RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Bahaya ketagih internet

Posted: 14 Apr 2014 11:37 PM PDT


  • Bahaya ketagih internet Ketagihan terhadap internet menyebabkan seseorang lebih gemar meluangkan masanya untuk berada lebih lama di depan komputer.
KUALA TERENGGANU - Perkembangan teknologi yang sangat pesat menyebabkan masyarakat kini terlalu obses dengan pelbagai gajet canggih seperti telefon pintar dan tablet yang mengandungi pelbagai aplikasi moden termasuk permainan video.

Bukan sahaja kanak-kanak, remaja, atau pelajar, tetapi menjadi pilihan golongan berumur hingga memberi impak negatif terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Ketua Jabatan dan Psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Nur  Zahirah (HSNZ), Dr Tuan Sharipah Tuan Hadi berkata, obsesi melampau melayari internet dan bermain permainan komputer boleh menjejaskan tumpuan, malah mampu mengurangkan aspek kepantasan reaksi atau rasa empati.

Menurutnya, ada baik dan buruknya apabila menggunakan kemudahan teknologi sama ada dalam kehidupan, pekerjaan dan pelajaran.

"Namun, ia menimbulkan masalah apabila digunakan berlebihan sehingga tidak tidur malam, tidak menumpukan kepada pekerjaan dan perkara lain sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, isteri, suami, anak dan kepada majikan.

"Malah ia boleh diibaratkan seperti orang ketagihan dadah, jika tidak mengambilnya akan menjadi tidak keruan dan semakin lama, keinginan menjadi semakin bertambah," katanya.

Ibarat rakan baik

Kata Dr Tuan Sharipah, ketagih bermain permainan komputer dan internet sama seperti ketagihan dadah dan arak, apabila keinginan mereka menjadi semakin tinggi untuk 'meneroka' alam maya itu.

Ini kerana katanya, dengan melayari internet mampu melayan segala macam keperluan yang diidamkan individu terbabit, daripada keperluan seksual, mental, emosi dan intelek sehinggalah spiritual.

"Mereka umpama sahabat dan rakan. Malah ada individu menganggap komputer dan internet sebahagian daripada diri dan kehidupan mereka. Mereka akan dirundung rindu resah dan gundah gulana sekiranya tidak berpeluang 'melayan sahabat' ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin ada sebahagian pengguna yang menggunakannya untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja, masalah pelajaran dan pada masa sama bagi mengikuti perkembangan teknologi terkini.

Pengguna jadi kurang sensitif

Namun, di sebalik perkembangan teknologi maklumat itu, impak paling ketara adalah komunikasi dalam kalangan masyarakat semakin pudar kerana taasub dengan teknologi, sehingga sesetengah kelompok individu menghidapi sejenis penyakit atau kecelaruan dikenali sebagai ketagihan.

"Individu terbabit juga menjadi tidak peka atau sensitif dengan perasaan orang lain disebabkan fungsi otak mereka yang diubah kerana terlalu asyik dengan komputer atau gajet walaupun berada di khalayak ramai, tetapi mereka bersendirian dengan dunianya.

"Akhirnya, jarak perhubungan semakin jauh kerana kurangnya komunikasi keluarga berbanding berkomunikasi dengan gajet. Seseorang yang ketagih didapati gagal memberi tumpuan yang baik terhadap kehidupannya seperti biasa.  Bagi mereka yang ada ketagihan itu, peranan dan perhubungannya dengan individu lain dalam lingkungan hidupnya akan terjejas," katanya.

Hadkan penggunaan internet

Beliau berkata, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, pengguna perlu menetapkan objektif dan matlamat sebelum melayari laman web atau menggunakan komputer dengan mengenal pasti tujuan penggunaan.

"Layari laman web tertentu dan yang perlu sahaja, atau sekadar memenuhi keperluan yang dikehendaki agar tidak melebihi had dan bagi mengelakkan melayari laman yang tidak perlu.

"Hadkan atau tetapkan jangka masa diperlukan ketika melayari laman siber bagi mengelakkan pembaziran masa. Bahagikan masa yang sewajarnya antara kehidupan di dunia siber dan kehidupan di alam nyata supaya seimbang," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menjadikan ruang siber dan internet sebagai sumber pengetahuan untuk meningkatkan peranan menjadi insan yang sempurna dan untuk menambah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan.

"Kurangkan beriadah secara 'maya', lebihkan interaksi secara realiti serta mengamalkan gaya hidup sihat kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

"Untuk mengelakkan senario ini menjadi semakin membimbangkan, babitkanlah diri dalam perkara yang boleh memberi manfaat seperti dalam kokurikulum selain aktiviti luaran yang mendekatkan mereka dengan masyarakat," katanya.

'Bulan madu dengan iPad'

Posted: 14 Apr 2014 11:31 PM PDT


  • 'Bulan madu dengan iPad' Amin makan hati isteri luangkan lebih banyak masa main game
"DISEBABKAN rasa sayang, saya masih lagi bersabar dengan kerenah isteri yang suka main online game," kata seorang suami mengenai sikap isterinya.

Kakitangan swasta, Amin Budi (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia menyedari sikap buruk isterinya selepas bulan madu pertama mereka apabila Dina, 27, tidak pernah berenggang dengan iPad yang merupakan salah satu barang hantaran perkahwinan yang dihadiahkannya dua tahun lalu.

Pada awalnya Amin berkata, isterinya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa tidak menunjukkan ketagihan kerana tetap melayannya dengan baik, namun apabila menjelang setengah tahun perkahwinan, sikap isterinya itu kian menjadi-jadi.

"Isteri saya kadang kala tak beri respons ketika saya bercakap jika ketika itu dia sedang menghadap iPadnya, dan sanggup tidur lewat malam menyebabkan dia kadang-kadang tak melakukan kerja rumah, tetapi menghabiskan masa dengan tidur sahaja di siang hari sebab tak cukup tidur pada waktu malam.

"Apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan bersepah, ini menyebabkan stress semakin bertambah. Tak cukup di tempat kerja, di rumah pula keadaan tunggang-langgang," katanya.

Jelasnya, isterinya suka bermain game 'Candy Rrush' dan game lain melalui Facebook seperti 'Restoran City' dan sebagainya.

Apabila ditegur, isterinya memberitahu ia sekadar untuk mengisi masa terluang sedangkan ketika itu dia berada di rumah.

Lebih malang katanya, isterinya pernah keguguran Januari tahun lalu dan dia menganggap perkara itu berlaku disebabkan sikap isterinya yang suka bermain permainan online sehingga tidak menjaga pemakanan dan waktu tidur yang baik.

'Uninstall' semua permainan

Mengulas lanjut, Amin bagaimanapun tidak menyalahkan isterinya 100 peratus. Dia menganggap isterinya hanya mahu melepaskan tekanan akibat kesunyian di rumah kerana sentiasa ditinggalkan keseorangan.

Amin juga mengakui kadang kala terpaksa meninggalkan isterinya untuk beberapa hari kerana terpaksa keluar daerah atas urusan kerja. Tidak menolak keadaan itu juga turut menjadi penyebab hubungan mereka renggang, Amin kemudian tekad berbincang secara serius dengan isterinya.

Amin bagaimanapun bersyukur kerana keadaan itu membuka ruang yang lebih baik dalam perkahwinan mereka apabila keterbukaan kedua-duanya dalam menyuarakan isi hati masing-masing telah menyebabkan mereka cuba memperbaiki kelemahan yang ada.

"Sekarang ini, isteri saya juga sudah berubah selepas keguguran tahun lalu dan dia juga telah 'uninstall' semua permainan yang menjadi ketagihannya sebelum ini," katanya.

Suami perlu bijak selesai masalah

Dalam masa sama, Amin menasihati mana-mana suami yang menghadapi masalah sama agar bersabar dan berbincang dengan isteri.

"Janganlah kerana online game, berlaku keretakan rumah tangga. Kalau kita ikhlas, ALLAH sudah tentu buka pintu hati isteri untuk terima nasihat kita. Masing-masing ada kelemahan, mungkin ia juga berpunca dari sikap kita, tetapi itulah cabaran perkahwinan," katanya.

Sementara itu, Munir Ahmad, 32, memberitahu ketagihan terhadap permainan online menyebabkan hubungan sepupu dan suaminya menjadi renggang.

Kata Munir, sepupunya, Suriati, pernah memberitahu walaupun ketika Ramadan, suaminya lebih suka bermain game berbanding solat Tarawih dan kadang-kadang tidur pada jam 4 pagi kerana asyik bermain game.

Begitu juga dari urusan penjagaan anak-anak, jika salah satu dari dua anaknya jatuh sakit, Suriatilah yang menguruskan segalanya kerana suaminya lebih suka menghabiskan masa dengan permainan online.

"Walaupun ia tidaklah menyebabkan hubungan mereka sampai hendak bercerai tetapi melalui ceritanya, suaminya mengabaikan urusan penjagaan anak-anak sehinggakan semua dia yang perlu selesaikan walaupun dari segi nafkah, suaminya tak pernah 'miss'.

"Apa yang membimbangkannya, anak sulung Suriati juga mengikut perangai ayahnya. Bangun sahaja tidur, dia akan menuju ke komputer untuk bermain game 'Angry Bird'," katanya.

Teruja menanti kelahiran anak sulung

Posted: 14 Apr 2014 09:19 PM PDT


KELUARGA besar Liyana turut tumpang gembira dengan bakal kelahiran dua cahaya mata sekali gus daripada pelakon itu dan kakaknya.


SUDAH menjadi suatu kebiasaan atau trend buat sebilangan pasangan artis menganjurkan majlis baby shower sempena menantikan kelahiran cahaya mata.
Bagaimanapun pelakon popular, Liyana Jasmay mengambil pendekatan yang agak berbeza apabila menganjurkan sebuah majlis doa selamat yang berlangsung di kediaman keluarganya di Kemensah Heights, Selangor.
Selain dihadiri saudara-mara terdekat, sahabat handai dan rakan-rakan media, turut kelihatan ialah pasangan Awal Ashaari dan isterinya, Scha Alyahya yang juga kini sedang sarat mengandung.
Liyana berkata, majlis doa selamat yang dianjurkan itu bukan sekadar meraikan dirinya seorang sahaja, malah turut dirai ialah kakaknya, Adriana yang sedang menunggu masa bersalin.
"Kalau diikutkan saya berkemungkinan besar akan melahirkan cahaya mata sulung pada bulan hadapan dan diikuti pula dengan kakak saya yang bakal bersalin pada Jun nanti.
"Jadi, kami telah sepakat untuk menganjurkan majlis ini bersama-sama dan pada kesempatan ini saya turut mengumumkan jantina anak saya," ujar isteri kepada Fathuddin Mazlan itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sudah merancang untuk melahirkan cahaya mata di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pelakon berusia 26 itu mendedahkan bahawa melalui pemeriksaan yang dilakukan, dia dan suami bakal dikurniakan cahaya mata perempuan.
Biarpun kini dia dan Fathuddin sudah mengetahui jantina bakal anak yang akan dilahirkannya itu, Liyana menyatakan, setakat ini mereka masih belum lagi memilih nama anak.
"Setakat ini segala persiapan telah siap dilakukan sepenuhnya, termasuk menyediakan sebuah bilik khas untuk anak saya nanti.
"Kalau diikutkan, segala kelengkapan barangan bayi yang lain semuanya sudah dibeli dan kini saya cuma menghitung hari sahaja untuk bersalin. Tidak dinafikan saya memang berada dalam keadaan yang sangat teruja," luahnya dengan nada gembira.
Bercerita lebih lanjut tentang keadaan dirinya sepanjang proses kehamilan, pelakon itu menjelaskan bahawa keadaan kesihatannya cukup baik, kecuali pada peringkat awal kehamilan.
Ujarnya, dalam tempoh tiga bulan pertama dia mengalami alahan yang agak teruk tetapi selepas tempoh tersebut semuanya kembali seperti biasa hinggalah sekarang.
"Pada mulanya agak teruk juga alahan yang saya lalui, namun itu adalah situasi yang biasa dilalui oleh seseorang wanita hamil. Selepas alahan saya beransur pulih, saya kembali meneruskan kerja-kerja saya dalam bidang seni," jelasnya.
SUAMI Liyana, Fathuddin sentiasa menyokong dirinya dalam bidang seni walaupun selepas bergelar ibu.


Terus aktif
Memandangkan Liyana bakal bergelar seorang ibu tidak lama lagi, dia turut ditanya sama ada akan terus aktif dalam bidang lakonan atau menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.
Jelas Liyana, biarpun sudah memiliki anak nanti, dia akan meneruskan kerjaya dalam bidang yang diceburinya itu dan yakin dapat membahagikan masa antara pekerjaan dan keluarga.
"Setelah tamat tempoh berpantang, saya akan kembali semula berlakon dan bakal menjalani penggambaran sebuah telemovie selepas Hari Raya Aidilfitri nanti serta terbabit dengan beberapa buah projek lain.
"Jadi, selepas mendapat cahaya mata saya akan meneruskan karier lakonan seperti biasa, cuma tidaklah terlalu kerap sangat berlakon. Lagipun projek yang membabitkan saya nanti kebanyakannya di bawah syarikat produksi saya sendiri iaitu Mermaid Studios," ujarnya.
Dalam pada itu, Liyana juga memberitahu, suaminya pula langsung tidak menghalang dirinya meneruskan kerjaya lakonan dan sentiasa memberikan sepenuh sokongan.
"Saya bersyukur kerana memiliki seorang suami yang cukup memahami diri saya sebagai seorang pelakon, malah saya berasa sangat gembira kerana tidak dihalang untuk melakukan pekerjaan yang saya suka.
"Berkenaan dengan tawaran berlakon pula, ia bergantung kepada skrip yang sesuai dan jalan cerita yang mampu membuatkan saya teruja. Selain itu, watak pula haruslah bersesuaian dengan status saya sebagai seorang ibu," jelasnya.
Semakin berkembang
Selain aktif dalam bidang lakonan, umum sudah mengetahui tentang Liya- na yang turut memiliki sebuah syarikat produksi, Mermaid Studios yang diusahakan bersama kakaknya, Adriana.
Cerita Liyana, dia bersyukur kerana syarikat produksi yang ditubuhkan bersama kakaknya itu sejak tahun 2010 kini semakin berkembang dan banyak menerbitkan program televisyen.
"Sudah tentu saya dan kakak sangat gembira kerana semakin mendapat kepercayaan daripada stesen-stesen televisyen dan sejujurnya ia bukanlah suatu usaha yang mudah.
"Bermula dengan sebuah produksi secara kecil-kecilan, kini semakin banyak projek yang diterima. Namun begitu, saya dan kakak tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan buat masa ini kerana masing-masing sedang hamil," ujarnya yang akan kembali fokus sepenuhnya terhadap syarikatnya itu selepas bersalin.
Mengenai perkembangan karier seninya pula, Liyana memberitahu, dia juga merancang untuk menghasilkan sebuah single baharu dan kini sedang mencari komposer yang sesuai untuk menghasilkan lagu buat dirinya.

Transformasi novel ke teater

Posted: 14 Apr 2014 09:17 PM PDT



TEATER Di Bawah Lindungan Kaabah yang dibarisi pelakon hebat tidak menjalani sebarang perubahan, sebaliknya ia dihasilkan mengikut acuan novel sedia ada.



ACAP kali rumah produksi yang mengadaptasi naskhah novel dalam format visual akan berdepan dengan kritikan intipati asli dan kehendak audiens yang mahukan seratus peratus persembahan serupa seperti dibaca.
Kerisauan itu turut didepani penerbit teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Siti Rohayah Attan yang berjanji akan mentransformasikan naskhah novel itu ke pentas teater tanpa mengubah karya agung tersebut.
"Tidak akan ada sebarang perubahan dari segi jalan cerita kerana teater ini adalah sebuah terjemahan penyampaian daripada novel ke pentas teater.
"Mesej juga akan disampaikan dalam bentuk lagu dan pergerakan tarian abstrak ringkas. Cerita ini juga tiada watak antagonis dan kami akan cuba memakai isi kandungan sama seperti dalam novel," ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar teater itu di Bilik Nilam Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Siti Rohayah, teater Di Bawah Lindungan Kaabah akan menggunakan perantaraan dialog dalam bahasa Melayu nusantara yang boleh difahami masyarakat gugusan kepulauan Melayu.
Bagaimanapun, produksi itu masih berdepan dengan kekangan kewangan memandangkan naskhah yang bakal dipertontonkan lebih bersifat Islamik.
"Itu masalah biasa yang dialami penerbit teater di Malaysia, tambahan pula genre naskhah yang dipersembahkan kali ini berbeza daripada sebelum ini.
"Insya-Allah dengan adanya beberapa penaja yang sudah memberikan 'lampu hijau' untuk terbabit dengan produksi ini, sedikit sebanyak menyuntik semangat kami untuk memberikan hasil terbaik.
"Namun, kami masih mengalu-alukan sumbangan dan penajaan daripada syarikat korporat yang sudi dan bermurah hati," jelasnya yang memerlukan dana sebanyak RM2.4 juta.
Teater itu telah memulakan sesi latihan pada 4 April lalu dan sebanyak 30 peratus gerak kerja menjelang pementasan telah dilaksanakan.
Teater terbitan CTRA Production itu dibintangi oleh Adi Putra, Nasha Aziz, Zahid, Fizo, Elfira Loy, Yasmin Hani dan Dafi.
Nasha taja kasut
Sementara itu, pada majlis sidang akhbar yang sama, aktres berbakat besar, Nasha Aziz telah mengumumkan untuk menaja 12 pasang kasut kepada pelakon wanita teater tersebut.
"Insya-Allah untuk pementasan kali ini saya akan menaja sebanyak 12 pasang kasut yang direka khas untuk pelakon wanita.
"Kasut tersebut direka mengikut kesesuaian watak, jalan cerita dan keadaan yang dilakonkan oleh pelakon. Kesemua kasut tersebut telah siap direka dan kini hanya tinggal proses pembuatan sahaja.
"Cabaran utama adalah rekaan corak kasut itu sendiri yang perlu dihasilkan melambangkan simbolik jalan cerita yang hendak disampaikan dan bagi keselesaan pergerakan setiap pelakon," kata pelakon itu.
Berbeza sosiobudaya
Di Bawah Lindungan Kaabah merupakan adaptasi novel yang dikarang oleh Hamka pada tahun 1938 dan diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur.
Novel itu mengisahkan tentang perjuangan kehidupan pasangan muda Minang yang berasal daripada latar belakang sosial berbeza.
Karya itu pernah difilemkan di Indonesia sekitar tahun 1978 dan 2011. Bagaimanapun, inilah pertama kali naskhah tersebut diadaptasi menjadi sebuah persembahan teater.
Teater Di Bawah Lindungan Kaabah akan dipentaskan dari 9 hingga 18 Mei depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Peminat yang ingin menyaksikan sebuah karya terbitan CTRA Production dan Istana Budaya boleh membuat tempahan tiket menerusi www.AirAsiaRedTix.com.

Siswazah baru bekerja pokai

Posted: 14 Apr 2014 09:16 PM PDT


PARA siswazah kini menuntut kadar gaji lebih tinggi bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Satu kajian oleh syarikat pengambilan pekerja dalam talian, JobStreet.com mendapati kebanyakan siswazah yang baru mendapat pekerjaan di Malaysia berdepan kesukaran untuk menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan gaji bulanan sebanyak RM2,500.
Menurut kajian yang melibatkan 2,062 responden itu, sebanyak 77 peratus daripada mereka memberitahu tidak mempunyai baki wang mencukupi untuk membuat simpanan kerana terpaksa menampung perbelanjaan keperluan.
Kajian turut menunjukkan sebanyak 63 peratus daripada mereka menjelaskan bahawa barangan keperluan yang dimaksudkan itu ialah pinjaman kereta dan pendidikan serta kos pengangkutan yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak di pasaran.
"Kira-kira RM1,500 daripada pendapatan bulanan mereka telah dibelanjakan ke atas keperluan tersebut dan untuk menjimatkan kos, separuh daripada mereka tinggal bersama ibu bapa, manakala 30 peratus lagi menyewa secara berkongsi bersama rakan dan 20 peratus sahaja yang membuat keputusan tinggal berseorangan.
"Kajian itu juga mendapati 87 peratus daripada responden tidak memiliki pendapatan sampingan selain pendapatan bulanan mereka, dan disebabkan itu kebanyakan mereka meminta gaji yang tinggi sewaktu sesi temu duga," menurut kajian tersebut.
Kajian ke atas responden yang terdiri daripada siswazah yang baru mendapat pekerjaan di seluruh negara itu dilakukan pada Mac lalu.
Syarikat JobStreet.com menyediakan perkhidmatan pekerjaan dalam talian yang memaparkan lebih 150,000 iklan pekerjaan sebulan dan memiliki pangkalan data lebih 11 juta pencari kerja.

Hukuman baharu lebih berat

Posted: 14 Apr 2014 09:14 PM PDT



ROHANI (depan tiga dari kanan) bergambar bersama para penerima Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang 2013 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memastikan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 akan diwarta dan dikuatkuasakan secepat mungkin selepas diluluskan oleh Parlimen
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pindaan akta itu yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada pelaku jenayah terhadap kanak-kanak masih diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.
"Lebih 70 peratus dalam Akta Kanak-Kanak 2001 akan dipinda termasuk pelaksanaan hukuman yang lebih berat ke atas mereka yang melakukan jenayah ke atas kanak-kanak termasuk jenayah siber serta pornografi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 609 pegawai dan kakitangan pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut menerima anugerah berkenaan.
Antara hukuman dalam Akta Kanak-kanak 2001 yang dilihat ringan dan perlu dipinda ialah hukuman penjara terhadap ibu bapa yang cuai menjaga anak.

Lelaki 4 isteri didakwa pukul bini ketiga

Posted: 14 Apr 2014 09:12 PM PDT


ADNAN dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa memukul isteri ketiganya di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Seorang lelaki beristeri empat dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memukul isteri ketiganya di rumah tertuduh di Kampung Derdap Limbat, Kubang Kerian di sini, Rabu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Adnan Abdullah, 50, mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, Adnan didakwa memukul dengan tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Norma Ismail, 41, di sebuah rumah di Kampung Derdap Limbat, Kubang Kerian, di sini pada pukul 9 pagi, 9 April lalu.
Peniaga itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Firdaus Mohd. Yusoff.
Noor Dayana menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 namun Firdaus memohon jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan.
"Tertuduh mempunyai empat orang isteri dan mangsa ialah isteri ketiga. Saya percaya anak guam saya seorang yang baik, ini adalah kes pertama dia dihadapkan ke mahkamah," kata Firdaus.
Nik Habri membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM1,000 selain menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan kes.
Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Lelaki rogol, liwat remaja OKU

Posted: 14 Apr 2014 09:11 PM PDT


MUHAMMAD HUNAIN (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang semalam untuk didakwa atas tuduhan merogol seorang remaja OKU bawah umur.


GEORGE TOWN – Seorang lelaki mungkin berhadapan dengan hukuman penjara 60 tahun dan sebatan selepas dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) bawah umur.
Tertuduh, Muhammad Hunain Shah Sufi, 24, yang hadir ke mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan minta dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah merogol mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan di sebuah rumah beralamat di Paya Terubong di sini kira- kira pukul 3 petang pada 24 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia yang mengenali mangsa didakwa mengulangi perbuatan terkutuk itu di lokasi yang sama kira-kira pukul 2 petang pada 26 Mac lalu.
Muhammad Hunain turut dituduh melakukan persetubuhan di luar tabii dengan mangsa di lokasi yang sama pada pukul 3 petang pada 27 Mac lepas.

Liverpool diserang tikus gergasi

Posted: 14 Apr 2014 09:07 PM PDT



SEEKOR tikus gergasi sebesar seekor kucing yang berjaya ditangkap di Liverpool baru-baru ini.


LIVERPOOL - Bandar raya Liverpool didapati mengandungi sejumlah tikus gergasi yang didakwa sebesar saiz seekor kucing, lapor portal berita Metro.com,uk kelmarin.
Sekumpulan tikus gergasi itu ditemui di Merseyside, bandar raya ini.
Penduduk tempatan di sini terpaksa menggunakan racun yang dibuat secara tradisional sebagai umpan untuk menghapuskan tikus-tikus.
"Haiwan-haiwan itu kini kebal dengan umpan tradisional itu," kata seorang pekerja yang mengawal pembiakan makhluk perosak, Sean Whelan kepada akhbar Liverpool Echo.
Tikus-tikus itu mampu membesar menyamai saiz seekor kucing kerana terdapat makanan terbuang yang banyak di jalanan.

Lupus tiga tan kiub setiap bulan

Posted: 14 Apr 2014 09:06 PM PDT


MUSHAF yang basah akan dijemur terlebih dulu sebelum dicarik.


SEBELUM ini, sensitiviti umat Islam teruji dengan perebutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian untuk penerbitan mingguan mereka, The Herald.
Bersatu hati mempertahankan kesucian kalimah Allah, umat Islam tampil menepis permohonan penggunaan tersebut.
Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu turut memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam seksyen bahasa Melayu majalah itu selepas mendengar rayuan Kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.
Reaksi tegas umat Islam di negara ini sekali gus menunjukkan kalimah tersebut sangat eksklusif dan perlu dipelihara kegunaannya kepada hamba-Nya sahaja.
Namun, segelintir umat Islam mungkin terlepas pandang mengenai hal memelihara kemuliaan ayat-ayat suci di bahan bercetak atau barang perhiasan.
Itulah antara isu yang ingin diutarakan oleh seorang pemilik pusat pelupusan mushaf, Rahmat Mahdan, 57, yang telah membuka premis tersebut sejak 2007. Menurutnya, selain memandang berat sudut penggunaan, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah cara menjaga keeksklusifan kalimah itu sendiri.
"Selain berjuang mempertahankan kalimah Allah, umat Islam perlu menjaga ia daripada perkara-perkara mengaibkan seperti berada di atas lantai, dibiarkan kotor dan meletakkannya setaraf dengan bahan kitar semula yang lain.
"Kita perlu tahu tujuan menulis kalimah Allah ini dan bukan sewenang-wenang mencetaknya untuk kegunaan yang sementara seperti di kad perkahwinan," jelasnya ketika ditemui di pusat pelupusan percetakan Saufi, Batu 10, Cheras.

RAHMAT(dua dari kanan) memasukkan kertas yang siap dicarik ke dalam mesin insinerator.


Peningkatan
Luahan itu unjuran peningkatan jumlah bahan bacaan ayat suci al-Quran rosak dengan berat minimum 20 kilogram yang diterimanya setiap hari. Bukan sahaja al-Quran usang, malah barang-barang perhiasan seperti ayat gantungan di dinding, mangkuk tembaga dan kaca juga diterima.
Sekilas lalu, pusat pelupusan itu kelihatan seperti kedai menjual barang perhiasan rumah ekoran bingkai ayat al-Quran yang banyak. Antara yang terpampang di dinding bahagian hadapan kedainya termasuklah surah empat Qul iaitu al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.
Rahmat memberitahu, bingkai yang masih cantik itu dihantar ke pusat pelupusan kerana mengandungi beberapa kesilapan penulisan dalam baris ayat.
"Jika diperhatikan betul-betul ada beberapa ayat yang disusun secara terbalik dengan tanda bacaan salah. Ini menunjukkan sama ada penulis surah ini bukanlah orang Islam atau wahyu Allah ini dicoretkan sekadar mengaut keuntungan dan bukan untuk meraih pahala.
"Segelintir umat Islam yang tidak mahir tentang penulisan khat pula tertipu dan membeli bingkisan ini. Akhirnya setelah menyedari kesilapan penulisan tersebut, mereka telah menghantarnya ke sini untuk dilupuskan," jelasnya yang kecewa dengan sikap ambil mudah sesetengah peniaga.
Mengulas lanjut tentang pusat pelupusan tersebut, Rahmat berkata, premis tersebut dibuka selepas terbit rasa tanggungjawab di hati untuk menjaga keeksklusifan ayat-ayat suci al-Quran selepas mengambil tempahan mencetaknya.
MESIN insinerator ini dibina khas untuk pembakaran al-Quran.


Selain menjadi pemilik pusat lupus al-Quran, Rahmat juga merupakan pengurus kedai percetakan Saufi di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Pusat percetakan Saufi merupakan antara yang diberi lesen oleh Bahagian Kawalan Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekal al-Quran dan teks.
Pada permulaannya, kedai lupus itu menawarkan perkhidmatan melupus secara percuma, namun selepas menerima longgokan demi longgokan naskhah ayat suci di depan pagar, bayaran mengikut berat terpaksa dilakukan bagi menampung kos pelupusan.
Setiap satu kilogram mushaf akan dikenakan bayaran sebanyak RM6, manakala bagi naskhah agama RM10. Wang diperoleh digunakan untuk membayar gaji kira-kira 10 orang yang bekerja di bahagian proses pelupusan.
Antara proses yang terlibat dalam pelupusan termasuklah pengasingan potongan ayat-ayat suci daripada helaian yang tidak berkaitan, menjemur, mencarik dan dibakar menggunakan mesin khas, insinerator.
Abu kemudian dikumpulkan dan disimpan dalam bekas abu sebelum dibungkus di dalam plastik kuning. Cebisan itu dikiubkan bagi tujuan menghalang cebisan ayat-ayat al-Quran berterbangan apabila ditiup angin.
Pusat perkhidmatan melupus ayat suci al-Quran itu membuang kira-kira tiga tan kiub setiap bulan ke dalam saluran yang dibuat khas di premis berkenaan.
Bagaimanapun, menurut anak kedua Rahmat, Khairul Aizat, 30, yang turut mengawal selia operasi, proses pelupusan menjadi rumit jika ayat-ayat suci al-Quran dicetak di atas kepingan logam dan kaca yang telah rosak.
KIUB abu akan dihanyutkan ke dalam saluran khas ini.


"Ukiran ayat-ayat suci seperti surah Yasin di dalam mangkuk perhiasan seperti gangsa dan tembaga antara bahan paling susah untuk dileburkan. Ia perlu dibakar lama dalam mesin pembakar dan memakan masa dan bahan bakar yang lebih banyak.
"Bagi bahan kaca pula kami terpaksa mengikis ayat-ayat tersebut atau hancurkannya sehingga sempurna," jelasnya yang turut memberitahu, antara bahan lain yang memakan kos penghapusan tinggi termasuklah gegantung dan poster-poster besar.
Pengerusi Masjid As-Syakirin Taman Dagang, Ampang , Zainal Abidin Pilus, 59, turut menghantar kira-kira 56 kilogram bahan untuk dilupus yang terdiri daripada al-Quran rosak, bahan-bahan bacaan dan buku teks agama sekolah.
Menurutnya, bahan-bahan itu merupakan hasil pengumpulan daripada para jemaah yang tidak yakin untuk melupuskannya sendiri.
"Setelah mengetahui ada pihak yang lebih arif dalam melupus al-Quran, saya telah memaklumkannya kepada para jemaah di masjid As-Syakirin dan mula mengumpul bahan-bahan mengandungi ayat-ayat suci al-Quran selama dua bulan.
"Maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Ini kerana rata-rata daripada mereka tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk membakar dan menanam, selain memahami cara-cara betul bagi melupuskannya," jelasnya.

ABU ayat-ayat suci al-Quran dikumpul dan dikiubkan sebelum dimasukkan ke dalam plastik.


Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah juga yang memelihara dan menjaganya". (Surah Al-Hijr, ayat: 9)
Terdahulu, pusat pelupusan tersebut turut bekerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dalam usaha mendidik orang ramai untuk menjaga nilai eksklusif ayat-ayat suci al-Quran.
Ketua Pegawai Eksekutif yayasan tersebut, Marhaini Yusoff berkata, sejak dilancarkan pada Februari lalu, pihaknya giat memaklumkan tentang pelupusan al-Quran lama atau telah rosak dan dicetak pada tahun sebelum 1990.
"Saya memahami faktor masa dan jarak antara masalah sering dihadapi oleh umat Islam di luar sana yang sibuk bekerja untuk datang ke pusat pelupusan di Cheras ini. Jadi, membantu meluaskan tempat pengumpulan, kami membuka ruang di Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam.
"Selain itu, pihak kami turut menyarankan mereka menghantar naskhah lama yang tidak mendapat kelulusan Lajnah Tashih Al-Quran Kementerian Dalam Negeri dan memberikan satu al-Quran Mushaf Resam Uthmani untuk setiap dua al-Quran lama yang dihantar sebagai dorongan," jelasnya.
Marhaini turut memberitahu, pihaknya juga bekerjasama dengan pusat tahfiz, masjid, dan rumah anak yatim untuk menjayakan program pelupusan tersebut. Orang ramai yang berminat untuk menyerahkan al-Quran lama boleh menghubungi talian 03-5101 3789 atau 013-955 2106.

Jaga Rukun Iman ketiga

Posted: 14 Apr 2014 09:04 PM PDT


Umat Islam perlu menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran seperti tidak mencetaknya pada kad undang perkahwinan atau pakaian.

SEJAK di bangku sekolah rendah anak-anak telah dididik untuk menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran.


APABILA berbicara mengenai pemeliharaan ayat-ayat suci al-Quran, antara perkara paling mudah untuk mengingatkan betapa pentingnya pelaksanaan itu kepada umat Islam adalah dengan berbalik kepada Rukun Iman yang ketiga, iaitu beriman kepada kitab-kitab Allah.
Sejak di bangku sekolah rendah lagi anak-anak telah dididik mengenai betapa tingginya nilai kalamullah ini. Antara yang sering dipesan adalah meletakkannya di tempat yang tinggi, dipegang dalam keadaan suci dan rajin mengalunkannya.
Bagaimanapun, segelintir umat Islam pada hari ini dilihat leka dan tidak mengambil berat mengenai kemuliaan kalimah Allah apabila sewenang-wenangnya mencetaknya seperti pada kad perkahwinan.
Kesal
Turut meluahkan rasa kesal ialah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.
Menurutnya, kalimah suci Allah tidak sepatutnya berada pada bahan cetakan selain daripada mushaf dan bahan bacaan agama.
"Umat Islam disarankan supaya tidak mencetak kalimah Allah, walaupun pada kad undangan perkahwinan. Kaedah pembuka kata boleh diubah seperti meletakkan pantun yang melambangkan adat budaya orang Melayu.
"Ia bagi mengelakkan penghinaan terhadap kalimah Allah berlaku apabila kad-kad ini dibuangkan ke dalam tong sampah atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

PELBAGAI jenis barang perhiasan rumah dengan kalimah Allah diterima oleh pusat pelupusan percetakan Saufi.


Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan aplikasi mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.
Ujarnya, antara hal yang perlu dipandang serius adalah penggunaan deringan atau aplikasi yang mengalunkan ayat-ayat suci Allah.
"Pada era ini, pelbagai aplikasi pada telefon mudah alih telah dibuat bagi memudahkan orang ramai, termasuklah aplikasi bacaan al-Quran dan masuk waktu solat.
"Individu yang menggunakan aplikasi ini harus lebih berhati-hati kerana kita tidak mahu alunan azan kedengaran ketika berada di dalam tandas. Jika berlaku, ia bermakna kita telah menghina kalimah Allah. Seelok-eloknya, telefon diletakkan dalam mod senyap apabila masuk ke dalam tandas," ujarnya yang turut kecewa dengan penggunaan kalimah Allah dan Muhammad pada pakaian sukan.
Berhati-hati
Tambahnya, selain memelihara kesucian kalimah, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam membeli barang-barang perhiasan mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.
"Ini kerana terdapat orang bukan Islam menjual barang perhiasan mempunyai kalimah Allah seperti bingkai dan jam dengan seni khat, sedangkan mereka tidak tahu cara mengendalikan barang-barang mengandungi ayat suci al-Quran.
UMAT Islam harus berhati-hati dalam menggunakan aplikasi yang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.


"Tindakan tersebut sekali gus dianggap menghina agama Islam dan kita tidak sepatutnya menyokong dengan membeli barang perhiasan tersebut daripada mereka," jelasnya.
Menurutnya lagi, perkara tersebut juga dipantau oleh pihak Kementerian Dalam Negeri Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran dan beberapa rampasan turut dilaksanakan.
Mengulas lanjut, pemilik pusat pelupusan percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, 57, berkata, kebanyakan bahan perhiasan diterimanya merupakan hasil jualan daripada warga asing dari Pakistan dan India.
Dia yang telah membuka pusat pelupusan mushaf sejak 2007 memberitahu, barang-barang dijual oleh mereka bukan Islam seperti bingkai surah turut mempunyai kesalahan penulisan.
"Beberapa bingkai surah yang kami terima mengandungi kesilapan susunan ayat dan tanda baris yang hilang. Mereka yang menghantarnya ke pusat pelupusan ini memberitahu kebanyakan bingkai tersebut dibeli daripada penjual Pakistan dan India.
"Terdapat juga bingkai perhiasan yang dijual oleh umat Islam, tetapi barang-barang itu dibawa masuk daripada negara-negara luar," katanya.
Beberapa barang perhiasan seperti kaca, cakera video digital dan bingkai surah digantungkan pada dinding kedainya untuk dijadikan contoh kesilapan penulisan kalimah Allah kepada orang ramai.

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

Posted: 14 Apr 2014 09:02 PM PDT

PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.


MENERAPKAN konsep Islamik dalam genre fesyen jalanan ada risikonya. Sinikal masyarakat terhadap gaya keagamaan sedemikian belum berubah. Pada pandangan mereka, baju-T bercoret kata-kata dakwah tidak menepati suasana pluralisme di negara ini.
Memang kebanyakan baju-T dengan rekaan Islamik bertujuan untuk mengajak orang Muslim di Malaysia berbangga dengan Islam. Apakan daya, penggunaan corak, warna, material dan pendekatan lapuk membuatkan ia kurang diminati.
Lokasi jualan di sekitar masjid dan tapak-tapak majlis keagamaan juga mengehadkan sesi pendakwahan langsung kepada masyarakat.
Jika dibandingkan bersama label antarabangsa seperti Design Molvi dan Justmuslim, kita masih ketinggalan dari segi teknik penyebaran ideologi agama menerusi fesyen.
Dua jenama dari United Kingdom itu bijak bermain dengan cetakan kreatif menggunakan frasa-frasa ringkas tetapi cukup magnetik untuk membangkitkan kebanggaan diri seorang Muslim.
Untuk permulaan, Malaysia kini mempunyai Stereostar Clothing (Stereostar). Diperkenalkan pada awal tahun 2013, label itu berusaha menampilkan fesyen jalanan berkonsep Islamik yang urban dan moden. Eksperimen sederhana mereka kini meraih minat Muslim tempatan khususnya remaja.
Pereka Stereostar, Hafizal Nasir membangunkan label itu secara solo pada awalnya. Dia banyak melibatkan diri dengan majlis-majlis agama seperti kuliah dan ceramah di masjid. Ketika itu, Hafizal, 32, hanya membekalkan rekaannya kepada peniaga-peniaga baju-T.
Penampilan sulung Hafizal di bawah jenama Stereostar adalah di bazar fesyen jalanan terbesar tanah air, Tempatan Fest 3.0 di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur hujung tahun lalu.
"Eksperimen awal saya adalah dengan mengeluarkan 100 helai baju-T edisi terhad dengan rekaan Islamik yang agak sarat mesejnya. Namun, ia habis dijual dan menerima sambutan di luar dugaan.
"Dari situ saya sedar bahawa konsep Islamik ada pasaran yang positif. Justeru, saya mengumpulkan beberapa ahli dan kini Stereostar diterajui empat individu," jelas Hafizal ketika ditemui Kosmo! di Studio Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rekaan
Dalam tempoh tidak mencecah setahun, Stereostar telah berjaya membariskan 10 hingga 12 rekaan meliputi baju-T lengan pendek dan panjang, baju panas (sweatshirt), hoodie dan topi snapback.
Tiga warna teras iaitu hitam, putih dan merah pula mendukung falsafah eksklusif yang dikendong Stereostar. Dominan hitam dalam setiap rekaan membezakan mereka daripada pakaian Islamik lain yang menggemari rona-rona terang.
Pemilihan warna asas tersebut diharapkan dapat mengubah tanggapan masyarakat terhadap nilai eksklusif pakaian bercorak Islamik. Stereostar mengetengahkan prestij, moden dan urban dalam setiap rekaan mereka.
"Kami tidak meletakkan had usia pelanggan tetapi ia diharapkan mampu menarik ramai anak muda untuk membeli baju berkonsep Islamik.
"Kalau rekaan spesifik dakwah orang tak mahu pakai sebab agak konvensional dari segi rekaan, gaya dan tidak kelihatan trendy," ujar Hafizal.
Di sebalik kesungguhan Stereostar memperbaharui fesyen jalanan Islamik di negara ini, timbul teguran-teguran kurang manis daripada segelintir pihak. Ada pihak yang mempersoalkan arah dakwah yang cuba disebarkan Stereostar kepada anak-anak muda.

PEMILIHAN hitam dan putih sebagai warna teras jenama menyerlahkan sisi eksklusif Stereostar.


Mesej
Tegas Hafizal, pada peringkat pengenalan ini, Stereostar tidak berhajat untuk mengangkat label mereka sebagai jenama dakwah moden. Setiap helaian yang dikeluarkan mengandungi mesej keagamaan ringkas tetapi tidak condong berat kepada dakwah.
Sekiranya sambutan terhadap jenama mereka meningkat dari semasa ke semasa, barulah perancangan terhadap rekaan yang tinggi nilai Islamik dilancarkan.
Begitupun, tambah Hafizal, pihaknya telah mendapatkan nasihat dan penjelasan ilmiah daripada beberapa tokoh agama berkenaan fesyen berkonsep Islamik. Jelasnya, selagi ia berlandaskan Islam, ia tidak mengundang masalah malah dikira sebagai satu perjuangan ke arah dakwah.
"Jenama yang memfokuskan kepada usaha dakwah pun menyokong usaha kami. Mereka melihat ia sebagai satu pembaharuan dan secara tidak langsung membuka jalan kepada mereka untuk berkarya secara kreatif," dedah Hafizal.
Penggunaan perkataan campuran jawi dan rumi menjadi identiti Stereostar. Mereka mahu membuktikan bahawa baju bertulisan jawi bukan hanya dipakai di surau atau masjid. Ia juga sesuai dikenakan untuk pelbagai masa dan suasana.
Penggunaan frasa seperti Muslim Attitude, Muslim Proud dan I am Hamba pada baju-baju Stereostar membuatkan ia mudah menangkap minat remaja. Penetapan perkataan tersebut dibuat berdasarkan cerminan peribadi seorang Muslim. Hamba misalnya menggambarkan individu yang tawaduk dan tahu kedudukannya di sisi Allah.
Nombor-nombor yang ditampilkan juga ada makna tertentu. Nombor 99 contohnya mewakili 99 nama Allah manakala nombor tujuh boleh melambangkan variasi mesej dalam Islam seperti tujuh lapisan langit, lautan, syurga dan neraka serta ia merupakan nombor kegemaran Rasulullah SAW.
Simbol
Simbol ketara Islam iaitu bulan dan bintang pula diolah segar dalam rekaan moden. Secara realistik, penggunaan lambang Islamik adalah lebih baik berbanding logo ideologi Barat yang kurang jelas maknanya.
Pendekatan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa konsep dakwah tidak semestinya muncul dalam bentuk potongan hadis atau ayat al-Quran. Menerusi fesyen, definisi dan medium dakwah dapat diperluaskan.
Sementara itu, untuk masa ini, Stereostar fokus kepada pakaian lelaki sahaja. Namun yang mengejutkan, pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada pelajar perempuan. Begitupun, mereka tidak melarang sesiapa untuk membeli tetapi wanita perlu mengikut etika pemakaian yang tepat.
"Pakaian konsep Islamik agak sensitif. Sebagai pereka dan penjual kami berasa bertanggungjawab untuk mendidik Muslim di negara ini berpakaian menutup aurat dengan cara betul.
"Justeru, kami sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan koleksi Muslimah yang mematuhi potongan dan aurat wanita," ujar Hafizal yang juga memberitahu mereka juga mempunyai pelanggan dari Brunei dan Singapura.
Baju-baju Stereostar diperbuat menggunakan 100 peratus material kapas bersaiz XS hingga XXL.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories