RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sisi bahagia Ashraf, Dayana, Sakinah

Posted: 10 Apr 2014 06:14 AM PDT


  • Sisi bahagia Ashraf-Dayana-Sakinah
"TERIMA kasih Sakinah, terima kasih Dayana dan yang paling penting terima kasih Allah kerana mendengar doa-doaku selama ini," begitulah luahan Ashraf Muslim menerusi laman Instagram yang turut memuat naik foto kelahiran bayi pertamanya.

Menerusi gambar yang dimuat naik itu, membayangkan betapa bahagianya Ashraf,  sementelah isteri pertamanya Dayana turut hadir melawat anak pertama mereka. Malah Sakinah, yang baru sahaja melahirkan bayi itu pada Ahad malam lalu, turut berada sama di sisi mereka.

Melihat kemesraan itu, jelas menunjukkan mereka kini semakin bahagia hidup berpoligami.

Teruja dengan kehadiran 'orang baru' dalam kehidupan mereka, Ashraf turut memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan bayi perempuan sempurna dengan seberat 2.51 Kilogram itu.

Malah akui Ashraf, kehadiran bayi itu melengkapkan lagi serta merapatkan lagi silaturahim antara mereka sekeluarga.

Bagi Ashraf, ia merupakan saat  dan momen indah buat mereka sekeluarga dan mengharapkan semua peminat dan masyarakat mendoakan kesihatan bagi anaknya yang baru lahir.

Sebelum ini kisah poligami mereka pernah menjadi perhatian masyarakat apabila Ashraf bertindak mengahwini Sakinah di Thailand. Bagaimanapun, kini Ashraf berjaya membuktikan mereka mampu bahagia meskipun harus berbahagi kasih.

Ditangkap Pakai 'Boxer', Cinta Tunang Shahrizal Jaslze Tetap Teguh

Posted: 10 Apr 2014 06:13 AM PDT

shahrizal jaszle
"You're my everything @redzwaniputeri..." kata Shahrizal kepada tunangnya dalam kapsyen menerusi Instagram miliknya pada 4 September 2013.
PETALING JAYA:  Cinta Redzwani Puteri terhadap tunangnya Shahrizal Jaszle tidak pernah goyang walaupun pelakon itu ditemui  hanya memakai  'boxer' bersama seorang wanita semasa serbuan penguat kuasa agama Islam di sebuah apartmen pada 16 Mei 2013.

Redzwani, 26,  tetap mempercayai Shahrizal Jaszle atau sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jaszle berada pada pihak yang benar apabila mendengar penjelasan pelakon itu selepas kejadian berkenaan berlaku.

"Tidak ada apa-apa yang perlu saya cakap. Saya percayakannya dan terserah kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada dia berada di pihak yang benar atau salah.

"Sehingga kini, kami masih lagi berpasangan. Lagipun kami masing-masing sibuk, tidak sempat untuk bercakap mengenai perkara ini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Redzwani diminta mengulas dakwaan Pegawai Penguat Kuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Radzi Saliman yang melihat pelakon itu  hanya memakai 'boxer' (seluar dalam) di dalam bilik ketika serbuan dilakukan sekumpulan pegawai Jais di sebuah apartmen di Taman Sri Subang dekat sini pada 16 Mei 2013.
shahz jaszle
Shahrizal Jaszle mengharungi kes khalwatnya dengan tenang.

Mohd Radzi merupakan saksi pertama dalam kes perbicaraan melibatkan Sharizal, 26, dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 22, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini yang berlangsung pada Selasa lalu.

Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 29 (a)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Mohd Radzi dalam keterangannya mendakwa Shahrizal turut mengaku wanita yang bersamanya dalam sebuah bilik ketika diserbu itu adalah teman wanitanya selepas disoal sama ada mereka mempunyai ikatan sah sebagai suami isteri.

Pada sebutan kes pada 13 November tahun lalu padangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati telah mengaku salah terhadap tuduhan tersebut dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan Shahrizal membayar wang jaminan sebanyak RM1,500 selepas pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat yang dikenakan.

Sementara itu, Redzwani berkata, dia juga tidak akan terkejut dengan sebarang cerita yang bakal didedahkan dalam mahkamah sepanjang perbicaraan kes berkenaan berlangsung.

"Sebelum dia (Shahrizal) dibicarakan, dia sudah menjelaskan segala-galanya kepada saya. Dan seperti yang saya katakan tadi, saya terima apa saja keputusan.

"Lagipun perkara ini sudah pun lepas. Apa yang saya boleh cakap, tiada manusia yang dapat lari daripada kesilapan," ujarnya.

Terdahulu insiden tangkap khalwat  itu juga menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Hakim Syarie,  Abd. Halim Abu Samah yang mendengar kes itu menetapkan 10 Jun depan bagi menyambung semula perbicaraan.

Elfira Borong Kain RM20,000 Di India

Posted: 10 Apr 2014 06:11 AM PDT

Elfira (tengah) bersama adik-adiknya Ezlisa (kiri) dan Ezzrin (kanan) teruja dapat bercuti ke Kochi, India bersama AirAsia.
PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy tidak lokek berbelanja sehingga mencecah kira-kira  RM20,000 untuk membeli pelbagai fabrik mewah dan produk kecantikan ketika melancong ke Kochi, India baru-baru ini. Menurut Elfira, 20, minatnya terhadap kecantikan menyebabkan dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan berjumlah ribuan ringgit bagi membeli sesuatu produk mengikut cita rasa dan penampilannya.
"Setiap kali pergi melancong, saya pasti akan membeli kain dan barang kecantikan diri. Itu perkara wajib yang akan saya bawa pulang.
"Jadi apabila berpeluang ke India, pastinya kain sari adalah sasaran saya. Malah saya turut membeli sepasang busana yang dikenali sebagai 'lehenga' berharga kira-kira RM4,000," katanya kepada mStar Online.
Tambah Elfira perbelanjaannya itu sangat berbaloi jika dia mahu mendapatkan fabrik dari kualiti yang sama dalam pasaran tempatan.
"Kalau di Malaysia harga sepasang 'lehenga' kira-kira RM7,000. Jadi saya jimat banyak apabila berbelanja di India. Malah kualiti dan hasil kerja tangannya juga sangat cantik dan kemas," katanya.
Pelakon tiga beradik ini akui jarang dapat bercuti ke luar negara bersama-sama kerana komitmen masing-masing terhadap pelajaran dan kerjaya.
Terang Elfira, 'lehenga' merupakan gaun labuh yang dihiasi sulaman tangan merupakan pakaian tradisional wanita India khususnya ketika menyambut perayaan.
Elfira turut memberitahu, peluang berbelanja itu dilakukan kerana dia bertuah selepas mendapat tawaran mengikuti lawatan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia  ke Kochi selama tiga hari bagi mempromosikan produk pelancongan di daerah itu.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah dua lagi adiknya yang juga pelakon, Ezlisa Loy dan Ezzrin Loy serta ibu mereka, Filzah Yusoff yang bertindak sebagai pengurus.
Mengulas mengenai kunjungannya ke Kochi dan Kerala, Elfira berkata dia teruja melihat sendiri aktiviti menangkap ikan secara tradisional menggunakan 'pukat Cina'.
"Ini pengalaman yang paling seronok ketika di Kochi. Bukan sahaja dapat melihat sendiri gaya hidup masyarakat setempat, malah saya dan adik-adik berpeluang mencuba menangkap ikan menggunakan pukat itu," katanya.
Elfira Chinese Fishing Nets
Elfira (kanan), Ezzrin (tengah) dan Ezlisa cuba mengendalikan pukat Cina yang masih digunakan oleh penduduk tempatan untuk menangkap ikan.
Selain itu pengalaman menaiki 'rumah bot' menyusuri kawasan tasik berlatarbelakangkan kawasan perkampungan penduduk tempatan merupakan pengalaman istimewa yang tidak pernah dirasai.
"Walaupun perjalanan untuk ke destinasi itu mengambil masa yang lama, namun pakej yang disediakan termasuk makan tengahari di dalam bot cukup untuk saya melupakan seketika jadual kerja yang padat selama ini," katanya.
Sementara itu jelas Elfira yang bakal tampil menerusi teater Di Bawah Lindungan Kaabah pada Mei ini, dia gembira apabila diberi peluang untuk bersama-sama AirAsia mengikuti lawatan tersebut terutamanya perjalanan itu disertai ibu dan adik-adiknya.
Elfira Houseboats
Elfira merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan AirAsia dan wakil media. 
"Dalam kesibukan kerja, bukan mudah untuk kami sekeluarga meluangkan masa untuk bercuti bersama-sama.
"Jadi apabila AirAsia beri kesempatan sebegini, kami rasa cukup bertuah dan berterima kasih," katanya.
AirAsia menawarkan perjalanan sebanyak sepuluh kali seminggu ke Kochi, India dengan pelbagai promosi tambang rendah ditawarkan. Untuk maklumat lanjut sila layari www.airasia.com.

Shila berentap lagi di China!

Posted: 10 Apr 2014 06:09 AM PDT


  • Shila  Amzah Shila Amzah
SHILA  Amzah bakal berentap kembali di pentas 'I Am Singer' pada 11 April ini namun, kali ini konsepnya berbeza di mana lima finalis 'I Am Singer' musim kedua akan berentap dengan lima lagi finalis 'I Am Singer' musim pertama.

Malam tersebut sekali lagi akan menyaksikan persembahan hebat dari Shila, yang mana bakal memberikan kejutan terbaru dari segi persembahan dan juga vokal.

Berita ini dimaklumkan oleh syarikat rakamannya, Warner Music, menerusi sebuah emel petang semalam. Sementara itu, Shila  yang ketika ini berada di China, meluahkan rasa amat bersyukur dan teruja kerana sekali lagi akan berentap dalam pertandingan itu.

Jelas Shila, dia juga telah melakukan persiapan yang secukupnya untuk persembahan itu nanti.

"Alhamdulillah, saya berjaya mara ke pusingan kedua ini. Saya akan menyanyi solo dan hanya undian daripada peminat yang akan menentukan sama ada saya berjaya merangkul sebagai juara atau tidak'.

'Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya, dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang tidak henti menyokong saya sejak saya bergelar sebagai seorang penyanyi', katanya.

Sepuluh nama yang akan berentap pada pertandingan ini ialah, Yu Quan (China), Terry Lin (Taiwan), Aska Yang (Taiwan), Huang Qishan (China) dan Peng Chia-Hui (Taiwan) yang merupakan 5 finalis 'I Am Singer' musim pertama dan Han Lei (China), G.E.M. (Hong Kong),

Shila Amzah (Malaysia), Gary Chaw (Malaysia) dan Zhang Jie (China) yang merupakan 5 finalis 'I Am Singer' musim kedua.

TRIVIA Pertandingan:

-    Minggu 7 : Shila mula menyertai I Am Singer -'Xiang Ni De Ye' dan mendapat tempat kedua (2).
-    Minggu 8 : Shila mendapat tempat keempat -'Zui Chang De Dian Ying'.
-    Minggu 9 : Shila mendapat tempat ketiga -'Listen'.
-    Minggu 10 : Shila mendapat tempat ketiga  -'Forever Love'.
-    Minggu 11: Shila mendapat tempat pertama -'Rolling In The Deep'.
-    Minggu 12 (minggu separuh akhir): Shila mendapat tempat keenam -'Yang Chong'.
-    Minggu 13: Shila berjaya mara ke minggu akhir.

Lori balak terbenam dalam jalan

Posted: 10 Apr 2014 06:03 AM PDT


  • Lori balak terbenam dalam jalan Keadaan lori balak dengan tayarnya terbenam ke dalam jalan raya yang pecah akibat paip utama di bawah jalan raya itu pecah di sini pagi semalam.
MENTAKAB – Sebuah lori dengan muatan kayu balak terbenam ke dalam jalan raya gara-gara paip utama pecah menyebabkan Jalan Pekeliling antara kawasan sesak di bandar ini terpaksa ditutup semalam.

Kejadian berlaku jam 6.50 pagi semalam apabila lori dipandu Hanifah Jusuh 30, dari Kawasan Perindustrian Songsang dalam perjalanan ke Batu 5 Jalan Karak di sini untuk menghantar muatan itu.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, dia melihat paip air di kawasan itu sudah pecah dan air keluar ke permukaan jalan.

"Masa itu kiri kanan jalan banyak kereta ibu bapa hantar anak ke sekolah, saya tidak ada pilihan lain kecuali mengikut laluan tengah tempat paip itu pecah.

"Sebaik melalui kawasan itu, tayar hadapan terus tenggelam dan mendap dalam lubang dan lori langsung tidak boleh bergerak.

"Saya hubungi majikan untuk memindahkan semua kayu balak ke sebuah lori lain," katanya.

Hanifah berkata, kerja memindahkan kayu balak itu mengambil masa dua jam dan pihak berkuasa terpaksa menutup jalan utama itu supaya keadaan terkawal.

Pegawai Operasi Perbadanan Air Pahang Berhad (Paip), Basri Abdul Mubin yang hadir ke tempat kejadian memaklumkan kerja penyambungan paip bersaiz 15 inci itu hanya boleh dimulakan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, pihaknya mendapat aduan paip utama pecah itu berlaku awal pagi semalam kira-kira jam 5 pagi dan pihaknya memang merancang untuk membaiki kerosakan tersebut secepat mungkin memandangkan laluan itu antara kawasan yang sibuk dengan kenderaan.

Menurutnya, kerja memasang paip itu dijangka siap pada sebelah malam dan pengguna diharap bersabar sepanjang kerja baik pulih dijalankan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Temerloh, Wong Tze Shiang berkata, kejadian paip pecah itu akan menyebabkan 30,000 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air.

Menurutnya, beliau berharap kerja baik pulih dapat dilakukan secepat mungkin bagi mengelak kesulitan.

Anak Cik Ta Pilih Audi R8 Harga RM660,000

Posted: 10 Apr 2014 05:56 AM PDT

setw3
Ammar akan mendedahkan hadiah kereta yang diberikan ibunya menerusi Instagram tidak lama lagi.
PETALING JAYA: Anak sulung kepada pelakon Rozita Che Wan iaitu Ammar Effendy menafikan bakal menerima kereta jenis BMW X6 sebagai hadiah kejayaannya mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya sebuah kereta lain.

Ammar, 18, berkata kereta yang dipilih sebagai hadiah kecemerlangannya itu ialah Audi R8 yang harganya kira-kira RM660,000.

"Hahaha... Bukan BMW X6 lah, tetapi kereta lain. Ammar rasa nak tergelak jer bila gosip itu timbul kerana itu kereta untuk 'orang tua'.

"Memang benar mommy nak belikan kereta untuk saya. Tetapi kereta sport la, baru macho," selorohnya kepada mStar Online  ketika dihubungi menerusi mesej aplikasi WhatsApp pada pagi Khamis.
wsewq
Gambar kereta mewah Audi R8 yang dikirim Ammar menerusi Whatsapp selepas membuat tinjauan di beberapa kedai kereta di sekitar ibu kota pada Rabu.
Ammar diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya Rozita sudah membelikannya kereta mewah BMW X6 bersempena kejayaannya yang cemerlang dalam SPM.

 Tambah Ammar, dia inginkan sebuah kereta yang boleh digunakan dalam tempoh masa yang lama dan antara jenis kereta yang diminati ialah Audi R8, BMW M3 dan Mercedes A45.

"Pada Rabu (semalam) saya telah ke kedai kereta melihat mana-mana yang diminati dan setakat ini Audi R8 antara yang saya sukai.

"Tak tahu lah pula kereta apa mommy nak belikan. Berbaloi juga belajar siang malam. Kalau keputusan lebih cemerlang, entah-entah mommy nak belikan Lamborghini atau Ferrari," katanya bergurau.

Sebelum ini, Ammar pernah mendapat hadiahkan sebuah telefon bimbit selepas cemerlang dalam peperiksaan penilaian Menengah Rendah (PMR) dan set permainan PS2 selepas berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Astro Perkenalkan Pula Dunia Pencetus Ummah

Posted: 10 Apr 2014 05:55 AM PDT

sadwa
Dunia Pencetus Ummah diperkenalkan sebagai kesinambungan Pencetus Ummah.
KUALA LUMPUR: Kejayaan program realiti pencarian pendakwah generasi baharu, Pencetus Ummah (PU) musim pertama yang diperkenalkan pada tahun lalu membuatkan stesen televisyen Astro memperkenalkan kesinambungan program itu menerusi Dunia Pencetus Ummah (Dunia PU).

Pengurus Saluran Astro Oasis, Namanzee Harris berkata, program tersebut adalah sebagai langkah menaikkan semula nama-nama pendakwah PU musim lalu yang pernah menjadi fenomena buat penonton.

"Kami ingin menjadikan peserta-peserta musim lalu terus relevan buat penonton agar mereka lebih dikenali.

"Program ini pula konsepnya sama seperti PU lalu, cuma dakwah yang disampaikan lebih santai tanpa juri di hadapan," katanya.

Namanzee ditemui pada majlis pelancaran Dunia PU bersama dengan pengacara program itu, Fahrin Ahmad dan Dr Ridhuan Tee Abdullah di Hotel JW Marriot di sini pada Rabu.

Tambah Namanzee, Dunia PU juga akan membawa kesemua peserta PU musim lalu menjelajah ke tujuh buah negeri bagi menyampaikan dakwah masing-masing.

Antara negeri yang akan dijelajah termasuklah Negeri sembilan, Melaka, Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah.

Dalam pada itu, Namanzee berkata, program ini juga sebagai sumbangan semula kepada masyarakat yang menyokong sepanjang PU musim pertama diadakan.

"Kami bukan sekadar membawa peserta-peserta PU ini berdakwah.

"Tetapi pada masa sama turut  menganjurkan sesi uji bakat untuk program PU musim kedua sepanjang rakaman program Dunia PU dijalankan," ujarnya.

Rakaman program Dunia PU akan bermula 19 April ini dan akan disiarkan menerusi saluran Astro Oasis dan Mustika HD pada setiap Khamis, pukul 9 malam, bermula 1 Mei depan.

Pada musim pertama lalu, juara PU dimenangi peserta dari Selangor iaitu Muhammad Hafiz Mohd Haneefa.

Perlukah basuh enjin kereta?

Posted: 10 Apr 2014 05:52 AM PDT


  • Perlukah basuh enjin kereta? Pastikan tiada kebocoran minyak pelincir semasa mencuci bahagian enjin.
SIAPA yang tidak suka melihat kereta berkilat? Pasti semua bersetuju dengan kenyataan itu. Sememangnya kereta berkilat apabila dibasuh menyelesakan mata kita. Tapi adakah ia bagus terhadap kereta ataupun komponen kereta kita? Mari kita kupas sedikit isu ini.

Sebenarnya penggunaan air terhadap enjin boleh menyebabkan berlaku litar pintas dan kereta meragam. Seelok-eloknya gunakanlah bahan yang paling klasik iaitu minyak tanah bagi menghilangkan minyak dan gris pada permukaan enjin.

Masa kini lebih mudah apabila ada banyak bahan cucian khas. Semburkan sahaja bahan berkenaan di tempat yang perlu dan biarkan ia meresap kemudian lap dengan kain kering.

Gris dan sisa minyak pelincir perlulah diberi perhatian dan dibersihkan dengan segera daripada bahagian luaran enjin kerana ia boleh merosakkan tali kipas, paip getah dan kabel elektrik.

Selain gris, debu atau lumpur melekat pada komponen elektrik seperti alternator (motor penghidup), generator, gegelung penghidup, pengagih dan lampu boleh menyerap wap air serta menyebabkan berlakunya litar pintas.

Pada terminal bateri pula jika ada endapan putih, siram dengan air panas kemudian bersihkan menggunakan kain.

Endapan itu dapat dihilangkan dengan mudah tetapi perlu hati-hati dan jangan sampai air masuk ke dalam bateri.

Lubang pengudaraan pada penutup bateri juga pastikan sentiasa terbuka.

Ketika mencuci bahagian enjin, pemilik kenderaan perlu memastikan jika ada kebocoran minyak pelincir, iaitu elemen penting bagi menjamin kesinambungan kerja setiap bahagian yang bergerak.

Jika sedar ada minyak pelincir bocor, cari segera puncanya dan tambahkan minyak pelincir apabila kurang.


Elakkan sabun basuh

Dalam keadaan biasa, selepas beberapa tahun, gasket kebuk enjin boleh bocor sedikit dan minyak pelincir  menitis. Ini dapat dilihat pada lantai tempat kereta diletakkan. Jika jumlah titisan itu banyak, mungkin gasket di oil sum yang rosak.

Biasanya minyak pelincir berkurang menerusi pemeluwapan dan pembakaran. Tapi jumlahnya tak banyak kira-kira 1/300-1/500 daripada jumlah penggunaan petrol.

Jumlah minyak pelincir boleh dipastikan dengan memeriksa tolok sukat. Baik periksa sendiri kerana jika dibiarkan juruteknik stesen minyak memeriksanya, kadangkala anda sebenarnya 'membantu' memajukan perniagaan mereka.

Jika bersihkan bahagian luar pula lebih mudah. Hantar saja ke bengkel mencuci. Namun, jika anda mahu membasuh sendiri, gunakan sabun yang sesuai tetapi elak sabun basuh atau peluntur.

Lazimnya, kereta baru dicat dengan cat bermutu tinggi. Jika permukaan itu tidak dibersihkan dengan baik, ia cepat rosak.

Debu dan lumpur pada kenderaan boleh menyerap wap air dengan cepat dan merosakkan permukaan cat. Selain nampak comot, cat mudah luntur dan kelihatan retak-retak. Langkah pertama membersihkan kenderaan adalah menghilang debu dengan membuat semburan tanpa menggunakan sabun.

Apabila permukaan badan kenderaan berada dalam keadaan kering dan tidak terlalu kotor, debu yang melekat dapat dihilangkan dengan bulu ayam.

Tetapi, jika kotoran tidak dapat dihilangkan, guna kain bersih basah. Penggunaan kain kering boleh sebabkan calar atau goresan pada permukaan cat. Ini disebabkan kotoran berkenaan mempunyai butir debu keras dan pasir.

Jika basuh gunakan sabun, jangan biarkan sabun terlalu lama di badan kenderaan kerana ia akan meningkatkan partikel bintik-bintik putih serta bahan kimia sabun boleh merosakkan cat.

Selepas dibasuh, keringkan kereta dengan kain bersih. Bagi hasil yang lebih baik selepas kereta kering sapu wax (lilin). Selain menambahkan kilat kereta, wax melindungi permukaan supaya tetap menarik dan hidup.

'Saya terdesak, tuan'

Posted: 10 Apr 2014 05:50 AM PDT


  • 'Saya terdesak, tuan' Tertuduh tenang ketika diiring anggota polis untuk dibawa keluar dari mahkamah selepas hukuman dijatuhkan, semalam.
AYER KEROH - "Saya terdesak tuan, saya dah minta kerja di kilang tetapi mereka tidak mahu ambil kerana faktor usia," kata Mohd Zahar Basiron, 43, yang dijatuhi hukuman penjara 3 tahun 6 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Beliau menerima hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba merompak sebuah kedai runcit, bulan lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zahar didakwa cuba melakukan rompakan ke atas kedai milik Lim Terk Loong, 29, di kedai runcit Star Biz Mini Market di Jalan Rambai Jaya 2, Taman Rambai Jaya, kira-kira 8.30 malam pada 6 Mac lalu.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon supaya dikenakan hukuman ringan terhadapnya yang tidak mempunyai pekerjaan dan perlu menyara dua anak, selain isteri dan ibu.

"Sewa rumah pula sudah empat bulan tertunggak. Isteri saya kena tanggung dua anak, salah seorang kurang upaya (OKU) dan ibu saya berusia 70 tahun. Saya benar-benar insaf dan berjanji tidak akan ulang kesalahan ini," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes meminta tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan sama.

"Walaupun disebabkan desakan hidup, tindakan dilakukan tertuduh itu salah. Tambahan pula tertuduh menggunakan parang yang bukan hanya mengundang bahaya kepada pemilik kedai tetapi juga pelanggannya," katanya.

Selepas meneliti fakta kes, mendengar rayuan tertuduh dan faktor pemberat oleh pihak pendakwaan, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman dipenjara tiga tahun enam bulan dari tarikh ditangkap pada 28 Mac lalu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Fizo Omar Bakal Terbitkan Buku 'Landasan Ke Puncak'

Posted: 10 Apr 2014 05:46 AM PDT

Fizo Omar turut berkongsi pengalamannya dalam bidang perniagaan bersama peserta Seminar Peruncitan Mara 2014 di Hotel Premiera pada Rabu.
NAMA Wan Hafizol Wan Omar mungkin agak asing kepada kita. Namun jika sebut sahaja Fizo Omar pasti ramai yang terbayangkan wajah tampan pelakon dan pengacara yang sudah menceburi dunia perniagaan secara serius sejak dua tahun lalu.
Menceritakan detik awal menceburi perniagaan Hot Burger, Fizo berkata, kisah itu bermual selepas dia nekad untuk berhenti berlakon selama enam bulan semata-mata untuk membuat pemerhatian secara serius dalam perniagaan francais burger.
"Selama dua tahun saya buat pemerhatian secara serius dalam perniagaan menjual burger ini. Kalau anda perasaan saya juga selalu 'tweet' mengenai burger di twitter ketika itu.
"Daripada situ saya mendapat maklum balas bahawa ramai menggemari burger yang dijual di tepi jalan berbanding burger di restoran makanan segera. Hasil pemerhatian ini, saya mula mengorak langkah dengan membuat perancangan rapi sebelum memulakan perniagaan hot burger," katanya kepada mStar Online pada Rabu.
Ditanya siapakah mentor beliau dalam bidang perniagaan, Fizo yang juga menantu kepada pemilik butik tudung popular Fareeda berkata jutawan terkenal, Dr Azizan Osman, tokoh korporat Datuk Dr Maznah Mazlan dan arwah ayahnya adalah mentornya.

Idam Punya Syarikat Produksi Drama Sendiri 

Walaupun telah berjaya menjana pendapatan yang lumayan dalam bidang perniagaan, anak kelahiran Kelantan ini tidak pernah terfikir untuk berundur daripada industri hiburan.

"Hiburan juga adalah sebahagian daripada bisnes yang menjana pendapatan kepada saya. Saya menjual bakat saya, tak ada surat yang mengatakan saya akan undur diri daripada bidang ini.

"Satu hari, bila saya ada dana yang mencukupi saya pasti akan menerbitkan drama dan buka syarikat produksi saya sendiri. Itu impian saya," katanya.

Fizo memberitahu, dia juga menghadapi cabaran untuk berjaya dalam perniagaan tetapi bernasib baik kerana latar belakang sebagai selebriti memudahkan perjalanan perniagaannya.

"Saya bukanlah artis popular di Malaysia, namun saya yakin saya boleh kumpulkan sekurang-kuranya 2.5 juta peminat di seluruh negara .

"Saya tidak mahu ketepikan peranan media konvensional, namun dengan kemajuan teknologi pada hari ini membolehkan saya berhubung secara terus dengan peminat saya melalui media sosial seperti, Twitter, Facebook dan Instagram. Inilah salah satu strategi perniaggan saya dan media sosial merupakan platform untuk memajukan perniagaan saya," katanya.

Tidak lokek berkongsi tips kejayaannya dalam bidang perniagaan, Fizo kini dalam proses menghasilkan sebuah buku bertajuk 'Landasan Ke Puncak' untuk membantu usahawan muda di negara ini.

"Saya sedang mengumpul bahan dan sudah mula menulis pengalaman saya dalam bidang perniagaan. Dalam masa yang sama, saya juga merancang membuka restoran makanan secara fraicais pada tahun ini.

"Dengan cawangan pertama akan dibuka selepas hari raya nanti. Saya menjangkakan 10 cawangan dapat dibuka sebelum tahun hadapan. Menunya adalah masakan berasaskan nasi dan saya menjanjikan sesuatu yang berbeza daripada restoran-restoran sedia ada," katanya.

Istimewa Fizz pada Almy

Posted: 10 Apr 2014 05:43 AM PDT


PENGALAMAN lepas banyak mengajar Almy untuk menjalani rutin kehidupan terkini.


LAPAN tahun bercinta, dugaan demi dugaan terpaksa diharungi insan bernama Almy Nadia Aminuddin Shah dan kekasihnya pelakon Fizz Fairuz.
Pasang surut kisah cinta mereka sudah boleh dibikin sebuah novel cinta tragis jika dihimpun semua kontroversi yang menghiasi perjalanan cinta Almy, 28, dan Fizz, 35.
Bermula dengan Almy menolak pinangan Fizz, kisah putus cinta sehinggalah Fizz sempat bertunang dengan seorang wanita tetapi putus kerana mendakwa wanita itu masih bergelar isteri orang sekitar Februari tahun lalu.
Namun, tabik buat Almy kerana hatinya masih setia kepada lelaki bernama Fizz Fairuz. Menerima kembali cinta Fizz bukanlah suatu yang mudah kerana Almy dihentam kanan dan kiri oleh peminat yang menganggap keputusannya itu tidak relevan.
Perlahan suaranya dihujung corong telefon ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
"Saya sedar ramai yang berpihak kepada saya dan ramai yang marah apabila saya membuat keputusan untuk menerima Fizz kembali dalam hidup saya.
"Harus diingat sebagai manusia, siapa saya untuk melawan takdir Allah. Saya tidak mampu bercakap lebih, sudah tertulis jodoh saya bersamanya cukup kuat," ujarnya.
Bakal bernikah pada 26 April ini di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, ujar ibu kepada kepada seorang anak angkat bernama Nur Afrina Darwisya, 5, ini, dia enggan lagi menangisi kisah silamnya.
"Kalau ikutkan baran dan perasaan marah memang saya marah tetapi selepas berfikir dengan matang, saya sudah ada anak, usia pun bukan muda, buat apa saya kenang perkara yang sudah lepas.
"Apa yang telah berlaku, saya tidak mahu fikir lagi. Rasanya kita lebih kenal siapa diri kita dan sedar diri selepas dilanda musibah," katanya.
Ditebak, apakah istimewanya Fizz sehingga pintu hatinya terbuka untuk menerima lamaran lelaki yang berasal dari Raub, Pahang itu.
"Jodoh sesuatu yang tidak boleh diramal, ada hikmah sebalik apa yang berlaku. Sifat dia yang ramai orang tidak tahu ialah dia seorang yang bertanggungjawab.
"Kami susah sama susah, senang sama senang. Bukan itu sahaja, rasanya Fizz seorang yang mampu terima anak angkat saya. Sebelum ini, saya ada berkawan dengan lelaki lain tetapi mereka tidak dapat menerima anak saya seperti mana Fizz.
"Fizz juga seorang yang bijak mengambil hati. Sebelum melamar saya, dia melamar ibu dan anak saya terlebih dahulu. Sebab itu hati saya terbuka untuk terima dia kembali," balas Almy yang tidak menyimpan dendam terhadap apa yang berlaku sebelum ini.
Sembunyi majlis pertunangan
Selepas deretan kontroversi yang menguliti cinta mereka, Almy dan Fizz mengambil keputusan untuk menyembunyikan majlis pertunangan mereka yang berlangsung pada 22 Oktober tahun lalu sempena hari lahir Fizz.
Akui Almy, dia sendiri tidak menyangka akan bertunang dan tidak lama lagi akan bergelar isteri kepada Fizz Fairuz.
"Semua berlaku dengan cepat. Saya sendiri tidak tahu Fizz melamar saya. Apabila saya tahu, tarikh majlis pertunangan sudah hampir.
"Fizz datang dan berbincang dengan keluarga. Keluarga semua setuju untuk tidak menghebahkan majlis pertunangan kepada orang ramai. Pengalaman lepas dijadikan pengajaran untuk kami berdua," balasnya.
Almy menjelaskan, dia bimbang mulut orang yang mendoakan perkara yang tidak baik.
"Saya tidak takut pada orang ramai tetapi takut kepada mulut manusia dan mata pena yang bagi saya amat tajam. Bila berita keluar, ada yang suka akan doakan yang baik-baik tetapi buat yang benci pada saya dan Fizz akan mendoakan perkara yang tidak elok.
"Sebab itu kami diamkan sahaja majlis pertunangan. Apabila semua persiapan perkahwinan hampir sele- sai, barulah diumumkan kepada orang ramai. Rasanya lebih baik begitu," kata Almy.
Perubahan diri Almy
Kontroversi cintanya banyak mengubah Almy menjadi wanita yang lebih kuat berbeza dengan Almy yang dikenali sebelum ini.
Bicaranya tetap lembut tetapi lebih tersusun diselit dengan nada tegas yang sebelum ini tidak biasa Almy lakukan ketika sesi temu bual.
Ujarnya, pengalaman lepas banyak mengajarnya untuk menjadi Almy hari ini. Selepas apa yang dilalui, Almy enggan lagi memuaskan hati semua pihak tetapi hatinya sendiri terluka.
"Saya mungkin lebih yakin dan lantang dalam bersuara tetapi pada masa yang sama banyak perkara yang saya rasa tidak perlu diceritakan, saya akan simpan.
"Sebelum ini saya akui terlalu jujur apabila menjawab soalan. Sebab itu perkara yang kecil menjadi besar dan ada yang pijak kepala saya. Bukan mahu sombong tetapi saya telah terkena, jadi lebih baik berhati-hati," ungkapnya.
Tambahnya, kontroversi lalu membuatkan dia bermuhasabah diri. Menilai kembali kesilapannya supaya tidak berulang kembali.
"Semua yang berlaku ada hikmah. Bukan Fizz sahaja tetapi saya juga ada melakukan kesilapan tanpa saya sedar. Saya perlu tapis apa yang saya cakap pada orang lain. Sebelum ini saya bercakap tanpa berfikir kesannya," balasnya.

Dia bukan suami orang - Marsha

Posted: 10 Apr 2014 05:42 AM PDT

MARSHA mengakui, dia memerlukan seorang lelaki yang boleh dia curahkan rasa manja dirinya.


SEBELUM ini, penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh pernah mengakui bercinta dengan seorang ahli perniagaan bernama Mr. S.
Penyanyi berusia 29 tahun itu memberitahu, dia telah mengenali Mr. S sejak enam tahun lalu dan mula menjalinkan hubungan cinta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, setelah apa yang berlaku kepada pelakon Hanez Suraya, ada beberapa individu mula mencungkil status kekasih kepada bekas peserta Akademi Fantasia ke-3 itu pula.
Marsha yang ditemui pada majlis penyampaian hadiah Kosmo! di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, mendedahkan tentang status lelaki yang bertakhta di hatinya itu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Marsha selanjutnya.
Kosmo!: Ada yang cuba mencungkil status teman lelaki Marsha. Tak takut kejadian yang menimpa Hanez Suraya berlaku kepada diri Marsha pula?
MARSHA: Dia (teman lelaki) bukan duda atau suami orang. Dia solo (ketawa). Memang saya takut. Apa yang Hanez Suraya sedang lalui sekarang membuatkan saya agak takut sehingga saya membuat kaji selidik mengenai latar belakang kekasih. Memang sah dia bukan suami orang (ketawa). Kalau boleh, saya tidak mahu terlibat dengan suami orang. Sebab kalau saya dalam situasi wanita itu, saya juga tidak suka bermadu. Saya tidak mahu kacau mana-mana pasangan.
Ada juga yang mendakwa artis sering kali memilih teman lelaki yang mempunyai pangkat dan status. Komen Marsha?
Dia orang biasa sahaja.
Bagaimana Marsha boleh berkenalan dengannya?
Saya sudah kenal dia lama. Sejak enam tahun lalu. Kami berjumpa di sebuah majlis.
Apakah yang membuatkan Marsha tidak serik untuk terus menjalinkan hubungan cinta biarpun kerap kecundang?
Setiap orang memerlukan seseorang untuk menyayangi diri kita. Lebih-lebih lagi, saya ini seorang yang manja. Saya perlukan seorang lelaki yang boleh saya curahkan rasa manja saya. Dia buat kita rasa sentiasa positif dan membuatkan diri kita ada arah tuju serta ingin menjadi lagi bagus.
Apakah perkembangan terkini karier seni Marsha?
Saya baru merakamkan lagu baharu dengan Zarul Umbrella. Tajuk lagu tersebut Satu Rasa. Lagu itu mungkin akan dipasarkan pada bulan Mei nanti. Selain itu, saya juga baru lepas rakam lagu tribute untuk MH370 berjudul Langit Biru di samping penyanyi rap Caprice, Atilia dan juga penyanyi rap Cina serta India.
Saya juga akan ke Johor menjalani penggambaran drama untuk Hari Guru. Sementara itu, tiga filem lakonan saya akan menjengah pawagam iaitu Tujuh, Juanita dan Pak Pong.
Selain itu, saya juga bakal keluar dengan jenama pakaian sendiri iaitu Marsha Milan Style.

Kenapakah baru kini Marsha mencuba nasib dalam bidang perniagaan?
Memang sejak keluar AF lagi, saya sudah merancang untuk membuka perniagaan pakaian sendiri tetapi ketika itu saya terikat dengan pengurusan dan jadual yang padat.
Bilakah bisnes Marsha itu akan dimula- kan dan apakah jenis perniagaan itu?
Setakat ini saya bermula dulu dengan perniagaan dalam talian. Tengok dulu macam mana maklum balas daripada peminat. Saya sasar ingin membuka perniagaan itu pada bulan depan tetapi disebabkan sibuk dengan jemputan persembahan, kemungkinan dua atau tiga bulan lagi. Saya menjual beberapa koleksi pakaian dan aksesori. Saya ada pereka sendiri. Idea daripada saya dan apa yang saya pakai selalu. Bisnes ini diuar-uarkan menerusi Facebook saya.
Apakah perasaan Marsha selepas bergelar ahli bisnes? Siapa sumber inspirasi?
Rasa sangat gembira sebab sudah lama impikan. Sekarang pun tak ada masa tetapi saya cuba uruskan masa dengan baik. Saya akan cuba uruskan perniagaan ini sebaik mungkin. Saya memang sukakan fesyen. Lebih-lebih lagi ramai yang menegur di manakah saya membeli baju. Dari situ timbul idea untuk merealisasikan impian untuk membuka perniagaan pakaian sendiri.

Siapakah kawan baik anda dalam industri?
Saya baik dengan Sakinah. Hari itu saya ada ke Pulau Pinang untuk menyokong pusat fitness dia.
Adakah anda suka bersenam?
Saya suka tetapi tidaklah terlalu kuat bersenam seperti Sakinah. Yang penting saya bersenam untuk kekalkan stamina ketika menyanyi.
Ada yang mempertikaikan nyanyian Demi Lovato lagi bagus daripada anda untuk lagu tema filem animasi Frozen? Komen?
Saya sedar mengenai perkara itu sebab saya juga dengar versi Demi. Memang agak sukar kalau kita hendak bandingkan dengan dia. Masa saya rakam lagu itu juga agak susah sebab pihak jurutera muzik ingin saya ikut cara nyanyian Demi.
Padahal kekuatan vokalnya lebih menyerlah tetapi dari segi positifnya saya fikir mereka pilih saya dalam semua penyanyi. Memang agak sedih pada mulanya bila saya baca komen tersebut. Bagaimanapun, saya ambil komen itu sebagai positif untuk belajar meluaskan kekuatan vokal saya.

Reka, susun, program sendiri

Posted: 10 Apr 2014 05:32 AM PDT



SATU persatu aksesori dari kotak yang terletak di atas meja itu disuai padan untuk dicantumkan menjadi robot yang diimaginasikannya. Sekejap-sekejap dia mengerling ke meja sebelah untuk melihat hasil robot rekaan rakannya.
Barangkali kanak-kanak cilik itu ingin membandingkan robot siapa yang kelihatan lebih gah. Walaupun robot yang dihasilkan belum sempurna sifat, Muhammad Andrian Nazriel Khairul Nazman, 10, sudah mengalih tumpuannya pada paparan skrin komputer di hadapannya pula.
Dia nampak tekun menyusun kod program menggunakan satu perisian khas. Sekilas pandang, apa yang dilakukannya tidak ubah seperti pengatur cara komputer yang berpengalaman memprogramkan aplikasi komputer.
Walhal, perkara tersebut cuma perkara asas yang dipelajari menerusi sistem pembangunan produk keluaran Lego yang dikenali sebagai Lego Mindstorm EV3.
"Kem ini menyeronokkan kerana dapat belajar cara-cara pengekodan manakala bahagian paling susah semestinya mengatur cara program untuk robot.
"Lebih banyak program baharu dan pagar sesat untuk robot yang diajar. Saya boleh reka robot ikut kehendak sendiri dan masukkan urutan perintah mengikut atur cara yang saya mahu," katanya yang kali kedua mengikuti Kem Pengenalan Robot anjuran Cyberview Sdn. Bhd. dengan kerjasama Terato Tech. Sdn. Bhd. (Terato) itu.
Muhammad Andrian Nazriel merupakan pelajar tahun empat di Sekolah Rendah Cyberjaya, Selangor yang bercita-cita menjadi saintis. Kanak-kanak itu turut merancang untuk mengikuti kelas intensif Lego Mindstorm EV3 yang akan dijalankan pada setiap minggu sebanyak 20 sesi bermula Mei ini.
Teruja
Selain 14 kanak-kanak itu, ibu bapa juga tidak terkecuali melahirkan rasa teruja dengan pengisian program tersebut. Ia disifatkan cukup berbeza berbanding yang mereka bayangkan sebelum menghantar anak masing-masing.
Ibu kepada peserta, Yang Marjaniah Ab. Ghani, 37, berkata, dia mengetahui tentang penganjuran kem tersebut melalui laman sosial Facebook dan bertanya kepada anaknya, Muahammad Harith Ezral, 11, terlebih dahulu sama ada berminat atau tidak untuk menyertainya.

SEBAHAGIAN pelajar menunjukkan rekaan robot masing-masing yang pelbagai bentuk dan saiz.


"Anak saya memang meminati permainan Lego dan seorang yang 'gila' gajet dan kem seumpama ini pasti mengembirakannya. Jadi, saya ambil peluang ini untuk memberi pendedahan dengan aktiviti kegemarannya.
"Saya agak terkejut apabila mengetahui kem ini merupakan kem robotik kerana pada mulanya menyangkakan ia cuma pameran biasa seperti di Legoland, Nusajaya, Johor. Kalau anak saya menyukai, saya harap dia boleh pergi lebih jauh," katanya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor.
Kem Pengenalan Robot itu diadakan pada 27 hingga 29 Mac lalu di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Ia terbuka kepada peserta berumur antara 10 hingga 14 tahun dan rata-rata peserta menetap di sekitar Lembah Klang.
Kemahiran
Setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM240 seorang termasuk makan minum kecuali penginapan. Ibu bapa juga perlu mengambil dan menghantar anak mereka sepanjang tiga hari tersebut.
Dalam pada itu, seorang lagi ibu peserta, Uma Devi Thiagarajah, 47, menghantar anaknya kerana tertarik dengan aktiviti yang dijalankan selain baru diperkenalkan di negara ini.
"Saya fikir apa salahnya kalau mencuba, lagipun anak ketiga saya memang sukakan robot.
"Anak saya memang menunjukkan minat terhadap kelas ini kerana dia sendiri mengingatkan saya agar tidak terlewat menghantarnya ke kem pada keesokan harinya," ujar Uma Devi dalam nada gembira.
Beberapa peserta mengakui ingin memiliki set Lego Mindstorms EV3 mereka sendiri kerana ia lebih menyeronokkan berbanding permainan pada aplikasi telefon pintar dan tablet.
Generasi ketiga
Ketua Lego di Terato, Daniel Tsen memberitahu, Lego Mindstorms EV3 adalah generasi ketiga Lego Robotics dan baru sahaja dilancarkan pada September tahun lepas. EV bermaksud Evolusi dan nombor 3 merujuk kepada versi ketiga yang lahir selepas generasi NXT.
"Bagi tujuan pembelajaran, kami menggunakan Siri Pendidikan Lego yang sedikit berbeza berbanding yang biasa dijumpai di kedai-kedai permainan kanak-kanak. Robot-robot ini sesuai untuk pelbagai kegunaan.
"Selain menjadi permainan, ia boleh dijadikan hobi atau lebih serius sebagai perkakas prototaip. Setiap set asas bernilai RM2,100 dan didatangkan bersama set tambahan yang bernilai RM570.
"Jadi, satu set lengkap berharga RM2,670. Jika ditambah dengan transformer dan bateri boleh dicas semula, semuanya bernilai RM3,260," jelasnya selepas menunjukkan demonstrasi robotik ketika ditemui Kosmo! di kem tersebut baru-baru ini.

SEORANG peserta, Fuad Darwish Mohd. Fadzil, 11, menunjukkan robot rekaannya.


Kreativiti
Para peserta diajar mengenai aspek perkakasan dan perisian robot selama tiga hari kem berlangsung. Mereka turut dijelaskan tentang fungsi asas robot dan kegunaan setiap bahagiannya.
Semua pelajar berpeluang bermain dengan motor, sensor malah menggunakan perkakas Bluetooth untuk mengawal pergerakan robot masing-masing. Dari sudut pendidikan, mereka dapat belajar beberapa konsep mudah dalam robotik seperti pusingan, sudut dan logik ringkas seperti IF-ELSE yang sinonim dalam pengaturcaraan komputer.
Jelas Daniel, para pelajar diberi tugasan-tugasan seperti melintasi pagar sesat, mengikut laluan tertentu dan menggunakan sensor warna bagi mendapatkan penyelesaian terbaik untuk bergerak dari titik mula ke akhir.
"Mereka berjaya menyelesaikannya dengan pendekatan logik. Paling menarik apabila para pelajar berjaya mengawal kelajuan robot mereka pada setiap pusingan untuk mencecah garisan penamat sepantas mungkin.
"Semua kemahiran asas ini membolehkan mereka untuk bekerja dengan kelajuan, ketepatan dan kekangan setiap sistem. Sememangnya ia berbeza daripada biasa kerana kami memasukkan empat disiplin ke dalam satu.
"Lego menamakannya sebagai STEM yang merujuk kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories