RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sarimah Ibrahim Pertama Kali Bercinta Dengan Jejaka Melayu

Posted: 19 Mar 2014 04:32 AM PDT


Sarimah Ibrahim
PETALING JAYA:Penyanyi Sarimah Ibrahim mendedahkan bahawa dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka Melayu yang baru dikenalinya sejak tiga bulan lalu.

Sarimah, 36, berkata, ini merupakan kali pertama dia menjalinkan hubungan dengan lelaki berbangsa Melayu memandangkan sebelum ini hanya jejaka Inggeris menjadi pilihan hatinya.

"Mungkin apabila usia semakin matang, saya lebih mencari keselesaan dan keserasian dalam menjalinkan hubungan cinta.

"Pengalaman bercinta juga berkahwin dengan lelaki berbeza budaya bukannya mudah. Sukar untuk kita menyesuaikan diri. Alhamdulillah, akhirnya hati saya melekat pula dengan lelaki Melayu bernama Tunku Nadzimuddin Tunku  Mudzaffar yang kini berusia 42 tahun.

"Lagipun saya perlukan seorang lelaki yang dapat membimbing saya ke arah kebaikan terutamanya berkaitan perihal agama," katanya kepada mStar Online.
Tambah Sarimah, keikhlasan Najimmudin membuatkan Sarimah terpikat dengan lelaki tersebut dan berharap agar kedua-dua mereka ditakdirkan bertemu jodoh bersama.

Sementara itu, Sarimah yang juga merupakan penyampai radio Mix FM bersama gandingannya iaitu Rod menganjurkan kempen mencari pasangan untuk Sarimah iaituDesperately Seeking Sarimah menerusi stesen radio tersebut.

Kempen itu dianjurkan sendiri oleh Rod sebelum mengetahui bahawa Sarimah sebenarnya sudah mempunyai kekasih hati.

"Kalau nak tahu, sebelum ini Rod dengan beraninya menganjurkan Desperately Seeking Sarimah, kononnya mahu tolong mencari pasangan untuk saya.

"Memandangkan dia tidak tahu yang saya sudahpun mempunyai kekasih, saya layankan sahaja. Tidak sangka pula Rod emngambil perkara itu begitu serius.

"Sehinggakan, seramai 10 lelaki penyertai kempen itu, hanya tiga saja dipilih. Bagaimanapun saya terpaksa menjelaskan kepada ketiga-tiga lelaki tersebut yang sebenarnya saya sudah mempunyai pasangan sendiri. Walaupun sedikit kesal, mujurlah mereka memahami," ujarnya

Dalam perkembangan lain, Sarimah bakal muncul dengan sebuah single lagu terbaru berjudul You On My Mind. Lagu tersebut turut menampilkan penyanyi Simon J Bailey.

Interaksi pikat peminat

Posted: 19 Mar 2014 04:23 AM PDT


ALBUM terbaharu berjudul, Younghearts meniupkan lagi semangat juang Oh Chentaku dalam dunia muzik.


DALAM usaha untuk menembusi pasaran muzik arus perdana tempatan, setiap band yang bergerak secara sendiri mempunyai resipi dan cara masing-masing untuk memperkenalkan muzik garapan mereka kepada para peminat.
Tidak hanya tertumpu pada satu saluran atau cabang sahaja, mempromosikan karya yang telah dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) sebelum ia dilancarkan merupakan satu usaha yang unik dan mampu untuk menarik perhatian umum.
Lebih istimewa, promosi tersebut berlangsung secara berterusan menerusi penganjuran konsert jelajah yang membawa band tersebut hampir ke seluruh negara bagi bertemu dengan para peminat. Itulah yang dilakukan oleh enam orang anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Oh Chentaku (OCK) sejak bulan Januari yang lalu
Ketika ditemui usai melakukan persembahan kemuncak konsert jelajah Younghearts Tour 2014 yang berlangsung di Blackbox, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini, OCK yang terdiri daripada Myo, Jimmy, Amber, Wawa, Naem dan Jack mempunyai sebab yang tersendiri memilih cara promosi album sedemikian.
Tembusi arus perdana
"Kebanyakan artis atau band-band terkenal bertindak melancarkan album mereka terlebih dulu sebelum mengadakan sebarang konsert jelajah. Tetapi bagi OCK, kami lebih mengutamakan para peminat dengan mengadakan konsert jelajah sebelum melancarkan album.
"Ia bertujuan bagi memberikan mereka masa untuk membiasakan diri dengan lagu-lagu kami sebelum datang ke konsert yang terakhir ini," kata Myo, atau nama sebenarnya Mior Luqman Mior Mohd. Zain, 27, selaku vokalis OCK yang mewakili kumpulan tersebut.
Menurut Myo, selain aktif mempromosikan album ketiga mereka yang berjudul Younghearts itu dalam penganjuran konsert jelajah, OCK turut tidak melepaskan peluang untuk turut serta berinteraksi bersama para peminat di alam maya menerusi platform media sosial yang kini menjadi kegilaan ramai golongan muda.
"OCK banyak berinteraksi dengan para peminat menerusi akaun rasmi Facebook, Twitter serta Instagram. Akaun ini akan dikemas kini pada setiap masa bagi membolehkan peminat mengikuti perkembangan karier kami.
"Selain itu, kami juga turut memuat naik video belakang tabir konsert jelajah yang dirakam pada setiap negeri di laman perkongsian video YouTube.
"Dalam usaha untuk menembusi pasaran arus perdana, pendekatan yang digunakan haruslah selari dengan trend semasa.
"Setiap kemas kini yang dipaparkan di lama sosial dapat mendekatkan lagi kumpulan kami dengan para peminat," ujarnya lagi.
Inspirasi Mahsuri
Dalam pembikinan sesebuah album, tema yang unik sering diangkat sebagai sumber inspirasi utama bagi memberi kelainan serta perbezaan dengan band-band yang lain.
Justeru, pada penghasilan album Younghearts, Myo banyak menyuntik elemen Melayu serta adat tradisi nenek moyang untuk diketengahkan dalam beberapa buah lagu.
"Menerusi album ini, banyak perubahan yang boleh dilihat antaranya, termasuklah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama penulisan lirik dalam Younghearts.

POPULARITI Oh Chentaku kini semakin meningkat dalam kalangan peminat muzik tempatan.


"Selain itu, saya cuba untuk mempamerkan kekuatan bahasa ibunda kita dengan menggunakan kosa kata serta frasa Melayu klasik dalam penghasilan lagu-lagu seperti Seriputeh dan Semangat Satria," ujarnya.
Melanjutkan perbualan, Myo memberitahu, lagu Seriputeh yang menampilkan rapper Altimet sebagai artis jemputan diinspirasikan daripada legenda pembunuhan Mahsuri yang pernah berlaku suatu ketika dahulu di Pulau Langkawi.
"Ketika dalam proses menghasilkan album ini, saya begitu tertarik dengan kisah yang berlaku disebalik lagenda Mahsuri.
"Justeru, saya mengambil keputusan untuk menyelitkan kisah tersebut dalam lagu Seriputeh," ujar Myo yang menyifatkan album ini banyak melalui proses eksperimen bagi mendapat hasil yang terbaik.
Impak Versus
Walaupun OCK telah bertapak dalam senario muzik indie sejak tahun 2007.
Namun nama kumpulan itu mula dikenali setelah mereka mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan Versus musim kedua yang bersiaran di TV9 pada awal tahun lalu.
Menyedari hakikat itu, OCK berpendapat bahawa sokongan yang mereka perolehi banyak diterima menerusi pertandingan tersebut.
Kata Myo: "Tidak dinafikan, penyertaan OCK dalam pertandingan Versus musim kedua banyak membuka peluang untuk kami melebarkan sayap dalam industri muzik arus perdana.
"Jadi tidak hairanlah, jumlah peminat kami semakin bertambah dengan banyaknya sejak kami menyertai pertandingan tersebut.
Bermula dengan 9,000 peminat yang mengikuti akaun Facebook kami, sekarang jumlah tersebut telah melonjak sehingga 85,000 orang," ujarnya sambil tersenyum.
Selain itu, ujar Myo, penglibatan OCK menerusi konsert jelajah juga turut membantu mereka untuk dikenali ramai.
"Younghearts Tour 2014 merupakan konsert jelajah terbesar yang pernah kami sertai. Walaupun kami pernah mengadakan konsert yang serupa sekitar tahun 2007, tetapi impaknya tidak sebesar sekarang.
"Kami juga amat berterima kasih kepada peminat kerana tidak jemu-jemu memberikan sokongan walaupun selepas tamat rancangan tersebut," katanya yang menyifatkan program seumpama itu merupakan peluang terbaik untuk band-band indie di Malaysia untuk menonjolkan bakat.
Elak sengketa
Dalam meniti puncak populariti dan usaha menempa nama di peringkat yang lebih tinggi, OCK percaya dengan semangat setiakawan serta sikap bantu-membantu antara satu dengan yang lain.
"Kami bermula sebagai sebuah band tanpa mengenali antara satu dengan yang lain. Bagaimanapun, ikatan yang terjalin selepas mengenali diri masing-masing menguatkan lagi persahabatan kami.
"Dari situ, kami mula berkerjasama dengan baik dan hasil kerjasama itu boleh didengar melalui penghasilan album ini," kata Myo yang turut menganggap tiada sebarang perlumbaan dalam kalangan band-band yang ada di Malaysia.


Rosyam Nor ajak peminat ke Selawat Perdana

Posted: 19 Mar 2014 04:21 AM PDT




DISEBALIK seluruh Malaysia sedang bersedih dengan kehilangan pesawat MH370, Mizz Lahar juga menerima tempiasnya.
Kalau sebelum ini ligat berjalan ke sana sini, sekarang terpaksa terperuk di rumah sambil setia menonton perkembangan terkini pesawat MH370.
Walaupun duduk di rumah tetapi perkembangan terkini dunia hiburan tetap dalam tangan Mizz Lahar. Khabarnya ramai selebrti terkenal memberi sokongan terhadap program Selawat Perdana 1435H - Malam Cinta Allah dan Rasul yang akan berlangsung pada 21 Mac di Dataran Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya pukul 8 malam.
Antara selebriti yang memberi sokongan padu ialah aktor dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor yang turut hadir pada majlis sidang akhbar program tersebut baru-baru ini.
Ujar Rosyam, walaupun sibuk dengan kerjaya, tugas sebagai seorang muslim jangan dilupakan. Segala kejayaan yang dimiliki hari ini adalah pemberian daripada Allah.
"Saya menyeru kepada peminat dan juga semua orang beragama Islam untuk sama-sama hadir pada majlis Selawat Perdana ini.
"Jika kita dengan mudah boleh hadir pada mana-mana konsert yang mengenakan bayaran sehingga ratusan ringgit, apalah sangat untuk hadir pada program Selawat Perdana yang diadakan secara percuma," kata Rosyam.
Selain Rosyam, artis lain yang mengambil bahagian dalam program ini ialah Aziz M. Osman, Zizan Razak, Mawi, Adira, Nora Danish, Erra Fazira, Shahir, Nabil Ahmad, Rita Rudaini, Johan As'ari, Hazama, Fizz Fairuz, Angah Raja Lawak, Jep Sepahtu, Tomok, Zahida Rafik, Irma Hasmie, Faizal Ismail, Puteri Sarah Liyana, Mila Jirin, Yatt Hamzah, Dazrin Kamaruddin, Abby Nazri, Adam AF, Corrie, Siti Nordiana, Atie AF dan Fify Natasha.
Bagus ada pelakon seperti Rosyam yang tidak pernah lupa asal usulnya. Walaupun sekarang sudah bergelar Datuk, setiap kali bertemu tidak pernah menyombong, bahkan dia masih seperti dahulu tidak kering dengan lawak jenakanya.
Mizz Lahar: Artis sekarang, baru popular sikit, sudah mula tunjuk belang walaupun hakikatnya mutu lakonan tiada beza dengan batang kayu.


Sulaman tradisional wanita Melayu Sarawak

Posted: 19 Mar 2014 04:19 AM PDT


SELENDANG atau selayah. lazimnya digunakan pada majlis keramaian, pertunangan, perkahwinan bahkan dalam adat pengkebumian.


SEBAIK selesai menunaikan solat Subuh, seorang wanita separuh umur keluar ke ruang tamu lalu duduk bersimpuh di hadapan sebuah pemidang kayu berukuran dua meter panjang.
Tegang terbentang di atas pemidang itu, sehelai kain berwarna merah dan diperiksanya dengan teliti dari sudut ke sudut, akhirnya dia menguntum senyuman.
Sejurus itu, dia mengambil satu bekas kecil di bawah pemidang tadi. Di dalamnya terdapat pelbagai alat seperti jarum, benang, gunting dan banyak lagi peralatan lain bagi memulakan rutin hariannya pada awal pagi iaitu menyulam keringkam.
Begitulah aktiviti lazim yang dilakukan oleh Salbiah Muhi, 61, dari Jalan Datuk Ajibah Abol, Kampung No. 5 di Kuching dalam meneruskan kesinambungan warisan sulaman keringkam yang diwarisi daripada ibunya sejak remaja.
Tanpa berlengah, Salbiah memakai cermin mata agar penglihatannya lebih tajam, lalu dia memulakan kerja-kerja sulaman, menyambung pekerjaannya.
Dengan ketelitian dan penuh tumpuan, Salbiah memegang jarum sambil mengira lembar-lembar benang sebelum disulam pada kain kasa rubia itu.
"Sulaman ini perlu dilakukan secara berhati-hati supaya benang daripada plat logam bersadur emas ini tidak patah, pada masa sama dapat memastikan coraknya tersusun kemas.
"Meskipun pekerjaan menyulam ini agak perlahan dan memakan masa, namun apa yang dititikberatkan dalam keringkam ialah kualiti sulamannya. Disebabkan pekerjaannya agak rumit, maka tidak ramai wanita di Sarawak masih melakukannya," katanya kepada Kosmo.
Keringkam merupakan sulaman tradisional wanita Melayu di Sarawak yang dijadikan selendang atau selayah. Lazimnya, ia digunakan pada majlis-majlis keramaian, pertunangan, perkahwinan bahkan dalam adat pengkebumian.
Menceritakan lanjut, Salbiah memberitahu, dia mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyulam pada awal subuh kerana pekerjaan itu akan menyebabkan mata cepat letih.

SALBIAH meneruskan kesinambungan warisan sulaman keringkam yang diwarisi daripada ibunya sejak remaja.


Jika letih, dia akan berehat sebentar. Andai diteruskan juga, hasil sulaman akan rosak tanpa disedari kerana kesilapan pengiraan walau hanya satu lembar benang akan menyebabkan keseluruhan sulaman menjadi tidak berkualiti.
"Kerja-kerja menyulam sememangnya agak rumit kerana ia bermula di keliling tepi selendang sepanjang dua meter itu dan pastinya ia akan menyebabkan mata kita layu dan mengantuk ekoran hanya tertumpu pada kain berkenaan," katanya yang menyambung semula pekerjaan menyulam selepas makan tengah hari atau pada sebelah malam.
Menyentuh tentang motif keringkam, Salbiah memberitahu, kadangkala dia mengunakan kreativiti sendiri untuk mengolah corak bunganya selain mengaplikasikan corak-corak warisan daripada ibunya.
Bagi corak yang mudah dan tidak banyak bunga, sehelai selendang atau selayah boleh disiapkan dalam tempoh yang pendek antara dua hingga tiga bulan, namun untuk corak penuh ia mengambil masa lebih panjang sehingga enam bulan.
Motif
"Lazimnya saya menggunakan pucuk rebung untuk corak sulaman di sekeliling tepi selendang manakala bahagian lain pula boleh menggunakan motif bunga ros, bunga ros mekar, bunga ros kuncup, bunga raya, orkid, paka Jepun mahupun bunga pedada," katanya.
Menceritakan pengalamannya, Salbiah memberitahu, dia cuba membuat sulaman keringkam itu sekadar mencabar bakat diri ketika berusia 17 tahun, namun lama-kelamaan minatnya semakin tinggi terhadap sulaman tersebut.
Mengakui sulaman keringkam agak rumit, namun ia menjadi sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi melihat hasil tangan sendiri mampu menyerlahkan penampilan seseorang lebih anggun.
Menurutnya, sulaman keringkam merupakan warisan secara turun temurun daripada nenek kepada ibu sebelum diteruskan oleh anak gadisnya.
"Pada asalnya, saya hanya minat melihat keringkam yang dihasilkan ibu, namun lama- kelamaan timbul minat untuk mencuba membuat sulaman itu sendiri sehingga ke hari ini dan kemudian adik saya Zainap turut berminat untuk mempelajarinya," jelas Salbiah.
Salbiah menambah, dia berasa bertuah dan bersyukur apabila anak perempuannya, Norhajiah Osman, 20-an menunjukkan minat dan mahu mempelajari sulaman ini.

SELENDANG atau selayah. lazimnya digunakan pada majlis keramaian, pertunangan, perkahwinan bahkan dalam adat pengkebumian.


Sementara itu, Zainap memberitahu, meskipun sibuk dengan kerja-kerja sulaman, dia tidak pernah menolak jemputan daripada mana-mana agensi kraftangan untuk menyertai pameran atau demonstrasi sulaman keringkam termasuk di Kuala Lumpur.
Sekurang-kurangnya dengan menyertai pameran atau demonstrasi seumpama itu, dia dapat mempromosikan sulaman warisan Bumi Kenyalang ke seluruh negara bahkan ke peringkat antarabangsa.
Apa yang menarik jelasnya, sulaman ini bukan sahaja mendapat sambutan warga tempatan malah turut mendapat perhatian dan dibeli oleh para pelancong asing dari Australia serta Jepun.
"Pada satu pameran yang saya sertai, ada seorang pelancong Jepun yang begitu teruja dengan sulaman ini hinggakan dia sanggup membeli jarum dan benang emas daripada saya.
"Selain itu, sulaman keringkam ini juga mendapat sambutan dan tempahan daripada pihak istana, para menteri, wakil rakyat, orang-orang kenamaan (VIP), badan kebudayaan dan orang persendirian," katanya.
Benang emas
Menurut Zainap, sesuai dengan kerumitan dan kualiti penghasilannya, harga sulaman keringkam agak tinggi. Namun bagi mereka yang faham dan tahu menilainya, harga tersebut memang setara dengan sulaman tersebut.
Misalnya kata Zainap, harga paling rendah bagi tudung yang mempunyai sulaman keringkam ialah RM500 dan ke atas manakala selendang pula mampu mencecah hingga puluhan ribu ringgit.
"Sulaman ini agak mahal disebabkan harga benangnya mencecah hingga RM90 segulung. Bagi menghasilkan sehelai selendang keringkam, sulaman itu memerlukan sekurang-kurangnya 30 gulung benang emas.

ZAINAP sentiasa memeriksa ketegangan kain di atas pemidang sebelum memulakan sulaman keringkam.


"Bayangkan harga benang emas RM90 didarab dengan 30 gulung, disebabkan itu kos bahannya memang agak tinggi," jelasnya harga tersebut bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya untuk menampung kos benang emas.
Dalam pada itu, Zainap memberitahu, dia mengambil upah menyulam berdasarkan bilangan benang emas yang digunakan, maka harga benang dan upah akan menentukan harga sebenar keringkam itu.
"Kami pernah pernah menghasilkan selendang keringkam yang dijual paling mahal berharga RM7,000 sedangkan kos sebenarnya mencecah RM10,000," katanya.
Bagi seorang belia, Mohd. Nuradli Ismail @ Idris, 24, berkata, dia begitu minat terhadap sulaman keringkam kerana sulaman itu kelihatan unik berbanding sulaman lain.
Menurutnya, mungkin disebabkan ia agak rumit untuk dihasilkan menggunakan benang emas atau perak. "Selendang mahupun selayah keringkam sememangnya cantik dan anggun bila dipakai si gadis jelita," katanya.
Bagaimanapun kata Mohd. Nuradli, tidak dinafikan bahawa bilangan generasi muda yang mengetahui tentang sulaman keringkam ini boleh dibilang dengan jari.
"Saya amat menyokong sebarang usaha untuk mempertahan dan mengembangkan seni sulaman keringkam, jika boleh ia melangkaui ke peringkat antarabangsa.
"Salah satu caranya, mungkin pihak yang bertanggung jawab terhadap seni warisan seumpama ini mempergiatkan lagi usaha mempromosikan sulaman keringkam selain meng galakkan penggunaan produk tersebut dalam skala yang lebih luas," katanya ketika ditemui.


Cabaran WeChat ke pasaran global

Posted: 19 Mar 2014 04:18 AM PDT



PERBELANJAAN besar dilaburkan oleh Tencent bagi memasuki pasaran antarabangsa.


APABILA pengeluar kondom, Durex mahu menghantar mesej intim kepada pelanggan di China, syarikat itu menggunakan platform mesej segera tempatan dipanggil WeChat yang telah menjadi pilihan utama pengguna telefon pintar sejak tiga tahun lalu.
WeChat atau dikenali sebagai Weixin mempunyai persamaan dengan aplikasi mesej segera seperti WhatsApp yang dibeli oleh Facebook pada harga RM62.31 bilion bulan lalu.
Peningkatan pengguna saban tahun memberikan ruang kepada aplikasi itu menembusi pasaran. Namun, wujud kebimbangan mengenai keselamatan siber di China yang boleh menjejaskan cita-cita tersebut.
Aplikasi tersebut mempunyai beberapa fungsi yang lebih menarik berbanding WhatApps. Ia membolehkan 300 juta penggunanya menghantar kiriman teks, gambar, video dan mesej bersuara. Selain itu, terdapat satu pilihan dengan hanya satu goncangan, pengguna dapat berhubung dengan pengguna lain secara rawak.
Pengguna Wechat di China tidak terhad kepada individu sahaja malah pekerja kerajaan turut menggunakan aplikasi yang dibina oleh Tencent, sebuah syarikat telekomunikasi gergasi di China.
Sejak perjanjian WhatsApp itu diumumkan baru-baru, saham Tencent telah meningkat 9.4 peratus, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM491.93 bilion menghampiri jumlah monumental Facebook sebanyak RM590.31 bilion.
"WeChat adalah platform mesra rakyat yang digunakan setiap hari," kata pengurus kanan jenama untuk Durex Fay Zhao. Kempen baharu syarikat itu telah meminta penggunanya untuk menyampaikan cerita cinta mereka menerusi WeChat.
Penganalisis teknologi di China berpendapat WeChat telah menghakis populariti satu lagi media sosial di negara itu iaitu Weibo. Ia mempunyai persamaan dengan Twitter.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Analysys International, WeChat kini berada di kedudukan kedua paling popular di China sebagai alat pesanan ringkas di peranti mudah alih.
"Ia telah mengalami peningkatan yang pesat sejak ia dikomersialkan pada tahun 2013," menurut kenyataan syarikat perundingan teknologi itu yang dikeluarkan pada bulan Februari.

KAWALAN ketat internet di China menjadi penghalang kepada perkembangan WeChat ke luar negara.


Bayaran
Aplikasi itu tidak mengenakan sebarang bayaran untuk dimuat turun tetapi terdapat beberapa caj akan dikenakan seperti pembelian secara talian emotikon dan permainan video.
Bagi mengekalkan momentum pengguna, WeChat telah memperkenalkan perkhidmatan baharu seperti permainan video dan pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan tempahan teksi.
Tencent memperoleh pegangan 20 peratus dalam Dianping.com iaitu sebuah laman web carian restoran sekitar China pada Februari lalu dan mula menawarkan kupon makanan melalui WeChat.
Perjanjian terbaharunya, Tencent mengambil pegangan 15 peratus dalam syarikat jualan langsung dalam talian, JD.com, usaha itu untuk lebih bersaing dengan e-dagang gergasi, Alibaba.
Ditubuhkan pada tahun 1998 di bandar Shenzhen, Tencent adalah salah satu syarikat internet terbesar di China yang memberikan saingan hebat kepada Alibaba dan enjin carian domestik, Baidu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tencent, Ma Pony meletakkan harapan tinggi untuk meluaskan WeChat ke pasaran antarabangsa dengan membelanjakan sebanyak RM655.90 juta tahun lepas. Salah satu strateginya adalah melantik pemain bola sepak terkenal Lionel Messi untuk membintangi kempen pengiklanan aplikasi itu.
Dalam satu kenyataan kepada media tempatan, Pony mengklasifikasikan Wechat sebagai produk yang mempunyai peluang besar untuk menembusi pasaran luar tetapi kebimbangannya kepada keselamatan siber di negara itu boleh menghancurkan harapan tersebut.
Kebimbangan
Pihak Amerika Syarikat (AS) menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan peralatan telekomunikasi yang dijual oleh firma-firma China seperti Huawei dan ZTE.
Pemerintah negara Tembok Besar itu mengekalkan pengawasan ketat terhadap rangkaian internet. Beberapa informasi dan maklumat di laman carian Weibo yang dianggap terlalu sensitif telah dipadamkan. Sebelum ini, firma-firma internet China dan syarikat asing yang beroperasi di negara itu perlu memberikan maklumat pengguna kepada pihak berkuasa sebagai satu langkah keselamatan negara.
Berikutan itu, penganalisis berpendapat akan wujud kebimbangan dalam kalangan pengguna Barat mengenai keselamatan internet dan perlindungan data peribadi dalam WeChat.
"Negara-negara Amerika dan Eropah amat mementingkan perkara-perkara tersebut sehingga berasa was-was untuk menggunakan produk dari China. Ia menjadi halangan besar kepada pengusaha tempatan untuk berkembang," kata penganalisis, Lu Jingyu.
Selain WeChat, beberapa aplikasi pesanan ringkas yang menguasai pasaran Asia ialah Line dari Jepun dengan jumlah pengguna 300 juta orang manakala Kakao Talk dari Korea Selatan dengan jumlah pengikut seramai 100 juta orang.
"Sudah terlalu banyak aplikasi pesanan ringkas yang telah menguasai pasaran global, ia dilihat sebagai satu cabaran besar kepada WeChat untuk diterima," ujar salah seorang penganalisis dari Analysys International, Dong Xus.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories