RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Hanez Suraya semakin diterima

Posted: 30 Apr 2014 05:07 AM PDT


  • Hanez SurayaHanez Suraya

SETELAH dikecam teruk oleh masyarakat dek percintaannya dengan 'suami orang', pelakon kontroversi, Hanez Suraya, kini bangkit mengatur karier seninya.

Malah berkat kesabarannya, aktres cantik ini nampaknya semakin diterima semula oleh peminatnya.

Ini terbukti apabila kehadirannya di Pesta Buku Antarabangsa PWTC bagi mempromosikan buku Love You Mr Arrogant di PWTC, diterima baik oleh orang ramai.

Menurut pelakon Autumn Di Hatiku ini, pada awalnya dia takut berdepan orang ramai, namun perasaan itu berubah sama sekali apabila melihat peminat mula menegur dan menghampirinya.

"Alhamdulillah saya memang tak menyangka orang masih lagi menghargai lakonan saya. Saya ingin berterima kasih kepada orang ramai dan peminat yang masih lagi memberikan sokongan berterusan dan ramai yang datang pada saya minta saya bersabar dalam mengharungi cabaran menjadi anak seni," katanya.

Menurut Hanez, dia juga sangat terharu dan bersyukur kerana masih diberikan peluang dan ramai yang menilai bakat lakonannya.

Menyedari masih ada peminat yang memberikan sokongan kepadanya, Hanez nekad memberikan komitmen lakonan yang tinggi selepas ini.

"Memang ramai yang kata saya dah tak ada job selepas kontroversi tu, tapi saya tak rasa ia memberikan kesan kepada saya kerana saya tolak beberapa job sebelum ini pun kerana saya terlalu tertekan.

"Jadi, selepas lihat ramai yang masih lagi setia menyokong karier saya, saya akan sentiasa memberikan yang lebih baik selepas ini," katanya yang boleh menghela nafas lega.


Berlatih lebih masa

Menyentuh mengenai perkembangan terbaharunya, menurut Hanez, dia kini sedang giat menjalani latihan pementasan teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung di Istana Budaya, bermula 6 hingga 14 Jun depan.

Menurut Hanez, jika pelakon lain hanya berlatih pada waktu malam, dia sanggup mengisi slot pagi dan malam untuk memantapkan lagi hasil lakonannya di pentas teater.

Mengakui masih baharu dan mempelajari selok-belok untuk berdepan audiens, Hanez bagaimanapun tetap yakin dengan usaha yang berganda akan membuahkan hasil yang diidamkan.

"Saya memang suka kepada cabaran, saya mencabar diri saya untuk mencuba benda baharu. Lagi-lagi apabila saya terpaksa berdepan dengan audiens secara langsung. Walaupun masih ada perasaan gementar dan cemas, saya cuba menanganinya.

"Dan saya yakin saya dapat buat seperti kehendak pengarah dan demi kepuasan diri sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Hanez juga kini baharu sahaja menjalani rakaman hari belia bagi mengisi slot remaja dan sukan ekstrem.

Jelas Hanez, walaupun dia tidak begitu menggemari aktiviti lasak, namun dia tetap berasa seronok selepas mencubanya.

"Sebelum ini memang saya tak dapat menerima sukan ekstrem tapi selepas cuba sukan drift kereta saya rasa tahap keyakinan saya sudah meningkat terutamanya berkaitan dengan sukan seperti ini," katanya yang kini mula menjinakkan diri dalam dunia pengacaraan.


Ceburi bidang perniagaan

Dalam perkembangan lain, Hanez juga dikatakan sedang belajar dan membantu adiknya yang membabitkan perniagaan dalam bidang kecantikan dan fesyen.

"Saya memang sedang mendalami bidang perniagaan, namun saya lebih kepada membantu sahaja, kerana fokus saya kepada karier. Maklumlah sekarang pun orang ramai baharu mula nak terima saya. Jadi ambil masa untuk saya fokus dalam bidang perniagaan.

"Apa pun saya selalu bertukar pendapat dengan ahli keluarga mengenai peluang perniagaan yang perlu saya ceburi, kerana bimbang tak dapat fokus dan memberikan masa sepenuhnya kepada bidang perniagaan itu nanti," katanya.

Jelas Hanez, dia memang sangat meminati bidang fesyen, namun belum masanya lagi untuk dia berkongsi lebih lanjut mengenai bisnesnya itu.

"Ia masih dalam perbincangan. Bila dah jadi nanti, saya akan kongsi semua," katanya.


Tolak cerita peribadi

Jika sebelum ini dia agak terbuka berkongsi perihal peribadinya, namun selepas kontroversi yang berlaku, Hanez berkata, dia akan lebih berhati-hati.

"Bagi saya biarlah saya simpan dahulu berkaitan perkara peribadi. Saya tak mahu disebabkan perkara peribadi sekali lagi menjejaskan karier saya," katanya.

Khadijah giat cipta nama

Posted: 30 Apr 2014 05:06 AM PDT


  • Khadijah giat cipta namaKhadijah 

MESKIPUN masih baharu dalam industri hiburan, tidak mustahil Siti Khadijah Cooke atau lebih mesra disapa sebagai Khadijah mampu mencipta fenomenanya tersendiri suatu hari nanti.

Menceritakan mengenai single terbaharunya, Terbang, Khadijah memberitahu, ia adalah salah satu lagu ciptaannya yang dihasilkan menjurus pada kisah cinta yang dirasainya.

Menurutnya, ia lebih kepada ekspresi diri sendiri dan memandangkan ini percubaan baharu, dia cukup terharu dengan keyakinan Aidit Alfian kepadanya.

"Dia kenal saya ketika saya menyertai satu pertandingan muzik dan ketika itu saya menyanyikan lagu berkenaan.

"Sebelum mula merakam lagu tersebut untuk dijadikan single, dia ada bertanya kepada saya mengenai lagu-lagu lain ciptaan saya.

"Tapi, mungkin dia merasakan Terbang adalah yang terbaik, maka dia pun memilih lagu ini," jelasnya yang kini bernaung di bawah Aidit Alfian Records.

Walaupun single Terbang telah dirakamkan sejak tahun lalu, kini ia dilancarkan melalui iTunes.

Mengulas lebih lanjut, Khadijah memberitahu, dia akui lagunya itu lambat dikenali umum lantaran sibuk dengan pengajian diplomanya ketika itu.

"Kini, saya sudah tamat belajar dan fokus saya hanya adalah untuk menyanyi.

"Selepas ini, saya akan cuba berusaha keras dan menggunakan pelbagai medium yang ada bagi mempromosikan single ini," jelasnya yang lebih selesa memilih genre pop.

Tidak meletakkan satu tempoh tertentu untuk dikenali ramai, Khadijah berpendapat mahu menggunakan medium di laman YouTube sebagai salah satu usahanya itu.

"Laman sosial You Tube adalah satu medium yang sangat perlu terutamanya bagi artis-artis baharu seperti saya.

"Sebab, radio sekarang ini juga sering memutarkan lagu-lagu yang sudah ada pendengarnya sendiri.

"Justeru, penting bagi saya untuk berusaha dengan lebih kuat," katanya.

Begitu pun, Khadijah sangat bersyukur apabila kini lagunya itu menjadi salah satu lagu OST bagi drama bersiri Romi Cinta Julia yang kini sedang bersiaran di TV3.

"Saya sangat teruja dengan situasi itu. Pada mulanya, anak buah saya yang menyedarinya.

"Dengan perkembangan ini, saya berharap agar peminat dapat menerima baik muzik yang saya bawa," katanya.


Sokongan keluarga

Menyorot sedikit kisah pembabitannya dalam dunia muzik, Khadijah memberitahu, keluarga terutama bapanya, Abdul Rahim Cooke, adalah pendorong utamanya.

"Sejujurnya, minat saya pada muzik timbul sejak kanak-kanak lagi.

"Bapa adalah tulang belakang yang bertindak sebagai pendorong kepada minat ini.

"Melalui bapa, saya juga belajar bermain gitar dan kami banyak berlatih memainkan lagu dari kumpulan muzik The Beatles dan The Carpenters," katanya pada Zass ketika ditemui pada sesi fotografi, baru-baru ini.

Selain itu, katanya lagi, dia bukan saja menyanyi tetapi turut mengembangkan bakat seni yang dimilikinya itu melalui penciptaan lagu.

"Sejak berusia 19 tahun lagi, saya sudah mula membabitkan diri dengan penciptaan lagu dan di atas sokongan padu keluarga, saya memahat keyakinan serta usaha untuk mencuba nasib dalam dunia seni suara pula.

"Saya mengaku minat menyanyi. Tapi, untuk menulis lagu, saya sebenarnya tidak tahu.

"Tetapi, oleh kerana saya ingin belajar bermain gitar, jadi saya belajar untuk menulis lagu," katanya yang kini sudah pun mahir bermain gitar tetapi tidak berkeyakinan untuk mempersembahkannya di depan umum.


Jadi pereka grafik?

Jangan tidak tahu, selain minat dengan muzik, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Perlis ini juga minat melukis.

Justeru, tidak hairanlah apabila dia memilih jurusan seni grafik dan kini baharu saja menamatkan diplomanya di Kolej Universiti Segi.

"Secara umumnya, saya suka bidang seni.

"Saya minat melukis, mengambil gambar atau kerja-kerja yang melibatkan seni," kata anak kelima dari lapan beradik ini.

Disebabkan minatnya yang mendalam pada bidang seni, Khadijah pernah meletakkan cita-citanya untuk bergelar seorang pereka grafik suatu hari nanti.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi penyanyi sehinggalah dikenali ramai.

"Saya hanya terfikir satu hari nanti, saya akan menjadi seorang pereka grafik biasa sesuai dengan pengajian yang saya ambil di kolej," gelaknya lagi sambil mengakhiri perbualan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories