RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Fadzil Zahari sedia kahwini Yana Samsudin

Posted: 30 Mar 2014 12:44 AM PDT


  • Fadzil Zahari, Yana Samsudin Fadzil Zahari dan Yana Samsudin
HUBUNGAN mesra yang terjalin antara adik Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari dengan Yana Samsudin bukan lagi satu rahsia besar. Bahkan kedua-duanya juga sebelum ini selesa bersama antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Fadzil mengambil pendekatan memberitahu status mereka sebagai teman rapat. Namun dalam masa yang sama jejaka kelahiran Kedah itu tidak menolak jika bertemu jodoh dengan gadis 29 tahun berkelahiran Johor itu.

Mengakui sedang melalui persahabatan teman tetapi mesra selama empat tahun, ia sudah menampakkan kematangan dalam hubungan mereka.

"Saya memang terlalu rapat dengannya. Mungkin jika ada keajaiban jodoh saya dengannya saya tak menolak. Yana seorang yang baik dan memahami," katanya yang mula berkenalan ketika pengambaran filemRempit V3 yang diarahkan oleh abangnya.

Bagaimanapun, Fadzil berkata, dia tidak mahu terlalu mendedahkan hubungannya kepada umum kerana bimbang salah faham akan berlaku.

Katanya, setakat ini dia masih belum ke fasa yang lebih serius dan masih belum berbincang mengenai perkahwinan dengan Yana.

"Kalau di masa akan datang sudah ditakdirkan saya berjodoh dengannya saya akan terima. Sekarang kami masih diperingkat teman paling rapat dan serasi," katanya.

Biarpun sudah mencecah umur 31, Fadzil berkata, dia tidak meletakkan komitmen itu sebagai perkara utama kerana kini dia sangat sibuk menyiapkan beberapa skrip filem dan drama tv.
"Saya baharu tubuhkan satu syarikat dan memerlukan komitmen tinggi. Insya-ALLAH lepas syarikat saya dah stabil saya akan fikirkan mengenai perkahwinan, "katanya yang turut mengakui pernah berjumpa dan makan bersama keluarga Yana.

Sebelum ini, Yana pernah ada perancangan untuk berkahwin pada tahun ini namun dia tetap berserah kepada jodoh.

Sijil nikah palsu: Ummi Nazeera pertahan ibu

Posted: 30 Mar 2014 12:42 AM PDT


  • Sijil nikah palsu: Ummi Nazeera pertahan ibu Sijil nikah palsu: Ummi Nazeera pertahan ibu
"Saya yakin ibu saya berada dipihak yang benar!" tegas aktres Ummi Nazeera yang hadir menemani ibunya pada sebutan kes memalsukan sijil nikah yang berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.

Ummi atau nama sebenarnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 24, tampil memberi penjelasan selepas ibunya, Datuk Maziah Musa didakwa oleh bapanya iaitu usahawan Datuk Zainul Abidin Mat Akhir berhubung kes jenayah tersebut.

"Saya tetap yakin ibu saya teraniaya," kata aktres berkulit hitam manis ini yang berkali-kali menegaskan bahawa ibunya tidak bersalah dan mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

"Ibu telah merujuk surat nikahnya itu kepada Majlis Narathiwat dan sijil itu diperakui oleh pihak di sana. Lagipun saksi yang tampil hari ini tidak relevan. Sebab itu peguam bela kami tidak bertanyakan apa-apa soalan kepada saksi itu tadi," katanya.

Akui sangat terkejut mengenai tuduhan terhadap ibunya itu, kes yang berlanjutan itu sikit sebanyak mengganggu pelajarannya sewaktu dia melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan di di Royal Melbourne Institute Technology (RMIT), Australia.

"Saya terkejut bila mendapati pertuduhan terhadap ibu saya. Sebenarnya perkara ini dari tahun lepas lagi.  Saya akui dengan sebutan kes ibu ni sikit sebanyak mengganggu pelajaran saya.

"Malah, sebelum ini juga ada beberapa laporan media yang kurang tepat mengenai ibu saya, jadi hari ini saya tampil untuk menjelaskannya," katanya yang turut mengesahkan sudah tamat pengajian di Melbourne sejak Disember tahun lalu.

Percanggahan tarikh

Sementara itu abang Ummi, Nazreem Musa berkata mereka adik-beradik akan tetap menyokong ibu mereka.

"Sebagai anak-anak kami percaya ibu kami dan sentiasa berada dibelakang ibu untuk terus menyokongnya," katanya.

Laporan sebelum ini menyebut, Maziah masih merupakan isteri kepada seorang lagi ahli perniagaan, iaitu Zainul  yang juga merupakan pengadu di dalam kes ini. Kedua-dua mereka  mendirikan rumahtangga dengan perkahwinan kali pertama pada 26 Mac 1988 di Narathiwat Thailand.

Perkahwinan kali kedua antara beliau dengan  Maziah sebenarnya telah berlaku pada 2 Januari 1999 dan bukannya pada 25 Disember 1997 sepertimana yang didakwa oleh Maziah.

Pertikaian dalam kes adalah mengenai tarikh perkahwinan sebenar kali kedua di antara  pengadu dengan Maziah, yang mana sehingga ke hari ini mereka berdua masih lagi kekal sebagai pasangan suami isteri. Namun Maziah dikatakan telah berkahwin lain.

Maziah juga dituduh pada 20 Mei 2013 di Mahkamah Majistret Jalan Duta Kuala Lumpur dengan sengaja memberikan keterangan palsu pada perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2009.

Berdasarkan kepada pertuduhan, beliau dituduh melakukan kesalahan itu semasa perbicaraan di Mahkamah Syariah tersebut dengan menggunakan sijil nikah palsu bertarikh 25 Disember 1997 yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Narathiwat Thailand sebagai benar.

Pertuduhan dibuat di bawah seksyen 193 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 193 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun dan denda jika didapati bersalah.

Marziah diwakili peguam bela, Datuk Zainul Rijal Zainal Abidin. Mahkamah memutuskan perbicaraan kes ini akan bersambung di pada 14 dan 5 Mei depan.

Farid Kamil, Diana Danielle utamakan keluarga

Posted: 30 Mar 2014 12:41 AM PDT


  • Farid Kamil, Diana Danielle Farid Kamil dan Diana Danielle
TANGGUNGJAWAB sebagai ibu dan bapa tidaklah semudah yang dibayangkan malah untuk berada di fasa ini, seseorang perlu bersedia berkorban apa sahaja demi kebahagiaan keluarga yang dibina.

Walau sesibuk mana pun menjalani karier seni masing-masing, pasangan selebriti popular, Farid Kamil dan Diana Danielle tetap mengutamakan soal keluarga.

Akui tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak mudah, Farid memberitahu dia kini lebih aktif menjalani karier seninya demi masa depan keluarga terutamanya putera sulung mereka, Muhammad.

"Buat masa ini saya tidak membataskan karier malah lebih aktif. Saya dan Diana memang ada buat perancangan, jadi saya perlu bekerja kuat demi keluarga.

"Alhamdulillah, kami sangat gembira dikurniakan seorang anak yang cepat belajar dan untuk itu saya perlu sentiasa bersedia untuk beri yang terbaik untuknya," katanya ketika ditemui pada majlis majlis 'Hangatkan Semula Cinta dengan koleksi Downy Parfum', di restoran Apartment, KLCC, baru-baru ini.

Sebagai isteri dan juga ibu, Diana turut tidak melupakan peranan dan tanggungjawabnya menguruskan rumahtangga.

"Buat masa ini, saya sendiri mengambil keputusan untuk tidak bergerak terlalu aktif dalam menjalani karier lakonan memandangkan anak kami masih kecil dan memerlukan perhatian daya sebagai seorang ibu.

"Memandangkan masa yang agak terbatas, saya hanya menerima tawaran yang tidak melibatkan masa yang terlalu panjang. Saya juga tidak bekerja pada hari Sabtu dan Ahad, sebab itulah masa saya bersama keluarga," ujarnya.

Katanya lagi, dia juga tidak meletakkan target masa tertentu untuk kembali aktif dalam kariernya.

"Sukar untuk saya letakkan sasaran masa kerana saya sendiri tidak tahu bila masa yang sesuai untuk saya yakin meninggalkan anak dalam masa yang lama untuk bekerja. Kita hanya tunggu masa yang sesuai," katanya.

Memahami situasi isterinya, Farid nafi menghalang Diana untuk kembali aktif namun sebaliknya memberi sokongan penuh kepada pasangannya itu.

"Saya tidak pernah menghalang mahupun membataskan mana-mana aktiviti seni Diana. Cuma sebagai suami, saya hanya mengingatkan dia untuk lebih fokus kepada keluarga kerana itulah keutamaan saya," katanya.


Beri kepercayaan pada Fadzil

Berkongsi perkembangan karier seninya, Diana memberitahu dia kini diuruskan oleh sebuah syarikat baru, Prokuya Studios yang dijalankan oleh Fadzil Zahari yang merupakan adik iparnya.

"Sepanjang berada di bawah pengurusan Prokuya Studios, semuanya berjalan dengan baik. Walaupun dia masih baharu dalam bidang ini, tapi dia tahu apa yang saya mahukan.

"Bagi saya memang perlu ada ahli keluarga yang menguruskan karier seni supaya dapat mengelakkan penyelewengan dan apa yang lebih penting Farid selesa bila adiknya sendiri menguruskan karier saya," katanya.

Pada masa sama Farid memberitahu selagi pengurusan syarikat itu hanya melibatkan pengurusan masa, dia tidak membantah.

"Dalam soal ini saya perlu profesional walaupun syarikat itu dikendalikan oleh adik saya sendiri.

"Cuma dari segi masa yang diperuntukkan untuk Diana, saya meminta supaya pihak syarikat itu memberi masa yang lebih kepada Diana untuk fokus kepada keluarga," katanya.

Serius bergelar penyanyi

Bukan hanya memiliki bakat dalam bidang lakonan, sebenarnya aktres cantik ini memiliki perancangan untuk mengembangkan bakat nyanyiannya dengan lebih serius.

"Sebenarnya sejak dulu lagi saya memang ada menyimpan hasrat untuk lebih serius dalam bidang nyanyian. Tapi sebagai persediaan awal, sekarang saya menjalani kelas vokal terlebih dahulu.

"Dalam pada masa itu, banyak pengalaman yang perlu saya belajar sebelum benar-benar serius dalam bidang nyanyian supaya album yang saya akan hasilkan nanti berkualiti," katanya.

Ditanya apakah genre muzik yang bakal menjadi pilihannya, Diana memilih muzik rock.

"Saya suka dengar semua jenis muzik tapi yang menjadi kegemaran saya adalah jazz dan blues namun ia tidak mendapat sambutan di sini.

"Jadi saya pilih muzik yang lebih mainstream, rock," katanya.

Tambahnya, keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang muzik juga di ambil sebagai 'backup plan' untuk masa depan kariernya.

"Dalam hidup ini kita perlu bijak merebut peluang dan mengetengahkan kemahiran yang ada. Tambahan pula, ekonomi negara yang tidak menentu dan mungkin pelbagai kemungkinan akan berlaku.

"Jadi tidak salah kalau kita ambil sedikit risiko sebagai jalan alternatif untuk meneruskan kehidupan," ujarnya.


Teruja nanti Apokalips X

Bercakap mengenai perkembangan terbarunya pula, Farid memberitahu dia kini sedang sibuk mempromosikan filem terbaharunya, Apokalips X arahan sutradara Mamat Khalid yang bakal di tayangkan awal April ini.

"Dalam filem ini saya memegang watak sebagai 'Paduka X' dan secara keseluruhannya filem ini mengisahkan tentang kemusnahan dunia pada 2046.

"Ini kali pertama saya berlakon filem yang membabitkan penggunaan 70 peratus Teknik imej janaan komputer (CGI). Jadi memang saya tidak sabar untuk menyaksikan tayangannya," katanya.

Suami isteri tak mampu teruskan rawatan anak

Posted: 30 Mar 2014 12:37 AM PDT


  • Suami isteri tak mampu teruskan rawatan anak Samsiah berharap anaknya Nor Azwani (tengah) dan suami sembuh seperti sedia kala.
KUANTAN - Kerana masalah kewangan, sepasang suami isteri, Samsiah Mohd Nor, 48, dan Rosdi Muda, 47, terpaksa mempertaruhkan keadaan kesihatan anaknya, Nor Azwani, 10, yang menghidap leukemia apabila mengambil keputusan menghentikan segala proses rawatan  serta pemeriksaan.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu dikesan menghidap leukemia sejak berusia lima tahun.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu anaknya yang juga pelajar SK Balok itu tidak dibawa bertemu doktor dan sehingga sekarang mereka sekeluarga tidak mengetahui status sebenar keadaan kesihatannya.

Katanya, anak saya perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan secara berkala di Kuala Lumpur.

"Bila keadaannya bertambah baik, kami hanya ke Kuala Lumpur sebulan atau sekurang-kurangnya dua bulan sekali dan proses itu berjalan selama empat tahun.

"Alhamdulillah, anak saya sempat menamatkan sesi rawatan kemoterapi dan keadaannya semakin baik, jadi kami tidak membawanya bertemu doktor pakar pada tarikh ditetapkan," katanya.

Katanya, lebih memburukkan lagi keadaan baru-baru ini suaminya pula disahkan menghidap penyakit batu karang dalam hempedu.

"Memandangkan keadaan kesihatan tidak mengizinkan, suami terpaksa berhenti kerja selama tujuh bulan dan sekarang baru sebulan bekerja sebagai buruh.

"Saya ada tiga anak masih bersekolah manakala yang lain sudah bekerja tetapi pendapatan tidak seberapa," katanya.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi talian 019-9481509 atau menghulurkan sumbangan menerusi akaun CIMB 0611-0011559-526.

Penoreh getah jadi usahawan berjaya

Posted: 30 Mar 2014 12:35 AM PDT


  • Penoreh getah jadi usahawan berjaya Hasmah menunjukkan sebahagian produk dihasilkannya yang disimpan di kawasan tempat simpanan produk di rumahnya, di Kampung Langkap, Setiu.
SETIU - Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pepatah itu tepat menggambarkan kegigihan pasangan suami isteri di Kampung Langkap, di sini, yang kini mampu menjana pendapatan kasar mencecah RM30,000 sebulan hasil perusahaan memproses sos.

Kehidupan dilalui Ghazali Yusof, 70 dan Hasmah Hassan, 62, sebagai penoreh getah suatu ketika dulu hanya tinggal kenangan apabila perusahaan yang dijalankan sejak 2001 kini berjaya menghasilkan 11 produk.

Menurut Hasmah, terdahulu dia menyertai perkumpulan wanita pekebun kecil di bawah Risda sebelum mengambil keputusan bergerak sendiri sekitar tahun 2000 dan berjaya mengeluarkan produk sendiri setahun selepas itu dengan hanya bermodalkan RM600.

"Menggunakan duit simpanan, saya beli peralatan termasuk periuk dan produk pertama dihasilkan ialah kicap dan sos pencicah. Ketika itu, satu periuk hanya dapat hasilkan kira-kira 200 botol sehari.

"Hasil keuntungan jualan saya buat tambah modal sehinggalah pada 2003, menggunakan duit pinjaman keluarga saya beli mesin untuk memasak berharga RM13,000. Produktiviti juga meningkat iaitu mampu hasilkan kira-kira 1,000 botol sehari," katanya.

Katanya, pada awal perniagaannya, pasarannya hanya sekitar kampung dan daerah ini sahaja.

"Saya dan suami sendiri yang edarkannya ke kedai-kedai. Namun, penerimaan pelanggan terhadap produk sos dikeluarkan ini membolehkan ia diperluaskan ke beberapa daerah lain di negeri ini.

"Lazimnya, dalam sebulan kami beroperasi dengan dibantu empat pekerja dalam 20 hari sahaja dan satu hari satu jenis produk akan dikeluarkan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan serta permintaan semasa pasaran," katanya.

Kata nenek kepada 15 cucu ini, dia bersyukur kerana perusahaan dijalankan bersama suaminya itu mampu bertahan sehingga kini serta diterima pembeli.

Kilang ais kiub raih RM40,000 sebulan

Posted: 30 Mar 2014 12:33 AM PDT


  • Kilang ais kiub raih RM40,000 sebulan Kilang ais kiub di Pulau Perhentian semakin maju, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk di situ.
BESUT - Biarpun beroperasi di sebuah pulau, namun kilang ais kiub milik Koperasi Bersatu Jaya (KBJ), di Pulau Perhentian dekat sini, mampu meraih pendapatan bulanan sehingga RM40,000.

Pengerusi KBJ, Seman Muda berkata, pendapatan kilang air batu itu menunjukkan peningkatan daripada RM15,000 sebelum ini setelah mendapat kilang dan mesin baharu.

Menurutnya, ahli KBJ bersyukur kerana dengan geran bantuan oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebanyak RM200,000 membolehkan koperasi meningkatkan pengeluaran ais.

"Ditambah degan permintaan menggalakkan daripada pelanggan terutama pengusaha restoran, chalet, resort, kedai runcit dan warung di pulau itu dan Pulau Redang telah berjaya meningkatkan hasil koperasi," katanya.

Seman berkata, kejayaan ini sekali gus meningkatkan pendapatan 285 ahlinya, selain mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Katanya, perancangan perniagaan KBJ yang cekap selain menceburi bidang makanan sejuk beku, membuka perniagaan kedai runcit dan peningkatan jumlah pelancong di perkampungan pulau turut menyumbang kemajuan koperasi.

Penghormatan Anuar Zain

Posted: 30 Mar 2014 12:28 AM PDT


SEBAK. Anuar Zain mengalirkan air mata mengenangkan tragedi yang menimpa pesawat MH370.


SEPULUH tahun Anuar Zain menjadi anak kapal. Selama 10 tahun juga usia dewasanya dihabiskan di awan biru menjadi sebahagian daripada keluarga besar Penerbangan Malaysia (MAS).
Atas kedekatan rasa dan pertalian yang kekal tersemat dalam sanubarinya itu, dia tidak sanggup untuk meneruskan agenda persembahan Minggu Setiausahanya yang sepatutnya dijadualkan minggu depan.
Perasaan itu terdetik di hatinya sejak hari-hari terawal pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.
Sejak itu, setiap teori atau apa sahaja spekulasi mengenai pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal itu akan memberi tekanan emosi yang cukup kuat terhadap dirinya.
"Emosi saya dan rasanya kita semua macam yoyo, ada masa menjunam jatuh ada masa melonjak. Walaupun kita boleh jalani hari-hari macam biasa, tapi setiap kali mengenangkan nasib pesawat berkenaan, kita akan sedih.
"Dalam tempoh sekarang, saya tak rasa untuk berhibur atau mampu menghiburkan orang.
"Saya tak mampu untuk tolong apa-apa kecuali terus berdoa dan ini cara saya untuk memberi penghormatan kepada keluarga penumpang terlibat," jelas Anuar Zain yang secara kebetulan membuat sidang media penundaan persembahannya itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pesawat berkenaan mengakhiri penerbangan di Lautan Hindi, Isnin lalu.
Tambah Anuar: "Keputusan ini baru sahaja dibuat setelah mendapat lampu hijau daripada semua pihak termasuk pihak hotel. Berita itu cukup menyedihkan namun kita semua harus terus berdoa."
Berkongsi pengalamannya sebagai pramugara, kata Anuar, biarpun tidak rapat dengan Ketua Pramugara, Andrew Nari dan penyelia, Patrick Francis Gomes yang berada dalam penerbangan MH370, dia pernah mengenali dan bekerjasama ketika sama-sama bertugas dahulu.
"Saya kenal Andrew tetapi kami tidaklah rapat. Sampai sekarang saya masih ramai kawan yang bekerja dengan MAS.
"Menurut kawan-kawan saya, semua anak kapal MH370 merupakan pekerja yang berkaliber, berdedikasi dan baik hati.
"Sebagai anak kapal, keselamatan penumpang memang perkara nombor satu," jelas Anuar yang buat pertama kali berkongsi perasaannya mengenai tragedi yang menimpa MH370.
Bagi Anuar, pasukan mencari dan menyelamat yang masih tidak putus harapan mencari jawapan berhubung MH370 harus terus diberi sokongan.
Sebagai rakyat Malaysia, Anuar merasakan inilah masanya untuk semua pihak bersatu sebagai satu team, iaitu Team Malaysia.
"Ketika semua orang sedang bersedih, setiap kecaman dan lawak mengenai MH370 sepatutnya tidak dipedulikan. Bayangkan perkara itu terjadi kepada ahli keluarga kita sendiri.
"Saya sebenarnya cukup marah dan sensitif dengan perkara itu. Ini bukan masa untuk buat lawak," reaksi Anuar mengenai jenaka dan teori yang mengisi debat media sosial sepanjang dua minggu kehilangan pesawat MH370 menjadi bualan hangat.
Kembali bercerita tentang penganjuran persembahan Minggu Setiausahanya, Anuar berasa lega. Dia berharap peminat juga dapat menerima perubahan tarikh konsertnya yang bertemakan Terindah...Anuar Zain itu.
"Setidak-tidaknya tarikh 29 April nanti agak jauh daripada tarikh sekarang. Buat masa ini, kami di Anuar Zain Network akan mengikuti perancangan asal dari segi persembahan.
"Kalau ada perubahan, masih ada masa. Latihan juga belum dijalankan," jelas Anuar yang belum memikirkan sebarang segmen khas mengenang MH370 semasa persembahannya kelak.
Setakat ini, hampir 70 peratus tiket persembahannya yang bertempat di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor itu sudah terjual.
Tiket-tiket persembahan Anuar Zain boleh dibeli menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network atau Nor di talian 019-3177476 atau 012-4642030.

Kuasa pemikat Tomok & Syarul

Posted: 30 Mar 2014 12:28 AM PDT


TOMOK dan Syarul ada rencana tersendiri dalam mengembangkan landasan karier masing-masing.


PADA mulanya, langkah kaki mereka tidak sama. Laluannya juga jelas berbeza. Masing-masing punya acuan tersendiri. Biar berlainan medium dan warna, namun, di satu titik, mereka bertemu di lembah yang sama. Lembah dramatik yang memacak tubuh untuk menjadi bahan rakaman.
Berdiri atas entiti bakat dan peluang, mereka bertembung membentuk rencah kehidupan yang sama untuk dikenali sebagai pelakon.
Itu lakaran yang dilalui oleh dua nama, daripada dua rangka masa berbeza. Boleh dianggap senior, Tomok yang berjinak-jinak dalam dunia lakonan terlebih dulu sudah memacu ke depan seiring bersama pelakon yang kian membina nama, Syarul Ridzwan.
Biarpun masih berstatus pelakon amatur, kerja mereka sudah menjentik pesona ramai. Buktinya, kedua-duanya diberi tanggungjawab membawa peranan besar menjayakan sesebuah naskhah.
Sudah pasti apabila masing-masing diberi peranan menggalas watak utama, semestinya mereka ada daya pemikat tersendiri.
Jika Tomok menjadi teraju utama drama Suamiku Jururawat, Isteriku Doktor, Syarul Ridzwan yang digandingkan sebagai muka depan Sensasi Bintang minggu ini pula mengemudi plot cerita Romi Cinta Julia.
Suatu masa dahulu, dua nama itu mungkin tidak pernah terlintas untuk diberikan watak hero, namun, peluang yang mereka ada kini digenggam erat.
Masakan tidak, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, pada awalnya dikenali menerusi bakat suaranya.
Begitu juga dengan jejaka yang berdiri sebagai Mohd. Saharul Ridzwan Hashim bermula dengan dunia peragaan sebelum berjinak dalam pengiklanan komersial.
Tomok terbuka dikritik
Apa yang pasti, masing-masing ada rencana tersendiri dalam mengatur kerjaya seni yang menjadi periuk nasi mereka sekarang.
Bagi Tomok, dia merasakan bidang seni ini cukup luas untuk diteroka. Tidak mahu meletakkan diri hanya sebagai penyanyi, bapa kepada putera sulung, Arrianshah Akid, 2, itu mengakui dia ingin dilihat sebagai anak seni yang versatil.
"Kalau boleh saya nak orang kenal saya bukan sebagai penyanyi sahaja. Bidang seni ini mempunyai cabang yang cukup luas.
"Selain menyanyi, saya mahu orang juga kenal saya sebagai pelakon dan komposer," tuturnya yang menginjak usia 30 tahun.
Tempoh lebih sedekad dalam industri muzik tanah air sudah cukup bulat untuk Tomok dikenali sebagai penyanyi.
Namun, itu bukan penghalang buatnya untuk mencipta label baharu sebagai anak seni serba boleh.
Tidak pernah menganggap diri sebagai 'tamak' apabila mencuba semua bidang, Tomok merasakan peluang itu merupakan pintu rezekinya sekeluarga.
Pelakon filem Istanbul Aku Datang itu memberitahu, pada mulanya, ada rasa ragu-ragu yang menyelubungi diri sewaktu diberikan watak utama dalam sesebuah karya.
"Saya dikira agak baharu dalam dunia lakonan. Apabila digandingkan dengan pelakon yang lebih lama dengan saya menjadi hero dalam sesebuah drama, saya terkejut.
"Tapi, macam dalam drama Suamiku Jururawat, Isteriku Doktor, pelakon Yana Samsudin banyak membantu saya daripada segi cara menyampaikan sesuatu watak itu," kongsinya yang lebih suka belajar daripada pelakon yang berpengalaman.
Bercerita mengenai wataknya sebagai jururawat dalam drama arahan Eyra Rahman itu, Tomok berkata, watak itu agak mencabar.
"Watak saya dalam drama itu memerlukan saya tampil sebagai seorang yang kelakar sedikit. Ia agak berat untuk dilakonkan sebab saya sebenarnya agak pendiam dan serius orangnya," kongsinya.
Ditebak mengenai penerimaan penonton terhadap lakonannya, Tomok menjawab, respons yang diterimanya bersifat positif.
Malah, katanya, jika ada kritikan sekalipun, dia menerima dengan hati terbuka. Malah, kritikan itu dapat dijadikan panduan untuk dia memperbaiki segala kelemahan.
"Kalau ada orang mengkritik saya, itu bermaksud orang ambil kisah pasal saya. Daripada situ kita boleh perbaiki diri dan lakonan. Saya pun masih dalam fasa pembelajaran," jelasnya.
Biar seaktif mana sekalipun Tomok dalam bidang lakonan, nyanyian yang sudah meresap sebati terlebih dulu dalam jiwanya tidak akan diketepikan. Jika diberi peluang dalam kedua-dua bidang lakonan dan nyanyian, nyanyian tetap menjadi keutamaannya.
"Kalau boleh saya nak kedua-duanya bergerak seiring. Tapi kalau perlu membuat pilihan, saya akan utamakan nyanyian," katanya yang mahu menjadi anak seni serba boleh seperti Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Dahulu model sekarang pelakon
Berbeza pula kisahnya dengan hero drama Romi Cinta Julia, Syarul. Berjinak-jinak sebagai model remaja dan pelakon iklan, si pemilik nama komersial Syarul Ridzwan itu sudah ada momentum tersendiri.
Bergiat dalam bidang seni sekitar dua tahun lalu selepas menyertai pertandingan Hero Remaja 2012, namanya kini kian meniti di bibir peminat.
Segala-galanya bermula sebaik pelakon berusia 25 tahun itu memegang watak Faizal menerusi drama Love You Mr. Arrogant.
Tatkala ramai lagi bintang yang jauh berpengalaman daripadanya untuk menjadi teraju utama sesebuah drama, Syarul menganggap peluang yang diberikan sebagai satu penghargaan buat dirinya.
"Saya terkejut sewaktu ditawarkan untuk bawa watak utama. Maklumlah, jika kita gagal bawa satu-satu watak itu, maka seluruh cerita itu tak akan menjadi. Bimbang watak dan mesejnya tak sampai kepada penonton pula," ujarnya yang wajahnya dikatakan mirip pelakon Aaron Aziz.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang yang menjadikan Rosyam Nor sebagai idola itu memberitahu, biarpun masih baharu, dia bersyukur kerana dalam setiap produksi, dia banyak dibantu oleh kekuatan tenaga kerja yang berada di sekelilingnya.
Lebih-lebih lagi dengan heroin yang digandingkan bersamanya, katanya, perlu ada gandingan yang serasi.
Tidak pernah kisah jika digandingkan dengan mana-mana pelakon, Syarul mendedahkan, dia mahu bersikap profesional kerana baginya keserasian boleh dibentuk.
"Biasanya sebelum memulakan sesuatu babak, saya akan berlatih terlebih dulu. Kena saling berkomunikasi terutamanya dengan pelakon gandingan saya.
"Saya bertanya cara bagaimana watak itu hendak dibawa, baru boleh ada keserasian," jelasnya yang mengakui agak sukar membawakan watak romantik.
Menyentuh mengenai populariti yang diraihnya, Syarul berkata, khalayak lebih mengenali wataknya dalam drama berbanding nama sebenarnya.
"Pernah sewaktu saya keluar bersiar-siar, orang menyapa saya dengan nama Romi, bukan Syarul.
"Itu sudah dikira baik sebab orang mula cam muka saya menerusi watak yang saya bawa," tuturnya yang menamakan Shila Rusly sebagai individu yang bertanggungjawab membuka peluang kepadanya memegang watak utama menerusi drama Hujan.
Biar apa sekalipun watak yang diberikan, ujar Syarul, dia tidak pernah memilih.
Sama ada watak utama atau pembantu, katanya, masing-masing ada fungsi dan perlu dipersembahkan dengan baik.
"Setiap watak yang wujud itu ada sebab dan peranannya. Watak itu tak akan ada kalau tak penting, walaupun sebagai cameo sahaja," tutupnya Syarul.

Susahnya berlakon dengan Izzue - Anzalna

Posted: 30 Mar 2014 12:27 AM PDT


ANZALNA akhirnya mengakui bahawa timbul episod bermasam muka dengan Izzu Islam sewaktu penggambaran drama bersiri Aku Isterinya.


KETERBUKAAN Anzalna berkongsi perang emosinya bersama Izzue Islam sepanjang penggambaran drama bersiri Aku Isterinya bukan lagi satu kejutan.
Desas-desus masalah antara Anzalna Nasir dan Izzue Islam sebenarnya sudah kedengaran ketika drama yang mulanya menggunakan judul Aku Bukan Mistress itu menjalankan penggambaran pada Februari lalu.
Kehadiran Anzalna yang membawa watak perempuan simpanan Izzue dikatakan telah membakar cemburu Awin Nurin, isteri yang juga pengurus Izzue. Cerita itu sudahpun dinafikan Awin dan Anzalna.
Namun, ketidakhadiran Izzue pada majlis ramah mesra drama yang diadakan awal minggu baru-baru ini memanggil semula ingatan media terhadap kisah bermasam muka antara kedua-dua pelakon itu.
Anzalna yang menjadi titik fokus akhirnya mengakui, permasalahan itu sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi sewaktu di lokasi.
"Saya tidak nafikan laporan akhbar sebelum ini, tapi apa yang saya mahu katakan, perkara itu bukan berpunca daripada saya.
"Kalau dia cuba mengelak daripada bertemu dengan saya, ingatlah bahawa industri hiburan ini kecil saja," jelas Anzalna secara terbuka.
Sensasi Bintang cuba mendapatkan kepastian daripada pihak Izzue mahupun Awin, namun pasangan yang bernikah pada Jun 2013 itu tidak melayan sebarang panggilan telefon.
Anzalna ditanya lagi tentang tuntutan kerjasamanya bersama Izzue yang masih belum dihabiskan. Hari ini, Anzalna dan Izzue berlepas terbang ke Perth, Australia untuk menyiapkan baki penggambaran drama berkenaan.
IZZUE ISLAM barangkali berada dalam situasi serba salah kerana dalam masa yang sama harus menjaga perasaan isterinya, Awin Nurin.


Selama enam hari di sana juga, Anzalna dan Izzue dikatakan banyak terlibat dalam penggambaran babak romantik.
"Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk Izzue. Masalah yang timbul bukan datang daripada saya, jadi biar dia yang selesaikan. Saya buat kerja secara profesional," ujar Anzalna.
Membiarkan senyuman bergayut tenang di bibirnya, wanita sensasi yang pernah terlibat dalam perbalahan bersama Neelofa itu ada pendirian yang teguh dalam soal profesionalisme.
Selain Izzue, dia juga pernah berlakon untuk babak-babak yang lebih romantik dan berani ketika bersama Aaron Aziz dan Adi Putra.
"Ketika itu watak saya lebih jahat dan menggoda tapi tidak pula timbul sebarang isu. Saya cuba mengelak daripada babak berpegangan tangan kerana menghormati orang yang sudah berkahwin, kalau ada pun saya perlu kawal agar tidak berlebih-lebih," ujarnya.
Tambah Anzalna juga, melakonkan babak romantik tidak semestinya harus ada adegan berpeluk. Cukup dengan lontaran dialog serta bahasa tubuh, kesan emosi akan dapat dirasai.
"Sejak awal penggambaran saya sudah rasa susah berlakon dengan Izzue. Saya faham serta menghormati Izzue dan isterinya. Sebab itu saya berhati-hati apabila melakonkan babak berpegangan.
"Saya juga ada keluarga dan teman lelaki, memang dari awal saya cuba jaga batas. Saya bukan nak goda suami orang," katanya.
Menganggap kontroversi bermasam muka itu sebagai isu kecil, Anzalna sebenarnya enggan melayan perkara yang kebudak-budakan itu.
Namun, sebagai wanita yang merasai sendiri bahang cemburu tanpa sebab, dia tidak akan berdiam diri sekiranya difitnah dengan cara mengaibkan.
"Sudah pasti saya akan menegakkan perkara yang betul, tapi saya cuba elakkan bergaduh, jangan sampai berlaku perang mulut," tutup Anzalna mengenai kisah dari lokasi drama Aku Isterinya arahan Fairoz Loy itu.

Tragedi MH370 bukan salah saya - Shila Amzah

Posted: 30 Mar 2014 12:25 AM PDT


SHILA memuat naik gambarnya berserta status yang meminta dirinya tidak dikaitkan dengan insiden MH370.


TATKALA seluruh dunia masih terkejut dengan tragedi kehilangan kapal terbang Malaysia Airlines (MAS) MH370, muncul pula pihak yang seperti mahu mengeruhkan hubungan dua buah negara, Malaysia-China.
Tidak semena-mena, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi, timbul kemarahan dalam kalangan segelintir penduduk China yang tidak berpuas hati dengan pengumuman itu.
Lebih parah, apabila ada rakyat Malaysia yang tinggal di negara itu menjadi bahan tohmahan mereka.
Mungkin angkara perasaan sedih, marah selain belum dapat menerima kenyataan, ada pihak yang mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar seperti yang terjadi dalam industri hiburan di Beijing.
Lebih menyedihkan apabila aktres filem Memoir of Geisha, Zhang Ziyi, turut memuat naik status berunsur negatif apabila menuding jari kepada kerajaan Malaysia.
Pelakon berusia 35 tahun itu memberitahu, dia tidak berpuas hati dengan cara Malaysia mengendalikan operasi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan.
Perkara itu diluahkannya menerusi laman sosial yang popular di China, Sina Weibo.
"Kerajaan Malaysia bersalah. Gagal untuk bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Kerajaan Malaysia lebih mementingkan urusan politik berbanding nyawa mangsa... kami mahukan kebenaran," tulisnya yang dikemas kini sehari selepas penerbangan MH370 disahkan berakhir di Lautan Hindi.
Bukan itu sahaja, ketika Malaysia dan banyak negara lain termasuk China bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengacara televisyen, Yang Lan seolah-olah memperlekehkan usaha tersebut.
ZHANG ZIYI tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Malaysia menangani isu kehilangan MH370.


"Hati saya berbaur dengan rasa sedih dan marah. Apa yang syarikat penerbangan Malaysia dan pihak tentera negara itu cuba sembunyikan?" tulisnya di laman sosial tersebut.
Artis tempatan yang menempa nama di Beijing, Shila Amzah tidak terkecuali daripada menerima tohmahan dan cercaan baru-baru ini.
Komen yang diberikan peminat di sana seolah-olah mahu 'menolak' semua bintang yang datang dari negara ini.
Sudah pasti keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu emosi penyanyi berusia 23 tahun ini yang kini sedang menyertai program realiti terbitan saluran Hunan TV, I am a Singer.
Sebelum ini, Shila cukup dikenali dan diterima baik peminat di Beijing, namun keadaan berubah sebaliknya.
Kecewa dengan apa yang berlaku, pelantun lagu Patah Seribu itu kemudian memuat naik sekeping foto yang memaparkan ekspresi wajah sedih dan sayu di laman Instagram miliknya.
Gambar itu disertakan dengan keterangan dalam bahasa Mandarin yang bermaksud: "MH370 bukan salah saya..."
Gambar tersebut mendapat lebih 15,000 maklum balas termasuk komen daripada pengikutnya.
Biarpun dilontar dengan kata-kata nista, masih ada peminat Shila di Beijing yang memberikan kata-kata semangat.
"Shila hanya seorang penyanyi. Dia bukanlah wakil kepada kerajaan Malaysia. Janganlah mengaitkan isu ini dengan dirinya," tulis seorang pengikutnya.
Selain Shila, artis Malaysia lain yang terkena tempias ialah Fish Leong dan Gray Chaw, serta Lee Sinje dan Ah Niu.

Muzik terapi The Venopian Solitude

Posted: 30 Mar 2014 12:24 AM PDT


THE VENOPIAN SOLITUDE memilih lagu berjudul The Rojak Uta: Stampede sebagai single pertama untuk diketengahkan.


BIARPUN baru berusia 24 tahun, anak muda kelahiran Shah Alam, Selangor ini sudah pandai menggunakan bait-bait kata puitis menerusi lagu yang dihasilkannya.
Itu antara rahsia yang dikongsikan penyanyi dan penulis, Takahara Suiko yang berjaya menghasilkan lapan buah lagu bernada segar dalam album pertamanya yang berjudul Hikayat Perawan Majnun.
Enggan mendedahkan identiti sebenar, Takahara Suiko yang mahu dikenali sebagai The Venopian Solitude (TVS) barangkali masih asing dalam kalangan peminat muzik tanah air.
"Kesemua lapan buah lagu yang dimuatkan ke dalam album Hikayat Perawan Majnun merupakan hasil ciptaan saya sepenuhnya.
"Saya mencipta lagu-lagu ini ketika berada dalam keadaan yang tertekan. Bagi saya muzik merupakan terapi yang paling berkesan untuk melepaskan tekanan setiap kali dibelenggu masalah," ujar graduan Kolej Teknikal Kagawa, Jepun dalam bidang Kejuruteraan Elektronik itu.
Menurut TVS, dia seorang yang mementingkan privasi dalam kehidupan seharian. Dia mahu meletakkan sempadan apabila melibatkan diri ke dalam dunia hiburan dan urusan bersama keluarga serta rakan-rakan.
Pemilihan nama Takahara Suiko itu tercipta sejak di bangku sekolah lagi memandangkan dia sangat meminati karya seni Jepun, tidak kira muzik, drama mahupun filem.
TVS mula mencipta nama menerusi YouTube. Ketika anak muda lain berlumba-lumba memuat naik lagu-lagu ciptaan sendiri atau menggubah semula lagu penyanyi lain ke pentas maya itu, TVS juga berharap agar karya seninya diterima masyarakat.
Siapa sangka muzik yang bersifat alternatif dan eksperimental itu akhirnya memberi laluan kepada TVS untuk disunting menjadi artis baharu oleh Kasi Gegar Entertainment (KGE).
"Semuanya bermula apabila saya menggubah semula lagu Outlaw nyanyian kumpulan Go Gerilla dan memuat naik ke YouTube. Saya kemudian ditawarkan oleh KGE untuk menjadi artis naungan mereka," katanya.
Menurut TVS, muzik ialah jiwanya. "Sewaktu belajar di Jepun, saya hanya mengambil masa selama dua jam untuk menghasilkan sebuah video yang saya cipta semasa berada dalam keadaan yang tertekan.
"Saya lebih suka melepaskan kemarahan dengan menghasilkan lagu baharu," katanya.
Meskipun menyedari muzik yang diketengahkan ini agak sukar untuk menembusi arus perdana muzik tanah air, TVS menyerahkan penjurian itu kepada pendengar.
Dalam diam-diam, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu sudah pun mendapat perhatian dalam kalangan penganjur pelbagai persembahan di luar negara.
TVS pernah membuat persembahan pada Persidangan Muzik Kansai di Osaka, Jepun dan Festival Jakcloth di Jakarta, Indonesia.
"Penerimaan terhadap muzik saya nampaknya menggalakkan. Secara tidak langsung saya telah memperkenalkan lagu bahasa Melayu di Jepun, malah saya turut memuatkan lagu bahasa Jepun dan Inggeris ke dalam album saya," katanya.
Sebagai pengenalan kepada umum, TVS memilih lagu berjudul The Rojak Uta: Stampede sebagai single pertama untuk diketengahkan. Lagu tersebut dinyanyikan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Jepun dan Inggeris.
"The Rojak Uta: Stampede mempunyai maksud yang tersendiri mengikut bahasa yang saya sampaikan. Jika bahasa Jepun, saya menceritakan tentang masalah sistem sosial di negara itu.
"Untuk bahasa Inggeris pula lebih kepada tanggapan ramai tentang negara dunia pertama dan ketiga. Bahasa Melayu pula berkisarkan mengenai penindasan," jelasnya.
Lagu-lagu TVS boleh dibeli secara online menerusi mall.kasigegar.com pada harga RM26.

Kemusykilan Hawa zaman moden

Posted: 30 Mar 2014 12:21 AM PDT


ISFADIAH MOHD DASUKI (kiri) bersama penerbit program Musykil Muslimah, Rozalina dan Ziela Jalil.


PERNAH dikeluarkan daripada menjadi pengacara program Primadona, Ziela Jalil tidak pernah putus harapan untuk bergelar seorang pengacara. Sempat mengendalikan beberapa episod, bagi Ziela pengalaman tersebut sedikit sebanyak dapat membantu menambah portfolio kerjaya seninya.
Terbaru, pemilik syarikat produksi, Pena Creatives Sdn. Bhd. itu dilamar Astro untuk mengendalikan sebuah program bual bicara berjudul Musykil Muslimah yang akan disiarkan bermula 12 Mei depan menerusi saluran Astro Oasis.
Ziela berkata, penyingkiran namanya sebagai pengacara Primadona ada hikmahnya.
"Alhamdulillah, sebaik ditawarkan menjadi pengacara saya gembira kerana program tersebut disiarkan di Astro Oasis.
"Saya difahamkan, sebagai seorang pengacara banyak batas pergaulan yang harus dijaga. Bermula dari aspek pengayaan tudung sehinggalah kepada aspek mematuhi syariat Islam.
"Tidak salah jika mengikut trend fesyen terkini asalkan tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan," jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Menurut Ziela, ketika beberapa hari pertama rakaman program Musykil Muslimah dijalankan, dia sempat memuat naik gambar di laman Instagram mengenai projek baharunya itu. Rata-rata mereka memberikan respons yang positif.

LOKASI penggambaran program Musykil Muslimah diadakan di N'dah Catering & Wedding Planner, Shah Alam, Selangor.


"Banyak maklum balas positif yang saya terima. Secara tidak langsung program ini akan memberikan kesedaran kepada penonton.
"Sepanjang melakukan rakaman untuk 13 episod, banyak perkara yang saya peroleh terutama membabitkan ilmu halal haram tentang kecantikan dan penampilan kaum Hawa pada zaman moden ini," katanya.
Menariknya program Musykil Muslimah itu lebih mengetengahkan konsep soal jawab mengenai rutin kecantikan dan fesyen terkini serta hukum-hakam menurut Islam.
Penceramah yang diundang pula akan memberi penjelasan yang mendalam tetapi mudah difahami.
Musykil Muslimah terbitan Indigital Sdn. Bhd. itu mampu memberikan kesedaran serta dijadikan bahan rujukan tentang amalan penjagaan kecantikan dan fesyen.
Penerbit dan pengarah program, Rozalina Mohamad Rom menjelaskan, rancangan tersebut merupakan program soal jawab sulung terbitan pihaknya sebagai panduan untuk wanita Islam.
"Wanita kini gemar mengikut arus semasa sama ada dari sudut amalan kecantikan, pakaian mahupun pergaulan antara lelaki dan perempuan.
"Dengan adanya penceramah yang berpengalaman seperti Zawiah Hassan, Isfadiah Mohd. Dasuki dan Ahmad Fawwaz Ali, sedikit sebanyak dapat membentuk keperibadian seseorang itu," katanya.
Antara topik yang bakal dibincangkan termasuklah Hijab Bonggol Unta, Bersolek Untuk Gaji, Salam Jaga Air Muka, Telekung Red Carpet, Tudung Tokcang Sanggul Limau, Ikal Mahkota Durjana, Mulus Tanpa Waswas, Kuku Gincu Cina, Haram ke Susuk Moden? dan Alis Kening Pisau Blade.

Empat beradik tabah ibu bapa dipenjara

Posted: 30 Mar 2014 12:17 AM PDT



ANAK-ANAK Azizul Raheem dan Shalwati. Dari kiri, Ammar, Adam, Arif dan Aisyah.


KOTA BAHARU - Keempat-empat anak pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang dihukum penjara oleh mahkamah di Sweden kelmarin menerima keputusan itu dengan tabah walaupun sedih.
Ibu saudara empat beradik itu, Shaleena Norshal, 43, berkata, ketika beliau memberitahu keputusan mahkamah itu, mereka dapat menerimanya dengan tenang.
"Saya maklumkan perkara tersebut selepas solat Maghrib semalam dan memang mereka sedih tetapi saya dapat lihat ketabahan mereka.
"Jadi mereka memahami dan bersyukur yang ibu bapa mereka hanya dikenakan hukuman penjara minimum," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor di sini semalam.
Shaleena berkata, dia dan anggota keluarga yang lain sering memberitahu empat beradik itu bahawa perkara itu terjadi bukan kerana salah mereka.
"Mereka akan terus tinggal bersama-sama kami dan mereka juga dah semakin selesa tinggal di sini, Aishah pun dah boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik sekarang.
"Saya juga nak berterima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di Stockholm yang banyak membantu dari awal hingga akhir," katanya.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Pelajaran masih meneliti status jawatan Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji mengikut suaminya bertugas di Sweden sebelum dikenakan hukuman penjara di negara berkenaan kerana mendera anak mereka.
Menurutnya, kementerian memahami bebanan yang dihadapi Shalwati selaku penjawat awam dan kerajaan akan membantu sedaya upaya kerana kes ini melibatkan perundangan berkaitan perkhidmatan awam.
"Saya perlu lihat (bentuk) perundangan dan pandangan daripada pakar undang-undang terlebih dulu. Kita akan cuba untuk mengurangkan beban mereka itu sebagai rakyat negara kita yang dihukum di luar negara.
"Ini merupakan perkara baharu yang perlu kita selesaikan kerana dia dihukum di luar negara dan kita lihat apakah pertimbangan-pertimbangan yang mustahak agar tidak membebankannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) 'Jom Masuk U' kali ke-10 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.
Kelmarin, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm mendapati Azizul yang merupakan Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden dan Shalwati bersalah atas tuduhan mencabuli integriti dan memukul empat anak mereka.
Shalwati dihukum penjara 14 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK67,200 (RM33,909) manakala Azizul dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK36,400 (RM18,367) kepada anak mereka.
Pasangan itu dituduh memukul anak mereka, Aisyah, 15; Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, tujuh tahun.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories