RSS

Nuffnang

- Blog Hanz -

sumber :-

- Blog Hanz -


Cara Untuk Mengatasi Masalah Berdengkur

Posted: 04 Jun 2014 09:28 AM PDT



Anda mempunyai masalah berdengkur semasa tidur? Suami/Isteri ada berdengkur sehingga mengganggu anda tidur?



Ramai menganggap berdengkur merupakan perkara biasa. Ada yang berdengkur jika mereka betul-betul tidur nyenyak dan terdapat juga yang terus berdengkur walaupun baru terlelap hanya seketika.

Berdengkur adalah disebabkan oleh halangan di dalam saluran nasal berpunca daripada postur tidur yang tidak betul, pengumpulan lemak di sekitar muka dan leher serta berkemungkinan juga disebabkan oleh alahan.

Semasa sedang tidur, anda masih memerlukan pengaliran oksigen yang betul. Ini penting bagi mengurangkan kebarangkalian untuk berdengkur dan seterusnya mendapatkan rehat yang cukup setiap malam.

Tidur yang berkualiti dan betul-betul nyenyak boleh terganggu disebabkan oleh gangguan walaupun sedikit. Bagaimanapun, terdapat kaedah-kaedah atau cara semulajadi bagi menghentikan dengkuran.

1) Gunakan bantal yang lebih
Pastikan anda meletakkan kepala anda pada kedudukan yang lebih tinggi sedikit daripada badan ketika baring. Ini adalah untuk membuka saluran pernafasan anda dan mengelakkan saluran tekak daripada tersekat yang akan menyebabkan anda berdengkur.

2) Bahan pendingin
Sekiranya kesejukan atau kesesakan nafas yang menyebabkan anda berdengkur, anda boleh menggunakan bahan pendingin seperti (vicks) sebelum tidur. Ini adalah untuk mengeringkan rongga hidung dan meningkakan aliran udara pernafasan untuk mengurangkan berdengkur.

Anda juga dinasihakan untuk menyapukan vicks pada bahagian dada sebelum tidur untuk melancarkan pernafasan.

3) Nasal strips
Sekiranya masalah selesema atau batuk bukanlah menjadi masalah yang menyebabkan anda berdengkur, anda boleh menggunakan nasal strips. Ia berfungsi untuk membuka saluran hidung untuk menjadikannya kurang sempit dan ini dapat memberikan aliran udara yang lebih baik.

4) Tidur dalam keadaan mengereng
Posisi tidur dalam keadaan mengereng juga adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah berdengkur. Apitkan bantal pada bahagian belakang dan depan badan untuk membuatkan anda tidak berasa selesa tidur telentang atau menerap.

Ini adalah salah satu cara mudah untuk memastikan anda sentiasa tidur dalam keadaan mengereng sehingga keesokan paginya.

5) Buat senaman otot-otot kerongkong dan rahang
Pernafasan akan menjadi lebih mudah jika anda mempastikan otot-otot leher, kerongkong dan rahang sentiasa dalam keadaan baik. Amalkan menarik nafas panjang bagi melapangkan laluan pernafasan anda dan ini mengurangkan risiko ia tersumbat semasa anda sedang tidur.

6) Berurut
Rehat yang secukupnya boleh mengendurkan otot-otot tubuh yang tegang dan membuatkan anda tidur dengan lebih nyenyak. Tetapi urutan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan tekanan pada otot-otot utama yang mungkin menjadi penyebab kepada kesukaran untuk tidur nyenyak yang anda perlukan.

7) Mengurangkan bahan-bahan alahan yang terdapat dalam bilik tidur
Alahan boleh mencetuskan dan menjadi penyebab kepada dengkuran dan menimbulkan kesukaran untuk bernafas. Pastikan cadar dan selimut anda bersih daripada habuk dan hama. Sentiasa pasang alat penapis udara sepanjang siang dan malam bagi mendapatkan udara yang bersih dan segar.

8) Tidur menggunakan bantal peluk
Postur tidur yang selesa dan betul akan membuatkan tulang belakang anda berada pada kedudukan yang betul. Cara ini juga akan mengurangkan halangan pada saluran ke paru-paru dan nasal. Tidur mengiring dengan meletakkan bantal peluk membantu anda mengekalkan posisi tidur yang sihat.

9) Pastikan jika anda alah pada sesuatu jenis makanan
Ramai yang tidak menyedari jika mereka alah pada sesuatu jenis makanan kerana ini juga boleh menjadi punca kepada halangan pada kerongkong dan saluran nasal. Cuba pastikan jika anda ada alah pada sesuatu jenis makanan dan cuba kurangkan pengambilan makanan jenis tersebut perlahan-lahan.

10) Amalkan teknik menarik nafas dalam-dalam
Dengan mempastikan anda tahu bagaimana hendak bernafas dengan betul dapat membantu anda mendapatkan rehat yang cukup dengan sendiri anda dapat mengamalkan corak bernafas yang sihat pada setiap malam. Oleh kerana anda tidak dapat mengawal pernafasan semasa tidur, latihan pernafasan yang anda sering lakukan membantu anda bernafas dengan betul semasa tidur.

Meditasi dan pranayama merupakan latihan pernafasan yang bukan sahaja dapat membantu anda berhenti berdengkur tetapi anda akan berasa relaks dan lebih fokus.

11) Buat pemeriksaan tonsil
Satu daripada masalah atau halangan kerongkong ialah tonsil yang terlalu besar. Jika anda mempunyai situasi dengkur yang teruk, jumpa lah pakar dan buat pemeriksaan jika tonsil bengkak atau terlalu besar. Pembedahan boleh dilakukan bagi membuang tonsil tersebut agar anda tiada gangguan tidur lagi.

12) Kurangkan berat badan
Bagi mereka yang gemuk, sebaiknya turunkan berat badan kerana lemak yang terkumpul di sekitar kerongkong dapat dihindari. Cara ini bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah dengkuran tetapi anda akan dapat tidur nyenyak serta personaliti anda akan turut nampak lebih menarik dan memikat.

Also See and Read This : READ MORE

Peristiwa Kelahiran Rasulullah

Posted: 04 Jun 2014 09:26 AM PDT



12 Rabiul Awal merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam seluruh dunia sama-sama menyambut hari kelahiran putera bertuah yang telah merubah peradaban dunia.



Muhammad begitulah nama indah kepada putera Abdullah dan Aminah ini yang telah menunjukkan sifat keperibadian dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi.

Tujuan perayaan ini dilakukan bukanlah untuk memuja Rasulullah S.A.W tetapi sebaliknya bagi mengingati segala pengorbanan baginda dan yang lebih utama lagi untuk mencontohi akhlak serta segala sunnah yang ditinggalkan kepada kita.

Menurut sejarah, Malikus Salleh yang merupakan seorang pendakwah yang terkenal pada masa itu telah memperkenalkan perayaan ini apabila beliau melihat umat Islam di kepulauan Melayu pada masa itu kurang mengamalkan sunnah serta mengabaikan akhlak-akhlak yang terpuji yang pernah ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W.

Sesiapa yang menyambut kelahiran Rasul yang mulia ini tetapi hanya untuk bermegah-megah dan tidak mahu menurut segala apa yang dibawa oleh baginda S.A.W serta menolak hukum Pencipta mereka maka inilah yang dikatakan perayaan yang dibuat itu adalah bid'ah yang sesat yang menempah siksaan dan bala dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Kita bukan mengadakan perayaan untuk mengingati baginda S.A.W sahaja tetapi mestilah diikuti dengan pelaksaan segala perintah dan sunnah Rasulullah S.A.W. Pelaksaan pula hendaklah meliputi semua aspek dan bukannya menurut kehendak hati sahaja seperti yang berkait dengan ibadat khusus, sunnah yang berbentuk amalan sunat dan meninggal apa yang sukar dan tidak bertepatan dengan nafsu kita

seperti politik, ekonomi, perundangan, pemerintahan, batas-batas pergaulan harian dan pemakaian pakaian yang menutup aurat bukan sahaja disekolah, universiti, tempat kerja malah di mana sahaja termasuk di rumah apabila adanya mereka yang bukan muhrim (halal berkahwin) bersama.

Kelahiran Rasulullah S.A.W adalah pada tahun Gajah di mana tentera Abrahah yang berpusat di Yaman telah datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka'bah. Perancangan ini adalah bertujuan memastikan manusia pada masa itu tidak lagi tertumpu di Mekah setiap tahun dalam mengerjakan ibadat haji sebaliknya mengerjakannya di Yaman.

Datuk baginda iaitu Abdul Muttalib apabila melihat kemaraan tentera bergajah Abrahah meminta agar kesemua penduduk Mekah untuk bersembunyi bagi menyelamatkan diri masing-masing daripada tentera itu. Beliau menyatakan bahawa Ka'bah adalah milik Tuhan yang mana Dia tetap menjaganya daripada pencerobohan mereka yang zalim. Akhirnya Allah menghantar burung Ababil untuk menghancurkan tentera bergajah Abrahah.

Tentera Allah yang kecil iaitu burung mampu mengalahkan tentera bergajah Abrahah dengan lontaran batu-batu kecil sahaja. Ini bermakna setiap sesuatu tidak mampu melawan kehendak Allah yang Maha Pencipta. Pejuang Islam mesti yakin dengan pertolongan Allah yang akan bersama mereka yang ikhlas dan bersungguh dalam memperjuangkan Islam sebagaimana keyakinan yang wujud dalam hati datuk Rasulullah s.a.w.

iaitu Abdul Muttalib yang begitu yakin bahawa Ka'bah tetap akan dijaga oleh Tuannya iaitu Allah ketika melihat kemaraan tentera Abrahah. Kita sebagai pendakwah mesti lebih yakin daripada beliau terhadap pertolongan Allah dalam mengembalikan ketuanan Islam.

Lahirnya Rasulullah s.a.w daripada bangsa arab berketurunan Quraisy selain daripada menempelak Yahudi dan Kristian yang mendakwa bahawa bani Israel merupakan anak dan kekasih Allah, ia juga memberi pengajaran kepada kita bersama bahawa lahirnya pendakwah daripada keturunan yang baik disertai pula dengan akhlak dan keperibadian yang soleh akan menjadi pemangkin yang begitu penting dalam penyebaran dakwah. Oleh itu kita perlu menitik beratkan mengenai keturunan kita dalam memastikan dakwah Islam yang kita bawa akan lebih tersebar.

Ingatlah bahawa keluarga merupakan fitnah yang begitu besar kepada pendakwah di mana ramai di kalangan mad'u atau mereka yang di dakwah akan melihat bagaimana keadaan keluarga pendakwah sebelum menerima dakwah yang dibawa. Memang tidak dinafikan bahawa bukannya hanya faktor keturunan yang akan membantu dalam berdakwah kerana ramai juga yang dilahirkan dalam keadaan keturunan yang tidak terkenal tetapi mampu dan berjaya untuk menjalankan kerja-kerja dakwah.

Ada juga yang berketurunan baik tetapi dirinya sendiri terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar sehingga menjadi seorang yang tidak berguna malah penentang kepada Islam itu sendiri. Namun begitu persoalan mengenai keturunan yang mulia dibantu oleh sifat yang terpuji serta amal yang mulia merupakan gabungan yang ideal dalam memastikan kerja-kerja dakwah yang lebih berjaya.

Oleh itu Allah melahirkan baginda s.a.w dalam keluarga yang berketurunan yang mulia dan dihormati pada masa itu bagi membantu baginda s.a.w ketika menyampaikan dakwah. Mereka yang masih kufur tidak boleh lagi berhujjah bahawa Islam tidak dapat diterima kerana ia dibawa oleh seorang yang berketurunan biasa kerana baginda s.a.w berketurunan baik dan terpilih.

KEADAAN JAHILIAH DAN MATERIAL

Lahirnya baginda di celah-celah kegemilangan kerajaan Rom, Parsi, India dan beberapa buah lagi kerajaan yang lain menunjukkan kepada kita bahawa kemajuan sesuatu tamadun itu bukannya terletak pada kemajuan material semata-mata tetapi mestilah selari dengan pembangunan insan. Kemajuan yang berasaskan maddiah dengan mengenepikan pembangunan ruhiah tidak mampu memberikan kebahagian yang berkekalan kepada sesuatu bangsa.

Kita pernah membaca dan melihat sendiri kesan kegemilangan kerajaan-kerajaan tersebut seperti kerajaan Rom di Jordan yang begitu hebat dari segi seni binanya tetapi mereka tidak mampu berlaku adil pada rakyat mereka sehingga adanya undang-undang yang melahirkan lapisan masyarakat yang berbeza taraf serta perhambaan di kalangan mereka.

Mereka lebih mementingkan kehebatan dari segi material dan meninggalkan kepentingan pembinaan insan kerana mereka berada jauh daripada petunjuk wahyu Ilahi. Sikap mereka ini menular kembali ke dalam pemerintahan di negara yang menggunakan ideologi ciptaan manusia dan meninggalkan hukum Allah Yang Maha Kuasa pada masa kini.

Oleh itu tujuan sebenar kedatangan Rasulullah S.A.W adalah untuk memberi sinar iman setelah begitu lama manusia lemas dalam lautan jahiliah dan kekufuran serta mengubah daripada perhambaan sesama manusia kepada tunduk dan patuh kepada Allah yang Maha Kuasa. Namun begitu Islam bukanlah menafikan sebarang pembangunan material tetapi Islam mahu melihat bagaimana pembangunan material dan rohani mampu diselaraskan demi melihat kejayaan di dunia dan akhirat.

Adakah masyarakat hari ini menjadikan Jepun atau negara barat sebagai model terbaik dalam pembinaan tamadun moden semata-mata pembangunan material yang tersergam indah atau pun kerana disiplin masa dan ketekunan mereka dalam bekerja dan mengkaji?.

Kita dapat lihat sendiri apa yang berlaku dalam negara di mana berbilion wang dihabiskan untuk membina bangunan yang tinggi-tinggi demi mencipta nama di mata dunia walau pun semakin hari semakin tinggi jumlah hutang negara yang ditanggung sedangkan berapa banyakkah wang yang dihabiskan untuk pembinaan manusia. Sikap memandang remeh terhadap pembinaan insan ini menyebabkan ramai rakyat yang terlibat dengan amalan yang tidak sihat malah menggugat keamanan negara.

Berapa bilion terpaksa dihabiskan untuk membina penjara, pusat serenti dan pelbagai lagi dalam membendung penagihan dadah, jenayah seks dan sebagainya. Pemimpin sendiri terlibat dengan masalah politik wang yang mampu menggadaikan keseluruhan hasil dan tanah negara dalam masa terdekat dan jaka panjang.

Kehidupan baginda s.a.w dalam suasana jahiliah yang dipenuhi oleh amalan penyembahan berhala mengingatkan kita bagaimana suasana itu tidak mampu menggoyah dan memberi kesan kepada keperibadian Rasulullah s.a.w yang sentiasa berada di bawah naungan tarbiah Ilahi. Suasana ini juga memberi pengajaran kepada kita bersama bagaimana Rasulullah s.a.w menjadi baik dan berakhlak mulia bukannya disebabkan suasana sekitar yang baik dan soleh sebaliknya kerana didikan Allah.

Ini bagi menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa baginda s.a.w menjadi soleh dan berakhlak mulia kerana terasuh dan terdidik oleh suasana sekitarnya yang baik. Kita sebagai pejuang Islam mestilah berusaha dalam membina keperibadian muslim sejati walau pun berada dalam suasana jahiliah moden yang mencengkam bagi menyahut maksud hadis di mana Rasulullah s.a.w menyifatkan keadaan muslim yang sejati sebagaimana ikan di laut yang mana ia tidak masin seperti air laut sebaliknya dagingnya tetap manis.

YATIM PIATU DAN MISKIN

Semenjak kecil lagi Rasulullah telah diuji dimana seorang demi seorang mereka yang merupakan tempat baginda bergantung dan mengharapkan kasih sayang sebagaimana anak-anak kecil yang sebaya dengan baginda telah pergi menemui Al-Khaliq iaitu dengan dimulai dengan kematian ayahandanya Abdullah semasa baginda dalam kandungan ibundanya lagi.

Kemudian diikuti dengan kematian ibundanya Aminah ketika mana baginda baru mula mengerti erti belaian kasih sayang seorang ibu. Selepas itu datuknya Abdul Muttalib pula pergi menemui Ilahi yang mana penjagaan baginda selepas itu diambil alih oleh bapa saudaranya Abu Thalib.

Ujian ini telah mematangkan baginda dan menunjukkan kepada kita bahawa usaha dakwah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan disamping di uji dengan mehnah atau cabaran. Ujian ini juga adalah untuk menjauhkan Rasulullah S.AW daripada tuduhan liar bahawa ilmu yang beliau sebarkan adalah hasil warisan dan pengajian yang baginda S.A.W perolehi daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W sebaliknya ia adalah wahyu Ilahi.

Begitu juga untuk menghindar daripada tuduhan yang mengatakan segala kematangan dan perilaku yang mulia pada diri Rasulullah S.A.W adalah kerana hasil penjagaan dan didikan daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W. Kehidupan sebagai anak yatim piatu juga mengajar baginda yang bakal menjadi nabi lagi rasul untuk berdikari dan juga melahirkan dalam diri baginda s.a.w sifat kasih terhadap orang susah dan menderita terutama anak yatim piatu.

Sebagaimana sekarang kita dapat dapat bezakan antara yang menjadi ahli koprat kerana dilahirkan dalam keluarga koprat berbeza dengan mereka yang menjadi ahli koprat hasil usahanya sendiri. Tanggapan orang ramai mengenai kedua-dua mereka adalah berbeza walaupun kedua-duanya merupakan ahli koprat dan mereka yang lahir menjadi ahli koprat hasil daripada usahanya sendiri biasanya lebih matang kerana pernah menghadapi cabaran dan jatuh bangunnya perniagaan sebelum lahir sebagai ahli koprat.

Ingatlah bahawa perjuangan untuk meninggikan kalimah La ila ha illallah bukannya dihamparkan dengan permaidani merah tetapi dibentangkan dengan onak dan duri di sepanjang perjalanan menuju matlamatnya yang suci.

Kehidupan baginda s.a.w juga tidak dihiasi dengan warisan kekayaan keluarga sebaliknya dipenuhi dengan kemiskinan sehingga jika kita membaca kitab sirah nabawiyyah ada menceritakan bagaimana keluarga ibu susunya Halimatus Sa'diyah hanya bersetuju untuk menjaga baginda s.a.w setelah mereka tidak mendapati kanak-kanak selain baginda s.a.w untuk diasuh.

Ini adalah bertujuan untuk mendidik baginda s.a.w dengan erti kesusahan dan juga bagi mengelakkan kekayaan itu menjadi fitnah kepada tujuan mereka yang memeluk Islam selepas kenabian nanti. Ia juga mengingatkan bagaimana sebagai pendakwah Islam yang tulen kita mesti meneruskan usaha dalam memastikan bendera La ilaha illaLlah akan berkibar megah samada ketika senang atau pun susah.

Kewangan bukanlah penghalang yang besar kepada kerja dakwah sebaliknya ia hanya sekadar bantuan sahaja dalam melancarkan tugas-tugas kita sebagai pendakwah.

Bibliografi :
1. Ar-Rahikul Makhtum, Sofiyyurrahman al-Mubarakfuri, Darul Salam, Riyadh.
2. Fiqh as-Sirah, Doktor Muhammmad Sa'id Ramadhan al-Buthi, Darul Fikir.
3. As-Sirah an-Nabawiyyah, Doktor Mustafa as-Siba'ie, Al-Maktab al-Islami

Also See and Read This : READ MORE

Menyambut April Fool Haram Hukumnya

Posted: 04 Jun 2014 09:25 AM PDT


Dr. Yusuf al-Qardawi menyebut :

Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda : Orang munafik mempunyai tiga ciri : Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]



Rasulullah SAW memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda SAW bersabda: "Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya." [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai'e]

Rasulullah SAW juga bersabda: "Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran". [HR Ahmad dan At-Thabrani]. Sebahagian hadis Nabi SAW turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim." [HR Abu Daud]

Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang dalam apa bentuk pun.
Sambutan April Fool adalah dilarang kerana 4 sebab :

1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.

3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.

4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.

Sheikh Atiyyah Saqr pula menyatakan :

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.

Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan darurat. Di dalam kes tersebut, kaedah "darurat menjadikan yang haram harus" digunakan. Darurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu." [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ummu Kalsum binti 'Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, "Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi iaitu ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri." Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan.

Sheikh Shalih Fauzan menyatakan :

Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari April Fool, mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka."

Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.

Also See and Read This : READ MORE

April Fool Bukan Untuk Kita

Posted: 04 Jun 2014 09:23 AM PDT



April Fool? pastinya kita semua sering mendengar mengenai perayaan ini. Perayaan yang disambut pada setiap 1 April yang menghalalkan perbuatan menipu atau berbohong dengan tujuan gurauan dan memperbodohkan orang lain.


April Fool mungkin kelihatan menyeronokkan bagi sesetengah pihak. Hari tersebut dianggap sebagai hari untuk bergurau senda dengan kawan-kawan,saudara mara ataupun sesiapa sahaja dengan cara menipu. Tapi tahukah kita apakah disebalik perayaan april fool dan terfikirkah kita dengan kesan daripada kita menyambut perayaan ini?

Menurut sumber, April Fool merupakan sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara-cara penipuan. Perayaan April Fool bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H. Oleh sebab itu, mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

Namun begitu, dukacita saya tanyakan, adakah kita semua tahu rahsia di sebalik April fool dan tidak marayakannya atau adakah kita hanya mengikut budaya barat dan menyambut perayaan ini?

Jika jawapan kita yang kedua. Maka kita adalah yang tergolong dalam golongan yang rugi. Kita adalah fool yang sebenarnya dan apa yang kita tahu hanyalah meniru perbuatan orang barat tanpa menyelidik itu dan ini semata. Oleh yang demikian, berhentilah mejadi orang yang menurut dan terikut-ikut sahaja,jadilah orang yang hebat,yang membina revolusi dan jauhkanlah diri kita dari di'fool'kan

Dalam sabda Rasulullah S.A.W pun, baginda akan bersabda mengenai perbuatan menikut-ikut ini.

"Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?"
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

April Fool ini tidak lain tidak bukan cumalah hari yang mendatangkan kerugian. jelas sekali impak perayaan ini adalah perkara yang buruk sahaja. Sesiapa sahaja pasti akan marah jika diperbodohkan,Malah ada banyak laporan yang menyatakan perbuatan ini ada yang menyebabkan saudara-mara mahupun kawan yang membunuh orang yang menipu kerana tidak dapat mengawal emosi.Bukan itu sahaja, April fool ini jelas sekali boleh menyebabkan seseorang akan hilang kepercayaannya terhadap orang lain. Pemikiran pun asyik bergfikir yang negatif sahaja mengenai orang lain.

Konklusinya, April Fool ini sudah terbukti tidak mempunyai apa-apa yang menarik dan mendatangkan faedah untuk kita sambut.

Also See and Read This : READ MORE

Sebab Perlu Elak Minum Minuman Bergas

Posted: 04 Jun 2014 09:22 AM PDT



Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa minuman bergas banyak membawa keburukan terhadap kesihatan manusia.


Di dalam artikel ini akan menerangkan dengan lebih terperinci lagi supaya anda mengetahui bagaimana ia boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan anda.

1) Minuman bergas mengandungi asid fosforik yang mengurangkan penghasilan kalsium dan magnesium. Kekurangan dua nutrien penting ini akan menyebabkan sistem imunisasi tubuh tidak dapat berfungsi dengan baik.

2) Minuman bergas juga mengandungi kandungan gula yang amat tinggi dan juga bahan radikal bebas yang akan meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan kerosakan tisu kulit.

3) Botol plastik mengandungi bahan kimia yang dipanggil bisphenol A (BPA). Bahan kimia ini amat mudah diresapi oleh minuman bergas yang akan menyebabkan proses tumbesaran terbantut.

4) Minuman bergas juga mengandungi sejenis asid yang mampu menghakis usus perut seseorang peminumnya untuk jangka masa panjang.

Also See and Read This : READ MORE

Waktu Diharamkan Solat

Posted: 04 Jun 2014 09:20 AM PDT




Solat adalah ibadah yang dilakukan dengan perkataan dan perbuatan khusus yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Solat terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Solat wajib/ fardhu dan juga solat sunat.



Solat wajib iaitu solat lima waktu manakala solat sunat pula seperti solat dua hari raya, solat sunat rawatib dan beberapa solat sunat yang lain.

Solat wajib punyai waktu-waktunya yang tersendiri begitu juga dengan beberapa solat sunat. Umumnya sesetengah solat sunat boleh sahaja dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja melainkan pada waktu yang diharamkan kita bersolat. Waktu-waktu yang diharamkan kita bersolat adalah sebagaimana yang berikut:

Haram hukumnya menunaikan solat pada tiga waktu selain yang telah dikecualikan oleh sebahagian ulama' mazhab. Waktu tersebut adalah :

1. Ketika matahari terbit sehingga sedikit naik, baik solat fardhu, solat sunat, samada secara tunai atau qadha.

Perkara tersebut berdasarkan riwayat: Daripada Uqbah bin Amir r.a dia beliau berkata :
" Tiga waktu yang kami dilarang oleh Rasulullah SAW menunaikan solat dan mengebumikan orang mati; Ketika tepat matahari terbit sehingga naik,ketika betul-betul tengah hari ( matahari naik tegak atas kepala )dan ketika matahari condong ( hampir terbenam ) sehingga benar-benar terbenam." ( Riwayat Ahmad,Muslim,Nasai,Ibnu Majah,Tirmizi,Abu Daud )

Ulama' Syafi'eyah dan Malikiyyah dalam masalah ini mengecualikan Solat Subuh dan Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Subuh dan tinggal satu rakaat kemudian masuk waktu tepat matahari terbit , maka dia boleh meneruskan solat itu sehingga selesai. Begitu juga dengan Solat Asar.

Jika seseorang menunaikan Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja lagi kemudian tiba waktu betul-betul terbenamnya matahari maka dia boleh meneruskan solatnya sehingga selesai.

Menurut Ulama' Hanafiyyah pula apabila seseorang solat dan ditengah-tengah solat matahari terbit, maka batal solatnya tersebut. Jika yang dilakukan adalah Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja kemudian tiba waktu matahari terbenam, maka solatnya boleh diteruskan dan sah sebagaimana menurut kebanyakan ulama'.

Perkara tersebut merujuk kepada hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
" Siapa yang mendapat satu rakaat dari salah satu solat, maka dia telah mendapat solat tersebut."

Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebutkan maksudnya:
" Apabila salah seorang kamu semua mendapat satu sujud dari solat Asar sebelum terbenam matahari,maka sempurnalah solatmu. Dan jika mendapat satu sujud pada Solat Subuh sebelum terbit matahari,maka sempurnalah solatnya." Maksud perkataan sujud dalam hadis tersebut adalah rakaat.

2. Ketika istiwa' iaitu matahari berada tepat di atas kepala pada tengah hari sehingga tergelincir sedikit.

Perkara ini berdasarkan kepada hadis Uqbah di atas. Namun demikian Ulama Malikiyyah dan Syafieyyah mengecualikan pada hari Jumaat dan ketika solat di Masjidil Haram, Mekah. Perkara ini disepakati juga oleh Ulama Hambali dalam bab dibolehkan menunaikan solat Tahayyatul Masjid dalam waktu tersebut pada hari Jumaat.

Demikian juga pendapat Imam Abu Yusof yang beraliran Ulama Hanafiyyah. Dalilnya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a berkata:" Rasulullah SAW membenci solat pada tengah hari selain hari Jumaat dan bersabda:" Sesungguhnya api neraka jahanam menyala kecuali pada hari Jumaat." ( Riwayat Abu Daud ).

Adapun dalil yang mengecualikan solat yang dilakukan di Masjidil Haram di Kota Mekah adalah riwayat daripada Jubair bin Muth'im bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:" Wahai Bani Abdi Manaf janganlah kamu semua menghalang seseorang yang akan tawaf di rumah ini ( Masjidil Haram ) dan jangan pula menghalang orang yang hendak solat pada waktu bila pun di malam atau siang hari. " ( Riwayat Ashabus Sunan dan disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Tirmizi )

3. Ketika matahari kekuning-kuningan hendak terbenam sehingga benar-benar terbenam iaitu kira-kira seseorang mampu melihat ke arah terbenamnya matahari. Dikecualikan bagi solat asar yang telah mendapat satu rakaat dan solat di Masjidil Haram sebagaimana merujuk dalil hadis-hadis di atas.

Also See and Read This : READ MORE

Umur Orang Yang Bersedekah Dipanjangkan Oleh Allah

Posted: 04 Jun 2014 09:19 AM PDT




Kematian memang di tangan Allah. Tetapi mempercepat dan melewatkan kematian adalah hak Nya juga. Maka ada satu perkara yang boleh membuat kematian menjadi sesuatu yang boleh ditunda. bagaimana caranya dan mengapa boleh terjadi?


Kisah ini benar-benar terjadi pada masa kenabian Ibrahim a.s. Suatu hari, Malaikat Kematian mendatangi Nabiyallah Ibrahim, dan bertanya, "Siapa anak muda yang tadi mendatangimu wahai Ibrahim?"

"yang anak muda tadi ?" tanya Ibrahim. "Itu sahabat sekaligus muridku."

"Ada apa dia datang menemuimu?"

"Dia menyampaikan bahawa dia akan melangsungkan perkahwinannya esok pagi."

"Wahai Ibrahim, sayang sekali, umur anak itu tidak akan sampai esok pagi." Selesai berkata seperti itu, Malaikat Kematian pergi meninggalkan Nabiyallah Ibrahim.

Hampir saja Nabiyallah Ibrahim tergerak untuk memberitahu anak muda tersebut, untuk menyegerakan perkahwinannya malam ini, dan memberitahu tentang kematian anak muda itu esok. Tapi langkahnya terhenti. Nabiyallah Ibrahim memilih kematian tetap menjadi rahsia Allah.

Esok paginya, Nabiyallah Ibrahim ternyata melihat dan menyaksikan bahwa anak muda tersebut tetap boleh melangsungkan perkahwinannya.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun, Nabiyallah Ibrahim malah melihat anak muda ini masih panjang umurnya.

Hingga usia anak muda ini 70 tahun, Nabiyallah Ibrahim bertanya kepada Malaikat Kematian, apakah dia berbohong tempoh hari sewaktu memberitahunya bahawa anak muda itu umurnya tidak akan sampai besok pagi?

Malaikat Kematian menjawab bahawa dia memang akan mencabut nyawa anak muda tersebut, tapi Allah menahannya.

"Apa sebab yang membuat Allah menahan tanganmu untuk tidak mencabut nyawa anak muda tersebut, dahulu?"

"Wahai Ibrahim, di malam menjelang perkahwinannya, anak muda tersebut menyedekahkan separuh dari kekayaannya. Dan ini yang membuat Allah memutuskan untuk memanjangkan umur anak muda tersebut, hingga engkau masih melihatnya hidup."

Kematian memang di tangan Allah. justeru itu, mempercepat dan melewat kematian adalah hak Allah. Dan Allah memberitahu pada kalam Rasul-Nya, Muhammad shalla `alaih bahawa sedekah itu boleh memanjangkan umur. jadi, bila disebut bahawa ada sesuatu yang boleh menunda kematian, itu adalah… sedekah.

Maka, tengoklah kanan-kiri anda, lihat-lihatlah sekeliling Anda. Bila Anda menemui ada satu-dua kesusahan di depan mata anda. maka sesungguhnya andalah yang perlu beri pertolongan. Kerana siapa tahu kesusahan itu diperlihatkan oleh Allah untuk memanjangkan umur anda.

Cuma apakah anda bersedia menolongnya atau tidak. Bila bersedia, maka kemungkinan besar memang Allah akan memanjangkan umur Anda.

Saudara-saudaraku sekalian, tidak ada seorang pun yang mengetahui bila ajalnya akan sampai. Dan, tidak seseorangpun yang mengetahui dalam keadaan apa ajalnya tiba. Maka mengeluarkan sedekah bukan saja akan memanjang umur, malah juga memungkinkan kita meninggal dalam keadaan baik.

Bukankah sedekah akan mengundang cintanya Allah? Sedangkan kalau seseorang sudah dicintai oleh Allah, maka tidak ada masalahnya yang tidak diselesaikan, tidak ada keinginannya yang tidak dikabulkan, tidak ada dosanya yang tidak diampunkan, dan tidak ada nyawa yang dicabut dalam keadaan husnul khatimah.

Mudah-mudahan Allah berkenan memanjangkan umur, sehingga kita semua berkesempatan untuk mendapat keampunan Allah dan mengubah segala kelakuan kita, sambil mempersiapkan kematian pada masa mendatang.

Also See and Read This : READ MORE

Cara Menghilangkan Jerawat Tanpa Menggunakan Produk Kecantikan

Posted: 04 Jun 2014 09:17 AM PDT




Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat. Samaada menggunakan produk kecantikan atau menggunakan produk harian ianya terpulang kepada diri anda.



Mungkin anda lebih arif mengenai pemilihan produk kecantikan yang bersesuaian dengan kulit muka. Tetapi adakah anda mengetahui ada juga produk harian yang biasa anda guna setiap hari boleh membantu untuk menghilangkan jerawat? HANZ akan menyenaraikan cara menghilangkan jerawat tanpa menggunakan produk kecantikan.

Aspirin (ubat demam) -

Walaubagaimana cantik pun kulit seseorang remaja itu, pasti akan mengeluarkan jerawat sekali-sekala. Tips untuk anda mengurangkan kemerahan dan mengecutkan jerawat yang baru tumbuh itu adalah dengan hancurkan sebiji aspirin (ubat panadol adalah disyorkan) dan lembabkan ia dengan sedikit air. Kemudian sapu campuran tadi ke kawasan yang ditumbuhi jerawat, biarkan selama beberapa minit, kemudian bilas dengan menggunakan air bersih. Ulangi prosedur ini sehingga jerawat anda mengecut dan hilang.

Ubat gigi -

Sebelum tidur, letakkan ubat gigi pada bahagian yang ditumbuhi jerawat, biarkan ia mengering sehingga keesokan harinya. Kemudian bilas muka anda. Ini adalah kerana ubat gigi mampu mambantu untuk menghidrasikan(mengeringkan) jerawat dan ia juga mampu untuk menyerap minyak pada wajah.

Minyak zaitun -

Cara ini adalah cara turun temurun yang diamalkan sejak zaman nenek monyang lagi. Dan ramai juga telah bersetuju bahawa cara ini adalah berkesan. Campurkan satu sudu besar minyak zaitun dengan 4 sudu garam, kacau sebatian untuk beberapa minit, sapu pada bahagian wajah anda yang ditumbuhi jerawat, biarkan seketika, kemudian bilas wajah dengan menggunakan sabun pencuci muka.


Also See and Read This : READ MORE

Khasiat Tembikai – Mata Jelas, Tubuh Langsing

Posted: 04 Jun 2014 09:15 AM PDT


Tembikai, buah yang berasal dari Afrika Selatan kini ditanam hampir di ke semua negara beriklim tropika atau sederhana.



Terdapat lima jenis tembikai iaitu Yellow Watermelon, Orangeglo, Moon and Stars, Cream of Saskatchewan dan Melitopolski. Kelima-lima jenis ini berbeza warna dan saiz.

Tembikai mempunyai kandungan air yang tinggi menjadikan buah tersebut segar terutamanya pada musim panas. Pada yang sama kadar kalori dalam tembikai adalah rendah menjadikannya salah satu buah yang menyihatkan.

100 mg tembikai mengandungi antara lain:

Kalsium – 7 mg

Karbohidrat – 7.55 gm

Lemak – 0.15 gm

Fluorida – 1.5 mcg

Besi – 0.24 mg

Magnesium – 10 mg

Fosforus – 11 mg

Potasium – 112 mg

Protein – 0.61 gm

Sodium – 1 mg

Gula – 6.20 gm

Tembikai yang kaya dengan potasium membantu menyimpan garam daripada meningkatkan tekanan darah selain mengurangkan risiko mendapat batu karang.

Ada kajian menunjukkan tembikai boleh menguatkan sistem imunisasi dan membantu tubuh memerangi jangkitan selain kaya dengan sumber karotenoid yang mempunyai bahan pencegah kanser.

Amalan memakan tembikai juga dikatakan mampu meredakan simptom-simptom osteoartritis and rheumatoid artritis.

Selain itu, buah yang kaya dengan amti oksida penting itu juga membantu tubuh meneutralkan radikal-radikal bebas yang dapat mengurangkan risiko kanser kolon. Kandungan anti oksida dalam tembikai juga mengurangkan risiko serangan jantung.

Tembikai juga mempunyai kalori yang sangat rendah menjadikannya hidangan sempurna untuk sesiapa saja yang ingin menurunkan berat badan.

Beta karotena dalam tembikai membantu menjadikan penglihatan lebih jelas terutama pada waktu malam.

Also See and Read This : READ MORE

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories