RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


'Sejoli' Dan 'Bila Joyah Dah Goyah' Ungguli Anugerah Lawak Warna

Posted: 19 Sep 2014 07:59 PM PDT


SHAH ALAM: Filem Sejoli dan drama Bila Joyah Dah Goyah berjaya mengungguli Anugerah Lawak Warna yang berlangsung di Teater Selangor di sini pada malam  Jumaat.

Sejoli menang besar apabila berjaya merangkul kesemua enam  kategori filem iaitu Filem Komedi Terbaik, Lakon Layar Komedi Terbaik, Skrip Komedi Terbaik, Pengarah Komedi Terbaik (Osman Ali), Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Maya Karin) dan Pelakon Komedi Lelaki Filem Terbaik (Bront Palarae).

Manakala drama Bila Joyah Dah Goyah menang lima kategori iaitu Pelakon Lelaki Komedi Terbaik (Kazar Saisi), Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Jasmin Hamid), Rancangan Komedi Terbaik (Bukan Bersiri), Skrip Komedi Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik (Jamal Khan).

Antara filem lain yang tercalon ialah Bikers Kental, Adnan Sempit 3, Kami Histeria dan Hantu Tok Mudim manakala drama pula ialah Osman Baku, Yem Rempit, Projek Memikat Suami dan Benci Vs Cinta.

Rancangan komedi lain yang tercalon pula ialah Warna Raya, Fuyoo Raya Zizan, Kaunter Kaboom Raya, Lari-Lari Raya, Jihan Tak Nak Balik Raya dan Pengancam Perkahwinan.

Sementara itu, pelakon Jepp (Sepahtu) meraih trofi Artis Lawak Lelaki Popular dan Sharifah Sakinah menang Artis Lawak Wanita Popular.

Sebanyak 21 kategori dipertandingkan di mana 15 daripadanya adalah bagi kategori filem dan drama, tiga kategori popular manakala tiga adalah anugerah khas juri.

Anugerah Lawak Warna dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Berikut adalah senarai pemenang mengikut kategori masing-masing:

KATEGORI FILEMFILEM KOMEDI TERBAIK*Sejoli (PrimeWorks Studio)

PELAKON KOMEDI LELAKI TERBAIK (FILEM)*Bront Palarae (Sejoli)

PELAKON KOMEDI WANITA TERBAIK (FILEM)*Maya Karin (Sejoli)

LAKON LAYAR KOMEDI TERBAIK (FILEM)*Sejoli (Osman Ali)

SKRIP KOMEDI TERBAIK FILEM*Sejoli

PENGARAH KOMEDI TERBAIK (FILEM)*Sejoli - Osman Ali

KATEGORI DRAMAPELAKON KOMEDI LELAKI TERBAIK (TV)* Kazar Saisi (Bila Joyah Dah Goyah)

PELAKON KOMEDI WANITA TERBAIK (TV)*Jasmin Hamid (Bila Joyah Dah Goyah)

RANCANGAN KOMEDI HIBURAN TERBAIK (BERSIRI)*Maharaja Lawak Mega 2013 (APSB/Homegrown)

SIRI TV KOMEDI TERBAIK (BERSIRI)*Oh My English - April Fool (Red Communication)

SIRI KOMEDI HIBURAN TERBAIK (BUKAN BERSIRI)*Karoot Komedia Raya

RANCANGAN KOMEDI HIBURAN TERBAIK (BUKAN BERSIRI)*Bila Joyah Dah Goyah

LAKON LAYAR KOMEDI TERBAIK (TV)*Jamal Khan - Bini Aku Hantu Langsuir

SKRIP KOMEDI TV TERBAIK*Bila Joyah Dah Goyah

PENGARAH KOMEDI TERBAIK (TV)*Nazir Jamaluddin - Bila Joyah Dah Goyah

KATEGORI POPULARARTIS LAWAK LELAKI PALING POPULAR*Jepp (Sepah)

ARTIS LAWAK WANITA PALING POPULAR*Sharifah Sakinah

SEGMEN KOMEDI RADIO PALING POPULAR*Johara Pagi Era - Sketsa Johara

ANUGERAH KHAS JURI* Hamid Gurkha  * Datuk Jamali Shadat* Senario

Filem'Nasi Tangas (Nasi Kangkang)' Guna Mantera Jawa

Posted: 19 Sep 2014 07:57 PM PDT


Adibah Yunus, Azwan Kombos dan Shima Anuar sebagai pelakon utama Nasi Tangas (Nasi Kangkang).
PETALING JAYA: Pengarah filem Nasi Tangas (Nasi Kangkang), Hashim Rejab mendedahkan mantera yang digunakan dalam filem tersebut merupakan mantera sebenar untuk amalan khurafat pembuatan nasi kangkang.

Hashim berkata, mantera tersebut diperoleh daripada kajiannya terhadap beberapa orang lama yang tahu tentang amalan tersebut.

"Saya guna mantera Jawa yang sebenar yang diperolehi daripada beberapa kajian terhadap orang tua-tua dulu yang tahu tentang pembuatan syirik ini.

"Bagaimanapun elemen-lemen lain yang sebenar saya tidak tunjukkan bagi mengelakkan ia ditiru oleh penonton, hanya beberapa perkara asas sahaja yang ditunjukkan," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Hashim mengakui banyak elemen kotor dan jijik sebenar yang cuba dipaparkan dalam filem ini terpaksa dipotong atas nasihat Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Katanya, pihak LPFM menganggap beberapa perkara tersebut boleh menganggu dan merosakkan kententeraman awam.

"Saya kecewa apabila babak-babak yang penting terpaksa dipotong kerana dikatakan sangat kotor dan menganggu kenteraman awam. Oleh yang demikian elemen yang menyedapkan cerita itu menjadi kurang daripada apa yang saya harapkan," ujarnya.

Sementara itu, Hashim berkata, tajuk asal filem tersebut Nasi Kangkang juga terpaksa ditukar kepada Nasi Tangas (Nasi Kangkang) supaya lebih sesuai untuk ditonton oleh golongan 13PL.

Dia juga tetap mahukan sub tajuk Nasi Kangkang  berikutan promosi yang dibuat sebelum ini menggunakan tajut tersebut.

"Pihak LPFM suruh ianya ditukar terus kepada Nasi Tangas tetapi saya minta ia tetap mengekalkan tajuk Nasi Kangkang sebagai sub tajuk agar orang ramai tahu ia adalah cerita yang sama.

"Kita sudah buat promosi lama sejak penggambaran lagi, jadi jika ditukar nanti penonton keliru dan fikir ia filem berbeza," ujarnya.

Filem ini dibarisi pelakon seperti Azwan Kombos, Adibah Yunus, Shima Anuar, Delimawati, Herman Tino dan Along Eyzendy.

Filem Nasi Tangas (Nasi Kangkang) ini mengisahkan tentang pasangan suami isteri Hairi lakonan Azwan Kombos dan Mira (Adibah Yunus) berantakan apabila Hairi terlalu akrab dengan kawan baiknya Fatin (Shima Anuar) sehingga menimbulkan rasa cemburu Mira.

Mira menggunakan jalan pintas untuk merampas semula cinta Hairi menggunakan cara amalan ilmu hitam dengan melakukan nasi kangkang agar Hairi mengikut segala arahannya.

Filem Nasi Tangas (Nasi Kangkang) mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 18 September 2014.

40 tahun tolak kerusi roda jual kuih

Posted: 19 Sep 2014 07:51 PM PDT


  • Wak Leh menolak kerusi roda yang diletakkan bekas kuih ke rumah pendudukWak Leh menolak kerusi roda yang diletakkan bekas kuih ke rumah penduduk

PONTIAN - Kehadirannya dinantikan penduduk sekitar Permas dan Serkat untuk mendapatkan kuih yang dijual di atas kerusi roda seawal jam 7 pagi, setiap hari.

Sarip Hamzah, 56, atau mesra disapa Wak Leh Kuih tidak menjadikan kecacatan fizikal alasan mengharapkan bantuan orang.

Melihat keadaan Wak Leh, sukar mempercayai dia mampu menolak kerusi yang sarat dengan kuih menuju ke rumah penduduk setiap hari, memandangkan tulang kaki kiri yang kecil dan tangan membengkok.

Namun, itu dilakukan Wak Leh yang hidup sebatang kara dan tidak pernah mendirikan rumah tangga sejak 40 tahun lalu.

Ketika ditemui, Wak Leh memberitahu, kecacatan fizikal sejak dilahirkan dan hidup di dalam keluarga yang susah menyebabkan dia berdikari untuk mencari sesuap nasi.
Menurutnya, dia menjaja kuih pada sebelah pagi dan mengutip botol serta tin kosong pada sebelah petang.

"Wak tak mahu hidup dengan simpati orang, selagi mampu Wak akan tolak kerusi roda untuk jual kuih.

"Kerusi roda ini ada orang kampung beri, Wak guna bawa kuih untuk dijual dari rumah ke rumah penduduk setiap hari," katanya.

Meskipun kerap tersembam jatuh kerana keadaan kaki tidak mampu menampung berat badan, dia tetap bersemangat untuk bangun dan menolak kerusi rodanya semula.

"Wak tak fikir rasa sakit, yang penting kuih habis. Setiap hari, jualan kuih karipap, pau sambal, roti goreng dan nasi lemak mampu cecah RM90. Wak akan dapat upah RM12," katanya.

Dia bersyukur kerana dikelilingi jiran yang sering membantu dan saudara yang membenarkannya tinggal bersama di Kampung Sungai Kuali selepas ibu bapanya meninggal dunia.

"Ramai minta Wak duduk rumah saja, tapi Wak tak mahu bergantung dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300," katanya.

Sementara itu, Jannah Abd Razak, 74, berkata, hampir 40 tahun dia membuat kuih untuk dijual oleh Wak Leh.

Dia menyifatkan Wak Leh seorang yang rajin mencari rezeki dan tidak pernah berputus asa walaupun kerap terjatuh ketika berniaga.

Kisah pencuri di surau mula tersebar

Posted: 19 Sep 2014 07:47 PM PDT


  • Amaran membabitkan wanita berkenaan yang disebarkan dalam kalangan pengguna Facebook, baru-baru ini.Amaran membabitkan wanita berkenaan yang disebarkan dalam kalangan pengguna Facebook, baru-baru ini.

SEREMBAN - Entah dari mana asalnya, tiba-tiba sahaja laman sosial Facebook mula heboh memperkatakan tentang seorang wanita yang didakwa aktif menjalankan kegiatan mencuri dalam surau beberapa pusat membeli-belah di sekitar Seremban 2, dekat sini, baru-baru ini.

Pencarian dilakukan Sinar Harian mendapati, amaran membabitkan wanita berkenaan kini tersebar luas dalam kalangan pengguna Facebook, di mana jumlahnya mencecah sekitar 1,900 perkongsian dan mendapat komen pelbagai pihak.  

Difahamkan, wanita itu menyasarkan barangan berharga kepunyaan pengunjung wanita, ketika mereka sedang sibuk menunaikan solat dalam surau disediakan oleh pusat membeli-belah.
Wanita yang masih belum diketahui identitinya itu didakwa berpura-pura baik dalam surau sebelum mencuri, di mana barangan berharga milik mangsa akan dimasukkan ke dalam beg lain bagi mengelakkan perbuatannya terbongkar.
Menurut perkongsian itu, terdapat empat kes kecurian berlaku membabitkan wanita yang sama di sebuah pasar raya, di sini.

Pada masa sama, kegiatan wanita itu juga disyaki tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya melibatkan beberapa pasar raya lagi dan si pelaku dijangka akan kembali ke lokasi disasarkan berselang dua minggu hingga sebulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengakui perkara itu.

Menurut Abu, pihak polis ada menerima beberapa laporan melibatkan kes kecurian dalam surau awam, terutamanya pusat membeli-belah sepanjang tahun ini.

"Bagaimanapun, kes yang kita terima setakat sekitar tiga hingga empat kes sahaja, tidak lebih dari itu. Kebanyakannya pula berpunca daripada kecuaian pemilik sendiri.

"Justeru, kita ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa di tempat awam walaupun di dalam surau atau rumah ibadat. Sedikit kelekaan dalam menjaga harta benda boleh membuka ruang kepada kepada sesiapa sahaja untuk mengambil kesempatan," katanya.

Helah peniaga daging kaut untung

Posted: 19 Sep 2014 07:45 PM PDT


  • Deraman nasihat peniaga daging jujur, tidak campur daging tempatan dan import.Deraman nasihat peniaga daging jujur, tidak campur daging tempatan dan import.

BUKIT PAYONG  – Peniaga perlu jujur, jangan kaut untung dengan penipuan. Demikian nasihat seorang peniaga daging segar, Deraman Botok, 70-an, ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Besar Bukit Payong, di sini, semalam.

Peniaga warga emas itu mengulas mengenai perkembangan negatif membabitkan segelintir peniaga daging segar di negeri ini yang didakwa sanggup mencampurkan daging lembu import dengan daging tempatan segar untuk memperdayakan pengguna.

Menurutnya, perkara itu sudah lama berlaku kerana sikap segelintir peniaga yang mahu mengaut keuntungan cepat walaupun tahu perbuatan mereka salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Kami di sini hanya jual daging segar... kami jual pada harga RM26 sekilogram. Untuk tulang di campur paru kami jual RM22 sekilogram dan kalau perut dengan daging cincang pula RM14 sekilogram.

"Permintaan terhadap daging segar biasanya menurun menjelang sambutan Aidiladha, namun itu bukanlah alasan kepada peniaga daging untuk mencampurkan daging segar dengan daging import," katanya.

Deraman berkata, pengguna perlu bijak memeriksa daging yang ingin dibeli kerana daging import lebih keras berbanding daging segar.

Sementara itu, seorang peniaga di sebuah pasar tani yang hanya mahu dikenal sebagai Mat Awang, 50-an berkata, dia turut mendapat aduan daripada orang ramai berhubung tindakan peniaga mencampurkan daging berkenaan.

"Mereka (pengguna) kata lebih yakin untuk beli daging segar di pasar tani berbanding di jalanan atau di pasar biasa kerana bimbang menjadi mangsa.

"Perkara ini didedahkan sendiri pelanggan yang pernah terkena," katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan Sinar Harian di daerah ini, semalam, tiada peniaga sama ada yang berniaga di tepi jalan atau pasar utama mencampurkan daging import dengan daging segar.

Sementara itu, rata-rata peniaga daging segar di pasar sekitar daerah ini turut kesal dengan perkembangan itu dan meminta agensi berkaitan membuat pemeriksaan agar peniaga terlibat dapat dikenakan tindakan sewajarnya.

Afgan cari wanita terpelajar

Posted: 19 Sep 2014 07:37 PM PDT




ALUNAN suaranya cukup gemersik melantunkan lagu-lagu balada syahdu bertemakan cinta. Setiap bait lirik yang terucap terasa begitu dekat, menangkap erat cuping telinga si pendengar.
Sejak bergelar artis rakaman sekitar tahun 2008, nama Afgan Syahreza begitu sinonim dengan karya-karya berbentuk sedemikian.
Single demi single yang dipasarkan oleh penyanyi berusia 25 tahun itu tidak pernah menghampakan peminat. Namun, realitinya, dirinya sendiri tidak pernah membicarakan tentang kisah cinta dan hal peribadi secara terbuka.
Berkesempatan bertemu Afgan ketika majlis ramah mesra bersama media di RedBox Plus Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi itu mengakui pernah menjalinkan hubungan cinta yang serius beberapa tahun lalu.
Namun, hubungan tersebut putus di tengah jalan kerana sukar mencapai keserasian.
Mahu serius bercinta
"Siapa bilang (kata) saya tidak pernah bercinta?" soalnya dengan nada berseloroh sambil mengerutkan dahi.
"Saya pernah menjalinkan hubungan cinta yang agak serius suatu ketika dulu. Namun, atas sebab kurang serasi, kami mengambil keputusan untuk berpisah.
"Ini bukan pertama kali saya bercinta dan kemudiannya putus. Sudah berkali-kali. Mungkin saya belum bertemu dengan wanita yang benar-benar sesuai untuk dijadikan isteri," jelas pelantun lagu Jodoh Pasti Bertemu itu sambil tersenyum.
Ditanya bilakah tuan empunya diri bakal menamatkan zaman bujang, tutur Afgan, dia kini masih mencari calon isteri yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
"Sekarang saya sudah mula memikirkan tentang hubungan serius dan perancangan masa hadapan. Jika diberi peluang untuk memilih, biarlah wanita itu datang daripada latar belakang yang berbeza daripada saya.
"Tidak salah untuk bercinta dengan individu yang turut terlibat dalam industri hiburan, tetapi masing-masing akan mempunyai jadual yang ketat. Justeru, perkara tersebut mungkin menyukarkan hubungan kami nanti," kongsinya.
Menyambung perbualan mengenai ciri-ciri gadis pilihan hatinya, selain berambut panjang, Afgan selesa jika bakal teman wanitanya itu nanti merupakan seorang gadis terpelajar dan mampu membuatnya ketawa.
"Sudah banyak kali terkena. Orangnya cantik dan bergaya. Tetapi hakikatnya, kosong!" ujar Afgan sambil tertawa.
SELAIN menyanyi, Afgan kini mengorak langkah sebagai seorang pengarah muda apabila mengarahkan sebuah filem berjudul Gila Jiwa.


Lagu rancak
Menyentuh tentang kariernya yang kian berkembang, Afgan kini sibuk mempromosikan single ketiganya berjudul Pesan Cinta.
Sarat dengan irama rancak, lagu ciptaannya bersama Inu Numata dan Nino Ran itu merupakan platform bagi memperkenalkan sisi berbezanya kepada peminat.
"Sejujurnya, saya cukup gemar menyanyikan lagu-lagu berentak rancak. Walaupun pada hakikatnya saya lebih sesuai menyanyikan lagu balada, namun, semangat ketika membawakan lagu rancak secara langsung begitu berbeza sekali.
"Jika membawakan seleksi lagu rancak ketika mengadakan persembahan pentas, saya berasa sangat teruja apabila melihat penonton ikut menari bersama.
"Disebabkan itu, saya gemar menyanyikan lagu-lagu seperti itu ketika mengadakan persembahan pentas di hadapan peminat. Puas melihat penonton yang hadir terhibur," katanya yang bakal mengadakan sebuah konsert di Jakarta, Indonesia pada 14 Februari tahun depan.
Menulis lagu
Dalam diam, graduan Universiti Monash, Petaling Jaya, Selangor itu aktif dalam bidang penulisan lagu. Terbaharu, karyanya berjudul Sisakan Hatimu telah dimuatkan dalam album kesembilan penyanyi terkemuka Indonesia, Datuk Rossa.
Afgan memberitahu, awalnya, dia mencipta Sisakan Hatimu khas untuk album terbaharunya yang akan dipasarkan pada awal tahun hadapan. Namun, apabila lagu tersebut siap dirakam, ia kedengaran sedikit feminin dan sesuai untuk dinyanyikan oleh penyanyi wanita.
"Lagu ini saya cipta untuk diri sendiri. Tetapi setelah beberapa kali mendengar, ia juga sesuai untuk dibawakan oleh penyanyi wanita.
"Alhamdulillah, setelah Datuk Rossa mendengar demo Sisakan Hatimu, dia terus bersetuju untuk memuatkan lagu tersebut dalam album terbaharunya," tutur Afgan.
Mengakui berasa gembira dengan pencapaiannya itu, Afgan merancang untuk terus berkarya dan mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi lain pada masa akan datang.
"Menulis lagu bukan perkara yang senang. Kita seperti berkongsi sebahagian daripada diri kita dengan khalayak umum.
"Namun saya anggap ia seperti terapi untuk diri. Menerusi proses ini, kita dapat meluahkan perkara-perkara yang terbuku dalam jiwa," katanya.

BEGITU laris di negara kelahirannya, Indonesia dan Malaysia, Afgan kini sibuk mempromosikan single ketiganya berjudul Pesan Cinta.


Ku Mohon
Pada bulan Ramadan lalu, Afgan telah mengeluarkan sebuah lagu bertemakan keagamaan berjudul Ku Mohon. Istimewanya, Afgan memilih untuk merakamkan lagu yang pernah dipopularkan oleh ratu jazz tanah air, Datuk Sheila Majid itu kerana benar-benar menyukai lagu tersebut sejak ia dipasarkan sekitar tahun 1998.
Tuturnya, lagu ciptaan Mac Chew dan Sheila Majid itu merupakan antara lagu kegemarannya sepanjang zaman.
"Pertama kali saya mendengar lagu Ku Mohon, waktu itu berusia 11 tahun. Pada waktu itu, saya berasa sangat dekat dengan makna di sebalik lirik lagunya.
"Jadi, setiap kali mendengar lagu ini ketika dalam keadaan sedih, saya terus kembali bersemangat. Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk merakamkan lagu tersebut sebagai lagu keagamaan pertama saya," ujarnya sambil menyifatkan Sheila Majid sebagai salah seorang idolanya dalam industri hiburan.
Menurutnya, jika diberi kesempatan, dia ingin bertemu dan merakamkan lagu bersama penyanyi Malaysia pertama yang pernah meraih anugerah Artis R&B Wanita Terbaik di Anugerah BASF, Indonesia pada tahun 1987 itu.
"Saya belum berpeluang untuk bertemu dengan beliau. Bagaimanapun, saya menanamkan hasrat untuk bekerjasama dengan Sheila Majid suatu hari nanti," ujar Afgan penuh yakin.
Pusat karaoke
Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, Afgan sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan membuka beberapa cawangan pusat karaoke Detones by Afgan di Jakarta, Indonesia.
"Idea untuk membuka pusat karaoke ini tercetus kerana hobi saya yang suka menyanyi. Kebetulan, bakat saya juga dikesan oleh seorang produser muzik setelah dia mendengar nyanyian saya di sebuah pusat karaoke kira-kira tujuh tahun lalu.
"Justeru, selepas dipelawa oleh seorang rakan kongsi, maka lahirlah Detones by Afgan yang memulakan operasinya pada bulan Mei lalu," katanya yang kini sudah memiliki empat cawangan pusat karaoke di sekitar Jakarta.
Mengakui masih hijau dalam bidang perniagaan, Afgan berhasrat untuk memperluaskan bisnesnya tersebut di beberapa kawasan luar kota kelahirannya.
"Secara perlahan-lahan, saya mahu mengembangkan perniagaan ini ke beberapa negeri seperti Palembang, Bandung, dan Kalimantan.
"Saya tidak mahu terburu-buru. Biar lambat asal pulangannya memuaskan," ujarnya menutup bicara.


Betty ketepikan seni demi Julia

Posted: 19 Sep 2014 07:36 PM PDT

BETTY akan merakamkan semula lagu popular kumpulan Lela, Sampai Bila bersama adiknya, Rifki.


USIA puteri sulungnya, Julia Claire Dargus sudah memasuki angka lapan bulan. Sepanjang tempoh itu, dramatis berdarah campuran Arab-Melayu, Betty Banafe, 34, sedang melalui detik indah bergelar seorang ibu.
Betty pernah berjanji, dari saat anaknya lahir, fokusnya bukan lagi kepada seni. Lantaran sibuk menguruskan anak yang sedang membesar, bugar dan menggebu di depan mata, situasi bahagia itu menyukarkan Betty untuk kembali aktif ke lapangan seni.
"Saya pernah berjanji pada diri sendiri dan syarikat rakaman saya, Universal Music Malaysia untuk bercuti rehat selepas bersalin paling lama selama enam bulan.
"Tapi sebagai ibu yang baru menyambut cahaya mata pertama, payah untuk saya melepaskan anak saya berjauhan walaupun untuk keluar bekerja.
"Julia pula sedang membesar dan memerlukan perhatian daripada saya, tambahan pula dia masih menyusu badan. Jadi, kelonggaran waktu untuk saya semakin terbatas," ujarnya tentang pengalaman pertama menjadi ibu.
Berkongsi kegembiraan bersama Julia, Betty bersyukur puterinya itu tidak banyak meragam. Pernah sekali di membawa anaknya ke set penggambaran sebuah drama sekitar bulan Mei lalu.
"Saya pernah sekali membawa Julia ke lokasi penggambaran sebuah drama arahan Aziz M. Osman beberapa bulan lalu, mujurlah Julia tidak meragam asal diberikan minum susu.
"Tambah bernasib baik lagi, penggambaran itu tidak mengambil masa yang terlalu lama dan pengarah juga memahami keadaan saya yang baru pertama kali menjadi ibu," ujarnya.
Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 34, telah mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihannya, Bruce Dargus pada 8 Disember 2012 di Johor dan telah melahirkan Julia pada 1 Disember 2013.

KEHADIRAN anak sulungnya, Julia telah merubah jadual harian Betty. Paling terkesan, dia kini sangat susah mahu berjauhan dengan Julia untuk tempoh waktu yang lama.


Diajak berbicara tentang karier seni yang masih dirindui, sebenarnya Betty masih menantikan waktu yang sesuai untuk suntingan akhir klip video single terbaharu nyanyiannya yang berjudul Naluri. Single dan penggambaran klip video lagu itu telah dirakamkan sekitar tahun lalu sebelum Betty hamil.
Memberi tanda kepada keinginannya untuk kembali menjalani rutin sebagai anak seni, Betty juga bakal merakamkan kembali lagu nyanyian kumpulan Lela, Sampai Bila bersama adiknya, Rifki Banafe.
"Saya dan Rifki pernah menonton rancangan Idola Kecil yang memperlihatkan bakat luar biasa kanak-kanak menyanyikan semula salah satu lagu daripada kumpulan Lela iaitu Kenangan Silam.
"Jadi, terlintas dalam fikiran kami untuk memberikan nafas baharu kepada lagu hit Sampai Bila yang pernah popular sekitar tahun 1990-an dahulu.
"Selepas membentangkan idea kepada syarikat rakaman saya, mereka bersetuju untuk merakamkan semula lagu itu dan melibatkan kolaborasi bersama adik saya, Rifki. Ini kerana Rifki merupakan anggota kumpulan Lela suatu ketika dulu," ujarnya tentang projek terkini yang sedang disusunnya.


Kurus bukan kerana merancang anak

Posted: 19 Sep 2014 07:35 PM PDT

FARAWAHIDA seronok hidup berumah tangga kerana suaminya, Shukur seorang lelaki yang memahami.


SEMAKIN berseri wajah penyanyi Farawahida selepas lapan bulan mendirikan rumah tangga dengan pasangan, Abdul Shukur Mohd. Zain, 30, pada 16 Disember lalu.
Mata penyanyi lagu Tanpa Mu itu membuahkan rasa cinta tatkala perihal hidup berumah tangga dilayangkan kepadanya.
Tiga bulan selepas mendirikan rumah tangga, cerita Farawahida, dia dan suaminya pergi menikmati bulan madu di negara matahari terbit, Jepun.
Dua minggu bercuti ke Jepun, penyanyi berusia 29 tahun itu mengakui, begitu teruja dapat bermain salji buat pertama kali dalam hidupnya.
"Alhamdulillah, percutian kami ke Jepun mudah dan menyeronokkan. Selama dua minggu berada di sana, kami tinggal di rumah kakak saya, Marliana.
"Jadi, dapatlah jimat perbelanjaan penginapan dan juga makanan. Saya juga berpeluang bermain salji buat pertama kalinya ketika berada di sana," kongsi Farawahida teruja.
Mengakui suaminya bukan seorang yang romantik, namun, kata Farawahida, Shukur pandai mengemas rumah. Berbeza dengan dirinya yang tidak suka mengemas rumah tetapi lebih suka memasak.
Tidak hanya suka memasak lauk-pauk, penyanyi berdarah campuran Melayu dan juga Pakistan itu juga semakin obses memasak hidangan pencuci mulut berpandukan resipi di internet.
"Satu kepuasan pada diri saya apabila dapat memasak hidangan pencuci mulut buat suami dengan menggunakan barang-barang makanan berlebihan yang ada di dalam rumah.
"Lagi satu, suami juga tidak suka makan makanan yang berminyak dan bersantan. Bayangkanlah di rumah kami mempunyai satu guni stok kentang sebab suami memang 'gila' makan kentang. Tidak kisah sama ada kentang itu dimasak sup atau dibakar begitu sahaja," jelas Farawahida yang berasa bangga apabila melihat tubuh suaminya semakin berisi.
Anak
Biarpun masih dalam mood berbulan madu, Farawahida mengakui, dia terpaksa berpisah seketika dengan suami sepanjang bulan Ramadan lalu demi menguruskan perniagaan lauk-pauk keluarganya di Taiping, Perak.
"Tahun pertama sebagai isteri, saya terpaksa berpisah dengan suami selama lima hari disebabkan keluarga saya di Taiping mula berniaga lauk-pauk. Saya berulang-alik dari Taiping ke Kuala Lumpur sepanjang bulan Ramadan lalu.
"Alhamdulillah, suami tiada halangan memandangkan dia juga sibuk dengan perniagaannya," ungkap Farawahida yang berhasrat membuka restoran dan butik pakaian sendiri pada tahun depan.
Melihat pada tubuhnya yang semakin langsing, dedah Farawahida, ada yang beranggapan dia kurus kerana merancang anak.
Namun, anak keempat daripada enam beradik itu segera menyangkal dan mengatakan, dirinya belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata.
"Memang ada yang kata saya kurus kerana merancang. Tetapi, sebenarnya tidak. Umur saya sudah 29 tahun dan sudah tentu saya mahukan anak. Lebih-lebih lagi apabila melihat kawan-kawan yang baru berkahwin juga sudah mengandung. Tetapi itu rezeki mereka. Saya pula, belum ada rezeki anak," luahnya.
Masih menyanyi
Biarpun sudah mendirikan rumah tangga, namun, kongsi Farawahida, suaminya tidak pernah menyekat minatnya untuk terus menyanyi.
Masih mendapat undangan menyanyi, Farawahida juga cukup teringin merakamkan single terbaharu selepas hampir tiga tahun tiada single baharu.
"Saya memang ingin buat single baharu. Kali terakhir, saya keluar dengan single Jangan Tanya Aku Lagi pada 2011. Sebenarnya, ada beberapa lagu yang saya dapat daripada komposer, tetapi, saya tidak mahu tangkap muat menerimanya," ujarnya yang menyukai lagu berentak balada dengan lirik yang mudah dan santai.
Disoal tentang cabang lakonan pula, ternyata Farawahida tidak mempunyai kelapangan waktu biarpun ada tawaran yang datang.
Farawahida juga mengakui, dia hanya sempat berlakon dalam dua buah karya iaitu filem Baik Gila dan teater Sinbad.


Bilionair bayar RM6.38 bilion sewa pulau 25 tahun

Posted: 19 Sep 2014 07:29 PM PDT



GAMBAR pemandangan Pulau Fuga, Filipina yang diambil dari udara.


MANILA - Seorang bilionair dari Amerika Syarikat (AS) menyewa sebuah pulau di utara Filipina selama 25 tahun dengan bayaran berjumlah £1.2 bilion (RM6.38 bilion), lapor MailOnline semalam.
Billionair tersebut yang tidak didedahkan identiti itu menyewa Pulau Fuga yang mempunyai keluasan 9,712 hektar. Ia terkenal dengan pantai yang putih serta air laut yang berwarna biru.
Tujuan billionair itu menyewa pulau berkenaan masih belum diketahui tetapi dia berkemungkinan mahu membina sebuah resort pelancongan mewah.
Sebahagian pulau tersebut didiami kira-kira 2,000 penduduk yang menetap di sebuah perkampungan tradisional yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.
Pulau itu dimiliki oleh syarikat Fuga Island Holdings dan hartanah itu diiklankan untuk disewa baru-baru ini.


Salon tawar perkhidmatan warnakan haiwan

Posted: 19 Sep 2014 07:28 PM PDT



SEEKOR kucing diwarnakan hijau dan bulunya dipotong menyerupai seekor naga.


MOSCOW - Sebuah salon haiwan peliharaan di sini menawarkan perkhidmatan mewarna serta memotong bulu anjing dan kucing dengan gaya yang luar biasa, lapor akhbar MailOnline semalam.
Salon berkenaan menawarkan perkhidmatan mewarna bulu haiwan kesayangan masing-masing dengan pelbagai warna. Pekerja di salon tersebut juga berkemahiran untuk memotong bulu haiwan tersebut dengan pelbagai gaya menarik.
Pemilik salon itu, Daria Gotz berkata, mereka menggunakan bahan pewarna semula jadi dan mesra haiwan agar kesihatan anjing atau kucing tidak terjejas.
"Kami menggunakan bahan pewarna semula jadi supaya ia tidak memberi kesan terhadap haiwan yang dibawa ke sini.
"Kami juga menawarkan perkhidmatan memotong bulu anjing atau kucing dengan pelbagai gaya yang unik," katanya.

Toksoplasmosis mudah berjangkit

Posted: 19 Sep 2014 07:27 PM PDT


KUCING yang disahkan dijangkiti parasit itu perlu dikuarantin.


KITA akan berasa gembira sekiranya kucing peliharaan kita berjaya menangkap tikus atau mana-mana serangga yang berkeliaran di dalam atau luar rumah.
Kita juga pasti teruja apabila melihat si comel bermain-main dengan tikus yang berjaya ditangkap itu. Tikus yang masih hidup itu akan dibuli, dilepas, dikejar, ditempeleng dan ditangkap semula sebelum dimakan.
Bagaimanapun, tanpa disedari kucing peliharaan kita terdedah kepada bahaya sekiranya memakan tikus atau haiwan perosak yang sudah dijangkiti sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai Toxoplasma Gondii yang membiak di dalam usus, najis dan tanah. Jangkitan yang diakibatkan oleh parasit ini dikenali sebagai Toxoplasmosis.
Toksoplasmosis merupakan sejenis penyakit yang bersifat zoonotik iaitu boleh berjangkit kepada benda-benda hidup termasuk manusia.
Selain berjangkit daripada haiwan perosak yang dimakan, parasit itu juga boleh didapati atau dijumpai dengan mudah di kawasan persekitaran yang kotor, kawasan bernajis, daging mentah atau masakan yang tidak dibersihkan dan dimasak dengan betul.
Kucing yang tidak dikurung, dilepas keluar dan berkongsi tempat najis yang sama dengan kucing lain turut terdedah kepada parasit berbahaya itu.
Apabila kucing tersebut dijangkiti, parasit itu akan membiak dalam usus dan telur yang dikenali sebagai oocyst akan dikeluarkan daripada badan melalui najis.
Parasit ini akan mengeluarkan oocyst selama dua minggu.
Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan si comel telah dijangkiti parasit itu iaitu cirit-birit, kekurangan selera makan, keguguran (pada kucing betina), penurunan berat badan dan kegagalan saraf berfungsi dengan baik.
Sekiranya si comel kesayangan anda mengalami simptom-simptom ini, veterinar mencadangkan supaya ia dibawa segera ke klinik untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Kucing yang disahkan dijangkiti parasit Toxoplasma Gondii itu perlu menjalani langkah-langkah keselamatan seperti diletakkan dalam satu kawasan kuarantin.
PARASIT protozoa yang dikenali sebagai Toxoplasma Gondii membiak dalam usus dan najis kucing.


Imunisasi
Parasit ini mudah menjangkiti manusia yang mempunyai sistem imunisasi rendah seperti wanita mengandung, warga emas, kanak-kanak dan pesakit HIV. Golongan ini disarankan tidak bermain atau bersentuhan dengan kucing atau haiwan yang dijangkiti.
Anda juga perlu membersihkan kawasan kuarantin itu sebanyak dua atau tiga kali sehari dengan menggunakan sarung tangan pakai buang dan peralatan lain bagi mengelak bakteria itu berjangkit kepada kita.
Bagaimanapun, parasit Toxoplasma Gondii masih boleh kawal dengan menggunakan antibiotik spesifik yang mampu menghalang parasit tersebut daripada terus membiak.
Selain jangkitan kepada kucing peliharaan, parasit Toxoplasma Gondii juga boleh berjangkit kepada manusia menerusi proses pengurusan atau pembersihan daging, ayam, ikan yang tidak bersih atau sempurna.
Persekitaran yang kotor dan tercemar, air minuman yang tidak dimasak atau tercemar dan menerusi najis haiwan yang telah dijangkiti atau sentuhan terus dengan haiwan lain yang telah dijangkiti.
Bagi individu yang telah dijangkiti, mereka akan menghadapi simptom-simptom seperti demam, susah untuk bernafas, sistem saraf tidak berfungsi dengan betul seperti sawan atau kurang keseimbangan badan, selesema yang ringan tetapi kerap manakala bagi wanita yang mengandung, keguguran boleh berlaku.


Snek sihat sepanjang hari

Posted: 19 Sep 2014 07:25 PM PDT

ESTHER (tengah) menunjukkan menu makanan ringan baharu yang diperkenalkan di restoran KRR, pusat beli-belah Encorp Strand, Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.


PAKAR dalam pemanggangan ayam, Kenny Rogers Roasters (KRR) memperkenalkan empat menu makanan ringan baharu. Ia merupakan snek yang ditawarkan sebagai pelengkap juadah utama ataupun dipesan secara ala carte.
Keempat-empat menu itu ialah crispy sea-rific wonton iaitu wantan berisi bebola ikan, much-shroom munchies yang berteraskan cendawan, fiery flaming wings yang merupakan kepak ayam dan hot chic tenders iaitu ayam berpotongan kecil.
Kumpulan snek itu dipecahkan kepada dua cita rasa, pedas dan tidak pedas. Penggemar makanan pedas pasti menggemari fiery flaming wings dan hot chic tenders. Crispy sea-rific wonton dan much-shroom munchies pula sesuai untuk kanak-kanak kerana ia tidak pedas.
Tambahan
Sekiranya pelanggan memesan set Kenny's share-it platter, mereka akan memperoleh keempat-empat snek dengan tambahan bebola daging ayam dan sosej ayam koktel. Ia turut disajikan bersama sos barbeku yang menjadi signatur KRR.
"Apabila bercakap tentang snek, pasti orang mengelaskannya sebagai makanan tidak sihat. Namun, perspektif itu tidak sesuai dilabelkan kepada snek KRR.
"Kesemua snek kami dimasak menerusi teknik panggang. Ia tidak digoreng seperti kebanyakan makanan ringan. Jadi, pelanggan boleh menikmati keenakan snek dan dalam masa yang sama, mengekalkan kesihatan.
"Selain sesuai dinikmati ketika minum petang, ia juga boleh dipesan ketika bersantai dengan rakan-rakan pada bila-bila masa sepanjang waktu operasi restoran," jelas Timbalan Pengurus Besar, Berjaya Roasters (M) Sdn. Bhd., Esther Woo ketika ditemui pemberita di restoran KRR, pusat beli-belah Encorp Strand, Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.
Menerusi pembelian hidangan utama di KRR termasuk salad, ayam, pasta dan menu sihat, pelanggan boleh memilih salah satu daripada empat snek tersebut pada harga RM6.
Pesanan secara ala carte pula ditetapkan pada harga RM9.90 untuk setiap snek manakala set Kenny's share it-platter dijual pada harga RM23.90.


Warung lambang perpaduan rakyat

Posted: 19 Sep 2014 07:24 PM PDT

SUHAIMI menggunakan material bahan buangan seperti kayu yang diletakkan bersilang, bekas minuman, batu lesung dan kereta sorong dalam karyanya.


SEKALI imbas menyaksikan karya tiga dimensi (3D) eksperimentasi Warung Kita: Teh Tarik dan Nasi Lemak terdapat pelbagai naratif yang ingin disampaikan.
Mengangkat tema warung, pengkarya terkemuka tanah air, Suhaimi Fadzir cuba menyampaikan isu perpaduan melalui gabungan seni dan arkitek.
Suhaimi yang terkenal dengan seni kontemporari, campuran media dan campuran lukisan serta arkitek (archipainting) memastikan setiap elemen dan objek yang disemadikan dalam karyanya membawa tafsiran yang bermakna.
Katanya, tema warung diangkat kerana Malaysia yang kaya dengan pelbagai makanan menarik selain keupayaan warung menyatupadukan rakyat.
"Karya ini terhasil melalui pengalaman peribadi dan pemerhatian terhadap setiap peristiwa yang berlaku di warung.
"Uniknya menjamu selera di warung, kita boleh menyaksikan pelbagai kaum India, Cina dan Melayu duduk dalam suasana harmoni sambil menikmati hidangan masing-masing," katanya ketika ditemui di Art Cube Gallery, The Intermark Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya lagi, selain menggambarkan perpaduan, ia turut membawa maksud jati diri. Imej seperti nasi lemak dan teh tarik digambar secara simbolik di atas kanvas tersebut.
Teh tarik dan nasi lemak adalah perlambangan kepada jati diri rakyat Malaysia. Jelasnya, ke mana sahaja dia merantau kedua-dua hidangan itu pasti dirindui.
"Bukan sahaja saya, malah rakyat Malaysia yang merantau di luar negara pasti merindu dua hidangan ini. Ke mana sahaja kita berada, jiwa Malaysia kita sentiasa kukuh," katanya yang sering berulang-alik ke Amerika Syarikat.
Mempunyai kepakaran sebagai arkitek selama 10 tahun, Suhaimi mempraktikkan kelebihan itu dalam setiap karyanya.

KOMPOSISI setiap material yang digunakan perlu ditempatkan dengan kiraan sudut dan matematik yang tepat supaya ia tidak runtuh.


Dalam karya Warung Kita: Teh Tarik dan Nasi Lemak, komposisi setiap material yang digunakan perlu ditempatkan dengan kiraan sudut dan matematik yang tepat supaya ia tidak runtuh.
Bahan buangan seperti kayu yang diletakkan bersilang, bekas minuman, batu lesung dan kereta sorong antara material yang terdapat dalam karyanya.
Suhaimi menjelaskan setiap material yang diletakkan membawa maksud yang berbeza. Ia juga material yang sering terdapat di sebuah warung.
"Walaupun ini adalah karya eksperimentasi, kita tidak boleh sewenang-wenang meletakkan segala material dalam sesebuah karya. Kebanyakan material yang digunakan adalah alatan lazim di sebuah warung," katanya yang mengambil tempoh selama dua tahun untuk menyiapkan karya itu.
Penggunaan pelbagai lapisan warna ceria antaranya, merah dan kuning diaplikasikan dalam karyanya itu.
Bukan itu sahaja, aspirasi karya Suhaimi turut menyerlahkan daya kreativiti dan kehalusan dalam setiap sentuhan seni yang diceburinya sejak 30 tahun lalu.
Karya Suhaimi boleh disaksikan di Artcube Gallery dengan kerjasama Core Gallery sehingga 21 September ini pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam.


Masjid India teragung

Posted: 19 Sep 2014 07:22 PM PDT


MASJID INDIA, Kuala Lumpur menjadi tumpuan umat Islam di ibu kota untuk beribadat.


MASJID India terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur iaitu di atas sebidang tanah yang di anugerahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah kelima kepada seorang peniaga berketurunan India Muslim yang dibina pada tahun 1863.
Peringkat awal pembuatannya, masjid itu dibina menggunakan kayu dan papan sahaja.
Pada tahun 1963 Masjid India diroboh untuk dijadikan bangunan tiga tingkat. Penyempurnaan dilakukan oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah melibatkan penambahbaikan ruang solat berikutan pertambahan jumlah jemaah.
Selama 136 tahun Masjid India terus berdiri dengan megah sebagai sebuah masjid teragung. Masjid berkenaan menjadi tumpuan kaum India Muslim dan saudara seagama melakukan aktiviti keagamaan.
Masjid India terletak di kawasan tengah kota yang sibuk dengan aktiviti perniagaan dan komersial. Kawasan sekitar majid menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong asing membeli-belah.
Pada hari biasa, persekitaran Masjid India hingar dengan kewujudan peniaga mencari rezeki. Di tengah hiruk-pikuk kota raya, kedengaran suara penjual menarik pelanggan ke premis masing-masing.
Rata-rata peniaga menjual pakaian, aksesori dan makanan yang enak. Busana etnik India seperti sari terdapat di premis sekitar masjid tersebut.
Namun, hidangan masakan ala India yang lazat pasti menjadi tarikan pengunjung. Bauan kari, rempah-ratus yang diadun berlegar di sekitar masjid itu.
Salah satu keunikan Masjid India ialah khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Tamil sebelum diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris melalui tayangan skrin multimedia.

LELAKI ini membawa sejadah sendiri untuk menunaikan solat Jumaat kerana pada hari tersebut jumlah jemaah melimpah hingga ke luar bangunan masjid.


Aktiviti
Masjid India juga menjalankan pelbagai aktiviti menyemarakkan program keagamaan seperti Maulud Nabi, kelas tafsir al-Quran, ceramah umum serta aktiviti memasak bubur lambuk terutama pada bulan Ramadan.
Kini, masjid yang berusia hampir dua abad itu menjadi saksi kewujudan golongan India Muslim.
Ia sekali gus mengangkat martabat agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Di samping itu, kewujudan masjid tersebut menjadi kayu pengukur pemahaman masyarakat dalam hidup pelbagai agama di negara ini.
Terletak di lokasi segi tiga yang strategik, Masjid India dikelilingi oleh Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi dan Jalan Ampang.
Akses pengangkutan awam juga mudah sama ada menaiki aliran transit ringan (LRT), teksi dan bas di bandar raya itu.
Nama Jalan Masjid India itu sendiri wujud kerana keunikan Masjid India secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada komuniti India Muslim di kota metropolitan ini.
Masjid India adalah sebuah khazanah kepada negara yang perlu dihargai. Generasi masa hadapan khususnya perlu menyaksikan sendiri keunikan masjid tersebut di ibu negara Malaysia ini.


Bahaya zoonosis kepada manusia

Posted: 19 Sep 2014 07:21 PM PDT



CUCI tangan sebelum makan untuk mengelak daripada dijangkiti bakteria.


KEBANYAKAN penyakit yang biasanya dihidapi seekor kucing tidak boleh berjangkit kepada manusia.
Namun, ada bakteria, kulat, virus atau penyakit-penyakit lain yang dihidapi oleh si comel ini boleh mendatangkan bahaya kepada pemiliknya.
Pemilik perlu mengambil langkah-langkah keselamatan pada tahap maksimum jika kucing kesayangan anda disahkan menghidap penyakit zoonosis iaitu sejenis penyakit yang boleh berjangkit antara haiwan dan manusia.
Namun, menjaga kebersihan kotak najis dengan sempurna, vaksinasi dan sentiasa mengemas kini rekod nyah parasit dapat mencegah semua ini berlaku.
Ada banyak cara penyakit ini berjangkit tetapi punca utama ialah melalui sentuhan pada rembesan, lelehan, atau bahan kumuhan yang keluar dari mulut si comel yang dijangkiti seperti air liur dan najis.
Penyakit ini boleh dipindahkan melalui parasit-parasit yang mendominasi si comel menerusi makanan dan minuman melalui jilatan si comel yang sakit itu. Gigitan si comel yang berpenyakit boleh mengakibatkan jangkitan.
Hakikatnya, kesan penyakit ini sangat minimum kecuali terhadap bayi, kanak-kanak, individu yang mengidap AIDS, warga emas, ibu-ibu mengandung dan pesakit kanser yang dalam rawatan.
Membengkak
Jangkitan biasanya disebabkan oleh cakaran daripada kucing-kucing yang dijangkiti bakteria bartonellosis. Antara simptom-simptom seseorang dijangkiti penyakit itu ialah nodus limfa membengkak terutamanya sekitar kepala, leher dan anggota badan sebelah atas.
Pemilik juga akan mengalami demam, sakit kepala, sakit sendi dan otot, keletihan dan hilang selera makan.
Jika individu yang dijangkiti itu lelaki atau wanita yang sihat, mereka boleh sembuh sendiri tetapi mengambil masa yang agak panjang. Namun, jika sebaliknya, mereka mungkin akan mengalami kesan buruk termasuk kematian.
Salmonelosis merupakan sejenis bakteria yang boleh mengakibatkan cirit-birit, demam dan sakit perut yang berlarutan. Salmonelosis ini biasanya ada pada kucing yang diberi makan daging, ikan atau ayam mentah.
Najis yang dikeluarkan akan menjadi perumah kepada bakteria tersebut dan menjangkiti makhluk lain di sekitar mereka. Sesetengah kes jangkitan bakteria ini memerlukan pemerhatian atau rawatan khas.
Akhiri hayat
Parasit seperti kutu, hama, cacing terutama cacing kerawit dan cacing pita menjangkiti manusia tanpa disedari. Atas alasan itulah, veterinar menggalakkan pencegahan awal berbanding rawatan.
Jangkitan kulat (sporotricosis) sangat biasa kepada kucing. Si comel yang terkena jangkitan ini akan dibawa ke klinik dan kebiasaannya kes ini dapat dikesan pada peringkat awal.
Veterinar mencadangkan rawatan intensif untuk membantu si comel sembuh dan veterinar turut mengambil kira keselamatan pemilik dengan mencadangkan mereka untuk mengakhiri hayat si comel atau put to sleep (PTS).
Sesetengah pemilik sangat sensitif dengan perkataan PTS tetapi veterinar akan menjelaskan mengenai punca, akibat dan alternatif sekiranya mereka perlu membuat keputusan. Namun, ia bukanlah pilihan utama selagi terdapat rawatan alternatif.
MENGAKHIRI hayat si comel bukan pilihan utama selagi masih terdapat rawatan alternatif.


Sesetengah kes sporotricosis akan sembuh dan si comel menjadi gemuk.
Jangkitan protozoa organisma bersel tunggal ini boleh mengakibatkan jangkitan yang bahaya. Terdapat tiga protozoa berbahaya iaitu cryptosporidiosis, giardiasis dan toxoplasmosis.
Cryptosporidiosis dan giardiasis boleh mengakibatkan cirit-birit serta merebak melalui air yang tercemar. Ia juga boleh berjangkit menerusi kotak najis yang tidak dibersihkan dengan betul.
Toxoplasmosis pula berpunca daripada protozoa parasit yang dikenali sebagai toxolasmagondii. Individu yang ada masalah imuniti, kanak-kanak dan ibu mengandung paling mudah dijangkiti serta boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius.
Bakteria toxolasmagondii ini mudah membiak pada persekitaran yang kotor terutama pada kotak najis dan bekas makanan yang tidak dibersihkan.
Ia juga boleh didapati pada makanan yang tidak dimasak dengan sempurna. Lazimnya, si comel akan dipersalahkan sebab menyebarkan bakteria ini tetapi hakikatnya, pemilik yang bersalah kerana tidak menjaga kebersihan persekitaran dan kebajikan si comel.
Jangkitan virus
Kebanyakan virus kucing tidak akan menjangkiti manusia kecuali Rabies Virus (virus penyakit berjangkit) dan disebabkan sifatnya dikategorikan sebagai zoonosis, kebanyakan negara mewajibkan semua kucing yang diimport atau dieksport diberi vaksin Rabies.
Sangat penting untuk diketahui kerana Rabies boleh mengakibatkan kematian. Biasanya, kucing liar atau haiwan liar seperti kelawar dan rakun menjadi punca penyebaran. Amat penting untuk memastikan kucing peliharaan tidak ada hubungan terus dengan kucing-kucing atau mana-mana haiwan liar yang terdapat di luar rumah.
Bagi pemilik yang terkena gigitan mana-mana haiwan yang disyaki menghidap virus Rabies ini, mereka perlu berjumpa doktor dengan kadar segera.
Terdapat beberapa cara untuk melindungi diri dan si comel iaitu cuci tangan sebelum makan dan selepas menguruskan si comel, jadualkan pemeriksaan kesihatan dan ujian najis sekerap mungkin bagi memeriksa sebarang kewujudan hidupan yang tidak diingini dan segera ke klinik haiwan untuk pemeriksaan si comel yang sakit.
Selain itu, pemilik juga perlu mengemas kini rekod vaksin Rabies, kekalkan pencegahan parasit seperti kutu, hama dan cacing. Elakkan si comel daripada menjilat muka, makanan, peralatan rumah dan pertimbangkan untuk memelihara dalam rumah sepenuh masa.
Sekiranya digigit atau dicakar, segera berjumpa doktor, beri si comel makanan yang dimasak sempurna atau makanan komersial, cuci kotak najis sekerap yang mungkin menggunakan cecair anti septik dan gunakan sarung tangan sewaktu kerja-kerja pencucian.


Binaan 1.5 juta blok lego

Posted: 19 Sep 2014 07:20 PM PDT



DARI bahagian luar, binaan blok lego yang memaparkan watak antagonis ikonik dalam filem epik Star Wars, Darth Vader seolah-olah menyambut kehadiran pengunjung ke Star Wars Miniland.
Sambil memegang pedang lightsaber berwarna merah, Darth Vader boleh dianggap sebagai pengawal yang mengawasi bangunan berbentuk oktagon seluas 900 meter persegi yang menempatkan beberapa suasana dan babak khas dari filem Star Wars.
Merupakan satu tarikan terbaharu di Legoland Malaysia Resort (Legoland), Star Wars Miniland diinspirasikan daripada enam filem Hollywood itu termasuklah siri animasi Star Wars: The Clone Wars.
Secara keseluruhan, tarikan ini menampilkan lebih daripada 2,000 model lego yang didirikan pada platform khas mengikut skala 1:20 berbanding adegan asal di layar perak dengan menggunakan kira-kira 1.5 juta blok lego.
Pengurus Besar Legoland, Mark Germyn berkata, Star Wars Miniland dilancarkan sempena meraikan ulang tahun kedua resort tersebut pada bulan September ini. Malah, ia merupakan yang pertama seumpamanya di Asia.
"Kami yakin dengan tarikan terbaharu ini, pengunjung yang datang akan lebih teruja untuk merasai pengalaman menerokai galaksi Star Wars bersama ahli keluarga mereka.
"Dibina dalam kawasan tertutup dan berhawa dingin sepenuhnya, para pengunjung boleh meluangkan masa lebih lama di taman ini untuk menyaksikan ketelitian kerja tangan manusia dalam penghasilan binaan unik ini," ujar Germyn ketika melancarkan Star Wars Miniland di Legoland, Johor baru-baru ini.

PARA penggemar filem klasik pasti tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke Star Wars Miniland di Legoland, Johor.


Kepuasan
Mula dibuka kepada pengunjung bermula 6 September lalu, Star Wars Miniland mampu menjanjikan kepuasan terutama buat penggemar filem bertemakan angkasa lepas itu.
Di sana, mereka boleh menyaksikan pelbagai karakter dan watak yang terdapat dalam filem berkenaan yang dibina mengikut tema latar planet fiksyen seperti Planet Naboo, Mustafar, Tatooine, Geonosis, Hoth, Endor dan Christophsis.
Tambah Germyn, pihaknya melaburkan sejumlah RM6 juta bagi pembinaan taman berkenaan semata-mata untuk memacu nilai pelancongan ke tahap yang lebih kukuh di samping menarik pelancong luar.
"Kunci strategi yang kami gunakan ialah menambah elemen baharu setiap tahun bagi memastikan pengunjung dapat merasai keterujaan untuk datang semula ke Legoland," katanya.
Bangunan yang menempatkan Star Wars Miniland ini dibahagikan kepada lapan ruang berbeza. Enam ruang memaparkan satu adegan ikonik daripada enam filem tersebut manakala ruang ketujuh mempamerkan adegan daripada filem animasi Star Wars: The Clone Wars.
Sementara itu, satu lagi bahagian dikhaskan sebagai seksyen jualan runcit bagi produk-produk Lego Star Wars. Ia meliputi barangan yang sukar diperoleh seperti set bangunan Lego seperti Death Star, R2-D2, Millenium Falcon, Super Star Destroyed dan Ewok Village.
Kedai itu juga dilengkapi dengan rangkaian penuh bahan permainan Star Wars di samping rantai kunci, magnet peti sejuk, pelbagai koleksi topi dan baju-T.
Bergambar
Tidak ketinggalan, para pengunjung juga boleh bergambar kenangan dengan karakter Star Wars pilihan melalui bahagian Hall of Fame yang disediakan.
Menurut pakar pembina model Legoland, Stefan Bentivoglio, pasukannya mengambil masa kira-kira 8,000 jam untuk menyempurnakan binaan model Star Wars Miniland.
"Lima puluh peratus daripada lebih 2,000 model lego tersebut dibina di Malaysia manakala selebihnya dihantar dari Jerman dan Republik Czech.
"Proses pemasangan turut dibantu oleh pasukan teknikal dan landskap yang membangunkan paparan khas bagi mewujudkan kesan realistik yang optimum. Bagi sentuhan akhir, kesan bunyi, animatronik dan pencahayaan ditambah untuk menjadikan model berkenaan kelihatan seperti hidup," terang Bentivoglio.
Antara karakter model yang dihasilkan termasuklah Anakin Skywalker, Boba Fett, C-3PO, Commander Rex, Darth Maul, Han Solo, Luke Skywalker, Princess Leia, Wicket the Ewok dan Yoda.

LEBIH 2,000 model blok lego digunakan bagi menyiapkan taman mini tersebut.


Impak
Bagi salah seorang peminat dan pengumpul koleksi filem epik itu, Azwanijaya Sukarman, 39, memberitahu, Star Wars sememangnya memberi impak yang sangat besar kepada mereka yang membesar pada awal tahun 1980-an.
Justeru, apabila diwujudkan di Legoland, sudah tentu legasinya akan berterusan kerana umum mengetahui mereka yang meminati Star Wars dan lego pasti akan teruja untuk ke sana.
"Malah, dari gabungan mantap ini, ia bakal melahirkan golongan yang kreatif kerana penghasilan lego itu sendrii diklasifikasikan sebagai 'permainan baharu setiap hari'.
"Hari ini, masyarakat dapat menerima kehadiran mereka dalam kalangan orang dewasa yang menjadikan hobi ini sebagai suatu pendekatan yang serius. Buktinya wujud kemunculan kelab atau kumpulan yang berasaskan dari mereka yang meminati Star Wars yang suatu masa dahulu difikirkan hanya memenuhi dan menceriakan golongan kanak-kanak.
"Dengan ini, satu keadaan atau boleh diistilahkan sebagai scene akan menjadi lebih menarik seterusnya mengangkat martabat mereka yang meminati permainan ini dengan bukti kewujudan Star Wars Miniland di Legoland," ungkap Azwanijaya yang mempunyai ribuan koleksi Star Wars dalam simpanannya.


Guangzhou syurga beli-belah

Posted: 19 Sep 2014 07:18 PM PDT



WINDOW of the World merupakan sebuah taman tema yang terkenal di bahagian barat bandar Shenzhen.


PERJALANAN dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Guangzhou, China mengambil masa selama empat jam.
Bagaimanapun, tempoh yang panjang itu seakan-akan tidak dirasai ekoran keterujaan kami sekeluarga untuk menjejakkan kaki ke Tanah Besar China itu.
Sebelum pesawat AirAsia, AK112 yang dinaiki mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun, kami diberitahu bahawa cuaca di lokasi tersebut sekitar 33 darjah Celsius. Purata suhu musim panas di Guangzhou adalah sekitar 30 hingga 35 darjah Celsius.
Perubahan cuaca sangat dirasai apabila kami menjejakkan kaki buat pertama kalinya di sini.
Ketibaan kami tepat pada pukul 10.30 pagi disambut dengan senyuman oleh pemandu pelancong warga China, Paul Lin.
Paul Lin berkata, Guangzhou merupakan bandar lama yang pertama berkembang di wilayah Guangdong sejak perubahan dasar baharu kerajaan China pada tahun 1978.
Kedudukan strategik bandar itu menjadikannya sebagai pusat pengangkutan dan pelabuhan utama yang merintis kepada pembangunan negara China.
Dia begitu asyik menerangkan secara ringkas mengenai sejarah Guangzhou yang sebelum ini dikenali sebagai Canton, kepada- tan penduduk, syurga membeli-belah, keunikan dan kecantikan bandar itu.
Masjid
Perjalanan selama 40 minit dari lapangan terbang ke Huaisheng Guangtisi (Masjid Huaisheng) terasa sangat singkat ekoran keramahan Paul Lin.
Persinggahan pertama kami di bandar Guangzhou sangat menyentuh perasaan apabila disapa mesra saudara sesama Islam dengan ucapan 'Assalamualaikum' sebaik menjejakkan kaki di pintu masuk Masjid Huaisheng hingga ke dewan solat.
Keramahan mereka membuatkan kami berasa seperti berada di negara sendiri. Masjid pertama di China itu dibina oleh anak pahlawan Islam, Saad Abi Waqas.
Saad cukup terkenal dengan keberaniannya menyebarkan syiar Islam kepada Maharaja Tang.
Jasad beliau bersemadi di sini dan perigi peninggalannya masih digunakan oleh penduduk setempat.
Seni bina masjid yang melambangkan budaya Dinasti Tang itu mampu memberi ketenangan jiwa sepanjang kami berada di sini. Kawasan persekitaran masjid yang dihiasi dengan kehijauan landskap taman itu membuatkan kami terlupa sejenak keadaan cuaca terik pada musim panas tersebut.
Di kawasan sekitar masjid itu terdapat pelbagai jenis perniagaan yang diusahakan oleh saudara Islam seperti hotel, restoran halal, kafe, kedai runcit, kedai daging halal dan perabot.

KEINDAHAN bandar Guangzhou yang disinari lampu neon pada sebelah malam.


Monumen
Menjadi kemestian bagi pelancong untuk melawat Monumen Lima Biri-Biri yang terletak di atas Gunung Yuexiu di Taman Yuexiu. Monumen ini merupakan lambang kemakmuran dan kekayaan bandar Guangzhou yang diagungkan penduduk tempatan.
Kami terpaksa memanjat beberapa anak tangga untuk sampai ke monumen di puncak Gunung Yuexiu itu. Berdasarkan mitos masyarakat setempat, bandar Guangzhou dahulunya merupakan tanah yang tandus dan penduduk di sini sering mengalami kebuluran.
Pada suatu hari, lima dewa kepercayaan masyarakat di sini telah turun dengan memakai pakaian berwarna-warni, menaiki biri-biri sambil menyanyikan lagu legenda mereka.
Segenggam beras ditinggalkan di dalam mulut biri-biri itu untuk memberi rahmat kepada penduduk di bandar Guangzhou.
Biri-biri tersebut kemudiannya telah bertukar menjadi batu dan selepas peristiwa itu, bandar Guangzhou menjadi makmur serta jumlah penduduk semakin meningkat.
Sungai Pearl pula pernah menjadi nadi utama pengangkutan di Guangzhou. Sungai yang pernah dikenali sebagai Sungai Guangdong dan Sungai Canton itu merupakan sungai yang ketiga terpanjang di China iaitu 2,400 kilometer (km).
Ia menghubungkan Hong Kong di utara barat laut dan Macau di utara timur laut. Keindahan dan keunikan bandar Guangzhou dapat dihayati sepanjang pelayaran yang memakan masa selama dua jam bermula dari White Goose Pool dan tamat di Baihedong.
Keindahan bandar Guangzhou pada waktu malam diserikan lagi dengan limpahan cahaya lampu di setiap bangunan dan jambatan penting di bandar itu.
Antara bangunan yang disinari lampu neon ialah Menara Canton, Stadium Olimpik Guangdong, Rumah Opera, Dataran Zhuhai, Istana Aiqun, Jambatan Renmin, Jambatan Haizhu, Jambatan Guangzhou dan Jambatan Jiefang.
Sebaik selesai pelayaran, pemandu pelancong mengesahkan bahawa kami telah melawat seluruh daerah Guangzhou.
Tidak lengkap hari-hari kami di sini jika tidak singgah di pusat membeli-belah. Bagaimanapun, barangan di bandar yang digelar syurga membeli-belah itu tidak semurah yang disangkakan.
Harga sesuatu barang hanya menjadi murah sekiranya anda membeli secara pukal dan secara keseluruhan barangan di sini boleh didapati di Malaysia.
Di Guangzhou, harga yang ditawarkan peniaga amat berpatutan dan masih boleh ditawar sehingga 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga asal. Kualiti barangan juga masih terjamin.
Membeli-belah di sini menjadi mudah apabila setiap kawasan, jalan, lorong atau pasar raya menjual barangan yang sama. Misalnya kasut dijual di satu kawasan, baju di kawasan yang lain dan begitulah seterusnya.
Antara pusat membeli-belah yang kami singgah ialah Shangxiajiu Shopping Street iaitu lokasi terbaik untuk membeli pakaian moden dan kasut serta harga di sini jauh lebih murah berbanding di Beijing Lu.

NADIA (kanan) merakam kenangan di hadapan Masjid Huaisheng bersama keluarga.


Produk
Onelink International Plaza merupakan lokasi terbaik untuk mencari barang koleksi, kegunaan harian dan produk elektrik. Harga akan menjadi murah jika anda membeli lebih daripada satu barang.
Selain itu, kami sempat berkunjung ke Highsun String & Cloth Market, Beijing Lu dan Baiyun World Leather Trading Centre.
Destinasi seterusnya adalah melawat Kota Pencakar Langit di Shenzhen. Kami memulakan perjalanan seawal pukul 8.30 pagi dan perjalanan sejauh 144km itu mengambil masa selama dua jam melalui lebuh raya.
Shenzhen terletak di selatan wilayah Guangdong iaitu di kawasan timur tebing Delta Sungai Pearl.
Lokasi geografi Shenzhen telah mengubah perkampungan nelayan yang pernah dikenali sebagai daerah Baoan kepada pusat pembangunan ekonomi di daerah negeri tersebut. Bangunan pencakar langit menghiasi daerah itu daripada kondominium, unit pejabat hingga ke pusat membeli-belah.
Di Shenzhen, kami dapat melihat secara jelas Hong Kong tetapi untuk sampai ke pulau itu, penduduk Shenzhen perlu menaiki kereta api, menggunakan jambatan HK-Shenzhen Western Corridor atau kapal terbang.
Visa
Kami juga difahamkan bahawa pelancong perlu membuat visa jika ingin ke Hong Kong melalui Shenzhen dan proses itu memakan masa selama seminggu.
Kami turut berpeluang mengunjungi bangunan agam Luohu Commercial City yang terletak bersebelahan Sungai Shenzhen iaitu berhampiran pintu keluar masuk dan bangunan Kawalan Imigresen Luoho.
Suasana sibuk dengan gelagat manusia yang ingin menaiki kereta api ke bangunan Kawalan Imigresen Luoho dan mahu membeli-belah.
Pusat membeli-belah lima tingkat itu menyediakan pelbagai jenis barangan seperti produk elektrik, kasut, bagasi dan kain ela. Kami meluangkan lebih banyak masa di sini untuk membeli-belah.
Namun, diingatkan supaya anda perlu lebih berhati-hati dalam urusan tawar-menawar di sini kerana peniaga akan meletakkan harga yang tidak munasabah tinggi, proses tawar-menawar boleh dibuat sehingga 60 hingga 80 peratus dan anda akan dipaksa untuk membeli barangan tersebut.
Anda juga perlu menyemak kualiti barang yang dibeli kerana ia mungkin barang tiruan ataupun barang bebas daripada cukai kastam.
Window of the World merupakan sebuah taman tema yang terkenal di bahagian barat bandar Shenzhen. Ia mempamerkan kira-kira 130 bangu- nan atau monumen tarikan pelancong yang terkenal di dunia. Kesuntukan masa memaksa saya bersama ayah, Sulaiman Rahmat, 54, dan ibu, Che Raihan Fakurdin, 54, serta adik, Nabila, 21, hanya bergambar di luar taman tersebut.


Hembusan bayu Laut Caribbean

Posted: 19 Sep 2014 07:17 PM PDT



PEMANDANGAN indah perairan Laut Caribbean daripada sudut calet ini.


APABILA terdengar sahaja perkataan tropika, kebanyakan orang akan terbayang destinasi percutian indah di tepi pantai seperti kejernihan air laut dan kelembutan pasir di kaki.
Pengembara yang cintakan alam semula jadi pasti akan memilih destinasi tersebut sebagai tiket percutian mereka.
Begitulah istimewanya tentang Calet Tropical Village yang mampu memberikan sesuatu yang unik kepada pelanggannya.
Lokasi
Calet Tropical Village terletak di Las Galeras dalam kepulauan Republik Dominika di perairan Laut Caribbean.
Pengembara boleh mendarat sama ada di Lapangan Terbang Las Americas Santo Domingo (SDQ) atau Lapangan Terbang El Catey Samana (AZS) dan mendapatkan perkhidmatan pengambilan penumpang yang telah disediakan.
Calet
Terdapat empat calet dan dua rumah tamu yang diperbuat daripada kayu, batu, daun palma dan berbumbung rumbia berbentuk segi tiga untuk memberi konsep kedesaan.
Calet satu ialah calet pertama dibina pada tahun 2006 yang berkonsepkan budaya Caribbean manakala calet empat adalah calet yang terbesar dan boleh dijadikan rumah tamu.
Casa Taina ialah rumah tamu satu tingkat yang berbumbung rumbia berbentuk segi tiga. Semua calet dan rumah tamu dapat memuatkan dalam empat hingga 10 orang.
Aktiviti
Menariknya, pengembara berpeluang untuk melihat kira-kira 3,000 ikan paus Humpback bertemu ke Teluk Samana pada bulan Januari hingga Mac setiap tahun untuk mengawan.
Pelbagai aktiviti menarik yang dapat dilakukan ketika bercuti di kepulauan Republik Dominika seperti melawat Taman Negara Los Haitises.

REKAAN bilik tidur yang unik disediakan mengikut pilihan calet.


Pemilik
Pemilik Calet Tropical Village yang dikenali sebagai Sarah berkata, menetap di perairan Laut Caribbean merupakan satu impiannya yang menjadi realiti.
"Saya memang teringin hendak tinggal di perairan Lautan Caribbean sejak kecil lagi kerana saya suka kehidupan yang lebih santai.
"Saya jatuh cinta dengan Republik Dominika dan merasakan 'inilah rumah saya'," katanya dalam satu laman sesawang.
Beliau juga menceritakan, Calet Tropical Village dibina bersama ahli keluarga dengan pertolongan dan sokongan daripada penduduk tempatan.
Pelancong Malaysia yang ingin ke sana perlu merancang jadual penerbangan mereka kerana penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Samana El Catey (AZS) mengambil masa lebih 30 jam. Selain itu, penerbangan tersebut mempunyai lebih daripada dua transit antaranya Frankfurt dan Montreal.


Penginapan umpama bintang filem

Posted: 19 Sep 2014 07:16 PM PDT

PARA tetamu boleh berehat dengan selesa sambil menonton filem menerusi televisyen di bilik-bilik penginapan.


KALI pertama melancong ke Malaysia, Tagreed Jauhari, 28, membuat perancangan rapi. Sebelum berlepas dari Jeddah, Arab Saudi, dia menempah penginapan selama seminggu di Hotel Arenaa Star, Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur.
Seminggu di Malaysia, pelbagai destinasi pelancongan telah dikunjunginya bersama suami dan tiga orang cahaya mata. Ketika ditemui kru Horizon, Tagreed baru pulang daripada bersiar-siar di Genting Highlands.
Baginya, pemilihan penginapan yang selesa merupakan salah satu cara terbaik untuk berehat sebelum meneruskan pengembaraan pada keesokan harinya.
"Tingkat satu Hotel Arenaa Star menjadi kediaman kami sepanjang berada di Malaysia. Apa yang menarik perhatian saya ialah poster dan lukisan yang digantung sepanjang lorong untuk ke bilik kami. Staf hotel memberitahu, ia merupakan poster pelakon terkenal dari Malaysia," ujarnya yang merujuk kepada poster Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Jelas Tagreed, penggunaan tema filem oleh Hotel Arenaa Star menarik minatnya untuk mengetahui industri perfileman di Malaysia dan seluruh dunia.

SELAIN poster filem, pelbagai hiasan berkaitan filem turut menghiasi dinding hotel.


Hotel Arenaa Star antara hotel yang menjadi tumpuan pelancong untuk menginap di tengah-tengah ibu kota. Hotel tersebut mengetengahkan sembilan tema industri perfileman terkenal seluruh dunia.
Selain poster, hotel yang dibuka pada Januari tahun lalu itu menggunakan peralatan perfileman klasik seperti kamera, kerusi pengarah dan papan tindih untuk menaikkan mood seperti berada di lokasi penggambaran. Peralatan itu diimport dari Thailand, China dan Eropah.
Sebaik tiba di lobi hotel, tetamu disajikan dengan sebuah poster gergasi, Casablanca iaitu sebuah filem Hollywood romantik yang diterbitkan pada tahun 1942.
Dianggarkan sebanyak 500 poster digantung di dalam hotel 14 tingkat itu merangkumi bangunan pertama dan kedua. Setiap tingkat hotel juga mengetengahkan tema filem yang berbeza.
Lapan kategori bilik penginapan untuk tetamu di setiap tingkat juga menggambarkan elemen-elemen kebudayaan dari negara asal filem tersebut.
Sebagai contoh, tetamu dapat merasai suasana seperti di Hong Kong sekiranya menginap di tingkat enam yang mengetengahkan tema industri perfileman dari negara itu. Tetamu juga pasti terpukau dengan dekorasi hiasan dinding berwarna merah dan perabot.
Bilik

KEADAAN bilik yang selesa membolehkan para pengunjung tidur dan berehat dengan sempurna.


Pengarah Bahagian Jualan dan Pemasaran Hotel Arenaa Star, Lyn Aziz memberitahu, sebanyak 247 bilik dalam lapan pakej penginapan disediakan untuk para tetamu.
Jelasnya, selain pelancong luar negara, hotel tersebut juga menjadi tumpuan agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan mesyuarat selain menginap di situ.
"Agensi pelancongan dari negara-negara Asia Pasifik menjadikan Hotel Arenaa Star sebagai penginapan pilihan untuk pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
"Dianggarkan sebanyak 80 hingga 120 bilik penginapan ditempah oleh pelancong luar negara saban hari.

PARA pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan tempatan dan Barat.


"Pemilihan tema filem merupakan tarikan utama tetamu untuk menginap di sini. Anggaran harga untuk penginapan dalam pakej itu ialah RM130 hingga RM2,500," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Selain penginapan, Hotel Arenaa Star juga menyediakan empat bilik mesyuarat untuk acara rasmi di hotel tersebut. Setiap bilik mesyuarat boleh menempatkan seramai 200 orang dalam satu-satu masa.
Tidak perlu keluar dari hotel, tetamu boleh menikmati makanan di dua restoran utama iaitu Harry's Bistro yang menyajikan menu autentik dari Malaysia manakala M A Terrace pula hidangan ala Barat.
Kek coklat dan kek lobak merah merupakan antara menu pencuci mulut yang wajib dicuba oleh tetamu sekiranya menjamu selera hidangan makan tengah hari di M A Terrace.
Bagi tetamu yang inginkan penginapan serba mewah, anda boleh menempah bilik Idol Suite di tingkat 11. Bilik yang menempatkan tiga bilik utama itu sesuai untuk tetamu mengadakan acara privasi.
Selain bilik yang luas, ruang tamu Idol Suite menjadi ruang sesuai untuk beristirehat. Dekorasi ruang tamu bilik itu juga masih menggunakan tema filem dengan Marilyn Monroe dijadikan subjek utama di ruangan sofa.
Tingkat tujuh pula menjadi pilihan utama pelanggan Hotel Arenaa Star. Tingkat tersebut menyerlahkan tema filem Bollywood di setiap lorong ke bilik yang dihias berwarna-warni.
Ditempah khas

SALAH satu sudut di Hotel Arenaa Star dihiasi poster filem terkenal, James Bond.


Tetamu dapat melihat potret pelakon-pelakon Bollywood seperti Shah Rukh Khan, Kajol, Amitabh Bachchan dan Aishwarya Rai yang dilakar oleh pelukis dari China sebaik keluar dari pintu lif.
Kebanyakan kelengkapan perfileman, poster dan potret bintang filem itu ditempah khas dari luar negara untuk disesuaikan dengan konsep hotel.
Hotel Arenaa Star merupakan salah sebuah hotel yang dimiliki oleh Arenaa Hotels Group. Syarikat tersebut juga mengendalikan Hotel Arenaa Mountbatten di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur; Hotel Arenaa De'luxe di Jalan Ujong Pasir, Melaka dan Hotel Butik Arenaa Batik di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan, Pahang.
Sementara itu, seorang lagi tetamu dari Rawang, Selangor, Tina Tangaraju, 24, memberitahu, lokasi Hotel Arenaa Star yang terletak di tengah-tengah ibu kota ternyata memudahkan para tetamu.
Walaupun berasal dari Lembah Klang, Tina menginap di hotel itu bersama adik dan ibunya kerana tertarik dengan tema filem yang ditonjolkan.
"Lokasi hotel terletak berdekatan stesen LRT. Ia memudahkan saya untuk bergerak ke destinasi membeli-belah di ibu kota seperti Bukit Bintang dan Masjid India.
"Kami menginap di bilik Family Star di tingkat lima yang bertemakan filem-filem dari China. Dekorasi setiap kawasan amat meriah dengan warna merah, termasuk di dalam bilik.
"Saya rasa seperti berada di China," ujar koordinator jualan di salah sebuah syarikat di bandar raya Kuala Lumpur itu.


Kapsul penginapan dalam rimba

Posted: 19 Sep 2014 07:15 PM PDT


KAPSUL di Sungai Lembing ini turut dilengkapi pendingin hawa untuk keselesaan pengunjung.


KUNJUNGAN ke pekan lama di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang membuatkan kru Kosmo! seolah-olah berada di set penggambaran era 50-an. Reka bentuk bangunan yang masih utuh berdindingkan papan dan atap zink memberikan nostalgia yang mungkin sukar diperoleh di tempat lain.
Kira-kira 500 meter sebelum masuk ke pintu gerbang pekan itu, pemandangan sekitar dihiasi suasana mendamaikan berlatarkan sebatang sungai dengan pepohon kelapa yang melambai-lambai.
Ia seperti menyambut kedatangan pelancong ke bekas tapak perlombongan bijih timah terdalam dan terbesar di dunia sejak tahun 1891 itu. Meskipun lebih 100 tahun sudah berlalu, Sungai Lembing masih mengekalkan keunikannya yang tersendiri.
Usai melewati deretan kedai itu, kenderaan dipacu laju ke destinasi penginapan yang dicari-cari. Semuanya gara-gara tertarik dengan gambar yang dikongsi di laman sosial Instagram dengan hashtag #timecapsuleretreat yang ditemui secara tidak sengaja.

RUANG tidur di dalam kapsul ini cukup selesa walaupun ia kelihatan agak sempit.


Terlindung dalam rimbunan rimba melengkapi landskap alam semula jadi yang memagari kapsul-kapsul penginapan di hotel Time Capsule Retreat, pengunjung berpeluang menikmati detik percutian yang bebas daripada hiruk-pikuk kota dan hanya ditemani bunyi unggas hutan hujan tropika.
Kembali kepada alam sekitar, mungkin itu konsep yang ingin diketengahkan oleh pemiliknya, Tan Siow Lan, 54, yang juga berasal dari Kuantan.
Pengunjung harus bersedia melakukan segala-galanya di lokasi berasingan seperti melabuhkan mata di dalam kapsul, membersihkan diri di bilik air luar dan menyediakan santapan sendiri di ruang dapur yang disediakan.
Bagi mereka yang lebih selesa tidur di tempat penginapan tradisional, masih berpeluang berbuat demikian di banglo dengan seni bina Inggeris terletak tidak berapa jauh dari kapsul tersebut.
Bagaimanapun, secara peribadi penulis mencadangkan agar pengunjung mengalami sendiri pengalaman tidur di dalam sebuah kapsul yang hanya boleh memuatkan dua orang pengunjung.

BANGKU panjang yang diperbuat daripada kayu buangan ini sering menjadi tumpuan pengunjung untuk duduk berehat.


"Setakat ini, kami memiliki lapan kapsul dan tujuh bilik lain di rumah kotej yang boleh memuatkan seramai 40 orang pada satu-satu masa. Di rumah kotej, terdapat dua jenis bilik iaitu bilik Standard untuk dua orang yang berharga RM118.
"Bilik Superior pula boleh memuatkan empat orang pengunjung dengan tawaran harga RM198. Caj RM30 pula dikenakan bagi setiap katil tambahan yang digunakan," jelasnya ketika ditemui di hotel tersebut baru-baru ini.
Selain tarikan penginapan yang unik, pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik yang terdapat di sekitar Sungai Lembing seperti berkelah di Air Terjun Pelangi, mendaki Bukit Panorama, Muzium Sungai Lembing dan menunggang kenderaan pelbagai permukaan (ATV).


Keterujaan baharu buat kanak-kanak

Posted: 19 Sep 2014 07:14 PM PDT



PARA pengunjung melambai keriangan selepas menghabiskan masa di i-City.


DIGELAR sebagai Bandar Digital Bercahaya, i-City di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor merupakan destinasi pelancongan tumpuan di Selangor. Buktinya, seramai 5.5 juta pengunjung berkunjung ke i-City sepanjang tahun lalu.
Selain cahaya lampu diod pemancar cahaya (LED) yang menerangi seluruh kawasan i-City, taman tema itu juga menawarkan pelbagai permainan berkonsepkan edutainmen yang sesuai untuk seisi keluarga.
Pameran patung lilin di Red Carpet, Trick Museum, Panggung Wayang 5D dan Roda Ferris pastinya menjadi lokasi yang wajib dikunjungi sekiranya berkunjung ke i-City.
Terbaharu, taman tema tersebut memperkenalkan tiga lagi tarikan di taman tema Fun World.
Taman tema tersebut terdiri daripada lapan tarikan utama seperti Red Carpet, Choo Choo Train, House Of Horror dan Space Mission.
Konsep taman permainan yang diperkenalkan di Fun World iaitu Itsy Bitsy, Jungle Adventure dan Fun Drive lebih sesuai untuk aktiviti riadah bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Pengurus Maklumat i-City, Tang Soke Cheng memberitahu, ketiga-tiga taman permainan itu memberi peluang kepada ibu bapa dan anak untuk beriadah seperti berada di alam fantasi.

KELENGKAPAN seperti abah-abah dan topi keledar wajib dipakai sebelum melakukan aktiviti di Gim Kanak-Kanak.


Jelasnya, ketiga-tiga tarikan baharu itu juga dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 1 pagi setiap hari.
"Kebanyakan taman permainan dibuka dalam tempoh yang tertentu. Selain permainan untuk golongan dewasa yang sememangnya menjadi tumpuan di i-City, konsep Itsy Bitsy, Jungle Adventure dan Fun Drive direka khas untuk kanak-kanak.
"Sebagai contoh, konsep Fun Drive sama seperti memandu di jalan raya. Kanak-kanak perlu memandu di trek dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Selain bersuka-ria, aktiviti itu juga merupakan kaedah terbaik untuk memberi maklumat mengenai langkah keselamatan di jalan raya," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Alam serangga
Itsy Bitsy pula berkonsepkan taman permainan seperti alam serangga. Mr. Bee dan Mrs. Bee merupakan dua karakter utama di dalam taman itu yang juga merupakan sarang serangga itu.

KANAK-KANAK berpeluang memandu kereta mainan di trek Fun Drive semasa berkunjung ke i-City di Shah Alam.


Selain Kapal Lanun, kanak-kanak boleh menaiki kereta buaian yang menyeronokkan. Gim Kanak-Kanak merupakan sebuah gimnasium yang pastinya menguji ketahanan dan daya imbangan mereka sewaktu memanjat.
Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana anak-anak anda akan memakai kelengkapan keselamatan seperti abah-abah dan topi keledar sebelum memulakan aktiviti.
Jungle Adventure sama seperti konsep kereta bumper. Kanak-kanak boleh menaiki kereta dan melanggar antara satu sama lain. Uniknya, aktiviti ini diadakan di dalam kawasan tertutup tetapi bertemakan seperti berada di dalam hutan.
Selain itu, kanak-kanak juga dapat mengenali haiwan-haiwan liar yang berada di sekeliling trek.
Ketiga-tiga taman permainan tersebut akan dibuka kepada pengunjung bermula 13 September (Sabtu ini).
Selain taman permainan kanak-kanak, i-City juga memperkenalkan dua lagi tarikan di seksyen Bandar Digital Bercahaya iaitu Dancing Water dan Mist Fountain.
Dancing Water merupakan sebuah pertunjukan air selama 15 minit yang mengikut alunan muzik amat unik. Ia juga turut diselangi dengan cahaya lampu berwarna-warni.
Pertunjukan tersebut juga berada di tengah-tengah seksyen Bandar Digital Bercahaya yang merupakan lokasi pengunjung bermain pelbagai permainan.
Usai melihat pertunjukan itu, pengunjung boleh terus ke Mist Fountain yang merupakan sebuah kawasan pancuran air. Di kawasan tersebut, pengunjung dapat merasai udara sejuk seperti berada di puncak gunung.
Lebih menarik, pancuran air sentiasa bertebaran di segenap kawasan untuk menambahkan rasa dan mood seperti berada di tanah tinggi.


Terowong perang Chu Chi

Posted: 19 Sep 2014 07:12 PM PDT

PINTU masuk salah sebuah terowong yang dibuka untuk kunjungan pelancong.


SEJARAH Perang Vietnam masih diingati walaupun konflik yang pernah menggugat kestabilan di rantau Indochina itu telah 39 tahun berlalu. Hari ini, Perang Vietnam menjadi salah satu produk pelancongan utama negara tersebut bagi memaparkan survivaliti rakyatnya ketika itu.
Terowong Chu Chi misalnya menjadi lokasi wajib dilawati pelancong. Chu Chi merupakan sebuah daerah yang terletak di dalam wilayah Ho Chi Minh atau dahulunya dikenali sebagai Saigon.
Kompleks terowong ini merupakan pangkalan utama gerakan menentang AS di wilayah itu semasa Perang Vietnam kerana kedudukannya yang hampir dengan Saigon. Ini termasuklah semasa Operasi Tet pada tahun 1968 iaitu serangan berpusat Tentera Vietnam Utara (NVA) dan pejuang Vietkong ke atas sasaran-sasaran penting AS.
Maka tidak hairanlah kompleks terowong sepanjang kira-kira 250 kilometer (km) ini diiktiraf sebagai khazanah negara Vietnam pada 15 Disember 2004. Bagaimanapun, hanya sebahagiannya sahaja yang dipulihara bagi tujuan pelancongan iaitu di Ben Dinh dan Ben Duoc.
Kawasan yang terletak kira-kira 70km ke barat laut bandar Ho Chin Minh ini dahulunya hutan tebal tetapi kini dipenuhi pokok-pokok getah serta di kelilingi perkampungan.
Penggalian terowong ini telah dilakukan oleh rakyat setempat semasa Perang Indochina menentang penjajahan Perancis dari tahun 1946 hingga 1954. Tujuannya sebagai perlindungan penduduk kampung selain menjadi persembunyian para gerila.
Apabila meletusnya Perang Vietnam pada tahun 1957, lebih banyak terowong digali bagi menghubungkan antara kampung ke kampung. Kerja-kerja penggaliannya dilakukan secara sistematik selama 20 tahun melibatkan para sukarelawan dan pejuang Vietkong.

BOM tentera AS yang tidak meletup digunakan semula pejuang Vietkong untuk dijadikan jerangkap samar.


Kompleks Terowong Chu Chi merupakan salah satu ketakjuban dalam sejarah peperangan moden. Laluannya dibina sedemikian rupa agar sukar dijejaki musuh. Tiada peralatan moden diguna melainkan cangkul, penggali dan pongkes.
Kunjungan ke Vietnam baru-baru ini melengkapkan hasrat penulis untuk melihat sejarah tinggalan perang di sana.
Perjalanan dari Ho Chi Minh ke Chu Chi mengambil masa kira-kira sejam 30 minit kerana kesibukan lalu lintas. Pelancong disarankan bertolak awal iaitu pukul 7 pagi.
Deretan bas pelancong memenuhi kawasan letak kenderaan di kompleks terowong ini yang turut menempatkan Memorial Peringatan Perang Vietnam Wilayah Selatan.
Semangat juang
Selepas membeli tiket berharga VND95,000 (RM15), pemandu pelancong berpakaian seragam hijau ala tentera NVA memperkenalkan dirinya sebagai Ruby. Dia mengingatkan kami seramai 25 orang agar berjalan dalam kumpulan.
Kami dibawa ke bilik teater di dalam terowong yang menayangkan dokumentari hitam putih mengenai sejarah Perang Vietnam serta Terowong Chu Chi.
Kemudian Ruby membawa kami ke sebuah kawasan lapang dikelilingi belukar. Dia menjelaskan bagaimana pejuang Vietkong boleh menghilangkan diri sekelip mata menerusi lubang rahsia ke terowong.
Lubang masuk ini hanya ditutupi penutup kayu sebelum disamarkan dengan daun-daun kering. Turut ditunjukkan ialah liang saluran udara yang kelihatan seperti busut.
Selepas itu kami dibawa melihat jerangkap buluh runcing atau punji. Jerangkap ini telah mencederakan ribuan tentera musuh apabila terperosok masuk ke dalamnya.
Ruby yang merupakan anak tempatan, bijak menerangkan tempat- tempat yang ditunjukkan seperti bilik bedah, dewan mesyuarat, tempat masak dan bengkel senjata.
Kami juga dibawa melawat kawasan sekitar termasuk menunjukkan beberapa lubang kawah kesan sera- ngan bom dari pesawat B-52 AS.

PEMANDU pelancong menunjukkan lubang rahsia yang ditutupi penutup kayu.


Sebanyak 30 tan bom digugurkan daripada pesawat ini semasa Operasi Crimp pada tahun 1966. Malangnya, operasi besar-besaran yang melibatkan 8,000 tentera itu gagal melumpuhkan fungsi terowong tersebut.
Turut menarik perhatian ialah bangkai sebuah kereta kebal M-41 AS yang musnah terkena periuk api pejuang Vietkong dalam satu pertempuran.
Paling dinantikan ialah apabila kami dipelawa masuk ke dalam tero- wong. Mereka yang bertubuh besar mungkin terpaksa merangkak kerana laluannya yang sempit. Walaupun hanya sepanjang 60 meter tetapi ia sudah cukup untuk membayangkan survival pejuang Vietkong.
Kesukaran ini menyebabkan tentera AS menubuhkan skuad khas dikenali sebagai Tunnel Rats yang dianggotai tentera bertubuh kecil untuk menjejak musuh di dalam tero- wong.
Ia menunjukkan kehebatan taktik perang gerila pejuang Vietnam menggunakan cara kuno untuk menewaskan sebuah kuasa besar.
Lawatan berakhir apabila pengunjung dibawa ke khemah untuk dijamu dengan ubi kayu rebus dicicah kacang tumbuk. Makanan ini sendiri meng- ingatkan penulis terhadap survival orang-orang Melayu semasa pendudukan Jepun dahulu.


Lautan awan di Pulau Hokaido

Posted: 19 Sep 2014 07:11 PM PDT



WAP dari kolam air panas di Pergunungan Tomamu menjadi punca kepada pembentukan lautan awan di ruang udara Unkai Terrace.


BAGI mereka yang gemar menjelajah ke semua tempat terhebat di seluruh dunia, senarai itu tidak akan lengkap sekiranya belum menjejakkan kaki ke Unkai Terrace di Pergunungan Tomamu, Pulau Hokaido, Jepun.
Unkai dalam bahasa Jepun bermaksud lautan awan. Sesuai dengan maksudnya, Unkai Terrace merupakan sebuah lokasi tanah tinggi di Pulau Hokaido yang langitnya dipenuhi gumpalan awan menyerupai lautan.
Penduduk tempatan di Pulau Hokaido terutama sekitar Perkampungan Shimukappu dan pekan Tomamu pula menggelarnya sebagai Fenomena Unkai.
Ia dikatakan berpunca daripada wap mata air panas yang terdapat di sekitar kawasan itu. Wap air tersebut berubah menjadi gumpalan awan apabila ia bebas ke ruang udara yang lebih sejuk pada waktu malam.
Apabila pagi menjelang, kawasan sekitar Unkai Terrace akan dipenuhi lautan awan dan fenomena tersebut boleh disaksikan oleh para pengunjung bertuah yang berada di puncak Pergunungan Tomamu.
Pembentukan lautan awan di Unkai Terrace bagaimanapun bukan fenomena yang kerap berlaku dan ia bergantung kepada keadaan suhu waktu malam di sekitar Pergunungan Tomamu.
Fenomena semula jadi itu tidak berlaku sekiranya suhu di pergunungan tersebut tidak mengalami perubahan daripada panas kepada lebih sejuk pada waktu malam.
Paling menarik ialah pengunjung berpeluang menyaksikan gumpalan awan itu berarak seperti ombak di lautan apabila angin bertiup nyaman di kawasan lembah pergunungan tersebut.

MONYET macaque di sekitar Pergunungan Tomamu sering mandi di kolam air panas semula jadi untuk memanaskan badan ketika musim sejuk di Pulau Hokaido.


Pengalaman menikmati pemandangan menakjubkan di Unkai Terrace juga tidak ubah seperti sedang berada di istana kayangan atas awan yang sering digambarkan dalam kisah dongeng pari-pari.
Malah, pengunjung juga boleh menyaksikan fenomena semula jadi itu sambil menikmati sarapan di Resort Tomamu yang dibina di lokasi lebih tinggi daripada gumpalan awan tersebut.
Matahari terbit
Lebih mengasyikkan, para pengunjung Resort Tomamu juga berpeluang menyaksikan matahari terbit di Unkai Terrace yang dikelilingi awan selama empat setengah jam bermula seawal pukul 4 pagi sebelum lautan putih itu menghilang selepas pukul 8.30 pagi.
Untuk menikmati pemandangan lautan awan di Unkai Terrace, para pengunjung boleh menaiki kereta kabel dengan kadar tambang AS$20 (RM68) setiap seorang dan menginap di Resort Tomamu yang dibina pada ketinggian 1,100 meter dari aras laut.
Disebabkan pembentukan lautan awan di Unkai Terrace bergantung kepada keadaan suhu di Pergunungan Tomamu, waktu terbaik untuk menyaksikan fenomena itu ialah pada sekitar musim panas antara Jun hingga September.
Ia kerana suhu waktu malam pada musim panas di Pulau Hokaido adalah lebih sejuk berbanding siang. Sepanjang musim panas, Unkai Terrace dipenuhi awan sehingga permukaan lebih rendah di kawasan itu tidak kelihatan.
Ketika lautan awan itu terbentuk, puncak beberapa buah bukit yang terdapat di Pergunungan Tomamu pula kelihatan seperti pulau-pulau kecil di tengah lautan putih yang terbentang luas.
Tomamu terletak 150 kilometer di timur Sapporo dan Taman Negara Hikada. Selain Unkai Terrace, pekan kecil tersebut turut terkenal sebagai lokasi sukan lasak ski di pergunungan bersalji.

DUA pengunjung wanita sedang menikmati keindahan pemandangan lautan awan ketika matahari terbit di Resort Tomamu.


Pada musim panas antara November hingga Februari, para peluncur dari seluruh dunia akan berkunjung ke Tomamu untuk melakukan aktiviti sukan luncur salji sambil meneroka keindahan di sekitar pergunungan itu.
Kawasan ski dan luncur salji di Tomamu turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti pengangkutan kereta kabel serta belon panas kepada para peluncur.
Terdapat beberapa penginapan khusus turut disediakan kepada para peluncur salji yang berkunjung ke Tomamu pada sepanjang musim sejuk termasuk Hotel Menara Tomamu dan Hotel Suite Menara Galeri Tomamu.
Dalam pada itu, terdapat beberapa buah resort lain di Tomamu turut menyediakan kolam mata air panas yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden untuk keselesaan pengunjung.
Lebih menarik, kolam air panas semula jadi tersebut turut menjadi tempat mandi bagi spesies monyet macaque yang menghuni hutan berhampiran untuk memanaskan badan ketika musim sejuk.


Axia kenderaan tempatan pertama cekap tenaga

Posted: 19 Sep 2014 07:09 PM PDT



PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) pada minggu lalu telah melancarkan model kesepuluhnya iaitu Axia. Nama Axia diberikan berdasarkan kombinasi huruf X dan perkataan Asia.
Huruf X diambil sempena angka 10 dalam bahasa Roman dan menggantikan huruf S dengan sebutannya A-Zee-A. Model itu merupakan penanda aras Perodua sebagai salah satu usaha menambah baik kualiti, versatil dan ketahanan.
Model terbaharu itu dibuat hasil sokongan daripada rakan kongsi Perodua, Daihatsu Motor Company of Japan (DMC) dengan memperkenalkan enjin 1.0 liter terbaharu mereka.
Perodua Axia mencipta sejarah kerana menjadi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) nasional pertama di Malaysia. Istilah EEV itu diperoleh selepas kereta itu mampu untuk bergerak melebihi 20 kilometer (km) untuk satu liter petrol.
Axia boleh bergerak sejauh 21.6km untuk satu liter bagi varian menggunakan transmisi manual manakala 20.1km untuk transmisi automatik.
Penjimatan penggunaan bahan api yang ditawarkan pada model Axia dapat memberikan pengguna dan pemiliknya tambah nilai untuk sebuah kereta kompak.
Pada bahagian luarannya, Axia berada dalam kereta segmen A tetapi ruang kabin dan tempat penyimpanan barang seluas kereta segmen B.
Panjang ruang kabin Axia mencecah 1,900 milimeter (mm), lebar 1,385mm, tinggi maksimum 1,240mm manakala ruang simpanannya mencecah 260 liter.

STERENG berkuasa elektrik (EPS) yang dipasang pada model Axia merupakan ciri-ciri standard untuk semua varian.


Sebagai makluman, Perodua Axia juga menggunakan tayar gantian mengikut tayar sebenar bertujuan untuk tidak menjejaskan perjalanan dan ruang simpanan sekiranya berlaku tayar pancit.
Beberapa ciri-ciri menarik turut diperkenalkan pada model itu. Bagi Perodua segmen A dilengkapi sensor parkir di hadapan, stereng berkuasa elektrik (EPS), skrin sentuh multimedia dengan navigasi, butang kawalan di stereng dan paparan pelbagai maklumat (MID).
Antara kelengkapan yang terdapat pada MID Axia ialah Odometer, Trip meter, ikon Eco, purata penggunaan petrol dan servis info. Servis info akan mengingatkan pemandu untuk sebelum waktu penyelenggaraan Axia dengan tujuan kereta itu sentiasa diselenggara mengikut masa yang ditetapkan.
Kemudahan lain yang ditawarkan pada model Axia adalah tempat letak tisu, empat tempat letak botol, tiga pemegang cawan, tempat simpanan pelbagai dan dua penyangkut dengan kekuatan tiga kilogram.
Satu daripada dua penyangkut itu dicipta untuk mengelakkan jenayah ragut kerana wanita yang menggunakan beg tangan boleh menyangkut dan kuncikan pemegang.
Sambutan menggalakkan
Sejak dibuka untuk tempahan pada 15 Ogos lalu, Perodua telah menerima 13,500 tempahan (sehingga hari pelancaran) daripada orang ramai.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh, Perodua cukup teruja dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai dan pihaknya akan menghormati kepercayaan dan sokongan diberikan dengan memberikan tawaran terbaik.

PANJANG ruang kabin Perodua Axia berukuran 1,900mm dan lebar 1,385mm.


Katanya, harga yang ditawarkan bermula daripada RM24,600 hingga RM42,530 untuk pasaran di Semenanjung Malaysia ia merupakan satu tanda harga yang kompetitif.
"Kami amat gembira untuk mengumumkan bahawa kami dapat memberikan harga yang lebih baik kepada pelanggan kami.
"Kami percaya bahawa Perodua Axia mampu berdaya saing di rantau ini. Sebab itu, perkataan Asia telah di masukkan ke dalam nama model terbaharu itu," katanya.
Perodua Axia telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Model itu juga merupakan kereta pertama yang dihasilkan kilang baharu Perodua, Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd.
Axia diperkenalkan dalam empat varian iaitu Standard E, Standard G, Special Edition dan Advance. Ia juga dilengkapi dengan jaminan selama lima tahun.
Model terbaharu itu hadir dalam lapan warna menarik seperti putih, perak, hitam, biru, cherry blossom, hijau, kuning dan merah.


SAFARI trak pikap lengkap

Posted: 19 Sep 2014 07:08 PM PDT

IMEJ trak pikap ini secara tidak langsung memberikan gambaran ranggi kepada pemiliknya.


BEBERAPA bulan lalu, Isuzu Malaysia telah memperkenalkan pikap D-Max dengan kapasiti enjin 3.0 liter yang dikenali dengan nama V-Cross.
Model bersesaran 3.0 liter yang dikhabarkan sebagai model D-Max paling berkuasa itu dilancarkan dengan beberapa varian serta aksesori yang menarik.
Pada minggu lalu, Isuzu Malaysia telah memberi peluang kepada penulis untuk membuat pandu uji ke atas model D-Max V-Cross varian SAFARI.
Trak pikap SAFARI dengan warna Venetian Orange Mica merupakan varian tertinggi keluarga D-Max untuk individu yang mahukan penampilan yang berbeza.
Sebaik mengambil trak itu, penulis mendapati bahagian luarannya seperti sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang ranggi tanpa memerlukan pengubahsuaian daripada pemilik.
Antara aksesori luaran yang menyerlahkan gaya SAFARI adalah seperti pelindung bampar besar berwarna kelabu dan gril radiator, aero spoiler bahagian belakang atas ruang kargo dan V-lid yang merupakan penutup ruang simpanan di bahagian belakang.
V-lid sangat berguna kerana pemandu atau penumpang SAFARI dapat menyimpan barang-barang mereka dengan selamat di samping menjimatkan ruang tempat duduk belakang.
Varian yang hanya dikeluarkan di Malaysia sahaja menggunakan rim bersaiz 17 inci warna kelabu gelap dengan tayar 255/65 memberikan imej sporty untuk sebuah trak pikap.
Masuk ke bahagian kabinnya pula, didapati tempat duduk menyerlah dengan balutan kulit berwarna gelap dilengkapi sulaman logo V-Cross SAFARI. Lebih hebat, ia menggunakan penghawa dingin automatik dan pemain multimedia DVD Isuzu Sat Nav.
Semasa mahu parkir atau mengundurkan trak pikap ini, penulis dapat merasakan kamera undur yang merupakan ciri standard untuk varian SAFARI sangat membantu.
Bagi sesi pandu uji kali ini, penulis mengambil kesempatan untuk ke Johor Bahru, Johor dengan D-Max V-Cross SAFARI.

PAPAN pemuka D-Max V-Cross SAFARI dibina kemas.


Sepanjang perjalanan tersebut, penulis mendapati enjin 3.0 liter lengkap dengan sistem turbo geometri boleh ubah mampu memberikan kuasa apabila diperlukan.
Difahamkan enjin ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 177PS pada 3,600rpm dan tork tertinggi 380Nm yang boleh dicapai di antara 1,800rpm dan 2,800rpm.
Penggunaan bahan api yang dicatatkan semasa penulis menggunakannya ialah 8.1 liter untuk perjalanan 100 kilometer (km).
Walaupun kapasiti enjin lebih besar daripada model D-Max 2.5 liter, namun V-Cross SAFARI masih menjimatkan kerana penulis hanya mengisi diesel semula ketika bacaan trip meter 980km dan masih berbaki satu takuk.
Kesimpulannya, model pikap ini kelihatan ranggi dan bergaya tetapi bagi yang menggunakannya untuk membawa muatan yang agak berat dan besar mungkin agak kurang sesuai kerana terhad dengan penutup di belakang.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories