RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tidak serasi punca Ally Iskandar putus tunang

Posted: 04 Aug 2011 11:39 PM PDT

Ally Iskandar akui putus tunang pada 30 Julai yang lalu

Pengacara popular, Ally Iskandar atau nama lengkapnya, Ally Iskandar Mohd Mardzi, 35 tahun mengakui telah memutuskan hubungan pertunangan yang terjalin antara dirinya dengan naib juara rancangan Gadis Melayu, Nur Aishah Zainal, 26, pada 30 Julai yang lalu.

Ally Iskandar juga mengakui telah menghantar wakil keluarganya ke rumah Nur Azura di Ampang , Selangor pada tarikh berkenaan untuk memutuskan hubungan itu mengikut adat setelah seminggu mereka berbincang bersama keluarga masing-masing.

Menjelaskan tiada keserasian dalam diri mereka menjadi punca utama perpisahan ini berlaku, Ally juga menafikan ada sebarang pergaduhan besar antara mereka berdua sepanjang lima bulan bertunang.

"Wakil keluarga saya telah berjumpa dengan keluarga Azura pada 30 Julai lalu untuk memutuskan hubungan ini mengikut adat dan keputusan ini dibuat setelah kami berdua berbincang terlebih dahulu.

"Dalam tempoh pertunangan ini berlangsung, tiada keserasian di antara kami untuk menyelaraskan kehidupan, kerja dan sebagainya. Ia dapat dilihat secara berperingkat, yang mana jalan yang kami tuju semakin lama semakin tidak kelihatan. Kami pernah cuba untuk menyelesaikan masalah ini, namun tiada jalan penyelesaian.

"Keputusan ini memang sangat berat sekali, apatah lagi kami pernah membayangkan kehidupan berumah tangga bersama. Ini dugaan besar buat saya,"j elas Ally yang menafikan punca keretakkan hubungan mereka berikutan daripada kekangan masa mereka berdua.

Ally Iskandar yang sebelum ini telah mengikat tali pertunangan dengan Nur Azura Zainal pada Februari lalu mengakui masih menjalinkan hubungan baik dengan bekas tunangnya itu.

Black nafi rancang bertunang hujung tahun ini

Posted: 04 Aug 2011 11:38 PM PDT

Black tidak merancang untuk bertunang

Penyanyi yang popular dengan lagu Sofea Jane, Black menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya kini sedang merancang satu majlis pertunangan pada hujung tahun ini.

Black yang juga pelakon dalam drama bersiri Dewi Cinta, mengakui dia kini sudah mempunyai kekasih namun masih belum bersedia untuk melangkah ke alam pertunangan lagi.

"Khabar angin itu tidak benar sama sekali, saya tidak merancang apa-apa majlis melainkan majlis rumah terbuka pada bulan syawal nanti.

"Untuk jangka masa dua tahun ini, saya masih belum terfikir untuk berkahwin lebih-lebih lagi saya masih mahu membantu keluarga saya terlebih dahulu. Saya baru sahaja belikan rumah untuk keluarga, jadi buat masa ini, ia memerlukan komitmen kewangan yang banyak untuk proses ini.

"Saya tidak menafikan sudah mempunyai kekasih sejak beberapa tahun yang lalu, tetapi saya masih tidak berniat untuk bertunang. Kalau boleh saya mahu terus nikah dan tidak mahu melalui frasa bertunang kerana tak mahu merasai dugaan bertunang.

"Saya juga pernah berjumpa keluarganya sebelum ini, tetapi bukanlah bertujuan bertunang atau sebagainya. Saya benar-benar terkejut bila cerita ini keluar, sedangkan saya langsung tidak terfikir tentang perkara ini,"jelas Black yang baru melancarkan album sulungnya baru-baru ini.

Berniaga

Bercerita tentang aktiviti di bulan Ramadan ini, jelas Black dia sekarang bercuti daripada sebarang persembahan kerana sibuk dengan perniagaannya di bazar ramadan.

"Seperti tahun-tahun yang lepas, saya sememangnya berniaga setiap kali berada di bulan Ramadan, cuma bezanya tahun ini saya tidak menjual air dan hanya menjual buah tembikai sahaja.

"Saya tidak berniaga di bazar tetapi diluar kawasan Bazar Ramadan PPRT Pantai Dalam, dan sepanjang bulan puasa ini saya tidak mengambil sebarang persembahan pentas kecuali satu dua rakaman sahaja,"jelas Black.

Onci Ungu nikah lepas raya

Posted: 04 Aug 2011 11:36 PM PDT

Onci dan Endita sedang rancak buat persiapan nikah.

Pemain gitar kumpulan Ungu, Onci khabarnya akan melepaskan status bujangnya dengan model cantik Endita selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Namun gitaris pujaan ramai itu enggan membocorkan tanggal dan bulan pernikahan kepada media yang mula mengorek cerita perancangan pernikahannya. Kata Onci, dia akan bernikah tahun ini.
"Nanti saja. Kalian pasti akan diberitahu... pastinya selepas Lebaran ini," kata Onci kepada media di Jakarta.

Dia tidak mahu mengumumkan tarikh pernikahannya sekarang kerana mahu menjaga hati orang tua dan keluarga besar kedua-dua pihak. Tarikhnya dibincang oleh keluarga. Dia bimbang kalau nanti akan ada perubahan.

"Kalau beritahu sekarang, takut nanti ada perubahan... tunggu sajalah," kata Onci. Khabarnya sudah 50 peratus persiapannya sudah dibuat.

Che Li: Tahniahlah Onci. Pasha Ungu pun sedang menanti anak baru. Pernah nampak kemesraan Onci dan Endita di Bandung awal tahun ini.

Mengapa Harisu diangkat?

Posted: 04 Aug 2011 11:35 PM PDT

Harisu yang menggoda.

Pelakon lelaki dari Korea yang menukar jantina, Harisu diangkat apabila terbabit dalam produksi filem di negara ini, The Hunter. Hebat sangatkah Harisu? Agaknya kerana sekarang demam K Pop apa sahaja yang dari Korea akan diangkat melambung.

Mangga Muda tak kisahlah kalau kemasukannya sebagai pelakon undangan dalam filem itu akan membantu menambahkan kutipan tiket apabila ia ditayangkan nanti. Tapi kesian juga nasib insan sama dengan Harisu yang tidak mendapat tempat yang sama.

Mangga Muda masih terkenangkan kisah seorang lelaki malang yang meninggal dunia akibat mengalami kemurungan bila permohonannya untuk menukar kepada nama wanita setelah menukar jantina ditolak oleh mahkamah.

Mangga Muda bukan nak membela dia, kerana keputusan itu memang mengikut peruntukan undang-undang yang ada. Kalau dah macam itu peruntukan undang-undang kita terimalah, tapi pandangan masyarakat yang membuatkan seseorang menjadi tambah tertekan.

Orang yang menukar jantina di sini sering menerima pandangan sinis masyarakat. Bukan sahaja masyarakat, malah keluarga sendiri juga tidak menerima mereka. Ada yang tidak mengaku si polan itu sebagai anak kerana malu apabila anak lelakinya kini bertukar wajah menjadi wanita.

Memanglah wajah anak itu juga bertukar sebab sana sini menerima suntikan susuk moden. Sampai bengkak-bengkak pipi dan dagu juga makin melonjong. Ada yang menakutkan juga kalau tersalah atau terlebih cucuk.

Bukan pasal itu yang nak Mangga Muda cakapkan, tapi pasal bidang senilah. Kalau pelakon lelaki kita melakonkan watak wanita, pasti kena kutuk, silap silap tak boleh tayang. Teringat lagi pasal Dee (Jangan Ketawa) yang pernah digam daripada muncul di kaca TV dengan penampilan wanita, padahal dia berlakon sahaja.

Ada juga dulu seorang model lelaki yang berjaya di pentas peragaan bila dah menukar jantina. Tapi sebab dia itu bukan wanita tulen, ada yang membuat onar sehingga terjejas rezekinya dalam bidang peragaan.

Lain pula halnya dengan si Harisu ini. Bila dia datang mempromosikan filem The Hunter, dirinya yang lebih jadi perhatian berbanding pelakon wanita tempatan yang sama-sama berlakon dalam filem itu, malah melakonkan watak yang lebih besar.

Mangga Muda: Terserempak dengan seorang kawan lama baru-baru ini. Memang Muda tak cam wajahnya, tapi bila dia bercakap barulah Mangga Muda tahu, dialah kawan lama Mangga Muda. Tapi nama dah bertukar pula jadi nama lain. Siapa nak jawab tu?

Salma Terpinggir?

Posted: 04 Aug 2011 11:30 PM PDT

Salma kini bergerak sendiri

Juara program realiti, Mentor musim kelima, Salma mengaku tidak dipanggil untuk mengikat kontrak dengan syarikat rakaman Monkey Bone seperti mana juara-juara program ini sebelumnya.

Salma atau nama sebenarnya,Salmah binti A. Asis, 21 tahun juga mengakui terpaksa membawa haluan sendiri dalam industri hiburan ini, biarpun mendapat tunjuk ajar dari mentornya, Erra Fazira.

Tidak terkilan dipinggirkan, Salma memandang perkara itu dari sudut positif dan menganggap tiada rezeki untuk dia bekerjasama dengan syarikat Monkey Bone.

"Banyak perubahan yang saya lalui selepas bergelar artis, kalau dulu saya tidak boleh bantu keluarga, kini perkara itu boleh saya lakukan biarpun sedikit.

"Tak dinafikan banyak juga yang susah, tapi saya gembira dengan keadaan ini. Hubungan saya dengan Kak Erra masih sama seperti dahulu, jika ada masalah atau apa-apa berkaiatan bidang ini, saya terlebih dahulu bertanya kepadanya.

"Sekarang ini saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, walaupun musim sebelum ini, juara-juara Mentor akan terikat dengan syarikat rakaman Monkey Bone, tetapi nampaknya itu bukan rezeki saya.

"Habis saja Mentor, saya tidak mendapat sebarang tawaran daripada mereka, jadi saya terus menguruskan kerjaya sendiri, semua jadual dan panggilan untuk persembahan diuruskan oleh diri saya sendiri. Alhamdulillah, selepas Mentor hingga hari ini, saya dah dapat lima tawaran persembahan,"ujar Salma yang mahu berfikiran positif dalam memikirkan permasalahan ini.

Seratus ribu ringgit

Bercerita tentang wang kemenangan yang diperolehinya sejumlah RM100 000 itu, luah Salma dia mahu membuat rumah terbuka pada hari raya ini untuk meraikan peminat-peminatnya.

"Saya rancang nak buat rumah terbuka, di kampung saya di Sabah dan juga di Kuala Lumpur. Tahun ini juga saya mahu beri wang ampau untuk kanak-kanak, kerana sebelum ini hanya emak yang memberinya.

"Saya juga memperuntukkan sedikit daripada wang itu untuk membaiki rumah ibu dikampung,"jelas Salma lagi.

Rossa harap Yoyok cepat bebas

Posted: 04 Aug 2011 11:29 PM PDT

Penyanyi Rossa menyimpan harapan agar bekas suaminya, Yoyok akan segera dibebaskan daripada hukuman penjara. Bukan untuk dirinya sebaliknya demi anak tunggal mereka Rizky Langit Ramadhan yang kini mula merindui kelibat sang bapa.

Yoyok sebelum ini mengemukakan rayuan di mahkamah untuk memindahkan dirinya daripada penjara ke pusat pemulihan dadah. Kesnya akan didengar lagi di mahkamah minggu depan.

Rossa juga mengakui anaknya yang kini sudah berusia empat tahun mula merindui Yoyok setelah pemain dram kumpulan Padi itu didapati bersalah kerana memiliki dadah jenis syabu.

"Dia mula rindu dengan ketiadaan Yoyok. Saya juga harap Yoyok bersabar menunggu keputusan diumumkan. Harapan saya semoga diringankanlah (hukuman) semoga dipercepatkan (keluar) untuk diketemukan dengan Rizky," kata Rossa.

Sementara itu Rossa juga bersyukur kerana setiap kali masuk bulan Ramadan, rezekinya bertambah. Dia serius berpuasa kerana mahu mensyukuri rezeki yang diberikan kepadanya.

"Mudah-mudahan diberi kesihatan untuk terus bekerja dan berpuasa. Ramadan ini lebih rasa hikmahnya kerana dapat banyak rezeki, banyak jadi duta produk dan lain-lain," kata Rossa kepada media di Indonesia.

Erul takkan lari dari unsur KPop

Posted: 04 Aug 2011 11:28 PM PDT

Terlalu minat dengan perilaku yang ditonjolkan oleh artis-artis kelahiran Korea, bintang realiti Akademi Fantasia musim ke-9, Erul mengakui dia akan tetap menonjolkan muzik korea ataupun Kpop dalam lagu-lagu akan dirakamkan nanti.
Sedang mencari-cari material lengkap untuk menghasilkan album sulungnya yang berkonsepkan disco, jelas Erul, muzik Kpop tetap akan diselitkan dalam lagu rancak itu.
"Saya lebih tekankan muzik Korea dalam lagu saya nanti, walaupun saya akan keluar dengan lagu berentak disco, tetapi tetap ada unsur-unsur Kpop didalamnya.
"Saya tidak akan lari daripada Kpop, sebab saya memang meminatinya sejak dahulu lagi. Saya minat cara mereka menyanyi, menari dan tenaga mereka bila menyampaikan lagu.
"Setakat ini saya tidak ada ambil mana-mana kelas untuk mempelajari bahasa Korea ini, tapi saya banyak belajar daripada jiran saya kerana dia merupakan orang Korea yang menetap di Malaysia. Saya banyak belajar perkara-perkara asas percakapan mereka,"jelas Erul yang banyak menerima hadiah Teddy Bear daripada peminatnya.
Gembira Bergelar Artis
Biarpun jadualnya kini sibuk dengan aktiviti yang diaturkan oleh pihak pengurusann Astro Entertainmnent Sdn Bhd (AESB), namun buat artis remaja ini, kepenatan itu dirasakan berbaloi dan dia sangat gembira bergelar artis.
"Selepas menyertai AF9, saya rasa banyak perbezaan yang baik saya terima. Walaupun ada kalanya tahap kebebasan untuk pergi kemana-mana itu tiada, tapi saya suka keadaan itu.
"Malah saya tidak menyangka, ada yang masih menyokong saya biarpun AF9 sudah lama berlalu. Malah, saya sangat bersyukur ketika majlis bertemu peminat yang saya buat pada 9 Julai lalu tetap mendapat sambutan hampir 180 orang peminat biarpun pada tarikh itu, Kuala Lumpur sedang menghadapi himpunan bersih,"jelas Erul.

Erul terlalu meminati muzik Kpop

Terlalu minat dengan perilaku yang ditonjolkan oleh artis-artis kelahiran Korea, bintang realiti Akademi Fantasia musim ke-9, Erul mengakui dia tetap akan menonjolkan unsur-unsur muzik korea ataupun Kpop dalam lagu-lagu bakal dirakamkan nanti.

Sedang mencari-cari material lengkap untuk menghasilkan album sulungnya yang berkonsepkan disco, jelas Erul, muzik Kpop tetap akan diselitkan dalam lagu rancak itu.

"Saya lebih tekankan muzik Korea dalam lagu saya nanti, walaupun saya akan keluar dengan lagu berentak disco, tetapi tetap ada unsur-unsur Kpop didalamnya.

"Saya tidak akan lari daripada Kpop, sebab saya memang meminatinya sejak dahulu lagi. Saya minat cara mereka menyanyi, menari dan tenaga mereka bila menyampaikan lagu.

"Setakat ini saya tidak ada ambil mana-mana kelas untuk mempelajari bahasa Korea ini, tapi saya banyak belajar daripada jiran saya kerana dia merupakan orang Korea yang menetap di Malaysia. Saya banyak belajar perkara-perkara asas percakapan mereka,"jelas Erul yang banyak menerima hadiah Teddy Bear daripada peminatnya.

Gembira Bergelar Artis

Biarpun jadualnya kini sibuk dengan aktiviti yang diaturkan oleh pihak pengurusann Astro Entertainmnent Sdn Bhd (AESB), namun buat artis remaja ini, kepenatan itu dirasakan berbaloi dan dia sangat gembira bergelar artis.

"Selepas menyertai AF9, saya rasa banyak perbezaan yang baik saya terima. Walaupun ada kalanya tahap kebebasan untuk pergi kemana-mana itu tiada, tapi saya suka keadaan itu.

"Malah saya tidak menyangka, ada yang masih menyokong saya biarpun AF9 sudah lama berlalu. Malah, saya sangat bersyukur ketika majlis bertemu peminat yang saya buat pada 9 Julai lalu tetap mendapat sambutan hampir 180 orang peminat biarpun pada tarikh itu, Kuala Lumpur sedang menghadapi himpunan bersih,"jelas Erul.

Inneke tumpu puasa

Posted: 04 Aug 2011 11:24 PM PDT

Pelakon popular Indonesia, Inneke Koesherawati sengaja menolak tawaran berlakon dan mengacara sepanjang bulan puasa untuk membolehkan dia memberi tumpuan kepada ibadat dan menguruskan hal rumahtangganya.

Ibu kepada dua anak itu juga melatih anak-anak untuk belajar berpuasa sejak usia muda. Sementelah bintang yang kini berjilbab dan pernah bergelar pelakon hot suatu masa dahulu itu pernah mengabaikan ibadat.

Latih anak berpuasa sejak kecil.

Hayati maksud sebenar tadarus

Posted: 04 Aug 2011 11:23 PM PDT

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?

Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.

Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu' Rasail: "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia."

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Menyentuh tentang al-Quran ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam;

Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran.

Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.

Meletakkan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.

Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan Rasul-Nya. Allah SWT mewariskan kitab-kitab-Nya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar.

Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini, kerana itu mereka bangkit melaksanakan sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih.

Ada di antara mereka yang tidak berkesempatan membaca al-Quran, mereka akan melihat mushaf al-Quran dan memaca beberapa ayat al-Quran kemudian berkata: "Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran."

Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketika iaitu Saidina Uthman yang masih tidak bercerai daripada mushaf walaupun dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.

Dari awal malam dia membaca kitab Allah. Di hujung malam dia menemui ajalnya

Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya: Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud. Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.

Jika anda kaji sejarah hidup mereka, anda akan dapati tiada seorangpun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah SWT atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi SAW telah bersetuju dengan Muaz apabila Baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: "Dengan Kitab Allah. Muaz mulakan dengan Kitab Allah, kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci."

Anda sendiri tahu bagaimana Umar melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh al-Quran.

Anda juga tahu bagaimana imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi' tabiin seperti Sa'id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah.

Sa'id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: "Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan Kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata Sa'id berkata begini! Sa'id berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Apakah dengan kisah-kisah begini anda tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah SWT meletakkan Kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?

Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh Kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran.

Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan dan diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu.

Dua kelompok orang miskin

Posted: 04 Aug 2011 11:22 PM PDT

SAYA merasa pelik, ada orang miskin yang begitu mudah meminta-minta. Mereka merasa gembira menjadi penerima, malah seolah-olah bersyukur pula dengan kemiskinan yang menimpa. Namun, saya juga melihat ada kelompok fakir dan miskin yang cuba menyembunyikan kemiskinan dan mereka malu menerima bantuan. Apakah penjelasan ustaz terhadap kewujudan dua fenomena ini?

JAWAPAN

Memang benar kenyataan saudara, bahawa wujudnya dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta.

Dalam hal ini, cuba kita renungi firman Allah dalam surah al-Ma'arij, ayat 24 dan 25: Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan meminta-minta.

Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap keimanan di dalam diri seseorang.

Orang yang teguh imannya, maka mereka mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu 'kaya jiwa' atau 'kekayaan hati', yang menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.

Natijahnya, mereka amat malu menyatakan kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu bahawa mereka memang miskin.

Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca mata manusia.

Allah menukilkan dalam al-Quran dengan firman-Nya: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah: Yang dinamakan orang miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap (makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat: "Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?" Jawab baginda: "Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini. (riwayat Muslim)

Apa yang patut disedari oleh orang-orang miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar.

Bahkan orang-orang miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya yang panjang hisabnya.

Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis: (Kala baginda dibawa melihat neraka dan syurga pada peristiwa Israk wal Mikraj): Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita. (riwayat Muslim)

Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu, mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.

Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal. Hakikatnya, orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma. Apa yang utama bagi mereka adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.

Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa. (riwayat Bukhari dan Muslim). Wallahua'lam.

Allah larang ubah kejadian

Posted: 04 Aug 2011 11:22 PM PDT

KES penukaran jantina yang berlaku di negara kita baru-baru ini menimbulkan kebimbangan. Adakah boleh seseorang itu membuat pembedahan menukar jantina sesuka hati dan apakah syarat-syarat yang dibenarkan dalam Islam sebelum seseorang boleh membuat pembedahan begini?

Jawapan:

Thailand adalah salah sebuah daripada negara yang mempunyai populasi tertinggi di dunia dalam kes transgender serta mempunyai teknik pantas mengubah jantina dengan kos serendah AS$2,000 (RM6,743). Dr. Thep Vedusit pakar bedah transeksual mengakui bahawa telah melakukan 500 pembedahan transeksual yang melibat orang Thailand dan dari negara jiran.

Persoalan menukar jantina bukanlah satu perkara yang kecil. Islam menegah perbuatan ini atas alasan menukar ciptaan Allah SWT. Allah SWT menjadikan manusia mengikut kehendak-Nya. Menjadikan manusia dengan rupa paras dan bentuk serta jantina adalah hak mutlak Allah SWT. Saya yakin, walaupun pada pandangan manusia sesuatu kejadian itu cacat tetapi pada Allah SWT itu adalah terbaik untuk hamba tersebut.

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak semasa membincangkan pernikahan antara Noranizah Mohd Yusuf dengan Richand Badry, telah juga membincangkan masalah hukum menukar jantina mak nyah.

Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memutusakan bahawa;

lJawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar dalam Islam.

lPenukaran jantina mak nyah kepada perempuan melalui pembedahan adalah terang bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubahkan kejadiannya.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 119 yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

Walaupun ayat ini menyentuh pengubahan binatang ternakan, tidak bermaksud manusia boleh. Kalau bintang yang tidak berakal, tidak bertaklif pun kita yang berakal ditegah sewenang-wenang dalam mengubahnya apatah lagi manusia yang berakal yang bertaklif lagi tidak boleh.

Ulama Fiqh membahagikan khunsa kepada dua; khunsa wadhih (khunsa yang jelas) dan khunsa musykil (khunsa yang tidak jelas). Khunsa wadhih ialah khunsa yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan yang mana alat yang lebih dominan berbanding dengan yang satu lagi yang kurang.

Manakala khunsa musykil ialah, individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat tersebut dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.

Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti yang paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti kedatangan haid) atau kelelakian (seperti tumbuh janggut dan misai).

Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar di bidang tersebut.

Kelonggaran adalah khusus sebagai 'maslahah' atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu dapat menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan lebih sempurna. Kerana penentuan ini ada kaitannya dengan melaksanakan perintah-perintah Allah SWT.

Perbincangan ulama dalam mengharuskan seseorang itu menukar jantina adalah selepas dikenalpasti bahawa dia memang layak kerana ada dua jantina dan dikekalkan jantina yang aktif.

Namun pertukaran jantina kerana kecenderungan seseorang kepada jantina yang bertentangan dengan apa yang dia dijadikan adalah haram dalam Islam, perbuatannya berdosa besar di sisi Islam.

Apa yang berlaku di Malaysia mutakhir ini dalam isu menukar jantina bukan kerana khunsa musykil tetapi jiwa yang berkeinginan menjadi wanita. Jantinanya lelaki tetapi hormon kewanitaannya mungkin mengatasi keinginan kelelakiannya. Keadaan ini tidak boleh menjadi sebab untuk menukar jantina.

Mungkin ini adalah ujian untuk individu tersebut yang sepatutnya diatasi dengan menghampirkan diri kepada Allah SWT dan bersabar dalam menempuh ujian ini.

Mereka yang menukar jantina akhirnya pasti akan menyesal, kerana yang pertama masyarakat sukar menerima kehadiran insan ini. Kedua, menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketiga Allah SWT wujudkan kamu sebagai seorang lelaki tapi pulang kepada-Nya sebagai seorang perempuan.

Menyesal dulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.

Kuih tradisional terus bertahan

Posted: 04 Aug 2011 11:21 PM PDT


Asmah Ismail (kiri) menunjukkan cara baru membuat kuih goyang.


BAULU, kuih loyang dan putu kacang merupakan beberapa nama kuih tradisional Melayu yang masih bertahan sampai ke hari ini.

Kuih yang dianggap tidak lapuk dek zaman itu memang mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi rasa dan rupa.

Kalau dulu kuih-kuih tradisional ini cuma boleh dinikmati pada musim perayaan, tetapi kini ia semakin mudah didapati dan pada bila-bila masa memandangkan sudah dikomersialkan.

Sebenarnya tidak ramai di kalangan wanita Melayu yang berminat membuat kuih tradisional ini memandangkan proses penyediaannya bukan sahaja renyah bahkan memakan masa selain ada pantang larang.

Asmah Ismail, 64, dari Sungai Petani, Kedah mengakui sekalipun telah mula membuat kuih loyang sejak berusia 18 tahun tetapi ada kalanya masih berdepan dengan masalah kuih tidak menjadi.

Katanya, proses belajar membuat kuih tradisional seperti kuih loyang itu sebenarnya masih berterusan walaupun seseorang itu sudah mahir dan cekap dengan sukatan, cara membancuh dan menggoreng.

''Saya belajar cara buat kuih loyang ini dari arwah nenek dan emak yang memang sedia dikenali di kampung sebagai pembuat kuih goyang dari generasi ke generasi,'' katanya ketika ditemui di Promosi Kraf Aidilfitri 2011 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay baru-baru ini.

Dia merupakan antara beberapa wanita yang pakar dalam membuat kuih tradisional yang dijemput melakukan demonstrasi masakan sempena promosi tersebut anjuran Kraftangan Malaysia.

Menurut Asmah, berdasarkan pengalaman biasanya kuih loyang tidak menjadi disebabkan sukatan bahan kurang tepat atau tersalah bancuh.

Ada kalanyas tepung yang berbeza juga akan memberikan kesan terhadap kuih loyang yang dihasilkan.

Bagaimanapun katanya, kuih itu yang juga dikenali sebagai kuih goyang atau kuih ros mengikut negeri tertentu, tidak memerlukan bahan yang banyak untuk membuatnya.

Seperti kata Asmah, walaupun ia hanya menggunakan tepung beras, santan, telur dan minyak masak sahaja, tetapi cabaran sebenar ialah ketika proses menggoreng.

"Untuk menghasilkan kira-kira 100 biji kuih loyang, kita terpaksa berdiri dari pagi hingga petang,'' katanya.

Tambahnya, sejak dua tahun lalu dia cuba membuat sedikit inovasi pada bentuk kuih loyang.

Selain menampilkannya dalam pelbagai warna, Asmah juga berjaya membentuk kuih loyang menjadi seperti kuntuman bunga yang sedang mekar.

Katanya, dia mula terfikir untuk membuat bentuk kuih loyang itu berkembang bagai bunga sedang mekar selepas berasa bosan dengan bentuk sedia ada.

Bagaimanapun katanya, untuk mengubahsuai bentuk kuih loyang itu dia membuat beberapa percubaan dari peringkat menyediakan bahan, membancuh hingga menggoreng.

''Saya ganti santan dengan telur supaya selepas digoreng tidak akan pecah apabila diletak di atas muncung botol untuk membuatkan kelopaknya kembang dengan cantik,"' katanya.

Secara tidak langsung kuih loyang yang dihasilkannya kurang kolesterol memandangkan tidak menggunakan santan.

Asmah bersyukur kerana kuih loyang bentuk baru tersebut mendapat maklum balas positif daripada para pelanggannya.

"Mereka suka sebab bentuk nampak cantik dan berlainan. Lagipun rasa serta kerangupan kuih loyang bentuk baru ini tetap sama," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin merasai keenakan kuih loyang Mak Lang boleh menghubungi beliau menerusi talian 019-4201733.

Sementara itu Rohana Jaffar, 46, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, pula mengusahakan kuih tradisional masyarakat Jawa iaitu rempeyek dan tumpi sejak 10 tahun lalu.

''Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa itu rempeyek sehinggalah seorang jiran terlalu teringin untuk makan rempeyek.

''Kerana kasihankan dia, saya mencari buku resipi dan membeli bahan-bahan yang diperlukan. Itulah kali pertama saya belajar membuat rempeyek,'' katanya.

Bagai tidak percaya, bukan sahaja jiran tersebut memuji keenakan rempeyek yang dihasilkan malah meminta lebihan yang ada untuk diberi kepada jiran-jiran lain.

Semenjak itu walaupun mempunyai pekerjaan tetap sebagai guru, dia mula menerima tempahan daripada jiran-jiran yang menyebarkan keenakan rempeyeknya dari mulut ke mulut.

''Cuma sejak dua tahun lalu selepas meletakkan jawatan sebagai guru maka saya mula membuat kuih tradisional ini secara serius,'' katanya.

Rohana memberitahu, selain mengusahakan rempeyek dia turut menerima tempahan kuih batang buruk, simpul kasih dan kuih tradisional basah seperti kuih talam, roti jala, tepung pelita dan sebagainya.

Jelasnya, sekalipun membuat rempeyek nampak mudah tetapi untuk tujuna komersial ia perlu dihasilkan dengan lebih baik.

''Bukan sahaja perlu mengekalkan rasanya yang enak, bahkan rempeyek yang dibuat mesti rangup dan tahan lama,'' katanya.

Rohana mengakui agak cerewet dalam memilih bahan termasuk ikan bilis dan kacang yang terbaik supaya pelanggan puas hati.

Malah katanya, cara bancuhan juga tidak boleh silap kerana jika tidak ia akan menjadi keras.

Jelasnya, tugas membuat rempeyek juga bukan mudah kerana perlu berdiri semasa menggoreng dalam minyak yang panas.

''Rempeyek perlu digoreng satu persatu dan kerja yang lambat ini membuatkan tidak ramai yang ingin membuatnya secara komersial,'' katanya.

Sesiapa yang ingin menempah rempeyek dan beberapa kuih lain boleh menghubunginya menerusi talian 013-2853889.

Nasi ambeng juadah berbuka

Posted: 04 Aug 2011 11:20 PM PDT


Pengunjung boleh menikmati pelbagai sajian kampung ketika berbuka puasa di D'River Cafe, Riverstone Eco Resort.


JIKA kita membesar dengan hidangan masakan kampung untuk berbuka puasa, pasti kedatangan Ramadan menggamit untuk pulang ke kampung.

Namun, dalam kesibukan bekerja peluang untuk pulang ke kampung tentu sukar.

Tetapi bagi mereka yang ingin menikmati cita rasa ala kampung terdapat banyak restoran yang menyajikannya yang boleh dijadikan persinggahan untuk berbuka puasa.

Tidak terkecuali D'River Cafe, Riverstone Eco Resort (RER) yang meneruskan tradisi menyajikan aneka masakan kampung untuk Ramadan.

Masakan patin tempoyak misalnya merupakan yang begitu popular dari dapur RER.

Dengan konsep santai dan selesa, pengunjung pasti teruja berbuka puasa di ruang kafe terbuka sambil bertemankan bayu senja menyegarkan.

Tanpa pendingin hawa, mahupun kipas angin, pengunjung bakal disapa bayu segar dari belantara dan tasik berdekatan.

Pengurus Besar RER, Hamidah Asararuddin berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, sajian bufet Ramadan tahun ini berkonsepkan masakan kampung dengan satu hidangan baru diperkenalkan iaitu nasi ambeng.

"Menu yang sudah popular seperti patin tempoyak, kami kekalkan dan menu baru kami perkenalkan bagi memberi kelainan Ramadan tahun ini.

"Saya jangka menu baru ini bakal mendapat sambutan terutama daripada orang Jawa yang mahu menikmati nasi ambeng seperti yang disajikan pada majlis kenduri di kampung mereka," katanya.

Walaupun Nasi ambeng yang dihidangkan itu secara bufet iaitu tidak di dalam dulang seperti kebiasaannya, rasa asli masakan itu tetap sama.

"Set nasi ambeng ini terdiri daripada ayam masak kicap kidul, sambal goreng wetan, serunding kelapa lhor, mi goreng kulon dan sayur kacang njero. Saya sendiri yang menyediakannya," ujarnya yang mementingkan kualiti rasa setiap masakan yang dihidangkan.

Bagi mengekalkan warisan keturunan Jawa daripada keluarganya, Hamidah turut menamakan sajian dengan ciri-ciri masyarakat Jawa, misalnya Pecel Mbah Wedok yang mengandungi kuah kacang, tauge, kacang panjang, tauhu, kangkung, timun dan sengkuang; Daging Semur Mbah Lanang dan Ayam Panggang Wak Kenny.

"Saya sengaja menggunakan perkataan-perkataan Jawa itu bagi menunjukkan satu kelainan pada bufet Ramadan tahun ini," ujarnya.

Bagi hidangan pembuka selera pula, beliau yang berasal dari Teluk Intan, Perak, menyajikan laksa Teluk Intan.

"Laksa ini tidak sama seperti yang biasa kita makan. Laksa di sana (Teluk Intan) banyak menerima pengaruh masyarakat Cina," katanya yang memilih laksa beras.

Menu lain yang bakal menanti pengunjung adalah ikan masak asam pedas, kerabu telur dan tauge, kerabu daun silom dan taugeh, acar timun dan nanas, tempe goreng dengan bawang putih, ikan masin, ulam serta sambal tempoyak dan sambal belacan.

"Tidak lengkap bufet Ramadan tanpa manisan penyudah hidangan seperti bubur pulut hitam, kolak pisang, kuih muih tempatan, kek, buah-buahan segar, serta minuman panas dan sejuk termasuk ABC," tambahnya.

Sedia awal jimat masa

Posted: 04 Aug 2011 11:17 PM PDT




ASSALAMUALAIKUM dan salam bahagia kepada semua pembaca setia ruangan ini. Bertemu kembali kita setelah ruangan ini terhenti seketika.

Sengaja saya mahu lihat maklum balas pembaca. Ternyata begitu ramai yang merindui ruangan ini dan banyak permintaan agar saya meneruskan tulisan saya dalam ruangan ini.

Atas permintaan kini saya kembali berceloteh. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca Utusan Malaysia yang beragama Islam.

Kalau sebut pasal puasa tidak sah jika kita tidak bercerita tentang juadah berbuka dan bersahur.

Walaupun banyak bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka puasa tetapi apa salahnya setiap kali puasa kita mengamalkan memasak di rumah untuk hidangan buka dan bersahur.

Jika tidak memasak semua juadah pun apa salahnya kita mengambil kesempatan memasak beberapa juadah sampingan di rumah.

Bukan apa, selain daripada dapat menjimatkan belanja ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga bagi mereka yang telah berkeluarga.

Hasil air tangan isteri dan ibu yang memasak pasti mendapat lebih nikmat dan dihargai oleh keluarga kita.

Memang sudah menjadi trend setiap tahun bazar Ramadan pasti dipenuhi dengan orang ramai yang ingin membeli juadah berbuka puasa. Maklumlah balik kerja sudahlah lewat mana mungkin sempat untuk memasak di rumah.

Sebenarnya jika anda ada perspektif sedemikian sebenarnya anda silap.

Memasak di rumah memerlukan pengurusan dari segi masa dan mise en place iaitu penyediaan awal bahan-bahan mentah yang ingin kita masak.

Pastikan anda menyimpan stok bahan-bahan mentah dirumah sebaik-baiknya cukup untuk kegunaan seminggu supaya anda tidak perlu berulang alik untuk membeli bahan mentah. Ini juga dapat menjimatkan masa juga.

Bahan-bahan yang disediakan awal juga dapat menjimatkan masa kita memasak di rumah.

Saya faham jika sudah pulang lambat kita pasti terkejar-kejar untuk memasak dirumah bukan?

Jadi jika anda telah membuat persediaan awal dari segi bahan-bahan mentah seperti mengisar bawang, mengisar cili dan sebagainya dan disimpan di dalam peti sejuk pada malam hari, pasti kerja memasak akan dapat disingkatkan.

Anda hanya perlu memasak dan tidak perlu membuat kerja-kerja seperti mengupas dan memesin lagi.

Anda perlu bijak memikirkan alternatif bagaimana dapat menyingkatkan masa memasak.

Sebagai contoh daging yang beku boleh dinyahbekukan dalam peti dingin di siang hari dan jika pulang kerja daging yang siap disiang dan dinyahbeku tadi sudah lembut jadi tidak perlulah menunggu lama untuk daging tadi menjadi lembut dan sudah pasti masa memasak akan menjadi cepat.

Selain itu anda perlulah bijak memilih menu yang tidak terlalu rumit dan tidak menggunakan terlalu banyak bahan.

Pilihlah menu ringkas dan senang supaya kerja memasak lebih cepat. Sebenarnya banyak rahmatnya jika memasak di rumah untuk hidangan buka puasa atau bersahur kerana anda berpeluang memilih barang-barang yang segar.

Selain itu, kualiti dan kesedapan rasa juga anda dapat tentukan sendiri. Memang puas hati jika memasak sendiri.

Jadi saya juga suka menyarankan agar memilih bahan-bahan mentah yang segar supaya kualiti makanan yang dimasak adalah terbaik.

Saya percaya jika anda mengamalkan memasak sendiri dirumah puasa tahun ini pasti tidak akan terpacul ayat "sudahlah jual mahal rasa tak sedap langsung" dari mulut anda.

Baiklah nasihat saya kepada semua pembaca agar anda mengamalkan diet yang berkhasiat dan berkualiti agar puasa anda disiang hari akan tetap bertenaga dan dapat mengerjakan amalan Tarawih pada sebelah malamnya.

Pada minggu ini saya akan berkongsi menu ikan bakar yang ringkas dan cepat dimasak yang sesuai untuk juadah berbuka dan bersahur.

Takbir Cinta lagu dakwah Amy Search

Posted: 04 Aug 2011 11:15 PM PDT


Norhasniza Hassan atau Norish, menyuapkan pulut kuning kepada suami tercinta, Amy, sambil diperhatikan oleh anaknya, Alexander Zulkarnain (kanan).


SELAMA 30 tahun bergelar anak seni, Amy Search mengaku dia tidak pernah menghasilkan lagu atau album khas sempena Ramadan.

Bagaimanapun impian Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman untuk menghasilkan lagu berunsur dakwah berjaya direalisasikan sempena Ramadan ini bersama Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 35, pelantun lagu Mimpi Laila.

Bercerita mengenai kerjasama bersama Yassin, Amy berkata, hasrat itusudah lama terpendam cuma tidak berkesempatan untuk berbincang lanjut.

Justeru, sewaktu bertemu Yassin di konsert Maher Zain Oktober tahun lalu, Amy menyatakan hasratnya itu. Tidak lama kemudian terus menghasilkan lagu Takbir Cinta.

"Pertama kali mendengar demo Takbir Cinta saya terus setuju untuk merakamkannya. Namun proses rakaman mengambil masa agak lama. Hampir tiga bulan kerana rakaman dibuat berulang kali sehingga kami puas hati.

"Lagu Takbir Cinta ini istimewa sebab ia khas untuk bulan Ramadan yang mulia ini. Liriknya bertepatan sekali dengan mesej yang ingin disampaikan," katanya Amy.

Menyingkap pengalaman dengan Yasin, Amy berkata, sememangnya dia memilih untuk bekerjasama dengan penyanyi merangkap komposer itu kerana suka dengan elemen world music yang ditampilkan oleh penyanyi nasyid kontemporari itu.

"Satu kepuasan bagi saya apabila bekerja dengan Yasin kerana apa yang saya mahu dia mampu terjemahkannya dengan baik.

"Maka itulah, selain diperdengarkan di corong radio, Takbir Cinta yang berentak balada rock world music itu juga boleh didapati menerusi belian ring back tone," ujar Amy yang berduet dengan Yasin dalam single itu.

Setelah berduet dengan Yasin, Amy kini merancang untuk berduet dengan vokalis kumpulan Dewa, Ahmad Dhani dari Indonesia untuk single dakwahnya yang kedua, Jika Syurga dan Neraka Tak Pernah Ada.

Apabila ditanya mengapa Ahmad Dhani menjadi pilihan, tanpa teragak-agak Amy berkata: "Saya memang berkawan dengan Ahmad Dhani dan buat masa ini kami menunggu waktu yang sesuai untuk merakamkan lagu tersebut."

Jika Syurga dan Neraka Tak Pernah Ada adalah lagu ciptaan Ahmad Dhani. Rakaman lagu berentak moderate itu akan dilakukan di Indonesia.

Hadiah hari lahir

Tiada apa yang diinginkan oleh Amy sempena hari lahirnya yang ke-53 pada 28 Julai lalu cukup jika Allah memberi kesihatan yang sempurna dan mempermudahkan perjalanan kerjayanya.

Di samping itu Amy juga berdoa agar dia mampu menjadi seorang yang hebat di dunia dan akhirat serta berupaya menambah amalan ibadat dengan lebih tawaduk.

Menurut Amy, dia amat bersyukur kerana selama ini Allah melimpahinya dan keluarga dengan pelbagai rezeki.

"Setiap orang perlu penghijrahan. Sampai bila nak leka dengan duniawi. Bagi saya, semua orang ada fasa dalam kehidupan masing-masing.

"Saya hanya mohon diberikan kesihatan yang baik agar boleh berkarya dan di waktu yang sama memperbanyakkan lagi amalan akhirat," katanya terus terang.

Majlis sambutan hari lahir Amy yang diadakan di Restoran Cheng Ho, Wangsa Maju turut dihadiri rakan-rakan artis, Yasin, Nasir Search, Edrie Hashim, Erul dan Afif.

Dalam pada itu, Amy selaku pemilik restoran itu turut mempromosi bufet Ramadan untuk pelanggan restoran berkenaan.

Katanya, seperti biasa setiap hari lapan menu utama disajikan termasuk kambing panggang pada hari minggu dan barbeku setiap Isnin hingga Khamis.

Lain-lain makanan adalah rendang daging, pari asam pedas, bawal tiga rasa, sup tulang, sup tauhu rumpai laut dan tomyam sup merah.

"Kami menawarkan harga RM43.90 untuk dewasa dan RM20.90 bagi kanak-kanak, dari Isnin hingga Khamis. Kalau Jumaat hingga Ahad, harga dewasa RM46.90 dan RM23.90 untuk kanak-kanak.

"Untuk tempahan boleh layari laman web www.chengho.com.my atau telefon 03-41496094," jelasnya.

Upin Ipin ke pentas teater

Posted: 04 Aug 2011 07:43 PM PDT


Mohamed Juhari bersama maskot Upin & Ipin ketika sidang akhbar Upin & Ipin the Musical di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


FENOMENA kejayaan siri kartun tempatan, Upin & Ipin benar-benar mengubah landskap industri animasi negara apabila ia berganjak ke satu tahap lebih tinggi berbanding lima tahun lalu.

Setelah berjaya mencatat kutipan box-office sebanyak RM6.2 juta menerusi filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula yang turut menampilkan karakter Upin & Ipin pada 2009, kini produksi Les' Copaque Sdn. Bhd., muncul pula dengan idea baru yang mahukan animasi tersebut dibawa ke pentas teater.

Justeru, hasrat Penerbit Eksekutif produksi berkenaan, Burhanuddin Radzi itu disambut baik oleh Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Mohamed Juhari Shaarani atau mesra disapa sebagai Abang Joe.

Menurut Abang Joe, telah lama beliau berhasrat melihat kelibat kedua-dua anak kecil yatim piatu itu menggamatkan Panggung Sari dengan keletah dan kenakalan mereka yang ditonjolkan menerusi siri Upin & Ipin di kaca televisyen.

Bersandarkan persetujuan bersama Upin & Ipin the Musical (UItM) bakal dipentaskan pada April 2012.

Menurut Abang Joe, dengan berlangsungnya UItM di pentas itu kelak, ia umpama pucuk dicita, ulam mendatang kerana dia begitu meminati siri kartun comel itu.

"Secara peribadi, saya sendiri menggemari siri animasi ini kerana gelagat dua budak botak ini benar-benar mencuit hati saya.

"Ia secara tidak langsung mengingatkan kembali kepada zaman kanak-kanak saya dahulu.

"Sebab itulah, saya yakin UItM mampu mencipta fenomenanya sekali lagi seperti mana yang pernah dilakukan sebelum ini menerusi siri dan filemnya," ujar Abang Joe yang senantiasa ceria itu.

Dalam pada itu, Burhanuddin pula berkata, sudah dua tahun dia memikirkan untuk membawa karya tersebut ke pentas teater.

Cuma, hanya sekarang ia sesuai untuk dipentaskan kerana pada masa itu, dia merasakan agak klise apabila semua karya yang popular ketika itu mahu dijadikan muzikal.

"Lebih-lebih lagi, saya memang cerewet tentang cerita yang ingin dibawa.

"Saya mahukan sesuatu yang memberi manfaat kepada penonton terutamanya kanak-kanak," katanya.

Burhanuddin memberitahu, kesemua sembilan watak utama yang terdapat dalam siri tersebut akan dibawa naik ke atas pentas. dengan menggunakan maskot setiap karakter.

Maskot bagi watak Upin, Ipin, Mei Mei, Ehsan, Jarjit, Fizi, Ros, Mael dan Rajoo akan dihidupkan apabila setiap satunya diberi suara asal karakter berkenaan menerusi teknik miming yang dirakamkan terlebih dahulu.

Pada sidang akhbar tersebut, turut diumumkan, Siti Rohayah Atan akan bertindak selaku penerbit, Zaifri Husin sebagai pengarah dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain pula menggalas posisi sebagai pengarah muzik.

Tambah Burhanuddin, sesi uji bakat bagi mencari pelakon teater itu akan diadakan pada 13, 14, 20 dan 21 Ogos ini bertempat di IB pada pukul 10 pagi hingga 3 petang. Ia terbuka kepada mereka yang berusia enam hingga 35 tahun.

Marg Helgenberger tinggalkan CSI musim depan

Posted: 04 Aug 2011 07:42 PM PDT




LOS ANGELES 4 Ogos - Siri televisyen CSI:Crime Scene Investigations akan menjadi 'lebih ringan' dengan penyertaan bekas pelakon siri komedi Cheers, Ted Danson dalam siri detektif forensik tersebut, kata penerbit hari ini.

Namun dalam satu pengumuman mengejutkan, aktres watak utama, Marg Helgenberger (gambar) memberitahu wartawan bahawa dia merancang untuk meninggalkan rancangan yang paling banyak ditonton di seluruh dunia itu pada penghujung musim ke-12.

Helgenberger yang melakonkan watak bekas penyelia CSI, Catherine Willows, berkata, dia telah memikirkan untuk keluar pada hujung musim lepas, namun membuat keputusan bahawa dia 'menghadapi situasi sukar untuk melepaskannya dan tidak selesai lagi melakonkan watak ini. Itu yang membuatkan dia menyambung kontrak untuk sedikit masa lagi.

Danson, 63, mengambil alih tugas Laurence Fishburne (sebagai Dr. Raymond Langston), melakonkan watak baru sebagai D.B Russel iaitu seorang lelaki yang hidup berkeluarga dengan empat orang anak dan dibesarkan dalam keluarga hipi.

Penerbit eksekutif, Carol Mendelsohn berkata, Russel mempunyai proses unik tersendiri untuk menyelesaikan kes jenayah dan musim baru ini akan lebih ceria dengan jenaka berbanding musim sebelum ini.

"Musim ke-12 merupakan tempoh yang lama, dan kita mahu penonton teruja dan begitu juga dengan kami sebagai penulis," katanya.

Harisu teruja kembali ke Malaysia

Posted: 04 Aug 2011 07:41 PM PDT


Harisu


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Selebriti transeksual pertama kelahiran Korea Selatan, Harisu melahirkan rasa teruja dan gembiranya apabila dapat kembali ke negara ini bagi mempromosikan filem terbarunya, The Hunter.

Ini merupakan kunjungan keduanya sejak menjalani penggambaran filem Possessed arahan Bjarne Wong sebagai kakak kepada model terkenal, Amber Chia, lima tahun lalu.

"Saya memang menantikan saat ini untuk kembali ke Malaysia. Apatah lagi, saya cukup sukakan cuaca di sini jika hendak dibandingkan dengan iklim di negara saya.

"Keterujaan saya berganda apabila dapat berkongsi dengan peminat mengenai filem The Hunter yang ternyata memberikan pengalaman baru dalam karier saya sebagai anak seni.

"The Hunter bukan sebuah filem biasa kerana ia merupakan filem yang dihasilkan dalam tiga dimensi (3D) sepenuhnya yang pertama di Asia Tenggara," ujar Harisu pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran filem itu di sini hari ini.

Turut hadir barisan pelakon filem tersebut termasuk Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006), Sharifah Amani, Carmen Soo dan bekas Ratu Cantik Malaysia, Soo Wincci.

Mengulas lanjut tentang filem The Hunter, selebriti berusia 36 tahun itu menjelaskan dia menerima tawaran tersebut kerana memikirkan persahabatan yang terjalin dengan Bjarne sejak bertahun lamanya.

Walaupun hanya membuat kemunculan istimewa dalam filem tersebut, namun, Harisu menyifatkan ia sebagai peluang keemasan yang begitu sukar untuk ditolak.

Dilahirkan sebagai lelaki, Harisu atau nama sebenarnya Lee Kyung-yeop menjalani pembedahan jantina sekitar 1990-an dan menjadi rakyat kedua Korea Selatan yang berbuat demikian secara sah.

Sejak itu, Harisu mendapat perhatian masyarakat di negara kelahirannya sehingga menjadi salah seorang artis popular di Korea.

Antara drama lakonannya termasuk dalam siri televisyen Taiwan, Hi! Honey; sebagai transeksual dalam drama MBC, Beating Heart; dan bergandingan dengan suaminya, Micky Jung sebagai polis wanita dalam drama Police Line.

The Hunter yang diterbitkan oleh Asia Entertainment Media dijangka ditayangkan awal tahun depan.

Misi Radhi bersama 'pengasih'

Posted: 04 Aug 2011 07:40 PM PDT

Walaupun pernah terjerat dengan najis dadah sejak usia 14 tahun, masih belum terlambat untuk Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 34, memperbaiki diri dan kembali ke pangkal jalan.

Keputusannya untuk menyertai Rumah Pengasih sejak Januari lalu, banyak mengajarnya erti kehidupan, serta menginsafi kesilapan yang pernah dilakukan.

Menurut Radhi yang kini bersih dari menjadi hamba dadah, Pengasih, juga mengajarnya untuk menjadi manusia yang lebih baik.

"Saya menyertai Pengasih kerana saya buntu mencari jalan penyelesaian sedangkan hidup saya sering didatangi dugaan yang bertimpa-timpa. Saya akui, keretakan rumah tangga saya bersama bekas isteri, Shazlin Sharif adalah berpunca dari sikap saya sendiri yang masih bergelumang dengan najis dadah, sukar menerima pandangan orang, angkuh dan ego.

Kesungguhan Radhi mahu menjauhi dadah kerana dia tidak mahu lagi mengecewakan keluarga, peminat dan juga anaknya, Mohd Rifdhi Muslim.

"Salah satu faktor terbesar saya ke sini adalah anak. Saya tidak mahu Rifdhi jadi seperti saya dan tidak mahu tunjukkan contoh yang tidak baik kepadanya.

"Bukan saya tidak berusaha untuk berubah dan berhenti, tetapi saya tidak kuat dengan dugaan di luar sana. Alhamdulillah, semenjak bersama Pengasih, satu semangat yang luar biasa telah muncul," katanya yang kini semakin tenang menjalani kehidupan seharian.

AmukanCimpanzi!

Posted: 04 Aug 2011 07:38 PM PDT

Apakah yang akan terjadi apabila ada haiwan yang lebih pintar, namun menggunakan kepintaran itu untuk membalas dendam. Apa yang akan berlaku jika kita sebagai manusia terus mengabaikan sifat kemanusiaan terhadap haiwan yang tidak berakal.

Begitulah plot yang cuba ditonjolkan dalam filem Rise of The Planet of The Apes. Perkembangan plot yang cuba disampaikan pengarah Rupert Wyatt, tidak mengelirukan dan mudah difahami.

Mungkin jika dilihat daripada perspektif berbeza, filem ini adalah sebuah filem genre kemanusiaan berjuang demi kebebasan. Cuma bezanya, ia mengangkat haiwan primat untuk membawa semangat perjuangan dan senario penindasan.

Namun jika diimbas lebih mendalam, watak cimpanzi bijak bernama Caesar (lakonan Andy Serkis) seolah-olah metafora kepada pemimpin minoriti yang bangkit dek penindasan yang berlaku.

Mengisahkan Will Rodman (James Franco), saintis yang bertanggungjawab mencari penawar penyakit Alzheimer. Namun dalam usaha mencari ubat itu, dia perlu menguji hasil penemuan pada monyet.

Subjek pertama diuji ialah seekor cimpanzi betina. Tanpa diduga, kesan uji kaji itu membuatkan sel otak cimpanzi itu berkembang dan ia mampu berfikir.

Satu hari, cimpazi itu ditembak selepas mengamuk dan menyerang orang ramai di makmal. Rupa-rupanya amukkan itu berpunca atas dasar mempertahankan anak yang baru dilahirkan.

Will yang sedih dengan kejadian itu bersetuju memelihara anak cimpanzi dan menamakannya Caesar.

Lima tahun bersama Will, Caesar mula menunjukkan perkembangan memberangsangkan sehingga haiwan itu mampu berfikir seperti manusia. Kasih sayang yang ditonjolkan akhirnya membawa padah apabila Caesar mengamuk selepas Will yang dianggap bapa dipukul jiran.

Caesar mula mengetuai misi memimpin sekumpulan haiwan primat seperti cimpanzi, gorila, orang utan dan monyet menyerang manusia yang cuba menghalang tujuan mereka.

Tujuan mereka hanya satu, yakni mahu bergerak bebas di hutan asal usul mereka dan watak Franco sebagai ahli sains berdepan masalah pertembungan sains dan perikemanusiaan kurang memberi kesan.

Menariknya, kehadiran Freida Pinto seolah-olah memberi lebih banyak warna kepada watak dan peranannya.

Takdir Neelofa

Posted: 04 Aug 2011 07:37 PM PDT


TIDAK sekadar membabitkan diri sebagai pelakon dan pengacara, Neelofa kini bergiat cergas dalam bisnes kasut.


BELUM pun cukup setahun perjalanan karier seninya, gadis genit ini telah dikaitkan menjadi punca perpisahan antara dua pelakon jelita Maria Farida dan Nur Fazura bersama pasangan masing-masing.

Mengungkap kisah yang dikaitkan dengannya, awal penglibatan dalam industri lakonan menerusi filem Azura bersama Shahz Jazle, Neelofa atau nama yang diberi Noor Neelofa Mohd. Noor telah dikatakan menjadi penyebab punca perpisahan aktor muda itu bersama kekasihnya yang juga merupakan seorang pelakon senior, Maria Farida.

Belum sempat cerita panas tersebut selesai, baru-baru ini muncul pula cerita mengenai perselisihan faham antara Neelofa bersama pelakon wanita yang sama-sama terlibat dalam drama lakonannya, Tahajjud Cinta iaitu Fazura yang mana ia juga dikaitkan dengan kisah percintaan.

Sebelum ini Fazura dikatakan bercinta dengan seorang kerabat diraja sebuah negeri dan tiba-tiba artikel-artikel 'panas' tersebar di Internet mempersoalkan tentang kebenaran gosip Neelofa dan Fazura bergaduh berebut seorang kerabat diraja.

Sebagai seorang pendatang baharu, kontroversi yang melanda diri mungkin sedikit sebanyak mengganggu perjalanan karier yang baru ingin dibina oleh pemenang Dewi Remaja 2010 ini.

Namun, lain pula pendapat Neelofa atau lebih mesra disapa sebagai Lofa yang memandang positif terhadap kontroversi yang hadir ketika kariernya ingin ke puncak.

"Bagi Lofa, dalam industri seni, peribadi dan karier adalah dua perkara berbeza. Bila perjalanan karier diselitkan dengan kontroversi-kontroversi peribadi, perkara itu terpulang kepada Lofa bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Ini kerana selagi kita tahu bagaimana untuk menguruskan urusan peribadi, jadi ia bukan merupakan masalah untuk seseorang artis itu naik. Bagaimana teruk pun kontroversi yang dilanda ke atas seseorang artis itu, jika dia punya bakat yang sangat baik, maka dia akan terus disukai masyarakat," jelas Lofa ketika ditemubual semasa penggambaran program Paparazzi bertempat di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur.

Tambahnya, tiada sebab kenapa dia mahu mewujudkan perkara sebegitu untuk dikenali. Bagi empunya diri yang baru berusia 22 tahun ini, dia tidak kisah jika perlu merangkak setapak demi setapak untuk ke puncak kerana berpendapat itu merupakan jalan yang patut ditempuhinya.

"Kalau sudah suratan takdir, Lofa reda terhadap apa yang diberikan. Mengenai rimas atau tidak, Lofa tidak mampu berkata kerana ia merupakan pendapat masyarakat," tutur Lofa yang juga menegaskan dia akan membuktikan kepada masyarakat dengan bakat yang ada dan mungkin itu akan mengubah persepsi masyarakat dirinya kelak.

Menurut Neelofa lagi, hal-hal yang berkaitan kisah peribadinya hanya untuk pengetahuan dirinya sendiri sahaja.

Katanya, biarlah orang luar ketahui apa yang mereka tahu, namun penjelasan tidak perlu diberikan kepada sesiapa.

Berfikiran positif terhadap apa yang terjadi, Neelofa menyedari setiap artis tidak dapat lari dari kontroversi mahupun cerita negatif. Sebagai seorang insan, dia tahu apa yang dibuatnya dan juga menegaskan jika ada mulut yang ingin berbicara mengenai perihalnya, dia tidak dapat menghalang mulut orang ramai dari bercerita.

Pengalaman pertama


FIGURA jelita ini mengakui dia perlu membiasakan diri dengan gosip dan kontroversi.


Sempena bulan mulia Ramadan, pelakon dan hos program Paparazzi terbitan KRU TV ini sering pertimbangkan tawaran berlakon yang ingin diterimanya.

Ini kerana, bagi dirinya yang merupakan tahun pertama bergelar seorang artis, dia ingin memanfaatkan Ramadan dengan tidak mahu ponteng puasa dan bersembahyang tarawih pada setiap malam Ramadan.

Ketika ditanya mengenai perasaan setelah bergelar artis, ujar anak ketiga dari sembilan adik-beradik ini berkata, apa yang dirasakan tidak lari daripada sebelumnya.

Namun, apa yang membezakan kini mungkin apabila pulang ke kampung dan ketika di luar, ramai yang datang bertegur sapa walau tidak dikenalinya.

"Perasaan sama sahaja namun perbezaannya ialah mungkin balik kampung apabila beraya kelak, keluarga, sanak saudara, dan jiran mungkin gembira melihat saya memandangkan kini saya telah bergelar seorang artis.

"Tidak dinafikan juga, privasi diri semakin berkurangan selepas bergelar selebriti. Namun, Lofa perlu membiasakan diri dengan keadaan itu kerana ia sesuatu yang lumrah buat artis," jelas pelajar jurusan Perniagaaan yang mengkhusus dalam Perdagangan Antarabangsa dan Pemasaran di Sunway University College, Petaling Jaya Selangor itu.

Jujur mengakui bahawa perkara tersebut memang punyai keburukan, si empunya diri reda dengan apa yang telah dipilihnya dan tekad menetapkan minda perlu meredah lautan tersebut walaupun diri suka atau tidak.

Di sebelah lain pula mengatakan mungkin wujud kebaikan di sebalik kejadian yang berlaku. Sebagai contoh, jika seseorang artis tersebut menjalankan perniagaan apa sekalipun, masyarakat akan tahu mengenainya dan secara tidak langsung, ia merupakan promosi terhadap perniagaan yang dijalankan.

Apa yang menariknya, gadis kelahiran Kelantan ini sudah pun mempunyai perniagaan yang menggunakan nama sendiri bagi jenama produk yang dijualnya.

"Lofa sudah pun memulakan perniagaan ini sejak setahun yang lalu. Kasut-kasut ini bukan direka oleh Lofa tapi Lofa pilihnya daripada sebuah katalog dan sumbernya dari luar negara. Kasut ini dibuat penjenamaan semula dengan menggunakan nama Lofa pada mulanya.

"Namun, stok baru kasut-kasut tersebut akan mula menggunakan nama Neelofa dan kasut ini boleh didapati secara online pratempah di www.neelofaheels.blogspot.com," jelasnya sambil memberitahu harga kasut boleh didapati di antara RM120 hingga RM400.

Neelofa, Sakinah hos Paparazzi

Posted: 04 Aug 2011 07:36 PM PDT


NEELOFA dan Sakinah menghangatkan lagi program Paparazzi.


MUNGKIN ramai lagi yang tidak ketahui kewujudan program Paparazzi di bawah penerbitan KRU TV yang mana program tersebut menyampaikan berita hiburan panas dan pantas serta informasi menarik terkini tentang artis-artis Malaysia dan Indonesia.

Buat masa ini, Paparazzi hanya bersiaran secara ekslusif menerusi tonton.com.my secara online.

Walaupun telah lama bersiaran di tonton.com.my, namun Paparazzi baru sahaja menggunakan konsep baharu dengan mewujudkan hos sebagai pengantara berita-berita panas yang mana sebelum ini berita tersebut hanya dipaparkan melalui visual yang telah dicari oleh wartawan di bawah KRU TV.

Neelofa, Aina Suzaily Zailanny dan adik kepada pelakon Sharifah Shahira dan Sharifah Haslinda iaitu Sharifah Sakinah bersilih ganti bergandingan bersama menjadi hos program itu. Bagaimanapun pada sidang akhbar tempoh hari, Aina tidak dapat hadir.

Menyentuh tentang karier sebagai hos, menurut Neelofa, ia sememangnya merupakan minatnya sebelum bergelar seorang artis lagi.

Katanya, bidang lakonan yang diceburinya adalah dengan matlamat supaya ia boleh dijadikan batu loncatan buat dirinya untuk peluang menjadi hos.

"Saya mendapat kontrak menjadi hos Paparazzi selama setahun. Saya gembira dapat menjadi hos dan harap dapat meluaskan lagi bakat di dalam bidang ini. Setakat ini, program ini hanya ditayangkan di tonton.com.my dan selepas ini insya-Allah akan bersiaran di kaca televisyen pula," bicaranya lagi.

Sementara bagi Sharifah Sakinah pula, yang lebih mesra disapa Sakinah, menghafal skrip merupakan cabaran baginya memandangkan ia pertama kali pengalaman dirinya terjun ke dalam bidang pengacaraan.

"Saya memang minat bidang pengacaraan dan lakonan dan ini merupakan kali pertama saya ke bidang pengacaraan. Saya rasa gembira kerana hos bersama saya iaitu Neelofa dan Aina menyokong dan juga banyak membantu saya.

"Kalau boleh saya mahu menerima tawaran pengacaraan dengan lebih banyak lagi untuk menimba pengalaman begitu juga dengan bidang lakonan. Cabaran bagi saya adalah untuk menghafal skrip, namun nasib juga kerana ini program rakaman. Jadi, pilihan syot boleh dibuat untuk memberikan yang terbaik bagi program ini," ujarnya.

Penyatuan Nasi Lemak 2.0

Posted: 04 Aug 2011 07:35 PM PDT


BARISAN karyawan Nasi Lemak 2.0 bergambar bersama semasa sidang media.


METAFORA nasi lemak sebagai makanan lazim setiap kaum di Malaysia diangkat menjadi judul filem sulung pengarah dan pelakon yang pernah dilanda kontroversi beberapa tahun lalu, Namewee atau nama sebenar Wee Meng Chee.

Biarpun mencipta nama menerusi publisiti negatif atau kontroversi melalui lagu Negarakuku pada tahun 2007, Namewee yang pernah mendapat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Ming Chuan di Taoyuan, Taiwan, tidak berputus asa untuk membuktikan kecintaannya kepada tanah air melalui jendela perspektifnya.

Maka, terhasil kombinasi makanan terkenal turun temurun iaitu nasi lemak dengan perlambangan generasi pascapemodenan yang disimbolikkan dengan 2.0 menjadi sebuah naskhah filem perpaduan Nasi Lemak 2.0.

"Projek ini sebenarnya sudah memulakan pembikinan pada dua tahun lepas, namun setelah isu kontroversi tersebut yang berlaku ia dibekukan setelah semua penaja menarik diri.

"Sehingga pada awal tahun ini setelah pengumuman rasmi bahawa saya tidak bersalah dibuat di parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, projek ini dibangunkan semula dan tempoh penggambaran cuma memakan masa selama sebulan," katanya mengulas filem yang dibikin dengan kos keseluruhan kurang daripada RM1 juta itu.

Nasi Lemak 2.0 merupakan produksi gabungan antara syarikat hiburan media Prodigee Media dan UB Prodigee Entertainment.

Penerbit Eksekutif Nasi Lemak 2.0, Fred Chong, menegaskan filem itu tidak sesekali menumpang kontroversi Namewee untuk diangkat sebagai sebuah naskhah muhibbah sempena sambutan Hari Malaysia pada bulan September ini.

"Kontroversi ada sangkut-paut tapi filem ini tidak sesekali menjadikan perkara yang berlaku pada masa lalu sebagai platform malah Namewee juga tidak pernah terlibat dengan politik untuk mengaitkannya dengan isu Bersih 2.0.

"Judul itu juga dipilih dua tahun lalu sejak proses pembikinan dimulakan dan sememangnya tiada sebarang perkaitan dengan sebarang konflik yang berlaku baru-baru ini," jelasnya menafikan dakwaan hubung kait Nasi Lemak 2.0 dengan perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Nasi Lemak 2.0 menjalankan penggambaran di beberapa lokasi sekitar Tampin, Tanjung Sepat, Janda Baik, Bentong, Nilai dan Kuala Lumpur.

Selain Namewee yang menggalas peranan utama dalam filem komedi sosial itu, barisan pelakon mantap digandingkan bersama antaranya Adibah Noor, Afdlin Shauki, Nur Fathia, Datuk David Arumugam, Reshmonu, Dennis Lau, Pete Teo dan Nadine Ann Thomas.

Reshmonu yang pertama kali berlakon filem teruja untuk melihat hasil yang dibikin menjelang tayangan perdana bulan September nanti.

"Skrip filem ini sangat berlainan dan itu yang mengikat saya untuk sedia melakonkan dua watak berbeza walaupun ini pengalaman pertama saya," kata penyanyi berusia 35 tahun itu.

Nasi Lemak 2.0 yang berkonsep seakan-akan muzikal 1Malaysia ditulis, diarah dan dilakonkan sendiri oleh Namewee dan mempunyai pelbagai dialek dan bahasa antaranya Tio Ciu, Hokkien, Hakka, Hainan, Mandarin, bahasa Malaysia, Inggeris, Jepun dan Tamil dalam filem itu.

Nasi Lemak 2.0 mengisahkan kegusaran Chef Huang (Namewee) untuk menyajikan hidangan tempatan yang luar biasa kepada pelanggan di restorannya sehingga terpaksa meminta pertolongan daripada penjaja gerai bernama Kak Noor (Adibah Noor) yang kemudian mengarahkannya mengembara ke tiga tempat berbeza untuk mempelajari resipi dan asal-usul nasi lemak.

Nasi Lemak 2.0 akan ditayangkan pada 8 September ini di 60 buah pawagam seluruh negara. Maklumat lanjut melalui laman sesawang www.nasilemak2.com.

Bazar Ramadan Karyawan

Posted: 04 Aug 2011 07:33 PM PDT


FREDDIE (empat dari kiri) pada sidang akhbar Bazaar Merdeka Raya Karyawan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


BERSEMPENA dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) memberi peluang kepada orang ramai dan artis menjalankan perniagaan menerusi tapak di bazar Ramadan.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, penyediaan tapak tersebut adalah menerusi kerjasama yang dijalankan oleh pihak Karyawan dan Low Yat Group Of Company.

"Tapak yang dikenali sebagai Bazaar Merdeka Raya Karyawan ini terletak di River City, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan pelbagai jualan dan aktiviti menarik disediakan kepada orang ramai dan artis.

"Lebih menarik lagi, bazar ini juga akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri pada hari ini (5 Ogos) dan turut mendapat sokongan (Perbadanan Hak Intelek Malaysia) MyIPO dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),"ujarnya.

Tambah Freddie: "Karyawan sememangnya amat mengalu-alukan penyertaan kepada sesiapa sahaja yang mahu berniaga di bulan puasa, termasuk juga kepada rakan-rakan artis yang lain apabila penyediaan tapak ini boleh menjadi platform terbaik untuk mereka berniaga," ujarnya.

Menurutnya lagi, dia yakin bahawa orang ramai akan mengunjungi bazar Ramadan berkenaan memandangkan lokasinya yang amat strategik dan menarik kerana terletak di persisiran jalan utama di Jalan Ipoh.

Selain itu, Freddie memberitahu terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik yang akan dijalankan di bazar berkenaan seperti memasak bubur lambuk, pemberian juadah berbuka kepada fakir miskin dan pertandingan karaoke lagu-lagu nasyid.

Jelasnya, orang ramai atau artis yang masih berminat untuk menyewa tapak bazar boleh terus menghubungi pihak Karyawan di talian 01112865377 atau 03-79552967 dengan segera memandangkan 40 tapak sahaja yang disediakan.

Isteri jumpa mayat suami tergantung

Posted: 04 Aug 2011 07:29 PM PDT


ANGGOTA polis mengangkat mayat Surendren yang ditemui mati tergantung di Jalan Bukit Lagi, Kangar semalam.


KANGAR - Seorang isteri yang pulang ke rumah selepas dua hari merajuk setelah bergaduh dengan suaminya tergamam apabila menemui mayat lelaki itu tergantung di tengah rumah di Jalan Bukit Lagi di sini semalam.

M. Rajasepery, 32, yang ingin mengambil pakaian di rumah terkejut apabila melihat mayat suaminya, P. Surendren, 29, terlentang di atas lantai dengan tali yang diguna untuk menggantung diri masih berada di lehernya pada pukul 1 petang.

Mengimbau semula kejadian itu, Rajasepery memberitahu, dia bertindak keluar dari rumah tersebut untuk menumpang di rumah saudara selepas mereka sering bergaduh dan dipukul suaminya sejak sebulan lalu.

Katanya, dia tidak tahu punca sebenar suaminya bertindak demikian.

"Mungkin dia (Surendren) tertekan selepas saya membuat laporan polis ekoran pergaduhan tersebut.

"Kami baru sebulan tinggal bersama kerana sebelum ini suami tinggal di Sungai Petani, Kedah di rumah isteri pertama.

"Kami baru sahaja berkahwin kerana perkahwinan suami dengan isteri pertama tidak dikurniakan anak. Suami bekerja di kedai tayar dan saya telah membuat dua laporan polis kerana saya sering dipukul," dakwanya di sini semalam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories