RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Fasha Sandha, Pierre Andre Bertemu Dalam Drama RTM

Posted: 05 Aug 2011 09:24 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon jelita Fasha Sandha akan bergandingan bersama Pierra Andre dalam drama berjudul Madu di Tasik Hempedu yang akan disiarkan pada 12 Ogos ini, pukul 1.30 petang di TV2.

Watak ibu tiri yang dilakonkan oleh Fasha itu sentiasa menerima ujian apabila anak tirinya bertindak di luar batasan yang mencuba merogolnya.

Kisahnya bermula dengan dilema yang terpaksa dilalui oleh Wani lakonan Fasha Sandha yang terpaksa berkahwin dengan lelaki berusia bernama Arman yang dilakonkan oleh Jalaluddin Hassan, seorang ahli perniagaan setelah Arman kematian isterinya, Shirah (Fadilah Mansor).

Bagaimanapun dalam waktu yang sama, Wani dicintai oleh anak sulung Shirah, Rustam lakonan Pierra Andre.

Malangnya perkahwinan Wani dengan Arman tidak disenangi oleh Rustam kerana dalam waktu yang sama, Rustam yang baru balik dari luar negara setelah telah jatuh cinta pada Wani.

Setelah Arman berkahwin dengan Wani, Rustam mengambil keputusan keluar dari rumah untuk tinggal berasingan. Dalam waktu yang sama, perasaan cintanya pada Wani tetap bergelora.

Kematian Arman memberi ruang kepada Rustam untuk memiliki Wani biarpun berkali-kali Wani menegaskan perasaan cinta Rustam terhadapnya adalah salah di sisi agama dan mereka haram berkahwin.

Namun nafsu menguasai Rustam. Dia nekad untuk memperkosa Wani sebagai jalan untuk dia mendapatkan Wani. Malangnya dalam pergelutan, Rustam jatuh dari tangga dan koma.

Drama ini turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Nazim Othman, Anne Abdullah, Fadilah Mansor, Erin Malek dan Nur Aqilah Malek.

Abby Abadi Menyamar Jadi Gila

Posted: 05 Aug 2011 09:22 PM PDT

PETALING JAYA: Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan drama bertajuk Aku Tak Gila yang dibintangi pelakon Abby Abadi pada 13 Ogos ini, pukul 9 malam menerusi TV1.

Drama yang bakal mengisi slot Panggung Seri ini turut dibintangi oleh Mak Engku, Shiela Mambo, Ziela Bakarin, Zul M.Osman dan Sharifah Shahora.

Ia berkisar mengenai kehidupan seorang editor majalah iaitu Erna lakonan Abby Abadi yang telah menyamar menjadi orang gila dan menetap di rumah bahagia bagi mengkaji kehidupan sebagai orang kurang siuman.

Erna ditempatkan sebilik dengan Laila yang kuat agama, Yah (kehilangan kekasih) dan Tipah yang ada masalah dengan mertua. Pelbagai peristiwa berlaku dan Erna sentiasa menulis mengenai kehidupan itu.

Sehingga tiba masanya, Erna minta kebenaran untuk keluar dan ingin menemui Dr Suhaimi, pengarah hospital. Tetapi alangkah terkejutnya Erna apabila mengetahui Dr Suhaimi dan pembantunya terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia.

Yasin, Atilia Berhibur Di Viva Home

Posted: 05 Aug 2011 09:21 PM PDT

Yasin akan membuat persembahan di Viva Home pada bulan Ramadan ini.

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi iaitu Yasin Sulaiman dan Atilia akan menyemarakkan sambutan Ramadan dan Aidilfitri dengan membuat persembahan nyanyian di ruang legar Viva Home, Jalan Loke Yew, Cheras selama empat hari.

Persembahan bertemakan Arab itu akan diadakan pada 13, 21, 27 dan 28 Ogos ini bersempena program Insyirah Aidilfitri buat julung kalinya di tempat itu yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini.

"Yasin dan Atilia dipilih untuk membuat persembahan ini kerana kualiti lagu mereka. Yasin pula mempunyai bakat menyanyikan lagu berentak 'World Music' dan mempunyai berunsur Arab.

"Mereka masing-masing akan membuat persembahan selama setengah jam bermula 3 petang. Penonton boleh datang menonton persembahan mereka secara percuma," kata Pengurus Periklanan dan Promosi Viva Home, Fiona Bong.

Dalam pada itu, Yasin yang popular menerusi lagu "Nur Kasih" mempunyai banyak koleksi lagu berunsur Arab seperti "Salsabila", "Kerana Dia" dan "Mimpi Laila".

"Saya rasa sangat bertuah apabila dipilih oleh Viva dan sangat tertarik dengan rekaan dalaman yang dipersembahkan dalam pusat membeli-belah ini.

"Untuk persembahan itu, saya akan menyanyi sambil diiringi oleh seorang pemain "percussion". Saya masih belum menentukan lagu mana yang akan dinyanyikan nanti tetapi yang pasti saya akan menghiburkan penonton," katanya yang akan memakai baju Melayu dan tarbus.

Selain persembahan nyanyian, sepanjang acara itu akan diadakan beberapa aktiviti seperti pertandingan menganyam ketupat, persembahan gamelan, tarian balet dan jualan di gerai-gerai yang disediakan.

'Forget Me Not' Papar Konflik Keluarga

Posted: 05 Aug 2011 09:19 PM PDT

PETALING JAYA: Drama bersiri berbahasa Cina berjudul Forget Me Not yang memaparkan pergolakan keluarga akan disiarkan bermula 2 Ogos ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam di saluran ntv7.

Pengurus Jenama ntv7, Lai Cheah Yee berkata drama itu berkisar tentang kisah cinta dan konflik keluarga yang unik dan sesuai dijadikan tontonan seisi keluarga.

"Kami yakin dengan drama baru ini akan berjaya seperti drama tempatan ntv7 yang pernah disajikan dan mendapat sambutan baik para penonton,

"Menurut satu kajian, drama bersiri dari Hong Kong di ntv7 seperti Seeds of Life, Footprints In The Sand dan terbaru Destiny in Her Hands telah menerima rating tinggi iaitu seramai 583, 000 penonton Cina," tambahnya.

Drama 13 episod ini telah menggabungkan barisan pelakon baru dan lama seperti Remon Lim, William San, Coby Chong, William San, Coby Chong, Wayne Chua, Jordan Voon, Angela Chan, Andrian Tan dan Shi Fu Ru.

Berlatarkan tahun 2011, kisah ini bermula apabila Malaysia dikejutkan dengan kes culik-bunuh seorang hartawan perniagaan barang kemas yang juga Ketua Pegawai Operasi Syarikat Lee, Xue Ming (Remon Lim).

Suspek yang berjaya dikenal pasti ialah bekas pekerjanya sendiri, Wei Yi (William San). Setelah diberkas, pihak polis mengetahui bahawa Wei Yi sebenarnya anak kepada Xue Ming pada perkahwinannya yang lalu.

Kisah ini kemudian mengimbas semula sebuah bandar kecil di pedalaman Malaysia 33 tahun yang lalu. Xue Ming yang masih gadis ketika itu telah diperkosa seorang samseng bernama Shao Bing dan mengandung sejurus itu.

Suaminya, Shao Bing seorang yang pemalas, suka mendera, tamak, kaki mabuk dan kaki judi juga seorang penagih dadah. Dia sentiasa menjadikan Xue Ming dan dua orang anaknya sebagai sasaran untuk mendera dan melepaskan marah.

Suatu hari, Shao Bing memaksa Xue Ming dan anak-anaknya untuk menyeludup dadah dalam satu operasi haram. Bagaimanapun, operasi itu gagal dan Shao Bing telah ditangkap. Di tengah kekalutan itu, Xue Ming mengambil peluang itu untuk melepaskan diri dan anak-anaknya.

Ketika melintas jalan, Wei Hao telah dilanggar kereta dan Wei Yi pula cuba menyelamatkannya. Namun Xue Ming, nekad meninggalkan mereka dengan azam memulakan hidup baru.

Dalam pada itu, syarikat barang kemas jenama Amee Philips telah berbesar hati untuk menaja lapan barangan kemas mewah dalam peraduan secara dalam talian. Penonton berpeluang memenangi salah satu barangan kemas yang eksklusif ini dengan hanya menonton Forget Me Not.

Marc Anthony Mahu JLo Semula

Posted: 05 Aug 2011 09:18 PM PDT

SEBELUM bercerai secara rasmi, rupa-rupanya terdapat beberapa perubahan dalam rumah tangga pasangan Jennifer Lopez dan Marc Anthony.

Khabarnya Marc berasa kesal dan meminta Jennifer Lopez atau nama panggilannya, JLo untuk kembali kepadanya.

Sejak membuat pengumuman cerai pada bulan lalu, khabarnya hidup Marc tidak tentu arah dan sukar tanpa ibu kepada anak-anaknya, Max dan Emme itu.

"Perasaan Marc sentiasa berubah-ubah. Mulanya dia menyalahkan JLo, kemudian meminta JLo kembali kepadanya. Tidak lama kemudian dia menyatakan bahawa JLo sudah menghancurkan hidupnya," kata sumber kepada majalah US Weekly.

Tambah sumber itu lagi, masalah mereka begitu sulit dan Marc dilihat seperti mahu memanjangkan proses penceraian agar JLo dapat mempertimbangkan keputusannya.

Bagaimanapun, niat Marc untuk kembali ke pangkuan JLo tidak sama dengan keinginan JLo yang khabarnya kini lebih tenang hidup solo.

"JLo kini lebih bahagia dan ramai orang menyayanginya. Mungkin dia selesa bersendirian tanpa Marc," kata sumber itu.

Kikis lapan isteri

Posted: 05 Aug 2011 09:16 PM PDT

BUKTI...mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat dan gambar suaminya.
BUKTI...mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat dan gambar suaminya.

KUALA LUMPUR: "Saya terpedaya dengan pujuk rayunya dan tidak menduga dia sudah berkahwin dengan tujuh wanita yang semuanya ditinggalkan begitu saja selepas tembelangnya pecah.

"Dia (suami) memperdaya saya kononnya bakal mewarisi harta pusaka sebanyak RM1.4 juta hasil tinggalan ibu bapanya semata-mata mengaburi saya supaya mengahwininya," kata pemilik kedai dobi, Latifah, (bukan nama sebenar) isteri kelapan suami barunya berusia 42 tahun yang mengaku golongan atasan bagi memperdaya wanita untuk berkahwin dengannya sebelum mengikis harta mereka.

Sebelum berkahwin pada 31 Ogos tahun lalu di Thailand tanpa pengetahuan keluarga, lelaki itu mendakwa sebagai pengusaha kolam ikan keli di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, bagi mengukuhkan pembohongannya.

"Selepas rahsianya terbongkar dia bukan orang kaya, dia mendakwa pula bekerja sebagai pegawai polis dan pegawai imigresen yang digantung kerja. Namun, itu semua dusta belaka yang digunakan suami untuk mendapatkan wang saya sebelum dia menghilangkan diri," katanya.


Latifah berkata, sebelum berkahwin suaminya mendakwa duda beranak dua, namun hakikatnya, selepas diselidik dia sudah berkahwin dengan tujuh wanita dan kebanyakannya ditinggalkan begitu saja selepas tembelangnya diketahui isteri-isterinya.

Pujuk cara halus

Posted: 05 Aug 2011 09:14 PM PDT

BUKTI...antara risalah dan kitab Kristian yang diberikan gereja kepada wanita berkenaan.
BUKTI...antara risalah dan kitab Kristian yang diberikan gereja kepada wanita berkenaan.

KUALA LUMPUR: Beberapa individu beragama Islam yang menyertai aktiviti keagamaan di sebuah gereja di Seksyen 13, Petaling Jaya, ketika pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan malam kelmarin, hanya sebahagian kecil yang berjaya dikesan, manakala sebahagian besar golongan itu dipercayai menyertainya secara sembunyi atau 'bawah tanah'.

Kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Melayu dan golongan mualaf yang menyertai kumpulan berkenaan disebabkan kesempitan wang untuk menyara diri dan keluarga serta gagal mendapat bantuan daripada pihak berwajib.

Mereka menyertai kegiatan keagamaan berkenaan secara senyap-senyap di premis persendirian termasuk rumah kedai dan dewan komuniti, bukan saja di Lembah Klang, malah pergerakan 'bawah tanah' ini sudah berkembang di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Ia didedahkan sendiri seorang wanita Melayu yang mengikuti kumpulan itu sejak lebih setahun lalu, selepas dibelenggu masalah kewangan sehingga tidak mampu membiayai keperluan seharian.


Katanya, pendakwah kumpulan berkenaan membantu mereka dengan memberi seberapa banyak wang diperlukan dan selepas itu, mereka memujuk individu yang sudah diberi bantuan menyertai program keagamaan mereka.

Onar jiran

Posted: 05 Aug 2011 09:12 PM PDT

TAHAN...empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
TAHAN...empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

IPOH: Penjenayah kejam yang mencerobohi rumah Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, sebelum mencekik mangsa hingga mati dipercayai tinggal di tingkat sama dengan rumah mangsa di Pangsapuri Permai Lake View Tambun.

Menurut penghuni pangsapuri berkenaan yang juga jiran mangsa, terdapat empat lelaki tinggal di rumah bertentangan dengan kediaman mangsa di tingkat satu.


Dia yang enggan identitinya disiarkan berkata, mangsa tinggal di unit F-1-09, manakala empat lelaki terbabit iaitu tiga berbangsa Melayu dan seorang seperti berdarah kacukan India-Cina mendiami unit F-1-02.

Keempat-empat lelaki terbabit sering dilihat melepak di tangga berhampiran kediaman mereka dan beberapa rakan juga pernah menduduki unit yang didiami mangsa.


"Mereka kemudian berpindah sebelum arwah menyewanya. Saya percaya mereka terbabit dalam pembunuhan mangsa kerana saya dan beberapa jiran lain melihat dua daripada empat lelaki itu ditahan polis tidak lama selepas mayat Rohani," katanya.


Dia bertambah yakin keempat-empat suspek adalah penghuni unit F-1-02 kerana pengawal keselamatan turut melihat dua daripada mereka melarikan diri pada hari kejadian.

Allahyarham Rohani yang baru dinaikkan pangkat memegang jawatan kini berkuat kuasa 1 Julai lalu ditemui mati kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin, dipercayai dicekik sehingga mati sebelum pembunuh membalut mayatnya sebelum mengusungnya keluar dari rumah mangsa.


Suspek disyaki mahu membuang mayat mangsa di lokasi lain bagi mengelakkan jenayah itu dikesan.Bagaimanapun, cubaan itu terbantut selepas tindakan mereka mengusung cadar berisi mayat mangsa disedari pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan yang melakukan rondaan rutin.


Menurut sumber, pengawal yang memeriksa tilam di lantai tangga Pangsapuri Permai Lake View Tambun, dekat sini, menemui mangsa sudah tidak bernyawa dalam keadaan tangan dan kaki terikat sebelum menghubungi polis.


Arwah pernah menyuarakan kebimbangan keselamatannya tinggal di pangsapuri berkenaan kepada ahli keluarga kerana pernah kerugian hampir RM15,000 apabila barang kemasnya dilarikan penjenayah yang memecah masuk kediaman itu pada minggu kedua mendiaminya.


Mangsa yang juga anak ketujuh daripada 10 beradik, sebelum ini bertugas sebagai pendaftar di Kolej Pertanian Sintok, Kedah sebelum berpindah ke Ipoh.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, posmen dan tentera antara empat suspek yang ditahan di tiga lokasi berasingan sekitar negeri ini. Katanya, dengan penahanan itu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh kurang 24 jam.


"Siasatan mendapati motif dipercayai samun berikutan penemuan beberapa barang kes seperti telefon bimbit dan barang kemas bersama suspek.


"Tangkapan pertama terhadap dua lelaki masing-masing berumur 26 tahun di sekitar kawasan kejadian pada jam 4 pagi. Dua lagi suspek masing-masing berusia 20 dan 22 tahun ditahan di Tanjung Malim pada jam 4.30 petang dan di Slim River jam 10.25 malam tadi (kelmarin)," katanya.


Menurutnya, seorang daripada suspek berada dalam senarai individu dikehendaki polis bagi kes rogol di Slim River manakala seorang lagi askar yang lari daripada tugas.


"Dua daripada suspek direman selama empat hari manakala dua lagi suspek direman tujuh hari bermula semalam dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Aidilfitri tanpa ibu bapa

Posted: 05 Aug 2011 09:09 PM PDT

pix_middle

KELAM suasana Aidilfitri dirasakan pelakon Aeril Zafrel, 23, tahun lalu tanpa kehadiran tonggak dalam keluarga apabila bapanya, Suhari Sulaiman menghadap Ilahi pada 4 Disember 2009 akibat barah tonsil. Terasa bagaikan burung patah sayap tanpa insan bergelar ayah.

Tahun ini, dugaan lebih besar dilaluinya apabila menempuhi Aidilfitri tanpa ibu bapa apabila emaknya, Supiah Munahid, menyusul panggilan Ilahi pada 30 November 2010.

  • Foto

    TIADA LAGI IBU BAPA...Aeril kehilangan orang dikasihi tahun lalu dan 2009.

  • Foto

    TIADA LAGI IBU BAPA...Aeril kehilangan orang dikasihi tahun lalu dan 2009.

Ketiadaan ibu nyata kehilangan yang amat besar dan pengalaman perit buat Aeril Zafrel, sehingga pemuda dilahirkan dengan nama Suhairil Suhari ini tidak mampu membayangkan bagaimana suasana Aidilfitri kali ini.

"Tahun lalu saya masih sempat beraya dengan emak walaupun ketika itu dia sudah kritikal. Kehadiran emak masih membuatkan sambutan Aidilfitri bermakna sekalipun kekosongan dirasai kami adik-beradik menyambut hari yang mulia tanpa ayah.


"Tapi... (sejenak melayang) entahlah saya tidak pasti bagaimana sambutan Aidilfitri kali ini. Saya sendiri pun belum sempat berbincang dengan adik-beradik mengenai siapa yang akan menguruskan persiapan raya seperti menyediakan kuih- muih, hidangan untuk tetamu yang bertandang ke rumah apabila kami pulang ke Kota Tinggi, Johor nanti.


"Persiapan saya mungkin dari segi mengeluarkan duit belanja. Alhamdulillah, tahun ini ada rezeki lebih sikit untuk saya dan keluarga," katanya.

Mengakui dirinya anak paling rapat dengan arwah ibu sehingga diberi gelaran Yayang oleh ibunya, Ramadan langsung tidak menarik minatnya untuk pulang ke kampung di Sungai Kluang, Kota Tinggi.

Bukan lupa asal-usul, tetapi anak keempat daripada lima beradik ini enggan dibelenggu kesedihan yang masih bersisa atas pemergian ibu yang melahirkan dan kerana itulah dia memutuskan tidak pulang ke kampung sepanjang Ramadan ini.

"Banyak kenangan manis bersama arwah kedua-dua orang tua terutama ibu. Dulu setiap kali Ramadan saya pasti pulang ke kampung. Tetapi sejak emak sudah tiada, rasanya tak payah balik pun tak apa kerana ia akan membuatkan saya semakin sedih teringatkannya.

"Apatah lagi, kepulangan saya setiap kali Ramadan pasti disambut emak dengan hidangan istimewa, asam pedas ikan mayong yang menjadi kegemaran sejak kecil," katanya.

Aeril yang ditemui di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur sempena mempromosikan Bufet Ramadan hotel itu mengakui hidupnya tidak sunyi di Kuala Lumpur kerana mempunyai kawan yang sentiasa menghulurkan bantuan dan menghiburkan hatinya.

Aktiviti seni juga makin terisi dan untuk Ramadan kali ini, pelakon bermata redup dan kacak ini menerima pelbagai undangan majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran syarikat swasta, persatuan hiburan, produksi drama dan filem termasuk stesen televisyen.

Pemuda yang melonjak menerusi drama bersiri Durja Ningsun ini sedang sibuk menjalani penggambaran Ramadhan Terakhir yang bersiaran di slot Samarinda setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam di TV3, sejak 26 Julai lalu.

Ramadan Terakhir mengisahkan Hisham, usahawan yang berjaya membimbing isteri dan anaknya untuk kembali ke jalan yang benar di sisi agama Islam.

Dia disahkan menghidap kanser kronik dan mampu bertahan beberapa bulan saja lalu bertekad untuk membetulkan semula haluan hidup yang tercemar dengan pelbagai dosa sepanjang hidupnya.

Perubahannya itu dipandang sinis isterinya, Mazni yang terus hanyut dibuai keenakan dan keseronokan. Lebih menyedihkan, anak lelaki mereka, Daniel turut terbabit dalam pergaulan dan perlakuan tanpa batas bersama teman wanitanya, Rossa. Drama arahan Engku Ismail ini diterajui Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud, Tasha Shilla, Eyka Farhana dan Nur Anzalna.

Kata Aeril, dia memegang peranan Daniel, anak kepada Hisham dalam drama itu. Keluarga Hisham memang bermasalah dan puncanya adalah wang.

"Bagaimanapun, Hisham tersedar hingga berusaha membimbing keluarganya ke pangkal jalan, namun hasratnya itu dipandang sepi ibu Daniel termasuk Daniel sendiri.

"Watak saya nampak seorang yang matang dan 'cool', tetapi dia sebenarnya memberontak dan tidak menghormati orang tua. Sebelum Ramadan Terakhir, saya baru saja menyempurnakan penggambaran filem 7 Petala Cinta arahan Azahari Zain dua minggu lalu.

"Ini filem pertama saya sebagai pelakon utama dan membawakan watak Attar. 7 Petala Cinta mengisahkan kehidupan sekolah pondok apabila Attar mengabdikan kehidupannya di situ setelah memperoleh hidayah.

"Watak ini antara paling sukar pernah saya lakonkan apatah lagi untuk menunjukkan ekspresi wajah yang benar-benar insaf dalam beberapa babak," katanya.

Semakin positif kerjaya lakonannya berkembang, Aeril mula diperkenalkan menerusi layar lebar buat pertama kalinya melalui filem Aku Tidak Bodoh dan turut menjadi pilihan KRU Studio memegang watak utama filem Cinta Si Kura Kura yang turut menampilkan Tizz Zaqyah sebagai heroin.

KRU yang sebelum ini sinonim dengan filem CGI, mencuba nasib dengan filem bertemakan percintaan. Paling menarik, Zizan Raja Lawak akan menyumbangkan suara sebagai kura-kura untuk filem ini.

"Watak saya agak 'sengal' atau lelaki lurus bendul. Filem ini diarahkan Niezam Zakaria. Pembikinan filem ini begitu menyeronokkan dan saya selesa bekerjasama dengan Tizz Zaqyah yang saya kira seorang yang tidak sombong dan terbuka menerima pendapat," katanya.



PROFIL:

NAMA SEBENAR: Suhairil Suhari
NAMA KOMERSIAL: Aeril Zafrel
TARIKH LAHIR: 2 Disember 1988
USIA: 23 tahun
ZODIAK: Sagittarius
KARIER: Pelakon, model
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik
DRAMA: Kisah Kaisara, Kasut Tumit Tinggi, Kita, Senja Permai, Durja Ningsun dan Klik
FILEM: Aku Tak Bodoh, Cinta Kura Kura dan 7 Petala Cinta

Tangisan iringi hukuman mati

Posted: 05 Aug 2011 09:08 PM PDT

BERSALAH...Masoumeh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
BERSALAH...Masoumeh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM: Seorang wanita Iran menangis teresak-esak apabila dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar hampir tiga kilogram (kg) syabu di sebuah hotel di Petaling Jaya, dekat sini, dua tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu terhadap pekerja salun, Masoumeh Ghulami Khaveh, 25, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Noor Azian pada penghakimannya berkata, mahkamah menolak keterangan tertuduh ketika membela diri bahawa dadah dalam beg yang ditemui bersamanya kepunyaan lelaki bernama Amin.

Beliau berkata, ini kerana tertuduh membawa beg berkenaan dari lapangan terbang ke hotel penginapannya dan dadah itu tidak ada kaitan dengan Amin. Malah, katanya, ada banyak keterangan wanita itu yang tidak munasabah termasuk berasal dari keluarga susah, tetapi pada masa sama sudah memasuki negara sebanyak enam kali.


Menurutnya, keterangan Masoumeh bahawa keluarganya akan mengirimkan duit melalui sebuah syarikat asing diragui.


Pada masa sama, katanya, tindakan pihak pendakwaan tidak memanggil Amin saksi juga tidak memudaratkan kes pendakwaan.

"Sudah tentu, Amin tidak akan mengakui dadah itu miliknya," katanya. Mengikut pertuduhan, Masoumeh didakwa mengedar 2.865kg syabu di Hotel One World, Petaling Jaya, kira-kira 8.10 pagi, pada 15 November 2009.


Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh didakwa mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal, manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Datuk N Sivananthan.


Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Latih tenaga mahir O&G

Posted: 05 Aug 2011 09:07 PM PDT

KERJASAMA...(dari kiri) Ng, Azmi, Juniwati, Mohamad Mohar dan Pushparatnam selepas memeterai MoU, semalam.
KERJASAMA...(dari kiri) Ng, Azmi, Juniwati, Mohamad Mohar dan Pushparatnam selepas memeterai MoU, semalam.

MENYEDARI sektor minyak dan gas (O&G) masih kekurangan tenaga mahir, Petronas bersama empat syarikat O&G utama negara memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama meningkatkan kecekapan tenaga kerja tempatan dalam industri terbabit.

Memorandum itu dimeterai secara berasingan dengan Baker Hughes, Kencana Petroleum, SapuraCrest Petroleum dan Technip Geoproduction, sekali gus membolehkan Petronas dan empat syarikat terbabit bekerjasama untuk melatih dan memajukan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri domestik dan serantau.


Program dan aktiviti akan dikendalikan di institusi pengajian Petronas termasuk Pusat Latihan Pengurusan Petronas, Universiti Teknologi Petronas, Institut Teknologi Petroleum Petronas dan Akademi Laut Malaysia membabitkan 1,200 peserta setahun.

Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Juniwati Rahmat Hussin berkata, kerjasama itu antara lain membabitkan penyelidikan dan pembangunan bersama, program penempatan kakitangan, sesi perkongsian maklumat, latihan amali dan penajaan pelajar; program pensyarah tambahan, penyeliaan penuntut lepasan ijazah dan pelatih teknikal serta pewujudan kemudahan pembelajaran.


"Perjanjian MoU ini akan menyediakan industri O&G dan institusi pembelajaran satu landasan untuk mengenal pasti, mengatur strategi dan mengendalikan program dan aktiviti untuk membangunkan keperluan tenaga kerja berkemahiran masa depan industri.


"Semua syarikat ini sudahpun mula bekerjasama dengan kami dan melatih pelajar kami. MoU ini akan diformalisasikan untuk memastikan ia seiring dengan keperluan industri," katanya pada sidang media selepas pemeteraian MoU itu di Kuala Lumpur, semalam.

MoU itu dimeterai Juniwati yang mewakili Petronas, Naib Presiden Pemasaran (Asia Pasifik) Baker Hughes, Ng Say Heng; Pengarah Eksekutif Kencana Petroleum Berhad, Azmi Ismail; Pengarah Sumber Manusia SapuraCrest Petroleum, Mohamad Mohar Ibrahim dan Pengarah Urusan Technip Geoproduction, Edgar Pushparatnam.


Mengulas lanjut, Juniwati berkata, menerusi kerjasama itu juga pihaknya dapat mengetahui keperluan dan kekosongan dari segi jumlah.

"Dengan cara ini, kami tidak akan mempunyai terlalu ramai graduan dalam bidang tertentu dan berada dalam industri yang sama. Kami tidak mahu mengambil pekerja sesama kami. Oleh itu, cara terbaik ialah dengan bekerjasama sesama sendiri," katanya.

Pusat sehenti busana Muslimah

Posted: 05 Aug 2011 09:04 PM PDT

FESYEN BERTANDANG...alangkah manis dipandang jika mengenakan rekaan sebegini untuk bertandang ke rumah saudara-mara.
FESYEN BERTANDANG...alangkah manis dipandang jika mengenakan rekaan sebegini untuk bertandang ke rumah saudara-mara.

JIKA dibandingkan dengan fabrik lain, kapas dikatakan paling sesuai dipakai di negara beriklim tropika seperti Malaysia.

Sifatnya yang sejuk membolehkan ia berupaya menyerap peluh jauh lebih baik daripada fabrik biasa.

  • Foto

    JADI PILIHAN...busana polos yang dihiasi jemeki untuk si ibu manakala bagi si kecil, fesyen kebaya Nyonya menyerlahkan lagi kecomelan mereka.

  • Foto

    CERIA...busana tradisi yang menjadi pilihan untuk digayakan pada pagi lebaran.

  • Foto

    SOPAN...fesyen polos yang tidak kurang menariknya untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.

  • Foto

    SEDONDON....rekaan menarik untuk pasangan yang mahu tampil sedondon.

  • Foto

    MENARIK...fesyen tradisi yang sentiasa menjadi pilihan.

Ia mampu menyerap sehingga 25 peratus daripada kapasitinya di samping menghasilkan pengaliran udara yang baik pada badan.

Selain faktor keselesaan, kapas juga unik kerana memberikan imej yang lebih muda kepada pemakainya, lebih-lebih lagi jika memiliki corak bunga-bungaan.

Tidak hairan jika ia sentiasa menjadi pilihan tidak kira tua atau muda.

Memenuhi cita rasa dan menggambarkan gaya moden menawan kepada pemakainya, Butik Zaida's Collections memilih fabrik berkenaan sebagai identiti dengan menyediakan pelbagai jenis rekaan busana tradisional untuk seisi keluarga.

Pemilik Zaida's Collection, Zaida Abd Aziz, berkata butik yang sudah beroperasi lebih lima tahun itu menyediakan koleksi pakaian siap rekaan terbaru daripada fabrik kapas, sutera viscose serta sifon.

Sempena Aidilfitri kali ini, butik miliknya itu menampilkan koleksi kurung Riau daripada fabrik kapas India.

"Kapas India sememangnya mempunyai peminat tersendiri di negara ini.

"Walaupun ia tidak mempunyai reka corak yang sama seperti kapas Inggeris, keistimewaannya terserlah pada fabrik yang lebih tebal dan berat.

"Bila dijadikan baju, ia memang terletak pada badan dan cantik sekali jika direka dengan potongan seperti kurung Riau," katanya.

Butik berkenaan menyediakan pelbagai koleksi baju kurung yang praktikal untuk aktiviti harian ke pejabat, majlis kenduri dan cantik digayakan ketika hari raya.

Pilihan corak dan rekaan juga bersesuaian untuk setiap golongan sama ada kanak-kanak seawal dua tahun, pelajar, golongan profesional mahupun suri rumah.

"Bagi mengekalkan ciri eksklusif, setiap rekaan hanya terhad kepada sepasang saja dan semua busana di butik berkenaan boleh didapati dalam pelbagai saiz.

"Kami turut menyediakan koleksi busana sedondon bagi pasangan yang ingin tampil senada pada pagi lebaran kelak.

"Selain itu, terdapat pakaian kanak-kanak seawal dua tahun hinggalah saiz paling besar untuk dewasa," katanya.

Bagaikan sebuah pusat sehenti untuk penggemar fesyen busana Muslimah, butik itu turut menyediakan pelbagai jenis rekaan tudung terkini daripada fabrik lycra.

Harga ditawarkan bergantung kepada kualiti fabrik dan saiz. Sempena sambutan Aidilfitri, butik itu turut menawarkan diskaun sehingga 70 peratus.

Koleksi pakaian di butik berkenaan boleh didapati bermula pada harga serendah RM69 hingga RM450, manakala tudung atau selendang pula boleh didapati dengan harga RM29 ke atas.



Keistimewaan fabrik kapas


  • Kain kapas diperakui mempunyai keistimewaan tersendiri sejak dulu lagi dan menyaingi pelbagai jenis fabrik lain.

  • Terdapat pelbagai jenis kapas di pasaran antaranya kapas Jepun, India, Swiss, Inggeris dan voile.

  • Fabrik ini memiliki banyak keistimewaan antaranya ia lebih lembut dan sejuk berbanding fabrik biasa, menyerap peluh dan kekal selesa sama ada dalam cuaca sejuk mahupun panas.

  • Penjagaan kain kapas juga tidak sukar seperti fabrik lain dan boleh dipakai lasak.

  • Kain kapas boleh dibasuh dengan tangan atau mesin basuh.

  • Untuk mengekalkan warna pula, elakkan menyidai pakaian daripada fabrik kapas di tengah panas kerana ia boleh menyebabkan warnanya luntur.

  • Ketika menggosok pula, renjiskan sedikit dengan air kerana ia membantu melembutkan fabrik berkenaan.

  • Pakaian yang dibuat daripada kain kapas juga membantu menjaga kesihatan kulit bayi.

  • Memakaikan bayi anda pakaian daripada kain kapas akan melindungi kulit bayi daripada kerengsaan disebabkan sentuhan atau geselan. Ketika musim hujan, kain kapas membantu tubuh bayi kekal hangat.

  • Lebih istimewa, pakaian yang dibuat daripada kain kapas atau campuran kapas amat sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kulit seperti ekzema.

  • Kebanyakan individu dengan kulit sensitif lebih selesa dengan pakaian kain kapas atau campuran kapas memandangkan kain bulu biri-biri dan fabrik sintetik mungkin boleh menyebabkan radang kulit.
  • Dugaan Ramadan KD

    Posted: 05 Aug 2011 09:00 PM PDT

    pix_gal0
    KD pertahan tindakan suami insiden kasari wartawan penyiaran

    SEBUAH dunia yang jauh berbeza daripada apa yang pernah dilaluinya, namun kerana beristerikan seorang wanita yang berstatus selebriti mengheret Raul Lemos untuk turut sama bergelut dan memahaminya. Lebih empat bulan disatukan, ternyata apa dilalui pengusaha asal Timor Leste yang juga suami penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti atau KD masih belum memadai untuk dirinya memahami warna sebenar industri hiburan.

    Populariti KD yang masih utuh tanpa rela menjerat Raul untuk terus disorot media dan perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk dicerna.
    Isnin lalu, pasangan yang diijabkabulkan pada 20 Mac 2011 ini kembali terheret dalam kancah kontroversi apabila Raul didakwa mengasari wartawan dalam satu insiden di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta. Dua wartawan penyiaran dari Global TV mendakwa mereka dicekik Raul yang ketika itu berasa terganggu apabila isterinya didekati untuk diwawancara sebaik mereka tiba dari Dili.
    "Ini bukan dunia saya. Saya mohon maaf, mungkin perlu waktu, tapi saya akan berusaha. Saya tidak pernah melarang isteri saya ditemubual media tetapi berilah kami kebebasan. Berikan kami sedikit kebebasan untuk dinikmati. Manusia tidak luput daripada kesalahan. Saya harus belajar," ungkap Raul pada sesi pertemuan dengan media untuk menjelaskan perkara sebenar di Kebayoran Baru, Jakarta, Rabu lalu.

    Raul menjelaskan, dia tidak keberatan jika wartawan mahu menemubual isterinya tetapi pertemuan itu harus dibuat dalam suasana yang tidak mengganggu. Dia juga akur, menikahi seorang selebriti bermakna sebahagian privasi yang dipertahankannya selama ini terlerai kerana banyak hal terpaksa dikongsi bersama umum.

    Membuktikan keikhlasannya, Raul sudah pun merancang untuk menyiapkan tempat khusus kepada wartawan apabila KD melahirkan bayi perempuan mereka nanti.

    "Insya-Allah, perkara ini tidak akan terjadi lagi. Hubungan media dan isteri saya bagaikan gelas dan air, mana mungkin saya melarangnya. Saya juga tidak pernah sesekali menghalang KD untuk bertemu media, malah kami merancang menyediakan tempat kepada wartawan menyambut kelahiran bayi kami nanti," katanya berharap isu itu segera selesai, malah berdoa Ramadan yang datang meredakan amarah yang masih bersisa.
    "Kami berharap semuanya berjalan lancar dan akan segera selesai. Memang saya belum menghubungi dan meminta maaf kepada Global TV tapi saya sudah membuat permohonan itu di media. Rasanya itu sudah memadai daripada saya terus menghubungi wartawan berkaitan. Jika kita berbuat baik, pasti akan ada jalan keluarnya," jelas Raul dan Enggan lagi mengungkit segala yang berlaku, malah menyerahkan kepada proses perundangan dalam mencari titik penyelesaian,.

    Raul turut menyeru wartawan supaya tidak terpesong dalam melaksanakan pekerjaan mereka.

    "Kalau sudah menolak, maksudnya jangan. Kami tidak pernah menolak untuk melayani permintaan media jika kena pada waktunya.

    Melaporkan berita itu kerjaya kalian tetapi kami juga punya hak untuk menolak. Tapi perkara sudah berlalu, nanti saja proses perundangan," kata Raul yang memberi keterangan di Balai Polis, Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Cengkareng, Banten, Sabtu minggu lalu.

    Sementara itu, KD yakin Allah akan membentangkan jalan supaya pertikaian itu segera selesai. Penyanyi Mencintaimu itu juga percaya, musibah yang berlaku itu mempunyai hikmah tersendiri buat dirinya dan suami.

    "Jujurnya apa yang dilalui cukup memenatkan namun Tuhan mempunyai sebab tersendiri mengapa kami dipilih untuk berdepan hal ini.
    Alhamdulillah kerana mereka yang dekat terus mendokong kami. Apa lagi untuk anak yang masih dalam kandungan, lahirnya nanti sudah punya cerita seperti ini

    "Saya tidak marah pergerakan kami dirakamkan tetapi laporan infotainment itu membuat saya kurang selesa. Apakah saya bersalah mempertahankan diri jika laporan itu menyimpang jauh daripada kebenaran? Haram mencari wang dengan memfitnah orang. Apatah lagi waktu itu kami sudah berterus terang tidak bersedia untuk ditemubual," jelas Raul.

    Mahu bersalin di Jakarta

    MEMASUKI bulan kelapan kehamilan, KD sudah menetapkan keputusan untuk melahirkan anak ketiganya itu di Jakarta dan bukan di tempat kelahiran suaminya di Dili seperti digembar-gemburkan. Biarpun tarikh kelahiran semakin dekat, KD mengakui, dia dan suaminya masih belum membuat persiapan rapi. Cuma sebelum pulang ke Jakarta, Raul sempat menyiapkan bilik di kediaman mereka di sana.

    "Disebabkan mentua tidak dapat berada di sisi saya ketika bersalin nanti, jadi saya dan suami terbang ke Dili untuk terlebih dulu bertemu keluarga di sana. Saya mahu bersalin di Jakarta dan akan tinggal di sini selama tiga bulan. Awalnya saya merancang untuk bersalin di Singapura atau Darwin, Australia. Namun, selepas memikirkan semula rencana bersalin di luar negara itu kurang praktikal. Kasihan suami kerana jauh untuk berulang alik," katanya.

    Dijadualkan melahirkan anak pertama hasil pernikahannya dengan Raul pada awal September ini, KD berkata, pergerakannya yang aktif membuatkan dia sering mengalami kontraksi.

    "Saya tidak boleh duduk diam, ada saja yang mahu diselesaikan. Lagipun ini anak ketiga dan saya sendiri sudah berusia 36 tahun, rasanya apa yang saya lalui ini lebih tenang. Berat badan saya juga tidak naik mendadak, cuma 11 kilogram berbanding dulu apabila berat saya bertambah sehingga 25 kilogram," katanya.

    Meskipun berdebar menantikan detik kelahiran, KD menjelaskan, kasih sayangnya terhadap dua anak hasil perkahwinannya dengan Anang iaitu Aurel dan Azriel tidak pernah berubah. KD sentiasa cuba mencipta suasana yang selesa buat dua cahaya matanya itu supaya mereka tidak berasa tersisih lantaran dia bakal mempunyai anak kecil.

    Faezah nak nikah. Dengan Heykal Hanifah ke?

    Posted: 05 Aug 2011 08:56 PM PDT

    Pelakon berbakat yang sarat kontroversi, Faezah Elai mengaku akan bernikah pada 9 September ini di rumah keluarganya di Pulau Pinang.

    Tapi gerangan lelaki yang akan mengahwininya tidak didedahkan kepada umum. Namun bayangan lelaki yang disebutnya membuatkan orang yang mengikuti perkembangannya mengagak, lelaki tersebut ialah pengarah drama Asmara, Heykal Hanifah.

    Faezah belum sedia perkenalkan nama bakal suami.

    Heykal yang kini berstatus duda pernah menjadi hangat apabila hubungannya dengan Faezah diperkatakan sebelum rumah tangganya dengan seorang pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat rakaman musnah. Mereka dah sah bercerai.

    Heykal

    'Insya-Allah saya akan bernikah pada hari Jumaat 9 September depan dengan seorang ahli perniagaan bernama Muhammad," kata Faezah kepada beberpa media.

    Faezah juga memberikan gambaran yang lelaki yang bakal menjadi suaminya nanti terlibat dalam perniagaan yang melibatkan penggambaran drama dan filem dan berasal dari Utara juga.

    Penjelasan tersebut menguatkan tanggapan yang Heykallah orang yang dimaksudkan, namun dia sendiri enggan membuka mulut.

    Majlis di rumah keluarga secara kecilan.

    "Saya jatuh cinta dengannya sebab dia faham karier dan jiwa saya. Dia orangnya simple, merendah diri, sangat kelakar dan mengambil berat. Kulitya kuning langsat dan ada misai sikit," Faezah meneruskan gambaran lelaki yang mahu menjadi suaminya.

    Heykal juga memiliki misai sebagaimana yang digambarkan dan berkulit sedikit gelap. Namun sehingga hari ini Faezah belum lagi menghantar kad undangan kepada media.

    Namun difahamkan busana pengantin sudah ditempah dengan seorang pereka terkenal di Kuala Lumpur.

    Faezah juga memberitahu wartawan majalah Mangga bahawa majlis persandingan dirancang diadakan pada 3 Disember depan.

    Dia juga tidak merancang mengadakan majlis di Kuala Lumpur kerana tidak ramai saudara-mara di ibu negara.

    Tunggulah siapa yang bakal menjadi suami Faezah nanti. Adakah Heykal atau seorang lelaki lain yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya?

    Sensual Muzikal kanvas digital

    Posted: 05 Aug 2011 08:55 PM PDT




    SEMUA orang tahu, dalam bidang seni tampak, setiap karya yang dihasilkan itu dikatakan mampu menyampaikan suatu perasaan yang melampaui batas perkataan.

    Begitu juga dengan karya 'Sensual Muzikal' yang dihasilkan oleh Utin Rini. Karya yang dihasilkan olehnya itu kelihatan seolah-olah seperti sebuah gambar digital yang siap dicetak.

    Bagaimanapun, sebenarnya ia dilukis dengan menggunakan medium cat minyak diatas kanvas .

    Istimewanya, karya tersebut menampilkan percubaan kombinasi dan persimpangan tona warna yang berjaya membentuk imej dan wajah manusia.

    Berasal dari Kalimantan Barat Indonesia, Utin Rini kini menetap di Yogyakarta selepas menamatkan pengajian di Institusi Kesenian Yogyakarta.

    Ketika bertemu dengannya, Utin Rini memberitahu kesemua wajah figura yang dihasilkan dalam siri Sensual Muzikal diambil dari internet.

    "Karya ini dilukis berdasarkan pengalaman nakal ketika saya bersekolah. Bagi saya, perasaan yang terdapat pada wajah-wajah bintang filem lucah itu bukan sekadar lakonan atau berpura-pura tetapi sebenarnya kecantikan dan keunikan mereka timbul pada saat ia dirakamkan.

    "Sebab itu, saya gambarkan mereka dalam karya terbaru ini kerana wajah orang Asia amat unik selain saya cuba menyelami kecantikan dan keunikan mereka," jelasnya.

    Selain experimentasi terhadap penggunaan warna dan subjek wanita, Utin Rini turut menambah konsep figuratif digital realistik ke dalam karya-karyanya.

    Utin Rini berkata, sebab utama mengapa beliau menggunakan wajah wanita dalam filem tersebut ialah kerana beliau ingin menberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai apa yang berlaku pada hari ini.

    "Di Indonesia dahulu, kebanyakan kaum wanita tidak menutup bahagian dada mereka dan hanya menutup bahagian bawah dengan kain sarung atau kain batik tetapi tidak banyak kes perkosa dilaporkan.

    "Lihat sendiri apa yang berlaku pada hari ini, pengaruh geseran budaya itu sendiri mengubah keadaan tersebut sehingga boleh dikatakan setiap hari kes tersebut dilaporkan di dada akhbar, bukan sahaja di Indonesia malah di negara-negara lain juga.

    "Orang dulu-dulu tidak berfikiran kotor dan harapan saya ialah agar orang ramai bersama-sama mengubah keadaan ini," katanya.

    Beliau berkata, isu tersebut amat sensitif dan untuk meredakan isu itu, beliau rasakan yang pengantaraan seperti medium kesenian mampu memperhalusi budi pekerti seseorang individu itu sendiri.

    "Saya rasa dengan seni kita boleh meningkatkan lagi taraf kehidupan dan moral sesuatu bangsa dengan lebih mendalam.

    "Ini kerana seni itu lebih jujur kerana ia merupakan luahan dari dalam diri pelukis itu sendiri," ujarnya.

    Menurutnya, idea penghasilan siri tersebut diperoleh ketika beliau sedang melayari laman web dan mendengar muzik rock dari kumpulan Led Zeppelin.

    Dari situ, Utin Rini cuba untuk menggunakan konsep warna campuran bagi menghasilkan tona warna sendiri dan setiap lukisan dalam siri tersebut dihasilkan penuh warna-warni.

    "Bagi saya lukisan yang menggunakan banyak warna boleh memberikan suasana yang berbeza dalam imaginasi manusia ketika melihatnya," jelasnya.

    Tambahnya, beliau berharap agar suatu hari nanti beliau dapat peluang mempamerkan karya-karyanya di Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur.

    "Saya tidak pernah rasa puas untuk mengadakan pameran-pameran kesenian dan saya bersyukur berpeluang bekerjasama dengan teman-teman di Malaysia sejak 2008 sehinggalah ke hari ini," jelasnya.

    Minat sama menguatkan jodoh

    Posted: 05 Aug 2011 08:55 PM PDT

    SIAPA sangka wajah isteri yang cantik jelita ditatarias oleh suami sendiri. Itulah keunikan pasangan guru, Mohd Helmie Musa, 29, dan Norlizawaty Baharin, 27.

    Norlizawaty atau lebih selesa dengan panggilan Liza merupakan wajah yang tidak asing lagi dalam kalangan model bertudung dan muslimah.

    Dia pernah menyertai dan memenangi beberapa pertandingan pencarian model muslimah serta menjadi model sambilan untuk beberapa jenama busana muslimah.

    Setiap kali Liza menyertai pertandingan, Helmie bertanggungjawab menyolek wajah mulus si isteri.

    "Mungkin ini bakat semula jadi saya yang memang minat seni, namun saya juga belajar teknik menyolek daripada abang angkat Liza yang juga seorang jurusolek profesional," ujar Helmie membuka bicara.

    Perkenalan mereka bermula di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya yang mana kedua-duanya berkhidmat sebagai pendidik di sekolah berkenaan.

    "Saya sebagai kaunselor di sekolah dan kebetulan Liza (panggilan manja untuk isteri) adalah guru baru yang ditugaskan mengajar subjek Biologi.

    "Pada awalnya, kami hanya berkawan macam kawan-kawan lain. Sebagai kaunselor, Liza banyak merujuk kepada saya tentang masalah pelajar.

    "Daripada perkenalan itu, kami mendapati minat kami adalah sama. Dia minat bidang modeling dan menjadi model sambilan, manakala saya pula lebih kepada kesenian.

    "Selain itu, kami berdua amat suka kucing dan kerana minat itu jugalah yang menguatkan jodoh kami berdua," jelas Helmie yang ditemui di Putrajaya.

    Sejak mereka berkawan, keserasian amat dirasakan, semua yang diminati Helmie, sama juga untuk Liza dan perkara tersebut membuatkan hubungan mereka semakin erat.

    Lalu setelah setahun berkawan, Helmie mula menyatakan hasrat untuk lebih serius dalam perhubungan mereka.

    "Bayangkan saya hanya mengirim Liza SMS yang berbunyi "saya rasa saya sudah mula sukakan awak..hehehe". Saya nekad, jika dia terima saya suka dan jika tidak pun saya tidak begitu malu kerana SMS saya ada 'hehehe' di hujungnya.

    "Sejujurnya saya memang tidak pernah mengimpikan pasangan isteri yang tinggi, namun Liza mengubah persepsi tersebut. Dia seorang yang sangat lemah lembut, memahami dan saya senang bila berada di sampingnya," ujarnya.

    Sementara itu, Liza yang berperwatakan lemah lembut mengakui amat selesa bersama suaminya sejak di awal perkenalan lagi.

    Tambah menyerikan rumah tangga mereka ialah Liza kini sedang sarat mengandung anak sulung mereka yang telah disahkan kembar perempuan.

    "Antara saya dan suami, dia memang banyak bercakap dan saya pula jenis pendiam. Apa yang membuatkan saya terpikat dengannya ialah sikapnya yang begitu mengambil berat terhadap saya.

    "Dialah sahabat yang juga suami yang sentiasa memberi galakan dan nasihat untuk apa jua perkara yang saya lakukan.

    "Ketika Helmie menyuarakan hasrat untuk melamar saya menjadi isteri, kami sedang makan. Saya hanya tersenyum dan sebenarnya memang saya sudah menetapkan matlamat iaitu apabila tamat pengajian di universiti dan bekerja, saya memang mahu mencari pasangan hidup.

    "Jadi, apabila jodoh tiba saya memang tidak menolak," ujarnya yang menyifatkan Helmie sebagai seorang yang ceria dan peramah.

    Liza memang tidak menafikan tiap rumah tangga ada pasang surutnya, namun mereka berdua memastikan semua masalah dibawa berbincang dan bertolak ansur adalah kunci utama kebahagiaan.

    "Saya mengandung selepas setahun setengah berkahwin, kami berdua sangat gembira dan bersyukur. Sejak saya mengandung, Helmie menjaga saya penuh cermat, saya dipastikan mengambil vitamin pagi dan petang.

    "Awal mengandung memang saya mempunyai alahan yang amat teruk. Jadi, Helmie mengatur pemakanan yang terbaik untuk saya.

    "Bukan setakat kesihatan, kecantikan saya juga dititik beratkan oleh Helmie, sebelum tidur dia akan pastikan saya mencuci wajah walaupun penat.

    "Untuk perut saya pula dia akan pastikan saya menggunakan Bio Oil agar kulit tidak kering, meregang dan menyebabkan kegatalan kulit," kata Liza yang bakal meraikan Aidilfitri di kampungnya di Dengkil, Selangor.

    Saya tertipu, suami rujuk bekas isteri

    Posted: 05 Aug 2011 08:53 PM PDT

    SETIAP wanita yang bernikah dengan lelaki yang menjadi idamannya pasti inginkan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.

    Ada yang mencapai impian tersebut, ada yang kecundang kerana di pertengahan jalan, suami buat hal dan beralih kasih.

    Akibatnya yang menderita dan menanggung beban adalah kaum wanita yang bergelar janda setelah ditinggalkan suami.

    Status janda dan ibu tunggal tentu amat sukar untuk dipikul. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, namun itulah lumrah hidup berumah tangga.

    Berkongsi cerita Nadia (bukan nama sebenar) berusia lewat 20-an yang terperangkap dengan janji manis lelaki bernama suami menjadikan Nadia hilang arah untuk meneruskan hidup.

    Pun begitu, atas kesedaran dan ketabahan Nadia bangkit menyahut cabaran keluarga untuk memulihkan kehidupannya setelah dua tahun menangis dan menyesali hidup.

    Begini kisah Nadia.

    'Saya seorang kerani di sebuah syarikat kecil di bandar kelahiran saya di sebuah negeri di Pantai Timur.

    "Dalam usia yang hampir menjejak 30 tahun saya bertemu seorang lelaki yang bekerja di sebuah pejabat kerajaan berhampiran tempat kerja saya pada awal tahun 2009.

    "Orangnya baik hati, penyayang dan boleh tahan juga rupa parasnya. Di awal perkenalan dia mengaku seorang duda dan mempunyai dua orang anak.

    "Dia juga mengaku sudah setahun berpisah dengan isterinya. Disebabkan sikapnya yang baik dan penyayang serta mengambil berat terhadap diri saya, kami akhirnya jatuh cinta.

    "April 2009, kami bertunang dan berkahwin enam bulan kemudian dengan persetujuan keluarga kedua-dua pihak. Saya amat bahagia di awal perkahwinan, keluarga juga begitu.

    "Keluarga suami juga menerima saya dengan baik, begitu juga kedua-dua anak suami berusia sembilan dan 12 tahun. Biarpun bimbang saya cuba menjadi ibu tiri yang baik untuk mereka. Kedua-dua anak suami tinggal bersama ibu mereka.

    "Akhir tahun 2009, rumah tangga saya mula dilanda badai. Suami mula nampak berubah, tidak mesra dan sayangkan saya seperti mula-mula kami bertemu.

    "Dia kemudian jarang pulang ke rumah, saya dibiarkan seorang diri. Apabila saya bertanya macam-macam alasan yang dia berikan, kerja banyak, outstation dan sebagainya.

    "Sebagai isteri saya percaya kerana kerja dia memang begitu. Awal tahun 2010, keadaan rumah tangga kami semakin goyah. Suami jarang pulang ke rumah, alasannya tetap sama.

    "Saya beritahu keluarga saya perkara ini. Mereka minta saya sabar dan berbincang elok-elok dengan suami. Saya ikutkan nasihat keluarga kerana tidak mahu keruhkan keadaan.

    "Satu hari, anak tiri saya datang ke rumah bersama ibu mertua saya. Biasalah budak-budak, apabila mereka dilayan elok macam-macam cerita yang boleh kita dapat.

    "Dalam perbualan saya cuba-cuba selitkan pertanyaan tentang ayah mereka. Nak tau apa jawapan mereka? Ayah balik rumah mak. Tiap-tiap malam ayah pergi rumah mak.

    "Berderau darah saya mendengar jawapan itu. Macam-macam perkara buruk yang saya fikirkan. Saya mula syak dan curiga kepada suami. Tetapi saya tidak mahu melatah, saya akan siasat dan pastikan apa yang anak-anak tiri saya cakap itu benar.

    "Apabila saya tanya kepada mertua, dia juga tidak tahu kenapa anaknya selalu ke sana. Tapi kata dia, baik engkau periksa, jangan-jangan dia rujuk semula dengan bekas isterinya.

    Apabila suami pulang ke rumah, saya gasak dia dengan soalan yang sama bertubi-tubi. Saya minta dia berterus terang dengan saya akan apa sebenarnya yang berlaku.

    "Akhirnya dia beritahu yang dia telah rujuk semula dengan isterinya tiga bulan selepas kami bernikah. Dia minta maaf kerana terpaksa berbohong kepada saya. Alasannya kerana sayangkan anak-anak dan tidak mahu melihat bekas isterinya hidup menderita.

    "Ya Allah..hancur hati saya mengenangkan kata-kata dia. Jadi, selama ini dia menerima saya sebagai isteri untuk apa jika dia juga mahu rujuk semula dengan bekas isterinya.

    "Saya menangis sepanjang hari. Saya katakan kepadanya, kalau saya tahu perkara ini akan berlaku saya tidak akan berkahwin dengan dia.

    "Dia juga menangis dan mengatakan dia tidak tahu bagaimana dia boleh kembali kepada bekas isterinya itu. Sekarang dia amat menyesal dan tidak mahu meninggalkan saya.

    "Saya tekad menyuruh dia memilih salah satu, saya atau bekas isterinya itu. Walaupun berat saya terpaksa lakukan demi masa depan saya. Saya juga nekad tidak mahu bermadu dan mahu dibebaskan jika dia tidak dapat buat pilihan.

    "Saya tahu masa depan saya dengan suami bertambah gelap dengan sikap isterinya yang mengongkong kehidupannya. Bekas isterinya memang mahu memisahkan saya dengan suami. Dia mahu mengambil semula suaminya daripada saya.

    "Saya juga tidak mahu hidup berkongsi kasih dengan orang lain. Saya kecewa dengan sikap suami yang tidak menghargai pengorbanan saya terhadap dia.

    "Ingatkan apabila saya bernikah dengan dia, hidup kami akan bahagia, rupanya kasih sayang patah di tengah jalan. Walaupun dia berjanji akan berlaku adil terhadap saya, hati saya sudah hancur. Saya tidak percaya dia lagi.

    "Saya hairan dengan sikap lelaki. Sudah dapat isteri yang baik dan menerima mereka seadanya, ini pula balasan kepada isteri. Kalau sudah merasakan ingin merujuk semula dengan bekas isteri kenapa jatuh cinta dengan saya? Kenapa pilih saya sebagai isteri?

    "Sekarang saya tawakal dengan takdir untuk diri saya. Apa juga yang berlaku saya reda tetapi saya mahu dibebaskan dengan baik. Rasanya saya tidak boleh hidup bermadu.

    "Saya hanya rasa bahagia selama empat bulan, selepas itu sehari pun tidak ada yang menggembirakan hati saya. Setiap saat hati dan perasaan saya terganggu.

    "Saya berdoa semoga Allah memberi petunjuk kepada saya untuk menghadapi hidup ini dengan lebih tabah," Nadia menutup cerita.

    Koleksi Hari Raya

    Posted: 05 Aug 2011 08:53 PM PDT


    KESEMUA koleksi Rico ini sesuai digayakan pelbagai lapisan umur.


    RICO Rinaldi, Nurita Harith, PU3 dan Syomir Izwa merupakan antara pereka muda yang semakin meningkat naik. Ini kerana setiap rekaan yang ditampilkan pastinya mendapat perhatian peminat setia pereka-pereka fesyen ini.

    Koleksi yang mereka tampilkan juga bukan sekadar memenuhi cita rasa si pemakai bahkan rekaan yang digarap daripada idea masing-masing mampu menampilkan busana yang cukup elegan, moden dan mewah.

    Sempena Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi, baru-baru ini, keempat-empat pereka muda ini telah tampil dengan koleksi-koleksi terbaharu mereka.

    Menampilkan busana yang mampu menceriakan pagi Syawal, mereka juga dilihat sepakat menggunakan fabrik polos dengan warna-warna yang cukup mendamaikan mata memandang.

    Koleksi yang mempesonakan ini turut dihasilkan daripada fabrik jenis sifon dan kain kapas.

    Sudah pasti setiap rekaan mempunyai sentuhan yang istimewa dan kreatif, persembahan pada malam itu telah dimulakan dengan koleksi rekaan Rico Rinaldi.

    Bermain dengan warna-warna lembut, kali ini Rico menampilkan rekaan yang dipadankan bersama tudung.

    Menamakan koleksinya SumMeraya 2011, ia bukan sahaja sesuai untuk digayakan di pagi raya, malah kesemua rekaannya dilihat boleh digayakan ke mana jua kerana rekaannya berkonsepkan kaftan yang telah dimodenkan.

    Yang penting, kesemua koleksi Rico ini sesuai digayakan pelbagai lapisan umur.

    Bagi Nurita pula, rekaan yang ditampilkan kali ini merupakan baju kurung moden.

    Masih lagi bermain dengan fabrik polos, rekaan Nurita yang juga diilhamkan daripada kaftan juga dilihat lebih ringkas.

    Walaupun begitu, rekaannya dilihat menarik kerana fabrik yang digunakan begitu lembut dan kelihatan cantik apabila digayakan.

    Berlainan pula dengan PU3. Walaupun mengetengahkan koleksi-koleksi kurung tetapi ia telah dikontemporarikan.

    Bermain dengan warna-warna lembut, kesemua koleksi PU3 tetap manis untuk digayakan ke rumah terbuka.

    Rekaan Syomir pula dilihat satu rekaan yang telah dimodenkan mengikut peredaran zaman.

    Masih lagi mengekalkan konsep baju kurung moden, Syomir dilihat pandai bermain dengan bunga tampal yang diletakkan sama ada di bahagian pergelangan tangan mahupun di bahagian pinggang atau di bahu.

    Berani menggunakan warna-warna terang, rekaan Syomir sudah pasti kelihatan anggun apabila digayakan.

    Selain itu, terdapat juga rekaan Syomir yang mengetengahkan baju kurung moden dan disesuaikan bersama tudung.

    Yang pasti, pada malam itu, kesemua rekaan yang ditampilkan mempunyai sentuhan ajaib keempat-empat pereka muda ini sempena Syawal 2011.

    Rekaan eksklusif Poh Kong

    Posted: 05 Aug 2011 08:28 PM PDT




    WANITA dan barang kemas tidak pernah terpisah. Kedua-duanya mempunyai kaitan yang amat rapat.

    Malah setiap kali tiba musim perayaan, kaum wanita tidak pernah lupa membeli barang kemas

    Tidak kira emas putih mahupun emas kuning ia tetap memberikan kebanggaan kepada kaum Hawa apabila dapat menggayakan barang kemas ini.

    Tambahan pula ia mampu menambah penampilan seseorang.

    Sebagai jenama barang kemas tersohor dan pemilik rangkaian kedai barangan kemas terbesar di Malaysia, Poh Kong meraikan hari raya pada tahun ini dengan memperkenalkan koleksi terbaru, Alamanda .

    Bersandarkan kejayaan koleksi yang lepas iaitu koleksi Anggun yang diperkenalkan tiga tahun lalu, ia mendapat sambutan yang memberangsangkan, lalu Poh Kong mempertingkatkan lagi mutu dengan penghasilan rekaan yang baru dengan corak yang sangat eksklusif .

    Koleksi terbaharu rekaan Poh Kong ini bukan sahaja kelihatan unik dan bergaya tetapi juga tetap mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dengan rekaan yang yang sungguh unik bergaya.

    Malah corak kerawang bunga-bungaan ditempa daripada emas 916, 22 karat. Ia bukan sahaja menampilkan keindahan, malah menyerlahkan unsur tradisional yang tidak lapuk ditelan zaman.

    Pengarah Eksekutifnya, Christine Choon berkata, koleksi terdahulu, siri Anggun mendapat sambutan hangat sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, ia merupakan cetusan ilham halus berseni berteraskan keindahan eksotik dan disasarkan

    Katanya, keunggulan reka bentuk serta ketelitian dalam penghasilan set perhiasan berkenaan mampu melahirkan naluri gaya mempesona yang tersendiri.

    Keadaan itu katanya mengilhamkan idea kepada Poh Kong sekali gus memberikan sesuatu yang lebih eksklusif kepada pelanggan sempena kehadiran Aidilfitri yang bakal tiba.

    "Koleksi Alamanda adalah cetusan ilham yang halus berseni. Ketelitian yang diterapkan dalam penghasilan set perhiasan ini mampu melahirkan gaya yang mempesonakan si pemakai,'' ujarnya lagi.

    Tambah beliau lagi, koleksi kerawang bunga-bungaan dalam koleksi Alamanda bukan sahaja menampilkan keindahan tetapi lebih menarik, koleksi terbaru ini turut menerapkan unsur-unsur tradisional menjadikan si pemakai kelihatan anggun bergaya.

    Selain itu, koleksi Alamanda juga dilihat lebih praktikal dan sesuai digayakan dalam apa jua majlis tidak kira formal mahupun ketika bersantai bersama rakan serta sahabat handai.

    Seperti mana koleksi yang terdahulu, koleksi Alamanda menampilkan perhiasan loket, rantai, gelang tangan, kalung serta subang dalam pelbagai rekaan dan saiz.

    Setiap wanita pasti terpesona melihat reka bentuk kreatif pereka Poh Kong yang lain daripada lain.

    Frankfurt kota dua wajah

    Posted: 05 Aug 2011 08:27 PM PDT


    LANDSKAP metropolitan di kota Frankfurt.


    FRANKFURT merupakan antara bandar-bandar di Eropah yang musnah teruk semasa Perang Dunia Kedua. Namun kota yang bertapak sejak lebih 1,200 tahun itu tidak mengambil masa lama untuk bangkit.

    Dipisahkan kepada bahagian utara dan selatan oleh Sungai Main, Frankfurt kini membangun sebagai pusat kewangan dan bandar pengangkutan paling utama di Jerman.

    Berbeza dengan kota-kota Eropah lain yang tidak mempunyai banyak bangunan tinggi, kota kelima terbesar di negara itu menyajikan pelancong dengan landskap metropolitan dengan gabungan budaya yang cukup harmoni.

    Berdiri paling tinggi di bandar itu adalah bangunan Commerzbank setinggi 259 meter dan pernah menjadi bangunan tertinggi di Eropah. Cuma ia tidak dibuka untuk kunjungan umum.

    Untuk meninjau pemandangan keseluruhan kota, menara Main Tower yang terletak di Landesbank Hessen adalah tempat terbaik. Pada hari yang cerah, menara setinggi 54 tingkat ini menyajikan saujana mata memandang sehingga menampakkan kawasan kampung yang kemas dan rapi.

    Suasana santai di pinggir Sungai Main adalah antara suasana yang paling digemari pelancong. Lokasi yang damai itu memberikan Frankfurt nama kedua iaitu Mainhattan.

    Pada musim panas, pelancong boleh menghabiskan masa untuk bersiar di sepanjang tebingan sungai yang penuh dengan penghuni dan pelawat kota. Lokasi yang menempatkan restoran dan kafe itu pasti menjadi kegemaran.

    Puas bersantai. Kini tiba masanya untuk menjelajah ke pelosok kota. Frankfurt sebagai bandar bahagian Hesse juga dikenali dengan gelaran bandar dua muka disebabkan perbezaan zamannya.

    Melihat kemodenan dan unsur tradisional yang serasi di Frankfurt adalah pengalaman yang tiada di mana-mana. Jangan berasa janggal apabila sebuah pasar raya moden mengejutkan anda sebaik sahaja keluar dari bangunan berusia ribuan tahun.

    Salah satu lokasi yang menjadi kegemaran pelancong di Frankfurt adalah Dataran Romer yang menampilkan keunikan reka bentuk bangunan dari kurun ke-14.

    Kawasan yang dibangunkan semula selepas musnah teruk pada Perang Dunia Kedua itu menempatkan gereja Alte Nikolaikirche dan penempatan Roman kuno yang menjadi rahsia nama Romer dikenang sehingga hari ini.

    Seperti kebanyakan kawasan tarikan pelancong di Frankfurt, bangunan itu juga dipenuhi dengan premis makanan dan cenderahati yang menawarkan harga berpatutan.

    Untuk menyusuri asal usul bandar itu secara lebih terperinci, kawasan Museumsufer yang terletak di selatan Main menghimpunkan sembilan buah muzium yang menceritakan pelbagai sejarah, pameran khazanah dan artifak.

    Antara muzium yang ada di situ adalah Muzium Filem Jerman, Muzium Senibina, Muzium Seni, Muzium Jewish, Muzium Telekomunikasi, Muzium Adat dan Budaya Giersch.

    Dari pusat bandar, perjalanan ke kompleks muzium boleh dilakukan dengan menaiki kereta api bawah tanah sehingga ke stesen Schweizer Platz sebelum menuju ke pinggir Sungai Main.

    Pengalaman melancong di Frankfurt tidak mungkin memeningkan kepala. Sebagai pusat pengangkutan utama di Jerman, Frankfurt dilengkapi dengan rangkaian kereta api, bas dan teksi yang cukup efisien.

    Untuk kepuasan membeli-belah, luangkan masa bersiar ke Frankfurt Zeil atau Fifth Avenue. Di kawasan itu terdapat deretan kedai dan butik yang menjual pelbagai barangan berjenama. Kemeriahan akan lebih terasa menjelang malam yang dihiasi lampu neon dan lagak pengunjung.

    Tarikan lain termasuk The Palm Garden (Palmengarten) yang terletak kira-kira dua kilometer dari Frankfurt Operas House. Palm Garden merupakan antara taman botanika terbesar di Jerman.

    Selain mempamerkan koleksi tumbuhan eksklusif dan eksotik, taman yang dibuka sejak 1871 itu turut menyediakan kemudahan seperti bot persiaran, taman permainan, rumah hijau dan menganjurkan festival pada masa-masa tertentu.

    Bercerita mengenai festival, Frankfurt sebagai kota tempat muda-mudi bersuka-ria juga tidak lekang dengan pelbagai pesta dan kemeriahan.

    Bagi yang merancang lawatan, anda dinasihatkan membuat tempahan terlebih awal kerana penginapan bukan sesuatu yang mudah diperoleh setiap kali acara berlangsung. Kota Frankfurt biasanya akan padat dengan pelawat setiap kali penganjuran acara.

    Waktu terbaik untuk melawat Frankfurt adalah pada hujung musim bunga hingga awal musim luruh. Cuaca pada musim panas sekitar 25 darjah Celsius mungkin terlalu hangat manakala suhu musim sejuk biasanya turun mencecah negatif.

    Dengan dua wajahnya, Frankfurt mungkin bukan kota yang penuh dengan sejarah seperti Paris, Rom dan London. Namun keserasian antara pembangunan dan budaya menjadikan ia antara destinasi yang berbaloi untuk dikunjungi.

    Berekreasi di ar-Raudhah

    Posted: 05 Aug 2011 08:26 PM PDT


    Menunggang kuda sekeliling pusat rekreasi adalah salah satu aktiviti di ar-Raudhah.


    JIKA dilihat perjalanan dari luar, ar-Raudhah Vacations and Events Sdn. Bhd. tidaklah kelihatan seperti tempat untuk dikunjungi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi dan mengikuti aktiviti luar.

    Namun sebaik sahaja sampai ke tempat rekreasi yang terletak di pinggiran bukit-bukau berlatarkan kehijauan flora dan fauna itu, segalanya terjawab.

    Terletak di kawasan seluas 100 hektar yang mana 40 hektar ditanami dengan pokok buah-buahan, sebahagian menjadi pusat ternakan kambing Boer bergenetik tinggi dan 35 ekor kuda.

    Menurut Pengarahnya, Kartina Abdul Ghani, kawasan ar-Raudhah telah dibuka sejak 2002 dan hanya diketahui individu dan pihak tertentu sahaja.

    ''ar-Raudhah pada permulaannya telah dibangunkan untuk kegunaan peribadi.

    ''Hanya pada tahun ini sahaja, pemiliknya berhasrat untuk membukanya kepada orang ramai yang mahu menjalankan aktiviti sosial seperti upacara dan majlis meraikan perkahwinan, acara-acara korporat, pelancaran produk, hari keluarga, management retreat dan banyak lagi yang boleh diatur mengikut keperluan kumpulan-kumpulan tertentu," katanya ketika ditemui di ar-Raudhah, Kuang, Selangor, baru-baru ini.

    Sambil ditemani Pelatih - (Training and Event), Kushairi Amir Kamarudin dan pegawai pemasaran, Adibah Mansor, kami meninjau kemudahan yang ada di situ seperti ar-Raudhah Equine Centre yang menempatkan 35 ekor kuda.

    Haiwan-haiwan ini boleh digunakan untuk latihan menunggang atau riadah mengelilingi kawasan ini. Kuda-kuda ini dijaga dengan baik oleh para petugas di bawah Pengarah Operasinya, Mohamad Din Mat.

    Begitu juga dengan pusat latihan bagi 60 orang lengkap dengan bilik tidur, surau, dewan makan, dewan, wi fi, karaoke dan TV.

    ''Antara kemudahan lain yang akan dibina ialah kolam renang dan bangunan serba guna dua tingkat. Aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan seperti abseiling, rapeling, flying fox, wall climb tower, paint ball, obstacle tracks, jungle tracking untuk peminat aksi lasak. Pendek kata sebut sahaja, kami akan cuba penuhi," jelasnya.

    Kartina mengakui, kini dengan hanya pemanduan selama 45 minit dari Kuala Lumpur, para pengunjung boleh menikmati semua kemudahan ini.

    Dalam pada itu sekiranya para pengunjung hanya mahu berehat sambil menikmati pemandangan di kawasan ini, terdapat kelengkapan vila dan pangsapuri yang indah untuk para pengunjung sambil menikmati air terjun, sewang bersama Orang Asli dan menikmati buah-buahan segar.

    Di sini juga terdapat unit-unit pavilion, enam vila suite, lapan pangsapuri suite, 60 unit kabin bagi yang mahukan kemudahan menginap di hujung minggu.

    ar-Raudhah Vacations and Events Sdn. Bhd. boleh dihubungi 03-9287 6371/8408 atau www.arraudhahvacations.com atau 017-209 5212 (Adibah) untuk pertanyaan lanjut.

    Superbike, kelajuan cinta kedua Asyraf

    Posted: 05 Aug 2011 08:25 PM PDT


    GAYA seorang jaguh skuasy ketika menunggang motorsikal berkuasa tinggi.


    DERUMAN enjin yang membingitkan dan keupayaan memecut lebih 250km/j menjadi kegilaan peminat motosikal berkuasa tinggi.

    Melihat saja reka bentuk motosikal superbike yang aerodinamik, selain aksesori lain yang dikenakan si penunggang, pasti akan membuat sesiapa saja teruja untuk menyertai kelompok ini.

    Jadi bukanlah suatu yang menghairankan apabila Muhd. Asyraf Azan memilih untuk mendalami kuasa superbike, biarpun dia sebenarnya sudah mencipta nama dalam sukan skuasy.

    Ketika penulis berkunjung ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk melihat aktiviti masa lapang Asyraf, perkara pertama yang bermain di fikiran ialah ingin mengetahui jenis motosikal yang digunakan oleh atlet muda itu.

    Sebaik melihat ia Suzuki GSX-R1000 K3, jenyera yang memiliki kuasa 147bhp, penulis sudah dapat bayangkan kelajuan yang mampu dihasilkan di atas litar.

    Kata Asyraf, jentera yang ditunggangnya mampu mencecah kelajuan sehingga 300km/j, dan itu yang menyebabkannya dia jatuh cinta dengan motorsikal berkuasa tinggi.

    "Menunggang motosikal berkuasa tinggi ini memerlukan teknik yang betul dan kerana itu saya mendapatkan bimbingan jurulatih, Lee Ching Hooi dari pasukan Sports Riders Motor Sports.

    "Sejak belajar teknik yang betul, saya sudah dapat mengawal kelajuan dan motosikal ketika di atas litar.

    "Menunggang motosikal begini memerlukan fokus yang mendalam dan ini sebenarnya turut membantu saya mendapatkan fokus ketika bermain skuasy,'' ujar Asyraf.

    Kata Asyraf, skuasy adalah kariernya, justeru dia sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki diri dan ranking dunia, namun kelajuan serta motorsikal berkuasa tinggi adalah cintanya, dan dia juga cuba mencari ruang untuk memajukan diri dalam bidang tersebut.

    Ditanya jenis motosikal yang paling diminati, Asyraf dengan pantas menjawab: "Saya suka Honda CBR 1000RR, keupayaan enjinnya sukar ditandingi.

    "Saya akan cuba mendapatkan motosikal itu suatu hari nanti.''

    Biarpun sibuk di litar lumba, Asyraf tetap memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi kejohanan skuasy di Brazil pada bulan depan.

    Hutan mendamaikan hati Kamal Adli

    Posted: 05 Aug 2011 08:23 PM PDT


    PUAS apabila Kamal dapat melihat pemandangan indah Empangan Klang Gate di belakangnya.


    DUDUK atas batu itu, kemudian pegang tali dan menggelongsor terus ke bawah.' Itu adalah antara arahan yang diberikan oleh aktor tampan Kamal Adli ketika S3 berpeluang mengikut dia mendaki Bukit Tabur, Hulu Klang, baru-baru ini.

    Siapa sangka, aktor yang sering membawakan watak jiwang dalam kebanyakan lakonannya itu meminati aktiviti lasak yang kini jarang diminati oleh kebanyakan generasi muda.

    Biarpun telah jauh meninggalkan bukit berkenaan, arahan yang diberikan Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli,25, masih lagi terngiang-ngiang di telinga penulis.

    Pengalaman lima jam mendaki, perjalanan penulis, jurugambar dan pembantu peribadi Kamal, Rafi banyak dibantu dan dibimbing oleh Kamal bersama dengan seorang rakannya iaitu Itik.

    Menurut Kamal, dia sememangnya menyukai sukan lasak seperti mendaki bukit atau gunung.

    Baginya kehijauan dan kedamaian kawasan hutan yang dilitupi dengan pohon-pohon yang menghijau membuatkannya merasa tenang dan damai.

    "Jika ingin mencari kedamaian saya pasti akan meluangkan masa bersama dengan kawan-kawan menawan bukit-bukau atau gunung.

    "Cara itu membuatkan saya lupa pada segala bebanan yang menghimpit diri. Maklumlah duduk di tengah bandar raya sudah tentu banyak tekanan dan perkara yang perlu difikirkan," kata Kamal ketika kami semua berehat sebelum meneruskan perjalanan menghabiskan 13 pit stop bukit tersebut.

    Jelas anak muda kelahiran Kuantan, Pahang itu lagi, minatnya terhadap aktiviti hutan itu bermula sejak berada di bangku sekolah lagi apabila sering mengikuti perkhemahan pasukan beruniform yang disertainya.

    Bicaranya, pengalaman pertama mengikuti aktiviti itu telah membuka minatnya untuk terus meneroka hutan yang terbentang luas di bumi ini.

    "Saya tertarik dengan kehijauan dan pemandangan yang dapat dilihat ketika berada atas puncak bukit atau gunung.

    "Pemandangan indah yang terdampar luas di hadapan mata dan ditambah dengan udara nyaman dan segar membuatkan saya merasa tenang," ujar aktor yang baru pulang menjalani penggambaran filem Gerimis Mengundang di Jakarta, Indonesia.

    Filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd., arahan Ahmad Idham menemukan Kamal dengan pelakon remaja popular Indonesia, Olivia Lubis Jensen.

    Selain itu, kata Kamal, laluan sukar dan mencabar yang terpaksa ditempoh dalam setiap ekspedisi pendakian menjadi pembakar semangat untuknya terus meredah belantara.

    Menurut Kamal, dia mencapai kepuasan maksimum setiap kali berjaya menjejakkan kaki di puncak belantara.

    "Dalam pendakian, apabila kita berjaya berada di puncak, itu adalah klimaks. Segala usaha mengharungi laluan yang mencabar seolah-olah terbalas.

    "Hilang segala letih dan penat sepanjang pendakian apabila berjaya menghirup udara di puncak belantara yang didaki," tambah Kamal.

    Bagai benar apa yang dikatakan, apabila penulis yang baru pertama kali berpeluang menjejaki Bukit Tabur dapat merasai situasi begitu.

    Segala keletihan dan kepenatan mengharungi laluan berbatu yang begitu mengerikan hilang dibawa bayu lembut yang bertiup di puncak Bukit Tabur.

    Kepuasan dan kenikmatan melihat pandangan indah empangan Klang Gate dan kota raya Kuala Lumpur berjaya menelan segala keletihan biarpun kami semua terpaksa mengharung hujan lebat sepanjang laluan untuk kembali semula ke kaki bukit tersebut.

    Tidak cukup dengan itu ketika bergegas untuk menamatkan pendakian, kami terpaksa bersembunyi di pokok apabila laluan kami dihalang oleh seekor anak babi hutan.

    Namun kami bernasib baik apabila seorang pekebun yang kebetulan melewati laluan itu berjaya menghalau binatang berkenaan.

    "Betulkan... hilang semua penat apabila berjaya menamatkan pendakian? Biar penat tetapi berbaloi," ujar Kamal sebelum pertemuan hari itu berakhir.

    Hazama lincah, Fina teruja

    Posted: 05 Aug 2011 08:22 PM PDT


    Pose istimewa Fina dan Hazama dengan kelengkapan khas sebelum bermain Galactic Laser.


    PELUANG dapat bermain sebuah permainan moden alaf baru yang dinamakan Galactic Laser di sebuah pusat membeli-belah terkenal di Lembah Kelang baru-baru ini sememangnya memberikan pengalaman baru buat juara Akademi Fantasia kesembilan (AF9), Hazama dan rakan seangkatannya, Fina.

    Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 26, yang baru pertama kali mencuba permainan tersebut mengakui, ia amat menyeronokkan kerana berasa seperti berada di medan pertempuran yang sebenar.

    "Walaupun letih apabila terpaksa berlari ke sana sini, saya tidak kisah kerana saya sudah biasa bab kejar mengejar dan melarikan diri.

    "Asalkan ia menyeronokkan, saya akan terus bermain sehinggalah benar-benar keletihan. Selagi tidak tersungkur, selagi itulah saya akan bermain permainan ini," katanya yang dilihat begitu tertarik dengan Galactic Laser yang seakan-akan permainan paintball itu.

    Tambah Hazama, sebelum ini dia pernah bermain paintball tetapi ia agak menyakitkan dan akan meninggalkan kesan lebam di anggota badannya.

    Tetapi, tambahnya, Galactic Laser tidak menyakitkan langsung malah kalau boleh, dia mahu bermainnya setiap hari.

    "Apatah lagi kalau dapat bermain dengan rakan-rakan, ia akan jadi bertambah seronok.

    "Game ini boleh disertai sehingga 20 orang pada satu-satu masa. Jadi selepas ini, kalau berkesempatan, saya mahu bawa satu bas," seloroh Hazama yang sememangnya suka bergurau.

    Sementara itu, Fina atau Nor Syafinaz Jebat, 18, memberitahu, dia amat teruja dengan permainan itu dan tidak menyangka ia wujud.

    Katanya, dalam era moden sekarang ini, bermacam-macam perkara di luar jangkaan boleh berlaku.

    "Hebat sangat teknologi yang ada sekarang sehinggakan permainan secanggih ini pun sudah wujud.

    "Kalau dahulu, masa zaman kanak-kanak, hanya ada permainan video sahaja. Itu pun dah kira canggih.

    "Kini, macam-macam permainan lebih canggih sudah ada. Bertuah kanak-kanak sekarang," katanya yang mengakui agak kekok bermain Galactic Laser.

    Walaupun tidak pandai bermain permainan tersebut, Fina tetap merasai keseronokannya apabila melihat keriuhan setiap pemain yang sedang bertempur.

    Fina yang tidak berhenti menjerit sedari awal permainan itu bermula nyata menjadi sasaran mudah musuh untuk mengesan kedudukannya.

    Manakan tidak, ujar Fina, keterujaan apabila dapat menembak musuh dan pada masa yang sama, ketakutan apabila ditembak membuatkan gadis itu tidak boleh duduk diam.

    "Serak suara saya dibuatnya. Seronok pun ada, takut pun ada. Jadi, macam mana saya nak berhenti menjerit?

    "Apa pun, ini adalah permainan paling best pernah saya sertai. Selepas ini, saya akan bawa satu famili merasai keseronokan bermain Galactic Laser," jelas Fina yang kini popular dengan singlenya, Menangis Lagi.

    Johan adaptasi al-Fatihah jadi lagu

    Posted: 05 Aug 2011 08:22 PM PDT




    JOHAN Nawawi dikenali ramai sebagai komposer lagu-lagu pop dalam industri muzik tanah air sejak penghujung tahun 1980-an hingga kini. Antara lagu ciptaannya berjudul Hanya Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera nyanyian Nora yang juga merupakan isterinya.

    Bagaimanapun, penggubah lagu berusia 45 tahun ini turut mempunyai ilham yang kuat mencipta lagu-lagu bertemakan ketuhanan. Bukan baru sekarang, sebaliknya dia mula berjinak-jinak mencipta lagu sebegitu sejak lima tahun yang lalu.

    Pedoman merupakan antara judul lagu berteraskan pop nasyid gubahannya pada ketika itu. Terbaru, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tampil sekali lagi dengan karyanya berjudul Erti Al-Fatihah yang dinyanyikan sendiri oleh anak bongsunya, Putri yang kini hampir mencecah usia tujuh tahun.

    Menurut Johan, dia tidak menafikan berasa begitu berat dan mencabar apabila mengadaptasi maksud daripada salah satu surah al-Quran iaitu al-Fatihah sebelum ia dijadikan lirik lagu Erti Al-Fatihah.

    Kata anak bekas Ketua Pengarah Pusat Islam yang pertama, Allahyarham Mohd. Nawawi Mahmud ini, dia banyak berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah agar diberi kekuatan mencipta lirik lagu itu yang dipetik daripada sebuah surah yang cukup penting.

    "Sewaktu mahu mencipta lagu itu, saya selalu berdoa kepada Allah selepas solat lima waktu. Saya berdoa agar diberi petunjuk kerana bukannya mudah atau sewenang-wenangnya mahu mengadaptasi surah al-Quran menjadi lirik lagu.

    "Saya anggap itu satu tanggungjawab yang berat. Semasa mencipta lagu itu, saya banyak mendapat nasihat daripada Tan Sri Prof. Kamal Hassan iaitu bekas Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia).

    "Selain itu, dua lagi pakar rujuk saya ialah Ustaz Aminullah Saliman dan Ustaz Che Bakar Che Mat. Mereka banyak membantu menyemak dan memberi nasihat kepada saya sepanjang lirik lagu itu hendak dihasilkan," katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Lagu Erti Al-Fatihah itu merupakan salah satu lagu latar yang dimuatkan dalam siri animasi baru berjudul Ummi - Ceritalah Pada Kami! terbitan Hud-Hud Media Sdn. Bhd., dan Erama Records Sdn. Bhd., yang akan disiarkan menerusi kaca televisyen tidak lama lagi.

    Bapa kepada tiga anak ini berkata, minat dan ilham untuk mencipta lagu-lagu bertemakan ketuhanan itu mula tercetus pada penghujung tahun 1990-an sewaktu era kumpulan nasyid Raihan sedang mencipta populariti dalam persada muzik di negara ini.

    "Ketika itu, saya teringin mencipta lagu-lagu bertemakan ketuhanan tetapi peluang itu agak lambat datang. Sehinggalah saya diminta mencipta sebuah lagu berjudul Pedoman untuk dinyanyikan oleh kumpulan Mirwana.

    "Tetapi sayangnya, projek itu tidak menjadi dan akhirnya saya memberikan lagu itu kepada Nora untuk dinyanyikan. Lagu Pedoman itu turut diselitkan dalam album dan lagu latar Ummi - Ceritalah Pada Kami!

    "Selain itu, kematian seorang wartawan Barat, Grame Nesbit daripada majalah Billboard yang memeluk Islam dan meninggal dunia pada 1999 juga memberi inspirasi kepada saya. Allahyarham atau nama Islamnya, Muhammad Ilham Nasir antaranya begitu meminati lagu-lagu Raihan seperti Puji-Pujian sebelum beliau memeluk agama Islam," ujarnya.

    Jelas pemegang diploma dalam bidang arkitek daripada Federal Institute of Teknologi (FIT) ini, dia berasa bertanggungjawab menghasilkan lagu-lagu bertemakan ketuhanan yang mengandungi mesej-mesej berguna untuk para pendengar terutamanya golongan muda.

    Kata Johan, pengalamannya yang membesar dengan lagu-lagu penyanyi seperti Ebiet G. Ade dan M. Nasir yang turut menyelitkan mesej-mesej ketuhanan banyak memberi inspirasi serta motivasi kepadanya bagi menghasilkan lagu-lagu dan lirik-lirik seperti itu.

    "Sejak kecil, saya banyak didedahkan oleh arwah ayah saya yang antaranya pernah bertugas di Pusat Islam. Arwah ayah saya banyak bergaul dengan mufti dan ustaz. Jadi, secara tidak langsung saya juga pernah terbabit dalam pergaulan bersama-sama mereka.

    "Malah, saya juga kenal ramai aktivis nasyid seperti Farihin Abdul Fatah yang bekerja dengan Raihan pada penghujung tahun 1990-an. Sayangnya, ketika itu saya tidak berpeluang berkolaborasi dalam penerbitan lagu-lagu nasyid sehinggalah lima tahun kebelakangan ini," jelasnya.

    Johan yang boleh bermain alat-alat muzik seperti piano serta gitar dan mula aktif bermain muzik sejak tahun 1986 berharap selepas ini dia akan terus mencipta lagu-lagu yang bertemakan ketuhanan tetapi dalam genre pop nasyid.

    Tambahnya lagi, niatnya yang mahu menyumbang kepada bahan-bahan hiburan positif diharap mendapat sambutan para peminat yang selama ini lebih mengenalinya sebagai komposer lagu-lagu pop komersial.

    "Bagi saya, apa juga lagu-lagu yang bertemakan ketuhanan boleh dianggap nasyid kerana lirik-liriknya mendorong ke arah kebaikan. Tetapi untuk memudahkan sambutan para pendengar saya gubah nadanya dalam genre pop. Ia lebih mudah diterima kerana sifatnya yang lebih kontemporari itu," katanya lagi pada pertemuan petang tersebut.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

    Categories