RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Anugerah Neway 2014 Hargai Artis, Syarikat Rakaman

Posted: 28 Jun 2014 08:22 PM PDT


PETALING JAYA: Pusat karaoke Neway bakal mengadakan majlis Anugerah Karaoke Neway 2014 yang bakal berlangsung di The Theatre Gardens Mid Valley Kuala Lumpur pada 5 September depan.
Menerusi satu kenyataan media kepada mStar Online, acara itu bakal mengangkat tema 'Muzik Untuk Semua' selari dengan konsep Neway untuk menjadi hub karaoke bagi semula golongan.

"Selepas mendapat maklum balas yang baik bagi Anugerah Lagu Melayu Paling Popular Neway 2013 pihak Neway telah mengorak selangkah kehadapan pada tahun ini dengan penganjuran Anugerah Karaoke Neway 2014," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut anugerah yang mengetengahkan lagu-lagu Melayu popular ini diharap dapat memeriahkan lagi industri muzik tanah air disamping memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat rakaman yang telah banyak menyumbangkan lagu-lagu kepada Neway.

Sebagai permulaan, sebanyak lapan kategori bakal di dipertandingkan iaitu 10 Lagu Melayu Paling Popular, lima Lagu Serantau Terbaik Karaoke, Artis Baru Terbaik Karaoke, Duo/Berkumpulan Terbaik Karaoke ,Artis Lelaki Terbaik Karaoke, Artis Wanita Terbaik Karaoke, Muzik Video Terbaik Karaoke, dan Undian Paling Meriah.

Peratusan undian dibuat berdasarkan 60 peratus lagu yang dimainkan di premis-premis Neway dan 40 peratus lagi diambil dari undian di laman web anugerahk.newaykb.com.my dan portal Tonton Muzik.

"Biarpun dengan majlis anugerah yang sederhana, pihak pengurusan Neway Karaoke Box Malaysia berharap penganugerahan ini dapat membantu memeriahkan lagi industri muzik tanah air," kata kenyataan itu lagi.

Maya Karin Kerap Ke Luar Negara Bukan Kerana Teman Lelaki

Posted: 28 Jun 2014 08:21 PM PDT


Maya memberitahu dia kini terlibat secara serius dalam bidang hartanah.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Maya Karin menjelaskan kekerapannya ke luar negara sejak akhir-akhir ini terutamanya London bukan kerana ingin bertemu kekasih sebaliknya menghabiskan masa bersama bapa dan adiknya yang menetap di negara itu.
Maya, 34, berkata, dia juga sedang berjinak-jinak dengan perniagaan dalam bidang hartanah di London dan sedang mengintai lebih banyak peluang di sana.

"Kekasih? Tidak. Saya ke sana kerana bapa dan adik saya menetap di London dan sambil-sambil itu saya sedang mengintai peluang perniagaan dalam bidang hartanah di London.

"Setakat ini saya berjaya menjual sebuah rumah di sana membuatkan saya kena lebih kerap berada di London dalam mengembangkan perniagaan tersebut namun setakat ini saya sudah berjaya menjual enam hartanah di Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Maya mengakui, dia memang seorang yang gemar melancong kerana gemar menggembara melihat keindahan selain mengutip pengalaman terutamanya di negara Eropah.

"Selalunya saya melancong selepas tamat sesuatu penggambaran filem kerana ingin menenangkan fikiran selain ingin mengutip pengalaman di tempat yang dikunjungi," jelasnya.

Bagaimanapun kata Maya, ibunya sentiasa mengingatkannya supaya tidak berbelanja melebihi RM10,000 setiap kali ke luar negara dan memanfaatkan wang yang ada kepada perkara berfaedah.

Atas dasar itu juga kata Maya dia mengambil keputusan untuk terlibat dalam bidang hartanah kerana melihat ia mempunyai potensi besar dan menguntungkan.

"Apa-apa pun kita kena belajar dari bawah dan tidak terlalu terkejar-kejar dalam melakukan sesuatu. Saya secara peribadi memang meminati bidang hartanah dan sebab itu saya sering berulang alik ke London bagi mencari peluang," katanya.

Ramai Artis Takut Bekerja Bawah Sheila Rusly

Posted: 28 Jun 2014 08:17 PM PDT


Sheila Rusly
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly mengakui ramai artis baharu takut untuk bekerja di bawah syarikat terbitanya JS Pictures kerana menganggap dia terlalu cerewet.

Sheila, 43, berkata perkara itu dibesarkan lagi apabila ada pihak yang cuba menakut-nakutkan artis kononnya dia bersikap tegas tidak bertempat.

"Saya tidak nafikan kebanyakkan artis yang baru pertama kali kerja dengan kami agak takut kerana mereka mendengar desas-desus tentang cara kerja saya.

"Memang saya agak teliti dan serius bila bekerja kerana saya mahu hasil yang baik agar stesen televisyen berpuas hati dengan produk terbitan kami," katanya ketika ditemui pada pelancaran program-program Ramadan dan Syawal terbitan syarikat produksi milik Sheila iaitu JS Puctures di Hotel Renaissance, di sini, Khamis.

Antara drama dan program yang bakal disiarkan sepanjang Ramadan ini ialah Di Pintu Neraka, Lima Ramadan, Ramadan Jangan Pergi, Ketuk-Ketuk Ramadan dan Ketuk-Ketuk Syawal.
Selain itu katanya, karakter dan watak garang yang sering dilakonkan sebelum ini turut memberi persepsi buruk kepadanya.

Sheila Rusly

Bagaimanapun, dia akui sentiasa menitik beratkan soal disiplin ketika berada di lokasi penggambaran.

"Bukan pelakon sahaja malah semua yang terlibat dengan produksi saya perlu ikut cara saya bekerja.

"Paling penting ialah disiplin dan mereka perlu buat kajian dulu tentang watak sebelum berada di set.

"Saya mahu orang luar menilai dan dapat rasakan hasil kerja itu, jika cerita sedih biar ia sampai betul-betul dalam hati mereka," katanya.

Dalam pada itu, Sheila mengakui menitikberatkan soal pemilihan pelakon dalam membintangi drama dan program terbitannya.

Katanya, dia banyak mengambil muka baharu dalam sesebuah watak penting supaya tidak dipengaruhi oleh kontroversi atau kehidupan peribadi artis yang sudah diketahui umum.

"Saya sangat pentingkan pemilihan pelakon dan watak mereka, contohnya jika watak itu sedih dan orang miskin saya akan mengambil pelakon baru yang tidak dikenali lagi.

"Penonton akan lebih menjiwainya berbanding saya letak pelakon yang sudah biasa di lihat di laman sosial yang sering berpakaian seksi dan berjenama," ujarnya.

Antara artis yang hadir pada majlis tersebut ialah Nad Zainal, Lutfya, Rabecca Nur Islam, Sharul Ridzuan, Syafiq Kyle dan Ryzal Jaafar. 

Diana Danielle Enggan Ulas Isu Cemburu

Posted: 28 Jun 2014 08:15 PM PDT


Diana tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengulas berhubung tindakannya meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap Nora Danish. 
KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danielle enggan memberi sebarang komen berhubung tindakannya meluahkan perasaan tidak puas hati selepas pelakon Nora Danish memuat naik gambar promosi filem Pengantin Malam yang memperlihatkan aktres itu memegang tangan suaminya.

Biarpun diasak dengan pelbagai soalan daripada pihak media, Diana, 24, tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengulas mengenai kejadian tersebut.

"Saya tidak mahu mengulas tentang keluarga. Tiada komen dan terima kasih," katanya ringkas.

Diana ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu Lip Ice di Hampshire Place dekat sini, Jumaat.

Pelakon itu turut dilantik sebagai jurucakap produk berkenaan selama setahun.
Diana (tengah) dilantik sebagai jurucakap produk Lip Ice.
Tindakan Diana telah mendapat respon kurang senang daripada sebahagian pengikutnya di Instagram, malah ada yang menganggap Diana bersikap kebudak-budakan dan tidak matang.

Suaminya, Farid pada Rabu lalu berharap mana-mana pihak yang terasa hati dengan tindakan isterinya agar dapat memaafkan wanita tersebut.

Farid, 32, berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku namun tidak menolak perasaan cemburu wanita itu menjadi punca kepada kejadian itu.

Sementara itu, Diana berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju menjadi jurucakap produk Lip Ice kerana telah menggunakannya sejak zaman remaja.

"Ia mudah digunakan dan sesuai bukan sahaja untuk remaja tetapi wanita berkahwin seperti saya dan sudah menggunakan sejak remaja lagi," katanya.

The Alif Sanggup Berhenti Kerja Jika Popular

Posted: 28 Jun 2014 08:13 PM PDT


The Alif mahu membina empayar mereka sendiri dalam industri muzik tempatan. 
PETALING JAYA: Kumpulan baharu, The Alif mengakui sanggup meninggalkan kerjaya tetap demi memberi fokus kepada bidang nyanyian sekiranya nama mereka menjadi perhatian umum.

Vokalisnya, Alif atau nama sebenarnya Aliff Hassan, yang bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat swasta berkata, dia bersama anggota lain bersedia berbuat demikian kerana minat yang terlalu mendalam di bidang muzik.

"Jika dah popular dan semakin banyak undangan persembahan, kami sanggup mengambil risiko untuk meninggalkan kerja tetap kami kerana kami yakin produk muzik yang dibawakan kumpulan kami mampu pergi jauh.

"Cuma kami nampak perjalanan itu masih jauh lagi kerana bukan mudah untuk menjadi kumpulan muzik yang berjaya dan banyak lagi perkara yang harus diterokai.

"Kalau boleh kami ingin membina empayar sendiri dalam industri muzik tempatan seperti kumpulan Hujan dan Bunkface," katanya.

Alif ditemui pada majlis pelancaran single lagu baru The Alif berjudul Satu Nyawa di pusat karaoke Neway One Utama, di sini pada Jumaat.
Kumpulan The Alif.

Selain Alif, kumpulan tersebut dianggotai oleh gitarisnya, Meor Ahmad Sufian Meor Mohamed Al Bakri, yang juga bekerja sebagai pengurus majlis, pemain bas, Khubaib Bakaruddin, (pereka hiasan dalaman) dan pemain dram, Mohd Shahrizal Zainal Abidin, (pentadbiran).

Sementara itu, mengenai lagu Satu Nyawa, ia mengenai sebuah kisah cinta yang boleh dituju kepada kekasih, mahupun keluarga dengan mengetengahkan muzik Brit Pop dan New Wave.

"Bagaimanapun unsur Melayu masih kami terapkan dan ia sekali gus memberi muzik kami sedikit kelainan berbanding muzik-muzik yang sedia ada.

"Kami percaya irama Melayu mampu diketengahkan sehingga ke pentas antarabangsa jika kena gayanya," ujarnya.

Terdahulu, kumpulan yang menjadikan band-band antarabangsa seperti Beatles, Oasis, Pheonix, Coldplay dan Maroon 5 sebagai sumber inspirasi itu pernah muncul dengan lagu-lagu seperti Sesuatu, Janganlah, Kutu Rayau dan Empayar Caliphso.

Kunyit bantu kawal diabetes

Posted: 28 Jun 2014 08:05 PM PDT



PESAKIT diabetes jenis 2 berisiko untuk menjalani pembedahan memotong anggota badan yang dijangkiti kuman.


STATISTIK menunjukkan bahawa diabetes menduduki tangga keenam sebagai punca kematian utama di Amerika Syarikat.
Malah, Perangkaan Persekutuan Diabetes Antarabangsa mendedahkan kira-kira 285 juta penduduk dunia kini menghidap diabetes.
Di Malaysia pula, bagi setiap 400 saat atau enam minit, terdapat satu kes diabetes yang didiagnosis. Malah, kematian disebabkan penyakit ini berlaku dalam setiap 30 minit.
Hakikatnya, bilangan penghidap diabetes di negara ini semakin meningkat dan dijangka mencecah 2.5 juta orang menjelang tahun 2030.
Jika tiada sebarang kawalan atau kempen dilakukan, tidak mustahil penyakit ini akan menjadi pembunuh nombor satu rakyat Malaysia.
Berdasarkan kajian klinikal kemanusiaan yang disiarkan dalam Jurnal Penjagaan Diabetes dan Jurnal Persatuan Diabetes Amerika, diabetes mellitus jenis 2 (T2DM) sebenarnya boleh dikawal secara efektif melalui penggunaan ekstrak kunyit.
Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Profesor Gerard Bodeker, kunyit atau nama saintifiknya Curcuma longa mempunyai khasiat dalam mengawal penyakit diabetes.
"Jurnal Biokimia Pemakanan mengesahkan bahawa herba kuno ini mampu mengubah diabetes jenis 2 yang dikaitkan dengan penyakit jantung iaitu komplikasi berbahaya akibat penyakit ini.
"Kajian terhadap pengurangan bentuk mendapan lemak di dalam arteri yang berisiko untuk pesakit diabetes jenis 2 mendapati bahawa ekstrak curcumin yang terkandung dalam herba kunyit boleh menjadi pencegah terbaik.
"Sepanjang enam bulan siri kajian ini dilaksanakan, ia mendedahkan penglibatan ekstrak kunyit iaitu curcumin berupaya menghalang pembentukan mendapan lemak pada permukaan dalaman arteri yang menghalang pengaliran darah," ujar Bodeker.

KUNYIT atau nama saintifiknya Curcuma longa mempunyai pelbagai khasiat yang boleh dimanfaatkan oleh manusia.


Apa yang pasti, seseorang itu menghidap diabetes jenis 2 akibat kegagalan pankreas menghasilkan insulin yang mencukupi manakala diabetes jenis 1 pula berlaku apabila pankreas pesakit itu langsung tidak berfungsi.
Insulin merupakan sejenis hormon yang dikeluarkan oleh pankreas yang menukar gula daripada makanan yang dimakan ke dalam sel-sel badan.
Sementara itu, statistik pada tahun 2010 mencatatkan 23,800 kematian akibat diabetes di Malaysia. Malah, pada tahun yang sama, seramai 1.8 juta rakyat di negara ini dikenali pasti menghidap diabetes dengan majoriti daripada mereka menghidap diabetes jenis 2.
Tambah Bodeker, kunyit sangat dikenali sebagai bahan penyembuh menerusi bahan aktif yang terhasil daripada warna kuning herba itu.
"Banyak kajian telah membuktikan bahawa tahap glukosa dalam badan pesakit diabetes berkurangan dan penghasilan insulin bertambah apabila mereka mengambil suplemen daripada ekstrak curcumin secara konsisten.
"Disebabkan itu, masyarakat Malaysia khususnya harus menyedari kepentingan pengambilan kunyit dalam kehidupan. Meskipun, ia sering digunakan di dapur, tetapi hakikatnya khasiat kunyit begitu besar untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya," ungkap Bodeker.


Air perigi tidak pernah kering

Posted: 28 Jun 2014 08:04 PM PDT



AIR perigi ini tidak pernah kering sejak masjid ini dibina pada tahun 1875.


LOKASINYA yang terletak bersebelahan bulatan Jalan Rasah menjadikan Masjid Jamek Datuk Bandar Ahmad, Seremban, Negeri Sembilan sebagai pilihan orang ramai untuk singgah menunaikan ibadat.
Dibina di atas tanah wakaf berkeluasan dua hektar pada tahun 1875 sekali gus menjadikan masjid di Kampung Rasah itu antara yang tertua di daerah Seremban.
Selain lokasinya yang unik di tengah-tengah laluan jalan raya, masjid itu turut mendapat perhatian orang ramai termasuk dari negeri lain kerana sejak dibina air periginya tidak pernah kering.
Rata-rata pengunjung mempercayai air perigi itu mempunyai pelbagai kelebihan termasuk menyembuhkan penyakit.
Turut ditempatkan di masjid itu ialah Makam Datuk Syahbandar Hj. Ahmad Hj. Ali yang merupakan pengasas masjid berkenaan.
Pada awal pembinaannya, Majid Jamek Datuk Bandar Ahmad hanya menempatkan seramai 60 jemaah, namun kini jumlahnya mencecah sehingga 1,300 orang selepas menjalani beberapa proses pengubahsuaian.
Pelbagai aktiviti bagi program mengimarah masjid dilakukan hampir setiap bulan dan ianya berganda di sepanjang bulan Ramadan saban tahun.
Antara program yang dijadual tahun ini ialah jamuan berbuka puasa yang diadakan setiap hari. Lebih 70 orang yang terdiri daripada pelajar kolej perubatan dan Universiti Teknologi MARA dijangka memeriahkan program ini.
Ia kemudian diikuti dengan solat tarawih yang diimamkan oleh Ustaz Syafrudin Umar dan Mohd. Yassin Shamsuddin, tadarus al-Quran dan qiamullail.
Pada Ramadan kali ini, seramai 20 pelajar bersama dua guru dari Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah, Senawang akan bermalam di masjid berkenaan bagi mengadakan program Iktikaf Sahur selama lima hari empat malam, bermula 19 Julai depan.
Program penghayatan Ramadan dengan pengisian ceramah agama turut diadakan setiap tahun.
Selain pengisian berbentuk rohani, pihak pengurusan Masjid Jamek Datuk Bandar Ahmad tidak pernah melupakan mereka yang tidak bernasib baik.
Penyampaian sumbangan berbentuk wang tunai akan diberikan kepada 150 individu yang layak terdiri daripada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mualaf.


Selawat suburkan pokok kurma

Posted: 28 Jun 2014 08:00 PM PDT




SAAT laungan azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan menandakan masuk waktu berbuka puasa, Mamat Abdul Rahman segera menjamah buah kurma yang dihidangkan isterinya.
Sama seperti umat Islam lain, lelaki berumur 76 tahun itu memilih buah kurma sebagai sajian utama ketika iftar bagi mengalas perut sebelum menjamah hidangan lain.
Menariknya, buah itu dituai daripada pokok kurma yang ditanam sendiri di rumahnya di Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan.
Menurut Mamat, beliau tidak menyangka pokok kurma yang ditanamnya kira-kira lapan tahun lalu itu berbuah lebat menjelang Ramadan kali ini.
Katanya, beliau begitu teruja melihat pohon tamar tersebut berbuah lebat memandangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Anak pokok tersebut dibeli oleh anak saya di Gua Musang dengan harga RM25. Masa mula-mula tanam, saya tidak yakin pokok itu boleh berbuah di Malaysia.
"Tiga tahun kebelakangan ini, pokok tersebut sudah berbuah tetapi kurang lebat. Buahnya pula kecil selain mempunyai rasa kelat. Kali ini, boleh dikatakan hampir semua tandannya berbuah lebat dan boleh dimakan," ujarnya ketika ditemui kru Jurnal di rumahnya baru-baru ini.
Selain kediaman warga emas itu, beberapa batang pokok kurma yang ditanam di kawasan Bulatan Tuan Padang atau Bulatan Jam Besar di Kota Bharu turut mengeluarkan buah yang lebat sehingga mencuri tumpuan orang ramai.
POKOK kurma yang Mamat tanam di rumahnya di Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan mengeluarkan buah yang lebat.


Mercu tanda
Menurut Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin, pokok kurma yang ditanam sekitar Disember 2008 itu bertujuan menaik taraf landskap pusat bandar tersebut.
Tambah Rosnazli, pihaknya menanam sebanyak 37 batang pokok kurma dan 10 daripadanya berbuah tahun ini.
"Pokok ini sebenarnya mengeluarkan buah sejak tahun lepas, namun tidaklah sebanyak seperti tahun ini," ujarnya.
Gara-gara fenomena baharu yang melanda negeri Serambi Mekah itu, ramai yang mengambil peluang untuk bergambar dengan pokok kurma tersebut.
Manakan tidak, tanaman itu lazimnya dikaitkan dengan negara beriklim panas dan kering di Asia Barat seperti Arab Saudi, Mesir, Turki, Iran dan Iraq.
Menyedari potensi kurma sebagai tanaman komersial, kerajaan negeri Kelantan berhasrat memperkenalkan pokok tersebut sebagai sumber ekonomi baharu bagi petani di negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia akan menjadi tanaman baharu yang bakal menyumbang kepada pendapatan petani.
Menurutnya, projek perintis tanaman berkenaan telah diusahakan di tanah seluas 8,000 meter persegi di Limbongan, Pasir Puteh sejak tiga tahun lalu dan kini mula mengeluarkan hasil.

RASA kurma yang manis sesuai dijadikan hidangan pencuci mulut.


"Benih anak pokok diambil dari Thailand. Saya yakin apabila pokok kurma itu mula berbuah, ia akan semakin mudah mengeluarkan hasil selepas ini," katanya.
Bagi pengusaha tapak semaian pokok kurma di RPT Pengkalan Pegoh Seberang, Ipoh, Perak, Mohd. Syful Rizan Abd. Manap, pokok kurma mampu tumbuh subur dalam apa jua keadaan tanah melainkan tanah liat.
Beliau yang menjalankan tanaman kurma sejak tujuh tahun lalu itu berpendapat, cuaca panas dengan taburan hujan sederhana menjadikan iklim negara ini sesuai untuk tumbuhan oasis itu.
Cerita Mohd. Syful, beliau menjalankan usaha penanaman pokok kurma menerusi pelbagai teknik percambahan biji kurma bagi mendapatkan benih yang sesuai.
"Melalui pelbagai eksperimen yang dilakukan, saya akhirnya berjaya mencambahkan biji kurma dengan campuran kandungan tanah merah, tanah gambut dan pasir selain menggunakan baja organik," katanya.
Bertutur lanjut, Mohd. Syful memberitahu, pokok kurma tidak berbuah jika ditanam secara bersendirian dan perlu ditanam secara berkelompok memandangkan tanaman itu terdiri daripada pokok jantan dan betina.
"Bunga daripada pokok berlainan jantina ini akan mengeluarkan debunga yang berbeza apabila mencapai umur antara dua hingga tiga tahun.
Pendebungaan
Menariknya, kata jejaka berumur 32 tahun itu, untuk menghasilkan buah kurma yang berkualiti, ia mesti 'disenyawakan' oleh tangan manusia dan bukannya menerusi agen pendebungaan lain seperti angin dan haiwan.
Katanya, seorang petugas perlu memanjat pokok kurma betina dan 'mengahwinkan' debunga pokok itu dengan debunga jantan menerusi teknik sapuan tangan.
BUAH tamar memberi kelainan kepada rasa minuman.


"Tandan bunga betina akan ditepuk-tepuk dan disapu dengan beberapa ranting bunga jantan. Menerusi cara ini, debunga betina akan disenyawakan secara semula jadi.
"Tidak banyak debunga jantan yang diperlukan untuk proses persenyawaan.
"Malah, bunganya boleh disimpan di tempat yang kering untuk kegunaan berulang kali selagi debunganya masih ada," jelasnya sambil menjelaskan, debunga pada satu dahan pohon kurma jantan boleh digunakan untuk proses pendebungaan kepada lebih 50 batang pokok kurma betina.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bunga jantan mengeluarkan debunga yang lebih halus berbanding betina.
Pohon tamar jantan lebih tinggi dan berdaun keras berbanding pohon betina yang lebih rendah dan mempunyai daun yang merendang ke tanah.
"Dari segi bunga pula, pokok jantan menghasilkan bunga yang lebih mekar seperti rupa bunga kelapa dengan bau seakan-akan air mani manakala bunga betina hanya mengeluarkan putik-putik kecil," ulasnya.
Mempunyai jangka hayat sehingga 90 tahun, pokok kurma boleh berbuah selepas lima hingga tujuh tahun dialih tanam daripada beg poli ke tanah lapang.
"Saya lazimnya akan menggunakan kaedah berkomunikasi dengan pokok selain kerap berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW bagi memastikan pokok bertambah subur.
Pencuci mulut
"Bagi mendapatkan hasil yang lebih berkualiti, tanaman kurma ini juga diberi suplemen daripada gabungan madu dari negara Yemen, serbuk habbatus sauda, pati buah delima, garam bukit dan air zamzam menerusi kaedah semburan.
"Orang ramai juga tidak digalakkan menggunakan baja kimia dan boleh menggantikannya dengan baja organik tetapi pastikan ia bukan berasaskan najis binatang," jelas panjang lebar.
Selain dimakan begitu sahaja, rasa kurma yang manis sesuai dijadikan bahan dalam masakan.
Menurut Ketua Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrim Ab. Karim, menu kek, biskut serta puding kurma adalah antara juadah yang semakin popular di negara ini.
"Kurma kering boleh dipelbagaikan dengan membuang bijinya dan digantikan dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi menambah keenakan. Selain itu, ia juga sesuai dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim," katanya.
Ada juga yang menggunakan buah itu dalam masakan seperti ayam masak merah dan daging masak hitam bagi memberi kelainan kepada rasa masakan.


Derita dara berstatus janda

Posted: 28 Jun 2014 07:58 PM PDT

SEPANJANG lima tahun mendirikan rumah tangga, Effy tidak pernah disentuh suaminya. - Gambar hiasan


LIMA tahun sudah berlalu tetapi peristiwa pahit yang hinggap dalam hidup Effy masih segar dalam ingatannya.
Apa tidaknya, bahagia perkahwinan yang diimpikan berpanjangan hingga ke anak cucu tidak kesampaian apabila dia diceraikan dengan talak tiga.
Lebih menyedihkan, wanita berusia 36 tahun itu dilepaskan atas kemahuan suami yang lebih berminat dengan kaum sejenis.
Menceritakan kembali kisah rumah tangganya, Effy memberitahu, dia berkahwin dengan Jay atas pilihan keluarga.
Sepanjang tempoh perkahwinan itu, dia akui tidak mengesyaki tindak-tanduk suaminya memandangkan secara luaran jejaka itu tampak maskulin seperti lelaki tulen lain.
Bagaimanapun, lama-kelamaan, dia menyedari Jay mempunyai sifat meragukan menerusi gerak-geri serta pergaulan dengan teman-temannya.
"Pada awalnya, saya tidak perasan apa-apa yang pelik pada dirinya. Manakan tidak, boleh dikatakan kebanyakan kawan-kawannya lelaki sejati.
"Namun, saya mula syak sesuatu selepas melihat perbualannya di laman media sosial yang lebih berkisarkan minat terhadap fesyen dan kecantikan," imbas Effy.
Metroseksual
Bertutur lanjut, wanita yang berasal dari selatan tanah air itu berkata, dia tidak mahu bersangka buruk dan berpendapat, suaminya itu hanya lelaki metroseksual yang sangat mementingkan gaya dan penampilan diri.
"Golongan lelaki lazimnya sukakan sukan bola sepak, kereta, permainan komputer dan gajet elektronik tetapi Jay tidak. Minatnya lebih menjurus kepada pakaian, alat solek dan barang kelengkapan rumah.
"Malah, dia juga gemar menghabiskan masa dengan membeli-belah dan mengunjungi salun kecantikan yang sepatutnya menjadi kegemaran wanita," katanya.
Tambah Effy, tabiat songsang suaminya itu akhirnya dapat dihidu apabila dia menemui gambar suaminya dalam keadaan mesra dengan lelaki lain.
Lebih malang, dia turut menemui aplikasi yang sering digunakan golongan lelaki gay untuk mencari pasangan dalam telefon pintar milik suaminya.
"Saya benar-benar terkejut dan tertekan selepas mengetahui perkara sebenar. Patutlah kehendak serta tuntutan naluri saya sebagai seorang isteri tidak pernah dipenuhinya.
"Bayangkan, walaupun sudah beberapa tahun berkahwin, dia tidak pernah menyentuh apatah lagi meniduri saya. Alasannya tidak bersedia atau belum mahukan zuriat lagi," luahnya.
Tambah Effy, dia juga tidur secara berasingan dengan Jay biarpun mereka tinggal sebumbung.
"Kalau perlu tidur sekatil, kami akan tidur seperti adik-beradik," ujarnya yang mengakui masih dara.
Effy yang memang inginkan zuriat tidak menolak kenyataan bahawa dia pernah cuba menggoda suaminya itu namun dibalas dengan ugutan cerai.
"Jay akan memarahi dan mengugut akan menceraikan saya jika saya berterusan bertanyakan soal anak.
"Puas saya pujuk dan nasihat supaya dia berubah dan kembali ke pangkal jalan tetapi usaha itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi," katanya kesal.
Hutang
Akibat tidak tahan dengan keadaan itu, Effy berkata, dia memohon agar Jay melepaskan dirinya secara baik.
Penantian anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berakhir setelah mahkamah mengesahkan perceraian mereka pada Oktober 2010.
Bagaimanapun, entah di mana silapnya, penderitaan wanita berstatus janda itu tidak bernoktah di situ sementelah dia terpaksa menanggung hutang Jay dengan ceti haram.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh ah long bahawa Jay telah meminjam wang sebanyak RM500 namun gagal membayar balik sehingga faedahnya mencecah RM10,000.
"Terpaksalah saya menjelaskan hutang itu memandangkan Jay menghilangkan diri selepas bercerai. Saya bernasib baik kerana meskipun terpaksa ikat perut, hutang itu habis dibayar dalam tempoh dua tahun," ujarnya yang bekerja sebagai penyelia di sebuah butik pakaian di Singapura.
Akur dengan ketentuan perjalanan hidupnya, Effy kini lebih selesa hidup bersendirian.
Menurutnya, dia sungguh menyesal dengan perkahwinannya itu tetapi tiada apa yang mampu dilakukan kerana semua yang berlaku adalah suratan takdir.
Sungguhpun begitu, jauh di sudut hatinya, dia berharap agar Jay diberikan petunjuk dan hidayah oleh Tuhan supaya kembali ke jalan yang benar.
"Saya tidak mahu memikirkan soal jodoh lagi buat masa ini. Saya cuma mampu berdoa agar Tuhan menunjukkan jalan kepadanya agar dia berubah," ujarnya menutup bicara.


Tetamu dilayan bak raja

Posted: 28 Jun 2014 07:57 PM PDT




BERMUSAFIR untuk menghayati keindahan alam ciptaan Allah mampu membawa kesan positif dalam kehidupan umat Islam.
Merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Ankabut, ayat 20 yang bermaksud: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Ayat di atas jelas menunjukkan kepentingan bermusafir untuk mengambil iktibar di atas setiap kejadian yang berlaku mengikut kehendak-Nya.
Berpegang pada prinsip inilah, maka Muhammad Ridhwan Mohd. Huzairi, 26, tidak melepaskan peluang berbuat demikian ketika melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk, Jordan.
Menurut Muhammad Ridhwan atau lebih mesra dengan panggilan Ridhwan, tahun 2006 merupakan kali pertama dia bermusafir ke Jordan sekali gus merasai pengalaman pertama menaiki pesawat penerbangan.
Ironinya, pemergian Ridhwan ke sana dilakukan sewaktu pertengahan bulan Ramadan dengan niat yang murni untuk menuntut ilmu di bumi yang penuh keberkatan. Justeru, banyak cabaran yang dihadapi oleh anak muda ini dalam musafir pertamanya ke negara orang.
"Bagi mereka yang kali pertama menaiki kapal terbang, sudah tentu ingin merasai makanan yang dihidangkan oleh kru kabin.
"Begitu juga saya. Namun, saya cuba bertahan kerana ingin melalui pengalaman berpuasa dalam keadaan bermusafir yang hakikatnya pasti lebih indah daripada pengalaman menikmati makanan dalam pesawat," ujar Ridhwan ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SALAH seorang pekerja memasak roti yang dikenali sebagai qatayef untuk hidangan berbuka puasa di sebuah restoran di Riyadh, Arab Saudi.


Menahan diri
Tambah anak kelahiran Gombak, Selangor ini, apabila melihat penumpang yang duduk di sebelahnya begitu asyik menjamu selera dengan sajian nasi beriani Arab yang dihidangkan bersama jus oren, keinginan untuk berbuka puasa begitu membara.
Apatah lagi, merasakan dirinya dalam keadaan musafir yang diberi kelonggaran untuk berbuka. Bagaimanapun, semangat rakan-rakan yang bermusafir atas tujuan yang sama untuk meneruskan puasa membuatkan Ridhwan menahan diri daripada berbuka.
"Saya bertekad untuk mengambil ibrah daripada kisah Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat yang berperang pada bulan Ramadan seperti Perang Badar yang dikenali sebagai peperangan menegakkan yang hak dan batil.
"Jika mereka boleh bertahan dan mencapai kemenangan, mengapa tidak kita? Alhamdulillah, ia memberi kekuatan yang sangat bermakna dalam diri. Lagipun penerbangan kami berlepas pada waktu pagi.
"Sehubungan itu, bagi mengatasi cabaran untuk berbuka, saya memberi tumpuan menyaksikan pemandangan awan di luar pesawat yang sangat indah, menonton televisyen melalui skrin di belakang tempat duduk dan tidur," imbau Ridhwan yang kemudian berbuka dengan kurma dan air masak sebaik tiba di Lapangan Terbang Amman, Jordan kira-kira sembilan jam kemudian.
Sepanjang enam tahun berada di Jordan kerana melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Sarjana Usuluddin, Ridhwan berpeluang mengembara ke lebih 22 buah negara secara backpackers.
RIDHWAN berpeluang mengembara ke lebih 22 buah negara sepanjang mengikuti pengajian selama enam tahun di Jordan.


Raikan tetamu
Antaranya termasuklah Jerman, Perancis, Itali, England, Sri Lanka, Syria, Mesir, Turki, Mekah dan Madinah. Malah, setiap tahun anak sulung daripada empat beradik ini dapat mengerjakan umrah di Tanah Suci dengan kos sekitar RM500 bagi tempoh 10 hari sembilan malam.
Jelas Ridhwan, kebanyakan negara sangat menghormati dan meraikan golongan pengembara tidak kira ia sebuah negara yang moden atau mundur.
Di negara-negara Islam terutamanya di Asia Barat, mereka terkenal sebagai golongan yang sangat meraikan tetamu lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslim dan berasal dari Malaysia.
"Jika kita bermusafir ke tempat mereka pada bulan Ramadan, ketahuilah bahawa kita akan dilayan seperti raja. Mereka akan menjemput kita makan dan tidur di rumah.
"Tempat tidur disediakan, santapan sahur dan berbuka puasa juga akan disajikan dengan hidangan yang lazat. Apa yang mengujakan, suasana Ramadan dan solat tarawih di Jordan, Syria, Mesir dan Arab Saudi begitu meriah," tutur Ridhwan yang merupakan Pegawai Perhubungan Awam dan penulis di Telaga Biru Sdn. Bhd.
Sementara itu, bagi Mohd. Nazul Abdul Kadir, 26, yang kini menetap di daerah Higashi, Hiroshima, Jepun mempunyai pengalaman tersendiri apabila berpuasa sewaktu bermusafir ke kota urban Saitama pada tahun 2008.
Ketika itu, Nazul merupakan pelajar tahun satu Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Hiroshima, Jepun yang ingin merasai percutian musim panas di sana.
"Selama dua minggu bermusafir, saya turut mencari peluang bekerja secara separuh masa di sebuah kilang pembungkusan majalah di bandar tersebut.
"Pada mulanya, memang terfikir untuk berbuka terutama pada tiga hari pertama bermusafir pada bulan Ramadan. Tambahan pula, persekitaran yang dikelilingi orang-orang bukan Islam membuatkan saya perlu banyak bersabar," cerita Nazul yang dihubungi melalui laman sosial Facebook.
BERADA di persekitaran orang-orang bukan Islam menguji kesabaran muslim terutama pada bulan Ramadan.


Bagaimanapun, ujar Jurutera Rekaan Alat Penukar Haba di Shin Nippon Machinery Co. Ltd. di Hiroshima ini teringatkan pesanan ustaz yang mengajar bahawa puasa Ramadan tidak sama dengan puasa qada' yang diganti jika seseorang itu meninggalkan puasa, dia terus memadamkan niat untuk berbuka walaupun agak penat.
"Masa itu, saya bermonolog sendiri, sama ada puasa diteruskan atau ganti puasa, akhirnya saya meneruskan puasa.
"Jadi, lebih baik saya berpuasa pada bulan Ramadan yang pahalanya lebih banyak berbanding puasa pada bulan-bulan biasa," ungkap Nazul yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.


Syurga hasil laut dari utara

Posted: 28 Jun 2014 07:55 PM PDT


SALAH seorang anak nelayan mengangkat ikan bilis yang siap direbus untuk disimpan di dalam ketuhar khas.


"MARI masuk tengok, ikan bilis, belacan, keropok ikan, ikan talang, semua murah-murah". Begitulah sapaan penuh mesra para peniaga setiap kali pengunjung melintasi gerai jualan hasil laut di arked perniagaan, Tanjung Dawai, Kedah.
Arked dua tingkat yang menempatkan 20 buah gerai jualan aneka hasil laut itu pasti menjadi pilihan pengunjung setiap kali singgah ke pekan nelayan yang terletak 30 kilometer dari bandar Sungai Petani itu.
Antara hasil laut yang sering menjadi pilihan pengunjung untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh dari pekan yang majoriti penduduknya berketurunan Melayu itu pastinya ikan bilis.
Arked yang dibina oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani pada tahun 1993 itu, boleh dianggap sebagai syurga membeli-belah pelbagai jenis ikan bilis bagi masyarakat di wilayah utara.
Malah, tidak lengkap kunjungan para pelancong ke Sungai Petani atau Yan sekiranya tidak membawa pulang oleh-oleh hasil laut dari Tanjung Dawai, terutama ikan bilis.
Kepada seorang pembeli, Shahrul Ambri Samsuddin, 27, setiap kali berkunjung ke Kedah, dia tidak akan melepaskan peluang berkunjung ke pekan yang mengadap Pantai Merdeka itu.
Dia yang berasal dari Temerloh, Pahang memberitahu, kunjungannya ke negeri Jelapang Padi seakan-akan ada yang tidak kena jika tidak membawa pulang oleh-oleh ikan bilis Tanjung Dawai.
"Setiap kali berkunjung ke Kedah, saya pasti ke Tanjung Dawai untuk membeli ikan bilis.
"Saya membeli ikan bilis untuk simpanan sendiri. Selain itu, saya juga membeli ikan bilis untuk diberi kepada saudara-mara dan rakan sebagai hadiah," katanya sambil memaklumkan bahawa dia sering berkunjung ke Kedah untuk menziarahi bapa saudara di Yan.
Harga berpatutan

HASIL tangkapan di Tanjung Dawai boleh mencecah 40 tan sehari.


Dalam pada itu, Shahrul turut memaklumkan dia sering menggunakan ikan bilis dalam masakan sebagai rencah tambahan dalam nasi goreng kampung dan sayur goreng.
Ujar pekerja disebuah syarikat swata itu, harga ikan bilis di situ sangat berpatutan dan tidak membebankan para pengunjung terutamanya dari luar kawasan.
Sementara itu, menurut salah seorang pemilik gerai di arked tersebut, Mohd Bukhori Abdullah, 48, kebanyakan pengunjung di arked tersebut terdiri daripada orang luar.
Bukhori yang telah 21 tahun berniaga di arked tersebut memberitahu, jumlah pengunjung luar akan bertambah setiap kali menjelang hujung minggu atau musim cuti sekolah.
"Setiap kali menjelang cuti musim cuti sekolah, jumlah pengunjung ke arked ini akan bertambah dua kali ganda.
"Kebanyakan mereka yang singgah di sini adalah untuk menikmati keindahan pantai sambil membeli hasil laut tempatan terutama ikan bilis," katanya ketika ditemui Kosmo! di gerainya baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan bahawa gerainya menjual pelbagai jenis ikan bilis tempatan dan diimport.
Antara jenis ikan bilis yang terdapat di gerainya ialah pekpa, mayang, tembaga dan nasi.
"Gerai saya menjual pelbagai jenis ikan bilis pada harga berpatutan. Kebanyakan ikan bilis ini diperoleh daripada pengusaha di sekitar sini," katanya yang turut menjual hasil laut seperti ikan talang, keropok ikan, belacan, dan udang kering di gerainya.

SELAIN ikan bilis, nelayan Tanjung Dawai turut menawarkan anak ikan kembung kering.


Menurut bapa kepada lima orang cahaya mata itu, antara keistimewaan yang terdapat pada ikan bilis Tanjung Dawai ialah isinya yang rangup dan rapuh apabila digoreng.
Tambahnya, antara jenis ikan bilis yang menjadi pilihan pengunjung di gerainya ialah pekpa yang dijual pada harga RM19 untuk setengah kilogram.
"Ikan bilis jenis pekpa sentiasa menjadi pilihan pengunjung yang menggemari ikan bilis.
"Ikan ini berwarna cerah dan mempunyai saiz yang tidak terlalu kecil dan besar," ujar lelaki yang cukup peramah itu.
Sementara itu, menurut tekong bot pukat bilis di Tanjung Dawai, Mohamad Ngah, 61, proses menangkap ikan bilis bukanlah satu tugas yang mudah seperti sangkaan orang ramai.
Mohamad yang sudah empat dekad bergelar nelayan pukat bilis berkata, selain menempuh gelora ombak di tengah lautan, mereka juga terpaksa berdepan pelbagai risiko lain.
"Selain meredah ombak sejauh lebih 20 batu nautika untuk sampai ke tengah laut, kami juga terpaksa menanggung pelbagai risiko lain seperti cuaca buruk dan kebakaran bot," katanya ketika ditemui.
Hasil tangkapan

IKAN bilis Tanjung Dawai menjadi pilihan pembeli kerana isinya yang rangup selepas digoreng.


Menurut anak kelahiran Batu Rakit, Terengganu itu, setiap hari dia bersama 15 orang awak-awak akan bertolak dari Jeti Tanjung Dawai seawal pukul 6.30 pagi dan pulang lewat dinihari.
Hasil tangkapan yang diperoleh setiap hari tidak menentu dan bergantung kepada rezeki.
"Hasil tangkapan yang diperoleh setiap hari tidak menentu, ada masa-masanya banyak, ada hari tiada langsung.
"Selalunya hasil tangkapan bagi sebuah bot ialah sekitar 40 tan sehari," katanya sambil memaklumkan bahawa bulan November hingga Mac merupakan jangka waktu yang sesuai untuk memukat ikan bilis di perairan tersebut.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa hasil tangkapan yang diperoleh sejak kebelakangan ini semakin berkurangan sejak sedekad lalu.
Katanya, salah satu faktor yang dikenal pasti berlakunya pengurangan tersebut ialah lambakan tukun-tukun tiruan yang terdapat di perairan tersebut.
"Tukun tiruan merupakan salah satu punca hasil tangkapan kami semakin berkurangan.
"Tukun-tukun ini menjadi penyebab pukat-pukat kami mudah koyak lalu menjejaskan hasil tangkapan kami," katanya sambil memaklumkan bahawa Jeti Tanjung Dawai merupakan salah satu tempat pendaratan ikan bilis di Kedah selain Langkawi.

ARKED Tanjung Dawai dianggap sebagai syurga jualan ikan bilis oleh penduduk di wilayah utara.


Bercerita mengenai proses menghasilkan ikan bilis, hanya ikan bilis yang diangkat dari pukat akan direbus dengan air garam terlebih dulu menggunakan dapur khas di atas bot.
Selepas direbus ikan tersebut akan disimpan sehingga bot berlabuh di daratan.
Di daratan, ikan bilis yang telah direbus tadi akan dimasukkan ke dalam ketuhar khas dengan suhu sekitar 60 darjah Celcius selama lebih 12 jam untuk dikeringkan.
Selesai sahaja proses pengeringan, ikan bilis tersebut akan diasingkan mengikut saiz dan jenis sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar.
"Kebanyakan ikan bilis di sini diedarkan luar dari Kedah dan dijual pada harga berbeza mengikut jenis dan saiz ikan bilis," katanya.


Program TV semarak Ramadan

Posted: 28 Jun 2014 07:53 PM PDT



BARISAN duta TV9 dalam kempen Seindah Ramadan dan Anugerah Syawal.


SEMPENA Ramadan ini, saluran televisyen tempatan turut mengubah format bahan siaran untuk membangkitkan kemanisan menjalani ibadah puasa.
Sebanyak lebih 100 program pelbagai kategori bakal menemui penonton. Hidangan program kerohanian berbentuk drama, dokumentari mahupun jurnal keagamaan menjadi resipi terbaik untuk dikongsi.
Berikut sebahagian daripada kompilasi program menarik yang perlu ditanda dalam diari aktiviti harian masing-masing sebagai rancangan wajib tonton bulan ini:
Tanah Kubur Istimewa Ramadan (Astro Oasis)
Waktu siaran: Setiap Jumaat pukul 7.30 malam.
Sinopsis: Buah tangan Rashid Sibir, Tanah Kubur Istimewa Ramadan masih memaparkan kelestarian kehidupan seorang penggali kubur bernama Tok Adi. Dalam musim terbaru ini, pelbagai perkara pelik berlaku pada mayat yang diurusnya. Semua balasan itu bertujuan untuk memberi pengajaran kepada penonton.
Pelakon: Nasir Bilal Khan, Norkhiriah, Raikal, Azhan Rani dan Raja Ilya.
Masihkah Ada Ramadan (Astro Prima)
Waktu Siaran: Bermula 2 Julai, setiap Rabu pukul 10 malam.
Sinopsis: Masihkah Ada Ramadan bercerita tentang Dali, seorang kerani yang dipecat sehari sebelum bulan Ramadan. Dali tidak berani memberitahu isterinya, Mek Nab tentang perkara itu. Meskipun tidak lagi bekerja, namun Dali tetap berpakaian kemas dan keluar bekerja. Tetapi kali ini Dali bekerja sebagai pekerja kontrak dan menerima upah setiap hari demi memenuhi keperluan hidup.
Pelakon: Mat Over, Normah Damanhuri, Neelofa, Josiah Hogan dan Izzue Islam.
Taubatan Nasuha (Astro Ria)
Waktu Siaran: 26 Julai pukul 10 malam.
Sinopsis: Berkisar tentang Anum yang belajar dalam darjah satu tidak dapat menerima kenyataan tentang kematian neneknya. Perkara tersebut membuatkan ayahnya, Husni berasa bimbang. Pada satu hari, Husni terjumpa seorang pelacur yang mempunyai wajah hampir seiras dengan ibunya. Tanpa berfikir panjang Husni menawarkan Sally untuk menyamar menjadi nenek kepada Anum.
Pelakon: Normah Damanhuri, Puteri Balkish dan Ryzal Jaafar.

NIK MICHAEL bersama bintang Idola Kecil menerusi program Makmal Masak di TV9.


Perempuan Lindungan Kaabah (Astro First)
Waktu Siaran: 12 Julai pukul 10 malam.
Sinopsis: Hanan dihormati kerana mengamalkan cara hidup Islam. Wanita itu dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak mencintainya serta mengamalkan gaya hidup bebas. Biarpun tidak dilayan dengan baik, tapi Hanan tetap melayan suaminya itu. Dia berharap, suaminya akan menyayanginya suatu hari nanti.
Pelakon: Shaarnaz Ahmad, Diana Danielle dan Keith Foo.
Azam Ramadan Su (TV3)
Waktu Siaran: Bermula 23 Jun, setiap Isnin hingga Khamis pukul 12.30 tengah hari.
Sinopsis: Mengisahkan seorang ibu berkerjaya, Su yang berazam mahu memasak untuk anak-anaknya pada bulan Ramadan. Su dikurniakan dua cahaya mata, Mukhriz dan Munirah hasil perkahwinannya dengan Lukman. Sebelum ini, semua urusan di rumah diuruskan orang gajinya. Su juga lebih suka membawa keluarga makan di luar ataupun membeli makanan di kedai.
Pelakon: Rita Rudaini, Faizal Hussein, Mior Adha Najmi, Nur Qistina Raisah, Kismah Johar, Kartina Aziz, Siti Chubby dan Chef Azli.
Ramadan Jangan Pergi (TV3)
Waktu Siaran: Bermula 25 Jun, setiap Selasa hingga Khamis pukul 10 malam.
Sinopsis: Farah berkahwin dengan Johan pada usia muda dan dikurniakan seorang anak lelaki, Aidil. Hubungan mereka renggang sejak Johan berkawan rapat dengan Nadia. Masalah lebih meruncing berikutan ibu Johan, Mariana tidak menyukai Farah kerana beranggapan dia tidak sepadan dengan anaknya.
Menjelang bulan Ramadan, Farah terkejut apabila mendapat tahu Johan mahu melamar Nadia. Pada mulanya, Farah menyangka akan dimadukan, tetapi sebaliknya. Johan mahu menceraikannya. Farah sedar, mungkin itu balasan yang harus diterima kerana mengingkari nasihat ibunya, Rohani yang tidak merestui perkahwinan Farah dengan Johan kerana sikap Johan yang biadap.
Pelakon: Siti Saleha, Fir Rahman dan Lufya.
SITI SALEHA, Fir Rahman dan Lufya dalam Ramadan Jangan Pergi di TV3.


Ampunkan Dosaku Mak (TV9)
Waktu Siaran: Bermula 3 Julai, setiap hari Khamis pukul 10.30 malam.
Sinopsis: Mengisahkan kepayahan seorang ibu bernama Suhana yang membesarkan anak perempuannya, Qistina. Mujurlah Suhana dibantu oleh Hassan, seorang duda. Hassan turut membiayai kos pembelajaran Qistina di universiti sehingga dia berjaya menjadi pelajar terbaik. Namun, Qistina terjerumus ke dunia pelacuran gara-gara tersalah pilih kawan.
Pelakon: Fauziah Ghous dan Heryanto Hassan.
Antara Dua (TV9)
Waktu Siaran: Bermula 10 Julai pukul 10.30 malam.
Sinopsis: Nina seorang pereka pakaian di sebuah butik terkenal di ibu kota. Biarpun berjaya memiliki rumah dan kereta, namun Nina gagal dalam mencari kekasih sejati. Pada satu malam dia melakar wajah lelaki idamannya. Tanpa diduga, lelaki yang dilakar itu sememangnya wujud.
Pelakon: Misha Omar dan Zul Ariffin.
Makmal Masak (TV9)
Waktu Siaran: Bermula 29 Jun setiap hari Ahad pukul 6 petang.
Sinopsis: Buat pertama kalinya bersempena kehadiran Ramadan, TV9 tampil dengan program masakan untuk peminat slot Bananana. Menariknya, bintang Idola Kecil akan berganding bahu bersama cef popular, Chef Nik Michael dalam menyajikan pelbagai resipi baharu dan istimewa.
Ana, Aku dan Aiman (RTM2)
Waktu Siaran: Bermula 2 Julai, setiap Rabu hingga Jumaat pukul 6 petang.
Sinopsis: Sebuah naskhah kekeluargaan memaparkan cabaran seorang anak orang kenamaan yang berkelakuan liar tetapi cuba mengubah hidup ke arah melakukan kebaikan.
Pelakon: Norman Hakim, Diana Amir, Shafie Naswip dan Imam Muda Naufal.
Insaf (RTM2)
Waktu Siaran: Bermula 22 Julai pukul 10 malam.
Sinopsis: Kisah perjalanan hidup dua adik-beradik yang terpaksa berpisah selepas kematian kedua ibu bapa mereka. Setelah adiknya dewasa, si anak kedua nekad mahu mencari semula abang kandungnya.
Pelakon: Remy Ishak, Fizz Fairuz, Anis Al Idrus dan Imam Muda Naufal.
Ketuk-Ketuk Ramadan (RTM1)
Waktu Siaran: Bermula 29 Jun, setiap hari pukul 12.30 tengah hari.
Sinopsis: Memasuki musim kelapan, Ketuk-Ketuk Ramadan bakal menyajikan pelbagai resipi istimewa dan terkini. Program ini menampilkan ramai artis popular antaranya Hisyam Hamid, Mark Adam, Zara Zya, dan Anzalna Nasir.
Ramadan Around the World (TV AlHijrah)
Waktu Siaran: Bermula 29 Jun, setiap hari Isnin hingga Ahad pukul 8.30 malam.
Sinopsis: Ramadan Around the World memaparkan cara Ramadan disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Antara negara yang dilawati ialah Lebanon, India, Amerika Syarikat dan Uzbekistan.
Ihya' Ramadan (TV AlHijrah)
Waktu Siaran: Bermula 29 Jun, setiap hari Isnin hingga Ahad pukul 5.05 petang.
Sinopsis: Bersiaran secara langsung, Ihya' Ramadan bakal mengisi petang Ramadan penonton dengan pendedahan informatif terhadap tajuk-tajuk yang menjurus kepada penyelesaian terhadap segala persoalan hukum-hakam ibadah pada bulan Ramadan. Penonton berpeluang untuk berkomunikasi secara dua hala menggunakan telefon, Skype, emel dan Facebook.


Dahulu saya tomboy - Raja Ilya

Posted: 28 Jun 2014 07:51 PM PDT




MELIHAT kepada penampilan seksi pelakon Raja Ilya, mungkin tidak terlintas di fikiran ramai bahawa wanita ini pernah dilabel sebagai remaja tomboi.
Pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohamad itu memberitahu, dia gemar berpakaian seperti lelaki.
"Saya suka pakai seluar jean, baju-T dan bertopi sahaja. Kalau tak pakai topi, saya akan buat gaya rambut terpacak. Dulu rambut saya tak panjang macam sekarang. Bersolek pun tak pernah," ujar pelakon yang popular menerusi drama Mana Hilangnya Juwita ini.
Kongsi Ilya, imej 'kasar' yang dibawanya itu menyebabkan ada pihak yang menggelarnya tomboi.
"Seorang mak cik tukang cuci pernah menyangka saya tersilap masuk tandas perempuan. Dia ingatkan saya lelaki," ujar pelakon berumur 28 tahun ini ketawa.
Segalanya berubah selepas Raja Ilya menyertai Malaysia Airlines sebagai pramugari pada tahun 2004. Bermula dari situ, pelakon Kiah Spy ini mula menukar imej menjadi lebih kewanitaan.
KERJAYA pramugari mengubah diri Raja Ilya daripada imej tomboi kepada gaya feminin.


"Saya belajar pakai skirt dan kasut tumit tinggi sewaktu menjadi pramugari. Agaknya kalau saya tak jadi pramugari sampai sekaranglah saya jadi tomboi," selorohnya yang memberitahu, dia meminati kerjaya tersebut sejak kecil.
Raja Ilya sendiri mengakui berasa kurang selesa dengan imej feminin. Namun, lama-kelamaan dia belajar untuk menyesuaikan diri apatah lagi dia kini bergelar selebriti.
"Jujurnya, apa yang saya pakai ini bukan menggambarkan diri saya. Awal-awal memang saya agak rimas dengan penampilan begitu, maklumlah tak biasa. Tapi, sekarang saya mula selesa," luah pelakon yang pernah dilabel suka berpenampilan seksi ini.
Dalam perkembangan lain, pelakon yang fasih berbahasa Tamil dan Hindi ini berkata, sepanjang Ramadan ini, dia sibuk dengan penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Seludup.
"Drama itu berkisar mengenai perdagangan haram atau penyeludupan barangan," tuturnya mengenai drama yang bakal ditayangkan pada hujung tahun ini itu.


Fara Fauzana masih Fafau

Posted: 28 Jun 2014 07:50 PM PDT




RAMADAN sarat dengan rahmat Allah malah kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu. Bagi umat Islam, Ramadan bulan melipatgandakan ibadah. Malah, penganut agama lain di negara ini turut bergembira terutama dengan kemunculan bazar Ramadan yang ibarat syurga juadah.
Namun, buat penyampai radio popular Fara Fauzana, dia mahu memakmurkan Ramadan seperti yang dilakukan kebanyakan orang.
"Setiap kali Ramadan, kalau boleh saya hanya mahu beribadat. Tetapi karier begini tidak mengizinkan saya menolak undangan di samping perlu terlibat dengan acara radio dan televisyen.
"Bagaimanapun, kali ini saya juga mahu sibukkan diri dengan aktiviti surau dan masjid termasuk menyediakan moreh selepas tarawih. Saya nak merasa suasana begitu," ungkap anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini saat ditanya tentang kemahuan hatinya kala ini.
Jujurnya kata Fara, dia tiada pengalaman zaman kanak-kanak yang menyeronokkan berkaitan aktiviti surau sepanjang bulan puasa.
"Saya membesar di Shah Alam, ibu bapa saya bekerja. Mungkin sebab itu saya tidak merasa suasana seronoknya pergi ke masjid dengan kawan-kawan semasa kecil. Apa yang saya ingat tentang puasa ketika itu cuma bazar Ramadan.
"Jadi harap-harap, misi saya tahun ini akan menjadi, doakan yang terbaik," beritahu anak kedua daripada tiga beradik ini tanpa berat hati.
Selain tugas di konti Hot FM serta beberapa komitmen lain termasuklah terlibat dalam kempen Seindah Ramadan TV3, pengacara Nona itu juga sudah diikat untuk tidak ke mana-mana menjelang malam raya.
Terbuka hati
"Awal-awal lagi nama saya sudah disenaraikan untuk program Salam Raya. Nasiblah. Sudah namanya bujang, tinggal pula di Shah Alam. Rasanya selagi saya belum kahwin, memang itulah gayanya," jelas Fara yang baru selesai menjalani episod Nona istimewa raya di TV3.
Sepanjang tempoh 10 hari hilang dari konti radio baru-baru ini, Fara turut menjayakan sesi ramah mesra bersama peminatnya di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad minggu lalu.


Tampil dengan imej berselendang sejak Februari dan kemudian perlahan-lahan mencari kesempurnaan dalam berhijab, secara mudahnya, Fara kini bukan sekadar berubah dari segi luaran. Dia juga sedang mengamati perubahan dalaman secara beransur-ansur.
Sudah banyak kali Fara memberitahu, perubahan itu bukan disebabkan dia sedang bersiap sedia untuk memasuki gerbang perkahwinan. Wanita berumur 34 tahun itu tidak mahu lagi kisah hijabnya menjadi fokus berita hiburan.
Barangkali Fara merasakan perubahan itu tidak perlu dicanang lagi yang akhirnya nanti boleh mendatangkan perasaan yang tidak baik.
"Saya tidak kisah apa yang orang luar akan cakap tentang saya. Saya cuma risaukan diri sendiri. Saya bimbang akan timbul riak.
"Tapi sejak bertudung, saya perasan satu perkara baharu iaitu saya rasa lebih dihormati, maksudnya lebih dihormati sebagai Muslimah," jelas Fara.
"Sekarang saya banyak melihat perkara yang selama ini saya nampak tetapi tidak dilihat dengan mata hati," katanya.
Bermula dengan selendang nipis untuk mendekatkan diri ke arah bertudung, Fara memilih untuk beristiqamah. Kini, dia sudah bertudung penuh. Cuma semasa fotografi ini dijalankan, Fara mengenakan turban.
"Rasanya tak perlu untuk saya menjelaskan perkara itu secara berlebihan. Saya juga tak tahu macam mana nak beri penjelasan lagi," katanya dari hujung talian.
Fesyen hijabista
Merancakkan tradisi dan persediaan menyambut Hari Lebaran, Farah Fauzana Mohd. Fadzil yang mudahnya digelar Fafau itu turut menjadi fokus fesyen.
Fesyen Muslimah, moden atau tradisi yang menjadi pilihan setiap kali tibanya Aidilfitri membuka lebih banyak peluang kepada pereka fesyen tempatan untuk memperkenalkan koleksi terbaharu mereka.
IMEJ muslimah memberi kelebihan buat Fara apabila dipilih menjadi wajah koleksi Aidilfitri FF by Maganda.


Menyelak buku baharu, Fara yang selama ini sering menggayakan rekaan para pereka fesyen turut dipilih menjadi wajah jenama atau dikenali sebagai muse untuk koleksi Aidilfitri FF by Maganda daripada Syed Faizal Syed Noh.
"Alhamdulillah peluang sebegitu memihak kepada saya.
"Syed Faizal memberi peluang agar saya berkongsi koleksi pakaian yang saya gayakan dalam Nona untuk diperagakan kepada penggemar fesyen khususnya wanita," jelas Fara yang turut mendapat khidmat nasihat daripada Syed Faizal dalam aspek penataan gaya dan solekannya.
Mengakui bukanlah tergolong dalam kalangan selebriti yang stailo dalam pemilihan fesyen, imej berhijab yang dibawanya kini tidak semestinya melayakkan dirinya digelar hijabista.
"Hijabista atau tidak, rasanya saya masih terlalu baharu. Saya tak tahu sama ada saya layak ke tidak untuk termasuk dalam golongan hijabista.
"Bagi saya hijabista istilah untuk mereka yang sangat stailo walaupun bertudung. Saya hanya mengikut tuntutan yang sepatutnya sahaja, insya-Allah. Doakan yang terbaik untuk saya," katanya.
Tidak berani memberi sebarang komen mengenai fesyen hijabista yang semakin popular, Fara berasakan dia masih dalam fasa menyesuaikan diri.
"Saya bersyukur dan sangat gembira dengan pembawaan diri ketika ini. Contohnya, ketika bersama pasukan Nona, mereka sangat memahami dan menyokong penampilan saya.
"Setakat ini tiada siapa yang mempertikaikan kenapa saya perlu bertudung atau sebagainya.
"Saya juga mendapat bantuan daripada rakan-rakan khususnya sahabat penyampai di Hot FM, Sharifah Aleya. Katanya, dia bosan tengok cara pemakaian selendang saya.
"Sampai sekarang saya masih ikut cara ikatan selendang yang Aleya ajar kepada saya," ujarnya ceria.
Ternyata, dia masih si Fafau yang sarat perwatakan ceria dan gila-gila walaupun sudah bertudung.
Sempena Ramadan, Fara memohon kemaafan daripada semua pendengar Hot FM, pengikutnya di laman sosial serta mereka yang mengenali Fara Fauzana.
"Maafkan saya andai ada yang terasa hati atau apa sahaja yang menyakiti kalian sebelum ini. Semoga Ramadan kita lebih diberkati dan dipermudahkan. Insya-Allah," tutup Fara.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories