RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Hijrah artis Brunei

Posted: 06 Jun 2014 03:01 AM PDT


  • Nina IskandarNina Iskandar

"PERANG yang paling susah untuk dihadapi adalah 'perang' dengan diri sendiri.
"Lebih-lebih lagi, apabila sebagai manusia, terlalu banyak ajakan dan niat serta dugaan terutamanya daripada bisikan syaitan.

"Oleh itu, saya berharap agar ALLAH SWT sentiasa tetapkan hati saya dengan penghijrahan ini," ulas Nina Iskandar mengenai harapannya terhadap penghijrahan yang dilakukannya sejak sebulan lalu.

Bahkan, jelas pemilik nama sebenar Nur Akmalina Iskandar ini, perubahannya itu datang sepenuhnya daripada hatinya sendiri.

"Punca berhijrah ini lebih kepada perasaan dan keadaan.

"Sering saja saya melihat individu lain yang berhijab, ia menimbulkan tanda tanya dalam diri bilakah saya akan mula berhijab?

"Keadaan itu menyebabkan keinginan saya semakin membuak-buak," katanya ketika ditemui selepas pelancaran saluran terbaru Hypp TV (Hypp Flick+) Blokbuster, baru-baru ini.

Malah, pelakon itu kini mengakui yang dia semakin selesa dan tenang dengan penampilan terbaharunya itu.

"Saya semakin membiasakan diri dan berasakan ia sebagai satu keperluan.

"Lagi pula, saya berasakan terdapat perbezaan ketara terutamanya daripada segi pandangan sejak saya berhijab," katanya yang juga mendapat sokongan penuh dan jitu daripada rakan-rakan dan keluarganya.

Bawa imej Brunei 

Sebelum ini, Brunei Darussalam mengamalkan pemerintahan lebih konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara terbuka.

Begitu pun, sejak Mei lalu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah melaksanakan hukuman hudud, termasuk merejam sampai mati bagi mereka yang didapati bersalah kerana berzina.
Mengumumkan keputusan itu, baginda merujuk langkah berkenaan sebagai yang bersejarah pelaksanaan undang-undang Islam sebenar di negara itu.

Gadis kelahiran Brunei yang sedang mencipta nama di Malaysia, Nina iskandar yang kini berhijab bagaimanapun menafikan penampilannya itu adalah disebabkan pelaksanaan hudud berkenaan.
"Ramai yang keliru dan beranggapan saya berubah kerana hukum hudud, tapi sebenarnya tidak!.
"Hukum hudud tiada sebarang kaitan dengan penampilan diri sebaliknya ia lebih kepada jenayah melalui undang-undang syariah.

"Ramai saja wanita di Brunei tidak menutup aurat.
"Lagi pun, saya tahu menjadi kewajipan bagi seorang wanita untuk menutup aurat," tegasnya.
Aktres berkenaan sebaliknya mengakui dia menghormati akan pelaksanaan undang-undang syariah di negara kelahirannya itu,
Tambahnya lagi, undang-undang syariah di Brunei sudah lama diwujudkan cuma ia kini semakin dikuatkuasakan.
Jelasnya lagi, sebagai 'public figure' dia berusaha untuk menjadi contoh terbaik sebagai salah satu cara mempersembahkan negara asalnya itu di mata negara lain.

"Saya tahu, saya membawa imej negara kelahiran ke negara lain.
"Ini adalah satu kelebihan buat diri saya," katanya.


Bertunang Ogos depan

Dalam pada itu, Nina turut mengakui bakal bertunang dengan ahli perniagaan, Ahmad Heiqal, pada Ogos depan selepas dirisik pada 15 Februari lalu.
Bagaimanapun, Nina mengakui mereka masih belum punya perancangan untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Begitu pun, Nina memberitahu, dia sudah pun bersedia untuk menjadi seorang isteri.

Malah, dia juga telah bersedia untuk meninggalkan kerjaya lakonannya pada bila-bila masa.

"Bagi saya bertunang bukanlah benda jahat, sebaliknya ia adalah sesuatu yang baik.

"Perasaan ini datang bukan kita yang minta. Ia datang secara tiba-tiba, jadi saya serah segala-galanya kepada takdir," katanya yang mengikat kontrak selama lima tahun dengan Metrowealth International Group (MIG).
Bahkan, pihak pengurusannya juga tiada masalah mengenai perkara itu, malah menyokong niatnya untuk melangsungkan pertunangan.
"Sebenarnya, saya sendiri sebelum ini pernah bercakap dan berbincang dengan Mejar (K) David Teo mengenai hubungan kami dan dan hasrat saya.
"David sendiri tidak dapat menghalangnya dan dia sendiri akui telah merestuinya.

"Lagipun, kami baru bertunang dan belum merancang untuk berkahwin lagi. Namun saya tidak menolak jika jodoh saya sampai dalam masa terdekat," katanya.

Pengakuan aktres itu sekali gus menepis segala gosip yang mengaitkan dirinya dengan anak tiri kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid, 24.

"Ternyata semua gosip di antara saya dengan anak Datuk K itu tidak benar!," tegasnya.


 Kurang terima tawaran?

Bercerita mengenai soal kerjayanya pula, wanita kacukan Pakistan, Melayu dan Cina ini mula mencipta nama sejak membintangi filem Muka Surat Cinta di samping Mikail Andre, Atikah Suhaime dan Azwan Kombos.

Sejak itu, dia mula berlakon dalam filem terbitan MIG seperti Lu Gua Bro, Sniper dan yang terbaharu, Pengantin Malam arahan Eyra Rahman yang akan menjengah pawagam pada 19 Jun ini di samping Nora Danish dan Farid Kamil.

Begitu pun, dek penghijrahan yang dilakukannya itu, Nina mengakui tidak risau sekiranya kurang menerima tawaran berlakon.

"Saya tidak risau akan perkara itu. rezeki Tuhan ada di mana-mana saja.

"Semua rezeki telah ditentukan oleh ALLAH SWT dengan sebaik-baiknya.

"Saya percaya akan perkara berkenaan dan pasti ada benda yang lebih baik sedang menunggu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nina juga bakal terlibat dalam satu drama bersiri khas Ramadan ini iaitu Raya Ini Mesti Kahwin untuk ditayangkan di TV3 kelak.

Julia Ziegler Kesal Dituduh Biadab Terhadap Tuan Rumah Semasa Penggambaran

Posted: 06 Jun 2014 03:00 AM PDT


Julia Ziegler nafi bersikap sombong dan biadap.
PETALING JAYA: Pelakon Julia Ziegler berkata, individu yang menuduh dia berkelakuan biadab dan sombong terhadap tuan rumah semasa penggambaran sebuah drama telah membuat tuduhan tidak berasas.

Menceritakan kejadian itu Julia atau nama sebenarnya Julia Bob Fauzi Ziegler, 30, berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak beramah mesra dengan tuan rumah yang dimaksudkan kerana enggan menganggu mereka semasa dia dan kru produksi tiba di lokasi berkenaan awal pagi.

"Saya bukan sombong seperti yang mereka katakan. Perkara itu terjadi ketika penggambaran drama bermula pada pukul 8 pagi dan ketika itu ahli keluarga yang ada dalam rumah berkenaan muncul dengan berpakaian tidur menyebabkan saya tidak bercakap banyak sebaliknya sekadar menyapa sahaja.

"Disebabkan tidak mahu menganggu privasi mereka, saya terus ke bilik persalinan bagi memulakan penggambaran," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Julia berkata demikian ketika diminta mengulas luahan hati seorang individu yang mendakwa sebagai anak kepada ahli keluarga tuan rumah berkenaan telah menulis status tidak berpuas hati terhadap pelakon wanita itu.

Dalam status tersebut individu terbabit menyelar sikap Julia yang kononnya berlagak diva kerana tidak menegur keluarga tuan tumah berkenaan ketika hadir bagi menjalani penggambaran sebuah drama untuk siaran TV3.

Penggambaran selama sehari itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail dekat sini arahan Heykal Hanafiah pada pertengahan Mei lalu.

Dalam pada itu Julia menjelaskan, tuan rumah tersebut juga tidak memahami suasana sesebuah penggambaran drama apabila menganggap kehadiran kru produksi sengaja membuat bising.

"Ada adegan yang memerlukan saya bercakap terjerit-jerit, kemudian tuan rumah  memberitahu kepada pengarah bahawa saya biadab kerana menjerit di rumahnya. Padahal saya sedang berlakon. Mungkin dia tidak tahu situasi penggambaran drama," katanya.

Bagaimanapun, Julia berkata, selepas selesai penggambaran tersebut dia ada bersalaman dan meminta diri daripada ahli keluarga berkenaan.

Malah mereka turut mempelawanya hidangan pulut kuning untuk dibawa pulang.

"Saya tidak sangka perkara tersebut menjadi isu kerana ketika selesai penggambaran saya ada bersalaman dan mereka semua saya lihat baik sahaja.

"Malah mereka mempelawa saya bungkusan pulut kuning untuk dibawa balik. Tetapi saya tak sangka timbul cerita lain pula selepas itu," katanya.

16 Selebriti Sertai Cabaran Memasak 'Jaguh Kampung'

Posted: 06 Jun 2014 02:59 AM PDT


Sheila Mambo (kiri) dan Farawahida antara artis yang akan menyertai Jaguh Kampung.
KUALA LUMPUR: Seramai 16 selebriti bakal memeriahkan program realiti pencarian juara memasak iaitu Jaguh Kampung musim keempat yang bakal memulakan siarannya di Astro Prima pada 18 Jun ini.

Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris berkata, para selebriti tersebut akan menjadi tetamu jemputan bagi membantu 16 peserta memenangi pertandingan tersebut.

"Mereka (selebriti) ini akan membantu kumpulan yang disertai itu memasak. Tidak semestinya mereka pandai memasak, tetapi kehadiran mereka sebagai pemberi semangat kepada setiap kumpulan yang diwakili," katanya.

Namanzee ditemui  pada majlis pelancaran program Jaguh Kampung musim keempat di Restoran Serai di sini pada Khamis.

Jimmy Palikat


Antara barisan selebriti yang terlibat ialah Farouk Hussain, Yassin Yahya (Senario), Zul Yahya, Sheila Mambo, Noorkhiriah, Norlia Ghani, Ida Moin, Zulin Aziz, Sharifah Sahora, Jimmy Palikat, Acong dan Farawahida.

Jaguh Kampung bakal menyaksikan seramai 16 pasukan dari pelbagai kampung di seluruh Malaysia akan berentap berdasarkan format kalah mati dalam menyediakan hidangan asli kampung.

Kesemua pasukan terpilih perlu bersaing di peringkat kampung dahulu  sebelum mara ke peringkat seterusnya mengikut tiga zon iaitu Zon A (Melaka dan Selangor), Zon B (Perak dan Kedah), Zon C (Kelantan dan Terengganu) dan Zon D (Sabah dan Sarawak).

"Tema dan cabaran yang diberi akan bertambah susah pada setiap peringkat. Ia berdasarkan tema yang diberikan oleh pihak produksi dalam merebut gelaran juara," ujarnya.

Bersiaran selama 13 episod, Jaguh Kampung turut menampilkan Shamsul Ghau Ghau sebagai pengacaranya manakala Chef Ahmad Kasdi dan Chef Mohd Irwan Mohd Nor akan menjadi juri tetap.

Program ini akan bersiaran setiap Rabu, pukul 9.30 malam.

Azizi kembali dengan lagu Ketuhanan

Posted: 06 Jun 2014 02:56 AM PDT


  • AziziAzizi

SELEPAS sekian lama menyepi, bintang realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Ahmad Azizi Mohamed atau lebih mesra disapa dengan Azizi kini membuat kemunculan semula dengan mengeluarkan single terbaharunya, Jauh Sudah, awal tahun lalu.
Mengulas lanjut mengenai single itu, Azizi memberitahu, Jauh Sudah bertemakan ketuhanan dan kerohanian tetapi berkonsepkan moden rock hasil ciptaan dan lirik sepenuhnya daripada Ippo Hafiz manakala susunan muziknya pula dibuat oleh AG Coco.

"Suatu ketika dulu, saya pernah berhasrat untuk menyanyikan lagu yang bergenre sebegini, tetapi baharu kini dapat merealisasikannya," katanya kepada Zass ketika ditemui dalam satu sesi fotografi.

Tambahnya, setelah mendengar lagu berkenaan buat pertama kalinya pada Ramadan lalu, dia menyifatkan ia ada membawa makna tersendiri buat dirinya.

"Saya tertarik dengan melodi dan liriknya. Lagu ini seolah-olah ada kena-mengena dengan saya yang sudah 12 tahun berada dalam bidang seni. Bahkan, sebelum ini, saya pernah terfikir adakah saya layak untuk menyanyikan lagu berkonsep ketuhanan.

"Tetapi, tiba-tiba saya diberikan lagu ini dan ia sangat terkesan.

"Boleh dikatakan perasaan saya sebak setiap kali bercerita dan menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah sudah ada stesen radio yang mainkannya setiap kali sebelum azan," katanya.

Bahkan, katanya, dia juga tidak berniat hendak bersaing dengan mana-mana artis kerana apa yang dilakukan adalah untuk memeriahkan dunia seni tanah air.

Jelas Azizi, modal untuk pembikinan lagu ini dikeluarkannya sendiri manakala syarikat rakaman Universal Music pula bertindak sebagai pemilik untuk nada dering dan pengedar.

Sebelum ini, Azizi pernah mengeluarkan album solo pada 2004, Kau Duniaku sejurus tamat pengajiannya di AF1 dan kemudiannya tampil dengan album mini iaitu Ahmad Azizi pada 2010.

Masih aktif

Biarpun menyepi dalam industri hiburan, itu tidak bermakna Azizi sudah melepaskan mikrofon sebaliknya dia masih lagi aktif menyanyi di tanah kelahirannya di Kuantan, Pahang.
Malah, pemilik My Baby Studio ini juga sangat bersyukur kerana terlibat dalam AF kerana ia adalah platform yang sesuai baginya memperkenalkan diri kepada peminat.

"Saya masih lagi menyanyi seperti biasa sehingga sekarang.

"Apabila tawaran berkurangan, saya beralih arah jadi pengacara majlis pula di seluruh negara dan Alhamdulillah pendapatan ini cukup untuk menampung hidup," katanya yang kerap melakukan aktiviti amal.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 37 tahun ini juga mengakui masih lagi belum berpunya dan menyerahkan soal jodohnya kepada takdir ALLAH SWT.

"Pasal jodoh... saya berserah segala-galanya pada Dia," katanya yang mengimpikan wanita yang simple, pandai menyesuaikan diri, berpendidikan agama dan mengutamakan keluarga.

Nora: Tiada istilah merajuk

Posted: 06 Jun 2014 02:55 AM PDT


  • NoraNora

PEJAM celik-pejam celik tahun ini, genaplah dua dekad usia penglibatan penyanyi balada terkenal, Nora, dalam industri seni suara.

Mula mempertaruhkan album Sandiwara pada 1994, pemilik nama sebenar, Wan Norafizah Ariffin, ini pernah menjuarai beberapa anugerah termasuk Artis Baru Terbaik (Wanita) di Anugerah Industri Muzik (AIM2) pada 1995 dan Lagu Terbaik di AIM3 (1996) menerusi lagu, Jentayu.

Malah, sepanjang dua dekad, lebih daripada lapan anugerah yang berjaya dirangkul penyanyi kelahiran Kota Bharu ini.

Pun begitu sejak akhir-akhir ini, kelibat Nora jarang dilihat di kaca televisyen mahupun dalam anugerah-anugerah tempatan.

Tidak kurang juga yang menganggap, ibu kepada empat cahaya mata ini seakan merajuk dalam industri yang satu ketika dahulu pernah memahat memori indah buatnya.

Namun, bagi pelantun lagu, Hanyalah Satu, ini tiada istilah merajuk dalam kamus hidupnya.

"Saya tidak pernah merajuk dengan industri sebenarnya. Walaupun sudah tidak muncul di kaca televisyen, saya masih lagi aktif dengan persembahan-persembahan di luar," katanya.

Tambah Nora, dia kini sedang dalam proses untuk melakukan 'comeback' dan masih lagi mencari bahan-bahan yang sesuai untuk dimuatkan dalam album itu.

"Insya-ALLAH, memang sekarang saya dalam perancangan untuk album baharu dan kami masih lagi mencari bahan yang sesuai.

"Konsep yang saya akan bawak masih balada cuma bezanya ialah akan ada lagu yang berunsur kedamaian dan ketuhanan.

"Jiwa saya amat sebati dengan balada, malah bila menyanyikan lagu-lagu sebegitu, saya rasa begitu dekat," katanya lagi.

Antara kerjaya, keluarga

Menggalas tugas sebagai ibu, isteri dan selebriti bukanlah satu perkara mudah. Malah, setiap daripadanya memerlukan keseimbangan agar ia kekal terurus.

Pun begitu, bagi Nora, walaupun kerjaya juga perlu diberi keutamaan, namun prioritinya masih kepada anak-anak dan keluarga.

"Rahsia untuk menjadi penyanyi yang berjaya ialah disiplin dan pengurusan masa. Sekiranya saya dipanggil untuk membuat persembahan, saya akan susun jadual untuk latihan vokal.

"Namun, dalam masa yang sama, masa bersama keluarga tidak akan disia-siakan begitu sahaja. Setiap orang mempunyai cara berbeza dalam mendidik anak.

"Bagi saya, setiap perbuatan yang kita lakukan itu merupakan didikan bagi anak-anak dan saya bertuah kerana mempunyai suami dan anak yang sentiasa memahami kerjaya saya," tambahnya lagi.

Pasaran besar UCPK

Siri animasi muzikal tiga dimensi (3D), Ummi... Ceritalah Pada Kami (UCPK), terbitan Hud Hud Media Sdn Bhd sememangnya mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak ditayangkan di TV3 dua tahun lalu.

Dek sambutan hangat itu, pihak penerbitan berhasrat untuk meluaskan lagi pasaran mereka ke luar negara.

"Idea itu timbul berikutan ketiadaan program kanak-kanak seumpama itu milik syarikat tempatan untuk memberi pendidikan sambil berhibur.

"Ummi dilihat mampu menjadi landasan untuk anak-anak berhibur dan menghayati kisah yang diambil dari al-Quran dan Hadis. Dunia memerlukan 'content' seperti ini," kata Nora yang juga pengasas UCPK dan Pengarah Hud Hud Media Sdn Bhd.

Jelas Nora, menariknya, animasi ini turut menyelit muzik dan lagu-lagu yang menghiburkan serta memberi pengajaran kepada anak-anak untuk membentuk nilai murni.

"Animasi ini turut mendapat sokongan daripada MdeC, Matrade, Cradle, WRC, CCAM, MyNEF dan GCMA.

"Malah, UCPK juga bakal dieksport ke 27 negara, antaranya Indonesia, Brunei, Kenya dan Mesir," katanya lagi.

Shima Anuar obses kurus

Posted: 06 Jun 2014 02:52 AM PDT


  • Shima AnuarShima Anuar

SHIMA Anuar merupakan pelakon yang semakin menempah nama dalam arena seni tanah air.
Bakat lakonannya tidak boleh disangkal apatah lagi gadis berumur 23 tahun ini merupakan pemegang diploma bidang Seni Lakon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dikenali melalui filem-filem antaranya Sumpahan Kum-Kum, Bini-biniku Gangster, Flat 3A dan 7 Petala cinta, kerjaya Shima memerlukannya sentiasa kelihatan langsing di hadapan kamera.

Keyakinannya menggayakan apa sahaja fesyen dan potongan baju di samping kelihatan cantik dalam masa sama membuatkan ramai yang tertanya-tanya akan rahsia selebriti ini kekal langsing.

Ketika ditemui dalam satu majlis pratonton filem Isnin lalu, aktres jelita berketinggian 164 cm ini tidak lokek berkongsi tips dan rutin kecantikannya bersama Zass.


Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?

Bagi saya, kecantikan luaran mesti diperoleh dengan cara yang sihat. Contohnya kalau kita inginkan bentuk badan yang langsing, kena dapatkan melalui cara semula jadi yang tidak memudaratkan diri sendiri.

Sebagai seorang pelakon, bagaimanakah anda menjaga pemakanan agar sentiasa kelihatan langsing?
Saya bukanlah seorang yang sudah sedia memiliki tubuh langsing. Berat saya senang naik dan senang turun. Tapi, sebagai seorang pelakon saya wajibkan diri untuk kawal berat badan sebab dalam televisyen atau skrin kita akan kelihatan lebih besar.

Berat yang ideal dengan saya adalah 50 kg. Saya pernah mencecah sehingga ke 54 kg, jadi bila saya  saya timbang dan rasa sudah berlebihan berat badan, saya akan diet kurangkan makan nasi. Dalam seminggu, boleh katakan sangat jarang saya makan nasi.

Tapi, saya gantikan dengan oat dan makanan berserat tinggi yang lain. Saya juga jadikan kemestian untuk makan buah seperti epal dan pisang untuk gantikan pengambilan nasi.

Bagaimana pula dengan senaman? Adakah anda sering berkunjung ke gimnasium untuk bersenam?

Saya memang amalkan senaman, malah saya mempunyai mini gym sendiri di rumah. Selalunya saya kerap bersenam menggunakan treadmill dan peralatan senaman lain yang simple.

Kerjaya sebagai pelakon memerlukan anda sentiasa mengenakan mekap. Bagaimanakah anda menjaga wajah anda agar bebas dari jerawat atau masalah kulit yang lain?

Ya, saya akui memang saya sentiasa kena pakai mekap bila bekerja, kadang-kadang sampai sehari suntuk mekap tersebut melekap di wajah.

Bila mekap di set pula selalunya beramai-ramai dan gunakan peralatan yang sama, jadi saya tak nafikan memang kulit saya ada juga naik jerawat kecil-kecil tu (whiteheads).

Pun begitu, kalau tak ada penggambaran memang saya takkan pakai mekap langsung untuk biarkan kulit bernafas. Waktu malam sebelum tidur pula, tak kira penat macam mana sekalipun saya akan buang mekap dan cuci muka sebersihnya serta pakai pelembap wajah.

Alhamdulillah, kulit saya tidak begitu sensitif atau bermasalah. Saya cuma perlu konsisten jalani rutin penjagaan wajah yang asas tu.


Apakah produk kecantikan yang ada gunakan?

Saya guna set kecantikan produk SKII. Memang dah lama pakai dan ternyata ia memang sesuai dengan kulit saya.

Bagaimana pula dengan rutin kesihatan? Apakah cara anda untuk memastikan tubuh kekal sihat dan bertenaga dalam menjalani jadual padat sebagai pelakon?
Saya jaga kesihatan dengan cara paling mudah, iaitu minum air kosong. Setiap hari, saya wajibkan diri minum sekurang-kurangnya dua botol besar air mineral 1.5 liter tu. Sebab kalau kita sakit pun, doktor akan nasihat benda yang sama, iaitu banyakkan minum air kosong.

Penjagaan rambut juga penting untuk kelihatan cantik. Adakah anda mempunyai rutin tertentu bagi menjaga rambut anda?

Ya, saya rajinkan diri untuk buat rawatan rambut di salon seminggu sekali. Sebab rambut saya kering dan diwarnakan, jadi rawatan rambut memang penting dan perlu dilakukan dengan kadar yang diperlukan.

Pernahkah anda mengalami masalah berkaitan berat badan dan kesihatan?

Pernah, semuanya gara-gara terlalu obses ingin kurus suatu ketika dahulu. Saya pernah tak makan sehari suntuk sampai kena gastrik yang teruk dan dimasukkan ke hospital.

Bila tahu sakitnya macam mana bila kena gastrik dan masukkan ubat dalam badan ni, saya tak mahu buat macam tu lagi dan pilih untuk amalkan diet secara sihat.


Tips anda kepada pembaca untuk kekal cantik dan sihat?

Kalau nak ikutkan, saya pun bukanlah seorang yang memiliki badan langsing semula jadi. Saya pernah berbadan besar. Jadi, kita kena letak target berapa berat badan ideal yang ingin kita capai sebagai motivasi.  Dan pastikan benda yang kita buat tu sihat dan konsisten.

Selain itu, jangan ambil pil pelangsing sebab ia menimbulkan kesan sampingan dalam jangka masa panjang. Sebab saya pun pernah ambil pil-pil macam tu juga, kesannya terasa bila rambut saya mula gugur. Jadi, saya tak galakkan orang ambil pil untuk kurus.

Paling penting, kena minum banyak air dan bersenam sebab tiada jalan pintas untuk kurus.

Apa perkembangan terbaru anda?

Projek lakonan saya yang sedang ditayangkan adalah filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya? dan drama Suamiku Jururawat Isteriku Doktor. Selain itu, saya bakal menjalani penggambaran telefilem Raya untuk Astro.

Penampilan khas Wawa- Aeril

Posted: 06 Jun 2014 02:50 AM PDT


  • Penampilan khas Wawa- Aeril

BERSEMPENA sambutan ulang tahun TV3 yang ke-30 pada Jun ini, saksikan sebuah drama eksklusif, Cerita Cinta Kita yang bersiaran setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam mulai 4 Jun.
Lebih istimewa, drama bersiri 22 episod ini merupakan gandingan pertama pasangan suami isteri, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal di skrin TV.

Cerita Cinta Kita terbitan Orangetree Production diarahkan pengarah Azmi Hatta dan hasil nukilan skrip oleh Zarihah Hassan turut membariskan pelakon popular seperti Dazrin Kamarudin, Almy Nadia, Ika Nabila, Erry Putra, Liza Abdullah, Dilla Ahmad, Razak Ahmad, Datuk Eizlan Yusof, Arash Mohd dan Sherlie Merlis.

Drama bersiri yang berlatar-belakangkan tahun 80-an ini, menyingkap sebuah cinta agung antara Adam (Aeril Zafrel) dan Salmah (Wawa Zainal). Semarak cinta mereka bermula ketika Adam berumur 24 tahun, manakala Salmah berusia 19 tahun sehingga ke usia tua walaupun mereka berdua terpaksa mengharungi pelbagai dugaan untuk bersatu.

Keluarga Salmah membantah hubungan cinta mereka kerana perbezaan darjat. Ketika itu, Salmah sedang menuntut di sebuah Maktab Perguruan. Dalam usaha memisahkan Adam dan Salmah, keluarga Salmah telah membawa Salmah pulang dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur. Adam dan Salmah telah menulis surat untuk terus berhubung tetapi sayangnya surat-surat tersebut telah ditahan dan disimpan oleh ibu Salmah, Melati.

Lima tahun berlalu tanpa khabar berita tetapi Adam tetap merindui dan mencintai Salmah. Namun Salmah pula, menganggap Adam telah melupakannya. Dia yang kini bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital telah dijodohkan dengan Dr Khairudin (Dazrin Kamarudin).

Pertemuan semula Adam dan Salmah, telah memberikan harapan kepada Adam. Mereka kembali berhubung tetapi menjaga batas pergaulan. Bagaimanapun Salmah dan Dr Khairudin terlibat dalam kemalangan, sehingga meragut nyawa suaminya.

Salmah pula hilang tempat bergantung. Demi cinta, Adam sanggup berulang alik menjaga Salmah.

Namun kebahagiaan yang dinikmati oleh Adam dan Salmah tidak berpanjangan kerana ingatan Salmah semakin merosot.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama bersiri yang mengusik kalbu ini pada setiap hari Rabu dan Khamis jam 9.00 malam mulai 4 Jun 2014.

Minta diberi ruang, akan buang gambar lama

Posted: 06 Jun 2014 02:49 AM PDT


  • Felixia YeapFelixia Yeap

MUNGKIN akibat terlalu banyak desakan peminat, Felixia Yeap akhirnya dalam proses membuang gambar-gambar lamanya di laman sosial Facebook.

"Gambar-gambar lama tu saya akan delete (padam), tapi ianya akan makan masa berminggu-minggu (tanpa kerja atau buat kerja lain) ...kerana ianya adalah gambar dari tahun 2010/2011 sehingga sekarang, jadi bukan satu dua gambar, tapi beribu-ribu," kata beliau di Facebook.

"Buat masa ni saya masih tidak stabil dari segi kewangan, dan perlu tumpukan perhatian dalam kerja, selain daripada luangkan masa untuk belajar mengenai agama Islam," tambah beliau lagi.

Menurut Yeap, gambar-gambar lama beliau merupakan bukti perubahan dirinya dan diharap menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai.

"Diminta janganlah 'Like' gambar-gambar lama tu. Yang itu (gambar) adalah dulu, saya sekarang dah bertaubat," ujarnya lagi.

Yeap juga berharap peminat tidak terlalu mendesak dan tekanan dari orang ramai berkurangan.

Rata-rata respon peminat menyarankan Yeap bersabar dengan dugaan yang melanda

"Be strong Felixia Yeap. Kadangkala ALLAH hilangkan mentari... kemudian Dia datangkan guruh...puas kita menangis... mencari mana mentari kita... rupa-rupanya ALLLAH nak hadiahkan kita pelangi yang indah.

Oleh itu sabarlah duhai insan, ada kemanisan disebalik kepahitan. InsyaALLAH.." antara respon pelayar yang membaca luahan hati bekas model tersebut.

"Pada yang di luar sana jangan menilai manusia itu dari kisah silamnya. Islam itu mudah, jangan kita susahkan dan sukarkan pada mereka yang ingin mengenal Islam.

Cermin diri kita sendiri yang sedia Islam, adakah kita sudah menjadi contoh pada mereka? Ramai di luar sana yang sedia Islam dan lahir dalam Islam yg masih 'bertelanjang' auratnya..kenapa tidak menegahnya?

Berilah kesabaran anda pada Felixia Yeap agar dia terus kuat," tulis seorang lagi peminatnya.

Untuk rekod, Yeap pernah menyatakan yang tidak akan membuang gambar lamanya atas sebab ianya hasil kerja keras beliau semenjak berkecimpung dalam bidang peragaan pada 2005.

"Juga sebagai peringatan mengapa saya memilih untuk berhijab," katanya di dalam blog beliau dalam sebuah entri bertarikh 16 Disember.

Yeap yang merupakan bekas model Playboy Bunny mula berhijab akhir Disember tahun lalu. Semenjak dari itu,  dia aktif dalam memperagakan busana Muslimah dan terlibat dalam beberapa program diskusi agama.

Langgan azimat untuk laris jualan

Posted: 06 Jun 2014 02:46 AM PDT


  • Azimat yang mudah didapati di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.Azimat yang mudah didapati di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Biarpun jelas syirik dan tergolong dalam dosa besar, namun masih ada segelintir yang percaya dengan kehebatan tangkal dan azimat.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kedai Payang, di sini mendapati tangkal atau azimat begitu mudah diperoleh kerana ia dijual secara terbuka di kaki lima pasar berkenaan.

Hasil temu bual dengan seorang lelaki yang sedang menjual batu permata di pasar itu memberitahu, kebiasaannya pelanggan yang datang membeli azimat adalah mereka yang terbabit dalam perniagaan.

"Pelanggan biasanya akan terus datang dan tanya harga apabila mereka melihat azimat ini.

"Saya tidak perlu menceritakan kebaikan atau kelebihan sesuatu azimat yang dipamerkan kerana mereka seakan sudah mahir dengan cara dan penggunaannya," katanya yang hanya mahu dikenal sebagai Salleh.

Hairan dengan situasi yang dialaminya itu, adakalanya Salleh bertanya kepada pembeli azimat yang dijual mengapa mereka memerlukan barangan itu.

"Selalunya mereka beritahu saya, azimat itu digunakan sebagai pelaris untuk perniagaan yang diusahakan," katanya.

Menurut Salleh yang berusia 50-an, azimat dijual dengan harga dari RM75 hingga lebih RM200 itu, didapati dari luar Terengganu.

Anggap bukan benda mengarut

Apabila ditanya berhubung amalan syirik kerana menjual azimat, dia mendakwa ia tidak salah kerana azimat yang dijual menggunakan ayat suci al-Quran malah ada pantang larangnya.

"Azimat ini kena letak di tempat yang tinggi dan tidak boleh dilangkah.

"Biasanya pelanggan letak atas meja dekat kaunter atau rak. Kalau digunakan dalam kereta pula, mereka perlu memastikan tempat itu tidak dilangkah," katanya.

Kata Salleh, azimat yang dijual tidak menggunakan pengaruh jin, tetapi ayat suci al-Quran.

"Azimat ini mana ada jin? Semuanya guna ayat suci al-Quran. Bukan ada benda-benda mengarut. Sebagai umat Islam kita jangan terlalu bergantung kepada azimat semata-mata," katanya.

Dibeli orang kenamaan
Sementara itu, seorang penjual ubat-ubatan sunnah dikenal sebagai Razaiman berkata, fosil bio tenaga yang dijual bernilai RM1,500 hasil gabungan bahan yang diambil daripada bahagian atas bahtera Nabi Nuh AS di Bukit Al Judi, Ararat, Turki, adalah paling laris.

"Kebanyakan fosil yang dijual ini dibeli oleh golongan atasan, termasuk mereka yang bergelar tan sri dan datuk, untuk meningkatkan aura zahir dan batin.

"Fosil ini amat terhad kerana seluruh dunia mahukannya dan agak sukar dibawa masuk ke negara ini dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Katanya, barangan yang dijual itu boleh didapati pada masa tertentu sahaja kerana sangat terhad dan prosesnya yang memakan masa.

Menurut Razaiman, sebelum dijual, fosil itu akan diuji terlebih dahulu dari segi aura atau tenaga yang ada di dalamnya dengan menggunakan alat khas yang sering digunakan oleh pengamal perubatan.

"Alat itu seperti pen penguji. Apabila diletakkan di atas fosil, jika ia menyala, menunjukkan fosil itu berfungsi dan baru boleh jual.

"Fosil ini juga sesuai bagi hilangkan penyakit sihir dan untuk jadi pelindung diri," katanya.

Perlu bertaubat

Pengamal perubatan Islam yang hanya mahu dikenal sebagai Ustaz Faizal mendakwa dia dapat mengesan sesuatu penyakit hanya dengan membaca ayat suci al-Quran dan tidak pernah menggunakan tangkal, azimat atau jin dalam perubatannya.

"Biasanya pesakit saya disuruh minum air yang telah dibacakan ayat suci dan sekiranya ada perkara buruk berlaku kepada pesakit seperti muntah darah dan sebagainya, saya dapat tahu punca dan sebabnya.

"Tetapi bukan semua pesakit yang saya rawat boleh sembuh. Semuanya dengan izin ALLAH SWT dan dalam perubatan ini saya akan gunakan air yang telah diproses berasaskan makanan sunnah, termasuk menambah beberapa bahan lain yang mempunyai khasiatnya tersendiri," katanya.

Pesakit juga diberi nasihat supaya mengamalkan ayat al-Quran tertentu, perlu yakin apabila mengamalkan bacaan itu serta wajib melakukannya secara istiqamah.

Bercerita mengenai penggunaan jin atau azimat dalam perubatan, Ustaz Faisal berkata, amalan itu jelas dilihat sebagai amalan syirik dan mereka yang mengamalkannya patut bertaubat.

"Dalam Islam sendiri, Rasulullah SAW bersabda, Hendaklah kamu menggunakan dua perkara untuk penyembuh, iaitu al-Quran dan madu lebah," katanya.

Kundur gergasi saiz kanak-kanak

Posted: 06 Jun 2014 02:43 AM PDT


  • Mohd Zain dengan sebahagian kundur yang tumbuh di tepi rumahnya.Mohd Zain dengan sebahagian kundur yang tumbuh di tepi rumahnya.

PADANG BESAR - Seorang penoreh getah terkejut apabila buah kundur yang tumbuh di tepi rumahnya bersaiz gergasi menyamai saiz kanak-kanak berusia dua tahun.

Mohd Zain Mat Isa, 64, berkata, dia mula menyedari pokok kundur itu tumbuh sejak awal tahun  ini namun tidak menyangka saiznya membesar seperti itu namun dia tidak pernah menimbang berat dan mengukur saiz buah berkenaan.

"Apabila saya tengok ada pokok kundur tumbuh saya pun memacak buluh dan kayu supaya pokok ini dapat menjalar, tetapi saya tak sangka bila hujan mula turun pada hujung Mac baru-baru ini, buah ini semakin membesar.

"Kini umur buah kundur ini sudah hampir lima bulan dan semuanya bersaiz besar, sebiji kundur ini saya dah beri kepada seorang rakan manakala empat biji lagi saya berhajat untuk berikan kepada jiran saya untuk majlis kenduri kahwin anaknya tidak lama lagi," kata Mohd Zain ketika ditemui di  rumahnya di Felda Mata Ayer di sini, semalam.

Menurutnya, kundur itu kini menjadi perhatian orang ramai terutamanya pada musim cuti sekolah.

"Ramai yang datang tengok semasa cuti sekolah ini malah ada orang dari luar seperti dari Kuala Lumpur dan Pahang yang datang ke sini untuk makan kenduri turut singgah melihat dan bergambar dengan kundur ini.

"Saya tak pasti bagaimana pokok ini boleh tumbuh, semasa kenduri anak saya tahun lepas ada hidangan gulai kundur, mungkin orang yang menyediakan gulai kundur ini membuang biji kundur ke atas tanah bersebelahan rumah ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Perlis Zulkifli Amin Yusuf  ketika dihubungi berkata kundur gergasi tersebut juga dikenali sebagai beligu ataupun nama saintifiknya Benincasa Hispida yang berasal dari Asia Tenggara.

Katanya buah kundur dari jenis tersebut boleh mencapai berat sehingga 20 kilogram (kg) namun mengikut lokasi seperti kawasan iklim Mediterranian di Israel, kundur itu boleh mencecah sehingga 50kg.

Cacat tak halang masuk universiti

Posted: 06 Jun 2014 02:41 AM PDT


  • Kecacatan dialami Mohammad Zulkifli tidak menghalangnya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.Kecacatan dialami Mohammad Zulkifli tidak menghalangnya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

SERI ISKANDAR - Walaupun keadaan diri tidak sempurna namun tidak menjadi halangan kepada seorang mahasiswa untuk memegang segulung ijazah seperti orang lain.

Mohammad Zulkifli Nordin berasal dari Felda Areng, Gua Musang Kelantan antara 2,544 pelajar  yang mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Kampus Seri Iskandar pada 3 Jun lalu.

Dia yang mengalami kecacatan anggota iaitu dilahirkan tanpa tangan mahu membuktikan kecacatan itu menjadi penghalang untuknya meneruskan pengajian di menara gading dalam bidang Diploma Pengurusan Hartanah.

"Kita sedia maklum masyarakat kebiasaannya menanam kepercayaan insan cacat seperti saya tidak mampu mencapai kejayaan namun saya mahu mengubah persepsi berkenaan," katanya.

Lebih membanggakan, anak ketujuh daripada lapan beradik itu satu-satunya ahli keluarga yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Jelasnya, dia mahu berusaha bersungguh-sungguh demi memenuhi cita-cita dan harapan keluarganya malahan mahu meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Keluarga saya banyak memberikan sokongan dan dorongan agar saya berjaya dalam pelajaran sekali gus memenuhi impian saya untuk menjadi pensyarah.

"Saya juga terharu layanan mesra rakan-rakan dan sikap prihatin UiTM terhadap keperluan saya sebagai insan cacat untuk belajar di situ," katanya.

Anak peneroka itu juga sedar hanya melalui ilmu sahaja yang dapat menjamin kehidupan lebih cemerlang pada masa hadapan.

Keistimewaan anak kepada pasangan Nordin Ismail, 52 dan Latifah Isa, 56 ini adalah dia mampu bermain sepak takraw dan bola sepak setanding dengan rakan-rakan lain.

Cipta logo UiTM guna dodol

Posted: 06 Jun 2014 02:40 AM PDT


  • Logo UiTM terbesar menggunakan dodol dicacatkan di dalam Malaysia Guinness Book Of Record.Logo UiTM terbesar menggunakan dodol dicacatkan di dalam Malaysia Guinness Book Of Record.

BUKIT PALAH - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka Cawangan Kampus Bandaraya berjaya mencipta logo UiTM terbesar menggunakan dodol sempena Karnival Keusahawanan dan Kesenian Islam yang akan bermula hari ini sehingga 8 Jun ini di Pusat Islam, Melaka.

Lebih manis lagi, apabila hasil usaha sempena ulang tahun ke-30 UiTM Melaka itu berjaya dicatatkan di dalam Malaysia Guinness Book of Record.

Menurut Penolong Rektornya, Dr Ismadi Md Badarudin, usaha yang julung kali diadakan itu itu menggunakan sebanyak 37,400 bekas plastik dodol bersaiz kecil dan ia dijalankan oleh 40 pelajar dari pelbagai fakulti.

"Usaha ini berjaya dilakukan selama dua jam setengah sebelum terhasilnya logo UiTM yang tertera '30 Tahun UiTM' bersaiz 5.3 meter x 8.2 meter di ruang lobi, Pusat Islam Melaka" katanya selepas menerima sijil dari wakil Malaysia Guinness Book Of Record, Suhaila Shamsudin di sini, semalam.

Turut sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Md Zin Mansor dan Ketua Projek Pembinaan Logo tersebut, Maizatul Saadiah Mohamad.

 Tambah Dr Ismadi, pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM13,400 bagi menjayakan program berkenaan.

"Kesemua dodol yang digunakan ini akan dijual kepada orang ramai dengan harga RM10 bagi 10 bekas dan setakat ini sebahagiannya sudah ditempah lebih awal, sementara bakinya akan dijual di Karnival Keusahawanan dan Kesenian Islam bermula dari 6 hingga 8 Jun ini.

"Sementara hasil jualan, sebahagiannya akan disumbangkan kepada Aman Palestin manakala sebahagian lagi kepada Mengubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB) suatu badan yang ditubuhkan UiTM bagi membantu pelajar miskin dan lemah melanjutkan pelajaran," katanya.

Graduan kejuruteraan pilih kelulut

Posted: 06 Jun 2014 02:36 AM PDT


  • Madu yang dihasilkan dibotolkan dalam dua saiz sebelum dijual kepada pelanggan.Madu yang dihasilkan dibotolkan dalam dua saiz sebelum dijual kepada pelanggan.

HULU TERENGGANU - Biarpun mempunyai diploma Kejuruteraan Elektronik daripada Politeknik Kuala Terengganu, seorang belia memilih untuk terjun ke bidang ternakan dengan mengusahakan lebah kelulut di Kampung Padang Tara, di sini.

Mohd Fakrullah Mohd Apandi, 24, kini mampu tersenyum lebar setelah ternakan yang diusahakan bermula sekitar 2010 menunjukkan perkembangan membanggakan.

Berkongsi kisah, anak kedua daripada lima beradik bagi pasangan Mohd Apandi Sidek, 53, dan Hasmah Mat Ali, 53, itu berkata, walaupun peringkat awalnya dia tidak mempunyai minat, namun segalanya berubah setelah saban hari dia berjinak dengan kelulut.

"Sebelum ini saya langsung tak ada pengetahuan atau pengalaman berkaitan ternakan lebah kelulut, tapi hasil idea ayah dan sokongannya berikan saya semangat.
"Rakan sekerja ayah yang juga kakitangan Mardi juga banyak membantu pada peringkat permulaan," katanya.


Ternak di sekeliling rumah

Mohd Fakrullah berkata, berbekalkan RM500 suntikan modal daripada ayahnya, dia mula mengorak langkah dengan hanya mengusahakan sekotak koloni atau sarang di hadapan rumah.

Dia juga membuat sendiri sarang kelulut menggunakan kayu sebagai salah satu cara menjimatkan kos.

"Secara beransur-ansur bilangan koloni ditambah dan sehingga kini ada 80 kotak koloni yang ditempatkan bukan sahaja di sekeliling rumah saya, tetapi di rumah penduduk lain di kampung ini yang sudi membantu saya dari aspek lokasi," katanya.

Sejak menceburkan diri dalam bidang tersebut, Mohd Fakrullah mengakui kehidupannya sudah berubah kerana selain menguruskan ternakan, dia juga perlu menambah pengetahuan dalam pelbagai perkara berkaitan bagi memastikan usaha dilakukan membuahkan hasil.


Hasrat komersialkan hasil

Memandangkan masih baru, hasil madu lebah kelulut berkenaan hanya dipasarkan kepada kenalan dan penduduk kampung yang sering bertandang ke rumahnya.
"Buat masa ini, saya hanya botolkan madu dalam dua saiz dengan harga RM60 bagi 220 gram dan RM80 untuk 320 gram.

"Biasanya madu diambil sekitar dua bulan sekali daripada koloni, tapi secara purata kira-kira dua kilogram sebulan madu dapat dikumpulkan," katanya.

Menurutnya, setakat ini permintaan sentiasa ada dan memang menjadi hasratnya untuk memasarkan madu berkenaan secara komersial, namun dia perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara termasuk aspek pengeluaran bagi memastikan dapat memenuhi permintaan pelanggan.

"Selain hasilkan madu, sasaran saya juga dari aspek pembiakan koloni atau sarang.

"Sokongan padu keluarga khususnya ayah, penduduk kampung sebenarnya banyak membantu saya untuk mencapai ke tahap sekarang walaupun masih baru," katanya.
Dapat bantuan penduduk kampung

Menyentuh mengenai cabaran dihadapinya, Mohd Fakrullah berkata, selain kekurangan modal, dia juga berdepan situasi kelulut 'lari' berikutan kekurangan bunga di sekeliling rumahnya.

"Sejak empat bulan lalu, kira-kira tiga penduduk bersetuju menjadikan kawasan rumah mereka sebagai lokasi untuk menempatkan koloni. Beberapa individu lain juga telah menyatakan persetujuan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha JKKK Padang Tara, Mohd Rosdan Draman berkata, ternakan lebah kelulut merupakan salah satu produk kampung,  sekali gus menjadi identiti bagi kampung berkenaan.

Dengar orang mengaji tengah laut

Posted: 06 Jun 2014 02:30 AM PDT


  • Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Che Wan Mohd Radzi walaupun agak keletihan ketika tiba di jeti Seberang Takir, awal pagi semalam.Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Che Wan Mohd Radzi walaupun agak keletihan ketika tiba di jeti Seberang Takir, awal pagi semalam.

DUNGUN - "Jangan putus asa, ingat segala kejadian mesti ada hikmahnya, kita mesti bertawakal, jangan putus  berdoa selain berikhtiar dengan apa cara sekalipun, dalam situasi seperti ini tiada siapa yang dapat menolong kita kecuali ALLAH," kata Che Wan Mohd Razi Che Wan De, 48.

Che Wan Mohd Razi adalah seorang daripada tiga nelayan yang terselamat selepas bot pukat tunda dinaiki mereka dihanyutkan arus sebaik dilanggar kapal besar ketika keluar menangkap ikan di perairan Dungun pada 26 Mei lalu.

Menceritakan kembali detik sebelum tragedi, Che Wan Mohd Razi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam pada hari ketiga mereka berada di laut untuk menangkap ikan.

Menurutnya, ketika itu botnya sedang berlabuh di perairan Kerteh sebelum tiba-tiba dilanggar sebuah bot pukat tunda besar dipercayai berpangkalan di Kuantan, Pahang menyebabkan botnya terhuyung-hayang lalu mengambil keputusan memotong sauh bagi mengelakkan bot karam.

"Selepas perlanggaran itu, saya cuba hidupkan enjin bot untuk pulang ke pangkalan, tapi gagal kerana masalah bateri.

"Walaupun ketika itu baru dapat satu bakul hasil tangkapan, kami terpaksa batalkan niat menangkap ikan setelah bot rosak," katanya.

Bot yang berpangkalan di jeti Nibong Bawah, Dungun itu akhirnya secara perlahan-lahan dihanyutkan arus ke tengah laut sehingga masuk hari kelima.


Tidak putus berdoa

Kata Che Mohd Wan Razi, sepanjang tempoh berkenaan, mereka tidak putus berdoa agar muncul bot lain bagi memberikan bantuan, selain berusaha memberikan isyarat melalui pelbagai cara termasuk menyalakan lampu suluh dan melaung sekuat hati, namun semuanya hampa.

Dia juga cuba menghubungi keluarga dan rakan lain melalui telefon bimbit, bagaimanapun tiada isyarat talian.

"Kami hanya bertemankan lampu suluh setelah lampu bot gagal dinyalakan kerana masalah bateri.

"Dalam keadaan seperti itu, kami juga terpaksa makan secara berjimat untuk mengelakkan makanan habis," katanya.

Menurutnya, dia dan dua lagi rakannya berjaga secara bergilir untuk memberikan isyarat setiap kali ternampak bot yang melintas, namun semuanya hampa kerana isyarat yang diberikan melalui cahaya lampu suluh gagal dilihat.

Katanya, dalam masa tiga jam, bot mereka dihanyutkan kira-kira dua batu nautika ke tengah lautan dan dalam masa lima hari, bot sudah hanyut kira-kira 18  batu nautika dari lokasi pertama sauh putus.


Hati berasa sayu

"Saya tak takut mati, cuma hati rasa sayu melihat kejadian Tuhan, malah merasakan apa yang berlaku seolah-olah satu cerita.

"Dalam situasi itu, saya terus berdoa sehinggalah saya berjaya ditemui," kata tekong bot itu.

Bagaimanapun Che Wan Mohd Razi berkata, saat paling menyentuh perasaannya ketika berada di tengah lautan apabila dia tiba-tiba terdengar suara orang mengaji al-Quran sebaik masuk waktu Subuh pada hari ke tujuh dan hari terakhir sebelum botnya ditemui.

Katanya, ketika itu, hatinya tiba-tiba berasa sayu, apatah lagi melihat kebesaran Tuhan dengan lautan yang meluas dan jarak lokasi ketika itu kira-kira 90 batu nautika dari perairan Seberang Takir Kuala Terengganu dan 20  batu nautika dari sempadan perairan Laos.

Di saat itulah, dia berdoa sekali lagi agar ditunjukkan jalan keluar menemui daratan sebelum botnya ditemui kira-kira jam 10 pagi, kelmarin, oleh sebuah bot tempatan yang keluar untuk memancing ikan.

"Sebaik ternampak bot itu, kami melambaikan tangan. Bot kami kemudian ditunda hingga ke jeti Seberang Takir sebelum pulang ke sini (Dungun)," katanya.


Isteri bersyukur suami selamat

Isteri Che Wan Mohd Razi, Azizah Mohamed Abdullah, 43, berkata, dia tidak dapat meluahkan perasaan gembiranya, selain bersyukur kepada Tuhan kerana suaminya berjaya diselamatkan selepas 10 hari hilang di laut.

Katanya, dia menerima berita gembira itu kira-kira jam 5.30 pagi semalam sebaik suaminya sampai di jeti Seberang Takir.

"Akhirnya Tuhan makbulkan doa saya selepas masuk hari kesebelas dia hilang. Saya bersyukur pada Tuhan kerana dia selamat dan dapat meneruskan kehidupan bersama kami," katanya.

Azizah berkata, walaupun tragedi itu menimpa suaminya, dia tidak akan menghalang suaminya untuk terus menjadi nelayan kerana hanya itu sumber pendapatan  mereka sekeluarga.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ahmad Che Ngah, 39, berkata, dia bersyukur kerana berjaya kembali ke pangkuan keluarga selepas 10 hari hanyut di tengah lautan.

Katanya, pengalaman berada di tengah laut dalam situasi mencemaskan itu paling bermakna baginya sepanjang menjadi nelayan.


Operasi mencari dihentikan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Ahmad Zailani Yaacub berkata, berikutan penemuan tiga nelayan hilang itu, operasi mencari dihentikan serta-merta dan pihaknya melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang menziarahi ketiga-tiga mangsa turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha menjejaki tiga nelayan hilang itu.

Wan Hassan yang turut menganjurkan solat hajat berkata, semua pihak harus mengambil iktibar daripada kejadian itu dan sentiasa berserah kepada ALLAH SWT setiap kali ditimpa musibah.

Hadir sama menziarahi mangsa ialah Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik; Pengerusi Penyelaras Dun Sura yang juga Pengerusi JKKK Tanjung Pagar, Azmi Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Mat Yassim Mohamed.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Che Wan Mohd Radzi bersama dua awak-awak, Wan Kamarudin Wan Ali, 52 dan Ahmad Che Ngah dilaporkan hilang setelah keluar menangkap ikan di Perairan Pulau Tenggol, Dungun pada 26 Mei lalu.

Bagaimanapun selepas 10 hari dihanyutkan di tengah laut, mereka berjaya diselamatkan nelayan tempatan kira-kira jam 10 pagi, kelmarin, sebelum bot mereka ditunda dan tiba di jeti Seberang Takir, jam 5.30 pagi semalam.

Karier, keluarga dan kecantikan Fauziah

Posted: 06 Jun 2014 02:27 AM PDT


FAUZIAH LATIFF tidak mahu terburu-buru melakukan konsert kerana berpendapat dirinya perlu mempunyai stamina yang bagus serta pasukan produksi yang cekap untuk mendapatkan sebuah konsert yang meninggalkan impak.


BELIAU tidak banyak meluncurkan butir perkataan sepanjang berbicara, adakalanya tersenyum simpul dan banyak merendah diri. Lagaknya seperti enggan ditemu bual tapi selepas diajak untuk bersembang kosong, Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa Jee seraya melabuhkan punggung di kerusi berdepan dengan penulis.
Katanya, tiada apa untuk diceritakan. Beliau mengaku bukan lagi sepopular dahulu dan serunya agar menemubual pelakon atau penyanyi yang lebih tersohor masa kini.
"Zaman saya sudah berlalu, biarlah adik-adik saya pula yang merasa popular. Kalau ditanya tentang perkembangan pun tidak banyak yang dapat saya kongsikan," luahnya dalam nada merendah diri.
Mana mungkin seorang penyanyi yang dahulunya menjadi fenomena dalam industri hiburan tiada yang ingin dikongsikan?
Bermula dengan tanya khabar, susur galur cerita berkembang pelbagai kisah semasa dan impian seorang Fauziah Latiff.
"Acara saya sekarang lebih tertumpu pada jemputan korporat, selain itu lebih kepada membesarkan kedua-dua anak saya.
"Bukan tidak mahu membuat kemunculan semula tapi saya fikir masa saya sudah berlalu.
"Saya pernah berada di tempat yang mana saya sering menjadi tumpuan. Ke mana saja pergi, apa-apa yang saya buat semua mahu diperhatikan. Ya, itulah kuasa populariti," katanya ketika diajukan mengenai impian untuk membuat kemunculan semula.
Konsert
Sepanjang kariernya, Jee atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff baru dua kali beraksi di pentas teater iaitu Teater Muzikal Tun Abdul Razak dan Rubiah namun tidak berpeluang untuk sebuah konsert mega atas tiket diri sendiri.
SEKIAN lama memegang status ibu tunggal, penyanyi ini memberitahu, dia masih belum mempunyai keinginan untuk berkahwin semula atas alasan sunyi.


Mempunyai rangkaian lagu hit yang malar segar hingga kini, aura, pesona, kredibiliti dan pengalaman rasanya sudah menjadi ramuan lengkap untuk beliau menjayakan sebuah konsertnya sendiri.
Mengulas mengenai impian itu kata Jee, untuk menjayakan sesebuah konsert adalah cita-cita teragung baginya namun dia perlu realistik.
"Saya seorang yang mementingkan kesempurnaan! Untuk menjayakan konsert, saya sendiri perlu mempersiapkan diri daripada segi fizikal dan mental saja selama enam bulan.
"Itu belum masuk aspek teknik yang perlu lebih banyak dipertimbangkan dengan lebih teliti.
"Kalau mahu membuat konsert saya tidak mahu stamina saya nanti diperkatakan. Risau juga nanti tidak cukup latihan saya pula dibilang senang pancit," ujarnya.
Beliau menjadikan contoh Konsert Anuar Zain; Muzik, Cinta & Sanubari tahun lalu sebagai sebuah inspirasi dan penanda aras sekiranya benar dia mahu melaksanakan impiannya itu.
Malah, kekhuatiran mengenai masalah mendapatkan penganjur bukan alasan utama Jee sementelah beliau beberapa kali pernah disunting oleh syarikat besar untuk penajaan konsert.
Berkongsi sedikit perkembangan terkini, kata Jee beliau sedang dalam proses perbincangan dengan beberapa komposer untuk merakamkan single terbaharunya.
Keluarga dan cinta
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya enggan mengulas lanjut mengenai gosip terdahulu yang mengaitkannya dengan golongan kerabat.
Jelasnya, perkara itu (gosip) sudah berlalu sekian lama dan dia kini lebih selesa dengan kehidupan sendirian.
"Sunyi? Mana mungkin. Kedua-dua anak lelaki saya Jeffry dan Jeremy sentiasa ada untuk saya.
"Lagipun, saya sudah terbiasa dengan kehidupan begini. Untuk mencari teman hidup rasanya belum sampai masanya lagi," tegas penyanyi kelahiran Perak itu.
Untuk lari daripada terlalu memikirkan soal peribadi, Jee cenderung untuk menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti termasuk mengusahakan bisnes produksi belakang tabir.
Sebelum ini, Jee pernah mendirikan rumah tangga dengan Johan Indot pada tahun 1997 tapi bercerai pada tahun 2007.
Menerusi perkahwinan itu beliau dikurniakan dua cahaya mata iaitu Jeffri Joaquim Indot, 15, dan Jeremy Jay Indot, 13.
JEE mengaku dia lebih menumpukan kepada amalan pemakanan dan aktiviti harian untuk kekal sihat dan kelihatan muda.


Motor besar
Aktiviti lain kata Jee, adalah rutin sediakala bersama Lady Bikers Malaysia yang tidak pernah sepi daripada pelbagai agenda.
"Kalau bosan-bosan kami akan berkumpul beramai-ramai dan membincangkan pelbagai hal. Memandangkan semuanya sudah menjadi kawan rapat rasanya tidak kekok untuk bersembang pelbagai cerita.
"Jika teringin untuk berjalan jauh, kami beramai-ramai akan konvoi ke destinasi tertentu seperti Pahang, Melaka dan Johor dalam waktu-waktu tertentu," kongsinya.
Berdepan dengan pelbagai risiko terutama apabila melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi wanita, Jee mengakui beliau masih perlu banyak belajar.
"Saya bukanlah penunggang profesional, malah aktiviti ini pun sekadar hobi.
"Memang sejak kebelakangan ini banyak berlaku kejadian tidak diingini membabitkan penunggang motosikal berkuasa besar tapi doa saya agar dijauhkan daripada sebarang malapetaka setiap kali sebelum menunggang.
"Malang itu tidak berbau jadi saya sendiri perlu memastikan langkah keselamatan diikuti," ujarnya yang pernah menunggang motorsikal berkuasa besar ke Phuket, Thailand.
Kecantikan
Seri yang tidak lekang dimamah usia itulah tafsiran yang paling tepat untuk diri wanita anggun ini.
Biarpun sudah memasuki usia 44 tahun, wajahnya tidak banyak berbeza daripada usia mudanya. Adakah mungkin Jee mengamalkan resipi kecantikan tertentu?
"Saya dahulu memang suka makan masakan pedas, makin banyak cili makin saya suka. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini saya perlu lebih mengawal pemakanan saya.
"Tiada sebarang resipi tertentu pun, paling tidak saya mengambil jamu untuk kesihatan dalaman wanita. Selain itu, suplemen seperti Vitamin C dan zat besi penting untuk saya yang aktif bergerak sana sini.
"Tidak cukup dengan menjaga makan, amalan kesihatan seperti bersenam juga perlu," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai keperluan pembedahan kosmetik.


Kemahiran wanita Pakistan diiktiraf

Posted: 06 Jun 2014 02:24 AM PDT




WANITA Pakistan itu tidak pernah kenal kapten bola sepak Argentina, Lionel Messi. Negaranya juga langsung tidak tersenarai untuk berentap pada Piala Dunia 2014. Namun, Gulshan Bibi, ibu kepada lima orang anak itu tidak sabar menunggu ketibaan pertandingan bola sepak paling berprestij di dunia tersebut. Ini kerana, dia turut terlibat secara tidak langsung iaitu menghasilkan bola yang dikenali sebagai Brazuca.
Apabila Brazil dan Croatia beraksi pada perlawanan pembukaan di bandar terbesar di Brazil, Sao Paulo pada 12 Jun ini, para pemain mungkin menggunakan bola yang dibuat oleh Gulshan dan rakan-rakannya. Mereka bekerja di kilang Forward Sports di bandar Sialkot yang terletak di timur Pakistan.
"Saya memang tertunggu-tunggu musim Piala Dunia dan dengan izin Allah, kami akan menonton perlawanan tersebut nanti. Bola yang kami buat akan digunakan pada kejohanan itu dan semua wanita yang bekerja di sini berasa sungguh bangga," ujarnya.
Pakistan terkenal dalam permainan kriket, namun dalam bola sepak ia menghuni tangga ke-159 dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Di sebalik fakta tersebut, Sialkot masih mampu berbangga. Ini kerana, kilang Forward Sports yang bekerjasama dengan syarikat sukan terkemuka German, Adidas sejak tahun 1995 telah membekalkan bola untuk pelbagai kejuaraan bola sepak terhebat dunia termasuklah Liga Juara-Juara, Liga German Bundes dan terkini Piala Dunia.
Difahamkan, seorang tukang kasut pernah diminta untuk membaiki bola sepak pancit untuk askar Inggeris pada era kolonial dan tidak lama kemudian dia belajar cara-cara untuk menghasilkan bola sendiri.
Begitulah bermulanya sejarah pembuatan bola sepak sehingga menjadi satu industri di negara tersebut.
Eksplotasi
Begitupun, industri pembuatan bola sepak itu tercemar dengan skandal eksploitasi buruh kanak-kanak pada tahun 1990-an sehingga hampir menggugat industri tersebut.
Kini, jenama antarabangsa seperti Adidas menjalankan usaha sama yang rapat dengan kilang dan badan bukan kerajaan untuk memastikan tiada kanak-kanak dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Di Forward Sports, pekerja perlu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan mereka berumur lebih 18 tahun.

MESSI memegang bola Brazuca yang akan digunakan pada Piala Dunia 2014.


Dalam pada itu, bayaran gaji kasar serendah 10,000 rupee (RM546) sebulan kepada pekerja dikhuatiri mempengaruhi kualiti bola Brazuca yang ditetapkan oleh standard piawaian FIFA.
Namun begitu, beberapa pemerhati memberitahu agensi berita antarabangsa, AFP bahawa kilang tersebut menjaga kebajikan pekerjanya dengan baik sekali.
Kilang Forward Sports terletak hanya beberapa meter dari Jalan Grand Trunk iaitu lebuh raya lama yang merentasi Pakistan hingga Kolkata, India.
Jadi tidak hairanlah, dari bangunan itu kedengaran bunyi bising lori dan motosikal yang sarat membawa penumpang seperti ahli keluarga serta ternakan.
Dalam barisan pengeluaran bola Brazuca, kelihatan golongan wanita bertudung dan sebahagian mereka yang berselubung penuh menjalankan tugas dengan tekun dan cekap.
Mereka bermula dengan beberapa keratan poliuretana putih rata berbentuk kincir ditambah dengan warna-warna terang Brazuca dan panel-panel itu kemudian digam pada getah bola.
Selepas itu, lapisan tersebut dirawat dengan menggunakan bahan kimia istimewa dan bola dipanaskan serta dimampatkan dalam pengapit sfera untuk mendapatkan bentuk bola yang sempurna. Haba pula diperlukan bagi mengaktifkan suhu sensitif yang bertindak menggabungkan sebatian bola berkenaan.
Keseluruhan proses bermula dari pembikinan panel rata hingga ke produk akhir mengambil masa selama 40 minit dan kilang itu mampu menghasilkan sehingga 100 unit bola bagi setiap jam. Kepantasan adalah amat penting bagi mengelakkan kotoran masuk ke dalam bola.
Ia merupakan proses berteknologi tinggi bagi Pakistan dengan kebanyakan tenaga kerja mereka tidak berpengalaman dan berpendidikan tinggi. Cukup menyedihkan kerana hampir separuh daripada populasi di negara tersebut tidak boleh membaca dan menulis.
"Kami mengambil pekerja yang tidak berpengalaman dan melatih mereka. Ini merupakan satu pekerjaan yang tidak ada di tempat lain. Anda perlu mencari seseorang yang mempunyai tingkah laku baik dan melatih mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Forward Sports, Khawaja Masood Akhtar.
Pesanan
Sebanyak 90 peratus daripada mereka yang bekerja di kilang Brazuca merupakan wanita. Situasi tersebut cukup asing di Pakistan kerana sebahagian besar wanita di negara itu berada di rumah bersama keluarga.
Membuat Brazuca bukannya mudah bagi Forward Sports kerana Adidas membuat pesanan dalam masa singkat setelah menyedari pengeluar utama di China tidak mampu memenuhi permintaan mereka.
Dalam tempoh hanya lebih sebulan, Forward Sports berjaya memiliki peralatan yang diperlukan untuk membuat Brazuca.
"Ia merupakan satu penghormatan bagi kami. Kami mahu melakukannya," kata Hassan Masood Khawaja selaku Ketua Pembangunan Produk Baharu di kilang tersebut.
Kawalan kualiti adalah penting, kerana perlawanan bola sepak terbesar dunia dan pemain-pemain hebat mahukan peralatan yang terbaik.

BOLA diukur bagi memastikan permukaannya benar-benar sfera.


Di makmal Forward Sports, juruteknik berpakaian putih meletakkan Brazuca seberat 437 gram dan berukuran 69 sentimeter ukur lilit di atas peralatan canggih yang dibawa dari Jerman melalui satu siri ujian.
Satu mesin memutarkan bola itu manakala satu lengan melengkung mengesan permukaannya untuk mengukur 4,500 titik dan menghasilkan bentuk tiga dimensi (3D) pada komputer bagi memastikan ia betul-betul bulat.
Mesin lain yang digunakan adalah bagi mengukur lantunan, rintangan air, acuan dan permukaan bola yang berkilat.
Ketahanan
Ketahanan bola turut diuji dengan teliti. Satu mesin istimewa digunakan bagi menguji ketahanan bola iaitu 3,500 kali ganda tekanan pada jarak 50 kilometer (km) dengan kelajuan 48.2 km sejam.
Brazuca telah direka selepas kontroversi yang menimpa bola Jabulani di Afrika Selatan pada tahun 2010. Ia diselar kerana kualiti tidak konsisten dan bola melayang hingga sukar dijangka.
Ahli-ahli sains membuat kesimpulan bahawa buatan mesin Jabulani terlalu licin dan sfera untuk terbang lurus dengan kecenderungan untuk bergerak perlahan di udara secara tiba-tiba.
Adidas menghabiskan dua tahun setengah dalam bidang penyelidikan untuk menghasilkan bola baharu. Ia diuji di 10 negara dengan 600 pemain dari 30 kumpulan termasuk Messi, pemain England, Steven Gerrard dan pemain Jerman, Bastian Schweinsteiger.
Lapisan dalam dan permukaan bertekstur Brazuca mampu menangani aliran udara ke atas permukaannya sekali gus membantu ia terbang seperti bola tradisonal yang mempunyai 32 panel.
Khawaja berkata, pemain-pemain seperti Messi dan pemain Portugal, Cristiano Ronaldo diharapkan tidak mengalami kejutan negatif ketika beraksi di Brazil.
"Kami mahu bola ini menjadi sama seperti yang mereka guna dalam perlawanan Liga Juara-Juara. Mereka sepatutnya tidak dapat rasakan perbezaannya," katanya.


Lebih 4,000 koleksi kucing

Posted: 06 Jun 2014 02:23 AM PDT




PERASAAN Alviana Effendi, 20, begitu teruja tatkala menjejakkan kaki ke Muzium Kucing di Sarawak buat julung-julung kali. Dia bagaikan tidak percaya apabila muzium itu menghimpunkan lebih 4,000 koleksi dari seluruh dunia yang membabitkan pelbagai jenis bahan dan pameran berkaitan haiwan manja itu.
Dia menatap dari satu koleksi ke satu koleksi. Ternyata, dia kagum dengan maklumat yang diperoleh tentang haiwan yang menjadi kesayangan kebanyakan manusia itu.
Bukan itu sahaja, penuntut Universiti Pertanian Bogor, Jawa Barat, Indonesia itu turut terpesona dengan peribahasa yang dikaitkan dengan kucing seperti malu-malu kucing yang juga dijadikan koleksi di muzium tersebut.
Menurut Alviana yang juga ada memelihara seekor kucing, dia memperoleh banyak maklumat mengenai kucing daripada muzium tersebut yang tidak diketahuinya.
Antaranya termasuklah asal usul nama spesies kucing. Misalnya kucing Siam. "Saya difahamkan, kucing Siam berasal dari Siam, Thailand. Kucing ini dikenali melalui warna bulu yang berwarna krim, telinga, mulut, ekor dan kakinya yang berwarna coklat serta mata berbentuk almond," katanya ketika ditemui.
Alviana, pelajar jurusan pertanian menjelaskan, dia mendapat pelbagai maklumat tentang kucing dari seluruh dunia secara percuma dari muzium ini. Lebih menarik katanya, dia memperoleh maklumat mengenai cara-cara penjagaan kucing.
Namun, katanya pengunjung tidak akan bertemu dengan kucing hidup di dalam muzium ini. Ini kerana bahan pameran terdiri daripada patung, ilustrasi dan maklumat bertulis sahaja," katanya yang berada di Sarawak selama lima hari.
Menurut sejarah lisan, bandar raya Kuching mendapat namanya sempena Sungai Kuching yang mengalir di antara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong. Difahamkan, sungai ini sering dikunjungi kuching hutan dari belukar berhampiran. Sungai tersebut juga berhampiran dengan sebuah bukit yang banyak ditumbuhi oleh pokok buah mata kucing.
Ada juga pendapat mengatakan James Brooke mengambil nama Kuching dari perkataan 'Cochin' yang bermaksud pelabuhan pada zaman itu.

RUANG berbentuk gua yang menjadi tarikan pengunjung.


Kucing awet
Alviana datang ke muzium yang terletak di puncak Bukit Siol, Petra Jaya itu bersama dua rakan senegaranya iaitu Tarmizi Zulkarnain, 21, dan Defi Agustina Agus, 20.
Kesemuanya berkunjung ke Sawarak untuk satu pembentangan kertas kerja di Kuching dan kesempatan itu digunakan untuk melawat Muzium Kucing.
Kepada Tarmizi, dia cukup tertarik dengan kucing yang diawet. Menurutnya, kucing-kucing yang diawet banyak membantunya mengenali spesies kucing-kucing yang jarang ditemui.
"Setiap spesies kucing mempunyai warna, bulu, karakter dan rupa bentuk yang berbeza-beza.
"Pengawetan kucing ini banyak manfaatnya kepada pengunjung untuk melihat ciri-ciri seekor kucing yang tidak pernah kita lihat. Misalnya kucing hutan," katanya.
Pengalaman mengunjungi muzium tersebut kata Tarmizi pasti akan dikongsikan dengan rakan-rakan dan saudara-maranya
"Saya percaya, muzium ini mampu menjadi tarikan utama buat pelancong yang berkunjung ke Sarawak terutama pencinta kucing," ujarnya.
Ada pendapat yang mendakwa Kuching mendapat nama sempena sebatang sungai kecil, Sungai Kuching yang mengalir antara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong. Sungai Kuching pula barangkali memperoleh namanya daripada kucing hutan yang kerap mengunjunginya. Sungai tersebut juga berhampiran sebuah bukit yang banyak ditumbuhi pokok buah mata kucing.
Defi Agustina turut senada dengan kedua-dua rakannya apabila melahirkan keterujaannya menjejak kaki ke Muzium Kucing berkenaan.

ANTARA patung kucing gergasi yang terdapat di Muzium Kucing.


Katanya, selain sarat dengan maklumat berkaitan kucing, pemandangan di luar muzium yang terletak di puncak Bukit Siol juga membolehkan pengunjung melihat pemandangan indah di sekitar pusat bandar raya Kuching.
"Pengalaman berkunjung ke negeri ini buat pertama kali sangat manis terutama ketika mengunjungi Muzium Kucing. Saya difahamkan Muzium Kucing ini merupakan yang pertama ditubuhkan di dunia," katanya.
Dalam pada itu, menurut kepercayaan penduduk tempatan dan masyarakat Cina, kucing adalah haiwan yang membawa tuah kepada sesiapa yang memeliharanya.
Namun, tidak ramai yang tahu mengenai sejarah, keluarga dan asal usul haiwan yang cukup terkenal dengan sifat manja ini.
Selain itu, tidak banyak tempat khusus bagi orang ramai terutama pencinta haiwan berkenaan untuk mendapatkan maklumat berkenaan kucing.

SEBAHAGIAN ekspresi kucing yang dilukis oleh pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi di Sarawak yang dipamerkan di Muzium Kucing.


Koleksi peribadi
Menyedari hakikat itu, kerajaan Sarawak yang ketika itu dipimpin oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memutuskan untuk membina sebuah muzium untuk kucing pada tahun 1993.
Penolong Kurator Muzium Kucing, Bahtiar Affendi berkata, pada peringkat awal, kesemua koleksi yang terdapat di Muzium Kucing diperoleh dari Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Katanya, Muzium Kucing yang diletakkan di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kucing Utara (DBKU) itu akhirnya menjadi kenyataan selepas mereka mendapat tapak sesuai iaitu di aras bawah di Ibu Pejabat DBKU di Bukit Siol, Petra Jaya dan ia dibuka secara rasmi pada November 1993.
"Selain koleksi Muzium Negara, kami juga memperoleh beberapa koleksi peribadi daripada beberapa tokoh terkenal seperti Abdul Taib, bekas Pengarah Muzium Negara, Datuk Shahrom Yeop dan pengumpul koleksi dan pencinta kucing tersohor di Asia kelahiran Shanghai, China mendiang Dr. Betty Jamie Chung. Betty yang kemudiannya berpindah ke Hong Kong keluarga merupakan penulis buku yang bertajuk, Life Recipes From My Mother Timeless Lessons For Living A Contented Life.
"Pada awal pembukaan Muzium Kucing dahulu hanya terdapat 2,000 koleksi dipamerkan dan kini kami mempunyai lebih 4,000 koleksi tidak termasuk stok yang berada di dalam stor kerana ruang pameran yang terhad.
"Kami sentiasa menukar bahan-bahan koleksi dari semasa ke semasa bagi memberi kesegaran kepada bahan-bahan koleksi kami di sini," katanya koleksi paling berharga di muzium tersebut ialah himpunan peribadi Abdul Taib yang terdiri daripada patung-patung kucing yang diperbuat daripada tembaga dan kapur.
Bahtiar yang juga Presiden Kelab Pencinta Kucing Sarawak berkata, di Muzium Kucing terdapat empat ruangan galeri pameran iaitu galeri A, B, C dan D.
Katanya, pelbagai koleksi pameran di muzium itu dapat memberi satu gambaran yang jelas betapa kucing mempunyai keunikan dalam melengkapi kehidupan manusia.
"Pameran ini diharap dapat memaparkan beberapa garis panduan dan pengetahuan terbaharu mengenai kucing untuk difahami serta dihayati oleh masyarakat umum khasnya para pencinta haiwan berkenaan. Sementara itu, Persatuan Pencegahan dan Perlindungan Haiwan Terbiar Sarawak (SSPCA) mendedahkan terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah haiwan terbiar terutama kucing di sekitar bandar raya Kuching, Sarawak ketika ini.
Presiden SSPCA, Dona Drury Wee berkata, dalam kaji selidik yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menjelaskan, SSPCA kini menempatkan lebih 270 haiwan yang sebahagian besarnya adalah kucing.
Kepada yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai SSPCA, sila hubungi talian 082-618 200 atau e-melkan ke sarawakspca@gmail.com.


Redah laut demi sesuap nasi

Posted: 06 Jun 2014 02:21 AM PDT




BELUM kering embun di luar, kaki kecil berselipar melangkah pantas sambil mencantas anak-anak rumput yang masih basah ketika menuju ke jeti sungai Kampung Limpaki, Limbang.
Sambil memegang lampu suluh, anak kecil ini menyuluh ke arah tangan kasar ayahnya yang cuba membuka ikatan tali bot sebelum mengangkat beberapa peralatan menangkap ikan ke dalamnya.
Meskipun cuaca masih sejuk, namun kaki kecil itu terus melangkah masuk ke dalam air sungai. Dia mengerah sedikit tenaganya untuk memanjat di haluan bot sebelum memulakan perjalanan ke laut seperti lazimnya.
"Itu kisah dan pengalaman lima dekad lalu. Masih kecil lagi tetapi selalu teman ayah turun ke laut untuk menangkap udang dan ikan.
"Selepas berpuluh-puluh tahun, pekerjaan ini masih lagi dilakukan kerana itu sahaja mata pencarian saya dan majoriti penduduk di Kampung Limpaki ini. Laut sudah sebati dalam kehidupan saya," kata Rusli Ibrahim, 64.
Mengimbas pengalaman awal terlibat dengan pekerjaan sebagai nelayan, Rusli ketika itu baru sahaja berusia belasan tahun, namun sering membantu ayahnya seawal pagi turun ke laut.
Walaupun masih kecil, Rusli tidak pernah rasa takut dilambung ombak, sebaliknya berasa seronok dapat menangkap ikan mahupun udang bersama ayahnya.
Saat paling seronok sudah tentunya ketika mengangkat jaring yang penuh dengan hasil ikan dan udang yang kemudiannya ditarik satu persatu untuk dimasukkan ke dalam tong penyimpan hasil tangkapan.

SEORANG nelayan mengangkat peralatan menangkap ikan di kawasan jeti PNK Sri Muara di Kampung Muara Tebas di Kuching, Sarawak.


Perjalanan
Jika bernasib baik, hasil tangkapan mampu mencecah 70 hingga 100 kilogram. Ia akan membuat riak wajah ayah dan dirinya sendiri tersenyum gembira dan puas hati kerana ada hasil yang dibawa pulang.
"Biasanya saya dan ayah akan turun ke laut seawal pukul 5 pagi dengan menggunakan sebuah bot kecil dan mengharungi perjalanan selama 15 hingga 30 minit untuk tiba ke tempat yang sering kita menahan pukat.
"Kita akan balik ke darat pada waktu tengah hari. Hasil tangkapan itu akan dijual kepada pemborong di Pasar Limbang, selebihnya akan dibawa pulang untuk makan sendiri," ujarnya.
Jerih perih menjadi seorang nelayan begitu dirasai Rusli. Atas alasan itu, dia tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkah untuk mewarisi pekerjaan tersebut.
Bagaimanapun, pepatah Melayu ada menyebut, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kini cucu sulungnya yang hanya berusia tujuh tahun menunjukkan minat dan sering mengikutnya ke laut.
Hejeri Amijan, tidak kisah untuk bangun seawal pagi semata-mata untuk mengikut datuknya itu ke laut, walaupun terpaksa berembun dan berpanas di tengah lautan.
Malah, anak kecil itu tidak mengenal erti takut apabila duduk bersahaja di haluan bot datuknya meskipun dia masih tidak tahu berenang bahkan tangan kecilnya lincah ketika membantu mengangkat jaring.
"Melihat kepada Hejeri yang seronok mengangkat jaring mengingatkan saya sendiri ketika usia itu. Walaupun Hejeri suka turun ke laut bersama saya, namun dia hanya dibenarkan ikut jika musim cuti sekolah.

JETI Persatuan Nelayan Kawasan Sri Muara menjadi lokasi pendaratan ikan oleh para nelayan di Kampung Muara Tebas, Kuching, Sarawak.


"Hajeri tidak tahu berenang, jadi saya akan mengikat pinggangnya dengan tali agar tidak terlepas daripada saya jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini," jelas Rusli.
Sementara itu, Hejeri memberitahu, dia minat turun ke laut kerana suka menangkap ikan walaupun dia belum mengerti apa kehidupan dan cabaran di laut.
Hakikatnya, hampir semua penduduk tempatan di bahagian Limbang terutamanya yang berhampiran dengan sungai dan laut memulakan kerjaya sebagai nelayan sejak zaman kecil.
Selepas menempuh perubahan zaman, ramai anak tempatan yang sudah berjaya dalam pelajaran dan bekerjaya selain menjadi nelayan.
Bagaimanapun kemahiran turun ke laut menangkap ikan masih wujud. Jadi, tidak hairan ada antara mereka pada hujung minggu atau musim cuti, kumpulan ini akan menjadi nelayan sambilan sama ada untuk menambah pendapatan ataupun makan sendiri.
Bagi penduduk lama Kampung Petiambun, Limbang, Nasir Akit, 49, pekerjaan itu masih menjadi sumber pendapatan utamanya.
Menjadi nelayan sejak kecil, Nasir akan ke laut dari Sungai Sentaba dengan mengambil masa 15 minit sahaja. Kadang-kadang Nasir bermalam di laut jika hasil yang diperoleh masih kurang. Adakalanya dia keluar seawal pagi, dan kembali pada waktu petang jika hasil tangkapan banyak.
"Hasil tangkapan akan dijual kepada pemborong di Pasar Limbang. Biasanya saya memperoleh ikan seperti siakap, kembura, belanak, bawal putih, siakap merah, sembilang, tahai dan pelbagai jenis lagi.
"Jika bernasib baik, saya mampu memperoleh sehingga 70 kilogram hasil tangkapan dengan nilai jualan RM200 hingga RM300 bergantung kepada jenis ikan manakala kos minyak RM30 untuk sekali turun ke laut," ujarnya.
Menceritakan pekerjaannya itu, Nasir memberitahu, jika dahulu dia mampu memperoleh hasil yang banyak, namun kini tangkapan semakin berkurangan dari tahun ke tahun.
Bagaimanapun, Nasir menyatakan, para nelayan pada masa sekarang bernasib baik kerana kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) banyak memberi bantuan kepada golongan tersebut.
Bantuan seperti subsidi minyak, elaun sara hidup bulanan pada kadar RM200, menyediakan jeti, insentif mendaratkan ikan, bantuan peralatan menangkap ikan dan bantuan-bantuan lain ternyata banyak membantu kehidupan nelayan terutamanya pada musim tengkujuh.
Subsidi
"Dahulu, apabila tidak ke laut, para nelayan akan gelisah kerana kita akan putus sumber pendapatan, namun kini dengan adanya bantuan oleh LKIM, nelayan mampu menarik nafas lega.
"Pemberian subsidi minyak kepada nelayan memang banyak membantu kami mengurangkan kos untuk ke laut sekali gus meringankan beban sebelum ini," katanya ketika ditemui.
Usahawan dan nelayan dari Kampung Seberang Kedai, Limbang, Brahim Hassan, 47, memberitahu, dahulu dia hanya seorang nelayan yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan udang dan ikan.
Namun, Brahim mula memikirkan bahawa dia tidak boleh hanya bergantung kepada pendapatan dengan hasil tangkapan. Justeru, dia berkeputusan untuk memulakan pembuatan keropok udang memandangkan hasil tangkapannya kadangkala berlebihan dan boleh digunakan untuk tujuan itu.
"Kadangkala, hasil tangkapan saya begitu banyak, maka adalah lebih baik jika saya gunakannya untuk menghasilkan keropok udang memandangkan isteri saya ada kemahiran untuk membuatnya.
"Pada mulanya, kami menghasilkan keropok udang menggunakan kaedah tradisional sebelum mendapat bantuan pinjaman untuk membeli mesin dan latihan daripada LKIM," katanya.
Kini, produk yang dihasilkan Brahim itu bukan sahaja mendapat permintaan daripada penduduk tempatan bahkan ada yang dijual hingga ke negara jiran iaitu Brunei.
Kata Brahim, selain khidmat nasihat daripada LKIM dalam penghasilan produk keropok udang, dia juga mendapat bantuan serta resipi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Bagi Mushidi Tapa, 36, pula, dia mengakui bantuan daripada LKIM banyak membantu nelayan sepertinya di Kampung Seberang Kedai.
Sebelum ada bantuan seperti subsidi minyak, Mushidi terpaksa membelanjakan RM80 hingga RM100 untuk kos minyak sahaja sedangkan pendapatannya tidak seberapa.
Dengan bantuan LKIM, kini kos minyak hanya RM30 hingga RM35 sahaja dan sudah tentu ia banyak membantu para nelayan turun ke laut.
Jika tidak turun ke laut disebabkan hujan atau musim tengkujuh, Mushidi tidak berasa bimbang seperti dahulu kerana kini dia memperoleh elaun sara hidup sebanyak RM200.
"Malah, jika hasil tangkapan didaratkan, LKIM turut memberi insentif 10 sen bagi setiap kilogram. Ia merupakan bantuan yang sangat bagus untuk kami warga nelayan," ujarnya yang memiliki kemahiran membuat jaring ikan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories