RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


"Mereka Yang Dapat Dosa" – Rabecca

Posted: 23 Apr 2014 04:59 AM PDT

trjtyikuy
Pemakaian sendat Rabecca telah mendapat reaksi buruk daripada pengikutnya di Instagram.
PETALING JAYA: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam menjelaskan gambarnya yang dimuat naik di Instagram miliknya bukan untuk tontonan umum tetapi ia hanyalah untuk pengikut istimewanya sahaja kerana akaun berkenaan adalah
private.

Rabecca , 28, berkata, dia kecewa apabila ada pengikutnya yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar dia berbaju ketat untuk dijadikan bahan kutukan.
 "Instagram saya adalah 'private' dan ia hanya boleh dilihat oleh pengikut-pengikut saya sahaja. Saya tidak buka ia untuk orang ramai.
 "Penyebaran gambar itu dibuat sendiri oleh pengikut saya. Kerana itu, masyarakat luar mendapat dosa percuma daripada Tuhan," katanya menerusi akaun Instagram miliknya pada petang Selasa.
jihug
Gaya Rabecca disamakan dengan watak kartun Teletubies.
Rabecca meluahkan rasa kecewa selepas gambarnya yang berpakaian seperti sejenis sut ketat berwarna merah dengan imej bertudung disebarkan kepada umum pada Ahad lalu.

Gambar tersebut mengundang kritikan hebat daripada masyarakat sehingga dia disamakan seperti watak dalam cerita kartun Teletubies.
Pelakon itu turut dikecam memandangkan dia sebagai wanita yang bertudung tidak patut berpakaian sehingga menampakkan bentuk tubuh badan.
Dalam pada itu, Rabecca turut berkata, sebagai seorang wanita yang baharu berhijrah iaitu memakai tudung, dia juga sedang berusaha dalam menjadi seorang Islam yang lebih baik.
"Saya sendiri sedang berusaha menjadi seorang Islam yang lebih baik. Insya-Allah. Tiada siapa yang sempurna," ujarnya.

Hafiz Suip Terkejut Dituduh Guna Bomoh

Posted: 23 Apr 2014 04:58 AM PDT


ret43
Vokal Hafiz memukau seluruh peminatnya yang hadir menyaksikan persembahannya. 
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, mengakui dia memang pernah mendengar tuduhan itu namun tidak diendahkannya kerana dia mengetahui   amalan itu adalah syirik.
"Saya tidak akan melakukan perkara sebegitu (amalan ilmu hitam) kerana sudah pasti saya tahu ia adalah satu dosa besar.
"Tambahan pula saya mencari rezeki untuk keluarga, takkanlah saya nak buat perkara yang dilarang agama? Kejayaan saya selama ini kerana keberkatan doa ibu dan ayah saya selain kerja keras yang saya lakukan," katanya.
rte
Hafiz dikerumuni para peminatnya pada majlis setiausaha A Golden Moment With Hafiz.

Hafiz ditemui selepas persembahannya pada majlis minggu setiausaha A Golden Moment With Hafiz di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta, di sini pada Selasa.
Bagaimanapun tambah Hafiz,  dia terpaksa akur sekiranya masih ada pihak yang beranggapan sedemikian kerana dia  percaya tidak semua orang menyenangi kejayaan seseorang.
Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia sering mengamalkan beberapa doa yang terdapat dalam Al-Quran sebelum memulakan sesebuah persembahan pentas.
Dia sering berasa gemuruh sebelum memulakan persembahan dan bacaan doa tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah berkenaan.
re4
Telatah Afdlin membuatkan tetamu terhibur dengan pengacaraannya.

"Kalau nak tahu, setiap kali ingin mengadakan persembahan, saya akan mengalami rasa gemuruh sehingga sakit perut jadinya.
"Alhamdulillah doa itu memberi saya sedikit kelegaan dan perasaan gemuruh akan berkurangan apabila naik ke pentas," tuturnya.
Sementara itu, mengenai persembahan A Golden Moment With Hafiz, Hafiz telah berjaya menghiburkan seramai 400 orang tetamu dengan membawakan sebanyak empat buah lagu  solo iaitu  Awan Nano, All Of Me, Bahagiamu Deritaku dan dua lagu duet bersama penyanyi Adira iaitu Ombak Rindu serta Muara Hati.
Afdlin Shauki turut terlibat sebagai hos majlis berkenaan.

Pelakon Mak Mah Bakal Nikah Peneroka Felda

Posted: 23 Apr 2014 04:56 AM PDT


Ruminah Sidek
Ruminah Sidek (tengah).
PETALING JAYA: Pelakon veteran Ruminah Sidek menjelaskan cintanya terhadap  Al Fatah Rahim Ismail, 70, tersemai ketika mereka sama-sama mengerjakan umrah di Mekah pada Mac lalu.

Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 68, berkata, ketika mengerjakan ibadah itu, jiwanya tiba-tiba berasa sunyi sehingga timbul keinginan untuk mempunyai pasangan hidup.

Manakala Al Fatah pula mengambil kesempatan mengerjakan umrah dengan niat ingin berdoa bagi mendapatkan isteri.

"Selama ini, setiap kali mengerjakan umrah, peraaan saya hanya biasa sahaja tetapi untuk kali ini, saya berasa sangat sunyi. Terasa mahu berteman pula.

"Saya berdoa kepada Allah agar memperkenankan doa saya kerana saya sudah rasa penat hidup sendirian. Hendak dijadikan cerita, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya berkenalan dengan Fatah dan dia berkongsi cerita iaitu hajatnya  berdoa agar dipertemukan jodoh.

"Mendengar cerita itu, kami pun berbincang hasrat mendirikan rumah tangga," kata Ruminah kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada malam Selasa.

Ketika bercerita kepada mStar Online, Ruminah tidak dapat menahan sebak dan beberapa kali kedengaran menangis kerana terlalu gembira dengan kehidupan baru yang bakal dibinanya itu.
Ruminah bersama bakal suaminya Al Fatah.
Ruminah dan Al Fatah telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di rumah abang ipar Ruminah di Meru, Klang dekat sini.

Pada majlis pertunangan itu Ruminah menerima lima dulang hantaran berserta sebentuk cincin manakala pihak lelaki turut menerima hantaran bilangan yang sama.

Pasangan itu bakal bernikah pada 17 Mei depan di lokasi pertunangan mereka. Dijangka 4,000 tetamu akan dijemput.

Al Fatah yang merupakan peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan adalah sorang duda beranak sepuluh. Beritahu Ruminah, dia tidak sangka akan mendirikan rumah tangga pada usia 68 tahun dan menyifatkan perkara itu sebagai hadiah yang diberikan oleh Allah.

"Saya bersyukur dan tidak sangka sebenarnya dapat menghabiskan baki hidup saya dengan seorang suami, Alhamdulillah.

"Dia (Fatah) juga berjanji akan membawa saya berjalan-jalan di Felda selepas kami berkahwin nanti," ujarnya.
Perkahwinan ini merupakan perkahwinan keempat buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel.

Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie.

Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit.

Wardina Dengar Penjelasan Ustaz Don, Gantung Status FB

Posted: 23 Apr 2014 04:55 AM PDT


wardina
Wardina telah menyerahkan laman sosial facebooknya kepada 'admin' dan tidak akan memuat naik sebarang status bagi mengelak provokasi.
PETALING JAYA: Keraguan pelakon Wardina Safiyyah mengenai kesahihan ceramah agama Ustaz Don yang dikatakan menggunakan hadis-hadis palsu terjawab apabila dia dapat bercakap dengan penceramah itu.

Wardina berkata, ustaz tersebut telah memberi penjelasan dan menjawab kemusykilan yang timbul selain dia juga turut meminta maaf terhadap isu berkenaan yang menjadi kontroversi.

"Saya sudah berhubung secara peribadi dengan Ustaz Don melalui telefon dan dia sudah memberi penjelasannya.

"Hanya Allah lebih tahu segala-galanya dan saya harap isu ini tidak diperbesarkan lagi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Wardina juga enggan mengulas secara terperinci apa yang dibualkan dengan ustaz berkenaan.

Dalam pada itu, Wardina berkata, dia mengambil pendekatan memohon maaf kepada Ustaz Don apabila banyak pihak mengehentamnya selepas dia bertindak berkongsi rakaman kompilasi video ceramah yang dikatakan mengaibkan ustaz tersebut.
Sementara itu, pelakon Spanar Jaya itu memberitahu dia tidak akan memuat naik sebarang status lagi dan menyerahkan pengendalian laman Facebook miliknya kepada pihak pengurusan buat sementara waktu.

Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang provoksi yang ditimbulkan oleh pengguna laman sosial itu yang boleh memburukan lagi keadaan.

"Saya tidak akan muat naik apa-apa status buat masa ini bagi meredakan keadaan, semua perkara tentang laman sosial ini akan dikendalikan oleh admin," katanya.

Pada 16 April lalu, Wardina telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya dengan mempersoalkan kandungan ceramah Ustaz Don melalui video yang telah tersebar di Internet.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut disalah tafsir dan mendapat reaksi negatif daripada segelintir pelayar laman sosial dengan menganggap Wardina cuba mengaibkan ustaz berkenaan.
Bagaimanapun Ustaz Don dalam reaksi balasnya menerusi rakaman video menganggap apa yang berlaku itu sebagai satu fitnah apabila rakaman ceramahnya yang disebarkan itu merupakan kandungan yang sudah diedit. 
Ustaz Don atau Don Daniyal  merupakan hos bagi rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don di TV AlHijrah.

Linda Hashim Bersalin, Nama Anak Jelita Clarissa

Posted: 23 Apr 2014 04:54 AM PDT


Rumah tangga Beego dan Linda kini lengkap dengan kehadiran cahaya mata.
PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon Beego iaitu Linda Hashim selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.62 kilogram pada pukul 12.20 pagi Rabu.

Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 34, berkata, isterinya yang kini berada di Hospital Pakar KPJ Tawakkal dekat sini, bersalin secara normal dan kini berada dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan bayi kami dengan selamat awal pagi tadi dan semuanya berada dalam keadaan baik," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Beego memberitahu, dia dan isterinya sepakat memberikan nama Jelita Clarissa kepada bayi mereka yang membei maksud 'Jelita Yang Jelas'.
Jelita Clarissa dilahirkan secara normal pada pukul 12.20 pagi Khamis.

Lia Natalia: Susah payah berbaloi

Posted: 23 Apr 2014 04:52 AM PDT


  • Lia NataliaLia Natalia

"SUATU  ketika dulu, saya pernah berasa hidup susah apabila beberapa kali ditipu.

"Bukan itu saja, saya juga tidak mendapat tawaran berlakon untuk tempoh tiga bulan berturut-turut," kata pelakon yang sedang meningkat naik, Lia Natalia sepanjang empat tahun keterlibatannya dalam dunia seni.

Meskipun begitu, bekas peserta Pilih Kasih musim kedua ini tidak pernah kenal erti putus asa untuk terus mengembangkan bakatnya dalam bidang seni.

Setelah lebih empat tahun berhempas pulas dan bersusah payah, usaha bekas peserta Gadis M2 ini ternyata berbaloi apabila namanya kini semakin dikenali sekali gus menjadi rebutan ramai pengarah dan penerbit.

"Walaupun saya tidak bergelar juara dalam kedua-dua program berkenaan, namun banyak ilmu berharga yang saya dapat pelajari.

"Malah, selepas Gadis M2, saya semakin berani mengasah bakat lakonan sedia ada," katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

Bersyukur dengan perhatian yang diterimanya itu, anak kelahiran Tawau, Sabah ini, tidak langsung terkilan apabila memerlukan masa yang panjang untuk namanya dikenali ramai.

"Saya ingin orang kenal saya menerusi bakat yang ada.

"Sebab itu, setiap watak diserahkan sama ada karakter utama atau pembantu, saya pasti akan cuba membawanya dengan sebaik mungkin, sekali gus dapat meninggalkan kesan mendalam pada penonton," katanya.

Tambahnya lagi, demi minatnya itu, dia tidak kisah diberi apa saja watak sekali pun.

"Sebagai orang baharu, saya tidak kisah bawa apa saja watak termasuklah watak pembantu kerana ingin mencari pengalaman dalam bidang lakonan.


Berguru dengan Ellie Suriati

Bukan itu saja, pelakon utama drama bersiri Dan Bila Esok ini juga turut berterima kasih kepada pengarah berkaliber, Michael Ang di atas peluang dan ruang yang diberikan.

Antara drama lakonannya di bawah arahan pengarah berbakat adalah Pontianak Beraya Di Kampung Batu, Tanggang Ayu dan Dendam Sundel Bolong yang semuanya untuk saluran Astro.

"Saya sangat terhutang budi pada Michael yang banyak beri peluang berlakon dalam drama arahannya, sekali gus membimbing dalam bidang lakonan," katanya yang juga seorang model.

Dalam pada itu, bagi memantapkan lagi mutu lakonannya, pelakon filem Azura 2011 ini juga bercadang untuk berguru dan mengambil kelas lakonan dengan pelakon dan pengarah berbakat besar, Ellie Suriati.

Dalam perkembangan terbaharu, Lia kini baharu saja tamat penggambaran super telefilem iaitu Takhta di samping Erra Fazira dan Ellie Suriati.

Selain itu, wajah Lia juga dapat dilihat menerusi drama rantaian, Aku Isterinya (TV3), Jodoh 2 (Maya HD)  dan Perempuan Dalam Pasungan yang kini sedang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 5 petang di Astro Prima (saluran 105) & Maya HD (saluran 135).

Tampar pelajar: Guru mohon maaf

Posted: 23 Apr 2014 04:48 AM PDT


  • Tampar pelajar: Guru mohon maafJailani menunjukkan dua keratan akhbar Sinar Harian pada 20 dan 22 Jun tahun lalu bersama surat perjanjian dengan guru terbabit.

MARANG - Seorang bapa bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah apabila seorang guru memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM10,000 selepas secara tidak sengaja mendatangkan kecederaan kepada anak lelakinya.

Bapa mangsa, Jailani Jawan, 43, berkata, pihaknya juga berhasrat membatalkan laporan polis dibuat sebelum ini termasuk tidak meneruskan tindakan undang-undang terhadap guru terbabit kerana menganggap ia telah diselesaikan cara baik.

"Jumlah ganti rugi yang diterima akan digunakan sepenuhnya untuk merawat kecederaan pada bahagian gegendang telinga kiri anak saya memandangkan kos perubatan dianggarkan menelan belanja lebih kurang RM10,000," katanya.

Terdahulu, pada Jun tahun lalu, anaknya, Mohd Jazman, 16, mendakwa ditampar guru lelaki kira-kira jam 11 pagi selepas dituduh memancitkan tayar sebuah kereta milik seorang guru perempuan bersama beberapa pelajar lain di sebuah sekolah, di sini.

Jailani berkata, dia dan isteri, Norlaila Jusoh, 42, hanya mengetahui kejadian menimpa anak keempat daripada tujuh beradik itu apabila mangsa mengadu sakit pada bahagian telinga apabila bangun tidur.

Isterinya kemudian membawa anak mereka ke Klinik Kesihatan Gong Balai, Merchang sebelum ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut dan doktor mengesahkan terdapat kecederaan pada gegendang telinganya.

Berikutan insiden itu, keluarga Jailani turut membuat laporan polis di Balai Polis Merchang dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan.

Mengulas lanjut, Jailani berkata, pihaknya juga membuat satu perjanjian dengan guru terbabit untuk tidak lagi mengungkit mengenai perkara itu pada masa akan datang termasuk menerima ganti rugi atas persetujuan kedua belah pihak.

Perceraian setelah 'bersama' dalam idah

Posted: 23 Apr 2014 04:46 AM PDT


  • Perceraian setelah 'bersama' dalam idahGambar hiasan

Soalan:

Saya telah diceraikan suami melalui SMS tanpa pengetahuan saya. Dalam masa idah, dia ada beberapa kali 'bersama' dengan saya. Tapi setelah tiga bulan, baru dia berterus-terang yang dia telah menceraikan saya. Kami ke mahkamah dan hakim telah menjatuhkan talak satu pada saya. Apakah sah perceraian kami kerana dia telah 'bersama' saya ketika dalam idah?

Jawapan:

Dalam soalan puan, saya dapat mengenal pasti beberapa isu yang perlu saya kupas. Pertama, adakah perceraian melalui SMS tersebut sah atau tidak? Kedua, Adakah terjadi rujuk dalam tempoh idah?

Hukum perceraian melalui SMS ini telah diteliti dan diperhalusi dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal-Ehwal Agama Islam kali ke-55. Hasil daripada muzakarah itu menyatakan seperti berikut:

1. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan dengan jelas dan khusus kepada isterinya adalah merupakan talak berbentuk kinayah. Talak dalam bentuk kinayah ini adalah sah jika si suami memang berniat untuk menceraikan isteri. Talak dalam bentuk tulisan ini termasuk melalui faksimili, SMS, emel dan sebagainya.

2. Perceraian melalui cara ini perlu dibawa ke mahkamah syariah untuk disabitkan atau disahkan sama ada telah jatuh talah atau tidak ke atas isteri.

3. Talak yang dilakukan melalui alat komunikasi moden ini adalah kaedah perceraian yang tidak bertempatan dengan adab yang digariskan oleh hukum syarak.

Kembali kepada soalan, puan menyatakan hanya dimaklumkan setelah tiga bulan daripada tarikh suami mentalakkan puan melalui SMS. Tindakan puan membawa kes itu ke mahkamah adalah tepat.

Pandangan mazhab

Saya pasti semasa proses pengesahan perceraian, suami puan telah mengaku kepada hakim bahawa dia telah menceraikan puan melalui SMS. Talak melalui SMS ini adalah talak kinayah yang memerlukan niat suami tersebut. Saya pasti mahkamah mensabitkan perceraian itu berdasarkan pengakuan suami bahawa dia memang berniat untuk menceraikan puan melalui SMS tersebut. Oleh itu, perceraian tersebut adalah sah.

Perceraian tersebut adalah tetap sah walaupun sebagaimana yang puan dakwa puan dan suami telah bersama dalam tempoh idah. Mungkin puan agak keliru berkenaan perkara ini. Persetubuhan semasa idah tidak memberi apa-apa kesan kepada perceraian. Perceraian tersebut adalah tetap sah.

Yang menjadi isu adalah adakah terdapat rujuk semasa dalam idah puan? Sekiranya tiada, maka untuk bersama sebagai suami isteri, perlu kepada akad nikah baru. Jika telah disahkan oleh mahkamah terdapat rujuk semasa dalam tempoh idah, maka tidak perlu kepada akad nikah yang baru. Bagaimanapun, haruslah diingat bilangan talak ke atas diri puan sebagaimana yang digariskan oleh hukum syarak telah berkurang kepada dua sahaja.

Berkenaan rujuk semasa dalam tempoh idah, terdapat beberapa pandangan mazhab mengenai perkara ini. Menurut Mazhab Syafie; syarat rujuk adalah perkataan yang membawa maksud untuk rujuk. Maksudnya, rujuk bagi orang yang boleh bercakap dan tidak bisu adalah melalui perkataan sahaja. Lafaz perkataan ini sama ada secara sarih (terang) atau kinayah (kiasan) yang perlu disertai dengan niat. Lafaz yang terang adalah seperti "Aku telah mengembalikan mu." Lafaz kiasan adalah seperti "Aku telah kahwinkan kamu."

Manakala rujuk melalui perbuatan tidak dikatakan sebagai rujuk di sisi Mazhab Syafie. Rujuk melalui perbuatan ini adalah seperti melakukan persetubuhan dan lain-lain perlakuan yang biasa dilakukan suami isteri.

Menurut Mazhab Hanafi, rujuk adalah melalui perkataan yang terang, perkataan secara kiasan yang perlu kepada niat rujuk dan rujuk juga diterima melalui perbuatan seperti persetubuhan dan sebagainya.

Menurut Mazhab Maliki, rujuk terhasil sama ada melalui perkataan atau perbuatan atau niat. Rujuk melalui niat ini adalah seperti suami hanya berkata dalam hati bahawa "aku merujukinya" atau sebagainya. Bagi Mazhab Maliki, perbuatan atau perkataan tersebut mestilah disertai dengan niat atau rujuk.

Menurut Mazhab Hanbali dan Al-Awaza'i; rujuk adalah melalui perkataan yang terang atau melalui persetubuhan sama ada terdapat niat atau untuk rujuk atau tidak.

Akad nikah baru

Dalam kes ini, puan menyatakan puan dan suami telah bersama dalam tempoh idah. Beberapa perkara perlu dipastikan terlebih dahulu antara puan dan suami:

1. Adakah suami puan ada melafazkan perkataan untuk rujuk?

2. Adakah persetubuhan tersebut berlaku benar-benar dalam kiraan tempoh idah?

Apa yang perlu puan perlu lakukan adalah mendapatkan pengesahan bagi rujuk tersebut. Sekiranya puan berasakan perlu mendapatkan nasihat terperinci, puan dan suami boleh mendapatkan nasihat di pejabat agama Islam dan kawasan puan.

Perkara berkenaan rujuk ini perlu mendapatkan pengesahan dari mahkamah syariah. Puan boleh memfailkan permohonan untuk pengesahan daripada suami puan sendiri sama ada terdapat lafaz untuk rujuk atau tidak semasa dalam tempoh idah.

Menurut Mazhab Syafie, sekiranya tiada lafaz untuk rujuk, tidak dikira sebagai rujuk. Oleh itu, jika suami menyetubuhi isteri semasa dalam tempoh idah dan setelah itu isteri mulai suci dari tarikh persetubuhan tersebut, maka suami perlu merujuki melalui perkataan dalam masa idah yang masih berbaki.

Jika mahkamah memutuskan rujuk tersebut adalah sah, maka perhubungan puan dan suami harus diteruskan tanpa perlu kepada akad nikah yang baru.

Bagaimanapun, jika mahkamah mendapati tiada rujuk dalam tempoh idah tersebut, maka untuk puan dan suami bersama semula dalam perkahwinan adalah wajib kepada akad nikah yang baru.

Nasihat saya, bagi mengelakkan perkara syubahat dan dharar yang lebih besar berlaku, adalah wajar puan tinggal berasingan dengan suami sehinggalah mahkamah memutuskan berkenaan rujuk tersebut.

Sekiranya mahkamah tidak mensabitkan rujuk tersebut, persetubuhan yang berlaku di antara puan dan suami semasa dalam tempoh idah menurut Mazhab Syafie adalah haram.

Namun, ia tidak dikira sebagai zina kerana puan masih dikira sebagai isteri selagi tempoh idah puan belum tamat. Saya berharap penerangan ini dapat memberi panduan pembaca lain.

Kelab Caring UIAM kutip dana

Posted: 23 Apr 2014 04:42 AM PDT


Karnival Caring 2014 dianjurkan bertujuan mengutip dana dan sumbangan bagi program bersama anak-anak yatim di samping melahirkan kesedaran membantu golongan yang kurang berkemampuan.

KARNIVAL Caring 2014 melibatkan penyertaan para pelajar, kakitangan serta golongan anak-anak yatim.


SEJAK 12 April lalu hingga 26 April 2014, Kelab Caring Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan satu karnival dalam usaha untuk mengumpul dana tabung kelab tersebut.
Dinamakan sebagai Karnival Caring 2014, program ini melibatkan penyertaan para pelajar, kakitangan dan golongan anak-anak yatim yang dijemput khas.
Selain mengutip dana, karnival ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga universiti dan masyarakat untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.

KELAB Caring UIAM menganjurkan Karnival Caring 2014 dalam usaha mengumpul dana tabung kelab tersebut.


Pengarah Program Karnival Caring 2014, Mohammad Ikmal Hisham Ashari berkata, pelbagai aktiviti telah disusun bagi menjayakan karnival ini.
Antaranya pertandingan Golden Talent Show 2.0, Caring Jaguh Kampung, Spiritual Talk on Bicara Iman, Caring Theatre Night dan Caring Charity Dinner.
"Bagi Golden Talent Show 2.0, ia berlangsung pada 12 April lalu di Auditorium Mini UIAM. Acara ini menyaksikan beberapa pertandingan seperti nasyid, hafazan al-Quran, azan dan bercerita sirah Nabi yang akan disertai oleh anak-anak yatim dari rumah kebajikan berbeza.
"Ia diikuti pertandingan permainan tradisional seperti teng-teng, galah panjang dan batu seremban melalui acara Caring Jaguh Kampung di Kompleks Sukan Wanita UIAM," ujar Mohammad Ikmal Hisham.

PERTANDINGAN seperti nasyid, hafazan al-Quran, azan dan bercerita sirah Nabi turut disertai oleh anak-anak yatim.


Turut dianjurkan ialah majlis ilmu yang dinamakan Spiritual Talk on Bicara Iman di Dewan Eksperimental, UIAM.
Program bual bicara tentang percintaan, pelajaran serta pengurusan kehidupan melalui cara yang dibenarkan Islam ini akan menampilkan Ustaz Abah Mkhairi dan Ustazah Dr. Raudlotul Firdaus sebagai penceramah.
Acara Caring Theatre Night di Auditorium Utama UIAM pula mempersembahkan lapan buah teater daripada produksi universiti tersebut.
Acara Caring Charity Dinner akan menjadi penutup bagi penganjuran Karnival Caring tahun ini. Ia akan diadakan pada 26 April bertempat di Restoran Hadramawt, Ampang, Kuala Lumpur.
"Mereka yang menyertai acara makan malam akan dihiburkan dengan persembahan khas kumpulan nasyid UNIC, pemenang pertandingan Golden Talent Show 2.0 dan persembahan terbaik dari Caring Theatre Night.
"Sehubungan itu, kami berharap dapat menarik lebih ramai penyertaan daripada pelbagai agensi sama ada kerajaan mahu pun swasta bagi memeriahkan karnival ini," ujarnya.


Harga teripang kering RM500 sekilogram untuk sektor akuakultur

Posted: 23 Apr 2014 04:41 AM PDT


KEPUTUSAN fasa pertama pembiakan Holothuria Scabra bakal mempengaruhi tindakan kerajaan untuk memasukkannya ke dalam sektor akuakultur di peringkat kebangsaan.


RUTIN Muhammad Yahya setiap kali cuti sekolah adalah membantu pengusaha gamat kampung di Beras Terbakar, Langkawi, Kedah. Minat terhadap timun laut itu juga mendorongnya memulakan perniagaan gamat kecil-kecilan selepas tamat persekolahan.
Pengalaman muda selama lima tahun yang dikutip Muhammad dijadikan sandaran bagi membangunkan perusahaan gamatnya pada penghujung tahun 1999. Ekoran pengembangan potensi dan peningkatan permintaan, anak jati Langkawi itu nekad memperbesarkan perniagaannya.
Kini, Muhammad, 41, berpuas hati dengan syarikat pengeluaran dan pemprosesan gamat di bawah Nusantara Maju Enterprise (Nusantara Gamat) yang membangun sebagai salah sebuah perusahaan berasaskan gamat terbesar di pulau legenda itu.
Dua dekad bergelumang dengan gamat, Muhammad menyaksikan sendiri peralihan fasa industri produk berteraskan gamat. Dahulu, bekalan hidupan laut itu diperoleh terus dari Langkawi tetapi sejak kebelakangan ini corak bekalan telah berubah.
Pesaing
"Orang Langkawi dahulu cari gamat guna bot sahaja. Selalunya ia mudah dijumpai bawah batu karang dan pasir. Bila air cetek pula ia boleh dikutip di pantai sebab bilangannya banyak.
"Sekarang bekalan gamat diambil dari Thailand. Gamat mereka memiliki kualiti yang sama kerana perairannya berhampiran Langkawi.
"Namun pengusaha tempatan kini berdepan saingan daripada negara luar terutamanya China dan Taiwan. Harga pasarannya juga meningkat daripada RM100 untuk 1 kilogram (kg) kepada RM200 bagi berat serupa," jelas Muhammad yang memberitahu, beberapa pulau di Langkawi seperti Pulau Payar dan Pulau Singa Besar telah diwartakankan untuk tujuan perlindungan gamat.
Di Malaysia terdapat 40 spesies timun laut telah direkodkan tetapi masih banyak yang belum dikenal pasti. Berdasarkan kajian terkini, Langkawi sahaja mencatatkan lebih 12 spesies gamat.
Gamat daripada spesies Holothuria Scabra yang dikenali sebagai teripang atau balat putih di Sabah merupakan spesies paling bernilai di Langkawi. Ekoran peratusannya yang kian menurun, Jabatan Perikanan Malaysia mula menjalankan kajian ke atasnya bermula tahun 1985.
Aktiviti perikanan menggunakan alat tunda siput bagi menangkap gamat dan pembangunan resort di pinggir pantai menjadi antara punca utama kepada penjejasan populasi spesies tersebut.
Meskipun tidak tersenarai dalam Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Ke Atas Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), realitinya teripang memang berisiko untuk pupus.
Pegawai penyelidik dari Pusat Marikultur, Institut Penyelidikan Perikanan Langkawi, Zaidnuddin Ilias meletakkan status spesies gamat itu di antara tahap sederhana (sukar diperoleh) dan teruk (bilangan amat sedikit).
Populasinya di habitat asal tidak cukup untuk menampung keperluan industri dan hanya boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan.
Hasil mesyuarat bersama CITES pada tahun 2003, negara yang diancam penurunan drastik gamat perlu menjalankan projek pemuliharaan dan akuakultur. Di Langkawi sendiri, usaha mewartakan beberapa pulau seperti Pulau Singa Besar adalah usaha kerajaan bagi melindungi gamat.

GAMAT peringkat juvenil akan dipindahkan ke dalam kandang laut apabila beratnya mencapai lebih 5 gram.


Kandang
"Namun gamat di pulau itu banyaknya daripada spesies gamat emas yang digunakan untuk dijadikan minyak gamat. Bagi tujuan komersial, teripang lebih bernilai dengan harga mencecah RM500 bagi 1kg selepas dikeringkan.
"Gamat emas dijual pada sekitar RM160 hingga RM180 untuk 1kg (kering) dan ia (yang hidup) boleh hancur jika dipegang untuk tempoh 30 saat," ujar Zaidnuddin ketika ditemui Kosmo! di pusat pembiakan gamat di Jeti Teluk Ewa, Pantai Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat, Langkawi.
Sebagai penggerak kepada pembiakan gamat Langkawi, Jabatan Perikanan telah memulakan projek kandang gamat di Pantai Teluk Yu sejak tahun 2010. Kandang berkeluasan dua hektar itu akan menempatkan kira-kira 20,000 teripang untuk pembiakan bagi projek pengkomersialan akuakultur.
Disifatkan sebagai fasa prakomersial, projek penyelidikan itu bakal menjadi kayu ukur kepada keberkesanan formula pembiakan teripang sebelum ia dikembangkan ke tempat lain.
Menerusi akuakultur Holothuria Scabra yang banyak dijalankan di Sabah, gamat akan dikandangkan sama ada secara semula jadi (di laut) atau dalam kolam buatan untuk pembiakan. Hasilnya kemudian akan dieksport ke luar negara.
Berdasarkan jangkaan di atas kertas, projek akuakultur itu mampu menjana keuntungan lumayan. Justeru, keputusan eksperimen awal yang dilakukan Jabatan Perikanan itu kini bakal menjadi penentu kepada kelulusan projek itu untuk diadaptasi ke peringkat nasional.
Tidak makan
Kos pembiakan gamat juga dikatakan tidak mahal kerana hidupan laut itu tidak perlu diberi makan. Pengusaha hanya perlu memperuntukkan kos bagi kandang, benih dan upah pekerja untuk menjaga dan mengutip parasit serta pemangsa gamat.
Jelas Zaidnuddin, prosedur membiak gamat perlu dijalankan mengikut tertib. Daripada anggaran sejuta telur gamat, hanya dua peratus atau 20,000 berjaya menjadi larva dan seterusnya berubah kepada anak gamat.
Pada peringkat awal, anak gamat gemar memanjat sama ada pada pukat atau dinding kolam. Apabila ia tidak lagi memanjat, barulah gamat peringkat juvenil dimasukkan ke dalam kandang iaitu ketika beratnya mencecah lebih 5 gram.
Begitupun, sebelum dilepaskan, faktor-faktor seperti kualiti air, kadar kemasinan, keberadaan pemangsa seperti ketam dan udang perlu diambil kira. Ia penting bagi membolehkan anak gamat mengadaptasi suasana sekitar.
ANAK gamat perlu menyesuaikan diri dengan suhu dan kemasinan air sebelum dilepaskan.


Jika ia tidak menepati habitatnya, gamat boleh tertekan dan mengundang penyakit kulit hingga kulitnya tertanggal dan mati.
Kadar kemasinan tinggi dengan suhu air sekitar 25 hingga 28 darjah Celsius adalah yang terbaik untuk gamat. Ia merupakan spesies yang mampu bertahan pada kadar kemasinan mencecah 40 bahagian perseribu (ppt).
Berdasarkan laporan dari negara lain, apabila kadar kemasinan air menurun, gamat akan bersembunyi di dalam pasir.
"Gamat akan keluar dari pasir sekitar pukul 10 pagi. Pada waktu malam hingga awal pagi ia akan duduk dalam pasir. Air pasang surut juga mempengaruhi faktornya untuk keluar.
"Apabila di dalam pasir, gamat dapat membersihkan kulitnya daripada parasit dan siput-siput kecil. Teknik ini juga menjadi perlindungan kepadanya kerana ia tidak boleh bergerak pantas.
Ironinya, projek pembiakan gamat ke arah membudayakan program akuakultur di negara ini dilaksanakan berdasarkan perkembangan pesat industri gamat di Asia Tenggara dan selatan China.
Guangdong di China antara wilayah utama republik itu yang mengimport gamat dari negara-negara Asia Tenggara. Singapura juga tidak terkecuali mengimport gamat dengan membeli pada harga rendah sebelum mengeksport semula ke luar negara pada nilai pasaran antarabangsa yang tinggi.
Pasaran
Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Century Marine Products Sdn. Bhd., Keith Ng mendedahkan, kedua-dua gamat hidup dan kering dieksport ke China untuk industri makanan.
Gamat hidup selalunya disiang terlebih dulu sebelum dimasak untuk dijadikan stimbot, sup dan stu. Musim permintaannya melonjak apabila perayaan Tahun Baru Cina menghampiri.
Difahamkan, kebanyakan restoran di sana telah menggantikan menu sup sirip ikan yu kepada gamat. Ia ekoran tekanan dan sokongan pelbagai pihak yang mendesak pengusaha restoran menghentikan penjualan sup sirip ikan yu bagi melindungi spesies marin terancam itu.
"Mengikut kepercayaan orang Cina, terdapat empat jenis makanan laut yang paling berharga iaitu abalon, timun laut, sirip ikan yu dan maw ikan. Jadi gamat mempunyai nilai komersial yang tinggi malah ia telah menjadi amalan tradisional orang Cina sejak zaman dahulu.
"Harganya juga berpatutan, tidak seperti sup sirip ikan yu yang mencecah RM800 ke atas untuk hidangan satu meja 10 orang," kongsi Keith yang menambah pasaran gamat berkembang pesat di China sejak tiga dekad lalu.
Century Marine Products yang berpangkalan di Pulau Pinang merupakan syarikat pembekal produk marin kering di Malaysia khususnya timun laut bergred premium.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories