RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Hefny Sahad Bukan Dalang Nad Zainal Putus Cinta

Posted: 06 May 2014 11:28 PM PDT

srgw
Azwan terkejut kenyataan Nad Zainal tentang hubungan mereka sudah berakhir.
PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal menegaskan hubungan cintanya yang sudah berakhir dengan Azwan Kombos bukan disebabkan pihak ketiga sebaliknya berpunca daripada masalah di antara mereka sendiri. 
Nad atau nama sebenarnya, Nadia Zainal, 24, berkata, hubungan mereka retak juga bukan kerana cinta lokasinya dengan Hefny Sahad ketika berlakon telefilem Mengintai Syurga Mama pada April lalu seperti mana diperkatakan orang.
"Apa yang berlaku antara kami tiada kena mengena dengan pihak ketiga mahupun Hefny.

"Saya ada sebab peribadi dan biarlah perkara itu saya simpan sendiri. Lagipun saya dan Azwan sudah berbincang menyelesaikan masalah berkenaan dan ia dianggap sudah selesai. Tidak elok rasanya apabila berlaku masalah di antara kami, ia dikaitkan dengan orang lain," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.

Nad diminta mengulas mengenai keretakan hubungan cintanya dengan Azwan, 29, yang kononnya berpunca daripada pihak ketiga iaitu Hefny. Mereka dikatakan menjalin hubungan cinta selepas terbabit dalam telefilem Mengintai Syurga Mama, terbitan Zeel Production.

Azwan menerusi laporan mStar Online Isnin lalu terkejut dengan kenyataan Nad sedangkan dia menganggap hubungan mereka masih baik seperti biasa. 
eh54
Nad dan Hefny mula akrab sejak berlakon bersama dalam telefilem 'Mengintai Syurga Mama'
Sementara itu, Hefny yang dihubungi mStar Online pula terkejut apabila dikatakan menjadi punca perhubungan cinta Nad dan Azwan putus.
Katanya, hubungan pasangan itu putus sebelum dia dan Nad menjalani penggambaran drama berkenaan.

"Setahu saya, mereka putus sebelum kami digandingkan bersama dalam telefilem itu. Terkejut pula apabila ada orang nak kaitkan saya sebagai punca masalah cinta mereka.

"Diakui saya dan Nad mula akrab sejak berlakon bersama. Dia banyak meluahkan masalah peribadinya kepada saya. Dan saya tahu sebab apa mereka putus. Tetapi terus terang saya katakan, saya bukanlah punca putusnya hubungan mereka itu," tegasnya.

Dilema artis berhijrah

Posted: 06 May 2014 11:26 PM PDT


  • Dilema artis berhijrahAntara artis yang berhijrah.

TAHUN demi tahun, industri seni kini memperlihatkan peningkatan golongan selebriti yang tampil dengan penghijrahan ke arah kebaikan.

Tidak kira lelaki mahupun wanita, penghijrahan mereka wajar dijadikan contoh kepada rakan selebriti yang masih berada dalam kepompong lama.

Sebelum ini, keputusan Irma Hasmie, Diana Amir, Abby Abadi dan Mizz Nina, amat memeranjatkan peminatnya namun usaha itu dilihat sebagai satu penghijrahan yang lebih baik untuk kehidupan mereka.

Pada tahun ini, bilangan itu semakin bertambah apabila beberapa selebriti turut mengikut jejak langkah yang sama termasuk pelakon baharu, Bella Dally, Ummi Nazeera dan aktres seksi, Rabecca Nur Al-Islam.

Malah, beberapa nama lain termasuk Yatt Hamzah, Ayu Raudhah, Memey Suhaiza, Siti Nordiana, Nora, Liza Hanim, Raja Farah, Fiza & Azza Elite, Natasha Hudson, Syarifah Aleya, Syarifah Sofea, Wardina, Shila Amzah, Puteri Sarah Liyana, Melissa Saila dan Farah Anuar, dilihat terus istiqamah dalam berhijab.
Tidak kurang juga dalam kalangan selebriti lelaki yang memilih untuk mendekati Islam termasuk Iwan Dangdut, Sham Kamikaze, Adam AF, Noh, Piere Andre, Renggo Arrow, Ali & Mael XPDC, Aeril Zafrel dan Syamsul Yusof.

Penghijrahan ini adalah satu keputusan yang terbaik dalam kehidupan umat Islam, namun untuk golongan selebriti, pastinya mereka turut berdepan dengan pelbagai masalah.

Ada satu ketika, beberapa selebriti ini mengakui turut dihina dan dipulaukan rakan-rakan apabila membuat keputusan untuk berubah.

Malah, pelakon dan penceramah bebas, Catriona Rose dan anggota kumpulan Al Mawlid, (Pot Innuendo, Azan Ruffedge, Zaf VE), turut menerima tekanan hebat daripada rakan-rakan yang tidak sehaluan.

Bukan sahaja penerimaan daripada rakan-rakan, malah kebanyakan golongan selebriti berhijrah amat sukar menerima peluang untuk beraksi di layar.

Perkara ini turut diakui oleh selebriti cantik, Yatt Hamzah atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 34.

Oleh hal yang demikian, personaliti ini tampil menghulurkan bantuan kepada golongan rakan artis yang berhadapan dengan kekangan peluang dalam industri.

Apa bentuk bantuan yang bakal diberi? Kita ikuti temu bual khas pemilik butik pakaian Muslimah, Suci by Yatt Hamzah, ini dalam usaha murninya itu...


Hampir dua tahun berhijrah, adakah anda turut berdepan dengan permasalahan dalam industri?

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, rezeki saya masih ada dalam industri dan tawaran masih diterima. Namun, dalam hal ini, saya pula yang berdepan dengan kekangan masa apabila dunia saya kini bukan hanya bersandarkan kepada lakonan semata-mata. Kalau dulu, lakonan menjadi perkara utama, kini tidak lagi. Saya lebih mengutamakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan terlebih dahulu. Ada tawaran yang diberi terpaksa ditolak atas kepadatan jadual. Selain itu, saya juga akan lebih 'selektif' untuk memilih jalan cerita dan watak, bersesuaian dengan imej saya kini.


Bergelar selebriti dalam dua 'zaman' yang berbeza, apakah perbezaan ketara yang anda rasainya dalam industri?

Banyak perbezaan di antara zaman 'gelap' dan sekarang. Kalau dahulu kita bebas bergaul, kini perkara itu amat dititikberatkan. Begitu juga dengan naskhah. Namun, saya bernasib baik kerana walaupun saya berhijab, namun masih ada tawaran lakonan.

Selain itu, saya tidak hanya bergantung kepada lakonan semata-mata kerana saya sibuk dengan perniagaan, aktiviti dakwah, ceramah dan motivasi serta pengacaraan. Pun begitu, ramai di kalangan rakan-rakan saya yang berhadapan dengan masalah ini.

Dari keluhan itu, mereka mengakui sukar untuk mencari makan bila sudah berhijrah.


Pada pandangan anda, mengapakah golongan selebriti berhijrah kurang diberi peluang?

Sebenarnya, banyak faktor yang menjadi penghalang untuk rakan-rakan saya bekerja dalam industri. Jauh disudut hati mereka, mereka masih cintakan industri dan perasaan berbunga-bunga untuk bekerja. Namun, peluang yang diberi tidak banyak, malah ada produksi yang memilih artis yang tidak bertudung dan 'ditudungkan' dalam karya mereka. Saya bukan mengecam tindakan itu kerana ada baiknya juga memberi watak bertudung kepada mereka yang tidak bertudung, mana tahu, mereka turut mendapat hidayah seperti kami. Namun, janganlah terus dipinggirkan artis berhijab sepenuhnya ini.


Bagaimana pula dengan reaksi produksi tempatan?

Kebanyakan produksi dan pihak tidak bertanggungjawab akan menuduh artis berhijab ini terlibat dalam aktiviti politik dan parti pembangkang. Itu adalah dakwaan tidak berasas dan saya juga pernah dituduh sedemikian hanya kerana saya terlibat dalam aktiviti ceramah yang dianjurkan kerajaan negeri yang dipimpin pihak pembangkang. Malah, ada juga di kalangan artis yang teragak-agak untuk berhijrah kerana bimbang mata pencarian mereka tergugat. Sebab itulah saya terpanggil untuk merangka sesuatu untuk rakan-rakan artis.


Boleh kongsikan serba sedikit mengenai projek yang bakal dilaksanakan itu?

Memandangkan saya juga merupakan ikon Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), saya akan bekerjasama dengan pertubuhan ini untuk menubuhkan NGO yang boleh membantu golongan selebriti berhijrah yang terpinggir. Dari situ, peluang kerja akan diberikan secara khusus kepada golongan ini termasuk dalam projek seni termasuk drama, telefilem mahupun teater. Dengan cara ini, mereka akan boleh terus bekerja dan menjana pendapatan.


Bilakah ianya akan dilaksanakan?

Buat masa ini, ianya masih dalam perancangan dan merangka. Insya-Allah, sempena sambutan Bulan Dakwah Negara, pada bulan ini, kami akan menguar-uarkannya. Doakan agar ianya dapat dilaksanakan kerana ini adalah usaha saya untuk membantu mereka.


Akhir sekali, apakah program ini akan dapat membantu artis-artis berhijrah untuk terus berada dalam industri?

Insya-ALLAH, saya berharap agar ianya dapat membantu rakan-rakan yang lain. Niat saya hanyalah untuk membantu mereka kerana ALLAH SWT. Malah, ini adalah salah satu usaha dakwah saya. Kalau bukan saya yang membantu, siapa lagi dan harapan saya semestinya agar program ini berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang.


REAKSI ARTIS

Percaya pada rezeki ALLAH SWT

Menganggap ianya sebagai ketentuan rezeki dari ALLAH SWT, namun pelakon cantik, Lisdawati, mengakui, tawaran lakonan yang diterima selepas berhijrah tidak 'selebat' dahulu.

Menurut isteri kepada aktor hebat, Fauzi Nawawi ini, selain kurang tawaran, dia juga perlu memikirkan beberapa faktor sebelum menerima tawaran agar tidak melanggar syariat Islam.
"Kalau nak dibandingkan dengan dahulu, memang sekarang susah sikit nak cari makan dalam bidang lakonan.
"Selain perlu selektif dalam pemilihan watak yang bersesuaian, syarikat produksi dan stesen televisyen juga kurang memberi ruang kepada kami untuk beraksi.

"Malah, mereka lebih selesa mengambil pelakon yang tidak bertudung dan 'ditudungkan' dalam naskhah itu," katanya lagi.

Jelas Lisdawati, bukan iri hati atau tidak berpuas hati dengan pemilihan, namun apa salahnya jika peluang itu diberikan kepada artis berhijrah terlebih dahulu.
"Sebagai contoh, sebelum ini, saya selalu menerima tawaran daripada stesen televisyen berkonsepkan Islamik, namun selepas berhijrah, saya langsung tidak dipanggil lagi.
"Saya pun pelik juga kerana sebelum ini, syarat-syarat mereka jelas menetapkan pemilihan pelakon sangat terperinci dan tiada adegan bersentuhan.

"Namun, kebanyakan yang dipilih bukan dari kalangan yang bertudung sepenuhnya. Tapi, saya anggap ianya sebagai rezeki dari ALLAH SWT. Jika saya tidak dipilih, itu maknanya bukan rezeki saya," jelas pelakon drama, Bukan Kerana Aku Tak Cinta, ini.
Tambah Lisda, kekurangan tawaran lakonan membuatkannya terpanggil untuk menerima tawaran dalam bidang motivasi dan ceramah bebas.

"Saya kini berusaha memperbanyakkan bahan bacaan dan ilmu untuk persediaan menghadiri 'talk' dan ceramah motivasi.

"Namun, saya hanya akan menerima program yang berlandaskan apa yang saya tahu termasuk berkongsi pengalaman bergelar artis dalam tempoh 13 tahun ini.
"Selain itu, saya juga terdetik untuk berniaga kerana ramai rakan-rakan artis yang mula memilih jalan ini sebagai pendapatan lain," katanya yang berharap agar usaha Yatt memberi sirna buat artis berhijrah. -Lisdawati-


"Bagi saya, rezeki selepas berhijrah lebih banyak berbanding sebelum ini. Apabila kita niat nak menutup aurat ikhlas kerana ALLAH SWT, maka segalanya akan menjadi lebih mudah.

Alhamdulillah, tawaran persembahan, berlakon dan mengacara masih banyak saya dapat. Syukur, setiap minggu saya akan dapat undangan persembahan di seluruh Malaysia." -Siti Nordiana-


"Tawaran yang diterima masih sama seperti dahulu. Saya tidak rasa penghijrahan ini memberi masalah buat golongan artis seperti saya kerana ianya terpulang kepada rezeki masing-masing.

Bagi saya, kalau orang tak panggil tu, maknanya bukan rezeki saya. Tapi, saya berharap agar usaha Yatt itu berhasil dan jika kena dengan caranya, ia memberi peluang kepada ramai rakan-rakan artis." -Enot-


"Saya dah lama tak berlakon dan saya sendiri tak pasti mengenai pemilihan pelakon kini. Tapi, secara logiknya, susah nak buat banyak karakter kalau sudah berhijab.

Jika diteliti mengenai jalan cerita, susah nak terapkan untuk pelakon bertudung jika babak di rumah. Mana ada isteri atau ibu yang yang perlu menutup aurat ketika bersama suami dan anak-anak.

Secara realitinya, ia adalah satu kesukaran untuk pelakon bertudung." -Sharifah Sofia-


"Saya akui, sejak berhijrah, tawaran lakonan semakin berkurangan. Namun, saya memandangnya sebagai perkara positif dan menganggapnya sebagai satu ujian dari Allah SWT.

Kekurangan tawaran itu adalah kerana kesesuaian watak kerana selepas berhijrah saya perlu selektif. Watak dan jalan cerita juga perlulah bersesuaian dengan imej dan pendirian saya.

Saya akui, ada tawaran yang inginkan saya membuka tudung, namun saya tolak dengan berhemah. Walaupun kurang tawaran, namun, saya masih terlibat dalam pengacaraan dan bidang penulisan buku." -Diana Amir-


"Secara peribadi, saya melihat situasi artis berhijrah ini tidak menjadi hal kepada industri. Tetap ada rezeki mereka, cuma pasang surutnya rezeki itu bergantung kepada usaha masing-masing. Berbeza 'hijrah' setiap manusia, ada yang berhijrah jadi lebih baik untuk diri sendiri dan ada yang berhijrah pakaian sahaja.

Bergantung kepada fahaman masing-masing kerana ALLAH SWT mengurniakan sesuatu kepada manusia dengan kadar yang berbeza-beza.

Pada awalnya, hijrah saya memang nampak untuk diri sendiri, tapi saya bersyukur kerana diraikan jemaah yang benar-benar Islam.

Sebelum ini, kenyataan saya mengenai artis berhijrah pernah diselewengkan sehingga ada yang salah anggap. Bukan semua disekat, namun artis berhijrah yang tidak bersama kerajaan.

Produksi selalunya akan hantar nama dahulu kepada stesen televisyen dan kebanyakan stesen dikuasai kerajaan. Ia adalah pengalaman saya dahulu. Harapan untuk masuk TV itu bergantung kepada keadaan sebab tiada hitam putih pun saya disenaraihitamkan.

Cuma, saya dapat tahu saya di'blacklist' bila ada yang panggil untuk program, nama saya tak lepas. Bukan sekali tapi dah banyak kali. Tapi, saya sangat yakin rezeki dari-Nya.

Tak menyanyi, tak berlakon, rezeki lain ada. Yang lebih penting, rezeki itu halal disisi-Nya." -Abby Abadi-

Natasha Hudson, Suami Ambil Diploma Dalami Islam

Posted: 06 May 2014 11:25 PM PDT


natasha hudson 1
Natasha tidak mahu penghijrahannya hanya sekadar kata-kata dan mahu memperbaiki diri dengan cara diredai Allah.
PETALING JAYA: Pelakon Natasha Hudson menjelaskan keputusannya menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang Pengajian Islam di Yayasan Ta'lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat adalah salah satu cara untuk mendalami agama Islam.

Natasha atau nama sebenarnya, Natasha Liana Hudson 32, berkata, dia tidak mahu penghijrahannya hanya sekadar di bibir sebaliknya mahu memperbaiki diri dengan cara diredai Allah.

"Saya tidak mahu sekadar berhijrah pada kata-kata dan ingin mendalami ilmu tentang Islam dan itu adalah tujuan utama mengapa saya dan suami mengambil diploma dalam pendidikan Islam.

"Masih banyak perkara yang saya tidak faham dan menerusi pembelajaran ini ia banyak memberi manfaat dan pemahaman tentang Islam dalam diri saya," katanya kepada mStar Online.
Tambah Natasha, dia juga bertuah kerana suaminya, Carleed atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 34, turut mengambil kursus dalam bidang serupa selain mereka dapat berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pendapat tentang pembelajaran masing-masing.
natasha hudson & suami
Natasha bersama suaminya Carleed

Malah kata Natasha, mereka bukan sahaja dapat menambah ilmu tetapi hubungan suami-isteri akan menjadi lebih akrab dan romantik. Mereka juga sudah bercadang untuk menyambung pengajian sehingga peringkat ijazah selepas menerima diploma pada akhir Mei ini.

"Alhamdulillah doa saya dimakbulkan Allah dan Insya-Allah jika ada rezeki kami akan menyambung ke peringkat ijazah pula memandangkan Institut Arees bakal dibuka di Malaysia tidak lama lagi.

"Biarpun sibuk dengan keluarga ia tidak menjadikan kami lemah untuk mencari ilmu malah hubungan kami semakin rapat," ujarnya.

Dalam pada itu, Natasha berkata, dia sudah bersedia untuk kembali ke dunia lakonan selepas menyepi bagi memberikan tumpuan kepada keluarga dan perniagaan dalam taliannya.

Natasha mengakui rindu untuk kembali berlakon dan berharap dapat memegang watak yang bersesuaian dengan penampilannya yang sudah bertudung.

"Rindu itu memang ada tetapi sebelum ini ada beberapa komitmen yang perlu saya utamakan dan kini saya sudah bersedia untuk kembali berlakon jika masih ada rezeki saya.

"Pun begitu saya akan lebih selektif terhadap watak yang diberikan agar sesuai dengan imej dan penampilan saya sebagai muslimah," jelasnya.

Sementara itu, Natasha yang turut sibuk menguruskan perniagaan pakaian muslimahnya iaitu Dreamclouds memberitahu bakal melancarkan pakaian bayi perempuan dalam masa terdekat.

Jelas Natasha, dia ingin memfokuskan kepada pakaian bayi perempuan kerana pilihan yang ada di pasaran agak terhad terutamanya bagi yang berumur satu hingga tiga tahun.

"Kadang-kadang nak cari gaun yang comel dan cantik untuk bayi perempuan memang sukar jadi dari situ timbul idea saya untuk melancarkan jenama baharu saya ini kepada pelangaan dalam masa terdekat.

"Malah saya juga dalam proses menyiapkan laman web rasmi untuk tujuan tersebut," ujarnya.

Chef Ismail Pesan Jangan Ambil Makanan Berlebih-Lebihan

Posted: 06 May 2014 11:24 PM PDT


chef ismail
Chef Ismail
KUALA LUMPUR: Chef selebriti terkenal iaitu Datuk Chef Ismail menasihati  semua golongan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam hal penjagaan kesihatan dan tidak mengambil makanan secara berlebih-lebihan.

Chef Ismail atau nama sebenarnya Ismail Ahmad, 55, berkata, dia amat risau dengan tabiat itu sehingga ia memberi kesan apabila mereka menghidap penyakit yang serius.

"Takut rasanya apabila melihat kanak-kanak kecil sudah mempunyai masalah penyakit berat badan dan lebih teruk lagi mereka terkena diabetis.

"Ini semua kerana cara pemakanan yang tidak betul. Kebanyakan masyarakat mudah terkena penyakit akibat pemakanan. Apatah lagi dengan pelbagai  bahan pengawet dan pewarna di pasaran yang boleh menjejaskan kesihatan kita," katanya kepada mStar Online di Restoran Rebung di sini pada Selasa.

Chef Ismail yang juga duta produk mi segera Mamee Chef ditemui pada majlis Hari Mamee bagi meraikan sambutan Hari Ibu pada 11 Mei ini.
chef ismail 2
Chef Ismail (dua dari kiri) menunjukkan demonstrasi masakan sambil disaksikan oleh rakan-rakan artis iaitu Ziela Jalil (dari kiri), Karl Shafek dan Aidid Marcello.


Hadir sama pengurus pemasaran Mamee-Double Decker Sdn Bhd, Soong Shan Mee,  penerbit drama, Ziela Jalil, dua pengacara iaitu Aidid Marcello dan Karl Shafek.

Dalam pada itu, Chef Ismail turut  menepis dakwaan  segelintir masyarakat yang menganggap mi segera juga boleh mendatangkan penyakit.

"Berdasarkan mi segera yang saya wakili (Mamee) ia bukanlah sejenis makanan yang memudaratkan kesihatan.

"Bagi saya, sekiranya pola pemakanan kita betul, tidak ada masalah untuk kita memakan mi segera sekali pun," tuturnya.

Dalam pada itu semasa majlis Mamee telah meraikan lima pemenang bertuah hasil daripada isian slogan di Facebook sempena Hari Mamee.

"Hari Mamee merupakan salan satu platform yang digunakan untuk mendekatkan jenama Mamee Chef dengan pelanggan bertuah yang dijemput melalui Facebook.

"Pelanggan bertuah tersebut dapat meluangkan masa bersama tiga selebriti jemputan selain menyertai tiga jenis aktiviti disediakan oleh pihak Mamee," ujar Soong Shan Mee.

Perginya Aziz Sattar Tidak Mungkin Ada Pengganti

Posted: 06 May 2014 11:21 PM PDT


Pemergian Aziz Sattar adalah satu kehilangan besar buat industri seni negara.
PETALING JAYA:  Ketika dunia hiburan baharu sahaja dikejutkan dengan kematian biduanita Kartina Dahari dan dramatis Sidek Hussain, satu lagi berita sedih muncul apabila seniman Datuk Abdul Aziz Sattar pula menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa.

Kematian Allahyarham pada usia 89 tahun memberi kesan kepada seluruh peminat filem Melayu kerana lakonannya bukan sahaja menjadi fenomena malah berjaya dikenang oleh setiap generasi sehingga ke hari ini.

Aziz atau lebih mesra dengan sapaan Pak Ajis yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia dan kemudiannya membesar di Pasir Panjang Singapura menjalani kehidupan sukar apabila terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Kota Raja pada usia 11 tahun ekoran serangan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu ketika itu.

Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.
Aziz bersama koleksi trofi dan keratan akhbar mengenai dirinya yang disimpan dengan baik dirumahnya.

Biarpun tidak dapat meneruskan persekolahan namun kelebihan yang ada pada Aziz iaitu bakat seninya sejak usianya 10 tahun mampu membawa tuah selain beliau juga sering mengadakan persembahan di majlis perkahwinan di kampungnya.

Dari situ, bakatnya terus berkembang dan kebolehannya sebagai penghibur dan pelawak terus mendapat perhatian sehinggalah dia bersma dua orang sahabat  dipelawa untuk bekerja di studio Malay Film Production (MFP) sebagai krew penggambaran atas bantuan pelakon Shariff Dol.

Berkat kesabarannya Aziz diberikan watak pembantu dalam filem Putus Harapan pada tahun 1953 arahan B. N. Rao sebagai seorang guru sekolah.

Biarpun bukan peranan utama namun dia berjaya menjiwai watak berkenaan disamping pelakon utamanya iaitu  P.Ramlee, Rokiah Jaafar dan Nordin Ahmad.
Filem Bujang Lapok yang menggandingkannya bersama dua sahabat baiknya iaitu P.Ramlee dan S.Shamsuddin menjadi fenomena sehingga ke hari ini.

Ekoran kejayaannya membawakan watak dalam filem itu dengan baik, pihak pengurusan memberikan kontrak selama tiga tahun untuk bernaung bawah MFP dan di situlah bermulanya karier Allahyarham sebagai pelakon.

Aziz telah membintangi lebih daripada 50 buah filem sepanjang kariernya namun sudah tentu paling meninggalkan kesan kepada penonton adalah kemunculannya dalam filemBujang Lapok  bersama  P.Ramlee dan S. Shamsuddin pada tahun 1957.

Ramli, Sudin dan Aziz - tiga watak yang sehingga kini melekat di hati peminat filem Melayu siri Bujang Lapok dan kejayaan filem itu melonjakkan nama Aziz sebagai salah seorang pelakon dan pelawak terbaik dalam era filem Melayu.
Wajah Aziz yang dirakamkan oleh jurugambar The Star pada awal tahun 1990-an.

Keserasian tiga sahabat itu membuatkan mereka sering digandingkan bersama antaranya termasuklah Pendekar Bujang Lapok (1959), Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok (1961).

Penutupan MFP pada tahun 1967 telah membuka lembaran baharu kepada kerjaya seni Aziz apabila dia mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur bagi merancakkan kembali dunia perfileman Melayu yang hampir pupus ketika itu.

Kolaborasi dengan M.Borhan sehingga tertubuhnya Sabah Film meneruskan kerjaya Aziz sebagai pengarah apabila terhasilnya filemKeluarga Si Comat yang turut diarahkan oleh Aziz pada 1975.

 
Tidak hanya mengarah, Aziz turut berlakon dan menulis skrip filem berkenaan yang membariskan pelakon seperti S. Shamsudin, Ibrahim Pendek dan Junainah M.Amin.
Aziz (dua dari kanan) pernah menggangotai kumpulan Panca Sitara 3 bersama Ahmad Daud (paling kiri), Aziz Jaafar, Normadiah dan Nasir P.Ramlee.

Selain Keluarga Si Comat, Aziz turut mengarahkan beberapa buah karya lagi dalam kariernya seperti Si Badol (1979), Prebet Lapok  (1979), Penyamun Tarbus  (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria  (1993).

Penubuhan syarikat produksi dan penerbitan filem itu telah menjadi pencetus kepada kebangkitan era baharu industri perfileman Melayu sejak itu dan berkembang sehingga ke hari ini.

Kontroversi
Biarpun personalitinya kelihatan bersahaja dan mudah didekati namun Aziz turut dikenali dengan kelantangannya dalam menyuarakan hak sebagai seorang artis veteran dan pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Artis Veteran dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Beberapa kali penulis sempat menghadiri beberapa acara melibatkan persatuan hiburan di negara ini, Aziz tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir biarpun sekadar mendengar apa yang dibincangkan.

Lebih mesra dengan sapaan Pak Ajis beliau semasa hayatnya aktif dalam aktiviti persatuan terutamanya dalam membela nasib pelakon veteran.

Kata-kata yang diluahkan sama ada pendapat atau pun cadangan sentiasa mendapat perhatian dalam meningkatkan industri perfileman Malaysia.

Kelantangannya bersuara bagi menegakkan hak sebagai seorang artis veteran juga sering mendapat perhatian malah keputusannya melepaskan jawatan dalam Karyawan kerana tidak berpuas hati dengan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez bukti dia bukan mudah dipermainkan.

Namun Aziz tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan hibanya apabila ada pihak mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadapnya membuatkan dia merajuk hati dengan situasi dalam industri seni ketika itu.

Namun rajuk si Pak Ajis tidak lama kerana sifat pemaaf dan saling memperbetulkan semua salah faham akhirnya menjernihkan semula kemelut yang berlaku.
Aziz pernah muncul dalam program Anita bersama Mustafa Maarof yang dihoskan oleh penyanyi Anita Sarawak.

Dalam pada itu dialognya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok  iaitu "siapa tak sayang bini daa…" tetap menjadi ingatan sehingga ke hari ini.

Dek kerana populariti dialog itu, maka terhasilah filem yang dibaut dalam bentuk cekera padat video (VCD) iaitu Siapa Tak Sayang Bini  hasil tulisan skrip  Allahyarham pada tahun 2003.

Pemergiannya pada pagi Selasa akibat serangan jantung di Pusat Perubatan KPJ Kajang kira-kira pukul 2 pagi mengejutkan seluruh masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana dekat sini selepas solat Zohor dan pemergiannya ditangisi peminat-peminatnya.

Malah rakan artis dari segenap lapisan umur turut berhimpun bagi memberi penghormatan kepadanya selain mereka turut menyifatkan pemergiannya adalah satu kehilangan cukup berharga kepada industri perfileman negara.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana selepas solat Zohor pada Selasa.

Allahyarham pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara  yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor  pada awal tahun 1950-an.

Pada tahun 2007,  Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).

Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.

Bagaimanapun mereka dikatakan bercerai pada 3 Mac 2012. Hasil perkongsian hidup Aziz dengan perkahwinannya yang terdahulu, beliau dikurniakan tujuh orang anak, 20 cucu dan 10 cicit.

Pemergian Aziz Sattar umpama hilangnya sebutir permata. Semoga Allah memberi rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.


Rakan Artis Kongsi Rasa Sedih
Datuk Rosyam Nor
Pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor sentiasa mengingati Allahyarham sebagai seorang penyelamat kepada industri penerbitan filem ketika ia mengalami kesuraman pada tahun 1980-an menerusi karya arahannya seperti Perawan Malam, Setinggan dan Bujang Lapok Kembali Daa!.

Jelas Rosyam, Aziz juga adalah seorang mentor kepadanya ketika mula-mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan dan pengarahan ketika itu dan pesanannya juga jangan berputus asa untuk berjaya dalam bidang perfileman sentiasa disemat dalam dirinya.

"Beberapa filem arahannya pada tahun 1980-an kembali menyemarakkan minat penonton biarpun industri mengalami kesuraman dan nasihatnya supaya sentiasa menimba ilmu dan tidak berputus asa untuk berjaya sentiasa saya pegang sehingga ke hari ini," katanya.

Mustafa Maarof

Datuk Mustafa Maarof pula memberitahu memori bersama Aziz ketika bersama-sama bergelar aktor di Studio Jalan Ampas, Singapura antara kenangan manis dalam hidupnya.

Jelas Mustafa, biarpun karektornya yang sentiasa ceria dan sentiasa disenangi oleh rakan-rakan namun dia menyifatkan Aziz seorang yang cukup tegas dan mengambil berat terutamanya perkara-perkara yang melibatkan kebajikan pelakon.

"Terlalu banyak memori saya bersamanya dan jika dikupas satu persatu barangkali ia tidak akan berkesudahan namun Allahyarham adalah antara insan yang rapat dengan saya ketika zaman Jalan Ampas.

"Biarpun tahu dia menderita penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu namun dia tidak pernah mengadu mengenai kesakitan yang dialami dan sentiasa bersemangat," katanya.

Freddie Fernandez
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez pula menyifatkan semangat dan perjuangan tanpa jemu Aziz memperjuangkan nasib artis veteran sentiasa dikenang oleh semua pihak.

Jelas Freddie, Aziz sentiasa bersemangat apabila timbul isu-isu mengenai artis veteran dan ia telah banyak membuka mata banyak pihak.

"Satu kehilangan besar kepada semua dan tiada siapa boleh menggantikan tempat Aziz Sattar," katanya.

Aizat Amdan

"Tiada lagi legasi  Bujang Lapok. Itu luahan artis muda Aizat Amdan namun sebagai seorang artis generasi muda dia membesar dengan filem-filem lakonan Aziz membuatkan pelakon itu sentiasa dekat dengannya.

Jelas Aizat, karya-karya yang ditinggalkan oleh Seniman itu akan sentiasa diingati oleh semua kaum di negara ini yang banyak memberi kenangan manis.

"Arwah akan sentiasa hidup dalam setiap diri kita kerana kebanyakan daripada kita menonton lakonannya yang sentiasa mencuit hati dan ia sentiasa segar biarpun ditonton berulang kali," katanya.
Melissa Saila

Melissa Saila tidak menyangka sambutan hari lahir ibunya iaitu Mariani yang ke 81 tahun baru-baru ini merupakan pertemuan terakhirnya.

"Saya tidak pernah menyangka itu adalah kali terakhir saya bertemu dengannya dan kami sempat berbual-bual ketika dia hadir ke majlis dan ceria sepanjang majlis.

"Biarpun dia bukan pelakon dari zaman saya tetapi hubungan kami sangat rapat dan dia sering memberi dorongan untuk saya meneruskan perjuangan dalam bidang seni," jelasnya.

Timba ikan jumpa motosikal

Posted: 06 May 2014 11:13 PM PDT


  • Timba ikan jumpa motosikalSebilangan rangka motosikal yang ditemui penduduk ketika menimba ikan.

BESUT - Sekumpulan penimba ikan terkejut apabila menemui sejumlah 34 rangka motosikal dipercayai motosikal curi terbenam di dasar parit tali air di tepi jalan Kampung Gong Penaga dekat Kampung Tok Has, Jertih, kelmarin.

Yusof Salleh, 60, berkata, dia bersama penduduk kampung mula menimba air di kawasan tali air itu petang Ahad lalu dan rangka motosikal yang terbenam di dalam lumpur hanya dapat dilihat selepas air surut sepenuhnya pagi kelmarin.

Menurutnya, sebanyak 11 rangka ditemui di kawasan tersebut dan kemudian dimaklumkan kepada polis.

"Selepas dimaklumkan pada sebelah pagi, anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Balai Polis Jertih datang mengambil rangka tersebut.

"Pada sebelah petang pula kami menemui lebih 23 lagi pelbagai jenis rangka motosikal di bawah jambatan parit tali air itu tidak jauh dari lokasi pertama rangka motosikal dijumpai," katanya.

Yusof berkata, kesemua rangka motosikal itu dipercayai motosikal curi selepas pencuri mengambil komponen enjin dan bahan lain sebelum dibuang ke dalam parit tersebut.

Menurutnya, kebanyakan rangka motosikal daripada jenis Honda EX5 dan ada antara rangka motosikal kelihatan masih baru kerana dipercayai baru dibuang di kawasan berkenaan.

Katanya, tali air itu amat popular dalam kalangan pencuri motosikal kerana ketika menimba ikan di lokasi sama lebih empat tahun lalu, sebanyak 100 rangka motosikal dijumpai di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Polis, Noorzainy Mohd Noor turut berada di lokasi tersebut petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan penemuan rangka motosikal itu.

Menurutnya, kesemua rangka motosikal terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan awal mendapati sebuah daripada motosikal itu, jenis Yamaha RXZ dilaporkan dicuri di dalam rumah di Kampung Tok Dor manakala setakat ini motosikal lain belum dapat dikesan kerana nombor rangka telah tiada.

"Siasatan lanjut akan dijalankan termasuk pemeriksaan kimia dan forensik," katanya.

Kamaruddin berkata, tiada tangkapan dilakukan namun siasatan akan dilakukan bagi mengesan suspek terlibat.

Dituduh pukul isteri guna wayar elektrik

Posted: 06 May 2014 11:08 PM PDT


  • Dituduh pukul isteri guna wayar elektrikTertuduh (dua, kanan) keluar dari mahkamah selepas selesai dituduh, semalam.

KOTA BHARU - Seorang pekerja bengkel dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan memukul isterinya dengan menggunakan wayar elektrik, Mac lalu.

Tertuduh, Muhamad Sifol Aiman Mohd Ludin, 20, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Esuriayani Mohd Nazir, 18, di alamat Kampung Apuh, Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, pada jam 1.30 petang, 31 Mac.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pada prosiding semalam, isteri tertuduh bagaimanapun hadir ke mahkamah untuk menarik semula laporan polis yang dibuat ke atas suaminya.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 6 Jun depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Dalam kejadian lalu, mangsa dipukul dengan menggunakan wayar elektrik selepas tidak memberikan duit yang diminta oleh tertuduh dengan alasan untuk membayar hutang.

Mangsa seorang suri rumah, sementara, tertuduh baru dua bulan bekerja di bengkel tersebut. Dia dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

PBNJ tawar RM11 juta beli Juan Manuel

Posted: 06 May 2014 11:06 PM PDT


  • Juan ManuelJuan Manuel

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah mempunyai perancangan pembangunan bola sepak untuk musim hadapan meskipun saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2014 masih belum menutup tirai.

Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui teruja mengenai perancangan persatuan untuk musim depan malah memberitahu, PBNJ sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain Boca Juniors yang berasal dari Argentina, Juan Manuel Martinez, 28.

Menurutnya, pada masa sama, beliau yang juga Tunku Mahkota Johor berminat untuk mendapatkan penyerang import berbisa Selangor, Paulo Rangel untuk bermain di negeri ini.

"PBNJ menawarkan RM11 juta (USD3.5 juta) kepada Kelab Boca Juniors untuk melepaskan Juan Manuel dan kita sedang menunggu perkembangan mengenai perkara tersebut," katanya pada sidang akhbar di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini.

Tunku Ismail berkata, Juan Manuel yang disifatkan sebagai pemain serba boleh kerana mampu beraksi dalam pelbagai posisi malah dilihat sangat sesuai untuk bermain dengan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Katanya, bagaimanapun semua itu masih berada pada tahap perancangan termasuk membayangkan tiga atau empat pemain tempatan akan ditukar sekali gus memaklumkan peruntukan untuk pasukan musim depan tidak sebesar yang disediakan untuk musim ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan PBNJ sedang merancang beberapa program termasuk perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Serie A, AC Milan selain perlawanan amal dengan pemain Barcelona Lionel Messi dan Neymar.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menyatakan hasrat untuk membawa JDT II beraksi dalam Liga Singapura musim depan bagi memberi pendedahan kepada pemain pasukan berkenaan sekali gus mencari pengalaman di liga lain.

Sambil menyatakan kesediaan membayar denda RM300,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya perancangan itu direalisasikan, Tunku Ismail berharap pemain pasukan JDT II akan berusaha menambah baik mutu permainan mereka di masa akan datang.

Wang RM43,000 dalam akaun lesap

Posted: 06 May 2014 11:05 PM PDT


  • Wang RM43,000 dalam akaun lesapMohd Baki menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada 15 April lalu di Balai polis Bahau.

JEMPOL - Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) terkejut apabila mendapati wang sebanyak RM43,000 dalam akaunnya lesap dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

Mangsa, Mohd Baki Meon, 59, berkata, dia hanya menyedari wang berkenaan 'hilang' apabila dia ingin mengeluarkan simpanan tersebut untuk membaiki kereta, tiga minggu lalu, namun mendapati baki akaunnya hanya RM21 sahaja.

"Sebelum kejadian, saya sempat mengeluarkan RM20,000 untuk dipindahkan ke dalam akaun isteri pada November lalu dan hanya mengeluarkan RM500 setiap bulan, bermula November untuk pembayaran bil kerana mempunyai pendapatan daripada Felda sebanyak RM1,200 sebulan.

"Sepanjang tempoh itu, saya tidak menyemak baki simpanan berikutan percaya wang dalam akuan bank itu selamat," katanya yang menetap di Felda Serting Hilir, dekat sini.

Menurut Mohd Baki, menerusi penyata akaun, dia mendapati wangnya dikeluarkan hampir setiap hari dengan jumlah berbeza tanpa pengetahuannya bermula Oktober tahun lalu.

Menceritakan perkara itu, bapa kepada lima anak ini berkata, sebulan selepas terlibat dalam kemalangan Julai lalu, ada dua individu mendakwa sebagai pegawai bank datang ke rumah untuk menguruskan kad bank baharu.

"Disebabkan kemalangan itu saya kini lumpuh seumur hidup dan saya meminta pegawai bank datang ke rumah untuk membuat kad bank baharu.

"Mereka datang untuk menetapkan nombor pin baharu dengan menggunakan nombor kad pengenalan. Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah berlaku perkara ini.

"Kehilangan wang itu memang menimbulkan tanda tanya kerana kad bank dipegang sepanjang masa oleh isteri dan akan meminta anak mengeluarkan wang sekiranya perlu," katanya.

Katanya, dia berasa sangat terkilan kerana duit itu merupakan hasil simpanan gajinya sebagai pemandu lori, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tambah Mohd Baki, satu laporan polis telah dibuat pada 15 April lalu dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak bank.

"Saya mahu pihak tersebut telus dalam penyiasatan termasuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Namun apa yang saya kesalkan pihak terbabit bagaikan membisu tanpa memberi sebarang maklumat mengenai kehilangan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

Bekas pembantu akaun syarikat Fareeda didakwa

Posted: 06 May 2014 11:04 PM PDT


  • Bekas pembantu akaun syarikat Fareeda didakwaBekas Pembantu Akaun syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Normala Mohd Ali, 25, (depan, kiri) bersama enam yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan memperdayakan pengarah urusan syarikat itu yang membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 di Kajang, hari ini.

KAJANG - Seorang bekas pembantu akaun syarikat pengeluaran tudung terkenal Fareeda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 20 pertuduhan menipu pengarah urusan syarikat itu berhubung pembayaran gaji pekerja membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 antara November 2013 hingga Januari lepas.
  
Normala Mohd Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
  
Bagi tiga pertuduhan pertama, Normala didakwa menipu Pengarah Urusan syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Aminuddin Basirron, 44, untuk mempercayai representasi satu akaun Maybank milik Noradibah Mohd Razib, 25, adalah pekerja syarikat itu sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam akaun Nur Adibah.
  
Bagi 13 pertuduhan lagi, Normala bersama enam rakannya termasuk seorang wanita didakwa dengan niat bersama menipu Aminuddin untuk mempercayai representasi enam akaun Maybank adalah milik enam pekerja syarikat Fareeda Global Resources sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam semua akaun tersebut.
  
Rakannya itu ialah Intan Suria Abdul Rahman, 33, Mohamad Azuwad Mohd Nor, 26, Mohd Fakrul Razib Mohd Ali, 35, Muhammad Alif Farhan Johari, 25, Mohd Amirul Bedoh Lahata, 21, dan Khairul Azimi, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Normala turut didakwa terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan bekas kerani syarikat, Mohamed Nazreen Shah Yem, 21, untuk menipu Aminuddin bagi tujuan sama membabitkan Muhammad Alif Farhan dan Mohd Amirul.
  
Mohamed Nazreen, yang juga didakwa atas kesalahan bersubahat itu, bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan lain.
  
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tiga kejadian berasingan iaitu pada 28 Nov 2013, 30 Dis 2013 dan 29 Jan 2014 di pejabat syarikat itu beralamat No. 69A-71A, Jalan 8/1, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini.
  
Bagi kesalahan menipu, Normala dan enam tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.
  
Normala dan Mohamad Nazreen juga berdepan hukuman sama apabila didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kerana bersubahat.

Aina Azahra membenarkan Normala diikat jamin sebanyak RM122,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Nazreen dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
  
Enam tertuduh lain dibenarkan diikat jamin antara RM6,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
  
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. 

Putus cinta, Azwan tagih penjelasan Nad

Posted: 06 May 2014 11:00 PM PDT


TIDAK puas hati, Azwan nekad mahukan penjelasan daripada Nad.


TANPA ada ribut atau taufan melanda hubungan cinta pelakon genit, Nad Zainal dan Azwan Kombos, menerusi sebuah rancangan televisyen baru-baru ini, pasangan itu mengakui kini sudah putus dan tiada sebarang ikatan lagi.
Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 24, membuat pengakuan bahawa hubungannya dengan Azwan yang terjalin selama tiga tahun sudah bertemu pengakhirannya.
Katanya menerusi temu bual dalam rancangan televisyen itu: "Saya rasa tiada benda lagi nak cakap. Everything is over! Hanya kami tahu kenapa, masyarakat tak perlu masuk campur. Ada sebab masing-masing dan tak dapat nak teruskan hubungan."
Bulan Mac lalu, pasangan itu telah menghadiri kursus perkahwinan bersama-sama, namun menjelaskan, tiada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.
Kosmo! menghubungi pelakon filem Belukar, Azwan Kombos untuk mendapatkan komen lanjut berhubung situasi tersebut. Ikuti temu bual terbabit.
Kosmo!: Difahamkan hubungan Azwan dan Nad Zainal kini telah putus. Benarkah?
AZWAN: Ya, memang itu yang terjadi. Pada mulanya saya langsung tidak tahu bahawa kami telah putus sehinggalah dimaklumkan melalui media sosial seperti Instagram dan Twitter. Saya terkejut sebenarnya kerana saya yang sepatutnya menjadi orang pertama yang tahu kalau kami sudah putus.
Bagaimanakah sebenarnya situasi sebelum Nad mendedahkan kepada sebuah rancangan TV hujung minggu lalu bahawa kalian berdua telah putus?
Hari Rabu minggu lepas kami keluar bersama-sama. Tiada apa yang mencurigakan dan hubungan kami baik-baik saja, normal seperti sediakala. Namun, kemudiannya dia mulai dingin dengan saya sehingga keluar cerita ini (putus cinta).
Adakah dia jelaskan sebab putuskan cinta dengan anda?
Saya tidak berpeluang lagi untuk bersemuka dengannya tetapi saya ada menghubunginya selepas keluar cerita itu. Dia memberitahu saya bahawa semuanya telah berakhir. Dia tidak mahu ada sebarang hubungan lagi dengan saya selepas ini.
Apakah tindakan lanjut yang anda mungkin anda lakukan untuk memperbaiki hubungan ini?
Saya ingin bersemuka dengannya dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan nekad yang dia pilih. Saya mahu duduk dan berbincang sekiranya ada masalah antara kami yang masih belum selesai. Apa pun, saya hormati keputusannya.
Mungkin keputusannya didorong oleh kemunculan orang ketiga atau kisah lama bahawa dia menaja anda menjadi barah dalam hubungan cinta kalian?
Saya tidak tahu. Kalau setakat bergaduh manja itu biasalah hubungan bercinta, semua orang akan alami perkara yang sama. Pasal orang ketiga pun saya tidak tahu, mungkin juga benar, mungkin juga tidak. Cerita dia menaja saya itu sudah lama dan sudah dijelaskan dan saya tidak menuding jari kepada sesiapa, cuma saya mahukan penjelasan daripadanya.
Selepas menghadiri kursus perkahwinan, sudah pasti hubungan kalian adalah hubungan yang serius. Mungkin ini sekadar dugaan pasangan bercinta dan ada kemungkinan untuk kalian berbaik semula?
Jauh di sudut hati saya mahukan yang terbaik untuk kami berdua. Doa-doakanlah.


Izzue, Awin hargai teguran

Posted: 06 May 2014 11:00 PM PDT




"APA yang berlaku antara kami dan Anzalna Nasir tidak perlu dipanjangkan. Semuanya telah selesai," tutur Izzue Islam sewaktu diminta untuk memberikan penjelasan terhadap sengketa yang tercetus antara dia, isterinya dan pelakon itu sewaktu dia sedang menjalani penggambaran untuk drama bersiri Aku Isterinya beberapa bulan lalu.
Ketika berkesempatan bertemu dengannya usai persembahan pentas bersama kumpulan Forteen di Life Center, Kuala Lumpur baru-baru ini, Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan menjelaskan, sikap profesionalisme perlu ada bagi menjamin kelangsungannya sebagai seorang pelakon dalam bidang yang mula diceburinya sejak tahun 2011 itu.
"Sebagai seorang pelakon, saya perlu profesional dalam mendukung tanggungjawab yang telah diberikan. Tidak molek rasanya jika kami berdua dilihat terus memanjangkan perselisihan ini.
"Lebih-lebih lagi apabila kami berdua mungkin akan bekerjasama dalam satu penerbitan drama atau filem lain pada masa akan datang," ujarnya.
Menyorot kembali kisah tersebut, Izzue dan Anzalna dikatakan bermasam muka ketika berada di lokasi penggambaran akibat sifat cemburu isterinya, Nurinafilah Waharudin, 32, yang melarang dia melakonkan adegan intim bersama.
Malah, kelibat Nurinafilah atau lebih mesra dipanggil Awin Nurin yang sering berada di lokasi penggambaran bersama Izzue juga turut menyebabkan suasana pada waktu itu bertambah canggung.
Tidak mudah melatah dengan pertelingkahan dingin tersebut, Awin berkata, walaupun dia merupakan isteri kepada aktor yang mula meningkat naik menerusi drama berjudul Gemilang itu, namun tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang pengurus menjadi keutamaan bagi dirinya.
Pengurus
"Saya menguruskan kerjaya Izzue sebelum kami mendirikan rumah tangga lagi. Seperti semua sedia maklum, apa sahaja yang berkaitan dengan kerjayanya perlu melalui saya terlebih dahulu.
"Jika terdapat babak yang intim mahupun terlebih romantis, sudah pasti saya akan tahu. Jadi, mustahil pula saya berasa cemburu," ujar Nurinafilah atau lebih mesra disapa Awin.
PASANGAN suami isteri, Izzue dan Awin sudah cukup matang menjalani sepak terajang dunia hiburan. Mereka memilih bersikap matang menangani pelbagai isu yang datang.


Pada masa yang sama, Awin memberi- tahu, menemani Izzue di lokasi penggamba- ran merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib baginya saban hari.
"Saya memang mengikutinya ke setiap lokasi penggambaran. Tugas saya masih sama seperti dahulu. Apa yang berbeza ialah saya kini bergelar isteri kepada Izzue Islam," ujarnya lagi.
Sejak isu tersebut timbul, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2 Jun tahun lalu itu lebih selesa mengambil langkah untuk berdiam diri. Kata Awin, ianya perlu bagi menjaga hubungan baik sesama mereka pada masa akan datang.
"Kami memang gemar mengamalkan sikap sebegitu. Apa yang salah, kami perbaiki bersama dan apa yang benar, kami terima dengan lapang dada. Hubungan jangka masa panjang itu lebih penting," ujar Awin.
Tambah Awin, apa yang berlaku setakat ini memberikan banyak pengajaran kepadanya dan Izzue dalam melewati hari-hari yang mendatang sebagai pasangan suami isteri.
"Secara jujur, perkara seperti ini banyak memberikan kesedaran kepada kami supaya menjadi lebih matang dalam menyelesaikan masalah," ulasnya.
Kawan baik
Melanjutkan perbualan pada petang itu, Izzue yang pernah menjulang trofi bagi anugerah Pelakon Harapan Terbaik bagi Festival Filem Malaysia ke-25 tahun lalu dilihat tidak putus-putus membutirkan kata-kata pujian untuk isterinya.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan itu menyifatkan hubungannya dengan Awin bukan sekadar sebagai sepasang suami isteri, malah lebih kepada dua sahabat baik yang sangat memahami perjalanan karier masing-masing.
"Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak enam tahun lalu. Ketika itu, dia yang banyak memberi perangsang kepada saya untuk cuba sehabis baik dalam bidang lakonan.
"Di samping mengubah penampilan serta imej saya, dia juga banyak mengajar saya tentang selok-belok dunia hiburan, terutamanya cara yang betul untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
"Mana mungkin untuk berlakon jika pelat Kelantan saya masih pekat," ujarnya yang mengakui sukar untuk meninggalkan dialek negeri kelahirannya itu walaupun telah lama berhijrah ke Kuala Lumpur.
Tambah Izzue, walaupun tugas hakiki Awin adalah sebagai seorang isteri tetapi selaku pengurus, dia juga banyak menjalankan tugas sebagai pembantu peribadi ketika dia sedang sibuk bekerja di lokasi penggambaran
"Di lokasi penggambaran, wataknya akan berubah. Daripada seorang isteri dia akan menjalankan tugasnya sebagai pengurus. Urusan skrip drama atau filem sehinggalah soal pakaian, semuanya dijaga dan dijalankan oleh isteri saya," ujar Izzue sambil tersenyum.
IZZUE ISLAM lebih memberi fokus terhadap memajukan karier seninya berbanding melayan gosip atau kontroversi yang mampu menggugat perjalanan seninya.


Anugerah
Berbicara mengenai dunia lakonan, nama Izzue mungkin sudah sedia terkenal sebagai seorang pelakon yang berbakat.
Menerusi drama-drama seperti Jangan Ambil Padang Kami, Duri, Sebenarnya, Saya Isteri Dia dan terbaharu Aku Isterinya, aksi pelakon itu di layar kaca begitu menggamit hati para peminatnya.
Justeru, tidak hairanlah jika dia berani mengambil risiko untuk beraksi di pentas teater di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur menerusi teater Maduku Kalut pada tahun lalu.
Menariknya, percubaan pertamanya itu bukan sahaja mendapat perhatian umum, malah dia juga turut tercalon dalam 11th Boh Cameronian Arts Awards menerusi kategori Pelakon Utama Teater Terbaik baru-baru ini.
Ujar Izzue, walaupun pulang dengan tangan kosong, penglibatan serta pengalaman yang diraih di atas pentas teater lebih bermakna dalam membentuk dirinya sebagai seorang pelakon.
"Saya begitu terkejut apabila menerima berita tentang pencalonan saya dalam anugerah itu. Sejujurnya, saya berlakon dalam teater Maduku Kalut hanya kerana mahu memperbaiki diri sebagai seorang pelakon, tidak lebih daripada itu.
"Apatah lagi apabila pesaing-pesaing yang turut tercalon merupakan nama-nama besar dalam industri," ujar Izzue sambil menambah, kekalahannya dalam anugerah itu bukanlah penghalang untuk terus berusaha pada masa akan datang.
Izzue juga turut berkata, apa yang penting adalah pengalaman yang dikutip sepanjang penglibatannya dalam pementasan teater tersebut.
"Banyak yang saya belajar sepanjang berlakon di atas pentas teater. Dari segi lontaran vokal sehingga kerjasama yang melibatkan antara pelakon-pelakon.
"Ia bukan sahaja mencabar, malah memberikan saya ruang untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti dalam tempoh masa yang singkat secara langsung," ujarnya lagi.
Mengakui mempunyai rasa 'ketagih' untuk kembali beraksi di atas pentas teater, Izzue turut memberitahu, dia dan ahli kumpulan Forteen yang lain bakal beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya pada Jun depan bagi pementasan teater Projek Kahwin.
"Ia bakal menjadi sebuah pementasan istimewa kerana saya dan ahli kumpulan Forteen bakal beraksi bersama-sama dalam teater yang diterbitkan oleh Mask Team itu," ujarnya.
Anak
Sementara itu, bercakap tentang perancangan keluarga, Izzue dan Awin memberitahu, mereka tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata dalam masa yang terdekat ini.
"Saya dan Izzue tidak merancang tentang anak. Kami menerima apa sahaja rezeki yang telah Allah SWT tentukan.
"Selain itu, kami juga sudah bersedia jika diberikan rezeki dalam masa yang terdekat ini. Sama-sama kita berdoa," ungkap Awin sambil tersenyum.


Azri lupakan kontroversi Bali

Posted: 06 May 2014 10:59 PM PDT

JEJAKA kacak ini tidak putus harapan untuk terus mencari lagu yang sesuai dengan vokalnya.


SEBUT nama Azri Abdullah, pasti tertumpu pada kisah kontroversi aksi panas bersama rakan peserta Akademi Fantasia 9, Lena, di Pulau Bali, Indonesia sekitar tiga tahun lalu.
Benarlah bagai dikata bahawa kontroversi boleh memperkenalkan seseorang individu kepada masyarakat. Semakin buruk kisah dijaja, semakin mencanak nilai popularitinya.
Enggan membuka kembali kisah silam yang dilihat mengarut bagi Azri, kata penyanyi kelahiran Klang, Selangor itu, dia mahu terus melangkah ke depan.
"Kisah kontroversi itu sudah lama padam, biarpun orang akan kenal saya kalau ungkit balik cerita itu. Saya lebih selesa untuk tidak mengulas panjang kerana segalanya sudah diselesaikan tiga tahun lalu.
"Lagipun, cerita itu tidak benar dan Lena pun sudah mempunyai kehidupan peribadi yang baharu bersama keluarganya. Tidak manis kata orang tua-tua," katanya yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Azri, 27, dan Lena, 24, pernah didakwa melakukan perkara sumbang di pulau peranginan tersebut ketika menjalani penggambaran untuk sebuah program televisyen selepas tamat rancangan Akademi Fantasia 9.
Bagaimanapun, kedua-duanya sudah menjawab situasi salah faham itu dan kontroversi tersebut lenyap daripada terus diperkatakan.
Persis Faizal Tahir
Azri kini membuka lembaran baharu dalam karier nyanyiannya. Selain baru melancarkan single ketiganya, Mahadewi baru-baru ini, dia turut membuka sebuah syarikat pengurusan artis, Eyecon Entertainment yang berpangkalan di Klang, Selangor.
"Saya tidak putus harapan untuk terus mencari lagu yang sesuai dengan vokal saya dan konsep yang kena dengan diri saya supaya puas hati.
"Kalau single terdahulu seperti Niskala dan Amarah lebih kepada lagu dengan jiwa yang memberontak, kali ini saya perlahankan sedikit rentaknya dan lebih bercerita mengenai cinta," ujarnya mengenai lagu ciptaan Adah Kahir itu.
Sering disamakan dengan penampilan dan vokal Faizal Tahir sejak konsert mingguan Akademi Fantasia 9 lagi, Azri akui yang dia cuba lari daripada terus disamakan dengan penyanyi tersebut.
"Dia (Faizal Tahir) antara penyanyi yang saya kagumi karyanya dan meminati genre yang dibawa. Orang kata saya tiru dia, rasanya suara saya bercakap dan menyanyi sama saja.
"Apa yang membezakan kami adalah emosi dan cara kami membawa diri di pentas. Dia ada karisma tersendiri," ujarnya yang turut berjinak-jinak dalam dunia lakonan beberapa tahun lalu.
Tiga pengurusan
Yakin dengan pengalaman yang ditimba selepas tiga tahun bergelar artis, penubuhan syarikat baharunya, Eyecon Entertaiment awal tahun ini adalah bukti dia serius dalam kariernya.
"Lebih selesa sebenarnya menguruskan diri sendiri dan penubuhan syarikat ini lebih kepada memfokuskan kerjaya diri sendiri. Apabila sudah stabil, saya mungkin akan menguruskan artis lain pula.
"Syarikat ini ditubuhkan atas usaha saya sendiri. Saya kumpul sedikit demi sedikit duit persembahan nyanyian untuk membuka syarikat ini dan Alhamdulillah setakat ini berjalan lancar," jelas anggota kumpulan Breakfast Band itu.
Selepas tamat kontrak bersama Astro, Azri bernaung di bawah syarikat pengurusan Beaming Starz selama setahun sebelum singgah ke Runaway Production tahun lalu.
Bersama Beaming Starz single keduanya, Amarah dilancarkan manakala Runaway Production menerbitkan single ketiganya, Goodbye Goodbye yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Sementara itu, Azri kini sedang dalam proses mendapatkan sosok tubuh yang ideal sebagai salah satu strategi pemasaran kerjayanya.
"Lebih setahun saya berulang-alik ke gimnasium untuk mendapatkan bentuk badan yang diidamkan. Sebagai selebriti, rasanya ini langkah pemasaran paling proaktif. Ini diri saya yang baharu," simpulnya.


Kabin pesawat Etihad umpama hotel

Posted: 06 May 2014 10:55 PM PDT



TEMPAT tidur kelas perniagaan yang bakal terdapat di dalam pesawat Airbus A380 dipamerkan kepada media di pusat inovasi syarikat Etihad Airways di Abu Dhabi pada 4 Mei lalu.


ABU DHABI, Emiriyah Arab Bersatu - Syarikat penerbangan Etihad Airways merancang mengubah kabin penumpang dua buah pesawat miliknya menjadi seperti sebuah hotel bertaraf lima bintang.
Antara kemudahan yang akan disediakan termasuklah bilik suite peribadi yang mempunyai ruang istirehat, bilik air, bilik mandi, bilik tidur dan juga seorang pembantu penumpang serta cef.
Ruangan eksklusif tersebut diletakkan di dalam pesawat jenis Airbus A380 dan Boeing B787 Dreamliner milik syarikat itu.
Bagaimanapun, penumpang yang mahu perjalanan istimewa itu perlu membayar sekitar £12,500 (RM40,675) untuk satu penerbangan sehala yang tidak dinyatakan destinasi pesawat tersebut.
Hiasan dalaman di ruangan tersebut direka khas dengan fabrik bermutu yang dibekalkan pembuat hiasan dalaman kereta Ferrari iaitu Poltrona Frau.
Ruangan tersebut turut mempunyai sebuah ruangan senaman dan almari pakaian untuk kemudahan penumpang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Etihad Airways, James Hogan berkata, perkhidmatan terbaharu syarikat itu bakal menaikkan taraf perkhidmatan penerbangan dan mengubah jangkaan keselesaan serta kemewahan.
"Kami akan menyediakan ruangan kabin penerbangan paling maju dalam industri penerbangan," katanya.
Pihak syarikat itu juga akan menyediakan ruang untuk penumpang Islam bersolat dengan dilengkapi arah kiblat semasa pesawat sedang terbang.


Perginya Bujang Lapok terakhir

Posted: 06 May 2014 10:53 PM PDT




"WALAUPUN rupamu tidak ku kenal, tapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku." Demikian dialog popular yang mengiringi perjalanan anak seni bernama Datuk Aziz Sattar sepanjang hayatnya dalam dunia lakonan.
Ungkapan itu dipetik daripada filem lakonan beliau bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan S. Shamsuddin, Seniman Bujang Lapok (1961), yang merupakan antara wadah seni terkenal selepas Bujang Lapok (1957), Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Ali Baba Bujang Lapok (1960).
Les Trois Mousquetaires
Naskhah yang asalnya mengambil inspirasi daripada filem pendek dan novel terkenal Perancis, Les Trois Mousquetaires (The Three Musketeers), kisah tiga lelaki bujang terlajak itu dijelmakan dalam versi bahasa Melayu yang berjaya menambat hati pelbagai generasi penonton.
Ikonik wataknya, Ajis bersama Sudin dan Ramlee dalam siri filem Bujang Lapok itu menjadi signatur pelakon itu hingga panggilan Pak Ajis melekat di bibir peminatnya hingga kini.
Dua teman karibnya, S. Shamsuddin terlebih dulu pergi meninggalkan Pak Ajis pada 4 Jun tahun lalu manakala P. Ramlee telah meninggal dunia pada 28 Mei 1973.
Semalam, 6 Mei, Pak Ajis pergi meninggalkan semua yang masih hidup. Itu bermakna berakhirnya legasi terakhir yang tinggal daripada naskhah agung Bujang Lapok.
Keakraban Aziz dan P. Ramlee seperti tarikan magnet yang sama-sama memacu kerjaya kedua-dua bintang legenda itu untuk mencoret kenangan dan kejayaan bersama.
Teriakan siri filem Bujang Lapok membikin selaut ingatan buat penggemar filem hitam putih hingga mencetuskan fenomena sekitar tahun 1950-an.
Siapa tidak tahu antara lagu popular yang turut menjadi signatur siri filem Bujang Lapok seperti MencecehTunggu Sekejap, Nak Dara Rindu dan Resam Dunia masih menjadi siulan hingga kini.

SUASANA pilu pada majlis pengebumian Allahyarham Pak Ajis di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor semalam.


Ada yang menyifatkan pangkal huruf P pada nama P. Ramlee sebenarnya merujuk kepada tiga tunjang utama kariernya - pelakon, pengarah dan penyanyi.
Begitu juga Aziz yang memiliki bakat nyanyian dan pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan pop Pancasitara yang pernah ditubuhkan oleh P. Ramlee.
Umpama sebutir permata yang sentiasa berkilau walau dipanah perit mentari mahupun dimamah dingin salju, Aziz barangkali rujukan paling tepat.
Selamat tinggal Ajis
Tanpa sebarang tanda, tiada selembar kisah sakitnya yang ditanggung, Aziz atau nama sebenarnya, Abdul Azez Satta yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia, meninggalkan peminatnya tepat pukul 2 pagi 6 Mei 2014.
Aziz dikejarkan ke Pusat Perubatan KPJ Kajang pada malam Ahad lalu akibat serangan jantung di rumahnya di Ampang, Selangor.
Bertemankan dua anaknya, Dahlia dan Sandakiah Aziz, pelakon filem Nujum Pak Belalang itu menghembuskan nafas terakhirnya sambil ditemani seorang cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak.
"Ayah mengadu sakit dada pada pagi Ahad lalu dan kami membawanya ke hospital pada sebelah malam. Selepas melalui siri ujian darah dan electrocardiogram (ECG), ayah kembali sedar dan boleh bercakap walaupun masih lemah.
"Tiada pesanan terakhir yang disampaikan arwah ayah melainkan seleranya sudah semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.
"Bapa seorang yang bersemangat tinggi untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni terutamanya sepanjang menjadi Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia," ujar Sandakiah yang ditemui pada majlis pengebumian Allahyarham di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.
PENGHARGAAN. Pak Ajis menerima Anugerah Tokoh Pelakon Melayu bersama seniwati Zaiton yang mewakili S. Shamsuddin yang turut diberikan anugerah sama pada majlis Anugerah Tribute P. Ramlee di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Jun 2013.


Sumbangan
Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga berpengalaman sebagai pengarah filem.
Antara produksi filem arahannya termasuklah Keluarga Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982), Perawan Malam (1986) dan Darah Satria (1993).
Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.
Antara kisah menarik Allahyarham pada zaman silamnya, beliau pernah diseksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950-an.
Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga, bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat, bercerai).
Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak iaitu Ruzaiman, Ruzaidah, Ruzainah, Zainuddin, Dahlia, Dalina dan Sandakiah, 20 orang cucu serta 10 orang cicit.
Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor dengan mas kahwin RM100.


Ketajaman tulisan seorang ulama

Posted: 06 May 2014 10:52 PM PDT




MENGUNGKAP nama penulis prolifik dari seberang ini membuatkan setiap penggemarnya terimbas kembali tulisan beberapa novel mengenai liku-liku dua hati yang dipaksa berpisah dek kerana menurut adat keluarga.
Ceritera kemelaratan cinta itu dirungkai penuh hemat dan kritis menerusi dua mahakarya Haji Abdul Malik Karim Amrullah iaitu Di bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck.
Sebilangan pengkritik berpendapat penulis menggunakan nama akronim Hamka itu sebagai pencetus kepada kritikan sosial yang menjadi tabu dalam masyarakat Indonesia ketika itu.
Pada masa sama, beliau berjaya membawa keluar umat Islam yang lena dalam tidur diselimuti kejumudan menjunjung tinggi adat sesuatu kaum. Biar mendapat kritikan pada awalnya, nama Hamka terus mekar mewangi sehingga dijadikan rujukan kepada ahli akademik dan dunia sastera di Nusantara.
"Masyarakat ketika itu memegang kuat adat-adat lama seperti berkahwin sesama suku dan perbezaan darjat," jelas Norziati Mohd. Rosman, 36, antara pembaca buku Hamka ketika ditemui Kosmo! di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Sebagai contoh, novel Di bawah Lindungan Kaabah yang diterbitkan pada tahun 1938 mengisahkan perpisahan terpaksa antara Zainab dan Hamid rentetan berbeza kelas sosial.
Begitu juga dalam novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck yang turut mempersoalkan adat dan kepercayaan kaum Minang ketika itu.
Pendekatan
Dalam penulisan kreatif, Hamka mengambil pendekatan yang berlainan dalam menyelitkan unsur dakwah kerana lebih menekankan cara mengajak pembaca menuju ke arah kebaikan.
Tidak seperti kebanyakan tokoh-tokoh sastera dan agama Indonesia seperti Habiburrahman El Shirazy yang jelas menggunakan potongan hadis dan ayat al-Quran dalam karyanya.
"Saya ada membuat perbandingan antara buku kedua-kedua penulis tersebut. Tiada satu pun ayat al-Quran atau hadis digunakan oleh Hamka tetapi kita faham bahawa beliau mahu pembaca berfikir dan melihat implikasi mesej jalan cerita kepada kehidupan," ujar Norziati yang banyak terdedah kepada tulisan-tulisan ilmiah pada awal pengenalannya kepada tokoh tersebut.
Namun, mengenali Hamka secara keseluruhannya tidak terhad kepada dua novel itu yang telah difilemkan di Indonesia beberapa tahun ke belakang.
Bagi pengikut setianya, beliau merupakan seorang tokoh agamawan yang menggunakan medium penulisan sebagai salah satu cara menyebarkan dakwah dan pemikirannya mengenai hal-hal berkaitan agama, budaya, sejarah serta sosial.

KELUARGA besar Hamka diurus setia oleh isteri tercinta, Siti Raham Endah Sutan (empat dari kanan) yang mempunyai 10 orang anak semasa hayatnya.


Kelebihannya menjadikan Hamka seorang ulama yang berbeza dengan pemimpin sedia ada ketika itu yang memandang serong disebabkan pertelingkahan pendapat dan fahaman.
Tidak ramai ahli agama terlibat secara langsung dalam kelompok sastera kerana masyarakat beranggapan golongan tersebut hanya layak berbicara dalam topik yang terhad kepada portfolio mereka.
"Disebabkan itu, ia menjadi kekuatan kepada Hamka kerana beliau boleh berbicara mengenai pelbagai topik hasil kajian dan pembacaannya melalui buku-buku berbeza," ujar Muhammad Hafiz Ahmad Tajudin al-Fandani, 30, seorang pembaca karya-karya tokoh berasal dari Sumatera Barat, Indonesia itu.
Pengetahuan
Pengetahuannya banyak didorong menerusi pembacaan dan penyelidikan karya-karya Arab dan Barat termasuklah Arnold Toynbee, Karl Marx, Abbas al-Aqqad dan Mustafa al-Manfaluti. Beliau menelaah buku-buku tersebut yang telah ditransliterasikan ke bahasa Arab.
Seperti kata Hamka, "Ramai orang yang menyisir rambutnya tetapi tidak ramai yang menyisir otaknya" menunjukkan pentingnya mencari ilmu dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan kekuatan dalam diri.
Kesebatian Islam dalam diri Hamka dipupuk sedari kecil hasil asuhan keluarga yang berpegang teguh kepada didikan berlandas keagamaan. Bapanya, Abdul Karim Amrullah sendiri merupakan ulama terkenal di Indonesia.
Beliau pernah berkelana ke Mekah dalam usia muda bagi menajamkan penguasaan bahasa Arab. Sekembalinya ke tanah Indonesia, Hamka berbakti kepada masyarakat menggunakan ilmu yang ada sebagai pemidato, guru agama, malah menjadi seorang wartawan.
Walau tidak mendapat pendidikan yang tinggi, beliau menerbitkan sejumlah buku sastera dan ilmiah yang dikukuhkan dengan isi pemikiran setinggi seorang sarjana.
Ia boleh dilihat menerusi naskhah-naskhah seperti Merantau Ke Deli, Dari Perbendaharaan Lama, Falfasah Hidup, Lembaga Hikmat dan banyak lagi.
Sifat konsistennya kepada Islam terpancar apabila sanggup meletak jawatan sebagai sebagai Majelis Ulama Indonesia kerana kerajaan menolak fatwanya yang mengecam perayaan bersama bagi semua kaum.

RUMAH Hamka di Sumatera Barat dijadikan muzium yang menempatkan koleksi peninggalan barang-barang peribadi tokoh hebat itu.


Melihat kepada jalan riwayat hidup Hamka sehingga akhir hayatnya pada 18 Julai 1981, Muhammad Hafiz berpendapat wujud perubahan dalam cara penyampaian dan pemikiran menerusi karya-karya yang dihasilkan.
"Ia terbahagi kepada tiga fasa iaitu peringkat awal, pertengahan dan akhir yang setiap satunya dikesan mempunyai perbezaan yang ketara," jelasnya yang berasal dari Pendang, Kedah.
Dia menambah, fasa terakhir merupakan kemuncak kepada karier Hamka kerana ketika itu beliau sudah berada pada tahap yang matang.
Sekalipun sebelum ini beliau sebagai ahli gerakan Muhammadiah menerima tasawuf dengan sewajarnya, namun pada penghujung hayat, beliau sempat berbaiat tarekat dengan Abah Anom, seorang guru tarekat terkenal di Indonesia.
"Dalam satu karyanya, Hamka ada menyebut tentang kepentingan tarekat dan sumbangannya kepada tamadun Islam. Sebagai contoh, gerakan Sanusiyah di Libya ketika berperang dengan Perancis. Ia sebagai kredit dan penghargaan Hamka kepada gerakan tersebut," jelas Muhammad Hafiz.
Namun begitu, tambahnya, pembaca perlu melihat perubahan fasa tersebut secara keseluruhan bagi memahami perjuangan Hamka.
"Tidak adil untuk menilai karya-karya Hamka pada satu-satu fasa sahaja kerana ia perlu diperhatikan secara lengkap baru dapat kita merasai perubahan tersebut," ujarnya yang juga merupakan seorang penulis buku.
Kajian
Pengaruh Hamka melebar ke Malaysia sehinggakan beberapa karyanya dibincang dan dijadikan subjek kajian di institusi pengajian tempatan. Semasa hayatnya, Hamka sering dijemput untuk menghadiri majlis-majlis ilmu dan berkesempatan bertemu pemimpin negara.
"Ketika masih menjadi seorang wartawan, saya sempat bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memberitahu ketika berita kematian Hamka, seluruh rakyat Malaysia turut merasai kesedihan atas kehilangan besar itu," ujar anak kesembilan Hamka, Afif Hamka dalam satu pertemuan bersama produksi teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang bakal dipentaskan mulai 9 hingga 18 Mei ini.
Menceritakan perwatakan arwah bapanya, Afif memberitahu, Hamka merupakan seorang yang sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah, beliau tidak sesekali cuba merosakkan pertalian itu yakni menerap semua ibadah dalam kehidupan seharian.

BAGI Norziati, Hamka menggunakan novel untuk mengkritik masyarakat yang terlalu taksub dengan adat dan budaya.


"Betapa ramai orang bersolat lima waktu tetapi hidupnya sentiasa tidak tenteram kerana peribadinya tidak mencerminkan kerukunan ibadah yang dilakukan," kias Afif.
Dia turut mengimbas betapa Hamka tidak pernah berdendam malah, sedia memaafkan orang yang pernah mengkhianatinya. Ia merujuk kepada peristiwa Hamka dikenakan hukuman tahanan dalam rumah oleh Presiden Indonesia ketika itu, Soekarno pada tahun 1964 hingga 1966.
Hamka dipenjarakan berikutan tindakannya mengkritik Soekarno yang menjalankan konfrantasi Ganyang Malaysia pada tahun 1963.
"Bagaimanapun, ketika Soekarno meninggal dunia, Hamka dengan rela hati menjadi imam solat jenazah. Ketika ditanya, beliau menyatakan Soekarno tetap seorang sahabatnya," cerita Afif.
Ketika berada dalam tahanan itu, beliau menyiapkan naskhah terbesarnya, Tafsir Al-Azhar juzuk 1 hingga 30.


Tidak mahu terlalu berfantasi

Posted: 06 May 2014 10:51 PM PDT

SHILA ALISH merupakan seorang guru Kimia di Johor Bahru, Johor.
PENGUNJUNG memenuhi ruang pameran penerbitan Love Novel di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


TUTUR bicara penulis novel bestseller yang mesra dipanggil Shila Alish ini sungguh tertib sesuai dengan penampilan sopan dan elegan yang dikenakannya tatkala bertemu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra minggu lalu.
Siapa sangka guru subjek Kimia ini sebenarnya memiliki bakat menulis yang tidak kurang hebatnya. Walaupun beliau gemar menulis novel yang berkisarkan cinta, Shila Alish cenderung untuk menyelitkan kisah berbentuk pengajaran agar pembaca lebih berhati-hati dengan kehidupan.
Shila Alish atau nama sebenarnya Rosila Rahman, 40, berasal dari Johor Bahru, Johor merupakan guru di Sekolah Menengah Tasik Utara, Johor Bahru.
Minatnya terhadap bidang penulisan bercambah ketika berada di bangku sekolah namun, ketika itu beliau tidak mempunyai medium untuk mengetengahkan bakat yang terpendam. Kebelakangan ini, terdapat banyak penerbit yang berminat menerbitkan karya-karya penulis yang berpotensi sepertinya.
Peluang tersebut membolehkan penulis baharu sepertinya dapat memasuki pasaran dengan lebih mudah. Setakat ini, Shila Alish sudah menghasilkan dua naskhah novel bersama penerbit Love Novel Enterprise yang berjudul Mr. Secret Admirer dan Daripada Sekeping Surat Samanmu.
"Saya suka menulis kerana suka memerhati kelakuan orang dan ia tiada sempadan. Menulis juga membolehkan seseorang itu menjadi apa sahaja.
"Tapi saya cuba untuk tidak menerapkan elemen fantasi dalam novel kerana tidak mahu pembaca terikut-ikut dengan sesuatu yang tidak realistik," ujarnya yang mula serius menulis sejak tahun 2011.
Kenangan manis
Sepanjang bergelar penulis, kenangan paling manis Shila Alish ialah diundang ke Singapura dan menyaksikan sambutan luar biasa peminat di negara tersebut. Keterujaan peminat seolah-olah mereka berjumpa dengan personaliti bertaraf selebriti.
SHILA ALISH merupakan seorang guru Kimia di Johor Bahru, Johor.


Novel Mr. Secret Admirer yang diterbitkan pada Julai 2013 itu sudah dicetak buat kali kelima dan mencecah jualan 11,000 unit. Ia membakar semangat beliau untuk menghasilkan karya kedua yang ada menyelitkan kisah-kisah tauladan yang diperoleh dalam pengalaman mengerjakan umrah baru-baru ini.
Novel keduanya bertajuk Daripada Sekeping Surat Samanmu mengenai seorang guru wanita, Puteri Salwani yang terpaksa melalui pelbagai dugaan selepas menerima sekeping surat saman daripada Tuan Megat Irfan Wafiy akibat kesalahan jalan raya yang dilakukannya.
Puteri Salwani mula berubah setelah hidup dalam dendam dan benci selama lebih lima tahun akibat dikecewakan oleh lelaki yang dicintainya setengah mati.
Sementara itu, hati Tuan Megat Irfan Wafiy mula terdetik sesuatu selepas menyaman wanita tersebut dan berasa seolah-olah telah lama mengenali Puteri Salwani. Apa yang dirasakannya berasas apabila beliau terjumpa semula gambar Puteri Salwani yang pernah diberikan oleh ibunya setahun yang lalu, namun hanya disimpan kerana tidak berminat untuk dijodohkan.
Sejak hari itu Tuan Megat Irfan Wafiy mula mendekati Puteri Salwani kerana sikap wanita tersebut menarik hatinya. Niat yang pada asalnya sekadar ingin mengacau berubah apabila lama-kelamaan dia mula jatuh hati.
Kemunculan semula lelaki yang pernah dicintai Puteri Salwani iaitu Fauzan yang ingin menagih semula cintanya hanya memporak-perandakan hidupnya apabila kehormatannya telah diragut secara paksa.
Selepas episod hitam itu berlaku, Puteri Salwani cuba menjauhkan diri daripada Tuan Megat Irfan Wafiy kerana merasakan dia sudah tidak layak untuk lelaki sebaik itu.
Wanita itu membawa diri ke Tanah Suci dan tidak menyangka berlaku pertemuan misteri dengan seorang lelaki bernama Izham yang seiras dengan Tuan Megat Irfan Wafiy.
Bagi mengetahui kisah selanjutnya, pembaca boleh mendapatkan novel ini pada harga RM25 di kedai-kedai buku utama negara.


Ku Hariz tumpang populariti Jihan?

Posted: 06 May 2014 03:34 AM PDT


  • Ku Hariz tumpang populariti Jihan?

"SAYA dan dia masih lagi berkawan. Kami sekadar teman rapat. Malah tiada apa-apa ikatan pun di antara kami sebenarnya.

"Ikatan seperti teman wanita atau tunang hanya akan terjadi setelah persahabatan kami diketahui oleh keluarga saya," tegas Ku Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli mengenai hubungannya dengan pelawak terkenal, Jihan Muse.

Katanya, dek keakrabannya dengan bekas naib juara Raja Lawak 3 itu, ramai pihak telah salah tafsir akan hubungannya itu.

"Kami sudah lama kenal di antara satu sama lain. Dia adalah satu-satunya wanita yang paling rapat dengan saya sejak lima tahun lalu.

"Tambahan pula, kami selalu berjumpa kerana kami adalah daripada kumpulan teater yang sama," katanya ketika ditemui selepas pelancaran teater monodrama Legenda Datuk Dol Said.

Jelas aktor berusia 29 tahun itu lagi, hubungan mereka hanya akan disahkan setelah dia mendapat restu daripada keluarganya.

"Saya ada berhasrat untuk membawa dia bertemu dengan keluarga. Namun, disebabkan kekangan masa, perkara itu masih belum dapat dilakukan," katanya.

Tidak cukup dengan itu, dek status teman tapi mesra itu juga, Ku Hariz didakwa telah menumpang populariti yang dimiliki Jihan.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini malah, saya akui dia lebih terkenal daripada saya sekali gus saya juga terkena tempiasnya.

"Tetapi, saya tidak mahu meletakkan diri saya untuk dilihat sebegitu. Biarlah saya berusaha sendiri dan semua ini bergantung kepada rezeki masing-masing," katanya.

Ketika ditanya, adakah wujudnya persaingan antaranya dengan Jihan dari segi soal kerjaya, Ku Hariz memberitahu:

"Perjuangan kami adalah sama, iaitu mahu mengetengahkan bakat dan kebolehan. Tetapi, kami tidaklah bersaing di antara satu sama lain, lebih-lebih lagi apabila dia adalah perempuan dan membawakan genre lain.

"Saya selalu cakap pada diri, yang kami tidak boleh bersaing antara satu sama lain kerana kelak akan timbul ego, perbandingan atau niat jahat yang mungkin akan memakan diri sesama sendiri. Tambahan pula, dunia seni ini sudah terlalu banyak persaingannya.

Mahu popular untuk 'cari makan'

Kini hampir 10 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air, Ku Hariz mengakui perlukan populariti demi 'mencari makan'.

"Kadang-kadang ia tertakluk pada tuah, rezeki atau usaha dalam menjadikan seseorang itu popular.

"Bukan nak kata saya mahu popular, tapi saya memang perlu popular.

"Sebab bagi saya di Malaysia, popular dan kerja (duit) berjalan dengan seiring.

"Sekiranya produksi tidak kenal saya, bagaimana mereka nak bagi tawaran lakonan?," katanya.

Biarpun kurang dikenali, Ku Hariz tidak kecewa dengan situasi demikian kerana menganggap perkara itu dapat menjadikannya aktor yang lebih baik.

"Ini adalah cabaran bagi saya dalam menjadi seorang aktor yang lebih baik.

"Malah, ada tawaran yang bayarannya tidak berapa besar daripada TV, tetapi saya terima demi membesarkan bakat, lebih-lebih lagi, bidang ini adalah yang paling saya minat," katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas peserta Pilih Kasih musim kedua ini dipilih sebagai teraju utama dalam pementasan arahan Raja Azrey Raja Kamaruzzaman, teater monodrama Legenda Datuk Dol Said yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 hingga 18 Mei ini.

"Terlibat dalam teater ini, umpamanya mencabar diri kerana monodrama adalah salah satu peringkat tertinggi bagi seseorang aktor.

"Apa yang lebih mencabar apabila waktu latihan juga terlalu singkat.

"Kebiasaannya, saya akan menjalani latihan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk pementasan lain.

"Alhamdulillah, pengarah banyak membantu saya dari segi menghafal skrip dan sebagainya," katanya yang dari kumpulan pentas Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani).

Ku Hariz turut tampil dalam drama bersiri Jodoh 2 selain baru saja tamat penggambaran bagi telemovie tribute untuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul Seteguk Kasih Bonda arahan Osman Ali.

Almy Nadia Enggan Kongsi Kisah Rumah Tangga

Posted: 06 May 2014 03:31 AM PDT


Almy memilih untuk tidak berkongsi kisah rumah tangga bagi menghormati permintaan ibu. gambar- Takara Sakana Photography.
PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia memutuskan untuk mengunci mulut daripada menceritakan segala hal rumah tangga yang dibina bersama pelakon Fizz Fairuz.
Almy atau nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati permintaan ibunya agar apa juga yang berlaku dalam rumah tangga tidak diceritakan kepada umum khususnya media.  

"Ibu memberi nasihat agar tidak menceritakan hal rumah tangga kepada umum kerana ia terlalu peribadi.  

"Selain itu saya tidak mahu ada pihak yang tidak suka dengan cerita tentang kami. Tiidak semua orang suka kita, jadi lebih baik saya dengar nasihat ibu.

"Selalunya apa yang orang tua cakap itu betul," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Almy selamat diijabkabulkan dengan pelakon Fizz Fairuz dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, pada 26 April lalu.   
Majlis resepsi pihak perempuan akan di adakan di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 31 Mei ini, manakala pihak lelaki pada 7 Jun depan di Raub, Pahang.

Dalam pada itu, ditanya tentang gangguan daripada pihak luar terhadap rumah tangganya Almy berkata setakat ini kehidupan mereka berjalan lancar dan dia tidak mahu fikir tentang hal itu.  

Dia juga menganggap alam perkahwinan dan kehidupan berumahtangga merupakan sebuah kisah baharu dalam dirinya selain bergelar seorang isteri.  

"Setakat ini Alhamdulillah tiada sebarang gangguan tidak diingini dan saya malas nak fikir perkara seperti itu.  

"Saya anggap perkara yang sudah lepas sudah habis dan kini buka buku baru," katanya.  

Sementara itu, Almy berkata, mereka belum merancang untuk berbulan madu berikutan terlalu sibuk dengan persiapan majlis resepsi kedua-dua belah pihak yang bakal berlangsung.  

"Insya-Allah lepas selesai majlis resepsi kedua-dua pihak dan selepas majlis Anugerah Bintang Popular barulah kami fikir untuk berbulan madu.

"Sekarang ini banyak duit habis, jadi kenalah kerja dulu baru boleh fikir tentang bulan madu," katanya.

Nad Zainal Berubah Sikap, Kesal Dedah Hubungan Putus - Azwan Kombos

Posted: 06 May 2014 03:30 AM PDT


Azwan terkejut kenyataan Nad Zainal tentang hubungan mereka sudah berakhir.
PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos mengakui terkejut dengan kenyataan kekasihnya iaitu Nad Zainal, 24, di sebuah program hiburan pada Ahad kononnya   status percintaan mereka yang sudah berakhir.

Azwan, 29, berkata, wanita tersebut seharusnya bertindak secara rasional dengan membincangkan perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk mendedahkannya kepada umum.

"Saya mengaku hubungan kami ada masalah beberapa hari ini kerana dia bersikap dingin secara tiba-tiba. Lebih mengejutkan apabila dia beri kenyataan di Melodi (TV3) dengan mengatakan hubungan kami sudah berakhir, walhal saya sendiri tidak tahu tentang itu.

"Saya ada meminta dia untuk bertemu dan berbincang beberapa kali namun dia menolak dengan alasan terlalu sibuk dengan penggambaran," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Azwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pendedahan Nad Zainal dalam satu rancangan hiburan pada Ahad tentang hubungan percintaan mereka sudah berakhir.

Laporan tersebut juga memberitahu bahawa pelakon lelaki tersebut menganggunya di lokasi penggambaran.
Azwan meminta agar Nad Zainal berfikir secara matang dan tampil menyelesaikan hal tersebut secara baik
"Rabu lalu kami masih keluar bersama dan hubungan seperti biasa, sementara dakwaan saya ke lokasi penggambaran bukan ingin menganggu sebaliknya perkara itu atas permintaan dia.

"Sejujurnya saya sendiri tidak faham dengan keadaan ini dan mengapa dia berubah secara tiba-tiba atau mungkin juga ada orang ketiga dalam hubungan ini," katanya.

Azwan berkata, disebabkan perkara tersebut juga, dia dihubungi oleh keluarga wanita itu yang mahukan penjelasan.

Dalam pada itu, Azwan meminta agar Nad Zainal berfikir secara matang dan tampil menyelesaikan hal tersebut secara baik.

"Kalau betul pun dia ingin memutuskan hubungan ini dia seharusnya berjumpa saya dan berbincang dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di khalayak tanpa pengetahuan saya.

"Perkara ini akan menjadi lebih rumit jika dia mengambil sikap melarikan diri manakala orang ramai termasuk keluarga kedua-dua pihak menghubungi saya untuk cari penjelasan," katanya.

Pasangan ini menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun dan baharu sahaja menghadiri kursus perkahwinan pada Mac lalu.

Noniswara Nafi Hubungan Intim Dengan Usahawan

Posted: 06 May 2014 03:28 AM PDT


Nonis memberitahu dia kini tidak mudah percaya kepada kata-kata manis lelaki dan lebih berhati-hati dalam mencari pasangan hidup.
PETALING JAYA: Dramatis Noniswara menafikan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang usahawan yang dikenali sebagai Imran Mohd Nor apabila kelibat lelaki itu sering dilihat dalam gambar atau video yang dirakamkan menerusi laman sosial Instagram (IG).

Nonis atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 45, menegaskan hubungannya dengan lelaki itu hanya sekadar teman biasa dan masih belum terfikir untuk menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana lelaki selepas mengharungi penceraian kali kedua tahun lalu.

"Memang benar hubungan saya dengan Imran rapat tetapi hanya sebagai teman biasa dan bukannya intim seperti mana diperkatakan oleh sesetengah pihak.

"Apa yang mereka lihat menerusi gambar-gambar tersebut hanya salah faham dan terus membuat kesimpulan tanpa mengetahui cerita sebenar," katanya kepada mStar ketika dihubungi pada Ahad.

Nonis mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mingguan yang menyebut pelakon itu sering dilihat bersama dengan lelaki itu dalam beberapa majlis termasuk semasa sambutan hari jadinya bulan lalu.

Dalam pada itu, Nonis berkata, dia mengenali Imran menerusi suami kepada pelakon Rabecca Al-Islam iaitu Datuk Nor Azam Sulaiman dan mereka sering menghabiskan masa bersama-sama dan bukannya berdua-duaan.

Jelas Nonis, latar belakang Imran sebagai usahawan membuatkan mereka rapat selain banyak meminta nasihat daripada lelaki itu tentang perniagaan.

"Saya seorang yang minat dalam perniagaan dan ada meminta nasihat Imran tentang selok belok tentang bidang itu dan sekiranya kami keluar bersama pun ia turut ditemani oleh rakan-rakan lain yang pada kebiasaannya hampir sepuluh orang semuanya," jelasnya.

Sementara itu, Nonis berkata, sebagai seorang wanita yang pernah bercerai sebanyak dua kali dia kini lebih berhati-hati sekiranya ada lelaki mendekatinya kerana ingin memastikan dia tidak tersalah langkah seperti mana sebelum ini.

Nonis bagaimanapun mengakui ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya namun dia kini tidak mudah mempercayai kata-kata manis mereka selain lebih selesa berkawan sahaja.

"Dengan pengalaman sebelum ini saya perlu lebih berhati-hati dengan kaum lelaki dan perlu menilai dan meneliti terlebih dahulu sikap dan personaliti mereka kerana jika ditakdirkan bertemu jodoh saya tidak mahu ia berakhir dengan penceraian," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nonis berkata, selain sibuk dengan lakonan dia juga kini lebih banyak menghabiskan masa di kampung halamannya di Kota Bahru, Kelantan bersama anak-anaknya.

Nasi RM3 di Ipoh

Posted: 06 May 2014 03:23 AM PDT


  • Nasi RM3 di IpohKedai Noor Aini terletak di hadapan Stadium Perak

JIKA ditanya tentang makanan murah kepada warga sekitar Ipoh, pastinya mereka akan menyebut Nasi RM3.

Kedai makan yang terletak di Medan Selera Stadium Perak itu sentiasa dipenuhi pelanggan ketika waktu makan tengah hari.

Kedai Kak Mek Nasi Berlauk, resipi asli dari Kelantan milik Noor Aini Husin, 40, telah beroperasi sejak lima tahun lalu dan mendapat tempat di hati pelanggan tetapnya.

Dengan harga RM3 pelanggan boleh menikmati nasi berlaukkan ayam goreng, kari ayam, timun dan sambal yang sudah memadai untuk mengenyangkan perut malah terdapat banyak lagi lauk yang boleh menjadi pilihan.

Kebanyakan pelanggan terdiri daripada kakitangan awam serta pelajar institusi pengajian tinggi berhampiran selain orang awam.

"Ada juga pelanggan yang hari-hari datang beli nasi RM3 tetapi menukar jenis kuah supaya tidak jemu.

"Kami juga menjual air dengan harga RM1, jadi mereka yang ingin dapatkan makanan tengah hari bajet boleh datang ke sini," katanya.

Noor Aini berkata, ilham berniaga nasi RM3 berasal dari Kelantan, apabila beliau meniaga di sana dengan menjual nasi pada harga RM2 atau RM2.50.

Malah beliau turut menjual dengan harga yang sama ketika mula-mula berniaga di Ipoh, Perak.

Bagaimanapun seiring dengan perkembangan semasa, beliau terpaksa menaikkan harga kepada RM3 namun hal itu tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pelanggan.

Kedai yang beroperasi setiap hari bermula jam 7.30 pagi hingga 4 petang itu juga diiktiraf sebagai Kedai Menu Rakyat 1 Malaysia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pemancing tangkap tenggiri 12.5kg di Kuala Kemaman

Posted: 06 May 2014 03:13 AM PDT


  • Pemancing tangkap tenggiri 12.5kg di Kuala KemamanChe Wan Abdullah Che Wan Ismail, 58, (tengah) menunjukkan ikan tenggiri seberat 12.5 kilogram dan sepanjang satu meter yang dipancing beliau di jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman, Terengganu. 

KEMAMAN - Seorang pemancing berjaya menangkap seekor ikan tenggiri dengan saiz luar biasa seberat 12.5 kilogram dan sepanjang satu meter di jeti Kompleks Lembagan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman di sini, semalam.
  
Che Wan Abdullah Che Wan Ismail, 58, berkata beliau terpaksa 'bertarung' selama 30 minit sebelum berjaya menaikkan ikan itu kira-kira pukul 3.30 petang.
  
"Saya menggunakan umpan anak ikan kembung...saya lihat joran milik saya mula dipagut sehinggakan rakan saya, Yusof Awang Yong, 58  yang memegang joran kelihatan sangat sukar mengawalnya.
  
"Saya segera berlari mencari benda yang lebih besar dan bertemu pengait dan syukur Alhamdulillah akhirnya dapat menaikkan ikan tenggiri yang sungguh besar ini," katanya ketika ditemui pemberita di LKIM Kuala Kemaman.
  
Katanya, tenggiri itu merupakan ikan air masin pertama yang berjaya dipancingnya di sungai dan kebiasaannya sebelum ini dia dapat memancing ikan siakap putih, senangin, kurau, dan talam.

"Ikan ini saya akan hantar ke Singapura untuk dijual," katanya yang menganggap pengalaman menaikkan ikan sebesar itu sebagai kenangan manis sepanjang mencari rezeki sebagai pemancing.
   
Kejayaannya itu telah menarik perhatian orang ramai yang berkunjung ke Kompleks LKIM untuk melihat ikan berkenaan.
  
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Abdul Khalil Abdul Karim berkata ikan tenggiri adalah daripada spesies tuna dan saiz itu agak luar biasa serta jarang ditangkap nelayan tempatan.
  
"Mengenai ikan tenggiri itu ditangkap di sungai, mungkin kerana ia mengikut arus laut dan jarang-jarang berlaku," katanya.

Panik ular tedung selar masuk rumah

Posted: 06 May 2014 03:09 AM PDT


  • Panik ular tedung selar masuk rumahAnggota JPAM memegang ular tedung selar yang berjaya ditangkap selepas memasuki dapur sebuah rumah penduduk di Kampung Bukit Tok Ali, dekat Jeli.

JELI - Sebuah keluarga empat beranak panik seketika apabila seekor ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter memasuki rumah mereka di Kampung Bukit Tok Ali, dekat sini, baru-baru ini.

Kejadian kira-kira jam 11 malam berlaku ketika seorang ahli keluarga itu, Hafiz Ismail, 21, masuk ke dapur untuk minum air sebelum terserempak dengan reptilia berbisa itu.

Hafiz yang terkejut melihat haiwan itu mengembangkan kepala terus berlari keluar ke ruang tamu untuk mengejutkan ahli keluarganya sebelum menghubungi seorang rakan bagi mendapatkan bantuan.

"Sebelum itu, saya sedang menonton televisyen dan masuk ke dapur untuk minum air apabila terserempak dengan ular itu yang tiba-tiba muncul di hadapan saya.

"Saya terpaksa minta bantuan rakan kerana bimbang dengan keselamatan kami dan apabila melihat ular itu, dia terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Jeli," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Daerah Jeli, Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.01 malam sebelum tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian.

"Apabila sampai, haiwan itu sudah berada di luar rumah dan anggota kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap ular berkenaan," katanya.

Harta karun: Kontraktor nafi sengaja letak syiling

Posted: 06 May 2014 03:08 AM PDT


  • Kontraktor nafi sengaja letak syilingAntara gambar tersebar di internet, kononnya harta karun yang ditemui di Pulau Nangka, Melaka.

MELAKA - Syarikat kontraktor yang bertanggungjawab mencari dan mengeluarkan harta karun di Pulau Nangka, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, menafikan sengaja meletakkan dua  keping syiling di kawasan pencarian supaya kontrak yang sepatutnya berakhir 30 April lalu, disambung semula.

Pengarah Urusannya, Mohammad Foad Khushairy Mohd berkata, syiling itu memang ditemui pekerjanya ketika kerja penggerudian bongkah batu di kawasan pencarian.

Katanya, penemuan itu turut  disaksikan banyak pihak, termasuk wakil Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan media yang membuat liputan.

"Tuduhan mengatakan kami sengaja meletakkan dua keping syiling itu tidak benar. Malah, saya menafikan ia dibawa dari luar," katanya.

Menurutnya, sejak dua syiling berkenaan ditemui pada malam 30 April lalu, banyak maklum balas daripada pelbagai pihak tertera pada laman sosial yang meragui kesahihannya.
Malah, katanya, ada yang berpendapat syiling seumpama itu mudah diperolehi dan banyak dijual menerusi internet.

Mohammad Foad berkata, dua syiling itu sudah pun diserahkan kepada Perzim bagi tujuan kajian.

"Saya sudah serahkan kepada Perzim untuk memutuskan kesahihannya dan keputusan ujian makmal akan menentukan sama ada ia benar-benar dari kawasan itu atau tidak.
"Saya harap orang ramai tunggu hasil kajian berkenaan sebelum membuat sebarang andaian," katanya pada di pulau berkenaan, semalam.

Sementara itu, Mohammad Foad menafikan beberapa gambar harta karun yang tersebar di internet ditemui di Pulau Nangka sewaktu kerja pencarian.

"Saya tegaskan, setakat ini hanya dua keping syiling ditemui sepanjang tempoh pencarian dan gambar tersebar di internet itu tidak benar," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerja-kerja mengalihkan bongkah batu terpaksa ditangguhkan lagi apabila hanya separuh sahaja berjaya dinaikkan, manakala selebih masih tertinggal dalam lubang pencarian sedalam kira-kira lima meter.

Menurutnya, batu berkenaan terpaksa dipecahkan akibat alatan digunakan tidak mampu mengangkat bebanan seberat itu.

"Secara keseluruhan, bebanan yang diangkat seberat 18 tan dan setakat ini sudah 15 tan batu berjaya dialihkan, manakala selebihnya masih tertinggal.

"Kami hanya mampu mengeluarkan separuh sahaja bongkah batu setinggi 2.5 meter dan mempunyai berat kira-kira dua tan selepas melakukan operasi dari jam 8 sehingga 10 malam semalam (kelmarin)," katanya.

Beliau bagaimanapun yakin, dapat mengeluarkan baki batuan tersebut dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum menjalankan kerja membersihkan tanah setebal kira-kira satu meter di dalam lubang itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories