Impak Meteorit di Bukit Bunuh, Lenggong tidak sabar menyaksikan manfaat yang bakal dikecapi di Lenggong.


SATU pelan induk perancangan mesti dirancang dan disediakan bagi memastikan potensi Lembah Lenggong yang diiktiraf UNESCO itu benar-benar memberi manfaat langsung kepada negara khususnya penduduk Lenggong sendiri.

Bagi Pengerusi Majlis Pelancongan Komuniti Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, status Tapak Warisan Dunia itu harus diangkat setinggi mungkin kerana pengiktirafan sedemikian merupakan satu anugerah yang tidak mungkin mampu dibeli dengan wang ringgit.

Beliau yang ditemui semasa meraikan para peserta Persidangan Antarabangsa mengenai Arkeologi Impak Meteorit di Bukit Bunuh baru-baru ini berkata, kini sudah sampai masanya untuk pihak berwajib termasuk kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri Perak menjadikan Lembah Lenggong sebagai destinasi wajib dikunjungi pelancong.

"Bagi warga Lenggong, kita menganggap pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia itu sebagai satu cabaran bagi memastikan kelestarian kawasan berkenaan kekal, namun pada masa yang sama memangkin pertumbuhan setempat.

"Walaupun tapak berkenaan kini di bawah seliaan Jabatan Warisan Negara namun kita komited untuk sama-sama menggembleng tenaga memastikan ia memberi limpahan ekonomi penduduk terutama di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya, Lenggong sememangnya diketahui mempunyai tarikannya tersendiri dan menganggap status Tapak Warisan Dunia keempat negara itu menjadi nilai tambah yang memberi manfaat kepada anak-anak tempatan.

Perasaan bangga

Sebelum ini, bandar Melaka dan Georgetown dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia kategori kebudayaan, Taman Negara Kinabalu (Sabah) manakala Taman Negara Mulu (Sarawak) telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia kategori Tapak Semula Jadi pada tahun 2000.

"Kami bagaikan menumpang tuah. Tanyalah sesiapa sahaja yang menetap di Lenggong mengenai status Tapak Warisan Dunia, semuanya pasti tersenyum bangga.

"Kami juga berterima kasih kepada kesemua pasukan penyelidik USM terutama Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Prof. Emeritus Datin Paduka Dr. Zuraina Majid yang mengelolakan penyelidikan awal tiga dekad lalu.


LENGGONG juga terkenal dengan industri tradisional ikan pekasam Sungai Perak dan boleh didapati di sepanjang laluan Kuala Kangsar-Lenggong.


"Begitupun, kami berharap pengiktirafan ini bukan sahaja melonjakkan nama Lenggong di persada antarabangsa tetapi dapat memberi impak secara langsung ke atas sosioekonomi masyarakat di sini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong optimis, lebih ramai pengunjung akan menjengah sendiri lokasi yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia itu berbanding sebelum ini.

"Peningkatan mendadak pengunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong sejak berita pengumuman pengisytiharan itu jelas menunjukkan ramai yang mahu melihat sendiri penemuan-penemuan arkeologi di sini.

"Saya percaya senario ini akan terus berkembang sekali gus memberi faedah kepada penduduk setempat kerana ia akan mengembangkan industri hiliran sedia ada," katanya.

Jarak Lenggong dari Kuala Lumpur hanya sekadar 340 kilometer dan boleh diakses menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum menyambung perjalanan menggunakan Lebuh Raya Timur-Barat.

"Bagaimanapun, kita menggiatkan usaha menggalak lebih ramai penduduk mengusahakan industri inap desa dan saya percaya, pelancongan agro yang dilaksanakan ketika ini di sini akan melengkapkan pakej pelancongan Lembah Lenggong," katanya.

Shamsul Anuar mengakui, usaha tersebut tidak mampu dilakukan sekelip mata, sebaliknya memerlukan komitmen pelbagai pihak.

Memantau kediaman sepanjang 24 jam

Posted: 22 Aug 2012 05:46 PM PDT



LAPORAN berita mengenai kediaman yang dimasuki perompak sudah acapkali didedahkan melalui saluran media cetak dan elektronik. Pada 12 April lalu, sebuah keluarga di Muar, Johor mengalami kerugian hampir RM60,000 apabila rumah mereka dipecah masuk.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu telah mengejutkan ahli keluarga di dalam sebuah rumah di Jalan Ahmad, Kampung Lenga Batu 31, Muar itu.

Mangsa, Hawa Ahmad, 72, memberitahu, dia dan suaminya dikejutkan dengan jeritan anak lelaki yang tidur di ruang tamu.

"Kami merayu kepada penjenayah itu supaya tidak mengikat tangan kami tetapi mereka yang bersenjatakan parang tidak menghiraukannya.

"Mereka menggunakan kain pelikat suami dan anak untuk menutup muka kami," kata Hawa dalam laporan berita yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia.

Hawa dan keluarganya agak bernasib baik kerana penjenayah terbabit tidak bertindak agresif. Mereka hanya meminta sejumlah wang dan barang kemas.

Dalam kes itu, penjenayah tersebut telah menggeledah bilik dan menjumpai peti besi tempat menyimpan wang tunai serta barang kemas mangsa.

Itu merupakan salah satu daripada contoh jelas mengenai bahaya yang menanti apabila rumah tidak dilengkapi sistem keselamatan yang baik.

Bukan setakat merompak, banyak lagi perlakuan ganas yang mampu dilakukan penjenayah apabila mereka berada dalam keadaan terdesak.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, pasti ramai yang berbondong-bondong pulang ke kampung halaman sekali gus membiarkan rumah masing-masing di bandar tanpa penghuni dan juga pengawasan.

Namun, adakah cukup sekadar mengunci pintu pagar dan meninggalkan pesan kepada jiran tetangga untuk melihat-lihat pekarangan rumah sepanjang ketiadaan anda?

Di pasaran pula, terdapat pelbagai jenis sistem keselamatan rumah yang terdiri daripada siren, sensor dan pengesan berdasarkan tanda yang ditinggalkan penjenayah.

Secara asasnya, terdapat dua jenis sistem keselamatan iaitu sistem penggera berpantau dan sistem yang berdiri sendiri tanpa seliaan.

Pemantauan 24 jam

Menurut Pengurus Besar Rantau Asia Tenggara, Tyco Fire, Security and Services, Salim Mohammad, sistem keselamatan oleh ADT Security merupakan sistem yang terhubung dan dipantau 24 jam.

Pemantauan yang dilakukan dari pusat pemantau di Southgate, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu akan memastikan sebarang situasi kecemasan seperti pecah rumah, kebakaran mahupun perubatan diberi perhatian serta diambil tindakan sewajarnya.

Lazimnya, sistem yang tidak berpantau hanya mengeluarkan bunyi siren yang panjang sebagai amaran kepada orang sekeliling selain bertujuan untuk menakut-nakutkan penjenayah yang dalam cubaan memecah masuk.


FAIZUL NIZAM menunjukkan cara empat gelung perlindungan berfungsi.


Risiko yang dihadapi daripada sistem keselamatan jenis tersebut adalah kemungkinan tiada jiran tetangga berada dekat dengan kediaman yang dipecah masuk itu ketika kejadian berlaku.

Kata Salim, sistem yang berdiri sendiri itu turut dipanggil sebagai 'hanya bunyi loceng' kerana sistem itu beroperasi sebegitu.

"Secara ringkas, sistem ADT mempunyai empat gelang perlindungan yang merangkumi dari luar rumah sehingga ke dalam rumah," terang Salim ketika ditemui di ibu pejabat ADT di Cheras.

Peringkat pertama adalah pada lambang ADT berbentuk oktagon berwarna biru. Lambang tersebut ialah amaran kepada penjenayah yang mencuba untuk memecah masuk.

Seterusnya ialah peranti yang diletakkan pada tingkap dan pintu. Ia akan mencetuskan bunyi penggera yang mencapai bacaan 110 desibel apabila pintu dan tingkap dibuka secara paksaan.

Jika penjenayah masih lagi berani untuk masuk ke rumah, sensor pergerakan yang diletakkan di ruang dalam rumah menjadi rintangan keselamatan ketiga kepada rumah yang dilindungi.

Gelang keselamatan yang terakhir pula ialah sistem pemantauan 24 jam yang ada pada sistem ADT. Telefonis yang bertugas akan membuat panggilan mengikut senarai pemanggil yang diberi tuan rumah berdasarkan prosedur.

Kemudian, tindakan selanjutnya akan dibuat berdasarkan permintaan tuan rumah. Adakalanya insiden itu dibiarkan sahaja kerana sistem penggera itu teraktif akibat kesilapan pengguna sendiri.

"Namun, itu tidak menjadi masalah kerana telefonis kami sentiasa memberi bantuan tambahan lain. Kami turut menyarankan para pelanggan melakukan ujian ringkas pada setiap bulan bagi memastikan sistem mereka beroperasi dengan baik," terang lelaki tersebut.

Kesemua petugas respons yang berada dalam unit pemantauan ADT bekerja dalam sistem 10 syif yang bertindih. Bilangan petugas paling ramai adalah pada waktu puncak.

Secara asasnya, fizikal sistem keselamatan adalah sebuah panel kawalan sama ada berwayar atau tanpa wayar yang dilengkapi siren binaan dalaman dan papan kekunci.

Selain itu, ia dilengkapi dengan pengesan asap, sensor pergerakan, sentuhan pintu dan tingkap, alat kawalan jauh, siren luar serta butang kendalian lain.

Sistem ADT amat mudah digunakan iaitu dengan memasukkan nombor pin untuk mengaktifkan sistem penggera. Sela masa diberikan mengikut kehendak penghuni sebelum ia diaktifkan sepenuhnya.

Penggera akan dihidupkan apabila berlaku cubaan membuka tingkap dan pintu secara paksa. Siren akan berbunyi dan semua data berkaitan seperti waktu, jenis peranti yang menerima signal dihantar terus ke pusat pemantauan ADT.

"Daripada data itu, satu set prosedur akan diikuti telefonis bagi memastikan kesahihan isyarat sebelum tindakan seterusnya diambil.


SALIM (kiri) sentiasa memastikan kakitangannya bersedia menerima sebarang laporan kecemasan dan layanan yang dimahukan pihak pelanggan.


"Mereka harus menjawab setiap isyarat yang sampai serta-merta dan setiap perbualan dipantau," kata pengurus pusat khidmat pelanggan ADT Services, Faizul Nizam Zainal Abidin, 36.

Direka khusus

Di ADT, sistem keselamatan para pelanggan direka khusus berdasarkan jenis rumah, pendawaian dan kawasan liputan yang dimahukan. Kemudian, sebut harga diberikan berdasarkan keperluan pelanggan.

Setakat ini, ADT telah memantau lebih kurang 7.8 juta premis seperti rumah dan kedai di seluruh dunia menggunakan teknologi talian telefon tetap, komunikasi Sistem Mobil Global (GSM) dan terkini protokol internet (IP).

Sistem keselamatan itu boleh digunakan di mana-mana sahaja bergantung kepada liputan talian tetap dan GSM manakala IP pula berguna untuk pemantauan yang menggunakan kamera litar tertutup (CCTV).

Penggunaan IP berserta CCTV atau gajet lain dapat memberikan bukti bergambar secara terus dan pantas kepada pusat pemantauan ADT.

Jadi, isyarat pencerobohan boleh disahkan tanpa perlu membuat panggilan kepada penghuni rumah. Ia beroperasi apabila sensor mengesan pergerakan sekali gus merakam gambar pada saat itu.

Gambar tersebut boleh menjadi bukti apabila mahu digunakan kelak. Ia mudah, selamat, diyakini dan lebih jimat berbanding sistem CCTV lama yang perlu merakam video setiap saat.

"Pada skrin komputer telefonis, terdapat empat, lapan atau 16 petak mewakili bilangan CCTV yang ada di rumah pengguna," terang Faizul Nizam ketika menerangkan informasi yang didapati oleh pusat khidmat pelanggan ADT.

Oleh itu, amat penting untuk sesebuah rumah itu memiliki sistem keselamatan yang boleh dipercayai berdasarkan perkhidmatan dan kaedah pemantauan yang dibuat sepanjang masa.

Lebih daripada itu, kata Salim, pelanggan juga boleh berhubung dengan khidmat pelanggan ADT menggunakan sistem penggera sekali gus menjadikan ia sebuah sistem yang interaktif.

"Pelanggan juga boleh meminta bantuan kecemasan seperti ambulans dengan menekan butang panik," kata Salim sambil menasihati orang ramai supaya mengambil pendekatan yang terbaik bagi mengurangkan risiko pecah masuk kediaman ketika pulang ke kampung pada hari raya.

Cabaran memburu naga

Posted: 22 Aug 2012 05:44 PM PDT


BANYAK pengalaman baharu bakal dirasai pemain yang mengikuti pengembaraan di dalam dunia Dragon's Dogma.


GENRE role playing game merupakan satu genre yang semakin diminati ramai. Antara francais terkenal yang membawa genre ini ialah Final Fantasy, Digimon World, Chrono Cross dan sebagainya.

Jika dibandingkan, genre hack and slash juga tidak ketinggalan dalam dunia permainan video dan komuniti pemain sudah pasti terbiasa dengan siri seperti God of War dan juga Devil May Cry.

Kedua-dua genre itu mempunyai keunikan yang tersendiri dan menarik minat golongan orang yang berbeza. Kini, Capcom telah mengambil inisiatif untuk menggabungkan kedua-dua genre itu ke dalam satu permainan iaitu Dragon's Dogma.

Dengan bertemakan dunia fantasi dan juga survival seram, Dragon's Dogma mempunyai gabungan elemen yang sangat menarik dan boleh didapati pada konsol PlayStation 3 dan juga Xbox 360.

Plot

Plot Dragon's Dogma mengambil tempat di pekan perikanan yang dinamakan Cassardis. Jalan cerita bermula sebaik sahaja pemain selesai membina watak pemain dan seterusnya menunjukkan seekor naga terbang menghampiri watak utama. Naga itu ialah manusia terpilih yang mengambil keluar hati dari tubuh watak pemain.

Namun, watak pemain dihidupkan semula dan dikenali sebagai Arisen yang bermatlamat untuk memburu semula naga tersebut.

Untuk itu, pemain harus menghadapi Seneschal dan jika pemain gagal, watak pemain akan menggantikan tempat naga tersebut untuk mencari hati manusia yang lain. Sebaliknya jika pemain berjaya, watak pemain akan menggantikan Seneschal.

Mekanisme permainan

Dengan menggabungkan dua elemen permainan yang berbeza, Capcom berjaya membuat satu genre permainan video yang unik.

Pada permulaan permainan, pemain diberi pilihan untuk tetapan penampilan watak. Dragon's Dogma juga mempunyai beberapa kelas watak yang berbeza.

Ini termasuklah Magic Archer, Sorcerer Archer, Mage, Assassin, Ranger, Strider, Fighter, Warrior dan Mystic Knight.

Kelas-kelas yang berbeza mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing sepanjang permainan. Contohnya, kelas Fighter bergantung kepada serangan jarak dekat dan Strider pula bergantung kepada kemampuan akrobatik untuk menumpaskan pihak musuh.

Pawn System

Antara faktor yang membuatkan Dragon's Dogma menarik ialah Pawn System iaitu sejenis sistem yang digunakan dalam menentukan pergerakan A.I. (kepintaran buatan) yang mengembara bersama pemain.

Sepanjang permainan, pemain diberikan tiga orang A.I. sebagai ahli kumpulan dan setiap A.I. boleh diberi arahan ringkas. Mereka juga dikenali sebagai pawn yang mampu berinteraksi antara satu sama lain terutamanya dengan pemain.


BERDEPAN dengan pelbagai makhluk aneh dan ganas memerlukan seseorang pemain Dragon's Dogma mengatur strategi dengan baik.


Mereka seringkali memberi info tentang musuh kepada pemain. Info tersebut amat penting dan harus digunakan dengan betul untuk kekal hidup dalam mengalahkan musuh.

Interaksi

Dragon's Dogma membolehkan pemain untuk merenggut pihak musuh dan ini menyumbang lagi kepada ciri-ciri realistik kepada keseluruhan permainan.

Musuh yang berada di dalam cengkaman pemain boleh dibunuh dengan serta-merta oleh pawn yang lain.

Paling menarik ialah pemain juga boleh melakukan perkara yang sama kepada musuh yang lebih besar.

Sebagai contoh, sekiranya pemain berhadapan dengan Troll iaitu sejenis makhluk yang sangat besar dan tinggi, pemain boleh melompat ke atas Troll tersebut sekali gus melancarkan serangan yang lebih efisien.

Namun, pemain harus mencari tempat yang tinggi untuk melakukan pergerakan itu.

Pemain berbilang

Walaupun Dragon's Dogma tidak mempunyai mod pemain berbilang yang begitu menyerlah, pemain boleh menyertai acara atas talian yang dipanggil Events. Dalam Events, pemain-pemain akan digandingkan untuk menjatuhkan pihak musuh. Pemain yang melancarkan serangan membunuh akan diberi ganjaran yang lebih.

Secara keseluruhannya, permainan video Dragon's Dogma merupakan satu lagi kejayaan bagi pihak Capcom. Dengan gabungan dua genre yang berbeza, komuniti pemain pasti menghargai permainan video role playing game dan hack and slash seperti Dragon's Dogma.

Perbaiki bacaan melalui teknik mendengar

Posted: 22 Aug 2012 05:43 PM PDT

SISTEM audio membantu pengguna mendengar dan membaca al-Quran dengan lebih baik.


BULAN Ramadan adalah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain.

Selain melakukan ibadah puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, umat Islam juga digalakkan melakukan pelbagai amalan mulia di sepanjang bulan ini dengan penuh keikhlasan dan pengharapan untuk mendapat keampunan dari Allah SWT.

Salah satu amalan yang boleh dilakukan ialah membaca al-Quran. Namun, niat itu sering kali terbantut disebabkan kekangan masa dan tugas, sedangkan pembacaannya boleh dilakukan pada bila-bila sahaja.

Revolusi terkini teknik pembelajaran al-Quran kini menjadi lebih mudah dan berkesan dengan kehadiran al-Quran digital di pasaran.

Salah satunya yang boleh dijadikan pilihan ialah al-Quran Rasm Uthmani yang dipasarkan oleh Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN).

Menurut Pengarah Projek MAPAN, Mahmud Hishamuddin, idea untuk memasarkan al-Quran digital itu bertujuan membudayakan pembacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak sekolah.

"Pemilik al-Quran ini bukan sahaja dapat mempelajari bacaan ayat-ayat suci al-Quran tetapi proses pembelajaran dapat dilakukan di mana-mana sahaja.

"Proses pembelajaran melalui teknik mendengar juga lebih berkesan kerana penggunanya dapat memperbaiki kelancaran bacaan dengan lebih cepat," katanya.

Ujar Mahmud, pada pandangan mata kasar setiap halaman muka surat al-Quran digital tiada bezanya dengan al-Quran biasa, hakikatnya setiap muka surat kitab suci itu memiliki kod-kod tertentu yang bertindak balas dengan pen pintar yang disediakan.


PEMBELAJARAN al-Quran kini menjadi lebih mudah dan berkesan dengan kehadiran al-Quran digital.


"Ia sangat mudah digunakan dan tidak perlu pengalaman teknikal. Pengguna hanya perlu meletakkan pen pintar ini pada mana-mana surah yang diinginkan dan pen akan mengeluarkan bacaan.

"Menariknya, setiap helaian al-Quran digital ini mempunyai pilihan menu pintar sekali gus menjadikan pembacaan dan pengajaran lebih interaktif," ujarnya.

Telah diperakui dan mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri, Mahmud berkata, al-Quran digital itu menyediakan audio bacaan seluruh juzuk yang disampaikan oleh Qari terkenal Mesir, Sheikh Abdul Baset Abdu Essamad.

"Pengguna tidak perlu berasa ragu-ragu kerana bacaan dan tafsiran yang terkandung dalam kitab elektronik itu dijamin sempurna dari segi tajwid dan maknanya," ujarnya.

Ujarnya, al-Quran digital itu turut mempunyai terjemahan penuh yang disediakan di dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Selain itu, pengguna juga boleh memperbaiki bacaan dan mempelajari Muqaddam, doa-doa harian serta surah-surah lazim di dalam solat yang disertakan bersama," ujarnya.

Dijual pada harga RM450 bagi setiap set, al-Quran digital itu dilengkapi fon telinga, kit pengecas bateri dan jaminan selama setahun.

Bagi yang berminat menjadi pengedar atau mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh menghubungi MAPAN di talian 03-4252 2871/2872/2817.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories