RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Intan Ladyana Bertegas Enggan Jumpa Kamal Bincang Hubungan

Posted: 29 Sep 2014 07:48 PM PDT


Intan Ladyana
PETALING JAYA: Pelakon Intan Ladyana menegaskan dia tidak perlu bersemuka dengan Kamal Adli untuk memberi peluang bagi berbincang mengenai hubungan mereka yang sudah tidak apa-apa kaitan lagi.

Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, sebelum memutuskan untuk berpisah, dia telah pun berbincang tentang perkara itu dan sudah menjelaskan sebab-sebab mengapa hubungan berkenaan perlu diputuskan.

"Saya rasa, tiada apa yang perlu dibincangkan lagi kerana ia sudah dibuat sebelum kami putus.

"Nak ikutkan... saya dah malas nak cakap tentang perkara ini kerana ia sudah pun selesai," katanya kepada mStar Online.

Dalam program Melodi (siaran TV3) Ahad lalu, Kamal meluahkan rasa kesal apabila hubungannya dengan Intan terputus begitu sahaja dan berharap agar dapat kembali menjalinkan hubungan semula dengan aktres itu.
Kamal dan Intan akhirnya berpisah selepas enam tahun bercinta.


Kata kamal, sehingga kini dia masih lagi tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka tiada lagi sebarang hubungan dan masih mengharapkan agar Intan dapat bersemuka dengannya untuk berbincang tentang hubungan berkenaan. Intan pada 25 Ogos lalu mendedahkan hubungan cinta bersama Kamal sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah.

Keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu.

Sementara itu, Intan berkata, dia tidak akan mendedahkan sebab-sebab memutuskan hubungannya dengan aktor tersebut kerana ia terlalu peribadi.

"Tak payahlah saya nak menjaja cerita tentang cinta yang tidak kesampaian ini, bukannya orang suka dengar pun.

"Perkara ini melibatkan saya dan dia, jadi biarlah kami sahaja yang tahu sebab-sebab hubungan ini putus," ujarnya.

'Senario' Belum Berkubur - Lan Pet Pet

Posted: 29 Sep 2014 07:47 PM PDT


Kumpulan Senario dianggotai masih dianggotai oleh Azlee Jaafar, Lan Pet Pet dan Wahid.
PETALING JAYA: Pelawak dan pelakon Lan Pet Pet menjelaskan, kumpulan Senario tidak pernah berpecah atau terkubur apabila mereka kelihatan sepi daripada sebarang projek terbaharu sejak beberapa tahun ini.

Lan Pet Pet atau nama sebenarnya  Mazlan Ahmad, 45, berkata, mereka masih bersama sebagai sebuah kumpulan dan sedang merancang untuk kembali menerusi filem khas buat peminat mereka.

"Kami masih lagi bersama sebagai sebuah kumpulan dan tidak pernah berpecah seperti sangkaan sesetengah pihak malah kami merancang untuk kembali dengan filem terbaharu.

"Bagaimanapun ia masih di peringkat perancangan dan harap-harap ia menjadi demi peminat," katanya kepada mStar Online.
Lan Pet Pet muncul dengan filem terbaharunya berjudul Dollah Superstar.

Lan Pet Pet ditemui ketika hadir ke majlis tayangan perdana filem terbaharunya berjudulDollah Superstar  yang diadakan di Cathay E@Curve di sini pada minggu lalu.

Filem arahan Kabir Bhatia itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Awie, Sharnaaz Ahmad, Neelofa dan Aziz M. Osman.

Ia bakal ditayangkan di pawagam pada 2 Oktober ini.

Selain Lan Pet Pet, Senario turut dianggotai oleh Wahid, Azlee Jaafar dan Saiful Apek.

Dalam pada itu, berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, Lan Pet Pet berkata, dia masih menerima tawaran berlakon dan mengadakan persembahan pentas secara solo biarpun tanpa rakan-rakannya dari Senario.

Tambah Lan Pet Pet lagi, sekiranya bercuti ke luar negara bersama isterinya, Rubytah Abu Bakar @ Che Wan dia turut mengambil kesempatan membuat persembahan jalanan(basking) dan mengakui ia suatu pengamalan baharu.

"Pengalaman buat persembahan jalanan di negara orang suatu perkara baharu dalam hidup saya dan paling seronok sebab masyarakat di sana kelihatan cukup seronok dan begitu menyokong dengan kebolehan saya membuat bunyi-bunyian.

Barisan pelakon filem Dollah Superstar.


"Malah ada produksi luar negara yang ingin menerbitkan sebuah program tentang saya dan persembahan jalanan namun ia hanya masih pada peringkat cadangan," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Dollah Superstar, Lan Pet Pet berkata, biarpun dia bukan memegang peranan utama namun dia begitu seronok dapat berlakon dalam sebuah karya yang disifatkan cukup berbeza dan mengangkat komedi spontan.

"Ia sebenarnya bukan sebuah filem komedi tetapi garapan yang ditonjolkan oleh Kabir terhadap jalan cerita dan watak kami sebagai pelakon membuatkan ia mempunyai elemen komedi spontan.

"Pada saya pula ia tidak terlalu membebankan malah watak saya cukup menyeronokkan dan Kabir sendiri banyak memberi kelonggaran kepada saya," katanya.

Yusof Haslam Berjaya Pujuk Syamsul Berlakon Bersama

Posted: 29 Sep 2014 07:45 PM PDT


Yusof teruja dapat berlakon disamping anaknya Syamsul Yusof dalam siri Gerak khas.
PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam teruja dapat berlakon disamping anaknya, Syamsul Yusof dalam musim terbaharu drama besiri Gerak Khasyang bakal bersiaran di RTM 2 dalam masa terdekat.

Yusof, 60, berkata, gandingan mereka berdua sebagai pegawai polis itu adalah kali pertama dan hasratnya untuk berlakon dengan Syamsul akhirnya termakbul.

"Alhamdulillah saya individu paling teruja dapat berlakon dengan Syamsul dalam Gerak Khas kerana ia merupakan gandingan pertama kami sebagai pelakon.

"Saya sudah lama minta Syamsul terlibat dalam drama bersiri itu tetapi kesibukannya sebagai pengarah membuatkan hasrat itu sentiasa terbantut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam pada itu, Yusof berkata, Syamsul bakal memegang watak sebagai Superitendan Polis menerusi musim terbaharu itu dan hanya akan muncul pada episod ketujuh Gerak Khas.
Gandingan anak beranak ini dapat disaksikan dalam drama bersiri Gerak Khas musim terbaharu.


Jelasnya lagi, Syamsul turut memberikan komitmen yang cukup baik sepanjang penggambaran berlangsung malah turut bertindak sebagai pengarah untuk beberapa episod drama kepolisian itu.

"Kemunculan Syamsul bukan untuk satu episod sahaja tetapi wataknya bermula pada episod tujuh dan kerjasama pertama kami sebagai pelakon cukup menyeronokkan kerana dia juga turut memberi idea bagi membolehkan drama itu tampil segar untuk musim terbaharu.

"Gerak Khas sangat berharga kepada Skop Production dan saya sebagai penerbit ingin melihat drama ini berterusan untuk jangka masa panjang," katanya.

Tambah Yusof, selain Syamsul, Gerak Khas juga bakal memperlihatkan penampilan wajah-wajah baharu dengan beberapa kejutan lain dalam menarik perhatian penonton baharu.

Sementara itu, Yusof berkata, dia bangga melihat perubahan positif Syamsul yang sebelum ini merajuk untuk meneruskan kariernya sebagai pelakon dan pengarah gara-gara karyanya, KL Gangster dicetak rompak sebelum sempat ditayangkan.

Jelas Yusof, sebagai bapa dia sentiasa berada di belakang anaknya itu untuk memberi sokongan dan yakin Syamsul akan bangkit semula daripada kekecewaannya sebelum ini.

"Semenjak berkahwin dia sangat positif dan kembali berkeyakinan untuk meneruskan kerjayanya dan saya sebagai bapa sangat gembira dan bangga akan perubahan dia.

"Alhamdulillah dia sudah tidak merajuk dan kini sibuk dengan aktiviti lakonan dan kerja-kerja produksi," ujarnya.

Peter Marvey pukau penonton

Posted: 29 Sep 2014 07:44 PM PDT


  • Peter Marvey pukau penonton

JIKA sebelum ini, Zass menghidangkan cerita dari pentas teater, kali ini giliran penulis membawakan pengalaman menonton persembahan ahli silap mata yang berlangsung di pusat peranginan, Genting Highland, baru-baru ini.

Berkesempatan menonton pertunjukan 'Peter Marvey : Magician Without Limits', penulis bagaikan dipukau dengan aksi-aksi mendebarkan sepanjang hampir dua jam persembahan itu berlangsung.

Dibantu oleh tiga jelitawan, persembahan hebat ini menghidangkan pelbagai aksi buat penonton di Genting International Showroom, sejak 28 Mei lalu sehingga 24 November depan.

Diamond Illusion, Fire Spikes, Jumping Jacket, Mid-Air Levitation, Revenge, Strongest Women dan Ultimate Cut, merupakan antara persembahan yang pastinya membuatkan penonton terpukau.

Begitulah hebatnya Marvey, ahli silap mata yang terkenal dengan penuh magis dan kejutan!

Penuh debaran dan kejutan

Bermula dari awal persembahan lagi, ahli silap mata kelahiran Switzerland ini sudah mampu memberi debaran dan kejutan kepada penonton menerusi 'Ultimate Cut', aksi memotong badannya kepada dua bahagian tubuh.

Meskipun nampak agak mengerikan, namun Marvey begitu tenang, sementelah berjaya melakukan aksi mengayuh basikal dengan hanya melibatkan bahagian badan bawahnya.

Ditemani tiga jelitawan, Marvey meneruskan persembahan dengan aksi lebih merbahaya apabila pembantunya itu dibaringkan dalam kotak besi khas kemudiannya besi tajam dijatuhkan membuatkan penonton menjerit ketakutan.

Namun begitu, Marvey bijak mengawal situasi dengan membuka kotak besi itu secara berhati-hati. Seperti yang yang dijangka,  pembantu jelitanya itu ghaib tanpa dikesan.

Selain daripada aksi ini, Marvey juga berjaya mengagumkan penonton dengan aksinya yang apabila memakai blazer pada pembantunya yang terikat dari atas hingga kaki dengan rantai besi.

Tidak hanya setakat itu, dia turut menjemput penonton untuk beradu tenaga dengan pembantunya, Vivi Vega menerusi segmen 'Strongest Women'.

Dalam persembahan ini, Vega dapat bertahan lebih lama berbanding penonton lelaki tersebut sehingga membuatkan penonton memberi tepukan gemuruh.

Meneruskan misinya, Marvey melakukan aksi kemuncak terbang ke udara yang mana menyaksikan dia terapung-apung di udara dalam tempoh agak lama tanpa alat bantuan.

Bagaikan Peter Pan, aksi berani Marvey itu nyata memberi kepuasan kepada penonton sehingga tepukan gemuruh mengiringi ke persembahan terakhirnya.

Magis seawal usia 14 tahun

Berkongsi mengenai latar belakang ahli silap mata ini, Marvey mula menceburi bidang magis ini sejak berusia 14 tahun lagi.

Ketika itu, ianya sekadar aktiviti menghilangkan rasa bosan selepas tamat waktu persekolahan.

Dari situ, minatnya itu mula bercambah sehingga Marvey terpaksa melupakan hasrat keluarganya untuk melihat beliau bergelar arkitek.

"Saya rasa lebih seronok bereksperimen dengan silap mata berbanding belajar di sekolah.

"Selepas tamat belajar, saya terus berlatih beberapa teknik baharu sehingga berjaya mencipta silap mata atas usaha sendiri," katanya yang mengambil masa tujuh tahun berlatih bagi aksi terbangnya itu.

Malah Marvey turut berpeluang untuk menjelajah 30 buah negara seperti Jepun, India, China, Sepanyol, Indonesia, Amerika Selatan dan banyak lagi.

Katanya, persembahan di negara ini mencipta rekodnya tersendiri apabila berjaya bertapak selama lima bulan di Genting Highland.

"Sebelum ini, saya hanya singgah di satu-satu tempat dalam masa pendek, namun di Malaysia hampir setengah tahun.

"Selepas habis persembahan di sini saya akan 'terbang' ke Lithuania, Eropah pada hujung tahun ini sempena Tahun Baru Krismas," katanya yang pernah memenangi pelbagai anugerah seperti The Golden Wand, Anugerah Merlin dan sebagainya.

Laksa, air kelapa jadi pilihan

Berkongsi pengalamannya sepanjang berada di sini, Marvey, teruja dengan sikap ramah masyarakat Malaysia yang datang ke persembahannya.

"Mereka begitu mesra dan sporting jika diajak ke pentas bersama saya.

"Bahkan tenaga kerja di sini sangat mudah untuk bekerjasama dengan mereka," katanya.

Malah Marvey turut memberitahu dia juga sudah jatuh cinta dengan makanan di sini.

"Saya sangat sukakan laksa dan air kelapa. Malah tidak kisah dengan rasa pedas seperti masakan Thai dan Cina," ujarnya yang berharap dapat berkunjung semula ke sini suatu hari nanti.

Royalti single Sujudku disalur ke badan kebajikan

Posted: 29 Sep 2014 07:43 PM PDT


  • Gabungan tiga penyanyi tanah air (dari kiri) Badri Ibrahim, Aris Ariwatan dan Aidiel Ghaffar menghasilkan album single bertajuk 'Sujudku' terbitan Clixster Music yang dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini. - Foto BernamaGabungan tiga penyanyi tanah air (dari kiri) Badri Ibrahim, Aris Ariwatan dan Aidiel Ghaffar menghasilkan album single bertajuk 'Sujudku' terbitan Clixster Music yang dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini. 

SEMUA kutipan royalti bagi single Sujudku nyanyian Aidiel Ghaffar, Aris Ariwatan dan Badri Ibrahim akan dikumpul melalui Tabung Harapan Clixster sebelum disalurkan kepada badan kebajikan, kata pencipta lagu tersebut Othman Masri.
   
Beliau yang juga terkenal dengan nama Man Senoi berkata, single Sujudku dicipta sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut Ahad ini dan merupakan projek ikhlas Clixster Music Sdn Bhd yang bukan mengejar keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada menyentuh rohani masyarakat.
  
Katanya, lagu tersebut tidak akan dijual di pasaran kerana ia akan dimuat naik ke laman sosial Youtube bagi memudahkan pendengar untuk mendengar atau memuat turun lagu tersebut secara percuma.
  
"Kita wujudkan Tabung Harapan Clixster, dan melalui tabung tersebut kita alu-alukan sekiranya ada sumbangan daripada pendengar dan akan disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik atau badan kebajikan.
  
"Sekiranya ada permintaan, kita akan keluarkan VCD single lagu Sujudku untuk dijual kepada masyarakat," katanya pada sidang media di ibu pejabat Clixster Mobile Group di sini hari ini.

Menurut Othman lagi, royalti ini tidak terhad kerana setiap tahun ia akan dikumpulkan selagi lagu itu masih mendapat siaran di kaca televisyen mahupun di muat turun atau ditonton di Youtube.
  
Katanya, lagu itu mengambil masa 10 bulan untuk dicipta selepas beberapa kali diubah dari segi muziknya dan mempunyai tiga kombinasi irama iaitu keroncong, gamelan dan samba.
  
"Saya lebih gemar untuk bereksperimen menerusi lagi ini," katanya sambil berharap lagu itu akan mendapat sambutan untuk disiarkan kerana ia akan menambahkan lagi jumlah kutipan royalti.

Sindiket godam mesin ATM guna virus

Posted: 29 Sep 2014 07:40 PM PDT


  • ATM

KUALA LUMPUR - Sindiket mengodam Mesin Teler Automatik (ATM) yang dikesan baru-baru ini didapati menggunakan virus dikenali sebagai 'ulssm.exe..' untuk mengeluarkan wang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazerene berkata virus tersebut akan memberi arahan untuk membuat pengeluaran wang yang masih terdapat di dalam mesin ATM yang digodam.
"Suspek didapati membuka panel atas mesin ATM dipercayai tanpa menggunakan kunci, kemudian memasukkan satu cakera padat ke dalam pusat pemprosesan mesin itu yang kemudiannya akan 'reboot' sistem mesin ATM berkenaan," katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Beliau berkata suspek menggunakan panel kekunci ATM untuk memproses dan mengeluarkan wang daripada mesin ATM.
Menurutnya, maklumat yang diperoleh daripada jurutera bank mendapati sebanyak 40 keping wang boleh dikeluarkan dalam satu transaksi menggunakan cara tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata setakat hari ini sebanyak lima laporan polis telah dibuat berkaitan kes mesin ATM digodam di sekitar Petaling Jaya.
Mesin ATM terbabit terletak di Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya (Affin Bank, kecurian RM303,000); Dataran Sunway (Al-Rajhi, RM285,700); Seksyen 14, Petaling Jaya (Bank Islam, RM395,850); Kota Damansara (Bank Islam, RM221,160) dan Kelana Jaya (Al-Rajhi) yang belum dapat dipastikan jumlahnya.
Sementara itu sebuah lagi bank (Al-Rajhi) di Seksyen 9, Shah Alam digodam menggunakan cara yang sama membabitkan kerugian kira-kira RM116,000.   

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira pukul 7 malam tadi setelah pengurus bank berkenaan membuat semakan dan mendapati sejumlah wang telah hilang.
"Pengurus itu kemudian membuat semakan melalui kamera litar tertutup dan mendapati dua suspek dipercayai warga Amerika Latin mengeluarkan sejumlah wang secara bergilir-gilir pada 12.30 tengah malam semalam (28 Sept)," katanya ketika dihubungi Bernama.
Azisman berkata modus operandi yang digunakan adalah sama dengan kes-kes godam ATM yang berlaku di Johor, Melaka dan Selangor semalam.
Semalam media melaporkan sejumlah RM530,600 wang tunai di dua buah ATM sebuah bank yang sama di Johor dan Selangor lesap apabila digodam semalam dipercayai menggunakan sim kad telefon dan teknologi canggih.

Rozel beri pulangan lumayan

Posted: 29 Sep 2014 07:38 PM PDT


  • Petani wanita yang mengusahakan tanaman rozel gembira melihat hasil tuaian tanaman tersebut sebelum diserah kepada Fama untuk dipasarkan.Petani wanita yang mengusahakan tanaman rozel gembira melihat hasil tuaian tanaman tersebut sebelum diserah kepada Fama untuk dipasarkan.

ROMPIN – Projek tanaman rozel yang diusahakan oleh 30 petani secara bermusim mampu memberi pendapatan tambahan antara RM700 hingga RM1,500 sebulan kepada golongan berkenaan yang berpengalaman lebih tujuh tahun mengusahakan tanaman tersebut.

Dua kawasan di daerah ini iaitu Desa Murni dan Tebu Hitam menjadi lokasi utama projek terbesar di Pahang itu yang mendapat sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang.

Petani, Halijah Sulong, 44, berkata, mengusahakan tanaman rozel mudah selain mampu memberi pulangan lumayan walaupun pokok berkenaan hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Menurutnya, dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas ditanam, bergantung kepada keadaan cuaca pokok rozel akan mengeluarkan hasil secara berperingkat tanpa henti sehinggalah tanaman berkenaan mati.

"Kebanyakan projek tanaman rozel di sini diusahakan wanita sebagai usaha menambah pendapatan keluarga selain ia sejenis tanaman yang tidak banyak memerlukan perhatian berbanding tanaman sayuran lain.

"Kita hanya perlu pastikan tiada rumpai dalam kawasan kebun bagi mengelak serangan serangga dengan menyembur racun sekali hingga dua kali sahaja sepanjang tempoh projek diusahakan," katanya.

Beliau yang mengusahakan tanaman berkenaan seluas kira-kira 0.5 hektar itu berkata, disebabkan buah rozel yang masam menyebabkan haiwan seperti kera, tupai dan kambing tidak berminat untuk menyerang apabila tiba musim menuai.

"Aktiviti menuai buah rozel dilakukan dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada permintaan daripada pihak Fama yang bertanggungjawab membantu pasarkan hasil," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang rakannya, Sarimah Abdullah, 49, berkata, tanpa bantuan dan sokongan Fama serta Jabatan Pertanian mustahil projek tanaman rozel dapat berjaya seperti sekarang.

"Dengan keluasan 0.5 hektar saya mampu meraih lebih RM7,000 semusim melalui aktiviti jualan diuruskan pegawai Fama yang dilakukan dua hingga tiga kali seminggu.

"Di peringkat awal projek suami dan anak-anak turut sama membantu saya, namun apabila tiba musim menuai saya akan lakukan sendirian kerana ianya tidak terlalu membebankan," katanya.

Jual ketupat palas besarkan 6 anak

Posted: 29 Sep 2014 07:36 PM PDT


  • Fatimah menunjukkan daun palas yang sudah dianyamnya.Fatimah menunjukkan daun palas yang sudah dianyamnya.

KUALA TERENGGANU - Siapa sangka seni anyaman ketupat daun palas yang dahulunya dipelajari secara suka-suka dengan ibunya sewaktu usia menginjak remaja, telah menjadi ilmu berguna buat Fatimah Chik, 58, apabila kemahiran itulah dijadikannya sebagai sumber rezeki.

Sejak 15 tahun, rutin harian Fatimah sering bertemankan daun palas sebagai pendapatan tambahan bagi membantu suami membesarkan enam anak dan setelah bergelar ibu tunggal tujuh tahun lalu, ketupat daun palas telah menjadi punca utama rezekinya.

Fatimah berkata, kemahiran menganyam diajar oleh ibunya suatu masa dahulu kini membolehkannya memperoleh pendapatan kasar purata RM70 sehari dan boleh mencapai sehingga RM200 sehari menjelang musim perayaan.

"Setiap hari makcik dapat hasilkan antara 200 hingga 300 biji ketupat daun palas yang dihantar ke kedai kopi di kampung ini serta sekitar. Kerja-kerja penghantaran ini biasanya dilakukan anak kedua...makcik tukang masak ketupat sahaja.

"Bilangannya akan meningkat sehingga mencecah 1,000 biji sehari apabila musim perayaan. Selain dihantar ke kedai, makcik turut terima tempahan daripada individu terutamanya mereka yang ingin mengadakan sesuatu majlis," katanya.

Menurut Fatimah, memikirkan kemampuan diri, ada kalanya dia terpaksa menolak tempahan kerana bimbang tidak dapat menyiapkannya.

"Lazimnya, ia dijual RM1 bagi tiga biji ketupat daun palas bersaiz kecil, manakala 50 sen sebiji untuk saiz besar.

"Bagaimanapun, jika ada yang datang tempah dalam kuantiti banyak harganya mungkin berubah berdasarkan budi bicara. Proses buat ketupat ini memakan masa seharian bermula dari pagi sampai petang untuk dijual keesokan harinya," katanya.

Katanya, bekalan daun palas dibelinya daripada seseorang yang sudah biasa dia berurusan dengan harga sekitar RM10 bagi setiap 100 pelepah dan lazimnya dia membeli dalam kuantiti banyak sebagai stok.

Fatimah berkata, walaupun menghasilkan ketupat daun palas memenatkan, namun dia bersyukur kerana itulah yang dapat dilakukannya sebagai sumber rezeki.

"Bertuah juga makcik sebab belajar cara anyam ketupat dengan ibu sewaktu muda dulu, sekurang-kurangnya dapat dijadikan sumber rezeki.

"Hasil berniaga ketupat daun palas inilah makcik besarkan anak-anak yang kini sudah pun berusia antara 17 tahun hingga 30-an. Tiga daripada mereka telah kahwin. Alhamdulillah, makcik juga terima bantuan JKM RM300 sebulan," katanya.

Awie belum sedia cari isteri lain

Posted: 29 Sep 2014 07:29 PM PDT


BAHAGIA. Awie bersama lima anaknya, (dari kiri): Puteri Aleefa Antasha, Puteri Aleeya Antasha, Puteri Qasseh Antasha, Putra Ahmad Rezzki dan Putra Ahmad Merrah.


TERHERET sehingga ke mahkamah, kemelut permasalahan Awie dan isterinya Rozana Misbun telah sampai ke kemuncak apabila vokalis Wings itu berjaya mendapat hak penjagaan kelima-lima orang anak mereka, tiga bersama Rozana dan dua lagi bersama isteri terdahulu, Arni Nazira.
Parah terduduk dek bermacam-macam tuduhan, Awie membuktikan bahawa dia seorang lelaki yang tidak gentar berdepan lawan. Dia semakin optimis membina semula kerjaya dan kehidupan peribadinya yang hampir musnah.
Biar harus bermula dari kosong, Awie perlahan-lahan mengukuhkan kewangan demi menyara kehidupan bersama lima orang anaknya.
"Dalam usaha untuk memulakan kembali kehidupan saya daripada kosong, saya terpaksa menolak banyak tawaran.
"Awalnya saya telah menolak tawaran berlakon Supermokh Sebuah Muzikal Restaging tapi Hans Isaac telah memujuk dan memberikan saya semangat untuk berlakon, saya terima watak kerana pujukan Hans.
"Saya juga telah menolak tawaran menjadi pengetua Akademi Fantasia 2014 dengan alasan tidak mahu mengganggu reputasi program itu memandangkan kes mahkamah saya yang sedang berlangsung. Jadi lebih baik saya undur diri.
"Bagi saya, ini perjuangan yang baharu. Saya mahu teruskan walaupun perit dan malu untuk keluar rumah tapi saya perlu lakukan kerana anak-anak saya," ujarnya yang ditemui pada majlis ramah mesra dan tayangan perdana filem Dollah Superstar di Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini.
Hasil perkahwinan Awie bersama Rozana, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6 dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.
Anak nyawa Awie
Tidak malu mengakui bahawa dia juga banyak belajar daripada kesilapan, namun segala yang yang hitam itu harus dilupakan agar kehidupan dan karier tidak musnah menyembah bumi.
Sesuatu yang tidak dapat dielak, populariti serta pengaruh yang dimiliki menjadikan Awie masih lelaki hebat di mata wanita. Menanyakan soal wanita dalam hidupnya, rockers yang sering diusik dengan cinta lamanya bersama Erra Fazira hanya tersenyum.
Dalam serius Awie menegaskan, dia belum terdesak untuk mencari wanita baharu sebagai individu tempat berkongsi masalah sekali gus menjadi 'ibu segera' kepada kelima-lima anaknya.
"Saya bercakap secara jujur, belum masanya untuk saya mencari pengganti. Saya ada lima orang anak dan agaknya perempuan gila mana yang mahukan saya dan mampu memberikan kasih sayang kepada kelima-lima anak saya?
"Secara logiknya, mampukah seseorang wanita itu menjaga anak-anak saya? Keadaan akan menjadi kucar-kacir, jadi saya harus berfikir dengan waras," jelas Awie yang masih akur, bahawanya hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran seorang wanita.
Tambah Awie: "Sudah tentu saya memerlukan wanita dalam hidup tapi dalam masa sama saya perlu memberikan peluang kepada wanita mengenali dan mencintai saya serta semua anak saya."
Tidak pernah terfikir untuk melepaskan tanggungjawabnya sebagai bapa menyerahkan anak-anaknya di bawah jagaan isteri dan bekas isterinya, Awie rela berkorban nyawa untuk anak-anak yang sedang membesar itu.
"Mereka (anak-anak) ialah nyawa saya dan saya tidak boleh berpisah dengan mereka. Kalau boleh, saya mahu melihat mereka membesar depan mata sehingga mereka berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri.
"Fokus saya sekarang untuk mencari duit untuk anak-anak dan mendapatkan waktu berkualiti bersama mereka. Kalau saya sibuk, mereka akan saya bawa ke lokasi penggambaran. Kalau ada peluang bercuti, saya akan bawa mereka berjalan-jalan.
"Kalau boleh saya mahu menebus semula masa yang pernah saya sia-siakan suatu ketika dahulu. Bukan mahu tunjuk baik tapi mereka perlukan kasih sayang seorang bapa," tambah Awie.
Dollah Superstar
Berkongsi perkembangan terbarunya, bintang utama filem komedi aksi Dollah Superstar berkata, filem itu pertama kali menampilkan karakternya sebagai gengster di layar perak.
"Ini cerita komedi dan saya bukan seorang pelawak, tetapi berlakon bawah arahan Kabir Bhatia membuatkan saya terfikir bahawa filem ini bakal menjadi sebutan.
"Selepas berlakon dengan Afdlin Shauki, Mamat Khalid dan sekarang Kabir Bhatia, ketiga-tiga mereka mempunyai cara pengarahan tersendiri dan karakter Dollah yang saya pegang itu berbeza berbanding watak gengster yang pernah dilihat.
"Saya tidak membawa watak komedi tapi karakter itu sendiri yang kelakar," ujarnya.
Selain Awie, filem Dollah Superstar turut menampilkan karisma lakonan Fizz Fairuz, Sharnaaz Ahmad, Neelofa, Aziz M. Osman dan Lan Pet Pet. Filem itu bakal ditayangkan bermula 2 Oktober nanti.


Cinta sembilan bulan tunang empat bulan

Posted: 29 Sep 2014 07:28 PM PDT




TIADA kata-kata lain yang terluncur daripada mulut pengacara dan penyampai radio popular Sarimah Ibrahim, 36, selain syukur selepas dia dan kekasihnya Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 42, selamat mengikat tali pertunangan. Berlangsung dalam suasana tenang dan secara tertutup di Hotel Doubletree, Kuala Lumpur, Sabtu, pasangan itu ternyata sedang teruja mendepani fasa bergelar tunangan orang.
Sepanjang temu bual yang dilakukan usai majlis tersebut, kebahagiaan jelas terpancar pada wajah Sarimah dan Tunku Nadzimuddin atau lebih mesra disapa dengan nama Tunku Jamie. Mereka saling ketawa dan ramah meleraikan agenda hari nikah yang berbaki tidak sampai setahun.
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar mengikut perancangan. Perasaan saya selepas bergelar tunangan orang pastinya gembira kerana hubungan yang terjalin akhirnya dibawa ke peringkat yang lebih jauh," kata Sarimah.
Meskipun hanya bercinta selama sembilan bulan, Sarimah merasakan tempoh yang singkat itu sudah cukup untuknya mengenali hati budi Jamie yang merupakan kerabat diraja Negeri Sembilan.
"Bagi saya tempoh sembilan bulan itu sudah cukup untuk mengenali siapa bakal suami saya. Sebenarnya tempoh percintaan tidak menjamin hubungan itu akan kekal.
"Kalau kenal sembilan tahun sebelum berkahwin pun belum tentu saya kenal orang itu sepenuhnya kerana hati manusia sentiasa berubah-ubah. Apa yang penting kami berdua sudah bersedia untuk memberi komitmen dalam hubungan ini," balas Sarimah sambil diakui oleh Tunku Jamie yang duduk di sebelah Sarimah.
Selepas majlis pertunangan yang diadakan penuh dengan adat Melayu itu, kedua-dua keluarga menetapkan pasangan ini akan bernikah pada 2 April tahun hadapan.
Bercakap soal perkahwinan kata Sarimah, semuanya masih terlalu awal kerana setakat hari ini mereka hanya sempat untuk memutuskan tarikh pernikahan sahaja.
"Soal perancangan perkahwinan pula, saya sendiri belum mempunyai sebarang perancangan tetapi kemungkinan besar majlis perkahwinan akan diadakan di Kuala Lumpur sahaja," kata Sarimah.
Apabila ditebak soalan, adakah Sarimah sudah bersedia untuk menjadi sebahagian keluarga kerabat diraja Negeri Sembilan selepas mereka berkahwin kelak, begini jawab pengacara berkenaan:
"Sebenarnya tidak kira siapa dan apa status bakal suami saya, paling penting kami harus menghormati keluarga masing-masing. Selain itu, harus cuba mengenali dengan lebih dekat keluarga mertua.
"Namun, proses perkenalan itu mengambil masa kerana biasanya selepas berkahwin barulah kita akan lebih mengenali keluarga mertua. Buat masa sekarang saya hanya mengenali keluarganya yang terdekat sahaja."
SARIMAH akan terus aktif dalam bidang seni selepas mereka bernikah pada April tahun hadapan.


Jamie tidak sangka Sarimah popular
Sarimah yang sudah lima tahun hidup bersendirian selepas bercerai dengan bekas suaminya Amir Andrew Abdullah pada tahun 2009, tertarik dengan Tunku Jamie kerana lelaki itu cukup memahami dirinya serta kerjayanya sebagai selebriti.
"Saya bersyukur kerana bertemu dengan Tunku Jamie. Dia seorang yang sangat merendah diri dan paling penting faham diri saya. Walaupun saya ada perangai gila-gila tetapi dia boleh terima seadanya," luah wanita berdarah campur Melayu - Irish itu lagi.
Tunku Jamie pula pada mulanya tidak menyangka Sarimah merupakan selebriti popular tanah air sehinggalah beliau sendiri membuat carian di internet tentang Sarimah.
"Jujur, saya tidak mengikuti perkembangan dunia seni Malaysia, kerana itu saya tidak begitu mengenali siapa Sarimah dan apakah sebenarnya kerja seni yang dilakukan olehnya.
"Saya tahu dia artis tetapi tidak sangka dia terkenal. Apabila saya buat carian di internet saya tekejut melihat banyak cerita tentangnya ditulis selain mempunyai ramai pengikut di laman sosial. Jadi, daripada internet saya tahu serba sedikit tentang Sarimah," akui Jamie yang berstatus duda tanpa anak.
Mengambil keputusan untuk menikahi seorang selebriti, Tunku Jamie sudah bersedia dengan perhatian yang di berikan peminat dan media kepadanya.
"Pada mulanya saya agak gementar apabila gambar kami berdua diambil dan ada peminat Sarimah yang menegur apabila kami keluar bersama. Selepas diterangkan oleh Sarimah, lama-kelamaan saya juga sudah biasa dan selesa dengan perhatian yang diberikan," balas Jamie.
Apabila ditanya apakah keistimewaan Sarimah sehingga hatinya bulat untuk menyunting wanita itu sebagai suri hidupnya, Jamie tersenyum lagi sebelum menjawab. Katanya, sikap positif yang menebal dalam diri wanita itu (Sarimah) menjadi punca hatinya tertambat.
"Sarimah seorang yang selalu bersikap positif walau dalam apa keadaan sekali pun. Dia jelita, mengambil berat dan seorang yang cukup penyayang," akui Jamie sambil Sarimah tersipu malu mendengar pengakuannya.

ATAS: Majlis pertunangan pasangan ini hanya dihadiri oleh sekitar 40 tetamu yang terdiri daripada keluarga rapat dan rakan baik Sarimah dan Tunku Jamie.


Selepas berumah tangga kelak, tegas Sarimah, dia masih akan meneruskan kerjayanya seperti biasa. Tidak ada sebab untuknya bersara daripada dunia seni meskipun dia bakal memiliki anak pada masa hadapan.
"Saya tetap akan bekerja selepas menjadi isteri. Kami sudah berbincang tentang perkara tersebut dan dia memberi kebenaran. Katanya, dia mengenali saya sebagai artis, jadi dia ingin lihat saya lakukan pekerjaan yang saya suka.
"Lainlah jika sudah ada anak kelak, mungkin saya akan perlahankan kerja buat sementara waktu. Untuk bersara daripada dunia seni, memang tidak sama sekali," akui Sarimah.
Menyentuh tentang cahaya mata, ujar Sarimah masih terlalu awal bagi mereka untuk bercerita tentang perkara berkenaan. Namun, katanya, mereka mahu segera mempunyai selepas selamat berkahwin kelak.
"Saya memang ingin anak tetapi semuanya atas rezeki Allah. Kalau ikut impian saya, kalau boleh saya ingin sepasang anak, seorang lelaki dan perempuan," luah Sarimah mengakhiri bicara.
Majlis pertunangan Sarimah dan Jamie berlangsung secara tertutup hanya dihadiri sekitar 40 orang ahli keluarga dan rakan rapat. Majlis tersebut bermula dengan acara berbalas pantun dan pertukaran dulang hantaran.
Ibu saudara Jamie, Raja Datin Massaha Raja Harun mewakili pihak keluarga lelaki menyarungkan cincin ke jari Sarimah. Selain itu majlis tersebut turut dihadiri oleh nenda Tunku Jamie iaitu Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin, bondanya Tunku Dara Naquiah Tuanku Ja'afar dan ayahandanya Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha.
Ibu bapa Sarimah, Ibrahim Ahmad, ibunya Elizabeth Hanlon dan tiga adik lelakinya turut memeriahkan majlis tersebut.


Gambar ekstrem di pergunungan Alps

Posted: 29 Sep 2014 07:23 PM PDT



SEKUMPULAN pendaki membuat formasi peta dunia di tebing sebuah gunung di pergunungan Alps.


LIECHTENSTEIN, Switzerland - Beberapa pendaki, peluncur ski dan pemandu arah merakamkan beberapa gambar ekstrem di kawasan pergunungan Alps dekat sini sebagai salah satu cara untuk mempromosikan produk keluaran sebuah syarikat barangan aktiviti luar.
Gambar tersebut diambil oleh jurugambar profesional, Robert Bosch yang bertujuan untuk mempromosikan barangan syarikat Mammut serta sebagai persediaan menyambut ulang tahun ke-150 pendakian ke Rabung Hornligrat di pergunungan itu pada Julai 2015.
Beberapa gambar menarik yang dirakam menunjukkan pasukan itu membuat formasi bentuk 'X' di lereng gunung selain tergantung di tali dan membentuk seperti pokok kaktus pada rabung batu.
Mereka juga membuat formasi membentuk peta dunia selain berada di puncak gunung setinggi 4,158 meter.


Anak landak tanpa duri ditemui di Scotland

Posted: 29 Sep 2014 07:22 PM PDT



PERBEZAAN antara seekor anak landak normal (kiri) dan seekor anak landak yang tidak mempunyai duri.


DUNTOCHER - Seekor anak landak yang dilahirkan tanpa duri dibadannya telah ditemui di sebuah kebun di Duntocher, Dunbartonshire di Scotland, lapor Metro.co.uk kelmarin.
Anak landak itu ditemui orang ramai di kebun berkenaan sebelum diserahkan kepada sebuah pusat penyelamat haiwan liar di bandar ini.
Pemilik pusat penyelamat haiwan liar Hessilhead, Gay Christie berkata, dia terkejut selepas seseorang menyerahkan landak itu ke pusat berkenaan.
"Anak landak ini sangat unik kerana ia tidak mempunyai bulu atau duri tetapi ia berada dalam keadaan yang sihat.
"Bagaimanapun, haiwan ini mungkin terpaksa tinggal di pusat ini sepanjang hayatnya kerana kulitnya terlalu sensitif untuk berada di hutan," katanya.


Gunung Ontake meletus, 36 orang terbunuh

Posted: 29 Sep 2014 07:21 PM PDT



ASAP dan debu masih menyelubungi sekitar Gunung Ontake semalam.


KASO - Sebanyak lapan lagi mayat telah dibawa turun menggunakan helikopter tentera walaupun kerja-kerja mencari baki mangsa berhadapan dengan kesukaran dan terpaksa dihentikan sekitar pukul 1.30 petang (waktu tempatan) berikutan gunung berapi Ontake masih mengeluarkan gas toksik dan debu panas, kata jurucakap polis wilayah Nagano, Naofumi Miyairi semalam.
Sekurang-kurangnya 36 orang dipercayai terbunuh dengan empat daripada mereka telah dibawa turun dengan menggunakan helikopter tentera, manakala 24 yang lain masih berada di puncak gunung.
Siaran stesen televisyen Jepun, TBS menunjukkan sekumpulan tentera membawa mayat mangsa yang dimasukkan ke dalam beg mayat menaiki helikopter tentera yang mendarat di sebuah kawasan lapang untuk dibawa turun dari kawasan yang terjejas.
Mayat-mayat mangsa yang dibawa turun kemudian dikumpulkan di sebuah padang rumput untuk dibuat pengecaman oleh anggota keluarga mangsa yang telah berkumpul di situ.
"Keadaan di lokasi gunung berapi berbau gas sulfur serta asap yang masih tebal menyebabkan usaha mencari baki mangsa terpaksa ditangguhkan," kata seorang anggota penyelamat, Morimoto.
Media Jepun melaporkan ada antara mayat yang ditemui tertimbus dalam debu sehingga 50 sentimeter.
Sabtu lalu, Gunung berapi Ontake berketinggian 3,067 meter yang menjadi salah satu lokasi mendaki popular terletak 210 kilometer dari barat Tokyo telah meletus selepas kali terakhir ia meletus pada tahun 1979, namun tiada kematian dilaporkan.


Hasilkan 1,000 biji keria secara manual

Posted: 29 Sep 2014 07:19 PM PDT




SEJAM sebelum warung Keria Haji Jalil dibuka, kelihatan barisan para peminat tegar kuih tersebut berkumpul di hadapan warung milik Jalil Tompang, 70, di Limbongan, Melaka.
Suasana itu bukanlah asing bagi Jalil yang hampir separuh dekad mengusahakan perniagaan kuih keria yang disira dengan gula Melaka.
Penangan keenakan keria yang lebih dikenali dengan jolokan kuih keria antarabangsa Haji Jalil itu sering menjadi sebutan penduduk setempat dan di luar Melaka.
Memulakan operasi dari pukul 2 hingga 6 petang setiap hari, Jalil mampu menghasilkan 1,000 biji kuih keria sehari menggunakan tangan tanpa bantuan mesin.
Siapa sangka pada usia senja, Jalil juga merupakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan kuih keria tersebut bermula daripada proses mengupas, merebus, menguli campuran tepung dan ubi keledek, menggoreng dan menyira.
Sejak perniagaan Jalil bermula daripada sebuah gerai kecil berdekatan rumahnya yang kemudian berkembang kepada warung rutin hariannya tidak pernah berubah.
"Setiap hari saya bangun pada pukul 4 pagi memulakan proses mengupas keledek, merebus dan menguli sehingga kuih siap disira.
"Saya perlu pastikan sebelum pukul 1 petang, kuih sudah sedia untuk dijual kerana pada waktu itu pelanggan sudah mula menunggu," katanya.
Bermula dari pukul 4 pagi hingga 1 petang, Jalil menghabiskan masa di dapur sekitar 10 jam. Kemudian proses jualan kuih akan diselia oleh menantunya, Noor Azura Baba, 29.
Bagi memastikan bekalan ubi keledek mencukupi, Jalil tidak bergantung pada satu sumber sahaja. Beliau mendapatkan bekalan tersebut daripada pembekal di Perlis, Perak dan Cameron Highlands di Pahang selain Melaka.
Setiap minggu sebanyak 600 kilogram (kg) sehingga satu tan ubi keledek dihantar ke stor simpanannya. Dalam tempoh dua hari, Jalil memerlukan kira-kira 300kg yang mampu menghasilkan sehingga 2,000 biji kuih keria.
Oleh kerana keenakan kuih keria Haji Jalil bergantung kepada gabungan 90 peratus ubi keledek dan 10 peratus tepung gandum, cabaran utama Jalil ialah menyediakan stok kuih keria yang mencukupi.
KEISTIMEWAAN kuih keria Haji Jalil ialah ia disira dengan gula Melaka.


Sara keluarga
"Kesemua 600kg hingga satu tan ubi keledek itu akan digunakan dalam tempoh seminggu sahaja. Saya perlu memastikan kesegaran ubi keledek kerana ia elemen utama keenakan kuih keria ini.
"Ubi keledek yang kurang segar, akan diasingkan. Malah setiap ubi keledek hanya akan dikupas pada hari kuih tersebut akan dijual mengikut kapasiti yang diperlukan," katanya.
Menurut Jalil, beliau tidak pernah terfikir dapat membesarkan anaknya hasil pendapatan kuih keria semata-mata.
Sering melakukan pelbagai pekerjaan, Jalil sudah terbiasa memulakan kehidupan seawal pukul 4 pagi.
Sebelum menjual kuih keria, Jalil pernah bergelar nelayan, tukang, memotong rumput dan melakukan pelbagai kerja kampung untuk menyara enam anaknya.
Akhirnya, dia tekad ke ibu kota, Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan baharu demi menyara keluarga dengan mengharapkan pendapatan yang lumayan.
Jalil pernah bekerja di sebuah kilang di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur namun dia hanya bertahan beberapa bulan sebelum pulang semula ke kampung halaman kerana peristiwa 13 Mei 1969.
Buntu memikirkan tanggungjawab yang terpikul di atas bahunya, selepas solat Asar beliau termenung di beranda sambil ibunya menghidangkan kuih keria.
"Kuih keria yang dihidangkan ibu itulah yang mencetuskan ilham kepada saya untuk menjual produk yang serupa. Sejak itu saya sering terperap di dapur melihat ibu membuat kuih keria. Seminggu selepas itu saya memberanikan diri menjual kuih keria di hadapan rumah," jelasnya.
Bermula dengan 20 biji, Jalil menambah produksi pada minggu berikutnya 20 biji, sehinggalah setiap hari saya mampu menjual 100 biji kuih pada harga 5 sen sebiji," tuturnya.
Ramadan
Kuih keria bersaiz sebesar tapak tangan bayi itu merupakan saiz yang sama dijual sekitar tahun 1960-an. Seiring dengan peredaran zaman, kuih itu kini dijual pada harga 50 sen sebiji.
Keempukan ubi keledek dan sira gula Melaka merupakan rahsia Jalil mempertahankan perniagaannya.
Sehinggakan ada pelanggannya yang sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk menikmati kuih keria tersebut. Katanya, hidangan kuih keria itu sedap dinikmati bersama teh O panas.
JALIL memperoleh resipi kuih keria daripada ibunya.


Bulan Ramadan ialah tempoh yang mencabar kerana Jalil perlu menyediakan sehingga 2,000 biji kuih keria hampir setiap hari.
Ia melibatkan tempahan masjid berdekatan, juadah berbuka puasa dan majlis tahlil di sekitar daerah itu. Jalil menjelaskan, kira-kira 1,000 biji kuih habis dijual dalam tempoh kira-kira dua jam.
Bagaimanapun, adat berniaga, dalam hari tertentu dia terpaksa menanggung kerugian. Bagi Jalil, semua itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya malah menganggap ia peluang untuknya bersedekah.
"Jika jualan kuih keria tidak habis, saya sedekahkan di masjid, rumah anak yatim dan tahfiz serta jiran tetangga.
"Kami pernah gagal menjual kira-kira 700 kuih keria. Saya berpesan pada menantu supaya tidak simpan atau jual semula kuih tersebut. Sebaliknya sedekahkannya," tutur Jalil.
Bagi meneruskan legasi kuih kerianya, Jalil sering berpesan kepada anak lelakinya untuk membawa pulang calon menantu yang mampu menguli kuih keria. Beliau mahu resipi itu mampu menolong anak cucunya suatu hari nanti.
"Selain memastikan resipi ini menjadi turun temurun keluarga, saya yakin kuih keria ini mampu menjadi punca pendapatan mereka," jelasnya.
Noor Azura, menantu sulung Jalil memberitahu tentang syarat yang ditetapkan bapa mertuanya sebelum berkahwin dengan suaminya.
Menceritakan pengalaman tersebut, Noor Azura tertawa kecil tatkala mengimbau kenangan tersebut.
"Sukar untuk membuat kuih keria ini. Bayangkan sehari beratus kilogram ubi digunakan dengan campuran tepung gandum yang minimum.
"Cabarannya adalah ketika menggentel kuih untuk mendapatkan bentuk yang betul," katanya.
Bergurau
Noor Azura berkata, kali pertama bertemu dengan bapa mertuanya, soalan pertama yang diajukan sama ada dia tahu membuat kuih ataupun tidak.
"Pada mulanya saya terfikir bapa sekadar bergurau. Tetapi nadanya sangat serius. Kuih pertama yang terpacul dari mulutnya ialah kuih keria.
"Lucu bila diingat kembali. Bapa pernah berkata, saya tidak boleh menjadi sebahagian daripada menantu Haji Jalil jika tidak tahu menguli kuih keria," ceritanya sambil sesekali tersipu malu.
Selepas 10 tahun bersama keluarga Jalil, kini Noor Azura antara individu yang dipercayai untuk menguli kuih keria.

JALIL memulakan tugas seharian seawal pukul 4 pagi.


Walaupun sudah lama bersama Jalil menjual kuih tersebut, proses menyira kuih tetap diserahkan kepada bapa mertuanya. Hal ini kerana proses menguli amat sukar kerana ia melibatkan tempoh masa dan teknik khas.
"Satu kuali hanya mampu memuatkan kira-kira 300 biji kuih melibatkan tempoh masa 45 minit sama ada menggoreng dan menyira gula Melaka.
"Terdapat teknik khas untuk memastikan gula Melaka menyaluti setiap biji kuih. Kaedahnya ialah menggaul kuih mengikut pusingan jam sebanyak 360 darjah.
"Ia dilakukan selang 10 minit. Jika terlalu lama, gula akan cepat mengeras dan dikhuatiri menjejaskan keempukan kuih," jelasnya.
Tambahnya, sehingga kini hanya Jalil yang arif mengenai keadaan kuih apabila ia sedia untuk diadun bersama gula Melaka. Pemerhatian itu berdasarkan warna kuning keemasan kuih, kepekatan gula Melaka dan warna perang gula tersebut. Sementara itu, Nurul Asyiqin Sobri, 25, berasal dari Kuala Lumpur sanggup berkunjung ke warung Jalil untuk kali kedua selepas gagal merasai sendiri kuih keria tersebut kira-kira tiga bulan lalu.
Katanya, dia mendapat maklumat mengenai warung itu melalui kenalan yang pernah merasai kuih itu ketika bercuti di Melaka.
"Warnanya yang coklat keperangan sudah cukup membuka selera. Ia sedap dinikmati ketika minum petang bersama secawan teh O panas," kata kakitangan swasta itu ketika dtemui.


Busana elegan sempena Aidiladha

Posted: 29 Sep 2014 07:17 PM PDT


WARNA popular tahun ini iaitu hijau zamrud antara yang ditawarkan dalam koleksi jubah BellaLiyana01.


MESKIPUN memakai potongan busana yang mengikut syariat wanita Islam, ia bukan alasan untuk kaum Hawa bergaya terutama bagi meraikan sesuatu perayaan atau majlis-majlis istimewa.
Koleksi jubah BellaLiyana01 memberikan sentuhan menawan untuk pakaian wanita, khususnya bagi mereka yang bertudung.
Perincian manik dan batu Swarovski di bahagian pinggang, lengan dan leher tidak hanya menyuntik elemen moden tetapi menyerlahkan gaya penampilan busana Muslimah.
Sentuhan bergaya itu merupakan hasil rekaan kolaborasi antara pemilik jenama Bella Ammara dan selebriti terkenal tanah air, Liyana Jasmay.
Pengasas jenama jubah Bella Ammara, Belle Alyahya berkata, rekaan bersama itu dibuat khas sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut umat Islam di seluruh dunia pada 5 Oktober ini.
"BellaLiyana01 menyediakan sebanyak 10 warna yang menawan dalam satu rekaan jubah dengan gabungan renda tweed dan kain satin.
"Antara varian warna yang ditawarkan ialah hijau zamrud, ungu gelap, hijau epal, kelabu lembut, merah jambu ros dan biru terang.
"Busana ini berkonsepkan klasik dan mewah yang direka khas sempena menyambut Hari Raya Aidiladha," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran BellaLiyana01 di Restoran The Apartment di pusat beli-belah The Curve, Petaling Jaya.
Gaya mewah
Dalam pada itu, Liyana berkata, jubah tersebut tidak hanya cantik untuk digayakan dalam kalangan wanita bertudung.
"Saya memberikan idea untuk meletakkan sulaman manik dan batu Swarovski sehingga di bahagian leher jubah. Ia akan memperlihatkan lagi gaya mewah busana ini meskipun jika ia digayakan oleh wanita tidak bertudung," katanya yang pertama kali terlibat dalam rekaan busana Muslimah.
Mengulas lanjut, Belle memberitahu, kolaborasi itu akan memperkenalkan rekaan-rekaan baharu berdasarkan respons dan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan.
Orang ramai boleh mendapatkan koleksi BellaLiyana01 pada harga RM294 di butik Bella Ammara di Seksyen 7, Shah Alam atau pembelian secara online di laman web bellaammara.com.


Mimpi buruk jenayah seksual

Posted: 29 Sep 2014 07:15 PM PDT


PELAKU jenayah rogol semakin berani apabila mereka melakukannya kepada ahli keluarga sendiri. - Gambar hiasan


JENAYAH seksual adalah igauan buruk bagi mana-mana kanak-kanak perempuan mahupun wanita.
Meskipun masyarakat melihat serangan seksual ini sebagai satu jenayah tetapi ada juga yang memandang serong terhadap mangsa kerana kejahilannya.
Hampir setiap hari ada sahaja laporan media mengenai mangsa rogol, sumbang mahram atau perkosaan.
Masyarakat juga kian bimbang kerana mangsa serangan seksual ini semakin muda usia mereka dan pelakunya semakin berani.
Pada hujung bulan Mei lalu, rakyat Malaysia cemas selepas membaca laporan media mengenai dua gadis belasan tahun di Ketereh, Kelantan yang mendakwa telah dirogol 38 lelaki.
Minggu hari lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun di Melaka dipaksa oleh ayahnya melakukan seks oral.
Dibunuh
Dalam satu kejadian lain, seorang guru agama atau ustazah dipenjara lapan tahun kerana membantu suaminya merogol anak perempuan mereka berusia belasan tahun.
Lebih memilukan, ramai juga mangsa rogol yang dibunuh. Seolah-olah, pemangsa seksual ini ada di mana-mana. Mereka mungkin ahli keluarga mangsa termasuk ayah atau saudara lelaki, kawan atau jiran seperti yang dilaporkan dalam banyak kes.
Statistik mendedahkan betapa teruknya kes serangan seksual di negara ini. Pada bulan Mac tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu, sebanyak 1,424 kes rogol dilaporkan pada tahun 2013 dengan 90 peratus mangsa berada dalam kumpulan umur antara 13 hingga 16 tahun.
Bagaimanapun, angka yang diberikan ini hanyalah bahagian kecil daripada apa yang sebenarnya berlaku kerana bagi setiap insiden serangan seksual, banyak lagi yang tidak dilaporkan.
Satu daripada sebab mengapa ramai mangsa serangan seksual memilih untuk membisu adalah stigma atau aib.
Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari memberitahu, banyak kes serangan seksual yang tidak dilaporkan kerana mangsa sendiri enggan mendapatkan keadilan.
"Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja mangsa rogol dirujuk kepada kami termasuk mangsa bawah umur.
"Saya pasti ramai lagi yang tidak buat laporan untuk melindungi mangsa serta maruah keluarga," kata beliau yang banyak mengendalikan mangsa rogol.
Ramai mangsa serangan seksual ini memilih untuk berdiam diri, sebahagian besarnya kerana masyarakat memandang serong terhadap mangsa jenayah ini.
Stigma masyarakat ini mencetuskan kebimbangan kepada mangsa. Mereka akan dicemuh sekiranya ada yang tahu nasib malang mereka. Jika mangsa hamil, stigma ini berterusan dan anak itu dianggap sebagai anak luar nikah.

ADA mangsa rogol dibunuh dan disembunyikan di tempat yang sukar dikesan. - Gambar hiasan


Sehubungan itu, tidak ada sebab untuk rasa terperanjat sekiranya kes rogol, sumbang mahram dan perkosaan tidak dilapor atau diselesaikan.
Kajian mendedahkan, 80 peratus pelaku adalah mereka yang dikenali mangsa seperti ahli keluarga mereka sendiri jiran atau orang yang mereka kenal.
"Di samping mencemar nama baik keluarga atau insiden itu menjadi buah mulut, ramai yang tidak melaporkan insiden serangan seksual ini kerana bimbang tindakan balas.
"Jika suami merogol anak perempuannya, isteri takut pergi kepada polis kerana memikirkan kesan jangka panjang sekiranya suami dipenjarakan.
"Isteri mungkin bimbang kemungkinan diceraikan atau kehilangan suami yang mencari nafkah keluarga jika dia melaporkan insiden itu. Jadi, dalam kes ini, siapa yang penting, anak perempuan atau suami?," tanya Muhammad Muhsin yang juga setiausaha kehormat Persatuan Psikiatri Malaysia.
Serangan seksual
Bagaimanapun, ramai yang tinggal bersama mangsa tidak sedar mengenai serangan seksual yang menimpa diri mangsa kerana pelaku begitu licik ketika melakukan jenayah keji itu.
Menurut Muhammad Muhsin, masalah itu menjadi semakin rumit apabila kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun tidak tahu apa makna rogol, sumbang mahram atau perkosa.
Justeru, tiada siapa yang tahu serangan seksual telah berlaku.
"Itulah sebabnya mengapa penting untuk ibu bapa mengenal pasti perubahan kelakuan anak mereka. Antaranya, perubahan sikap enggan ke sekolah dan objek-objek yang mereka lukis," katanya.
Bagaimanapun, mangsa serangan seksual yang tertekan dan mengalami kemurungan teruk ada kecenderungan membunuh diri.
"Mangsa serangan seksual menghadapi kesan fizikal, psikologi dan sosial. Mereka mungkin mengalami kecederaan fizikal dan dijangkiti penyakit seksual atau mengandung.
"Mereka juga mungkin tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran atau pekerjaan mereka.
"Bagaimanapun, kesan psikologi lebih ketara termasuk gangguan emosi dan trauma," katanya sambil menambah bantuan perubatan di peringkat awal mungkin dapat membantu di samping pegangan agama yang kuat.


Ramuan nasi kukus RizQ

Posted: 29 Sep 2014 07:14 PM PDT



AYAM goreng berempah ini mampu membuka selera pelanggan yang menikmati nasi kukus.


DARI jauh, bau nasi kukus sudah memenuhi ruang udara di sebuah kedai yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. Menghampiri waktu makan tengah hari, Restoran RizQ Nasi Kukus mula dipenuhi para pelanggan yang rata-rata terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi berdekatan dan pekerja swasta.
Kebanyakan mereka memesan juadah utama iaitu nasi kukus manakala yang lain memilih nasi berlauk ikan tongkol.
Seorang pelanggan, Ramli Abu Bakar, 47, sedang menikmati nasi kukusnya dengan penuh berselera. Ujarnya, nasi kukus itu dimasak sempurna menggunakan beras berkualiti.
"Saya menikmati setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulut. Nasi kukus ini tidak terlalu lembik atau keras.
"Saya tidak menyukai nasi yang lembik kerana ia akan melekat pada pinggan jika bercampur dengan kuah," katanya.
Ramli memberitahu, dia sememangnya mementingkan keadaan nasi yang dimasak.
Dalam pada itu pemilik Restoran RizQ Nasi Kukus, Rosilawati Yaacob, 39, berkata, keistimewaan premisnya adalah hanya menjual juadah signatur masyarakat Kelantan.
Antara gabungan lauk yang disediakan dalam menu utama ialah kerutuk, gulai kawah, kuah kari ayam, kuah kari daging, ayam percik, sambal ikan bilis dan ulam timun.
"Restoran RizQ Nasi Kukus menyediakan hidangan yang dimasak menggunakan resipi asli turun-temurun keluarga 'Kak Yah'. Bahan-bahan masakan didatangkan khas dari Kelantan.
"Selain itu, sajian ini disediakan oleh ibu saudara saya, Hanizah Mohamad Noor yang berpengalaman dalam bidang katering sejak tahun 1995," jelasnya yang turut melayan pelanggan di restorannya.

RESTORAN RizQ Nasi Kukus ini menawarkan pelbagai pilihan masakan asli Kelantan.


Tambah Rosilawati, keaslian resipi yang ditawarkan dapat dinilai menerusi beberapa jenis masakan seperti sambal ikan bilis.
Jelasnya, terdapat kedai nasi kukus yang memasak sambal menggunakan belacan, namun gaya masakan sebenar masyarakat di Kelantan adalah dengan memasukkan cuka serta sedikit ikan bilis. Sambal itu juga dipanggil sambal jeruk atau sambal nasi berlauk.
Periuk kukus
Mengulas lanjut tentang nasinya, Rosilawati yang mesra dipanggil Shiela berkata, beras yang digunakan adalah beras berkualiti dari Thailand dan ia dikukus sepenuhnya menggunakan periuk kukus.
"Ada segelintir peniaga yang memasak nasi dalam periuk biasa sehingga separa masak. Ia dibiar menjadi nasi menggunakan periuk kukus.
"Teknik masakan seperti itu menyebabkan nasi menjadi lembik dan tidak sedap apabila dimakan bersama kuah kari," jelasnya.
Bagaimanapun, Hanizah berkata, menu utama yang menaikkan selera makan pengunjung ialah ayam goreng berempah. Sajian itu dihidangkan panas dari dapur.
Ayam yang digoreng juga diperap separuh hari sebelum digoreng bagi memastikan rasa bahan-bahan perapan seperti halia, serai, bawang merah, bawang putih, rempah ketumbar dan daun kari terserap. Menaikkan lagi aroma, nasi kukus itu dihidangkan di atas daun pisang.
Hidangan nasi kukus didatangkan dalam set air sirap berharga RM6.50 dan ala carte RM6.


Ayam masak hijau Nurulhuda

Posted: 29 Sep 2014 07:12 PM PDT

MENU ayam masak hijau mendapat sambutan hangat daripada pasangan pengantin.


PENGUBAHSUAIAN resipi ayam masak merah kepada ayam masak hijau yang dilakukan Nurulhuda Yaacob, 43, semakin menarik minat para pasangan pengantin yang mahukan kelainan dalam menu sajian ketika majlis perkahwinan.
Menggunakan rempah-ratus terpilih seperti cili hijau serta bahan segar yang lain, ia mempunyai cita rasa unik berbanding ayam masak merah yang lazim dijadikan salah satu menu utama dalam kenduri kahwin.
Pengusaha Nirwana Caterer & Deco (Nirwana) yang beribu pejabat di Taman Pandan Perdana 2 dekat Ampang, Selangor itu berkata, menu tersebut merupakan hasil ciptaan beliau sendiri dan ia tidak terdapat di tempat lain.
"Sejak kami memperkenalkan menu ini (ayam masak hijau) beberapa bulan lalu, ia semakin mendapat sambutan hangat daripada pasangan-pasangan pengantin yang mahu melangsungkan perkahwinan.
"Rakan-rakan para pelanggan terdahulu yang ingin melangsungkan perkahwinan juga mahu kami menyediakan hidangan sama dalam majlis mereka.
"Ayam masak hijau yang disediakan Nirwana diolah menggunakan rempah terpilih dan memiliki cita rasa unik berbanding hidangan-hidangan ayam yang lain," kata Nurulhuda semasa ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Cita rasa
Selain itu, Nurulhuda turut melakukan pengubahsuaian dalam beberapa resipi lain seperti daging hitam Johor dan kambing masak merah yang enak dimakan bersama nasi beriani serta nasi bukhari.
"Setakat ini, pasangan pengantin yang mendapatkan khidmat Nirwana berpuas hati dengan semua sajian yang disediakan kerana mempunyai kelainan cita rasa.
"Kebanyakan sajian lain yang disediakan pula merupakan hidangan tradisi masyarakat Johor. Ada juga pelanggan mahu kami sediakan menu tertentu yang tidak ada dalam pakej," tambah Nurulhuda yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyediaan makanan sejak usia remaja.
Menurut Nurulhuda, Nirwana menawarkan pakej lengkap kepada para pasangan pengantin di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang yang ingin melangsungkan perkahwinan dengan bajet sederhana.
NURULHUDA (kiri) turut menyediakan alat kelengkapan majlis secara percuma kepada pelanggan.


Kelengkapan
Ia termasuk penyediaan makanan, set pelamin, busana mempelai, solekan pengantin, khidmat fotografi dan pelbagai kelengkapan majlis termasuk kanopi, khemah, kerusi, meja serta peralatan untuk hiasan mengikut jenis pakej.
Nurulhuda menambah, pihaknya menawarkan lima pakej katering pada harga berpatutan antara RM8.80 hingga RM15.80 bagi setiap tetamu yang dijemput.
Pakej RM8.80 bagi setiap tetamu terdiri daripada nasi beriani, nasi putih, ayam masak merah, daging hitam, dalca sayur, jelatah, acar buah, kek pengantin serta minuman.
Pakej RM10.80 pula menawarkan nasi minyak, ayam goreng berempah, kurma daging, sambal sotong dan ikan dori masam manis kepada setiap tetamu yang hadir.
Hidangan seperti ayam masak hijau, dalca tetel, ayam kuzi, kambing masak merah, acar buah serta nasi jagung pula disediakan menerusi pakej RM12.80 dan RM15.80 bagi setiap tetamu.
"Setiap pakej terdiri daripada hidangan utama, diikuti sajian pencuci mulut dan minuman. Apabila memilih pakej-pakej tersebut, kami juga menyediakan alat kelengkapan majlis secara percuma kepada pelanggan.
"Harga pakej yang ditawarkan adalah mengikut bajet dan kemampuan pasangan pengantin. Harga bagi keseluruhan majlis pula bergantung kepada bilangan tetamu yang dijemput oleh pasangan tersebut.
"Jika pengantin mahu mengadakan majlis di dalam dewan atau ingin konsep tertentu, pihak kami akan sedaya upaya mendapatkan sebuah dewan untuk mereka dan menghias lokasi majlis supaya menepati konsep yang dikehendaki," tambah beliau.
Ujar Nurulhuda lagi, pasangan pengantin yang mendapatkan khidmat Nirwana juga akan diberi hadiah misteri sebagai penghargaan pihaknya kepada pelanggan.


Fiffy Natasya nikah Muslim Azman

Posted: 29 Sep 2014 07:02 PM PDT


DENGAN sekali lafaz, pelakon dan penyanyi remaja, Fiffy Natasya, 21, sah bergelar isteri kepada juruterbang sebuah syarikat penerbangan, Muslim Azman, 27, di kediaman keluarganya di Putra Height, di sini hari ini.
SUBANG: Dengan sekali lafaz, pelakon dan penyanyi remaja, Fiffy Natasya, 21, sah bergelar isteri kepada juruterbang sebuah syarikat penerbangan, Muslim Azman, 27, di kediaman keluarganya di Putra Height, di sini jam 11 pagi tadi.
Pasangan ini dinikahkan berwali bapa pengantin perempuan dan disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Sujak.
Fiffy yang dihubungi memberitahu majlis sebentar tadi berjalan lancar seadanya.
"Saya gembira dan tenang melalui saat baru ini. Tak ada gementar sangat pun. Perasaan biasa-biasa saja," katanya ringkas.
Malam ini akan berlangsung persandingan kedua mempelai di Dewan Sri Melati, Presint 3, Putrajaya. Pasangan ini bertunang pada 21 Disember tahun lalu.

Fiffy Natasya cantik dengan solekan Alha Alfa.
"Majlis bertandang sebelah suami belum ditetapkan lagi tarikhnya. Berkemungkinan hujung tahun ini dan ia akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan," katanya.
Fiffy dan suaminya juga tidak menolak untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.
"Bab anak itu kalau ada rezeki cepat, kami terima. Insya-Allah," kata Fiffy kepada BH Online.

Hairi Safwan ajak peminat tunai umrah Disember ini

Posted: 29 Sep 2014 07:00 PM PDT


KUALA LUMPUR: Kerana kesibukan komitmen seninya, Hairi Safwan belum sempat pergi berbulan madu dengan isterinya, Fara Afiza Azman. Hairi berkahwin Jun lalu bertemakan teater tradisional negeri Kedah, Mek Mulung.
Tambahan pula isterinya yang juga seorang bakal guru hanya akan tamat pengajian sekitar hujung tahun ini. Dek kesibukan itu juga, Hairi dan isterinya belum memikirkan soal untuk menimang cahaya mata.
"Kalau nak fikir pun bab menimang anak mungkin tahun depan. Tapi siapa kahwin tak nak anak? Anak penyambung warisan. Cuma Insya-Allah kalau jadi seperti dirancang, saya akan menunaikan umrah buat pertama kali dengan isteri hujung tahun ini.
"Nak kata menunaikan umrah ini sebagai berbulan madu tidak juga. Insya-Allah ada rezeki kami akan berbulan madu atau bercuti ke mana-mana kemudian saja. Tapi Alhamdulillah kami dapat menunaikan umrah bersama itu satu kesempatan berharga," katanya.
Menurut Hairi, tawaran mengerjakan umrah itu diterimanya bulan lalu. Istimewanya pakej umrah yang ditawarkan Pimpinan Travel Sdn Bhd itu dilakukan dengan cara 'backpacker'.
Selain mengerjakan umrah, mereka yang berminat untuk menyertai kembara ini turut akan dibawa ke tempat menarik di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
"Ini kali pertama saya mengerjakan umrah. Fokus utama yang ditawarkan agensi pelancongan ini memang menunaikan umrah dan bersiar-siar ke tempat menarik itu sampingan. Insya-Allah kalau ada yang berminat nak turut serta termasuk peminat saya amat-amat dialu-alukan.
"Pakej umrah secara 'backpacker' itu ditawarkan pada harga RM4,990 selama 10 hari 9 malam. Jangka masanya dari 30 Disember hingga 8 Januari depan. Kalau ada yang berminat boleh hubungi nombor 012-2132580, 012-35935441, 013-3533086 atau 012-25118744," katanya.
Ketika dihubungi Hairi sedang melunaskan telefilem Sopeah Jin dan Paku Pontianak.

Laksa RM1.50 tambah kuah percuma

Posted: 29 Sep 2014 06:24 PM PDT


  • Ishak mencedokkan kuah ke dalam laksa pelanggan.Ishak mencedokkan kuah ke dalam laksa pelanggan.

BOLEH isi sendiri sebanyak mana pun laksa ke dalam mangkuk,  dengan harga RM1.50 malah percuma jika hendak tambah kuah.

Pastinya ini tawaran menarik kepada penggemar laksa dan inilah yang ditawarkan Ishak Ibrahim, 77, atau lebih dikenali sebagai Pak Aq oleh penduduk di Jalan Kuala Baru, Balik Pulau, Pulau Pinang.

"Mereka boleh ambil sendiri rencah seperti bawang, timun dan cili sebagai penyedap rasa. Lain orang, lain cita rasa. Ada yang tak makan bawang. Jadi mereka bebas pilih rencah ikut selera mereka," kata Pak Aq yang merupakan pesara tentera.

Mengenai harga laksa yang dijualnya itu agak murah berbanding tempat lain, Pak Aq berkata ini kerana dia tahu pelanggan yang kebanyakannya penduduk tempatan berpendapatan sederhana dan rendah.

"Pada awalnya, kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada penduduk setempat iaitu nelayan, petani dan mereka yang bekerja kampung, sebab itu saya tidak jual dengan harga seperti di tempat lain.

"Lama kelamaan saya terfikir ada baiknya saya terus kekalkan harga ini kerana sambutan yang diterima  menggalakkan dari hari ke hari. Macam ada jenama sendiri pula," katanya.

Seorang pelanggan, Idrus Arshad, 45, berkata,  dia mengunjungi gerai Pak Aq sejak zaman bujang pada tahun 80-an.

"Sampailah sekarang, saya sudah berkeluarga tapi masih ke sini setiap kali hujung minggu" katanya.

Bagi Sim Ah Beng, 68, pula dia menggemari laksa Pak Aq kerana rasanya seperti masakan ibu sendiri.

"Kalau datang sini, makan dua mangkuk pun belum tentu cukup. Rasanya sedap, kuahnya dimasak menepati selera saya," katanya.

Anis Al-Idrus Tidak Hirau Kisah Lama Sharnaaz Ahmad

Posted: 29 Sep 2014 04:34 AM PDT


Anis tidak kisah dengan kisah kontroversi yang pernah dikaitkan dengan teman lelakinya, aktor Sharnaaz Ahmad kerana menganggap perkara itu sebagai cerita lama. 
PETALING JAYA: Pelakon baharu dan model Anis Al-Idrus tidak hirau dengan kisah kontroversi yang pernah dikaitkan dengan teman lelakinya, aktor Sharnaaz Ahmad kerana menganggap perkara itu sebagai cerita lama.

Anis, 26, berkata, dia tidak pernah menilai Sharnaaz ekoran kisah silam pelakon itu kerana ia tidak adil tambahan pula semua cerita berkenaan tiada sebarang kaitan dengannya.

"Itu semua cerita lama yang tidak menggambarkan siapa dirinya hari ini. Saya tidak pernah menilai dia kerana kisah silamnya termasuk hubungannya yang lalu," katanya kepada mStar Online.
Sharnaaz Ahmad.

Dalam pada itu, Anis berkata, sepanjang dua tahun mengenali Sharnaaz dia menyifatkan lelaki itu berbeza daripada digambarkan menerusi kontroversi.

Jelas Anis, selain menganggap Sharnaaz seorang lelaki yang baik, dia juga mudah didekati sepanjang perkenalan mereka.

"Dia seorang yang 'selamba' tetapi sangat baik dan sesetengah pihak melabelnya sebagai seorang yang panas baran tidak benar," jelasnya.

Tambah Anis, keluarganya juga turut menyenangi sikap Sharnaaz dan mengakui beberapa kali aktor itu bertemu keluarganya.

Sementara itu, bercakap lanjut mengenai hubungan mereka, Anis berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu terburu-buru dalam membawa hubungan mereka ke tahap seterusnya dan masih belum bersedia untuk berumah tangga.

Jelas Anis, buat masa ini mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan meletakkan karier sebagai keutamaan.

"Kami masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan selebihnya kami meletakkan perkara itu kepada jodoh.

"Sekiranya dipertemukan jodoh dengan Sharnaaz saya terima tetapi masih terlalu awal untuk bercakap soal perkahwinan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Anis berkata, selain masih bergiat aktif dalam dunia peragaan dia kini semakin selesa bergelar pelakon dan memberitahu bakal muncul dalam sebuah drama istimewa bersempena tribute khas buat Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee Oktober ini.

Ainan Tasneem Kecewa Fitnah 'Tikam Belakang'

Posted: 29 Sep 2014 04:32 AM PDT


Ainan tidak terkejut apabila dituduh bersikap 'tikam belakang' terhadap seorang wakil promoter dan sudah dapat menjangkakan gosip berkenaan bakal tersebar.
PETALING JAYA: Penyanyi Ainan Tasneem tidak terkejut dengan tuduhan mendakwa dia bersikap tikam belakang terhadap wakil promoter yang mendapatkan persembahan untuknya gara-gara ingin mengaut keuntungan.

Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 22, sebaliknya berkata, sejak awal lagi dia sudah menjangkakan berita tersebut akan tersebar dan mengakui mengenali dalang disebalik penyebaran fitnah itu.

"Saya sebenarnya hendak tergelak apabila membaca laporan berkenaan kerana pertama sekali ia tidak benar dan saya sudah menjangkakan individu berkenaan akan memburukkan saya kepada media.
Ainan tidak bimbang dengan dakwaan terhadapnya kerana ia tidak benar.

"Saya tahu dan kenal siapa 'wakil promoter' itu dan dia pernah mengugut saya untuk menyebarkan cerita tidak baik kepada wartawan kerana tidak berpuas hati," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Menerusi ruang gosip sebuah akhbar mingguan pada Ahad, Ainan dilaporkan berpura-pura pulang selepas mengadakan persembahan yang diaturkan oleh wakil promoter namun dia sebenarnya dikatakan menemui pihak penganjur untuk meminta mereka berurusan terus dengannya tanpa menggunakan orang tengah pada masa hadapan.

Ainan dikatakan bertindak sedemikian kerana ingin mengaut bayaran seratus peratus tanpa perlu membayar kepada pihak yang mencadangkan namanya membuat persembahan.

Dalam pada itu, Ainan berkata, individu berkenaan yang turut bekerja di sebuah syarikat rakaman menyebarkan cerita berkenaan kerana tidak berpuas hati apabila sebuah persembahan melibatkannya diaturkan oleh pengurus yang juga ibu saudaranya.

Jelas Ainan, individu berkenaan mempertikaikan tindakan tersebut yang meletakkan syarat sebarang tempahan persembahan perlu melalui pihaknya yang menjadi punca perbalahan di antara mereka.

"Sejak awal semasa saya menyertai Music Valley pihak pengurusan maklum tentang urusan persembahan saya diuruskan oleh ibu saudara saya dan mereka tidak mempunyai sebarang masalah tentang perkara itu malah ia lebih memudahkan keadaan.

Penyanyi berusia 22 tahun ini sedang dalam tahun akhir pengajiannya di UniMAP.

Tambah Ainan, dia sedar individu berkenaan bersungguh-sungguh menguruskan tempahan persembahannya kerana ingin mengaut komisen dan tidak ikhlas dalam membantunya.

"Biarpun sedar akan niatnya saya tetap pergi setiap kali ada acara yang diuruskannya dan tidak pernah sesekali mempertikaikan komisen yang diambil walaupun dia pernah terkantoi mengambil 80 peratus daripada pembayaran dibuat penganjur," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ainan berkata, pihak pengurusan atasan menyedari akan masalah yang berlaku  dan individu tersebut  telah pun menukar wakil bagi berurusan dengan pihaknya.

Dalam perkembangan lain, Ainan berkata, dia kini sedang sibuk dengan pengajian tahun akhirnya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan hanya akan menerima
pertunjukan pentas sekiranya berkelapangan.

Bagaimanapun pihak syarikat rakamannya telah merancang untuk melancarkan album terbaharunya pada penghujung tahun ini.

Tasha Shilla Sangkal Mengamuk Mahu Cari Dalang Fitnah

Posted: 29 Sep 2014 04:31 AM PDT


Tasha Shilla
PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla menyangkal dakwaan kononnya dia mengamuk di sebuah lokasi penggambaran gara-gara ingin mencari dalang yang menyebarkan fitnah selepas dikatakan 'berasmara' dengan teman lelakinya, Han.

Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 27, berkata, dia pelik bagaimana cerita terbaharu itu boleh timbul dan berharap segala khabar tidak benar tentangnya dihentikan.

"Apa yang ditulis adalah tidak benar dan saya harap hentikanlah segala cerita-cerita yang tidak benar tentang diri saya.

"Berilah saya ruang yang tenang untuk saya jalankan kerja saya," katanya kepada mStar Online menerusi pesanan WhatsApp di sini pada Ahad.

Menerusi laporan sebuah akhbar mingguan, rakan artis yang rapat dengan pelakon itu memberitahu tindakan Tasha mengamuk itu adalah kesan daripada dakwaan tersebut yang dirasakan sangat besar dan mengaibkan.

Hubungan Tasha dan Han sentiasa mendapat perhatian.
Disebabkan perkara itu, penggambaran terpaksa dihentikan dan semua pihak yang bekerja dalam produksi itu cuba memujuk dan menenangkan Tasha.

Dalam pada itu, Tasha berkata, dia tidak mampu untuk menahan mana-mana pihak daripada bercakap perkara buruk tentang dirinya dan kesal dengan kontroversi terbaharu itu.

Jelas Tasha lagi, dia sedar bukan semua orang sukakannya namun dia berharap diberi ruang untuk memberi fokus kepada kerjayanya sebagai pelakon dan bukannya terhadap cerita gosip murahan.

"Saya sedar saya tidak mampu untuk menutup mulut semua orang malahan saya juga sedar tidak semua sukakan saya. Sekali lagi berilah saya ruang," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Tasha berkata, dia kini sedang berada di Kuantan, Pahang untuk menjalani sesi penggambaran drama bersiri berjudul Takbir Zulaikha untuk slot Samarinda di TV3.

Jangan Jadikan Isu Foto Lana Nodin Dengan Pemuda Bertatu

Posted: 29 Sep 2014 04:30 AM PDT


Lana Nodin
PETALING JAYA: Pelakon Lana Nodin berharap fotonya bersama seorang pemuda bertatu yang dimuat naik di Instagram tidak dijadikan isu besar.

Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nordin, 35, berkata, dia terkejut apabila foto yang dimuat naik itu menjadi perbualan hangat pengikut-pengikutnya yang menyifatkan lelaki tersebut tidak layak menjadi kekasihnya kerana mempunyai tatu pada lengan.

"Pertama sekali, lelaki itu bukannya kekasih saya pun dan dia hanyalah jurulatih terjun udara (skydive) saya.

"Dia seorang lelaki berkacukan Amerika - Korea dan saya rapat dengannya. Tetapi tidaklah sampi menjalinkan hubungan yang serius, " katanya yang dihubungi mStar Onlinemenerusi aplikasi WhatsApp di sini pada pagi Isnin.

Lana kini sedang bercuti di negara Jepun selain mengambil kursus terjun udara di negara tersebut.

Pada Ahad, Lana telah memuat naik foto bersama seorang puda kacak di Instagram miliknya.
Foto Lana bersama seorang jejaka kacak yang menjadi perbualan hangat pengikut-pengikutnya di Instagram.

Foto tersebut mengundang kekecohan di kalangan pengikut-pengikut Lana selepas melihat lelaki  berkenaan mempunyai tatu dan tidak layak untuk menjadi kekasihnya. Bagaimanapun ada juga yang mendoakan kebahagiaan mereka berdua.

Sementara itu, Lana berkata, dia enggan mendedahkan identiti lelaki itu memandangkan foto tersebut telah mengundang kekecohan.

Malah Lana terpaksa membuang foto tersebut daripada laman Instagram kerana dia risau kekecohan tersebut mungkin boleh mengundang perasaan kurang senang individu itu.
Dalam pada itu, pelakon drama Cinta Ibadah ini berasa teruja apabila hasratnya mahu menyertai aktiviti terjun udara bakal  tercapai.

Beritahu Lana, dia kini sedang menjalani latihan di terowong angin (wind tunnel)  sebelum melakukan aktiviti terjun udara yang sebenar.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories