RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Shahrizal Jaszle Curang Lagi! Tunang Enggan Komen

Posted: 21 Apr 2014 12:57 AM PDT

kugio
Shahrizal Jaszle mendedahkan dia kini mempunyai kekasih baharu.
PETALING JAYA: Belum pun selesai kontroversi kes tangkap khalwatnya, pelakon Shahrizal Jaszle muncul dengan kisah panas baharu apabila dia dikatakan curang selepas gambar mesranya bersama seorang wanita didedahkan di laman sosial Instagram.
Lebih memeranjatkan, pelakon itu yang juga dikenali sebagai Shahz Jaszle pada Sabtu lalu turut mengesahkan wanita berkenaan adalah kekasihnya walaupun dia masih tunangan orang.

"Hey @jijiezainal, dia gf (girlfriend) kita la skrg (sekarang)," katanya  menjawab pertanyaan salah seorang pengikut laman sosial itu menerusi akaun wanita yang dikaitkan iaitu Hanis Husna (@hanis_husna).
Bagaimanapun, Shahrizal, 26,  tidak menjelaskan status pertunangannya dengan, Redzwani Puteri, 26, sebaliknya Hanis pula menyatakan bahawa pemuda itu sudah pun putus tunang.
ghjyt
Shahrizal memuat naik foto mesranya dengan kekasih baharu.
Pada foto tersebut, wanita berkenaan memuat naik foto mesra mereka dengan kapsyen-kapsyen romantis.

Tidak lama kemudian Shahrizal turut memuat naik foto dia bersama Hanis di laman Instagram miliknya pula . Namun dia meminta kepada pengikutnya supaya tidak mengkritik foto berkenaan.

"Saya tidak kisah apa yang akan kamu (pengikut Instagram) katakan. Jika ingin komen, sila jaga kata-kata kamu. Kerana kamu tidak tahu apa yang telah saya lalui sebelum ini," ujarnya dalam bahasa Inggeris.

dhtr
Foto mesra ini pula di muat naik di Instagram milik Hanis.

Foto tersebut turut mendapat perhatian Redzwani sendiri apabila dia memberi komen 'Apa ini?', namun komen tersebut telah dipadamkan oleh Shahrizal.

Redzwani yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad enggan memberi sebarang komen berkaitan perkara itu. Sebelum ini dia pernah berkata hatinya tetap mempercayai kejujuran Shahrizal walaupun pelakon itu pernah ditangkap khalwat.
Shahrizal pula gagal dihubungi.
Terdahulu, pada 10 April lalu, Redzwani memberitahu mStar Online hubungannya dengan Shahrizal masih lagi baik walaupun tunangnya itu sedang menghadapi perbicaraan kes  khalwatnya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini.

shahrizal jaszle & tunang
Gambar ketika Shahrizal bersama tunangnya, Redzwani Puteri.


Pelakon itu ditangkap khalwat ketika serbuan dilakukan sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sebuah apartmen di Taman Sri Subang dekat sini pada 16 Mei 2013.

Insiden itu juga menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu.
Sebelum ini Shahrizal pernah dikaitkan dengan pelakon Miera Liyana dan Maria Farida.

Natasha Hudson Bengang Tudung Kena Ciplak

Posted: 21 Apr 2014 12:55 AM PDT

wefr3q
Natasha Hudson berharap tidak ada mana-mana pihak lagi yang mengambil kesempatan meniru rekaan tudungnya.
PETALING JAYA: Pelakon Natasha Hudson berasa marah dan kecewa apabila ada pihak yang meniru tudung yang direka khas untuk jenama miliknya iaitu Dreamcloud.

Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 32, berkata, individu yang tidak bertanggungjawab itu telah membeli tudung rekaannya secara dalam talian dan kemudian menciplak semula rekaan itu dan kemudian dijual menggunakan jenama lain.

"Saya memang marah apabila mendapat tahu ada pihak yang membeli tudung saya semata-mata mahu menciplak dan selepas itu dijual pula kepada orang ramai menggunakan label lain.

"Saya rasa perkara sebegini tidak adil buat saya yang bersusah payah menghasilkan tudung tersebut," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun tambah Natasha, dia belum berniat untuk mengambil isu tersebut secara serius hingga dibawa ke mahkamah sebaliknya berharap tiada pihak yang melakukan perkara sebegitu lagi.

Dalam pada itu, Natasha berkata, dia tidak menghalang jika ada peniaga baharu yang ingin mengambil inspirasi tudung rekaannya  tetapi janganlah meniru seratus peratus ciptaannya itu.

"Saya percaya bagi peniaga baru, seperti saya juga sebelum ini, kita memerlukan inspirasi dalam mereka sesuatu rekaan pakaian mahupun tudung.

"Tetapi kalau boleh, janganlah tiru bulat-bulat, itu tidak adil," ujarnya.

Ditanya, adakah dia sudah bersedia sekiranya terdapat individu lain yang tidak bertanggungjawab menciplak rekaan tudungnya itu, Natasha berkata, dia sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan.

"Tirulah jika mahu tiru.  Macam mana sekalipun orang tetap tahu sesebuah rekaan itu bermula daripada siapa.

"Lagipun saya tidak boleh nak buat apa jika ada yang masih berdegil mahu menciplak," tuturnya.

"Saya Bukan Sombong Tetapi Pemalu" - Gambit

Posted: 21 Apr 2014 12:53 AM PDT

Gambit menjelaskan dia sebenarnya seorang yang pemalu apabila berhadapan dengan orang yang baharu dikenalinya dan bukannya bersikap sombong seperti dakwaan sesetengah pihak. 
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit Gambit Saifullah menjelaskan tuduhan dia bersikap sombong dan sukar didekati yang dilemparkan kepadanya langsung tidak mencerminkan siapa dirinya yang sebenar.

Gambit atau nama sebenarnya Gambit Saifullah Rosli, 29, berkata, tuduhan tersebut adalah tidak adil buatnya kerana dia bukanlah seorang individu seperti itu.

"Label yang diberikan itu saya sudah dengar lama dulu tetapi ramai orang tidak tahu bahawa saya sebenarnya seorang pemalu apabila berhadapan dengan orang yang saya baru jumpa.

"Hanya kerana sifat itu saya terus dilabel sombong dan sukar didekati tetapi saya tidak kisah kerana bagi yang mengenali saya secara peribadi mereka tahu siapa saya sebenarnya," katanya.

Dalam pada itu, Gambit memberitahu dia terpaksa menjalani pembedahan dalam masa terdekat selepas mengalami 'meniscal tear' atau koyakkan tisu pada bahagian lutut kaki kanannya akibat terlalu aktif bermain sukan bola sepak.

Gambit berkata, kecederaan itu telah dialaminya sejak beberapa bulan lalu namun ia semakin serius sejak akhir-akhir ini.
Gambit bakal menjalani pembedahan pada lutut kaki kanannya dalam masa terdekat. 

"Kecederaan pada lutut ini sebenarnya sudah lama akibat terlalu aktif bermain sukan bola sepak sebelum ini namun semenjak akhir-akhir ini ia bertambah teruk dan doktor menasihati saya untuk menjalani pembedahan itu dalam kadar segera.
"Jika saya tidak buat pembedahan itu, kecederaan  akan bertambah teruk dan ia memberi masalah lain kepada kaki saya," jelasnya.
Tambah Gambit, selepas pembedahan dia memerlukan masa sehingga tiga minggu sebelum pulih sepenuhnya selain diminta oleh doktor untuk tidak terlalu aktif dalam bidang sukan.

Sementara itu, Gambit berkata, dia kini sibuk menguruskan syarikat produksinya iaitu Eightball Production Sdn Bhd yang semakin berkembang dalam menerbitkan program televisyen seperti program berbentuk majalah, telefilem dan video korporat.

Jelas Gambit, dia kelihatan sepi daripada bidang lakonan bukan kerana tidak mempunyai tawaran sebaliknya sibuk menguruskan syarikatnya itu.

"Tawaran berlakon masih ada, Alhamdulillah... cuma saya perlu bijak mengimbangi jadual kerana sibuk dengan pelbagai kerja belakang tabir namun saya tidak pernah melupakan bidang itu," katanya.

Jual sarapan RM1

Posted: 21 Apr 2014 12:51 AM PDT


  • Jual sarapan RM1 Kambing golek yang boleh dinikmati dari jam 11 pagi hingga 6 petang.
SAJI-Hut mungkin satu-satunya warung di bandar Kuantan, Pahang yang masih menawarkan menu sarapan murah dengan harga RM1 untuk semua makanan di situ.

Menggunakan slogan 'Mak kami marah jual mahal', kuantiti makanan yang disajikan juga sama dengan harga RM2 hingga RM5 di kedai makan lain.

Pemiliknya, dua rakan karib, Zulkurnain Hassan, 50, dan Azizul Abdul Aziz, 46, tidak menafikan ada dalam kalangan peniaga yang mahu mengikut cara mereka menawarkan harga murah kepada pelanggan.

Zulkurnain berkata, antara makanan menu sarapan dengan harga RM1 yang dihidangkan di warungnya ialah nasi lemak, nasi goreng, mee goreng, bihun goreng dan kuetiaw goreng dan pelanggan boleh menikmatinya seawal jam 7 pagi.

Paling menarik apabila pelanggan boleh menambah teh O dan kopi O secara percuma selepas membuat pesanan kali pertama dengan harga hanya RM1.

"Kami tidak berharap keuntungan yang tinggi tetapi tawaran harga murah ini sebenarnya salah satu strategi perniagaan untuk menarik lebih ramai pelanggan," katanya ketika ditemui di warungnya yang berdekatan dengan Kompleks Penyayang Indera Mahkota.

Sebagai seorang yang positif dalam perniagaan, mereka percaya keuntungan bukan sahaja kepada satu jenis makanan malah mereka mampu mendapat untung melalui makanan lain yang dijual di situ.

Katanya, semua menu RM1 yang dijual boleh dimakan bersama lauk lain yang banyak disediakan termasuk ayam dan ikan goreng serta telur.

Beliau berkata, harga bekalan bahan mentah yang dibeli adalah sama dengan pengusaha restoran atau kedai makan lain tetapi kadar harga murah yang ditawarkan membuktikan kesungguhan mereka menarik pelanggan terutama untuk menikmati makanan sihat.

Membanggakan juga apabila warungnya yang memulakan perniagaan pada 2 Januari lalu mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang menganugerahkan sijil Menu Rakyat 1 Malaysia sebulan lalu.

"Itu satu pengiktirafan kepada kami dan kami mengalu-alukan jika ada peniaga lain yang mahu melaksanakan konsep sama supaya memberi peluang kepada pelanggan mendapat harga murah," katanya.

Bekas kakitangan sebuah kilang minyak dan gas di Gebeng itu turut memperkenalkan set kambing golek untuk hidangan tengah hari dengan kadar harga kira-kira RM15 sahaja.

Menurutnya kambing yang dibakar dengan menggunakan arang di depan kedainya kini mula mendapat sambutan selepas ramai pelanggan yang mencari konsep warung dan santai.

Bagaimanapun, katanya, kambing golek mula dihidangkan kepada pelanggan dari jam 11 pagi hingga 6 petang setiap hari.

"Ada juga pelanggan yang meminta kambing bakar untuk dimakan bersama nasi lemak. Hidangan kami tidak terhad kepada satu menu khas sahaja," katanya.

"Pada masa sama, kami mahu memperkenalkan semula makanan sunnah kerana sebelum ini diuar-uarkan pihak tertentu bahawa memakan daging kambing boleh membahayakan kesihatan," katanya.

Menu lain dengan tawaran harga berpatutan ialah kari kambing, asam pedas ikan pari, ikan salai lemak cili padi, ayam berempah dan sup kambing salai yang pertama kali diperkenalkan di daerah itu.

Dua sekawan itu bagaimanapun berharap lebih ramai lagi peniaga yang memberi harga berpatutan kepada pelanggan supaya mereka boleh memilih gerai makan murah yang menyajikan makanan enak.

"Peniaga pun lebih gemar konsep terbuka berbanding restoran kerana lebih santai selain dapat menikmati makanan murah," katanya.

Wangian murah tapi berkualiti

Posted: 21 Apr 2014 12:50 AM PDT


  • Wangian murah tapi berkualiti
IDEANYA muncul berikutan lambakan produk minyak wangi klon di pasaran, yang kebanyakannya boleh diperoleh dalam bentuk roll-on.

Deretan daripada itu, Zitil Akhyar Baharin, selaku pengurus Scentsible Marketing mendapat ilham untuk memperkenalkan produk keluarannya sendiri.

Hadir dengan mengetengahkan produk keperluan wanita dan lelaki, ia dijangka memberi pilihan alternatif kepada penggemar minyak wangi berjenama khususnya golongan bawahan dan pertengahan yang ingin memiliki wangian seumpamanya dengan harga lebih murah.

Penubuhan syarikat itu terhasil menerusi bantuan bersama adik-beradiknya selaku rakan kongsi bersama pada 30 September 2013 dengan ibu pejabat di Cheras, Selangor.

"Satu-satunya cabaran untuk memulakan perniagaan ini adalah untuk mengumpul modal permulaan yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

"Kemudian, kami perlu mencari pembekal bagi mendapatkan botol yang betul-betul menepati standard yang kami perlukan dan pembekal pati terbaik bagi menghasilkan minyak wangi ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Cheras, baru-baru ini.

Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM110,000, akhirnya minyak wangi keluarannya diperkenalkan dalam bentuk semburan menerusi jenama Clio Fragrance.

Ketika ditanya berhubung kebarangkalian produknya akan ditiru pada masa akan datang, Zitil berkata, botol produknya adalah yang lain daripada yang lain dalam pasaran.

"Jika ada yang tiru, agak sukar bertahan lama kerana harga kami adalah yang paling murah di pasaran dengan kualiti yang bertaraf antarabangsa," katanya.

Mengulas berhubung pemilihan nama Clio itu, Zitil berkata, Clio berasal daripada perkataan Cleopatra yang merujuk kepada ratu Mesir.

"Bagaimanapun, kami menukar ejaannya daripada Cleo kepada Clio bagi mengelakkan kekeliruan," katanya.


Bau wangi tahan lebih lama

Setakat ini, syarikat itu mempunyai 35 jenis pilihan haruman yang diinspirasikan daripada wangian jenama antarabangsa, dengan 15 wangian lelaki dan 20 wangian khusus untuk wanita.

Zitil berkata, Clio menggunakan campuran wangian berkualiti tinggi yang diimport dari Perancis.

"Apa yang menarik dengan Clio, jenama kami mempunyai bauan yang kuat dan lebih tahan lama.

"Kami menggunakan 45 peratus pati wangian yang lebih pekat daripada wangian asal untuk memastikan bau wanginya kekal lebih lama," katanya yang sebelum ini merupakan juru kecantikan dari rumah ke rumah.

Menurutnya, minyak wangi Clio mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat dengan menawarkan harga yang berpatutan iaitu RM30 bagi 15 milimeter (ml).

Katanya, golongan sasaran adalah kelas pertengahan dan bawahan.

"Tetapi ramai pengguna kami terdiri daripada penuntut universiti," katanya yang sebelum ini pernah bekerja dalam pelbagai sektor seperti pengiklanan, peruncitan dan perbankan.


Tambah pengedar dan stokis

"Buat masa ini, produk kami boleh didapati di sekitar Lembah Klang menerusi stokis besar iaitu Rizi Biz Shop di Bandar Baru Bangi dan PT Harapan Bunda di Jalan Raja Bot serta ejen aktif seperti Ainee Ehsan Herbs & Beauty Mydin PV12 Setapak.

"Bukan itu sahaja, kami juga ada ejen pengedar di universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara," katanya.

Zitil berkata, syarikatnya kini mempunyai 10 stokis dan lebih 30 ejen di seluruh negara.

Menurutnya, bagi pasaran di Sabah dan Sarawak, produknya hanya boleh diperolehi di beberapa kawasan tertentu seperti di Inanam dan Kuching.

Katanya, syarikat itu juga menyasarkan untuk menambah jumlah pengedar dan ejen pada tahun ini.

"Kami sasar untuk capai 1,000 pengedar di seluruh negara dan menggalakkan penyertaan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi pengedar mahupun ejen kami," katanya.

Selain itu, selari dengan trend jualan dalam talian (online), syarikatnya turut memperkenalkan jualan menerusi laman sesawang dan laman sosial Clio Fragrance bermula Disember tahun lalu.


Sasar tingkat 30 peratus jualan

Mengulas berhubung lokasi pengilangan bagi produknya, Zitil berkata, syarikat itu telah mengikat kontrak dengan pengilang di Singapura khas untuk menghasilkan botol Clio Fragrance dalam bentuk dan sukatan yang ditetapkan.

"Proses pembungkusan dan melabel serta mengisi pati minyak wangi akan dilakukan di pejabat kami secara manual oleh kakitangan," katanya.

Menurutnya, Scentsible Marketing juga merancang untuk memiliki kilang sendiri.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat itu kini dalam proses mengumpul modal yang diperlukan.

"Kami jangka untuk membuka kilang sendiri apabila modal sudah mencukupi dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Modal diperlukan untuk mencari tapak kilang, membeli mesin dan menggaji lebih ramai pekerja kelak, dan kilang ini dijangka dibuka sama ada di Lembah Klang atau di Melaka," katanya.

Menurutnya, kilang itu akan dibuka lebih awal jika syarikat tersebut berjaya mendapatkan dana atau geran daripada kerajaan.

Katanya, kilang itu nanti akan membantu meningkatkan jumlah pengeluaran minyak wangi syarikatnya dengan lebih banyak.

Setakat ini, beliau berkata pengeluaran minimum ialah sekitar 3,000 sehingga 4,000 botol sebulan.

Zitil berkata, Clio Fragrance juga menyasarkan untuk meningkatkan jualan sebanyak 30 peratus sepanjang tahun ini.


Intai pasaran luar

"Kami ingin memberi tumpuan terhadap pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum ke peringkat lebih jauh.

"Kalau boleh, kami ingin kuasai pasaran tempatan dan biar satu Malaysia kenal jenama Clio Fragrance," katanya.

Zitil berkata, apabila kedudukan telah kukuh, syarikatnya akan mengintai pasaran luar negara bermula di Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Syarikat telekomunikasi untung terlalu banyak?

Posted: 21 Apr 2014 12:48 AM PDT


  • Pengguna juga perlu peka Pengguna perlu peka terhadap sebarang pembelian pakej dan pelan telekomunikasi agar tidak tertipu. - Gambar hiasan
GESAAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya syarikat telekomunikasi di negara ini menurunkan caj penggunaan telefon ialah kenyataan yang menarik perhatian, terutama apabila beliau menyebut syarikat-syarikat gergasi ini 'untung besar'.

Ahmad Shabery mempersoal keuntungan besar diumumkan syarikat telekomunikasi, dan mengingatkan mereka patut menjalankan tanggungjawab sosial lebih besar dengan mengurangkan kos penggunaan telefon kerana lesen mereka diberikan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Saya seru supaya mereka ini cuba duduk dan berfikir, bagaimana dapat kurangkan kos penggunaan berkaitan telefon (perbualan dan SMS) yang ada. Dulu mahal, kini patut makin murah.

"Sepatutnya ada tanggungjawab sosial korporat lebih besar (kepada masyarakat) selain membina menara komunikasi di luar bandar, pada masa sama mereka mesti umumkan pengurangan kos," katanya, Februari lalu seperti dilaporkan Bernama.

Berapa besar keuntungan syarikat telekomunikasi seperti dimaksudkan Ahmad Shabery?

Memang besar, jika mengambil contoh tiga syarikat telekomunikasi negara iaitu Maxis Bhd, Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.com Bhd (Digi).

Untuk tahun kewangan berakhir 2013, Maxis mencatat untung selepas cukai RM2.1 bilion, Celcom RM2.4 bilion dan Digi RM1.7 bilion.

Ketiga-tiga syarikat ini secara purata mengenakan caj panggilan suara 15 sen seminit dan 5 sen bagi setiap SMS.

Celcom menjelaskan syarikat itu sentiasa menawarkan pelan telekomunikasi pada harga terendah kepada pelanggannya terutama melalui pelan prabayar.

Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin sebelum ini berkata, Celcom sentiasa prihatin terhadap isu semasa terutama membabitkan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, menerusi pelbagai pakej prabayar, Celcom adalah syarikat telekomunikasi yang menawarkan pelan prabayar termurah berbanding syarikat telekomunikasi lain.

Usaha mendapatkan maklum balas daripada Maxis dan Digi berhubung isu ini tidak berjaya setakat ini.

Syarikat susu halia bakal ke China

Posted: 21 Apr 2014 12:46 AM PDT


  • Syarikat susu halia bakal ke China Muhammad Ayub (kanan) dan Eksekutif Pemasaran Duha Edar, Amirul Ridhwan Rais menunjukkan produk Qausar yang bakal tembusi pasaran China, Mei ini.
SYARIKAT pengeluar susu halia milik Bumiputera, Duha Edar Sdn Bhd menerusi jenama Qausar bakal menembusi pasaran China pada Mei ini.
 
Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Muhammad Ayub Azahar berkata, China adalah negara yang mempunyai permintaan tinggi dan syarikatnya dalam proses untuk menguruskan dokumen untuk membawa produk itu ke negara berkenaan.
 
"Kami yakin untuk memulakan eksport selepas membuka kilang baharu yang lebih besar dengan kapasiti pengeluaran lebih banyak di Melaka.
 
"Kami juga sedang dalam peringkat terakhir menghasilkan empat lagi produk baharu untuk dibawa ke negara itu kelak," katanya semasa ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 
Produk baharu itu adalah susu coklat, susu kambing, susu minuman sunnah dan susu makanan sunnah.
 
Menurutnya, kapasiti pengeluaran bagi kesemua produknya adalah 80,000 kotak pada tahun lalu.
 
Katanya, jumlah itu dijangka akan meningkat menerusi eksport ke China.
 
Muhammad Ayub berkata, selain China, syarikatnya juga berhasrat untuk menembusi pasaran Rusia dan negara-negara Islam pada masa akan datang.
 
"Kami juga bakal menjadi penyedia susu kepada syarikat penerbangan tempatan Malaysia Airlines dan AirAsia Bhd bermula Ogos ini," katanya.
 
Mengulas berhubung pasaran tempatan, Muhammad Ayub berkata, produk syarikatnya sudah berada di seluruh negara menerusi ejen secara kecil-kecilan.
 
Bagaimanapun, bermula tahun ini, pihaknya akan memberi tumpuan untuk membangunkan jenama itu secara menyeluruh.
 
"Kami akan memberikan wajah baharu kepada kesemua produk keluaran dalam tempoh terdekat," katanya.
 
Duha Edar adalah pengeluar minuman berasaskan susu yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu dengan menghasilkan tiga jenis susu iaitu susu kopi, susu sarbat teh dan susu halia.
 
Susu halia merupakan susu yang pertama seumpamanya dihasilkan pada 2008.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories