RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Erin Malek & Farriz Fauzy Selamat Bernikah

Posted: 10 Oct 2014 05:49 PM PDT


Erin Malek dan Farriz Fauzy disatukan sebagai suami-isteri.
AMPANG: Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Erin Malek, 20, akhirnya bergelar isteri kepada Farriz Fauzy, 30, dalam satu majlis yang diadakan di kediaman keluarga aktres itu di Duta Suria, Ampang di sini pada malam Jumaat.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Pernikahan, Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Mohd Yusof kira-kira pukul  9.12 malam diwalikan oleh bapa Erin.

Pada majlis itu, Farriz, 30, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM10,000 manakala wang hantaran RM30,000.

Hanya dengan sekali lafaz, Erin Malek, 20, akhirnya bergelar isteri kepada Farriz Fauzy.
Rombongan lelaki turut membawa tujuh dulang hantaran berupa cincin, Al-Quran dan sepasang telekung, seutas jam tangan, beg tangan dan sepasang kasut, barangan kosmetik, set wangian dan manisan.

Manakala pihak perempuan membalas sebanyak sembilan dulang hantaran iaitu tepak sirih, cincin, Al-Quran dan sejadah, seutas jam, sepasang sut, beg dan tali pinggang, set wangian, sepasang kasut dan kek.

Sementara itu, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek yang anggun memakai gaun rekaan Azura Couture meluahkan rasa syukur dia dan Farriz akhirnya disatukan dalam sebuah majlis pernikahan yang lancar.

"Alhamdulillah, semuanya selamat. Moga ikatan kami suami isteri berkahir sehingga akhir hayat.
"Hari ini merupakan hari paling bahagia buat kami," katanya selepas majlis pernikahan tersebut kepada mStar Online.

Majlis bertemakan pernikahan dalam taman itu dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga pasangan pengantin, kenalan rapat serta  pihak media.

Majlis resepsi pasangan itu akan berlangsung pada malam Sabtu di Hotel InterContinental, dekat sini.

Erin dan Farriz mengikat tali pertunangan pada 14 Januari lalu.

Farhan Azizan Sah Bergelar Isteri Dengan Sekali Lafaz

Posted: 10 Oct 2014 05:01 AM PDT


Farhan dan Ahmad Rashadan melahirkan rasa syukur mereka selamat disatukan. 
BANGI: Penyanyi dan bekas peserta program Akademi Fantasia musim keempat iaitu Farhan Azizan selamat bergelar isteri kepada Ahmad Rashadan Suhaimi, 30, dengan sekali lafaz.

Pasangan itu selamat diijab kabulkan kira-kira pukul 10.15 pagi di Masjid Al Hasanah, di sini pada Jummat.

Farhan, 30, diwalikan oleh bapanya, Azizan Mohd Khir manakala pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Pernikahan, Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Yusof.
Ceria wajah pengantin.

Ahmad Rashadan turut menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai RM300 namun merahsiakan jumlah wang hantaran.

Selain sebentuk cincin dan mas kahwin, pihak lelaki turut memberikan hantaran barangan seperti set penjagaan wajah, wangian, telekung, senaskah Al Quran, jam tangan.

Manakala pihak pengantin perempuan membalas sembilan dulang berupa sebentuk cincin, sirih junjung, kelengkapan solat, seutas jam tangan, bunga rampai, manisan, buah-buahan, sejadah dan coklat.

Farhan dan Ahmad Rashadan ketika ditemui melahirkan rasa syukur mereka selamat disatukan.

"Selepas lapan tahun kami menyulam cinta dengan pelbagai dugaan akhirnya kami selamat bersatu sebagai suami isteri.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan hari ini merupakan hari paling bahagia," kata Farhan.


Pasangan ini terdahulu mengikat tali pertunangan pada Februari 2012 selepas lapan tahun menyulam cinta.

Majlis resepsi pasangan itu akan berlangsung pada sebelah malam Jumaat di Dewan Seri Endon, Putrajaya.

Dianggarkan seramai 700 tetamu bakal hadir pada majlis tersebut.

Astro Tarik Diri Anugerah Skrin 2014

Posted: 10 Oct 2014 05:00 AM PDT


Sherina Nordin (tiga dari kanan) bersama artis dan mereka yang memenangi Anugerah Skrin pada tahun lalu.
PETALING JAYA: Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) tetap menerima pencalonan sengit daripada drama-drama tempatan biarpun stesen televisyen berbayar Astro menarik diri daripada mencalonkan sebarang kategori dalam anugerah tersebut.

Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Sherina Nordin, berkata, walau bagaimanapun pihaknya menerima pencalonan daripada kesemua stesen televisyen lain bawah naungan Media Prima serta RTM, Bernama dan TV Al-Hijrah untuk 32 kategori yang dipertandingkan.

"Pihak Astro ada mengikuti penerangan yang kita adakan untuk pencalonan ASK 2014 yang kita buat, namun selepas itu mereka menarik diri daripada mencalonkan karya-karya siaran stesen mereka.

"Kami tidak pasti sebab-sebabnya namun ia sebenarnya bukan satu-satunya anugerah yang tidak mereka sertai," katanya ketika sidang media Anugerah Skrin 2014 di Sri Pentas, di sini, Khamis.

Majlis tersebut turut mengumumkan tarikh ASK 2014bakal  diadakan pada  7 November depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun, Sherina mengakui pencalonan yang diterima berkurangan berbanding tahun sebelum ini akibat penarikan diri Astro itu.

Jelasnya, mungkin ada sebab tertentu stesen televisyen tersebut bertindak demikian.

"Kami membuka peluang kepada semua stesen televisyen untuk menghantar penyertaan," katanya.

Sementara itu, Sherina berkata, ASK 2014 kali ini turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial dan Drama Premium Terbaik.

Katanya, kategori tersebut diperkenalkan bagi menggalakkan perkembangan industri drama di negara ini.

"Kita wujudkan dua kategori ini kerana melihat kecenderungan penonton menonton di laman Internet dan membualkan perkara tersebut sehingga ia menjadi popular.

"Manakala, kategori premium adalah menggalakkan penerbitan drama yang bernilai lebih daripada RM150,000," ujarnya.

Selain itu, 12 kategori drama, 7 Kategori filem, 6 kategori penerbitan dalaman, 6 kategori teknikal dan 1 anugerah khas akan dipertandingkan mengikut syarat yang ditetapkan.

Karya-karya yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang ditayangkan di televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2013 hingga 30 Jun 2014.

Antara drama yang layak bertanding dalam kategori Drama Terbaik seperti Olang (Balang Rimbun Sdn Bhd), Pelita Tanpa Sumbu (Luqsar Kreatif Sdn Bhd), Mengejar Neraka (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd), What If (Mastermind Group Sdn Bhd), dan Balqis (Rumah Karya Citra Sdn Bhd).

Dalam pada itu, ASK 2014 akan menggunakan tema prestij dan anggun dan ia akan dihoskan oleh pelakon Fahrin Ahmad bersama beberapa pelakon popular lain seperti Zul Ariffin, Nabila Huda, Tasha Shilla, Shukri Yahaya dan Fiza Sabjahan.

Sementara itu, persembahan pentas akan dimeriahkan oleh DJ Fuzz, Lan, Black, Hafiz, Stacy, Adlin Aman Ramlie dan Ella.

Search Tidak Pernah Abaikan Yazit

Posted: 10 Oct 2014 04:57 AM PDT


Search dari kiri; Kid, Nasir, Amy, Yazit dan Nordin.
KUALA LUMPUR: Search tidak pernah mengabaikan kebajikan pemain drum kumpulan itu, Yazit yang uzur akibat penyakit buah pinggang sehingga dia terpaksa menjalani rawatan dialisis sejak beberapa tahun lalu.

Pemain bass Search iaitu Nasir, berkata, tuduhan yang mengatakan Search tidak mempedulikan Yazit  disifatkan sebagai tidak adil kerana mereka tidak pernah menghebahkan kebajikan dan sokongan yang dihulurkan kepadanya.

"Adalah tidak mungkin kami berbuat seperti mana didakwa kerana kami adalah orang yang paling dekat dan rapat dengannya.

"Selama ini segala tuduhan dilemparkan oleh sesetengah pihak, kami tidak ambil peduli kerana apa yang kami lakukan untuknya bukan sesuatu untuk dihebahkan seluruh Malaysia.

"Kami sudah berkawan hampir 35 tahun dan tahu apa patut dilakukan terhadap sahabat kami dan dakwaan begitu adalah tidak adil buat kami semua," katanya kepada mStar Online.
Nasir ditemui selepas sidang media 'Search Live in Istana Budaya 2014' di Istana Budaya di sini pada Khamis.
Kumpulan Search antara bintang rock legenda.


Konsert sulung Search di Panggung Sari itu bakal diadakan selama empat malam bermula 4 hingga 7 Disember depan pada pukul 8 malam.

Ia dianjurkan oleh Urban Creative Synergy (UCS) Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya.

Dalam pada itu, Nasir berkata, Yazit adalah antara faktor utama mereka bersetuju untuk mengadakan konsert itu selain ingin mendedikasikan persembahan mereka kepadanya.

Malah kata Nasir, Yazit bakal tampil sebagai pemain drum pada konsert itu namun penampilannya bukan untuk keseluruhan konsert yang berlangsung selama empat malam.

"Bukan tidak yakin dengan kebolehan dia tetapi kita perlu mengambil kira faktor kesihatannya tambahan pula dia tidak boleh terlalu agresif kerana bimbang akan memberi kesan kepadanya nanti.

"Bagaimanapun dia tetap akan bermain drum untuk beberapa seleksi lagu yang kami belum putuskan dan Yazit juga teruja untuk kembali beraksi," jelasnya.

Tambah Nasir, Search turut merancang untuk mengadakan sebuah segmen khas sebagai menghargai dan menghormati sahabat mereka itu.

Sementara itu, Amy pula berkata, dia mahu konsert itu nanti menjadi sebuah persembahan yang paling diingati peminatnya.

Kata Amy, meskipun belum membuat keputusan lagu bakal disampaikan pada malam itu nanti namun fokus konsert tersebut akan tertumpu kepada muzik dan lagu popular kegemaran peminat.

"Kami masih berbincang lagi tentang kelainan yang bakal dibawa Search namun yang pasti ia akan menjadi kejutan buat peminat," katanya.

Amy juga bakal menyanyikan lagu Kejoraku Bersatu yang pada asalnya dinyanyikan oleh bekas vokalis Search iaitu Moq buat pertama kali.

Tiket untuk menyaksikan konset berkenaan dijual pada harga RM109, RM209, RM309, RM409 dan RM799 (VIP).

Sebahagian daripada kutipan jualan tiket konsert ini juga akan disalurlan kepada tabung bantuan masyarakat di Gaza.

Peminat boleh mula membuat tempahan tiket bermula 15 Oktober ini di www.ticketpro.com.my.

Selain Amy (vokalis) Nasir (pemain bes), dan Yazit (dram), Search turut dianggotai oleh adik-beradik iaitu Nordin dan Kid masing-masing bermain gitar.

Azmil Mustapha Bawa Anak Dalami Islam Di Syria

Posted: 10 Oct 2014 04:56 AM PDT


Azmil Mustapha masih lagi mendapat tawaran lakonan meskipun tidak lagi aktif di bidang tersebut.
PETALING JAYA: Bekas pelakon era 80-an iaitu Azmil Mustapha menjelaskan penghijrahannya ke negara Syria kira-kira tujuh tahun lalu bukanlah kerana merajuk dengan industri seni negara.

Sebaliknya, Azmil, 62, berkata, dia ke negara itu membawa bersama-sama empat orang anaknya iaitu Nurazalea Arifah, 24, Nor Amalia Batrisya, 23, Mohd. Bazli Zhafri, 19, dan Nur Alia Iman, 13, ke negara itu adalah untuk mencari ilmu bagi menambah pengetahuan agama Islam.

"Ketika mula mendalami agama, hati saya masih lagi berasa kosong. Kemudian saya membuat sembahyang hajat untuk mendapatkan petunjuk, dan saya diberi petanda untuk ke Syria.

"Saya membawa keempat-empat anak ke negara itu dengan poket kosong. Tetapi, Alhamdulillah perjalanan dan kehidupan kami di sana dipermudahkan.

"Jadi tidak ada istilah saya merajuk dengan dunia seni atau tidak. Cuma saya ingin mencari ilmu ke jalan Allah. Itu sahaja," katanya.

Azmil yang kini duda turut mempunyai seorang anak iaitu Nur Syamira, 28, hasil perkahwinannya yang pertama.

Tambah Azmil, selepas lima tahun di negara itu, dia berhijrah ke Pattani, Thailand untuk membangunkan sekolah agama, namun hasratnya itu tidak tercapai kerana undang-undang tidak membenarkan warga asing memiliki sebarang tanah di negara itu.
Gambar saat popular Azmil.

Hal tersebut membuatkan pelakon yang popular dengan filem Ali Setan itu  membuat keputusan untuk kembali ke tanah air.

Kata Azmil, sejak pulang ke Malaysia, dia menerima pelbagai tawaran lakonan namun menolaknya kerana menganggap ia tidak bersesuaian dengan dirinya sekarang.

"Kali terakhir saya berlakon adalah pada tahun 2005 menerusi filem Puteri Gunung Ledang, itupun tidak ramai yang menyedarinya.

"Dan kemudian, saya tidak mahu lagi berlakon. Tetapi masih lagi ada penerbit menawarkan watak pada saya. Bukannya apa, mengenai kerja-kerja lakonan, banyak perkara yang saya perlu lihat, daripada segi watak, skrip serta cara kerja produksi. Semua itu penting bagi saya," ujarnya.

Sementara itu, Azmil berkata, dia kini sedang melibatkan diri dengan sebuah stesen televisyen baharu iaitu Halal TV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Menerusi saluran itu, Azmil menjadi penerbit program dan pengacara bagi programSelebritillah yang menampilkan Janet Jackson, Yusuf Islam dan beberapa selebriti muallaf antarabangsa.

Selain itu, Azmil turut menerbitkan program lain iaitu Tic Tech Tric (mengenai dunia elektrik) dan Sufi Seeker.

Semasa era kegemilangannya Azmil berjaya mencipta nama menerusi filem Mekaniksebagai pelakon utama pada 1983 arahan Othman Hafsham yang berjaya mencecah kutipan Boxoffice.

Nama Azmil terus menjadi sebutan apabila filem kisah percintaannya sebagai pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Ali Setan dan Ali Setan 2 masing-masing pada tahun 1985 dan 1986 menjadi satu fenomena ketika itu yang dilakonkannya bersama Ogy Ahmad Daud.

Campak murid dalam longkang

Posted: 10 Oct 2014 04:53 AM PDT


  • Luka dan lebam pada anggota badan Mohamad Sharhan.Luka dan lebam pada anggota badan Mohamad Sharhan.

KLUANG - Seorang murid tahun lima di sini, mendakwa dia dibelasah dan dicampak ke dalam longkang oleh seorang guru sekolahnya.

Murid berkenaan, Mohamad Sharhan Badrulhisham, 11, turut mendakwa diberi amaran akan dikeluarkan dari sekolah berkenaan pada sesi persekolahan akan datang.

Bapanya, Badrulhisham Khamis, 44, berkata, dia terkejut melihat anak bongsunya itu menangis dengan beberapa bahagian tubuhnya luka ketika mengambilnya di sekolah, kira-kira jam 10 pagi, kelmarin.

Dia bersama isterinya, datang ke sekolah itu selepas dihubungi anak mereka yang mengadu sakit perut.

"Anak saya beritahu dia dibelasah kemudian dicampak ke dalam longkang selain diberi amaran akan dikeluarkan dari sekolah pada sesi persekolahan akan datang oleh seorang guru hanya kerana dia bermain batu di hadapan kelas guru itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, berdasarkan cerita rakan-rakan anaknya, ketika mereka sedang bermain batu di hadapan kelas, salah seorang daripada mereka telah membaling batu yang kemudian terjatuh betul-betul di hadapan guru berkenaan.

Badrulhisham berkata, sebaik guru tersebut melihat mereka, tiga rakan anaknya itu bertindak melarikan diri.

"Hanya anak saya tinggal di situ kerana dia tidak melakukan perkara itu. Tetapi, guru tersebut naik berang tanpa usul periksa" katanya.

Jelasnya, dia sudah mendapatkan penjelasan daripada guru tersebut namun tidak berpuas hati dan telah membuat laporan polis berhubung insiden anaknya dibelasah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, petang kelmarin.

Tambahnya, dia tidak akan menghantar anaknya itu ke sekolah berkenaan ekoran Mohamad Sharhan masih trauma dengan kejadian yang berlaku ke atasnya selain tiada permohonan maaf daripada pihak sekolah atas perbuatan guru tersebut yang menghukum anaknya tanpa usul periksa.

"Saya mengakui anak saya seorang yang nakal. Tetapi, siasatlah dulu sebelum menghukum," katanya.

Badrulhisham berharap guru terlibat dikenakan tindakan sewajarnya agar kejadian serupa tidak berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Mohd Roze Shaari mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh.

Manakala, Jurucakap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kluang berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan akan menyiasat kes tersebut.

Jelasnya, pada masa ini mereka masih menunggu laporan penuh kejadian daripada pihak sekolah.

Remaja tergamam tangkap belut albino

Posted: 10 Oct 2014 04:49 AM PDT


  • Shafiq menunjukkan belut albino yang ditemuinya.Shafiq menunjukkan belut albino yang ditemuinya.

KUALA KURAU - Seorang remaja menemui seekor belut unik ketika memancing di Kampung Parit Mat Ali, di sini, kira-kira jam 10 pagi, kelmarin.

Pelajar tingkatan 1, Shafiq Yusri,13, berkata, dia tergamam setelah mendapati belut putih atau lebih dikenali belut albino yang memakan umpannya.

Menurutnya, hasil tangkapan unik itu menyebabkan rumahnya kerap dikunjungi peminat dan penangkap belut.

"Setiap minggu saya akan turun ke batas sawah padi untuk memancing belut.

"Ini kali pertama saya dapat belut albino dan beratnya sekitar 400 gram dan panjangnya hampir semeter," katanya.

Peniaga nangka cari inisiatif

Posted: 10 Oct 2014 04:45 AM PDT


  • Air tebu dijual Mohd Selodi merupakan 100 peratus asli tanpa gula tambahan.Air tebu dijual Mohd Selodi merupakan 100 peratus asli tanpa gula tambahan.

BENTONG - Sambutan terhadap perniagaan buah nangka di sepanjang jalan Raub menuju ke Bentong menjadikan ia satu persaingan hebat antara sesama peniaga yang mengusahakan hasil jualan buah tersebut di tepi jalan Bilut di sini.

Oleh sebab itu, salah seorang peniaga mengambil inisiatif untuk lebih kreatif dalam meraih pendapatan bulanan yang lebih baik sambil meneruskan penjualan di kawasan tersebut.

Peniaga terbabit, Mohd Selodi Md Ghazali, 32, berkata, disebabkan persaingan tersebut, dia mula membuka kedai Air Tebu Piaww 916 bersebelahan kedai nangkanya.

"Saya lihat terlalu banyak peniaga yang menjual nangka di sepanjang jalan utama Kuala Lumpur menuju ke Kelantan ini justeru mewujudkan satu persaingan yang tinggi.

"Oleh itu saya memikirkan jalan lain bagi meningkatkan pendapatan saya dengan menjual air tebu ini kerana saya lihat masih belum ada peniaga yang menjual air tebu di sepanjang jalan ini," katanya.

Tambahnya, air tebu yang dijual tidak mempunyai sebarang perisa tambahan termasuk gula, dan ia menggunakan 100 peratus air tebu.

"Tebu ini sebahagiannya saya ambil dari orang kampung di Felda Lurah Bilut yang menanam tebu dan sebahagiannya dari Mempaga," katanya.

Menurutnya, dengan kos sara hidup yang semakin meningkatkan kini, inisiatif terbabit perlu dilakukan agar dapat menjana pendapatan sampingan bagi menampung kehidupan dia, isteri dan lima anaknya.

Menurutnya, dia sudah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan buah nangka sejak sekitar empat tahun lalu dan mula meminati bidang perniagaan sejak kecil kerana terpengaruh dengan abangnya yang merupakan peniaga tembikai.

"Ketika saya datang ke Felda Lurah Bilut kerana berkahwin dengan isteri saya yang merupakan orang asal sini, saya tidak mempunyai kerja tetap.

"Saya pernah bekerja di kilang getah, pernah juga menjadi pemandu bas di samping membuat perniagaan atas talian. Duit yang saya peroleh dari pelbagai kerja yang saya lakukan itu saya simpan sedikit sebagai modal untuk saya memulakan perniagaan secara serius.

"Duit yang di simpan, saya gunakan sebagai modal untuk membina gerai buah nangka di tepi jalan ini dan kemudiannya saya buka pula gerai air tebu," katanya.

Mohd Selodi tekad untuk tidak mengambil sebarang pinjaman perniagaan kerana bimbang dibebani hutan selain memberitahu perniagaan yang dijalankan adalah berpandukan ajaran Nabi Muhammad SAW.

"Sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, niat saya berniaga untuk mencari rezeki menyara persekolahan anak-anak dan saya berhasrat menghantar ke semua mereka ke Maahaf Tahfiz.

"Selain itu, saya juga berniaga dengan harapan agar duit itu nanti dapat gunakan untuk kerja-kerja amal sebagai bekalan saya di akhirat kelak," katanya.

Selain menjual buah nangka dan air tebu, Mohd Selodi turut menjual kerepek buatan penduduk kampung dan produk baru yang diperoleh daripada Karnival Maha yang lalu.

Biak ‘keli lembut’ elak pupus

Posted: 10 Oct 2014 04:43 AM PDT


  • Mohd Afandi (lima, kiri) bersama pelatihnya menunjukkan induk keli lembut atau dikenali ikan keli bunga yang berjaya dihasilkanMohd Afandi (lima, kiri) bersama pelatihnya menunjukkan induk keli lembut atau dikenali ikan keli bunga yang berjaya dihasilkan

PASER PUTIH - Menyedari ikan keli lembut atau keli bunga hampir pupus, usahawan tempatan mengambil keputusan untuk melaksanakan projek pembiakan spesies tersebut secara komersial sejak lapan tahun lalu.

Mohd Afandi Mahamad, 50, berkata, usaha itu dirasakan berbaloi kerana ikan keli lembut lebih mahal harganya dan enak rasanya berbanding keli lain.

"Usaha ini lebih bermakna dan berkesan apabila syarikat Semerak Jaya Agrotech yang saya uruskan diberi tauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk memberi latihan kemahiran kepada lepasan sekolah menerusi Sistem Latihan Dual Nasional.

"Semerak Jaya mula memberi latihan pada tahun 2008 dan untuk siri keempat tahun ini, seramai 15 peserta berusia dari 16  hingga 20 tahun mengikuti kelas kemahiran untuk menjadi Juruteknik Akuakultur Perikananan," katanya.

Katanya, induk keli lembut atau nama saintifiknya, clarlas macrocephalus diperolehi daripada sumber liar dan dengan membelinya daripada pembekal.

"Induk betina disuntik hormon bagi mematangkan telur, selepas persenyawaan dengan induk jantan, ia bertelur dan menetas dalam tangki yang mana proses itu berlaku dalam tempoh 36 jam sahaja.

"Benih kemudiannya dipindahkan ke kolam tanah bagi membolehkan ia memakan plankton selama 20 hari sebelum dipindahkan ke tangki.

"Anak ikan berusia sebulan mencapai panjang dua inci dijual kepada penternak dan sebahagiannya kami ternak sendiri untuk menghasilkan induk," katanya.

Menurutnya, ikan keli lembut yang kini dijual pada harga sekitar RM25 sekilogram akan pupus sekiranya tiada usaha pembiakan dilakukan.

"Saya khuatir spesies ini akan pupus kerana habitat diancam pelbagai bentuk pencemaran, sebab itulah saya memilih untuk mengusahakan projek ini yang mana dalam masa sama, ramai usahawan cenderung projek yang sama dapat dilahirkan,' katanya.

Anak kucing dilahirkan berwajah luar biasa

Posted: 10 Oct 2014 04:42 AM PDT


  • Anak kucing ini mati beberapa hari selepas dilahirkan.Anak kucing ini mati beberapa hari selepas dilahirkan.

RANTAU PANJANG - Seorang pelajar terkejut apabila mendapati anak kucing yang baru dilahirkan berwajah luar biasa.

Namun Mohd Afendi Mohd Termizi, 17, berkata, usia kucing berkenaan tidak panjang dan mati beberapa hari kemudian.

Menurutnya, kucing yang dilahirkan sehari sebelum Aidiladha lalu, mempunyai dua wajah dan berkongsi satu badan.

"Ibu kucing yang dinamakan Cin melahirkan tiga anak tetapi hanya seekor yang berwarna hitam dan berkepala dua.

"Saya dapati ia tak pandai minum susu sedangkan dua lagi anak kucing yang lain sudah aktif dan memberi tindak balas sekiranya dipegang," katanya.

Afendi berkata, sebelum ini Cin turut menarik perhatian penduduk kampung kerana dilahirkan dengan berjari enam.

Mungkin disebabkan keturunannya yang unik, Afendi sekeluarga percaya anak-anak Cin turut berkongsi genetik istimewa tersebut.

Sementara itu, abangnya, Mohd Kamel Kamaruzaman Mohd Termizi, 25, berkata, Cin merupakan kucing peliharaan keluarganya sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun sebahagian keluarganya kurang menggemari kucing, namun disebabkan keunikan Cin, haiwan itu menjadi antara penyeri di dalam rumah.

"Penduduk turut teruja untuk melihat keunikan Cin dan anaknya, namun kecewa kerana tak panjang umur," katanya.

Rahsia terbongkar di Pulau Besar

Posted: 10 Oct 2014 04:40 AM PDT


  • Wanita berusia 31 tahun yang ditahan Jaim bersama empat daripada lima anaknya.Wanita berusia 31 tahun yang ditahan Jaim bersama empat daripada lima anaknya.

BANDARAYA MELAKA - Rahsia seorang wanita bersekedudukan hingga melahirkan lima anak akhirnya terbongkar selepas dia ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di Pulau Besar, dekat sini, kelmarin.

Wanita berusia 31 tahun bersama semua anaknya berusia satu hingga 11 tahun itu sedang tidur di dalam khemah di tepi pantai, sebelum pemeriksaan mendapati bukan sahaja tiada kad atau sijil perakuan nikah malah anak-anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran.

Ketua Penguatkuasanya, Rahimin Bani berkata, dalam pemeriksaan kira-kira jam 10 pagi, wanita itu mendakwa tidak lagi bersuami dan datang ke pulau tersebut serta tinggal bersama anak-anak yang tidak bersekolah kira-kira dua bulan lalu.

"Siasatan awal, wanita yang berasal dari Jengka, Pahang itu mengaku berkahwin di Thailand pada tahun 2002 bersama seorang lelaki yang didakwa sebagai suami berusia 37 tahun dan mereka dikurniakan lima anak.

"Wanita itu mengatakan empat anaknya lahir di Melaka sementara anak ketiganya di Seremban namun dia dan pasangan tidak pernah mendaftarkan kelahiran tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Rahimin berkata, wanita yang berniaga di gerai di kawasan pulau itu, sebelum ini tinggal bersama pasangan serta anak-anaknya di Masjid Tanah, Alor Gajah sebelum berpindah ke Pulau Besar.

"Ketika pemeriksaan wanita itu mengatakan suami sudah lari dan tidak tinggal bersama, namun kita percaya pasangannya itu masih berada di pulau tersebut dan kita akan cuba menjejaki lelaki itu untuk siasatan lanjut.

"Enam beranak itu kemudian dibawa ke pejabat penguatkuasaan Jaim sebelum kanak-kanak terbabit diserahkan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Menurutnya, serbuan hasil maklumat orang awam mengenai terdapat pasangan dan lima anak tinggal di dalam khemah itu dilakukan dalam operasi bersepadu diketuai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Kita syak dia dan pasangannya bersekedudukan hingga melahirkan anaknya tidak saf taraf justeru kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 kerana bersekedudukan.

"Bagaimanapun diingatkan kepada pasangan yang bernikah di luar negara pastikan dokumen diperoleh untuk memohon pengesahan pengiktirafan nikah oleh Mahkamah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rahimin berkata, pihaknya sering membuat pemeriksaan di Pulau Besar malah lawatannya ke kawasan tersebut tiga hari lalu  mendapati masih terdapat kegiatan berunsur khurafat pada kubur-kubur di kawasan tersebut.

BAJET: Bonus Setengah Bulan Atau Minimum RM500 Untuk Penjawat Awam

Posted: 10 Oct 2014 04:34 AM PDT


KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 bakal dinikmati kira-kira 1.5 juta penjawat awam pada Januari depan, demikian umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250.

"Pemberian bonus ini akan dibayar pada Januari 2015," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 bertema 'Ekonomi Keperluan Rakyat' di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berharap pemberian bonus itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan penjawat awam terutama kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan kelak.

Pada Julai lepas, kerajaan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Bayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Bagi mempertingkat keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menambah baik 252 lagi skim sedia ada.

Ketika membentangkan Bajet 2014, Najib mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam.

Najib juga berkata kerajaan bersetuju memberi bantuan bulanan RM300 seorang bagi menghargai khidmat pegawai dan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), JPNIN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Seranta Felda yang berkhidmat melebihi 15 tahun dan telah tamat perkhidmatan kontrak mengikut umur persaraan wajib.

"Inisiatif ini akan memanfaatkan 1,655 individu," katanya.

BAJET: Kadar BR1M Dinaikkan Untuk Semua Penerima

Posted: 10 Oct 2014 04:33 AM PDT


KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Dengan mengambil kira peningkatan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan kemampuan fiskal, kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dinaikkan untuk semua kategori penerima.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kadar BR1M dinaikkan daripada RM650 kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

Beliau berkata bantuan ini akan dibayar sebanyak tiga kali setahun iaitu RM300 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 dibayar mulai September 2015.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.

Beliau menambah, bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kerajaan akan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 iaitu sebanyak RM200 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 juga akan dibayar mulai September.

Perdana Menteri menarik perhatian, bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar BR1M dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

"Bayaran bantuan ini akan dibuat sekali gus mulai awal tahun hadapan," katanya.

Najib turut mengumumkan, kerajaan juga akan menggantikan insurans takaful berkelompok (i-BR1M) yang telah diperkenalkan sebelum ini dengan Skim Khairat Kematian yang akan memberi manfaat kepada waris penerima BR1M dengan bantuan RM1,000 yang akan berkuat kuasa selama setahun.

Sebelum ini, kerajaan memberikan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerusi BR1M 1.0 yang diperkenalkan pada 2012.

Untuk BR1M 2.0 pada 2013, jumlah yang sama diberikan kepada golongan tersebut dan kerajaan memperkenalkan bantuan sebanyak RM250 pula diberikan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada BR1M 3.0, bantuan kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi bantuan wang sebanyak RM650 dan bantuan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.

Kerajaan juga pada BR1M3.0 memberikan sebanyak RM300 kepada kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada BR1M 3.0 juga, bantuan buat pertama kalinya diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

BAJET: Bantuan Persekolahan RM100, Baucar Buku RM250 Diteruskan

Posted: 10 Oct 2014 04:31 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah serta baucar buku RM250 kepada setiap pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak RM540 juta disediakan untuk bantuan persekolahan itu yang akan disalurkan mulai Januari 2015 kepada seramai 5.4 juta pelajar.

"Sebagai langkah meringankan beban perbelanjaan awal persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga pelajar khususnya golongan berpendapatan rendah, kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan," katanya ketika membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Ia adalah tahun keempat kerajaan menyediakan bantuan persekolahan tersebut.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju meneruskan pelaksanaan Program Baucar Buku 1Malaysia itu bagi tujuan pembelian buku rujukan dan peralatan pengajian yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar.

"Program ini diperuntukkan sejumlah RM325 juta," katanya.

Program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar prauniversiti dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu, mula diperkenalkan pada Bajet 2012.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories