RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Shila Amzah Dikaitkan Dengan Bekas Calon Angkasawan

Posted: 16 May 2014 05:17 AM PDT


Shila Amzah
PETALING JAYA: Nama penyanyi Shila Amzah ketika ini hangat diperkatakan kononnya dia sedang bercinta dengan bekas calon angkasawan program AXE-Tronaut 2013 iaitu Adam Tun Tuah.

Shila, 24, dilaporkan telah memuat naik sekeping gambarnya bersama seorang lelaki dipercayai Adam dengan wajah pemuda itu ditutup termasuk gambaran kata-kata pada kapsyen kononnya sedang bersahabat dengan individu itu.

Ia menarik perhatian peminat untuk mengetahui kesahihan sama ada mereka bercinta atau pun tidak.
Shila dan Adam dikatakan sedang berkawan rapat.

Identiti lelaki berkenaan mula tersebar apabila Adam turut memuat naik gambar mereka di laman Instagram miliknya.

Sumber memberitahu, kedua-dua mereka berkawan rapat dan pernah beberapa kali bertemu terutamanya semasa perjumpaan ahli kelab peminat Shila ketika wanita berkenaan pulang ke tanah air dari China. 
Gambar mesra Adam dan Shila di laman Instagram.

Usaha mStar Online  untuk mendapatkan komen Shila mengenai khabar terbaharu itu bagaimanapun tidak berjaya kerana dia kini berada di Shanghai, China, untuk urusan berkaitan seninya.
Shila sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan aktor Sharnaaz Ahmad sebelum dikaitkan berkawan rapat dengan Johan As'ari.

Manakala Adam sebelum ini pernah menjadi lima peserta terbaik program The Malaysian AXE-tronaut yang akan mewakili negara ke Akademi Angkasa AXE Apollo yang berpangkalan di Orlando, Florida, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun dia tewas kepada peserta wanita, Roshini Muniam dalam misi pencarian bakal angkasawan itu.

Adam pula mengelak untuk memberi sebarang komen berhubung gosip terbaharu berkenaan.

Bekas Tunang Shahrizal Jaszle Jadi Duta Produk

Posted: 16 May 2014 05:16 AM PDT


Gambar kenangan ketika majlis pertunangan Puteri bersama Shahrizal Jaszle.
PETALING JAYA: Bekas tunang pelakon Shahrizal Jaszle iaitu Redzwani Puteri mengakui menerima tawaran menjadi duta sebuah produk kecantikan Youwhite yang bertujuan untuk mencari pengalaman dalam dunia glamor.
Bagaimanapun, Puteri atau nama sebenar Redzwani Puteri, 26, berkata, dia tidak pernah berniat untuk mengambil kesempatan terhadap kontroversi pertunangan yang dilalui itu untuk menarik perhatian masyarakat.

"Saya baru sahaja dilantik untuk menjadi duta produk kecantikan Youwhite, mereka hubungi saya sebulan lalu melalui Instagram dan tawarkan saya untuk menjadi jurucakap kepada produk ini.

"Saya terima bukan kerana untuk mencari populariti ataupun mengambil kesempatan terhadap kontroversi yang saya lalui tetapi kerana berniat untuk membantu pengeluar produk itu selain mencari pengalaman dalam bidang ini," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Khamis.

Puteri turut mengakui selepas pelbagai kontroversi pertunanganya dengan pelakon Shahrizal Jaszle, dia mendapat perhatian lebih daripada orang ramai terutamanya di laman sosial.
Puteri dilantik sebagai jurucakap produk kecantikan Youwhite.
Dia turut meraih sebanyak 23,000 ribu pengikut di laman sosial Instagram dan 8,320 di laman Twitter.

Dalam pada itu, Puteri turut menafikan menerima tawaran itu sebagai permulaan untuk menceburkan diri dalam dunia hiburan.

Tambahnya, pihak Youwhite memilihnya sebagai duta adalah kerana dia bukan seorang artis.

"Saya tidak pernah terfikir untuk berlakon atau cuba terlibat dengan industri seni, ini hanya iklan sahaja.

"Saya terima kerana mereka mahukan jurucakap bukan dikalangan artis dan saya sudah berbincang dulu dengan keluarga sebelum terima tawaran ini," katanya.

Dalam pada itu, Puteri berkata, sebagai jurucakap dia bertanggungjawab mempromosikan produk tersebut di laman-laman sosial, media cetak dan elektronik dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya tentang perkembangan terkini hubungannya dengan Shahrizal Jaszle, Puteri memberitahu tidak lagi berjumpa pelakon itu sejak dia pulang menjalani penggambaran drama di Australia baru-baru ini. 

Hijjaz terus gah

Posted: 16 May 2014 05:15 AM PDT


  • Hijjaz terus gah

SETIAP artis bukan saja perlu bekerja keras, tetapi juga harus bijak dalam mengatur strategi demi mengekalkan  populariti yang dicipta lebih-lebih lagi buat kumpulan nasyid.

Buktinya sehingga kini, kumpulan nasyid popular, Hijjaz masih berusaha membaiki kedudukan untuk memastikan mereka terus utuh di persada muzik.

Setelah 17 tahun mewarnai dunia muzik, kumpulan itu ternyata masih mempertahankan populariti hasil usaha gigih mereka.

Berkat usaha keras, lihatlah betapa kukuhnya nama Hijjaz di persada seni tanah air.

Hijjaz yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman sendiri, Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB), dianggotai empat jejaka, Isman Nadim Isam, Munif Ahmad, Faizal Osman dan Ariffin Rahim telah berkecimpung dalam dunia seni tanah air sejak 16 tahun lalu.

Mengakui ia bukanlah satu perkara yang mudah vokalis utamanya, Munif memberitahu, sokongan dan galakan daripada peminat adalah kekuatan buat Hijjaz.

"Kami berharap semua peminat teruslah menyokong kami.

"Apabila ada yang menyokong, industri nasyid di negara kita tidak akan jatuh merudum.

"Alhamdulillah, kami terus 'hidup' dengan sokongan dan galakan ini," katanya yang turut memberitahu HRSB juga telah melahirkan artis rakaman baharu seperti Taleeb Mizad dan Alidin.

Malah, kata Munif lagi, permintaan terhadap album nasyid secara amnya sentiasa menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan.


Dakwah menerusi nyanyian

Jika diselak-selak dan dipandang secara meluas, bidang nyanyian bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata.

Sebaliknya, ia mampu dijadikan wadah untuk berdakwah sekali gus menyampaikan sesuatu perkara yang baik kepada orang ramai.

Begitulah pandangan dan pendapat yang diutarakan oleh kumpulan nasyid popular, Hijjaz.

Dalam sibuk menyanyi dan menerima undangan persembahan pentas di merata-rata negara, kumpulan nasyid popular itu turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Vokalis utama Hijjaz, Munif Ahmad memberitahu, bersama Mapim, mereka pernah menghulurkan bantuan selepas menyaksikan sendiri kesusahan penduduk Gaza mengharungi hidup.

"Malah, sehingga kini, kami giat melakukan kerja kutipan dana secara berterusan ke mana sahaja lokasi yang mereka lawati dan sumbangan setakat ini sangat memberangsangkan," katanya.

Selain itu, atas bantuan NGO dan inisiatif Hijjaz, mereka kini sering berulang-alik ke Sabah bagi menjayakan aktiviti nyanyian sekali gus menyebarkan syiar Islam dengan gaya mereka tersendiri.

Kata Munif, selain menyanyi, aktiviti mereka juga diselang-seli dengan ceramah agama.

"Kehadiran kami sekadar membantu penceramah yang di undang untuk menarik perhatian penduduk setempat agar datang ke masjid mendengar ceramah," katanya.

Jelasnya, mereka lebih senang memilih kawasan luar bandar yang daif untuk didekati.

"Kami memilih kawasan yang agak daif untuk didekati. Di sana kami bukan sahaja membawa ilmu agama tetapi juga makanan seperti beras dan barangan lain.

"Bagaimanapun ada juga pihak yang tidak lepas tangan untuk turut membantu," katanya.


Sibuk berniaga

Begitu pun, Hijjaz tidak hanya bergantung kepada bidang nyanyian semata-mata sebaliknya kumpulan nasyid ini bijak menggunakan populariti dalam melebarkan sayap mereka.

Kumpulan ini pernah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan secara usaha sama dengan syarikat lain seperti mengendalikan perniagaan menguruskan Haji dan Umrah, menjual emas, busana Muslim dan lain-lain.

Tidak cukup setakat itu, ahli-ahli kumpulan ini juga sebenarnya mempunyai perniagaan mereka sendiri seperti pewangi, kopi. susu kambing, kedai kek, syarikat pengurusan majlis dan sebagainya.

"Kami pernah melalui banyak pengalaman pahit dalam dunia perniagaan.

"Justeru, kami bertekad untuk menjadikan pengalaman lalu sebagai landasan terbaik supaya terus maju," katanya.

Kata Munif, mereka membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan adalah sebagai jaminan masa depan.

"Bukan selamanya kami akan bergantung pada nyanyian dan perniagaan adalah persediaan yang sepatutnya dilakukan.

"Lebih-lebih lagi apabila kami semua sudah mencecah umur 40-an," katanya.

Jelasnya, kini, perniagaan adalah fokus utama buat Hijjaz.

"Biarpun kami sibuk dengan perniagaan yang diusahakan, tetapi bidang nyanyian masih tidak dilupakan.

"Setakat ini, pembahagian masa kami di antara urusan perniagaan dan nyanyian dapat diuruskan dengan baik," katanya.


Album untuk Palestin

Selepas melancarkan album ke-17, Janji, Hijjaz kini tampil dengan buah tangan terbaharu mereka, Pelita Hidup 6.

Pelita Hidup 6: Demi Islam dan Perjuangan  adalah album kesinambungan siri Pelita Hidup yang sangat sinonim dengan kumpulan nasyid popular itu.

Seperti siri-siri sebelum ini, Hijjaz masih lagi mengekalkan konsep zikir dan doa serta pemilihan subjek yang berbeza dalam setiap album Pelita Hidup.

Kali ini, mereka tampil dengan membawakan isu Palestin sebagai teras utama dan turut diterbitkan dengan kerjasama Mapim.

Selain lagu-lagu seperti Bersatu Kita Teguh, Pejuang Al-Qasam dan Anak Gaza, album tersebut turut memuatkan bacaan al-Quran dari surah al-Imran dan doa Qunut Nazilah.

"Kami sangat teruja dengan kelahiran album ini terutamanya dari segi kualiti muzik dan keseluruhan.

"Penghasilan album ini adalah yang terbaik, malah, kami sentiasa optimis untuk terus menghasilkan album selepas ini," katanya.

Pelita Hidup 6: Demi Islam dan Perjuangan sudah berada di pasaran sejak pertengahan November tahun lalu dengan harga RM25.90 di seluruh negara.

"Keuntungan dari album berkenaan akan disalurkan kepada Tabung Gaza Palestin," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hijjaz kini dalam proses menyiapkan album terbaharu mereka, Selawat Nabi Volume 2, yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Tolak 10 Tawaran, Nazim Othman Tak Minat Berlakon Filem Tempatan

Posted: 16 May 2014 05:14 AM PDT


Nazim akui dirinya terlalu cerewet dan sentiasa inginkan kesempurnaan.
PETALING JAYA: Bunyinya macam berlagak tetapi jujurnya pelakon Nazim Othman menjelaskan sikap terlalu memilih dan cerewet membuatkan dia kurang berminat untuk menerima tawaran bagi membintangi karya filem tempatan. 
Nazim, 30, berkata, dia telah menolak lebih 10 buah tawaran filem sejak tiga tahun lalu berikutan watak yang ditawarkan tidak begitu mencabar selain peranan berkenaan sudah biasa dibawanya dalam drama.

"Semua pelakon bercita-cita untuk berlakon filem termasuk saya juga, namun disebabkan sikap cerewet, membuatkan saya sering menolak tawaran yang datang. Boleh dikira lebih 10 filem saya tolak.

"Saya mempunyai perspektif yang berbeza tentang dunia filem. Bagi saya jika mereka tawarkan watak yang sama sahaja dan pernah saya bawa dalam drama, lebih baik saya berlakon drama sahaja," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, kelembapan industri perfileman tempatan ketika ini turut membuatkan dia kurang berminat untuk mencuba nasib di layar lebar itu.

Bagaimanapun jelas Nazim, dia tidak akan menolak untuk berlakon filem suatu hari nanti jika menerima tawaran yang menepati cita rasanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, dia akan keluar dengan single pertama berjudulDestinasi  tidak lama lagi.

Kata Nazim, ia adalah sebagai pertaruhannya untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

"Saya rakam lagu ini dah lama cuma tiada masa untuk lancarkan sahaja. Ia sebuah lagu rancak yang akan menunjukkan sisi lain saya kepada peminat.

"Saya keluar duit sendiri untuk buat lagu dan klip video ini selain mahu mencuba nasib dalam bidang nyanyian," katanya.

Nama Cat Farish Tidak Bawa Tuah

Posted: 16 May 2014 05:13 AM PDT


cat farish
Cat Farish
PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Cat Farish  tidak menggunakan namanya untuk syarikat rakaman yang baharu ditubuhkan kerana nama itu dianggap tidak membawa tuah.

Cat atau nama sebenarnya, Farish Zaquan berkata, kegagalan dalam beberapa projek dahulu juga membuatkan dia memilih nama lain yang dianggap lebih memberi harapan baharu buatnya.

"Sudah sampai masanya saya menubuhkan label sendiri iaitu Godzilla Boombox yang kini mempunyai dua kumpulan baru iaitu Tiga Swegger dan Hanarose.

"Saya guna nama Godzilla kerana ia melambangkan Godzilla yang besar sebesar harapan saya. Kenapa saya tidak mahu guna nama saya sendiri? Kerana kegagalan dahulu.
cat farish 2
Cat Farish menganggap namanya sebelum ini tidak membawa tuah.


"Dulu semua projek saya tidak menjadi seperti penubuhan kumpulan Mix, Pop dan Dinda. Saya harap nama Godzilla boleh bawa tuah," ujarnya.

Cat Farish berkata demikian pada majlis pelancaran single baharunya Ops! Aku Dah Ter... bersama kumpulan Tiga Sweggerfeaturing  pelawak Zizan Razak dan Echa serta single Hanarose berjudul Girlfriend di Hotel Royale Bintang di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Cat berkata lagu Ops! Aku Dah Terlanjur...   sudah dirakam sejak setahun lalu namun mengalami banyak halangan.

Bagaimanapun katanya, ia dapat diteruskan setelah mendapat kerjasama dengan komposer Datuk M.Nasir di bawah syarikat rakaman Luncai Emas.

"Pada asalnya lagu ini dinyanyikan oleh saya, Zizan dan seorang artis baru namun ada beberapa masalah tertentu sehingga menyebabkan lagu ini tidak dapat disiapkan.

"Selepas saya minta pandangan Datuk M.Nasir dia suka lagu tersebut dan menyuruh saya merakam semula lagu itu," katanya.

Sementara itu, kata Cat, single Girlfriend merupakan pertaruhan pertama Hanarose ciptaannya yang lebih rancak dan mudah diingati.

Dia juga berharap kedua-dua kumpulan ini dapat mewarnai industri seni tanah air.

Zain Saidin Bertegas Kekalkan Imej Rambut Perang

Posted: 16 May 2014 05:12 AM PDT


Zain menjelaskan dia mengekalkan warna rambut perang bagi memenuhi watak sebagai Mr. Henry Middelton dalam porgram Oh My English! yang telah pun memasuki musim ketiga.
PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin tidak akan menukarkan warna rambutnya daripada perang kepada hitam walaupun ditohmah oleh ramai peminat semata-mata ingin mengekalkan wataknya sebagai 'cikgu mat salih' dalam rancangan bersiri Oh My English(OME) musim ketiga.
Zain, 30, berkata, dia akan kekal dengan imej berambut perang itu sebagai memenuhi watak Mr. Henry Middelton sehingga penggambaran siri berkenaan tamat yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

"Ikutkan hati memang saya ingin kembali kepada warna rambut asal tetapi kerana terikat dengan Oh My English!  saya perlu kekalkan warna 'blonde' ini buat sementara waktu.

"Saya sedar banyak orang mempertikaikan tentang imej saya ini tetapi mungkin kerana mereka tidak faham tentang tujuan sebenar saya mewarnakan rambut," katanya kepadamStar Online.

Zain diminta mengulas kritikan banyak pihak yang mempersoalkan imejnya berambut perang sehingga menimbulkan rasa kurang senang isterinya, Rozita Che Wan apabila peminat tidak mengetahui sebab sebenar suaminya itu berbuat demikian.
Oh My English!  musim ketiga bersiaran setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di saluran  TVIQ (610) dan Astro Maya HD (135).  Selain Zain, ia turut menampilkan Fauziah Ahmad Daud, Nadiya Nissa, Syafiq Kyle, Sherry Al-Hadad dan Carmen Soo.

Barisan pelakon Oh My English! musim ketiga.

Dalam pada itu, Zain berkata, biarpun mempunyai jarak di antara satu penggambaran siri berkenaan, dia tidak mahu terlalu kerap menukarkan warna rambutnya berulang kali kerana bimbang ia akan menyebabkan rambut rosak  selain mendatangkan masalah lain pada masa hadapan.

"Jika mewarnakan dan melunturkan kembali warna rambut tidak mendatangkan kerosakkan mungkin lebih mudah tetapi malangnya ia tidak begitu," ujarnya.

Sementara itu, Zain berkata, dia juga terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan lain  kerana terpaksa  menukarkan warna rambutnya dengan warna asal.

Bagaimanapun kata Zain, dia bakal terlibat dalam sebuah drama bersiri yang kebetulan sesuai dengan imejnya dan akan menjalani penggambaran di New Zealand pada akhir Mei ini.

"Biarpun berat hati terpaksa tolak beberapa tawaran tetapi Alhamdulillah ada hikmah juga rambut 'blonde' ni kerana saya dapat memegang watak yang bersesuaian tanpa perlu menukar warna rambut," jelasnya.

Ajak (Shiro) Kesal Badan Susut Dituduh Ambil Dadah

Posted: 16 May 2014 05:11 AM PDT


Ajak & Shahrol
Ajak (kiri) bersama gandingannya dalam kumpulan Shiro iaitu Shahrol.
PETALING JAYA: Anggota kumpulan Shiro iaitu Ajak kesal apabila dituduh mengambil dadah gara-gara berat badannya susut sebanyak empat kilogram berbanding berat sebelum ini iaitu 65 kilogram.

Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak, 29, berkata, tuduhan pihak tidak bertanggungjawab itu mampu merosakkan reputasinya sebagai artis malah dia juga bimbang ia akan memberi persepsi buruk kepada peminat terutamanya kanak-kanak.

"Saya masih waras dan sedar mana perkara yang betul dan salah tambahan pula saya masih terikat sebagai seorang anggota tentera laut. Takkan saya nak buat begitu.

"Tuduhan itu bukan sahaja saya yang kena malah nama Shahrol juga turut terpalit sama," katanya kepada mStar Online.
Ajak ditemui pada sidang media filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 di Damansara Perdana di sini pada Khamis.

Selain Ajak dan temannya Shahrol, filem arahan Ernie Chen ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Azad Jasmin dan Rahim (Sepahtu). Ia bakal menemui penonton di pawagam bermula 12 Jun depan.
Ajak Shiro
Gambar terbaharu Ajak yang kelihatan agak cengkung apabila berat badannya susut kepada 61 kilogram.


Dalam pada itu, menjelaskan mengenai susuk tubuhnya yang kelihatan susut, Ajak memberitahu disebabkan dia mengalami demam denggi baru-baru ini.

Malah kata Ajak, berat badannya itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penurunan tersebut tidak begitu ketara.

"Bukannya saya hilang 10 kilogram cuma empat kilogram sahaja dan saya tidak faham kenapa ada orang yang tidak berpuas hati dengan kami sehingga sanggup membuat cerita buruk seperti itu," katanya.

Sementara itu, Ajak berkata, dia dan Shahrol sudah penat dilemparkan pelbagai tuduhan yang mampu menggangu kerjaya mereka dan isu dadah bukanlah kali pertama.

Jelas Ajak, meskipun sentiasa mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan isu namun pendekatan itu membuatkan pihak-pihak tertentu terus menabur fitnah tentang mereka berdua.

"Saya akui sebelum ini saya bukan jenis yang suka memberi komen tentang-tentang cerita buruk mengenai saya atau Shiro tetapi nampaknya tindakan berdiam diri membuatkan ada pihak tertentu terus menabur fitnah.

"Sudah tiba masanya kami mempertahankan diri kerana nampaknya ia semakin menjadi-jadi," jelasnya.

Tambah Ajak dia tidak mahu mencari gaduh dengan mana-mana pihak tetapi sekadar ingin mempertahankan periuk nasinya dan keluarga daripada terus ditabur pasir.

"Saya tidak pasti apa tujuan apabila ada pihak yang cuba menjatuhkan saya tetapi cukuplah periuk nasi saya diganggu," jelasnya.

Lisdawati maafkan Sharnaaz?

Posted: 16 May 2014 05:08 AM PDT


  • Lisdawati maafkan Sharnaaz?

BEBERAPA bulan lalu, heboh memperkatakan tentang persengketaan Lisdawati bersama Sharnaaz Ahmad apabila perang mulut dua pelakon ini dikatakan agak serius sehingga bakal berdepan dengan tindakan mahkamah.

Namun, keadaan menjadi reda apabila pelakon yang popular dengan filem KL Menjerit ini mengambil tindakan wajar apabila mengumumkan dirinya sedia memaafkan Sharnaaz.

Lisdawati yang sebelum ini mendakwa Sharnaaz memaki dan memarahinya di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta itu nampaknya kini kelihatan lebih tenang apabila diajukan soalan berkaitan perkara itu, ketika ditemui di majlis pelancaran program hiburan H Live! malam kelmarin.

Malah, pelakon ini mengakui sudah menutup kisah lama yang boleh mendatangkan masalah dan kini hanya mahu ketenangan bersama suaminya yang  tidak sabar menanti kelahiran anak ketiga.

Ditanya adakah suaminya, Fauzi Nawawi juga sedia menjernihkan keadaan dan memaafkan Sharnaaz, menurut Lisdawati mereka sepakat dan tidak mahu mengenang masa lalu.

Menganggap ia sebagai salah faham, Lisdawati berharap supaya perkara itu diselesaikan segera.

"Selepas pergi ke sana (umrah) saya dan suami dah tutup buku. Jadi segala perkara buruk saya dah buang. Saya dah maafkan segala yang berlaku.

"Dan jika dia (Sharnaaz) mahu bersemuka, saya mengalukan dia supaya telefon secara terus saja, saya akan memaafkannya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kesihatannya, Lisdawati mengakui kandungannya berada dalam keadaan sihat begitu juga dengan dirinya.

"Saya sihat dan kandungan sihat. Sebelum ini tak payah cakap lagilah. Itu semua cerita lama," katanya.

Jamu Mak Dara tingkat keluaran

Posted: 16 May 2014 05:07 AM PDT


  • Jamu Mak Dara tingkat keluaranSyed Muhammad Gaddafi (kanan, depan) bersama Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib (tengah) semasa pelancaran bungkusan baharu Jamu Mak Dara Gold di Damansara, semalam.

SYARIKAT pengeluar produk jamu, Jamu Mak Dara Sdn Bhd menyasarkan hasil jualan sebanyak RM12 juta menjelang akhir tahun ini menerusi pengenalan bungkusan baharu produk Jamu Mak Dara Gold keluarannya.

Pengarah Urusannya, Syed Muhammad Gaddafi Syed Ali berkata, menerusi pengenalan bungkusan baharu tersebut, syarikat itu yakin dapat meningkatkan jumlah pengeluaran sehingga 80,000 botol sebulan berbanding 60,000 botol sebelum ini.

"Jamu Mak Dara Gold yang melalui proses pembungkusan semula menampilkan tujuh ciri-ciri keselamatan khusus untuk pengguna bagi memastikan produk yang dibeli benar-benar asli dan berkualiti tinggi.

"Ia juga selaras dengan usaha kami untuk terus menerokai pasaran antarabangsa dengan memasarkan produk ke Singapura, Brunei dan beberapa negara Eropah menjelang akhir tahun ini," katanya selepas melancarkan bungkusan baharu produk paling laris syarikat itu, Jamu Mak Dara Gold di Damansara, semalam.

Menurutnya, setakat ini produk Jamu Mak Dara berada di pasaran Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Poland.

Sementara itu, Syed Muhammad Gaddafi berkata, syarikat itu sedang melalui proses penyelidikan dan pembangunan bagi penghasilan produk baharu Mak Dara Premium dalam bentuk gel lembut yang dijangka berada di pasaran tahun ini.

"Kami juga menyasarkan untuk menambah bilangan stokis sebanyak 20 peratus tahun ini.

"Setakat ini Jamu Mak Dara ada lebih 200 stokis seluruh negara," katanya.

Tak serik kena penjara

Posted: 16 May 2014 05:05 AM PDT


  • Tak serik kena penjara  Bakasah mengaku bersalah atas kesalahan melakukan seks oral terhadap dua kanak-kanak lelaki. 

SHAH ALAM - Baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara selama 12 bulan atas kesalahan melakukan seks oral, seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya mengaku bersalah di mahkamah majistret, di sini, semalam atas dua pertuduhan yang sama.
Bakasah Kayon, 34, yang masih bujang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap dua kanak-kanak lelaki, tiga bulan lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berumur 11 tahun di pondok taman permainan, kawasan perumahan Bandar Baru Sg Buloh, Selangor jam 2 petang pada 10 Februari lalu.

Kemudian tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa berumur 13 tahun di kawasan perindustrian SB Jaya, Sg Buloh jam 1.20 petang 9 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Norshakimah Ahmad Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jun depan untuk fakta dan hukuman.

Jika disabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum penjara lima tahun atau sebatan.

Bagaimanapun, tertuduh memberitahu mahkamah, bahawa dia tidak mahu dihukum penjara.
"Saya hendak pergi kaunseling," katanya.

Suri rumah rugi RM3,000 ditipu melalui SMS

Posted: 16 May 2014 05:02 AM PDT


  • Suri rumah rugi RM3,000 ditipu melalui SMSIta menunjukkan beberapa resit bank yang menunjukkan dia memasukkan wang ke dalam akaun berkenaan

SEGAMAT - Seorang suri rumah mendakwa kerugian RM3,000 selepas terperdaya dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan dirinya memenangi hadiah wang tunai.

Mangsa yang ingin dikenali Ita, 40, berkata, dia menerima SMS daripada sebuah syarikat minyak yang mengatakan dirinya menang cabutan bertuah wang tunai sebanyak RM19,000 pada 12 Mei lalu.

"Selepas menerima SMS tersebut, saya terus menghubungi nombor tertera dan disambut seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Nizam dan dia mendakwa mempunyai beberapa syarikat menggali minyak di Asia Barat dan Laut China Selatan.

"Nizam kemudian meminta nombor akaun bank saya untuk memasukkan wang tunai yang dimenangi saya dan dia kata syarikatnya juga berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ita berkata, Nizam turut mengarahkannya supaya memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam akaun miliknya sebagai salah satu syarat mengaktifkan keahliannya dan wang tersebut juga akan digunakan untuk pelepasan cukai pendapatan.

Menurutnya, tanpa sebarang keraguan, Ita mengikut sahaja arahan Nizam dan memasukkan wang tunai sebanyak RM3,000 ke akaun milik Nizam kira-kira jam 4 petang di sebuah bank di sini, pada hari sama.

"Apabila saya pergi ke bank untuk memeriksa akaun, saya dapati tiada penambahan duit di dalamnya. Saya menghubungi Nizam kembali dan dia memberi alasan BNM tidak boleh mengeluarkan cek sebanyak RM22,000.

"Cek yang hanya boleh dikeluarkan adalah sebanyak RM25,000 dan Nizam meminta saya supaya menambah lagi wang ke akaunnya sebanyak RM3,000 dan ketika itu saya mula curiga," katanya.

Ita kemudian menyuruh anak lelakinya berusia 26 tahun supaya menghubungi BNM sebelum dimaklumkan bahawa BNM boleh mengeluarkan cek sebanyak RM22,000 tanpa sebarang masalah.

Merasakan dirinya tertipu, Ita membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, kelmarin, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sindiket seperti ini.

"siasatan kes ini juga sedang dijalankan bagi mengenal identiti lelaki tersebut," katanya.

Guru kecewa arahan JPN Kedah

Posted: 16 May 2014 04:59 AM PDT


  • Guru kecewa arahan JPN KedahSeorang guru menunjuk surat pekeliling yang diterima sekolah dari Jabatan Pelajaran Negeri Kedah mengenai peraturan menyambut Hari Guru di Kedah.

POKOK SENA - Arahan supaya tidak menggabungkan pelajar sesi pagi dan petang bagi sambutan Hari Guru pada 18 Mei ini, seperti yang dinyatakan dalam surat pekeliling mengecewakan warga guru di sini.

Beberapa guru yang ditemui berkata, arahan dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah itu menyebabkan sambutan itu akan jadi kurang meriah berbanding menghimpunkan seluruh guru dari sesi pagi dan petang yang menjadi tradisi sejak dahulu lagi.

Majlis itu juga tidak dapat lagi menyatukan semua guru bagi meraikannya dengan mengadakan sukaneka atau pementasan seperti kebiasaan sekali gus menjarakkan lagi jurang antara guru bagi dua sesi.

Difahamkan, tindakan itu juga menyebabkan penganjur terpaksa membuang masa bagi menyediakan majlis tahunan itu sebanyak dua kali iaitu sesi pagi dan petang. Penyediaan dua kali bagi meraikan majlis itu juga turut memerlukan kos tinggi berbanding sebelum ini.

Menurut surat pekeliling itu juga, pada hari tersebut guru dimestikan mengikut dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar sebelum masa rehat.  Arahan ini juga turut dikatakan akan membebankan guru dalam melaksanakan Hari Guru.

Jika guru terpaksa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebelum waktu rehat, sudah pasti sukaneka terutamanya yang membabitkan acara padang pada waktu pagi bersama pelajar tidak dapat dijayakan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Menurut beberapa guru, arahan ini juga sangat berbeza dengan Hari Guru di negeri lain.

Oleh itu, adalah lebih wajar Hari Guru disambut seperti sebelumnya supaya seluruh guru dan pelajar dapat bersama bagi mengeratkan lagi hubungan seperti sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Kedah, Wang Heng Suan berkata, pengetua perlu bijaksana dalam mengarahkan guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebelum rehat seperti yang diarahkan.

"Adalah tidak wajar pada hari itu diadakan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar sebelum rehat kerana selama ini mereka sudah banyak memperuntukkan masa untuk mengajar.

"Oleh itu adalah tidak salah jika mereka mahu gembira bersama pelajar bagi meraikan hari tersebut," katanya.

Bagaimanapun beliau bersetuju dengan sambutan yang diadakan bagi dua sesi kerana bagi sekolah yang kecil apabila semua pelajar dari sesi pagi dan petang dihimpunkan sudah pasti akan menimbulkan kesesakan.

Katanya, apabila seluruh pelajar dihimpunkan dalam sesebuah dewan, sudah pasti akan menimbulkan masalah terutamanya bagi sekolah yang mempunyai kemudahan terhad.

Abang gigih sara enam adik

Posted: 16 May 2014 04:57 AM PDT


  • Abang gigih sara enam adikMohd Arif menerima sumbangan RM500 daripada Timbalan Pengerusi Pitu, Norfaridah Tamami sambil diperhatikan Miswan (belakang, kanan) ketika lawatan Pitu ke rumah keluarga berkenaan

HULU SELANGOR - Selepas kehilangan bapa tiga tahun lalu, kehidupan lapan beradik yang merupakan anak-anak kepada bekas tentera tambah memilukan apabila kehilangan ibu mereka pada April lalu.

Difahamkan kini, tanggungjawab terletak pada bahu anak kedua keluarga ini, Mohd Arif Nasuha Mohd Amran, 26, yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap.

"Saya hanya kerja sendiri. Untuk keperluan keluarga, kami hanya kumpul duit adik-beradik yang dah bekerja.

"Ada juga pemberian sagu hati untuk arwah ayah (daripada pencen bekas tentera)," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, abang sulungnya sudah berumah tangga manakala dua adiknya bekerja di Bukit Sentosa dan Rawang sementara empat lagi masih bersekolah.

"Tanggungjawab saya kini semakin berat kerana perlu memastikan keperluan adik-adik terutama yang masih bersekolah.

"Tapi demi keluarga saya akan berusaha memastikan keperluan mereka sentiasa mencukupi," katanya.

Mohd Arif berkata, Allahyarham bapanya, Mohd Amran Nek Abdul Halim meninggal dunia pada 2011 akibat penyakit tiga serangkai manakala Allahyarhamah ibunya, Faridah Mohd Jais meninggal setelah disahkan mengalami kekurangan sel darah merah.

"Kalau dua adik saya masuk asrama mungkin saya boleh terus bekerja tapi sekarang saya perlu jaga mereka kerana tiada orang di rumah.

"Tapi saya sebagai abang akan pastikan adik-adik yang bersekolah dapat teruskan sekolah. Pendidikan mereka lebih penting," katanya.

Menurutnya, dia mengetahui terdapat bantuan yang boleh diterima daripada agensi berkaitan namun dia tetap akan berusaha menyara kehidupan keluarga bersama dua adik yang telah bekerja.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Bukit Sentosa (Pitu), Miswan Kaslan ketika menziarahi keluarga tersebut berkata, sebagai pertubuhan yang pernah bergerak bersama Allahyarhamah ibu mereka, Pitu akan berusaha memastikan kebajikan
keluarga itu terjaga.

"Kami akan beri sokongan, nasihat dan semangat kepada anak-anak arwah supaya terus bangun bersama-sama.

"Bagi yang sekolah, teruskan bersekolah begitu juga yang bekerja sebab kehidupan mereka perlu diteruskan," katanya.

Katanya, Pitu juga akan berusaha menguruskan bantuan yang bersesuaian untuk keluarga tersebut daripada agensi kebajikan dengan memanjangkan permohonan dibuat.

"Keutamaan perlu diberikan terhadap bantuan persekolahan selain kebajikan atau keperluan makanan keluarga berkenaan," katanya.

Menurut Miswan, Allahyarhamah Faridah sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Pitu dan Timbalan Setiausaha Persatuan Serikandi Veteran Tentera Malaysia (PSVTM), Daerah Hulu Selangor.

"Pitu juga telah melancarkan tabung derma kilat untuk anak-anak yatim piatu ini dan berhasrat mengumpulkan sehingga genap RM1,000.

"Tapi, kutipan RM500 setakat ini akan diserahkan terus dan bakinya selepas dapat dikumpulkan sepenuhnya nanti," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PSVTM, Rogayah Ghazali akan berusaha memanjangkan permohonan keluarga berkenaan melalui Jabatan Hal Ehwal persatuan bagi meringankan beban ditanggung.

"Saya dah berjanji untuk membawa salah seorang anak ini untuk bawa berjumpa presiden pada 30 Mei ini untuk dapatkan bantuan yang bersesuaian," katanya.

Beri atau ambil apa sahaja!

Posted: 16 May 2014 04:55 AM PDT


  • Beri atau ambil apa asahaja!Aktivis FreeMarket sibuk melayan pelanggan pada program terdahulu.

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu (Mcoba) bersama FreeMarket akan menganjurkan Inisiatif Ekonomi Hibah iaitu program pemberian barangan oleh individu secara percuma kepada pihak memerlukan, Ahad ini.
Menurut wakil Mcoba, Muhammad Zahid Abd Aziz, ia merupakan aktiviti Mcoba yang pertama dengan kerjasama FreeMarket dalam menyediakan satu ruangan 'beri atau ambil apa sahaja' secara percuma.
"Sebelum ini, aktivis FreeMarket menjalankan inisiatif itu di beberapa tempat sekitar Lembah Klang selama dua hari dan sambutannya hangat.
"Tujuan kita adakan program ini untuk luaskan sedekah kepada pihak memerlukan terutama asnaf dan orang kurang mampu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Muhammad Zahid berkata, aktiviti di Bangunan Mcoba, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, yang akan bermula jam 9 hingga 11 pagi itu, diharap dapat menceriakan golongan itu yang mahu memiliki sesuatu barangan secara percuma.
"Barangan itu akan diberikan oleh individu baik hati yang tidak mahu lagi menggunakannya. Sekiranya barangan itu mahu dijual, adakah akan menguntungkan, atau memberikan kepada orang lebih memerlukan akan lebih memuaskan hati?
"Namun barangan yang mahu diberikan mestilah masih berkeadaan baik dan telah dibersihkan.
Mereka yang ingin memberi barangan digalakkan berada di bangunan Mcoba seawal jam 7 pagi Ahad ini bagi memudahkan penyusunan barangan," katanya.
Sementara itu Zahid berkata, pihak FreeMarket akan membawa beberapa asnaf sekitar Lembah Klang dan orang kurang berkemampuan bagi memilih barangan disukai.
"Program ini bukan saja terbuka kepada golongan tersebut, malah kepada orang ramai yang berminat mendapatkan barangan percuma.
"Antara barangan yang boleh disumbangkan dan boleh dibawa pulang seperti, alat elektronik, buku, pakaian, aksesori, novel, perabot, kasut, anak patung dan banyak lagi," katanya.
Selain mengumpulkan barangan percuma, pemeriksaan kesihatan percuma dan kiosk penjagaan diri turut disediakan nanti.
Lebih menarik, penganjur juga menyediakan makanan dan minuman percuma kepada pengunjung.
"Kami tidak benarkan sebarang bentuk jual beli pada program tersebut kerana semuanya adalah percuma," katanya.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Yusuf Harun, 0192573501 atau Zahid Aziz, 0122125405 atau Hayati, 0193185667.

Nor Azna: Pakcik Aqim macam bapa sendiri

Posted: 16 May 2014 04:55 AM PDT


  • Nor Azna: Pakcik Aqim macam bapa sendiriKeprihatinan petugas restoran yang mendapat pujian di laman sosial. Gambar kecil: Noor Azna

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Pakcik Aqim sudah dianggap seperti bapa sendiri oleh pekerja Restoran Nasi Ayam Penyet Ria di Plaza Angsana, di sini.

Isnin lalu, status seorang pemilik laman sosial Facebook menjadi perhatian ramai apabila berkongsi pengalamannya melihat seorang pelayan restoran yang dianggap berhati mulia kerana sanggup melayan dan menyuap makanan ke mulut seorang warga emas OKU.

Sinar Harian ke restoran berkenaan untuk mendapatkan reaksi pelayan yang dimaksudkan, namun hampa apabila Alif Fitri Radzuan, 19, bercuti kerana menghadiri kenduri.

Bagaimanapun Penyelianya, Nor Azna Kadir berkata, semua anak buahnya sudah sedia maklum mengenai kehadiran Pakcik Aqim dan menjadi rutin kepada pelayan restoran yang berkelapangan ketika itu untuk melayannya.

Menurutnya, pemilik dan pekerja di restoran itu tidak pernah merasakan kehadiran Pakcik Aqim sebagai satu perkara yang menyusahkan kerana tidak pernah menimbulkan gangguan atau ketidakselesaan kepada pelanggan lain.

"Kami dah biasa dengan kehadiran Pakcik Aqim sejak restoran ini dibuka empat tahun lalu. Dia bukan datang hari-hari, tapi kalau dia datang memang kami akan beri dia makan walaupun dia tak minta.

"Walaupun ramai pelanggan, memang salah seorang pelayan akan ambil makanan yang dicarik-carik ayamnya untuk disuapkan kepada Pakcik Aqim kerana dia tak boleh makan sendiri," katanya, semalam.

Nor Azna berkata, semua pekerjanya tidak pernah mengeluh terpaksa melakukan tugas itu, malah lebih istimewa apabila masing-masing sudah menganggap Pakcik Aqim seperti bapa sendiri.

"Lepas makan memang dia (Pakcik Aqim) akan tunjukkan sakunya supaya pelayan mengambil wang untuk dibayar, tapi memang kami tak pernah mengenakan bayaran kepadanya.Malah ada pelanggan yang melihat keadaan Pakcik Aqim turut menghulurkan wang untuk membayar makanan yang dimakannya.

"Kami tolong bukan kerana simpati, tapi Pakcik Aqim sudah kami anggap seperti bapa sendiri, begitu juga saya pesan kepada pekerja yang baharu masuk supaya memberi layanan sama seperti yang kami lakukan," katanya.

‘Water pump’.. pembunuh senyap!

Posted: 16 May 2014 04:51 AM PDT


  • Water pump atau pam air enjin

WATER pump atau pam air enjin pada kenderaan adalah komponen penting dan perlu diberi perhatian.
Ia bertindak sebagai pengalir kitaran air ke dalam enjin untuk sistem penyejukan dan suhu ini akan disukat melalui kepanasan air oleh pengesan tolok suhu yang terletak di bahagian intake manifold.

Tolok akan memberi isyarat untuk mengaktifkan kipas pada radiator apabila suhu air mencapai tahap kepanasan.
Jika terdapat kebocoran, pam air akan pengepam keluar semua air dalam enjin. jika ini berlaku, tolok suhu enjin pada bahagian meter kenderaan tidak akan menunjukkan sebarang perubahan kerana gagal mengesan tahap kepanasan enjin disebabkan ketiadaan air di dalam enjin.

Ini amat merbahaya kerana pemandu tidak menyedari kebocoran pam ketika memandu. Sebarang perubahan yang berlaku adalah seperti enjin akan menghasilkan bunyi lebih kasar diikuti dengan prestasi enjin menurun dengan ketara misalnya menjadi berat ketika memandu.

Jika pemanduan diteruskan, kepanasan yang melampau akan terbentuk dan bagi sesetengah kenderaan, situasi ini menyebabkan minyak enjin terbakar dan menjadi kering seperti tar.

Pada sesetengah kenderaan pula, minyak enjin akan menyembur keluar atau mengalir ke lubang air melalui retakan dalaman enjin atau gasket yang terbakar akibat kepanasan melampau.


TIP PENJAGAAN :

Pastikan air radiator selalu diperiksa sebelum melakukan perjalanan. Jika sudah berkarat, hantar ke bengkel yang bertauliah untuk diselenggara dan membersihkan tangki radiator.

Jika menggunakan coolant, perubahan warna cecair itu perlu diberi perhatian serius. Gantikan cecair ini pada setiap 20,000 km perjalanan atau enam bulan sekali.

Ganti water pump pada setiap kali penggantian timing belt bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pesawat MAS dilanggar kereta

Posted: 16 May 2014 04:50 AM PDT


  • Pesawat MAS dilanggar keretaKeadaan Perodua Viva yang merempuh bahagian bawah pesawat MAS MH740

SEPANG – Negara dikejutkan dengan satu lagi insiden melibatkan pesawat MAS apabila penerbangan MH740 dilanggar oleh sebuah Perodua Viva di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memetik laporan portal Malaysiakini, pemilik kereta tersebut mengakui tidak menarik brek tangan kenderaan terbabit sehingga kenderaan terbabit bergerak sendiri menuju ke arah pesawat sebelum merempuh bahagian bawah pesawat.

Kesemua penumpang yang berada di dalam pesawat terbabit berjaya dipindahkan sepenuhnya dan menaiki penerbangan lain pada jam 10.45 pagi tadi.

Pesawat yang dijadualkan berlepas pada jam 10.05 pagi ke Yangon terpaksa menangguhkan penerbangan dan berlepas semula ke destinasi yang ditetapkan pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Cinta FB bawa ke hotel bajet

Posted: 16 May 2014 04:48 AM PDT


  • Cinta FB bawa ke hotel bajet

ALOR SETAR - Seorang wanita baru mengenali teman lelakinya melalui laman sosial Facebook (FB) dicekup dalam serbuan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di sebuah hotel bajet, dekat sini.

Wanita berusia 26 tahun terbabit mendakwa berasal dari Sabah datang ke Semenanjung Malaysia semata-mata untuk mencari pekerjaan atas bantuan teman lelakinya.

Difahamkan, dia sanggup menaiki kapal terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum dibawa teman lelakinya ke negeri ini untuk mendapatkan kerja.

Malah, dia bagaimanapun memberikan alasan terpaksa menginap di hotel bajet terbabit untuk menjimatkan wang, malah mendakwa baru sahaja memasuki bilik itu.

Namun, teman lelakinya berusia 23 tahun bertindak menyembunyikan diri di bawah katil hotel berkenaan semasa serbuan sehingga memaksa penguatkuasa mengangkat katil itu.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam, pasukan penguatkuasa Jaik turut menahan beberapa pasangan termasuk seorang kanak-kanak di hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

Bawa anak OKU berkhalwat

Dalam perkembangan sama, seorang ibu muda sanggup membawa anak perempuannya berusia tujuh tahun semata-mata untuk bermadu kasih bersama teman lelakinya yang berusia 23 tahun.

Difahamkan, wanita berusia 25 tahun dari Teluk Kechai, dekat sini, dalam proses penceraian bersama suaminya, bagaimanapun masih memegang status isteri orang.

Ibu muda terbabit tidak bekerja, manakala pasangannya yang bekerja di sebuah pasaraya mendakwa hubungan dia bersama wanita terbabit hanyalah kakak angkat semata-mata.

Manakala, wanita terbabit mendakwa keluar dari kediaman mereka bersama anak perempuan orang kurang upaya (OKU) kerana tiada tempat berlindung selepas dihalau keluar.

Turut ditahan, suami orang berusia 32 tahun dari Jalan Datuk Kumbar, dekat sini, bersama anggota sukarelawan wanita sebuah jabatan dari Pulau Pinang.

50 penguatkuasa sertai Ops Khalwat

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Mohd Roshidi Mahmud, 50, berkata, penguatkuasa menyertai operasi demi membendung perbuatan tidak bermoral terbabit.

Katanya, serbuan dilakukan di beberapa lokasi seperti di Jalan Lencong Barat, Seberang Perak, Lebuhraya Darul Aman dan sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

"Dalam operasi kali ini, ada pasangan dikesan sudah beberapa kali ditahan termasuk di Lorong Petani sebelum ini. Tidak ketinggalan, pasangan tukang masak dan jurujual," katanya.

Jika sabit kesalahan, mereka dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988.

"Ibu bapa dinasihatkan mengawal penggunaan laman sosial anak-anak mereka. Dari Facebook boleh membawa maksiat apabila mereka melakukan pertemuan di hotel," katanya.

Malah, katanya, dia meminta masyarakat tempatan memandang serius isu sedemikian meskipun ia tanggungjawab pihak tertentu kerana ia amanah Allah SWT kepada semua.

Sebak lihat kebesaran ALLAH

Posted: 16 May 2014 04:47 AM PDT


  • Sebak lihat kebesaran ALLAHAyat al-Quran yang digantung pada sudut dapur rumah tidak terbakar.

ALOR SETAR - Seorang mangsa kebakaran sebak menyaksikan tanda kebesaran ALLAH apabila sejadah yang dihampar untuk menunaikan solat Maghrib masih dalam keadaan elok walaupun rumahnya musnah di Kampung Pondok Chegar, Jalan Pantai Johor, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan kejadian yang membabitkan empat rumah berjiran itu berlaku kira-kira jam 7.15 malam, ketika mangsa Nor Hakimah Abdul Talib, 48, sedang mengambil wuduk di rumahnya.

"Semasa berwuduk saya mendengar bunyi bising orang ramai menjerit di luar rumah. Bimbang berlaku sesuatu saya segera menjenguk menerusi tingkap di ruang tamu namun terkejut melihat api sedang marak menjulang tinggi di rumah jiran.

"Dalam keadaan kelam kabut saya segera capai tuala untuk tutup kepala dan api juga sudah mula merebak ke arah tingkat atas rumah," katanya kepada media, ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.

Hampar sejadah sebelum wuduk

Menurut Nor Hakimah, memang sudah menjadi rutin baginya menghampar sejadah di ruang solat berhampiran dapur sebelum mengambil wuduk.

"Memang sebak sangat melihat keadaan sejadah masih terletak elok di tempatnya bukti kekuasaan Allah sedangkan hampir keseluruhan bahagian rumah terbakar, hanya kawasan berhampiran dapur sahaja yang terselamat.

"Bingkai-bingkai tertulis kalimah suci al-Quran di sudut pintu masuk ke dapur serta beberapa naskah al-Quran yang diletakkan di atas rak juga langsung tidak terusik," katanya.

Dia berkata, tindakan pantas dua orang anaknya iaitu Zulfekar Ahmad Shaalani, 18, dan Mohamad Iqbal Ahmad Shaalani, 15, turut menyelamatkan dua ahli keluarga mereka yang kurang sihat.

"Salah seorang anak perempuan saya terlantar demam sejak sebulan lalu berehat di atas katil berdekatan ruang tamu, manakala adik kedua iaitu Mazri, 46, yang mengalami masalah mental tidur di tingkat atas.

"Zulfekar pada awalnya membantu jiran memadam kebakaran namun apabila menyedari keadaan semakin tidak terkawal dia segera berpatah balik dan segera masuk ke dalam rumah memangku keluar kakaknya untuk dihantar ke rumah jiran berdekatan," katanya.

Menurutnya, sementara Iqbal pula terpaksa menendang pintu di bahagian luar tingkat atas rumah untuk menarik keluar bapa saudaranya kerana tangga dalam rumah sudah hangus dalam kebakaran.

Solat Maghrib tertangguh, terkejut dengar kebakaran.

Suaminya, Marzuki Ahmad, 70, berkata, kejadian berlaku waktu dia sedang bersiap-siap mahu menunaikan solat Maghrib di surau bersebelahan dengan rumahnya.

"Saya terkejut dengar Iqbal menjerit rumah jiran terbakar sebelum bergegas turun. Sewaktu sampai depan rumah api sedang marak merebak ke rumah jiran dan saya bertindak segera menghubungi bomba serta memanggil beberapa jiran terdekat untuk membantu memadam kebakaran.

"Tidak sampai beberapa minit api turut merebak ke arah rumah kami. kerugian yang dialami mencecah hampir RM100,000 membabitkan rumah serta peralatan rumah," katanya.

Sedar rumah terbakar, waktu mahu mengambil kunci kereta

Seorang lagi mangsa, Fitriah Arifin, 30, berkata, nasib baik sewaktu sedang membasuh pinggan, dia tergerak hati mahu naik ke tingkat atas mengambil kunci kereta.

"Belum sempat melangkah ke anak tangga kedua saya nampak api marak di bahagian atas rumah sebelum bergegas turun sambil menjerit meminta anak-anak, suami serta ayah berlari ke luar.

"Memang tidak sempat capai apa-apa barang pun kerana panik serta mendukung anak bongsu sebelum keluar daripada rumah menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya anak-anak sudah tidur namun mujurlah ketika kejadian mereka sedang menonton televisyen bersama bapa di ruang tamu dan sempat menyelamatkan diri.

"Walaupun agak sedih dengan kejadian berlaku kerana ini merupakan rumah pusaka peninggalan datuk namun saya reda dengan apa yang berlaku. Kerugian dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

"Ini adalah kejadian pertama yang berlaku sejak saya tinggal di sini. Buat sementara waktu kami sekeluarga menumpang di rumah saudara," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Jabatan Bomba Kedah, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.47 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Ahmad Naufal berkata, operasi memadamkan kebakaran melibatkan empat unit jentera bomba dan dibantu tujuh jentera bomba sukarela.

"Sepanjang operasi memadamkan kebakaran kita tidak menghadapi sebarang masalah dan mendapat bekalan air daripada sungai berhampiran tetapi api merebak terlalu cepat kerana kedudukan rumah terlalu dekat.

"Api berjaya dikawal pada pukul 8.04 malam dan kita masih menyiasat kerugian dan punca kebakaran," katanya.

Felixia dan ajaibnya sehelai hijab

Posted: 16 May 2014 04:33 AM PDT




MENGATUR temu janji seminggu sebelum pertemuan, wanita ini menaip perkataan Alhamdulillah pada khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaik kami bersetuju tentang tarikh yang sesuai untuk bertemu.
Jujur, saya sedikit kaget mahu membalas semula tulisan tersebut.
Seperti kata empunya diri, Felixia Yeap: "Sebab orang pun tak pasti sama ada boleh menggunakan saya lebih daripada sepatutnya. Sebab saya belum memeluk Islam."
Pernyataan itu merujuk juga kepada perkembangan kariernya dalam dunia lakonan.
Selepas pertama kali muncul dalam drama rantaian Nikah Kita Bercinta bersama Azlee Khairi awal tahun ini, Felixia memanjangkan langkahnya sebagai pelakon.
Kali ini dia terbabit dengan drama rantaian Sarafina. Membawa watak Bella, rakan baik kepada pelakon utamanya, Sari Yanti, kata Felixia, dia menerima tawaran mengikut kesesuaian imejnya pada masa kini.
Sementelah, dia sendiri sedar diri dan faham, kekangan yang barangkali dilalui oleh pihak penerbit untuk menggunakan khidmatnya sebagai seorang pelakon adalah bersangkut dengan pegangan hidupnya.
"Macam saya cakap tadi, walaupun saya menutup aurat, saya belum memeluk Islam. Justeru, ia barangkali menjadi kekangan untuk mereka memberi watak yang bersesuaian dan tidak melanggar sensitiviti banyak pihak apabila mengambil saya berlakon, dan saya faham mengenai dilema itu," ujarnya rasional.
Dia kemudian menambah sambil ketawa: "Masalah saya satu lagi ialah saya pelat berbahasa Melayu. Jadi mungkin sukar ada watak untuk wanita pelat jika kalau bukan ia misalnya tentang seseorang yang mahu berhijrah agama."
Malah, sebagai pendatang baharu yang tidak punya asas lakonan langsung, dia mengaku perlu bertatih untuk menjadi seorang pelakon yang tidak banyak menyusahkan produksi.
Jelasnya, peluang perdana yang terbuka untuknya dalam Nikah Kita Bercinta digunakan sebaik mungkin. Bakat diasah dengan banyak memerhati dan bertanya daripada orang berpengalaman, selebihnya, dia berusaha untuk memberi yang terbaik berbekal pengalaman sebagai seorang model.
"Saya kira, hal yang sukar untuk berlakon ialah menghafal skrip dan memberi ekspresi spontan. Saya amat berterima kasih kepada seluruh produksi yang cukup sabar dan boleh menerima kekurangan saya sepanjang berlakon," katanya merendah diri.
SELEPAS memakai hijab, dia mengaku sikap barannya berubah menjadi lebih tenang.


Tiada agama
Ironi, bercakap tentang wanita berusia 27 tahun ini, namanya meledak bagai terkena jerangkap samar selepas dia memilih untuk berhijab. Ya, seorang wanita Cina yang tidak mempunyai agama memakai hijab.
Boleh dikatakan, sepanjang 10 tahun menjadi model, dua tahun kebelakangan ini, nama Felixia menjadi sebutan kerana satu keputusan yang paling penting dalam hidupnya.
Keputusan seorang model yang sebelum ini dilihat begitu berani dengan beberapa ekspresi ghairah termasuk untuk majalah khas lelaki, Playboy, berhijab dan mahu memeluk Islam membikin banyak penasaran.
"Secara peribadi, untuk diri saya, saya melihat mengapa saya boleh mendedahkan tubuh, berbikini dan buka sana sini tetapi tidak untuk tutup-tutup dan berhijab?
"Saya kira ia soal kebebasan kita sebagai seorang individu untuk memilih jalan hidup kita, dan saya pilih jalan hidup seperti ini sekarang. Saya pilih berhijab dan mahu bulat hati memeluk Islam," katanya tegas.
Wanita yang lahir di Kuala Lumpur, namun menghabiskan masa remajanya dengan bersekolah di Ipoh, Perak ini kemudian melanjutkan cerita.
Tanpa berahsia, dia memberitahu sejak kecil tidak pernah mempunyai pegangan agama. Dia tidak percaya Tuhan dan tidak tahu di mana Tuhan atau agama yang layak dijadikan pegangan hidup.
Sehingga tahun lalu, pada saat pertama kali dia menggayakan hijab untuk sebuah iklan komersial, ada satu rasa yang ajaib duduk di dalam hatinya.
"Saya seorang Cina tapi saya free thinker yang tak punya pegangan agama sejak kecil," katanya tanpa selindung.
Felixia lantas memanjangkan bicara: "Kemudian, saya hadir untuk satu uji bakat iklan komersial Celcom. Saya gagal untuk mendapatkan peluang itu.
"Namun, kerana iklan tersebutlah ia telah merubah hidup saya. Pada iklan itu, saya harus berhijab dan saya fikir mengapa perlu saya tolak?
"Sebaik menyarung hijab, hati saya tiba-tiba terusik. Satu perasaan yang sukar saya ungkap menyelinap dalam hati. Betapa besarnya kuasa sehelai kain nipis yang menutup kepala saya mampu merubah kehidupan saya kini. Sungguh luar biasa."
Sejak pertama kali menggayakan tudung tersebut, dia mabuk kepayang untuk berhijab, sekali gus menutup aurat. Perlahan-lahan dia keluar rumah memakai hijab dan mula memahami konsep bahawa hijab bukan satu bebanan untuk seorang wanita Islam, sebaliknya ia adalah satu suruhan yang memberi seribu satu manfaat kepada yang menurut perintahNya.

FELIXIA sudah memiliki nama Islam yang cukup indah. Dia memperoleh nama tersebut melalui mimpi.


Kini, selepas lima bulan memakai hijab, Felixia langsung tidak kekok dengan imej 'tertutupnya'.
"Saya merasakan suatu ketenangan yang luar biasa. Ia melengkapkan pencarian saya terhadap satu kepercayaan iaitu mencari agama yang memberi ketenangan jiwa dan saya perolehnya dengan hanya sehelai kain nipis yang menutup kepala!" ujarnya penuh takjub.
Islam
Sedar timbul banyak pertikaian tentang pendiriannya memakai hijab, Felixia mengatakan, dia tidak perlu mati dengan kecaman orang.
Sebagai seorang individu yang telah melalui banyak jalur hidup yang tidak sedikit sukarnya, Felixia tahu keperluan yang paling baik di dalam hidupnya.
Ditanya selepas berhijab, apa yang disusun mahu mindanya, pantas dia memberitahu mahu punya pegangan agama dan tentulah ia agama Islam. Agama paling mulia di dunia.
"Selepas memakai hijab, saya belajar serba sedikit tentang Islam dan saya mula jatuh hati dengan kesederhanaan agama yang memberi ketenangan kepada saya kini.
"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk mempunyai agama, apa lagi Islam. Sebab itu, saya mahu segera memeluk Islam. Sengaja saya pilih bulan Ramadan yang jatuh pada Julai ini sebagai bulan untuk saya mengucap dua kalimah syahadah.
"Pertama, selain mahu mengambil keberkatan bulan mulia ini, Julai ini juga merupakan bulan kelahiran saya. Justeru, saya melihat ia sebagai fasa hidup yang lengkap untuk saya 'lahir semula' dalam kehidupan baharu," katanya penuh bahagia.
Namun, cerita mahu memeluk Islam tidak terjadi begitu sahaja. Ternyata ada cerita di sebalik terpanggilnya Felixia untuk menjadi seorang Mukmin.
"Suatu malam, selepas beberapa bulan memakai hijab saya bermimpi. Dalam mimpi itu, saya melihat sepotong nama daripada cahaya yang cukup bersinar-sinar.
"Peliknya, sebagai seorang yang jarang mengingati mimpi, saya bangun tidur dan boleh merakam semula momen mimpi saya.
"Paling ketara ialah tentang nama yang tertulis di dada langit dengan cahaya bersinar-sinar itu buat saya. Apabila saya mencari maksudnya, ia cukup indah," ceritanya bersungguh-sungguh.
Ditebak adakah itu nama yang bakal digunakan sebaik dia memeluk Islam, pantas dalam senyum yang begitu manis Felixia mengangguk.
"Ya, itulah nama Islam saya sebaik saya mengucap dua kalimah syahadah pada Julai ini. Saya percaya semua ini aturan olehNya yang terbaik buat saya. Saya amat bersyukur," ujarnya.

MEMPUNYAI banyak pakaian seksi, Felixia bagaimanapun tidak memberikannya kepada sesiapa kerana tidak mahu menggalakkan wanita mendedahkan aurat.


Ustaz
Perubahan imejnya sekali gus membuat semua hal yang berada di sekelilingnya berubah.
Kerjayanya sebagai model memperlihatkan dirinya lebih banyak memperaga busana Muslimah, berbanding memperaga tubuh seperti dahulu.
Pada masa yang sama, rezekinya dalam bidang seni bercambah apabila dilamar menjadi pelakon.
Paling ketara, akuinya, banyak lelaki yang mendekat terdiri daripada lelaki Melayu yang tertarik dengannya termasuk dalam kalangan ustaz.
Katanya panjang lebar: "Berbanding dahulu, lelaki yang mendekati saya pada kali ini mengajak saya berkahwin, bukan sekadar mahu memuaskan nafsu.
"Ada juga ustaz yang berminat terhadap saya.
"Prinsip saya mudah. Seperti mana saya memakai hijab bukan kerana seorang lelaki, saya juga tidak mahu memeluk Islam kerana mahu dinikahi seorang lelaki Islam. Sebaliknya, saya lakukan semua perkara atas kerelaan sendiri.
"Jika tiba waktu saya berkahwin kelak, saya berdoa agar iman suami saya lebih tebal daripada saya untuk membimbing saya sebagai seorang isteri dan Muslimah yang baik.
"Saya tidak mahu Allah membalikkan hati saya semula dengan tidak mempunyai kepercayaan terhadap agama. Justeru, saya memerlukan seorang lelaki yang benar-benar beriman kerana Allah SWT."


Patah jari, Tomok tak serik berlakon

Posted: 16 May 2014 04:31 AM PDT


WALAUPUN mengalami kecederaan sehingga patah tulang dua jarinya sewaktu sesi penggambaran, Tomok tidak serik untuk terus berlakon.


AWAL minggu ini, penyanyi dan pelakon Tomok telah memuat naik sekeping gambar di akaun Instagramnya yang menunjukkan dua jari yang kebiruan akibat kesan bengkak.
Menerusi kapsyen gambar tersebut, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 30, memberitahu, tulang jari hantu dan kelingkingnya patah sewaktu sedang menjalani penggambaran program Hari Raya berjudul Yabedabedu Lagi.
Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Berlari itu menerangkan, kemalangan tersebut terjadi sewaktu dia sedang menyiapkan sebuah babak yang memerlukannya bersilat dengan pelakon lain.
Kecederaan yang disangka terseliuh itu akhirnya membengkak sehingga memaksa Tomok mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Tomok.
Kosmo!: Bagaimanakah keadaan Tomok sekarang?
TOMOK: Alhamdulillah, keadaan saya telah beransur pulih. Saya dibenarkan keluar dari hospital setelah tiga hari mendapatkan rawatan di sana.
Apakah yang terjadi di set penggambaran?
Ketika sedang menjalani penggambaran yang melibatkan aksi silat, saya telah tersalah tepis serangan yang ditujukan kepada saya. Pada waktu itu, saya sangka hanya mengalami masalah terseliuh sahaja. Jadi, saya hanya minta pertolongan kru produksi untuk mengurut kedua-dua jari saya itu.
Bilakah anda sedar jari anda sebenarnya memerlukan rawatan lanjut?
Apabila pulang ke rumah, saya dapati jari-jemari semakin membengkak. Justeru, saya mengambil keputusan untuk pergi ke Pusat Perubatan Prince Court bagi mendapatkan pemeriksaan doktor. Apabila melihat pada keputusan X-ray, saya difahamkan tulang kedua-dua jari saya telah patah. Jadi, doktor mengambil keputusan untuk meletakkan balutan simen pada kedua-dua jari saya.
Adakah kemalangan ini bakal menjejaskan kerja-kerja anda sebagai penyanyi dan pelakon?
Tidak sama sekali. Saya masih boleh menyanyi dan berlakon. Tambahan pula, keadaan jari saya sudah beransur pulih. Doktor ada menasihatkan supaya datang kembali untuk mendapat rawatan susulan. Namun, buat masa sekarang, tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan.

DUA jari Tomok patah selepas dia melakonkan aksi silat bersama seorang pelakon lain.


Adakah anda masih menerima tawaran berlakon walaupun setelah mengalami kemalangan di set penggambaran?
Saya suka dengan apa yang saya lakukan sekarang. Jika tawaran yang diberikan sesuai, saya akan terima.
Bercakap mengenai bidang lakonan, ramai peminat mengatakan lakonan anda semakin mantap sejak banyak membuat kemunculan di kaca televisyen. Apakah komen anda?
Saya akui, ramai peminat mula sedar tentang lakonan saya menerusi drama Suamiku Jururawat, Isteriku Doktor. Sejujurnya, banyak lagi yang perlu saya belajar dalam bidang ini.
Siapakah yang paling banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam bidang lakonan?
Yana Samsudin banyak membantu saya ketika berada di set penggambaran. Selain berlakon bersama dalam drama tersebut, kami juga baru selesai merakamkan lagu berjudul Cinta Tak Pergi bersamanya.
Anda kelihatan selesa beraksi di hadapan kamera. Adakah anda mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang ini?
Saya masih lagi aktif menyanyi dan tumpuan utama saya masih lagi dalam bidang muzik. Saya berlakon apabila mempunyai kelapangan sahaja dan tanpa disangka, kehadiran saya diterima oleh penonton.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya bakal hadir dengan album kedua pada masa terdekat ini. Sebanyak tujuh buah lagu terkandung dalam album tersebut dan salah satunya adalah lagu duet saya dengan Yana.


Fukushima 'cinta' baharu Choo

Posted: 16 May 2014 04:28 AM PDT




JIMMY CHOO, sinonim dengan jenama kasut mewah yang mencecah harga ratusan ribu ringgit sepasang dan pernah dipakai oleh selebriti berprofil tinggi seperti Madonna dan kerabat diraja Britain. Jenama ini diambil sempena nama seorang 'tukang kasut' kelahiran Malaysia.
Dilahirkan sebagai anak tukang kasut, darah seni yang mengalir menjadi bonus untuk Choo melakar sejarah sebagai pereka dan tukang kasut terkenal seantero dunia.
Choo, anak jati Pulau Pinang ini membangunkan empayar Jimmy Choo yang diasaskan di kota London sebaik menamatkan pengajiannya di sana.
Jenamanya dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion (RM5.48 bilion) yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia termasuklah di Asia, Asia Barat, benua Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika.
Beliau mengharungi zaman yang memeritkan pada empat tahun pertama ketika cuba memperkenalkan hasil tangannya sebelum mendapat liputan meluas dalam media antarabangsa.
Seluruh dunia
Usahanya selama bertahun-tahun membina empayar rekaan kasut yang menggunakan namanya sendiri berbaloi apabila kasut hasil tangannya berulang kali dipaparkan dalam rancangan televisyen yang berprofil tinggi seperti siri drama komedi popular, Sex And The City.
Kasutnya telah dipakai oleh pelakon drama tersebut yang memperkenalkan ciptaannya ke seluruh dunia selain dipakai oleh kerabat diraja Britain, Puteri Diana.
Sejak itu, jenama kasutnya menjadi bualan hangat. Jenama Jimmy Choo berkembang menjadi satu jenama mewah di dunia yang merangkumi pelbagai produk lain seperti kasut, beg tangan, barangan kulit, skaf, cermin mata dan wangian.

SUTERA Kawamata merupakan sutera yang berkualiti tinggi dan paling nipis di dunia yang dihasilkan di pekan Kawamata, Fukushima. - Gambar hiasan


Pada tahun 1996, Choo dan bekas editor aksesori majalah Vogue, Tamara Mellon menubuhkan syarikat dengan bermodalkan 150,000 pound sterling (RM739,420) bagi memajukan syarikat Jimmy Choo Ltd.
Jenamanya kini utuh walaupun tidak lagi menjadi miliknya setelah beliau mula menjual kepentingan dan sahamnya dalam syarikat pada tahun 2001 kepada pelabur luar yang bernilai £10 juta.
Mellon dalam satu rancangan televisyen di Amerika Syarikat pada tahun lepas memberitahu, dia adalah pencetus idea kreatif di sebalik kerjasama yang terjalin antara dirinya denga Choo.
Choo yang pernah disingkirkan Mellon disifatkan sebagai tukang kasut yang tidak pernah menyerah kalah dan tidak pernah meninggalkan pensel untuk mereka sepasang kasut.
Choo, rakan kongsi Mellon itu tidak pernah mengulas tentang tuntutan-tuntutan yang dibuat wanita itu sebaliknya menegaskan perniagaan yang berjaya tidak boleh berpandukan keuntungan semata-mata.
Sejak berpecah dengan Mellon, Choo terus bergerak ke hadapan dengan menerima tempahan dalam talian secara eksklusif termasuklah daripada Madonna dan wanita pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama.
Walaupun jenama itu sudah tidak menjadi milik empunya nama Jimmy Choo, jiwa seninya sebagai pereka kasut tidak pernah luntur.
Choo yang membuka empayarnya di London memberitahu bahawa dirinya dan syarikat Jimmy Choo, termasuklah ketua eksekutifnya, Pierre Denis mempunyai hubungan dan perjanjian yang baik.
"Antara kami mempunyai perjanjian. Saya akan meneruskan rekaan saya manakala mereka masih menjalankan perusahaan menggunakan jenama Jimmy Choo yang sedia ada.
"Sekarang dan ketika saya berada di London, saya akan mengajak Denis untuk berjumpa dan minum secawan teh bersama sambil membincangkan apa yang telah kami lakukan," kata Choo.
Bagi lelaki ini, hubungannya dan Denis menjadi persahabatan yang penting kerana mereka masih berhubung malah menyokong antara satu sama lain.

FUKUSHIMA menjadi label baharu Jimmy Choo.


"Tahu bagaimana untuk menghormati orang, itu adalah sangat penting. Jika anda saling menyenangi dan suka antara satu sama lain, anda akan berjaya.
"Ia tidak boleh menghasilkan wang yang banyak tetapi boleh menghasilkan cinta yang banyak. Cinta ini sangat penting kepada dunia dan masyarakat," ujar 'tukang kasut' ini.
Label sendiri
Jelas Choo, mana-mana perusahaan perlu melibatkan kerjasama antara pasukan yang baik jika ingin berjaya.
"Bayangkan, andai anda dan saya memulakan satu perkongsian, jika anda tidak mewujudkan satu pasukan dengan saya dan tidak tahu bagaimana untuk saling menyayangi dalam mempromosikan syarikat, ia tidak akan berhasil," ujarnya.
Beliau kini lebih gembira dengan caranya sekarang kerana merasakan dirinya boleh fokus kepada kualiti dan mencipta legasi yang berasaskan prinsip yang dipegangnya.
Beliau tidak perlu bimbang tentang kewangan, tetapi hanya mahu memberikan balik apa yang dirinya ada kepada pelajar-pelajar dan masyarakat.
"Saya mahu orang mengingati saya, bagaimana saya mempelajari sesuatu daripada bapa saya dan belajar di sekolah ketika menjadi seorang pelajar.
"Saya bekerja dalam industri dan saya mahu menyumbang semula kepada industri," jelas Choo dalam majlis pelancaran kasut yang direka secara eksklusif di Fukushima baru-baru ini.
Beliau gembira untuk memberi fokus kepada ciptaan eksklusif yang menggunakan label sendiri dan tidak dikaitkan dengan jenama (Jimmy Choo) yang dipopularkannya dahulu.
Tiga pasang kasut yang direka Choo menggunakan bahan yang berasal daripada Fukushima telah dipamerkan semasa beliau memberikan ceramah di sana.

KASUT eksklusif rekaan Choo menggabungkan bahan-bahan dari Fukushima, Jepun.


Rekaan kasut tersebut menggunakan bahan-bahan dan kaedah daripada Fukushima iaitu kawasan yang masih mengalami kesan bencana nuklear pada 2011.
Tambah Choo, beliau begitu tertarik dengan hasil tangan tukang tempatan dan beliau telah terinspirasi untuk menghasilkan enam pasang kasut yang menggunakan kapas Aizu, lacquerware dan sutera Kawamata buatan tangan yang berusia ratusan tahun.
Kata Choo, kemahiran yang dimiliki penduduk tempatan mampu untuk mengembalikan kekayaan kawasan yang berpuluh-puluh ribu penduduknya menjadi pelarian ekoran radiasi nuklear.
"Sesiapa sahaja boleh mereka bentuk, namun adakah mereka boleh menjadi seorang tukang?," ujar Choo.


Pernah dilabel pendakwah 'mee segera'

Posted: 16 May 2014 04:27 AM PDT

JUARA program Da'i: Pendakwah Milenia, Nor Adibah diapit oleh naib juara, Hadhari (kiri) dan pemenang tempat ketiga, Azamudin.


SEIRING dengan perkembangan industri hiburan berlaku sekarang, terdapat begitu banyak program realiti yang diterbitkan saluran televisyen tempatan, terutamanya dalam mencari bakat penghibur. Boleh dikatakan, setiap saluran televisyen yang ada di negara ini seperti berlumba-lumba menerbitkan program realiti, tetapi kebanyakannya lebih kepada berbentuk hiburan semata-mata.
Bagaimanapun, kini sudah ada inisiatif untuk mencari kelainan dengan penerbitan program yang lebih berbentuk keagamaan. Malah, ia mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton.
Sebagai contohnya, stesen televisyen TV3 buat julung-julung kalinya telah menerbitkan sebuah program yang dikenali sebagai Da'i: Pendakwah Milenia yang bermatlamat mencari pendakwah dalam kalangan generasi muda.
Menerusi program sulung itu juga telah menyaksikan peserta wanita, Nor Adibah Rozain dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua pula menjadi milik Mohamad Azamudin Zainal dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Muhammad Tajdid Hadhari Romli.
Kini, selepas setahun program tersebut berakhir, satu sesi fotografi bersama ketiga-tiga pemenang tersebut telah diaturkan untuk mereka berkongsi cerita pengalaman masing-masing selaku pendakwah.
Menurut Hadhari, 26, penyertaannya dalam program Da'i: Pendakwah Milenia begitu memberi impak kepada dirinya menjadi seorang pendakwah setelah pelbagai jemputan memberi ceramah dan forum di merata-rata tempat.
"Tidak lama selepas menyertai program berkenaan, saya telah berhasil menubuhkan sebuah syarikat konsultan sendiri yang diberi nama Hadhari Consultant & Entrepreneur Enterprise.
"Syarikat saya itu berperanan untuk memberi bimbingan dari sudut jati diri dan sahsiah terutamanya kepada golongan muda. Selain itu, saya turut diberi peluang memberi ceramah kepada beberapa badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan," jelasnya.
Biarpun sudah lama berkecimpung dalam aktiviti dakwah sebelum menyertai program Da'i: Pendakwah Milenia lagi, Hadhari mengakui, penyertaannya dalam program berkenaan banyak membantunya untuk mendalami tugas-tugas seorang pendakwah.

HADHARI (dua dari kanan) bersama para peserta dalam sebuah program motivasi yang diadakan di UiTM, Shah Alam pada tahun lalu.


Berkongsi cerita tentang dirinya selaku pendakwah muda, pemuda yang kini merupakan pelajar jurusan Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu mendedahkan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapinya.
"Saya pernah berbincang dengan para peserta yang lain dengan memberitahu bahawa perjuangan dalam dakwah ini baru sahaja bermula sebaik sahaja program berkenaan berakhir dahulu.
"Antara cabaran paling utama yang kami lalui ialah penerimaan sebilangan masyarakat umum yang cuba mempertikaikan keupayaan kami untuk menjadi seorang pendakwah serta mempertikaikan kelulusan yang kami ada untuk berdakwah," luahnya.
Kongsi Hadhari lagi, gara-gara kemunculan mereka itu menerusi sebuah program yang berbentuk realiti televisyen, terdapat segelintir pihak yang pernah melabelkan mereka sebagai pendakwah 'mi segera'.
Ujarnya, biar apa pun persepsi yang dilemparkan terhadap mereka sebagai pendakwah muda, ia langsung tidak menjadi penghalang untuk meneruskan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat.
"Salah satu langkah yang cuba dilakukan bagi menghadapi cabaran tersebut ialah dengan memberi penerangan bahawa tugas berdakwah itu merupakan tugas setiap individu serta bijak melayani kerenah masyarakat," ujarnya.
AZAM turut berkongsi pelbagai gambar ketika melakukan kerja-kerja dakwah menerusi laman Instagram miliknya.


Pendekatan tersendiri
Bagi peserta yang muncul naib juara, Mohamad Azamudin Zainal atau lebih dikenali sebagai Azam Al-Kankari, sejak bergelar finalis Da'i: Pendakwah Milenia, dia banyak menerima jemputan memberi ceramah agama di luar bandar dan sekolah.
Ujarnya, program berkenaan membuka peluang yang lebih besar buat dirinya melaksanakan kerja-kerja dakwah serta terbabit dengan beberapa program berbentuk keagamaan di TV3.
"Sebenarnya dalam melaksanakan kerja-kerja perlu menggunakan pendekatan tersendiri. Misalnya, ketika berdakwah kepada golongan muda, masyarakat bandar atau kampung, pastinya ia memerlukan cara yang berbeza, asalkan tidak melanggar syarak.
"Dari segi penampilan pula, ketika melakukan kerja dakwah tidak semestinya seseorang pendakwah itu perlu berjubah atau berkopiah. Saya sendiri lebih selesa dengan penampilan seperti golongan remaja yang lain," jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran yang dilaluinya pula, Azamudin menyatakan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan pasti berhadapan dengan cabaran dan ia bergantung kepada individu itu untuk menghadapinya.
"Antara cabarannya apabila ramai yang tidak yakin dengan golongan pendakwah muda seperti saya untuk kerja-kerja dakwah. Namun begitu, saya anggap segala cabaran itu membuatkan saya lebih bersemangat lagi," ujarnya yang baru mencecah usia 23 tahun.
Memiliki kelulusan Diploma Pendidikan Islam dari Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), dia sempat memberikan pesanan kepada mereka yang ingin menyertai program Da'i: Pendakwah Milenia yang bakal memasuki musim kedua.
"Kalau ada yang mahu cuba menyertai program berkenaan, pastikan niat paling utama adalah mahu berdakwah dan jangan fokus kepada kemenangan atau populariti. Jika niat itu sekadar mengejar populariti semata-mata, lupakan sahaja hasrat untuk menyertainya," tegasnya.
Pendakwah wanita
Berbeza dengan Hadhari dan Azamudin yang kerap melakukan aktiviti dakwah di merata-rata tempat, juara Da'i: Pendakwah Milenia, Nor Adibah Rozain memberitahu, dia lebih selesa untuk berdakwah kepada golongan mahasiswa.
Menjadi salah seorang peserta daripada dua peserta wanita yang bersaing dalam program berkenaan, Adibah, 22, menjelaskan, dia sememangnya mempunyai misi melakukan aktiviti dakwah dalam kalangan pelajar universiti.
"Ketika saya menyertai program ini dahulu, itulah salah satu matlamat utama saya apabila menjadi seorang pendakwah wanita. Pada masa sama, saya ingin menimba lebih banyak lagi ilmu agama.
"Lagipun saya sekarang masih lagi sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), jadi saya memerlukan pengetahuan yang lebih luas lagi," ujarnya yang pernah terbabit dengan beberapa program agama seperti Fiqh Wanita dan Bismillah.
Menjelaskan bahawa kehidupan hariannya lebih banyak di sekitar kampus lantaran kesibukannya sebagai seorang mahasiswa, namun dia kerap terbabit dengan pelbagai aktiviti anjuran universiti.
"Kini saya mengambil sijil dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya untuk mempelajari ilmu agama secara lebih mendalam lagi. Selain itu, saya turut belajar cara-cara penyampaian dan komunikasi dengan baik kerana ia merupakan elemen yang penting ketika berdakwah," ujarnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Adibah telah meluahkan harapannya supaya lebih ramai pendakwah wanita dapat dibentuk pada masa akan datang kerana sekarang ini tugas melakukan dakwah lebih banyak dipikul oleh golongan lelaki.


Tukar pandangan geopolitik dunia

Posted: 16 May 2014 04:25 AM PDT




SEKERAS-KERAS hati ketua kabilah Taliban, namun beliau berjaya mendapatkan kebenarannya untuk memberi penjagaan perubatan kepada kaum wanita dalam kabilah itu.
Ketika bertugas di sebuah kawasan kampung di Iraq, pinggulnya ditembusi peluru. Dengan pantas beliau menjahit luka tembakan dan meneruskan tugasnya untuk membantu seorang wanita yang hendak bersalin.
Wanita yang tersemat keberanian dalam dirinya, cabaran tersebut merupakan rutin hariannya.
Beliau betah berada di zon perang. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood seorang pakar ginekologi yang juga pejuang kemanusiaan. Perang Kosovo meletus di selatan Eropah semasa berakhirnya satu lagi alaf.
Di tanah air, bisnes klinik Jemilah dan suaminya, Dr. Ashar Abdullah berjalan lancar.
Bagaimanapun, ia tidak cukup untuk memuaskan hatinya. Jauh di lubuk hatinya, ada misi lebih besar yang perlu dilakukannya. Beliau membuat keputusan untuk ke Kosovo bagi membantu mangsa perang di sana.
Penubuhan
Jemilah menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan untuk menyatakan hasratnya. Namun, tidak ada satu pun yang memberi jawapan, justeru suaminya mencadangkan kepadanya agar menubuhkan sebuah badan dan menyusun sendiri pasukan sukarelawannya.
Cadangan suaminya itu menjadi titik tolak kepada penubuhan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).
"Satu daripada kelebihan menjadi pejuang kemanusiaan dan membentuk pertubuhan ialah saya boleh menyakinkan rakyat Malaysia bahawa sekiranya kita mahu menjadi negara maju, ia bukan tentang membina bangunan atau lebuh raya.
"Ia tentang membantu orang, berbelas kasihan terhadap semua orang. Kenapa mesti mengehadkan diri kita sebagai orang Asia atau rakyat Malaysia untuk memainkan peranan di peringkat global?" soalnya pada sebuah forum di Kelab Golf Diraja Selangor sewaktu berlangsungnya Kejohanan Tenis WTA Terbuka Malaysia BMW di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JEMILAH menjadi model Doktor Tanpa Sempadan dan menabur bakti di segenap dunia.


Bermula secara sederhana dengan beroperasi dari klinik Jemilah, Mercy Malaysia kini disegani sebagai sebuah badan yang banyak menabur jasa kepada masyarakat dan usaha murni tersebut masih berterusan.
Selepas Kosovo, tenaga sukarelawan yang diketuai oleh Jemilah bergerak ke Iraq, Afghanistan, Indonesia (Acheh), Somalia, Kemboja dan banyak lagi negara yang dilanda masalah untuk menghulurkan bantuan.
Jemilah mendedahkan, beliau membesar dalam keluarga daripada ibu bapa yang berlainan kaum dengan 13 adik-beradik termasuk saudara tiri. Keluarganya mengamalkan pelbagai kepercayaan seperti Islam, Kristian dan Buddha yang membolehkan beliau menyesuaikan diri dengan semua orang.
Erti kemanusiaan
Baginya, hormat menghormati, kasih sayang amat penting, tanpa mengira warna kulit, agama atau kepercayaan.
Semasa berusia belasan tahun, ibunya mengajar beliau erti kemanusiaan dengan menyuruhnya melakukan beberapa urusan. Menurut Jemilah, beliau diminta ke Singapura untuk membantu membeli buku sekolah dan keperluan lain untuk diberikan kepada saudara-mara sebelah ayahnya.
Ini berlaku selepas ayahnya meninggal dunia dan ketika itu beliau berusia sembilan tahun.
"Pada mulanya, saya memang memberontak. Saya fikir ibu tidak sayangkan saya kerana menyuruh saya pergi semasa cuti sekolah. Pada saya, ibu tidak mahu saya berada di rumah.
"Fikiran saya berubah apabila mengetahui tindakan ibu itu kerana beliau nampak kelainan dalam diri saya. Semasa ibu nazak, dia beritahu amat sayangkan saya dan dia tahu saya ini lain daripada yang lain.
"Ibu beritahu buatlah ikut kata hati nurani saya. Katanya, memang saya seorang doktor tetapi beliau tahu apa yang saya cari," cerita Jemilah mengenang kisah silamnya.
Ibu kepada dua anak lelaki itu menyifatkan cabaran paling hebat sebagai pejuang kemanusiaan dan kehidupan ialah mengekalkan motivasi.
Beliau berkongsi kisahnya semasa dilanda kemurungan akibat kejadian tembakan di Iraq.

WAJAH kanak-kanak yang menjadi mangsa persengketaan kuasa dunia menguatkan lagi semangat Jemilah yang menghulurkan bantuan.


Dua pekerjanya terbunuh dan beberapa orang lagi cedera.
"Berkali-kali saya mengenang kembali apa yang telah kami lakukan dan baru saya boleh terima hakikat, apa yang berlaku bukan salah saya. Malah, pasukan Palang Merah PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pernah dibom dan mereka itu diberi kawalan keselamatan yang ketat.
"Bagi saya, apa yang terus memotivasi saya ialah mereka yang terkorban dan cedera semasa misi. Saya tidak boleh mengecewakan mereka. Saya lakukan untuk pertubuhan ini dan untuk mereka yang saya cuba bantu dan kami akan teruskan usaha ini," katanya.
Menurut Jemilah, agama memberinya kekuatan dalam menjalankan misinya di samping suami yang senantiasa memberi sokongan.
Beliau juga amat bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memahami keperluannya untuk berada jauh dari mereka.
Penghargaan
Tidak lupa juga, beliau menyatakan penghargaan kepada ramai pihak yang yakin dengan visinya.
Pada tahun 2009, sedekad selepas beliau mengasaskan Mercy Malaysia, Jemilah menyerahkan pertubuhan itu kepada orang lain untuk membolehkannya memberi bimbingan kepada para pemimpin muda di samping menulis.
"Kini, saya amat teruja dengan kepimpinan, tentang memupuk orang muda. Saya juga ingin menukar pandangan geopolitik dunia.
"Saya mahu kita yang dikenali sebagai global Selatan, mempunyai suara dalam isu global. Saya mahu kita mempengaruhi polisi selain mampu membentuk masa hadapan," tegas Jemilah.
Beliau akan meninggalkan Malaysia kerana ditawarkan jawatan yang membolehkannya melakukan tugas itu. Jemilah telah dilantik bagi mengetuai Sekretariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di ibu pejabat PBB di New York.
BELIAU menjadi Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 2009.


Kepada anak-anak muda, beliau menggesa mereka mencari sesuatu yang mahu dilakukan.
Mungkin proses itu akan mengambil masa kerana beliau sendiri mengalaminya.
Beliau menasihatkan mereka supaya jangan takut untuk menukar karier apabila melakukan sesuatu yang mereka tidak suka.
"Walaupun masyarakat berasa skeptikal, lakukanlah. Dalam kehidupan, anda perlu mengambil risiko, risiko yang sudah difikir dengan semasak-masaknya.
Sekiranya anda tidak mengambilnya, sudah tentu anda akan terlepas peluang," nasihat Jemilah.


Jadilah guru bergelar juara

Posted: 16 May 2014 04:23 AM PDT



ALAM persekolahan adalah tempat para pelajar menemui dunia baru dengan bantuan guru-guru. - Gambar hiasan


SALAM sejahtera duhai wanita yang dikasihi Allah SWT. Tarikh 16 Mei sentiasa mengetuk kenangan lalu.
"Mama, boleh saya belikan sebatang pen untuk cikgu?" permintaan anak yang membuat si ibu tersentak.
"Hadiah ulang tahun atau majlis perpisahan?" saya bertanya.
Lalu anak mengingatkan hari penting buat mereka iaitu Hari Guru yang menjadi sambutan di seluruh dunia.
Permintaan anak membuat saya terdiam. Terkenang masa lampau pada zaman persekolahan rendah. Bezanya kami tidak meminta-minta daripada emak atau abah untuk membeli hadiah.
Kami berusaha mengumpul duit belanja persekolahan berminggu-minggu lamanya. Adakalanya memakan masa berbulan-bulan.
Teruja. Apabila sampai masanya kami ke pekan kecil membeli sedozen pen mata bola walaupun nun jauh di hati teringin menghadiahkan pen berjenama Parker.
Lalu apabila tiba 16 Mei, kami hulurkan setiap batang pen kepada guru-guru tersayang.
Cemerlang
Masih terbayang wajah mereka girang menerima tanda mata yang tidak seberapa. Sungguh, biar kecil tetapi berbekas.
Namun, ada riak sayu di wajah guru apabila menghadap anak-anak yang tidak berkemampuan. Ada kenangan melekat di minda mendengar kata-kata Guru Besar di perhimpunan 16 Mei:
"Biar miskin di mata orang, namun jiwa biar kaya di sisi Allah. Setiap seorang daripada kamu harus bercita-cita menjadi juara. Seorang juara adalah pemimpin cemerlang bagi dirinya, keluarga dan masyarakat.
"Seorang juara tidak menunggu arahan tetapi sentiasa berbisik ke dalam diri untuk berjaya. Berusahalah untuk berjaya di dunia dan akhirat."
Saya terasa sesuatu di hati walau sukar menghadam sepenuh kenyataan tersebut.
Duhai wanita yang dimuliakan Allah, setiap daripada kita merupakan seorang guru. Bukankah Baginda SAW pernah bersabda melalui catatan Imam Muslim yang bermaksud:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Begitulah. Islam memberi pengiktirafan besar kepada kedua-dua ibu bapa sebagai pendidik utama yang mampu membawa anak-anak ke syurga. Lalu sambutan hari guru, hari ibu atau sebarang hari yang boleh dikaitkan dengan kemuliaan dan penghormatan tempiasnya kembali kepada ibu dan wanita yang dimuliakan Allah SWT.

KECANGGIHAN teknologi kini menjadikan tugas seorang guru lebih mencabar. - Gambar hiasan


Duhai wanita kekasih Allah, apabila diberi peluang menjadi guru kepada siswa-siswi di peringkat universiti, saya tidak menunggu Hari Guru untuk menyampaikan apa yang ada di dalam dada. Jika berpeluang, saya sampaikan walaupun sebaris ayat.
Hari Guru barangkali tidak disambut di peringkat universiti. Barangkali guru hanya untuk anak di peringkat persekolahan rendah. Barangkali juga ramai mereka yang sudah berjaya merangkul segulung ijazah terlupa bahawa mereka juga pernah berguru. Guru yang sudah dilupakan.
Wahai wanita yang mengangggap dirinya seorang guru, usahlah bersedih hati jika melihat bekas anak muridmu bersorak gembira melambung topi graduan namun tiada ucapan terima kasih dilafazkan.
Guru juara
Usah gusar apabila melihat siswa-siswi bimbinganmu bergelar Doktor namun melangkah pergi penuh gagah tanpa menoleh ke belakang. Tugasmu sudah selesai. Ilmu telah pun disampaikan. Usah mengharap diri dikenang.
Jadilah guru bergelar juara sebagaimana kita mengharapkan mereka begitu.
Namun, tersenyumlah sambil berdoa apabila melihat begitu ramai berjaya menjadi pembesar lagi terkenal. Berbangga sambil berdoalah apabila melihat bekas siswa-siswimu menjadi orang hebat lagi ternama.
Berdoalah agar mereka berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Barangkali ada saham tercatat pada hari penghakiman nanti.
Duhai wanita yang diredai Allah, berdoalah untuk kesemua guru-guru yang pernah memberi ilmu. Ibu bapa, guru di sekolah, adik-beradik, sanak saudara dan rakan sejawat. Barangkali juga penyapu di jalanan.
Ramai antara mereka mahu melihat kita menjadi insan sempurna, berguna dan mulia. Sungguh, antara yang ramai, guru-guru di sekolah tentunya berbangga dan mengalirkan air mata gembira melihat kejayaan bekas anak-anak murid.
Baru-baru ini saya pulang ke kampung halaman. Menyelusuri memori silam, mencari denai yang pernah diredah sekitar persekolahan rendah yang dahulunya separuh batu dan papan. Saya kembali mencari guru yang dikurniakan Allah kelebihan memberi sinar daripada kegelapan.
Subhanallah! Bangunan sekolah itu telah berubah wajah. Hampir kesemua guru-guru telah pergi menemui Illahi. Jika ada seorang dua yang tinggal, mereka bakal menghadapi hari-hari terakhir kehidupan.
Lalu, dengan penuh rasa rindu saya mendakap tubuh mereka. Ada getar yang tertinggal. Sambil membayangkan wajah mereka saya berkata: "Dahulu cikgu sungguh jelita."
Sambil mengesat lelehan air mata cikgu berkata: "Usah bayangkan wajah silam. Saya sudah tua beruban."
Perlahan saya menjawab: "Tidak. Cikgu masih cantik di mata saya."
Duhai zaman mudaku yang telah jauh ditinggalkan, ketika melangkah menuju ke kereta saya terpandang cermin sisi. Ada sesuatu yang menjentik rasa. Di situ terpantul satu wajah wanita berusia lewat 40-an. Dahulu, wanita itu seusia guruku. Kini, wanita itu adalah daku.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories