RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Hairi (Anak Wayang) Belajar Al-Quran Sebelum Jadi Suami

Posted: 05 Mar 2014 09:07 PM PST


Hairi dan Fara bakal disatukan pada 22 Mac ini.
PETALING JAYA: Juara program realiti Anak Wayang musim pertama iaitu Hairi telah mendaftarkan diri ke kelas mengaji Al-Quran sebagai persiapan untuk bergelar suami pada satu majlis akad nikah, 22 Mac ini.
Hairi atau nama sebenarnya, Mohd Hairi Safwan Aznan, 26, berkata, dia ingin memantapkan bacaan dan pemahaman Al-Quran supaya dapat membimbing isterinya apabila berkahwin kelak.
"Saya tidak begitu gementar tentang majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tetapi ada perasaan takut untuk mengharungi alam rumah tangga selepas berkahwin.
"Atas sebab itu saya masuk kelas mengaji bagi memantapkan bacaan Al-Quran supaya dapat membimbing isteri kelak," katanya kepada mStar Online.
Hairi dan bakal isterinya, Fara Afiza Azman, 24, yang juga anak kepada Editor Majalah Kuntum terbitan Star Publications (M) Berhad iaitu Asma Saad akan disatukan di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Majlis resepsi akan diadakan selepas akad nikah di Dewan Masjid At-Taqwa, Mak Mandin, Pulau Pinang, tidak jauh dari lokasi akad nikah.
Tambah Hairi, dia juga mengikuti kelas agama bagi menambahkan ilmu dalam mengharungi rumah tangga dalam menjadi seorang suami yang soleh kepada isterinya.
"Sejahil mana pun seseorang manusia itu kita mesti kena tahu tentang agama dan sebab itu saya mengikuti kelas berkenaan kerana tanggungjawab sebagai ketua keluarga bukan mudah," katanya.
Sementara itu, Hairi mengakui, dia yakin untuk memperisterikan Fara kerana sifat wanita itu yang penyabar dalam pelbagai perkara selain pandai mengambil hati ibunya.
Kata Hairi, Fara juga bijak menurunkan egonya sebagai seorang lelaki apabila timbul sesuatu perkara dan dia amat menyenangi sifat wanita berkenaan.
"Dia seorang yang lemah lembut dan sentiasa sejukkan saya apabila saya marah. Dia ambil pendekatan seperti saya seorang pelajar sekolah.
"Dia banyak mengajar saya agar lebih bersabar dan tidak terlalu mengikutkan kata hati," ujarnya.
Tambah Hairi persiapan perkahwinan mereka telah siap sepenuhnya dan hanya menanti untuk disatukan sebagai suami isteri selain berharap majlis itu nanti akan berjalan lancar.
Dalam perkembangan lain, Hairi berkata, dia bakal memasuki lokasi penggambaran drama bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan sehari selepas majlis perkahwinannya.

Suami Syanie Tidak Letakkan Harapan Untuk Punyai Anak

Posted: 05 Mar 2014 09:06 PM PST


Syanie
PETALING JAYA: Pelakon komedi, Syanie bersyukur suaminya, Nadi Putera Mohd Zainol, 29, memahami dan tidak meletakkan harapan yang tinggi untuknya mendapatkan zuriat dalam perkahwinan yang dibina mereka pada 1 Mac lalu.
Syanie atau nama sebenarnya, Syaniza Hisham, 41, berkata, mereka sudah membincangkan perkara tersebut sebelum membuat keputusan untuk hidup bersama.
"Saya dah beritahu dia bahawa pada usia sekarang, saya akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan anak.
"Dia memahami dan menganggap anak bukan tujuan utama dia mengahwini saya, lagi pula dia sudah pun ada dua orang cahaya mata hasil perkahwinan yang pertama," katanya kepadamStar Online, ketika dihubungi di sini, Rabu.
Bagaimanapun, Syanie berkata, sebagai seorang wanita, dia sangat berharap dapat melahirkan seorang cahaya mata bagi melengkapi kehidupan rumah tangga mereka.
Syanie dan Nadi Putera selamat dinikahkan dalam satu majlis yang diadakan di Sandy Beach Resort, Langkawi, Kedah dengan sekali lafaz.
Sementara itu, Syanie mengakui pada mulanya agak sukar untuk dia membuat keputusan untuk kembali berumah tangga semula.
Syanie berharap perkahwinan kali ini kekal sehingga akhir hayat.
Katanya, terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum membuat keputusan besar tersebut.
"Sudah tentu agak sukar dan takut untuk buat keputusan kembali berumah tangga selepas 11 tahun hidup sendiri. Apatah lagi ia adalah perkahwinan kedua saya.
"Saya fikir banyak kali dan tanya pendapat keluarga dahulu sebelum benar-benar buat keputusan ini.
"Saya tidak mahu rumah tangga yang dibina hanya separuh jalan sahaja, kalau boleh perkahwinan kedua ini biarlah sampai akhir hayat," katanya.
Dalam pada itu, menceritakan detik pengenalan mereka, Syanie berkata, dia mengenali Putera sejak lapan tahu lalu ketika mereka bekerja di bawah syarikat yang sama.
Bagaimanapun, hubungan tersebut terputus selepas mereka berpindah ke tempat kerja berlainan dan Putera mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita.
"Dia seorang yang ambil berat ketika kami bekerja di tempat yang sama, tetapi bila dia berhenti dan berkahwin kami jarang berhubung.
"Sehinggalah kami berjumpa semula ketika menghadiri satu majlis perkahwinan rakan di Kedah dan kembali rapat, ketika itu dia sudah pun bercerai," katanya.
Dalam pada itu, Syanie berkata, kedua-dua keluarga mereka menerima hubungan tersebut dengan baik dan menggalakkan mereka mendirikan rumah tangga secepat mungkin.
Kata Syanie, jarak usia hampir 12 tahun tidak menjadi satu masalah kepada mereka.
"Saya tidak kisah tanggapan orang tentang usia, apa yang penting ia bukan menjadi satu masalah bagi kami.
"Pada saya ialah persefahaman antara satu sama lain dan saling hormat menghormati adalah kunci untuk mendapat kebahagiaan dalam rumah tangga," katanya.
Majlis resepsi pihak lelaki akan berlangsung pada 12 Mac ini di kediaman pengantin lelaki di Kulim, Kedah.

Telefon pintar murah semakin popular

Posted: 05 Mar 2014 08:59 PM PST


  • Telefon pintar murah semakin popular

PASARAN telefon pintar mampu milik Malaysia dijangka meningkat sebanyak 20 peratus tahun ini.

Ketua Pemasaran Pan Asia Nokia, Gary Chan berkata, syarikat pengeluar telefon bimbit itu akan memanfaatkan penggunaan internet yang tinggi di negara ini untuk pemasaran telefon pintar mampu miliknya.

"Buat masa ini, penembusan pasaran telefon pintar di Malaysia adalah sebanyak 145 peratus, boleh dikatakan setiap pengguna mempunyai sekurang-kurangnya dua telefon pintar.

"Jadi Nokia tidak akan mensia-siakan peluang menyediakan telefon pintar mampu milik kepada pengguna di Malaysia," katanya semasa ditemui dalam majlis pelancaran telefon pintar mampu milik terbaru Nokia X di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Chan, lebih 99 peratus pengguna telefon pintar di Malaysia mengakses internet setiap hari dan jumlah ini jauh melebihi negara berpendapatan tinggi seperti Hong Kong dan Singapura.

Sementara itu, Chan berkata, Nokia X merupakan sebahagian daripada siri telefon pintar mampu milik Nokia X yang terdiri daripada Nokia X, Nokia X+ dan Nokia XL yang menggunakan sistem Android.

"Penggunaan sistem Android ini membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi Nokia dan Android secara percuma," katanya.

Menurut beliau, Nokia X boleh didapati pada harga RM399 dan akan berada di pasaran Malaysia bermula minggu hadapan bagi kawasan Lembah Klang dan seminggu selepas itu bagi seluruh negara.

Nokia X didatangkan dalam empat variasi warna iaitu hijau terang, merah terang, hitam dan putih serta dilengkapi kamera 3-megapiksel bersama memori dalaman 4GB.

Mahu serius di Malaysia

Posted: 05 Mar 2014 07:53 PM PST


HISYAM bersama keluarga bahagianya.


MULA mengukir nama melalui drama bersiri Ariana Rose, watak Harith yang digalas Hisyam Hamid ternyata meninggalkan kesan kepada penonton dek pesona yang dibawanya.
Wajah tampan dan lakonan bersahaja pantas mencuri hati banyak wanita untuk mengenali Hisyam dengan lebih dekat.
Ramai yang masih tertanya-tanya, entah dari mana Hisyam tiba-tiba sahaja muncul kerana sebelum ini, wajahnya tidak pernah muncul dalam dunia lakonan Malaysia.
Rupa-rupanya, Hisyam adalah pelakon kelahiran Singapura yang berusaha mengembangkan potensi diri selain mencari rezeki di Malaysia.
Bersua dengan Hisyam yang hadir bersama isteri tersayang merangkap pengurusnya, Rosmawati Hanafi pada Majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini, lelaki berusia 29 tahun itu tampak santai dan begitu mesra melayan pihak media.
Meskipun masih bertatih dalam persada seni lakonan Malaysia, tawaran yang diterima oleh pelakon tinggi lampai ini semakin meningkat setelah ramai yang mengetahui bakat dan kebolehannya.
Namun, sebagai pelakon yang masih 'hijau' di sini, Hisyam menyifatkan dia masih belum mencapai fasa selesa, apatah lagi untuk berbangga dengan peluang tawaran yang dikecapi.
"Saya kini berada dalam fasa percubaan dan meletakkan tempoh setahun untuk melihat sejauh mana peningkatan karier lakonan saya di sini.
"Walaupun mencari rezeki di sini, jiwa dan hati saya masih menyayangi Singapura kerana ia merupakan rumah pertama saya. Walau bagaimanapun, saya bercadang tinggal dan mengukuhkan karier saya di sini," ujarnya.
Bercerita mengenai permulaan perjalanan kariernya di Malaysia, beritahu Hisyam, drama Cut Amira (2011 ) gandingannya bersama pelakon Linda Hasyim membuka ruang untuknya terus menapak di sini.
"Ia merupakan sebuah drama hasil kolaborasi stesen televisyen Singapura MediaCorp dan Malaysia Asia Media Content (Astro).
"Selain drama tersebut, saya juga pernah membintangi drama Berlima Ramadhan arahan Jinggo terbitan JS Pictures Sdn. Bhd.
Tayangan drama ini dijangka ditayangkan menjelang bulan Ramadan tahun ini.
"Pada masa yang sama, saya mengambil peluang untuk berkenalan dengan penulis skrip dan pengarah di Malaysia sehinggalah saya ditawarkan membintangi Ariana Rose yang merupakan drama kedua lakonan saya di sini" jelas Hisyam mengenai profil kariernya.
Tambah Hisyam, pemilik Zeel Production Sdn. Bhd., Md. Fadzil Teh merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya ke dunia lakonan, selain memperkenalkannya kepada sutradara Ariana Rose, Raja Ahmad Alauddin.
Hisyam mengakui, kesibukan kerjaya seninya telah menyebabkan dia tidak mampu untuk mengurus jadual kerjanya, berbanding di Singapura.
Jadual penggambaran di Malaysia yang agak padat memaksanya untuk diuruskan seorang pengurus.
Bagi Hisham, tiada yang lebih layak dan serasi untuk dijadikan pengurus selain isterinya.
Selain dapat meluangkan masa bersama, hanya isterinya sahaja yang memahami keadaan dan kemahuannya.
"Di Singapura, kebanyakan artis di sana tidak menggunakan khidmat pengurus disebabkan jadual kerja yang tidak padat, selain tawaran berlakon yang sedikit.
"Berbanding di Malaysia, kesibukan di set penggambaran yang diadakan secara terus-menerus membuatkan saya nekad menjadikan isteri sebagai pengurus saya."
Menurut Hisyam lagi, kini dia masih lagi berulang-alik ke Singapura kerana masih lagi mempunyai baki penggambaran bersama produksi Singapura.
"Saya perlu melangsaikan baki penggambaran di Singapura selama dua bulan. Ia merupakan penggambaran terakhir di Singapura sebelum saya memberi sepenuh tumpuan di Malaysia," ujarnya.
Pegawai bomba
Sebelum terjun dalam dunia lakonan, siapa pernah menyangka lelaki kacak ini pernah berkhidmat sebagai seorang anggota bomba di Singapura sejak enam tahun lalu.
Walaupun Hisyam agak berat untuk meninggalkan kerjayanya sebagai seorang anggota bomba tetapi disebabkan ingin perubahan terhadap hidupnya, dia nekad mengambil keputusan untuk bergelar seorang pelakon.
"Saya agak berat untuk meninggalkan kerjaya bomba memandangkan ia merupakan kerjaya yang stabil dan kukuh. Namun, saya rasa risiko diperlukan untuk menjadi seorang yang berjaya.
"Saya berani mengambil risiko kerana saya tahu potensi diri dan saya rasa tak salah kalau kita tonjolkan bakat dan gunakan dengan sebaiknya," katanya.
Bercerita mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang kariernya sebagai anggota bomba, ujar Hisyam, dia amat sedih apabila menerima satu panggilan berkaitan penemuan mayat warga tua yang terbiar.
"Kebanyakan warga tua di Singapura tinggal bersendirian disebabkan anak mereka sibuk bekerja dan tidak mempunyai waris.
"Saya begitu sedih apabila mendapat panggilan daripada seorang pengadu yang mengatakan bau busuk di sekitar rumahnya.
"Apabila kami memeriksa sekitar kawasan tersebut, didapati mayat seorang lelaki telah mereput dan disyaki telah meninggal dunia sejak dua minggu lalu. Perasaan sedih tersebut tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya.
Bukan klon Aaron Aziz
Mengakui banyak orang memperkatakan tentang persamaan dirinya dengan pelakon popular Aaron Aziz, tegas Hisyam, dia kurang selesa jika dibandingkan dengan hero filem KL Gangster tersebut.
Antara persamaan yang sering dibandingkan antara dia dengan Aaron termasuk sudah mendirikan rumah tangga, mempunyai dua orang anak dan iras wajah yang agak serupa.
Walaupun mempunyai tujuan dan objektif yang sama, bagaimanapun dia lebih selesa untuk dikenali sebagai Hisyam Hamid.
"Ya, ramai orang melihat saya dan dia (Aaron) sebagai orang yang sama, memandangkan latar belakang kami yang tidak jauh beza termasuk mempunyai isteri dan dua orang anak.
"Saya ingin menjadi seperti Aaron tetapi saya tidak mahu dibayangi olehnya. Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing.
"Saya akui Aaron merupakan seorang pelakon yang hebat dan boleh dikatakan berjaya di Malaysia. Saya juga ingin menjadi sepertinya tetapi dengan cara dan sentuhan saya sendiri," ujarnya yang menjadikan aktor berpengalaman Rosyam Nor sebagai idolanya.
Cahaya mata
Kehadiran dua cahaya mata, Nurish Syameliah, 7, dan Hayden, 5, hasil daripada lapan tahun perkahwinan Hisyam dan isteri tersayang menambahkan lagi seri rumah tangga pasangan itu.
Bagaimanapun, memandangkan Hisyam kini sedang meluaskan empayar lakonannya di Malaysia, anak-anaknya terpaksa ditinggalkan di Singapura bersama ibu mertuanya.
"Isteri saya banyak memainkan peranan dalam menjaga keluarga. Ketika saya sedang sibuk di Malaysia, isteri saya selalu berulang-alik dari Malaysia ke Singapura untuk menguruskan anak-anak dan saya.
"Saya akui pada mulanya anak saya, terutamanya Hayden, selalu menangis disebabkan saya selalu meninggalkannya dan kurang meluangkan masa bersama.
"Dia tahu kalau saya berkemas dan menggalas beg besar, saya akan pergi meninggalkan mereka untuk tempoh yang lama," katanya.
Hisyam menambah, kini anak-anaknya mampu menerima keadaan kerjanya yang tidak menentu.
Walaupun terpaksa berjauhan Hisyam selalu menghabiskan masa dengan anak-anaknya jika mempunyai masa terluang.
"Saya akan membawa anak saya ke Malaysia sekiranya mereka bercuti dan meluangkan masa bersama mereka.
"Saya harap pada masa akan datang mereka dapat menerima keadaan pekerjaan saya sebegini dan saya tidak risau sebab mereka semakin memahami," ujarnya.


Hanez tak bimbang karma

Posted: 05 Mar 2014 07:52 PM PST


ROMIE (kiri) bersama peguamnya, Rubiah manakala Hanez pula hadir bersama peguamnya, Wan Nurliyana (dua dari kanan) dalam satu sidang akhbar khas yang berlangsung semalam.


SEJAK mengumumkan akan berkahwin pada tahun ini, nama Hanez Suraya cukup hangat. Semuanya bermula apabila pelakon berusia 29 tahun itu merahsiakan status dan identiti bakal suaminya yang dikenali sebagai Romie Razin Adilha, 34.
Pelbagai spekulasi timbul sehingga membuatkan Hanez terlanjur kata bahawa lelaki itu duda anak dua meskipun hakikat sebenarnya kekasihnya masih bergelar suami yang sah kepada wanita bernama Nurliyana Abd. Manan.
Menyedari kesilapannya, Hanez telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka. Tidak cukup dengan itu, dakwaan isteri kekasihnya Hanez punca keretakan rumah tangganya dalam sebuah akhbar mingguan telah mengeruhkan lagi keadaan.
Kontroversi ini telah memberi impak yang negatif terhadap kerjaya dan nama baik Hanez menyebabkan pelakon itu tampil membuat sidang akhbar di Hotel One World, Damansara, Selangor semalam.
Dalam sidang akhbar yang berlangsung dengan tenang itu, Hanez ditemani kekasihnya dan juga peguam masing-masing iaitu Rubiah Jaffar dan Wan Nurliyana Abdul Rahman.
Ikuti sesi soal jawab antara pihak Hanez dan juga media.
Kosmo!: Apakah tujuan Hanez membuat sidang akhbar ini?
HANEZ: Tujuan saya membuat sidang akhbar ini adalah untuk membersihkan nama daripada fitnah yang dilemparkan kepada saya.
Boleh Hanez komen apabila dituduh sebagai perosak rumah tangga orang lain.?
HANEZ: Pertama kali saya jumpa Romie pada 20 Disember tahun lalu. Walhal masalah rumah tangga yang dihadapinya telah wujud sebelum dia mengenali saya.
Romie: Saya tidak mahu aibkan sesiapa kerana kes perceraian saya dengan isteri masih berjalan di mahkamah. Apa yang saya boleh beritahu, isteri saya telah memfailkan perceraian sebanyak dua kali, pertama pada 1 April 2011 dan kali kedua pada 8 Oktober 2013.
Dalam kedua-dua permohonan perceraiannya puncanya langsung tidak menyebut tentang orang ketiga.
Kami juga sudah tidak tinggal sebumbung sejak 15 Ogos tahun lalu apabila isteri saya bertindak keluar dari rumah. Saya telah berinya tempoh tiga bulan untuk kembali taat tetapi dia masih ingin meneruskan niatnya untuk bercerai.
Bagaimanakah dengan bukti-bukti gambar percutian kalian di Bangkok, Thailand yang dikeluarkan baru-baru ini?
HANEZ: Kami bukan pergi berdua seperti yang didakwa, sebaliknya seramai tujuh orang termasuk adik-beradik Hanez. Kami pergi bercuti, dalam masa yang sama memberi barang untuk perniagaan adik saya.
RUBIAH (peguam Romie): Gambar-gambar tersebut telah ditolak oleh mahkamah sebelum ini kerana dalam permohonan perceraiannya, isterinya tidak langsung menyatakan orang ketiga sebagai punca dia memohon cerai.
Selepas gambar itu tidak boleh digunakan di mahkamah, dia menggunakan saluran media pula. Sepatutnya gambar tersebut tidak boleh disiarkan kerana telah mendapat arahan daripada mahkamah.
Hanez dilihat seolah-olah tidak sabar untuk berkahwin, walhal kes perceraian kekasih masih belum selesai. Komen?
HANEZ: Saya tidak pernah memberitahu siapa identiti bakal suami dan tarikh perkahwinan kerana saya mahu dia selesaikan masalahnya terlebih dahulu. Dia telah melamar saya sekitar bulan Januari lalu, saya akan tunggu kerana soal kahwin terpulang kepada pihak lelaki.
Andai pihak lelaki mahu mempercepatkan perkahwinan walaupun kes perceraiannya masih tidak selesai, siapa saya untuk menolak. Saya percaya jodoh itu ditentukan oleh Allah.
Mengapakah selepas segala kontroversi yang berlaku Hanez masih setia bersamanya?
HANEZ: Saya sukakannya kerana dia seorang lelaki yang jujur dan ikhlas untuk memperisterikan saya. Selepas apa yang berlaku, dia tidak pernah mengabaikan saya, malah sentiasa ada di sisi saya untuk memberi sokongan moral.
ROMIE: Sebagai lelaki, saya memujuknya dan memberi sokongan supaya dia kuat. Benda sudah berlaku, apa yang kita boleh lakukan adalah hadapinya dengan tenang.
Saya juga telah berjumpa dengan keluarganya tanda saya serius berkawan dengan Hanez, bahkan pihak Hanez tidak pernah desak saya untuk menceraikan isteri saya.
Bilakah tarikh sebenar kalian akan berkahwin?
ROMIE: Saya tidak boleh beritahu lagi kerana nanti kelihatan riak pula, biarlah saya mengikut kententuan Allah, andai kami ada jodoh, kami akan berkahwin. Biarlah kes perceraian saya selesai terlebih dahulu.
Apakah keistimewaan Hanez sehingga anda tertarik kepadanya?
Saya kenal Hanez selepas melihat dia berlakon dalam drama Love You Mr. Arrogant. Selepas itu, tidak sangka kami berjumpa dalam sebuah majlis di Shah Alam, Selangor.
Saya tertarik kerana dia seorang yang ringkas dan boleh menerima anak-anak saya. Apabila saya suka seseorang, saya akan usahakan sampai dapat.
Adakah Hanez bimbang karma akan datang kepada Hanez selepas berkahwin atas kekecewaan orang lain?
Tidak pernah. Apa yang penting keikhlasan dalam sebuah hubungan. Jika saya mampu beri kebahagian dan menjaganya dengan baik, rasanya saya tidak perlu risau tentang karma.


Nad akui hadir kursus kahwin

Posted: 05 Mar 2014 07:51 PM PST


NAD ZAINAL dan Azwan dijadualkan berkahwin dalam masa terdekat ini.


BEBERAPA hari lalu, sebuah blog hiburan melaporkan menerima beberapa keping gambar pelakon genit, Nad Zainal, 24, dan kekasihnya, Azwan Kombos, 29, yang dilihat sedang menghadiri kursus perkahwinan di Masjid Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Damansara, Kuala Lumpur.
Menerusi laporan itu juga, terdapat sekeping gambar senarai kehadiran yang memaparkan nama pelakon yang pernah popular menerusi drama Bukan Bidadari itu.
Bagaimanapun, tiada sebarang gambar atau status terkini mengenai kursus perkahwinan yang dihadiri mereka tertera di akaun Instagram peribadi milik Nad.
Sebaliknya, Azwan ada memuat naik sekeping gambar yang memaparkan dirinya memakai baju yang sama ketika menghadiri kursus tersebut pada keesokan harinya.
Ketika berpeluang berbual dengan aktres itu melalui panggilan telefon semalam, Nad tidak menafikan bahawa pasangan yang hadir ke kursus perkahwinan itu adalah dia dan Azwan. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan pelakon filem Kami Histeria itu.
Kosmo!: Adakah benar Nad dan Azwan menghadiri kursus perkahwinan baru-baru ini?
NAD: Ya, saya dan Azwan telah menghadiri kursus perkahwinan yang dijalankan di sebuah masjid di Damansara, Kuala Lumpur. Kursus tersebut berlangsung selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Mac lalu.
Siapa yang mencadangkan untuk mengikuti kursus tersebut?
Sejujurnya, idea ini datanganya daripada kedua-dua belah pihak. Kami bersetuju untuk mengikuti kursus tersebut lebih awal.
Adakah kalian berdua telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga?
Belum lagi. Kami menghadiri kurus tersebut bagi memudahkan perjalanan kami pada masa akan datang. Jika ada jodoh, perkara-perkara wajib seperti ini telah selamat diselesaikan. Lagipun, kami berdua tidak sibuk. Justeru, lebih baik memanfaatkan masa terluang ini untuk melakukan perkara yang berfaedah.
Jadi, Nad dan Azwan tidak bercadang untuk mengakhiri zaman bujang dalam masa terdekat ini?
Ya, kami tidak berhasrat untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.
Apakah perkembangan terbaharu Nad?
Saya akan muncul menerusi sebuah drama bersiri berjudul Tuan Rumah Pembantu Rumah. Selain itu, telemovie lakonan saya untuk slot Cerekarama, Penantian juga bakal menemui penonton tidak lama lagi. Dalam perkembangan lain, saya akan menyertai sitkom komedi Oh My English! yang akan muncul untuk musim terbaharu.
Jika dilihat dengan gaya dan imej terkini, Nad kelihatan lebih muda daripada usia sebenar. Adakah Nad tidak takut jika tawaran berlakon akan berkurangan apabila Nad kerap melakonkan watak remaja?
Saya akui, faktor saiz badan saya sangat mempengaruhi tawaran berlakon yang saya terima. Bagaimanapun, saya berusaha untuk mengurangkan penerimaan watak-watak remaja selepas tamat proses penggambaran Oh My English! nanti.
Jadi, adakah Nad hanya akan melakonkan watak wanita matang selepas ini?
Tidak juga. Ia perlulah selari dengan jalan cerita drama atau filem tersebut. Saya tidak kisah untuk menerima watak yang mempunyai babak imbas kembali. Jika ia memerlukan saya berlakon sebagai remaja sekolah sepanjang perjalanan cerita, mungkin saya akan menolak tawaran itu.
Apakah tujuan Nad berbuat demikian?
Saya mahu dikenali sebagai pelakon serba boleh yang mampu untuk melakonkan watak-watak yang lebih matang.


Balasan jel, sebat rompak Mufti

Posted: 05 Mar 2014 07:49 PM PST

SHARIMAN


KUCHING – Seorang penjual ikan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah mengaku bersalah melakukan rompakan bersenjata di kediaman Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya, di Jalan Sultan Tengah di sini Ogos tahun lalu.
Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohammad Shariman Alwi, 30, yang didapati bersalah mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Menurut Kumbong, hukuman yang dijatuhkan itu setimpal dengan apa dilakukan oleh tertuduh sehingga mengakibatkan kerugian besar serta trauma kepada mangsa.
Hukuman tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas Mohammad Shariman selesai menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan lain bagi kesalahan ragut yang telah disabitkan ke atasnya oleh mahkamah sama pada 10 Oktober tahun lalu.
Ini menyebabkan, tertuduh terpaksa menjalani hukuman keseluruhan selama 21 tahun penjara serta 18 sebatan bagi kesalahan ragut dan menceroboh rumah Mufti itu.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd. Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut tuduhan, Mohammad Shariman bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas menceroboh masuk ke rumah Juanda di Jalan Sultan Tengah di sini pada pukul 4.30 pagi 16 Ogos 2013 dengan membawa bersama sebilah pedang samurai.


Tinggalan manusia zaman Neolitik

Posted: 05 Mar 2014 07:45 PM PST


RUZAIRY menunjukkan sebilah pisau tembeling yang ditemui di tebing Sungai Kelantan, Pasir Mas, Kelantan kelmarin.


PASIR MAS – Sungai Kelantan di sini dikenal pasti sebagai salah satu lagi lokasi manusia prasejarah zaman Neolitik apabila sebilah pisau tembeling ditemui di tebing sungai berkenaan berhampiran Kampung Kubang Pak Amin di sini kelmarin.
Ketua Pegawai Arkeologi Jabatan Warisan Negara Wilayah Timur, Ruzairy Arbi berkata, sebelum ini pisau jenis serupa pernah dijumpai oleh pengkaji Inggeris, I.H.N. Evans di sekitar Sungai Tembeling, Pahang pada tahun 1930-an.
Beritahu Ruzairy, alatan batu itu ditemui di situ selepas beberapa pengkaji dari Jabatan Warisan Negara melakukan cari gali di kawasan tersebut kelmarin.
"Dengan penemuan sebilah pisau tembeling itu, kami tidak menolak kemungkinan kawasan tersebut pernah diduduki oleh manusia di zaman Neolitik.
"Kajian mengenai masyarakat awal manusia di negara ini menjadi bertambah menarik. Justeru, pihak kami akan meneruskan kerja-kerja cari gali di kawasan sekitar termasuk di permukaan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Ujar beliau lagi, Jabatan Warisan Negara juga akan melakukan kajian lanjut untuk mengetahui nilai sejarah pisau tembeling itu yang merupakan salah satu teknologi alatan batu yang dihasilkan oleh masyarakat Neolitik.
Selain pisau tembeling, Ruzairy berkata, sepanjang seminggu menjalankan kajian di kawasan berkenaan, pihaknya turut menemui pelbagai artifak bersejarah lain seperti seramik, duit syiling termasuk serpihan tembikar yang dipercayai berasal dari zaman Dinasti Chin, China.


Kereta terlaju dunia dipamerkan di Geneva

Posted: 05 Mar 2014 07:42 PM PST




KERETA Bugatti Veyron Grand Sport Vitesse Rembrandt edisi terhad turut dipamerkan pada pertunjukan kereta itu.


STOCKHOLM - Firma pembuat kereta sport Sweden, Koenigsegg memperkenalkan kereta terbaharunya yang dipercayai sebagai kereta kegunaan jalan raya paling laju di dunia.
Kereta Koenigsegg Agera One:1 itu mampu menghasilkan 1,322 kuasa kuda (bhp) sekali gus lebih pantas daripada kereta McLaren P1, La Ferrari dan Porsche 918 Spyder.
Malah, One:1 yang pertama kali dipamerkan kepada umum pada Pertunjukan Kereta Geneva kali ke-84 di Geneva, Switzerland yang kini sedang berlangsung juga lebih laju berbanding kereta Bugatti Veyron Super Sport yang mempunyai 1,322 bhp.
Menurut Koenigsegg, kereta sports terbaharu itu mampu mencecah kelajuan maksimum 436.8 kilometer sejam (km/j).
Sebelum ini, rekod kereta kegunaan jalan raya paling laju menjadi milik Hennessey Venom GT dan Veyron Super Sport dengan setiap kenderaan itu masing-masing mencatat kelajuan 432 km/j dan 428.8 km/j.
"Kelajuan tinggi ini mampu dicapai dengan kombinasi casis gentian fiber, reka bentuk aerodinamik dan tayar yang kukuh," menurut kenyataan Koenigsegg.
Namun, syarikat Koenigsegg masih belum mengumumkan harga kereta tersebut.
Pertunjukan Kereta Geneva berlangsung dari 6 hingga 16 Mac depan.

Facebook mahu beli firma pembuat dron

Posted: 05 Mar 2014 07:41 PM PST




GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan sebuah pesawat Solara 50 keluaran Titan Aerospace.


NEW YORK - Laman jaringan sosial Facebook kini dalam perbincangan untuk membeli sebuah firma pembuat dron berkuasa solar, Titan Aerospace, menurut laporan blog teknologi Techcrunch dan laman berita kewangan CNBC.
Memetik kenyataan kedua-dua laman web berkenaan melaporkan pembelian tersebut melibatkan urusniaga berjumlah AS$60 juta (RM196.2 juta).
Jurucakap kedua-dua firma berkenaan enggan mengulas berhubung laporan itu.
Namun, menurut laporan berkenaan, pembelian itu selaras dengan matlamat projek internet Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg untuk menghubungkan lebih lima bilion penduduk dunia yang masih belum berhubung menerusi internet.
Menurut data terkini, penduduk dunia kini dianggarkan mencecah tujuh bilion orang.
Dron- dron berkuasa solar itu akan dilancarkan ke atmosfera Bumi untuk berfungsi sebagai satelit pemancar wi-fi di kawasan pedalaman seluruh dunia.

Remaja wanita bantu saintis kaji kanser hati

Posted: 05 Mar 2014 07:39 PM PST





NEW YORK - Seorang remaja perempuan di Amerika Syarikat (AS) yang pulih daripada penyakit kanser hati kini membantu para saintis dalam satu kajian saintifik yang mungkin satu hari nanti menemui penawar untuk penyakit berbahaya itu, lapor portal berita perubatan Medical Daily kelmarin.
Remaja tersebut, Elana Simon, (gambar) 18, disahkan menghidap kanser hati yang jarang berlaku dalam kalangan manusia ketika berusia 12 tahun.
Dia dianggap antara individu yang bertuah kerana berjaya sembuh daripada penyakit berkenaan selepas menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian hatinya.
Penyakit itu tiada penawar menyebabkan pembedahan merupakan satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa si pesakit.
Beberapa tahun selepas bebas daripada penyakit berkenaan, Simon menggunakan kemahirannya dalam bidang sains komputer yang dipelajari di sekolah untuk mengasingkan beribu-ribu data bagi mencari satu pembayang apa yang menyebabkan sel-sel kanser menjadi aktif.
Teknik yang digunakan remaja itu kemudiannya dibuktikan berkesan apabila dia berjaya mengasingkan satu mutasi genetik yang dipercayai menjadi punca kanser hati yang sering menyerang remaja dan orang dewasa yang masih muda.
Simon yang merupakan seorang penari dan akrobat berkata, dia tidak percaya mampu melakukan perkara itu.
Remaja itu kini yang akan belajar di Universiti Harvard di AS dalam bidang sains komputer menyertai satu kumpulan saintis yang turut disertai bapanya, Dr. Sanford Simon iaitu seorang saintis di Universiti Rockefeller.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu pada minggu lalu, mereka berjaya menemui satu keanehan apabila satu bahan genetik yang terputus bersambung dengan gen yang lain.
Keadaan itu menyebabkan satu protein tidak normal yang terbentuk di dalam tisu kanser dan bukannya di dalam tisu hati.
Kumpulan penyelidik itu menyatakan kemungkinan itu yang menyebabkan sel kanser membesar.
Laporan itu juga menyebut mereka menjumpai kesemua keadaan itu dalam sejumlah 15 sel kanser yang mereka uji setakat ini.
Dr. Simon berkata, kajian itu masih di peringkat awal dan lebih banyak kajian diperlu dilakukan.


Mendokumentasi khazanah negara

Posted: 05 Mar 2014 07:38 PM PST


SARAWAK Chamber di Taman Negara Mulu mempunyai ruang bawah tanah terbesar di dunia hingga mampu menampung 40 buah kapal terbang Boeing 747.


HANYA 30 minit lagi, kakinya akan menjejak ke Taman Negara Mulu selepas menaiki penerbangan dari Miri, Sarawak.
Meskipun sudah lima kali berkunjung ke Mulu, Diana Rose, 40, masih teruja dan bersedia menerokanya semula.
Apa yang pasti, Diana mahu menikmati keindahan alam semula jadi di samping menyaksikan semula contoh terbaik luluhawa batu kapur tropika termasuk kawasan rabung batu kapur yang tajam, ngarai dan curam hingga digelar sebagai The Pinnacles itu.
Menariknya, kata Diana, taman negara tersebut memiliki bentuk geografi yang unik terdiri daripada gua batu kapur, lingkaran air batu yang jernih dan dilitupi oleh hutan dara tropika.
"Taman Negara Mulu bukan hanya untuk orang-orang yang inginkan ketenangan daripada kesibukan kota tetapi sesuai kepada mereka yang menginginkan kegiatan lasak.
"Taman negara ini juga menawarkan pelbagai aktiviti pilihan dalam meneroka keindahan Gunung Mulu termasuk trek mendaki yang sukar tetapi ia sangat berbaloi," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Diana yang berasal dari Mukah memberitahu, taman negara tersebut boleh dikunjungi menggunakan pesawat dari Miri dan terus ke Taman Negara Mulu.
Bagaimanapun, katanya, bagi yang inginkan cabaran, mereka boleh pergi ke Mulu menggunakan jalan lain iaitu menggunakan bot ekspres dari Kuala Baram, Miri ke Marudi dan kemudian ke Taman Negara Mulu.
Ceritanya, bagi yang pertama kali datang ke Mulu, pasti berasa kagum dengan rangkaian-rangkaian gua terpanjang di dunia yang terdapat di Mulu selain Sarawak Chamber iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia hingga mampu menampung 40 buah kapal terbang Boeing 747.

WARISAN Arkeologi Lembah Lenggong yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Ipoh, Perak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.


"Sukar untuk menggambarkan bagaimana perasaan saya ketika pertama kali melawat Gua Rusa iaitu gua yang mempunyai terowong terbesar di dunia.
"Saya juga tertarik dengan Gua Air Jernih iaitu gua paling panjang di Asia Tenggara yang menjadi tempat tinggal berjuta-juta kelawar dan burung layang-layang yang berterbangan keluar menjelang waktu senja," jelasnya.
Begitulah pengalaman mengunjungi tapak warisan semula jadi yang mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu.
Taman Negara Mulu diwartakan sebagai Taman Negara pada 3 Oktober 1974 dan terletak di hulu Sungai Tutuh dengan keluasan 544 kilometer persegi dan ia dikategorikan sebagai warisan ketara di negara ini.
Itu cerita warisan ketara, lain pula ceritanya bagi warisan tidak ketara yang menumpukan kepada soal permainan, bahasa dan persuratan, busana, seni, makanan, lauk-pauk, perubatan tradisional, adat serta budaya.
Makanan warisan
Menurut Pakar Makanan yang juga selebriti, Cef Kamarul Hasni Che Ros, 39, perlu satu tindakan yang lebih ke depan dalam usaha mengangkat makanan-makanan di Malaysia sebagai warisan negara.
Misalnya, nasi lemak, kata Kamarul, makanan tersebut seharusnya sudah diangkat sebagai warisan negara memandangkan ia sudah menjadi makanan ruji kepada seluruh lapisan masyarakat di Malaysia.
"Nasi lemak bukan lagi makanan pilihan, tetapi menjadi makanan wajib seb6agai sarapan pagi di negara ini bahkan hidangan itu turut dimakan pada waktu lain termasuk tengah hari, petang dan malam.
"Jadi, tidak salah jika makanan seumpama ini diangkat sebagai makanan warisan negara. Jangan nanti ada negara lain seperti Singapura, Indonesia mahupun Brunei mendapatkan hak warisan terhadap makanan itu dan akhirnya kita berputih mata," ujarnya.
Kamarul menegaskan, negara lain sentiasa berusaha untuk mengangkat makanan-makanan yang ada di negara mereka sebagai warisan hinggakan ada hidangan yang mengambil sempena nama negara itu sendiri seperti mihun Singapura.
Selain Singapura katanya, Indonesia turut mempunyai nasi lemak yang dipanggil nasi uduk, meskipun ada sedikit perbezaan tapi ia banyak persamaan dengan sajian berkenaan.
"Malaysia selalu terkebelakang dalam soal mengiktiraf atau mendapatkan hak dan paten makanan sebagai warisan negara selain kurang mendokumentasikan khazanah-khazanah seumpama itu.
"Seharusnya, pihak yang bertanggungjawab perlu bekerjasama dengan pemain industri untuk mencari mekanisme bagaimana untuk mengangkat warisan-warisan negara ini," katanya yang turut mencadangkan perlu ada piawaian dan keseragaman dalam usaha untuk menjadikan nasi lemak sebagai warisan tidak ketara itu.

MEK Jah mempersembahkan tarian makyung yang diiktiraf sebagai warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 2005.


Iktiraf
Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Rosnan Abdul Rahman, 41, sependapat dengan Kamarul bahawa warisan negara seharusnya didokumentasi serta dibukukan supaya tidak luntur dek panas, tak lekang dek hujan.
Rosnan yang merupakan satu-satunya pakyung lelaki dalam seni persembahan teater tradisional makyung memberitahu, masih banyak bidang seni dan budaya di negara ini yang belum lagi diangkat atau diiktiraf sebagai warisan negara seperti makyung yang mendapat pengiktirafan daripada UNESCO pada tahun 2005.
Antara kebudayaan dan kesenian yang boleh diangkat sebagai warisan ialah wayang kulit, mek mulung, tarian barongan, tarian asyik, tarian hadrah, gamelan, ghazal, dikir rebana, boria, dikir barat, cak lempung dan sebagainya.
"Makyung misalnya, adalah satu-satunya bentuk kesenian rakyat negara ini yang telah diangkat menjadi antara warisan dunia sekali gus memperlihatkan betapa tinggi nilainya.
"Justeru, kita mahu warisan kesenian dan kebudayaan lain di negara ini turut mendapat pengiktirafan yang sama dan harus dipertahankan dari generasi ke generasi seterusnya," katanya yang pernah mewakili Malaysia mengadakan persembahan di New York, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.
Dalam pada itu, Rosnan menjelaskan, di negara-negara luar terdapat panggung tradisional yang khusus untuk persembahan kebudayaan mereka seperti persembahan opera di China serta kabuki di Jepun yang identitinya dikenali seluruh dunia.
"Di Malaysia, kita tidak ada panggung khas untuk makyung sedangkan ia sudah bertaraf warisan dunia. Saya berharap kita tidak hanya menang pada nama, tetapi kita juga harus menang dalam mempersembahkan warisan budaya sendiri kepada dunia luar," katanya.


Pusat cambah ilmu angkasa

Posted: 05 Mar 2014 07:35 PM PST


TAYANGAN filem baharu, We Are Astromers dipersembahkan sempena ulang tahun Planetarium Negara.


KEDATANGANNYA di Planetarium Negara, Sabtu lalu bukan yang pertama kali. Kunjungan pertamanya ketika berumur 12 tahun iaitu kira-kira tiga tahun lalu atas dasar ingin mengetahui tentang selok-belok dunia sains, terutamanya mengenai angkasa lepas.
Minatnya itu terus bercambah sehingga ke hari ini dengan mengikuti setiap perincian perkembangan sains angkasa di dalam atau luar negara. Bagi Musaddiq Azli Mubarak, 15, ruang pameran khusus untuk sains angkasa lepas itu memberikan pengajaran secara teori dan praktikal dalam bidang sains.
"Banyak boleh dipelajari di sini sebagai contoh program angkasawan negara yang melahirkan angkasawan negara pertama kita. Selain itu, terdapat juga informasi-informasi berkaitan sains angkasa yang terdapat di Planetarium Negara," ujar pelajar Sekolah Tahfiz di Sentul, Kuala Lumpur itu ketika ditemui Infiniti di pusat tersebut baru-baru ini.
Ditemani bapanya, Azli Mubarak Tahir dan ahli keluarga lain, dia turut menzahirkan kekaguman dengan teknologi yang terdapat di Planetarium Negara.
Berukuran 11,148 meter persegi, bangunan berkubah biru itu jelas kelihatan kerana terletak di puncak bukit di Taman Tasik di Jalan Perdana, Kuala Lumpur.
Tumpuan
++.
Dibuka secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia memberi impak positif kepada perkembangan sains angkasa dalam kalangan masyarakat tempatan.
Sehingga kini, ia telah menarik lebih lima juta pengunjung dari dalam dan luar negara. Ia menjadi tumpuan pelancong asing sehingga menjadi lokasi utama dalam senarai lawatan mereka di Malaysia. Bagi warga tempatan, ia merupakan salah satu aktiviti riadah yang bermanfaat kepada anak-anak muda.
"Anak-anak sangat suka berada di sini kerana selain ruang pameran yang menarik, Planetarium Negara turut menyediakan aktiviti interaktif kepada pengunjung," ujar Azli.
Kunjungan kali kedua Azli dan keluarga adalah kerana ajakan oleh anak sulungnya, Musaddiq yang menunjukkan minat dalam bidang sains angkasa.
"Sekurang-kurangnya, mereka dapat belajar sesuatu selepas berada seharian di sini," tambahnya yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat swasta.
Pengetahuan
PLANETARIUM NEGARA menjadi tumpuan aktiviti riadah sambil menimba ilmu sains angkasa.


Bagi Rozila Rafie, seorang guru di Kolej Matrikulasi Selangor, kewujudan Planetarium Negara telah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai isu-isu berkaitan angkasa lepas.
"Jika dibandingkan sebelum penubuhan pusat ini, ramai yang kurang jelas mengenai subjek angkasa. Malah, ramai yang kurang memberikan tumpuan kepada angkasa lepas," ujarnya yang datang bersama sekumpulan rakan kolejnya.
Tambahnya, pusat pendidikan tersebut membuatkan minat pelajar semakin bertambah dan mula menunjukkan kecenderungan kepada bidang sains angkasa.
"Pembelajaran teori di dalam kelas dapat diselarikan dengan pameran yang terdapat di Planetarium Negara," ujarnya.
Rozila berkata, Kolej Matrikulasi Selangor yang terletak di Banting, aktif dalam menghadiri dan menyertai program-program yang dijalankan oleh Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa).
"Malah, penubuhan Pusat Angkasa Negara di Banting turut memberikan impak positif bukan sahaja kepada pelajar, malah ekonomi penduduk setempat juga berkembang dengan baik," ujar Rozila.
Pusat Angkasa Negara di Banting, Selangor siap dibina pada tahun 2005 yang menempatkan Pusat Kawalan Misi (MOC) satelit RazakSAT-1.
Pada masa akan datang, ia akan menempatkan RazakSAT-2 dan Makmal Ujian Optik bagi menjalankan pengujian optikal ke atas satelit RazakSAT-1 atau sebarang komponen optikal satelit pada masa akan datang.
Kesedaran
Sejak ditubuhkan, Planetarium Negara berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti kesedaran kepada masyarakat, malah mengadakan jalinan kerjasama dengan beberapa negara dalam bidang sains dan teknologi angkasa.
Pada tahun 2007, Planetarium Negara dan Jepun menjalankan program-program pendidikan Eksperimen Sains Mikrograviti susulan daripada kejayaan Program Angkasawan Negara.
Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah Try Zero G, Space Seed, Parabolic Flight dan Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket Asia Pasifik.
Selain itu, pusat tersebut menjadi rujukan program-program pendidikan angkasa kepada negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Bercakap mengenai senarai panjang kejayaan 20 tahun Planetarium Negara, tidak lengkap jika tidak melibatkan sejarah yang dicatatkan oleh Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.
Menerusi program Angkasawan Negara yang diadakan pada tahun 2007, beliau menjadi rakyat Malaysia pertama berada di ruang angkasa lepas.
Mengimbas detik bersejarah itu, program bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tersebut telah mendapat penyertaan sebanyak 11,267 orang.
Selepas melalui pelbagai cabaran fizikal dan mental, Dr. Sheikh Musza- phar akhirnya dipilih untuk menyertai misi angkasa itu. Beliau berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Rusia dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia).
Pada masa sama, beliau menjalankan kajian mengenai perkembangan penyakit barah tropika dan mikrob tempatan.
"Tidak dinafikan ia telah mengubah hidup saya kerana berada di ruang angkasa menjadi impian kepada semua orang," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Dia menambah, kejayaan program tersebut telah membuka minda masyarakat, khususnya kanak-kanak untuk mendalami bidang sains.

ANTARA kumpulan pelajar yang meminati bidang sains dan teknologi angkasa berkunjung ke Planetarium Negara baru-baru ini.


Inspirasi
"Kejayaan program angkasawan negara telah memberi inspirasi kepada generasi muda. Jika mereka mempunyai cita-cita untuk menjadi seperti saya, kejarlah impian tersebut sehingga tercapai. Saya juga seperti mereka, maka tiada halangan untuk mencapai impian tersebut," katanya.
Sheikh Muszaphar berkata, negara perlu memberi perhatian serius dalam bidang sains dan teknologi kerana ia memberi manfaat dalam jangka masa yang panjang.
"Seluruh dunia berlumba-lumba untuk menguasai sains dan teknologi kerana melalui bidang tersebut, sesebuah negara akan lebih maju," jelasnya.
Melalui Planetarium Negara juga telah mewujudkan program Mikrosatelit negara TiungSAT pada September 2000. Ia dilancarkan ke ruang angkasa lepas dari Baikanor, Kazakhstan.
Satelit itu membawa tiga misi iaitu pencerapan bumi, uji kaji saintifik Cosmic-Ray Energy Disposition Experiment (CEDEX) dan juga aplikasi komunikasi. Satelit ketiga negara kini sedang dalam rangka pembinaan yang dinamakan RazakSAT-2.
Dalam usia dua dekad itu, Planetarium Negara terus kukuh sebagai pusat pengumpulan maklumat mengenai angkasa lepas.
Penubuhan Pusat Angkasa Negara di Banting dan Pusat Observatori Langkawi (ONL) di Langkawi, Kedah bakal merancakkan lagi perkembangan bidang sains angkasa dalam negara.


Program mantapkan Planetarium Negara

Posted: 05 Mar 2014 07:34 PM PST



DR. SHEIKH MUSZAPHAR berharap generasi muda mendalami menimba ilmu sains, sekali gus mengubah Malaysia ke arah negara maju.


PERANCANGAN awal negara untuk menceburi bidang angkasa dimulakan sejak tahun 1989. Ia dilakukan untuk melonjakkan kedudukan Malaysia yang sedang membangun dan sebagai persediaan kepada pembentukan sebuah negara maju.
Inisiatif itu diharap dapat meningkatkan kefahaman dan pada masa sama memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia dalam bidang sains negara.
Sehingga kini, Planetarium Negara terus memacu bidang sains angkasa dengan peningkatan mutu dan kualiti program agar terus selari dengan perkembangan semasa.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad, beberapa rancangan telah dirangka untuk memantapkan program di Planetarium Negara.
"Antaranya, menjalankan kerjasama dengan pihak Persatuan-Persatuan Astronomi Malaysia selain mengadakan bengkel-bengkel dan program-program pendidikan sains dan teknologi angkasa secara terbuka kepada orang ramai.
"Pada masa sama, pihak Angkasa akan terus giat menerbitkan artikel-artikel berkenaan sains dan teknologi angkasa di media massa," ujarnya.
Beliau menambah, program-program yang dianjurkan oleh Planetarium Negara telah menarik para pengunjung luar dan dalam negara.
Sehubungan dengan sambutan ulang tahun kali ke-20, Planetarium Negara menganjurkan program Malaysia Space Odysses: 20th Years with National Planetarium bagi memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai sejarah dan kejayaan pusat maklumat angkasa lepas itu.
Orang ramai turut berpeluang untuk menyaksikan tayangan baharu, We Are Astromers di skrin berbentuk kubah yang telah dipertingkatkan dengan Full Dome Digital Immersive System (FDS). Ia memberikan imej digital keseluruhan skrin dengan hanya menggunakan sebuah komputer.
Ia boleh disaksikan dengan bayaran RM6 untuk dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak warganegara Malaysia. Pelancong dikenakan bayaran sebanyak RM12 (dewasa) dan RM8 (kanak-kanak).ns angkasa dalam negara.



Hanez Suraya Minta Isteri Kekasihnya Mohon Maaf

Posted: 05 Mar 2014 02:56 AM PST


Hanez akan mengambil tindakan sekiranya isteri kepada lelaki yang dikaitkan dengannya iaitu Nurliyana Abd Manan tidak memohon maaf secara terbuka kerana memfitnah dia sebagai punca keretakan rumah tangga mereka. 
PETALING JAYA: Pelakon Hanez meminta Nurliyana Abd Manan iaitu isteri kepada lelaki yang dikaitkan dengannya memohon maaf secara terbuka kerana memfitnah dia sebagai punca keretakan rumah tangga mereka.
Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz, 30, berkata, jika Nurliyana tidak berbuat demikian, dia akan mengambil tindakan kerana perbuatannya telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang pelakon.
"Selepas saya dan keluarga dihina masyarakat, saya harap dia (Nurliyana) dapat membersihkan nama saya dengan memohon maaf kepada saya secara terbuka.
"Segala dakwaannya mengatakan sayalah menjadi punca keretakan rumah tangga dia dan suaminya langsung tidak benar kerana saya mengenali lelaki berkenaan pada 20 Disember lalu (tiga bulan lalu) sedangkan dia menuduh saya menjalinkan hubungan lapan bulan lepas.
"Kita lihat dulu sejauh mana respons dia mengenai permintaan saya ini dan jika dian tidak membuat seperti yang saya minta, nantilah tindakan saya seterusnya ," katanya.
Hanez berharap namanya dapat dibersihkan daripada sebarang tuduhan merosakkan rumah tangga orang lain.
Hanez ditemui pada sidang media khas yang dianjurkannya bagi menjelaskan isu apabila dia dikatakan bakal berkahwin dengan suami orang.
Sidang media itu diadakan di Hotel One World di sini pada Rabu.
Turut hadir peguam Hanez iaitu Wan Nurliyana Abdul Rahman, pemuda yang dikaitkan dengannya iaitu Romie Razin Adilha, 34, bersama peguamnya, Rubiah Jaffar.
Kontroversi mula tercetus selepas Hanez membuat pengakuan dia bakal berkahwin dengan seorang lelaki berstatus duda yang dikenali sebagai Mr.R dan menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.
Tidak lama kemudian, Hanez telah dihentam oleh seorang individu menerusi laman Instagram miliknya dengan mengatakan kekasih pelakon itu sebenarnya masih suami orang dan mereka belum lagi bercerai.
Romie Razin Adilha lelaki yang dikaitkan dengan Hanez.
Situasi bertambah tegang apabila Nurliyana membuat kenyataan dalam rancangan Melodi terbitan TV3 dan sebuah akhbar pada Ahad lalu yang menuduh Hanez sebagai punca pergolakan rumah tangganya.
Sementara itu Hanez juga menafikan telah bercuti dengan Romie berdua-duaan ke Bangkok, Thailand pada Januari lalu sebaliknya dia ke negara tersebut atas urusan perniagaan bersama lima orang rakan lain.
Dalam sidang media yang sama, Romie pula berasa agak terkejut apabila kontroversi tersebut tersebar selain perbuatan isterinya membuat kenyataan di media.
"Memang saya dan dia belum bercerai tetapi masalah rumah tangga kami sudah lama berlaku. Sebelum saya mengenali Hanez lagi.
"Malah isteri telah memfailkan cerai pada 8 Oktober 2013 dan ini merupakan fail cerai buat kali kedua yang dibuat oleh dia. Saya harap orang ramai tidak menghentam Hanez tanpa sebab lagi," tegasnya.
Hasil perkahwinan Nurliyana dengan Romie Razin, mereka dikurniakan dua orang anak yang berusia antara dua dan lapan tahun.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories