RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Neelofa merajuk dengan industri?

Posted: 13 Apr 2014 06:28 PM PDT


  • Neelofa Neelofa
KELIBAT gadis bertubuh genit ini di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Sejak berkecimpung dalam industri seni pada 2010, setelah memenangi pertandingan Dewi Remaja 2010/2011, nama Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor terus menjadi sebutan ramai.
Namun, jika diselak lembaran diari anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini, pelbagai onak ranjau sudah dilalui meskipun tempoh perjalanan tersebut masih belum jauh.
Bermula dengan gosip cinta bersama VIP, seterusnya pelakon filem Azura ini dikaitkan dengan hero filem sama, Shahz Jaszle sehingga menjadi punca perpisahan aktor itu dengan bekas kekasihnya, Maria Farida.
Bukan itu sahaja Neelofa turut dikaitkan dengan Fazura mengenai isu rampas kekasih sehinggalah dikatakan tidak bertuah selepas filem lakonannya tidak mendapat sambutan, isu tangkapan khalwat dan terbaharu, isu baju yang tidak sesuai dikenakan, mula menerjah kerjaya pelakon dan pengacara jelita ini.
Kontroversi demi kontroversi yang berlaku tanpa sedar mencalarkan imej gadis yang baru menginjak ke usia 25 tahun ini.
Tentu sahaja pasti ada yang berkata, artis baharu dan kontroversi sememangnya tidak dapat dipisahkan.
Namun bagi Neelofa sendiri, dia mengambil sikap yang positif, biarpun empunya badan sendiri sedar akan hakikat itu.
"Secara peribadi, saya sedar saya antara artis yang sentiasa terkait dengan kontroversi dan ada kalanya yang besar dan teruk-teruk. Malah saya juga pernah melalui jalan yang sukar untuk menghadapi kontroversi berkaitan diri saya.
"Apatah lagi ada kalanya kontroversi yang berlaku bukan datang dari diri sendiri sebaliknya khabar angin dan juga fitnah semata-mata, namun saya tiada kesempatan untuk memperbetulkan keadaan dalam masa yang singkat.
"Tetapi berkat kesabaran dan sikap konsisten untuk terus maju ke hadapan secara positif, lama-kelamaan orang luar akan lebih mudah mengenali diri kita," katanya yang kini bercuti bersama keluarga di London, Britain.
Neelofa berkata, biarpun ada di antara kontroversi yang dilaluinya itu begitu memalukan, namun dia percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Tidak mahu membebankan diri dengan kontroversi yang berlaku, Neelofa sentiasa memperbaiki diri jika ada perkara yang tidak kena dengannya.
"Saya akui, bukan semua orang suka kita tapi manusia sentiasa berubah, kalau hari ini dia benci sangat, tak mustahil satu hari nanti dia akan suka kita. Orang lain tidak boleh ubah diri kita melainkan kita sendiri yang melakukannya.
"Walaupun kita cuba elak kontroversi, ia tetap akan datang, Jalan terbaik, bila ada kontroversi yang timbul, lihat semula pada diri kita, ambil masa untuk melihat kesalahan itu dan betulkan ia, kemudian kita melangkah terus ke hadapan," katanya.

Justeru bagi mengembangkan lagi karier, Neelofa bukan sahaja memberi fokus terhadap bidang seni, bahkan kini mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebagai jaminan untuk masa depannya.

Selepas memasarkan tudung Bokitta yang di ambil dari Lubnan, Neelofa berkata, dia baru sahaja melancarkan jualan jubah menerusi jenama Naelofar Abaya yang dijual menerusi laman Instagram miliknya, @naelofar.

"Untuk perniagaan ini, saya bekerjasama dengan seorang rakan yang sememangnya ada latar belakang dalam bidang fesyen. Alhamdulillah untuk malam pertama selepas tiga jam dilancarkan, kami terima pesanan lebih daripada 100 helai.

"Sambutan itu sahaja sudah membuatkan kami sangat-sangat bersyukur," katanya.

Bukan itu sahaja, Neelofa berkata dia kini sedang sibuk membuat persiapan akhir sebelum melancarkan produk Lofalens (LF Lens) iaitu kanta lekap di bawah jenamanya, Mei ini.

"Ini adalah projek terbesar saya untuk tahun ini dan saya sudah mula merangka projek ini sejak November tahun lalu dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

"Insya-ALLAH Mei ini ia akan mula berada di pasaran. Memandangkan ia adalah projek terbesar, maka yang terlibat 100 peratus dalam proses pemilihan pembekal, rekaan, konsep produk, pembungkusan, warna kanta lekap dan juga pemasaran.

"Antara sebab utama saya memilih untuk menjual kanta lekap adalah kerana permintaan tinggi di Malaysia tetapi sayangnya di sini kurang pilihan," katanya.

Namun dalam kesibukannya menguruskan perniagaan, ada beberapa kata-kata nakal yang mengatakan 'kehilangan' Neelofa dari bidang seni akhir-akhir ini kerana isu bajunya yang diperkatakan beberapa bulan lalu.

"Saya tidak menghilang atau senyap, mungkin kerana insiden MH370 membuatkan saya nampak tidak aktif di media sosial. Namun sebenarnya dalam masa sama, saya turut sibuk menghadiri kelas 'kickboxing' dan pilates.

"Jadi tiada istilah merajuk dan sebagainya kerana saya memang sibuk," katanya.

Masih hos Nona

Berkongsi mengenai perkembangan kariernya, Neelofa berkata, dia masih aktif dalam industri seni namun, dek kerana insiden kehilangan MH370, banyak program dibatalkan dan dia mempunyai banyak masa terluang kini.

"Sebaik pulang dari London, saya akan terlibat dengan penggambaran filem pendek yang masih dirahsiakan tajuknya," katanya.

Bagaimanapun Neelofa mengakui dia kini lebih banyak menerima tawaran mengacara berbanding berlakon kerana mengacara tidak memerlukan komitmen masa yang panjang.
"Bagi saya mengacara lebih fleksibel dengan masa yang saya ada. Jadi senang untuk saya fokus kepada karier seni dan juga perniagaan.

"Dalam masa masa, ada dua lagi filem saya yang masih belum ditayangkan," katanya yang kini merancang untuk mengacara satu lagi program baharu yang masih lagi dalam perbincangan.

Ditebak mengenai kehilangannya daripada program Nona, Neelofa berkata : "Saya masih mengacarakan program tersebut dan baru saja memperbaharui kontrak untuk tahun ini.

"Cuma disebabkan konsep baharu iaitu setiap bulan kita ada pengacara jemputan membuatkan orang keliru dan menganggap saya tidak lagi bersama Nona," jelasnya yang belum ada sebarang perancangan untuk terus bersama Nona tahun depan.

Putus dengan Hans?
Bagai tidak lengkap andai tidak mengusik pelakon yang pernah membintangi filem Azura ini mengenai kisah percintaan dengan aktor dan pengarah kacak Hans Isaac, Neelofa bagaimanapun menolak lembut untuk memperkatakan mengenai perkara itu.

"Buat masa ini, saya sangat menyukai kerjaya saya, perniagaan saya. Cinta dengan kerja paling menyeronokkan kerana bangun pagi dan sebelum tidur asyik fikir hal kerja saya. Lagi-lagi bila perniagaan baru bermula, banyak benda yang perlu saya lakukan.

"Untuk berkahwin, tipulah kalau saya cakap akan terjadi dalam masa yang terdekat.

"Kalau boleh saya tak mahu tersilap langkah. Saya betul-betul mahu menguatkan empayar perniagaan kerana impian saya, saya tidak mahu bergantung dengan suami bila berkahwin nanti.

"Memang perkahwinan adalah tentang sesuatu yang boleh dikongsikan tapi sebelum itu saya mahu ada kehidupan sendiri dan saya sedang melaluinya sekarang.

"Lebih indah selepas itu baharulah dapat dikongsi dengan orang yang dicintai.

"Cuma kini saya harap semua khasnya peminat doakan yang terbaik untuk saya bersama dengan pasangan yang sentiasa mendapat berkata dan rahmat di sisi ALLAH SWT," akhirinya.

Jep Sepahtu 'rimas' isu Shahrol

Posted: 13 Apr 2014 06:25 PM PDT


  • Jep Sepahtu 'rimas' isu Shahrol
NAMA Jep Sepahtu tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai pelawak berbakat dan serba boleh.

Populariti yang diraih setelah memenangi Raja Lawak 3 dan Maharaja Lawak bersama kumpulannya, Sepah semakin melonjak apabila merangkul Anugerah Lawak Warna 2013 dan Super Spontan 2013.

Namun, lumrah menjadi orang terkenal dalam bidang seni, Jep juga tidak terkecuali dipalit kontroversi yang membabitkan dirinya dengan ahli kumpulan Shiro, Shahrol.

Desas-desus konflik dan perang dingin yang tercetus di antara mereka sejak awal tahun ini dikatakan masih berlarutan sehingga kini.

"Saya tak ada jawapan untuk isu tu sebab memang tak ada apa-apa yang berlaku. Benda tu pun dah lama, tak ada pergaduhan, masam muka atau konflik untuk dijelaskan sebab memang tak ada apa-apa yang berlaku.

"Sesiapa pun boleh mendakwa kami ada konflik, tapi yang didakwa pun tak tahu nak jawab apa sebab tak tahu dakwaan tu berasaskan apa," katanya.

Terkilan dengan khabar angin yang disebarkan di Internet, Jep kesal dengan situasi  yang dianggap tidak ada kena-mengena dengan dirinya itu.

"Zaman sekarang orang berhak menulis apa sahaja, tapi dari segi logik akal dan pemikiran manusia, adakah anda terus percaya bulat-bulat dengan sesuatu yang diutarakan?" luah Jep dengan serius.

Kurang selesa diajukan soalan berkenaan konflik dengan Shahrol, Jep menafikan kontroversi ini dan tidak mahu isu sebegini terus mengganggu perjalanan karier seninya.

"Kita hidup jangan menyusahkan dan memporak-perandakan orang lain. Kita dicipta di muka bumi ini untuk mengamankan dunia, bukan untuk mengucar-ngacirkan dan memecahbelahkan antara satu sama lain.

"Saya cuma bekerja dan bukan mencari publisiti dengan cerita-cerita sebegini. Alhamdulillah apa yang saya buat Allah izinkan, bukan kerana bakat yang bagus saya ada di sini tetapi kerana izin Allah dan doa orang ramai," ujar Jep yang tidak mahu perkara ini dipanjangkan.


Sisi tegas Jep

Ketika ditemui di sebuah acara sempena Drive M7 Gallery bersama syarikat-syarikat permotoran lain di Plaza Alam Sentral, Jumaat lalu, duta Drive M7 Energy Drink ini sempat bercerita perihal dirinya yang merupakan seorang yang serius dalam kehidupan sebenar.

"Sebenarnya saya sorang yang sangat tegas dan akan berlawak dengan orang-orang yang rapat dan selesa. Sebab kalau kita 24 jam nak buat lawak pun nanti orang kata kita tak tahu ikut situasi majlis.  Bukan semua orang boleh terima lawak kita.

"Bidang lawak ni ibarat meniti sehelai rambut. Kalau berjaya orang akan sanjung, kalau tak jadi orang kata ini lawak bodoh. Bagi saya tak ada istilah lawak bodoh sebab lawak tu terlalu besar skopnya.

"Buat masa sekarang Alhamdulillah saya ada plan B kalau orang tak gelak dengan lawak saya. Saya akan cuba jadikan sesuatu itu bahan jenaka asalkan ia tidak melanggar batas atau menyentuh isu sensitif," jelas pelawak yang meminati Allayarham AR Tompel ini.

Dalam perkembangan lain, Jep terlibat dengan program School of Lawak, projek daripada Exco Malaysian Book of Record berkenaan bidang komedi, Karoot Media musim terbaharu dan penggambaran dua telefilem raya yang bakal menyusul.

Jutawan muda

Posted: 13 Apr 2014 06:23 PM PDT


  • Jutawan muda
DUA beradik ini begitu istimewa. Pencapaian mereka luar biasa! Pada awal 20-an mereka mencari haluan sendiri, mengubah destinasi ke arah peluang yang lebih besar.

Mengelak pekerjaan makan gaji dan mahu menjana pendapatan yang ditentukan sendiri hingga akhirnya; pada usia 25 tahun, mereka memegang status jutawan!

Dalam dunia pelaburan dan insurans, siapa tidak kenal Nor Akmar Hanif, 34, dan Aida Nurlin Hanif, 30. Pengasas Amazing Millionairessisters Group ini terkenal bak selebriti.

Wajah cantik mereka terpampang di dada-dada akhbar dan majalah tempatan. Kejayaan mereka di usia muda menjadi simbolik belia negara.

Mereka merupakan jutawan pelaburan berasaskan saham amanah dan insurans terkenal di negara ini. Dek keterbiasaan mereka berdepan bidikan flash kamera, kedua-duanya kini tidak kekok lagi. Lincah dan bijak beraksi sehingga menerima pujian juru foto.

Sememangnya dua wajah cantik yang bertubuh kecil molek ini menyenangkan krew WOW dalam sesi fotografi.

Kelihatan lebih bersemangat dan petah memulakan bicara, Nor Akmar @ Akmar bijak memainkan peranan agar adik turut sama-sama seiring bercerita dengannya.

"Kami minat bergambar, fesyen dan apa sahaja mengenai kecantikan. Apabila belek majalah, mulalah nak buat macam dalam majalah. Kadang-kadang selfie," ujar Akmar.

Bagi penulis, karisma Akmar terserlah saat dia bersuara. Maka tidak hairanlah pembentangan wanita cantik ini mampu memberikan pulangan, baik dari segi persepakatan pelaburan mahupun insurans.

Akmar adalah mentor yang membawa Nurlin@Elynn ke bidang ini.

"Terus terang, saya terlibat secara langsung kerana lihat kejayaan Akmar. Dia mentor dan inspirasi saya. Pada awalnya saya terkejut dengan tindakan dia berhenti kerja.

Akmar graduan Kejuruteraan Sistem Maklumat Universiti Manchester. Dapat kerja bagus di bidang IT tapi berhenti semata-mata nak buat bisnes ini. Akhirnya bila saya sendiri sertai, baru saya tahu keseronokannya." kata Elynn, diiringi senyuman tulus dari si kakak.


Tidak rapat

Bercerita mengenai hubungan keduanya, Akmar mengakui mereka tidak serapat sekarang sewaktu kanak-kanak dulu sehingga tempoh habis belajar.

"Beza umur kami empat tahun. Saya bersekolah di Sekolah Seri Puteri Jalan Kolam Ayer (asrama penuh yang kini berada di cyberjaya) manakala Elynn di asrama penuh Kolej Tunku Kursiah di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketika Elyyn di tingkatan 5 pun saya dah berada di Manchester. Masa dan jarak memisahkan kami. Hanya setelah Elynn bercuti habis SPM hubungan kami mula rapat.

"Elynn datang ke Manchester untuk bercuti dan temankan saya di sana. Ketika itulah kami lebih mengenali sikap antara satu sama lain. Kami pergi Disneyland dan saya demam di sana. Cuaca winter, saya tak larat dan Elynn dukung saya. Kami berada di Eropah lebih kurang seminggu. Ketika di Eropah itulah bonding kami bertaut.

"Balik ke Malaysia saya dan Elynn tinggal bersama dan ketika saya buat kerja, Elynn akan sentiasa bersama-sama saya. Jumpa klien saya, jumpa kawan-kawan saya. Jadi dia cepat matang," katanya.


Pentingkan pelajaran

Lahir dalam kalangan keluarga yang menitikberatkan soal pendidikan dan pelajaran, Elynn mengakui mereka sudah mempunyai perancangan masa depan dari sejak kecil. Sifat itu ditanam oleh kedua ibu bapanya.

"Abang dan kakak-kakak kami berjaya dalam pelajaran. Mungkin sebab itu kami berdua terdorong untuk mengikut laluan yang sama. Masa darjah 6 kami dah fikir dan target nak masuk sekolah mana. Dan kami berusaha ke arah itu.

"Lagi satu, mak dan ayah tanamkan budaya membaca dalam keluarga kami. Kat rumah ada perpustakaan. Macam-macam buku ada. Saya masih ingat buku yang paling kami suka masa kecil koleksi Ladybird." kata anak-anak kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Hanif Amran ini.

Mereka yang mempunyai empat beradik kesemuanya dididik berdikari dengan bersekolah di sekolah asrama penuh. Akmar dan Elyyn dinobatkan sebagai Belia Ikon 2011 sehingga kini oleh Kementerian Belia dan Sukan.


Tiga bulan sahaja

Akmar menyambung pelajaran di luar negara atas tajaan sebuah syarikat public listed. Sekembalinya ke Malaysia, dia yang mendapat Ijazah Kelas Pertama terikat dengan prasyarat syarikat agar bekerja dengan tempoh tertentu.

Hanya tiga bulan Nur Akmar mampu bertahan, namun akhirnya jiwa Akmar semakin membuak-buak untuk meninggalkan syarikat itu kerana sudah berjinak-jinak dengan unit amanah (1999).

"Nekad dengan kehendak sendiri, saya memberi tender berhenti kerja. Syarikat panggil dan buat rundingan. Kawan-kawan pun berpendapat saya gila. Berhenti kerja bererti saya perlu melunaskan tajaan bernilai RM300,000 serentak.

"Tapi saya percaya, tak kira kerja di mana, bidang apa, jika bersungguh-sungguh kita akan cemerlang. Saya mohon buat bayaran secara berperingkat dengan syarikat tersebut.

Bagi saya, Rezeki ada di mana-mana. Yang penting attitude. Sijil universiti adalah satu sijil tapi apa yang kita buat dalam mengejar pelajaran itulah yang membentuk peribadi," sambung Akmar.


Latih capai target

Akmar yang sudah berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang unit amanah mengakui gemar meletakkan target dalam setiap perbuatan hariannya.

"Saya seorang yang gigih bekerja. In term of business pasti ada rejection. Jadi kita kena kental dan kenyal. Saya jenis yang takkan balik rumah selagi tak capai target sale yang saya nak setiap hari. Itu sikap saya," kata Akmar.

Dan berkat kesungguhan itu, jualan unit saham amanah Nur Akmar mencecah RM1 juta dalam masa tiga bulan awal penglibatannya.

Kemampuannya meletakkan diri sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di sebuah institusi kewangan terbesar negara ini.

Pada 2006 mereka mencapai Million Sales Achiever. Kini, dia melahirkan 13 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS). Pencapaian terbesar Akmar yang lain adalah ketua pengurus kumpulan Master Builder iaitu anugerah yang dimenangi empat kali berturut-turut.

Anugerah lain; Brand Ambassador, Top GAM, Group Agency Manager Platinum, Master Recruiter, dan Million Dollar Round Table.

Diam-diam berisi, aura Elynn terletak pada senyumannya. Si cantik manis yang kini ayu bertudung baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Resepsi yang diadakan di ibu negara dan Bali Indonesia, disambut gilang-gemilang malah, dua beradik yang gemar menari ini turut mempamerkan bakat tarian masing-masing menerusi satu video Wishing & Hoping yang boleh ditonton menerusi www.jewedding.net. Mereka boleh dihubungi menerusi emel akmar@millionairesisters.org dan elynn@millionairesisters.org serta instagram MillionaireSistersAkmar dan MillionaireSistersElynn.

Akhir kalam, dua figura cantik ini berharap semua wanita muda di luar sana tidak goyah memulakan langkah dalam bidang insurans dan pelaburan. Bukan sahaja perempuan malah lelaki.

"Bisnes membentuk personaliti dan attitude. Mereka yang berumur sekali pun masih belum terlambat. Bahkan bagi saya, mereka mempunyai potensi networking yang lebih luas.

"Tidak tahu boleh bejalar, yang penting ada attitude dan berfikiran poositif. Datang dan sertai Millionairesisters, kami ada sediakan kursus dan seminar untuk anda," kata Elynn.

Minta Hormat Privasi, Erra Terkejut Emran Mahu Rujuk

Posted: 13 Apr 2014 06:22 PM PDT

erra fazira 1
Erra Fazira terkejut dengan tindakan bekas suami membayangkan mahu rujuk semula.
PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira meminta mana-mana pihak tidak memperbesarkan  isu apabila  bekas suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin meluahkan kata-kata seolah-oleh mahu merujuk semula hubungan mereka selepas disahkan bercerai pada 18 Februari lalu.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40, berkata, dia terkejut dengan tindakan Emran dan berharap bekas suaminya itu menghormati privasinya.

"Tolong hormati privasi saya. Tiada ada ibu-bapa yang tidak mahu membahagiakan anak.

"Tanggungjawab dan amanah (menjaga anak) tetap dikendong. Jangan desak saya," katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi WhatsApp yang dikirimkan di sini pada malam Ahad.
aleesya
Tulisan #prayformomandayah pada baju yang dipakai Engku Aleesya dimuat naik di Instagram Emran pada Sabtu.


Pada Sabtu, Emran, 39,  menerusi laman Instagram miliknya telah memuat naik gambar anak mereka Engku Aleesya, 5, yang memakai baju T dengan tulisan #prayformomandayah.

Dalam kapsyen foto tersebut, Emran telah meluahkan hasratnya ingin memenangi hati Erra semula dan mengaku masih mempunyai perasaan cinta terhadap bekas isterinya itu.

Dalam pada itu Emran turut mengimbas semula kenangan ketika perkenalannya dengan Erra.

Kenyataan Emran membuatkan peminat memberi reaksi positif dengan meletakkan hashtag #prayformomandayah sebagai  tanda mendoakan agar hubungan kedua-dua pasangan itu terjalin semula.
Erra fazira
Mungkinkah ada sinar untuk Erra Fazira dan Emran kembali bersama?

Majlis Resepsi Julfekar dan Min Yasmin Meriah

Posted: 13 Apr 2014 06:20 PM PDT

Min Yasmin tampak berseri dengan pakaian rekaan Butik Princess berwarna putih.
SHAH ALAM: Malam majlis  resepsi bagi meraikan pasangan pengantin baharu, komposer Julfekar dan Min Yasmin berlangsung dengan penuh tradisi dan meriah di Ndah Mahligai, di sini, malam Ahad.
Pada majlis yang berkonsepkan persandingan dalam taman itu, Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 25, kelihatan anggun dengan pakaian rekaan Butik Princess berwarna putih.

Pasangan pengantin berarak masuk ke dalam dewan.

Acara yang bermula kira-kira pukul 8.50 malam dimulakan dengan bacaan doa sebelum majlis merenjis untuk kedua-dua mempelai.
Sepanjang berlangsungnya majlis yang dikendalikan oleh anak Julfekar sendiri bernama Zulfadhli itu, pasangan pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi-penyanyi bawah bimbingan Julfekar.

Kira-kira 500 orang hadir dalam majlis meriah itu termasuklah keluarga dan sahabat-handai kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan artis seperti Faradhia, Lufyia, Datuk Rosyam Nor dan David Teo.

Terdahulu, Min dan Julfekar  atau nama sebenarnya Julfekar Ahmad Shah, 49, sah bergelar suami-isteri pada 4 April lepas selepas diijabkabulkan di Masjid Kota Damansara dekat sini.
Julfekar sebelum ini merupakan seorang duda.

'Ceria Popstar' Tampilkan Artis Popular Tarik Perhatian Penonton

Posted: 13 Apr 2014 06:19 PM PDT

erytruxdgs
Antara peserta yang hadir pada sesi uji bakat Ceria popstar di Paradigm Mall.
PETALING JAYA: Program Ceria Popstar musim kedua akan menampilkan barisan juri dan tenaga pengajar daripada kalangan selebriti popular bagi menarik perhatian penonton menyaksikan program tersebut.

Antara artis yang terlibat termasuklah, Datuk AC Mizal dan Zizan Razak sebagai juri tetap manakala tenaga pengajarnya ialah Hazama, Sleeq, Waris dan Alyah.

Penerbitnya, Irwan Rauf bagaimanapun berkata, selebriti popular yang dipilih itu merupakan nama besar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik serta industri hiburan tempatan.

"Diakui, pihak kami menggunakan khidmat selebriti popular dalam Ceria Popstar sebagai tarikan.

"Tetapi mereka bukanlah sekadar popular semata-mata, sebaliknya kami pilih artis yang berpengalaman luas dan berjaya di bidang seni dan saya percaya mereka antara yang layak," katanya kepada mStar Online.
ge
Hazama dan Waris antara selebriti yang akan menjadi tenaga pengajar Ceria Popstar musim kedua. 
Irwan ditemui pada sesi ujibakat kedua Ceria Popstar di Paradigm Mall, di sini, pada Ahad.

Tambah Irwan, pemilihan artis popular itu juga dibuat bagi memberi semangat dan inspirasi kepada peserta untuk menjadikan selebriti yang terlibat sebagi idola masing-masing.
Dalam pada itu, seperti musim terdahulu,  Nabil Ahmad akan bertindak sebagai hos manakala pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi akan menggalas tanggungjawab sebagai penaung program tersebut.

Selain itu, Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir turut  terlibat sebagai juri jemputan.

Sementara itu, kira-kara seramai 500 peserta berusia bawah 15 tahun hadir menjalani uji bakat  ketiga di Paradigm Mall.

Terdahulu, uji bakat telah berlangsung di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru (22 Mac 2014) dan Hotel Vistana, Pulau Pinang, pada 12 dan 13 April lalu.

Seramai lapan peserta terbaik akan dipilih dan program itu akan bersiaran selama 10 minggu.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah RM15,000 dan RM10,000.

"Untuk musim kedua ini, pemenang tidak akan dibiarkan begitu sahaja sebaliknya mereka akan dibantu menerusi perancangan yang disediakan dalam mengembangkan bakat seni mereka dalam industri hiburan negara.

"Mereka turut diberi peluang merakamkan single lagu dan klip video sebagai langkah pertama mempromosikan diri kepada umum," ujar Irwan.

Ceria Popstar bakal bersiaran setiap hari Jumaat bermula 9 Mei ini pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Astro Maya HD (135).

Bila penyanyi rock ke masjid...

Posted: 13 Apr 2014 06:18 PM PDT


  • Bila penyanyi rock ke masjid... Ali XPDC
SATU ketika dahulu, dia merupakan pengurus kepada kumpulan rock termasuk Loving Born, XPDC, Damasutra dan Real XPDC.

Siapa sangka, hidayah ALLAH SWT yang diterima pada 2007, berjaya menempatkan pemilik nama sebenar, Badry, ini ke jalan yang diredai.

Tahun demi tahun, akhirnya penghijrahan itu membuatkan Eddy berhasrat mengajak rakan-rakannya bersama dalam program dakwah.

Menurut Eddy, satu ketika dahulu, dia berjaya mengumpulkan kelompok peminat untuk kumpulan rock menerusi kelab-kelab yang ditubuhkan.

Kini, tiba masanya untuk dia menggunakan peluang yang ada untuk mengajak semula kalangan peminat berkenaan dalam menyokong aktiviti dakwahnya.

"Satu masa dahulu, saya akui, saya banyak membawa 'jiwa' mereka dalam mendekati muzik dan hiburan.

"Namun, kini saya terpanggil dan bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada mereka agar kembali ke jalan ALLAH SWT melalui program dakwah di masjid ini.

"Bukan ceramah biasa, dalam program ini, saya akan menjemput penyanyi yang pernah berada di bawah pengurusan saya untuk turut serta," katanya.

Bakal diadakan di masjid seluruh negara, Eddy mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk menyokong program ini.

"Program ini masih dalam perbincangan dan saya mengharapkan ianya dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

"Kemungkinan besar ceramah jelajah ini akan dimulakan di kawasan utara ataupun di Lumut, Perak.

"Dalam ceramah itu, saya akan menjemput seorang atau sekumpulan penyanyi rock untuk bercerita mengenai perjalanan hidup dan penghijrahan mereka," katanya lagi.


Cari pendapatan sampingan

Umum tahu, ramai dalam kalangan penyanyi rock kini sukar menjana pendapatan di dalam industri.

Namun, jelas Eddy yang juga pemilik agensi pengendali umrah, program ini merupakan platform penyanyi berkenaan untuk mendapatkan mata pencarian sampingan.

"Perlu diingatkan, program ini bukanlah program yang memikirkan keuntungan semata-mata.

"Saya tidak akan mengenakan bayaran ke atas diri saya kerana ini adalah usaha dakwah saya sendiri.

"Namun, bila ada jemputan untuk artis, berilah imbuhan kepada mereka agar dapat membantu dalam kos sara hidup," katanya lagi.

Janji Eddy, ceramah agama ini juga tidak akan dicemari dengan unsur-unsur politik yang boleh mengakibatkan ketegangan dan fahaman politik masing-masing.

"Ini adalah ceramah agama dan juga kesedaran kepada masyarakat mengenai penghijrahan. Ia tidak akan dicemari dengan hal-hal politik.

"Usaha saya adalah lebih tertumpu kepada golongan rakan-rakan di usia 30-40 an untuk kembali ke jalan yang benar," jelasnya.

Yasmin Hani Jadi Pelupa Sejak Bersalin Anak Sulung

Posted: 13 Apr 2014 06:08 PM PDT

67i67
Yasmin menyifatkan Noah sebagai pelengkap kehidupan rumah tangganya bersama Sha'arin.
PETALING JAYA: Pelakon Yasmin Hani menjelaskan dia mengalami masalah yang pelik iaitu mudah lupa sejak bersalin anak sulung, Noah Ismail Wong pada 13 November tahun lalu.

Yasmin atau nama sebenarnya Yasmin Hani Ismail Richardson, 35, berkata, keadaan itu membuatkan dia berasa risau kerana sukar untuk memberi   fokus dalam kerjaya lakonannya.

"Sebenarnya sejak mengandungkan Noah lagi, saya mengalami masalah mudah lupa. Risau juga dibuatnya.

"Apatah lagi sekarang ini saya terlibat dengan teater Di Bawah Lindungan Kaabah  yang akan dipentaskan pada Mei depan dan dialog yang digunakan dalam pementasan itu adalah Melayu Nusantara.

"Harap-harap saya dapat melakukannya dengan baik memandangkan ia merupakan pementasan teater pertama saya," katanya kepada mStar Online.

Selain Yasmin, teater yang diarahkan Rosminah Mohd Tahir itu turut dibarisi pelakon Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira Loy, Fizo Omar, Zahid (AF2), Liza Abdullah dan Dayana Roza.

Ia bakal dipentaskan bermula 9 hingga 18 Mei depan.

Harga tiket serendah RM30 hingga RM200 boleh dibeli dengan melayari  www.AirAsiaRedTix.com.

Sementara itu, ditanya pula mengenai pengalamannya sebagai seorang ibu, Yasmin berkata, dia kini cukup bahagia dan menyifatkan Noah merupakan sebahagian pelengkap rumah tangganya bersama suami iaitu Sha'arin Razali.

Bagaimanapun,  Yasmin berkata, dia kini seorang yang sensitif  berbeza dengan sebelum ini.

"Entah, pelik pula jadinya apabila hati saya mudah tersentuh dan saya tidak suka dengan sikap seperti ini.

"Sebelum ini saya sangat tegas dan tidak pernah menangis. Ini tidak, apabila melihat sesuatu di televisyen berkaitan kanak-kanak yang ditimpa musibah, hati saya terus sebak membayangkan sekiranya ia terjadi pada Noah pula," tuturnya.

Hafiz (Pencetus Ummah) Nasihat Ustaz Selebriti Hati-Hati Berdakwah

Posted: 13 Apr 2014 06:07 PM PDT


Hafiz akui lebih menjaga penampilan selepas bergelar selebriti.
PETALING JAYA: Juara Pencetus Ummah (PU) Muhammad Hafiz menasihati golongan ustaz selebriti atau pakar motivasi agar perlu lebih berhati-hati ketika bercakap menyentuh soal agama Islam. Muhammad Hafiz atau lebih mesra disapa Hafiz, 33, berkata, mereka perlu mengkaji dahulu sama ada sesuatu perkara atau kisah tauladan berkaitan seseorang nabi itu bena-benar terdapat dalam Al-Quran ataupun  tidak.

"Bukan senang untuk bercakap soal agama, bagi golongan pakar motivasi ada segelintir yang pandai bercakap tentang agama perlu kaji dahulu apa yang mereka ingin perkatakan.

"Jika mereka buat kesilapan atau menyebarkan perkara yang tidak sahih akibatnya ramai yang mendengar akan mempercayai dan menyebarkan kepada orang lain pula, itu sudah berdosa," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Hafiz turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu taksub dengan dakwah yang disampaikan oleh ustaz selebriti.

Menurutnya, Islam sendiri melarang umatnya terlalu taksub dengan individu tanpa sebab-sebab tertentu.

"Kita perlu ingat semua perkara ada batasan dan tidak boleh berlebih-lebih, tidak kira siapa yang kita minati atau ikuti semuanya perlu berpada-pada,

"Jangan sampai apabila kita suka sehingga yang tidak betul kita terima dan pejam mata," katanya.

Sementara itu, Hafiz mengakui bahawa dia kurang aktif dalam melayari laman sosial, malah tidak pernah mempunyai akaun Twitter.

Bagiamanapun, dia sedar dalam dunia serba canggih ini dia perlu belajar bagi memudahkannya menyampaikan dakwah terutamanya kepada golongan remaja.

"Saya kurang aktif dengan laman sosial, Facebook pun saya baru sahaja ada dan itu pun sukar untuk membalas mesej yang diterima.

"Twitter pula saya belum buka akaun lagi, Insya-Allah saya akan belajar kerana ia penting bagi mendekatkan diri kepada golongan remaja masa kini," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap soal populariti yang dikecapnya selepas bergelar juara program keagamaan Pencetus Ummah, Hafiz mengakui sentiasa disapa ketika berada di luar.

"Sekarang pelu jaga penampilan kerana ketika berada di luar akan ada sahaja orang yang menegur dan ingin bergambar.

"Kalau dulu setakat ingin ke kedai sebelah jalan, saya hanya berkain pelekat tetapi kini kena lebih berhati-hati," katanya.

Empat Kali Putus Cinta Inspirasi Nubhan Nyanyi Lagu Sedih

Posted: 13 Apr 2014 06:05 PM PDT


Gandingan Nubhan dan Mila.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Nubhan terpaksa mengambil pengalaman cintanya yang lalu bagi membawa dan menghayati lagu sedih.

Nubhan, 28, berkata, dia pernah melalui hampir empat kali putus cinta dan pengalaman itu dijadikan sumber inspirasi untuknya mengekspresikan perasaan tersebut ketika berada di atas pentas persembahan.
"Bukan senang untuk membawakan lagu sedih kerana kita perlu menghayati dan meletakkan perasaan ke dalam lagu tersebut.

"Oleh itu saya sentiasa imbau kembali kenangan sedih sewaktu putus cinta ketika menyanyikan lagu-lagu saya yang mana kebanyakkannya berunsur sedih," katanya kepada mStar Online selepas majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Kisah Kasih di Mini Auditorium Hall, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), di sini, Sabtu.

Lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Ad Samad ini merupakan lagu kedua Nubhan bersama syarikat rakaman Nova Music selepas lagu duet bersama penyanyi Mila berjudul Cinta Kasih. 
Nubhan Af6
Nubhan AF6.
Dalam pada itu, Nubhan mengakui kelewatannya mengeluarkan single baharu adalah disebabkan proses pemilihan lagu yang agak sukar.
"Saya mengambil masa yang agak panjang ketika proses pemilihan lagu kerana kebanyakkan lagu yang datang tidak sesuai.

"Kalau boleh saya mahu melodi dan lirik yang benar-benar kuat dan menarik perhatian pendengar, untuk lagu ini sahaja sudah beberapa kali diubah liriknya," katanya. 
Sementara itu, Nubhan berkata lagu tersebut bakal dimuatkan dalam album terbaharunya yang akan diterbitkan tidak lama lagi. 
Album tersebut juga akan menampilkan beberapa buah lagu baharu dan sebuah lagu duet  bersama Mila Jirin.

Scha tidak mahu mewahkan anak

Posted: 13 Apr 2014 05:58 PM PDT


JIKA Awal lebih teruja dan berbelanja mewah buat bakal anak mereka, Scha memilih untuk besederhana dalam banyak perkara.


DIJOLOK dengan gelaran Victoria Malaysia kerana gaya dan pesona yang dibawa, Scha Alyahya kini melewati satu lagi fasa bahagia apabila disahkan mengandung.
Hamil selepas tiga bulan membuang endometriosis (tisu dari selaput dalam rahim tumbuh di luar rahim), Scha mengakui terkejut dan memanjat rasa syukur kepada Tuhan.
Kandungan pelakon berusia 31 tahun itu kini sudah mencecah enam bulan 24 minggu.
Masih belum tahu jantina bayi pelengkap bahagia, bukan niat Scha untuk tidak berkongsi mengenainya.
"Saya sudah buat dua kali pemeriksaan tetapi masih tidak tahu jantina bayi. Sebabnya, doktor cakap posisi kandungan saya terlalu bawah," luahnya yang tidak kisah dikurniakan bayi lelaki atau perempuan.
Disoal adakah dia mengalami sebarang komplikasi kerana kedudukan bayi di bawah, pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya itu masih tidak tahu mengenainya dan akan menjalani pemeriksaan lanjut pada bulan depan.
"Pada bulan depan, saya akan bertemu semula dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. Saya kena tahu di manakah kedudukan plasenta saya. Ketika itu, baru saya tahu sama ada saya boleh beranak normal atau secara pembedahan," ungkapnya sedikit gusar dan berharap dia mampu bersalin secara normal.
Mewah
Melihat pada gaya hidup Scha dan juga suaminya, Awal Ashaari yang sentiasa menitikberatkan penampilan diri, ada yang beranggapan anak mereka nanti akan melalui perkara yang serupa. Dimanja dan dimewahkan.
Mengulas mengenai perkara itu, terus terang kata Scha, dia tidak akan memewahkan anak mereka. Sebaliknya, akan mengajar anaknya erti susah untuk mendapatkan duit.
"Saya nampak Awal yang akan manjakan anak nanti. Kalau boleh dia hendak beli macam-macam untuk anak kami. Masa pergi London tempoh hari, dia ada beli barangan jenama Dior untuk bakal anak kami.
"Namun, saya tidak suka perkara sebegitu (manja dan mewahkan anak) diaplikasikan pada anak saya. Cara saya dibesarkan dalam keluarga hendak apa kena kerja dan usahakan sendiri. Perkara yang sama akan saya lakukan pada anak nanti.
"Ramai kawan saya pesan dan mak dia juga pesan, kalau boleh jangan ajar anak hidup mewah dari kecil. Saya cakap dekat dia cukup setakat itu sahaja. Saya tahu susah payah saya dulu untuk mendapatkan duit.
"Saya juga tahu susah payah dia mencari duit. Jadi kenapa hendak mewahkan anak dari kecil," luahnya yang tidak kisah jika Awal ingin menggayakan anaknya tetapi tidak pada barang-barang berjenama.
Belum membuat sebarang persediaan untuk si kecil nanti, ujar Scha, dia sekadar membeli stroller (kereta sorong bayi) dan juga pam susu. Warna stroller yang dibeli juga berwarna hitam kerana masih tidak tahu mengenai jantina bayinya.
KANDUNGAN Scha kini sudah mencecah usia enam bulan. Dia pertama kali berkongsi tentang kehamilannya selepas Awal memuat naik imbasan kehamilannya pada usia sekitar dua bulan di Instagramnya.


Nama klasik
Seperti pasangan lain, Scha turut berbincang mengenai jantina bayi bersama suaminya. Biarpun, dia tidak kisah akan jantina bayinya tetapi Scha tahu Awal menginginkan anak lelaki.
Kata Scha, Awal ada memberitahunya, jika anak pertamanya lelaki dia boleh menjaga adik-adiknya nanti.
Suka pada nama-nama klasik untuk diletakkan pada anaknya nanti, Scha turut berbincang bersama Awal mengenai nama anak mereka nanti.
"Saya suka nama-nama klasik seperti Amina dan Naima. Kalau lelaki Ibrahim atau Muzzafar. Kami ada berbincang mengenai perkara ini dan sepakat untuk meletakkan satu nama moden dan satu lagi nama klasik pada anak kami nanti," ujarnya.
Terbuka membicarakan soal anak ketika ini, Scha mengakui pada mulanya agak keberatan untuk mendedahkan tentang kandungannya kerana ingin mengikut pesan orang-orang tua.
"Kalau tengok di Instagram, saya sedikit tertutup dan tidak mendedahkan berapa minggu kandungan saya tetapi Awal saya biarkan sahaja dia buat begitu (muat naik mengenai kandungan Scha). Benda itu tidak salah, jadi saya tidak halang dia buat.
"Memang ada sesetengah orang pesan jangan tonjol dan bersikap terbuka sangat mengenai kandungan. Jangan letak gambar dan sebagainya.
"Bila orang cakap macam itu saya terfikir juga tetapi bila fikir balik, tiada apa salahnya. Kami sudah kongsikan mengenai percintaan, kemudiannya perkahwinan. Jadi, tidak salah kongsikan mengenai kehadiran orang baharu dalam hidup kami pula," jawabnya jujur.
Duta Avon
Tahun kedua bersama produk Avon, Scha turut bersyukur kerana kontraknya bersama Avon diteruskan biarpun kini dia sedang mengandung.
Menganggap rezeki anak, Scha mewakili Malaysia memperkenalkan haruman baharu Avon iaitu Instinct.
"Alhamdulillah. Saya anggap ini sebagai rezeki anak. Rezeki ini datang bukan selalu. Apa yang ada saya cuba ambil," jelasnya.
Haruman yang memiliki bau buah-buahan, bunga-bungaan dan kayu-kayuan itu bakal dijual pada harga RM99 (50ml).
Selalu menjadi pilihan sebagai duta produk, Scha akui perkara tersebut.
Katanya, sejak dulu lagi dia dan Awal sering terlibat dengan pengiklanan. Sehinggakan, muka mereka telah dianggap sebagai pelaris sesuatu produk.
Bagaimanapun, Scha mengakui menerima sesuatu produk yang disukai dan bukan diterima secara semborono sahaja.
Disoal sama ada dia membuat sebarang rujukan mengenai produk tersebut sebelum menerimanya, Scha mengakui perkara tersebut.
"Saya selalu membuat kajian terlebih dahulu mengenai produk yang ditawarkan. Malah, kalau saya tidak tahu menyebut bahan-bahan atau produk tersebut, saya akan membuat kajian terlebih dahulu di laman Google.
"Perkara itu dilakukan supaya saya tidak tersalah sebut dan tidak memalukan diri sendiri. Itu yang saya selalu buat dengan produk-produk yang saya wakili," ungkapnya yang menyukai haruman Instinct kerana aroma dan ia juga tahan lama.

Sidek tegar lawan kanser

Posted: 13 Apr 2014 05:57 PM PDT


DATUK M. NASIR memberi sedikit sumbangan kewangan mewakili Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) bersama Nash sewaktu hadir menziarah Sidek minggu lalu.


"HIDUP dah sampai ke penghujung. Kalau panjang umur, berjumpalah kita," luah pelakon veteran Sidek Hussin dalam nada perlahan sewaktu berpeluang menziarahinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.
Walaupun kelihatan sedikit lemah, pelakon berusia 63 tahun itu masih mampu duduk di atas katil sambil dibantu isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, yang setia menemani Sidek sejak dia dimasukkan ke hospital tersebut pada 30 Mac lalu.
Mengimbas kembali tentang saat-saat panik itu, Sebiah berkata, dia dan Sidek sedang keluar berjalan-jalan di sekitar Jalan Chow Kit untuk membeli permainan buat cucu-cucu mereka.
"Ketika sedang leka memilih barang permainan, dia terus pengsan. Saya menjadi panik dan terus menangis. Setelah menghubungi ambulans, suami saya terus dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut," ujar Sebiah.
Menerusi ujian ke atas sel yang diambil daripada tisu ketumbuhan di pangkal leher Sidek, doktor mengesahkan bahawa aktor itu kini menghidap penyakit kanser.
Imbasan menggunakan mesin pengimbas pelbagai resolusi (MRI) turut menemui banyak tompok putih di dalam ketumbuhan serta beberapa bahagian di kepalanya.
Masih menunggu keputusan daripada pihak hospital, Sidek reda dan sedia mencuba apa jua alternatif untuk kembali pulih seperti sedia kala.
Kimoterapi
"Saya sedang menunggu keputusan rasmi daripada pihak doktor mengenai jenis kanser yang saya hidapi ini. Jika sel kanser ini berbahaya dan mampu merebak, doktor mencadangkan agar saya menjalani rawatan kimoterapi. Jika sebaliknya, ketumbuhan ini akan dibuang.
"Apa juga keputusannya, saya reda dengan ketentuan Allah. Mungkin ini merupakan salah satu cara-Nya untuk menghapuskan dosa-dosa kecil saya," ujar Sidek.
Mengulas mengenai rawatan kimoterapi yang cukup terkenal dengan kesan sampingannya terhadap tubuh, Sidek bertegas mahu mencubanya walaupun dia tahu kesannya terlalu kuat bagi tubuhnya yang lemah.
"Jika kita tidak mencuba, kita tidak tahu. Apa pun, itu merupakan pilihan saya dan pasti akan melakukannya," ujar Sidek yang masih menerima tawaran berlakon daripada Erma Fatima tetapi terpaksa menolaknya kerana tidak berdaya untuk beraksi di hadapan kamera.
Pelakon yang berasal dari Batu Arang, Selangor itu mula mengalami rasa tidak sedap badan sejak dia pulang daripada mengerjakan umrah pada bulan Jun tahun lalu.
Rasa mencucuk-cucuk pada bahagian ketumbuhan yang mula membesar sejak 30 tahun lalu itu makin parah lebih-lebih lagi pada waktu malam.
Selera makan Sidek turut terbantut sehinggakan berat badannya yang dahulu mencecah 83 kilogram (kg) susut sebanyak 28kg.
"Saya tidak berselera untuk makan. Jika makan, pasti akan muntah kembali. Jadi, saya hanya bergantung pada susu dan bubur. Disebabkan itu berat badan saya semakin menyusut.
"Bagaimanapun, saya akan terus kuat untuk melawan penyakit ini dan mencuba sebarang alternatif yang ada untuk mengubati kanser," ujarnya.
Pada hari sama, penyanyi Nash yang merupakan salah seorang pemegang amanah Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) hadir bersama timbalannya, Datuk M. Nasir bagi menghulurkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Sidek.
"Ini merupakan tanggungjawab bersama dan kami berbesar hati kerana dapat memberikan bantuan ini dengan kadar yang segera," katanya.

Ceroboh rumah, cabul wanita

Posted: 13 Apr 2014 05:52 PM PDT


SEORANG lelaki berlumuran darah pada mukanya selepas jatuh tertiarap dari tingkat tiga sebuah flat di Persiaran Mayang, Jalan Tengah, Bayan Baru, Pulau Pinang semalam.


BAYAN BARU – Perbuatan durjana seorang lelaki yang memecah masuk kediaman seorang wanita dan mencabul mangsa akhirnya memakan diri apabila dia terjatuh semasa mahu melarikan diri dari rumah mangsa yang terletak di tingkat tiga sebuah flat di Persiaran Mayang, Jalan Tengah di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, suspek yang berusia 28 tahun dan memakai seluar jeans serta baju-T ditemui dalam keadaan tertiarap dan masih sedarkan diri di kawasan koridor aras bawah flat tiga tingkat berkenaan oleh penduduk di situ.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an sedang berbaring sambil menonton televisyen di ruang tamu rumahnya sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek yang secara tiba-tiba berada di sebelahnya.
Mangsa yang dikatakan belum berumah tangga itu tinggal di flat berkenaan bersama adik lelakinya yang berumur 20-an.
"Mangsa yang ketika itu sedang asyik menonton televisyen berasa punggungnya seperti disentuh dan dia terus menjerit sebaik melihat suspek sudah berada di sebelahnya. Jeritan kuat mangsa juga telah disedari adik lelakinya yang ketika itu turut berada di dalam rumah berkenaan.

Anak bantu Emran rujuk Erra

Posted: 13 Apr 2014 05:50 PM PDT


EMRAN memuat naik status luahan hatinya bersama foto Aleesya yang mengenakan baju tertera perkataan #prayformomandayah di Instagram kelmarin.


KUALA LUMPUR - Selepas hampir dua bulan bercerai, bekas suami Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin, meluahkan perasaan masih menyayangi Erra dan berhasrat untuk merujuk semula dengan aktres tersohor itu.
Luahan perasaan tersebut ditulis Emran, 39, menerusi akaun Instagram peribadi miliknya @imkumbre kelmarin.
Malah menerusi akaun tersebut Emran turut meminta anak tunggal mereka, Engku Aleesya, 5, untuk membantunya memenangi semula hati Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 40.
Menurut luahan tersebut yang ditulis dalam bahasa Inggeris, dia tidak malu untuk mengakui masih mempunyai perasaan cinta yang mendalam terhadap Erra, bahkan sudah menghubungi Erra empat hari lalu bagi meluahkan perasaannya itu.
FOTO kenangan Emran dan Erra sewaktu masih bergelar suami isteri.


"Semalam (kelmarin), saya dengan Aleesya berbual. Saya bertanya kepadanya jika dia boleh membantu saya memenangi semula hati ibunya. Dan dia menjawab sudah tentu.
"Saya tidak malu untuk menunjukkan yang saya masih mencintai SA (syurga Aleesya) disebabkan saya dan dia tahu kami tidak bersalah di atas apa yang terjadi pada 18 Februari lalu (tarikh bercerai).
"Untuk pengetahuan anda, pada tiga hari lalu (empat hari lalu) saya ada menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada SA dan meluahkan perasaan saya kepadanya," luah Emran menerusi Instagramnya.
Emran turut membawa Aleesya ke tempat di mana dia dan Erra bertemu buat pertama kali pada Februari 2006.
Pada masa yang sama, dia turut menempah baju buat Aleesya yang tertera perkataan #prayformomandayah.
Emran turut berharap semua pengikut Instagramnya memanjat doa serta meletakkan hashtag #prayformomandayah dalam akaun Instagram dan Twitter agar dia dan Erra dapat bersama semula.
"Saya sangat memerlukan doa daripada anda semua. Doakan yang terbaik untuk kami bertiga," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Erra ketika dihubungi mengakui tidak ada ibu bapa yang tidak mahu membahagiakan anak mereka.
"Anak tetap tanggungjawab dan amanah. Satu Malaysia boleh berdoa tetapi Allah lebih mengetahui.
"Saya cuma harap semua pihak dapat menghormati privasi saya," katanya.
Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 sebelum bercerai pada 18 Februari lalu dengan talak satu.
Penceraian tersebut menyaksikan hak penjagaan anak tunggal mereka, Aleesya jatuh kepada Emran.

Diperlakukan tanpa belas ihsan

Posted: 13 Apr 2014 05:45 PM PDT


KECEDERAAN fizikal akibat penderaan menyebabkan mangsanya bertarung dengan maut.


PAGI itu seperti biasa Siti Ahmad, 44, (bukan nama sebenar) bersiap untuk ke tempat kerja. Dia yang bertugas sebagai pembantu klinik di ibu negara itu terpaksa menempatkan anak perempuan tunggalnya, Hafizah Razi, 19, (bukan nama sebenar) di sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di Titiwangsa, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.
Hafizah yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) itu hanya diambilnya pulang ke rumah seminggu sekali.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat kesan lebam di beberapa tubuh anak kesayangannya itu.
Setelah didesak berkali-kali barulah pihak pusat jagaan itu memberitahu kejadian berlaku kerana Hafizah seorang yang lasak dan sukar diuruskan.
"Saya dapati ada kesan luka seakan-akan dipukul di beberapa anggota badan Hafizah iaitu di lengan, muka dan mulut.
"Sebagai ibu, saya tidak mampu menyembunyikan perasaan sedih dan kecewa apabila tidak diberitahu punca sebenar," luahnya tentang kejadian yang berlaku pada Disember tahun lalu itu.
Kekecewaannya bertambah apabila pusat berkenaan cuba lepas tangan, malah menyalahkan Siti kerana terlalu banyak kerenah.
Demi mendapatkan pembelaan sewajarnya, Siti nekad mengadukan perkara tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab selain meragui status pusat jagaan, pekerja dan cara mereka mengendalikan penghuni-penghuni di situ.
KEADAAN Hafizah kini bertambah baik sejak ditempatkan di pusat jagaan OKU di bawah pengawasan JKM.


Dia berharap pihak pengurusannya perlu dikenakan hukuman yang setimpal jika terbukti bersalah agar menjadi pengajaran.
Susulan kejadian tersebut, pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) mencadangkan Hafizah dihantar ke sebuah pusat jagaan baharu di Serendah, Selangor. Siti kemudian mendaftarkan anaknya ke situ pada pertengahan Januari lalu.
Walaupun jaraknya jauh dari tempat tinggal, Siti mendapati kualiti jagaan di pusat itu adalah terjamin selain percaya Hafizah lebih disayangi di sana.
Sebenarnya, kes-kes penderaan seperti ini bukanlah isu terpencil kerana kerap kali berlaku termasuklah penganiayaan oleh ahli keluarga sendiri.
Terdapat kes anak-anak kecil didera dari segi fizikal, mental mahupun emosi oleh si durjana yang tidak mempunyai perasaan belas kasihan apabila memperlakukan kanak-kanak ini sedemikian rupa.
Emosi
"Saya disepak, ditumbuk bertubi-tubi ketika tinggal bersama ayah tiri sewaktu berumur tujuh tahun. Dia seorang yang panas baran menyebabkan saya menjadi tempat melepaskan kemarahannya.
"Dua tahun saya menanggung sengsara. Keadaan bertambah teruk jika saya cuba melawan hingga tubuh tidak berdaya lagi menanggung kesakitan," ujar Ahmad Mohamad, 13, yang kematian bapanya sejak berumur lima tahun akibat kemalangan jalan raya.
Ibunya yang tidak sanggup melihat Ahmad menanggung penderitaan dan penyiksaan kemudian nekad menuntut cerai. Kini, kehidupan mereka dua beranak semakin ceria. Ibunya sanggup bekerja sebagai operator pengeluaran sejak beberapa bulan lalu bagi menampung kehidupan.
"Kami berpindah dari Kuala Lumpur dan menetap di Seremban. Kehidupan kini lebih tenang dan bahagia berbanding dahulu," akhirinya yang mahu melupakan sejarah hitam itu.
Bagi aktivis sosial, Zainuriah Abdul Rahman, beliau sendiri berpengalaman selama 25 tahun berdampingan dengan kanak-kanak mangsa dera termasuk remaja. Beliau turut mengendalikan sebuah pertubuhan yang terlibat dalam kerja sosial iaitu eYHY Network (enabling the young helping the young) termasuk menganjurkan program-program kerohanian khusus kepada kanak-kanak dan remaja ini.
"Kami menjalankan aktiviti untuk kanak-kanak dan remaja daripada semua lapisan masyarakat yang kurang bernasib baik. Ia bertujuan menyemai nilai-nilai murni selain saling bekerjasama antara satu sama lain tidak kira apa jua latar belakang mereka.

SITI (kiri) mendapati petugas di pusat jagaan baharu itu menjaga Hafizah dengan sempurna.


"Di sini, kami bukan sekadar mengadakan sesi kaunseling semata-mata tetapi lebih kepada pendedahan awal seperti bengkel seni kreatif, masakan dan reka cipta bagi mengisi masa mereka dengan aktiviti yang berfaedah," ujarnya.
Konsep psikologi minda ini adalah untuk mengembalikan keyakinan diri dalam jiwa kanak-kanak dan remaja itu serta bagaimana menghadapi cabaran.
"Paling utama kita memberi penekanan bahawa setiap kanak-kanak dan remaja itu adalah istimewa dan penting.
"Mereka memerlukan semangat, keyakinan diri dan unsur-unsur ini akhirnya akan membuat diri mereka merasa tidak diabai, sebaliknya dihargai," ujarnya yang turut menyifatkan pendera sebagai insan tidak mempunyai hati dan perasaan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Arfan Sulaiman, berkata, kes penderaan biasanya dilakukan oleh pendera yang kaki botol atau akibat tekanan sehingga bertindak luar kawalan.
Katanya, kebanyakan mangsa-mangsa dera pula seperti kanak-kanak hiperaktif, bayi atau kanak-kanak cacat serta anak-anak yang menjadi perebutan hak jagaan oleh ibu bapa selain anak tidak sah taraf.
"Ini adalah kes-kes atau perlakuan penderaan yang dilaporkan dan disiasat JKM," ujarnya.
Tambah beliau, bagi tahun 2011, JKM merekodkan sebanyak 3,248 kes, tahun 2012 sebanyak 3,832 kes manakala tahun 2013 jumlah kes penderaan berkurang iaitu hanya 1,847 kes di seluruh negara.
Mengikut rekod JKM pada tahun 2013, Arfan memberitahu, Selangor mencatatkan jumlah kes penderaan yang paling tinggi iaitu 576 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 409 kes, manakala Kedah sebanyak 221 kes.
"Kes penderaan yang melibatkan golongan kanak-kanak perempuan dicatatkan paling tinggi pada tahun 2012 iaitu sejumlah 2,544 orang berbanding 2,175 pada tahun 2011 dan 1,202 orang pada tahun 2013.
"Di samping itu, peringkat umur kanak-kanak yang didera terbahagi kepada lima iaitu di bawah tiga tahun, empat hingga enam tahun, tujuh hingga 12 tahun dan 13 hingga 18 tahun.
"Umur 13 hingga 18 tahun merupakan jumlah paling ramai menjadi mangsa penderaan," katanya dan memberitahu bahawa kebanyakan kes dera dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa.

JKM sentiasa memantau operasi pusat jagaan persendirian seperti Pusat Jagaan Old Star Home di Serendah, Selangor ini yang menjadi kediaman baharu Hafizah.


Dakwa
Arfan turut menjelaskan, JKM akan menyiasat setiap aduan yang diterima. Katanya, pegawai pelindung JKM akan dihantar ke tempat kejadian atau lokasi yang dikenal pasti bagi menjalankan siasatan. Mereka akan membawa kanak-kanak yang disyaki didera menjalani pemeriksaan di hospital.
"Jika didapati ada unsur-unsur penderaan, pegawai kami akan membuat aduan dan membawa kes ini ke mahkamah," ujarnya.
Tambah Arfan lagi, JKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kementerian Pelajaran dan agensi kerajaan berkaitan.
Dalam pada itu, Penasihat Syariah Brainy Bunch Islamic Montessori, Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki berkata, apa yang berlaku menunjukkan segelintir masyarakat kita pada hari ini mempunyai penyakit jiwa yang kronik.
"Mereka semakin hilang nilai-nilai kemanusiaan dan diganti dengan sifat tidak berperikemanusiaan dan didorong oleh nafsu sehingga tergamak menganiaya kaum yang lemah.
"Tahap pengetahuan ilmu agama yang rendah juga menjadikan mereka tersasar daripada panduan hidup yang sebenar. Mereka lupa bahawa Allah SWT memerhatikan gerak-geri dan tindak-tanduk kita di bumi ini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Jelas Isfadiah, menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan al-Quran, hadis, pendapat serta pengalaman para ulama.
"Institusi keibubapaan perlu memainkan peranan penting dan bertanggungjawab mendidik dan melindungi anak-anak agar mereka tidak berasa diabaikan," tuturnya.

Emosi mangsa dera sangat sensitif

Posted: 13 Apr 2014 05:43 PM PDT



KESAN luka di bahagian paha seorang kanak-kanak akibat penderaan. - Gambar hiasan.


KES-kes penderaan terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak sering mendapat perhatian masyarakat. Kanak-kanak mangsa dera akan mengalami kesan fizikal, mental, emosi, tingkah laku, kerohanian, dan kesan sampingan lain. Keadaan menjadi lebih tragis apabila penderaan itu berakhir dengan kematian.
Menurut Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie Bina Bahagia Services, Suzana Ghazali, kebanyakan mangsa dera bersikap menyendiri, mudah ketakutan apabila mendengar suara yang tegas atau keras. Mereka juga sensitif dengan peralatan tertentu yang biasa digunakan ketika dipukul atau didera.
"Mangsa perlu diberi keyakinan untuk meneruskan kehidupan dan menjadi lebih berani agar tidak terus dibuli atau didera.

MANGSA dera menunjukkan kesan lebam di dahi.


"Selain itu, mangsa perlu dilayan dengan baik oleh insan sekeliling agar mereka percaya bahawa kasih sayang itu masih wujud kasih," ujarnya.
Tambah Suzana, paling utama, ibu bapa atau pengasuh perlu faham bahawa tidak ada istilah mudah dalam menjaga atau membimbing anak. Menjadi ibu bapa adalah satu amanah dan tanggungjawab yang berat dan harus lebih bersabar dalam melayani kerenah anak-anak.
"Kajian membuktikan anak-anak yang bermasalah adalah berpunca apabila mereka dibiarkan sendiri dan tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa. Ia membuatkan mereka memberontak hanya untuk mendapat perhatian daripada insan yang mereka sayangi," katanya.
Tempoh masa yang diambil untuk mangsa dera benar-benar pulih bergantung kepada individu itu sendiri dan tahap penderaan yang dialami.
Jika mereka menerima rawatan dan terapi sekurang-kurangnya dalam masa enam bulan, peratusan untuk pulih seperti seperti kanak-kanak normal yang lain adalah tinggi.

Ritual sangoma jana pendapatan

Posted: 13 Apr 2014 05:43 PM PDT



KHIDMAT bomoh tradisional kini digantikan sangoma moden.


SEORANG nenek, Mahlasela Matcheke kelihatan sedang menjalankan ritual perubatannya di atas lantai berjubin putih bersih di kediamannya di Pekan Soweto, Johannesburg.
Bilik yang digunakannya untuk bertemu pesakit pula dikelilingi rak dan di situ tersusunnya balang-balang kaca mengandungi serbuk dan akar berwarna.
Setiap balang tersebut dilabel dengan teliti dan isi kandungannya sedia untuk ditentukan kepada pelanggan berdasarkan penyakit selepas menjalani pemeriksaan fizikal menggunakan tulang, cengkerang laut, buah dadu dan duit syiling.
Matcheke adalah pengamal sangoma atau bomoh. Bezanya, beliau berpenampilan kemas berbanding sangoma tradisional yang memegang sebatang kayu dalam keadaan rambut kusut masai.
Jika dahulu sangoma beroperasi dalam pondok buruk yang terletak jauh di luar bandar, namun pusat rawatan sangoma kini bercambah di kawasan bandar bagi memudahkan pelanggan.
Graduan sains sosial, Nokulinda Mkhize, 28, misalnya telah mengamalkan sangoma selama lima tahun. Dia memberi perkhidmatan secara bersemuka atau menerusi medium internet Skype.

SANGOMA hari ini berpenampilan lebih kemas seperti pegawai perubatan di klinik atau hospital.


Mengiklankan
Bukan itu sahaja, aplikasi Twitter Mkhize iaitu @noksangoma mempunyai hampir 7,000 pengikut. Dia turut mengiklankan perkhidmatannya itu di laman web lengkap dengan biografi dan beberapa keratan akhbar hasil tulisannya.
"Cara ini membolehkan saya bebas untuk memberi perkhidmatan selain memperlihatkan saya sebagai seorang wanita muda bekerjaya," katanya sambil menambah keputusan untuk menjadi sangoma disifatkan sebagai takdirnya.
Sebenarnya, sangoma telah memainkan peranan penting di Afrika Selatan selama beberapa dekad. Selain memberi khidmat nasihat tentang penyakit, sangoma dipercayai boleh berhubung dengan orang mati.
Bagi pengamal baharu, mereka harus melalui proses yang panjang. Mereka belajar menggunakan herba dan bahan lain sebelum layak untuk memulakan amalan tersebut.
Difahamkan, majoriti rakyat Afrika Selatan masih percayakan khidmat sangoma dengan puluhan ribu pengamal perubatan ini beroperasi di seluruh negara.
Pakar ekonomi bandar, Myles Mander menganggarkan pendapatan perniagaan berasaskan rawatan tradisional mencecah hampir tiga bilion rand (RM1 bilion) setiap tahun.
"Perubatan ini masih mendapat permintaan besar dan ia ada di setiap pekan atau bandar dan tidak akan pupus," kata Mander sambil memberitahu perubatan alternatif lebih dipercayai berbanding rawatan di klinik yang lebih mahal.
Secara tidak langsung, ia menyebabkan perubatan tradisional sangoma diiktiraf kerana peranannya dalam masyarakat di negara berkenaan.
Bermula tahun lalu, mahkamah di sana juga memutuskan bahawa memo atau sijil sakit yang dikeluarkan oleh sangoma adalah sah dan perlu diterima oleh majikan.

KEPERCAYAAN rakyat terhadap sangoma menyaksikan puluhan ribu pengamal perubatan itu beroperasi di Afrika Selatan.


Sijil sakit
Sebelum ini, pekerja-pekerja akan mendapatkan khidmat pengamal perubatan sangoma sebelum berjumpa doktor di klinik untuk membeli sijil sakit.
Beberapa pengamal perubatan sangoma juga telah menerima latihan dalam bidang onkologi pediatrik asas dan pengurusan dalam merawat batuk kering dan HIV/AIDS.
Banyak rangkaian farmasi telah menjual herba yang sudah dibungkus kemas dan ada juga yang dijual di beberapa kedai ubat ternama di pusat beli-belah di sekitar Johannesburg.
Seorang doktor perubatan di bandar itu yang tidak mahu dikenali kerana khuatir kehilangan lesennya berkata, beliau sendiri menggunakan herba sangoma bahkan turut menyarankan kepada pesakit-pesakitnya.
"Saya dapati pengamal sangoma melakukan kerja atau merawat dengan bagus. Ada kalanya saya cadangkan pesakit cuba rawatan ini sekiranya rawatan perubatan di klinik tidak berkesan," ujarnya.

Tunggangan rangsang 1,000 otot

Posted: 13 Apr 2014 05:41 PM PDT



"ANGKAT tangan, tegakkan badan," kata seorang pelatih yang berdiri di tengah-tengah gelanggang kuda yang berpagarkan kayu putih itu.
Seakan-akan faham dengan arahan yang diberikan, tubuh kecil yang sejak dari tadi duduk diam di atas badan kuda putih bernama Seroja itu menukar posisi.
Biarpun sinar mentari pagi mula memancar terik di Unit Rekreasi Berkuda, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, namun riak wajah yang terpamer itu masih bersemangat untuk terus menunggang kuda.
Daripada pandangan mata kasar, remaja lembam, Husni Mubarak, 17, tidak ubah seperti manusia normal lain, namun siapa sangka, dia sebenarnya orang kelainan upaya (OKU) yang sedang menjalani latihan terapi berkuda.
Menurut Pembantu Tadbir Tertinggi Jabatan Landskap dan Rekreasi, DBKL, Zainora Buyong, terapi berkuda merupakan inisiatif DBKL untuk membantu kanak-kanak dan remaja OKU membina pertumbuhan fizikal dan emosi.
"Kuda merupakan haiwan cerdik yang tahu siapa penunggangnya.
"Jadi, secara tidak langsung ia memudahkan lagi proses terapi dijalankan memandangkan kuda memiliki daya sensitiviti yang lebih terhadap golongan tersebut," katanya.
Tambah Zainora, keistimewaan kuda yang mempunyai lengkok pada belakang badannya itu berkesan dalam membantu memperbaiki pertumbuhan otot serta saraf secara semula jadi.
Ini ekoran daripada kesan tindak balas latihan terapi fizikal tersebut.
Melalui terapi itu, mereka diajar cara untuk membuat beberapa pergerakan asas semasa menunggang kuda.

KUDA akan diperiksa bagi memastikan keupayaannya menampung berat badan pelatih.


Ujarnya, bagi setiap 10 minit terapi, kira-kira 1,000 otot pelatih dapat digerakkan.
"Kita akan dapat melihat perubahan tersebut setelah dua hingga tiga kali terapi, bergantung kepada keupayaan kanak-kanak berkenaan.
"Ada satu kes seorang kanak-kanak yang hiperaktif dan sukar mendengar arahan namun sebaik tubuhnya diletakkan di atas kuda, dia berubah menjadi tertib," ulasnya.
Tambah Zainora, hal tersebut disebabkan wujudnya hubungan unik antara kuda dengan penunggang yang menimbulkan perasaan percaya.
"Disebabkan itulah kanak-kanak akan disuruh membelai kuda terbabit sebelum terapi bermula.
"Ini bagi memastikan kuda tersebut kenal orang yang akan menunggangnya sekali gus mengelakkan kuda daripada berasa terancam," jelasnya
Ulasnya lagi, terapi tersebut bagaimanapun sesuai untuk OKU yang tergolong dalam empat kategori kecacatan sahaja iaitu kecacatan anggota badan, sindrom Down, lembam dan autisme.
Sementara itu, Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, terapi berkuda diperlukan untuk perkembangan fizikal seseorang terutamanya OKU.
"Terapi berkuda sebenarnya merupakan sejenis sukan ataupun latihan fisioterapi yang bagus untuk golongan tersebut.
"Ini kerana setiap manusia perlu membuat pergerakan badan bagi membetulkan organ dalaman yang bermasalah," katanya.
Namun begitu, beza terapi berkuda dengan terapi fisiologi di hospital ialah mereka terpaksa menjalani latihan secara berseorangan tanpa rakan-rakan yang boleh bergaul selain terkurung di dalam bilik terapi selama beberapa jam.
Jadi, apabila emosi berada dalam keadaan gembira, stabil dan tidak tertekan, tindak balas terapi itu membantu mempercepatkan proses pemulihan, katanya.
KUDA mesti dibelai dulu sebelum sesi terapi.


Kecacatan
Walaupun terapi berkuda dianjurkan khas bagi kanak-kanak OKU, namun mereka wajib mendapatkan surat akuan kesihatan daripada doktor terlebih dulu.
Seorang jurulatih, Zarina Ali berkata, hal tersebut bertujuan memastikan tahap kesihatan kanak-kanak selain mengelakkan sebarang kejadian buruk kepada mereka.
"Jika kanak-kanak itu tidak mempunyai surat perakuan doktor, secara automatik kita tidak akan membenarkan mereka menjalani sesi terapi di sini.
"Sesetengah kanak-kanak bukan sahaja mengalami kecacatan anggota badan, bahkan menghadapi masalah kesihatan yang lain seperti sakit jantung dan asma," ujarnya.
Lazimnya, terapi dilakukan selama kira-kira lima jam iaitu dari pukul 7.30 pagi pada hari Selasa hingga Khamis. Secara purata, setiap kanak-kanak akan mengambil masa antara 20 hingga 30 minit untuk satu sesi terapi.
Dalam pada itu, seorang jurulatih, Roslan Sulaiman, 49, berkata jumlah masa yang diperuntukkan itu termasuk untuk pemasangan pelana dan pelapik pelana di atas badan kuda, persediaan pelatih dan latihan terapi itu sendiri.
"Pelatih akan diberikan taklimat ringkas keselamatan supaya proses tersebut berjalan lancar.
"Jadi ketika menunggang kuda, mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan kepada siapa perlu mereka rujuk serta fokus untuk mendengar arahan yang selanjutnya," ujarnya.
Tambah Roslan, semasa sesi terapi, pelatih akan diiringi oleh sekurang-kurangnya empat orang jurulatih yang mempunyai peranan masing-masing.
"Setiap terapi wajib diiringi oleh seorang jurulatih, seorang ketua, dua orang pembantu dan juga penunggang itu sendiri.
"Jurulatih akan berada di tengah-tengah kandang dan berperanan untuk memberi arahan sepanjang proses terapi manakala ketua yang berada di bahagian kepala kuda bertugas untuk mengawal pergerakan kuda menggunakan tali kekang," katanya.
Sementara itu, pembantu yang lazimnya berada di kedudukan kiri dan kanan pelatih pula ditugaskan menjaga keseimbangan dan keselamatan pelatih selain memastikan pelatih mengikut arahan.

KHAIRI yang berdiri di tengah-tengah padang bertindak sebagai ketua dan memberi arahan kepada pelatih.


Kuda padi
Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa kuda padi digunakan dalam terapi berkuda berbanding spesies kuda yang lain.
Menurut seorang jurulatih, Muhammad Khairi Abdul Halid, ketinggian kuda padi yang hanya berukuran kira-kira 1.4 meter itu menyebabkan ia sesuai digunakan untuk terapi berkuda.
"Seperti yang diketahui, terapi berkuda memfokuskan kanak-kanak OKU. Disebabkan kuda padi mempunyai ketinggian yang paling minimum berbanding jenis kuda yang lain, ia merupakan kuda yang paling selamat digunakan.
"Tambahan pula pergerakan kuda padi yang perlahan dan teratur mampu memberi tindak balas dalaman yang diperlukan oleh kanak-kanak ini," jelasnya.
Namun begitu, kuda padi yang aktif sehingga tempoh enam tahun pertama hayatnya itu hanya mampu menampung berat sehingga 60 kilogram.
Ujar Khairi, kuda tersebut terlebih dulu akan dibawa mengelilingi kandang berkeluasan kira-kira dua hektar itu bagi melancarkan peredaran darahnya selain mengelakkannya daripada menerima kejutan.
"Seperti sukan-sukan yang lain, aspek keselamatan turut dititikberatkan dalam terapi berkuda.
"Setiap pelatih wajib memakai topi keselamatan dan but khas," katanya sambil menambah, terapi tersebut sememangnya bermanfaat untuk pelatih dalam kalangan OKU.

Bencana anak perangai hantu

Posted: 13 Apr 2014 05:40 PM PDT


PENDEDAHAN terhadap filem Hollywood secara berlebihan mendorong anak bertindak di luar dugaan.


"SAYA sangat terkejut melihat leher wanita tersebut berlumuran darah. Keadaannya sungguh tenat sehingga terkulai layu di tempat duduk pemandu," kata seorang saksi, Ericson Mahaeh, 17.
Ujarnya, dia menyedari kelibat kereta jenis Hyundai Atos yang dipandu oleh guru wanita malang itu sebaik tiba di Kompleks Tenis, Jalan Sukan, Miri, Sarawak pada pukul 8 pagi hari kejadian.
Namun sebaik kakinya melangkah keluar dari kompleks berkenaan pada pukul 2.30 petang, kedudukan kenderaan tersebut tidak berubah.
Bukan itu sahaja, wanita itu juga masih berada pada posisi yang sama, seakan-akan tidak berganjak sejak enam jam yang lalu.
Curiga dengan keadaan tersebut, dia bertindak memeriksa kenderaan itu sebelum mendapati guru tuisyen warga Filipina yang dikenali sebagai Marife R. Wong, 42, itu berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa.
Dalam keadaan terperanjat dan terketar-ketar, Ericson menghubungi pihak polis. Beberapa minit kemudian, sepasukan anggota polis dan forensik tiba di lokasi kejadian untuk melakukan penyiasatan.
Ericson diberitahu oleh anggota polis yang bertugas bahawa wanita itu dikelar dan ditikam di leher oleh anak lelakinya yang berang selepas permintaan untuk memiliki telefon pintar jenis Samsung tidak diendahkan si ibu.
Sumber polis memberitahu, sebelum kejadian berlaku, mangsa dan anak lelakinya yang berusia 18 tahun dikatakan telah bertengkar.
Perkara yang hampir serupa pernah terjadi di North Austin, Amerika Syarikat, apabila seorang remaja lelaki sanggup membunuh ibunya sendiri semata-mata mahu membolot AS$90,000 (RM292,000) dalam bank akaun ibunya.
Kejadian anak membunuh ibu atau bapa bukan sekali dua berlaku di negara ini. Sebaliknya, kes-kes seperti itu sudah beberapa kali dilaporkan malah semakin membimbangkan.
WANITA ini menerima nasib malang selepas lehernya dikelar oleh anaknya sendiri di Kompleks Tenis, Miri, Sarawak pada 5 April lalu gara-gara telefon pintar.


Menurut Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud, kejadian tersebut merupakan implikasi daripada sosiologi manusia masa kini yang beranggapan telefon pintar merupakan benda wajib milik sehingga sanggup bertindak di luar batasan tuntutan itu tidak dipenuhi.
"Dari segi psikologi, terdapat tiga faktor yang mempengaruhi perubahan perilaku seseorang iaitu pengaruh dadah, pengaruh rakan sebaya dan juga dirinya sendiri.
Didikan
"Namun begitu, kejadian ini berkemungkinan terjadi atas faktor rakan sebaya kerana si anak terlalu tertekan. Dari situ pula timbul perasaan cemburu apabila melihat rakan sebaya yang lain mampu bergaya dengan telefon pintar masing-masing," katanya.
Ujarnya, punca lain kejadian tersebut ialah perubahan pantas teknologi terkini.
"Keadaan sudah berubah. Anak-anak terlalu terdedah dengan kehidupan ala Barat seperti yang dipaparkan media elektronik dan media cetak.
"Jadi apabila mereka kerap dihidangkan dengan kisah pembunuhan ibu bapa oleh si anak, maka tidak mustahil kalau perasaan tersebut meresap masuk ke dalam jiwa mereka sehingga ada yang beranggapan membunuh itu perkara biasa," jelasnya.
Namun begitu, menurut Fatimah, orang ramai tidak sewajarnya meletakkan kesalahan itu seratus peratus terhadap remaja tersebut memandangkan kelakuan seseorang dipengaruhi oleh didikan yang diterimanya sejak kecil.
"Dalam hal ini, kita perlu mengambil kira didikan yang diberikan oleh ibu bapa ketika anak-anak masih kecil.
"Malangnya, ada ibu bapa moden yang mudah terikut-ikut dengan cara didikan orang lain, tanpa memeriksa terlebih dulu baik buruknya kaedah itu," ulasnya.

IBU bapa harus memberi didikan yang secukupnya kepada anak-anak sejak kecil. - Gambar hiasan


Lebih-lebih lagi sekarang banyak tip keibubapaan yang mampu diperoleh dengan mudah menerusi internet tanpa memerlukan mereka mengikuti kursus khas.
"Pada saya, mengikut arus kemodenan itu tidak salah tetapi harus dibuat dengan cara yang betul, lebih-lebih lagi ketika mendidik anak.
"Bagi ibu bapa yang beragama Islam, mereka perlu kembali kepada cara mendidik seperti yang disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi di samping mengguna pakai pantang larang yang diamalkan oleh nenek moyang zaman dahulu," tambahnya.
Dalam pada itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, kejadian tersebut berlaku berkemungkinan disebabkan kurangnya didikan dan kasih sayang daripada ibu bapa.
"Sekarang ramai ibu bapa yang hanya tahu menghantar anak ke sekolah dan tidak memberi pendidikan tambahan di rumah, yang menerapkan elemen kasih sayang berkeluarga.
"Selain itu, ramai ibu bapa yang cenderung memanjakan anak dengan memberi segala keinginan sehingga permintaan yang tidak penting pun ditunaikan," ujarnya
Disebabkan itu, anak-anak cenderung memberontak dan bertindak di luar kawalan apabila permintaan mereka tidak ditunaikan.

Dunia fesyen berkembang pesat

Posted: 13 Apr 2014 05:39 PM PDT



PERKEMBANGAN pesat industri fesyen dunia tidak boleh disangkal. Namun, apa yang paling banyak membantu perkembangan positif ini ialah sokongan daripada pelbagai sudut teknologi misalnya gajet, peralatan moden dan rangkaian perkhidmatan seperti internet yang membantu menyemarak dunia fesyen.
Penggunaan fabrik dan tekstil dalam industri pengeluaran dan pembuatan pakaian membawa kepada kemajuan perindustrian fesyen. Ini khususnya di negara-negara membangun yang sarat dengan kemajuan teknologi untuk fesyen. Tidak ketinggalan negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia sendiri yang banyak gunakan kemudahan teknologi dalam pembangunan dunia fesyen.
Pengarah urusan Skyye.com, Joanna Soh yang menjalankan jualan dalam talian membabitkan produk jenama mewah dan terpilih berkata, pembangunan teknologi khususnya penggunaan internet telah memberi impak yang positif kepada dunia fesyen.
"Generasi baharu banyak melakukan pembelian dalam talian kerana ia mudah dilakukan. Di Skyye.com, anda boleh memperoleh apa sahaja barangan berjenama yang tidak terdapat di dalam negara ini," katanya.
Dalam industri tekstil turut menggunakan mesin-mesin canggih dan berkelajuan tinggi. Ia membolehkan produktiviti pengeluaran pakaian dipertingkatkan dengan kos yang efektif.
Penggunaan teknologi-teknologi baharu ini juga memberi impak sosial yang mendalam bukan sahaja kepada para pekerja dan peserta fesyen yang terlibat tetapi juga kepada kilang pembuatan pengeluaran pakaian. Kemahiran, pengurusan dan keperluan latihan organisasi pula menerima tempias negatif daripada perkembangan teknologi yang memberi kesan kepada pembangunan modal insan.
Teknologi seperti CAD, CAM, pengurusan pembuatan dan sistem teknologi maklumat dilihat berupaya tinggi dan memudahkan berlakunya perubahan dalam fesyen wanita dan industri tekstil negara mahupun global. Melalui peningkatan produktiviti oleh peserta fesyen dan dengan mengurangkan kos pembuatan keseluruhan, industri pakaian mula dipandang sebagai satu industri berkeperluan di negara berasaskan perindustrian.
PENINGKATAN teknologi dalam industri tekstil banyak membantu memudahkan kerja-kerja penghasilan pakaian.


Fleksibel
Pembangunan teknologi menggalakkan automasi pengeluaran pakaian dan dalam industri mesin jahit misalnya, teknologi menawarkan pelbagai kaedah fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan gaya berubah, kain dan saiz.
Justeru, ia juga menggalakkan dan memungkinkan wujudnya beberapa keputusan penting dalam pembangunan dalam penilaian kain untuk industri fesyen ini. Walau bagaimanapun, masih terdapat halangan yang dikesan dalam automasi kain jahitan.
Pencarian daya saing yang lebih efektif meningkatkan kewujudan kaedah baharu dalam bidang reka bentuk, kualiti dan perkhidmatan selain memberi lebih fleksibiliti motivasi kepada pekerja.
Selain daripada kos dan akses yang lebih besar, terdapat kesan keseluruhan kepada teknologi pakaian syarikat-syarikat besar yang menguatkan daya saing di antara mereka tetapi dengan mengorbankan firma kecil dan sederhana.
Apa pun, teknologi baharu membawa perubahan yang ketara dan meningkatkan ekonomi pembuatan pakaian dan organisasi. Tugas seperti mereka bentuk, memotong dan membuat penanda boleh dikendalikan menggunakan peralatan yang paling moden dan canggih.
Bagi pakaian yang berasaskan bulu sebagai contoh, tugas memotong material itu boleh disepadukan secara langsung ke dalam proses kawalan kualiti kain. Operasi menjahit dan yang berkaitan dengannya dirangka dalam unit-unit kecil yang dikenali sebagai unit satelit dan ditawarkan kepada buruh yang menyediakan kos pilihan mereka.
PENCETAK F-Series baharu daripada Epson menyediakan warna-warna yang terbaik.


Pengusaha pasaran teknologi industri pakaian turut menyenaraikan kepentingan besar dalam bidang reka bentuk, inovatif fabrik, maklum balas cepat, kualiti dan fleksibiliti. Usaha peruncitan lebih tertumpu di pasaran fesyen global. Pemborong besar pula melibatkan diri mereka dalam menjalin hubungan dengan pembekal untuk pembelian terus kain, serat dan benang.
Bagi seorang bloger fesyen dan penulis kecantikan, J. Q. Lee, 24, memberitahu, pembangunan teknologi dalam fesyen sangat ketara pada masa kini dan ia juga membuka ruang untuk kewujudan pasaran. Dia juga menyentuh tentang perniagaan dalam talian khususnya blogshop mengakui ia lebih mudah mencapai pelanggan.
"Pelbagai kegunaan perisian dan peranti yang membantu pereka fesyen, penggunaan cetak digital pada baju-baju kita sudah menjadi trend. Malah kegilaan orang muda seperti kami menggunakan pakaian bercetak digital salah satu bukti kebangkitan pengaruh teknologi dalam fesyen," kata Kathryn Rao, 22, seorang penulis fesyen majalah dalam talian pula.

Berlian rawat muka

Posted: 13 Apr 2014 05:38 PM PDT


RAWATAN muka emas antara rawatan yang sesuai untuk semua jenis kulit.


EMAS, mutiara, berlian dan batu-batu gem, semuanya tidak boleh dipisahkan daripada wanita. Gelang emas, cincin berlian, subang mutiara dan kalungan batu gem yang eksotik, logam dan batu permata tidak hanya terhad bagi memenuhi keperluan aksesori fesyen seseorang.
Sebenarnya, emas, mutiara dan berlian sangat popular dalam dunia kecantikan apabila ia digunakan secara holistik dalam dunia rawatan kecantikan.
Pemilik salon Simran Beyond Beauty (SBB) yang berlokasi di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di Petaling Jaya, Gurjit Kaur, 40-an mengakui rawatan berlian sebagai pelengkap dan penyempurna kecantikan seseorang yang mahu mengekalkan awet muda dan kejelitaan berpanjangan.
"Penggunaan berlian dalam rawatan muka adalah satu bentuk rawatan mikro dermabrasi iaitu teknik menyental wajah secara manual untuk memberikan kulit yang lebih seri, menghilangkan kedutan halus dan meremajakan semula kulit wajah," ujar Gurjit.
Lazimnya, apabila bercakap mengenai pengunaan berlian dalam sesuatu rawatan khususnya rawatan kecantikan, ia bukan sepenuhnya tentang cara mencantikkan wajah sahaja. Malah, rawatan muka berlian membantu dalam keselarasan saliran limfa kulit tanpa mencalar dan menghidrat kulit. Ramai yang mengakui kesan dapat dilihat secara serta merta meskipun baru sekali melakukan rawatan.
Rawatan berlian membantu mereka yang tidak mempunyai warna kulit sekata, mengurangkan atau menghilangkan parut, menangani masalah liang roma yang besar dan mengurangkan garis-garis halus.

GURMIT menjalankan rawatan muka berlian menggunakan serbuk khas.


Tradisi kecantikan yang digunakan sejak abad berabad juga membuktikan berlian mempengaruhi tisu dalam badan manusia khususnya dalam penyingkiran toksin.
Ia membekalkan oksigen dan membersihkan kulit. Berlian juga berpotensi membangunkan sel-sel yang tidak aktif serta meningkatkan fungsi metabolik kulit.
Rawatan berlian yang digunakan dalam bentuk serbuk kristal berlian bagi melicinkan kulit akan meninggalkan kesan kulit yang lebih sekata, berkilauan dan berseri.
"Terdapat pelbagai jenis rawatan untuk muka. Di SBB, kami menawarkan rawatan muka hanya selepas menganalisis wajah mereka mengikut kesesuaian," kata Gurjit yang juga bekas jururawat rawatan kecantikan.
Beroperasi sejak tahun 2011, SBB hanya menggunakan produk organik dan semula jadi tanpa penggunaan sebarang ammonia, paraben, kimia atai sintetik.
Antara rawatan yang paling popular di SBB ialah pengelupasan kimi, urutan terapi Swedish dan Shiatsu serta penyental badan organik SBB.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories