RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sempena Ramadan, Adam Corrie Maafkan Penabur Fitnah

Posted: 03 Jul 2014 05:23 PM PDT


PETALING JAYA: Pelakon Adam Corrie melakukan tiga solat sunat iaitu solat Taubat, Istikarah dan Hajat bagi mendapatkan petunjuk daripada Allah dalam usahanya untuk memaafkan pihak yang telah menabur fitnah terhadapnya sebelum ini.

Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 45, berkata, mengambil keberkatan bulan Ramadan dia sudah pun memaafkan pihak terbabit dan sentiasa berdoa agar individu tersebut mendapat hidayah atas kesalahan yang dilakukannya.

"Saya lakukan tiga solat sunat bukan sahaja untuk mendapat petunjuk malah berdoa agar individu berkenaan diberikan hidayah agar dia insaf terhadap perbuatannya terhadap saya.

"Saya tidak mahu berdendam dan telah pun memaafkan atas perkara yang dilakukan terhadap saya sehingga menyebabkan saya dikecam dan periuk nasi saya sebagai pelakon terganggu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.

April tahun lalu Adam pernah membuat laporan kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) selepas hilang punca pendapatan hampir RM40,000 gara-gara tiada tawaran berlakon selepas tersebar gambar kononnya dia menyertai Pas oleh pihak tersebut.

Kata Adam, gara-gara kejadian tawaran berlakon yang sepatut diterimanya semakin berkurangan dan keadaan itu masih berlarutan sehingga ke hari ini.

"Sehingga ke hari ini kejadian itu masih memberi kesan kepada periuk nasi saya tetapi tidak mengapa kerana rezeki itu ditentukan Allah," ujarnya.

Dalam pada itu, Adam berkata, pihak berkenaan tidak pernah tampil memperbetulkan keadaan apatah lagi meminta maaf kepadanya atas kesalahan itu.

"Pihak yang menabur fitnah terhadap saya itu sehingga hari ini tidak meminta maaf kepada saya apatah lagi untuk berjumpa saya.

"Saya tidak pasti sama ada dia sengaja mengelak daripada bertemu dengan saya atau sebenarnya malu untuk berbuat demikian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adam berkata, selepas tujuh tahun bergelar seorang mualaf dia kini semakin selesa dan yakin menjalani ibadah puasa berbanding semasa mula-mula memeluk agama itu kerana pengetahuan mengenainya masih cetek.

Jelas Adam lagi, setiap kali tiba Ramadan dia sentiasa cuba meluangkan masa untuk solat Terawih berjemaah di masjid berdekatan.

"Menjalani ibadah puasa, saya tiada masalah kerana sejak kecil memang sudah terbiasa ikut berpuasa jika tiba Ramadan cuma pengetahuan tentang solat Terawih dan perkara-perkara lain membuatkan saya kekok kerana tiada yang membimbing saya.

"Alhamdulillah selepas tujuh tahun saya semakin selesa dan yakin untuk menjalani ibadah berkenaan dan sentiasa ternanti-nantikan waktu solat Terawih," katanya.

Corrie memeluk Islam pada 13 Julai 2007 sebelum berkahwin dengan Fazema Mohd Fuad, 35, pada 2008.

Selain aktif sebagai pereka tari, Corrie juga telah berlakon lebih 10 buah filem yang kebanyakannya untuk watak antagonis ataupun gengster Cina.

Antara filem lakonan beliau ialah Paloh, Spinnng Gasing, KL Gangster, KL Gangster 2, Libas, Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam, Gangster Celop dan Darah Panas.

Hanis Zalikha Anjur Karnival Kerana Rimas 'Peniaga Instagram'

Posted: 03 Jul 2014 05:22 PM PDT

Hanis Zalikha.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Hanis Zalikha menjelaskan idea untuk menganjurkan Karnival Teratak Glam Raya 2014 pada Sabtu dan Ahad ini tercetus selepas dia berasa rimas dengan pelbagai iklan yang diselitkan dalam ruangan komen oleh pengikut Instagram artis bagi mempromosikan produk masing-masing.

Hanis berkata, disebabkan perkara itu dia merasakan adalah wajar semua peniaga yang aktif di laman Instagram dikumpulkan pada satu tempat bagi membolehkan mereka menjual barangan masaing-masing terus kepada pelanggan.

"Pasti ramai daripada kita sebagai pengguna laman Instagram akan berasa rimas dan kadang-kala tertekan dengan pelbagai iklan promosi produk yang memberikan gangguan.

"Jadi idea untuk mengumpulkan peniaga Instagram ini timbul daripada permasalahan tersebut dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan cukup hebat daripada peniaga," katanya kepada mStar Online.

Karnival Teratak Glam Raya 2014 bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Sabtu dan Ahad ini bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Liyana Jasmay dan Elfira Loy.

Seramai 12 selebriti popular akan turut sama-sama menyertai karnival berkenaan seperti Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Neelofa, Lisa Surihani, Yana Samsudin dan Elfira Loy.

Manakala Datin Umie Aida, Emma Maembong, Zara Zya, Diana Danielle dan Achey turut sama memeriahkan karnival berkenaan dengan pelbagai barangan jualan yang menarik.

Jelas Hanis, setakat ini seramai 300 peniaga lain sudah bersetuju untuk membuka gerai jualan pada acara tersebut dan pelbagai barangan akan dijual seperti pakaian, makanan, baju kanak-kanak, pakaian muslimah dan perabot.
Umie Aida.

Dalam pada itu, Hanis memberitahu dia terharu dengan sokongan daripada golongan selebriti yang ingin turut serta dalam acara berkenaan dalam menarik perhatian lebih ramai pengunjung.

"Pada asalnya saya mengajak rakan selebriti yang rapat sahaja seperti Lisa Surihani dan Liyana Jasmay untuk menyertai acara itu.

"Tidak sangka pula ramai artis lain yang berminat untuk turut serta dan masing-masing memberikan komitmen untuk berada di sana selama dua hari bagi menjual sendiri produk mereka selain bertemu peminat," katanya.

Malah katanya, Elfira Loy sanggup terbang ke Bangkok, Thailand hanya semata-mata ingin mencari stok barangan untuk dijual kepada pengunjung pada hari itu nanti.

Sementara itu, Hanis berkata, itu adalah kali pertama dia menganjurkan karnival seumpama itu dan mengakui ia satu tugas yang sukar untuk dilaksanakan namun dapat mempelajari cara penganjuran sesebuah acara diadakan dengan betul dan tersusun.

Johan As'ari Perjelaskan Isu Kelab Peminat Bubar

Posted: 03 Jul 2014 05:20 PM PDT


PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari menafikan kelab peminatnya iaitu Johan As'ari Fan Club (JAFC) yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu dibubarkan gara-gara mempunyai masalah dalaman seperti yang diperkatakan beberapa pihak.

Johan, 28, berkata, JAFC bukan mahu dibubarkan sebaliknya pengurus kelab berkenaan ingin meletakkan jawatan  atas urusan peribadi dan tempatnya akan digantikan oleh ahli-ahli lain.

"Sehingga kini saya tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan kelab peminat JAFC. Setiap tahun kami menjalani pelbagai aktiviti riadah bersama.

"Mungkin orang salah faham dengan kenyataan pengurus JAFC kerana dia seorang sahaja yang tidak akan terlibat dengan kelab itu lagi. Tetapi JAFC tidak dibubarkan," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Khamis.

Johan diminta mengulas mengenai status yang dimuat naik di akaun Instagram milik JAFC membuat pengumuman bahawa kelab tersebut akan dibubarkan serta merta pada Rabu lalu.

Status pembubaran JAFC yang dimuat naik pengurus kelab tersebut.

Malah pengurus kelab berkenaan turut meminta ahli-ahlinya untuk menuntut bayaran ahli sehingga 31 Julai ini.

Keadaan itu menimbulkan persoalan di mana berkemungkinan besar Johan mempunyai masalah dalaman dengan kelab peminat berkenaan.

Ditanya sekali lagi kepada Johan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurus JAFC, Johan berkata pengurus itu mungkin tidak tahu menggunakan laman sosial berkenaan sehingga membuat kenyataan yang menimbulkan persoalan kepada para peminatnya.

"Entahlah, dia (pengurus JAFC) tidak tahu menggunakan Instagram kut," ujarnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan isu pendapatannya yang disekat selepas Zizan Razak yang juga  pengarah syarikat pengurusannya, Wire Fame Entertainment Sdn Bhd, Johan berkata, sehingga kini dia masih lagi belum menerima bayarannya.

"Saya harap sangat masalah Wire Fame dapat diselesaikan segera kerana saya memerlukan wang saya itu secepat mungkin. Lebih-lebih lagi Hari Raya dah nak dekat, banyak keperluan yang perlu dibelanjakan," tuturnya.

Terharu tetamu suap nasi

Posted: 03 Jul 2014 05:17 PM PDT


  • Nur Izzah (kiri) menyuapkan nasi ke mulut Siti Hawa semasa kunjungan dibuat ke rumahnya.Nur Izzah (kiri) menyuapkan nasi ke mulut Siti Hawa semasa kunjungan dibuat ke rumahnya.

TANJUNG DAWAI - "Dah tujuh tahun makcik sakit tetapi ini kali pertama orang yang mengunjungi sudi menyuapkan nasi ke mulut makcik selain anak lelaki.

Demikian luahan seorang warga emas, Siti Hawa Mat Saman, 82, dalam nada sayu dan terharu, ketika dia dikunjungi sukarelawan Universiti Utara Malaysia untuk bersahur.

Menurutnya, dia cukup gembira dikunjungi sukarelawan yang melakukan singgah sahur dan tersentuh apabila Nur Izzah Atirah Khairul Anuar, 22, sudi menyuapkan nasi ke mulutnya.

"Terima kasih kepada anak-anak yang sudi singgah ke rumah makcik untuk sahur bersama-sama dan menyampaikan sumbangan bagi keperluan harian," katanya.

Selain itu, Zuhairi Abidin, 33, yang terlantar akibat kemalangan tiga tahun lalu mengucapkan terima kasih kerana dikunjungi sukarelawan.

"Kesudian kumpulan ini membuktikan masih terdapat generasi muda yang turut memberi tumpuan terhadap pembangunan insan di samping melakukan kerja-kerja sukarelawan yang merupakan satu tugas mulia," katanya.

Nur Izzah antara 40 mahasiswa UUM yang hadir melakukan singgah sahur kepada 25 penduduk Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai malam kelmarin.

Pengarah Projek, Nur Liyana Shafawi, berkata, aktiviti singgah sahur kali ini memfokuskan supaya generasi muda memberi tumpuan kepada golongan ibu tunggal serta beberapa kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian.

"Ada yang tersentuh hati melihat kehidupan golongan memerlukan sehinggakan mendatangkan kesan mendalam dalam diri masing-masing.

"Dengan adanya aktiviti sedemikian, kita harapkan agar hubungan kasih sayang sesama insan dapat dipupuk selain menanam sifat kesukarelawan yang dapat disumbangkan golongan memerlukan," katanya.

Menurutnya, rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan kesyukuran dan teruja dengan kehadiran sukarelawan dari Dewan Penginapan Pelajar (DPP) SME Bank, UUM ke kampung itu.

Ketulusan hati Fara

Posted: 03 Jul 2014 05:09 PM PDT


MEMILIH berhijab, keputusan itu didorong oleh diri sendiri dan kerana Allah, bukan disebabkan oleh pihak lain seperti lelaki.


CERITA Fara Fauzana dan hijab bukan satu perkara baharu. Berita itu hangat diperkatakan sejak penyampai radio Hot FM itu mula mengubah imejnya secara perlahan-lahan pada Mac lalu.
Bermula dengan hanya berselendang, kini Fara atau nama sebenarnya, Fara Fauzana Mohd. Fadzil, 34, sudah berhijab penuh. Memenuhi tuntutan sebagai Muslimah sejati, akui Fara hatinya kini lebih tenang.
Malah, Ramadan tahun ini menjadi Ramadan pertama buat wanita itu benar-benar memanfaatkan erti menutup aurat.
Bagaimanapun tegas Fara, dia tidak mahu ada pihak yang tersalah tafsir atau melihat tindakannya berhijrah sebagai satu jambatan untuk menjadi perhatian, sedang hakikatnya, banyak lagi wanita lain yang turut melalui proses serupa demi kebaikan masa depan.
Kata Fara: "Jika ingin dikaitkan dengan Ramadan, secara amnya semua berjalan seperti biasa.
"Saya masih ke kelas agama, masih menunaikan solat tarawih sama seperti sebelum ini, cuma kali ini, selain imej bertudung, saya semakin banyak mendalami tafsir al-Quran.
"Malah, tahun ini, pengisian Ramadan saya lebih kepada kerohanian. Saya mengurangkan aktiviti berbuka puasa di luar demi memberi peluang untuk saya memanfaatkan ganjaran pada bulan mulia ini."
Namun, dalam ketenangannya menjalani hidup dengan imej baharu itu, hati wanitanya tersentuh. Semuanya kerana gosip yang mendakwa dia berhijab kerana lelaki.
"Hati saya sedih apabila orang kata saya berubah kerana lelaki dan ingin berkahwin. Sedangkan saya berubah kerana Allah bukan kerana orang lain.
"Gosip yang tersebar itu sedikit sebanyak mengganggu saya. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk berubah kerana orang lain melainkan atas kesedaran diri sendiri," katanya sambil menitiskan air mata.
MASIH banyak perlu belajar. Itu kata Fara Fauzana tentang perubahan imejnya kini.


Dalam kesedihan sempat juga Fara bercanda, katanya yang menyimpan impian untuk berkahwin pada usia 21 tahun, andai gosip kononnya dia bakal berkahwin itu benar, dialah insan paling bahagia.
"Jujurnya saya harap jodoh saya datang pada usia 21 tahun tetapi sehingga 34 tahun saya masih solo. Saya tidak akan sorok jika benar saya bercinta tetapi yang sedihnya gosip itu tidak benar," tuturnya yang percaya Allah mempunyai rencana yang lebih baik untuknya.
Terkesan dengan gosip tersebut, Fara memujuk hatinya dengan memekakkan telinga.
"Saya bukan sehari dua dalam industri seni, saya anggap gosip itu seperti angin lalu. Ia akan hilang perlahan-lahan apabila orang sudah lupa mengenainya," balas pengacara program Nona itu lagi.
Bercerita tentang imej baharunya, wanita berusia 34 tahun itu menjelaskan, ia berlaku tanpa dirancang meskipun sudah lama memasang niat untuk berhijab.
"Ya, memang saya ada pasang niat untuk berhijab suatu hari nanti tetapi ia berlaku tanpa dirancang. Bermula Mac lalu, pada suatu pagi saya bekerja seperti biasa.
"Sudah menjadi kebiasaan saya menggunakan selendang ketika berada dalam konti kerana sejuk. Bagaimanapun, selepas habis waktu kerja saya masih memakai selendang dan apabila ingin tanggalkan selendang itu, saya rasa seperti kepala togel, jadi saya sarung kembali selendang itu," ujarnya.
Jelasnya, sehingga ke hari ini dia masih tidak dapat menjelaskan perasaannya apabila sudah berhijab. Apa yang boleh dikongsikan, selain mendapat ketenangan hati, dirinya juga berubah menjadi lebih tenang.
"Sebelum ini saya seorang yang mudah melenting, terutamanya dalam bab kerja. Saya seorang yang sukakan kesempurnaan apabila bekerja.
"Namun, sejak berhijab saya boleh mengawal emosi dengan lebih baik. Tidak cepat melenting dan lebih mengawal tutur kata," ucap anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.
FARA kini semakin selesa dengan penampilannya yang lebih sopan.


Feminin
Sungguhpun penampilan baharu Fara mendapat sokongan ramai pihak terutama peminat, keluarga dan rakan sekerjanya tetapi akui Fara dia juga diberi ujian daripada orang sekelilingnya.
"Tidak ada orang mempertikaikan imej berhijab tetapi dugaan yang datang seperti ada orang yang tidak yakin dengan keputusan saya berhijab.
"Waktu saya berselendang dan masih nampak rambut, pada mereka lebih baik tidak pakai selendang langsung. Memang saya sedih apabila mereka kata begitu tetapi saya anggap itu sebagai dugaan untuk menjadi insan yang lebih baik," katanya yang mengisi bulan Ramadan dengan aktiviti kerohanian.
Ketika sesi fotografi berlangsung, Fara dilihat lebih feminin dan lembut. Katanya, apabila dia berhijab secara automatik dirinya akan berubah menjadi lebih sopan berbanding sebelum ini.
"Saya memang agak kasar dan lasak tetapi apabila saya menyarungkan busana Muslimah secara automatik diri saya menjadi lebih lembut.
"Perubahan itu tidak mendadak, sebaliknya saya masih kekal menjadi diri saya sendiri, cuma Fara Fauzana hari ini lebih tertutup dan sopan," akui yang menjadi wajah atau muse untuk jenama pakaian FF by Maganda oleh sahabatnya, Syed Faizal Syed Noh.
Ucapnya, meskipun sudah mengubah imej, dia masih belajar untuk menjadi Muslimah sejati secara perlahan-lahan.
"Berhijab bukan tiket untuk saya mendidik dan menasihati orang lain sedangkan saya masih mencari ilmu untuk diri sendiri," luahnya.
Justeru kata Fara, berilah peluang buatnya memperbaiki kelemahan diri sendiri dan semua pihak berlapang dada mengambil sisi positif pada setiap perubahan bukan sahaja pada dirinya tetapi kepada rakan artis yang lain.


Ikhwan putus tunang kali kedua

Posted: 03 Jul 2014 05:08 PM PDT

DUA KALI putus tunang, kata Ikhwan, selepas ini dia tidak merancang untuk bertunang dalam tempoh yang lama dan akan segera bernikah dengan wanita yang menjadi kekasihnya.


PERNAH sekali putus tunang beberapa tahun lalu, penyampai radio Hot FM, Ikhwan atau nama sebenarnya, Mohd. Khairul Ikhwan, 31, mendedahkan, dia yang telah bertunang buat kali kedua, sekali lagi putus tunang pada penghujung tahun lalu.
Lebih tepat kata penyampai radio yang mengendalikan segmen Hot FM Jam itu, dia memutuskan tali pertunangan dengan wanita yang dikenali dengan nama Natasha Nadia Abdul Kahar pada tanggal Maal Hijrah baru-baru ini selepas mengikat tali pertunangan pada bulan April 2013.
Kesempatan bertemu dengan Ikhwan pada majlis iftar Hot FM bersama media di Flora Terrace, Hampshire Palace, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada pengacara Galaksi itu. Ikuti temu bual berikut.
Kosmo!: Benarkah dakwaan bahawa Ikhwan sudah putus tunang sekali lagi?
IKHWAN: Ya, memang benar saya sudah putus tunang dan ini adalah pengalaman kali kedua saya putus tunang. Saya memilih tarikh yang baik iaitu Maal Hijrah lalu untuk membawa keluarga saya bertemu dengan keluarganya bagi urusan memutuskan ikatan pertunangan kami secara baik. Saya tidak mahu aibkan sesiapa berhubung perkara ini (putus tunang).
Dua kali putus tunang, apa sebenarnya yang menjadi punca kesilapan?
Orang mesti akan nampak saya yang negatif dan bermasalah sebab sudah dua kali gagal dalam perhubungan. Sebagai lelaki, memang saya akan nampak kejam dan silapnya orang akan tuding pada saya tapi biarlah punca perpisahan ini kami saja yang simpan kerana ia terlalu peribadi. Saya halalkan apa yang saya bagi dan begitu juga dia.
KONTRAK Ikhwan bersama program Galaksi telah tamat dan dia bersedia untuk muncul dengan sebuah program baharu selepas Aidilfitri ini.


Berapa lamakah tempoh perkenalan anda dan bekas tunang anda dan bagaimanakah sepatutnya hala tuju hubungan kalian?
Kami merancang untuk berkahwin pada tahun ini tapi apa boleh buat jodoh kami tidak berpanjangan. Kami bercinta sekitar setahun sebelum memutuskan untuk bertunang pada April tahun lalu.
Adakah anda serik untuk bercinta atau menjalinkan hubungan lagi selepas ini?
Selepas dua kali putus tunang, saya tolak ke tepi semua tohmahan negatif. Bagi saya, kalau 10 kali pun bertunang, andai bukan jodoh saya, apa boleh buat. Saya tidak serik untuk bercinta lagi dan kalau jumpa orang yang betul-betul sesuai dengan saya, kali ini rasanya tidak perlu ambil masa lama dan terus berkahwin sahaja atau bertunang dalam tempoh yang singkat.
Sedih atau terkilan dengan perpisahan itu?
Saya sedih sebab rapat dengan keluarga dia tapi untuk sebuah perhubungan saya tidak terlalu sedih. Insya-Allah, silaturahim saya dan keluarganya tidak akan putus.
Selain itu, khabarnya anda juga telah menamatkan kontrak sebagai pengacara rancangan Galaksi TV9. Benarkah?
Hampir empat tahun saya bersama rancangan Galaksi dan hujung minggu lalu merupakan episod terakhir saya. Rasa sedih itu sudah pasti ada memandangkan sudah empat tahun bersama pasukan tersebut. Kontrak saya sudah tamat dengan rancangan itu dan insya-Allah akan ada pembaharuan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.


Denda RM150 jika sedekah pengemis

Posted: 03 Jul 2014 05:02 PM PDT


SIKAP murah hati warga kota yang tidak bertempat menjadi punca kegiatan pengemis sukar dibendung. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Orang ramai di sekitar bandar raya ini yang dikesan memberi sedekah kepada golongan pengemis akan didenda sebanyak RM150 tidak lama lagi.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar kecil) berkata, ia bertujuan membendung kegiatan meminta sedekah membabitkan kanak-kanak dan orang pelarian yang menjejaskan imej negara.
Beliau berkata, wang denda itu akan dikumpulkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk disalurkan kepada golongan miskin manakala pengemis yang ditahan pula akan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan lain untuk tindakan lanjut.
"Undang-undang kecil dan prosedur operasi standard mengenai perkara itu akan diperkenalkan dalam tempoh seminggu dua lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelantikan ahli jawatankuasa badan penasihat rumah ibadat bukan Islam di sini semalam.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories