RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Hanez Suraya & Kekasih Saman MAS Bocor Maklumat Peribadi

Posted: 22 May 2014 04:14 AM PDT


wqf
Hanez memfailkan saman terhadap MAS selepas membocorkan maklumat peribadinya.
SHAH ALAM: Seorang pelakon drama dan kekasihnya menyaman Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kerana melakukan 'pencerobohan peribadi' apabila maklumat penerbangan mereka telah dimuat naik di akaun Facebook.

Hanez Suraya Abdul Aziz, 28, dan Romie Razin Adilha Abd Jais, 34, mendakwa beberapa jam selepas mendarat di Bangkok pada 20 April lalu, mereka dimaklumkan oleh rakan-rakan yang sebahagian daripada  salinan pas masuk mereka telah muncul di akaun Facebook yang dikenali sebagai "Kami sokong Liyana Manan".

( Liyana adalah isteri kepada Romie dan mereka sedang dalam proses perceraian).

Hanez Suraya berkata, mereka menaiki penerbangan MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bangkok pada tengah hari  dan  mereka telah memberikan pas penerbangan kepada kakitangan MAS di pintu masuk berlepas .

Bagaimanapun selepas itu mereka menemui akaun Facebook yang mempunyai lebih 1,000 komen negatif mengejek mereka.

Mereka  turut mendapati gambar-gambar pas masuk berkenaan tersebar secara meluas dalam laman sosial, blog dan akhbar-akhbar tempatan menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi.

Hanez Suraya berkata saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melalui peguamnya Wan Nurliyana Abdul Rahman.

Bercakap kepada pemberita, Hanez berkata privasi beliau telah diceroboh.

"Ini adalah soal pencerobohan  maklumat sulit dan keselamatan saya sebagai penumpang MAS.

"Ia telah menyebabkan kekecohan di Internet sehingga ia menjadi perbincangan umum," katanya.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Hanez selaku plaintif  berkata, MAS telah terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Mereka berkata bahawa MAS memberi jaminan kepada penumpang bahawa semua data dan maklumat peribadi termasuk penerbangan adalah selamat.

Mereka berkata tindakan MAS atau pekerja mereka dalam mendedahkan  pas masuk adalah tidak beretika dan melanggar akta berkenaan.

Mereka menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk serta beberapa faedah dan kos dari MAS yang dinamakan sebagai defendan tunggal dalam tuntutan berkenaan.

Doktor Nasihat Fizo & Mawar Tidak Hidup Tertekan Jika Mahu Anak

Posted: 22 May 2014 04:13 AM PDT


fizo mawar
Fizo dan isterinya, Mawar.
KUALA LUMPUR: Doktor menasihati pelakon Fizo Omar dan isterinya iaitu Mawar Abdul Karim, 25,  agar tidak berada dalam keadaan tertekan sekiranya mereka berhasrat untuk mendapat anak selepas enam bulan berkahwin.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, mereka juga tidak dibenarkan untuk kuat bekejra kerana perkara ternsuet anatra penyumbang sukarnya seseorang isteri itu hamil.

"Saya ada buat pemeriksaan kesihatan dan minta nasihat doktor bagaimana isteri saya boleh mempercepatkan kehamilan. Seperti tempoh perkahwinan kami yang baru enam bulan ini doktor  menasihatkan beberapa perkara terutama posisi ketika bersama perlu betul.

"Jika gagal juga barulah dia akan panggil kami berdua untuk langkah seterusnya. Insya-Allah bulan depan kalau tiada apa-apa lagi (hamil) kami akan ke hospital untuk buat pemeriksaan lanjut," katanya.

Fizo ditemui pada majlis pelancaran tajaan barangan kemas Reflesia dan promosi penerbangan Airfrance bersama selebriti ke Barcelona, Perancis, di Hotel Parkroyal, di sini pada Rabu.

Antara artis yang turut terlibat ialah Kamal Adli, Miera Liyana, Tasha Shilla dan Hairul Azreen.
fizo
Wajah terbaharu Fizo Omar


Dalam pada itu, Fizo berkata, dia memang sudah bersedia dan berharap agar dikurniakan cahaya mata dalam tempoh terdekat ini.

Dia juga sudah berjaya meyakinkan isterinya untuk bersedia mempunyai cahaya mata biarpun pada awalnya Mawar merancang untuk fokus kepada perniagaan tudung Fareeda terlebih dahulu.

"Saya memang mahu anak. Kalau boleh kembar kerana saya ni sangat suka budak kecil. Saya sudah berjaya yakinkan Mawar untuk bersedia juga walaupun pada awalnya dia tidak mahu.

"Dia mungkin kurang suka budak kecil, namun melihat keinginan saya dia pun setuju untuk ada anak tetapi belum lagi rezeki kami," katanya.

Tambah Fizo, kesihatan dan kesibukan isterinya menjadi faktor penyumbang untuk sukar mengandung.

"Mawar ada masalah kesihatan apabila kitaran haid dia tidak teratur yang mungkin disebabkan terlalu sibuk selain mengalami tekanan kerja.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 10 November 2013.

Norman Hakim Terkejut Rumah Tangga Abby Abadi Goyah

Posted: 22 May 2014 04:12 AM PDT


abby abadi
Abby Abadi bersama suaminya Muhammad Noor Farhan Che Bakar.
PETALING JAYA: Pelakon Norman Hakim terkejut apabila mengetahui rumah tangga bekas isterinya iaitu Abby Abadi dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang baru dibina sedang bergolak.

Norman berkata, sebaik sahaja mendapat tahu masalah itu dia segera menghubungi Abby untuk bertanya khabar selain mendoakan agar kedua-dua pihak menemui jalan penyelesaian terhadap masalah yang timbul.

"Saya sangat terkejut apabila isteri saya, Memey memberitahu dia terbaca kapsyen foto di Instagram Abby seolah-olah perkahwinan Abby sedang berhadapan dengan masalah.

"Sebagai bekas suami dan ayah kepada anak-anak Abby, sudah pasti saya mengambil berat terhadap masalahnya. Saya terus menghubunginya dan bertanya 'awak ok?'

"Dan Abby pula balas; 'Ok! Saya ada Allah...' Apabila dia hantar mesej seperti itu, saya tidak bertanya banyak perkara kerana menghormati privasinya," kata Norman yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

norman hakim
Norman Hakim


Terdahulu pada Sabtu lalu Abby memuat naik status pada Instagram miliknya seolah-olah rumah tangga dia berhadapan dengan ujian selain memohon peminat mendoakan kebahagiaan dia dan suami.

Status tersebut membuatkan ramai yang mengandaikan hubungan Abby dan Muhammad Noor Farhan sedang bergolak.

Dalam pada itu, tambah Norman, dia juga meminta orang ramai untuk berdoa agar pasangan berkenaan dapat menyelesaikan masalah dengan sebaik mungkin.

"Diharap kita semua berdoa sahaja untuk kebahagiaan Abby dan Farhan. Saya pun tidak mahu masuk campur urusannya. Moga masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik," ujarnya.

Abby atau nama sebenarnya  Arbaiyah Abdul Manan, 37, bernikah dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, pemuda yang 12 tahun lebih muda daripadanya pada 9 Julai 2013 iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan.

Sebelum itu Abby pernah berkahwin dengan  Norman Hakim dan mereka dikurniakan tiga orang anak.

Norman kini suami kepada pelakon Memey Suhaiza.

Lima Peserta Layak Ke Final Konsert Kilauan Emas 4

Posted: 22 May 2014 04:11 AM PDT


kilauan emas
Para peserta yang berjaya ke peringkat akhir pertandingan Kilauan Emas musim keempat yang akan diadakan pada 28 Mei depan.
KUALA LUMPUR: Seramai lima peserta lelaki diumumkan berjaya ke peringkat akhir pada pertandingan Kilauan Emas musim keempat  yang diadakan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, malam Rabu.

Lima peserta tersebut iaitu Nas, Ben, Zain, Nordin dan Arip sekali gus berjaya menewaskan tiga peserta lain iaitu Raida, Aziana dan Silva yang tersingkir.

Pengumuman itu dilakukan oleh pengacara program tersebut iaitu Raja Azura.

Juri profesional, Datuk Ramli MS berkata, kesemua juri berpuas hati dengan persembahan para peserta pada peringkat separuh akhir ini.

"Pada peringkat ini kesemua peserta menunjukkan peningkatan dalam persembahan masing-masing.

"Jadi saya mahu saksikan persembahan yang luar biasa pada peringkat akhir yang akan berlangsung pada minggu depan," katanya selepas pengumuman penyingkiran program tersebut.

Markah peserta diadili 70 peratus daripada penilaian juri profesional yang terdiri daripada Ziana Zain, Datuk Hattan dan Mamat Khalid termasuklah Ramli MS sendiri, manakala 30 peratus daripada undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.

Lapan peserta separuh akhir beraksi  selepas tujuh minggu bersaing dengan 13 peserta lain untuk merebut tempat ke pentas akhir Kilauan Emas 4 yang bakal diadakan pada 28 Mei depan di lokasi yang sama.

Pada peringkat separuh akhir ini menyaksikan para peserta  diuji dengan tema yang lebih mencabar pada segmen pertama iaitu Pilihan Radio yang dipilih oleh pendengar radio Sinar FM dan segmen kedua iaitu duet.

Program separuh akhir itu turut menampilkan persembahan istimewa daripada Siti Nordiana, Nubhan, Hafiz Suip, Adira, Hail Amir, Uji Rashid, Mus (May), Yantzen dan Oney.

Kilauan Emas 4  disiarkan setiap hari Rabu bermula pukul 9.30 malam menerusi saluran Astro Prima (132) dan Mustika HD (134).

Lima Artis Dapat Makan Angin Ke Barcelona

Posted: 22 May 2014 04:10 AM PDT


barcelona
Dari kiri: Kamal Adli, Miera Liyana, Fizo Omar, Tasha Shilla dan Hairul Azreen.
KUALA LUMPUR: Lima selebriti tanah air iaitu Fizo Omar, Kamal Adli, Miera Liyana, Tasha Shilla dan Hairul Azreen dipilih untuk makan angin ke Barcelona, Sepanyol dari 23 Jun hingga 30 Jun depan.

Perjalanan mereka ditaja oleh syarikat penerbangan Air France dan syarikat barang kemas Rafflesia.

Pegawai Publisiti The Reflesia, Bill Bora berkata, kelima-lima artis ini dipilih berikutan populariti masing-masing selain mereka mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

"Ini merupakan kali kedua Air France dan Rafflesia menganjurkan siri travelog bersama selebriti yang kita pilih daripada kalangan yang mempunyai pengikut ramai di laman sosial.

Barcelona 2
Wah... wajah-wajah gembira lima artis yang dapat makan angin secara percuma.

"Selebriti ini bertindak untuk menceritakan tempat-tempat menarik yang mereka kunjungi dan aktiviti sepanjang lapan hari berada di negara itu menerusi laman sosial masing-masing," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran trip ke Barcelona bersama di Hotel Parkroyal, di sini, Rabu.

Dalam pada itu Bill Bora berkata, kelima-lima selebriti ini akan berpecah ke beberapa tempat menarik yang mereka ingin lawati selain bebas melakukan apa juga aktiviti mereka sendiri.

Dalam pada itu katanya, selebriti tersebut juga dibenarkan untuk membawa peminat-peminat mereka dengan tawaran harga promosi serendah RM2,899.

"Selebriti akan bebas melakukan apa juga yang ingin mereka lakukan dengan syarat mereka perlu memuat naik enam keping gambar sehari di laman sosial mereka.

"Mereka juga boleh membawa peminat yang ingin menyertai trip ini dengan harga promosi  yang berlangsung sehingga akhir bulan ini," katanya.

Tambah Bill Bora, trip bersama selebriti ini sempena jadual penerbangan baharu Air France iaitu empat kali seminggu ke Barcelona.

Tegar Terpaksa Makan Tempe Ditipu Pengurus Sendiri

Posted: 22 May 2014 04:09 AM PDT


tegar
Tegar
KUALA LUMPUR: Penyanyi cilik dari Indonesia iaitu Tegar yang pernah hidup miskin mendedahkan kehidupannya selepas bergelar artis turut berliku apabila ditipu oleh bekas pengurus sendiri.

Tegar atau nama sebenarnya Tegar Septian, 13, berkata, keadaan bertambah buruk apabila dia tidak dapat merasai wangnya sendiri selain hanya diberi makan tauhu dan tempe.

"Sumber kewangan saya disekat. Malah saya diberi makan tauhu dan tempe sahaja seperti ketika saya mula-mula menjadi penyanyi jalanan dahulu.

"Malah, saya tidak dapat membeli apa-apa benda yang diinginkan kerana bekas pengurus itu tidak memberikan wang kepada saya. Kononnya mahu saya berjimat dan sentiasa ingat asal usul. Tetapi wang hasil titik peluh saya, semua dia ambil.

"Mujurlah saya bertemu dengan seorang lelaki yang boleh dipercayai untuk membantu saya lari daripada bekas pengurus tersebut," katanya.

Tegar ditemui pada majlis pelancaran album keduanya berjudul Kemana Kasih Sayang di Hotel Seri Pacific di sini pada Rabu.

tegar 2
Tegar menunjukkan album baharunya.

Sebelum ini lagu nyanyiannya iaitu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang merupakan antara lagu hit di negara ini.

Sementara itu, pengurus barunya yang bernama Arif Dollah berkata, selepas mendapat tahu mengenai masalah Tegar, dia telah 'melarikan' penyanyi itu ke Bandung selama seminggu dan kemudian meminta Tegar untuk dilepaskan.

"Selepas membaca semula kontrak Tegar, ia didapati tidak sah dan hal tersebut membuatkan masalah itu lebih mudah diselesaikan.

"Dua bulan lalu, saya larikan Tegar ke Bandung sehinggalah pengurus itu membuat keputusan untuk tidak menguruskannya lagi.

"Dan sekarang ini, barulah Tegar dapat merasa wang hasil daripada titik peluhnya dengan membeli sebanyak dua buah motosikal KTN Motorcross selain membeli beberapa bidang tanah sawah untuk bapa tirinya," kata Arif.

Malah Tegar juga membeli tiga gitar akustik dan tiga buah lagi ukulele untuk digunakan ketika membuat persembahan.

Mengenai album kedua Tegar di bawah label Hapro Records, ia memuatkan sebanyak tujuh buah lagu iaitu Indah Pada Waktunya, Gitar Kecil, Sekeping Recehan, Aku Masih Tegar, Tak Boleh Sombong, Lihat, Dengar Dan Rasa serta Kemana Kasih Sayang.

"Dalam album ini, saya masih membawakan lagu mengenai diri saya yang masih sama seperti dahulu.

"Saya mahu semua tahu bahawa diri ini  akan sentiasa mengingati asal usul," ujarnya.

Album Kemana Kasih Sayang akan diedarkan di bawah syarikat Media Asia Production Sdn Bhd (MAP).

"Saya Belum Ceraikan Izreen Azminda" - Suami

Posted: 22 May 2014 04:08 AM PDT


Gambar persandingan Izreen Azminda dan Muhamad Riza pada 31 Ogos 2012. 
PETALING JAYA: Suami kepada pelakon Izreen Azminda, 29, iaitu Muhamad Riza Baharuddin, terkejut apabila dikatakan telah melafaz cerai terhadap isterinya di set penggambaran semasa berlakunya pertengkaran.

Muhamad Riza, 31, yang juga jurukamera bebas berkata, dia baharu sahaja memfailkan permohonan cerai di mahkamah rendah syariah Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu dan masih menuggu tarikh untuk dipanggil oleh pihak mahkamah.

"Kami belum lagi bercerai dan saya belum melafazkan talak kepada dia (Izreen). Kami baru sahaja failkan perceraian pada Rabu minggu lalu dan masih menunggu tarikh (perbicaraan) lagi.

"Saya akui rumah tangga kami bermasalah dan kami sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan yang lalu, namun kami belum bercerai secara sah lagi," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Rabu.

izreen
Izreen bersama anaknya Adrian Umar.


Muhammad Riza diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Rabu kononnya dia telah melafazkan cerai terhadap Izreen Azminda yang dilakukan di lokasi penggambaran sebuah drama di Pulau Pinang.

Laporan yang memetik kenyataan daripada sumber itu menyebut, perceraian berkenaan berlaku pada 16 Mei lalu di set penggambaran ketika terjadinya pertengkaran antara kedua-dua pihak.

Izreen atau nama sebenar Izreen Azminda Aznam bergelar isteri kepada Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adrian Umar yang kini berumur 10 bulan.

Dalam pada itu, Muhammad Riza menjelaskan tindakannya bertemu Izreen di lokasi penggambaran di Pulau Pinang itu dengan tujuan untuk menghantar anak mereka bagi melepaskan rindu.

Dia juga mengambil kesempatan itu untuk berbincang tentang perceraian dan hak penjagaan anak mereka selepas bercerai nanti.

"Saya jumpa dia kerana ingin temukan Adrian kerana sudah lama tidak bertemu dan kesempatan itu juga saya ambil untuk berbincang tentang perceraian kami.

"Saya kesal apabila pertemuan tersebut disalah tafsir oleh pihak tertentu yang tidak bertanya dahulu kepada kami perkara sebenar," ujarnya.

Dia juga terkilan dengan laporan berita perceraian tersebut yang dianggap menjatuhkan maruahnya sebagai seorang lelaki.

Tambahnya, apabila berita tersebut tersebar ramai pihak menghubunginya untuk bertanyakan hal sebenar selain menuduhnya sebagai suami yang tidak waras.

"Berita itu sangat teruk sehingga mengambarkan saya sebagai seorang lelaki yang tidak waras kerana dengan melafazkan cerai di tempat yang tidak sepatutnya.

"Saya ambil dia sebagai isteri dengan cara baik dan saya akan lepaskan dia juga dengan cara baik bukan seperti yang ditulis itu. Laporan itu tidak benar sama sekali," ujarnya.

Adegan Peluk Dalam Filem Terbaharu MIG Diharap Tidak Menjadi Isu - Pengarah

Posted: 22 May 2014 04:07 AM PDT


cewqr23
Salah satu babak membabitkan lakonan Fezrul dan Erin dalam filem 'Awak Nak Kahwin Dengan Saya?'
PETALING JAYA: Pengarah filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya? iaitu Eyra Rahman yakin adegan peluk dan dukung yang dilakonkan oleh Fezrul Khan dan Erin Malek sebagai pasangan kekasih dalam karyanya itu tidak akan mengundang sensiviti penonton.

Eyra berkata, adegan sebegitu mempunyai alasan yang tersendiri yang mana ia menyokong jalan cerita filem tersebut.

"Babak itu sebenarnya untuk memberi fahaman bahawa watak Andika (Fezrul) yang mempunyai masalah terlalu pembersih iaitu Obsessive–compulsive disorder (OCD) sehingga tidak suka menyentuh orang sudah berubah apabila dia boleh memegang Putri (Erin) kerana cintanya kepada wanita itu.

"Saya tak rasa adegan pasangan yang bercinta berpeluk dan didukung akan menjadi sensitif kepada penonton kerana ada sebab mengapa babak itu diadakan.

"Lagipun pemikiran penonton sekarang ini lebih matang dan mereka boleh berfikir secara logik setiap kali menonton mana-mana filem. Dan saya harap, adegan kecil itu tidak menjadi isu pula," katanya kepada mStar Online.

Eyra ditemui pada majlis pratonton filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, terbitan Metrowealth International Group (MIG) di TGV Sunway Piramid di sini pada Selasa.
nfg
Eyra Rahman. 
Pengarah itu diminta mengulas mengenai babak akhir Awak Nak Kahwin Dengan Saya? di mana Andika dan Putri sebagai pasangan kekasih yang dilihat keterlaluan apabila Andika memeluk dan mendukung Putri selepas berasa yakin mahu memperisterikan wanita berkenaan.

Tambah pengarah itu, Awak Nak Kahwin Dengan Saya? merupakan sebuah karya komedi yang santai tetapi ia menekankan elemen latar belakang berwarna warni selain skrip yang kuat.

Malah Eyra berhabis masa memberi fokus pada skrip supaya setiap lawak yang dihasilkan dapat diterima penonton.

"Saya seorang pengarah yang selalu menghasilkan filem-filem berat. Apabila mengarahkan filem komedi, ia satu cabaran besar buat saya.

"Paling risau jika lawak yang dibuat dianggap lawak bodoh dan langsung tidak menggeletek hati penonton. Jadi saya meminta bantuan ramai pihak termasuklah barisan pelakon mengenai idea lawak yang disampaikan," ujarnya.

Awak Nak Kahwin Dengan Saya? mengisahkan Andika yang merupakan ketua editor di sebuah syarikat penerbitan majalah dicabar bekas kekasihnya, Sara (lakonan Shima Anuar) untuk membuktikan bahawa dia sudah pun memiliki pasangan baru.

Andika meminta bantuan pembantu peribadinya, Putri untuk berlakon sebagai kekasihnya selama seminggu. Bagaimanapun, bibit-bibit cinta mula terjalin selepas menyedari kedua-dua mereka mempunyai keserasian dan memahami antara satu sama lain.

Filem itu akan ditayangkan bermula 22 Mei ini.

Dikritik berambut merah Tiz gembira imej terkini

Posted: 22 May 2014 04:05 AM PDT

TIZ ZAQYAH tidak bercadang untuk menukar warna rambutnya kepada asal kerana berasa selesa dengan imej terbaharunya itu.


MENERUSI sepotong video berdurasi 15 saat yang dimuatkan pelakon yang terkenal dengan drama Nur Kasih, Tiz Zaqyah dua minggu lalu, pelbagai perdebatan timbul selepas pelakon itu mewarnakan rambutnya dengan warna merah.
Video yang dimuatkan dalam laman sosial Instagram miliknya (@tizzaqyah) itu memaparkan Tiz berada di salon rambut dan sedang melalui proses menukar warna rambutnya daripada warna hitam menjadi merah.
Tiz antara lainnya membalas beberapa komentar yang berbaur kasar untuk membela dirinya sehingga kisah mewarna rambut itu berlarutan dalam beberapa foto yang dimuat naik selepas itu.
Bertemu pada majlis pelancaran drama 60 episod, Kusinero Cinta di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, pihak media mendapatkan komen lanjut daripada pelakon itu. Ikuti temu bual tersebut.
Kosmo!: Tiz kelihatan lantang menegakkan hak peribadi di laman Instagram dan ada juga beberapa peminat anda bersifat cuba menggalakkan perdebatan. Apakah komen anda?
TIZ ZAQYAH: Saya komen ikut mood saya dan kalau ada antara komen yang ditulis di laman sosial saya yang terlalu melampau, saya akan balas dan mungkin menyekat akaun itu daripada terus akses ke akaun saya.
Bagaimanapun, saya rasa situasi provokasi itu pun rasanya tidak seteruk artis antarabangsa lain alami tapi mereka boleh profesional dan enggan ambil peduli.
Adakah sikap tidak ambil peduli yang sedang anda lakukan sekarang?
Ya, mana-mana yang patut dan perlu saya balas saya akan buat tapi kalau merepek sangat saya abaikan sahaja.
Berhubung isu mewarnakan rambut daripada hitam ke merah, apakah penjelasan anda?
Saya mewarnakan rambut menjadi merah kerana tuntutan watak. Sepatutnya selepas tamat penggambaran drama Kusinero Cinta baru-baru ini saya akan berlakon dalam sebuah drama lain yang memerlukan saya menjadi gadis ganas. Jadi, saya berpendapat apa salahnya menukar penampilan saya untuk nampak berbeza kali ini.
MENURUT Tiz, dia memang bersikap terbuka untuk berkongsi tentang kehidupannya di laman Instagram miliknya.


Jadi, bilakah drama itu akan memulakan penggambaran?
Malangnya jadual saya bertindan dan saya tidak dapat meneruskan penggambaran itu. Saya tidak kisah dan saya gembira dengan penampilan terkini saya. Malah, buat masa sekarang saya akan kekal dengan warna rambut ini.
Apabila timbul pelbagai cerita kurang enak atau komentar berbaur negatif, apakah reaksi kekasih anda, Daniel Haziq?
Dia tidak kisah dan okey saja. Kami faham antara satu sama lain dan itu rasanya pokok utama dalam setiap perhubungan. Malah, dia pun ada akaun Instagram sendiri yang dipenuhi komen negatif yang juga tidak kurang hebatnya.
Terlanjur berbicara mengenai kisah cinta, bagaimanakah hubungan kalian berdua sekarang?
Hubungan kami baik-baik saja dan tiada masalah. Untuk ke peringkat seterusnya belum ada sebarang perancangan tapi seandainya ada nanti saya akan maklumkan. Yang pasti bukan tahun ini. Sudah pasti naluri manusia, tiada siapa yang tidak mahu berkahwin bukan?
Mengulas mengenai privasi, adakah kini anda selesa berkongsi cerita dan momen bersama kekasih melalui laman sosial contohnya Instagram?
Saya menjadi diri sendiri dan Instagram saya adalah terhad untuk kawan-kawan dan peminat saya. Saya selesa sebab tiada apa lagi yang perlu disembunyikan dan tidak lagi membebankan. Jujur saya katakan sekarang hidup saya lebih tenang dan senang!
Anda kini lebih terbuka dan personaliti juga berbeza berbanding sebelum ini yang lebih banyak berselindung. Apakah yang mengubah pendirian anda?
Pengalaman yang banyak mengajar saya dari segi penerimaan saya terhadap persepsi orang ramai. Dahulu saya cenderung untuk terlalu memikirkan pandangan orang ramai sehingga diri saya tidak selesa. Saya manusia normal dan masyarakat tidak boleh menjangkakan saya menjadi contoh untuk semua.
Sudi kongsikan sedikit sebanyak peranan anda dalam drama Kusinero Cinta?
Saya melakonkan watak seorang gadis bernama Edrinna Mahadzir yang melawat Manila, Filipina atas tujuan perniagaan.
Bagaimanapun, Edrinna bertemu dengan Freddo yang berhasrat menjadi tukang masak. Pada masa sama Edrinna sedang bercinta dengan Syed Izmir yang taksub menjadi cef terbaik hingga berlaku beberapa insiden.
Watak ini tidak berat dan berbeza daripada watak sebelum ini kerana naskhah ini sangat santai.
Kusinero Cinta bakal ditayangkan di Mustika HD (saluran 134 Astro) pukul 10 malam bermula 26 Mei ini.


Jue tidak sembunyi status

Posted: 22 May 2014 04:03 AM PDT




SEBELUM ini, pelakon Jue Aziz mengambil pendekatan untuk mengunci mulut tanpa membuat sebarang kenyataan berhubung status dirinya, meskipun terdapat dakwaan yang mengatakan dia sudah mendirikan rumah tangga.
Biarpun gambar dirinya bersama seorang jejaka yang dikatakan suaminya itu bertebaran di internet tetapi belum ada sebarang kenyataan yang dibuat oleh pelakon itu sehingga menimbulkan tanda tanya ramai pihak.
Namun begitu, dalam satu sesi fotografi yang diaturkan untuk mempromosi filem terbaharunya, Hantu Nan Sempit yang akan ditayangkan di pawagam pada 5 Jun depan, Jue atau pemilik nama sebenar, Zuliana Abdul Aziz itu mengakui dia kini sudah berkahwin.
"Ya, saya kini sudah berumah tangga dan isteri kepada Bayu yang juga merupakan seorang pemuzik. Kami berdua telah bernikah di kampung kelahiran suami di Makassar, Indonesia pada 9 Mac lalu.
"Tidak dinafikan kami berkenalan dalam tempoh yang agak singkat iaitu empat bulan sahaja sebelum kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Saya bersetuju setelah melihat keikhlasan suami yang mahu mengambil saya sebagai isteri," ujarnya yang turut ditemani suami tercinta, Bayu Daniels.
Menceritakan detik perkenalan mereka berdua, Jue memberitahu, semuanya bermula ketika dia sedang bercuti di Pulau Pinang pada bulan November tahun lalu.
Ujarnya, ketika menikmati hidangan di Hard Rock Cafe Penang, tiba-tiba matanya tertumpu kepada kepada seorang pemain gitar yang sedang membuat persembahan di pentas.
"Selepas Bayu selesai membuat persembahan, dia lantas datang ke arah saya dan kami mula bertegur sapa. Pada mulanya saya tidak berasa apa-apa tetapi tiba-tiba wujud satu perasaan yang sukar untuk digambarkan.
"Walaupun kami berkenalan dalam tempoh yang singkat, namun saya melihat Bayu merupakan seorang lelaki yang lemah lembut, merendah diri dan menghormati orang tua. Itu merupakan antara faktor utama yang membuatkan saya tertarik dan bersetuju menjadi isterinya," jelas pelakon yang dikenali menerusi filem Hantu Bonceng itu.

JUE memberitahu akan memuat naik sebuah video di YouTube mengenai majlis pernikahannya dan memberi penjelasan bersama Bayu menerusi video yang sama.


Menurut Jue, keputusan untuk berkahwin juga sebenarnya berlaku dengan begitu pantas dan tidak dirancang sama sekali. Malah, persiapan untuk berkahwin juga dilakukan dalam tempoh seminggu.
"Pada mulanya, saya bersama kedua ibu bapa saya telah pergi ke Makassar dengan tujuan untuk berjumpa dengan keluarga Bayu dan mengenali mereka secara lebih dekat lagi.
"Setelah kami berjumpa dengan keluarga Bayu dan menceritakan tentang hubungan yang terjalin, akhirnya mereka mencadangkan supaya kami terus bernikah sahaja. Memang persiapan dilakukan dalam tempoh yang singkat, namun semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya.
Berkenaan dengan tindakannya yang tidak memberikan sebarang komen mengenai kisah perkahwinannya yang sudah tersebar, ternyata Jue mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
Mengakui langsung tidak berniat untuk menyembunyikan status dirinya yang sudah bergelar seorang isteri, pelakon itu menjelaskan bahawa dia menunggu masa yang sesuai untuk menjelaskan perkara sebenar.
"Sebenarnya saya telah mengambil keputusan untuk mengambil pendekatan berdiam diri setelah apa yang terjadi pada tahun lalu. Saya kecewa apabila ramai yang mengatakan saya hamil anak luar nikah dan memiliki anak haram, sedangkan saya mengambil seorang anak angkat untuk dibela.
"Sejak itu, saya lebih gemar untuk berdiam diri sahaja daripada membuat sebarang kenyataan apabila cerita mengenai saya timbul kerana tidak mahu lagi ada sebarang cerita buruk sehingga menjejaskan nama baik saya," tegasnya.
CINTA di antara Jue Aziz dan suaminya, Bayu Daniels hanya terbit selama empat bulan sebelum mereka mengambil keputusan berkahwin.


Dalam pada itu, Jue dan suami juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan sebuah video khas yang menceritakan lebih lanjut tentang kisah perkahwinannya bersama Bayu dan akan dimuat naik ke laman YouTube tetapi ia belum dapat dilakukan lantaran jadual yang padat.
Aktif berlakon
Bercerita tentang kariernya pula, Jue turut menepis tanggapan ramai yang mengatakan dirinya sekarang semakin perlahan dalam bidang lakonan setelah dikatakan kurang muncul di kaca televisyen.
Jelasnya, ketika ini dia masih lagi bergiat aktif sebagai pelakon, namun penampilannya sekarang lebih kerap dilihat di stesen televisyen RTM berbanding dengan stesen lain.
"Bukannya tiada tawaran berlakon dalam drama atau telemovie untuk stesen lain tetapi biasanya jadual yang diberikan selalu bertembung. Selain itu, saya juga lebih selesa bekerja dengan pihak yang saya sudah biasa.
"Rasanya ada yang beranggapan bahawa saya sudah kurang aktif berlakon kerana cerita mengenai diri saya jarang keluar di media. Hakikatnya, rezeki saya dalam lakonan masih lagi banyak yang diterima," ujarnya.
Meskipun tidak banyak cerita mengenai dirinya yang dipaparkan, pelakon itu menyatakan, ia suatu petanda yang positif kerana ini membuktikan dirinya tidak memerlukan cerita yang sensasi untuk melonjak nama sebagai pelakon.
"Ini menunjukkan yang saya ditawarkan berlakon oleh penerbit dan pengarah kerana bakat yang dimiliki. Disebabkan itu apabila bekerja, saya akan serius dan memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja bagi membalas kepercayaan yang telah diberikan," luahnya.
Cabaran
Selepas tampil dalam filem Hantu Bonceng terbitan Excellent Pictures pada tahun 2011, kini Jue sekali lagi bekerjasama dalam filem di bawah arahan Ahmad Idham berjudul Hantu Nan Sempit.
Menurut Jue, dalam filem berkenaan dia membawakan watak seorang gadis bernama Suraya yang diam-diam mempunyai perasaan cinta terhadap Ribut yang dilakon- kan oleh Soffi Jikan.
"Boleh dikatakan berlakon dalam filem ini agak mencabar kerana memerlukan saya membuat beberapa babak aksi. Pengarah ada bertanya sama ada saya boleh membuat babak aksi atau tidak dan saya memberitahu yang tiada masalah untuk melakukannya.
"Selain itu, dapat bergandingan dengan pelakon seperti Soffi juga memberikan suatu pengalaman yang menarik. Selain dikenali sebagai seorang pelakon yang bagus, dia juga memiliki gaya dan karakter tersendiri dalam setiap watak yang dibawakan," ujarnya.
Hantu Nan Sempit mengisahkan tentang seorang mekanik, Ady yang bekerja di sebuah bengkel telah membaik pulih sebuah motosikal yang terlibat dalam satu kemalangan tetapi motosikal tersebut seperti mempunyai rohnya sendiri.
Pada masa sama, pemilik bengkel berkenaan iaitu Ribut telah mengalami masalah kekurangan pelanggan di bengkelnya dan membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat bomoh atas nasihat rakannya, Suraya.
Selain Jue dan Soffi, filem tersebut turut dibintangi oleh Hazama dan Erin Malek selaku teraju utama. Ia akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 5 Jun depan.


3 buaya popular Langkawi dipindah ke sangkar baharu

Posted: 22 May 2014 04:01 AM PDT


TIGA ekor buaya yang dipindahkan dari THLL ke sangkar baharu bertujuan menyediakan ruang yang lebih selesa kepada hidupan reptilia itu.


LANGKAWI – Tiga ekor buaya yang menjadi tarikan dan popular dalam kalangan pengunjung di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) di sini dipindahkan ke sangkar baharu kelmarin.
Proses pemindahan itu dilakukan beberapa agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Veterinar serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Langkawi.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories