RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Bayaran Lumayan Punca Zizan Razak Jadi Artis Astro

Posted: 15 May 2014 03:44 AM PDT


Zizan menyokong keputusan Emma Maembong jika memilih urus kerjaya sendiri.
PETALING JAYA: Pelawak Zizan Razak memberitahu tawaran dengan bayaran yang agak tinggi antara punca dia bersetuju untuk berada di bawah pengurusan pihak Astro.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, dia juga yakin pengurusan syarikat itu mampu merancang kerjayanya dengan lebih baik dan tersusun.

"Saya juga terkejut pihak Astro mengumumkan saya sebagai artis di bawah pengurusan mereka pada malam itu (Isnin lalu) kerana malam itu juga kami berbincang dan mereka tawarkan untuk menguruskan kerjaya saya.

"Insya-Allah akan ada satu sidang media yang akan menjelaskan perkara ini. Saya tidak boleh beritahu berapa mereka tawarkan tetapi tidak dinafikan tawaran mereka agak tinggi," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Pada malam pelancaran program baharu hlife!  yang diadakan di Stadium Chin Woon pada malam Isnin lalu, Zizan disebut sebagai artis baharu di bawah pengurusan stesen televisyen berbayar itu.

Pada majlis berkenaan Nabil Ahmad yang bertindak sebagai pengacara turut mengusik Zizan telah menerima kontrak bernilai RM2 juta.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia masih lagi bersama dengan syarikat pengurusannya Wirefame Entertaiment sebagai rakan kongsi dan akan terus memantau aktiviti syarikat tersebut.

"Saya masih pemegang saham 70 peratus dengan Wirefame dan saya akan terus memantau perkembangan syarikat tersebut. Cuma mereka tidak uruskan kerjaya saya lagi," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kekasihnya Emma Maembong akan mengikut jejak langkahnya bersama stesen televisyen tersebut, Zizan berkata, buat masa ini dia sahaja yang menerima tawaran berkenaan.

"Emma masih lagi di bawah pengurusan Wirefame sehingga dia tamat kontrak pada Jun depan. Selepas itu terpulang kepada dia jika ingin menguruskan kerjayanya sendiri.

"Jika dia ingin uruskan kerjaya sendiri bagus juga, saya hanya menyokong apa juga keputusan dia," katanya.

Sementara itu, Zizan berkata, dia masih lagi memikul tanggungjawab sebagai pengacara rancangan Melodi di TV3, biarpun berada di bawah pengurusan stesen televisyen lain.

Tambahnya, perkara tersebut sudah dibincangkan dan pihak Astro memberi kelonggaran untuk dia menerima tawaran daripada syarikat televisyen lain.

"Kami sudah berbincang tentang itu dan tidak ada masalah dan saya akan terus menjadi pengacara Melodi," katanya.

Wings Muncul Dalam Konsert Akustik Jun Depan

Posted: 15 May 2014 03:44 AM PDT


wings
Dari kiri Eddie, Black, Awie dan Joe yang akan tampil dalam konsert akustik pada Jun depan.
PUTRAJAYA: Kumpulan rock popular Wings bakal mengadakan konsert pertama secara akustik yang dikenali konsert 'Wings Versi Tanpa Distortion' yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada 8 Jun depan.

Vokalisnya, Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 46, berkata konsert tersebut merupakan sejarah bagi kumpulan Wings apabila pertama kali beraksi dengan konsepretrospektif akustika.

"Perbezaan konsert ini ialah kami tidak akan menggunakan elemen gitar elektrik seperti biasa. Transformasi muzik rock ke akustik ini akan menjadi tarikan utama, ia benar-benar bakal menguji kemampuan kami.

"Kami juga akan membuat susunan semula lagu-lagu yang akan disampaikan dalam versi akustik dengan bantuan beberapa pemuzik undangan khas untuk konsert ini," katanya pada sidang media konsert itu PICC, di sini, Rabu.

Sementara itu, tambah Awie, konsep akustik yang bakal dipersembahkan dalam konsert tersebut adalah bertujuan untuk menarik di kalangan peminat lama Wings yang sudah bekeluarga.
awie
Awie


Katanya, ia juga bertepatan dengan lokasi konsert yang diadakan di Putrajaya lebih kepada kediaman untuk keluarga.

"Konsep akustik ini sesuai dengan golongan berkeluarga dan peminat-peminat Wings dulu yang kini lebih meminati muzik santai," katanya.

Dalam pada itu, Awie mengakui cabaran utama adalah daripada segi teknikal selain tanggung jawab itu adalah hak pihak penganjur.

"Apa yang selalu merisaukan kami setiap kali persembahan ialah masalah teknikal kerana hal-hal berkenaan bukan kami yang uruskan.

"Namun biasanya bagi mengelakkan perkara itu berlaku kami akan buat beberapa kali pemeriksaan secara teliti sebelum memulakan persembahan," katanya.

Pada konsert tersebut, Wings akan membawakan sebanyak 18 buah lagu popular mereka termasuk beberapa lagu rock popular sekitar 80an dan 90an.

Harga tiket menyaksikan persembahan ini dijual dengan harga RM99, RM149, RM199, RM249, dan RM299.

Pembelian tiket secara dalam talian  boleh dilakukan di www.ezitix.net.

Lima Pemuda Rakam Visual Seram Sebenar 'Ia Wujud'

Posted: 15 May 2014 03:42 AM PDT


Barisan pelakon bersama pengarahnya, Dharma (tengah) ketika majlis tayangan perdana filem Ia Wujud.
PETALING JAYA: Pengarah filem Dharma Aizat yakin filem arahan terbaharunya berjudul Ia Wujud  dapat diterima penonton meskipun ia tidak melibatkan sebarang pelakon profesional sebagai pelaris karya tersebut.

Dharma berkata, pelbagai kejadian misteri dalam karya itu hasil rakaman asal sekumpulan anak muda di sebuah taman tema yang telah ditutup adalah kekuatan utama kepada filem berkenaan.

"Filem ini sebenarnya diarahkan oleh kelima-lima mereka yang pergi ke taman tema berkenaan berbekalkan beberapa buah kamera untuk merakamkan kejadian pelik di tempat tersebut yang telah ditutup sejak tahun 1994 dan saya sebagai pengarah dan pengarah filem ini kagum dengan apa yang mereka hasilkan.

"Ia Wujud adalah sebuah filem misteri cukup berbeza biarpun tidak menampilkan sebarang pelakon popular tetapi jalan cerita dan pengalaman kelima-lima mereka sudah memadai untuk menjadikan karya ia menarik," katanya kepada mStar Online.

Dharma ditemui pada majlis tayangan perdana filem Ia Wujud yang diadakan di TGV Sunway Pyramid dekat sini Isnin lalu.

Filem ini ditayangkan pada 15 Mei yang menampilkan Zakaria Zahid, 27, Ahmad Syafiq, 22, Muhd Arif Adam, 20, Anam Azizan, 23 dan Tom, 25 sebagai pelakon utama.

Kelima-lima individu berkenaan merakamkan suasana di sebuah taman tema dengan tujuan untuk mencari kisah alam misteri.

Dalam pada itu, Dharma berkata, dia mengalami kesukaran bagi mencari visual terbaik selain cuba mengolah jalan cerita agar ia kelihatan tersusun dan menyakinkan.

"Kesemua visual yang diperoleh ada lebih kurang enam jam kesemuanya dan saya perlu meneliti kesemua bahan yang ada dan ia bukan kerja yang mudah kerana mereka bukan profesional dalam mengendalikan kamera.

"Tetapi kami berjaya mendapatkan rakaman-rakaman menarik selain menyusun semua perbualan mereka dalam video berkenaan supaya dapat menjadikan sebuah kisah yang menarik untuk di filemkan," ujarnya.

Sementara itu, pelakonnya Zakaria berkata, pelbagai kisah mistik yang didengar mengenai taman tema itu dan mereka berlima terpanggil untuk pergi sendiri bagi mencari bukti tentang apa yang diperkatakan.

"Sebenarnya sudah agak lama kami menyimpan semua visual-visual yang berjaya dirakamkan kerana ia hanya sekadar suka-suka sahaja namun selepas menonton filem Highlands Tower kami terpanggil untuk memaparkan semua bukti yang diperolehi kepada umum.

"Daripada situ kami mendapat idea untuk bertemu dengan pihak pengurusan MIG dan Alhamdulillah mereka menyukai dengan apa yang kami berjaya hasilkan sehinggalah ia siap sebagai sebuah filem," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, mereka mahu penonton melihat sendiri pengalaman mereka sepanjang berada di taman tema itu bukan kerana ingin menggalakkan kepercayaan terhadap perkara syirik sebaliknya sebagai pengajaran dan pemahaman bahawa makhluk halus sebenarnya wujud.

Nas-T Belum Terbuka Cari Pengganti Nabila Huda

Posted: 15 May 2014 03:41 AM PDT


Nas-T mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonannya yang semakin meningkat.
PETALING JAYA: Pelakon dan bekas peserta program Fear Factor Malaysia (FFM2) musim kedua iaitu Nas-T berkata, hatinya masih belum terbuka untuk kembali bercinta selepas berpisah dengan aktres Nabila Huda.

Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 30, memberitahu dia bukan serik untuk kembali bercinta sebaliknya ingin memberikan fokus kepada dirinya terlebih dahulu selain membangunkan kerjaya seninya yang semakin berkembang.

"Bukan masalah serik tetapi saya ingin memberi tumpuan kepada diri sendiri kerana sebelum ini mungkin saya terlepas pandang tentang beberapa perkara terutamanya berkaitan kerjaya seni.

"Tambahan pula buat masa ini hati saya belum terbuka untuk kembali bercinta," jelasnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Nas-T, sebagai seorang lelaki dewasa keinginannya untuk berumah tangga sentiasa ada namun tidak menetapkan sebarang sasaran dan menyerahkan perkara itu kepada takdir.

"Siapa yang tidak mahu berkahwin dan mempunyai keluarga tetapi soal cinta bukan boleh dipaksa-paksa dan Insya-Allah sekiranya dipertemukan dengan wanita yang sesuai pasti saya akan berkahwin," katanya.

Dalam pada itu, Nas-T menafikan dia seorang artis yang suka menjauhkan diri daripada pihak media namun dia sebenarnya tidak tahu memasarkan diri selain tidak mempunyai pengurusan dalam menguruskan kerjayanya.

Namun kata Nas-T, dia kini telah melantik seorang pengurus bagi melancarkan kerjayanya pada masa hadapan.

"Bukan sombong atau berlagak tetapi tiada orang yang boleh membimbing saya dalam memahami selok-belok industri membuatkan saya kelihatan seperti sukar didekati.

"Pun begitu saya telah melantik pengurus dan Alhamdulillah setakat ini perjalanan karier itu bertambah lancar dan tersusun," jelasnya.

Sementara itu, Nas-T berkata, dia bersyukur sambutan hangat penonton dan peminat terhadap program FFM2 sedikit sebanyak meningkatkan jenama dan popularitinya sebagai seorang selebriti.

"Sebelum ini perjalanan karier saya tidak serancak selepas menyertai FFM2 dan Alhamdulillah rezeki kini bertambah dua kali ganda," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nas-T berkata, dia bakal muncul dengan drama bersiri Jauh Dari Cinta lakonan bersama Anzalna Nasir selain sebuah telefilem Abang Saya Ustaz terbitan MIG.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories