RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Hanis, Aliff bermasam muka?

Posted: 09 Mar 2014 11:16 PM PDT


  • Hanis, Aliff bermasam muka?

BERGELAR artis tidaklah semudah yang dibayangkan. Untuk terlibat dalam dunia hiburan, seseorang itu bukan sahaja perlu memiliki bakat, malah harus mempunyai kekuatan mental serta tahap kesabaran yang tinggi.

Mana tidaknya, selain perlu bekerja keras menjadi yang terbaik, seseorang artis itu juga tidak akan terlepas daripada ancaman kontroversi.

Bukan kali pertama terpalit dengan cerita kurang enak, baru-baru ini dua pelakon muda iaitu Aliff Aziz dan Hanis Zalikha dikatakan saling bermasam muka ketika menjalani penggambaran drama Jodoh 2.

Menjelaskan keadaan yang sebenar, Aliff menafikan khabar angin itu dan menganggap ia hanya rekaan semata-mata.

"Memang kami kurang bercakap di set sebelum ini sebab mungkin waktu itu kami belum ada babak yang perlu dilakonkan bersama.

"Tapi tidaklah sampai bermasam muka, lagi pun saya baharu kenal dia dan tidak ada sebab untuk saya bertindak seper ti itu," ujarnya.

Pada masa yang sama, Hanis juga pelik bagaimana cerita seperti itu boleh ditimbulkan.

"Saya memang pelik bila dengar perkara ini. Saya sendiri tidak tahu apa puncanya sedangkan kami memang tidak ada masalah.

" Walaupun tidak banyak bercakap, tapi kami selalu luang masa bersama krew-krew lain pada waktu rehat sepanjang penggambaran berjalan," jelasnya.

'Biarlah apa orang kata'- Aliff

Baharu sahaja reda dengan kisah percintaan yang tidak kesampaian, kini Aliff sekali lagi dikaitkan dengan seorang wanita.

Kisah ini bermula selepas beberapa keping foto mesranya bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Shazleen tersebar.

Tidak mahu menuding jadi pada mana-mana pihak, Aliff memberitahu perkara itu berlaku atas kecuaiannya sendiri.

"Sebenarnya, gambar tersebut dimuat naik daripada laman Instagram ibu Shazleen. Saya mengenali ibunya terdahulu kerana saya pernah dijemput untuk majlis tertutup yang dianjurkan keluarganya.

"Sejak itu saya rapat dengan ibunya dan secara tidak langsung saya mengenali Shazleen. Kebetulan pula, Shazleen memang minat lagu-lagu saya, mestilah ada perkara yang ingin dikongsi bersama," jelasnya.

Aliff berkata, biarpun perkara itu telah memberi kesan buatnya, namun itu tidak bererti ia akan menjejaskan hubungan baik dengan keluarga wanita itu.

"Bila gambar pertama itu dimuat naik, saya telah jelaskan kepada Shazleen kesan dan sensitiviti gambar itu. Mungkin dia dan ibunya tidak tahu tindakan itu bakal mengundang kontroversi.

"Namun, saya tidak tahu mana silapnya, ada lagi beberapa keping gambar yang dimuat naik. Tapi saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana saya sangat menghormati mereka," ujarnya.

Tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini, Aliff bagaimanapun tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai foto-foto itu.

"Sekarang semua gambar itu telah dipadamkan dan saya hanya anggap mereka tidak tahu apa kesannya. Saya harap perkara ini tidak dipanjangkan.

"Mengenai gambar itu pula saya tidak mahu komen sebab kalau saya buat penjelasan pun orang tidak akan percaya, jadi biarlah apa orang mahu kata," katanya yang juga akui masih berhubungan baik dengan keluarga itu.

Album lebih matang

Bercerita mengenai kariernya, Aliff memaklumkan bakal tampil dengan album ke empatnya pada pertengahan tahun ini.

"Album kali ini sangat istimewa buat saya kerana menampilkan nama-nama yang hebat seperti Faizal Tahir, Panji Sakti dan Awi Rafael sebagai komposer.

"Selain itu juga dalam album ini saya mahu tonjolkan kematangan dan kebolehan saya dalam karier nyanyian.

"Sebagai seorang penyanyi, sebelum ini saya kurang berpuas hati dengan nyanyian sendiri, jadi untuk album ini saya mahu tampilkan kelainan," katanya.

Selain itu, Aliff berkata, salah satu daripada lapan lagu yang dimuatkan dalam album tersebut 'Hari Ini' menceritakan pengalaman percintaannya sebelum ini.

Kami berkawan rapat - Hanis

Walaupun akui hanya berteman rapat dengan aktor, Hairul Azreen namun kemesraan yang terjalin antara mereka sering menjadi perhatian umum.

Malah, ada dalam kalangan peminat mereka gembira jika keduanya menjalinkan hubungan cinta.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kami hanya berkawan rapat dan tidak lebih daripada itu.

"Kami berkenalan sejak sebelum masuk dalam industri lagi dan sebab itulah saya selesa berkawan dengannya," jelasnya.

Pada masa yang sama, Hanis memberitahu dia tidak pernah meletakkan sasaran umur untuk mengakhiri zaman bujangnya.

"Sebelum ini saya mahu kahwin pada usia 20 tahun sama seperti ibu saya. Sebab saya juga mahukan anak yang ramai.

"Tapi sejak berkerjaya, impian itu berubah dan saya mahu lebih fokus pada kerjaya dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan," katanya.

Belajar dari kesilapan

Bercerita mengenai pengalamannya menjalani penggambaran Jodoh 2, Hanis akui pada awalnya agak gugup menerima tawaran ini memandangkan drama itu pernah mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

"Pada awalnya, saya agak risau mengenai penerimaan penonton untuk musim ke dua ini memandangkan musim pertama sudah ada pengikutnya yang tersendiri. Saya takut orang akan bandingkan.

"Tapi setelah diteliti, musim kedua ini tampilkan cerita yang berbeza, jadi sebab itulah saya terima tawaran ini," katanya yang memegang watak sebagai gadis jodoh, Zara Zailan.

Azhael dicop lelaki lembut

Posted: 09 Mar 2014 11:08 PM PDT

SELAIN menyanyi, Azhar menceburi bidang lakonan dengan melakonkan watak utama telefilem, Cinta Di Gerai manakala Hal pula menjadi hos bersama program Propaganza.


BUKAN sekali tetapi sudah banyak kali penyandang tempat kedua dalam program realiti TV, Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Azhael dicop sebagai lelaki lembut.
Itu cabaran yang terpaksa dihadapi artis duo Azhael yang dianggotai oleh Mohd. Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi selepas mereka keluar daripada pertandingan popular itu.
Sedar perkara itu berpunca daripada golongan pembenci (haters) mereka, Azhael mengakui berasa lega kerana para peminat kumpulan itu sejak menyertai AF2013 masih setia bersama mereka sehingga kini. Malah, peminat Azhael kini juga kian bertambah.
Ikuti temu bual Azhael bersama Kosmo! selanjutnya ketika ditemui pada majlis program Propaganza baru-baru ini. Selain itu, Mohd. Azhar juga bercerita tentang pengalaman berlakon sebuah telefilem manakala Hal Husaini pula berkongsi pengalamannya menjadi pengacara.
AZHAEL dianggotai Azhar Osman (kiri) dan Hal Husaini.


Kosmo!: Apakah cabaran yang Azhael hadapi selepas keluar AF2013?
AZHAR: Selepas AF2013 tamat, baru kami rasa dunia sebenar sebagai anak seni. Memang mencabar. Sebabnya, dulu Azhael hanya bersaing dengan rakan-rakan AF2013 tetapi sekarang kami kena bersaing dengan semua artis yang sedia ada.
HAL HUSAINI: Memang masa mula-mula keluar AF2013 dulu kami rasa canggung sebab orang sudah mengenali kami. Kami tidak boleh bebas memakai seluar pendek atau selipar ketika keluar rumah. Sekarang kena jaga penampilan sebab banyak mata yang memandang.
Kenapakah Azhael berasa canggung untuk memakai selipar dan seluar pendek ketika berada di luar rumah?
AZHAR: Kami pernah ditegur oleh peminat kerana berpenampilan begitu ketika keluar.
Apakah komen-komen negatif lain yang pernah Azhael terima?
HAL HUSAINI: Isu artis duo. Disebabkan kami artis duo dan rapat, ada yang persoalkan hubungan kami. Ada juga yang menuduh kami lelaki lembut.
Apakah perasaan Azhael selepas menerima komen-komen negatif tersebut?
AZHAR: Kami ambil komen-komen itu sebagai positif. Peminat-peminat kami tahu siapa Azhael sebenar. Kami rasa agak gembira juga sebab memperoleh pengalaman sebenar menjadi anak seni. Sebagai anak seni, kami bukan hanya mendapat pujian tetapi juga kritikan yang membina.

DUO ini popular dengan single sulung mereka, Hentian Terakhir.


Apakah yang Azhael lakukan dengan komen-komen negatif itu?
HAL HUSAINI: Kami tidak bidas. Mulut orang, mereka boleh cakap apa yang mereka suka. Kami ambil benda ini secara profesional.
Bagaimana dengan sokongan peminat Azhael sekarang?
AZHAR: Alhamdulillah sokongan peminat Azhael semakin kuat, malah kelab peminat Azhael juga semakin bertambah ahlinya. Setakat ini kelab peminat Azhael, Team Azhael mencecah hampir 50,000.
Apakah aktiviti yang dianjurkan kelab Azhael untuk peminat?
AZHAR: Banyak aktiviti. Antaranya, main boling dan juga bercuti di Pulau Langkawi. Azhael merancang untuk menganjurkan aktiviti untuk peminat setiap bulan.
Apakah projek terbaharu Azhael dalam bidang seni?
HAL HUSAINI: Selepas single Hentian Terakhir mendapat sambutan, kami akan mengeluarkan single kedua pula. Masih belum mempunyai judul, single kedua itu dicipta oleh Omar K dan Audi Mok.
Cerita lebih lanjut mengenai sambutan yang diterima menerusi single pertama Azhael itu?
AZHAR: Kami tidak sangka Hentian Terakhir dapat sambutan hebat daripada peminat. Malah, lagu itu juga pernah menduduki juara carta lagu popular di radio beberapa kali. Kami berterima kasih kepada Team Azhael atas sokongan mereka.
Selain daripada menyanyi, adakah Azhael juga ingin menceburi bidang lain seperti berlakon atau mengacara?
AZHAR: Saya sebenarnya sudah merasai pengalaman berlakon sebuah telefilem berjudul Cinta Di Gerai. Saya membawa watak utama di samping pelakon Erin Malik dalam telefilem yang akan ditayangkan pada bulan Mac ini.
Bagaimana rasanya menjadi pelakon?
Saya rasa sudah cukup saya rasai pengalaman sebagai pelakon kerana ia memenatkan.
Adakah Azhar serik untuk berlakon lagi selepas ini?
Mungkin ini adalah kali pertama dan terakhir saya berlakon. Bagi saya, siapa sahaja yang ingin berlakon mereka kena ada jiwa dan mampu mengawal tekanan dan penat. Jiwa saya lebih ke arah muzik. Kalau ada tawaran selepas ini saya akan meneliti dahulu. Buat masa ini saya hanya ingin fokus menyanyi.
Bagaimana dengan Hal Husaini pula?
HAL HUSAINI: Saya pernah menjadi hos bersama dalam program Propaganza. Pengalaman baharu dan menarik yang saya rasai. Namun, saya juga seperti Azhar yang akan fokus kepada bidang nyanyian.


Bekas penghulu didakwa

Posted: 09 Mar 2014 11:02 PM PDT


ABDULLAH menutup muka semasa dibawa ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan memalsukan 52 dokumen di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang bekas penghulu bakal berhadapan dengan hukuman penjara selama 364 tahun jika didapati bersalah terhadap 52 pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Abdullah@Mohamed Sulaiman, 65, yang hadir ke mahkamah memakai baju hijau dan berkopiah hitam hanya menganggukkan kepala tanda memahami setiap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Adli Abd. Galip.
Mengikut pertuduhan, pada 21 Mei 2012 di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, dia telah memalsukan satu dokumen iaitu Borang Permohonan Mendapatkan Bekalan Baja Padi di atas nama 52 penama (yang dituduh berasingan).


Pelajar ponteng akan diarak dengan van jenazah

Posted: 09 Mar 2014 11:01 PM PDT



HUSSAIN (enam dari kanan) menyatakan sesuatu kepada pelajar yang ditahan kerana ponteng sekolah di Masjid Telipot, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Jabatan Pelajaran Negeri akan bertindak mengarak para pelajar menggunakan van jenazah di seluruh kawasan bandar berhampiran sekolah mereka sekiranya para pelajar itu ditangkap kerana ponteng.
Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tersebut bagi mengurangkan gejala ponteng sekolah di negeri ini.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi mengurangkan pelajar-pelajar terbabit terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral terutama penagihan dadah.


Gitar ikut cita rasa sendiri

Posted: 09 Mar 2014 10:56 PM PDT


SELAIN tempahan, Guitar Hospital juga menawarkan perkhidmatan pembaikan dan pengubahsuaian pada gitar elektrik dan akustik.


BONGKAH kayu pelbagai jenis disusun rapi di bahagian belakang galeri. Perlahan-lahan bongkah sepanjang tiga meter itu diambil dan dipotong menggunakan sebuah mesin sehingga ketebalan antara 42 hingga 45 milimeter.
Penggunaan mesin pemotong itu merupakan salah satu langkah terbaik bagi Raymond Choo Yee Thon, 33, untuk mendapatkan ukuran yang tepat dalam menghasilkan sebuah gitar.
Selesai sahaja kerja-kerja pemotongan, Raymond menggabungkan kayu-kayu berkenaan untuk membentuk badan gitar.
Menurutnya, sebuah gitar elektrik akan menggunakan kira-kira lima hingga 17 kepingan kayu.
"Kebiasaannya saya menggunakan kayu mahogani, ash, alder dan bass yang diimport dari Afrika Selatan.
"Kebanyakan kayu tersebut merupakan kayu tua yang berkualiti tinggi dan amat sesuai bagi pembikinan sebuah gitar," jelasnya ketika ditemui Kosmo! di galeri Guitar Hospital yang terletak di Taman Desa Aman, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Raymond merupakan pemilik galeri tersebut yang menawarkan perkhidmatan pembuatan gitar tempahan khas.
Galeri Guitar Hospital yang juga menjadi tumpuan peminat muzik itu turut menawarkan perkhidmatan membaiki peralatan muzik berkenaan.
Cetusan idea
Mula beroperasi sejak empat tahun lalu, Raymond boleh berbangga dengan pencapaian perniagaan dan kemahiran yang ada setakat ini.
Pada permulaan kariernya, dia hanya menawarkan perkhidmatan membaiki gitar.
KID SEARCH (kiri) memberi pujian terhadap ketelitian hasil kerja Raymond dalam menghasilkan gitar yang memenuhi cita rasanya.


Namun, setelah setahun, dia meningkatkan perkhidmatan yang ditawarkan dengan memperkenalkan servis pembuatan gitar elektrik tempahan khas kepada rakan-rakan terdekat.
"Ketika zaman remaja, tiada pusat khusus yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan membaiki gitar.
"Keadaan itu telah mencetuskan idea penubuhan Guitar Hospital. Boleh dikatakan perniagaan ini satu impian yang menjadi kenyataan," katanya.
Dia menambah, sebelum serius dalam bidang pembuatan gitar, pada tahun 2008, usahanya dimulakan dengan menjual gitar yang diimport dari China.
"Kebanyakan gitar itu mempunyai masalah teknikal sehingga menyebabkan pelanggan merungut.
"Justeru, saya cuba untuk menghasilkan gitar sendiri sebagai pilihan lain kepada pelanggan," jelasnya.
Menceritakan sedikit latar belakang kehidupannya, Raymond berkata, beliau sebelum ini merupakan seorang pemain gitar dalam sebuah kapal persiaran.
"Selama lima tahun saya mengembara ke seluruh dunia dan memperoleh banyak pengalaman terutamanya mengenai instrumen muzik ini," ujarnya.
Tambah beliau, sewaktu bermastautin di Amerika Syarikat (AS), dia telah mempelajari teknik pembuatan gitar daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Jerry, 60.
"Di AS dan Kanada, gitar tempahan khas mendapat permintaan yang tinggi. Malah, perkhidmatan itu juga menjadi tawaran utama kebanyakan galeri gitar di sana.
"Jerry banyak mengajar saya agar menggabungkan elemen-elemen yang diterapkan dalam jenama gitar terkemuka seperti penggunaan perangkap bunyi (pickup), rekaan leher dan badan instrumen dalam pembuatan gitar tempahan khas," jelasnya.
PEKERJA Guitar Hospital menguji intonasi bunyi gitar sebelum diserahkan kepada pelanggan.


Ton bunyi
Menurut Raymond, kebanyakan pelanggan Guitar Hospital mahukan sebuah gitar yang mengikut cita rasa sendiri.
"Pelanggan boleh memilih ton bunyi berdasarkan genre muzik yang mereka minati. Namun demikian, kakitangan kami akan turut membantu dan memberi cadangan terbaik kepada pelanggan," ujar lelaki yang juga merupakan seorang pemuzik jemputan dalam konsert artis popular Hong Kong dan Taiwan.
Raymond menjelaskan, perbezaan ton bunyi pada sesebuah gitar elektrik bermula daripada proses pembuatan instrumen berkenaan.
"Gitar berjenama yang dijual di pasaran seperti Gibson dan Fender mengggunakan bahagian teras kayu yang dikeringkan secara semula jadi selama lebih 10 tahun di kilang luar negara.
"Disebabkan itu, jenama gitar tersebut dijual pada harga yang mencecah puluhan ribu ringgit," katanya.
Tambah beliau, ton gitar yang dibuat daripada kayu berkualiti juga dapat dikenal pasti terutamanya apabila instrumen itu dimainkan.
Memaklumkan bahawa gitar-gitar yang dihasilkan Guitar Hospital adalah berjenama Ray C, Raymond berkata, kayu-kayu yang digunakan biasanya dikeringkan dalam tempoh lima tahun.
Selain pembuatan dan ukiran gitar yang dibuat secara manual, beliau turut dibantu oleh enam orang kakitangan yang menggunakan mesin komputer kawalan berangka bagi memudahkan proses pembentukan rekaan sesebuah gitar.
"Bentuk sesebuah badan gitar bukanlah kayu pengukur kepada penghasilan bunyi yang bagus dan keselesaan ketika memainkan alat muzik ini.
"Sebaliknya ia turut bersandarkan proses pembuatan yang baik dan penggunaan komponen elektronik yang berkualiti," jelasnya.
Dia menambah, selain tumpuan pada badan gitar, bahagian leher gitar yang merangkumi fret iaitu bilah penentu ruang nada dan tombol penalaan tali diperbuat daripada kayu hitam, mapel dan rosewood yang padat juga diberi penekanan.
"Sesetengah bentuk gitar mempunyai rekaan badan dan leher yang bersambung. Manakala ada juga yang menggunakan skru dan gam untuk mencantumkan kedua-dua bahagian tersebut," jelasnya.
Kawalan kualiti
Meskipun baru berusia empat tahun, Guitar Hospital memperoleh tempahan gitar yang memberangsangkan.
Menurut pemiliknya, tempoh untuk menghasilkan sebuah gitar tempahan khas biasanya mengambil masa kira-kira dua bulan dan dijual pada harga RM7,000 ke atas.
Memandangkan perangkap bunyi merupakan komponen utama yang menentukan ton bunyi gitar, kebanyakan gitar yang dihasilkan Guitar Hospital menggunakan perangkap bunyi berjenama seperti Seymour Duncan, DiMarzio dan EMG.
Seorang pelanggan Guitar Hospital, Amirul Ardi Mohd. Ghazali, 32, berkata, perkhidmatan yang disediakan galeri itu menepati cita rasanya sebagai seorang pemain gitar.
Dia yang telah menghantar sebuah gitar elektrik Ibanez RG ke Guitar Hospital untuk melakukan sedikit penambahbaikan pada bahagian kepala gitar (head stock) ternyata berpuas hati mutu kerja yang diberikan.
"Saya meminta agar bahagian itu ditukar kepada bentuk seakan-akan rekaan gitar jenama Ernie Ball Music Man dengan memberi lakaran rekaan kepada mereka.
"Setiap ukiran dan bentuk ubah suai yang dihasilkan sempurna tanpa sebarang cacat cela," katanya sambil memberitahu beliau tidak kisah membelanjakan RM1,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian itu kerana percaya akan kepuasan yang dikecapi.
Amirul Ardi menambah, dia juga sering mendapatkan nasihat teknikal dan perkhidmatan penyelenggaraan gitar di galeri berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Guitar Hospital, Steven Chee Kah Weng, 26, memberitahu, gitar yang ditempah oleh pelanggan mempunyai jaminan seumur hidup dan pihak galeri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap instrumen itu.
Namun demikian, menurutnya, jaminan itu bergantung kepada keadaan dan masalah yang berlaku kepada gitar itu selepas ia bertukar tangan kepada pelanggan.
"Sekiranya kerosakan berlaku kerana kecuaian pelanggan, pihak kami tidak akan bertanggungjawab atas perkara itu.
"Sekiranya pelanggan menghantar gitar mereka untuk diubah suai atau membaiki bahagian kayu gitar, jaminan selama tiga tahun diperuntukkan," jelasnya.
Steven menambah, pihak Guitar Hospital juga memperuntukkan jaminan selama tiga bulan bagi gitar yang dihantar untuk tujuan penyelenggaraan.
"Perkhidmatan kami tidak terhenti apabila gitar yang ditempah telah diambil pemiliknya. Malah, kami memantau kualiti dan keadaan gitar terlibat dengan menghubungi pelanggan dalam tempoh yang dipersetujui," jelasnya.


Hafiz rahsiakan identiti kekasih

Posted: 09 Mar 2014 05:59 AM PDT


HAFIZ mengakui serius tentang hubungan cinta bersama wanita yang dikenali sejak empat tahun lalu.


MESKIPUN baru berumur 24 tahun, pelantun yang popular menerusi lagu Bahagiamu Deritaku itu tidak main-main dalam percintaan yang dibina sejak empat tahun lalu.
Bermula daripada bertegur sapa, salam perkenalan tersebut berubah menjadi sebuah perhubungan yang serius.
Malah, pemilik nama sebenar, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau lebih mesra disapa sebagai Hafiz Suip sedia memperisterikan wanita yang bertakhta di hatinya itu sekiranya ada jodoh antara mereka.
Bagaimanapun, menurut penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu, masih terlalu awal bagi dirinya untuk mendedahkan identiti wanita tersebut.
"Saya menghormati privasinya sebagai pelajar jadi saya tidak mahu mengganggu pengajiannya. Sejujurnya saya gembira untuk menyatakan bahawa dia satu-satunya wanita yang bertakhta dalam hati. Saya serius tentang hubungan ini. Andai kata dia memang ditakdirkan untuk saya, barulah selesa identitinya dikongsikan bersama peminat," katanya yang lebih selesa berbicara soal kerjaya daripada menjaja kisah cinta.
Tutur Hafiz, dia juga menyenangi wanita tersebut kerana si dia bijak menghormati orang yang lebih berusia.
"Selain itu, dia juga sentiasa mengambil berat tentang diri saya selain memahami kerjaya saya sebagai anak seni yang sentiasa dihimpit jadual kerja yang padat.
"Hubungan yang terjalin juga mendapat restu daripada kedua-dua belah pihak. Bagi saya, restu keluarga amat penting kerana merekalah segala-galanya untuk saya," tambah Hafiz yang buat pertama kalinya diundang untuk menghiburkan para setiausaha dalam sebuah persembahan Minggu Setiausaha bersama Adira dan Afdlin Shauki.
Tiket Hafiz RM780
Program yang bakal berlangsung di Dewan Megah, Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur itu dijadualkan pada 22 April depan.
Bertemakan A Golden Moment With Hafiz anjuran COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn. Bhd., persembahan itu juga bakal menjadi acara yang dinanti-nantikan peminat Hafiz.
HAFIZ dan Adira memiliki sinergi terbaik.


Meskipun sudah hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian, juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu berasakan masih banyak persediaan yang harus dilakukan bagi memastikan acara tersebut berjalan dengan lancar.
"Sebelum ini saya hanya menyanyi tetapi kali ini saya harus menghiburkan tetamu yang hadir.
"Saya akan mempersembahkan 10 buah lagu yang memerlukan persediaan awal. Antaranya adalah bagaimana untuk saya memulakan perbualan sewaktu majlis itu nanti.
"Saya akui sebagai seorang penghibur saya perlu mempunyai kemahiran untuk mengendalikan majlis seperti ini. Saya akan belajar cara berinteraksi dengan penonton melalui laman sosial YouTube sebagai persediaan persembahan itu nanti," kata Hafiz yang bakal menampilkan single baharunya pada persembahan itu nanti.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah COOP Matrade, Hazlinda Anwar menyifatkan pemilihan Hafiz dan Adira sebagai sebuah gabungan penyanyi baharu yang mempunyai potensi luar biasa.
"Hafiz dan Adira merupakan pelapis muda masa depan. Mereka memiliki sinergi yang bagus.
"Pihak kami begitu teruja dan menyokong mereka sebagai darah baharu dalam industri muzik yang akan memberikan kelainan untuk penganjuran kali ini," katanya.
Tiket boleh didapati pada harga serendah RM580 seorang manakala tiket paling mahal mencecah harga RM780 seorang. Tempahan tiket boleh dibuat menerusi talian 03-92005526 atau 012-2013501.


MAS bimbang nasib 239 penumpang

Posted: 09 Mar 2014 05:58 AM PDT


WARIS penumpang pesawat MAS yang hilang tidak dapat menahan kesedihan ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang semalam.


SEPANG - Seramai 239 penumpang hilang apabila pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang mereka naiki dikhuatiri terhempas di Laut China Selatan berdekatan Vietnam setelah ia terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang di Selangor awal pagi semalam.
Tragedi terburuk dalam sejarah penerbangan negara itu berlaku ketika pesawat mewah berkenaan berada di antara ruang angkasa Malaysia-Vietnam di Laut China Selatan kira-kira dua jam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Pesawat MH370 itu berlepas ke Beijing, China pada pukul 12.41 pagi semalam sebelum dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 pagi.
Pesawat B777-200 itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi (waktu tempatan).
Pesawat yang dikendalikan oleh pegawai berpengalaman Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, bersama pegawai kanan Fariq Ab. Hamid, 27, itu turut membawa 12 kru dan dua bayi.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, daripada jumlah tersebut, 38 penumpang adalah rakyat Malaysia manakala yang lain warganegara China (153 termasuk seorang bayi), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3) dan Amerika Syarikat (3 termasuk seorang bayi).
"Selain itu New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories