RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Bisnes Tak Menjadi, Mila Buang Stok Produk

Posted: 23 May 2014 07:49 PM PDT


Mila akui pernah berasa putus asa dalam perniagaan.
PETALING JAYA: Penyanyi Mila Jirin mendedahkan dia pernah berasa putus asa dan kecewa dalam bidang perniagaan kosmetik yang diceburinya iaitu Luv Mila sekitar tahun 2008.
Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla binti Jirin, 27, berkata, dia terpaksa membuang semua stok produk kosmetik tersebut kerana gagal untuk dijual.

"Produk kosmetik Luv Mila tidak menjadi kerana kekurangan modal untuk iklan dan kami terpaksa menghentikan operasi dan keluar daripada pejabat operasi kerana tidak mampu untuk membayar sewa.

"Saya tidak mahu tengok langsung produk tersebut dan mengarahkan pekerja saya membuang semua stok produk yang ada," katanya kepada mStar Online.

Tambah Mila, disebabkan perkara itu juga dia melupakan minatnya dalam bidang perniagaan selama setahun sebelum kembali semula dengan membuka sebuah syarikat pengurusan majlis.

Dalam pada itu, penyanyi ini turut mengusahakan restoran Embun Urai yang terletak di Taman Tasik Prima Puchong yang kini baharu sahaja melancarkan cawangan kedua di lokasi yang sama.

"Kegagalan lalu membuatkan saya lebih bersemangat dengan cuba menceburkan diri dalam bidang pengurusan majlis dan membuka restoran untuk makan malam dan tengah hari.

"Cawangan kedua restoran Embun Urai baru sahaja dibuka berhampiran dengan restoran pertama tetapi hidangan lebih fokus untuk sarapan dan makan tengahari sahaja dan waktu operasi pada pukul 7 pagi hingga 7 malam," katanya.

Sementara itu, Mila berkata, dia kini dalam proses untuk membuka sebuah lagi perniagaan perancang perkahwinan iaitu Bizmila Wedding and Catering dalam masa terdekat.

Katanya, buat masa ini dia menjadikan bidang perniagaan sebagai kerjaya utama berbanding nyanyian.

"Saya fokus dahulu kepada semua perniagaan berbanding nyanyian, lagi pun sekarang sibuk uruskan perniagaan Bizmila Wedding and Catering.

"Tapi saya masih lagi aktif memenuhi undangan nyanyian jika ada kelapangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mila yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music bakal keluar dengan single baharu berjudul Boneka dan Hampir Jauh duet bersama Nubhan.

Akim Ahmad Kecil Hati

Posted: 23 May 2014 07:48 PM PDT


cwq
Akim berpendapat pihak produksi Astro dianggap mengamalkan konsep kronisme dan hanya memilih artis-artis kegemaran tertentu dalam menjayakan sesebuah program.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Akim Ahmad meluahkan rasa sedih kerana sudah dua tahun tidak mendapat apa-apa tawaran untuk beraksi dengan pihak produksi sebuah stesen televisyen.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 23, turut berpendapat, ini kerana pihak berkenaan lebih mementingkan artis lain untuk menjayakan sesebuah program televisyen mahupun drama mereka

"Kalau nak tahu, sudah hampir dua tahun saya tak terlibat dengan produksi untuk stesen TV itu. Mungkin saya bukan artis kesukaan mereka? Apa nak buat..." katanya kepadamStar Online.

Bagaimanapun tambah Akim, perkara itu tidak menjejaskan semangatnya untuk mengembangkan kerjaya di bidang lakonan dan nyanyian kerana dia percaya masih ada pihak yang lagi mempercayai bakatnya.
he5
Akim dan Hafiz bakal mengadakan persembahan Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe Melaka pada 22 Jun depan.

Sementara itu, selepas terlibat dengan beberapa drama yang antaranya seperti Kampung Girl dan Mencari Ramli di stesen TV3, Akim merancang untuk berehat dalam lakonan dan memberikan fokus semula dengan kerja nyanyiannya pula.

Terbaharu, Akim menubuhkan sebuah kumpulan band Akim & The Magistreet dengan sebuah single lagu berjudul Mewangi.

"Tujuan menubuhkan kumpulan band adalah untuk kepuasan ketika membuat persembahan. Saya rasa lebih bersemangat apabila ada band. Bagaimanapun saya masih lagi mengekalkan status sebagai penyanyi solo," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Akim bakal terlibat dengan persembahan 'showcase' Hafiz & Friends bersama-sama dengan rakan seperjuangannya, Hafiz dan Hazama.

Persembahan tersebut akan berlangsung di Hard Rock Cafe Melaka pada 22 Jun depan.

Aiman Hakim Terpaksa Cerewet

Posted: 23 May 2014 07:46 PM PDT


Aiman Hakim Redza
KUALA LUMPUR:  Pelakon Aiman Hakim berkata, dia perlu menjadi seorang artis yang cerewet dalam usaha menyusun strategi jika ingin bertahan dalam bidang seni.

Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Redza, 25, berkata, dia tidak mahu hanya dikenali dengan watak serupa setiap kali muncul di televisyen.

"Saya rasa sudah cukup untuk saya menerima watak yang lebih kurang sama sahaja dan kini saya ada strategi sendiri.

"Saya akan lebih memilih skrip dan watak yang berbeza yang mencabar kemampuan saya sebagai pelakon agar penonton tidak bosan," katanya kepada mStar Online.
Aiman ditemui pada majlis pengumumannya sebagai duta baharu produk penjagaan kulit Garnier Men bersama Fahrin Ahmad di Hotel Aloft KL Sentral di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu Aiman berkata, dia juga akan meneliti terlebih dahulu watak  jika ditawarkan berlakon dengan kekasihnya aktres Nur Fathia Latiff.

"Memang banyak tawaran yang ingin kami berlakon bersama tetapi saya tidak mahu  watak yang sudah biasa dibawa.

"Biarpun saya akui lebih senang bekerja dengan dia tetapi soal peribadi saya akan letak tepi bila bekerja," katanya.

Aiman berkata, dia bakal keluar dengan drama terbaharu berjudul Selamat Pengantin Madu di slot Zehra di TV3.

Dalam perkembangan lain, Aiman kini dalam proses mencari bahan untuk single ketiganya.

Sementara itu, mengulas tentang produk Garnier Men, Aiman mengakui dia adalah pengguna tetap produk tersebut sejak di bangku sekolah.

"Saya seorang yang lasak ketika di sekolah dahulu. Saya memang sudah menjadi penguna tetap produk ini sejak dulu lagi.

"Ketika itu saya lihat Fahrin Ahmad memang sesuai menjadi  duta Garnier Men  kerana dia seorang pemain ragbi dan tidak sangka pula saya turut terpilih untuk jadi jurucakap produk ini," katanya.

Mak Mah Kongsi Rasa Bahagia Selepas Seminggu Nikah

Posted: 23 May 2014 07:45 PM PDT


2
Ruminah mengakui berasa begitu bahagia sejak mendirikan rumah tangga bersama Al Fatah.
PETALING JAYA: Selepas kira-kira seminggu bergelar isteri, pelakon veteran Ruminah Sidek mengakui dirinya berasa cukup bahagia di samping suaminya, seorang peneroka Felda dari Jelai Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70.

Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 68, berkata, walaupun pada mulanya dia berasa kekok memandangkan sudah 41 tahun menjanda, dia mula serasi dengan kehidupan sebagai sepasang suami-isteri.

"Susah nak cakap sebenarnya. Apa yang saya boleh katakan, hati saya sedang berbunga-bunga. Kalau boleh mana-mana pergi kami mesti mahu bersama.

"Maklumlah, sekarang ini saya sudah ada peneman dah tak macam dulu. Rasa kekosongan itu terisi," katanya kepada mStar Online.

Tambah Ruminah, kedua-dua mereka saling tidak mahu berenggang, namun terpaksa akur kerana masing-masing mempunyai kerja yang perlu dilunaskan.
ve
Ruminah bersama pasangannya, Al Fatah.

Ditanya apakah rutin wajib dibuat setiap hari, Ruminah berkata dia akan memastikan minuman kegemaran suaminya itu akan dihidang mengikut masa-masa tertentu.

"Saya seorang yang tidak minum minuman yang bersusu selain jus buah. Tetapi berbeza pula dengan suami, ada masa dia mahukan teh dan kadang kala kopi.

"Jadi saya pun perlu belajar bancuh minuman kegemarannya untuk dihidangkan setiap hari. Alhamdulillah, suami saya tidak cerewet," ujarnya.

Ruminah selamat bergelar isteri Al Fatah dalam satu majlis yang diadakan di kediaman abang ipar pelakon itu, di Meru, Klang pada 17 Mei lalu.

Perkahwinan ini merupakan yang kelima buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham pelakon AR Tompel.

Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie.

Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit. Manakala Fatah pula mempunyai 10 orang anak.

Peminat Marah Hafiz Suip Dedah Kekasih

Posted: 23 May 2014 07:43 PM PDT


hafiz suip & kekasih
Sama padan... inilah kekasih Hafiz Suip yang dikenali sebagai Fy.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip terkejut apabila beberapa peminatnya melahirkan kemarahan selepas mendapat tahu dia sudah berpunya apabila foto kekasihnya di keluarkan di laman Instagram minggu lalu.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, dia tidak menyangka peminatnya akan memberikan respons sedemikian tetapi berasa lega kerana tidak lagi perlu menyembunyikan rahsia perihal pasangan cintanya yang dikenali sebagai Fy itu.

"Ini merupakan kali pertama saya memuat naik foto kekasih di Instagram sekadar mahu memberitahu yang kini saya sudah berpunya.

"Tidak sangka pula apabila ada beberapa peminat yang meluahkan rasa kecewa kerana foto itu. Bagaimanapun, saya percaya mereka akan faham. Takkanlah saya tidak boleh ada kekasih semata-mata ingin menjaga hati orang," selorohnya.

Hafiz ditemui pada majlis pelancaran showcase Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe di sini pada Khamis.

Minggu lalu, teka-teki mengenai siapakah kekasih Hafiz terjawab dia  berkongsi fotonya bersama wanita itu dengan kapsyen 'happy birthday to my love' bagi mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran wanita berkenaan.

hafiz suip
Hafiz (kiri) dan Akim Ahmad akan terlibat dalam persembahan di Hard Rock Cafe, Melaka pada 22 Jun depan. Turut sama penyanyi Hazama.
Dalam pada itu Hafiz berkata, tujuan dia mendedahkan foto tersebut kerana merasakan sudah tiba masanya untuk dia berkongsi rasa bahagia perhubungan cintanya yang sudah terjalin selama lima bulan itu.

"Dulu saya terfikir, jika mendedahkan hal percintaan saya, mungkin ia akan menggugat karier dan peminat tidak akan suka saya lagi.

"Tetapi bila fikir balik, buat apa perlu sorok benda baik. Tetapi saya tidak akan memberitahu secara terperinci mengenai Fy.

"Apa yang saya boleh katakan, Fy merupakan pelajar jurusan akaun di sebuah institusi pengajian tinggi. Dia juga merupakan saudara jauh saya," ujarnya.

Sementara itu, mengenai showcase Hafiz & Friends, penyanyi Hazama dan Akim Ahmad turut terlibat menjayakan persembahan tersebut yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe Melaka pada 22 Jun depan.

"Kalau nak tahu, membuat persembahan di Hard Rock Cafe merupakan impian kami kerana ia sebuah kafe yang popular berkaitan persembahan-persembahan muzik selain memiliki sistem bunyi yang bagus.

"Secara keseluruhan, sebanyak 12 lagu yang akan dipersembahankan. Tidak sabar pula saya mahu bertemu dengan peminat," ujarnya.

Tiket persembahan berharga RM60 dan RM70 boleh dibeli dengan menghubungi 06-2925188 atau enquiries@hardrockcafe-melaka.com.

Sharnaaz Ahmad Kutuk Peserta 'The Band'

Posted: 23 May 2014 07:42 PM PDT


Sharnaaz meluahkan rasa hampa dengan peserta 'The Band' di Instagram miliknya.
PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad menganggap program realiti terbitan Astro iaitu The Band  sangat menghampakan apabila para peserta yang terlibat tidak mengambil serius dengan tugasan yang diberikan.

Sharnaaz menerusi akaun Instagram miliknya pada Khamis berkata, para peserta yang terlibat perlu majukan diri dengan menerima pendapat orang ramai terutamanya apabila persembahan mereka dikritik juri mahupun penonton.

"Sila majukan diri anda dengan menerima pendapat orang lain. Kalau tak boleh terima teguran, industri bukan tempat anda.

"Saya sokong niat dan usaha anda semua, tetapi maaf, rancangan awak menghampakan. Kalau rasa teguran ini keras, buktikan pada industri bahawa Astro tak ambil awak semua untuk membuang masa awak dan juga air time Astro," tegasnya dalam statusnya itu.

Sharnaaz pada Khamis telah memuat naik foto poster The Band dengan meletakkan status rasa tidak puas hatinya terhadap barisan peserta rancangan itu  yang tidak serius dengan tugasan yang diberikan selain tidak menerima kritikan juri sebagai pengajaran.

her
Barisan peserta The Band

Dalam pada itu, menerusi status Instagram Sharnaaz lagi, pelakon itu turut berkata, para peserta perlu bersedia bukan sahaja menerima kritikan negatif biasa tetapi juga hinaan atau kutukan teruk daripada orang sekeliling untuk dijadikan sebagai pembakar semangat.

"Peserta sila pandang kritikan, kutukan, hinaan sebagai satu pembakat semangat.

"Kalau nak sentap, sila angkat kaki lambung... Saya pernah dipanggil anjing kurap, kurang ajar, tetapi saya hadap dan hadam. Jujur dengan seni, seni tidak akan berpaling pada kesetiaan anda," ujarnya.

Seramai 32 peserta terlibat dengan program The band di mana masing-masing 16 lelaki dan 16 wanita membuat persembahan secara berkumpulan dan ahli-ahli kumpulan akan bertukar ganti setiap minggu.

Para peserta dinilai menerusi undian penonton sebanyak 30 peratus manakala 70 peratus adalah daripada pihak juri iaitu, Datuk Aznil Nawawi, Syafinaz Selamat dan Yusri Abdul Halim.

Program itu bersiaran di Astro Ria (Saluran 104) dan Mustika HD (Saluran 134) bermula 7 April setiap Sabtu pukul 10 malam.

Pemenang Peraduan Fesyen & Kapsyen 2

Posted: 23 May 2014 07:41 PM PDT


PETALING JAYA: Peraduan Fesyen dan Kapsyen 2 mStar Online yang berakhir pada 18 Mei lalu menemui para pemenang yang layak menerima baucar beli-belah bernilai RM100 dan RM500.

Hadiah ditaja oleh  Street Fashion KL, Seqoci & The Color Tree KL.

Sepanjang peraduan ini berlangsung, mStar Online mendapat respons memberangsangkan daripada orang ramai yang menghantarkan kapsyen mereka yang menarik dan kreatif.

Berikut ini pemenang Peraduan Fesyen dan Kapsyen 2. 

Hadiah Utama: Baucar RM 500 tajaan Street Fashion KL
1. Syarifah Syazrah
2. Ann-Marie Khor Wen Ling
3. Norlinda Binti Ahmad

Hadiah Harian Minggu Pertama: Baucar RM 100 tajaan Seqoci
1. Jennifer Binti Juanis
2. Sia Ming Choung
3. Siti Fadilah Husin
4. Ann-Marie Khor Wen Ling
5. Syarifah Syazrah
6. Sumarni Abu Bakar
7. Junaidah binti Ibrahim

Hadiah Harian Minggu Kedua: Baucar RM 100 tajaan The ColorTree KL
1. Yusrizan Bin Mohamed
2. Yong Choy Peng
3. Norlinda Binti Ahmad
4. Premh Patmanathan Mohan Raj
5. Sarifah Nurul Farhanah Bt Syd Ismail
6. Nurfarahin Binti Jasenu
7. Noor Karthinie

Aeril Zafrel Tak Halang Isteri Bergandingan Dengan Lelaki Lain

Posted: 23 May 2014 07:40 PM PDT


wawa zainal
Aeril Zafrel benarkan Wawa Zainal untuk kembali aktif berlakon.
PETALING JAYA: Pelakon Aeril Zafril dia tidak pernah menghalang isterinya Wawa Zainal untuk berlakon dengan lelaki lain dalam sesebuah drama atau filem.
Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 26, berkata, wanita itu sudah dewasa dan pandai menjaga diri serta tahu batasannya sebagai seorang isteri.

"Kami akan bergandingan pertama kali selepas kontroversi melalui drama Cerita Cinta Kita yang akan ditayangkan bermula 28 Mei ini dan ia juga drama pertama Wawa selepas kembali semula berlakon.

"Saya tidak pernah halang dia untuk berlakon dengan lelaki lain atau letak apa-apa syarat kerana dia pun sudah besar asalkan tidak menjejaskan tanggungjawab terhadap anak dan keluarga.

"Kalau dia terpaksa lakukan adegan yang agak janggal atau keterlaluan sekalipun saya tahu ia hanya teknik kamera sahaja dan biarlah orang nak cakap apa asalkan dia, saya dan Allah mengetahuinya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Aeril berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang mendakwa dia tidak membenarkan isterinya itu berlakon bersama lelaki lain sejak dia menguruskan kerjaya wanita itu sepenuhnya selepas keluar daripada pengurusan Metrowealth.

Dalam pada itu, Aeril mengakui selepas kontroversi perkahwinannya mereka lebih banyak menerima tawaran berlakon sebagai pasangan kekasih atau suami-isteri.

Bagaimanapun, sebagai pelakon dia perlu memilih tawaran yang benar-benar memberi kesan termasuklah kepada masyarakat yang menontonnya.

"Alhamdulillah rezeki yang datang tidak putus-putus terutamanya mereka mahukan pakej sekali iaitu kami berdua.

"Tetapi ada juga tawaran yang saya tolak.. Biasanya saya akan pilih cerita yang memberi kesan berguna kepada penonton," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang bergandingan bersama isteri, Aeril mengakui dia lebih selesa dan mudah untuk mencapai keserasian dalam drama tersebut.

"Sebelum ini kami memang banyak berlakon bersama cuma ketika itu belum jadi suami-isteri lagi. Sekarang perbezaannya ialah lebih senang kerana kami boleh pergi dan balik sama-sama," katanya.

Selain drama eksklusif TV3 iaitu Cerita Cinta Kita, mereka juga bakal bergandingan untuk drama Novel Fana terbitan Astro dan sebuah filem 354 Nafas yang bakal ditayangkan tahun hadapan.

Pada 11 Oktober 2013, pasangan ini mencetuskan kontroversi apabila mengaku telah bernikah pada 25 Februari 2012 secara rahsia tanpa dihebohkan kepada pihak media.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ahmad Fakharuddin Attar, 10 bulan.

Siapakah Hussein Dalam Hidup Miera Liyana?

Posted: 23 May 2014 07:39 PM PDT


miera liyana
Miera Liyana... cantik orangnya.
PETALING JAYA: Pelakon Miera Liyana menafikan khabar angin kononnya dia sedang bahagia dengan seorang jejaka yang dikenali sebagai Hussien.
Miera, 21, berkata, Hussein hanyalah kawan lamanya ketika mereka di bangku sekolah dan terpisah kerana pemuda itu menyambung pelajaran ke luar negara.

"Saya masih solo dan belum ada lelaki yang sesuai untuk dijadikan kekasih. Hussien itu hanya kawan lama yang saya kenal sejak darjah satu lagi.

"Tapi bila habis tingkatan 5 dia sambung belajar di Melbourne, Australia dalam jurusan perniagaan. Memang kami rapat tetapi tidak sampailah untuk bercinta," katanya kepadaMstar Online.
Miera Liyana akui masih solo dan belum menjumpai lelaki yang sesuai dijadikan kekasih.

Miera berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gambar-gambar dengan kapsyen mesranya di laman sosial bersama lelaki tersbeut.

Tambah Meira, dia tidak mungkin akan bercinta dengan lelaki yang sudah dianggap sebagai kawan terutamanya dikenali ketika semasa zaman sekolah.

Keputusan itu disebabkan untuk mengelakkan berlaku perkara-perkara tidak diingini yang boleh menyebabkan perpecahan antara kawan-kawan sekolah yang lain.

Antara gambar mesra yang dimuat naik oleh Miera Liyana bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai Hussein.

"Saya ramai kumpulan kawan, ada kawan masa kerja dan ada kawan masa sekolah. Prinsip saya tidak akan bercinta dengan kawan-kawan sekolah kerana saya tidak mahu timbul pergaduhan dengan kawan-kawan lain bila hubungan tersebut bermasalah," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Miera akan terlibat dengan drama 60 episod, berjudul Kusinero Cinta.

Drama tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat selaku teraju utama iaitu, Aaron Aziz, Tiz Zaqyah dan aktor kelahiran Filipina, Jericho Rosales.

Selain itu, Miera turut bersama empat orang artis lain seperti Fizo Omar, Tasha Shilla, Hairul Azreen dan Kamal Adli akan bercuti ke Barcelona dengan penerbangan Air France anjuran Rafflesia pada 23 Jun hingga 30 Jun 2014.

KRU Nafi Punyai Masalah Dengan Wings

Posted: 23 May 2014 07:37 PM PDT


cwq
Wings pada pelancaran album mereka di Hard Rock Cafe pada Isnin lalu.
PETALING JAYA: Syarikat rakaman KRU Music menepis khabar angin pihaknya mempunyai masalah dengan legenda rock negara iaitu Wings gara-gara empat lagu kumpulan tersebut telah dicetak rompak secara digital sebelum album mereka, Menakluk Kosmos dilancarkan.

Naib Presidennya, Jaja Nadzir berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku memandangkan syarikat tersebut turut menjadi mangsa keadaan cetak rompak selepas menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk projek album tersebut.
"Sejujurnya KRU Music tidak mempunyai masalah dalaman dengan Wings kerana mereka adalah artis kami dan juga rakan kongsi perniagaan KRU.
"Kami telah berusaha untuk menyekat penyebaran lagu tersebut di ruang digital tetapi malangnya ia telah dimuat turun dan telah dicetak rompak

"Lagipun inilah kali pertama album fizikal keluaran KRU dicetak rompak sebelum berada di pasaran. Diharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan isu ini dan pihak KRU akan membuat laporan polis dan kini sedang mengumpul maklumat berkaitan isu ini," katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Pada Selasa lalu, Wings telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Malawati, Hulu Kelang, dekat sini berhubung empat lagu  dalam album terbaru mereka iaitu Peti Pandora Mu, Ingatkan Dia, Bisa Yang Tertunda dan Hei Lihat Sini yang baru dipasarkan pada Khamis  telah dicetak rompak.

Lagu kumpulan itu bukan sahaja boleh dimuat naik secara percuma malah album itu juga boleh didengari menerusi aplikasi Spotify dan Deezer bagi pengguna telefon pintar sebelum sempat ia dilancarkan.
Perkara itu dikatakan berpunca daripada kelemahan pihak KRU sendiri.
Dalam pada itu vokalisnya, Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak KRU apabila pelancaran album mereka pada Isnin lalu dibuat seperti 'melepaskan batuk di tangga' dan tidak bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Jaja berkata, pihaknya juga sudah berhubung dengan anggota Wings untuk menjernihkan keadaan dan perjumpaan antara kedua-dua pihak akan diadakan tidak lama lagi  bagi menyelesaikan isu tersebut selain membincangkan langkah seterusnya bagi mempromosikan album Menakluk Kosmos. 

"Pihak kami akan berjumpa dengan Wings bagi menjernihkan keadaan. Mengenai isu pelancaran album Menakluk Kosmos yang gagal mendapat sambutan pihak media, saya mewakili KRU Music ingin memohon maaf kepada semua pihak termasuklah Wings  kerana sebarang kekurangan yang berlaku adalah diluar jangkaan kami," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories