RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Fasha Belum Terima Cinta Jejai

Posted: 17 Jun 2011 07:39 PM PDT

Fasha masih belum terima semual cinta jejai

Sudah terlalu banyak kisah cinta antara pelakon popular Fasha Sandha dan Jejai disogokkan didalam minda peminat-peminatnya.

Bercinta, merancang untuk berkahwin, namun kemudiannya putus hubungan dan sekarang dikatakan sudah berbaik semula, itu semua sudah lama menjadi hidangan dada akhbar di Malaysia.

Hangat dan sering menjadi perhatian, setiap peminat mengakui mahu melihat pengakhiran drama cinta mainan Fasha dan Jejai.

Mengakui menerima hadiah dan jambangan bunga, Fasha bagaimanapun masih tidak mengakui hubungannya bersama Jejai sudah bersambung semula.

"Setakat ini, saya masih single dan available untuk sesiapa. Buat masa sekarang saya selesa dengan apa yang telah saya lalui dan selesa dengan kehidupan ceria dan bahagia sebegini.

"Sudah ramai yang bertanya tentang ini, adakah saya bersamanya semula selepas dipujuk, tetapi untuk setakat ini masih belum masanya untuk kami bersama semula.

"Saya bercakap untuk hari ini, tapi apa yang akan berlaku untuk esok, minggu hadapan dan hari-hari yang berikut, masih tidak diketahui lagi.

"Saya tidak mahu terus bercakap mengenai dia, namun sekiranya keadaan benar-benar memerlukan untuk saya bercakap, saya akan beritahu semua nanti.

"Tentang hadiah dan berapa banyak bunga yang saya terima, biarlah saya sahaja yang mengetahuinya,"jelas Fasha untuk menjelaskan tentang status dirinya sekarang.

Askar Wataniah : Siti Nurhaliza Tidak Kisah Berjemur Panas

Posted: 17 Jun 2011 07:38 PM PDT

Siti Nurhaliza memakai pakaian seragam loreng setelah menyerahkan borang menyertai Askar Wataniah di Kementerian Pertahanan, Khamis.

PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak kisah berjemur di tengah panas dan menjalani aktiviti lasak selepas dia bersetuju menyertai Rejimen Askar Wataniah.

Dia akan memastikan dirinya sentiasa bersedia sewaktu menyertai latihan ketenteraan itu. Siti terpaksa menyelesaikan tempoh latihan selama 39 jam seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan.

"Saya akan memakai krim pelindung cahaya matahari untuk menghalang kulit menjadi terlalu gelap. Bagaimanapun, saya rasa sudah adat warna kulit akan berubah gelap apabila selalu berjemur panas," ujarnya.

Selain Siti, rakan selebriti lain yang turut serta dalam pasukan itu ialah pelakon Intan Ladyana, Shaheizy Sam, Mohd Noor Bong, pengacara Nurul Hidayah Zahid Hamidi, penerbit filem David Teo, penyanyi Aizat dan Ana Raffali

Menyentuh tentang karier seni, Siti masih akan aktif melibatkan diri dengan aktiviti yang diatur. Dia baru selesai merakamkan program Hari Raya Idola Kecil untuk TV9.

"Album lagu Inggeris saya akan berada di pasaran mulai Julai ini," katanya lagi.

Sebanyak 10 buah lagu yang dijangka dimuatkan dalam album yang menggunakan khidmat komposer dari Australia iaitu Brian Bruno dan Cristian Alexander tersebut.

Sementara itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, individu yang menyertai pasukan tersebut perlu menjalani latihan asas selama 39 jam dalam masa setahun mengikut kelapangan masing-masing sebelum mendapat pentauliahan.

Malah setiap pelatih turut diberi pilihan untuk latihan sehingga 240 jam seperti yang dilakukan oleh pasukan lain.

"Askar Wataniah terbuka kepada sesiapa sahaja dan saya percaya bahawa diri setiap orang mempunyai hasrat terpendam. Misalnya saya telah lama bercita-cita untuk menjadi anggota polis.

"Sejak di bangku sekolah lagi, saya memang berminat dengan pasukan beruniform. Walaupun usia sudah mencecah lebih 30 tahun ini, minat saya masih tidak luntur. Saya juga ingin menggalakkan kawan-kawan lain yang berminat menyertai pasukan ini kerana setelah mendengar taklimat, latihan yang diberikan tidak seteruk seperti askar tetap," katanya.

Nana Ke Hot FM Bukan Kerana Kecil Hati

Posted: 17 Jun 2011 07:37 PM PDT

PETALING JAYA: Bekas penyampai radio XFM, Nana Mahazan (gambar), 28, menolak khabar angin bahawa dia mempunyai masalah dengan rangkaian radio Airtime Management & Programming (AMP) itu sehingga menerima tawaran menyertai stesen radio Hot FM.

Malah kata Nana, dia menerima tawaran yang diberikan oleh stesen radio tersebut kerana merasakan ia sesuai pada situasinya sekarang.

"Saya berhenti bukan kerana saya mempunyai masalah atau berkecil hati dengan mereka tapi memang sudah tiba masanya untuk berhenti dan memberi perhatian kepada keluarga.

"Kalau saya mempunyai masalah dengan XFM seperti mana yang diperkatakan, sudah lama rasanya saya berbuat demikian. Sebenarnya ini bukan kali pertama Hot FM tawarkan saya menyertai mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Tambah Nana, keputusan untuk menyertai Hot FM dalam jangka masa terdekat ini dibuat selepas berbincang bersama suaminya, Mohd Raqeem Brian Abdullah.

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja secara sepenuh masa tetapi saya tidak kata saya terus berhenti kerja dan mahu adi suri rumah.

"Saya masih mengambil kerja separuh masa. Saya juga bertanggungjawab untuk bantu suami dan menguruskan perbelanjaan keluarga kami. Jadi tawaran tersebut datang memang tepat pada masanya," katanya yang bakal memulakan tugas di Hot FM pada setiap hujung minggu bermula 25 Jun ini.

Dalam pada itu, dia tidak menolak jika suatu hari nanti bakal menjadi deejay sepenuh masa di stesen radio tersebut.

"Buat masa ini saya sendiri yang memilih untuk buat semua kerja-kerja secara freelance, sehingga saya rasa anak saya, Athea sudah besar dan faham.

"Namun begitu saya tidak menolak jika suatu hari nanti mungkin akan bekerja secara sepenuh masa di Hot FM. Tapi bukan dalam waktu terdekat ini," katanya yang sedang sibuk menguruskan perniagaan pakaian secara dalam talian yang diusahakan bersama penyampai Farah Fauzana.

Chistina Aguilera Kritik Polis Tahan Tanpa Sebab

Posted: 17 Jun 2011 07:37 PM PDT

PENYANYI Christina Aguilera menganggap penahanannya pada Mac lalu adalah kerana dirinya seorang selebriti terkenal.

Dia bersama kekasihnya Matius Rutler yang ditahan oleh pihak polis kerana memandu dalam keadaan berbahaya di Hollywood Barat.

Penyanyi itu ditahan kerana cuba berbohong dan kemudian dibebaskan tanpa sebarang tuduhan. Sementara kekasihnya Rutler ditahan atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Seperti dipetik dari femalefirst, Chiristina memberitahu bahawa penahanan itu seharusnya tidak terjadi.

"Ini seharusnya tidak terjadi, mereka menahan saya kerana saya adalah seorang selebriti. Mereka tahu sejarah saya dan sengaja ingin menahan saya.

"Saya tidak memandu, saya tidak melakukan sebarang kesalahan tapi mereka menahan dan memenjarakan saya tanpa sebab," ujarnya.

Maia Estianty Kenalkan Kekasih Kepada Anak

Posted: 17 Jun 2011 07:35 PM PDT

Maia (kanan) dan Mulan sebelum kumpulan Ratu berpisah

JAKARTA: Bekas Isteri Ahmad Dhani, Maia Estianty sudah memperkenalkan lelaki baru dalam hidupnya iaitu Matteo Guerinoni kepada tiga cahaya matanya iaitu Al, El dan Dul.

Maia dikhabarkan mempunyai hubungan rapat dengan usahawan yang juga pelumba motor berkuasa besar itu dan sering kelihatan bersama.

Jelas seorang teman baiknya, Umi Nung, Maia sudah memperkenalkan Metto kepada ketiga anak-anaknya itu.

"Semua orang yang rapat dengan Maia biasanya akan dikenalkan dengan anak-anaknya termasuklah Metto," tuturnya.

Bagaimanapun, Umi memberitahu hubungan rapat antara Maia dan Metto hanyalah sekadar rakan perniagaan sahaja.

"Maia dan Metto hanya teman bisnes sahaja. Metto seorang yang sangat komited dengan perniagaannya. Dia ada rangkaian kedai makanan.

"Dia berasal dari Itali. Jadi Maia ingin menimba ilmu perniagaan tersebut dan menjadi rakan kongsinya,

"Jika mereka mempunyai hubungan istimewa sudah tentu saya tahu, kerana Maia bukan jenis yang berahsia," katanya.

‘Jurukamera’ berahi

Posted: 17 Jun 2011 07:34 PM PDT

PILIH...pemain boleh memilih permainan elektronik berunsur seks di Internet sebelum memuat turun  ke telefon bimbit.
PILIH...pemain boleh memilih permainan elektronik berunsur seks di Internet sebelum memuat turun ke telefon bimbit.

KUALA LUMPUR: Satu permainan elektronik yang diadaptasi daripada rancangan realiti seks terkenal di luar negara kini menjadi kegilaan remaja terutama pelajar untuk dimuat turun ke dalam telefon bimbit secara percuma.

Antara tarikan utama yang mendorong remaja memuat turun permainan itu disebabkan ia menggunakan visual manusia, bukan animasi seperti permainan elektronik lain.

Melalui permainan ini, pemain bertindak sebagai jurukamera program itu dengan merakamkan aksi lucah dan berahi tiga gadis yang menjadi peserta program realiti terbabit.

Pada peringkat permulaan, setiap pemain diwajib menjawab soalan dan menyelesaikan beberapa halangan untuk ke peringkat seterusnya.


Permainan itu cukup mudah dan memberahikan kerana setiap pemain disyaratkan menjawab satu soalan di setiap peringkat selain memujuk gadis dalam program terbabit. Sekiranya berjaya, gadis pilihan terbabit akan membuka pakaiannya satu persatu sehingga bogel.

Selagi kereta boleh muat

Posted: 17 Jun 2011 07:29 PM PDT

TAHAN...anggota  Batalion 5, Rejimen Sempadan mengawasi   pendatang tanpa izin yang ditahan.
TAHAN...anggota Batalion 5, Rejimen Sempadan mengawasi pendatang tanpa izin yang ditahan.

BUKIT KAYU HITAM: Sekumpulan 22 warga Myanmar, membabitkan 17 lelaki dan lima wanita sanggup berasak-asak bagai ikan sardin dalam sebuah Perodua Kancil dan Proton Saga yang masing-masing dipandu lelaki warga tempatan dalam usaha menyeludup masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, cubaan mereka dikesan anggota tentera daripada Batalion 5 Rejimen Sempadan Kem Bukit Kayu Hitam ketika dua lelaki tempatan itu memberhentikan kereta masing-masing di kawasan pagar sempadan kononnya kerana mengalami kerosakan, malam kelmarin.


Menyedari kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa, semua warga asing terbabit bertempiaran lari ke kaki bukit di kawasan sempadan berhampiran laluan Felda Bukit Tangga di sini, namun berjaya diberkas sejurus kemudian.

Difahamkan, semua warga Myanmar berusia 13 hingga 63 tahun itu menyorok di tempat duduk hadapan, belakang dan but kedua-dua kereta seperti sardin sehingga ada antara mereka sesak nafas.


Bagaimanapun, pemandu dua kereta itu memecut kenderaan masing-masing melarikan diri sejurus mengetahui helah mereka terbongkar.


Penolong Pegawai Memerintah Batalion 5 Rejimen Sempadan, Mejar Zanuddin Hussin berkata, sepasukan anggota tentera yang membuat rondaan di pagar sempadan kira-kira jam 11.40 malam ternampak Perodua Kancil dan Proton Saga diletak dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, seorang lelaki didapati sedang membuka but depan kereta dan berpura-pura menghidupkan dan memeriksa enjin kereta kononnya kereta rosak sebaik melihat kelibat anggota tentera melakukan rondaan. "Bagaimanapun, sebaik anggota menghampiri kereta itu, seorang demi seorang kelibat manusia melompat keluar dari but, tempat duduk belakang dan tempat duduk hadapan kereta lalu lari menuju ke ladang getah.


"Anggota tentera membuat serang hendap di kawasan itu dan menemui 14 warga asing iaitu tiga wanita dan 11 lelaki cuba menyembunyikan diri sebelum menahan lapan lagi rakan senegara mereka kira-kira jam 12.40 tengah malam untuk siasatan lanjut.

"Mereka dipercayai menyeludup masuk selepas memotong pagar kawad berduri sebelum menyusup ke ladang getah di Felda Bukit Tangga yang melalui pos sekatan jalan keselamatan," katanya ketika ditemui di kem berkenaan di sini, semalam.


Beliau berkata, pihaknya percaya semua pendatang berkenaan masuk secara haram ke negara ini, manakala kedua-dua pemandu kereta terbabit dipercayai bertindak sebagai orang tengah membawa warga asing terbabit.


Menurutnya, warga asing terbabit menunggu di satu kawasan seperti diarahkan sebelum menaiki dua kereta berkenaan untuk ke destinasi dituju.


"Kami tidak menolak kemungkinan ada warga tempatan menjadi dalang membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini melalui lubang tikus di pagar keselamatan negara dan siasatan sedang dilakukan.


"Semua pendatang tanpa izin yang ditahan akan diserah kepada polis sebelum dihantar ke Jabatan Imigresen Kedah untuk tindakan lanjut," katanya.

Pengsan di bumbung

Posted: 17 Jun 2011 07:27 PM PDT

MALU...suspek (kirI) dibawa turun anggota bomba dan polis selepas  berpura-pura pengsan atas bumbung rumah, semalam.
MALU...suspek (kirI) dibawa turun anggota bomba dan polis selepas berpura-pura pengsan atas bumbung rumah, semalam.

BAGAN SERAI: Lucu apabila seorang pencuri ala 'Spiderman' berpura-pura pengsan lebih 15 minit bagi mengelak diberkas ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di sini.

Namun taktik suspek mengundang rasa geli hati penduduk apabila didapati sengaja terkulai pengsan atas bumbung rumah yang ingin dicerobohi.


Suspek sebelum itu memecah genting dan siling rumah di Taman Serai Perdana di sini, namun tidak sempat masuk ke dalam kediaman berkenaan.

Penduduk, Lam Thee Mei, 34, berkata, kehadiran suspek sekitar jam 1.30 pagi semalam disedari jiran yang segera memaklumkannya kepada Ketua Pasukan Keselamatan Sukarelawan Bagan Serai, Oii Ding Soo.


Menurutnya, suspek yang berusia 30-an sebelum itu dilihat memanjat rumah itu selepas yakin penghuni rumah satu tingkat itu sudah tidur.


"Anggota keselamatan sukarelawan mengepung rumah berkenaan.

"Suspek yang menyedari dia sudah tiada peluang melarikan diri, merebahkan diri dan terbaring kaku di atas bumbung rumah berkenaan seolah-olah diserang sakit jantung," katanya.


Menurutnya, penduduk yang tidak dapat berbuat apa-apa menghubungi polis dan bomba bagi menurunkannya dari atas bumbung berkenaan.

"Pihak bomba yang sampai kira-kira lima minit kemudian menggunakan tangga untuk naik ke atas bumbung itu sebelum suspek dapat dipujuk dan dibawa turun.


"Suspek yang berlakon seolah-olah hilang ingatan dan gila diserahkan kepada anggota polis yang membawanya ke Balai Polis Bagan Serai," katanya.


Sementara itu pemilik rumah, Yew Thean Seng, 69, berkata, dia tidak berada di rumah ketika kejadian dan hanya mengetahui apa yang berlaku selepas dimaklumkan Oii.


Menurutnya, dia berterima kasih kepada jiran tetangga serta pasukan keselamatan sukarelawan yang bertindak pantas menghalang cubaan penjenayah menceroboh masuk kediamannya.

Rugi RM100,000 bantu ‘kekasih’

Posted: 17 Jun 2011 07:04 PM PDT

KESAN...Govinden menunjukkan lakaran gambar badan suspek yang menyembunyikan dadah.
KESAN...Govinden menunjukkan lakaran gambar badan suspek yang menyembunyikan dadah.
BUKTI...dadah yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...dadah yang dirampas daripada suspek.

SEPANG: Gara-gara mahu membantu 'kekasih' melepaskan diri daripada ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), seorang wanita berusia lewat 20-an kerugian RM100,000 selepas memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun individu terbabit yang dipercayai ahli sindiket penipuan wang menggunakan telefon.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata wanita terbabit terpedaya selepas menerima panggilan daripada individu yang dipercayai menyamar pegawai JKDM dan memintanya memasukkan wang sekiranya mahu melepaskan 'kekasihnya' yang dikenali ketika belajar di United Kingdom (UK).


"Suspek memberitahu wanita itu 'kekasihnya' yang berkunjung ke negara ini ditahan dan meminta dia membantu untuk melepaskannya.

"Kes ini berlaku pada bulan lalu dan terbaru seorang wanita berusia 50-an yang berasal dari Bangi, Selangor, menerima nasib sama selepas ditipu RM10,000 daripada seorang lelaki yang dikenali menerusi Internet.


"Wanita itu memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun suspek selepas menerima panggilan daripada seseorang yang menyamar pegawai JKDM," katanya pada sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Kompleks Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.


Govinden berkata, suspek mendakwa lelaki terbabit ditahan selepas membawa wang �200,000 (RM980,074) sebelum meminta bantuan wanita terbabit untuk melepaskannya.

"Berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 33 kes membabitkan penipuan telefon yang dilakukan suspek dan sepanjang enam bulan pertama tahun ini sebanyak 15 kes sudah dikesan.


"Justeru, kami ingin menasihati orang awam supaya tidak mudah tertipu dan membuat aduan di talian 03-87768055 sekiranya mendapat panggilan seumpama itu," katanya.

Sementara itu, pada Rabu lalu, JKDM menahan seorang lelaki warga India berusia 30-an di Balai Ketibaan, KLIA, selepas membawa empat bungkus serbuk putih yang disyaki dadah jenis ketamine.


"Pegawai kastam yang menjalankan pemeriksaan menjumpai dua bungkus dadah diselit pada badannya dan dua bungkus lagi diletakkan pada kaki.


"Berat kasar bagi semua serbuk putih itu berjumlah 2.8 kilogram dan dianggarkan bernilai RM56,000," katanya.

RM27j dana wanita

Posted: 17 Jun 2011 07:03 PM PDT

HAFSAH...beri latihan dan bimbingan
HAFSAH...beri latihan dan bimbingan

SME Corp Malaysia komited melahirkan lebih ramai usahawan wanita dengan memperuntukkan 10 peratus daripada RM269 juta yang dikhaskan di bawah rancangan pelaksanaan pertama untuk perusahaan wanita bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, tempoh dana terbabit adalah dari 2011 sehingga 2012 dan ia diperkenalkan pada suku pertama tahun ini bagi pembangunan usahawan tempatan.


"Sejak 2010, pemberian geran tidak lagi menjadi fokus utama SME Corp kerana kami memberi tumpuan kepada latihan serta bimbingan bagi membangunkan usahawan di negara ini terutama usahawan wanita.

"Setakat ini kurang daripada satu peratus daripada dana terbabit diagihkan kepada mereka yang layak dan bagaimanapun usahawan perlu mengikut semua program yang dirancang SME Corp dan membantu mereka berdasarkan kepada keperluan mereka untuk berkembang," katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Usahawan Wanita 2011 Alliance Bank di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Penganjur, Amy Seok dan Ketua Perbankan SME Alliance Bank, Steve Miller.


Hafsah berkata, ketika ini lebih daripada 12,000 usahawan wanita terbabit dalam pelbagai program di bawah anjuran SME Corp dan pihaknya menjangkakan jumlah itu akan bertambah dari masa ke masa berikutan kebanyakan wanita kini berani menceburi diri dalam semua bidang.

Beliau berkata, selain itu SME Corp turut menyasarkan sekurang-kurangnya 30 syarikat akan menerima pengiktirafan Tanda Keunggulan Jenama Malaysia menjelang akhir tahun ini berbanding 24 syarikat yang diiktiraf.


"Tanda Keunggulan Jenama Malaysia adalah sebagai penanda aras terhadap kualiti, kecemerlangan dan keunggulan diperkenalkan kerajaan untuk mengiktiraf produk hasil keluaran pengusaha kecil dan sederhana yang menggambarkan ciri jenama Malaysia.

"Kami tidak melihat kepada kuantiti, tetapi kualiti produk yang berjaya ditampilkan serta dipasarkan sebagai bukti buatan tempatan juga mampu bersaing ke peringkat global," katanya.

Kaca mata hitam serlah personaliti

Posted: 17 Jun 2011 06:58 PM PDT

MENARIK...kaca mata Original Levi's 501 edisi terhad tampilkan rekaan aviator dan wayfarer sambil disertakan fon kepala rona putih.
MENARIK...kaca mata Original Levi's 501 edisi terhad tampilkan rekaan aviator dan wayfarer sambil disertakan fon kepala rona putih.

ANDAI perhatian yang diinginkan dan suka pada glamor, sepasang kaca mata hitam besar yang sering digayakan barisan selebriti dunia sudah cukup untuk melengkapkan penampilan anda.

Sememangnya fungsi kaca mata hitam era ini tidak lagi sekadar melindungi mata daripada panahan mentari. Kaca mata hitam kini menjadi keperluan dalam berfesyen malah sebahagian daripada kehidupan kita, meskipun kadangkala digayakan tidak kena pada tempatnya.

Berdasarkan sejarah, pemakaian kaca mata gelap ini mula dijadikan aksesori fesyen sekitar 1940-an, terutama di pantai dan ia kemudian dipopularkan selebriti serta pelakon di Hollywood sebagai salah satu cara untuk melindungi identiti mereka daripada gangguan paparazi.

Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, pemakaian kaca mata hitam dalam era ini ibarat mewakili personaliti diri, gaya serta mampu mengubah sebarang busana untuk suntikan lebih anggun.


Dengan pelbagai bentuk direka untuk lelaki, wanita atau kedua-duanya, sepasang kaca mata hitam sudah memadai untuk tampil lebih bergaya tanpa perlu berbelanja besar.


Kaca mata hitam jenis aviator misalnya, menjadi antara pilihan menarik kerana gaya klasik yang ditampilkan terutama pada bentuk seperti titisan air mata dengan rangka logam nipis.

Golongan lelaki khususnya, lebih menggemari kaca mata jenis ini kerana gayanya yang tampak maskulin dan ringkas.

Asalnya, kaca mata aviator ini diperkenalkan untuk kegunaan juruterbang tentera Amerika Syarikat pada 1936. Bagaimanapun, ia mula mendapat sambutan di kalangan masyarakat umum pada lewat 1960-an apabila ramai remaja meminatinya.

Populariti itu makin hebat pada lewat 1980-an selepas sering digayakan bintang terkenal seperti Michael Jackson dan Tom Cruise dalam filem Top Gun.

Namun, ramai antara kita yang hanya mementingkan bentuk rekaan satu-satu rekaan kaca mata itu berbanding keselesaan, keselamatan serta kesesuaiannya dengan bentuk wajah.

Anda mungkin peminat kaca mata hitam aviator dan bangga menggayakannya sedangkan wajah anda berbentuk bulat atau bersegi. Wajah anda berbentuk hati tetapi sering memilih kaca mata hitam kecil yang membuatkan rahang kelihatan lebih panjang dan terlalu menonjol.

Pengarah Eyewear Creations (M) Sdn Bhd, Derrick Hoo, berkata majoriti antara kita lebih suka memilih kaca mata hitam berdasarkan faktor luaran tanpa memikirkan aspek lain.

"Biasanya perkara pertama yang kita lihat apabila memilih kaca mata hitam ialah bentuk, rekaan, warna serta logo jenamanya. Jarang pula yang memilihnya disebabkan kelebihan lain seperti lapisan perlindungan sinaran ultraungu (UV) A dan UVB, pad hidung, ketebalan bingkai serta panjang cangkuk telinganya.

"Jadi, masalah akan timbul selepas beberapa kali memakainya kerana kita hanya memberi tumpuan kepada aspek luaran hingga akhirnya boleh memudaratkan mata dan merosakkan kaca mata itu," katanya.

Justeru, beliau menyarankan pengguna mementingkan dua perkara utama sebelum membeli kaca mata hitam bagi mengelakkan rasa kesal dan tidak selesa.

"Pertama, kaca mata - baik hitam atau biasa - perlu terletak elok di atas hidung, tidak melurut ke bawah atau terlalu tinggi. Ia juga menutup kening dan pastikan bingkai bawahnya tidak menyentuh pipi.

"Kedua, cari kaca mata yang mempunyai pad hidung boleh laras bagi membolehkan kita mengubah kedudukannya pada hidung, sekali gus memberi keselesaan ketika memakainya.

"Jika kaca mata pilihan anda itu mempunyai pad hidung tetap, pilih pad hidung yang sedikit rendah kerana ia lebih sesuai untuk wajah orang Asia yang rata-rata mempunyai batang hidung yang rendah dan besar dengan jarak antara hidung lebih luas berbanding orang Barat," ujarnya.

Koleksi musim bunga dan panas M Missoni, Signature Psychedelica, adalah antara himpunan kaca mata hitam yang direka menepati bentuk wajah masyarakat Asia, di mana ia menampilkan ciri-ciri keselesaan serta menarik digayakan.

Berteraskan gabungan palet warna ceria, corak geometri dan cahaya, rekaan Missoni mencerminkan kehangatan serta semangat wanita moden yang mencintai kehidupan.

Pusaran rona terang jelas menyerap rekaan ranggi gaya era 60-an yang penuh bertenaga menerusi tiga modelnya - Cruise, Zig Zag dan Wave - dengan 12 pilihan warna bagi setiap satu model.

Bagi peminat muzik pula, kaca mata Original Levi's 501 edisi terhad hadir meraikan rock 'n roll dengan rekaan aviator dan wayfarer. Setiap rekaan itu menampilkan empat variasi warna dan setiap kotak disertakan fon kepala putih bercetak logo Levi's.

Namun, hanya 200 set saja dipasarkan di Malaysia pada harga RM428 sepasang. Semua kaca mata hitam ini sudah berada di pasaran dan boleh didapati di pusat optikal utama seluruh negara.

Geun-suk terhangat

Posted: 17 Jun 2011 06:56 PM PDT

pix_gal0
Hero pujaan ramai

MUNCULNYA membawa gelombang baru kepada peminat drama bersiri Korea, malah populariti yang diraih Jang Geun-suk mengatasi fenomena yang pernah dicetuskan aktor tersohor, Bae Yong-joon.
Jejaka berusia 24 tahun ini melakar kejayaan luar biasa di negara asing, terutama Jepun apabila lakonannya dalam You Are Beautiful diulang tayang pelbagai saluran televisyen negara itu. Kemunculan single perdananya, Let Me Cry yang turut dilancarkan di negara Matahari Terbit pada 27 April lalu mendapat sambutan hangat, sekali gus meletakkan Geun-suk sebagai bintang Asia terhangat.
"Tahun lalu selepas menyelesaikan penggambaran Marry Me Marry, saya cuma berkesempatan cuti selama 10 hari. Selepas itu saya tidak pernah bercuti lagi," katanya mengakui jadual kerjanya terlalu padat hingga menyulitkan dirinya mencari waktu rehat.

Jejaka yang dilahirkan pada 4 Ogos 1987 di Danyang County, Wilayah Chungcheongbuk, Korea Selatan itu memulakan karier seninya pada usia enam tahun sebagai model iklan. Perjalanan kariernya tersusun begitu indah. Ketika ibu bapanya mahu menjual kediaman mereka, seorang pembeli yang turut menjadi ejen pencari bakat menggalakkan Geun-suk mencuba nasib sebagai model.

Bagaimanapun, karier lakonan Geun-suk bermula pada 1997 menerusi sitkom terbitan HBS, Selling Happines. Ketika di sekolah menengah, Geun-suk begitu terpengaruh dengan muzik dibawakan Ken Hirai selain band rock Jepun, L'Arc-en-Ciel lalu memberinya inspirasi untuk menguasai bahasa Jepun.

Dia seterusnya terbang ke New Zealand untuk mempelajari bahasa Inggeris dan Jepun. Namun, atas tuntutan karier, dia mengambil keputusan pulang ke Korea Selatan dan membintangi sitkom, Nonstop 4. Akur bakatnya masih belum diuji sepenuhnya, Geun-suk akhirnya mengambil keputusan memberikan sepenuh perhatian kepada lakonan.
Pada 2005, drama lakonannya, Lovers In Prague yang disiarkan SBS menerima sambutan hangat penonton, lantas melonjakkan namanya.

Keberkesanan lakonannya sebagai pemuzik membawa Geun-suk ke layar perak apabila pengarah berkaliber, Lee Joon-ik menawarkan watak utama dalam filem yang meraih perhatian pengkritik, The Happy Life.

Meskipun pernah meminjamkan suara untuk album runut bunyi pada kebanyakan lagu tema drama termasuk You're Beautiful, Beetovhen Virus dan Mary Stayed Out All Night, muzik tidak pernah berada dalam trek utama kariernya.

"Lakonan ialah impian saya. Saya belajar menerbit, mendalami segala hal berkaitan dunia hiburan termasuk lakonan dan angan besar saya ketika ini adalah untuk bergelar aktor terbaik di Asia, juga dunia," katanya.

Beliau juga tidak mensia-siakan bakat nyanyiannya dengan kelahiran single, Let Me Cry awal tahun ini sekali gus menyerlahkan kepada peminat karakter sebenar dirinya.

"Jang Geun-suk sebagai penyanyi dan bukan pelakon memberikan perbezaan besar. Ketika berlakon, semuanya sudah ditetapkan dan saya cuma memainkan karakter diamanahkan. Tetapi apabila nyanyian saya mendaki carta lagu popular dalam masa beberapa hari, apa yang berlaku itu lebih dramatik dan menakjubkan.

"Saya begitu tersentuh kerana ia bukan lakonan, sebaliknya realiti selepas saya bekerja keras untuk merealisasikan impian itu.

"Saya bernasib baik kerana kehadiran saya diterima ramai," katanya yang pernah membuat persembahan pertama, tiga tahun lalu.

Nama Geun-suk kembali menjadi mainan media massa apabila dia, baru-baru ini, dilihat bertemu pengarah drama popular, Yoon Seok-ho.

Seok-ho dilaporkan cuba mengintai kerjasama dengan Geun-suk untuk drama terbaru KBS, Our Happy Days of Youth yang dijadualkan menemui peminat September ini.

Kesibukan Geun-suk yang masih terikat dengan penggambaran You're My Pet serta komitmen nyanyian di luar negara menyulitkannya untuk memberi kata putus. Jadual Geun-suk padat sehingga Ogos, namun semua alasan itu tidak membuat Seok-ho berputus asa dan mengambil inisiatif untuk berbincang dengan jejaka itu sendiri. Penggambaran awal drama itu akan dilakukan di Jepun dan pemilihan Geun-suk dilihat bertepatan dengan popularitinya yang luar biasa di negara itu.

Media melaporkan sekiranya Geun-suk memberikan kata persetujuan, drama itu akan menarik pelabur yang sedia mengeluarkan peruntukkan menjangkau AS$150,000 untuk setiap episod. Namun, kebanyakan media tidak bersetuju apatah lagi memikirkan kesan jangka kepada kemuncak karier yang sedang dilewati Geun-suk.

Pihak media turut berpendapat, garapan Seok-ho lebih terarah kepada drama tragik dan keagungan dan tema itu tidak lagi bersesuaian dengan penggemar drama semasa Korea. Meskipun You Are Beautiful mencatat kejayaan di Asia namun, realitinya drama itu kurang meraih sambutan di negaranya sendiri.

Kecenderungan Geun-suk memegang peranan sebagai hero pujaan ramai, malah watak yang sama kembali dimainkannya dalam terbaru, Do Re Mi Fa So La Ti Do dan Marry Me Marry juga bukan percaturan bijak untuk jangka masa panjang. Meskipun mempunyai nama kukuh di Jepun, bahkan bakatnya sebagai seorang aktor diakui, Geun-suk sebenarnya masih menanti sebuah naskhah yang mencabar kredibilitinya.

Kolaborasi bersama Suk-ho barangkali memberikan ruang publisiti yang besar kepadanya, namun apakah semua itu akan membawa pulangan kepada kariernya? Ia masih menjadi tanda tanya.

INFO

  • Peminat Geun-suk boleh menikmati drama lakonannya, Marry Me Marry yang Geun-suk akan menemui peminat di 8TV menerusi slot, Hito Idol setiap Sabtu, jam 6.30 petang bermula hari ini.

  • Drama yang diadaptasi daripada komik popular internet, Maerineun Uibakjoong' hasil ciptaan Won Su-Yeon turut dibintangi Moon Gyun-Young, Kim Jae-Wook dan Kim Hyo-Jin.

  • Dalam drama komedi romantik ini, Geun-suk memainkan watak Kang Mu-gyu, vokalis dan pemain gitar sebuah kumpulan rock indie.

Muzika

Posted: 17 Jun 2011 06:49 PM PDT

pix_gal0
Pengisian matang Adam 4

Album: Adam 4 Artis: Adam Genre: Pop Dance
Terbitan: Aico Empire Group


ADAM 4 memperlihatkan kemampuan Adam untuk tidak hanya dikenali sebagai penyanyi, sebaliknya album itu turut membawa karier muziknya ke satu tahap baru.

Naib juara Akademi Fantasia musim kedua itu cuba berdikari dengan mencorakkan keseluruhan perjalanan album itu.
Selepas tiga percubaan yang disokong oleh trio adik beradik, KRU, Adam memanfaatkan pengalaman itu untuk mencari destinasi muziknya sendiri.

Biarpun mempunyai kebebasan untuk menentukan arah yang ingin ditujuinya, Adam sebaliknya selesa membawa identiti yang diciptanya ketika dinaungi KRU dulu.

Adam masih kental mengadun elemen pop dan dance yang membentuk kekuatan imejnya di mata penggemar seperti dalam tiga album terdahulu.

Cuma album ini lebih memperlihatkan sisi matang Adam, terutama pada penyampaian dan pilihan lagu yang mencerminkan kedewasaannya.

Tidak dinafikan bayangan KRU masih dapat dirasai dalam album ini. Tetapi itu bukan bermakna pembaharuan yang dibawakan Adam tidak langsung dirasai.

Peminat boleh menilai menerusi lima lagu yang dimuatkan iaitu Tension, Kau, Pergilah, Ellena dan Boleh Bah Kalau Kau. Adam 4 juga dilengkapi lima lagu instrumental untuk peminat setianya.



Nuansa pop komersial Naif


Album: Planet Cinta
Artis: Naif
Genre: Pop
Edaran: Muzikon Sdn Bhd


KALI terakhir muncul dengan Televisi pada 2007, karier rakaman Naif bagaikan tertunda apabila berdepan masalah pengedaran album.

Planet Cinta menyaksikan Naif memilih untuk menghasilkan karya yang lebih mesra telinga. Album ini juga memperlihatkan Naif menterjemahkan pengertian cinta itu daripada pelbagai sisi.
Lantas Planet Cinta dibaluti oleh sentuhan pop yang lebih mudah dicerna. Garapan muziknya juga ringkas dan sederhana, mudah dibawa malah pantas menyentuh hati pendengar.

Naif cuba mencari kesederhanaan pada gaya persembahan mereka selepas melakukan pelbagai eksperimen dalam Televisi.

Barangkali elemen komersial yang lebih dititikberatkan itu serasi dengan hasrat Naif supaya Planet Cinta didukung lebih ramai peminat.
Di Indonesia, lagu Karena Kamu Cuma Satu diangkat sebagai single pertama. Lebih banyak mengusung nuansa muzik 'oldies', kebanyakan lagu yang diisi dalam Planet Cinta pantas mencuri pendengaran peminat.

Sentuhan pop yang sedikit mendayu juga mendominasi pengisian album ini seperti pada lagu Buta Hati dan Apa Adanya.

Bagaimanapun, sentuhan eksperimen masih dapat dirasai peminat terutama pada lagu Cuek yang kaya dengan ketukan dram dan gitar.

Naif masih mampu meletakkan karya pop mereka dalam kualiti tersendiri yang dibaluti nuansa berbeza pada setiap lagu yang diisi.


Destinasi muzik yang jelas

Album: Get Em Girls
Artis: Jessica Mauboy
Genre: Pop R&B
Edaran: Sony Music Entertainment


PENYANYI kelahiran Darwin, Australia ini memasuki industri hiburan selepas memboloskan diri dalam program realiti, Australian Idol pada 2006.

Meskipun cuma berpuas hati pada tempat kedua, Jessica Mauboy meraih kontrak bersama Sony Music Australia dan diberi peluang melahirkan kompilasi, The Journey pada 2007.

Album itu memuatkan himpunan lagu yang pernah dipersembahkannya sepanjang menyertai Australian Idol.

Percubaan pertamanya diperoleh pada 2008 menerusi album sulung, Been Waiting.

Album memuatkan lagu seperti Running Back, Burn dan Because meraih platinum berkembar serta diiktiraf sebagai album kedua mencatat penjualan tertinggi di Australia pada 2009.

Get Em Girls adalah album keduanya yang dirakamkan di Los Angeles, New York dan Atlanta menemukan Mauboy dengan ramai komposer popular Amerika Syarikat.

Album ini menemukan Mauboy dengan apa yang dicarinya, malah destinasi muziknya juga semakin jelas. Album ini padat diisi lagu yang bernuansa urban, malah mungkin mengingatkan pendengar kepada apa yang pernah dipersembahkan Beyonce Knowles.

Barangkali jati dirinya sebagai penyanyi masih belum dicungkil sepenuhnya kerana Get Em Girls cuma mengangkat genre popular yang sudah sebati dengan pendengar.

Namun dari segi potensi, Mauboy mampu muncul sebagai pelapis yang akan membanggakan industri dengan kekuatan bakatnya.

Mesti Tonton: Seram lagi tragis

Posted: 17 Jun 2011 06:47 PM PDT

pix_gal0
Filem: Ladda Land
Pengarah: Sophon Sakdaphisit
Skrip: Sophon Sakdapisit
Pelakon: Piyathida Woramuksik, Saharat Sangkapreecha Durasi: 90 minutes Genre: Seram Misteri
Tayangan: Mulai 16 Jun 2011

FILEM Ladda Land atau maksudnya 'Last Home' adalah buah tangan terbaru penulis dan pengarah filem Thailand, Sophon Sakdaphisit yang tampil membawa tema penceritaan menggabungkan mood sedih dan seram menerusi plot penuh debaran lagi mengasyikkan.

Sakdaphisit yang sudah melahirkan karya pelbagai genre seperti Suck Seed dan Crazy Liitle Thing Called Love bijak dalam memperlihatkan filem seram berbeza apabila sentuhan magisnya agak berjaya memperkembangkan jalan cerita klise. Seperti kebiasaan, rumah berhantu adalah simbol kepada sesebuah filem seram namun kepandaian pengarah ini terletak pada pembinaan jalan cerita yang memetik nilai kasih sayang dan unsur pengorbanan dalam membawa penonton melayari kisah seram padat dengan ketakutan dan nilai kekeluargaan.

Menerusi karya tulisannya, beliau dilihat bijak memanipulasi garapan seninya supaya penonton lupa sebentar kisah seram yang melampau kerana pada saat penonton dihidangkan kehadiran hantu dan bayangan hitam yang muncul, pada masa sama penonton turut dibuai perasaan sedih dengan watak Thee lakonan Saharos Songkapreecha yang tertekan untuk memberi kebahagiaan kepada isterinya, Parn (Piyathida Woramuksik) yang dilahirkan dalam keluarga mewah.
Malah, anak perempuannya, Nan yang sentiasa berkonflik dengan Thee dan sering menghina seorang bapa yang sangat menyayangi dan amat mengimpikan sebuah keluarga bahagia hasil usahanya sendiri itu amat meruntun jiwa, ada ketikanya mampu mengalirkan air mata kesedihan , bukan lagi diulit ketakutan.

Yakin untuk terus mengecapi kebahagiaan bersama insan tersayang, Thee memutuskan untuk membawa isterinya yang taat bersama dua anakya berpindah ke Ladda Land dari Bangkok walaupun ditegah ibu mentua yang sangat membenci dirinya. Namun, dalam sejuta harapan membina bahtera bahagia di kawasan perumahan penuh misteri itu, mereka dikejutkan pembunuhan seorang pembantu rumah yang ditemui mati dalam peti ais, pembunuhan sekeluarga jiran yang cukup tragis dan bayangan seram hantu yang menyebabkan Nan diserang histeria.

Pengakhiran dinoktahkan dengan rasa sebak yang mengheret penonton menyedari betapa pentingnya kasih sayang seorang ayah dalam pembinaan kekeluargaan apabila Thee akhirnya menemui ajal dalam kekalutannya menyelamatkan keluarga dari terus diserang gangguan misteri melalui babak cukup mendebarkan rasa.

Cinta, kasih sayang, pengorbanan, semangat untuk berjaya, penghinaan, ketakutan adalah pati yang diadun dalam filem seram yang tidak keterlaluan dikatakan mampu memulihkan kembali era filem seram Thailand di layar perak. Kesan visual, kerja kamera yang tepat mengena debaran dan saat rasa takut menerjah penonton, tata bunyi menyeramkan ditambah kesan khas solekan pada wajah watak hantu cukup menjadikan Ladda Land filem seram mengujakan.

Antara adegan menyeramkan apabila Nan melihat susuk wanita misteri berambut panjang berlegar di ampaian, lalu Nan cuba sedaya upaya menyorok daripada dilihat wanita itu. Debaran lagi kuat apabila lensa kamera memfokus pada close-up wajah buruk wanita misteri itu. Filem berdurasi satu setengah jam ini dikatakan diangkat dari kisah sebenar yang pernah berlaku di Chiang Mai.

Carta pecah panggung

1 - KL Gangster
2 - Super 8
3 - X Men: First Class
4 - Kung Fu Panda 2: The Kaboom Of Doom
5 - Dylan Dog: Dead of Night
6 - Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides
7 - Karak
8 - Hoodwinked Too! Hood vs Evil
9 - Henry's Crime
10 - Fast and Furious 5

ADCB jual kepentingan dalam RHB Capital

Posted: 17 Jun 2011 06:38 PM PDT

NAJIB dan Tun Sheikh Mohammed menyaksikan majlis pertukaran dokumen  di Putrajaya, semalam.
NAJIB dan Tun Sheikh Mohammed menyaksikan majlis pertukaran dokumen di Putrajaya, semalam.
ABU Dhabi Commercial Bank PJSC (ADCB) semalam memeterai perjanjian bagi penjualan 24.9 peratus kepentingannya dalam RHB Capital Bhd kepada Aabar Investments PJS.

Majlis itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Jeneral Tun Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
Najib berkata, berikutan penjualan itu, Aabar akan menyertai dalam penggabungan RHB Capital sama ada dengan Malayan Banking Bhd (MAYBANK) atau CIMB Group yang membolehkannya memperoleh pegangan saham yang agak ketara dalam sebuah kumpulan perbankan yang besar, mungkin antara yang terbesar di Asia Tenggara.
"Hari ini, kita telah menyaksikan penjualan saham RHB Capital yang dimiliki oleh ADCB kepada Kumpulan Aabar, iaitu penjualan di antara dua badan yang dimiliki oleh kerajaan Abu Dhabi.

"Mereka kata ini satu manifestasi, keyakinan mereka untuk membabitkan diri dalam projek yang bersifat jangka panjang," katanya di Putrajaya.

Pengerusi Aabar Khadem Al Qubaisi dalam satu kenyataan berkata, Aabar telah mengikuti dengan rapi kemajuan menarik yang dicapai di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang ketuai oleh Najib.

"Kami yakin keuntungan masa depan industri perbankan, dengan mengambil kira sektor perkhidmatan kewangan sebagai satu Bidang Ekonomi Utama Negara.
Pelaburan penting oleh Aabar ini mengesahkan komitmen Abu Dhabi terhadap Malaysia dan akan meningkatkan lagi hubungan kukuh dan positif antara kedua-dua negara," katanya.

Pengerusi ADCB Eissa Al Suwaidi, berkata ADCB berbangga menyumbang kepada kejayaan RHB sejak pembabitannya dalam kumpulan itu pada Mei 2008.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia bagi sokongan mereka dan ingin mengucapkan tahniah terhadap pengurusan dan lembaga pengarah RHB bagi pencapaian mereka," katanya.

Kapal terdampar akibat tsunami cuba dipindah ke laut

Posted: 17 Jun 2011 06:34 PM PDT

KAPAL yang  terdampar di Kesennuma  akibat dibawa  tsunami yang melanda     wilayah Miyagi, timur laut Jepun   sejak  tiga bulan lalu.
KAPAL yang terdampar di Kesennuma akibat dibawa tsunami yang melanda wilayah Miyagi, timur laut Jepun sejak tiga bulan lalu.
KESENNUMA (Jepun): Usaha bermula untuk menghantar lebih sedozen kapal yang terdampar dekat kediaman penduduk di bandar Kesennuma selepas dihanyutkan tsunami Jepun pada Mac lalu dengan kipas dan bahagian perutnya jelas dilihat, kembali berlabuh di laut.

Tugas yang sukar dan kos yang tinggi untuk memindahkan kapal terbabit selain sisa peninggalan tsunami itu menjadikan ia terdampar di Kesennuma lebih tiga bulan.
Beberapa pemilik cuba berunding harga kos dengan syarikat logistik untuk memindahkan kapal terbabit dalam satu perjanjian membabitkan syarikat insurans yang bersetuju melindunginya.
Masalahnya, selepas bersetuju meletakkan caj secara berkumpulan, harga penghantaran setiap kapal ke laut melebih AS$1 juta (RM3 juta).

Tetapi, meletakkan semula kapal terbabit kembali beraksi adalah satu tugas penting untuk memulakan industri perikanan Kesennuma selain memulihkan ekonomi serta keyakinan komuniti.

"Ini adalah sebuah bandar perikanan, jadi jika kapal boleh bergerak dan mula menangkap ikan semula, kami harap ia akan memulihkan keadaan di sini," kata Keiko Onodera, 67.

Artis memancing bersama peminat Mastika

Posted: 17 Jun 2011 06:33 PM PDT

Lia Natalia dan Fir Affandi, dua pelakon muda yang menyokong aktiviti Mastika.

Sempena sambutan ulang tahun Majalah No. 1 Malaysia, Mastika yang ke-70 tahun, satu pesta memancing akan diadakan di tasik Taman Tasik Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada 26 Jun ini.

Fiesta Memancing 70 Tahun Mastika
itu mensasarkan lebih 1,000 penyertaan dengan bayaran RM50 sebagai yuran penyertaan untuk satu joran dengan dua mata. pasti meriah hujung minggu bagi kaki pancing dan juga orang yang baru berminat dengan joran.

Danny memang gemar memancing.

Fiesta Memancing itu dianjurkan oleh penrbit Mastika, Utusan karya Sdn.Bhd (UKSB) dengan Jamu Mak Dara selaku penaja utama. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula sebagai rakan strategik dan Kaki Pancing sebagai perunding acara.

Fiesta itu juga akan diserikan dengan acara persembahan pentas dengan Roslan Shah selaku pengacara. Antara penyanyi yang bakal mengadakan persembahan ialah Nubhan, Fazli Zainal, Keena Mentor, Ali Empire dan Afie (Utopia).

Ada juga artis yang mahu bersama-sama memancing dalam fiesta tersebut. Antara yang sudah memberikan kepastian mahu sama-sama berentap ialah Danny X-Factor, Amran Nasaruddin, Fir Affandi, Lia Natalia dan Ashfizam. Beberapa lagi selebriti menyatakan minat termasuk Ajai, Anne Abdullah, Noniswara, Aeril Zafrel, CD Naz. Kalau jadual aktiviti mereka tak bercanggah mereka juga akan sama-sama memeriahkan acara.

Keena menghiburkan pemancing

Acara bermula pukul 9.00 pagi dan tempoh memancing diberikan selama empat jam. Hadiah akan ditentukan menerusi timbangan seekor ikan terberat yang berjaya dipancing.

Meja urusetia akan dibuka pada pukul 3.00 petang 25 Jun untuk melicinkan pendaftaran. Bakal peserta boleh datang terus ke lokasi pada hari tersebut. Pendaftaran pada hari fiesta juga dibuka sebelum acara bermula.

"Kami menasihatkan peserta mendaftar awal pada 25 Jun untuk memudahkan urusan pembahagian t-shirt, pas peserta dan nombor bertuah," kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran, Noor Joha Ahmad.

Hadiah lumayan menanti


Mastika mahu meraikan pembaca setia dengan menawarkan hadiah lumayan wang tunai RM10,000 kepada juaranya. Pemenang tempat kedua pula akan menerima RM5,000, pemenang ketiga sebanyak RM3,000 dan pemenang keempat sebanyak RM1,000.

Gelagat Roslan sebagai pengacara pasti menggamatkan acara.

"Sempena sambutan ulang tahun yang ke-70, kami menyediakan 70 hadiah berupa wang tunai dan hamper," kata Pengarang Kanan Unit majalah Umum, Zulkarnain Zakaria.

Zulkarnain menambah, mereka sengaja merangka satu acara yang boleh menghimpunkan pembaca dan orang ramai bagi membuat kelainan dan memeriahkan sambutan ulang tahun yang ke-70 tahun.

Pihak penganjur juga menyediakan 70 hadiah cabutan bertuah kepada peserta. Sementara itu 500 penyertaan terawal akan menerima t-shirt khas fiesta memancing.

Bagi yang berminat boleh membuat pendaftaran sekarang dengan menghubungi talian 019-3522046, 013-2667011, 013-3052811 dan 012-2846811.

Fasha Sandha Mahu Berehat Dari lakonan

Posted: 17 Jun 2011 06:31 PM PDT

PEMILIK nama Nur Fasha Sandha Hassan ini pastinya boleh tersenyum bangga dengan kejayaannya kini. Biarpun terpaksa menelan pelbagai cemuhan dan kontroversi, namun realitinya tiada siapa yang dapat menyangkal, wanita ini mempunyai profil tinggi dalam bidang seni ini.

Mula membabitkan diri dalam dunia perfileman tanah air menerusi filem pertamanya, Black Maria pada tahun 2003, si jelita ini sudah membintangi lebih 20 buah drama dan filem, sekaligus memcipta satu rekod yang sungguh menakjubkan bagi seorang pelakon sepertinya.

Tidak kira berapa banyak kontroversi yang menghampirinya, Fasha mengakui dia sangat bersyukur masih diterima peminat dan penggiat seni, lantas kerana itu jugalah dirinya sukar untuk menolak mana-mana tawaran yang datang.

Bertemu Fasha Sandha di majlis pelancaran drama terbarunya, Dewa Cinta, dia mengakui terlalu penat berlakon dan merancang untuk berehat sebentar.

"Alhamdulillah, berkat usaha dan komitmen yang tinggi terhadap lakonan, saya masih boleh diterima dan masih ditawarkan dengan pelbagai drama dan filem.

"Secara jujurnya saya memang sangat penat dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan diri, kebiasaannya saya mempunyai masa dua hari sahaja untuk berehat selepas tamat satu penggambaran, dan kemudiaannya akan menyambung semula kerja.

"Saya memang terlalu sibuk, namun itu rezeki dan saya tidak mampu untuk menolaknya. Memang saya terfikir untuk berehat dahulu, dan beri masa untuk diri saya, namun apabila tawaran datang, saya tidak sampai hati untuk menolak.

"Sekarang ini terlalu banyak pelakon baru timbul, tapi orang masih menawarkan saya watak untuk drama-drama dan filem, mereka masih memberi peluang dan ruang untuk saya dan tidak manis jika saya menolak tawaran tersebut.

"Tapi, saya tetap merancang untuk berehat dan membawa keluarga saya bercuti, kerana untuk tahun ini saya langsung tidak bercuti dimana-mana bersama keluarga, tidak kisahlah sama ada didalam ataupun diluar negara, yang penting kami dapat bercuti bersama,"jelas Fasha.

Walaupun sibuk bekerja, Fasha tidak pernah mengabaikan perniagaan salunnya. Walaupun terpaksa meminta bantuan ibu untuk menjaga salun itu, Fasha tetap berhasrat mahu membuka cawangan baru sekiranya mempunyai modal yang cukup.

"Sebab sibuk sekarang, mama terpaksa datang ke salun hari-hari. Saya susah nak percaya pada orang, jadi biarlah mama tolong jaga kedai itu sementara saya dilokasi penggambaran.

"Saya ada juga merancang untuk membuka cawangan untuk salun ini, dan mengikut perancangan saya mahu membuka di Johor Bahru kerana permintaan disana lebih banyak. Namun, itu semua masih dalam angan-angan sahaja kerana ia bergantung pada rezeki, sekiranya ada rezeki yang lebih, saya akan kotakan angan-angan ini,"jelasnya.

Nabila Belum Bersedia Mengandung Kembali

Posted: 17 Jun 2011 06:30 PM PDT

Selamat melahirkan anak pertamanya, Kheisya Laila, hasil daripada perkhawinannya bersama Zaidy Zailani pada 11 Mei tahun lalu, pelakon popular Nabila Huda mengakui masih belum bersedia untuk memiliki anak kedua, biarpun Kheisya kini sudah berusia satu tahun sebulan.

Mahu memberikan sepenuh perhatian kepada Kheisya, jelas Nabila dia mahu melihat anaknya itu membesar dihadapannya.

"Setakat ini saya masih belum bersedia lagi untuk mempunyai anak kedua. Mungkin juga kerana terlalu sibuk, maka saya tidak yakin boleh memberi perhatian yang cukup jika mempunyai dua orang anak dan saya tidak mahu mereka membesar tanpa perhatian yang cukup daripada saya.

"Lagipun saya mahu beri perhatian lebih pada Kheisya, biarlah dia membesar terlebih dahulu baru saya merancang untuk memberikannya adik.

"Setakat ini Kheisya sudah pandai bercakap, tapi saya tidak sempat bawa dia kemana-mana casting, sebab saya terlalu sibuk. Saya tak kisah sekiranya dia terlibat dalam dunia seni ini, dan kalau boleh saya mahu dia lebih menjurus kearah bidang muzik seperti datuknya,"jelas Nabila.

Sibuk dilokasi jelas Nabila, ada masanya dia membawa Kheisya ke lokasi penggambaran, namun melihat keadaan Kheisya yang betah bercakap sekarang ini menyukarkannya untuk membawa anaknya itu.

"Karektornya banyak persamaan dengan saya, kami suka bercakap. Biasanya jika terpaksa berlakon diluar Kuala Lumpur saya akan membawanya sekali, tapi sekarang oleh kerana dia petah bercakap, saya tidak boleh membawanya, bimbang mengganggu penggambaran,"jelas Nabila.

Membawakan watak seorang wanita yang mengamalkan ilmu-ilmu hitam dalam drama terbaru lakonannya, Si Jundai, Nabila mengakui ia amat sukar kerana dirinya tidak pernah percaya perkara-perkara seperti itu.

"Saya memegang watak Seri, dan dia merupakan seorang budak yang baik pada asalnya, namun dia kemudiannya terbabit dengan ilmu-ilmu hitam.

"Perkara paling sukar adalah untuk membaca mantera, kerana terlalu panjang dan membuatkan saya tertekan untuk menghafalnya.

"Saya tidak pernah percaya perkara-perkara begini walaupun pada dasarnya saya tahu, ilmu hitam dan bomoh ini masih wujud di zaman ini,"luah Nabila.

Wan Sharmila Mahu Segera Kahwin & Cepat Dapat Anak

Posted: 17 Jun 2011 06:29 PM PDT

Wan Sharmila Mahu Segera Berkahwin

Sudah dua tahun pelakon hitam manis, Wan Sharmila ini kembali membujang, selepas rumah tangga yang dibinanya bersama penerbit dan pemilik Radius One, Fazli Baharom pada tahun 2007 ini terlerai 23 Oktober 2009 yang lalu.

Meniti hari dengan status baru, Wan mengakui perjalanan hidupnya kini lebih tenang dan dia berusaha menjadi seorang wanita yang tabah.

Baginya tempoh dua tahun belum cukup untuk dia menyiapkan diri untuk kembali bergelar isteri semula, biarpun ramai yang cuba untuk mendekatinya.

Wan masih belum berani bercinta semula

"Saya nak berkahwin semula, tapi sekarang ini bukanlah masa yang sesuai. Buat masa ini saya sedang sibuk dengan banyak penggambaran, jadi saya belum ada masa untuk bercinta semula.

"Tak dinafikan ramai yang cuba untuk berkawan rapat, tapi setelah apa yang berlaku, saya sentiasa berfikir panjang untuk menerima mereka. Setiap kali ada yang cuba mendekati, saya sering tertanya, adakah mereka benar-benar mahu berkawan dengan saya atau ada sebab lain.

"Saya masih belum berani untuk memulakan kehidupan rumahtangga semula, walaupun sebenarnya naluri saya mahu segera berkahwin dan cepat mendapat anak,"jelas Wan Sharmila.

Membawa diri dengan status janda, tiada yang sukar buat wanita berusia 30 tahun ini. Mungkin kerana dirinya yang masih belum mempunyai anak, ramai yang seakan lupa, Wan sebenarnya sudah pernah mendirikan rumahtangga.

"Saya sendiri adakalanya lupa saya pernah berkahwin, dan Alhamdulillah, sejak bergelar janda, saya tidak dicemuh atau dipandang serong, mungkin orang ramai juga terlupa bahawa saya pernah berkahwin dan sudah bercerai.

"Setakat ini tiada paksaan untuk saya berkahwin lagi, malah ibu bapa saya juga tidak pernah memaksa untuk saya terus berkeadaan begini,"luahnya lagi.

Sedang popular dengan watak antagonis menerusi drama bersiri, Nora Elena yang baru saja tamat siarannya semalam, Wan Sharmila sekali lagi bakal menghiburkan penonton drama-drama melayu dengan lakonan terbarunya dalam drama bersiri, Si Jundai yang akan memulakan siarannya pada 20 Jun ini di slot Lagenda, TV3.

Memegang watak Sarah dalam drama ini, Wan Sharmila bergandingan buat kali pertama dengan heronya iaitu, Azam Pitt.

"Berbeza dengan drama-drama sebelum ini, saya memegang watak utama yang baik, namun drama ini tetap mencabar lakonan saya terutama ketika melakonkan watak dirasuk.

"Antara adegan yang paling susah untuk dilakukan adalah ketika dirasuk sewaktu menari. Jika sebelum ini saya pernah berlakon dalam Tari Tirana dan sudah mempunyai asas dalam seni tarian namun, untuk melakonkan watak di rasuk ketika menari, ia amat sukar sekali,"jelasnya yang akan mengacarakan satu program realiti, Pentas Dikir untuk RTM.

Kemelut Pekida-Skop selesai

Posted: 17 Jun 2011 06:27 PM PDT

Kemelut yang melanda Skop Production dan Pekida selesai secara aman dalam satu majlis kesyukuran dan musyawarah yang diadakan di Restoran Haslam, Kuala Lumpur malam tadi.

Datuk Yusof Haslam dalam ucapannya membuat deklerasi bahawa pihaknya tidak pernah berniat mempersendakan pertubuhan itu melalui filem box office arahan anaknya Shamsul, KL Gangster yang menimbulkan rasa tak puas hati pihak Pekida.

"Saya tak ada masalah merendahkan diri menyusun jari sepuluh memohon maaf sekiranya apa yang telah berlaku menyentuh hati pihak Pekida," kata Yusof dalam majlis itu.

Selesai ucapan kedua-dua pihak dalam majlis yang turut terbuka kepada media itu, mereka saling bersalam-salaman tanda tiada sengketa di antara mereka. Malah Yusof juga membuat akujanji membuat penelitian lebih rapi kepada prekuel filem itu yang juga akan diarahkan oleh Shamsul.

Isu itu timbul apabila perkataan Ayahanda, Abang Long dan beberapa gelaran yang digunakan dalam beberapa dialog filem itu yang dirasakan menyentuh sensitiviti pertubuhan Pekida. Gelaran tersebut antara pangkat yang digunakan dalam pertubuhan itu.

"Saya tak tahu sangat pasal gelaran dalam Pekida ini, kalau saya tahu, sayalah orang pertama yang akan menapis dan menghalang ia digunakan dalam filem KL Gangster.

"Saya difahamkan ada juga individu yang terlibat dalam filem itu yang juga ahli Pekida, tapi mereka juga tidak membuat teguran semasa penggambaran filem dijalankan," kata Yusof.

Sementara itu Shamsul pula turut meminta maaf kepada pihak yang tersinggung dengan filemnya. Dia juga mengakui kurang peka kepada sensitiviti pihak lain semasa mengarah filem itu.

"Kejadian ini memberi pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati terutamanya perkara yang membabitkan isu sensitif. Saya akui saya kurang peka kerana tidak pernah terfikir ia menyentuh hati pihak lain.

"Saya berjanji tak akan guna lagi perkataan yang menyentuh hati mereka. Sebenarnya semasa awal-awal isu ini dibangkitkan, saya sudah bersedia meminta maaf kerana saya bukannya berniat untuk mempersendakan mana-mana pihak.

"Bila bapa saya mengaturkan majlis ini, saya sangat bersyukur sebab kalau kita membuat kenyataan demi kenyataan kepada media, saya takut perkara ini akan jadi lebih rumit," kata pengarah filem yang bakal mencatatkan sejarah kutipan terbanyak industri filem hujung minggu ini.

KL Gangster dijangka mengutip lebih RM12 juta menjelang hujung minggu ini. Sehingga hari ini kutipannya melebihi RM8 juta. Sasaran itu hampir menjadi realiti berdasarkan sambutan semasa yang masih memberangsangkan.

Filem lakonan Shamsul, Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan Raja Lawak, Sofi Jikan dan Sheera Iskandar itu mendapat pujian ramai kerana konsep yang dipersembahkan. Walaupun tanpa adegan cinta, filem aksi itu tetap mendapat sambutan.

Ditebak sama ada isu ketidakpuasan hati Pekida antara yang meningkatkan lagi kutipan filemnya, Shamsul segera mengelak kerana tidak mahu kenyataannya disalahanggap.

"Sekarang kami baru menyelesaikan satu masalah, jadi saya tak mahu menyentuh lagi pasalnya kerana tak mahu isu lain pula yang bakal timbul pula," kata Shamsul mengelak daripada memberi jawapan.

Minyak peram enakkan masakan

Posted: 17 Jun 2011 06:27 PM PDT


Chef Sabri menunjukkan antara koleksi piala dan pingat yang pernah dimenangi beliau.


MINYAK masak sudah tentu diiktiraf sebagai bahan masakan utama yang digunakan dalam apa jua resipi masakan di dunia.

Begitu pun, ramai yang mungkin jarang atau tidak pernah mendengar tentang minyak masak yang diperam bagi menjadikan masakan lebih enak.

Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana minyak tersebut dihasilkan, ia tidak sesukar yang disangka kerana hanya menggunakan minyak masak biasa dan rempah ratus yang mudah diperoleh.

Semua jenis minyak boleh diperisakan dengan memeramkannya bersama bahan makanan aromatik seperti herba-herba segar, lada, bawang putih dan lain-lain dalam minyak tersebut untuk suatu tempoh masa tertentu.

Pada minggu ini, Gaya Chef membawa pembaca ke dapur lima bintang, Kafe Warisan yang terletak di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Dapur tersebut diketuai oleh Chef Eksekutif, Sabri Soid yang merupakan salah seorang pakar masakan Perancis.

Berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang, Chef Sabri juga mengumpul pelbagai jenis minyak masak yang diperam sendiri.

Pada mulanya, Chef Sabri hanya menghasilkan minyak tersebut untuk kegunaan masakan di tempat kerja tetapi lama-kelamaan ia bertukar kepada hobi pada waktu lapang.

Chef Sabri berkata, kebanyakan chef mempunyai koleksi peribadi masing-masing seperti pisau, sudu dan garfu tetapi beliau lebih suka mengumpul sesuatu yang lain daripada yang lain.

"Saya suka mengumpul minyak masak peram dan bagi saya minyak tersebut unik kerana selain boleh digunakan untuk memasak, ia juga boleh dijadikan sebagai barang perhiasan.

"Malah minyak yang telah siap diperam itu merupakan bahan perasa semula jadi tanpa bahan pengawet, perasa tambahan atau pewarna tiruan," katanya.

Beliau berkata, minyak peram mudah dihasilkan dengan hanya memeramnya bersama minyak seperti minyak zaitun, jagung, kelapa sawit, kelapa, kacang soya, biji labu, bunga matahari, kesumba, kacang, biji anggur, bijan dan bahan-bahan aromatik seperti kulit kayu manis, cili, buah pelaga, bunga cengkih, daun salam dan bunga lawang.

"Lebih lama minyak tersebut diperam maka ia lebih enak dan sedap dimakan. Lagipun minyak peram tiada tarikh luput dan boleh digunakan bila-bila masa sahaja.

"Koleksi minyak peram paling lama saya simpan ialah selama 12 tahun dan kebanyakannya saya pamerkan di Kafe Warisan," jelasnya.

Batik bukan sekadar seni

Posted: 17 Jun 2011 06:26 PM PDT


Kebolehan Lazim Ismail mencanting batik membolehkan beliau menghasilkan karya seni yang tersendiri.


SEJARAH kewujudan kesenian batik tidak dapat dipastikan tetapi artifak batik tertua yang telah ditemui berusia lebih 2,000 tahun lamanya.

Secara tidak langsung, hasil seni batik itu kini dijadikan sebagai warisan peradaban dunia, lebih-lebih lagi pemakaian batik dalam busana tradisi mempunyai sejarah yang lama sejak dari zaman awal tamadun Melayu.

Batik dipakai oleh semua golongan, daripada kerabat diraja, bangsawan sehinggalah kepada rakyat jelata.

Malah seni batik itu acap kali diselitkan dalam penulisan dahulu kala contohnya seperti kain cindai yang banyak ditulis dalam hikayat-hikayat silam.

Dalam hikayat tersebut, batik dijadikan sebagai hadiah perpisahan dan lambang percintaan dalam Hikayat Malim Deman dan persalinan batik turut dijadikan sebagai tanda penganugerahan darjat dalam Hikayat Hang Tuah.

Dalam pada itu, S3 minggu ini mengurai hasil seni batik yang dihasilkan oleh pelukis dan pemilik Batik Selembut Sutera, Lazim Ismail yang terletak di Kompleks Kraf, Seksyen 63, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Kebolehan Lazim mencanting batik secara tidak langsung membolehkan beliau menghasilkan sebuah karya seni yang lain daripada lain.

Malah beliau juga bijak meneroka kesenian batik sehingga berjaya menghasilkan lukisan bercorak batik yang kebiasaannya hanya boleh dilihat pada kain batik atau baju batik.

Karya-karya beliau itu banyak menyentuh kepada penggunaan corak tradisional yang kreatif.

Berpengalaman selama 30 tahun dalam penghasilan seni canting batik, Lazim kini merupakan antara orang lama yang masih lagi memperjuangkan kesenian tersebut.

Lazim berkata, minat menghasilkan batik itu diperoleh sejak beliau bekerja di kilang Alfa Batik di Johor Bahru.

Daripada pengalaman yang dipelajari ketika bertugas di kilang tersebut, Lazim memberanikan diri membuka kedai batik sendiri.

Pada mulanya, beliau menghasilkan baju batik, kemeja T bercorak batik, kad dan perhiasan dinding daripada corak bunga hingga kepada corak dasar laut.

Tetapi lama-kelamaan, beliau mendapat ilham untuk menjadikan corak batik sebagai lukisan dan hasilnya amat menarik.

"Kalau dahulu, seni batik ini lebih kepada penghasilan pakaian sahaja tetapi hari ini seni batik lebih meluas sehingga ia boleh dijadikan sebagai perhiasan.

"Orang ramai juga telah mengiktiraf seni batik sebagai salah satu hasil seni yang lain daripada lain, lagipun kita sudah biasa lihat lukisan yang dilukis di atas kanvas.

"Bagi pelancong asing yang datang ke negara kita pula, ada antara mereka tidak pernah melihat corak tersebut dan bagi mereka, corak batik amat unik dan ia merupakan suatu kelainan," katanya.

Beliau berkata, idea untuk mengembangkan hasil seni batik itu kepada perhiasan dinding timbul apabila beliau melihat sambutan yang diberi di kalangan pelancong yang singgah ke kedainya.

"Batik juga macam lukisan, bezanya warna batik lebih menarik dan ia lebih sukar dihasilkan.

"Bagaimanapun, corak batik juga boleh dijadikan lukisan bertema seperti tema kampung. Kalau tema kampung, pelukis boleh hasilkan lukisan bercorak suasana kampung dari luar rumah hinggakan kepada aktiviti di kampung," jelasnya.

Menurutnya, corak batik Malaysia kini semakin berkembang dan ia semakin diminati di kalangan pelancong.

Antaranya, corak bunga raya, bunga sepit udang, manggis, pokok, lasam, tangga mas, sinar mas, terang bulan, belah ketupat, jalur Malaysia, serong dan retak seribu.

"Corak batik Malaysia kini semakin berkembang setelah melalui proses evolusi dari corak terap asal kepada asimilasi pengaruh seni batik Indonesia dan kesenian moden seperti corak abstrak.

"Dengan perkembangan tersebut, populariti batik semakin meningkat dan digemari ramai lebih-lebih lagi setelah kemunculan pewarna baru yang sesuai digunakan pada kain sutera pada pertengahan 1990," ujarnya.

Bagi mereka yang berminat untuk menempah hasil seni batik, boleh menghubungi terus di talian 012-6160897.

Duka anak dihina ibu

Posted: 17 Jun 2011 06:25 PM PDT

Puan Aniz,
SAYA terpanggil untuk berkongsi masalah yang telah lama saya pendamkan.

Kalau Puan melihat drama di televisyen tentang ibu tiri yang zalim serta pilih kasih terhadap anak-anak, saya pula lebih hebat lagi dipinggirkan ibu kandung.

Sejak lahir, saya dijaga oleh datuk dan nenek kerana ibu menganggap saya membawa nasib malang. Setelah bersekolah saya diambil semula oleh ibu dan bermulalah episod duka dalam hidup saya. Kulit yang gelap, wajah yang tidak cantik menjadi hinaan ibu. Apa yang saya lakukan serba tidak kena. Jika berlaku pertengkaran dengan adik, ibu akan menyalahkan saya, dan saya akan dipukul.

Pernah dalam satu perselisihan faham adik menolak saya dari anjung rumah tingkat satu, menyebabkan saya koma di ICU. Saya harap ibu berubah selepas kejadian itu, tetapi tidak banyak yang berubah.

Saya cukup tertekan, bagaimana Puan harus saya mulakan langkah pertama mengubat diri yang sangat terluka dan sedih ini.

Dila

Segamat, Johor

DILA, kadang kala warna-warni kehidupan tidak pernah kita duga ada berlaku. Permainan minda, prasangka, kata-kata adalah antara bibit-bibit yang akan membuahkan keindahan mahupun kemudaratan dalam hidup insan.

Ia boleh menjadi doa mahupun sumpah yang akan memakan diri. Kenyataan ini memang perit dan tidak mudah diterima anak kecil yang dahagakan kasih sayang, apatah dalam peringkat tumbesaran.

Gaya asuhan ibu bapa di peringkat kosong hingga 18 tahun merupakan tahun-tahun penting individu membentuk personaliti dan jati diri. Apabila berlakunya lekatan seperti ini, mangsa kurang keyakinan diri, mempunyai kritik diri yang tinggi, cenderung mengasingkan diri dan sering mencari alasan untuk membina boundary selamatnya.

Impaknya, hidup berada dalam fasa krisis yang tidak berpenghujung, peperangan diri antara rindukan kehadiran kasih sayang dan belaian ibu serta rasa terkilan, benci dan marah.

Ini yang terkadang walaupun dianugerahkan Allah hadiah-hadiah yang hebat seperti kerjaya cemerlang, sahabat setia mendengar dan kemewahan tidak kan mampu mengubat luka yang hadir.

Mudah sahaja Dila, ia harus bermula dari dalam diri Dila. Perkara asas yang perlu Dila lakukan adalah memaafkan ibu Dila. Ada sebab dia jadi begitu. Lazimnya individu yang suka mencari permusuhan dengan orang lain ada sisi silam mereka yang juga pahit. Mengikut teori, hanya individu yang pernah didera mampu menjadi pendera. Beban rasa, kesakitan, dendam silam dilepaskan kepada anaknya, itulah yang selalunya berlaku. Adalah menjadi virus keturunan jika dendam silam ini tidak diberes dengan baik. Mulakan belajar untuk menyelami sisi silam dan kehidupan ibu Dila, kenapa agaknya dia bersikap sedemikian.

Apabila Dila lebih mengerti penderitaan mahupun kesakitan yang pernah ibu alami, insya-Allah Dila akan lebih mudah memaafkan ibu. Kata-kata hikmah ada menyebut kemaafan merupakan hadiah paling mahal dan berharga bukan untuk orang lain tetapi untuk diri kita. Bersama iringan kemaafan, ia akan menemukan Dila kebebasan daripada beban rasa yang melelahkan. Bukan itu sahaja, ia akan membawa Dila kepada keharmonian dan kelapangan hati.

Isteri perangkap suami bersama madu

Posted: 17 Jun 2011 06:24 PM PDT

BAGI yang selalu minum madu, rasanya tentulah manis dan sedap selain membantu menyihatkan tubuh badan.

Namun manisnya madu, tidak sama dengan mereka yang hidup bermadu walaupun ada segelintirnya beroleh kebahagiaan.

Tentu ramai yang akan tersenyum sinis apabila membaca mukadimah saya minggu ini. Bagi lelaki, amat mudah untuk melafaz kata-kata ingin menambah cawangan atau berpoligami kerana kuasa ada di tangan mereka.

Berbeza pula dengan wanita kerana mereka hanya mampu membantah jika tidak setuju, itu pun bergantung pada nasib, belum tentu suami mendengar atau memang mereka sudah dimadukan.

Begitulah yang dilalui Farhana (bukan nama sebenar) apabila suami, Reza (bukan nama sebenar) menambah cawangan setelah dua tahun ditukarkan bekerja di utara.

Farhana berusia awal 40-an telah 15 tahun bernikah dengan Reza. Pasangan ini bekerja dengan syarikat swasta dan dikurniakan dua anak berusia 14 dan 12 tahun. Sebelum ini mereka keluarga bahagia.

Namun, berita kenaikan pangkat Reza sebagai pengurus yang pada mulanya dianggap rahmat dan rezeki, kini menjadi mimpi ngeri bagi Farhana yang disakiti Reza.

"Saya sudah dua tahun menanggung derita hati dan perasaan dengan sikap suami yang bernikah seorang lagi setahun lalu.

"Semuanya gara-gara dia dinaikkan pangkat dua tahun lalu sebagai pengurus. Dia ditukarkan bekerja di utara tanah air. Kerana kami bekerja di syarikat yang sama, memang saya tidak dapat ikut dia ke sana.

"Kerana memikirkan masa depan kami terutama anak-anak, saya reda suami pergi seorang ke sana untuk menjalankan tugasnya dengan doa dia tidak berubah dan terus cemerlang dalam kerjayanya.

"Saya mengambil cuti seminggu dan membawa anak-anak ke sana ketika suami ditukarkan dulu. Suami menyewa sebuah rumah yang sederhana besar bagi memudahkan saya dan anak-anak tinggal apabila berkunjung ke sana.

"Alhamdulillah, setahun berlalu semuanya berjalan seperti biasa. Dia kerap menelefon bertanya khabar. Sebulan dua kali kami berjumpa. Ada kala suami balik ke Kuala Lumpur, ada masa saya dan anak-anak turun ke utara.

"Siang malam setiap kali solat saya tidak lupa berdoa agar Allah permudahkan segala urusan hidup kami, dan kesihatan yang baik. Saya tidak pernah terfikir suami akan berubah hati kerana saya yakin dia memang sayang saya dan anak-anak.

"Bagaimanapun ujian Allah tidak memilih hamba-Nya. Masuk tahun kedua, suami mula nampak berlainan dari segi sikap, tingkah laku dan lebih mendiamkan diri padahal dia seorang yang suka bergurau dan mengusik saya dan anak-anak.

"Ini diikuti perubahan jadual bertemu saya dan anak-anak. Dulu dua kali sebulan saya boleh turun ke utara, kini tidak lagi. Dia memberitahu terlalu sibuk dengan kerja dan tiada masa menerima kunjungan saya dan anak-anak.

"Apabila saya tanya pegawai di syarikat kami, katanya tidak ada projek besar yang ada di utara melainkan urusan kerja biasa. Apabila saya telefon, dia mula beri alasan sibuk, nanti telefon semula dan macam-macam lagi.

"Saya tidak sedap hati. Saya cari maklumat daripada staf di sana yang saya kenal, malangnya semua mengelak daripada bercerita tentang suami saya.

"Seminggu saya memikirkan hal itu, tidur saya tidak lena, dan kerja juga terjejas. Akhirnya saya ke utara tanpa pengetahuan suami, ditemani adik perempuan saya.

"Kepada anak-anak, saya beritahu terpaksa hadir seminar di Pulau Pinang. Pada hari yang diatur, saya bersama adik bertolak ke utara. Kami sampai di sana lewat petang dan menginap di sebuah hotel. Saya tidak terburu-buru ke rumah sewa suami sebelum saya siasat apa yang berlaku.

"Malam itu saya dan adik nekad ke rumah tersebut dengan harapan kebenaran wujud di depan mata.

"Sampai di rumah itu, saya memberi salam. Seorang wanita berusia awal 20-an muncul dan menjawab salam saya. Orangnya tinggi lampai, tersenyum sambil menjemput saya masuk. Dia bertanya cari siapa dan apabila saya beritahu nama orang yang saya cari, dia pelawa kami masuk.

"Dia memanggil nama suami saya. Darah saya mula menyirap. Tubuh saya menggigil, seperti seluruh dunia ini bergoncang. Saya beristighfar banyak kali, minta Allah beri saya kesabaran.

"Lima minit kemudian muncul suami saya dan wanita itu. Ya Allah! Begitu besar ujian-Mu. Memang betul itu suami saya. Jadi siapa wanita itu? Adakah dia....? Melihat saya di situ, suami tergamam. Langkahnya terhenti.

"Tergagap-gagap dia bertanya bila saya datang, dengan siapa, mana anak-anak? Berani dia berlakon depan saya macam itu? Dia ingat saya ini patung, tidak ada hati dan perasaan. Akhirnya dia mengaku wanita itu isterinya. Mereka bernikah setahun lalu.

"Seperti biasa alasan lelaki, memang nak beritahu tetapi belum sampai masa. Jawapan standard. Saya tidak ada minat untuk bertanya banyak. Saya minta dia buat keputusan, pilih saya atau wanita itu. Saya bukan tamak, tidak juga ego tetapi kesal sikapnya yang membuatkan saya macam orang bodoh. Saya juga ada maruah dan harga diri sebagai wanita dan isteri.

"Selesai melepaskan apa yang terbuku di hati saya mengheret tangan adik dan keluar tanpa mengucapkan selamat tinggal. Saya mendengar isteri keduanya menjerit-jerit memarahi dia sambil menangis kerana tidak memberitahu yang dia sudah beristeri dan anak-anak. Bijaknya lelaki, mengaku bujang.

"Ketika ini air mata saya tidak dapat ditahan lagi, berlinangan di pipi, hancur luluh hati saya mengenangkan apa yang berlaku. Saya nekad apa yang akan berlaku selepas ini. Kepada Allah saya serahkan segala-galanya."

Kepada Farhana, saya bersimpati dengan ujian yang menimpa anda, tetapi saya puji sikap anda yang sabar dan cekal menghadapinya. Saya yakin anda punya keyakinan diri menangani masalah ini secara rasional. Banyakkan bersabar dan berdoa agar kehidupan selepas ini akan menjadi bertambah baik.

Apa juga keputusannya, utamakan masa depan anak-anak. Mereka adalah zuriat, anugerah Allah yang tidak terhingga kepada pasangan suami isteri.

Menutup catatan, wanita adalah matahari yang tidak pernah terbenam, jika pun tidak kelihatan, sinarnya akan sentiasa ada, menerangi hati dan jiwa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories