RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Biarlah mereka terus 'melalak'!

Posted: 17 Mar 2014 10:06 PM PDT


  • Hanez SurayaHanez Suraya

KONTROVERSI melibatkan Hanez Suraya nampak semakin besar apabila aktres yang terkenal dengan watak antagonis ini digugurkan sebagai duta AuraWhite.

Laporan sebuah akhbar tempatan menyebut, pihak pengurusan jenama tersebut berasa tidak senang duduk dengan imej yang menimpa diri duta produk mereka itu.

Lalu, khabarnya kontrak Hanez sebagai duta produk pemutihan kulit jenama Aura White sudah ditarik balik, gara-gara kontroversi melandanya.

Biarpun sudah memberikan penjelasan dalam satu sidang media, namun Hanez bagai tidak mendapat pembelaan apabila ramai pihak semakin menghentamnya. Bahkan, Hanez sendiri mengakui selepas sidang media tersebut, dia merasakan peminatnya sudah tinggal dua peratus sahaja.

Ditanya kesahihan mengenai pembatalan kontrak itu, Hanez dalam temu bual menerusi aplikasi WhatsApp enggan memberi sebarang kenyataan mengenai isu tersebut.
"Pasal AuraWhite tiada komen," ujar ringkas.

Namun di sebalik kebencian orang terhadap Hanez, masih ada pihak yang bersimpati dan menyebelahinya.

Antaranya adalah Penerbit Teater Projek Kahwin, Mohd Amir Syafiq Khalip yang enggan memanjang isu tersebut kerana ia dilihat memberi publisiti murahan kepada individu atau pihak yang menghentam Hanez.

Malah tegas Amer, dia tetap mahu mengekalkan Hanez sebagai pelakon utama dalam teater arahannya itu.

"Cukup-cukuplah beri publisiti kepada mereka yang komen negatif pasal Hanez. Biarkan mereka terus 'melalak'!

"Saya cukup kesian pada Hanez, dia sudah cukup tertekan dengan apa yang berlaku. Tolonglah saya tidak mahu isu ini diperbesarkan lagi. Paling penting saya mahu tumpukan pada pementasan teater ini sahaja," tegasnya.

Tambahnya, dia berharap penonton dapat memberi sokongan kepada naskhah yang ingin dipentaskan kerana ianya juga membabitkan ramai pelakon lain.

Tegas Amer, isu Hanez itu harus ditolak ke tepi kerana pelakon itu tidak memberi sebarang masalah kepada pihak produksi.

Bagi Hanez pula, dia tidak mempunyai masalah dengan pihak penerbit kerana masing-masing bersikap profesional.

"Setakat ini, saya tidak ada masalah dengan pihak penerbit. Kami profesional dengan semua pihak. Di luar juga, hubungan sebagai kawan juga baik.

"Semuanya berjalan dengan lancar, kalau ada apa-apa pihak saya dan produksi akan memaklumkan kepada media," katanya.

Ditebak dengan pendekatannya yang enggan memberi komen panjang berkaitan dirinya, Hanez berkata: "Berdiam pun orang kata, bercakap pun orang mengata," katanya yang enggan mengeruhkan lagi keadaan.

Ahli Perniagaan Saman Pelakon Zarina Anjoulie Dan Lima Lagi

Posted: 17 Mar 2014 10:05 PM PDT


Zarina Anjoulie antara lima yang disaman. - gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memfailkan saman terhadap pelakon Zarina Anjoulie, kerajaan dan empat lagi atas dakwaan berlaku kecuaian serta penipuan membabitkan sebuah kereta mewah milik arwah bapanya.
Kevin Shah Kadar Shah, 33, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Jeev Anand & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Nov tahun lepas.
Beliau turut menamakan pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Kementerian Pengangkutan Malaysia, kerani penghantar surat Salleh Idris dan Public Islamic Bank Berhad sebagai defendan.
Pada prosiding, Isnin, Hakim Hue Siew Kheng yang mendengar kes itu dalam kamar, menetapkan 7 April depan untuk mendengar permohonan plaintif bagi meminda penyataan tuntutan dan permohonan Salleh bagi membatalkan saman terhadapnya.
Peguam J.Jev Anand mewakili Kevin Shah, peguam YK Leong mewakili Salleh manakala Peguam Persekutuan Nur Aqilah Ishak bagi pihak kerajaan, JPJ Negeri Selangor dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Penyataan tuntutan Kevin Shah mendakwa arwah bapanya, Kadar Shah Sulaiman membeli sebuah kereta terpakai jenis BMW dengan nombor pendaftaran WTN 8850 yang didaftarkan atas nama bapanya pada 17 Mei 2010 dan menandatangani perjanjian sewa beli dengan Public Islamic Bank pada 11 Mei, tahun sama.
Beliau mendakwa bapanya meminjamkan kereta itu kepada Zarina, yang merupakan rakan Kadar Shah, sekitar Jun 2010 untuk kegunaan harian dan kereta itu masih dalam milikan pelakon berkenaan sehingga bapanya meninggal dunia pada 19 Nov 2011.
Kevin Shah mendakwa selepas kematian bapanya, Zarina tidak pernah memulangkan kereta itu dan sebelum beliau sempat menghubunginya untuk berbincang, pihak bank menarik kereta berkenaan selepas ansuran bulanan gagal dilunas mengikut perjanjian.
Ahli perniagaan itu mendakwa Public Islamic Bank memulangkan kereta berkenaan kepadanya pada 21 Feb tahun lepas setelah beliau melunaskan segala tunggakan ansuran bulanan.
Bagaimanapun, Kevin Shah berkata beliau terkejut apabila mendapati kereta itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran BLP 8858 sedangkan bapanya tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada JPJ untuk mendaftarkan kenderaan miliknya dengan nombor BLP 8858.
Kevin Shah juga mendakwa Kementerian Pengangkutan, melalui surat bertarikh 18 Mac 2013, memaklumkan bahawa nombor WTN 8850 telahpun didaftarkan ke atas kenderaan lain, iaitu sebuah motosikal atas nama bapanya, manakala nombor BLP 8858 didaftarkan bagi kereta BMW itu.
Beliau berkata JPJ, melalui surat bertarikh 3 Jun 2013, menyatakan pertukaran nombor pendaftaran antara kereta dan motosikal itu dibuat pada 14 Feb 2012 namun perkara berkenaan adalah mustahil kerana bapanya telah meninggal dunia sebelum tarikh pertukaran.
Oleh itu, Kevin Shah mendakwa sebarang permohonan yang diterima JPJ tidak pernah ditandatangani bapanya dan mendakwa jabatan berkenaan gagal mengesan tandatangan yang terkandung dalam permohonan untuk pertukaran nombor WTN 8850 dari kereta kepada motosikal dan juga pertukaran nombor BLP 8858 dari motosikal kepada kereta.
Beliau juga mendakwa Zarina, Salleh dan Public Islamic Bank berkomplot melakukan penipuan ke atas bapanya bagi penukaran nombor kereta dan motosikal itu bagi tujuan melenyapkan kereta berkenaan daripada milikan Kadar Shah.
Kevin Shah menuntut ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa pertukaran nombor pendaftaran kereta dan motosikal itu adalah tidak sah dan terbatal.

Telaga Tujuh penuh misteri

Posted: 17 Mar 2014 10:01 PM PDT


  • Telaga Tujuh penuh misteriKewujudan telaga tujuh di Kampung Bukit Teriak kini masih misteri dan dikatakan dahulu telaga kecil di dalamnya mampu mengeluarkan air tujuh warna. Gamabr kecil : Milah.

POKOK SENA - Kewujudannya penuh misteri tetapi telaga itu dikatakan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.

Telaga tujuh yang terletak di Kampung Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas, dekat sini sering dikunjungi orang ramai.

Penduduk, Milah Mat, 70, berkata, ia telah wujud sebelum dia dan keluarganya berpindah ke situ sejak 50 tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut cerita penduduk awal di situ, ia adalah milik hantu pari yang turun dari Bukit Teriak berdekatan dengan kampung itu.

Katanya, telaga itu tidak pernah kering tetapi penduduk di situ tidak pernah menggunakannya kerana bimbang jika sesuatu akan berlaku. Telaga itu dikatakan sedalam tiga meter dan terdapat batu hampar di bawahnya.

"Bagaimanapun, keunikan telaga ini ialah ia mempunyai tujuh telaga kecil di tepi dalam telaga itu dan kedalamannya tidak siapa dapat mengetahuinya.

"Pernah penduduk di sini turun dan melihat kedalaman telaga tujuh itu, tetapi tidak berani memasukinya kerana terlalu gelap dan dalam," katanya.

Milah berkata, pernah pada zaman 70-an cucunya turun untuk mencuci telaga itu yang dipenuhi dengan lumpur dan selepas membersihkannya, didapati tujuh telaga kecil di dalamnya dan mengeluarkan air tujuh warna.

"Pada masa itu penduduk sendiri melihat misteri air telaga itu dan ada dalam kalangan mereka turut mengambilnya untuk disimpan sebagai kenangan. Bagaimanapun hari ini tiada siapa berani melakukannya lagi," katanya.
Menurutnya, kedudukannya yang terletak di tanah tinggi dan terdapat beberapa anak tangga hingga ke arah Bukit Teriak juga turut menjadi perhatian penduduk di kampung itu dan kini masih menjadi misteri.

"Walaupun telaga tujuh itu masih lagi misteri kewujudannya tetapi kami sekeluarga sentiasa memantau supaya tidak ada sebarang kejadian khurafat dilakukan di telaga itu. Kami juga tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab menjadi telaga itu sebagai tempat pemujaan," katanya.

Kutip 550 telur itik setiap hari

Posted: 17 Mar 2014 09:57 PM PDT


  • Kutip 550 telur itik setiap hariChe Hassan dan isteri berjaya mempelbagaikan produk berasaskan telur itik.

BAYU LALANG – "Sebanyak 700 itik saya mampu bertelur sehingga 550 biji dalam masa sehari," kata seorang penternak itik di Kampung Bayu Lalang, Che Hassan Che Mod, 55, semalam.

Disebabkan bilangannya yang banyak, Che Hassan tidak menang tangan untuk mengutip setiap telur di bendang seluas 16 hektar itu.

Hanya bermula dengan 50 ekor itik, kini Che Hassan boleh diiktiraf penternak berjaya di kawasan ini.

Jika diimbas kehidupan lalunya, dahulu hidupnya ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', malah terpaksa menyara sembilan anak yang ketika itu masih belajar dan sebahagiannya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Ketika itu, Che Hassan berkata, dia tidak mempunyai pendapatan lain, selain menanam padi dan melakukan pelbagai kerja kampung.

Itik semakin membiak

Mengenangkan kehidupan yang serba kekurangan, penghulu kampung ketika itu membantunya menyalurkan bantuan 50 itik, sumbangan daripada kerajaan negeri.

Dahulu katanya, dia tidak mampu menghantar walaupun RM100 untuk empat anaknya yang sedang menuntut di universiti.

"Paling menyedihkan apabila anak kedua saya, Mohd Abdullah, 26, pernah ditawarkan menyambung pengajian ke Jordan, namun disebabkan kekangan sumber kewangan ketika itu menyebabkan dia tidak dapat belajar di sana.
"Bagaimanapun, alhamdulillah berkat doa semua pihak, itik saya membiak sehingga 700 ekor, mampu bertelur 550 biji sehari dan keuntungan menjual telur itik inilah yang saya gunakan untuk pembiayaan pengajian anak-anak," katanya.

Pelbagaikan produk telur itik

Che Hassan yang juga peserta Program Azam Tani berkata, bagi meningkatkan pendapatan, isterinya, Wan Naimah Wan Yaacob, 46, turut belajar membuat telur asin.

Menurutnya, memandangkan salah seorang anaknya pernah mempelajari teknik membuat telur asin di universiti, dia mengajar ibunya mempelbagaikan produk berasaskan telur itik.
"Hasilnya, saya bukan sahaja menjual telur mentah, malah menjadi pengeluar telur asin di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.
"Selain isteri, anak sulung, Mohd Ridwan, 27, turut membantu menguruskan perniagaan dan mempelajari selok-belok pertanian," katanya.

Menurutnya, dia amat bertuah apabila dibekalkan motosikal roda tiga menerusi Program Azam Tani, kelolaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) Kelantan kerana ia sedikit sebanyak  membantunya memperluaskan pasaran.

"Motosikal ini saya gunakan untuk menjual sayur-sayuran, telur mentah dan telur asin.
"Syukur kerana k ami bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan, malah turut membantu kami keluar daripada kepompong kemiskinan tegar," katanya.

Che Hassan berkata, bimbingan dan tunjuk ajar Mardi sentiasa membantunya mengembangkan perusahaan telur itik.

70 peratus keluar daripada paras kemiskinan tegar

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Masri Muhamad berkata, menerusi Program Azam Tani, pihaknya membantu 1,700 peserta seluruh semenanjung Malaysia.

Daripada jumlah itu katanya, 390 peserta dari Kelantan, terdiri daripada golongan kurang mampu.
Menurutnya, program bermula pada 2010 itu membuahkan hasil apabila 70 peratus daripada jumlah peserta mampu keluar daripada paras kemiskinan tegar.

"Bantuan yang disalurkan merangkumi kegiatan pertanian, penternakan, menjaja, penghasilan kuih tradisional dan menangkap ikan.

"Bagi memastikan pencapaian cemerlang dalam kalangan peserta Azam Tani, Mardi sentiasa menghantar pegawai untuk memantau dan memberi khidmat nasihat," katanya selepas program lawatan oleh pegawai Mardi. Turut serta, Pengarah Mardi

Kelantan, Aminah Abdullah dan Penyelaras Projek Azam Tani Mardi Kelantan, Fauzi Mamat.

Menimba ikan dalam lumpur

Posted: 17 Mar 2014 09:55 PM PDT


  • Menimba ikan dalam lumpurChe Derahman (belakang) bersama peserta lain menangkap ikan darat dalam parit.

TUMPAT – Penduduk Kampung Kubang Batang menghidupkan kembali aktiviti  menangkap ikan secara tradisional iaitu menimba ikan di sebuah parit jari Lorong Guru dekat sini.
Acara menimba ikan sememangnya menjadi amalan penduduk kampung yang tinggal berhampiran sawah dan setiap kali musim kemarau mereka akan bergotong-royong menimba ikan darat di dalam sawah atau kubang.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kubang Batang/Menjual itu menarik minat penduduk kampung apabila mereka hadir  menyaksikan gelagat peserta ketika menimba ikan dalam lumpur.

Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) KRT Kubang Batang/Menjual, Che Derahman Ceh Leh berkata, acara seperti itu dapat mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk.

"Saya gembira melihat kanak-kanak dan orang dewasa sanggup bergelumang dalam lumpur untuk menangkap ikan darat seperti keli, haruan, puyu dan banyak lagi yang terdapat dalam parit jari ini.

"Parit tersebut dikeringkan dengan menggunakan pam air, kaedah inilah dipanggil menimba," katanya.

Menurutnya, kerja menangkap ikan seperti itu sudah jarang dilakukan tetapi apabila ia dianjurkan, mendapat sambutan hangat.

"Lebih meriah hasil tangkapan dimasak secara gotong-royong dan dinikmati bersama-sama selepas penat lelah berkubang dalam lumpur," katanya.

Menurutnya, memandangkan acara ini mendapat sambutan yang menggalakkan, ia akan diadakan pada musim akan datang dengan mengenal pasti lokasi yang menjadi lubuk ikan darat ini.

Baca al-Quran rahsia kekal sihat

Posted: 17 Mar 2014 09:52 PM PDT


  • Baca al-Quran rahsia kekal sihatMat Hassan menunjukkan kad ahli Home Guard.

PASIR MAS - Amalan membaca ayat suci al-Quran adalah rahsia Mat Hassan Ngah yang kini berusia 105 tahun masih sihat tubuh badan dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

Bapa kepada tiga anak berusia antara 58 hingga 48 tahun itu juga bersyukur dianugerahkan penglihatan yang baik walaupun telah berusia.

Berasal dari Kampung Chap, Gelang Mas, Mat Hassan dan isterinya, Jenab Adam, 90, tetap kelihatan mesra serta manja antara satu sama lain.
Mereka sering bergurau senda dan tidak malu menunjukkan kasih sayang, malah adakalanya mereka juga turut makan bersuap.

"Pakcik masih ingat semasa kecil-kecil dulu, orang-orang tua selalu cakap pakcik dilahirkan semasa Kelantan dilanda banjir merah.
"Tetapi kalau diikutkan pada kad pengenalan, pakcik dilahirkan pada 1915 dan semasa membuat kad tersebut, umur pakcik 25 tahun," katanya.

Mat Hassan berkata, dia juga sangat menjaga pemakanan dan hanya memakan ulam-ulaman serta sayur-sayuran segar sahaja.

"Pakcik tidak suka mengambil makanan yang diawet dan segera, semuanya harus segar," katanya.

Menurutnya, dahulu dia merupakan Home Guard dan berkhidmat dari tahun 1948 hingga 1962.

Mat Hassan yang begitu bersemangat menceritakan pengalamannya sebagai pejuang kemerdekaan berkata, melihat generasi muda sekarang seolah-olah tidak menghargai kebebasan, sangat menyedihkan hatinya.

Katanya, generasi muda seperti mensia-siakan kebebasan tersebut apabila ramai terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah dan lumba haram.

"Pakcik harap generasi muda akan sedar dengan kealpaan mereka dan menggunakan peluang yang ada ini untuk menikmati kehidupan lebih baik untuk masa depan, bukannya merosakkan diri sendiri," katanya.

Pisang berbuah di batang pokok ditebang

Posted: 17 Mar 2014 09:50 PM PDT


  • Pisang berbuah di batangMahayani menunjukkan pisang yang berbuah di batang di TSB Gemencheh.

GEMENCHEH – Seorang peserta Tanam Semula Berkelompok (TSB) Risda terkejut apabila mendapati batang pokok yang ditebangnya mengeluarkan buah pisang serta jantung.

Peserta berkenaan, Mahayani Dahlan, 64, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira seminggu yang lalu apabila meninjau keadaan anak pokok getah yang ditanam bersama tanaman kontan oleh pihak lain di TSB Gemencheh berkenaan.

Menurutnya, dia hanya mengikut nasihat pihak Risda untuk menebang pokok pisang berhampiran dengan anak pokok getah dan tidak menyangka walaupun sudah ditebang ia masih mengeluarkan buah pisang serta jantung di tengah batangnya.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya melihat kejadian seperti ini dan saya ingin melihat adakah saiz buah pisang dan juga jantungnya sama seperti pokok pisang yang lain di kebun ini.

"Jika diikutkan di atas tanah kebun seluas 27.6 hektar ini yang disertai oleh 23 peserta TSB, terdapat kira-kira 400 hingga 500 pokok pisang yang ditanam di kawasan ini oleh pekebun tanaman kontan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, dekat sini,
baru-baru ini.

Sementara itu, Mahayani berkata, sepanjang hidupnya, kejadian berkenaan baharu pertama kali dilihatnya dan ingin dikongsi bersama pembaca lain.

Hisyam Hamid Mahu Bawa Keluarga Pindah Ke Malaysia

Posted: 17 Mar 2014 09:47 PM PDT


Hisyam bercadang untuk berpindah ke Malaysia pada tahun hadapan.
PETALING JAYA: Pelakon dari Singapura, Hisyam Hamid bercadang untuk membawa keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

Hisyam, 29, berkata, sebagai persediaan dia dan isterinya, Rosmawati Hanafi sedang mencari kawasan perumahan dan sekolah untuk dua anaknya iaitu Nurish Syameliah, 7, dan Hayden berusia lima tahun.

"Jika diikutkan saya ingin isteri dan anak-anak tinggal bersama saya tetapi keadaan yang tidak menentu buat masa ini membuatkan saya tidak berani untuk membawa mereka datang ke Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun saya kini sedang mencari rumah yang sesuai selain sekolah antarabangsa untuk kedua-dua anak saya nanti. Jika semuanya selesai baharulah saya akan bawa mereka datang ke sini," katanya kepada mStar Online.

Tambah Hisyam, buat masa ini dia menumpang di rumah bapanya di Shah Alam sekiranya mempunyai penggambaran di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Hisyam berkata, keputusan berpindah itu dibuat selepas melihat keadaan kerjayanya yang semakin stabil di negara ini terutama selepas membintangi drama bersiri Ariana Rose yang melonjakkan namanya dikalangan peminat. 
Hisyam Hamid
Hisyam mahu meluangkan lebih masa bersama isteri dan anak-anaknya.

Kata Hisyam, jadual yang padat membuatkan dia tidak mempunyai masa terluang untuk bersama keluarganya yang kini menetap di Singapura dan tidak mahu berjauhan dengan anak-anaknya.

"Pada sudut positif ia adalah perkembangan baik kepada kerjaya lakonan saya tetapi masa untuk bersama keluarga akan bertambah kurang.

"Sebelum ini saya pernah memberitahu masih belum bersedia untuk berpindah ke Malaysia tetapi rasanya saya perlu berbuat demikian supaya lebih banyak masa dapat diluangkan bersama mereka," katanya.

Jelas Hisyam, walaupun penat dengan penggambaran namun sekiranya mempunyai cuti dia akan sedaya upaya untuk kembali ke Singapura bagi bertemu dengan isteri dan anak-anaknya.

Sementara itu, isteri kepada Hisyam, Rosmawati Hanafi, 33, berkata, dia sentiasa berfikiran positif apabila berjauhan dengan suaminya itu biarpun ada pihak yang cuba meracuni fikirannya dengan cerita negatif.

Jelas Rosmawati, dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa cemburu suaminya kini mempunyai ramai peminat terutama dikalangan wanita kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada lelaki itu.

"Saya sering pesan kepada diri sendiri supaya bersikap positif dan cuba untuk tidak mendengar cakap-cakap orang yang kita tidak tahu niat sebenar mereka.

"Komunikasi di antara kedua-dua belah pihak amat penting dan setakat ini Alhamdulillah kami sering berbincang tentang pelbagai perkara meskipun tidak dapat bertemu setiap hari," jelasnya.

Tangan Kiri Adira Cedera Akibat Jatuh Tangga

Posted: 17 Mar 2014 09:46 PM PDT


ad
Adira mengalami kecederaan pada tangan kirinya gara-gara jatuh tangga di sebuah kilang di Klang.
PETALING JAYA: Penyanyi Adira mengalami cedera di tangan kirinya selepas jatuh tangga di sebuah kilang di Pulau Indah, Klang, dekat sini pada Isnin lalu.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang rancak berbual dengan rakan-rakannya sehingga tidak sedar dia tersalah langkah ketika menaiki tangga.

"Di kilang tersebut, kakak saya ada buka sebuah kantin, dan ketika itu saya mahu melawatnya di sana.

"Terlebih seronok agaknya. Ketika sedang menaiki tangga, saya tersilap langkah lalu terjatuh dan kemudian terus ke sebuah klinik di sekitar Kluang untuk mendapatkan rawatan," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.
a
Adira (tengah) menunjukkan kecederaan tangannya di laman Instagram miliknya.

Aweera Nafi Pinjam Duit VVIP

Posted: 17 Mar 2014 09:46 PM PDT


aasss
Aweera menegaskan dia tidak pernah meminjam wang daripada sesiapa pun.
PETALING JAYA: Penyanyi Aweera menafikan dakwaan dia mempunyai masalah kewangan sehingga terpaksa meminjam wang daripada seorang yang berpengaruh besar (VVIP) sejak akhir-akhir ini.

Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham, 23, mengakui berasa terkejut apabila gosip tersebut disebarkan kerana ia langsung tidak benar sama sekali.

"Saya terkejut dengan berita ini. Takkanlah saya 'sengkek' sangat sampai nak pinjam duit orang, dengan VVIP pulai.

"Tambah pula saya bukannya lelaki yang selalu berhubungan dengan golongan kaya seperti itu. Siapalah yang jaja cerita ini? Ia salah satu gosip yang memalukan saya sebagai seorang penyanyi," tegasnya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.

Sebuah akhbar mingguan pada Ahad menerusi ruangan pojok telah melaporkan Aweera mempunya masalah kewangan sehingga menyebabkan dia kerap meminjam wang daripada seorang lelaki berstatus VVIP.
aweera
Aweera mengesahkan dia tidak lagi menjadi vokalis kumpulan Mojo.


Tambah Aweera, walaupun mengakui dirinya kini disahkan muflis, namun dia tidak akan meminjam wang sehingga boleh memalukan dirinya sendiri.

Malah dia tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan saman  kepada pihak yang sepatutnya jika ia menjejaskan karier nyanyiannya.

Sementara itu, Aweera turut memberitahu, dia telah menarik diri sebagai vokalis kumpulan Mojo kerana ingin berubah angin sebagai penyanyi solo.
Katanya, sudah tiba masa untuk dia berhijrah mencari haluan baharu dalam dunia seni dan ingin belajar 'berdiri sendiri' tanpa mempunyai sesebuah kumpulan di bidang muzik tempatan.
"Apa-apapun ingin dijelaskan di sini, saya tidak mempunyai apa-apa masalah pun dengan Mojo mahupun pihak pengurusan saya, KRU Studios. Keputusan ini dibuat kerana saya sendiri mahu mencari haluan hidup baru.
"Saya mahu dikenali sebagai Aweera, bukannya Mojo. Bagi saya Mojo telah membuka jalan yang luas buat saya untuk memperkenalkan diri di dalam bidang seni muzik ini. Saya harap apa yang telah saya pelajari sebelum ini akan diaplikasikan apabila bergerak solo nanti.

"Buat masa ini saya sedang mencari material sesuai untuk muncul dengan single lagu terbaharu buat para peminat semua," ujarnya.

Adam Kesal Dituduh Cuba Lari Daripada Media

Posted: 17 Mar 2014 09:45 PM PDT


adam
PETALING JAYA: Penyanyi Adam berasa terkilan apabila didakwa cuba melarikan diri daripada media seperti yang dilaporkan pada ruangan pojok sebuah akhbar mingguan pada Ahad kononnya enggan menjawab kontroversi masalah rumah tangga.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman,31, berkata, terdapat salah faham daripada pihak yang mengeluarkan berita tersebut kerana sehingga kini dia tidak pernah cuba melarikan diri daripada mana-mana pihak.

"Nampaknya ada salah faham di sini. Pertama sekali, sepanjang tahun ini, hanya dua acara hiburan sahaja yang saya terlibat iaitu salah satunya adalah majlis Selawat Dan Cinta Allah Dan Rasul di Hotel The Royale Chulan Damansara.

"Memang ketika itu selepas majlis selesai, saya hanya berborak sekejap dengan rakan-rakan artis dan kemudian ditemubual oleh beberapa bloger di sana. Dan kemudian saya terus ke lokasi bagi menjalani sesi fotografi mempromosikan filem Apokalips.

"Saya agak kesal apabila berita ini dikeluarkan tanpa mendapatkan penjelasan daripada saya dahulu," katanya kepada mStar Online pada pagi Isnin.

Sebuah akhbar mingguan menerusi ruangan pojok pada Ahad mendakwa Adam cuba melarikan diri daripada pihak media di sebuah majlis hiburan yang telah berlangsung baru-baru ini.

Akhbar tersebut turut menyatakan Adam mungkin mengelakkan diri daripada ditanya soal kontroversi berkaitan dengan rumah tangganya.

aa
Adam nafi mempunyai masalah rumah tangga dengan isterinya, Fiza (elite).
Adam yang kini giat mempromosikan single lagu Penggodam Jiwa itu berkata, perkara itu juga tidak sepatutnya timbul kerana mana-mana media boleh menghubunginya terus jika ingin mendapatkan sebarang penjelasan.
Sementara itu, ditanya pula mengenai kehidupan rumahtangganya sejak bergelar suami kepada aktres Fiza (Elite) atau Siti Zaidatul Fiza Abd Halim, 33, pada 26 September lalu, katanya dia kini cukup bahagia dengan isterinya.
"Walaupun ada gosip mengatakan rumah tangga kami sedang goncang, kami tetap bahagia. Biasalah sekali sekala ada masalah yang timbul. Rasanya semua pasangan mempunyai masalah masing-masing.

"Dalam pada itu, kami juga masih lagi menunggu kehadiran cahaya mata, apa-apa pun semua itu bergantung kepada rezeki," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Adam turut bakal muncul dengan sebuah lagu terbaharu ciptaan sepenuhnya oleh komposer Indonesia, Bajai, berjudul Marmie Maafkan Aku.

Lagu tersebut telah diadun di Amerika Syarikat dan bakal dilancarkan dalam masa terdekat nanti.

'Kursus Kahwin Hanya Langkah Pertama' - Nad Zainal

Posted: 17 Mar 2014 09:43 PM PDT


Nad memberitahu keluarga kedua-dua belah pihak juga mengetahui mereka menghadiri kursus asas perkahwinan berkenaan.
PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal tidak meletakkan sebarang sasaran tertentu untuk melangsungkan perkahwinan bersama kekasihnya, aktor Azwan Kombos biarpun mereka sudah menghadiri kursus asas perkahwinan pada awal Mac lalu.

Nad atau nama sebenarnya, Nadia Zainal, 24, berkata, kursus yang dihadiri mereka itu adalah satu proses biasa sebagai mempersiapkan diri ke alam perkahwinan dan mereka tidak bercadang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.

"Kami pergi kursus tersebut kerana pada masa itu jadual kami tidak terikat dengan sebarang penggambaran jadi kami mengambil keputusan untuk menghadiri kursus tersebut.

"Ia adalah suatu proses biasa dan itu tidak bererti kami akan berkahwin dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Sebelum ini, Azwan Kombos, 29, mengesahkan menghadiri kursus asas perkahwinan bersama Nad Zainal di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail pada awal bulan ini.

Dalam pada itu, Nad berkata, keputusan mereka untuk menghadiri kursus tersebut juga diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

"Keluarga adalah orang pertama yang tahu dan kami tidak akan sorok apa-apa daripada mereka," ujarnya.

Sementara itu, Nad berkata, buat masa ini mereka sedang mempersiapkan diri untuk melangkah fasa seterusnya namun tidak tergesa-gesa untuk melangsungkan perkahwinan.

"Apa yang penting kami berdua kena bersedia dari sekarang dalam pelbagai perkara sebelum melangkah ke alam perkahwinan dan kursus asas perkahwinan adalah langkah pertama kami," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nad berkata, dia baharu sahaja selesai dengan penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Tuan Rumah, Pembantu Rumah arahan Jinggo untuk siaran TV3.

Selain itu, Nad berkata, dia juga akan muncul dengan sebuah drama baharu untuk slot Cerekarama bersama Izzue Islam berjudul Tatu.

Ingin anak selepas setahun

Posted: 17 Mar 2014 09:39 PM PDT



ARIL mengakui menghadapi cabaran merindui isterinya yang bertugas sebagai pramugari Saudi Arabian Airlines.


SAMA cantik, sama padan. Itulah gambaran yang dapat diberikan sewaktu menyaksikan persandingan antara penyanyi dan penyampai radio, Khairil Azam Pilus atau Aril Pilus dengan isterinya, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin.
Biarpun majlis resepsi hanya diadakan selepas tiga bulan kedua-duanya disatukan sebagai pasangan suami isteri, tetapi ia bukanlah satu halangan untuk mereka diraikan dalam majlis yang cukup meriah dengan kehadiran keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.
Aril yang ditemui berkata, majlis resepsi terpaksa diadakan dalam tempoh yang agak lewat setelah majlis pernikahan memandangkan dia dan isteri agak sibuk dengan kerjaya masing-masing.
"Tidak kisah cepat atau lambat, hasrat kami untuk mengadakan majlis resepsi akhirnya terlaksana. Lagipun majlis ini memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir semasa majlis pernikahan kami dahulu.
"Biarpun diraikan dalam tempoh yang agak lewat, namun saya dan isteri masih merasakan yang kami ini seperti seorang pengantin baharu," ujarnya yang merupakan penyampai radio Era FM.
Bercerita mengenai kehidupannya selepas berumah tangga pula, Aril menyatakan tidak banyak perbezaan yang ketara, kecuali tanggungjawabnya kini lebih besar kerana sudah bergelar suami.
Bagaimanapun, sedikit cabaran yang terpaksa dilaluinya memandangkan sesekali terpaksa berjauhan dengan isteri tercinta yang bertugas di awan biru sebagai pramugari syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines.

TIARA JACQUELINA dan Aznil Nawawi turut hadir meraikan pasangan pengantin.


"Sebagai pengantin baharu, sudah tentu akan timbul perasaan rindu yang sangat mendalam apabila kami berjauhan dan ia juga sedikit memberi tekanan buat diri saya.
"Namun begitu, segala tekanan itu akan dapat diatasi kalau sentiasa dekatkan diri dengan Allah dan itulah yang sering saya lakukan apabila bersendirian tanpa isteri di sisi kerana sedang menjalankan tugas," ujarnya.
Sementara itu, apabila ditanya tentang perancangan untuk mendapatkan cahaya mata pula, pelantun lagu Menatap Matamu itu mengakui dia dan isteri belum bersedia buat masa ini.
Memandangkan kedua-duanya sedang sibuk memberi tumpuan terhadap kerjaya masing-masing, ia sedikit menghalang untuk mereka mendapatkan anak dalam tempoh yang agak cepat.
"Kalau ditanya tentang anak, apa yang boleh saya katakan mungkin selepas setahun perkahwinan barulah kami bersedia. Seboleh-bolehnya biarlah setelah isteri saya dapat menetap terus di Malaysia.
"Hendak berbulan madu juga tidak sempat kerana kesibukan masing-masing, apatah lagi isteri kerap menetap di Arab Saudi. Perancangan itu memang ada, cuma kena lihat jadual masing-masing terlebih dahulu," jelasnya.
Penyampai radio
Selain dikenali sebagai seorang penyanyi, Aril juga kini bertugas sebagai seorang penyampai radio di stesen Era FM dengan mengendalikan segmen MeleTOP 40 Era setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 8 hingga 12 tengah malam.

PASANGAN mempelai ceria bersama rakan-rakan yang hadir memeriahkan majlis persandingan mereka.


Meskipun statusnya kini sebagai seorang suami, Aril memberitahu, ia bukanlah satu penghalang yang besar buat dirinya apabila terus ditugaskan pada waktu malam.
"Setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah yang besar untuk meneruskan tanggungjawab yang diberikan oleh pihak Era FM dan akan terus mengendalikan tugas yang diberikan seperti biasa.
"Lagipun, isteri juga selalu bertugas di awan biru dan kerap berada di Arab Saudi sekarang. Jadi, biasanya selepas bertugas di konti radio, kami akan berhubungan menerusi telefon," ujarnya.
Selain itu, dia juga menyatakan kariernya sebagai penyanyi akan diteruskan seperti biasa memandangkan itu merupakan minatnya yang paling utama serta mula dikenali ramai menerusi bidang nyanyian.
Tidak halang
Memandangkan ketika ini negara sedang digemparkan dengan isu pesawat MH370 yang hilang tanpa dikesan dan masih tidak ditemui sehingga kini, Aril berkata, dia sesekali tidak menghalang isterinya untuk meneruskan kerjaya sebagai pramugari.
Menurutnya, sebagai suami dia sentiasa menyokong kerjaya yang menjadi pilihan Puteri, tetapi pada masa sama akan selalun mendoakan keselamatan isterinya setiap kali menjalankan tugas.
"Sejak kami belum berkahwin lagi saya tidak kisah atau menghalang kerjaya isteri, malah sentiasa memberikan galakan kepadanya agar terus berjaya dalam bidang yang diceburinya. Lagipun, setiap pekerjaan itu memang ada risikonya.
"Berkenaan dengan soal berjauhan pula tidak dinafikan perasaan rindu itu merupakan cabaran paling hebat yang perlu dihadapi, tetapi ia sebenarnya dapat mengeratkan lagi hubungan kami," jelasnya.
Dalam pada itu, Aril juga meminta supaya dihentikan segera semua spekulasi yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan dengan kehilangan pesawat MH370 yang masih lagi menjadi misteri sehingga kini.
"Perbuatan sebegini sepatutnya dielakkan demi menjaga hati keluarga penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan. Lebih baik kita semua terus berdoa agak mereka berada dalam keadaan selamat," tegasnya.


Amyra sedih dituduh tak berdisiplin

Posted: 17 Mar 2014 09:38 PM PDT

SELEPAS Dazrin dibelenggu kontroversi masalah disiplin di set penggambaran drama, kini ia 'berjangkit' pula kepada Amyra.


NAMA pelakon baharu yang semakin mendapat tempat di hati peminat sejak membintangi drama Jodoh dan Ku Cinta Kau Seorang, Amyra Rosly, 23, tiba-tiba menjadi sebutan.
Dalam laporan sebuah akhbar mingguan pada minggu lalu, pelakon popular, Fasha Sandha dikatakan naik angin dan meninggalkan lokasi penggambaran drama Baju Raya Yaya kerana terpaksa menunggu selama tiga jam selama tiga hari atas kelewatan Amyra.
Fasha yang terkenal sebagai pelakon berdisiplin dan menepati waktu itu meminta pelakon itu menepati masa dan menghormati pengarah.
Sebelum Amyra, Fasha juga pernah menyelar tunang Amyra, pelakon, Dazrin Kamaruddin kerana masalah disiplin ketika sama-sama berlakon dalam drama bersiri Miranda.
Bagai terkena badi tunang sendiri, masalah yang sama datang kepada Amyra ketika namanya sedang meningkat naik.
Enggan memperbesarkan isu ini, Amyra bagaimanapun menafikan dirinya mempunyai masalah disiplin kerana sepanjang bergelar pelakon dalam tempoh setahun lebih, tidak pernah namanya dihambat kontroversi kerana isu disiplin.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon jelita ini.
Kosmo!: Adakah benar anda mempunyai masalah disiplin sehingga menyebabkan Fasha Sandha meninggalkan lokasi penggambaran?
AMYRA: Sejujurnya saya tidak mahu lagi bercakap tentang hal ini kerana semuanya sudah selesai. Pihak produksi tahu hal yang sebenarnya cuma saya sedih dituduh tidak berdisiplin sedangkan saya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sepanjang bergelar pelakon. Saya ada ramai yang saksi yang tahu cara kerja saya.
Maknanya anda menafikan kontroversi artis tidak berdisiplin itu?
Sebenarnya, ada yang salah dalam artikel yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut pada Ahad lepas. Kesalahan yang dikatakan itu tidak benar kerana sepanjang lapan hari penggambaran drama Baju Raya Yaya, saya tidak pernah lewat. Saya berurusan dengan penolong pengarah tentang call time, mereka akan memberitahu bila saya harus berada di lokasi penggambaran kerana saya tidak perlu menunggu lama. Bila isu ini keluar saya rasa kelakar.
Bagaimanakah isu ini boleh timbul jika tiada sebarang masalah?
Saya tidak tahu di mana kesalahan saya apabila dikatakan lewat berkali-kali. Sedangkan setiap kali saya tiba di set penggambaran, pengarah tidak memerlukan saya dalam keadaan tergesa-gesa. Kenyataan saya sering datang lambat seperti ingin menjatuhkan saya. Jika pelakon senior lambat tidak pula dihebohkan, apabila terkena kepada saya tiba-tiba ia meletup seperti masalah dunia.
Apakah perasaan anda apabila dikaitkan kontroversi yang sama seperti tunang anda Dazrin?
Sedih memanglah sedih sebab persepsi orang terhadap saya terus berubah sedangkan mereka tidak mengenali saya secara dekat. Tunang saya (Dazrin) pun pernah kena perkara yang sama dengan Fasha dan saya ambil apa yang berlaku sebagai pengajaran, tidak mungkin saya mengulangi perkara yang sama. Sebagai orang baharu, saya terima sahaja dan tidak simpan dalam hati.
Bagaimanakah hubungan anda dengan Fasha selepas isu ini ditimbulkan?
Dalam drama itu, kami bergandingan sebagai adik-beradik dan hubungan saya dengan dia sepanjang penggambaran sangat baik. Sebab itu bila isu ini timbul, saya rasa pelik dan agak terkejut.
Adakah kerjaya lakonan anda terjejas kerana kontroversi ini?
Alhamdulillah, setakat ini kerjaya saya masih berjalan seperti biasa tidak ada apa yang menganggu. Cuma saya yakin, jika kontroversi ini terus diperkatakan ia akan menggugat kerjaya saya pada masa hadapan. Apa yang saya harapkan, jika anda tidak mengenali saya janganlah terus menghukum. Sebagai pelakon saya tidak mahu dikenali dengan kontroversi sebaliknya mahu dikenali dengan mutu kerja yang baik.
Bilakah anda dan Dazrin akan berkahwin?
Kami bertunang pada bulan Ogos tahun lalu, perancangan tentang perkahwinan saya tidak boleh beritahu kerana kami belum ada tarikh lagi. Buat masa sekarang, kami hormati kerjaya masing-masing terlebih dahulu, jika ada jodoh kami tetap akan berkahwin.


Mesej tersirat Jual Ubat

Posted: 17 Mar 2014 09:36 PM PDT

KHALID SALLEH merupakan pengarah tunggal teater Jual Ubat.


MENGABDIKAN seluruh kehidupannya untuk memperjuangkan seni teater tanah air, Khalid Salleh sememangnya merupakan salah seorang aktor terbaik negara.
Dan ia terbukti dengan kejayaannya menjadi pelakon kedua selepas allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang sukses meraih Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik.
Terbaharu, dia membuktikan daya lakonannya itu masih utuh dari segi kewibawaan dengan muncul sebagai tonggak utama teater monolog Jual Ubat yang dipentaskan di Istana Budaya baru-baru ini.
Teater yang berlangsung selama dua jam itu diisi sebaik mungkin dengan mesej sama ada secara terus terang ataupun berkias oleh Khalid.
Ketika jadual pentas Istana Budaya dipenuhi dengan konsert dan pementasan teater yang menampilkan nama-nama popular seperti Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, Khalid sebaliknya muncul bermonolog tentang pengalamannya menjual ubatyang telah menjadi pekerjaan tetapnya sejak tahun 2007.
Pengalaman ketika diberi kepercayaan berlakon dalam teater Bukan Bunuh Diri karya Dinsman pada tahun 1970-an, telah digunakannya dengan sebaik mungkin.
Dalam Monolog Jual Ubat, subjek utama yang hendak dipertontonkan ialah diri Khalid sendiri selaku penggerak tunggal teater monolog tersebut.
Tidak hairanlah pentasnya kosong dengan prop hanya seketul batu yang diletakkan di atas botol.
Penonton nyata tidak kering gusi dengan penyampaian monolog Khalid yang bersahaja tetapi penuh dengan mesej yang sarat.
Menerusi teater monolog ini, Khalid mengalih persepsi khalayak terhadap penjual ubat. Pada kebiasaannya, penjual ubat memancing pengunjung dengan cara percakapannya yang berunsur pemujukan dan menggunakan beberapa peralatan termasuk haiwan untuk menarik perhatian.
Namun, penjual ubat dalam pementasan ini sangat berbeza. Khalid menampilkan penjual ubat yang sangat rapat dan difahami kehidupannya. Khalid adalah pemerhati yang menyaksikan kehidupan segolongan kecil manusia penjual ubat.
Dari sisi dirinya sendiri, Khalid merumuskan sesuatu tentang hidup bermula dari asal kejadian sehingga ke akhirnya.
Daripada sebuah kisah kecil yang diperhatikan, Khalid berbicara tentang ilmu keagamaan dan hakikat manusia. Kisah penjual ubat hanyalah medium menyampaikan pesan dan dakwah yang sarat.
Sebagai pencerita, Khalid mempertontonkan kepada khalayak bahawa penjual ubat yang sewajarnya mempunyai matlamat dan kesedaran sebagaimana Khalid mencari hasil dan reda Allah.
Khalid memaparkan bahawa penjual ubat memerlukan kreativiti yang tidak sedikit. Penjual ubat kadangkala beraksi sebagai dramatis, pesilat, dukun, tukang tilik, tabib dan pelbagai watak untuk memukau penonton.
Penjual ubat tidak sekadar mempromosi ubat-ubatannya, sebaliknya meraih tumpuan penonton supaya mengaguminya. Apabila penonton kagum, sudah tentu mereka berminat dengan apa sahaja yang disarankan oleh penjual ubat.
Justeru, sering dilihat pada pengakhiran persembahan, penjual ubat tidak perlu mempromosi ubatnya secara berlebihan, sebaliknya penonton berlumba-lumba menghulurkan wang sebagai penghargaan atas cara penyampaian yang menghiburkan.
Khalid menggunakan seluruh deria yang dikurniakan kepadanya bagi meneliti setiap kejadian manusia serta tanda kebesaran Allah yang dibentangkan menerusi pementasan tersebut, seterusnya membawa minda penonton kepada mesej tersirat yang dalam maknanya.
Pemerhatian itu pula sekiranya digabungkan dengan bukti saintifik dan rasional serta logik, pasti menarik penonton untuk kembali memuji keindahan ciptaan Ilahi, seterusnya mengagumi kebesaran-Nya.
Menggunakan medium teater monolog, Khalid seakan-akan menyedarkan bahawa seni itu hidup dalam setiap aspek kehidupan, dan keajaiban-keajaiban adalah unsur seni dalam kehidupan.
Khalid ingin membuktikan tugas penjual ubat itu bukan sekadar mencari habuan untuk diri, sebaliknya tugas yang lebih besar ialah membawa manusia kepada Tuhannya.
Melalui teater monolog ini, terbukti Khalid berjaya sebagai pelakon dan pengarah yang mahir falsafah kenal ruang, kenal bahan, kenal diri, dan yang paling penting ialah kenal Tuhan.


Perubahan personaliti melalui meta coaching

Posted: 17 Mar 2014 09:31 PM PDT


Meta coaching merupakan satu proses pembangunan diri yang dilakukan melalui seni bertanya dan membimbing peserta mencapai matlamat yang diingini.
PARA peserta meta coaching dalam perbincangan.


PERTEMUAN yang diatur dengan coach eksekutif dan pakar komunikasi, Md. Taib Mat, 60, tidak banyak bezanya dengan mana-mana pertemuan sebelum ini.
Jika kebiasaannya, penulis yang akan mengasak individu yang ditemuramah, lain pula ceritanya dengan tugasan ini.
Sebaik diperkenalkan, penulis diasak dengan pelbagai soalan. Kali ini penulis menjawab soalan berantai yang diajukan oleh Md. Taib. Namun, soalan tersebut bukanlah sesi pengenalan, tetapi itulah cara beliau memperkenalkan penulis mengenai meta coaching.
"Apa yang kamu mahukan dalam kehidupan ini, mungkin pada masa sekarang?" soalnya.
Tanpa teragak-agak, penulis menjawab mahu menambah pendapatan. Jawapan tersebut diikuti dengan soalan nilai pendapatan yang dimahukan, bagaimana ia boleh memuaskan penulis, jenis kejayaan yang akan dicapai melalui kepuasan itu dan keperluan keselesaan kepada keluarga dan hidup penulis. Akhir sekali, penulis memberi jawapan, 'Saya mahu hidup bahagia'.
Detik itu menyedarkan penulis bahawa matlamat hidup ialah untuk hidup bahagia. Semua jawapan yang diberi membimbing penulis secara tidak langsung untuk mencapai matlamat tersebut.
Md. Taib lantas berkata: "Saya boleh bertanya soalan berantai mengenai diri kamu itu selama sejam atau lebih dan membawa kamu kepada destinasi kehidupan yang kamu impikan. Saya boleh membimbing kamu menerusi jawapan atau kemahuan kamu dan itulah yang dimaksudkan meta coaching!"
Destinasi
Benar, sesi itu sesuatu yang menakjubkan. Soal jawab itu seolah-olah membangunkan penulis yang selama ini hidup secara statik. Ternyata sesi yang kurang 10 minit bersama Md. Taib sedikit sebanyak membawa realisasi tentang kemampuan dan kebolehan diri untuk berjaya.
Coaching berbeza dengan rundingan, mentor, terapi, kaunseling atau latihan dan nasihat. Md. Taib yang juga pelatih prinsipal Akademi NLP Malaysia atau MTM Consultants Sdn. Bhd. menjelaskan, budaya coaching masih berada di peringkat awal.
Meta coaching pada pandangan beliau sesuatu yang sangat baharu di Malaysia. Namun, penyebaran budaya coaching khususnya meta coaching, boleh menyaksikan perubahan personaliti peribadi sama ada umum atau yang lebih baik.
Meta coaching sebagai satu proses pembangunan diri yang dilakukan melalui seni bertanya. Coaching ini dinamakan meta kerana ia membabitkan minda dan akal serta menolak diri menjangkaui kemampuan yang sedia ada. Ini bermakna, meta coaching tertumpu kepada proses dan struktur tetapi bukan kandungannya.
Ia juga sesi yang menggerakkan seseorang dari satu situasi kepada satu situasi lain yang lebih baik. Pertanyaan yang ditujukan bukan sahaja menyentuh minda malah ia mampu mengubah nilai dan kepercayaan seseorang.
Misalnya pendekatan yang digunakan Md. Taib berupa soalan berstruktur yang membawa kepada hasil yang dihajati berdasarkan corak fikiran dan makna yang diberikan oleh peserta tanpa sebarang cadangan atau pendapat daripada meta coach yang mengendalikan soal jawab itu.
"Jadi, tugas meta coach ialah berdialog dengan peserta sebagai pencetus untuk memperkasa diri mereka supaya berkemahiran menggunakan akal secara terbaik, mengakses sumber kekuatan diri dan mencapai hasil tertinggi yang dikehendaki," jelas Md. Taib.

WALAUPUN terma coaching merujuk kepada pelatih sukan tetapi hari ini ia membawa maksud yang lebih luas.


Md. Taib, anak kelahiran Bedong, Kedah merupakan graduan ijazah lanjutan dalam bidang Perancangan Strategik dari Universiti Southern California, Los Angeles, Amerika pada tahun 1986 selepas menamatkan Ijazah Sains Perniagaan Ekonomi dari Universiti Southern Illinois, Carbondale pada 1985.
Beliau mula berjinak-jinak dengan dunia coaching selepas terdedah dengan pakar-pakar NLP, hipnoterapi dan komunikasi tersohor dunia seperti Dr. Richard Bandler, Dr. Robert Dilts, Judith DeLozier, Dr. Michael Hall, Dr. Stephen Gilligan, Shelle Rose Charvet, Dr. William Horton, Dr. George Bein, Anthony Robbins dan lain-lain dari seluruh pelosok dunia.
Posisi beliau sebagai Penolong Pengurus Ladang di Harrisons Plantations, Eksekutif Pembangunan Perniagaan di Shell Chemicals, Pengarah Urusan Aliran Permata Sdn. Bhd. (Teknologi Maklumat), dan MTM Consultants Sdn. Bhd. (Pembangunan Insan) telah membuka laluan kepadanya untuk terlibat dalam bidang ini demi pembangunan syarikat tempat kerja beliau dan diri beliau sendiri.
"Meta coaching merupakan satu cabang baharu daripada coaching yang bermula sejak beberapa dekad lalu, sebelum wujudnya sukan Olimpik. Ia sangat popular dan banyak dilakukan dalam kalangan ketua-ketua eksekutif, pengarah urusan dan mereka yang berjawatan tinggi demi kecemerlangan syarikat atau organisasi. Hari ini, ia diperluas sehingga pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pun turut didedahkan dengan proses meta coaching," ujar beliau. Walaupun terma coaching merujuk kepada pelatih sukan, tetapi maksudnya lebih meluas daripada itu.
Kini pelbagai lapisan masyarakat telah menyertai program kendalian beliau yang terdiri daripada ketua eksekutif, pengarah, pengurus, peguam, pensyarah, doktor, pelajar sehinggalah kepada suri rumah.
Seorang peserta meta coaching, Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solution (Ilsas), Khalidah Haron berkata, coaching bukan sahaja membawa kepada kesedaran diri tetapi tentang toleransi sesama manusia dan sifat kemanusiaan dalam setiap usaha yang dilakukan.
"Jika selama ini, saya hanya berpandu keputusan atau sasaran, selepas sesi coaching, saya sedar semua orang mempunyai kemahiran tersendiri tetapi tiada yang sempurna. Jadi, daripada menyalahkan orang lain, saya cuba mencungkil dan memberi mereka ganjaran terhadap usaha yang mereka lakukan," kata beliau.
Bimbing diri
Khalidah menyertai program meta coaching bermula daripada kursus asas NLP selepas dua orang kakitangan di syarikatnya menyertai program itu. "Mereka meminta kebenaran saya untuk menyertai program ini. Saya benarkan dengan syarat mereka menampung sendiri. Melihat perubahan diri dan perkongsian mereka, saya pun menyertainya pada tahun 2010," kata Khalidah ketika ditemui.
Beliau mengakui, perbezaan ini meliputi cara mereka membimbing diri dalam melakukan sesuatu tugas dan menggunakan konsep soal diri dalam menyelesaikan masalah atau halangan sewaktu menjalani tugas.
Selepas mengikuti program tersebut, Khalidah bukan sahaja berkemampuan membantu orang lain, malah membantu diri sendiri.
"Meta coaching mengajar saya melakukan kemahiran memotivasikan diri secara sistematik. Misalnya, selain memotivasi diri kita juga perlu mencari permasalahan itu dari akar umbi. "Apabila kita melihat sesuatu masalah pada akar umbi, ia lebih mudah untuk diatasi," katanya yang baru sahaja bersara tiga bulan lalu.
Ketika di temu bual, Khalidah berkali-kali menekankan tiga perkara mengenai meta coaching.
Pertama sekali ialah, having iaitu kemahiran yang dimiliki; doing iaitu usaha untuk mencapai sesuatu sasaran dan being yang dilihat kurang diambil kira iaitu sikap empati kepada mereka yang mencuba tetapi gagal mencapai sasaran.
"Kesedaran tahap ketiga iaitu, being, memberi satu paradigma mendalam dan penuh bermakna. Ia mencungkil potensi anggota kerja dan memberi kesedaran tersendiri khususnya membolehkan mereka membimbing diri sendiri untuk berjaya," katanya.


Di Bawah Lindungan Kaabah cungkil bakat muda

Posted: 17 Mar 2014 09:30 PM PDT



PESERTA yang berjaya dalam sesi uji bakat bergambar bersama tenaga produksi teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang akan dipentaskan dari 9 hingga 18 Mei depan di Istana Budaya.


PEMENTASAN teater secara komersial di Malaysia semakin berkembang sejak tertubuhnya Istana Budaya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sekitar 15 tahun lalu.
Teknologi canggih, pelbagai kemudahan dan kapasiti sebanyak 1,400 penonton pada satu-satu masa di panggung tersebut menarik perhatian banyak pihak untuk mementaskan teater di situ sama ada produksi tempatan atau luar negara.
Tahun ini beberapa teater besar akan memenuhi kalendar Istana Budaya termasuklah adaptasi novel penulis ulama terkenal Indonesia, Allahyarham Prof. Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah.
Lazimnya, apabila teater berskala besar dipentaskan, ia memerlukan bilangan pelakon yang ramai antara 50 hingga 150 orang. Justeru, peluang ini dibuka oleh produksi teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DLK) kepada 40 bakat baharu bagi berganding dengan nama-nama besar pada persembahan yang berlangsung dari 9 hingga 18 Mei depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Mereka terdiri daripada pelajar universiti, kakitangan swasta, pegawai kerajaan, penggiat seni dan pelajar sekolah yang berusia antara tujuh tahun hingga 45 tahun. Mereka dipilih melalui sesi uji bakat yang diadakan di Istana Budaya, baru-baru ini.
Uji kemampuan
Menurut Pengarah Pemasaran dan Promosi DLK, Chloe Siao Hui Boon, pemilihan tersebut dilakukan oleh Siti Rohayah Attan (Penerbit), Rosminah Mohd. Tahir (Pengarah & Penulis Skrip) dan A. Aris Kadir (Koreografer) melalui dua saringan yang menekankan kebolehan tarian, lakonan dan nyanyian.
"Uji bakat tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada bakat-bakat baharu dalam bidang seni untuk menguji kemampuan mereka dalam bidang ini.
"Mereka yang dipilih dibahagikan kepada kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa. Mereka diberi peranan sebagai pelakon tambahan atau ensemble," tambah Chloe Siao yang menguruskan hampir 100 peserta yang mencuba nasib.
Menurut beliau, melalui uji bakat seharian itu seramai 40 orang terpilih. Ada antara mereka pernah terlibat secara kecil-kecilan dalam persembahan teater seperti Muzikal Tun Mahathir, Upin dan Ipin The Musical dan Nyonya & The Gang.
"Justeru, panel pemilih tidak berhadapan dengan kesukaran kerana mereka telah sedia maklum apa yang diperlukan dalam sesi uji bakat.
"Mereka berkemampuan untuk menari secara muzikal, berlakon dan sebahagiannya mempunyai bakat nyanyian yang sangat baik," kata Chloe Siao sambil menambah ada peserta yang berusia empat tahun turut mencuba bakat.

KOREOGRAFER terkenal, A. Aris menunjukkan gerak asas tarian kepada peserta uji bakat teater Di Bawah Lindungan Kaabah di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Bakat-bakat baharu yang terpilih akan mula menjalani latihan pada akhir Mac ini sehinggalah tarikh persembahan pada 9 Mei nanti.
Sebanyak 14 persembahan akan diadakan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad serta persembahan petang dan malam.
Teater karya penulis besar kelahiran Padang, Indonesia, Allahyarham Prof. Hamka ini dilakonkan oleh Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira loy, Fizo Omar, Yasmin Hani Richardson, Dafi AF (Akademi Fantasia), Zahid AF, Liza Abdullah, Alina Hassan, Taufeq Izmir, Wafiy Irfan, Tun Amiera Rania dan 70 pelakon lain.
Lagu-lagu yang dipersembahkan di dalam teater DLK dicipta dan digubah oleh Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) manakala liriknya oleh Rosminah.
Harga istimewa
"Bagi persembahan ini, kami juga menawarkan tempat duduk yang menarik pada harga istimewa kepada semua pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang datang secara berkumpulan iaitu sekurang-kurangnya 40 orang.
"Tawaran ini terbuka terutamanya pada persembahan sebelah petang yang bermula dari pukul 3 hingga 5 petang pada 10, 11, 17 dan 18 Mei," tegas Chloe Siao.
DLK merupakan adaptasi novel yang dikarang oleh Hamka pada tahun 1938 dan diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur.
Novel roman ini ditulis sewaktu beliau bekerja sebagai editor sebuah majalah Islam mingguan di Medan. Karya ini mengisahkan tentang perjuangan kehidupan pasangan muda Minang yang berasal daripada latar belakang sosial berbeza.
Karya tersebut mendapat sambutan hangat seluruh Nusantara malah dibaca sehingga kini. Filem mengenainya juga pernah dihasilkan pada tahun 1978 dan 2011. Bagaimanapun, inilah pertama kali buku tersebut diadaptasi untuk dijadikan persembahan teater.
DLK diterbitkan bersama oleh CTRA Production dan Istana Budaya dengan kerjasama Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) dan FAREEDA.


Bukan sekadar milik pendekar dan raja

Posted: 17 Mar 2014 09:29 PM PDT


REKAAN tanjak urban Kotak Hitam berjaya menarik minat anak-anak muda untuk kembali bertanjak.


KALAU dihimpun setiap jenis tengkolok, destar atau tanjak Melayu, pasti ramai yang terlopong hairan. Lebih-lebih lagi orang sekarang yang sangat cetek pengetahuan- nya terhadap warisan silam itu.
Nama-nama seperti Tanjak Lang Melayang (Terengganu), Tengkolok Putera Kayangan (Perlis), Tanjak Pari Mudik (Selangor), Destar Patah Kepak (Perak), Destar Raja Naik Bersiram (Pahang), Destar Dendam Berahi (Negeri Sembilan), Destar Ketam Budu (Kelantan), Destar Siga (Sabah), Tanjak Tebing Laksamana (Johor), Destar Laksamana Kedah (Kedah) dan Tanjak Bugis Tak Balik (Sarawak) barangkali asing dalam kalangan orang awam.
Perkembangan tanjak dalam peradaban orang Melayu berlaku secara berperingkat. Berteraskan catatan sejarah, tanjak mula dipakai lelaki Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ia bertujuan menutup kepala dan mengemaskan rambut yang panjang.
Begitupun, kajian ilmu terhadap kegemilangan aksesori klasik itu jarang diberi perhatian. Kesannya dapat dilihat hari ini. Kanak-kanak termasuk golongan muda menyimpan tanggapan kuno apabila ditanya tentang tanjak. Kata mereka, ia ketinggalan zaman dan hanya untuk pendekar.
Konsep pemahaman yang diguna pakai itu sebenarnya mencalarkan imej tanjak dalam masyarakat kita sendiri. Pada hakikatnya, tanjak bukan sekadar untuk raja, bangsawan ataupun pahlawan seperti Hang Tuah dan Hang Jebat.

TANJAK, tengkolok atau destar klasik diperbuat daripada kain sutera asli. - Gambar hiasan


Tanjak urban
Rakyat biasa yang terdiri daripada petani, penternak dan nelayan pada zaman dulu juga tidak terkecuali menjadikan tanjak sebagai penutup kepala setiap hari.
"Kita boleh labelkan ia sebagai serban untuk orang Melayu. Serban yang fungsinya kini lebih condong untuk beribadat diperkenalkan orang Arab. Konsepnya juga sama seperti tanjak iaitu menutup kepala," pendapat ilmiah daripada pengasas Kotak Hitam Art Studio/Clothing (Kotak Hitam),
Hazriansyah Kamalsha, 29, yang mesra disapa Tok Pek ketika ditemui baru-baru ini.
Di bawah Kotak Hitam, Hazriansyah bersama rakan kongsinya, Ahmad Mustaqim Rodzuan, 26, memperbaharui tanjak Melayu. Objektif mereka adalah untuk memupuk kecintaan anak- anak muda terhadap warisan klasik dan secara tidak langsung mengembali- kan kegemilangan tanjak.
Gerakan murni itu bermula menerusi perancangan revolusi dan transformasi pada tahun 2011. Mereka menyasarkan lebih 50 peratus orang Melayu Malaysia memakai tanjak sebagai aksesori harian. Begitupun, ia masih jauh untuk direalisasikan.
Setahun kemudian iaitu pada tahun 2012, Kotak Hitam cuba mengkomersialkan rekaan tanjak urban mereka. Acara pakaian label tempatan Getup Kluang! di Kluang, Johor menjadi platform awal mereka. Berpandukan satu prototaip, mereka menerima maklum balas positif.
Tidak menunggu lama, Kotak Hitam lantas mengeluarkan tanjak daripada lima jenis material. Denim gelap, denim terang, korduroi gelap, korduroi terang dan celoreng bomba adalah pertaruhan awal mereka.
"Sebenarnya kami mahu gunakan celoreng askar tapi tidak jumpa. Namun sekarang kami telah mempunyai rangkaian tanjak dengan celoreng tersebut," jelas Hazriansyah.
Pilihan fabrik tersebut menyimpang jauh daripada penggunaan songket bagi menghasilkan tanjak klasik. Kegilaan anak muda terhadap denim banyak memberi impak kepada perkembangan tanjak keluaran Kotak Hitam. Tamba- han lagi ia ringkas dan polos tanpa sebarang motif.
Saiz tanjak juga disesuaikan dengan ciri pelekat velcro. Berukuran 30 x 30 inci, saiz tersebut berbeza daripada kiraan tradisional yang menggunakan nombor ganjil bermula daripada 31 hingga 41 inci. Saiz lama itu lebih panjang dan lebar kerana ia perlu diikat secara manual.
TANJAK sering dikaitkan dengan pendekar Melayu termasuk hulubalang Melaka iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. - Gambar hiasan


Aksesori
Tanjak selalunya diukur mengikut kepala lutut kerana saiznya sama dengan lilitan kepala.
Ciri boleh laras tanjak Kotak Hitam juga diakui sendiri Hazriansyah sebagai salah dalam konteks tanjak tradisional. Mengikut syarat asal, satu tanjak hanya direka untuk satu kepala. Ia tidak boleh bertukar milik.
Ahmad Mustaqim menambah, usaha mempromosikan tanjak sebagai aksesori harian di negara ini bagaimanapun berdepan sedikit tentangan. Pertembungan prinsip antara orang lama dan Kotak Hitam tentang pengubahsuaian dan adaptasi fungsi tanjak menyulitkan kelancaran gerakan.
Begitupun, teguran itu bukanlah secara kasar, malah lebih kepada pesanan.
Tanggungjawab memulangkan semula keagungan tanjak Melayu dalam kalangan anak muda turut diiringi penye- baran maklumat tentang pemakaian tanjak dengan betul.
Buktinya, setiap pembeli tanjak urban Kotak Hitam wajib mendengar penjelasan khusus berkenaan bahagian-bahagian tanjak, maksud lapisan dan lambaian, cara pemakaian serta pantang larang.
"Kami tidak mengejar keuntungan semata-mata. Kami mahu setiap pelanggan memahami sepenuhnya fungsi dan cara memakai tanjak mengikut syarat yang betul," dedah Ahmad Mustaqim.
Lipatan
Menyentuh proses peng- hasilan, Ahmad Mustaqim memberitahu, secara tradisinya, setiap tanjak daripada fabrik songket memakan masa selama tujuh hari untuk disiapkan sepenuhnya termasuk upacara khas.
Lipatan tanjak mengikut urutan lama dibahagikan kepada 10 langkah. Didahulukan dengan langkah bermula, diikuti risik melangkah, risik bertemu, cincin dikembang, lambai kasih, kasih berjawab, kasih bermula, bertemu kasih, gelombang kasih dan diakhiri bersama lambaian kasih.
Bagi tanjak urban Kotak Hitam, tapaknya terdiri daripada lima lapis. Ia masih mengekalkan bilangan ganjil yang kebiasaannya ditetapkan sama ada satu, tiga, lima atau tujuh lapisan tapak.
Hanya penghujung tanjak sebelah kiri boleh dinaikkan memandangkan sebelah kanan khusus untuk raja dan kerabatnya sahaja.
Selain tanjak, Kotak Hitam juga giat mempromosikan jaket layang yang menyerupai pakaian tradisional Melayu yang sering dipadankan bersama tanjak. Sebagai suntikan kelainan, ia direka dengan material denim dan fabrik bercorak celoreng.
Baju-T Pusaka Warisan yang turut dicipta Kotak Hitam pula mengangkat kehalusan seni motif pucuk rebung.


Roti hitam burger Ninja

Posted: 17 Mar 2014 09:27 PM PDT

BURGER KING memperkenalkan dua menu promosi baharu iaitu burger Ninja dan sosej Jumbo Franks.


SECARA realiti, Burger King Malaysia berada di posisi kedua dalam pasaran burger di Malaysia. Harganya juga tidak serendah francais makanan segera lain, namun kualiti, rasa dan keaslian burgernya dijamin kompetatif.
Jarang sekali kita melihat promosi kreatif daripada Burger King Malaysia. Bermula 3 Mac lalu, ia mencipta kejutan dengan memperkenalkan burger Ninja. Diapit roti hitam arang bersaiz empat inci, promosi baharu itu diharapkan dapat menarik minat individu berusia 18 hingga 35 tahun.
Penghasilan roti hitam arang itu diinspirasikan daripada Burger King Jepun yang memperkenalkannya pada pertengahan tahun 2012. Begitupun, konsep yang diterapkan adalah berbeza. Malaysia memilih tema Ninja bagi melengkapi keseluruhan promosi yang berakhir pada hujung April depan tersebut.
"Ramuannya sama seperti burger di Jepun. Kami bukan menekankan soal warna roti malah lebih kepada kelembutan teksturnya.
"Bagi mendapatkan rasa ini, kami menggunakan teknik arang buluh," jelas Pengarah Pemasaran Burger King (Malaysia dan Singapura), Keith Loh ketika ditemui di majlis pelancaran burger Ninja di Burger King, 1Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

PROMOSI burger Ninja telah bermula pada awal Mac lalu sehingga penghujung April depan.


Keenakan
Keenakan burger Ninja baharu itu digandakan dengan lapisan daging lembu atau ayam gril bersama sos teriyaki, salad segar dan bawang gril.
Pelanggan boleh memilih daripada empat sajian yang ditawarkan. Seleksi itu terdiri daripada burger ayam atau daging biasa atau deluxe yang menggunakan daging gril lembut untuk burger jenis Whopper.
Set burger Ninja turut didatangkan dengan minuman Fanta Grape Star dan kentang goreng saiz sederhana.
Turut menambah menu Burger King Malaysia ialah Jumbo Franks. Sosej dengan hirisan ayam salai itu juga disediakan bersama sos signatur Burger King iaitu teriyaki. Menu ini dijual pada harga RM5.95.
Burger Ninja Burger King kini boleh didapati pada harga RM7.95 bagi burger biasa ala carte dan RM9.96 untuk set penuh. Set deluxe pula dijual pada harga RM13.95 dan RM9.95 untuk ala carte.
Sementara itu, tambah Keith, jika sambutan promosi tersebut mencapai sasaran yang memuaskan, ia mungkin dijadikan promosi tahunan Burger King Malaysia.


Alam inspirasi seni Faizal Suhif

Posted: 17 Mar 2014 09:27 PM PDT


MOHD. FAIZAL ingin berkongsi karya seninya untuk memberikan manfaat kepada generasi kini dan akan datang.


BERASAL daripada keluarga petani nyata memberi satu kelebihan kepada pelukis berbakat besar, Mohd. Faizal Md. Suhif, 30, dalam menghasilkan karya-karya seninya.
Ditambah pula, pengalaman berkunjung ke luar negara seperti Singapura, Beijing, China dan Bali, Indonesia mematangkan beliau dalam menjadikan alam semula jadi sebagai subjek utama karyanya.
Hasilnya, sebanyak 25 karya beliau dipamerkan di dinding Galeri G13, Kelana Square, Jalan SS7/26, Kelana Jaya, Selangor. Pameran solo Mohd. Faizal berlangsung sehingga 22 Mac ini.
Sempena pameran itu, beliau turut melancarkan laman web peribadi iaitu www.faizalsuhif.com. Pengunjung berpeluang untuk mendapatkan maklumat mengenai anak muda ini dan mengikuti perjalanan seninya.
Mohd. Faizal yang berasal dari Muar, Johor, berkata, karya yang dihasilkannya adalah berdasarkan catatan lakaran dalam diari hariannya.
Menjadi saksi kepada tanah dan persekitaran luar negara menambahkan kematangan pelukis muda ini dalam pameran solo kali kelimanya yang bertemakan 'Stories From The Soil' itu.
"Berbekalkan pengalaman yang diperoleh telah banyak mengajar saya cara-cara untuk bergaul dengan kenalan baharu dari seluruh negara dan melihat keindahan ciptaan Ilahi.
"Saya berharap agar karya dihasilkan ini mampu memberikan manfaat kepada generasi kini dan akan datang dan menjadi sebuah bentuk pemahaman bahawa kita harus sentiasa peka pada setiap masa, ketika dan di mana sekali pun kita berada," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
KREATIVITI seni Mohd. Faizal berkisar motif tanah dan alam banyak dipengaruhi latarbelakangnya yang berasal daripada keluarga petani.


Sentuhan alam
Hasil seni menggunakan teknik yang menarik dengan gabungan alam semula jadi diolah ke atas lukisannya. Selain itu, teknik lukisan yang menggunakan cat air yang dihasilkan oleh beliau sangat menarik kerana memberi makna di sebalik visual melalui citarasanya.
Menerusi pengalaman hidup anak keempat daripada enam beradik yang sedang mencipta nama di persada seni visual tempatan, Mohd. Faizal menghasilkan karya yang terdiri daripada pemerhatian terhadap alam semula jadi. Antara karya seninya yang dipamerkan di galeri itu berjudul Buka Tanah, Diari Anak Petani, Sebenih Sepi dan Sepetak Puisi.
"Buka Tanah mempunyai bentukan siput, benih dan dedaun serta ranting di atas tanaman. Daripada biji benih akan tumbuh pokok, batang, daun, buah yang berbeza-beza. Pengaruh alam sekeliling sememangnya dekat dengan kehidupan manusia dan saya zahirkan menerusi karya.
"Sebenih Sepi pula mengingatkan kita bahawa setiap makhluk akan kembali kepada Pencipta dalam timbunan tanah liat kelihatan bersendirian dan sepi. Kejadian manusia dari tanah dan akan pulang ke tanah yang merupakan semaian yang tersirat dalam lukisan tersebut," ujarnya.
Simbolik diri
Pengisian karya beliau turut merencanakan apa yang ingin disampaikan kepada khalayak mengenai kepekaan manusia kepada alam. Di samping itu, karya seni dan tanah yang menghiasi ruang pameran adalah sebagai simbolik kepada dirinya untuk berbicara soal hati, keyakinan, ketaatan dan bagaimana setiap makhluk akan kembali kepada yang asal iaitu tanah.
"Saya gambarkan dalam karya apa yang telah dilalui selama ini iaitu lebih cenderung ke arah bercucuk tanam.
"Jika ia diuruskan dengan cara yang betul, maka ia bakal memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja,"tambahnya.
Dokumentasi diari visual dalam bentuk catan, lakaran visual dan nukilan puisi telah dilakukan di atas kanvas untuk dikongsikan bersama berdasarkan pengalaman selama berada di beberapa negara yang pernah dikunjunginya termasuk Bangladesh dan Jepun.


Nuri, Hercules dinaik taraf

Posted: 17 Mar 2014 09:26 PM PDT


HERCULES C-130 antara pesawat pengangkut taktikal terbaik dan paling banyak digunakan di dunia.


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan menaik taraf dua pesawat pengangkutnya, iaitu helikopter Sikorsky S-61A4 (Nuri) dan Lockheed C-130H (Hercules) dengan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan operasi semasa.
Program Pemanjangan Jangka Hayat Pesawat ini dijalankan oleh firma selenggara pertahanan tempatan, Airod Sdn. Bhd. (Airod) bagi memastikan kesiap siagaan ATM, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Langkah itu selaras dengan program memobilisasikan aset ATM sedia ada termasuk melihat penggunaannya bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).
Proses itu melibatkan pertukaran peralatan berteknologi baharu termasuk sistem kokpit digital dan kotak gear yang boleh digunakan untuk tempoh dua dekad akan datang.
Program menaik taraf Nuri telah pun bermula sejak penghujung tahun lalu secara berperingkat-peringkat dan dijangka berakhir pada tahun 2015 dengan menelan kos RM500 juta.
Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan hanya 15 daripada 30 buah helikopter Nuri sahaja yang akan dinaik taraf.
Pesawat Nuri buatan Amerika Syarikat yang digunakan sejak tahun 1968 perlu dinaik taraf bagi membolehkan aset tersebut signifikan dengan doktrin pertahanan negara terutama selepas kemasukan helikopter Eurocopter EC-725.
Jangka hayat
Sebelum ini, pesawat Nuri pernah dinaik taraf pada pertengahan tahun 1990-an oleh Airod dengan menggantikan beberapa komponen seperti sistem radar dan dipasang dengan sistem baharu navigasi serta sistem penjejak kedudukan global (GPS).
Program tersebut bagi memanjangkan lagi jangka hayatnya terutama untuk menyokong keperluan operasi ATM terutama Tentera Darat.
Pesawat Nuri turut digunakan dalam tugas operasi mencari dan menyelamat, selain terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan semasa banjir dan penerbangan ihsan.
Ketika ini, tiga buah skuadron TUDM mengendalikan helikopter Nuri iaitu No. 3 Skuadron di Butterworth, No. 5 Skuadron (Labuan) dan No. 7 Skuadron (Kuching).

NURI turut digunakan dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan perairan dan hutan belantara.


Sepanjang perkhidmatannya, sebanyak 18 kemalangan udara Nuri dilaporkan dengan catatan 95 kematian.
Namun begitu, Nuri masih diakui sebagai sebuah helikopter pengangkut tentera antara yang terbaik di dunia.
Selain TUDM, helikopter jenis ini turut digunakan pasukan tentera dan pasukan penyelamat di lima buah negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.
Sementara itu, Hercules yang merupakan pesawat pengangkut taktikal TUDM mula digunakan pada tahun 1976 menggantikan pesawat DHC-4 Caribou.
TUDM mempunyai 15 buah pesawat Hercules termasuk lima buah C-130H-30 iaitu versi dipanjangkan kerangkanya sebanyak 4.5 meter yang mula digunakan TUDM pada tahun 1995.
Walaupun TUDM dijadualkan menerima empat pesawat pengangkut terbaharu jenis Airbus A400M yang bersaiz lebih besar bermula tahun hadapan, namun khidmat Hercules masih lagi diperlukan.
Hercules yang menggunakan empat enjin turboprop mempunyai kapasiti muatan yang tinggi sama ada membawa kargo sebanyak 20 tan, 128 penumpang atau 92 anggota payung terjun.
Jimat perbelanjaan
Pesawat-pesawat ini yang dikendalikan oleh No. 14 Skuadron di Labuan dan No. 20 Skuadron (Subang) juga merupakan tulang belakang bagi pengangkutan Pasukan Atur Cepat (PAC) 10 Briged Para.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika ditemui baru-baru ini berkata, langkah menaik taraf kedua-dua pesawat ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan berbanding membeli pesawat baharu.
Menurut beliau, meskipun usia helikopter Nuri melebihi 40 tahun, namun ia masih berkeadaan baik dan boleh digunakan untuk membantu menambah kekuatan pasukan keselamatan negara.
"Pada pandangan ATM, Nuri masih kuat dan kental cuma perlu ditambah baik dari segi sistem dan avioniknya.
Kita sudah dapatkan Eurocopter EC725 dan ia akan saling melengkapi dengan pesawat Nuri yang sedia ada.
"Pada masa sama, sebahagian daripada pesawat Nuri juga akan ditugaskan dalam cabang Tentera Darat sebagai helikopter pengangkut dan pelbagai peranan," katanya.


Pil kunyit bantu sembuh penyakit

Posted: 17 Mar 2014 09:25 PM PDT


SEBIJI pil dari ekstrak kunyit umpama mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit.


PENGELUAR produk kesihatan berasaskan Islam, Anugerah International Sdn. Bhd. melancarkan produk terbaharunya Pil Kunyit Anugerah di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pil tersebut dihasilkan daripada campuran kunyit atau nama saintifiknya curcuma longa bersama teh hijau hasil daripada kajian saintifik.
Di dalam perubatan tradisional Melayu, kunyit adalah herba utama yang digunakan dalam proses merawat kerana mempunyai kesan penyembuhan yang paling mujarab.
Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Profesor Gerard Bodeker, kunyit merupakan bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan dari serangan penyakit.
"Kunyit merupakan bahan penyembuh terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden.
"Sebiji pil dari ekstrak kunyit ini seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit yang terdapat di dapur," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pil tersebut baru-baru ini.
Tambah beliau, kunyit juga mempunyai keupayaan antioksidan yang mampu meneutralkan radikal bebas yang merupakan punca berlakunya kanser.
Mengulas mengenai produk teh hijau pula, beliau memaklumkan bahawa tumbuhan tersebut mengandungi bahan aktif yang bernama catechins yang boleh mencegah kerosakan sel-sel di dalam badan.
"Satu kajian yang dilaksanakan di Switzerland membuktikan mereka yang mengamalkan pengambilan teh hijau setiap hari berjaya meningkatkan tahap memori dan menghalang pembentukan plak yang menjadi punca kepada penyakit Alzheimer," katanya.
Selain daripada menyembuh dan menghalang penyakit, pil berharga RM58 itu juga ditenagakan dengan bacaan juzuk al-Quran dan doa-doa syifa untuk memulihkan kesihatan.
Menurut bekas peserta Imam Muda, Ustaz Azhar Ghazali, pil tersebut bukan sahaja hebat daripada segi kajian saintifik malah turut dibacakan al-Quran dan doa oleh tahfiz yang bertauliah.
"Gabungan ini bukan sahaja baik untuk mengatasi masalah penyakit-penyakit berbahaya malah orang sihat juga digalakkan mengambilnya," katanya sambil memaklumkan pil tersebut juga baik untuk mencegah sebarang penyakit.
Untuk maklumat lanjut mengenai khasiat kunyit dan teh hijau yang terdapat dalam Pil Kunyit Anugerah, orang ramai boleh melayari laman web www.anugerahquran.com atau hubungi 03-20727777.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories