RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Instagram Antara Punca Adam (AF2) & Fiza Bercerai

Posted: 29 Apr 2014 05:31 AM PDT


jrtut
Fiza menganggap keputusan bercerai adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan Adam.
SHAH ALAM: Pelakon Fiza (Elite) mendedahkan, laman sosial Instagram antara penyebab berlakunya perceraian antara dia dan suaminya iaitu Adam (AF2).

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, berkata, ia bermula apabila pengikut-pengikut Instagram miliknya mula mempersoalkan sebab-sebab dia tidak memuat naik gambar Adam di laman sosial itu dan begitu juga Adam yang tidak berbuat demikian.

"Apabila perkara itu dipersoalkan sehingga mencetuskan spekulasi diantara pengikut-pengikut Instagram, maka perkara itu turut menjadi bualan antara kami sehingga mencetuskan pergaduhan.

"Saya bertindak membuang gambar-gambar kami di laman sosial itu juga kerana terlalu banyak spekulasi mengatakan rumah tangga kami bermasalah.

"Bagaimanapun, itu antara sebahagian punca (perceraian). Mengenai perkara lain, saya tidak boleh ulas. Cuma apa yang saya anggap, tiada jodoh di antara kami," katanya.
45yt34
Fiza sedia menerima Adam sekiranya masih lagi ada jodoh di antara mereka.
Fiza berkata demikian ketika ditemui selepas perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, telah melafazkan cerai talak satu terhadap Fiza dihadapan hakim syarie, Tuan Muhamad Nazri Basrawi kira-kira pukul 1.05 petang mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Rumah tangga mereka hanya kekal tujuh bulan sahaja.
Dalam pada itu, Fiza berkata hubungannya dengan Adam mula goyah sejak empat bulan lalu namun dia menafikan khabar angin kononnya masalah itu berpunca kerana Adam tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarga.
Malah Fiza turut menafikan ada pihak ketiga yang membuatkan hubungan antara mereka retak.

"Jujurnya gosip-gosip yang tersebar membuatkan kami tertekan. Tambahan pula, ayah saya sedang sakit tenat ketika itu dan kini baru saja selesai menjalani pembedahan pintasan di IJN (Institut Jantung Negara).

"Macam-macam spekulasi yang timbul dan apabila ada pihak mengatakan saya minta cerai kerana Adam tidak ada duit, itu mengarut. Isu itu timbul apabila ada masalah bayaran antara saya dan hospital. Sedangkan ketika itu, Adam turut membantu menghulurkan wang agar ayah saya dapat menjalani pembedahan dengan segera," tuturnya.

uito78
Adam sebak selepas melafazkan cerai di mahkamah pada Isnin.
Tambah Fiza, keputusan cerai itu dibuat atas persetujuan bersama dan dia tidak menolak sekiranya mereka disatukan semula sekiranya masih lagi ada jodoh.
Pasangan itu telah bernikah pada 26 September 2013 hanya selepas dua bulan berkenalan.

Sebelum itu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010.

Hasil perkahwinan Fiza dan Ahmed Farriq, mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 6, dan Feeya Adyrra, 5.

Ia merupakan perkahwinan pertama buat Adam.


Enjin terbakar, pesawat patah balik ke Perth

Posted: 29 Apr 2014 05:26 AM PDT


  • Enjin terbakar, pesawat patah balik ke PerthSebuah pesawat penumpang terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Perth pagi tadi selepas salah satu enjin terbakar sejurus berlepas. 

PERTH - AUSTRALIA. Sebuah pesawat penumpang dilaporkan telah berpatah balik di Lapangan Terbang Perth (Australia) pagi tadi dan telah melakukan pendaratan kecemasan selepas salah satu enjinnya terbakar sebaik sahaja berlepas.

Menurut  seorang penumpang pesawat Cobham Aviation memaklumkan, mereka (penumpang) melihat api marak dan asap dari enjin yang terbakar sebaik pesawat berlepas jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Sementara Cobham Aviation Services dalam satu kenyataannya berkata, pesawat BAE 146 empat enjin itu kembali ke Lapangan Terbang Perth jam 10.53 pagi.

"Kejadian berlaku ketika pesawat sedang naik ke ruang udara apabila enjin nombor duanya tiba-tiba terbakar," menurut kenyataan tersebut.

Ketika kejadian pesawat membawa 92 penumpang, dua juruterbang dan tiga anak kapal dan semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala menurut penumpang pesawat, Jason Grimmett, kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas pesawat berlepas.

"Saya duduk di sebelah kanan enjin dan tiba-tiba kepulan asap keluar dari enjin.

"Minyak bertaburan di udara sebelum api menyambar dan keadaan panik ketika itu namun juruterbang bertindak pantas untuk menutup saluran minyak," katanya menurut laporan ABC News.

Pesawat bagaimanapun berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Barrow Island.

Pokok pisang bertandan tiga

Posted: 29 Apr 2014 05:23 AM PDT


  • Pokok pisang bertandan tigaPokok pisang bertandan tiga yang tumbuh di kebun Mohammad Dali.

KOTA TINGGI - Seorang peneroka pelik apabila mendapati pokok pisang embun yang ditanam di ladang kelapa sawit miliknya menghasilkan tiga tandan pisang.

Mohammad Dali Rosman, 56, berkata, keanehan itu disedari seorang pekerja pembersihan yang diupah menebas semak sekitar kawasan itu.

Menurutnya, sejak mengetahui mengenainya ramai kenalan berkunjung ke kebunnya meskipun jarak ke lokasi jauh iaitu kira-kira tiga kilometer dari jalan utama.

"Saya diberitahu pekerja bahawa salah satu pokok pisang saya mengeluarkan buah aneh. Pada awalnya saya tidak percaya, namun selepas melihat sendiri saya terkejut. Saudara mara dan kenalan juga sanggup ke kebun ini untuk melihat pokok ini," katanya.

Menurutnya, selain pokok pisang itu, dia turut menanam pelbagai jenis pisang antaranya pisang nipah, pisang nangka dan pisang raja di kebun sama.

Katanya, sejak dahulu lagi dia suka berkebun, malah sebelum ini dia pernah menanam cili sebelum bertukar kepada tanaman pisang.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia mendapat benih pisang tersebut daripada adiknya yang tinggal di Pasir Gudang sebelum menanamnya di kebun.

"Selain pisang bertandan tiga itu, ada salah satu daripada pokok pisang di kebun itu yang turut mengeluarkan jantung pisang pelik yang mana hampir menyerupai bentuk bunga," katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Dali sekeluarga beranggapan, kejadian aneh ini sebahagian tanda kebesaran ALLAH dan bersyukur dapat melihat kejadian berkenaan pada sebatang pokok pisang yang ditanamnya.

"Tambahan pula kejadian pelik ini merupakan pertama kali saya temui seumur hidup saya," katanya yang merupakan Ketua Blok di Felda Simpang Waha, di sini.

Pontianak Jalan Sungai Ular?

Posted: 29 Apr 2014 05:21 AM PDT


  • Pontianak Jalan Sungai Ular?Lembaga putih yang dipercayai pontianak itu biasa dilihat di sini.

SUNGAI ULAR (KULIM) - Gangguan makhluk halus atau mistik wujud dalam kalangan masyarakat kita hari ini bagaimanapun ada di antara mereka beranggapan ia satu kepercayaan tahyul.

Misteri gangguan lembaga menyerupai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular ke Simpang Tiga Terap bukanlah satu perkara baru, di mana ada dalam kalangan penduduk tidak berani menggunakan jalan itu waktu tengah malam.

Penduduk tempatan mendakwa turut berjumpa lembaga bertenggek di atas paip air di tepi jalan seawal jam 11 malam.

Gangguan makhluk halus itu juga dikatakan mengakibatkan ada dalam kalangan penunggang motosikal dan kenderaan lain terbabas.

Penulis sempat menemu bual mangsa yang pernah ternampak makhluk halus berkenaan.

Dia berkata, ia mempunyai ketinggian sekitar 5 kaki 11 inci hingga 6 kaki tinggi, berambut panjang sehingga ke paras siku dan menutup muka.

Menurutnya, lembaga dipercayai pontianak itu selalunya berdiri di tepi jalan atau dilihat berjalan di tepi jalan berseorangan dalam keadaan kepala tertunduk.

Pengamal perubatan tradisional, Rosli Ahmad yang tinggal di Taman Tunku Putra berkata, pontianak ini merupakan iblis dan jin yang mampu menyerupai pelbagai bentuk dan rupa.

"Gangguan iblis dan jin ini boleh mengakibatkan seseorang itu dirasuk. Semua ini berlaku apabila mangsa berada dalam keadaan lemah. Selain itu, pontianak ini sering berada di kawasan di mana kerap berlakunya kemalangan maut," katanya.

Menurutnya, sekira iblis dan jin sudah berada di dalam badan terlalu lama, ia akan menjadi lebih selesa dan sukar untuk mereka meninggalkan jasad ditumpang.

Enjin motosikal tiba-tiba terhenti

Terkini, seorang kakitangan awam, Mohd Aziz Osman yang menunggang motosikal jenis Kawasaki RR150 dari arah Terap ke Kulim terkejut apabila enjin motosikal ditunggangnya tiba-tiba terhenti kira-kira 50 meter dari Jambatan Sungai Anak Kulim kira-kira jam  12.30 pagi.

Dalam keadaan gelap dia menolak motosikalnya ke tepi jalan. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya enjin motosikalnya itu berjaya dihidupkan semula.

Dia kemudiannya menghidupkan lampu motosikal bagaimanapun ternampak lembaga putih berambut panjang berada di hadapannya.

"Saya beristighfar panjang apabila ternampak lembaga putih itu berada kira-kira 10 meter di hadapan motosikal saya.

"Saya membaca beberapa surah Yasin dan meminta dia jangan mengekori saya," katanya.

Menurutnya, pengalaman tidak dilupakan apabila lembaga itu memusingkan kepalanya sehingga ke belakang tanpa memusingkan badan.

Aziz berkata,  Jalan Sungai Ular ke Terap sering melibatkan kemalangan maut dan sehingga kini, lebih 10 kemalangan maut dilaporkan berlaku di mana ia melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Bonceng perempuan waktu malam

Sementara itu, penduduk tempatan, Safaruddin Ahmad berkata, kewujudan lembaga putih dipercayai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular menghala ke Terap bukanlah satu perkara baru, kerana ramai dalam kalangan penduduk di kawasan itu sudah mengalaminya.

Dia yang mempunyai kebun di Terap pernah ternampak lembaga itu bertenggek di atas paip air yang terletak di tepi jalan.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika dalam perjalanan balik ke rumah.

"Saya ketika itu menunggang motosikal dan tidak dapat menunggang dengan laju kerana membawa muatan durian. Jalan dari Terap ke Kulim sememangnya gelap pada waktu malam, kerana ia merupakan kawasan hutan.

"Apabila tiba di tempat kejadian saya merasakan muatan yang saya bawa semakin berat. Beberapa minit kemudian badan saya berasa sejuk dan dalam masa sama, lampu motosikal saya menyuluh lembaga perempuan berdiri di kanan jalan," katanya.

Sebelum ini, lima anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) mengejar seorang suspek yang melarikan diri dengan menunggang motosikal di jalan berkenaan.

Mereka terkejut kerana di belakang motosikal salah seorang anggota ditumpang oleh seorang perempuan.

Anggota PBT itu mengalami kerasukan bagaimanapun dipulihkan dengan bantuan penduduk tempatan sebaik sahaja sampai ke pondok rondaan.

Kejadian ini masih berlaku sehingga hari ini dan terus menjadi tanda tanya kepada penduduk tempatan.

Deanna Yusof rindu dunia lakonan

Posted: 29 Apr 2014 05:19 AM PDT




SUDAH lama tidak bertemu dengan aktres Deanna Yusof. Bertemu dengannya baru-baru ini pada majlis pelancaran filem lakonannya, CEO di Cathay Cinelesure, Damansara, Selangor, orangnya masih sama. Masih mesra dan kaya dengan senyuman.
Walaupun sudah lama tidak bersua dengan pihak media, profesionalisme Deanna jelas kelihatan. Setiap soalan dijawab dengan penuh tertib.
Lebih 20 tahun bergelar anak seni, kali terakhir wajahnya ditonton di layar perak adalah pada tahun 2007 menerusi filem Chermin. Sejak itu, Deanna seperti menghilangkan diri selain dilihat tidak lagi aktif berlakon.
Katanya apabila diaju soalan berhubung kehilangannya daripada dunia seni sehingga ada yang menyangka dia telah berhijrah ke luar negara: "Saya masih ada di Malaysia, tidak ke mana- mana. Saya pelik apabila ada orang yang berjumpa saya bertanya tentang bila saya balik ke Malaysia?
"Bila masa pula saya berhijrah ke luar negara? Saya masih bekerja di Malaysia, cuma dalam tempoh dua tahun ini saya kurang mengambil tawaran berlakon. Mungkin sebab kurang keluar di televisyen dan akhbar menyebabkan orang ramai berfikiran begitu."
Disoal apakah yang dilakukan sepanjang dua tahun tidak aktif dalam dunia seni, jawab Deanna, selain sibuk dengan perniagaan, dia juga masih aktif sebagai pengacara untuk majlis korporat.
Jangan salah sangka, biar jarang muncul mempamer kredibilitinya sebagai seorang aktres berbakat, ironi dia masih mendapat tawaran berlakon. Namun, terpaksa ditolak memandangkan pada usia 47 tahun, Deanna mengaku dia lebih selektif dalam memilih karya dan watak.
"Memang saya ada dapat tawaran berlakon, malah sebelum ini saya sepatutnya berlakon dalam dua buah filem. Bagaimanapun, pada saat-saat akhir filem itu terpaksa dibatalkan.
"Sudah tidak ada rezeki. Rindu untuk berlakon memang ada, cuma pada umur sekarang saya tidak boleh ambil semua tawaran. Saya tidak mahu membawa watak yang sama dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini," akuinya jujur.
Sungguhpun begitu, Deanna enggan berlakon dalam drama bersiri, sebaliknya hanya akan menerima tawaran untuk terbabit dalam telefilem dan filem sahaja.
"Saya bukan macam dahulu. Sekarang saya amat menjaga kesihatan dan sudah tidak larat untuk bekerja dalam tempoh masa yang lama.
"Jika drama bersiri, tempoh masa bekerja lebih 12 jam sehari dan waktu penggambarannya memakan masa berbulan-bulan. Saya mempunyai komitmen kerja yang lain, disebabkan itu saya hanya menerima filem dan telefilem sahaja," akuinya.
SIKAP selektif menjadi punca Deanna jarang muncul sebagai pelakon kerana tidak mahu kelihatan klise dengan watak yang dibawakan.


Tambah wanita ini, dia tidak bimbang dilupakan peminat gara-gara dirinya terlalu selektif dalam memilih karya sehingga menyebabkannya jarang muncul di televisyen dan layar perak.
"Bagi saya, walaupun sudah lama tidak berlakon tetapi jika kita ada kualiti orang tetap akan ingat saya. Sama seperti filem Chermin dan CEO, pengarahnya memang mahukan saya membintangi filem mereka.
"Rezeki ada di mana-mana. Peminat juga begitu, jika mereka suka dengan lakonan saya walaupun watak itu kecil dan jarang muncul di televisyen serta filem, mereka tetap akan mengingati saya," tuturnya dalam senyuman.
Enggan tanggung risiko
Jika diukur pengalaman dan nama besar yang dimilikinya, tidak mustahil untuk Deanna menerbitkan filem seperti mana rakan-rakan seangkatan dengannya yang sudah memiliki syarikat produksi sendiri.
Bukan tidak mahu bergelar penerbit, namun dengan industri perfileman yang tidak menentu, Deanna mengakui dia tidak berani untuk menanggung risiko kerugian wang yang banyak.
"Ramai rakan yang menyarankan saya untuk buka syarikat produksi tetapi saya tidak berani ambil risiko yang terlalu besar. Saya tiada masalah untuk berlakon tetapi untuk bergelar penerbit tidak sama sekali," katanya.
Sedar dan tahu apa yang dialami penerbit filem tempatan menyebabkan Deanna kini bergelar Ketua Pengarah Eksekutif, Artisanal Asia Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengedar eksklusif bagi jenama coklat dari Switzerland iaitu Grand Jean Freres.
"Bukan mudah untuk menjadi penerbit dalam keadaan industri perfileman kita tidak kukuh. Masalah terbesar sekarang ini sukar membaca keinginan peminat filem untuk pihak penerbit menghasilkan filem yang boleh mencetuskan fenomena.


"Sebagai pelakon, saya cukup kagum dengan penerbit filem yang masih terus berjuang menghasilkan filem saban tahun walaupun dugaan untuk mereka sangat besar," jelasnya.
Selepas filem CEO, Deanna memberitahu, dia telah menerima tawaran berlakon dalam sebuah filem. Bagaimanapun, dia masih merahsiakan butiran terperinci filem tersebut.
"Alhamdulillah, masih ada rezeki saya walaupun sudah ramai pelakon baharu. Selepas CEO, sudah ada pihak yang menawarkan filem kepada saya.
"Sekarang ini semuanya masih dalam peringkat perbincangan. Jika semuanya telah sah, saya akan umumkan," ucapnya.
Tidak berkecil hati
Walaupun aktres ini memiliki nama yang besar serta tarikan yang kuat untuk penonton ke panggung wayang, bagaimanapun pada poster filem CEO, wajahnya langsung tidak kelihatan.
Pihak penerbitan hanya meletakkan wajah pelakon utamanya iaitu Remy Ishak, Beto Khusyairi dan Cristina Suzanne dengan alasan menggunakan konsep minimalis dan enggan mencampur aduk terlalu banyak gambar di poster filem arahan Razaisyam Rashid itu.
Deanna yang tersenyum saat diajukan soalan itu memberitahu, dia langsung tidak berkecil hati wajahnya tidak dipamerkan pada poster filem CEO, malah memahami tindakan pihak penerbitan.
"Saya bukannya pelakon utama kerana saya hanya muncul dalam lapan babak sahaja. Sebab itu, mereka (penerbit), tidak meletakkan wajah saya.
"Sejujurnya saya langsung tidak berkecil hati diberi hanya lapan babak dan wajah tidak muncul pada poster. Jika mereka letakkan wajah saya, seperti saya pelakon utama sedangkan tidak, itu telah menipu penonton," balasnya yang gembira dapat bekerjasama dengan pengarah baharu dalam filem CEO.
Ramai yang menganggap filem CEO merupakan filem kemunculan semula Deanna dalam industri lakonan tetapi hanya diberi lapan babak sahaja dilihat sesuatu yang merugikan.
"Alhamdulillah, walaupun hanya muncul dalam lapan babak sahaja tetapi watak sebagai seorang peguam yang jahat cukup membuatkan saya berpuas hati.
"Saya lebih rela berlakon dalam babak yang sedikit tetapi watak yang saya lakonkan diingati penonton.
"Ramai yang sangka filem CEO merupakan filem kemunculan semula saya tetapi tidak sebenarnya kerana saya tidak pernah berhenti berlakon," beritahu Deanna.


Harta berbilion ringgit dalam gua

Posted: 29 Apr 2014 05:17 AM PDT

INILAH Pulau Nangka di Melaka yang didakwa mengandungi harta karun.


JASIN – Persoalan tentang kewujudan harta karun peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, kira-kira 17 kilometer di luar pantai Melaka di sini bakal diketahui esok.
Antara harta karun berkenaan ialah peti mengandungi jongkong emas, takhta dan pakaian diraja.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Abdul Ghafar Atan berkata, kerja-kerja mengorek dinding batu di kawasan dipercayai merupakan pintu tempat simpanan harta karun itu sudah 90 peratus dilaksanakan.
Beliau berkata, pihaknya percaya pintu gua berkenaan akan berjaya dibuka dalam tempoh dua hari lagi seterusnya dapat memberi jawapan sama ada harta karun tersebut benar-benar wujud atau tidak.


Pekebun tanam kubis seberat 27.5kg

Posted: 29 Apr 2014 05:13 AM PDT



GLAZEBROOK bergambar dengan kobis bunga miliknya yang seberat 27.5kg. 


NEWARK - Seorang pekebun di Britain, Peter Glazebrook memecahkan rekod dunia tanaman kubis bunga paling berat di dunia, lapor portal berita Metro.co, kelmarin.
Dia sebelum ini memiliki empat rekod dunia termasuk menanam ubi kayu terpanjang dan bawang paling berat di dunia.
Kali ini, Glazebrook menuai sebiji kubis bunga seberat 27.5 kilogram (kg) yang ditanam di rumah hijau miliknya di East Midlands di sini.
Sebanyak tujuh orang pengadil telah ditugaskan untuk menimbang sayuran gergasi itu.


Kostum gabungan Indonesia, Malaysia

Posted: 29 Apr 2014 05:12 AM PDT



BUNYI mesin jahit tanpa henti diselang-seli kapitan gunting yang tajam menyusuri rentang kain berwarna-warni bagaikan melodi rancak berkumandang di bilik rekaan pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK).
Terdapat lima individu yang sedang khusyuk meneliti jahitan, sulaman, rekaan dan potongan kain sesuai dengan lokasi bibit percintaan Hamid dan Zainab yang tidak kesampaian persis karya agung novelis Indonesia, Prof. Dr. Hamka.
Kali pertama diadaptasi dan dipentaskan di Malaysia dalam sebuah teater bertemakan Islamik, ia merupakan cabaran utama buat produksi CTRA Production dan Istana Budaya.
Apatah lagi, latar tempat novel yang berlaku di Indonesia melibatkan orang Minang dan terdapat beberapa latar tempat melibatkan tanah suci kota Mekah, perlu disesuaikan dengan cita rasa fesyen peminat teater tempatan.
Perkara tersebut diakui sendiri Pereka Kostum Istana Budaya, Sarina Azizan yang sudah mula menelaah novel DBLK sejak awal Januari lalu sebelum melahirkan beberapa idea untuk pementasan teater itu.
Berpengalaman lebih sedekad sebagai pereka kostum, katanya, dia sudah membuat lebih 100 lakaran kostum untuk watak utama sebelum pihak produksi bersetuju mengetengahkan konsep gaya Nusantara.
"Kita tidak mahu kostum ini berat sebelah kerana ia dipentaskan di Malaysia. Bagaimanapun, kita mahu menjaga inti pati novel Hamka yang sememangnya berlatarbelakangkan masyarakat Minang di Indonesia.
"Ia disulitkan lagi dengan beberapa babak di Mekah, maka jalan penyelesaian yang kita ambil ialah mengetengahkan konsep Nusantara," katanya ketika ditemui Kosmo! di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KESEFAHAMAN antara pereka dan tukang jahit sangat penting dalam menjelmakan kostum yang menepati konsep dan idea.


Konsep
Dia yang turut dipertanggungjawabkan mereka kira-kira 300 kostum melibatkan keseluruhan watak termasuk pembantu dan korus berkata, melalui konsep Nusantara, produksi tidak terikat dengan satu unsur dan budaya sahaja.
"Apabila kita menggunakan konsep Nusantara ia merupakan gabungan budaya Malaysia dan Indonesia dengan suntikan Islamik.
"Malah terdapat juga rekaan baju seperti kurta, blaus dan jubah yang mempunyai elemen baju kurung tetapi sulaman dengan pengaruh Indonesia," ujarnya.
Tambahnya, pengaruh Indonesia dalam setiap busana boleh dilihat melalui sulaman cara pemakaian manakala rekaan pula seakan-akan baju Melayu, kurung dan jubah yang sering terdapat di Malaysia.
Dia menambah, atas faktor pementasan selain menyesuaikan pencahayaan pentas, pemilihan material fabrik yang tepat turut memainkan peranan.
Ulasnya, kebanyakan kostum dibuat daripada kain kapas supaya warna yang dihasilkan tampak cantik di atas pentas.
Mengulas lanjut mengenai warna, dia yang pernah terbabit dalam pementasan teater muzikal Upin dan Ipin kira-kira dua tahun lalu memberitahu, banyak menggunakan warna pastel dan lembut sepanjang 10 hari pementasan itu berlangsung.
"Warna merupakan pengaruh terbesar dalam pementasan ini. Oleh kerana ia bertemakan Islamik, kami menggunakan warna sejuk.
"Malah warna juga menjadi perbezaan antara penduduk kampung, karakter utama termasuk watak sokongan," katanya sambil menunjukkan beberapa kostum yang sudah siap.
Kebanyakan kain kapas yang digunakan ialah jenis s.b line dan koshiba.
Watak
Watak Zainab yang dibawa oleh Nasha Aziz melibatkan penggunaan warna seperti kuning cair, merah jambu lembut dan putih sejuk.
Sarina berkata, penggunaan warna berkenaan bersesuaian dengan karakter Zainab yang ayu, lemah lembut dan tergolong dalam komuniti elit.
Manakala watak Hamid yang dibawa Adi Putra pula, banyak menggunakan kostum jubah, blaus dan kurta dengan mainan warna putih dan warna-warna kusam.
Penduduk kampung pula mengenakan kostum dengan warna pucat seperti kelabu tanpa rekaan, hiasan dan sulaman yang berlebihan.

KESEMUA kostum teater ini perlu disiapkan sebelum 7 Mei depan.


Oleh kerana teater tersebut bertemakan kisah cinta yang penuh Islamik, pemakaian tudung mengikut syarak turut menjadi keutamaan.
Namun, pihak produksi dan Istana Budaya nyata bertuah kerana rangkaian tudung eksklusif Fareeda sudi mereka tudung khas sepanjang pementasan itu berlangsung.
Dengan kekuatan tenaga kerja seramai lima orang yang turut membantu menjahit membuatkan proses pembuatan kostum berjalan lancar.
Malah, kebijaksanaan produksi merancang dan menetapkan rekaan baju lebih awal membuatkan tukang jahit berjaya menghasilkan baju yang berkualiti tanpa sebarang tekanan.
Antara tukang jahit yang ditemui ialah Faridah Mading, 45, yang sembilan tahun terbabit dalam dunia jahitan kostum bersama Istana Budaya.
Dia yang menjahit lapan helai kostum termasuk dua helai untuk watak kanak-kanak menumpukan sepenuh perhatian ketika proses jahitan sedang dilakukan.
"Kami perlu memberikan fokus 100 peratus sepanjang menyiapkan semua kostum ini supaya hasilnya nanti kelihatan kemas di atas pentas dan selesa digayakan pelakon.
"Keselesaan pelakon menjadi keutamaan saya kerana kita tidak mahu aksi lakonan artis canggung semata-mata tidak selesa dengan baju dipakai," jelasnya panjang lebar.
Bercerita mengenai cabaran menyiapkan kostum pementasan teater, dia yang juga Pembantu Pertukangan Istana Budaya, memberitahu mereka sering bertarung dengan masa.
"Bagi CTRA Production kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan masa, malah mereka memperuntukkan tempoh yang cukup untuk kami.
"Tetapi masa sememangnya 'musuh' utama kami dalam industri ini," katanya yang menyasarkan untuk menyiapkan kesemua kostum sebelum 7 Mei depan.
Hubungan
Hubungan antara pereka dan tukang jahit juga harus dititikberatkan sepanjang proses jahitan kostum berlangsung.
Kesefahaman dua hala ini usah dipandang enteng kerana ia mampu menggugat perjalanan pembuatan kostum terutama kegagalan memahami kehendak penerbit dan pengarah teater.
Bercerita lebih lanjut, Pembantu Kemahiran Istana Budaya, Mohd. Hanis Sabtu merangkap Pembantu Kemahiran Produksi Teater DBLK, mengakui hubungan antara pereka kostum dan tukang jahit amat penting.
"Hampir setiap hari kami akan berbincang dengan pereka sama ada setiap jahitan atau kostum yang disiapkan memenuhi kehendak skrip teater.
"Jika tiada hubungan dua hala ini, pada pendapat saya kami mungkin tidak dapat bekerjasama dengan baik apatah lagi memahami kehendak produksi," katanya.
Tambahnya lagi, walaupun ditugaskan sebagai tukang jahit, dia tetap perlu meneliti skrip dan memahami sinopsis, watak dan keperluan teater untuk memudahkan rekaan kostum.


Sajian taraf hotel di Saji

Posted: 29 Apr 2014 05:09 AM PDT



SUSUN atur meja dan kerusi di restoran itu biasa sahaja. Malah penggunaan payung, hiasan lilin di atas setiap meja tanpa sebarang dekorasi khusus juga meletakkan ia dalam kelompok warung tempatan standard.
Namun penilaian luaran itu sangat tidak wajar untuk Restoran Saji. Meskipun tidak gah dari segi bangunan, ia cemerlang dalam penyediaan, kualiti dan kuantiti setiap hidangan.
Sejak dibuka enam tahun lalu, Saji menjadi bualan penduduk di sekitar Pulau Langkawi, Kedah. Lokasinya di Kompleks Jeti Pelancongan, Kuah juga menjadi kelebihan buatnya dari sudut nilai pemandangan alam.
"Saji berlatarbelakangkan Dataran Helang dan menjelang senja, restoran kami penuh dengan pelancong asing yang ingin menyaksikan detik matahari terbenam," kongsi pemilik restoran itu, Mohd. Nasir Mustafa.
Sebagai bekas chef di sebuah resort bertaraf lima bintang selama hampir 15 tahun, Nasir bijak mengadaptasi pengalamannya bagi menghasilkan sajian eksklusif yang berpatutan.

STIMBOT yang disediakan Saji kini menjadi tarikan hangat.


Menu berkonsep Continental merangkumi makanan laut dan barat menjadi identiti Saji. 90 peratus hidangan di Saji diubahsuai daripada resipi hotel. Justeru, tidak mustahil pelanggan dapat menemui menu kreatif menyelerakan yang tidak diperoleh dari restoran tempatan lain.
Kupang yang ditabur sos barbeku antara menu wajib dicuba pelanggan. Sos barbeku hidangan istimewa itu dihasilkan sendiri Nasir menggunakan rempah Cajun.
Tarikan terkini Saji ialah stimbot. Sajian yang kebiasaannya disediakan restoran Cina itu mendapat sambutan luar biasa pelanggan termasuk pelancong dari China. Tidak ketinggalan, ketam atau udang karang yang dimasak bersama serbuk kari yang turut mendapat permintaan tinggi.
Restoran yang mampu memuatkan 300 orang dalam satu-satu masa itu juga menawarkan variasi stik pada harga rendah. Stik daging batang pinang misalnya boleh dinikmati hanya pada harga RM24.
Pilihan sajian barat lengkap juga ditawarkan meliputi pembuka selera yang terdiri daripada tiga jenis salad, sup, sajian utama dengan lapan pilihan dan pencuci mulut istimewa berupa tapai ais krim atau penkek ais krim.
KUPANG bersama sos barbeku ini antara hidangan yang wajib dicuba.


Nasi bujang senang
Mereka yang berselera Melayu pula disarankan mencuba kerabu perut. Saji berjaya mengimbangi keseragaman saiz hirisan dan kelembutan tekstur perut yang disediakan. Dua kesepadanan ini sering gagal ditampilkan kebanyakan restoran tempatan.
Begitupun, bintang menu tempatan di Saji ialah nasi bujang senang. Sajian ringkas itu terdiri daripada set nasi putih bersama sambal belacan, daging rebus, sup dan telur dadar. Menariknya, sup yang disediakan merupakan air daripada rebusan daging pelanggan tersebut.
Bagi mengikis kebiasaan memesan sayur-sayuran seperti kailan ikan masin atau kangkung belacan, Saji menambah seleksi sayuran buat pelanggan mereka. Brokoli bersama cendawan hitam dan kupang abalone antara menu sihat yang menerima pujian ramai.
Tidak lengkap jelajah gastronomi anda di Saji jika tidak menikmati minuman lassi buah-buahan. Sama ada anda memilih lassi mangga, kiwi atau pisang, kepekatan dan kemanisan minuman itu pasti melegakan dahaga.
"Lassi buah-buahan kami dihasilkan menggunakan lebihan buah yang dikisar pada awal pagi untuk dijadikan jus. Ia kemudiannya dikisar sekali lagi bersama yogurt, susu cair dan ais," terang Nasir, 39, ketika ditemui Kosmo! di restorannya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories