RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Penyanyi popular meriahkan MDF 2014

Posted: 06 Mar 2014 07:15 PM PST



ANTARA barisan penyanyi yang akan menjayakan persembahan sempena MDF 2014 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 dan 30 Mac ini.


PROGRAM Malaysia Distro Fiesta (MDF) 2014 yang buat julung-julung kalinya diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 dan 30 Mac ini bakal menghimpunkan 500 pengusaha Distro dari seluruh negara anjuran Postoman Industries.
Distro, singkatan kepada Distribution Store atau Distribution Outlet merupakan sebuah aktiviti menjual pakaian, aksesori dan barangan kraf yang diusahakan oleh golongan remaja menerusi perusahaan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
Pengarah Urusan Postoman Industries, Sharill Mohamad berkata, matlamat utama program berkenaan ialah untuk menyediakan platform kepada pengusaha Distro untuk menjual produk masing-masing dalam suasana santai dan menghiburkan.
"Bagi memeriahkan lagi MDF 2014 ini, kami telah mengundang seramai 30 selebriti popular, termasuk pemuzik underground yang akan membuat persembahan sepanjang dua hari program berlangsung.
"Selain menghiburkan pengunjung yang datang, mereka juga akan meluangkan masa untuk bermesra bersama peminat dan berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang muzik," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran yang diadakan di VCR Cafe, Pudu, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara barisan artis yang memeriahkan program berkenaan seperti Monoloque, Radhi (OAG), Tilu, Caprice, Reza Salleh, Yuka Kharisma, Lokman Aslam, Mafarikha, Mafarikha, Daly Filsuf dan Delisha.
Program yang baru kali pertama dianjurkan itu turut mendapat kerjasama daripada Malaysian Buskers Club, Achtung KL, Youth Buzzr, Underboss, Alibi Music, Terbang Concept dan Fotografia De Lyzard & Switchbox Development.
Menurut Sharill, untuk memeriahkan lagi program, terdapat beberapa acara lain yang disediakan kepada pengunjung seperti pertandingan Doodle, Graffiti Show, Underboss X-treme Sport, Mob Fest Autoshow, demonstrasi Set & Run Silk Screen, pertunjukkan fesyen dan pertunjukkan melukis batik.
Bercerita lebih lanjut tentang MDF 2014, Sharill menjelaskan dengan platform yang disediakan ini dapat membantu pengeluar produk mempromosikan barangan mereka kepada pengunjung yang datang.
Ujarnya, menerusi program ini juga ia mampu meningkatkan lagi mutu dan kualiti barangan Distro tempatan dan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peniaga.
"Sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke program ini, kami mengambil langkah untuk mengundang selebriti popular tanah air membuat persembahan sebagai salah satu tarikan.
"Menariknya, terdapat juga beberapa orang selebriti yang berminat untuk menjual produk keluaran sendiri seperti Mizz Nina," jelasnya.
Meskipun baru kali pertama dianjurkan, dia menganggarkan seramai 50,000 pengunjung yang akan hadir sepanjang tempoh dua hari MDF 2014 berlangsung.


Hilang ditonton 500,000 kali

Posted: 06 Mar 2014 07:14 PM PST

NAJWA berazam untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.


SETELAH menjadikan cabang media baharu, YouTube sebagai platfom untuk mengetengahkan bakat dalam bidang nyanyian sejak tiga tahun lalu, Najwa Latif kini semakin matang dalam bidang nyanyian.
Kematangan tersebut dapat dilihat daripada segi susunan muzik dan gubahan lagu yang ditampilkan melalui single terbaharunya, Hilang.
Lagu rentak rock yang digunakan sebagai penambah perasa kepada single tersebut dilihat agak lari daripada konsep sebenar yang dibawa oleh Najwa sebelum ini iaitu akustik dan pop.
Percubaan tersebut dilihat berjaya setelah Hilang kini telah ditonton sehingga 500,000 kali sejak ia dimuat naik di dalam akaun YouTube penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor itu sejak bulan Februari tahun ini.
Gadis yang pernah popular menerusi lagu Cinta Muka Buku itu berkata, dia suka bereksperimentasi dan mencuba genre baharu dalam bidang muzik.
"Saya tidak mahu terikat kepada satu genre sahaja. Jadi, saya ingin meneroka genre baharu sesuai dengan perubahan semasa dan sekali gus bertindak sebagai pemangkin karier saya.
"Bagaimanapun, saya masih memperjuangkan genre akustik dan pop kerana ia telah sebati dengan saya," ujarnya ketika ditemui pada majlis Forum Young Money Entrepreneurship Day Itinerary di Kolej SEGi, Kota Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Wang Lee Hom
Dalam pada itu, penyanyi berusia 19 tahun itu kini sedang sibuk dengan proses menyiapkan album keduanya yang dijangka akan diterbitkan menjelang hujung tahun ini.
"Saya kini sedang sibuk menyiapkan album kedua. Album tersebut yang memuatkan sepuluh lagu itu kini hampir 80 peratus siap.
FIGURA comel ini dalam proses menyiapkan album terbarunya.


"Menarik mengenai album kedua ini adalah ia merupakan album pertama yang memuatkan lagu Inggeris pertama saya iaitu Only Yours dan lagu berbahasa
Mandarin, Ni Bu Zhe Dao De Shi nyanyian asal penyanyi terkenal China, Wang Lee Hom," ujarnya.
Ditebak dengan soalan mengenai kenapa memilih lagu Inggeris untuk dimuatkan dalam album terbaharunya, pemilik nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif itu berkata, dia sudah lama teringin untuk menerbitkan lagu Inggerisnya sendiri.
"Lagu Only Yours sebenarnya sudah lama disiapkan sejak saya umur 16 tahun lagi, tetapi saya masih menunggu masa yang sesuai. Ini kerana saya ingin peminat mengenali saya menerusi lagu-lagu berbahasa Melayu terlebih dahulu.
"Di samping itu, lagu Mandarin yang dipopularkan oleh Wang Lee Hom juga turut dimuatkan mengikut gaya dan penyampaian saya sendiri," ujarnya.
Mengulas mengenai pembahagian masa antara bidang pelajaran dan pengajiannya, Najwa berkata buat masa sekarang dia cuba untuk seimbangkan kedua-dua bidang tersebut.
"Bidang nyanyian merupakan hobi dan minat saya tetapi pada masa yang sama, saya akui pelajaran sangat penting untuk masa depan saya.
"Saya juga akan berusaha untuk seimbangkan antara bidang pelajaran dan nyanyian walaupun saya sedar suatu hari nanti saya terpaksa memilih hanya satu bidang sahaja. Saya juga akan tetap menyanyi selagi peminat menghargai muzik saya," tuturnya.
Dalam perkembangan yang sama, Najwa kini berada pada tahun akhir pengajiannya dalam bidang asas pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya, Selangor.
"Insya-Allah, saya akan tamat pengajian pada tahun ini dan akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi untuk mencapai cita-cita saya bergelar pensyarah bahasa Inggeris.
"Saya akui agak penting untuk mempunyai latar belakang pelajaran dan bersiap sedia demi masa hadapan saya," ujar pelantun lagu Kosong itu.
Dalam pada itu, Najwa juga kini sibuk dengan jemputan nyanyian di Malaysia dan luar negara termasuk di Kluang Mall, Johor dan Brunei pada hujung minggu ini.


Ungu hampir berkubur

Posted: 06 Mar 2014 07:13 PM PST




SEJAK ditubuhkan pada tahun 1996, Ungu merupakan antara band yang masih lagi terus mampu menambat hati para peminat, terutamanya di Indonesia dan Malaysia dengan barisan lagu-lagu yang menjadi siulan ramai.
Di sebalik kegemilangan yang dinikmati Pasha (vokalis), Makki (bass), Oncy (gitar), Enda (gitar) dan Rowman (drum) sepanjang 17 tahun bersama dengan membawa nama Ungu berada dalam kelas tersendiri, sebenarnya band berkenaan hampir menjadi sejarah dahulu.
Itulah yang didedahkan oleh salah seorang anggotanya, Franco Medjaya Kusumah atau Enda pada sidang akhbar konsert Ungu Tercipta Untukku di Hotel Vivatel, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini apabila ditanya tentang cabaran yang pernah ditempuhi mereka sepanjang berkecimpung dalam arena muzik.
"Dua album terawal Ungu kurang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat dan ia memberikan tekanan kepada kami.
"Kemudian keputusan diambil untuk menukar haluan dan bernaung dengan syarikat rakaman baharu.
"Pada tahun 2005, kami muncul dengan album terbaharu berjudul Melayang bersama syarikat pengurusan baharu dan bertekad sekiranya album ini gagal, kami akan berpecah.
"Tidak sangka pula lagu berjudul Demi Waktu yang terdapat dalam album ini mendapat sambutan hebat," dedahnya.
Mengenai rahsia tentang kebangkitan yang dilalui mereka sehingga menjadi kegilaan peminat, Enda memberitahu salah satu faktornya ialah sentiasa bersabar dan mempunyai semangat juang yang tinggi.

PADA akhir tahun ini, Ungu bakal mengadakan siri jelajah di beberapa buah negara seperti Malaysia, Singapura, Hong Kong, Jepun dan Australia.


Tidak menyembunyikan bahawa pernah wujud pertelingkahan sesama ahli sehingga memberikan tekanan yang hebat kepada mereka, segala masalah yang timbul cuba diatasi dengan sebaik mungkin demi meneruskan perjuangan dalam dunia muzik.
"Bukan mudah untuk kami terus kekal bersama sehingga ke hari ini, tetapi persahabatan yang terjalin sejak sekian lama banyak membantu kami dengan selalu melakukan perbincangan demi kebaikan kumpulan Ungu.
"Selain itu, menghasilkan karya yang bermutu dengan lagu-lagu yang dapat diterima pendengar juga memainkan peranan utama untuk kami terus kekal. Tidak dilupakan para peminat yang tidak jemu memberikan sokongan," jelasnya.
Berbicara lanjut tentang perkembangan terbaharu mereka pula, Pasha pula mencelah dengan memberitahu bahawa mereka kini sedang dalam persiapan menghasilkan album baharu yang akan dilancarkan pada bulan Jun ini.
Menurut Pasha, berbanding dengan album Ungu yang pernah dihasilkan, kelainan yang akan ditampilkan kali ini ialah setiap lagu yang dirakamkan mereka akan menampilkan penerbit yang berbeza.
"Dalam album baharu kami mengandungi sebanyak 12 buah lagu baharu dan ini bermakna seramai 12 penerbit berbeza akan terlibat dalam pembikinan album ini dan sudah tentu ia sesuatu yang cukup istimewa.
"Segala persiapan kini sedang berjalan dengan lancar dan kalau tiada halangan album berkenaan akan dilancarkan pada bulan Jun ini.
"Kalau tiada halangan kami juga akan datang ke Malaysia untuk melancarkannya khusus buat peminat di sini," ujar pemilik nama sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said itu.
PASHA memberitahu sekiranya tidak menjadi penyanyi, dia mungkin terlibat dalam bidang politik.


Siri jelajah
Selain sedang sibuk dengan pembikinan album baharu, Pasha menyatakan mereka turut merancang untuk mengadakan konsert siri jelajah di beberapa buah negara pada akhir tahun ini.
Jelasnya, siri jelajah yang dirancang mereka itu dilakukan sebagai hadiah istimewa mereka buat para peminat sempena meraikan ulang tahun penubuhan Ungu yang ke-17.
"Beberapa buah negara telah dipilih untuk menjayakan konsert siri jelajah ini seperti Malaysia, Singapura, Hong Kong, Jepun dan Australia. Pemilihan lokasi ini dibuat atas permintaan daripada peminat Ungu di negara-negara tersebut.
"Kami sasar siri jelajah ini akan dilaksanakan pada hujung tahun kerana mahu memberi tumpuan kepada pembikinan album baharu Ungu terlebih dahulu. Setelah semuanya selesai barulah kami akan membuat persiapan untuk konsert siri jelajah pula," ujarnya.
Bagi meraikan ulang tahun penubuhan band berkenaan, Pasha berkata, syarikat rakaman mereka iaitu Suria Records telah menghasilkan sebuah box set versi platinum yang mengandungi 11 buah album Ungu, buku tentang perjalanan Ungu selama 17 tahun dan foto eksklusif mereka.
"Box set berkenaan hanya dihasilkan sebanyak 170 buah sahaja dan ia sudah pun habis dijual sekarang. Setiap box set yang dijual itu turut disertakan dengan nombor siri yang bermula dengan angka satu hingga 170," jelasnya.

PASHA turut mendedangkan lagu terbaharu, Bila Tiba yang akan dimuatkan dalam album baharu Ungu pada bulan Jun ini.


Dua bulan
Bercerita tentang konsert Ungu Tercipta Untukku yang berlangsung di Star Stage @ Kenangan Wholesale Centre, Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu, Pasha meluahkan rasa terharunya kerana masih mendapat undangan mengadakan persembahan di Malaysia.
Ujarnya, pada peringkat awal wujud perasaan bimbang dalam dirinya serta anggota Ungu yang lain sekiranya timbul sebarang masalah yang akan membuatkan konsert berkenaan dibatalkan pada saat-saat akhir.
"Sudah tentu kami berasa risau memandangkan persiapan sudah dilakukan sejak dua bulan lalu. Namun begitu, perasaan risau itu akhirnya hilang setelah kami menjejakkan kaki ke Malaysia.
"Sejujurnya, kami tidak pernah bosan mengadakan persembahan di Malaysia kerana para peminat yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan kami. Lagipun sambutan yang diterima agak menggalakkan setiap kali kami menghiburkan peminat di sini," jelasnya.
Baru sahaja selesai mengadakan konsert di Esplande, Singapura kira-kira seminggu sebelum kehadiran mereka ke Malaysia, penyanyi itu memberitahu, Ungu akan meneruskan konsert mereka di Medan, Indonesia selepas kunjungan mereka ke negara ini.


Aznil minta bukti dirinya diva

Posted: 06 Mar 2014 07:12 PM PST

AZNIL menepis dakwaan yang mengatakan dia kini semakin diva.


SELAMA 14 tahun Datuk Aznil Nawawi mengutip pengalaman dalam dunia pengacaraan sebelum menerima anugerah pertamanya dalam bidang tersebut.
Nama Aznil atau Pak Nil popular apabila beliau mengacarakan rancangan hiburan Pop Kuiz pada tahun 1992. Malah, aura pengacaraan Aznil semakin menyerlah apabila dia mengacarakan program Melodi. Selepas itu Aznil menerima gelaran pengacara nombor satu di Malaysia.
Beliau kemudiannya menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, awal Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, selepas menerima gelaran Datuk, ada suara-suara sumbang yang mendakwa Aznil, 52, semakin diva.
Berpeluang bertemu dengannya ketika sesi fotografi bersama peserta-peserta program On Air di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! bertanya lebih lanjut mengenai hal itu kepadanya.
Kosmo!: Boleh cerita mengenai peserta-peserta On Air di bawah pengurusan Pak Nil?
AZNIL: Musim pertama uji bakat program TV On Air saya buat di beberapa buah negeri. Dapat 20 orang dan 10 orang telah disenarai pendek. Sekarang mereka bekerja sebagai penyampai berita dan juga pengacara program. Bagi musim kedua pula, saya buat uji bakat di London dengan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di sana.
Kenapakah untuk musim kedua On Air, Pak Nil buat sesi uji bakat di luar negara?
Saya ambil keputusan untuk buat uji bakat di sana (London) kerana saya mahukan pelapis-pelapis dalam bidang pengacaraan yang mempunyai latar belakang bidang profesional. Mereka mempunyai latar belakang pelajaran berbeza seperti jurutera, peguam dan doktor. Pemikiran mereka juga berbeza dan cara mereka bercakap juga berilmiah dan sangat pandai. Paling penting mereka ada potensi dan pakej sebagai pengacara.
Ia secara tidak langsung memberikan satu lagi tanda aras baharu untuk bidang pengacaraan. Sebelum ini pengacara yang mempunyai latar belakang dalam bidang profesional sangat kurang.
Pemikiran berbeza yang bagaimana Pak Nil maksudkan?
Mereka boleh cakap semua topik. Contohnya, hiburan. Mereka pandang hiburan dalam sudut yang berbeza. Kita perlukan pandangan berbeza itu.
Apakah yang Pak Nil dapat salurkan kepada mereka?
Saya ajar mereka macam mana aspek dan disiplin dalam bidang pengacaraan. Macam mana bercakap di depan kamera. Juga, saya ajar mereka macam mana buat pengucapan awam. Bukan itu sahaja, mereka juga turut diajar bagaimana menjadi penyampai radio, TV. Dan bagaimana mengendalikan program berbentuk hiburan atau kanak-kanak.
Berapa lamakah tempoh peserta-peserta On Air mendapat tunjuk ajar daripada Pak Nil?
Saya mengumpul pengalaman selama 14 tahun dalam dunia pengacaraan sebelum mendapat anugerah yang pertama. Tempoh 14 tahun merupakan perjalanan yang jauh. Jadi, saya cakap dengan mereka, saya tidak ada masa yang panjang untuk menunggu kejayaan mereka. Sekarangpun, saya sudah berumur 52 tahun. Saya tidak ada masa selama 14 tahun untuk menunggu kejayaan mereka.
Saya kutip sendiri pengalaman selama 14 tahun dalam dunia pengacaraan. Saya ambil sedikit demi sedikit tanpa ada panduan daripada sesiapa. Selain daripada nasihat dan tunjuk ajar daripada senior.
Mereka hanya menjalani latihan secara khusus selama enam bulan. Antara lain yang kita ajar adalah teknik lakonan, vokal, penjagaan tata hias dan kelas interaksi sosial media. Itu antara silibus yang saya perkenalkan. Itu sebabnya mereka kena cepat belajar.
Apakah intipati untuk melahirkan seorang pengacara seperti Pak Nil?
Tujuan On Air adalah untuk mencari pengacara generasi baharu yang saya lahirkan. Saya gunakan formula kejayaan saya untuk mereka. Seperti, bagaimana caranya membawa diri dalam khalayak, cara pemakaian, cara disiplin kerja, cara kita berinteraksi dan cara kita menjadi pengacara. Ia satu pakej yang menyeluruh.
Apakah harapan Pak Nil kepada peserta-peserta On Air ini?
Ada sesetengah daripada peserta pandai bertutur dalam bahasa Inggeris. Saya fikir mahu pasarkan mereka untuk Asian News Network atau CNN. Jadi bukan fokus pada pasaran Malaysia sahaja tetapi serantau. Dan yang penting, saya mahu lahirkan mereka sebagai bintang bukan pengacara semata-mata. Saya mahu pengacara saya ada aura dan pesona untuk menjadi bintang.
Beralih pada soalan lain, ada timbul beberapa cerita mengatakan Pak Nil semakin diva. Lebih-lebih lagi selepas menerima gelaran Datuk. Komen?
Bagi saya contoh apa. Bagi saya contoh insiden yang menunjukkan saya berkelakuan diva. Maknanya tidak ada. Kecuali ada berlaku insiden yang menunjukkan saya seorang diva.


Pertembungan kuasa besar

Posted: 06 Mar 2014 07:03 PM PST




CRIMEA, sebuah semenanjung yang terletak di lokasi strategik mengunjur ke Laut Hitam telah dianugerahkan oleh pemimpin Soviet kepada Ukraine dan diberikan taraf pemerintahan autonomi 60 tahun lalu.
Bagaimanapun, wilayah tersebut kini berdepan krisis yang boleh membawa kepada peperangan antara Rusia dengan Ukraine dan kuasa besar Barat pada bila-bila masa sahaja.
Sebenarnya, Semenanjung Crimea merupakan destinasi popular untuk percutian, namun di situ juga terletaknya pangkalan utama Armada Laut Hitam Rusia. Majoriti penduduk di wilayah tersebut ialah etnik Rusia.
Kebanyakan mereka melahirkan kebimbangan terhadap pemimpin baharu di ibu kota Kiev, Ukraine iaitu kira-kira 650 kilometer ke utara Crimea yang pro-Barat.
Ketegangan mula tercetus apabila bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych, yang digulingkan minggu lalu, didakwa melakukan keganasan polis ke atas penunjuk perasaan hingga mengakibatkan kematian lebih 100 penduduk awam Ukraine.
Disebabkan penggulingan pemimpin yang dipercayai pro-Rusia itu, timbul desakan daripada penduduk dalam kalangan etnik Rusia supaya wilayah autonomi tersebut menarik diri atau keluar dari Ukraine.
Konflik di Ukraine semakin memuncak selepas anggota-anggota Parlimen memilih Oleksandr Turchynovse sebagai presiden sementara. Beliau dilantik bagi menggantikan Yanukovych yang telah melarikan diri selepas menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik akibat pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan.
Kawasan penting
Bagaimanapun, bekas Presiden itu diabaikan oleh Kesatuan Eropah (EU) menyebabkannya memihak dan menjalinkan hubungan lebih rapat dengan Kremlin. Para penunjuk perasaan pula menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan EU.
PIHAK polis menahan seorang penunjuk perasaan di Manezhnaya Square, Moscow, pada 2 Mac lalu setelah melakukan bantahan atas tindakan ketenteraan oleh Rusia di Crimea.


Sementara itu, wilayah Crimea yang keluasannya kira-kira saiz Belgium (32,545 kilometer persegi) merupakan kawasan penting pertanian dan pengeluaran wain di samping kaya dengan ladang tembakau.
Crimea turut menjadi destinasi pelancongan popular kerana iklim cuaca subtropika dan banyak pusat peranginan di tepi laut.
Bagaimanapun, sejarah Crimea yang penuh dengan serangan dan penaklukan bermula daripada puak Hun kepada Yunani Byzantine dan Turki Uthmaniah yang memasuki wilayah yang subur itu menerusi laluan tepi pantai sejak beratus tahun dahulu.
Moscow (Rusia) pula memulakan pemerintahan di wilayah berkenaan pada abad ke-18 dengan mewujudkan Armada Laut Hitam pada tahun 1783 di selatan Semenanjung Crimea yang pada hari ini dikenali sebagai Sevastopol.
Pemerintahan di wilayah berkenaan berlanjutan ke era Kesatuan Soviet tanpa sebarang gangguan kecuali ketika zaman penjajahan Jerman semasa Perang Dunia Kedua.
Pada penghujung peperangan iaitu Mei 1944, pemimpin Soviet, Joseph Stalin telah mengusir seluruh penduduk Muslim Tatar yang telah hidup di Crimea selama berabad lamanya.
Stalin menuduh penduduk yang diusir ke Asia Tengah dan beberapa kawasan terpencil dari Kesatuan Soviet itu telah bekerjasama dengan pihak Nazi Jerman.
Menyerahkan
Kira-kira 45 peratus daripada jumlah penduduk Muslim Tatar terkorban pada tahun 1944 hingga 1945 disebabkan penyakit, keletihan dan kelaparan ketika dalam perjalanan keluar dari Crimea.
Para pemimpin Perang Dunia Kedua iaitu Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt; Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan Stalin pernah berkumpul di Istana Livadia, pusat peranginan pantai di Yalta, Crimea pada Februari 1945 bagi memutuskan keadaan Eropah selepas perang.

DUA penunjuk perasaan pro-Rusia memakai baju dengan gambar Putin bagi menunjukkan sokongan terhadap tindakan ketenteraan di Ukraine.


Selepas Stalin meninggal dunia pada tahun 1953, pemimpin Soviet yang seterusnya, Nikita Khrushchev telah menyerahkan Crimea sebagai 'hadiah' kepada Ukraine dalam satu tindakan mengejut pada tahun 1954.
Tindakan tersebut tidak memberi makna besar pada zaman tersebut memandangkan kedua-dua negara, Rusia dan Ukraine adalah negara di bawah Kesatuan Soviet.
Bagaimanapun, tindakan itu menampakkan signifikan penting apabila Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1991 manakala Moscow mempunyai Armada Laut Hitam Rusia di sebuah negara merdeka yang dikenali sebagai Republik Autonomi Crimea itu.
Pada tahun tersebut, tentera Muslim Tatar yang diusir sebelum itu telah pulang semula ke Crimea hingga membentuk lebih 12 peratus daripada jumlah penduduk di wilayah berkenaan. Ekoran bimbang terhadap pengaruh dari Moscow, masyarakat Muslim Tatar ini cenderung untuk menyokong demonstrasi anti-Yanukovych (bekas Presiden Ukraine) yang meletus di Kiev.
Sementara, etnik Rusia yang pada hari ini menyumbang 59 peratus daripada penduduk Crimea pula berkiblatkan Moscow manakala 24 peratus lagi adalah etnik Ukraine menjadikan konflik di wilayah tersebut semakin rumit.
Selain itu, isu Armada Laut Hitam Rusia di Sevastopol telah menjadi duri dalam daging kepada hubungan antara Ukraine dan Rusia sejak keruntuhan Kesatuan Soviet.
Pelabuhan tersebut dianggap penting kepada Rusia memandangkan ia menyediakan akses segera ke timur Mediterranean, negara Balkan dan Timur Tengah.
Pada tahun 2010, selepas bertahun-tahun melalui rundingan yang rumit, Ukraine telah bersetuju untuk melanjutkan pajakan pelabuhan Sevastopol sehingga tahun 2042 kepada Moscow. Persetujuan itu adalah sebagai pertukaran untuk pengurangan 30 peratus harga gas Rusia memandangkan Ukraine bergantung kepada keperluan tenaga yang banyak.
Bagaimanpun, Rusia masih bimbang terhadap pergantungannya terhadap Ukraine, malah tidak gembira dengan beberapa syarat yang dikenakan dalam perjanjian berkenaan. Ia termasuk keperluan untuk mendapatkan kebenaran Ukraine setiap kali Moscow mahu menaik taraf atau menggantikan kapal di Sevastopol.

SUASANA perkhemahan penunjuk perasaan di Dataran Kemerdekaan di tengah-tengah bandar Kiev, Ukraine.


Pelabuhan baharu
Disebabkan itu, sejak tahun 2008, Rusia telah memperuntukkan kewangan untuk membina pelabuhan baharu di wilayah sendiri di Novorossiysk dalam Crimea dengan rancangan untuk menjadikannya kawasan perkapalan utama baharu.
"Apa yang pasti, terdapat sebab-sebab politik dan etnobudaya menjadi alasan Moscow untuk mengekalkan pengaruhnya di Crimea.
"Namun, ia semata-mata kepentingan tentera dan lokasi strategik Sevastopol. Sebenarnya kawasan tersebut sudah lemah sejak bertahun-tahun kebelakangan ini," ujar pengkaji Institut Strategik Antarabangsa London, Christian Le Miere minggu ini.
Sementara itu, kerajaan Ukraine mula berada selangkah ke dunia peperangan selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan beliau mempunyai hak untuk menceroboh Semenanjung Crimea.
Ketegangan yang berlaku melibatkan Ukraine dengan Rusia dan Barat itu dianggap yang paling buruk sejak Perang Dingin berakhir.
Putin memperoleh kebenaran daripada anggota-anggota Parlimen negaranya untuk melindungi warga Rusia di Ukraine selepas krisis politik berlaku di negara tersebut.
Malah, tentera Rusia telah menawan Crimea dan turut mengepung beberapa buah pusat ketenteraan Ukraine serta menuntut tentera negara itu meletakkan senjata.
Justeru, Majlis Keselamatan Ukraine mengarahkan para pegawainya memastikan semua askar diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk berdepan sebarang pertempuran.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyuarakan kebimbangan berhubung pencerobohan Rusia ke dalam wilayah Ukraine.
Menurut White House, Rusia jelas melanggar undang-undang antarabangsa kerana telah menceroboh wilayah Ukraine.


Jualan amal kutip dana

Posted: 06 Mar 2014 07:02 PM PST



SEJAK di bangku sekolah lagi anak-anak kecil telah didedahkan dengan amalan membantu dan merawat mereka yang memerlukan pertolongan menerusi unit beruniform Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
Bukan sahaja diajar cara-cara mencuci luka, malah para pelajar turut diberi pengetahuan asas tentang cara menyelamatkan nyawa seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR). Pengetahuan pertolongan cemas yang diterapkan oleh BSMM itu merupakan antara persiapan terpenting dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan termasuk kemalangan.
Tahun ini, BSMM yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Persatuan Palang Merah, sudah berusia 56 tahun. Sungguhpun demikian, namanya tetap utuh sebagai badan penggerak yang menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia.
Bukan sekadar menyediakan perkhidmatan ambulans dan kesihatan, menganjurkan inisiatif kutipan darah serta pengurusan bencana, organisasi tersebut tanpa henti meneruskan usaha membantu golongan yang memerlukan.
Sehubungan itu, pada 26 Januari dan 23 Februari lalu, BSMM telah menganjurkan jualan amal di Laman Lanai di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang menerapkan nilai membeli sambil menderma dalam kalangan masyarakat.
Turut turun padang dan meninjau sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai itu ialah Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tunku Tan Sri Shahriman Tunku Sulaiman dan Timbalan Kebangsaan BSMM, Datuk Dr. Noordin Ab. Razak.
SHARIZAN (tengah) mempelajari teknik CPR dengan bantuan ahli paramedik.


Mengumpul dana
Menurut Tunku Shahriman, acara tersebut merupakan aktiviti yang sering dijalankan oleh BSMM bagi mengumpul dana.
"Pada hari ini, terlalu banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan sokongan dan bantuan. Ia adalah suatu fenomena yang sihat.
"Bagaimanapun, situasi tersebut telah mewujudkan persaingan dalam memperoleh dana, terutamanya kepada BSMM. Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, pihak kami kerap menjalankan aktiviti luar yang melibatkan orang ramai," katanya ketika ditemui Kosmo! pada jualan amal itu baru-baru ini.
Acara dua hari itu menawarkan pakaian baharu yang disumbangkan oleh pengeluar jenama pakaian popular, kasut, aksesori, peralatan karaoke, alat permainan kanak-kanak, kit pertolongan cemas, makanan dan minuman.
Menurut Tunku Shahriman, acara jualan amal tersebut juga merupakan suatu bentuk perolehan dana yang tepat kerana ia mewujudkan situasi menang- menang kepada kesemua pihak terlibat.
Mengulas lanjut tentang cabaran yang dipikul BSMM pada hari ini, katanya, pihaknya akan terus menyumbangkan bakti kepada masyarakat setempat dan antarabangsa selain menjalankan aktiviti-aktiviti yang mampu menyediakan dana untuk kumpulan sasar.
Antara bentuk kutipan lain dilakukan BSMM ialah menyewakan dewan bangunan miliknya yang terletak berdekatan Jalan Belfield, Kuala Lumpur kepada orang awam dan menyediakan perkhidmatan pertolongan cemas pada acara-acara besar.

WALAUPUN usia penubuhan sudah mencecah lima dekad, BSMM tidak pernah berhenti daripada menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


Dalam pada itu, seorang pengunjung, Norzainah Mohd. Isa, 51, berkata, penganjuran acara itu secara tidak langsung memberi peluang kepadanya untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Kita sering melihat berita di televisyen menyeru masyarakat untuk sama-sama meringankan beban individu atau komuniti tertentu, namun kekangan masa, terutamanya bagi mereka yang bekerja menjadi faktor penghalang.
"Jadi, aktiviti jualan amal ini merupakan kaedah paling berkesan kerana di samping membeli barang keperluan, secara tidak langsung saya juga dapat menderma kepada dana BSMM," katanya yang telah membeli dua helai seluar.
CPR
Norzainah mengunjungi acara itu setelah dimaklumkan oleh rakan-rakannya.
Acara yang bermula dari 10 pagi hingga 6 petang itu dimeriahkan lagi dengan slot cara-cara CPR bersama orang awam.
Turut mengambil bahagian ialah kakitangan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Sharizan Samad, 36, bersama empat orang anaknya.
Dia berpeluang mempelajari teknik-teknik pengepaman jantung secara luaran menggunakan tangan dan bantuan pernafasan.
Sharizan berkata, peluang tersebut sememangnya satu ilmu yang sangat berharga dan harus dipelajari oleh semua orang.
"Kaedah menyelamat ini amat penting, apatah lagi mereka yang sudah mempunyai keluarga seperti saya. Jika berlaku kemalangan, kita dapat menghulurkan pertolongan kepada mangsa sebelum pasukan penyelamat tiba.
"Setiap saat itu sangat berharga dan pertolongan cemas yang diberikan mungkin dapat menyelamatkan nyawa mangsa," jelasnya.

BSMM turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang awam.


Latihan
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif BSMM, Nor Aziah Budin berkata, BSMM turut mengadakan pembelajaran pertolongan cemas dari rumah ke rumah yang dilakukan sejak tahun 2006.
Sehingga kini, lebih 1.5 juta penduduk Malaysia telah diberi latihan dengan nisbah seorang bagi setiap kediaman menjadi ahli BSMM.
"Kami sentiasa mengalu-alukan permintaan untuk mempelajari cara pertolongan cemas yang disediakan secara percuma.
"Selain memberi pendidikan kepada orang ramai tentang asas rawatan, BSMM juga menyediakan 12 buah ambulans yang beroperasi 24 jam kepada orang ramai secara percuma menerusi talian kecemasan 999," jelasnya.
Ujarnya lagi, BSMM juga membuka peluang kepada orang ramai menjadi sukarelawan dalam memberi bantuan atau perkhidmatan dengan cara yang altruistik tanpa sebarang keuntungan.
Aktiviti berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dengan menanamkan nilai jati diri, menghormati insan lain dan kepuasan peribadi.
"Sukarelawan akan dilatih khususnya dalam bidang perubatan, pendidikan dan kru pertolongan cemas," katanya sambil memaklumkan, yuran keahlian tahunan sebanyak RM2 dikenakan untuk lima tahun pertama bagi mereka yang berminat menjadi sukarelawan.
Sehingga kini BSMM mempunyai 15 cawangan dengan 148 pusat perkhidmatan di setiap daerah, di samping kira-kira 320,000 ahli seluruh negara. Maklumat lanjut, mengenai BSMM boleh diperoleh menerusi laman rasminya di www.redcrescent.org.my.


Kongsi ilmu pemakaian selendang

Posted: 06 Mar 2014 07:01 PM PST


PARA peserta turut berpeluang menyolek sesama sendiri dengan menggunakan produk kecantikan Glo Mineral Make Up dari Amerika Syarikat.


RUANG pejabat butik dalam talian, Rana Aswad yang terletak di Bukit Indah, Ampang, Selangor dipenuhi dengan wanita berhijab yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia daripada kanak-kanak, remaja hingga dewasa.
Ada di antara mereka berbual sesama sendiri sambil menikmati hidangan yang disediakan. Meskipun baru bertemu buat kali pertama, namun kemesraan yang terjalin seolah-olah menampakkan mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.
Apapun, kedatangan wanita- wanita tersebut ke sana semata-mata untuk mempelajari teknik-teknik baharu dalam pemakaian selendang, di samping menimba ilmu solekan melalui program yang dianjurkan oleh Rana Aswad, satu jenama fesyen yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan.
Menurut pemiliknya, Farah Alwani Johari, acara itu merupakan satu projek amal dalam menghargai pelanggan setia Rana Aswad yang telah banyak menyokong perniagaan yang dijalankan.
"Bermula tahun 2014 ini, kami ingin memberi tumpuan kepada penganjuran program seumpama ini yang bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan para pelanggan.
"Ia diadakan secara percuma dan terbuka kepada semua melalui hebahan yang dibuat di laman web Rana Aswad dan laman sosial Facebook kami.
"Namun, ia berasaskan siapa cepat dia dapat memandangkan premis kami agak kecil," ujarnya yang mengakui teruja apabila dapat bersua muka dengan pelanggan mereka.

KOLEKSI busana Rana Aswad sesuai untuk digayakan oleh wanita pelbagai peringkat usia.


Penampilan sopan
Menurut gadis berusia 26 tahun ini lagi, dia yakin apabila rezeki yang diperoleh dikongsi bersama pelanggan, maka akan lahirlah keberkatan daripadanya.
"Saya sentiasa berpegang dengan falsafah, lebih banyak kita memberi, maka lebih banyak pula yang kita akan terima. Itu janji Allah pada setiap hamba-Nya yang bersyukur dan tidak lokek dalam menjalani kehidupan," ungkapnya sambil tersenyum manis.
Diadakan dengan kerjasama Glo Mineral Make Up, iaitu pembekal utama produk kecantikan dari Amerika Syarikat, ternyata respons yang diterima daripada para peserta bengkel itu amat menggalakkan.
Ada yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri program tersebut dalam usaha meningkatkan keyakinan melalui penampilan diri yang lebih bergaya tetapi sopan di hadapan khalayak.
Bagi Puteri Nilofar Ahmad Kamil, 40, kali terakhir dia menyertai bengkel seperti ini kira-kira tujuh tahun lalu.
Justeru, apabila melihat hebahan yang dibuat di laman Facebook Rana Aswad, dia terus mendaftar sebagai peserta.
"Aktiviti ini satu inisiatif yang menarik kerana saya berpeluang mempelajari cara-cara memakai selendang pelbagai gaya dengan mudah.
"Paling penting, gaya pemakaian selendang yang diajar mematuhi kehendak syariah iaitu labuh hingga menutupi paras dada," kata pensyarah Sains Sosial di Universiti Multimedia itu.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Che Puan Sue Ibrahim, 39, memberitahu, dia memang peminat setia Rana Aswad sejak mengenali jenama tersebut beberapa tahun lalu.
Koleksi jubahnya yang terkini dan menampilkan rekaan yang patuh syariah merupakan faktor utama menjadikan jenama tersebut sebagai pilihannya.
PEMAKAIAN selendang mengikut syarak amat mudah sekiranya kita mengetahui teknik-teknik yang betul.


Contoh anak muda
"Walaupun kebanyakan jubah yang dijual berkonsep moden kontemporari tetapi ia masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan dan keanggunan seorang wanita Muslimah," tutur Che Puan Sue yang turut membawa anak perempuannya pada bengkel itu bagi menggalakkannya menutup aurat dengan cara yang betul.
Dalam pada itu, Eksekutif Komunikasi Korporat di sebuah agensi kerajaan, Mazlifah Abdul Halim, 26, berkongsi pengalaman apabila dapat bertentang mata dengan pengasas Rana Aswad.
"Memang rasa amat teruja bertemu Farah Alwani. Usia kami sebaya tetapi kejayaan yang dicapainya amat besar dan boleh dicontohi anak muda.
"Selain itu, saya juga seronok apabila dapat bertukar-tukar pandangan dengan rakan-rakan baharu di sini mengenai gaya pemakaian tudung dan selendang yang lebih kreatif," jelas Mazlifah.
Penggemar busana muslimah boleh melayari laman sesawang www.ranaaswad.com atau www.facebook.com/inforana.aswad untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Wadah ini untukmu

Posted: 06 Mar 2014 07:00 PM PST



WANITA solehah merupakan sebaik-baik perhiasan dunia dan mampu menyenangkan hati suami yang didampingi. - Gambar hiasan


SALAM dari Madinah al-Munawarrah. Saya sebagai seorang wanita, isteri, ibu, anak, kakak, adik dan rakan terpisah di bumi asing ini lebih 7,000 kilometer (km) jaraknya dari tanah air. Ia pilihan sendiri dan tiada siapa yang perlu dipersalahkan.
Tentu sekali masih segar dalam ingatan ketika suami menyatakan: "Yang, Universiti Taibah menawarkan jawatan pensyarah di sana."
Raut wajahnya bercahaya. Ia seolah-olah hadiah paling berharga. Ia rasa logik. Siapalah yang tidak gembira jika dijemput untuk berada dan bermukim di Madinah. Mereka yang pernah hadir di sini sentiasa menyatakan rasa rindu dengan Madinah dan berkeinginan untuk kembali semula.
Masya-Allah, Subhanallah, Allahu Akbar. Namun, berhijrah dan bermukim lalu meninggalkan tanah air mungkin sedikit berbeza. Ia bukan soal seminggu dua tetapi sepanjang tahun. Dan pastinya akan berulang tahun. Ia keputusan besar yang perlu dilakukan dengan teliti.
Lalu hati dan minda terus terfikir tentang diri dan mereka yang hampir. Pertama, saya memikirkan kerjaya sendiri sebagai seorang pensyarah. Adakah saya akan kehilangan jawatan yang menjadi idaman buat sekian lama?
Sanggupkah saya meneruskan kemungkinan hidup sebagai suri rumah tangga sepenuh masa setelah berpuluh tahun menjadi wanita berkerjaya?
Rutin
Allah ya Allah... saya terasa akan kehilangan siswa-siswi yang selama ini memberi peluang untuk saya menaburkan sedikit ilmu bermanfaat. Mereka adalah sebahagian rutin kehidupan saya. Sudah pasti saya akan merindui suasana ini. Ia pastinya berguna ketika amal dihisab.
Kedua, pada kala usia begini, saya berfikir sebagai seorang ibu. Bagaimana dengan anak-anak yang masih belajar di universiti tempatan?
Saya terasa berat mahu berpisah dengan mereka. Naluri seorang ibu nyata kuat sekali ikatan kasih sayang dengan anak-anak. Benar, mereka tinggal di asrama. Namun, terasa jarak 7,000km itu terlalu jauh memisahkan kami.
Ketiga, saya sudah bersuami. Tentu sekali saya diikat dengan hukum dan peraturan betapa seluruh ketaatan wanita solehah sepatutnya untuk suaminya. Namun, saya masih seorang anak kepada ibu dan bapa saya.
Abah baru sahaja meninggalkan kami sebelum surat tawaran diterima. Kesedihan masih belum beredar sepenuhnya. Adik pula sedang bertarung dengan penyakit kronik kanser.
Lalu wajah mak berusia 70 tahun terus menyelinap melintasi fikiran. Mahukah beliau bersama kami bermukim di Madinah?
Jika tidak, mampukah saya sebagai seorang anak berpergian jauh meninggalkan beliau dan hanya mampu bersua beberapa hari dalam setahun?
Keempat, saya merupakan adik dan kakak kepada sebuah keluarga yang begitu rapat. Fikiran saya melayang jauh. Jauh yang tidak ketentuan jaraknya.
Barangkali kerana berada di rantau menyebabkan hubungan kami jauh dan renggang. Jauh di mata lalu jauh di hati. Anak-anak saudara yang sedang membesar mungkin tidak mengenali atau melupakan ibu saudaranya.
Allah ya Allah... itulah jiwa wanita yang mahu berfikir seribu perkara apabila terpaksa menempuh hanya satu persimpangan kehidupan.

GOLONGAN wanita sering kali mendahulukan kepentingan keluarga berbanding keperluan diri. - Gambar hiasan


Pertanyaan
Dunia wanita penuh pertanyaan tetapi tidak mempunyai jawapan jelas dan tegas. Sering kali emosi mengatasi logik dan keperluan sebenar. Pertimbangan dan keputusan berdasarkan emosi mungkin jadi bercelaru jika ia tidak diberi sepenuh perhatian.
Bicara hati saya begitu. Saya berasa sukar mengeluarkan sebaris komen dengan pengkhabaran menggembirakan hati suami walaupun itulah cita-cita dan harapan yang ada di hati. Bila sampai masanya, pelbagai perkara bermain-main di fikiran.
Diam. Saya hanya mendiamkan diri. Lalu pada sepertiga hujung malam tersisa saya bercerita dan bertanya kepada Tuan Punya dunia dan segala yang terkandung di dalamnya. Dialah yang mencipta segala-galanya.
Malah, Allah SWT yang Maha Mengetahui dengan apa yang tidak kita ketahui. Maka kepada-Nyalah saya berpaling bagi memohon ilham agar pandangan dan pilihan kami sekeluarga benar-benar di bawah pengawasan-Nya berdasarkan sedikit peraturan mudah.
Saya tidak mahu mendahului suami sebagai seorang isteri. Biarlah suami yang membuat keputusan. Namun, pandangan sisi mungkin beliau perlukan. Jika mahu berhijrah ke Madinah itu pilihan beliau yang mahu ditempuh, maka saya akan berada di sisinya sepanjang masa, terutamanya pada saat-saat berbaki yang sangat suntuk.
Saya terasa lapang setelah berbicara dengan-Nya. Sesuatu yang sukar buat manusia nyata, mudah buat Dia yang berkuasa. Saya terasa segar pada pagi itu. Tutur saya begitu mudah sekali, saya madahkan kepada suami:
"Yang... saya sudah bersedia untuk berhirah ke Madinah. Saya reda untuk meletakkan jawatan. Memadailah dengan apa yang awak dapat. Rezeki itu ditentukan Allah. Peluang ini hanya sekali. Insya-Allah, kita akan dijaga-Nya di sana."
Masa beredar. Kini, kami sudah hampir 1,000 hari di Madinah. Saya menempuh pelbagai perkara sebagai seorang wanita di sini. Barangkali ia boleh dikongsi bersama sebagai ilmu bermanfaat.
Terima kasih Kosmo! kerana memberi saya ruang untuk menulis khusus untuk wanita dan mereka yang mengasihi kaum ini. Wadah ini untukmu duhai wanita.
Salam daripada saya di Rumah Kecil di Jabal Uhud. Jumpa lagi minggu hadapan.


Prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita

Posted: 06 Mar 2014 06:58 PM PST


HAK wanita untuk mendapatkan pendidikan menjadi perjuangan utama untuk memartabatkan kaum Hawa di seluruh dunia. - Gambar hiasan


HAK wanita dalam Islam telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh banyak cendekiawan Islam dan ia menunjukkan kepentingan perkara tersebut dari sudut pandangan Islam.
Penelitian terhadap kedudukan wanita terutamanya pada zaman jahiliah memperlihatkan bahawa berbanding lelaki, wanita seringkali dinafikan haknya.
Wanita digambarkan sebagai kumpulan yang tidak mempunyai hak dan banyak amalan yang berkaitan dengan urusan dirinya sehinggalah hubungan kekeluargaan sentiasa tertakluk pada penindasan.
Amalan menanam anak perempuan hidup-hidup, menceraikan isteri sesuka hati, poligami yang tidak terhad dan penafian hak terhadap harta merupakan subjek tumpuan dalam penulisan yang membincangkan kedudukan wanita sebelum kedatangan Islam.
Antara perkara penting yang sering dikritik ialah tentang hak sama rata antara jantina atau gender. Ketidaksamarataan ini digambarkan sebagai amalan yang tidak adil dan telah menjadi anggapan umum bahawa wanita adalah warga kelas kedua.
Kesamarataan
Meskipun hak kesamarataan antara jantina tidak boleh diinterpretasi dalam bentuk yang literal, namun para ulama Islam bersetuju bahawa ia perlu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kemuliaan kedua-dua jantina secara adil dan saksama, sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, politik dan tanggungjawab keagamaan.
Hujah ini disandarkan pada syarak yang menerangkan aspek kesejagatan dalam penciptaan manusia. Konsep kemuliaan manusia telah disebutkan dalam banyak ayat al-Quran yang memberikan bukti yang cukup tentang asal usul manusia.
Sebagai contoh al-Quran ada menyebut dalam surah al-Isra, ayat 70 bahawa Allah sesungguhnya telah memuliakan anak-anak Adam, dan telah memberi kepada mereka pelbagai nikmat dan kemudahan mencakupi laut dan darat.
Secara umumnya, perkataan bani Adam mewakili lelaki dan perempuan dan kedua-duanya memiliki kemuliaan tanpa sebarang perbezaan.
Konsep penciptaan manusia yang bersifat sejagat bertepatan dengan fakta bahawa semua manusia memiliki kehormatan. Justeru, jika seseorang melindungi kehormatan dirinya dengan keimanan, amal soleh dan ketakwaan, ia merupakan nilai-nilai mulia yang membezakan tahap kerohanian seseorang individu di sisi Allah.

KONSEP penciptaan manusia yang bersifat sejagat bertepatan dengan fakta bahawa wanita mempunyai kehormatan yang harus dilindungi.


Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 14 yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu."
Ayat ini menyatakan tentang penciptaan manusia yang pelbagai sifatnya, iaitu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk menggambarkan dan memenuhi keperluan mereka.
Prinsip ini juga digunakan dalam hubungan antara lelaki dan wanita. Fitrah kemanusiaan telah digambarkan dalam ayat 187, surah al-Baqarah yang menyifatkan kepentingan tersebut samalah seperti keperluan manusia terhadap makanan dan pakaian.
Susun atur
Semua keperluan ini adalah amat penting bagi kelangsungan kehidupan manusia. Hubungan antara lelaki dan wanita dikukuhkan lagi oleh penegasan dalam permulaan Surah an-Nisa', iaitu surah yang khusus menangani dan menyusun atur setiap aspek kehidupan wanita dan urusan rumah tangga.
Firman Allah: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai."
Ayat ini memberikan penjelasan dan menyokong perbincangan sebelumnya bahawa lelaki dan wanita berasal dari keturunan yang sama, iaitu Adam dan mereka berdua bukan merupakan dua entiti yang berbeza bahkan sebaliknya ialah pasangan seperti mana yang disebut dalam al-Quran ayat 11, surah as-Syura dan ayat 189, surah al-A'raf.
Oleh yang demikian, mereka harus melayan antara sesama sendiri sebagaimana saudara sendiri dan tidak sama sekali memudaratkan antara satu dengan yang lain.


Bahana penghidap erotomania

Posted: 06 Mar 2014 06:57 PM PST



DALAM kebanyakan kes, mangsa erotomania biasanya terdiri daripada golongan wanita, namun ada laporan mengatakan kaum Hawa juga boleh mengalami masalah ini. – Gambar hiasan


MENJADI manusia yang disukai atau diminati adalah kelebihan yang tidak dimiliki oleh semua orang. Bagaimanapun, ia bakal menjadi sesuatu yang teruk sekiranya diri anda diminati secara berlebihan.
Anda mungkin berdepan musibah sekiranya setiap pergerakan diperhatikan dan gerak-geri anda diekori. Jika hal yang seumpama ini berlaku, anda mungkin sedang menjadi mangsa hendap (stalking) oleh mereka yang menghidap simptom erotomania.
Umumnya, dalam kebanyakan kes, wanita merupakan mangsa kepada penghidap simptom erotomania meskipun ada laporan yang menyatakan bahawa wanita juga mengalami masalah kecelaruan ini.
Di kebanyakan negara Barat, intaian keterlaluan seperti ini dianggap sebagai satu jenayah dan menyalahi undang-undang.
Apakah yang dikatakan sebagai erotomania?
Erotomania ialah satu simptom kecelaruan mental yang menjadikan seseorang itu percaya bahawa terdapat individu yang telah jatuh hati atau terpikat dengan mereka.
Mereka percaya bahawa reaksi bahasa tubuh atau perlakuan individu tertentu itu (kebiasaannya berlainan jantina) adalah isyarat bahawa mereka sedang disayangi sedangkan hakikatnya, ia hanya ilusi.
Dalam kebanyakan kes, mangsa ialah orang asing yang mungkin tiada kaitan sedikit pun dengan pesakit.
Mereka hanya sekadar terserempak atau berbual seketika sahaja. Tetapi, pertemuan singkat itu sudah cukup untuk menjadikan pesakit memendam perasaan yang mendalam.
Tindakan ekstrem
Pesakit juga cenderung untuk menunjukkan sifat kasih sayang yang melampau terhadap kekasih impian mereka ini. Mereka akan mula memberikan hadiah yang istimewa, membuat panggilan telefon atau mengirimkan surat kepada 'kekasih' mereka tadi.
Mereka juga sanggup menerobos privasi mangsa kerana baginya individu tadi adalah kekasih sejati mereka. Mereka tidak menghiraukan sama ada mangsa sudah mempunyai pasangan atau tidak.
Secara umumnya, proses menghendap ini dilakukan dengan menggunakan beberapa cara. Antaranya secara berterusan mencuba untuk menjalinkan hubungan mesra dengan mangsa tanpa mempedulikan mangsa menyukainya atau tidak.
Walaupun mereka akan sedaya upaya memberikan kebaikan kepada mangsa, namun pesakit juga akan mengugut atau menimbulkan ketakutan kepada mangsa sekiranya hasrat mereka ditolak.
Ia menjadi sesuatu yang teruk kerana kasih sayang mereka yang melampau ini menjadikan pesakit mengekori setiap pergerakan mangsa.

JANGAN mencatat semua aktiviti harian anda di laman sosial Facebook supaya anda dapat menghindarkan diri daripada diekori penghidap erotomania.


Dalam kes yang ekstrem, pesakit erotomania juga sanggup untuk mengupah orang ketiga bagi memerhatikan pergerakan mangsa. Mereka akan mengekori mangsa di tempat kerja atau apabila pulang ke rumah. Mereka tahu apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan 'kekasih' mereka ini.
Pesakit juga berkemungkinan sanggup melakukan tindakan yang lebih agresif terhadap mangsa atau pihak ketiga sekiranya hajat mereka dihalang.
Dalam satu kes yang dilaporkan di Oakland, Amerika Syarikat pada tahun 1990-an, seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditolak hasrat cintanya oleh seorang wanita. Lelaki tadi mula jatuh hati dengan wanita ini dengan cara yang cukup mudah.
Ia hanya dimulai oleh perbualan singkat lelaki tadi dengan wanita tersebut dalam sebuah bar. Sebagai kononnya untuk menjaga keselamatan 'kekasihnya' itu, dua minggu kemudian, lelaki tadi telah membunuh pengurus di tempat kerja wanita tersebut.
Semuanya berpunca daripada perasaan cemburu dan merasakan bahawa wanita tadi adalah di bawah jagaannya.
Langkah waspada
Justeru, kita semua, khususnya wanita, perlu berhati-hati apabila diberikan hadiah istimewa atau dihubungi oleh seseorang yang tidak dikenali. Ada sesetengah pesakit ini mungkin tidak mendedahkan identiti mereka.
Bagaimanapun, ia akan menyebabkan kehidupan mangsa akan terjejas dengan teruk sekiranya pesakit mula merasakan mangsa adalah kekasih hati mereka. Mereka seboleh-bolehnya akan cuba menarik perhatian mangsa untuk menyayangi mereka.
Bayangkan sekiranya hal seperti ini terjadi kepada golongan yang sudah berumah tangga. Ia akan menyebabkan pasangan mula merasa curiga kononnya isteri atau suami mereka mempunyai kekasih yang lain.
Hakikatnya kekasih misteri ini hanyalah sekadar pesakit yang tidak mampu mengawal perasaan mereka. Sekiranya hal seumpama ini terjadi, wajar memaklumkan pasangan masing-masing agar ia tidak mencetuskan masalah lain pada masa hadapan.
Kita tidak tahu secara jelas sejauh manakah orang asing tadi menyintai kita. Mereka juga mungkin menghidap kecelaruan mental yang lain.
Sekiranya anda merasakan diri anda sentiasa diekori, jangan anggap individu terlibat itu sekadar seorang yang sangat meminati diri anda.
Ada baiknya, hal seumpama ini dilaporkan kepada pihak polis bagi menangani perkara tersebut.
Sekiranya anda merupakan pengguna media sosial seperti Facebook atau medium yang lain, ada baiknya jangan mencatatkan semua aktiviti kehidupan anda
Tidak salah diminati. Bagaimanapun, ia akan menimbulkan bencana sekiranya anda sedang diekori penghidap erotomania.


Keperkasaan KD Kasturi

Posted: 06 Mar 2014 06:55 PM PST


KORVET KD Kasturi ini dilengkapi sistem persenjataan termoden.


TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggandakan kuasa tempur armadanya apabila sebuah daripada dua kapal korvet kelas Kasturi yang ditingkat upaya di bawah Program Pemanjangan Hayat Kapal (SLEP) siap baru-baru ini.
Program SLEP meningkatkan sistem pemerintahan dan kawalan serta sistem persenjataan Kapal Diraja (KD) Kasturi sejajar dengan kehendak spektrum peperangan maritim terkini.
KD Kasturi seberat 1,720 tan dibina di Kiel, Jerman oleh syarikat Howaldtswerke-Deutsche Werft (HDW) pada tahun 1982 sebelum ditauliahkan ke dalam armada TLDM dua tahun kemudian.
Sebuah lagi kapal kelas sama, KD Lekir pula dibina pada tahun 1983 bagi melengkapkan Skuadron Kapal Korvet Ke-24 TLDM.
Kedua-dua korvet ini dilengkapi meriam utama Creusot-Loire Compact kaliber 100 milimeter (mm), dua meriam kaliber 30 mm Emerlec Mk.74, mortar antikapal selam Limbo Mk 10 dan empat sistem pelancar peluru berpandu antikapal Exocet MM38.
Korvet kelas Kasturi dibina berdasarkan rekaan Blohm + Voss FS 1500 menggunakan konsep modular yang membenarkan kapal ini dinaik taraf dengan mudah jika perlu pada masa hadapan.
Kapal sepanjang 97 meter (m) dengan 124 pegawai dan anak kapal ini boleh belayar untuk rondaan sejauh 6,100 kilometer (km).
Firma HDW turut membina kapal jenis sama untuk Tentera Laut Colombia iaitu Kelas Almirante Padilla.
Dinaik taraf
Setelah melepasi jangka hayat 25 tahun, KD Kasturi dan KD Lekir perlu dinaik taraf bagi memanjangkan jangka hayat perkhidmatannya sehingga 15 tahun lagi.
Pada Pameran Udara dan Maritim Langkawi 2007 (LIMA '07), firma perkapalan tempatan, Boustead Naval Shipyard (BNS) diberi tanggungjawab melaksanakan Program SLEP dua korvet ini dengan kontrak bernilai RM703.8 juta.

SISTEM pemerintahan dan kawalan kapal ini ditingkat upaya sesuai dengan kehendak spektrum peperangan terkini.


Program naik taraf ini bagi memperkasakan sistem pertahanan kapal meliputi sistem peralatan elektronik, sistem pengurusan tempur, sensor dan radar, sistem tindak balas elektronik, komunikasi dan sistem persenjataan.
Sistem pengurusan pertempuran laut kapal ini digantikan dengan sistem TACTICOS CMS yang dibangunkan oleh Thales dari Perancis.
Sistem baharu ini merupakan nadi utama KD Kasturi bagi meningkatkan kesiapsiagaan tempur kapal menerusi capaian terhadap maklumat-maklumat ancaman yang diterima pada masa hakiki.
Meriam utama kapal pula digantikan dengan Bofors 57mm/70 yang dipasang sistem elektronik dan sensor terbaharu.
Ampuh
Walaupun kalibernya lebih kecil berbanding meriam sebelumnya tetapi ia cukup ampuh kerana mampu menembak sebanyak 220 butir peluru seminit pada sasaran sehingga sejauh 17,000m.
Dua laras meriam kaliber 30mm buatan MSI-Defence System pula dipasang di sisi kapal sebagai pertahanan jarak dekat.
Ketiga-tiga jenis meriam ini pula boleh disepadukan untuk memberi perlindungan terhadap ancaman serangan udara aras rendah, termasuk sebagai payung perlindungan udara kepada kapal-kapal lain semasa pelayaran sama.
Kini, kapal ini mampu menjalankan operasi antikapal selam apabila dipasang dua sistem pelancar Eurotorp B515 bagi melancarkan torpedo jenis A244S Whitehead ASW.
Torpedo jenis ini turut digunakan oleh dua lagi kapal perang TLDM iaitu frigat kelas Laksamana, KD Jebat dan KD Lekiu.
Sistem peluru berpandu antikapal pula digantikan dengan lapan pelancar Exocet MM40 Block 2 yang mampu menujah ke sasaran sehingga sejauh 160km pada kelajuan kira-kira 1,100km sejam.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, program SLEP dapat menjimatkan perbelanjaan pertahanan negara.
Menurut beliau, KD Kasturi yang kini menjalani ujian penyesuaian di laut dijangka menyertai semula armada TLDM tidak lama lagi.
"Program ini adalah pelengkap di sebalik keperluan TLDM untuk memiliki kapal-kapal perang baharu di samping membuktikan keupayaan syarikat pertahanan tempatan.
"Dengan kelengkapan tempur terkini, KD Kasturi dan KD Lekiu merupakan aset TLDM untuk melindungi kedaulatan perairan negara," ujar beliau.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories