RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Syamsul Yusof Sah Bergelar Suami Puteri Sarah

Posted: 08 Mar 2014 04:50 AM PST


Syamsul Yusof, 30, akhirnya selamat bergelar suami kepada aktres Puteri Sarah Liyana, 29, dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Al Mukarramah, Sri Damansara, di sini, Sabtu
PETALING JAYA: Biarpun masih lagi dalam keadaan kurang sihat akibat penyakit demam denggi, pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof, 30, akhirnya selamat bergelar suami kepada aktres Puteri Sarah Liyana, 29, dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Al Mukarramah, Sri Damansara, di sini, Sabtu.
Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al Mukarramah, Mat Syaharuddin Ar Rashid kira-kira pukul 10.30 pagi.
Puteri Sarah diwalikan oleh bapanya Megat Kamaruddin Megat Shamsuddin.
Syamsul memberikan mas kahwin sebanyak RM1,111, manakala wang hantaran dirahsiakan.
Puteri Sarah ayu mengayakan busana putih daripada Alia Bastamam.
Rombongan lelaki turut membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.
Antara barang hantaran daripada pihak perempuan ialah sirih junjung, beg tangan lelaki, jam tangan, komputer riba, buah-buahan, kasut, kek, senaskah Al Quran dan persalinan pakaian. Sementara hantaran yang dibalas pihak lelaki ialah buah-buahan, kasut, jam tangan, komputer riba, kek dan telekung.
Majlis berjalan lancar apabila kedua-dua keluarga mempelai sampai di perkarangan masjid kira-kira pada pukul 10 pagi dengan tema pakaian biru daripada pihak pengantin lelaki dan hijau bagi pengantin perempuan.
Syamsul ketika upacara ijab kabul di Masjid Sri Damansara, pada Sabtu.
Majlis yang dijalankan secara sederhana itu hanya dihadiri oleh ahli kedua-dua pihak keluarga terdekat sahaja.
Syamsul yang ditemui selepas majlis akad nikah menzahirkan rasa syukur kerana selamat diijabkabulkan.
"Saya tidak sangka dapat menjalankan upacara akad nikah ini kerana keadaan saya masih belum pulih daripada demam denggi.
"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan saya pasti semua yang terjadi ada hikmahnya," katanya.
Sementara itu, majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian berikutan keadaan kesihatan Syamsul.
Syamsul yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Gleneagles pada Selasa selepas disyaki demam denggi masih lagi mendapatkan rawatan di pusat perubatan tersebut.
Manakala majlis menyambut menantu akan diadakan pada 18 April di Dewan Perdana Felda dan 20 April di kediaman pengantin lelaki di Taman Melawati.
Pada 12 Januari lalu, Syamsul telah merisik Puteri Sarah dalam satu majlis yang diadakan di kediaman wanita itu di Sri Damansara, di sini.

Tidak Cerewet Buatkan Liza Abdullah Masih Kekal Popular

Posted: 08 Mar 2014 04:49 AM PST


Liza Abdullah tidak cerewet dengan mana-mana tawaran lakonan yang diberi.
PETALING JAYA: Pelakon Liza Abdullah menyifatkan dia masih lagi mampu kekal dalam industri hiburan tempatan kerana sikapnya yang tidak cerewet terhadap mana-mana tawaran lakonan yang diterimanya.
Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah 52, berkata, keadaan itu membuatkan dia berasa bersyukur kerana masih lagi diterima peminat-peminat drama Melayu walaupun sudah berusia.
"Selalunya pelakon-pelakon akan berkata mereka lebih senang memilih skrip dan watak. Tetapi tidak bagi saya.
"Ini kerana saya menganggap setiap tawaran yang datang tidak kiralah daripada produksi baru atau lama adalah punca utama rezeki saya.
"Dan sebagai pelakon, menjadi tanggungjawab saya melakonkan watak yang diberi sebaik mungkin walaupun karakter tersebut terlalu klise. Kiranya ia adalah satu cabaran buat diri untuk mewarnai watak tersebut," katanya kepada mStar Online.
Tambah pelakon itu, kerana sikapnya yang tidak cerewet tanpa memilih watak membuatkan dia masih lagi bertahan dalam industri hiburan tempatan sehingga kini.
Dalam pada itu, kata Liza, dia juga mengambil sikap tidak terlalu terbuka menceritakan perihal keluarganya kerana menganggap ia adalah isu yang sangat peribadi.
Malah dia risau, cerita peribadi yang dipaparkan media boleh menggugat kariernya sebagai seorang pelakon.
"Dari dulu lagi sehinggalah sekarang, saya akan memastikan kisah-kisah peribadi tidak diceritakan di mana-mana media sekalipun.
"Kecuali kes cerai saya baru-baru ini , saya tidak dapat nak elak kerana pihak media sudah sedia maklum mengenai kes itu tanpa saya beritahu pun. Tetapi seboleh-bolehnya, saya tidak gemar menceritakan hal peribadi kepada umum," ujarnya.
Liza baharu saja bercerai dengan suaminya Zolkifli Abdul Rahman, 58, pada 10 Januari lalu.
Hasil perkahwinan selama 26 tahun itu, mereka telah dikurniakan dua anak iaitu Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afif, 10.
Liza yang pernah popular dalam drama Vanilla Coklat bagi siaran TV3 dua tahun lalu merupakan bintang filem ternama sekitar tahun 1980-an.
Antara filem lakonannya ialah Ali Setan, Pagar-Pagar Cinta, Driving School dan Jejaka Perasan.

Mafarikha Nekad Kurus Demi Kerjaya Nyanyian

Posted: 08 Mar 2014 04:48 AM PST


Mafarikha berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 22 kilogram menerusi diet dan senaman secara konsisten.
PETALING JAYA: Penyanyi yang dikenali menerusi program Vokal Bukan Sekadar Rupaiaitu Mafarikha nekad menurunkan berat badannya bagi mengekalkan kariernya sebagai seorang penyanyi.
Mafarikha atau nama sebenarnya Mafarikha Akhir, berkata, dia berjaya menurunkan beratnya sebanyak 22 kilogram sejak mengamalkan diet dan senaman selepas pertandingan itu berakhir pada 2012.
"Semasa menyertai pertandingan itu, berat badan saya 98 kilogram dan kini saya berjaya mengurangkan sebanyak 22 kilogram menerusi senaman dan diet secara konsisten.
"Kini berat badan saya hanya 76 kilogram. Alhamdulillah ianya berjaya dan saya masih lagi berusaha sehingga mendapat berat badan yang ideal," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mafarikha berkata, dia nekad menurunkan berat badannya bukan sahaja kerana ingin tampil menarik tetapi menyedari kepentingan kesihatan.
Keadaan fizikal asal Mafarikha ketika menyertai program Vokal Bukan Sekadar Rupa pada tahun 2012.
"Kita tahu dalam industri hiburan tempatan, penampilan diri perlu dijaga dan kerana itu saya bersungguh-sungguh mahu menurunkan berat badan.
"Pada masa sama saya mahu menjadi inspirasi kepada wanita-wanita yang mempunyai masalah berat badan sama seperti saya," ujarnya.
Sementara itu, Mafarikha berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu mempunyai ramai pengikut di Singapura.
Mafarikha berkata, namanya mula menjadi sebutan selepas lagu single pertamanya berjudul Derhaka mendapat sambutan daripada pendengar radio negara tersebut.
"Saya tidak sangka lagu Derhaka mendapat sambutan hangat di Singapura sedangkan di negara sendiri lagu tersebut tidak mendapat perhatian.
Mafarikha terkejut apabila lagunya berjudul Derhaka mendapat perhatian oleh peminatnya di Singapura.
"Derhaka tersenarai dalam carta teratas di radio Singapura iaitu Ria FM, Alhamdulillah, mungkin rezeki saya lebih di sana(Singapura)," katanya lagi.
Bagaimanapun tambah Mafarikha, dia tetap tidak berputus asa untuk mempromosikan diri menerusi lagu-lagu terbaharu ciptaannya di Malaysia.
Bernaung dibawah syarikat rakaman Alibi Music, Mafarikha memberitahu akan muncul dengan single terbaharu dalam masa terdekat ini.
Bagaimanapun dia ingin merahsiakan terlebih dahulu judul lagu tersebut bagi memberi kejutan kepada peminat-peminatnya.

'Projek Kahwin' Bukti Istana Budaya Beri Peluang Kepada Karyawan Muda

Posted: 08 Mar 2014 04:47 AM PST


Projek Kahwin bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan. 
SHAH ALAM: Pihak kerajaan sentiasa terbuka dalam memberi peluang kepada karyawan muda untuk tampil dengan idea terbaharu dan segar untuk dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, golongan baharu industri teater perlu diberi peluang agar bidang berkenaan dapat berkembang selain menambahkan pengikut baharu.
"Saya gelarkan golongan ini sebagai Gen-Y dan jika mereka tidak diberi peluang sampai bila pun mereka tidak akan mendapat tempat dalam industri.
"Banyak sebenarnya karyawan muda yang bersemangat untuk merancakkan lagi industri teater dan tidak salah jika peluang itu diberikan jika mereka tampil dengan idea bernas dan sesuai dengan Istana Budaya," katanya kepada mStar Online.
Mohamed Johari ditemui ketika majlis pelancaran teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 6 hingga 14 Jun depan.
Izzue bakal memegang watak utama dalam teater berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamed Johari berkata, pemilihan teater terbitan Mask Team itu bukti Istana Budaya sentiasa menyokong karyawan muda ditambah pihak produksi tampil dengan sebuah naskhah hebat untuk dipentaskan di Panggung Sari.
Malah kata Mohamed Johari, kejayaan teater Maduku Kalut pada tahun lalu menambahkan keyakinan pihaknya untuk terus memberi sokongan kepada usaha sekumpulan anak muda itu.
"Sambutan Maduku Kalut cukup luar biasa dan ia berjaya membawa ramai pengikut teater baharu ke Istana Budaya dan kami yakin dengan jalan cerita menarik dan barisan pelakonnya, Projek Kahwin mampu mengulang sejarah seperti tahun lalu," ujarnya.
Projek Kahwin bakal menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.
Bintang yang semakin bersinar iaitu Sherry Alhadad turut menjayakan Projek Kahwin.
Sementara itu, pengarah teater berkenaan, Muhammad Azri Ali berkata, mereka bakal memaparkan isu perkahwinan yang terdapat di Malaysia.
Jelas Azri, bagi menampilkan kelainan pihaknya mengolah jalan cerita supaya lebih menarik dengan memasukkan elemen dokumentari dan nilai ilmu selaras dengan isu yang ingin dikupaskan.
"Isu perkahwinan merupakan isu yang menarik untuk dibincangkan kerana terdapat banyak isu yang boleh dikupas dan naskhah ini turut diadun dengan gaya dokumentari yang jarang dipersembahkan di Malaysia," katanya.
Tiket untuk menyaksikan pementasan teater itu dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM185 dan RM225 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi AirAsiaRedTix.com atau di kaunter Box Office Istana Budaya.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Amirul di talian 013-3962612

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories