RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Zatul Reda Keputusan Mohd (Mentor) Bebas Tuduhan Rogol

Posted: 14 Mar 2014 04:49 AM PDT


zz
Zatul reda sekiranya keputusan berpihak kepada Mohd.
PETALING JAYA: Peserta program realiti tv Mentor musim keenam, Zatul mengakui terkejut dengan kenyataan Juara Mentor keempat iaitu Mohd yang mengesahkan dirinya bebas daripada tuduhan merogol.
Zatul atau nama sebenarnya Noor Nazatul Farahin, 25, bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai perkara tersebut dan reda sekiranya keputusan berpihak kepada bekas teman lelakinya itu.
"Biar Allah sahaja yang tentukan. Saya tak tahu nak cakap apa lagi dah dan saya tidak mahu lagi komen berhubung perkara ini.
"Cukuplah saya dan keluarga mendapat malu. Beri saya ruang untuk meneruskan kehidupan saya," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.
Mohd atau nama sebenarnya Mohd Izwan Mohd Nor, 28, menerusi sebuah portal mengesahkan dirinya bebas daripada tuduhan merogol bekas teman wanitanya, Zatul.
Keputusan tersebut telah diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) yang bermaksud tiada tindakan selanjutnya oleh pihak polis dan ia boleh dirujuk di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya.
m
Mohd mengesahkan dirinya bebas daripada tuduhan merogol bekas teman wanitanya, Zatul.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki yang juga juara program realiti televisyen telah di reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Jika disabit kesalahan, penyanyi berkenaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mangsa yang dikatakan teman wanita penyanyi berkenaan dirogol kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada 31 Januari 2013 di rumah pemuda tersebut di Ukay Perdaya, Ampang dekat sini.

Sementara itu, Zatul yang merupakan protege kepada pelakon dan pengacara, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) berharap, selepas ini tiada lagi mana-mana pihak media menghubunginya bagi mengulas isu tersebut.

"Saya tidak mahu media telefon saya untuk bertanyakan kes (rogol) ini. Cukuplah dengan apa yang saya lalui kerana macam mana pun ia dilihat seperti tiada jalan penyelesaian.

"Apabila terjadinya perkara seumpama ini, yang buruknya tetap perempuan. Di dunia mungkin dia terlepas. Jadi, biarlah," ujarnya.

Editor Hiburan mStar Sah Bergelar Suami

Posted: 14 Mar 2014 04:48 AM PDT


n
Niezam bersama isterinya, Siti Noraziah.
PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, editor hiburan mStar Online, Niezam Abdullah, 40, sah bergelar suami kepada Siti Noraziah Sukarni, 26,  dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Pantai Besar, Batu Kurau, Taiping, Perak pada Jumaat.

Akad Nikah disempurnakan oleh Naib Kadi Kariah masjid tersebut, Ustaz Khairi Ahmad. Pengantin perempuan diwalikan oleh abang sulungnya, Za'ba Sukarni.

Niezam sah bergelar suami dengan sekali lafaz.

Niezam memberikan mas kahwin sebanyak RM500 beserta wang hantaran berjumlah RM10,110.10.

Bagaimanapun, tiada barang hantaran disediakan.

Pasangan tersebut telah mengikat tali pertunangan pada Oktober tahun lalu.

Majlis persandingan akan berlangsung pada Sabtu (esok) di Dewan Majlis Daerah, jalan Taman Merdeka, Selama, Perak.

Ustaz Bollywood: Suara merdu pikat peminat

Posted: 14 Mar 2014 04:45 AM PDT


  • Ustaz Haslin Baharim

SETIAP ceramah disampaikan dengan cukup berseni. Penyampaiannya pula cukup bersahaja tetapi penuh bersemangat!. Istimewanya, ia turut diselangi dengan lenggok berlagu daripada potongan suci ayat al-Quran.

Bukan sembarangan lagu, tetapi melodi Hindustan dan penggunaan bahasa Urdu menjadi pilihan utamanya.

Dek keupayaannya itu, nama Ustaz Haslin Baharim sinonim dengan gelaran Ustaz Bollywood dalam persada dakwah tanah  air.

Mengakui akan perkara berkenaan, tokoh agama kelahiran Taiping, Perak itu bagaimanapun tidak kisah dengan gelaran yang diberi.

"Gelaran itu bukanlah saya yang menciptanya tetapi datangnya daripada peminat-peminat tegar, biarpun sudah puas saya menghalangnya.

"Tapi, saya lihat gelaran ini bukanlah satu perkara tidak benar kerana ia langsung tidak memberi pandangan negatif.

"Sebaliknya, ia menjadi rezeki dakwah saya pada masyarakat hari ini," katanya.

Malah, dek kelebihan itu juga, Ustaz Haslin terus menjadikannya sebagai satu pendekatannya dalam berdakwah.

Pernah bercita-cita untuk menjadi penyanyi, maka tidak hairanlah beliau menyampaikannya dengan alunan Bollywood yang cukup baik.

SINAR ILHAMI
'Dakwah satu bentuk hiburan'

Berpeluang menghadiri ceramah agama Ustaz Haslin Baharim yang sinonim dengan gelaran Ustaz Bollywood di Menara Kuala Lumpur, benar-benar membuat hati penulis teruja.  
   
Mana tidaknya, sebelum ini, hanya berpeluang melihatnya 'beraksi' menerusi rancangan Anta Tanya Ana Jawab di saluran Astro Oasis (saluran 106) bersama-sama Angah Raja Lawak yang menjadi perantara.

Bertemu empat mata, melihat sendiri keterbukaannya, sikap berterus-terangnya serta kelucuannya sekali gus menjadikan pendakwah yang berusia 45 tahun itu mudah didekati dan tidak hairanlah jika ramai terpaku mendengar ceramahnya.

Apatah lagi, pendekatannya dalam berceramah juga agak lain daripada yang lain - menggunakan alunan lagu-lagu Bollywood.

"Tidak terlintas langsung untuk menggunakan pendekatan sebegitu tapi mungkin kerana nahu atau suara saya yang mengeluarkan bunyi ada nada ke arah itu.

"Contohnya, bacaan untuk setiap potongan ayat al-Quran, ia dibuat tanpa mengubah apa-apa sebaliknya cuma melagukannya dengan lagu ala-ala Bollywood.

"Lagipun, jiwa manusia ini terlalu sensitif, jadi pendekatan yang digunakan itu menyebabkan orang berminat nak mendengarnya," katanya.

Tambah Ustaz Haslin lagi, tidak dapat dinafikan, manusia pada zaman ini terlalu minat akan dunia hiburan.

"Kita sebagai pendakwah ini, bukan nak ikut rentak jahil masyarakat tetapi biarlah masyarakat tadi, nampak seterusnya boleh mengadaptasikan bahawasanya dakwah juga adalah satu bentuk hiburan.

"Malah, kita juga mungkin boleh jadikan Islamik Entertainment ini sebagai satu program untuk masyarakat," katanya.

Jelasnya, program berbentuk keagamaan juga boleh dibuat dalam bentuk santai agar orang boleh terhibur.

"Sambil berhibur, mereka juga boleh dapat input baik dalam kehidupan mereka," kata lulusan Universiti Islam Abu Bakar, Karachi, Pakistan ini.

Trend artis berhijrah

Dalam pada itu, Ustaz Haslin sempat berkongsi pendapat mengenai trend artis berhijrah kini.

Bicaranya, ini adalah satu perkembangan yang positif dan menarik.

Katanya, trend artis berhijrah ini pasti ada sebab atau puncanya, tetapi antara faktor utamanya adalah disebabkan pendekatan pendakwah itu sendiri.

"Kebanyakan artis berhijrah ini menyertai Usrah Fitrah, dikendalikan oleh ustaz-ustaz yang hebat dalam membimbing mereka.

"Ya, saya nampak mereka mula berubah sejak mengikuti usrah.

"Ditambah pula, ustaz yang membimbing pula sangat 'sporting' dalam berdakwah.

"Oleh sebab itu, jika boleh pendakwah janganlah suka menghukum daripada menasihati," katanya.

Justeru, katanya, pendakwah tidak boleh terlalu tegas atau memaksa dalam berdakwah sementelah lagi dunia hiburan kini sudah terlalu banyak.

"Jika cara dakwah terlalu 'keras', akan menyebabkan orang lari dan bukan semakin dekat.

"Jika tegas pada anak-anak tidak mengapa, tapi untuk publik memang tak boleh buat begitu," jelasnya.

Selain itu, bekas Imam Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor itu turut menasihati orang awam agar tidak memberi komen-komen negatif ke atas penghijrahan artis ini.

"Ada yang kata, baru berubah seminggu dah naik pentas agama.

"Mereka (artis) bukan bagi ceramah agama tapi dia nak berkongsi perubahan yang dialaminya itu," katanya yang juga terlibat dalam Usrah Suci, kelolaan kelab peminat Yatt Hamzah.

Raih populariti

Populariti Ustaz Haslin barangkali boleh disamakan dengan artis-artis masa kini yang sedang meningkat naik.

Ceramah agamanya tidak hanya terhad di corong radio atau kaca televisyen, malah rakaman video ceramahnya juga dimuat naik di laman sosial, YouTube dan berjaya meraih ratusan ribu jumlah tontonan.

Jangan tidak tahu, Ustaz Haslin pernah merakamkan album pertamanya, Zikir Zindagi, atas kerjasama Unicdotmy Pro Sdn Bhd, tahun lalu.

"Terdapat 19 lagu di dalamnya dan rakaman dilakukan dalam masa separuh hari.

"Setakat ini, 40,000 unit sudah terjual.

"Malah, saya baru saja menerima dapat anugerah double platinum," katanya.

Tambahnya, beliau ada menerima tawaran dari pengarah muzik terkenal, Sham Kamikaze, tapi segalanya masih lagi dalam proses perbincangan.

Tidak cukup dengan itu, Ustaz Haslin turut menerima tawaran dari beberapa penerbit terkenal untuk menerbitkan travelog ceramahnya.

Di samping itu, dek popularitinya juga, Ustaz Haslin turut mengakui dirinya terlalu sibuk dan tidak punya masa untuk diri sendiri dan keluarga.

"Kerana kekangan masa juga, ada yang mengatakan saya sombong.

"Saya terpaksa memilih tempat dan masa sehinggakan saya terpaksa berpesan pada pembantu peribadi agar jangan mengambil slot ceramah pada malam hari.

"Saya juga perlukan rehat, malah isteri dan anak-anak saya juga perlukan saya. Tapi dalam kesibukan ini, isteri memang banyak memainkan peranannya terutamanya dalam memujuk anak-anak," kata bapa kepada tujuh anak.

Noh tuju lagu buat Mizz Nina

Posted: 14 Mar 2014 04:44 AM PDT


  • noh hujan

SELEPAS lapan tahun bersama band Hujan, Noh Salleh kini mengorak langkah membuka lembaran baru dalam hidupnya sebagai penyanyi solo.

Sebagai permulaan bergerak secara solo, Noh bakal tampil dengan album pertamanya dengan lima buah lagu baru yang mengetengahkan adunan muzik yang nyata berbeza daripada karya yang pernah dihasilkan bersama band Hujan sebelum ini.

Kata Noh, minatnya terhadap karya muzik jazz dengan elemen pop Nusantara adalah pendorong utamanya untuk bergerak solo.

"Dalam album ini, karya-karya yang saya cipta sendiri yang turut mendapat sentuhan kreatif daripada pemuzik dari Indonesia memang berbeza.

"Menerusi album ini, peminat akan nampak sisi berbeza saya dan saya mengharapkan peminat akan menerimanya," ujarnya.

Selain menampilkan lagu-lagu yang berbeza dari genre yang pernah disampaikan, istimewanya album kali ini turut menampilkan lagu-lagu yang ditujukan khas buat isterinya, Mizz Nina dan ibu bapa serta mertuanya.

"Angin Kencang dan Bunga Di Telinga adalah lagu yang saya cipta khas buat Nina dan Biar Seribu didedikasikan buat ibu dan bapa serta kedua mertua sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

"Mereka dan Hujan banyak memberi inspirasi kepada saya untuk menyempurnakan album ini," katanya.

Selain Angin Kencang, Biar Seribu dan Bunga Di Telinga, lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini adalah Sang Penikam dan Gelung.

Bukan masa bersara

Sekadar ingin berkongsi hala tuju muziknya dengan peminat, Noh ingin lari dari 'bunyi' Hujan dan mencuba sesuatu yang baru.

"Setelah mengharungi pelbagai pengalaman bersama Hujan, saya rasa kini sudah tiba masanya untuk saya mengembangkan lagi karier sebagai artis solo.

"Sebenarnya memang sudah lama saya merancang untuk bergerak sendiri. Sekarang saya ambil keputusan untuk bercuti sebentar bersama Hujan untuk fokus album solo ini," katanya ketika ditemui pada sesi pra dengar album barunya baru-baru ini.

Bagaimanapun, penampilan solonya tidak membawa maksud zaman Hujan bakal berakhir, tapi ia lebih kepada ekspresi secara secara individunya sebagai pemuzik.

Dalam pada itu, Noh akui buat masa ini dirinya belum bersedia untuk meninggalkan bidang seni memandangkan itulah minat dan juga lubuk rezekinya selama ini.

"Nina ada juga beri 'hint' pada saya supaya berhenti daripada bidang ini tapi dia tidaklah mendesak.

"Bukannya saya tidak mahu buat tapi inilah rezeki yang saya ada untuk menyara keluarga, tambahan pula saya ketua keluarga yang ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

"Saya akui 'hint' yang dia beri itu banyak buat saya berfikir. Walaupun belum bersedia sepenuhnya, tapi saya sudah mula memperlahankan aktiviti ini," jelasnya.

'Tolonglah pulang, nak...'

Posted: 14 Mar 2014 04:41 AM PDT


  • 'Tolonglah pulang, nak...'Ismail menunjukkan gambar Syazwany.

JASIN – "Tolonglah pulang, nak... kasihankan mak dan ayah." demikian luah seorang bapa apabila anak perempuannya yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menghilangkan diri sejak 2 Mac lalu.

Ismail Maarof, 62, berkata, kali terakhir anaknya, Syazwany Maarof,17, dilihat bersama isterinya di surau, bagaimanapun secara tiba-tiba menghilangkan diri dengan hanya membawa telefon bimbit.

Menurutnya,  pelbagai ikhtiar telah dilakukan termasuk mencari di sekitar Jasin, namun sehingga kini gagal dikesan, malah panggilan telefon tidak berjawab.

"Sebelum ini, dia kata hendak cari kerja. Tetapi sekiranya kalau dia berbincang secara baik dan memberitahu saya apa kerjanya, sudah pasti saya menerimanya.

"Saya sekeluarga buntu dan tak tahu kenapa dia menghilangkan diri, sedangkan sebelum itu tidak ada salah faham yang berlaku antara kami," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Ismail yang juga Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Bahagia berkata, ini bukan kes pertama anaknya menghilangkan diri apabila dua tahun lalu dia juga pernah bertindak sedemikian, bagaimanapun berjaya ditemui semula.

Berikutan itu, dia merayu kerjasama orang ramai yang mengenali dan pernah melihat anaknya untuk menghubunginya di talian 013-6958849.

Penduduk gempar objek berkilauan di langit

Posted: 14 Mar 2014 04:39 AM PDT


  • Penduduk gempar objek berkilauan di langitPemandu kereta sewa menunjukkan tempat mereka melihat objek seperti kertas dan berkilauan, petang kelmarin.

KUALA KRAI - Pemandu kereta sewa daerah ini dan orang ramai yang melalui jalan berhampiran Pasar Besar Kuala Krai gempar apabila mendakwa melihat objek seperti kertas bersaiz A4 yang berkilauan di langit kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.

Mereka mendakwa, objek berkenaan kelihatan seolah-olah seperti kertas dalam jumlah yang banyak dibuang dari jarak tinggi dan tersusun jatuh.

Dakwa mereka lagi, objek berkenaan dapat dilihat dalam masa kurang satu jam dan ramai pengguna yang memberhentikan kenderaan masing- masing untuk melihatnya.

Ramai yang kagum melihatnya dan beranggapan kesemua itu berlaku atas kehendak ALLAH SWT kerana manusia tidak dapat mencampak apa-apa  barangan daripada ketinggian seperti itu.
Salah seorang yang menyaksikan kejadian tersebut ialah Zalahuddin Ismail, 53.
Pemandu kereta sewa itu menyaksikan sendiri kejadian itu berhampiran stesen kereta sewa selepas dimaklumkan dua wanita yang dipercayai mula-mula melihatnya.

Menurutnya, pemandu kereta sewa yang berada di stesen berkenaan sempat melihat kejadian dianggap pelik itu kemudian diikuti pengguna jalan yang memberhentikan kenderaan setelah dimaklumkan tentang perkara itu.

"Objek seperti ini tidak pernah dilihat sebelum ini dan gambar objek tersebut sukar dirakam kerana kedudukan terlalu jauh.

"Objek ini sesekali kelihatan terlindung di sebalik awan, jatuh sebelum hilang dari pandangan," katanya ketika ditemui pagi semalam.

Zalahuddin berkata, walaupun hanya seketika dapat melihat objek tersebut, dia yakin ia berlaku atas kekuasaan ALLAH SWT.

Rakannya, Hasan Husin, 56, dari Bukit Sireh berkata, dia tidak pernah melihat kejadian seumpamanya sebelum ini.

Dia yakin kejadian berlaku atas kehendak ALLAH  SWT yang mahu manusia sedar semua boleh berlaku dengan keizinan-Nya.
Menurutnya, jalan berhampiran stesen kereta sewa sesak seketika memandangkan orang ramai memberhentikan kenderaan masing-masing untuk turut melihat kejadian luar biasa itu.

Bagi Pengerusi Persatuan Kereta Zewa Kuala Krai, Mohd Yusoff atau lebih dikenali sebagai Abang Pa berkata, seumur hidupnya ini adalah kali pertama dia melihat objek seperti kertas berada di sekitar awan kemudian jatuh.

Menurutnya, objek berkenaan dapat dilihat dengan jelas dan adakalanya terlindung di sebalik awan dan jatuh sehingga jumlahnya berkurangan dan hilang dari pandangan kurang dari satu jam.

Gempar ayat al-Quran hilang

Posted: 14 Mar 2014 04:36 AM PDT


  • Gempar ayat al-Quran hilangDua naskah al-Quran di Maahad Saniah yang dikatakan hilang beberapa muka surat.

PASIR PUTEH - Beberapa hari lalu warga sekolah agama Maahad Saniah di sini, gempar dengan cerita ayat al-Quran hilang beberapa muka surat yang disedari pelajar sekolah berkenaan.

Berikutan itu, pihak pengurusan Maahad Saniah meminta pelbagai pihak tidak memperbesarkan cerita mengenainya kerana tidak pasti sama ada ia benar-benar lesap atau kesilapan percetakan.

Pengetuanya, Rusli Ariffin berkata, pihaknya sudah menyimpan satu naskhah al-Quran milik surau sekolah itu dan satu naskhah al-Quran bersaiz kecil milik seorang pelajar tingkatan tiga.

"Saya ada tengok al-Quran tersebut tapi saya tidak pasti dan sukar untuk saya tentukan sama ada ia silap cetak atau memang betul ia hilang," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan semalam.

Menurutnya, penyebaran mengenai berita kehilangan ayat pada muka surat itu menerusi laman sosial perlu dihentikan kerana kepastian sebenar belum diketahui yang mungkin hanya disebabkan kesilapan teknikal semasa proses percetakan.

Al-Quran milik surau sekolah dikatakan hilang sebanyak lapan muka surat yang mengandungi As Sya'ara dan As Syura yang disedari seorang pelajar.

Kitab suci itu sumbangan orang ramai untuk kegunaan surau yang diletakkan bersama 20 lagi al-Quran cetakan syarikat sama yang menjadi milik surau sekolah berkenaan.

Sementara satu lagi al-Quran bersaiz kecil milik pelajar, Nurulhuda Rozali, 15, disedari hilang 15 muka surat yang mengandungi surah-surah seperti al-Furqan, Nuh, al-Jinn, al-Mursalat, al-Mudatsir, sebahagian surah al-Qiamah, al-Insan, an-Naba', al-Infitar, al-Mutaffifin dan al-Inshiqa'.

Menurut Nurulhuda, al-Quran itu memang selalu dibaca di rumah dan di sekolah tapi sebelum ini dia hanya membaca helaian depan.

"Saya belek ke belakang dan terkejut mendapati muka surat kosong, hanya nama ALLAH yang dicetak warna berbeza yang tidak hilang.
"Saya tidak fikir ia kejadian pelik, saya rasa ia mungkin silap cetak kerana saya tidak pasti sama ada saya pernah membelek helaian tersebut atau tidak sebelum ini walaupun al-Quran itu sudah lama saya simpan,' katanya.

Katanya, al-Quran itu diserahkan kepada guru untuk disimpan selepas menyedari beberapa muka surat hilang cetakannya kelmarin.

Eina diikat tanpa kontrak

Posted: 14 Mar 2014 04:34 AM PDT

EINA menegaskan, sepanjang 13 tahun karier lakonannya, dia tidak pernah melarikan diri dari set penggambaran.


SUASANA ketika sesi temu bual Eina Azman bersama media berlangsung sedikit tegang. Dia ditemui ketika sidang akhbar tayangan perdana filem Zombi Kilang Biskut di 1Utama, Petaling Jaya, Selangor, Selasa lalu.
Eina lebih banyak mengunci mulut daripada melatah, tambahan dia didampingi oleh kakak-kakaknya serta dua wanita lain sebelum dia memberikan 'lampu hijau' butir bicara yang boleh diperkatakan.
Menurut laporan beberapa buah akhbar mingguan Ahad lalu, Eina didakwa nekad melarikan diri dari set penggambaran filem Kuntilanak Ciliwung di Jakarta, Indonesia.
Menurut penerbit Sheunik Sdn. Bhd., Richard Ung, Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, dijadualkan berada di Jakarta dari 19 Februari hingga 4 Mac.
Bagaimanapun, pelakon muda itu mendesak untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi mempromosi filem lakonannya, Zombi Kilang Biskut pada 4 Mac lalu.
Tanpa persetujuan pihak produksi, Eina telah pulang ke Kuala Lumpur pada 24 Februari lalu dan mendiamkan diri walaupun dia dihubungi banyak kali.
Apakah penjelasan Eina berhubung perkara itu? Ikuti temu bual Eina bersama Kosmo!.
Kosmo!: Adakah benar dakwaan Eina lari dari set penggambaran filem Kuntilanak Ciliwung di Jakarta tanpa sebab yang masuk akal?
EINA: Sedikit yang saya boleh katakan, saya tidak diberi kontrak. Bayangkan, bagaimanakah saya mahu meneruskan penggambaran.
Saya bekerja di negara orang, kalau apa-apa terjadi, siapa yang mahu bertanggungjawab dan apakah jaminan saya?
Selain itu, saya juga disuruh berlakon aksi-aksi (panas) di atas katil. Berdasarkan skrip, saya perlu melakonkan babak-babak tersebut.
Khabarnya, Eina dimaki hamun di set penggambaran sehingga membabitkan pelbagai isu dua buah negara. Benarkah?
Saya bukan tak mahu cakap apa-apa tapi saya belajar daripada kesilapan lepas dan saya memang perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan. Takut tersalah cakap nanti saya yang kena teruk. Buat masa sekarang saya mendiamkan diri dulu dan biarkan perunding saya yang akan bercakap.
Bilakah Eina sendiri yang akan mengeluarkan kenyataan bagi memperbetulkan keadaan?
Bukan sekarang. Saya akan aturkan sebuah sidang akhbar untuk menjelaskan semua perkara yang telah terjadi. Nanti nampak macam semua perkara salah saya yang buat, macam kes sebelum ini. Walaupun perkara betul sekalipun orang akan nampak buruknya pada saya.
Apakah yang boleh Eina simpulkan dalam masa terdekat ini sebelum tibanya hari sidang akhbar?
Saya sudah melantik abang Usop Wilcha sebagai perunding saya. Saya tidak suka orang cakap macam-macam pasal saya dan selepas timbul isu itu, ramai produser menghubungi saya bertanyakan hal sebenar. Selama 13 tahun saya berlakon, sampai hari ini saya tidak pernah melarikan diri dari set penggambaran dan tidak akan bising tanpa sebab.


Hunny sanggup ambil risiko

Posted: 14 Mar 2014 04:33 AM PDT


HUNNY MADU kini mahu fokus dan serius dalam bidang nyanyian.


ENAM tahun bagi Hunny Madu sudah cukup untuk menggalas tugasan sebagai penyampai radio Fly FM dan Hot FM.
Hunny atau nama sebenarnya, Hani Farhana Mohd. Hatim, 29, akhirnya melepaskan tugasannya itu pada 31 Disember lalu.
Ia adalah bagi menumpukan perhatiannya pada bidang nyanyian dan syarikat produksi milik keluarga, MTertain Sdn. Bhd.
"Saya bermula sebagai penyampai radio dan ia tempat yang bagus untuk mengasah bakat. Kalau tak jadi penyampai radio, mungkin saya tiada peluang jadi hos program seperti Nasi Lemak Kopi O dan Versus.
"Bagaimanapun, sebelum umur 30 tahun, saya buat keputusan untuk fokus menyanyi, dan ia lebih baik jika saya tidak terikat dengan mana-mana stesen radio.
"Kalau kita menyanyi dan juga menjadi penyampai radio, muzik kita akan mati. Jadi, saya korbankan kerjaya radio untuk jadi penyanyi," ungkapnya ketika ditemui pada majlis pelancaran suatu jenama barangan kemas di KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini
Memilih untuk menyanyi daripada menjadi penyampai radio, Hunny mengakui risikonya. Namun, dalam hidup dia perlu mengambil risiko itu.
"Ada orang cakap lebih baik saya jadi penyampai radio daripada menyanyi. Saya ambil sebaris bait lagu Oh Chentaku sebagai kekuatan iaitu 'baik mati mencuba, jangan mati kecewa'.
"Semua benda saya buat kerana minat tetapi apabila kita sudah kurang minat, baik undur diri daripada beri kesan kepada pasukan," akuinya yang mencintai dunia nyanyian lebih daripada dunia penyampaian radio.
Selama ini, Hunny tidak berpeluang serius dengan nyanyian sebab sibuk dengan komitmen pada radio. Jadi, dia korbankan kerjaya di radio demi mencapai impiannya untuk bergelar penyanyi.
"Selain tu, saya juga kini bergelar penerbit bagi syarikat produksi milik keluarga iaitu MTertain Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu.
"Kami menghasilkan program-program untuk stesen-stesen TV. Setakat ini kami sudah terbitkan dua program iaitu Raikan Cinta dan Destinasi Ria," kongsinya lagi.
Anak Sheila Majid
Bakal melancarkan album mixtape pada April depan, Hunny memilih untuk berkolaborasi bersama anak penyanyi hebat, Sheila Majid iaitu Kayda Aziz.
"Album mixtape ini dibuat untuk promosi sahaja. Maksudnya ia percuma. Album yang berjudul Go Hard Or Go Stan ini menampilkan dua penyanyi rap wanita iaitu saya dan Kayda. Ia akan dilancarkan pada bulan April depan.
"Di Malaysia, belum ada penyanyi rap wanita terutama sekali yang bergabung dalam satu album yang sama.
"Kayda merupakan seorang penyanyi rap wanita yang berbakat dan kebetulan, sambutan hari jadi kami berdua pada bulan April. Jadi, sangat sesuai album ini dilancarkan pada bulan April," jelas ibu kepada seorang anak perempuan yang kini berusia setahun, Eva Medina.
Selain menyanyi dan bertindak sebagai penerbit syarikat produksi keluarga, Hunny juga masih menjadi pengacara TV untuk program Nasi Lemak Kopi O dan Hip TV.
Kata Hunny, dia suka menjadi pengacara TV kerana sentiasa didedahkan dengan maklumat baharu.
"Saya sentiasa berminat menjadi pengacara TV. Menerusi Nasi Lemak Kopi O, saya didedahkan dengan intipati mengenai Malaysia.
"Ia membuatkan saya tahu banyak perkara yang saya tidak tahu selama ini," hujahnya yang kini sudah tiga tahun bersama Nasi Lemak Kopi O dan setahun bersama Hip TV.
Hati hancur
Terlanjur berkongsi cerita mengenai kerjaya, Hunny turut ditanya mengenai anak perempuannya, Eva.
Tidak menolak Eva juga menjadi salah satu punca dia meninggalkan kerjayanya di radio, kata Hunny, baru-baru ini hatinya hancur kerana buat pertama kalinya Eva dimasukkan ke hospital kerana demam virus.
"Anak saya baru lepas baik daripada demam virus. Sebagai ibu, hati saya memang hancur melihat anak saya dimasukkan ke hospital buat pertama kalinya," ujarnya.
Menguis rasa sedihnya yang tiba-tiba hadir itu, kongsi Hunny lagi mengenai Eva, anaknya itu sudah peka dengan persekitaran dan petah berbicara sepertinya.


Aidid tinggalkan TV3

Posted: 14 Mar 2014 04:32 AM PDT


AIDID kini menubuhkan syarikat penerbitan iklan.


TANGGAL 17 Mac 2014 bakal membawa perubahan yang besar dalam diri pengacara dan personaliti TV3, Aidid Marcello, 34, apabila dia mengambil keputusan untuk meninggalkan stesen televisyen tersebut setelah 16 tahun berkhidmat di sana.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran program Terima Kasih Sayang di Restoran Talent Lounge, Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini, bapa kepada empat orang cahaya mata itu ternyata sudah bersedia untuk meletakkan jawatan Eksekutif Produser Pemasaran Kreatif TV Networks yang disandangnya di TV3.
Katanya, walaupun berat hati untuk meninggalkan TV3, namun ini merupakan masa yang paling sesuai bagi memberikan nafas baharu dalam perkembangan kariernya.
Dalam temu bual yang diadakan, Aidid turut berkongsi perancangan masa hadapan dan cerita di sebalik sokongan yang diterima daripada isteri tercinta, Norzie Pak Wan Chek.
Kosmo!: Mengapa Aidid mengambil keputusan untuk meninggalkan TV3?
AIDID: Pada pendapat saya, sudah tiba masanya untuk saya berubah angin dan bergerak secara sendiri setelah 16 tahun berkecimpung dalam bidang penyiaran. Selain faktor umur, saya turut mengambil kira aspek karier dan menginginkan perubahan dalam kerjaya saya.
Apakah perasaan Aidid sebelum membuat keputusan yang drastik ini?
Sejujurnya, saya berasa sungguh berat hati untuk meninggalkan TV3. Dari zaman belajar (bersama Akademi TV3) sehinggalah saya sudah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, hampir separuh perjalanan hidup saya dihabiskan bersama TV3.
Lagipun, saya memang minat dalam bidang pernyiaran tetapi apabila difikirkan tentang masa hadapan, saya harus berpegang pada keputusan saya.
Bagaimanakah reaksi isteri apabila dia mendapat tahu yang Aidid
ingin meninggalkan TV3?
Pada mulanya dia begitu keberatan untuk membenarkan saya meletakkan jawatan kerana saya mempunyai kerja dan pendapatan yang tetap. Namun, lama kelamaan dia mulai faham dan menyokong keputusan saya.
Bagaimanakah pula hubungan Aidid dengan Media Prima selepas ini?
Alhamdulillah, hubungan saya dengan Media Prima masih berjalan dengan baik. Kontrak pengacaraan untuk rancangan Hip TV di TV9 masih berjalan hingga akhir tahun ini. Dalam tahun ini juga, saya masih akan muncul sebagai pengacara untuk rancangan Soccer Kids untuk TV3.
Jadi, Aidid masih bebas untuk muncul di mana-mana stesen televisyen di bawah Media Prima sebagai pengacara?
Ya, jika khidmat saya sebagai pengacara masih diperlukan, saya akan menerimanya dengan hati terbuka.
Apa perancangan Aidid selepas meninggalkan TV3?
Menerusi syarikat produksi saya, Mindques Productions Sdn. Bhd., saya akan menerbitkan iklan-iklan bagi siaran di televi- syen serta video- video korporat untuk syarikat tempatan. Iklan pertama yang diterbitkan oleh syarikat saya ialah iklan untuk syarikat tudung Fareeda.
Selain menerbitkan iklan untuk siaran televisyen, apakah perancangan lain untuk syarikat Aidid?
Saya berminat untuk menerbitkan rancangan dokumentari berbentuk majalah. Kebanyakan stesen televisyen di Malaysia kurang menyiarkan rancangan-rancangan sedemikian. Justeru, apa salahnya untuk mencuba sesuatu yang baharu bagi pasaran dunia penyiaran tempatan.


Air mata Datuk Shake

Posted: 14 Mar 2014 04:31 AM PDT

LAGU Umi begitu bermakna buat semua.


BIARPUN sudah 28 tahun ibunya meninggal dunia, namun setiap kali menyanyikan lagu Umi, penyanyi popular tahun 1980-an, Datuk Shake akan berasa sedih dan menangis.
Sempena pelancaran klip video terbaharu Umi di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh berkongsi rasa rindu dan sedih sejak pemergian ibunya pada tahun 1986 itu.
"Ketika lagu itu dirakamkan pada tahun 1984, umi (ibu) saya masih hidup. Setelah arwah tiada, kalau peminat meminta saya menyanyikan lagu Umi ketika persembahan, saya akan menangis.
"Namun, saya harus profesional mengawal emosi dan tetap menyanyikan lagu tersebut untuk peminat," ujarnya mengenai lagu Umi yang cukup popular pada tahun 80-an itu.
Kini, Shake merakamkan semula Umi dalam versi blues buat peminat-peminatnya.
Merakam klip video Umi di Paris, Perancis, ujar Shake, penggambarannya mengambil masa selama enam hari kerana faktor cuaca yang terlampau sejuk.
Tidak hanya merakam semula lagu tersebut, Shake juga bakal mengadakan konsert amal sempena Hari Ibu di Kuching, Sarawak pada 10 Mei depan selama setengah jam.
Mengapa memilih Sarawak, kata Shake, negeri itu meninggalkan memori yang mendalam kepadanya.
"Selain Sarawak, saya juga merancang untuk mengadakan konsert di Johor Bahru, Sabah dan Kuala Lumpur tetapi saya memilih Sarawak dulu untuk mengadakan konsert amal sempena Hari Ibu kerana ada cerita di sebaliknya.
"Ketika saya membuat persembahan di sana (Sarawak) pada tahun 1986, dengan tiba-tiba telinga saya tidak dapat mendengar muzik yang berkumandang. Saya menjadi pekak seketika. Rupa-rupanya ia petanda bahawa umi sudah meninggal," luahnya sedih.
Selain pemergian ibu yang tidak memberi peluang buat dirinya untuk melihat saat terakhir pemergiannya, Shake mengalami situasi yang sama apabila beliau juga tidak dapat menyaksikan pemergian ayahnya yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada ibunya.
"Ayah meninggal dunia sekitar tahun 1979 dan pada waktu itu saya berada di Perancis, berhijrah menjadi penyanyi di sana.
"Sama seperti ibu, saya juga tidak dapat menyaksikan jenazah ayah, kecuali melihat kubur mereka sahaja. Inilah dua peristiwa yang tidak boleh saya lupakan seumur hidup saya," ceritanya.
Menetap di Perancis
Menyambung bicara, ungkap Shake, konsert dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu akan berlangsung selama dua jam.
Shake juga mengakui akan menyampaikan sebanyak 30 buah lagu popularnya selain beberapa kejutan lain.
"Ini boleh dikatakan antara persembahan terbesar yang bakal saya adakan. Saya tidak akan menghampakan semua penonton yang hadir nanti," ujarnya mengenai konsert amal yang tiketnya berharga dari RM70 hingga RM500 itu.
Mengulas lanjut, jelas Shake, hasil jualan tiket tersebut akan diserahkan kepada kementerian untuk disalurkan ke badan-badan yang memerlukan.
Dalam pada itu, Shake juga memberitahu, akan kembali menetap di Perancis selepas hampir dua tahun duduk di Malaysia.
Ia kerana, Shake mendapat permintaan daripada peminatnya di sana untuk kembali aktif dalam muzik di Perancis.


131 sekolah di Klang ditutup akibat jerebu

Posted: 14 Mar 2014 04:29 AM PDT


KEADAAN jerebu tebal dirakamkan di Lebuh Raya Selat Klang menghala ke Pelabuhan Klang pada pukul 5.15 petang semalam.


SHAH ALAM – Jabatan Pelajaran Selangor meng- arahkan semua 131 sekolah di daerah Klang ditutup serta-merta hari ini berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat semalam.
Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Mahmud Karim ketika dihubungi berkata, arahan telah dikeluarkan oleh pihaknya kepada Pejabat Pendidikan Daerah Klang berdasarkan pemantauan paras jerebu di negeri itu.
Beliau berkata, tempoh penutupan sekolah tersebut akan bergantung kepada tahap bacaan IPU di kawasan itu dan pembukaan semula sekolah di daerah berkenaan akan diumumkan kelak.
Dalam pada itu , menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU bagi daerah Pelabuhan Klang tertinggi dengan 233 dan satu-satunya sangat tidak sihat.


Permohonan faraq ditolak, perkahwinan kedua Raisuddin Hamzah sah

Posted: 14 Mar 2014 04:28 AM PDT



RAISUDDIN (kiri) bersama Siti Fatimah dan Suberi selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor semalam.


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menolak permohonan untuk membubarkan perkahwinan penyanyi tahun 80-an, Raisuddin Hamzah, 58, dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi, 27, tujuh tahun lalu.
Permohonan memfaraqkan perkahwinan itu dilakukan oleh bapa mertua Raisuddin, Suberi Abdullah.
Hakim Syarie Salehan Yatim turut membuat pengesahan pernikahan pasangan itu di Songkhla, Thailand pada tahun 2007 lalu adalah sah dan mengikut syarak.
Keputusan itu dibuat Salehan selepas mendengar dan meneliti hujah peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif yang mewakili Raisuddin.
Bapa kepada penyanyi Siti Sarah itu dinikahkan dengan Siti Fatimah oleh Naib Kadi, Abdul Halim Latif Salleh di Kampung Bana, Ampoichana, Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007.
Berikutan pernikahan berwali hakim itu, Suberi, 54, memfailkan permohonan memfaraqkan perkahwinan tersebut mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 26 Oktober 2007.
Pasangan terbabit bagaimanapun memfailkan permohonan balas bagi mengesahkan pernikahan mereka di mahkamah yang sama.


Lonjak industri permainan video

Posted: 14 Mar 2014 04:25 AM PDT


Golongan muda Pakistan berjaya mencipta pelbagai perisian yang berjaya melonjakkan nama Pakistan dalam dunia permainan video.

Suasana studio We R Play di Islamabad.


LAHORE terkenal sebagai sebuah bandar bersejarah dan berbudaya. Bagaimanapun, generasi baharu berjaya memberikan satu lagi identiti menerusi penciptaan permainan video untuk telefon mudah alih sekali gus mewujudkan Lembah Silikon di Pakistan.
Berkonsepkan pejabat terbuka, pasukan inovasi negara itu bekerja dalam suasana pejabat yang selesa dan menyeronokkan.
Seorang usahawan muda, Babar Ahmed berjaya melonjakkan industri teknologi maklumat di negara itu yang kini bernilai sekitar AS$2.8 bilion (RM9.2 bilion).
Babar, 33, mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera litar di Austin, Texas dan menubuhkan sebuah syarikat perisian, Studio Mindstorm di bandar timur Pakistan pada tahun 2006 dengan saudara lelakinya, Faraz.
Pada hari ini, studio tersebut mempunyai 47 orang pekerja dan menghasilkan beberapa permainan video terkenal seperti Whacksy Taxi, yang pernah menduduki carta teratas paling banyak dilanggani oleh pelanggan dari 25 buah negara di Apple AppStore. Permainan video lain termasuklah Mafia Farm dan Power Cricket, yang menjadi permainan rasmi Piala Dunia 2011.
"Idea-idea ini dicetuskan bagi melonjakkan nama Pakistan dalam dunia permainan video," kata Babar yang mengambil keputusan itu setelah bosan bercakap di dalam bilik lukisan dalam kalangan ekspatriat di Amerika Syarikat.
Mindstorm adalah salah satu daripada beberapa buah studio pembangunan permainan video di Pakistan yang berpangkalan di Lahore. Studio tersebut juga mempunyai cawangan di Islamabad dan Karachi bagi tujuan mengembangkan dan menjayakan permainan video yang dicipta.
"Selepas iPhone dilancarkan, takrif tentang permainan video turut berubah. Peminat permainan video turut berubah sekelip mata," kata Babar.
SERAMAI 24,000 orang bekerja dalam bidang perisian termasuklah penciptaan permainan video di Pakistan.


Modal
Permainan video tradisional biasanya dimainkan pada sistem konsol rumah atau komputer memerlukan berpuluh-puluh pasukan penciptaan perisian dengan modal berbilion.
Bagaimanapun, bagi permainan video untuk telefon pintar, modalnya jauh lebih rendah.
"Ekoran itu, negara-negara di Timur Eropah, Pakistan dan Filipina menjadi antara destinasi untuk perisian penyumberan luar perniagaan," kata Ketua Pegawai Operasi Tintas, Jazib Zahir. Tintas merupakan salah satu studio berpangkalan di Lahore untuk permainan video Fishing Frenzy.
Menurut kerajaan negara itu, seramai 24,000 orang bekerja di bahagian eksport perisian, termasuklah bidang umum seperti perisian kewangan dan penjagaan kesihatan.
"Salah satu kelebihan Pakistan ialah kami mempunyai masyarakat yang terlatih, berkebolehan dan minat yang tinggi dalam membangunkan perisian serta seni. Semua kelebihan itu kemudian digabungkan," tambah Zahir yang juga merupakan seorang wartawan sambilan.

MINAT golongan muda dalam membangunkan industri perisian bantu melonjakkan ekonomi Pakistan.


Di We R Play, sebuah studio yang berpangkalan di Islamabad di pinggir bandar, satu barisan pereka permainan video berusia 20-an sedang sibuk membuat kerja menggunakan komputer masing-masing dalam suasana dikelilingi poster berwarna-warni, mainan mewah dan angka tindakan.
Syarikat tersebut ditubuhkan pada 2010 oleh Mohsin Ali Afzal dan Waqar Azim dengan menggunakan konsep ruang pejabat moden.
"Sejak mula membuka studio ini, kami sudah sepakat untuk tidak meletakkan pembahagi di antara ruang meja dan saya juga tidak mempunyai pejabat yang besar.
"Kami mahu pekerja duduk bersama-sama. Kami turut memberikan wang kepada mereka untuk menghias meja masing-masing," kata Afzal yang kembali dari UC Berkeley pada tahun 2010.
Santai
Ruang kerja dan santai dilihat sebagai 'kunci' di CaramelTech, sebuah studio di Lahore yang ditubuhkan pada tahun 2011 oleh seorang pemuda bernama Saad dan Ammar Zaeem.
Mereka bertanggungjawab untuk pengekodan permainan video popular di dunia pada tahun 2011, Ninja Fruit, yang mempunyai lebih 500 juta muat turun di beberapa platform studio di Australia.
Pejabat tersebut mempunyai bilik permainan yang dilengkapi set meja pool, permainan bola sepak meja dan X-box.
"Setiap hari pada pukul 4 petang mereka akan meninggalkan kerja dan melakukan aktiviti santai di tingkat atas. Kami mahu mencipta budaya orang ramai bukan sahaja bekerja tetapi juga bergembira," kata Ammar.
Selain suasana bekerja yang harmoni, perkara yang turut mencuri tumpuan adalah kesaksamaan jantina di dalam ruang pejabat perisian tersebut.
Jumlah jantina kakitangan yang seimbang membuktikan persepsi penolakan penglibatan kaum wanita dalam pekerjaan telah ketinggalan zaman.
Dalam pada itu, cara pemakaian kakitangan di studio berkenaan juga tidak formal. Mereka hanya memakai seluar jean, baju-T dan bertudung.
Bagi segelintir kakitangan, dengan berpakaian seperti itu mereka menghadapi masalah lain seperti sukar menyakinkan keluarga tentang jenis pekerjaan dan membuktikan mereka mempunyai pekerjaan 'sebenar'.
"Pada awalnya, ibu bapa saya menganggap saya bermain sepanjang hari dan menjadi seorang yang tidak berguna," seloroh ketua We R Play di Jabatan Jaminan Kualiti, Saadia Zia, 24. Dia mengetuai kumpulan yang ditugaskan untuk menghapuskan virus.

SALAH satu ciptaan Studio Mindstorm, Whacksy Taxi mendapat sambutan di 25 buah negara.


Rintangan
Dalam usaha meraih kepercayaan keluarga, mereka turut berhadapan dengan pelbagai isu dan rintangan seperti gangguan kuasa elektrik yang kerap serta rusuhan awam.
"Elektrik tidak berfungsi. Anda perlu melakukan sesuatu untuk menanganinya," kata Babad dari Mindstorm yang merancang untuk menjana kuasa elektrik studio menggunakan panel solar.
Mereka juga terpaksa berhadapan dengan masalah talian telefon yang rosak, ancaman keselamatan dan rasuah di Pakistan.
"Pernah suatu ketika, seorang pemandu mati ditembak di hadapan pejabat kami. Itulah risiko yang terpaksa diambil. Bagaimanapun, risiko itu berbaloi dengan ganjaran diberi," katanya.

Syuhada teruja diberi kepercayaan

Posted: 14 Mar 2014 04:24 AM PDT


KANAN: Nurul Syuhada mengakui teruja apabila dilantik sebagai duta jenama tudung terkemuka buat kali pertama dalam hidupnya.


MULA mengenali jenama tudung Ariani sejak tahun awal kemunculannya, personaliti wanita popular tanah air, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zain, 30, tidak pernah menyangka akan terpilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta bagi jenama tudung premium itu.
Menurut Nurul Syuhada, sewaktu bergelar wartawan penyiaran dan pengacara rancangan Nona di TV3, dia telah ditugaskan untuk membuat liputan mengenai butik Ariani yang baru dibuka ketika itu untuk dimuatkan dalam segmen fesyen.
"Selain itu, ibu juga merupakan peminat setia jenama tersebut dan mempunyai banyak koleksi tudung Ariani. Justeru, saya sering menghadiahkan tudung-tudung Ariani kepada ibu sebagai penghargaan daripada seorang anak.
"Malah, sebelum berhijab dahulu, saya pernah meminjam tudung berkenaan daripada ibu untuk menghadiri majlis-majlis tertentu. Namun, siapa sangka, jodoh saya dan Ariani ditemukan sekali lagi apabila dilantik sebagai duta," ujar Nurul Syuhada ketika ditemui Kosmo! sewaktu majlis pelancaran Previu Eksklusif dari Galeri Ariani yang berlangsung penuh meriah di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Nurul Syuhada, beliau rasa amat teruja dan gembira kerana diberi kepercayaan sebagai wajah baharu Ariani bagi menggantikan Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot yang akan berhijrah ke Australia.
Eksklusif
"Ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai duta fesyen wanita bertudung. Maka, pastinya dengan legasi Ariani sebagai pelopor fesyen wanita bertudung di Malaysia, saya berharap saya dapat meneruskan kejayaan yang telah diperoleh.

BARISAN pelanggan setia Ariani yang memenangi cabutan bertuah melalui peraduan yang diadakan akhir tahun lalu.


"Saya yakin, dengan jaminan mutu fabrik yang berkualiti tinggi, rekaan yang sopan, anggun dan mudah digayakan, Ariani mampu untuk pergi lebih jauh.
"Walaupun pasaran tudung semakin berkembang, kelebihan Ariani dengan penghasilan secara eksklusif dengan jahitan manik dan sulaman sukar disangkal sekali gus memuaskan hati pelanggan," ujar Nurul Syuhada, isteri kepada Raja Amir Shah Raja Azwa yang mula memakai hijab pada bulan Ramadan 2012.
Dilantik secara rasmi sebagai Duta Ariani pada 6 Mac lalu, Nurul Syuhada memberitahu, penyampaian dan gaya kreatif industri fesyen dalam menjual tudung sebenarnya satu perkara yang baik.
Tidak kiralah apa cara yang dilakukan, niat sebenar mereka adalah untuk menarik minat wanita berhijab.
"Jika ada wanita yang membuat keputusan untuk bertudung kerana fesyen itu menarik, maka ia satu perkembangan yang positif. Mungkin daripada mengikut-ikut, akhirnya seseorang wanita itu sudah pasti akan berubah sepenuhnya.
"Jika ini berlaku, secara tidak langsung industri fesyen juga telah melakukan kebaikan kerana berjaya menarik minat wanita yang tidak bertudung untuk menutup aurat seperti yang dituntut dalam Islam.
"Namun, bagi wanita yang sudah pun berhijab atau mahu berhijab, mereka perlu memakainya dengan niat untuk mengikut syariat Islam dan bukan sekadar mengikut aliran fesyen," tegas Nurul Syuhada yang mula dikenali selepas menjuarai program Malaysian Top Host pada tahun 2005.
Peningkatan positif
Mengulas mengenai industri tudung dan busana Muslimah di Malaysia, wanita yang berlesung pipit ini mengakui, ia semakin menunjukkan peningkatan yang positif.
"Kita dapat lihat di pasaran, banyak menawarkan koleksi tudung dari pelbagai jenis, material, warna dan corak.
"Secara tidak langsung, ia membuktikan golongan wanita bertudung kini semakin bijak bergaya dan memiliki cita rasa fesyen yang baik tetapi pada masa yang sama mengekalkan imej Muslimah," ungkap Nurul Syuhada yang akan berusaha merealisasikan visi dan misi Ariani sebagai pengeluar tudung berkualiti tinggi dan eksklusif sekali gus memberi inspirasi kepada wanita yang mementingkan penampilan.
Mula bertapak di Jalan Masjid India bermula April 2008, Ariani pada ketika itu hanya sebuah premis kecil. Tetapi, dalam tempoh enam tahun, populariti jenama itu semakin mendapat tempat di hati pelanggan terutama wanita.

PERTUNJUKAN fesyen yang menampilkan koleksi selendang eksklusif Siti Nurhaliza by Ariani yang mampu menarik perhatian ramai.


Setakat ini, Ariani sudah mempunyai 20 cawangan di seluruh Malaysia dan pihak pengurusan merancang untuk menambah beberapa cawangan baharu menjelang akhir tahun 2015 termasuk di luar negara iaitu Brunei.
Pengarah Eksekutif Ariani, Norhana Sharkhan berkata, melalui rangka promosi yang dijalankan, jenama ini sentiasa menjadi perhatian ramai.
"Pada awalnya, kami mencipta revolusi tersendiri apabila pelapik tudung keras tudung daripada fabrik lycra dan Thai silk yang dihasilkan menjadi item wajib bagi wanita berhijab. Sejak itu, Galeri Ariani terus berusaha untuk tampil dengan pelbagai fesyen tudung bagi memenuhi gaya dan permintaan pengguna.
"Malah, gabungan dua figura terkenal iaitu Nora'asikan Rahmat atau Ekin dan Wardina Safiyyah sebagai duta Ariani berjaya menarik minat pelanggan dengan ketrampilan wajah baharu mereka bersama koleksi tudung Ariani.
"Kini, tugas tersebut digalas pula oleh Nurul Syuhada yang dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk bentuk wajahnya yang sesuai menggayakan apa jua jenis tudung dan personaliti beliau sendiri," tutur Norhana sambil memberitahu, Ariani sering menghadiri pameran tekstil antarabangsa seperti di Paris, Perancis dan Jerman dalam usaha meningkatkan kualiti produk dan pemilihan fabrik seiring dengan fesyen terkini.
Pada majlis itu turut diadakan acara penyampaian hadiah kepada 66 pemenang cabutan bertuah dalam peraduan yang diadakan sempena jualan murah akhir tahun pada 2013 sebagai penghargaan buat pelanggan Ariani.
Hiburkan hadirin
Kesemua pemenang tersebut menerima hadiah berupa karpet eksklusif Iran bernilai RM5,500, telefon bimbit iPhone 5s dan baucar membeli-belah RM1,000.
Salah seorang pemenang, Afiah Ahmad, 40, memberitahu, dia telah membelanjakan kira-kira RM2,000 di butik Ariani cawangan Shah Alam.
"Terima kasih kepada Ariani di atas peraduan yang dianjurkan ini. Saya pasti, ia akan menambahkan lagi kepercayaan pelanggan terhadap mereka," katanya yang berasal dari Johor.
Selain pertunjukan fesyen koleksi tudung terbaharu Ariani, majlis minum petang itu juga, diserikan dengan kehadiran penyanyi No. 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang menyampaikan dua buah lagu bagi menghiburkan para hadirin.
Lelongan amal tudung Ariani juga diadakan untuk tiga koleksi karya agung yang berjaya mengutip dana berjumlah RM23,000 untuk diserahkan kepada badan-badan kebajikan yang terpilih.


Kempen berkelah Sunway Lagoon

Posted: 14 Mar 2014 04:23 AM PDT


ANTARA aktiviti mencabar ditawarkan termasuklah flying fox.


RUANG udara dipenuhi dengan bunyi gelak tawa kanak-kanak yang seronok berkelah di gigi pantai buatan manusia di Pantai Luncur Taman Hiburan Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.
Segelintir mereka teruja membasahkan buku lali dan ada juga yang sibuk mengorek pasir membuat istana idaman masing-masing menggunakan set peralatan mainan pasir.
Seramai 60 kanak-kanak dari rumah kebajikan, Yayasan Sunbeams Home dan City Revival itu dibawa khas untuk berkelah bersempena kempen cuti sekolah School's Out Quack's In yang dilancarkan oleh Sunway Lagoon baru-baru ini.

ORANG ramai mengambil peluang menyejukkan diri dengan melakukan aktiviti air pada musim panas.


Menyokong aktiviti sihat bersama keluarga, Pengurus Besar Yayasan Sunbeams Home, Victor Maniam berkata, kempen tersebut mampu meningkatkan nilai hubungan di antara kanak-kanak dan keluarga.
"Berkelah merupakan salah satu aktiviti paling mudah dilakukan bersama ahli keluarga dan saya pasti anak-anak adalah golongan yang paling teruja.
"Di samping memanfaatkan masa pada cuti sekolah dengan acara sihat, hubungan kekeluargaan juga dapat dieratkan menerusi aktiviti-aktiviti seperti bermain pasir dan luncur air," jelasnya yang turut teruja melihat aksi kanak-kanak dari yayasannya bermain air.

SERAMAI 60 kanak-kanak dari dua rumah kebajikan diberi peluang menikmati perkelahan di Sunway Lagoon sempena pelancaran kempen School's Out Quack's In.


Pengalaman baharu
Tambahnya, menerusi aktiviti tersebut anak-anak dapat menerokai pengalaman baharu dan tidak hanya berkurung di dalam bilik untuk bermain permainan video di komputer.
Selain seronok bermain di tepi pantai sambil menikmati bekalan makanan, anak-anak dari rumah kebajikan itu juga dihiburkan dengan gelagat dua badut nakal dan maskot Captain Quack serta Lady Quack.
Dalam pada itu, Pengarah Perundingan Sunway Lagoon, Bill Holman memberitahu, kempen tersebut menawarkan harga pakej keluarga bernilai RM275.
AKTIVITI go-kart turut disediakan dengan bayaran sebanyak RM20 untuk setiap perjalanan.


"Pakej ini untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak. Kami juga akan memberikan baucar makan percuma bernilai RM20 dan runcit sebanyak RM10.
"Anda juga boleh menambah RM40 untuk mendapatkan set bakul berkelah edisi terhad Sunway Lagoon yang mempunyai tikar dan minuman di dalamnya," jelasnya.
Bersempena dengan kempen cuti sekolah itu juga, pengunjung disarankan mengambil bahagian dalam aktiviti mencari harta karun Cari, Ambil dan Menang untuk berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan.
Bagaimanapun, Holman berkata, acara berkelah bukan sahaja mengenai bermain air dan pasir, tetapi ahli keluarga juga boleh melakukan aktiviti menyeronokkan di 80 jenis tarikan di Sunway Lagoon seperti perjalanan air taman tema terbesar di dunia, Vuvuzela, Waterplexx Lima Dimensi pertama dunia dan Taman Hidupan Liar Interaktif.

UJIAN keberanian anda dengan mencuba terjun lelabah ini.


Tiga taman tema
Aktiviti-aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada tarikan tiga taman tema yang diperkenalkan Sunway Lagoon iaitu Dunia Pengembaraan, Hutan Liar Barat dan Perairan Afrika.
Mengulas lebih lanjut tentang taman hiburan itu, Holman memberitahu, suasana yang diwujudkan memberi peluang kepada warga elit untuk menikmati pengalaman berkelah seperti di tepi lautan sebenar dengan suasana nyaman dan bunyi deruan ombak.
Terdahulu, Sunway Lagoon turut menawarkan aktiviti-aktiviti mencabar seperti terjun lelabah, go-kart, paintball dan G-Force X.
Tiket masuk untuk dewasa dan warga emas bukan warganegara ialah RM120 dan RM90 manakala bagi warganegara dewasa (RM90) dan warga emas (RM65). Waktu operasi bermula dari 10 pagi sehingga 6 petang untuk setiap hari. Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari www.sunwaylagoon.com.my atau hubungi di talian 03-5639 0000.


Mandi hadas di sungai dan pantai

Posted: 14 Mar 2014 04:22 AM PDT



SUNGAI atau pantai termasuk dalam kategori air yang mengalir dan sah untuk mandi hadas di dalamnya.


SOALAN: Assalamualaikum Ustaz. Apakah boleh seseorang itu mandi hadas di sungai atau pantai kerana sedangkan orang ramai turut mandi dan berenang di kawasan tersebut dan mungkin mereka membuang air kecil? Mohon ustaz jelaskan.
JAWAPAN:
Waalaikumsalam. Terima kasih kepada saudara kerana sudi bertanya soalan. Pertamanya, kita perlu tahu bahawa air yang melebihi kadar dua kolah, yakni anggaran isipadunya kira-kira 230 liter atau 52 gelen adalah suci dari najis. Justeru, adalah harus untuk bersuci dan mengangkat hadas besar menggunakan air tersebut.
Sebagaimana yang kita maklum bahawa air sungai atau laut merupakan air mutlak dan sudah pasti melebihi sukatan dua kolah itu. Bahkan, air sungai dan laut sifatnya mengalir dan najis orang yang membuang air kecil tidak mempengaruhi warna, bau dan rasa air sungai atau laut.
Apabila cukup sukatan atau timbangan air sebanyak dua kolah, maka air tersebut tidak dikira najis yang disebabkan oleh benda lain, melainkan ia berubah dari segi warna, bau dan rasa.
Air yang kurang dari sukatan tersebut akan dikira najis (mutanajjis) apabila jatuh najis ke dalamnya, tidak kira berubah sama ada bau, warna ataupun rasa mengikut pandangan mazhab Syafie.
Jika mandi dalam sungai, laut ataupun kolam renang yang cukup sukatannya, hanya cukup setakat menyelam sebanyak dua tiga kali sahaja sambil berniat mengangkat hadas besar. Bagi wanita yang berambut panjang, pastikan air membasahi kulit kepala.


Hebatnya doa seorang ibu

Posted: 14 Mar 2014 04:20 AM PDT


SEPERTI kata pepatah kasih ibu membawa ke syurga, begitulah hebatnya wanita makhluk ciptaan Allah yang perlu dihormati setiap manusia. - Gambar hiasan


SALAM dari Madinah Al-Munawarrah. Firman Allah SWT: "Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku, akan Ku beri dia. Siapa yang meminta ampun, akan Ku ampuni dia."
Duhai wanita, itulah janji Allah SWT. Maka, berdoalah, nescaya Dia akan perkenankan. Lalu saya terkenang kisah seorang anak yang bertahun-tahun merantau jauh ke luar negara. Tiba-tiba hatinya meronta-ronta mahu kembali ke tanah air.
Ia bukan kerana kehilangan pekerjaan atau bukannya hilang tempat berteduh. Bukan. Ia perasaan aneh menyentap jiwa dan perasaan. Hatinya terkenang ibu yang ditinggalkan. Ia rasa kerinduan membuak-buak.
Putaran kenangan semasa kanak-kanak terutamanya ketika dibelai manja muncul silih berganti. Lantas anak itu menyatakan hasrat kepada ibunya, 'Duhai ibuku, daku mahu kembali ke pangkuanmu.'
Allah ya Allah, tiba-tiba hatinya terkenang keperitan ibu membesarkannya di kala hidupnya cukup mudah di negara orang. Rumah modennya kelihatan tidak seceria sebagaimana gobok usang ibunya. Kerusi kenderaan yang dinaikinya tidak seenak belakang dukungan tubuh kering ibunya.
Aneh, tiba-tiba beliau merasai semakin tinggi jawatan yang disandang, semakin canggih ruang pejabat, namun sofa penggalas duduk tidak seempuk ribaan kasih ibu ketika kecilnya.

DOA seorang ibu mampu memberi kebahagiaan dalam kehidupan anak-anak sama ada di dunia mahupun akhirat. - Gambar hiasan


Kerinduan
Beliau nyatakan, 'Daku sering terlena dan bermimpi di sofa ini. Mimpi diri ditikam dari depan dan belakang. Ada masanya kaki disentap ke bawah dan tangan diikat ke atas sedangkan mata ditutup rapat dan mulut dikunci.
Beliau berhempas pulas mahu melepaskan diri. Subhanallah! Akhirnya, beliau terlepas dalam kesusahan.
Hari itulah beliau menangis pilu bermuhasabah diri. Diam-diam beliau terkenang ibu tua yang ditinggalkan sendirian nun jauh beribu batu. Itulah harga mengejar kejayaan di negara orang. Kejayaan dunia ciptaan sendiri.
Lagi, beliau terbayang usapan penuh kasih dan sayang, ketekunan mendengar rintihan apabila dirinya diperlakukan oleh rakan-rakan. Tergambar senyuman ikhlas melihat beliau menerima anugerah kejayaan.
Malah, beliau terkenang air mata ibu mengalir perlahan di hari konvokesyen. Hatinya bertambah sayu mengenangkan air mata ibu membasahi pipi sambil tangan melambai-lambai melihat dirinya berangkat pergi berhijrah. Ia bagaikan lambaian terakhir.
Pada saat dan detik itu, hatinya cekal melangkah gagah tanpa belas meninggalkan ibu yang melambai longlai semata-mata mahu mengejar impian.
Daku punya cita-cita. Ia hanya soal pilihan antara berada di negara sendiri atau ke luar negara. Di sana lebih lumayan. Aku fikir kehidupan ini perlu diteruskan.
Aneh, tiba-tiba sahaja jawatan dan gaji besar di luar negara tiada makna. Jiwa beliau mati kelemasan merindui wajah dan mata bundar ibunya. Tiba-tiba juga hatinya berbisik perlahan: "Maafkan daku duhai ibu jika selama ini aku mengabaikan dirimu."
Begitulah, saya juga berasa aneh dengan perubahan yang berlaku kepadanya lalu bertanya kepada ibunya, "Duhai wanita seusia dengan ibuku, apakah rahsiamu sehingga begitu hebat terpanggil pulang anak kebanggaanmu?"

PENGORBANAN seorang ibu tiada tandingannya dan sebagai anak, kita bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka sehingga ke akhir hayat. - Gambar hiasan


Dengan penuh kesyukuran si ibu membuka bicara. Katanya, "Allah SWT telah memanggilnya pulang. Berdoalah dari hati. Usah putus berdoa siang dan malam. Sewaktu duduk, berjalan, berdiri mahupun berbaring. Bukankah Allah Maha Mendengar segala yang ada di dalam hati dan apa terkandung di dada?"
Duhai wanita yang seusia dengan ibuku, apakah kandungan doamu? Ibu itu berkongsi rahsia doa yang dipanjatkan kepada Tuhannya pada sepertiga malam tersisa: "Ya Allah, sesungguhnya daku hidup miskin tidak berharta. Satu-satunya harta paling berharga adalah anak yang dianugerah-Mu.
"Ya Allah, sesungguhnya susu yang mengenyangkan perutnya adalah seluruh makanan bagi menyabung nyawaku. Aku menyusuinya di kala perutku kosong berpuasa. Ya Allah, hampirkan daku kepadanya sebelum aku beredar pergi. Ya Allah perkenankanlah."
Doa ibu
Benar. Kami semua tahu. Seluruh jiwa raga tertumpu kepada anaknya. Bersengkang mata ketika anaknya kesakitan. Beliau bahagia melihat anaknya tertawa gembira, berdukacita melihat anaknya gundah gulana serta bersabar melihat kenakalannya.
Beliau berbangga melihat anak berjaya melangkah ke menara tinggi. Namun tiada daya upaya menahan lantaran kemahuan anak begitu kuat sekali mahu menetap di luar negeri.
Akur bahawa anak itu tidak akan hidup bersama ibu buat selama-lamanya. Beliau reda melepaskan anaknya pergi. Namun, kerinduan terhadap anaknya semakin hari semakin menebal. Lalu pada satu pertiga malam masih tersisa beliau mengadu kepada Tuhan yang Maha Berkuasa.
Rintihnya lagi: "Ya Allah Ya Tuhanku, kembalikan anakku di sisi selagi masih ada sisa hayatku. Daku sudah tua dan tidak berdaya. Kudratku, rambutku serta wajahku telah jauh berbeza. Sesungguhnya daku bimbang akan pergi menemui-Mu tanpa dapat menatap wajahnya."
Sungguh, bukankah Allah Maha Mendengar?


Wanita perlu dihormati

Posted: 14 Mar 2014 04:20 AM PDT



LELAKI adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap wanita yang telah dinikahi mengikut syarak. - Gambar hiasan


SALAM sejahtera. Menyambung topik minggu lalu mengenai prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita dalam perspektif syariah, banyak hadis Nabi SAW juga menyokong penjelasan ini.
Salah satunya melalui pernyataan bahawa Allah mencipta Hawa daripada tulang rusuk Adam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Justeru, ia jelas menunjukkan bahawa wanita mesti dihormati, dilayan dengan baik dan penuh kesabaran.
Namun, terdapat ayat al-Quran yang meletakkan lelaki pada darjat yang lebih tinggi berbanding wanita.
Ia disebabkan peranan atau fungsi sosial serta biologi yang dilaksanakan oleh kedua-dua jantina dan tidak seharusnya dianggap sebagai kelebihan dengan mengatasi pihak lain (wanita).
Berdasarkan ayat 228, surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya)."
DALAM melayari bahtera rumah tangga, setiap pasangan sama ada suami atau isteri mempunyai peranan masing-masing untuk menjadikan perkahwinan mereka dipenuhi kebahagiaan dan diredai Allah. - Gambar hiasan


Begitu juga dengan ayat 34, surah An-Nisa yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka."
Para mufasir seperti Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa istilah 'qawwam' tidak lebih daripada penyumbang sara hidup atau nafkah untuk keluarga yang merupakan perkara biasa dalam kehidupan secara bersama.
Malah, ia pula selaras dengan sifat semula jadi kaum lelaki. Hubungan ini menjelaskan sifat kepimpinannya terhadap keluarga disebabkan perkahwinan dan pelaksanaan tanggungjawabnya kepada Allah.
Ia sebaliknya tidak memberikan kuasa untuk menindas isteri kepada seseorang suami. Ini juga bertujuan mengawal fungsi sosial tanpa mengabaikan hakikat bahawa sumbangan wanita adalah penting dalam memenuhi keperluan kewangan keluarga.
Perbezaan ini sangat penting untuk melenyapkan salah tanggapan terhadap peranan setiap pihak dalam hubungan kekeluargaan atau rumah tangga.
SEBAGAI pemimpin, kaum lelaki sepatutnya perlu menjadi pelindung wanita bukan mengasarinya. - Gambar hiasan


Kefahaman
Tanpa wujudnya kefahaman ini, ia pasti akan mendorong berlakunya penderaan fizikal atau mental yang lazimnya berlaku dalam kelompok masyarakat yang tertentu.
Ini disebabkan kegagalan memahami interpretasi kontekstual ayat-ayat al-Quran yang tertentu dan ia seringkali menyebabkan berlakunya kefahaman ayat-ayat al-Quran hanya secara literal.
Sebagai contoh, ayat yang membenarkan suami memukul isteri telah difahami sebagai galakan untuk melakukan keganasan rumah tangga yang seterusnya mendorong kepada diskriminasi gender.
Peruntukan ini secara khusus melibatkan hukuman fizikal 'dengan tujuan mendisiplinkan isteri tanpa sama sekali mengakibatkan kecederaan' oleh pihak berwajib terhadap wanita yang enggan melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan atau telah nusyuz.
Jika tidak, si suami hendaklah membayar ganti rugi atas apa juga bentuk kecederaan yang dilakukan terhadap isteri. Remedi ini hanya boleh dilakukan selepas beberapa langkah pencegahan dan usaha perdamaian diambil seperti melalui rundingan, nasihat keluarga atau pemisahan tempat tidur.
Ini kerana ajaran Islam tidak pernah sama sekali membenarkan perbuatan memukul atau mendera isteri yang merupakan amalan biasa pada zaman sebelum kedatangan Islam.
Diriwayatkan daripada Sunan Ibn Majah, dalam khutbah Baginda, Rasulullah SAW pernah secara sinis menyebut tentang kebiasaan kaum lelaki yang memukul isteri, namun kemudiannya meniduri mereka.
Selain itu, Aisyah RA juga pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memukul hamba atau isteri Baginda serta apa-apa juga dengan tangannya.
Lantaran itu, dalam mengimbangi kedua-dua hak, penekanan diberikan terhadap kepentingan mengambil nasihat dan persefahaman secara bersama dalam keputusan keluarga yang disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran.
Ia termasuklah pengurusan nafkah anak selepas penceraian, penyelesaian konflik rumah tangga dan dalam situasi yang rumit seperti penceraian.


Dari hafiz al-Quran ke pemasaran internet

Posted: 14 Mar 2014 04:18 AM PDT


SIAPA sangka seorang hafiz al-Quran juga mempunyai kebolehan dalam bidang pemasaran internet yang semakin berkembang,


BERGELAR hafiz al-Quran, Muttaqien Jamaludin, 30, boleh menjadikan bidang agama sebagai pilihan menjalani kehidupan sebagai pendakwah untuk menarik anak-anak muda mendekatkan diri dengan Islam.
Apatah lagi, anak kelahiran Taiping, Perak ini telah berpeluang menimba ilmu sebagai pendakwah selepas mengikuti kumpulan jemaah tabligh di New Delhi, India dan Bangladesh pada usia 26 tahun.
Keputusan itu dibuat selepas menamatkan kursus Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Madrasah Miftahul Ulum, Seri Petaling, Kuala Lumpur.
Berkelana selama setahun di bumi New Delhi dan Bangladesh semata-mata untuk mencari pengalaman dan mendalami ajaran Islam yang dibawa Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW.
"Banyak pengalaman yang saya dapat hasil pengembaraan tersebut sekali gus meningkatkan lagi tahap keimanan kita kepada Allah Yang Esa.
"Sejurus pulang ke tanah air, saya masih lagi meneruskan aktiviti dakwah dan berpeluang mengajar di sebuah sekolah tahfiz di Dengkil, Selangor.
"Bagaimanapun, selepas berkahwin dengan isteri, Nik Fadilah Nik Mohd. Amin pada tahun 2010, saya diajak bekerja dengan bapa mertua dalam bahagian pemasaran di Saba' Islamic Media, sebuah syarikat pengedar buku-buku Islamik terkemuka di negara ini.
"Dari situlah bermulanya minat menceburi bidang pemasaran secara serius terutama apabila melihat impak teknologi internet yang mampu memberi manfaat kepada kita jika digunakan sebaiknya," ujar Muttaqien ketika hadir di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

MUTTAQIEN mahu berkongsi sedikit ilmu yang dimiliki dalam bidang pemasaran internet bersama masyarakat sekali gus membantu mereka menjana pendapatan.


Bahasa asing
Menurut bapa kepada seorang cahaya mata ini, niatnya terjun dalam bidang ini adalah untuk membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup melalui pemasaran internet.
Justeru, beliau menganggap penglibatannya sebagai jihad dalam meningkatkan ekonomi umat Islam yang sering dilabel ketinggalan berbanding bangsa lain.
Selain boleh berbahasa Arab dengan fasih, Muttaqien bertuah kerana turut menguasai bahasa Mandarin untuk menarik perhatian kaum Cina menyertai bengkel atau kursus yang ditawarkan.
"Saya pernah bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yok Kwan dan SJK (C) Hwa Lian di Taiping, Perak. Disebabkan ayah bertugas sebagai seorang guru, maka keluarga kami kerap berpindah," jelas Muttaqien yang kemudian melanjutkan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Pondok Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan, Perak.
Dua tahun selepas itu, Muttaqien meneruskan pengajian pondok di Bukit Lanchong, Seksyen 28, Shah Alam, Selangor diikuti proses menghafaz al-Quran di sebuah sekolah tahfiz di Keramat.
Sebelum ini, Muttaqien pernah mempelajari tentang perubatan Islam dengan seorang doktor, namun ia lebih kepada mempromosi produk makanan sunah melalui laman web.
Perniagaan internet

PERNIAGAAN secara dalam talian semakin mendapat perhatian ramai pada zaman ini kerana ia menjimatkan masa dan tenaga. - Gambar hiasan


Pada tahun 2011, beliau mula serius dalam bidang pemasaran internet selepas mengenali seorang individu yang dianggapnya sebagai guru dalam bidang itu.
"Sejak itu, saya mula menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pemasaran Facebook, suntingan video dan jurulatih dalam talian. Apabila mendapat respons menggalakkan daripada pengguna laman sosial, barulah saya melibatkan diri dengan masyarakat melalui penganjuran, seminar, bengkel dan latihan secara berkumpulan.
"Ia dilakukan mengikut permintaan dan susunan jadual yang telah ditetapkan. Paling popular ialah permintaan untuk mengajar mengenai modul pemasaran Facebook di samping pemasaran Google dan YouTube," terang Muttaqien yang turut menerima tawaran mengajar sektor korporat dan individu persendirian.
Pada mulanya, Muttaqien mengakui, sukar untuk mendapatkan pelanggan kerana namanya masih tidak dikenali. Apatah lagi, untuk mendapatkan kepercayaan dan membina kredibiliti dalam bidang ini bukan mudah untuk diperoleh.
Bagaimanapun, lelaki ini tetap berpegang dengan keyakinan terhadap rezeki yang ditentukan Allah terutama seperti sabda Nabi SAW iaitu sembilan per sepuluh daripada sumber rezeki datangnya daripada perniagaan.
Bagi mereka yang berminat, kelas diadakan pada harga serendah RM29.90 untuk sesi pengenalan terhadap bidang pemasaran internet.
"Ini merupakan cara saya untuk menginfakkan sedikit ilmu yang ada buat masyarakat. Golongan muda mahupun ibu tunggal yang mahu menambah pendapatan, ambil peluang manfaatkan kemudahan teknologi dan gajet canggih dengan sebaiknya," ungkap pemuda yang mesra disapa MJ ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman www.facebook.com/muttaqien83 atau hubungi talian 018-907 6995.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories