RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ustaz Kazim Beri Teguran Artis Bertudung

Posted: 02 Jul 2014 09:29 PM PDT


Ustaz Kazim Elias
KUALA LUMPUR: Penceramah selebriti terkenal, Ustaz Kazim Elias menasihati artis-artis berhijrah iaitu mereka yang berhijab agar tidak sekadar tampil dengan pertukaran imej semata-mata tetapi hendaklah mendalami ilmu agama Islam secukupnya.

Ustaz Kazim atau nama sebenarnya Mohammad Kazim Elias, 42, berkata, perkara itu sebenarnya satu petanda yang baik kerana golongan berkenaan adalah ikon kepada peminat.

"Alhamdulillah… bagus ramai artis yang berhijrah ke arah kebaikkan kerana ia dapat mempengaruhi peminat mereka untuk melakukan perkara sama tetapi biarlah ia disertai dengan ilmu agama yang cukup.

"Jangan hari ini beritahu sudah berubah lalu mengenakan tudung dan terus hendak menjadi seorang ustaz atau ustazah kerana banyak perkara yang perlu didalami mereka terlebih dahulu," katanya kepada mStar Online.

Ustaz Kazim ditemui pada sidang media program Kembara U.K.E yang diadakan di Berjaya Times Square di sini pada Rabu.

Tambah Ustaz Kazim, jika golongan berkenaan tidak mempunyai ilmu yang cukup, ia dibimbangi  akan meninggalkan kesan sekiranya sesuatu kenyataan yang dibuat akan memakan diri sendiri.

Jelasnya lagi, artis yang berhijrah sepatutnya mempelajari ilmu agama Islam daripada guru bertauliah agar perubahan yang dilakukan menjadi lebih sempurna selain kerana Allah.

"Jika asas dalam bidang agama tidak cukup bagaimana hendak berceramah kepada orang lain malah ia boleh menjadi risiko besar.
"Tambahan pula dengan teknologi hari ini apa yang kita perkatakan dalam masa lima minit, ia akan tersebar di laman sosial dan YouTube. Jadi golongan ini harus berhati-hati dan belajar terlebih dahulu," katanya.
Bagaimanapun Ustaz Kazim meminta agar masyarakat tidak mudah menjatuhkan hukuman dan mencari keburukan golongan tersebut.

Ustaz Kazim (tengah) akan terlibat dalam program Kembara U.K.E.
Sebaliknya dia meminta masyarakat seharusnya sama-sam membantu memperbetulkan kesalahan yang dibuat segelintir golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim tidak menafikan ramai golongan artis sama ada secara peribadi atau berkumpulan datang kepadanya untuk bertanyakan soal agama yang menjadi kemusykilan  mereka.

"Alhamdulillah saya sudah empat atau lima tahun banyak terlibat dengan golongan artis dalam program dan dari situ saya cuba dekati mereka dan berkongsi ilmu," jelasnya.

Dalam pada itu mengenai program Kembara U.K.E. ia bakal merakamkan pengisian dakwah secara santai bersama peminat di atas kapal mewah Star Cruise ke beberapa destinasi menarik iaitu Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Phuket, Thailand.

Jelasnya lagi, kembara di atas kapal sentiasa menjadi impiannya dan dia bersyukur ia bakal terlaksana dengan kehadiran peminat.

"Insya-Allah kembara itu nanti melibatkan aktiviti seperti kuliyah selepas waktu Subuh dan Maghrib serta beberapa tazkirah lain seperti pada waktu matahari terbit dan terbenam.


"Malah setiap perjalanan pelayaran ini termasuklah aktiviti perjumpaan bersama masyarakat Islam di Langkawi dan Thailand," ujarnya.

Kata Ustaz Kazim lagi, setakat ini sambutan terhadap kembara itu amat memberangsangkan di mana hampir 600 peserta sudah mendaftarkan diri untuk menyertainya.

"Alhamdulillah biarpun belum menghebahkan secara rasmi namun sambutannya diluar jangkaan dan tempat kosong masih berbaki 100 orang sahaja," katanya.

Kembara U.K.E. itu akan diadakan pada 24 hingga 27 Ogos depan dan Astro Oasis bertindak sebagai penyiar utama dengan kerjasama Intratama Travel Consultant & Tours dan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Malah pihak Astro Oasis akan menerbitkan program khas kembara itu yang akan disiarkan bermula 3 Oktober depan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Sebarang pertanyaan mengenai Kembara U.K.E boleh menghubungi 03-61850010 atau email kepada intratama@gmail.com.

12 Selebriti Berniaga Di Stadium Malawati Sabtu, Ahad Ini

Posted: 02 Jul 2014 09:28 PM PDT

Karnival Teratak Glam Raya 2014 akan berlangsung pada 5 dan 6 Julai ini di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor.
PETALING JAYA: Seramai 12 orang selebriti terkenal akan memeriahkan Karnival Teratak Glam Raya 2014 yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, dekat sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Barisan selebriti tersebut akan menjual pelbagai produk seperti biskut raya, tudung, pakaian dan barangan pre-loved milik mereka pada acara tersebut.

Selain barisan artis, terdapat ratusan peniaga lain yang turut menjual pelbagai barangan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Karnival itu dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari

Antara selebriti yang bakal terlibat pada acara itu nanti adalah Hanis Zalikha, Hairul Azreen, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Neelofa, Lisa Surihani, Yana Samsudin dan Elfira Loy.

Manakala Emma Maembong, Zara Zya, Diana Danielle dan Achey turut sama memeriahkan karnival berkenaan dengan pelbagai barangan jualan yang menarik.

Sementara itu, pelakon drama bersiri Love You Mr. Arrogant, Zara Zya memberitahu bakal menjual pelbagai jenis biskut raya seperti Almond London, Tart Gulung, Tart Buah, Tart Strawberi, Almond Cluster dan Almond Crunchy.

Selain itu kata Zara, dia juga akan menjual pelbagai jenis gaya tudung yang sesuai untuk digayakan oleh para peminatnya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Liyana Jasmay dan Elfira Loy.

"Biarpun ini bukan kali pertama saya berniaga tetapi perasaan teruja itu tetap ada kerana selain dapat menjual pelbagai barangan kepada mereka saya juga berpeluang bertemu peminat secara dekat.

"Saya harap mereka akan datang beramai-ramai dan memberikan sokongan kepada semua selebriti yang turut berniaga," katanya.

Lain pula dengan pelakon dan pengacara Neelofa, dia akan membuka gerai untuk menjual kanta lekap jenama miliknya iaitu Lofa Lens.

Menggunakan tagline Make Your Eyes Pop!Neelofa bakal membariskan pelbagai warna kanta lekap khas buat para pengunjung karnival berkenaan dengan harga istimewa.

Hairul Azreen.

Manakala pelakon yang baharu sahaja bergelar ibu, Liyana Jasmay memberitahu akan menjual barangan peribadi seperti beg tangan dan baju miliknya.

Malah Liyana turut rancak mempromosikan karnival berkenaan kepada para peminatnya di laman sosial Instagram.

"Sila datang beramai-ramai kerana saya ada pelbagai barangan istimewa milik saya yang akan dijual pada karnival itu nanti.

"Saya harap anda akan menyukai pilihan beg tangan dan baju yang akan dijual nanti," katanya.

Tunjuk Slip Gaji Untuk Beli Tudung Fareeda Satu Fitnah - Fizo Omar

Posted: 02 Jul 2014 09:26 PM PDT


Fizo bersama isterinya Mawar yang menguruskan perniagaan tudung Fareeda sering kali dilanda kontroversi.
PETALING JAYA:  Pelakon Fizo Omar terkilan apabila ada pihak masih cuba memburukkan tudung Fareeda dengan memfitnah kononnya mana-mana pelanggan yang mahu ke butik itu perlu membawa slip gaji selama tiga bulan.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, sebagai Ketua Bahagian Pemasaran, Fareeda Global Resources, dia melihat tuduhan itu sesuatu perkara yang mengarut kerana pihaknya tidak pernah meletakkan syarat-syarat sedemikian.

"Itu semua fitnah dan tuduhan itu langsung tidak berasas. Secara logiknya, mana ada kedai yang meletakkan syarat perlu membawa slip gaji sebelum dibenarkan masuk kedai?

"Butik-butik berjenama mewah pun tidak meletakkan syarat seperti itu. Bagi saya gosip itu adalah khabar angin kosong yang sengaja mahu menjatuhkan nama baik syarikat," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Rabu.
Mawar (tengah) bersama ibunya Faridah Zakaria yang merupakan pengasas tudung Fareeda bersama model menggayakan rekaan tudung mereka.
Minggu lalu, salah seorang individu telah memuat naik status di Twitter mengatakan dia tidak berpuas hati dengan cara butik  Fareeda melayan pelanggan di mana sesiapa yang ingin masuk mana-mana cawangan butik tersebut perlu membawa slip gaji selama tiga bulan.

Fizo menjalankan perniagaan itu bersama isterinya yang juga pemilik kekal syarikat berkenaan iaitu Mawar Abdul Karim, 25.

Sementara itu Fizo berkata, dia bersyukur walaupun pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada jenama tudung itu, namun perniagaan yang dijalankan masih lagi mendapat respons yang memberangsangkan.

"Biasalah, apabila sesebuah jenama barangan sudah menjadi popular, mulalah ada yang dengki. Rasanya itu adalah satu perkara normal yang terjadi kepada mana-mana perniagaan," ujarnya.

Inilah status Twitter seseorang yang memfitnah mengenai tudung Fareeda.
Dalam perkembangan lain, Fizo berkata, bersempena dengan bulan Ramadan ini, dia juga sibuk menguruskan perniagaan Hot Burger yang kini mempunyai sebanyak 150 buah cawangan.

"Sekarang ini memang saya terlalu sibuk dengan pengurusan perniagaan. Sampaikan saya terpaksa menolak pelbagai tawaran lakonan untuk memberi fokus kepada perniagaan.

"Saya juga merancang untuk meletakkan sasaran  di mana Hot Burger akan mempunyai sebanyak 200 cawangan di seluruh Malaysia pada hujung tahun ini.

"Selepas itu, barulah saya boleh aktif semula dalam lakonan," tuturnya.

Noraniza Idris Mahu Bersara Jadi Penyanyi

Posted: 02 Jul 2014 09:25 PM PDT


Noraniza Idris
PETALING JAYA: Penyanyi Noraniza Idris berjanji untuk memenuhi permintaan suaminya, Juffri Hudi, 55, supaya dia meninggalkan bidang nyanyian akhir tahun ini.

Noraniza, 46, berkata, suaminya mahu dia menumpukan perhatian dan sama-sama meluangkan masa untuk melakukan ibadah.

"Suami ada meminta saya untuk berhenti menyanyi dan menumpukan perhatian kepada amalan agama. Saya memang ada perancangan kearah itu, tetapi saya minta masa lagi untuk memperjuangkan irama tradisional sehingga berjaya.

"Insya-Allah kalau program Siri Jelajah Zapin Nusantara yang sedang saya jalankan sekarang ini sampai kemuncaknya iaitu Konsert Diraja Akar Kita Zapin akhir tahun ini, saya akan berhenti dan serahkan tugas itu kepada pelapis," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Kalimah Lebaran, di Restoran Puteri, di sini, malam Rabu.

Bagaimanapun tambah Noraniza, dia akan tetap memberi khidmat nasihat dan memantau perjalanan irama tradisional yang diperjuangkannya dari belakang.

"Saya tidak mahu cakap saya mahu bersara terus atau berhenti sepenuhnya, nanti takut bila saya keluar ada pula yang mempertikaikan keputusan tersebut.

"Saya mungkin akan lihat dan pantau daripada belakang sahaja," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang irama tradisional, Noraniza memberitahu dia memasang impian untuk berkolaborasi dengan penyanyi popular Shila Amzah.

Katanya, hasrat tersebut pernah diluahkan kepada ayah penyanyi itu iaitu ND Lala, namun tidak kesampaian apabila Shila kini mengembangkan kerjaya ke China.

"Saya memang mahu berkolaborasi dengan Shila Amzah, dulu saya pernah beritahu ND Lala dan dia setuju, namun selepas itu Shila pula dapat peluang melebarkan kerjaya di Beijing.

"Apa-apa pun saya harap Shila dapat memperkenalkan lagu Irama Malaysia ke negara tersebut. Saya yakin dia dapat membanggakan negara kita," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang lagu Kalimah Lebaran ini, Noraniza berkata ia merupakan buah tangannya sempena Hari Raya yang bakal menjelang.

Lagu ciptaan Pak Ngah itu merupakan gabungan suaranya dengan penyanyi popular era 80-an iaitu Razis Ismail dan pendatang baharu Azmir Arif.

"Lagu ini istimewa kerana ia menggabungkan tiga generasi penyanyi berlainan era yang akan menambahkan lagi kemeriahan menyambut lebaran tahun ini," katanya.

Pada majlis tersebut Noraniza turut melancarkan dua single daripada artis baharu Ihab Ismail iaitu Akar Kita Zapin dan Pahlawan Zafrina.

Selain Pak Ngah, turut hadir pada majlis tersebut komposer Datuk M.Nasir dan  penaung Siri Jelajah Akar Kita Zapin, Tengku Hishammuddin Zaizi.

Kemunculan Semula Sheila Rusly Atas Permintaan TV3

Posted: 02 Jul 2014 09:24 PM PDT


Sheila Rusly
PETALING JAYA: Pelakon Sheila Rusly tidak mahu kemunculan semulanya dalam dramaRamadan Jangan Pergi dan Di Pintu Neraka dianggap sebagai ingin menguasai semua produk terbitan syarikat sendiri iaitu JS Pictures.

Sheila, 43, berkata, kemunculan semulanya dalam dua buah drama tersebut adalah bagi memenuhi permintaan yang dibuat oleh pihak stesen televisyen TV3 selepas dua tahun dia menyepi daripada dunia lakonan.

"Kemunculan saya dalam drama-drama pada Ramadan ini yang diterbitkan oleh JS Pictures adalah diminta oleh pihak stesen televisyen, selepas dua tahun saya tidak berlakon, mereka mahu saya ada dalam produk kami itu.

"Jangan salah anggap saya ingin kuasai semuanya, sebab sebelum ini ada saja suara sumbang yang berkata asal JS Pictures sahaja pasti muka saya sahaja yang berlakon," katanya kepada mStar Online.

Tambah Sheila, pada awalnya dia berfikir panjang untuk memenuhi permintaan pihak stesen tersebut berikutan komitmen yang tinggi dalam membantu suaminya iaitu Ringgo bekejra di belakang tabir.

Katanya, dia lebih selesa memberi peluang kepada muka baharu untuk membawakan watak-watak tersebut.

"Saya menimbangkan juga permintaan mereka (TV3) kerana saya banyak kerja di belakang tabir untuk dibuat, bagi saya lebih baik bagi muka baru yang lakonkan.

"Tapi saya akur kerana pihak stesen televisyen ada senarai artis yang mereka mahukan sebelum kita memulakan penggambaran, jadi terpaksa juga kita ikutkan permintaan mereka," katanya.

Sementara itu, Sheila berkata, kemunculannya hanyalah bagi memeriahkan dunia seni tanah air dan pengubat rindu untuk peminat-peminatnya.

Katanya, biarpun tidak aktif kelihatan muncul bersiaran dalam drama-drama tempatan, namun dia kini sibuk dengan kerja-kerja produksi di belakang tabir.

"Saya tidak merajuk dengan lakonan kerana dunia lakonan sudah sebati dengan jiwa saya keraan saya berlakon sejak berusia belasan tahun lagi.

"Saya tidak tinggalkan dunia seni ini sebaliknya sibuk dengan kerja-kerja terbitan sesebuah drama itu," ujarnya.

Drama bersiri Ramadan Jangan Pergi disiarkan di slot Samarinda pukul 10 malam, setiap Selasa hingga Khamis, manakala telefilem Di Pintu Neraka akan disiarkan pada slotCerekarama.

Tomok Rancang Tambah Anak Kedua

Posted: 02 Jul 2014 09:23 PM PDT


Tomok bersyukur perkahwinannya bersama isteri sudah memasuki tahun ketiga.
PETALING JAYA: Penyanyi Tomok bersama isterinya,  Rahayu Abbas (Ayu) bersedia untuk untuk mendapatkan anak kedua selepas anak sulung mereka kini berusia tiga tahun.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 30, berkata, sudah tiba masanya untuk dia menambah bilangan keluarga memandangkan anak sulungnya iaitu Arrianshah Akid semakin membesar.

"Insya-Allah saya dan isteri sudah bersedia untuk menambah bilangan keluarga kami dengan anak kedua pula. Arrian pun dah besar dan rasanya dia juga memerlukan seorang adik.

"Cuma sehingga kini kami belum ada rezeki lagi. Saya percaya dengan penambahan ahli keluarga pasti akan sempurnakan hidup kami," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Tomok meluahkan rasa syukur apabila pada Selasa (semalam) merupakan sambutan ulang tahun perkahwinannya dengan Ayu yang ketiga.

Foto Tomok bersama isteri dan anaknya ketika bercuti di London baru-baru ini.

Katanya, walaupun sudah lapan tahun bercinta dan kemudiannya tiga tahun bersama mendirikan rumah tangga, Tomok menyifatkan dia dan isteri sudah saling memahami antara satu sama lain dan ia memudahkan lagi kehidupan mereka sebagai pasangan suami-isteri.

"Alhamdulillah, perjalanan kami sebagai suami isteri sangat lancar. Tetapi diakui ada juga pasang surutnya dan itu adalah benda normal dalam mana-mana perhubungan sekali pun.

"Kami pun sudah memahami antara satu sama lain dan yang penting, kejujuran dan cara menyelesaikan masalah dengan matang mampu menguatkan lagi perhubungan.

"Bagaimanapun, kami belum membeli apa-apa hadiah. Mungkin selepas sambutan Aidilfitri nanti kami akan bercuti ke Legoland, Johor," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tomok bakal muncul dengan sebuah album terbaharu berjudul, Tomok Aku Datang dengan memuatkan sebanyak tujuh buah lagu yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

China larang berpuasa

Posted: 02 Jul 2014 09:11 PM PDT


  • Pihak berkuasa menyekat kebebasan bersuara penduduk Islam Uighur menyebabkan mereka mengadakan protes.Pihak berkuasa menyekat kebebasan bersuara penduduk Islam Uighur menyebabkan mereka mengadakan protes.

BEIJING - CHINA. China melarang kakitangan awam, guru dan pelajar di wilayah Xinjiang berpuasa, menurut laman web kerajaan, semalam.

Beberapa jabatan kerajaan turut memuat naik notis terbabit sejak bermulanya Ramadan akhir minggu lalu.

Stesen radio Bozhou dan University TV menyatakan mereka akan menguatkuasakan larangan tersebut dalam kalangan anggota parti, guru dan golongan remaja di wilayah bergolak tersebut.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Raxit menyelar tindakan itu sebagai menyekat kebebasan beragama.

"Larangan menyekat orang Islam melaksanakan Rukun Islam itu hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di Xinjiang.

"Kami menggesa kerajaan menghentikan penindasan seumpama ini terutamanya ketika Ramadan," tegasnya.

Memetik laporan AFP, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan pimpinan Parti Komunis mengenakan larangan berpuasa di Xinjiang yang didiami etnik minoriti Uighur.

Transisi Najwa Mahiaddin

Posted: 02 Jul 2014 09:10 PM PDT


MUNCUL dengan EP Aurora, album ini menyelitkan rakaman semula lagu lama Seri Mersing dalam konteks muzik antarabangsa hasil idea Najwa.


TATA GAYA Najwa Mahiaddin kali ini cukup berbeza. Jika dahulu Artis Baru Terbaik AIM18 itu dikenali dengan imej diva-glamor yang manis dan ceria, Najwa beralih meneroka sisi gelap dalam eksperimen muziknya yang lebih matang.
Terbukti ketika Najwa menjayakan showcase sempena pelancaran album EP terbaharunya, Aurora baru-baru ini, anak kepada Timbalan Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu selesa mengenakan sepersalinan gaun serba hitam, topi floppy brim dan sepasang kasut but.
Bercakap mengenai transisi dan perubahan ketara muzik dan imej, kata Najwa, keseluruhan yang ditonjolkan adalah refleksi kematangan dan keberaniannya.
"Makna Aurora sendiri saya umpamakan sama dengan diri saya. Ia bermaksud cahaya pertama yang keluar daripada kegelapan, namun bagi saya ini adalah satu permulaan baharu sama ada dari segi muzik dan imej yang keseluruhannya bersifat lebih matang.
"Sama seperti imej saya kali ini, pada tahun 2011 muzik saya lebih cerita dan ada elemen retro, maka saya sesuaikan dengan imej saya ketika itu.
"Apabila muzik berkembang, imej saya juga turut serta berkembang dan menjadikan diri saya hari ini. Mungkin dalam album seterusnya saya akan masih kekal begini dan tidak mustahil imej saya juga akan berubah sekali lagi.
"Saya rasa muzik saya tidak cocok dengan imej saya sebelum ini tapi sekarang saya sudah nampak konsep dan hala tuju dalam industri seni ini. Paling utama saya tidak mahu orang melihat saya streotaip dengan satu genre sahaja," katanya yang ditemui usai majlis pelancaran EP Aurora di Ruang, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Aurora
Najwa, 28, bagaimanapun tidak menolak dakwaan bahawa kemunculan album EP Aurora kali ini mengubah landskap muzik R&B dan Soul sebelum ini, menjadikan buah tangan terbaharu itu lebih bersifat 'gelap'.
"Sebagai seorang artis, saya perlu menolak diri saya keluar daripada zon selesa. Bukan sakit jiwa atau tertekan tapi ini sebahagian daripada eksperimentasi dalam dunia muzik," katanya.
Aurora diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Nada Biru Muzik dan mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Album itu mula dikeluarkan pada 6 Mac 2014 menerusi saluran iTunes.

MENURUT Najwa, dia tidak pernah memilih untuk menjadi popular, namun menjadi penyanyi kerana dia menuntut dalam bidang muzik sekali gus mencurahkan pengetahuannya dengan membuat album dan menyanyi.


Bermula cemerlang menerusi lagu Lover yang digubahnya sendiri, aliran Aurora diadun sempurna dalam persembahan lagu Before, Floatin', Wonderland dan ditutup kemas dengan lagu asli bersulam elemen elektronik, Seri Mersing.
Kenapa Seri Mersing? Jawab Najwa, selain lagu itu mempunyai intipati dan seri paling memukau untuk dipersembahkan di negara asing, Seri Mersing juga mewakili dirinya yang merupakan anak kelahiran Johor.
"Saya sendiri berasal dari Johor dan lagu yang dimainkan dengan iringan muzik ghazal itu sudah melekat dalam jiwa sejak kecil lagi.
Seri Mersing
"Seri Mersing ada sari kemelayuan yang tinggi dan mencerminkan keseluruhan album Aurora sebenarnya. Stailnya berbeza dan semua tahu lagu itu, gubahan semula ini kemudiannya terjadi secara organik tanpa dirancang pun.
"Lagu ini saya kekalkan dengan lenggok asli yang asal cuma diadun dengan bunyi elektronik dan lebih sinematik untuk diperkenalkan kepada generasi muda," ujarnya.
Terjadinya projek eksperimentasi lagu asli dalam muzik elektronik bermula daripada salah satu tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya ketika menuntut di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat beberapa tahun lalu.
Salah seorang temannya dari Zimbabwe bertanyakan jenis muzik yang boleh mewakili Malaysia untuk dijadikan himpunan lagu sejagat, lantas Seri Mersing yang terlintas dalam fikiran Najwa.
"Sama seperti album saya sebelum ini dan lagu Got To Go, tak semua pendengar yang boleh menerimanya. Saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza daripada yang sudah sedia ada dalam industri.
"Memang sukar untuk puaskan hati semua pihak tapi bagi saya cukuplah apabila saya ada peminat sendiri yang sering memberikan maklum balas," ujarnya yang tidak menolak kemungkinan untuk merakamkan beberapa buah lagu asli lain lagi selepas ini.

NAJWA mengambil kesempatan Ramadan kali ini untuk berehat bersama keluarga sebelum pulang ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajiannya.


Yuna, Zee Avi
Bercerita mengenai populariti, jika dibandingkan perkembangan Najwa dengan Yuna mahupun Zee Avi, kedua-dua penyanyi wanita itu lebih dikenali dan diingati peminat di Malaysia.
Mengulas mengenai perkara itu, Najwa sedar akan kehadirannya yang bukan semata-mata untuk meraih peminat dalam industri hiburan, sebaliknya mahu berkongsi antusiasnya dalam dunia muzik.
"Bukan saya yang pilih untuk popular di sana dulu berbanding Malaysia, setiap individu ada haluan hidup sendiri dan ini jalan saya.
"Saya ke sana (Amerika Syarikat) untuk belajar dan punyai kehidupan sendiri. Siapa yang tidak mahu bernaung di bawah label antarabangsa tapi saya tidak kisah sebab saya belajar daripada kosong.
"Tidak pernah saya menjauh hati apabila orang kurang mengingati saya berbanding Yuna atau Zee Avi kerana itu hakikat. Cukuplah untuk ada peminat yang masih setia menantikan kepulangan saya ke tanah air," jelasnya realistik.
Sementara itu, sempena kemunculan bulan Ramadan tahun ini, Najwa akan menyambutnya bersama keluarga dan teman-teman di Malaysia sebelum pulang semula ke New York.
"Perancangan saya untuk berehat dan menghasilkan lebih banyak lagu bersama kawan-kawan saya di sini (Malaysia), maklumlah sudah setahun tidak pulang ke kampung halaman.
"Selama ini pun kami sekeluarga hanya berinteraksi menerusi grup WhatsApp sahaja untuk bertanya khabar, sebab itu kali ini saya luangkan lebih masa untuk bersama mereka," singkapnya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories