RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Cinta baru belum dikejar

Posted: 18 Jan 2012 11:07 PM PST

Siti Adira Suhaimi
Siti Adira Suhaimi

NADA suaranya ada getaran emosi yang sangat hebat tatkala membisikkan baris ayat "Malam kau bawalah rinduku untuk dirinya yang jauh dari ku...."

Demikianlah antara lirik lagu Ombak Rindu nyanyian Adira bersama Hafiz yang begitu mencengkam perasaan. Tentu ada yang masih ingat mereka berdua pernah bercinta namun ia tidak kekal lama. Apakah Adira mahupun Hafiz menyanyi lagu itu daripada suara hati mereka sendiri?

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Saat soalan itu diajukan kepada Adira yang menyanyikan lagu itu baru-baru ini, pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi, 21, menepuk manja tangan penulis. Dia dengan lembut menafikan lagu berkenaan apa kaitan dengan kisah cintanya yang sudah berlalu.

"Saya bukan bersedih kerana terkenangkan kisah cinta saya dengan Hafiz yang pernah terputus di tengah jalan dulu. Bagi saya lirik lagu itu sendiri terlalu menyentuh perasaan tambahan pula saya pernah dua kali menonton filem Ombak Rindu di pawagam.


"Justeru, ketika saya menyanyi tadi saya tiba-tiba saya terbayang pula babak sedih dalam Ombak Rindu. Itu saja," katanya yang cuba meleraikan spekulasi tetamu pada majlis anjuran jenama kosmetik Avon, baru-baru ini.


Adira mengulas lagi, perpisahan dirinya dengan Juara Akademi Fantasia 7 (AF7) itu atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suib, 22, sudah berada dalam lipatan sejarah.

Tambahan pula kata Adira, mereka berdua yang bersepakat mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan itu secara baik kerana mahu mengejar kerjaya dalam hidup.

Katanya, masing-masing masih muda dan harus memberi fokus kepada bidang seni yang menuntut banyak pengorbanan. Mereka masih bertatih-tatih dan perlu lebih waktu untuk benar-benar berada pada tahap selesa.

"Masa sekarang lebih penting untuk kami mengukuhkan ekonomi dan kemajuan tugas.
Sebab itulah kami sanggup ketepikan soal perasaan. Kebetulan, kami berdua sangat sibuk sampaikan tiada masa untuk menjalani kehidupan seperti pasangan kekasih lain.

"Kurang memberi perhatian kadang-kadang boleh menjadi punca pasangan itu rasa terpinggir tapi apakan daya kerja sebagai penyanyi atau artis memang tak tentu masa.

"Bagaimanapun antara kami memang tiada rasa dendam. Hafiz berhak untuk mendampingi sesiapapun begitu juga dengan saya. Cuma saya sendiri kurang selesa ada kekasih buat masa ini kerana mahu beri laluan pada kerjaya seni yang baru setahun jagung," ujar Adira yang comel dengan imej rambut pendeknya itu.

Apa yang nyata, hubungan cinta Hafiz dan Adira sedikit masa lalu pernah mencetuskan kontroversi apabila Hafiz dilaporkan bertindak kasar ke atas seorang wanita yang dipercayai seorang 'pengkid'.

'Pengkid' itu dikatakan bekerja sebagai pengurus persembahan pentas dan pada hari berkenaan, Hafiz kelihatan berang gara-gara cemburu apabila mengetahui 'pengkid' itu cuba rapat dengan Adira. Bagaimanapun, perkara itu sudah pun diselesaikan oleh mereka.

"Seperti pernah saya katakan, saya tak pernah memilih kawan kerana 'pengkid' juga manusia biasa. Asalkan orang berniat baik dengan saya, saya tiada masalah berkawan dengan sesiapa pun.

"Saya juga ada ramai kawan dari lelaki lembut tapi tidak pula orang buat gosip! Namun, apabila saya berdampingan dengan 'pengkid' macam-macam pula cerita yang keluar. Itu semua hanyalah salah faham. Yang penting ibu bapa saya tahu siapa diri saya yang sebenarnya.

"Kalau hendak ikutkan di Kuala Lumpur ini, saya selalu bersama keluarga, tapi orang ramai dan peminat tidak tahu," katanya.

Beralih pada skop kerjayanya, Adira baru saja melancarkan klip video terbarunya, Sakura sebuah lagu balada hasil ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Omar K yang ke udara secara rasminya, di Astro Ria Ahad lalu.

Selain 'single' terbaru, gadis kelahiran Ranau, Sabah itu sibuk memenuhi undangan nyanyian yang hampir setiap minggu diaturkan pihak pengurusannya.

Ditanya, apakah dia merancang menceburi bidang lakonan untuk menambah satu lagi cabang dalam kerjaya seninya, Adira berkata, dia mungkin boleh berbuat demikian dengan syarat memperbaiki loghat Sabah yang dituturkan selama ini.

"Saya cuba cakap seperti orang KL tapi akhirnya orang gelak sebab nampak terlalu dibuat-buat. Jadi saya perlu masa untuk lebih fasih dan bersahaja.
Bukan tidak bangga dengan loghat Sabah, tapi kalau boleh bercakap bermacam-macam loghat dan bahasa, bukankah itu satu kelebihan untuk kita," katanya.



TRIVIA ADIRA

  • Panggilan manja di rumah?: Yayang
  • Produk penjagaan kulit yang sering digunakan?: Dremdex

  • Perkara gemar dilakukan di masa lapang?: Berenang, berbasikal, mandi sungai, tidur

  • Lagu yang tidak disukai?: Alamak! Susahnya nak jawab. Saya hanya dengar lagu dan muzik yang saya suka saja, jadi saya tidak tahu lagu apa yang saya tidak suka.

  • Jika diberi peluang kamu ingin menjadi kekasih aktor/penyanyi mana?: Pemain bola sepak, Cristiano Ronaldo... hehehe!

  • Perkara paling ngeri pernah berlaku dalam hidup?: Pernah kena langgar dengan kereta, pernah lemas dalam sungai, jatuh motosikal dan banyak lagi yang saya tidak ingat sebab masa sekolah dulu saya memang aktif dan nakal.

  • Impian perkahwinan kamu inginkan?: Yang ringkas dan cantik tapi diingati oleh setiap yang menghadirinya.

  • Pertama kali mendapat madah cinta, di mana dan siapa?: Zaman persekolahan, orangnya rahsia!

  • Siapakah diri Adira yang sebenarnya?: Seorang yang sukakan kanak-kanak, cepat mesra dan kawan dengan sesiapa saja yang sudi. Saya juga amat menyayangi keluarga dan sanggup buat apa saja untuk mereka.
  • Terima kasih lepas samun

    Posted: 18 Jan 2012 10:32 PM PST

    RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan suspek berbual dengan mangsa.
    RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan suspek berbual dengan mangsa.

    KUALA LUMPUR: Dua penyamun mengucapkan terima kasih kepada pemilik sebuah kedai runcit selepas menyamun premis itu di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, di sini, petang kelmarin.

    Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa yang juga wanita yang sarat mengandung berseorangan sebelum didatangi seorang pelanggan lelaki berpakaian serba hitam.


    Suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Puven, 38, berkata ketika kejadian, dia berada di rumah di tingkat dua blok pangsapuri di kawasan sama untuk mandi dan ketika hendak turun semula ke kedai, dia menerima panggilan daripada isteri yang memaklumkan kedai mereka disamun dua lelaki bersenjatakan parang.

    Beliau berkata, dua lelaki itu memasuki kedainya dengan berpura-pura membeli rokok sebelum seorang daripada mereka bercakap dengan isterinya mengenai pelbagai barangan yang dijual di kedainya.


    Katanya, seorang lagi yang memakai topi keledar pula berkawal di luar kedai dan menghalang pelanggan lain masuk ke kedai itu dengan menyatakan tuan kedai keluar makan.


    "Selepas bercakap dengan isteri saya, tiba-tiba lelaki itu meminta dia mengeluarkan semua wang yang disimpan dalam peti simpanan dan apabila enggan berbuat demikian, lelaki itu mendekatinya sebelum meletakkan pisau di perutnya.

    "Akibat panik, isteri menyerahkan semua wang tunai dan kad sim prabayar bernilai RM1,500 kepada lelaki terbabit. Mereka tidak segera meninggalkan kedai sebaliknya terus berbual dengan isteri lebih 10 minit," katanya ketika ditemui, semalam.


    Menurutnya, lelaki terbabit menyatakan sekiranya isterinya enggan menyerahkan wang tunai itu secara 'percuma', suspek sanggup meminjam wang itu dengan isterinya dan membayar semula pada hari lain.

    "Selain itu, lelaki terbabit mengucapkan terima kasih kerana isteri saya menyerahkan wang kepadanya sebelum beredar.


    "Sebelum memasuki kawasan perumahan yang dikawal pengawal keselamatan, kedua-dua lelaki itu dipercayai mengugut pengawal terbabit dengan menyatakan akan memecahkan kepala pengawal itu jika enggan membenarkan mereka masuk, malah mereka dipercayai tinggal di kawasan berdekatan," katanya.


    Menurutnya, dia bernasib baik kerana mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya dan sudah menyerahkan rakaman berkenaan kepada polis ketika membuat laporan di Balai Polis Petaling, semalam.

    Solekan hanya tutup cela

    Posted: 18 Jan 2012 10:30 PM PST

    GANDINGAN...Syaiful (dua dari kiri), Norizatul Akma (tengah) dan Jesie (dua dari kanan) diapit model pada majlis pelancaran Beautiful Bride AsterSpring dan Dermalogica, baru-baru ini.
    GANDINGAN...Syaiful (dua dari kiri), Norizatul Akma (tengah) dan Jesie (dua dari kanan) diapit model pada majlis pelancaran Beautiful Bride AsterSpring dan Dermalogica, baru-baru ini.

    KESERIAN mempelai pada hari perkahwinan bukan hanya terserlah menerusi warna solekan pada wajah, apa yang penting adalah penampilan sihat yang akan menonjolkan lagi keanggunan ratu sehari.

    Ini kerana mekap hanya langkah menutup cela dan menonjolkan sesetengah ciri wajah, namun kulit berseri dari dalam hanya mampu diperoleh menerusi kesejahteraan menyeluruh.

    • Foto

      MENYERLAH...kulit berseri akan membuatkan solekan kekal menawan sepanjang hari.

    • Foto

    Menurut Pengurus Pendidikan Kumpulan Dermalogica Malaysia, Jesie Hong, setiap pengantin berhak tampil cantik dan anggun pada hari perkahwinan mereka. Namun, tiada jalan pintas untuk kelihatan cantik kerana rawatan harus dimulakan tiga bulan menjelang perkahwinan.

    "Menggunakan empat rawatan muka, mereka akan kelihatan menawan tatkala wajah disolek. Begitu juga dengan rawatan badan Exfoliation yang mampu menanggalkan sel kulit mati sekali gus menjadikan kulit lebih bermaya, lembut dan licin bak sutera.


    "Kulit kering juga boleh dipulihkan dengan gabungan tumbuhan aromatik yang penuh khasiat dalam salutan badan Hydrasilk, yang akan menjadikan kulit lembut dan lebih muda manakala bagi mempelai yang mengalami tekanan dalam merancang majlis perkahwinan, mereka boleh mencuba rawatan badan aromaterapi, menjadikan badan lebih ringan dan bertenaga," katanya.


    Menyedari kehendak wanita masa kini yang ingin tampil berseri menjelang hari perkahwinan, AsterSpring dan Dermalogica menyediakan pakej Beautiful Bride yang menekankan rawatan lengkap badan dan wajah dengan 15 produk semula jadi tanpa memudaratkan kulit.

    Produk penjagaan Dermalogica lain yang terdapat dalam pakej Beautiful Bride ini adalah Silk Finish Conditioner, Shine Therapy Shampoo, Body Hydrating Cream, Conditioning Body Wash, Skin Renewal Booster, Skin Hydrating Booster dan Daily Microfoliant.

    Memandangkan kosmetik dan fesyen saling berhubung dan menjadi perkara utama yang akan melancarkan perjalanan majlis perkahwinan, pelancaran pakej Beautiful Bride turut menjemput jurusolek Norizatul Akma Rohizat atau lebih dikenali dengan Emma daripada Emma Pesona Studio serta pereka busana, Syaiful Ibrahim yang turut berkongsi panduan mendapatkan solekan sempurna serta pakaian menawan.

    Menurut Emma, mempelai yang memiliki kulit sekata dan licin akan menyempurnakan lagi tugas solekan. Ini kerana mekap hanya boleh menyembunyikan cela tetapi terlalu banyak produk solekan pada wajah akan menjadikan kecantikan nampak palsu.

    "Sesetengah cela kulit juga akan nampak jelas di dalam gambar kerana cahaya kamera tidak mampu menyembunyikannya. Bagaimanapun, sekiranya kulit pengantin sihat, licin dan memiliki ton sekata, gabungan warna yang betul serta teknik sapuan yang minimum mampu menjadikan mempelai seorang bintang pada hari bahagia mereka," katanya.

    Bagi Syaiful pula, untuk tampil menawan pada hari perkahwinan mempelai perlu bijak memilih busana serta saling melengkapi kulit dan bentuk badan mereka. Justeru, pentingnya bakal pengantin menjaga kulit kerana gaun pengantin selalunya mendedahkan tubuh badan mereka. Sekiranya kulit kusam dan tidak bermaya, ini akan menjejaskan penampilan sebagai raja sehari.

    Tambahnya, gaya terkini rekaan pakaian pengantin menjelang 2012 adalah lebih kepada gaya selebriti serta pasangan diraja.

    "Oleh sebab itu, kebanyakan wanita inginkan pakaian mereka seanggun Kate Middleton atau selebriti Malaysia seperti Maya Karin terutama daripada segi potongan, warna serta fabrik digunakan," katanya.

    Apa yang penting dalam merencana pakaian pengantin, mempelai dan pereka fesyen harus berbincang bagi mendapatkan pakaian sempurna sesuai dengan penampilan mempelai.

    Untuk pakej Beautiful Bride, ia boleh didapati pada harga RM1,888 untuk tempoh terhad bermula Januari sehingga Jun 2012. Untuk maklumat lanjut lawati kaunter AsterSpring di semua pusat beli-belah utama atau layari laman sesawang www.asterspring.com.

    'Fasha urus semua'

    Posted: 18 Jan 2012 10:29 PM PST

    • Foto

      FASHA dan Hatijah membelek sebahagian barangan ketika singgah di Bandung.

    • Foto

      MEMILIH tudung yang sesuai untuk ibu tercinta.

    Ibu harap perkahwinan tamatkan gosip tidak berasas

    IBU kepada pelakon sensasi Fasha Sandha, Hatijah Tehman, 49, akur dengan keputusan anaknya memilih Rizal Ashram Ramli, 35, selepas melihat kesungguhan mereka mempertahankan hubungan yang sudah beberapa kali dilanda badai.
    Sebagai insan terdekat, dia hanya mendoakan yang terbaik demi kebahagiaan Fasha atau nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan, 27.
    Walaupun pelakon itu sudah membuka mulut membicarakan soal hari bersejarahnya secara terbuka, tetapi hingga kini belum ada sebarang tanda mereka sekeluarga membuat persiapan perkahwinan sepanjang percutian Gemilang Bersama Bintang (GBB) anjuran Berita Harian dan Poto Travel & Tours ke Bandung dan Jakarta.

    "Memang Mama tidak buat apa-apa persediaan sebab Fasha tidak mahu menyusahkan Mama. Dia mahu menguruskan semuanya, kita ikut saja. Bagi Mama apa yang baik bagi dia baiklah kepada keluarga.

    "Biarlah dia mengecap bahagia. Dalam soal jodoh, kalau itu yang ditentukan-Nya, kita terima saja," kata Hatijah yang membahasakan dirinya Mama.

    Selain ibu, finalis kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 turut diiringi pengurus peribadinya, Nik Yasmin Nik Abd Rahman, pada lawatan empat hari tiga malam itu. Artis lain ialah Nabil Ahmad dan Black.
    Walaupun Bandung dianggap menjadi syurga beli-belah, terutama buat bakal pengantin, mereka bertiga dilihat sekadar meninjau, sekali gus tidak menunjukkan tanda-tanda membeli barang hantaran.

    Ditanya perasaannya mengenai desas-desus lokasi pernikahan di luar negara, Mama hanya mampu menahan sebak, malah tanpa berselindung turut menangis apabila cerita berhubung perkahwinan anaknya itu seperti ditokok-tambah.

    "Terus-terang memang Mama sedih sangat sehingga menangis apabila terbaca di akhbar yang Fasha akan berkahwin di luar negara, tanpa mengundang kedua-dua belah pihak.

    "Hati orang tua mana yang tidak sedih apabila anak kesayangan ditohmah dengan membelakangkan kita, lebih-lebih lagi hubungan kami memang rapat sebelum ini.

    "Namun Fasha tetap memujuk Mama yang khabar itu tidak benar belaka. Fasha dan Jejai juga berterus-terang mereka tetap tidak akan membelakangkan keluarga. Mereka juga ada meminta restui kami," katanya.

    Hatijah menegaskan, dia tidak mengharapkan perkahwinan Fasha nanti dijalankan secara besar-besaran kerana bimbang jika segala perancangan gagal.

    "Mama tidak menggalakkan mereka mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran. Tak payahlah seperti 'wedding of the year'. Mama mahu segala yang dirancang berjalan dengan lancar tanpa masalah.

    "Namun, Mama juga mahu perkahwinan Fasha nanti turut diadakan di kampung halamannya di Perlis," katanya.

    Sebagai ibu yang melahir dan membesarkan, Hatijah tetap menerima tempias apabila anaknya dilanda pelbagai kontroversi sejak bergelar artis, tujuh tahun lalu.

    "Memang Mama tidak nafikan kadang-kadang tertekan dengan gosip yang tidak berasas, seolah-olah mereka sengaja mahu mengaibkan kami sekeluarga. Ada penulis langsung tidak mengambil kira perasaan keluarga Fasha apabila mereka membuat sesuatu laporan.

    "Lebih-lebih lagi sampai ada yang mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah untuk memburuk-burukkan kami sekeluarga. Mama harap dengan perkahwinan mereka, semuanya akan berhenti di situ dan Mama reda untuk melepaskan tanggungjawab Mama pikul selama ini kepada pilihan hatinya.

    "Nasihat Mama agar pilihan Fasha itu (Jejai) dapat membimbing dan membahagiakannya kerana itulah yang sentiasa diharapkan mana-mana ibu di dunia," katanya.

    Kontrak tidak diperbaharui

    Posted: 18 Jan 2012 10:28 PM PST

    • Foto

      Sharifah Shahira

    • Foto

      HUBUNGAN akrab bersama rakan penyampai Suria FM tetap dikenang.

    Shiera terkejut dicalonkan dalam kategori penyampai radio ABPBH2011

    PERCUBAANNYA menjadi penyampai radio ternyata membuahkan hasil apabila namanya turut tersenarai sebagai finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011. Siapa sangka dalam tempoh hampir setahun berada di konti Suria FM, nama Sharifah Shahira berada sebaris dengan penyampai 'otai' lain seperti Abby Fana, Linda Onn, Raja Azura dan Fara Fauzana.
    Malahan, si empunya diri juga hairan dengan pencalonan itu kerana berasakan pengalamannya dalam bidang itu sangat cetek berbanding kerjaya seni lain seperti lakonan dan pengacaraan. Namun takdir Tuhan tak siapa yang dapat menduga. Biarpun terkejut, namun Shahira atau lebih mesra disapa Shiera ini tetap teruja dengan kepercayaan diberikan peminat.
    Bukan saja tersenarai sebagai calon Top 5, malah isteri pelakon Ijoy Azahari ini turut mendahului calon lain apabila mendominasi tiga kategori termasuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Pengacara Wanita Popular. Satu pencapaian terbaik buat Shiera dalam sejarah penganjuran ABPBH.

    "Saya sendiri memang tidak menyangka mendapat tiga pencalonan dan lebih-lebih lagi tersenarai sebagai finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular kerana jika diikutkan dari segi pengalaman, memang takkan sama dengan penyampai radio lain yang sama-sama berada dalam kategori itu.

    "Andai ditanya sama ada saya teruja atau tidak dengan pencalonan itu, sudah semestinya saya kata ya kerana sekurang-kurangnya saya tahu hasil kerja saya selama ini begitu dihargai peminat. Sebagai orang yang menjadikan bidang seni sebagai periuk nasi, saya hanya membuat kerja seperti yang diminta dan bukannya kerana mengharapkan anugerah," katanya yang tidak kelihatan pada majlis pengumuman senarai Top 5 baru-baru ini, gara-gara masalah komunikasi.

    Apabila dicalonkan dalam kategori penyampai radio bersama-sama empat calon lain yang memang boleh dianggap gergasi dalam dunia penyiaran, ia sudah membuktikan Shiera mempunyai potensi untuk menjadi seperti mereka. Malangnya, kerjaya wanita ini sebagai deejay radio sudah berakhir sebelum dia meneruskan langkah ke peringkat lebih tinggi lagi.
    Mengapa terlalu cepat Shiera mengucapkan selamat tinggal kepada tugasnya sebagai penyampai radio? Apakah dia sudah bosan sehingga mengaku kalah lebih awal?

    "Apa yang boleh saya katakan, kontrak saya dengan pihak Suria FM sudah pun tamat dan ia tidak diperbaharui," katanya ringkas sambil mengharap perkara itu tidak disensasikan oleh mana-mana pihak.

    Tempat Shiera kini diambil alih pelakon Kenchana Dewi yang bergandingan dengan Halim Othman dan Nabil untuk memeriahkan segmen pagi.

    Ditanya apakah dia masih berminat untuk menjadi penyampai radio andai peluang itu terbentang di depan mata, Shiera berkata jika bersesuaian, tiada sebab untuk dia menolaknya.

    "Adakah orang nak panggil saya? Jika ada tawaran yang datang dan kena pada masanya, saya akan terima. Minat saya dalam bidang penyampaian radio masih ada," ujarnya sekali gus menamatkan spekulasi kononnya dia mengundurkan diri daripada Suria FM kerana tidak sanggup untuk bangun awal setiap pagi, seperti digembar-gemburkan di internet.

    Dalam perkembangan lain, Shiera berkata, selain masih aktif dalam bidang seni lain, dia juga kini banyak menghabiskan masa dengan menjadi suri rumah.

    "Biasalah tugas seorang ibu, sibuk dengan urusan rumah tangga seperti melayan anak dan suami, serta menghantar anak pergi sekolah. Ketika yang sama sama saya juga pergi shooting. Itu sajalah tugas saya sehari-hari. Walaupun penat tapi seronok," kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

    Sebelum ini, pernah juga terdengar Shiera melahirkan hasrat untuk berehat daripada mengacarakan ABPBH atas alasan mahu berehat dan memberi peluang kepada pengacara lain. Mengulas perkara itu Shiera berkata, ia bukanlah keputusan yang tetap, sebaliknya masih boleh dipertimbangkan.

    "Memang saya ada menyatakan begitu kerana tak mahulah orang asyik cakap, balik-balik wajah saya saja. Tapi jika pihak penganjur mahukan saya, itu hak mereka dan jika penganjur masih mahukan saya, mengapa saya perlu menolak rezeki yang Tuhan bagi?" tegas Shiera.

    Pelakon utama jadi penyelamat

    Posted: 18 Jan 2012 10:26 PM PST

    • Foto

    • Foto

      RAZAK (tiga dari kanan) dan barisan pelakon Bujang Terlajak Belum Terlanjur.

    Bujang Terlajak Belum Terlanjur cipta kelainan dengan dua penamat

    FILEM terbaru arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen, Bujang Terlajak Belum Terlanjur, bagai sudah boleh dijangkakan jalan ceritanya. Dihasilkan agak ringkas, ia muncul sebuah judul untuk hiburan seisi keluarga semata-mata.
    Gandingan tiga pelawak, Saiful Apek, Johan dan Nabil, dianggap pencetus huru-hara dalam filem ini. Begitupun, telatah dan gelagat mereka belum cukup kuat untuk meyakinkan penonton.
    Bahkan, jika dilihat dari segi lawak jenaka ketiga-tiga pelakon komedi ini, ia dirasakan tidak mencapai tahap maksimum.

    Nasib baik gandingan mereka bersama Nur Fazura bertindak sebagai penyelamat, apabila plot penceritaannya agak hambar serta terlalu ringkas untuk dihayati.

    Filem dalam genre komedi yang menyuntik elemen kekeluargaan dan percintaan ini juga tidak meninggalkan sebarang impak kepada penonton, apatah lagi dengan mesejnya yang kurang jelas.

    Walaupun skripnya dilihat agak kosong, tetapi kemunculan empat pelakon terbabit sedikit sebanyak mampu menjadi tarikan dan menyelamatkan garapan Razak kali ini. Setidak-tidaknya mereka mampu juga untuk menghiburkan audien.
    Filem bernilai RM1.5 juta ini mengisahkan tiga sahabat, Saiful, Nabil dan Johan, yang jatuh cinta dan bersaing antara satu sama lain untuk merebut perhatian seorang gadis bernama Puteri, lakonan Fazura.

    Ketika menjalani rakaman penggambaran sebuah iklan, mereka yang juga ahli silap mata profesional, tertarik dengan Puteri yang menjadi model untuk komersial terbabit.

    Bagi mengenali Puteri dengan lebih rapat, Saiful mencungkil rahsia wanita itu daripada bapanya yang cacat penglihatan, Haji Hashim (Mustapha Kamal).

    Mengetahui Puteri ingin bersuamikan lelaki kurang upaya seperti bapanya, ketiga-tiga mereka menyamar menjadi lelaki pekak, bisu dan buta.

    Pelbagai helah digunakan mereka untuk menambat hati wanita cantik ini, termasuk menggagalkan rancangan antara satu sama lain sehinggalah helah mereka terbongkar.

    Walaupun jalan ceritanya ringkas dan ringan, namun Bujang Terlajak Belum Terlanjur tetap mempunyai kelainan apabila ceritanya diakhiri dengan dua penamat.

    Fazura sesuai watak Puteri

    MENURUT Razak, penamat filem itu sengaja direka sedemikian bagi mencetuskan kelainan berbanding filemnya sebelum ini, di samping memberi kesan kepada penonton.

    "Jika kita lihat filem Melayu sebelum ini, penamatnya setakat apa yang ditayangkan. Bagi filem ini, kita inginkan kelainan yang akan membuatkan penonton menunggu sehingga ke akhir cerita.

    "Pada mulanya kita akan lihat ketiga-tiga mereka tidak dipilih Puteri, tetapi sebaliknya penamat yang sebenar akan menentukan siapa pilihan wanita terbabit," katanya.

    Mengenai pemilihan empat pelakon berkenaan pula, kata pengarah ini, ia dibuat kerana dia berasakan mereka mempunyai keserasian yang akan mencetuskan hilai tawa penonton.

    Fazura sendiri dirasakan pilihan yang amat tepat untuk digandingkan dengan Nabil, Johan dan Apek kerana pelakon berbakat itu mempunyai karakter tersendiri dalam membawakan watak Puteri.

    "Dia (Puteri) seorang yang lemah lembut dan sopan, jadi peranan terbabit cukup sesuai dengan Fazura," katanya sambil memberitahu, dia sengaja memaparkan watak yang ringkas kerana filem terbabit dihasilkan untuk semua lapisan penonton.

    Walaupun filem yang akan mula ditayangkan di 75 pawagam bermula hari ini belum ditentukan nasibnya oleh penonton, penerbitnya, Latiff Mohaideen, sudah membayangkan untuk menghasilkan filem susulannya pula selepas ini.

    "Apabila dilihat pada keserasian ketiga-tiganya, kami berasakan mereka sesuai untuk digandingkan semula, mungkin untuk sekuel filem ini ataupun dalam filem lain," katanya.

    Dengarnya...: Neelofa temani Hans Isaac

    Posted: 18 Jan 2012 10:19 PM PST

    Hans dan Neelofa.
    Hans dan Neelofa.
    TAHNIAH buat Awie dan Ella yang memberikan kenangan manis kepada penonton konsert mereka berdua di Istana Budaya (IB), tempoh hari. Sepanjang empat hari Cik Normah dengar tempat duduk hampir penuh.

    Sudah tentu selain orang kuat IB, Datuk Juhari Shaarani, Hans Isaac selaku pencetus dan penggerak persembahan mega menggabungkan dua ikon popular ini tersenyum lebar. Mana taknya, penat lelah sepanjang empat bulan berbaloi.
    Dalam rasa terkilan kerana berasakan ada pihak cuba mensabotaj beberapa siri produksi terbitannya seperti diluah pada sidang media pada malam pembukaan, ada sesuatu yang pastinya membuatkan perasaan Hans reda sedikit.
    Bukan apa, ada mata-mata yang sudah ternampak kelibat bintang Azura 2011, Neelofa, pada malam pembukaan hadir memberi sokongan moral kepada teman tapi mesra yang pernah digosipkan dengannya itu.

    Memang kalau setakat mengikuti konsert, tiadalah orang berbisik-bisik kerana ramai lagi selebriti lain yang menjejakkan kaki ke konsert terbabit sepanjang empat malam persembahan. Tetapi dalam kes Neelofa, situasinya agak pelik sedikit.

    Iyalah, buat apa dia mahu menyorok di tempat kru makan sebaik konsert berakhir? Bukan satu dua mata yang ternampak kelibatnya berada di lokasi tersorok yang juga di belakang tempat sidang media berlangsung.

    Walau dalam sebuah akhbar si genit itu menyatakan antara mereka tiada hubungan intim, ramai sudah dapat mengagak dalam hati mereka ada taman yang mekar. Lagi pun, masing-masing masih solo, apa nak takut?
    Patutlah Hans meminta diri awal, mungkin mahu menemani si dia makan di tempat lain. Iyalah, di situ ramai orang.

    Berstatus muflis di usia muda

    Posted: 18 Jan 2012 10:18 PM PST


    Rosland Mohd. Arif


    APA perasaan anda apabila menyandang status muflis pada usia yang masih terlalu muda'? Tambah lagi apabila silapnya adalah anda tidak mampu lagi membayar hutang kad kredit yang mencecah ribuan ringgit. Atau mungkin kerana menjadi mangsa kepada ketaksuban untuk bertukar-tukar kereta pada hal kewangan belum benar-benar layak untuk berbuat demikian.

    Bukan itu sahaja, anda juga sudah boleh menjadi penjamin pinjaman orang lain dan mempunyai hak menentukan keperluan diri sendiri terutama dalam aspek pembelian harta dan sebagainya.

    Tidak salah memenuhi keperluan asas, namun salah langkah dan tanpa perancangan kewangan yang teliti bahana menanti.

    Apatah lagi dengan promosi yang bertambah-tambah galak terutamanya apabila majikan mengumumkan kenaikan gaji dan bonus. Serentak itu berpusu-pusulah juga bank dan kakitangannya membuat promosi menarik dengan janji-janji serba indah.

    Mungkin apa yang berlaku hari ini tidak sama seperti 20 hingga 30 tahun dulu. Dulu kuasa membeli kita terlalu rendah namun keadaan tersebut memang amat berbeza kini.

    Jangan leka tak berjimat dan seronok nak bergaya sangat, kerana salah langkah buruk padahnya, tidur tak lena, tekanan di sini sana.

    Lebih memburukkan keadaan, dalam usia yang masih boleh dikategorikan muda anda sudah disenaraihitamkan oleh institusi perbankan atau lebih teruk bergelar muflis.

    Muflis terjadi apabila berlaku situasi ketidakupayaan membayar kembali hutang, liabiliti, entiti, aset atau apa jua kaedah dalam urusniaga mata wang kertas kepada pemberi hutang melebihi tempoh yang dibenarkan.

    Adakalanya mungkin keadaan yang menyebabkan seseorang individu itu terjebak dalam keadaan ini. Kurangnya pengetahuan dalam ilmu pengurusan kewangan juga boleh menjadi punca seseorang itu terjebak menjadi muflis.

    Dalam satu laporan akhbar yang diterbitkan baru-baru ini menyebut, hampir 45,000 individu yang berumur di bawah 35 tahun di negara ini diisytiharkan muflis sejak tiga tahun lalu. Statistik itu berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

    Daripada jumlah tersebut, secara purata 41 individu muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan bayaran kad kredit, yuran perubatan, sewa beli dan hutang ah long.

    Perkara tersebut diakui sendiri oleh

    Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj.

    Menurut beliau, kajian awal yang dilakukan oleh FOMCA terhadap 100 individu mendapati golongan tersebut menghabiskan 30 peratus daripada gaji mereka untuk membayar hutang-hutang yang tertunggak setiap bulan.

    Kesimpulannya, bagi mereka yang baru bekerja, kira ke mana duit kamu dibelanjakan, jangan boros, kamu lebih panjang akal dan panjang langkah. Tak perlu bayar bil telefon beratus-ratus, tak perlu bayar bil stesen televisyen satelit, pakaian berjenama, bergaya dengan kereta atau makan bermewah cukuplah sekadar bersederhana dan naikkan elaun bulanan orang tua bagi mendapatkan keberkatan.

    NPL bantu atasi masalah kewangan

    Posted: 18 Jan 2012 10:17 PM PST


    Pengurusan kewangan yang betul dapat mengelakkan seseorang itu daripada dibebani hutang keliling pinggang. - Gambar hiasan


    DALAM mengharungi kehidupan seharian, kita tidak dapat lari daripada hutang sama ada bagi pembiayaan rumah, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, pendidikan dan sebagainya.

    Malah, ada juga yang sanggup berhutang semata-mata untuk membeli kelengkapan rumah seperti perabot, peralatan memasak, barangan elektronik dan sebagainya agar dilihat mewah serta eksklusif.

    Tidak kurang juga ada yang lebih berani berhutang untuk membeli barang kemas, telefon bimbit, barangan aksesori serta pelbagai produk kegunaan peribadi lain yang tidak perlu seiring dengan trend semasa.

    Akibatnya, tahun lalu, seramai 38,357 individu berusia 25 hingga 44 tahun diisytiharkan muflis di seluruh negara, trend tersebut yang amat membimbangkan semua pihak.

    Malah keadaan itu pastinya menjejaskan masa depan golongan muda, keadaan itu juga menjadikan 41 orang bankrap setiap hari yang antaranya berpunca daripada kegagalan menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit hingga banyak hutang tertunggak selain pinjaman peribadi.

    Menyedari permasalahan itu, NPL Risk management & Service sebuah syarikat mengambil tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan dan kredit.

    Pengasasnya, Rosland Mohd. Arif berkata, melalui perkhidmatan tersebut, sesiapa yang mempunyai masalah berkaitan dengan kewangan bolehlah mendapatkan perkidmatan NPL.

    "Kami bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah-masalah orang muflis semata-mata tetapi kami turut memberi perkhidmatan rundingan berkaitan dengan kewangan,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

    Malah lebih menarik baru-baru ini, NPl telah berpeluang untuk bekerjasama dengan Koperasi Belia Malaysia (KBI) dalam membantu memulihkan masalah kewangan.

    "Keadaan ini penting supaya masalah muflis di kalangan orang muda dapat diselesaikan sekali gus memberi tunjuk ajar cara menguruskan kewangan dengan kaedah yang betul

    "Melalui perjanjian ini, kami memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan rundingan dari- pada kami bagi menyelesaikan masalah berkaitan kewangan,'' katanya lagi.

    Bagaimanapun katanya lagi, melalui perkhidmatan tersebut, orang ramai juga berpeluang untuk rundingan berkaitan tindakan saman oleh bank, pemulihan status muflis, pinjaman semula rumah, pinjaman bercagar dan juga pengurusan jual beli harta.

    Nik Zaharah sentiasa di hati Hamzah

    Posted: 18 Jan 2012 10:16 PM PST


    Hamzah Rani setia berada di sisi isterinya, Nik Zaharah Latif yang menghidap pelbagai penyakit.


    SETIAP hari Hamzah Rani, 61, akan keluar bekerja di sebuah bengkel motor di kawasan perumahan rumah pangsa tempat tinggalnya sebagai rutin biasanya.

    Namun setiap kali mahu melangkah meninggalkan rumah, pasti hatinya cuak untuk meninggalkan isterinya, Nik Zaharah Latif, 56, berseorangan di rumah.

    Apatah lagi dengan kudrat dan keadaan fizikal Nik Zaharah yang selalu sahaja tidak sihat menjadikan Hamzah sering berasa tidak tenteram apabila berada di luar rumah.

    Baginya, Nik Zaharah adalah insan yang paling disayanginya dan tempat dia mencurahkan kasih biarpun wanita itu berbeza daripada insan normal lain.

    Apatah lagi Hamzah dan Nik Zaharah hanya tinggal berdua sahaja kerana perkahwinan mereka yang berusia 40 tahun lebih itu tidak dikurniakan cahaya mata.

    ''Saya keluar pukul 8.30 pagi dan balik pada 8.30 malam. Sesekali kalau ada kesempatan, saya akan balik sekejap menjenguk isteri di rumah sama ada dia sihat ataupun sudah makan.

    ''Saya juga tidak rasa selesa sekiranya isteri memasak kerana takut api tidak dipadamnya," kata warga emas kelainan upaya (OKU) itu dalam sebutan yang kurang jelas.

    Berasal dari Pahang, Hamzah memberitahu, isterinya mengalami masalah jiwa yang berlarutan sejak dari usia muda lagi. Nik Zaharah juga dibelenggu dengan masalah pelupa yang amat sangat.

    Ditambah pula dengan peralihan usia menyebabkan wanita itu turut mempunyai penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi serta penglihatan yang kurang jelas.

    Tubuh badan Nik Zaharah yang semakin membesar dan berat sehingga mencecah 150 kilogram itu menyebabkan sukar baginya bergerak pantas sama ada ke tandas mahupun melakukan kerja-kerja rumah.

    Apa yang termampu dilakukan Nik Zaharah yang berasal dari Besut, Terengganu itu hanya duduk atau tidur sepanjang hari dan dia perlu makan ubat yang diberikan doktor mengikut jadual.

    ''Seminggu sekali jururawat akan datang ke rumah untuk memberi suntikan kepada isteri saya agar fikirannya tidak terganggu," katanya ketika ditemui rumahnya di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

    Ketika kunjungan dilakukan ke rumah pangsa dua bilik itu, dapati rumah berkenaan tidak terurus. Nik Zaharah hanya mampu duduk dan tidak terdaya untuk bergerak.

    Ketika temu bual dijalankan, Nik Zaharah hanya sesekali menyampuk dengan sebutan loghat yang sukar untuk difahami.

    Kata Hamzah, kos rawatan isterinya itu juga agak mahal kadang kala sehingga mencecah RM1,000 sekiranya Nik Zaharah terpaksa ditempatkan di wad apabila penyakitnya menyerang secara tiba-tiba.

    Sekarang isterinya itu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, dalam beberapa kali sebulan dan sekali rawatan boleh mencecah RM450.

    ''Saya sudah tua, kudrat pun tak mampu hendak bekerja lebih lagi. Setakat kerja mengelap-ngelap motor di bengkel dapatlah RM800 sebulan.

    ''Cukuplah untuk makan tetapi untuk rawatan dan keperluan lain, saya terpaksa menambah dengan duit tabungan yang semakin sedikit," kata bekas pesara kilang cat itu.

    Mengakui tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak-pihak lain, Hamzah berazam untuk memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Apabila ditanya kepada jiran-jiran setempat mengenai usaha membantu kedua-dua warga emas itu, mereka memberitahu bantuan dihulurkan kepada Nik Zaharah sekiranya dia terpaksa dibawa ke hospital.

    ''Apabila penyakit Nik Zaharah ini menyerang secara tiba-tiba dia akan terus terlentang sambil kejang dan beberapa orang penduduk akan membantu mengangkatnya.

    ''Tambahan pula Nik Zaharah boleh bertindak dengan ganas sekiranya dia terlupa untuk memakan ubat yang dijadualkan kepadanya.

    "Suaminya sendiri juga pernah hampir 'diparangkan' oleh Nik Zaharah namun dapat dihalang.

    ''Biarpun begitu kami rasa begitu terharu kerana kasih sayang warga emas ini tetap utuh biarpun banyak cubaan yang mendatang akibat penyakit yang dialami oleh isterinya," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

    Kepada masyarakat yang ingin memberikan bantuan meringankan beban yang dialami Hamzah boleh menghubungi talian 017-691 0144 atau 012-941 5065 (Azie) untuk maklumat lanjut.

    Tatihseni cungkil bakat seni anak-anak

    Posted: 18 Jan 2012 10:15 PM PST


    Noraniza Idris bersama sebahagian daripada anak didiknya.


    RAMAI ibu bapa mengeluh apabila yuran untuk aktiviti tambahan anak-anak dikatakan terlalu mahal. Malah ada yang berkali ganda lebih mahal daripada yuran tuisyen.

    Sudahnya, ramai ibu bapa mengambil keputusan tidak menghantar anak ke kelab aktiviti seni kerana tidak mempunyai bajet untuk tujuan tersebut.

    Tapi perkara itu tidak berlaku di Akademi Tatihseni yang dikelolakan oleh ratu etnik negara, Noraniza Idris.

    Dengan yuran pendaftaran yang bermula daripada RM1 bagi setiap subjek di mana anak anda akan dapat ilmu kesenian dan juga penerapan unsur rohani dalam kehidupan.

    "Akademi ini bukan sahaja menerapkan unsur tarian malah yang lebih utama memberikan motivasi jati diri dengan pendekatan sahsiah, rohani dan spiritual," ujar Noraniza yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ani.

    Ujarnya, Tatihseni melalui proses percubaan selama setahun sejak tahun 2010 lagi. Pelbagai rombakan dibuat bagi memastikan akademi ini dapat memberikan manfaat dan dilaksanakan dengan mudah dan lancar.

    "Sebenarnya bukan mudah untuk menyelaraskan sebuah program motivasi yang berteras kesenian warisan, namun Alhamdulillah berkat kerjasama dan permintaan ramai ibu bapa yang mahukan aktiviti seperti yang telah kami buat," ujarnya.

    Tambahnya, bermula tahun 2012 akademi Tatihseni telah melangkah ke satu peningkatan yang lebih agresif, inovatif serta konstruktif dengan membentuk kumpulan tenaga pengajar terlatih untuk melatih pelatih seni di akademi ini.

    Lebih menarik menjelang tahun 2012 juga Tatihseni memperkenalkan modul pembelajaran terkini Masyhur Malaysia yang telah diiktiraf oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara semenjak tahun 2009.

    "Apa yang membanggakan kami apabila ada di antara anak-anak yang belajar di akademi ini sudah mula faham akan hala tuju dan matlamat hidup kita. Kerana kita di sini bukan semata-mata menekankan aspek riadah dan suka ria malah yang lebih utama ialah aspek kerohanian," ujarnya.

    Antara kursus yang ditawarkan di akademi ini ialah kursus Tatihseni Tari dan Tari Jangka Pendek bagi Asas Tarian Tradisional dan Etnik Malaysia.

    Sebanyak lapan subjek asas tari akan diajar, yang mana setiap subjek akan diselesaikan selama lima minggu pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

    "Sijil akan dikeluarkan oleh akademi setelah tamat setiap subjek yang diambil.

    "Sebenarnya sasaran usia kami ialah bermula sembilan tahun hingga 14 tahun untuk satu kategori dan untuk 15 tahun ke atas pula di bawah satu lagi kategori. Setiap kumpulan atau kategori terhad kepada 20 orang pelajar sahaja," jelasnya.

    Bersanding dalam LRT

    Posted: 18 Jan 2012 10:15 PM PST


    Pelancong asing turut meraikan hari bahagia Nor Yusnita Ramli dan Mohd. Shah Helmi Hamzah.


    Bersanding menjadi kelaziman kepada pasangan mempelai bagi mengabadikan kisah percintaan mereka dan berkongsi saat manis itu dengan saudara-mara dan rakan taulan.

    Bermula dengan persalinan busana raja sehari, konsep hantaran, pelamin, menu hinggalah bunga telur, semuanya mendukung adat dan budaya Melayu sejak zaman berzaman.

    Bagaimanapun zaman semakin berubah membuatkan ramai pasangan muda mencari kelainan untuk mengabadikan 'hari bahagia' mereka dengan cara yang agak berbeza.

    Malah, ada pasangan mempelai memilih kelainan dengan menyuntik elemen moden dalam majlis persandingan. Ini boleh dilihat melalui rekaan pelamin, gubahan hantaran ataupun konsep persandingan itu sendiri.

    Bagi pasangan Nor Yusnita Ramli, 27, dan Mohd. Shah Helmi Hamzah, 25, mereka cuba mencari kelainan melalui persandingan unik dalam bas RapidKL dan Transit Aliran Ringan (LRT).

    Lebih menarik pada hari persandingan tersebut, rombongan bas yang membawa pasangan mempelai itu turut disertai 15 posmen Pos Laju yang bermotosikal ke rumah pengantin lelaki di Taman Wilayah, Selayang, Selangor.

    Menurut pengantin perempuan, yang juga kakitangan RapidKL, idea itu muncul selepas menyaksikan sendiri Kempen Kenderaan Kurang Pencemaran yang dilancarkan syarikat perkhidmatan kenderaan awam itu pada September tahun lalu.

    "Dari situ muncul idea untuk menyokong kempen tersebut pada hari bahagia kami. Lagipun keluarga saya di Perak dan tentunya akan melibatkan banyak kenderaan untuk hadir ke majlis menghantar pengantin,'' ujar Nor Yusnita ketika ditemui pada majlis persandingannya baru-baru ini.

    Katanya, melalui kempen tersebut ia sekali gus memberikan kesedaran kepada orang untuk mengurangkan kepenggunaan kenderaan awam berbanding kenderaan sendiri.

    Malah, terangnya, ia juga contoh terbaik untuk diamalkan oleh orang ramai selepas ini.

    Tambah pembantu perkhidmatan pelanggan itu, idea menarik itu turut dipersetujui pihak keluarga pengantin lelaki.

    Lebih gembira, idea berkenaan kemudian diceritakan kepada pengurusnya, Nizam Abdul Hamid yang turut bersetuju untuk menyediakan gerabak bagi digunakan pada hari persandingan mereka.

    Yusnita mengakui dia berbangga dapat mengabadikan hari bahagia itu dengan cara yang unik tersebut.

    "Selama ini hanya angan-angan sahaja. Tetapi hari ini ia menjadi kenyataan. Malah saya seperti selebriti apabila orang ramai dan pelancong asing turut menyaksikan persandingan kami ini,'' ujarnya.

    Dalam majlis yang unik itu, rombongan perempuan disertai 50 orang yang terdiri daripada kaum keluarga pengantin dari Perak.

    Kesemua mereka berkumpul di Stesen LRT Ampang sebelum di arak dengan iringan kumpulan kompang ke Stesen LRT Masjid Jamek sebelum bertukar tren ke laluan Gombak.

    Lebih menarik, apabila sampai di Stesen Gombak, konvoi Pos Laju sedia menunggu dan pasangan raja sehari tersebut diarak pula menaiki bas RapidKl ke rumah pengantin lelaki.

    Bas tersebut dihias cantik dengan pelamin unik yang direka khas oleh kaum keluarga lelaki bagi menyambut kehadiran menantu.

    Pasangan mempelai dinikahkan di rumah keluarga pengantin perempuan pada 30 Disember lalu di Kuala Kangsar, Perak.

    Ditanya pandangan keluarga dan rakan-rakan tatkala Yusnita mengusulkan idea persandingan yang unik itu, dalam nada ketawa dia berkata, pada mulanya mereka agak terkejut kerana ia tidak pernah dibuat orang, terutama bersanding dalam bas.

    Namun, akhirnya keluarga menerima malah memberi sokongan kerana menyedari ia merupakan kelainan.

    Ibu pengantin perempuan, Noriah Md. Radhi, 58, tidak menyangka anak keempat itu betul-betul ingin mencari kelainan pada hari bahagia mereka.

    "Sebelum ini, dia pernah menyatakan untuk mengadakan satu persandingan yang unik. Tetapi sayak tidak sangka sampai macam ini sekali. Apapun saya bersyukur semua berjalan dengan sempurna,'' ujarnya.

    Mengimbau kembali saat perkenalan mereka, tiga tahun lalu, Yusnita memberitahu, semuanya bermula melalui Internet.

    "Masa mula-mula berkenalan, saya anggap dia sebagai kawan biasa tetapi kemesraan dan kesungguhan yang ditunjukkan membuatkan saya jatuh cinta padanya,'' ceritanya mengimbau kenangan lama.

    Ceongsam batik sambut Tahun Naga

    Posted: 18 Jan 2012 10:14 PM PST


    Hideaki Lim (kanan) bersama model yang menggayakan gaun rekaan terbarunya bertemakan futuristik.


    GONG XI, GONG XI. Tahun Baru Cina akan tiba beberapa hari lagi. Masyarakat Cina kini semakin sibuk dengan segala persiapan bagi menyambut hari perayaan mereka itu. Di sekitar ibu negara serta di pusat-pusat membeli-belah pula dipenuhi hiasan dan dekorasi yang bersesuaian bagi menambah kemeriahan

    Tahun ini masyarakat Cina akan menyambut Tahun Naga Air, jadi hampir semua hiasan pasti memasukkan elemen haiwan tersebut.

    Pereka fesyen, Hideaki Lim turut tidak terkecuali menjadikan naga sebagai elemen dalam rekaan fesyennya sempena menyambut Tahun Baru Cina pada tahun 2012 ini.

    Pereka yang telah berpengalaman selama 20 tahun dalam rekaan fesyen ini bekerjasama dengan Pengarah Urusan Jadi Batik, Colin Yong bagi menghasilkan lukisan batik yang mempunyai elemen naga bagi ceongsam rekaannya.

    Selain itu, beliau turut memasukkan elemen barang kemas daripada Kelvin Gems dalam rekaan tersebut supaya ceongsam tersebut nampak lebih eksklusif dan bergaya.

    Pada satu pertunjukan fesyen sempena sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini, Hideaki telah mempersembahkan 10 rekaan ceongsam dengan sentuhan elemen batik dan futuristik.

    Setiap helai dalam koleksi ceongsam rekaan Hideaki nampak unik dengan lukisan batik bermotif naga dan buluh yang dibuat di atas fabrik satin dan kain kapas.

    Hideaki yang menggelar rekaan terbarunya sebagai ceongsam batik siber, mengakui ia adalah eksklusif kerana hanya ada satu bagi setiap rekaan.

    Selain merah yang menjadi warna kemestian dalam sambutan Tahun Baru Cina, Hideaki berani mengetengahkan warna kuning terang, coklat dan kuning keemasan.

    Warna kuning, emas dan coklat membawa pengertian kemewahan dan mendapat keuntungan yang banyak.

    Petang itu, rekaan ceongsam batik siber Hideaki tersebut telah diperagakan oleh J 'zelynn Simon (penyanyi), Candy Ice, Wilson Tan dan Rennee Chong.

    Bertanya kepada Hideaki mengenai rekaan tersebut, katanya, dia cuba lagi daripada ciri-ciri batik tradisional yang lazimnya menampilkan motif penuh dan sarat dengan warna-warna terang.

    "Ini menjadi salah satu sebab mengapa golongan muda kurang menggemari memakai batik kerana coraknya nampak terlalu padat dan rumit.

    moden dan bergaya

    "Bagaimanapun dengan lukisan batik siber ini, batik boleh nampak moden dan bergaya serta boleh menarik minat golongan muda untuk memakainya,'' ujar Hideaki yang merupakan perintis pereka futuristik di Malaysia.

    Kerana minat dan komitmen Hideaki dalam rekaan siber, beliau pernah memenangi anugerah International Design Award for Fashion Beyond 2000.

    Beliau menjelaskan, sebelum mendapat anugerah tersebut lagi beliau menaruh minat yang mendalam terhadap siber.

    "Saya mempunyai banyak inspirasi mengenai siber tetapi ramai yang tidak dapat menerima idea saya. Biasanya apabila orang bercakap mengenai siber, mereka hanya melihat sesuatu yang maya dan bukan realiti.

    "Bagaimanapun setelah saya mendapat anugerah tersebut, barulah masyarakat boleh menerima idea saya,'' katanya yang bercadang untuk menghasilkan rekaan barang kemas siber pada masa akan datang.

    Tambah beliau, melalui rekaan batik siber Tahun Baru Cina ini, beliau berharap dapat mendidik masyarakat terutama golongan muda untuk berminat memakai batik siber.

    Sementara itu, J'Zelynn berpendapat, selain mempunyai konsep tradisional, rekaan ceongsam Hideaki turut disuntik dengan elemen siber bagi disesuaikan dengan generasi muda.

    Tambahnya, selain merah, Hideaki turut memilih warna kuning untuk rekaannya kerana lukisan yang terdapat dalam ceongsam tersebut turut dibuat menggunakan warna merah.

    "Rekaan ceongsam ini boleh dipakai untuk pelbagai majlis seperti majlis rasmi, rumah terbuka saudara-mara atau duduk di rumah menunggu tetamu datang,'' katanya yang membeli tiga helai baju sempena Tahun Baru Cina ini.

    Wilson Tan yang memperagakan baju batik siber lelaki berkata, beliau menyukai rekaan Hideaki kerana Hideaki memahami rekaan bagaimana yang sesuai dengan generasi muda lelaki.

    Katanya, warna yang dipilih juga lembut dan tidak terlalu terang kerana kebanyakan lelaki tidak suka memakai baju-baju yang berwarna terang.

    Kebanyakan koleksi ini jelasnya, sesuai untuk kasual dan juga majlis formal kasual.

    Rennee Chong yang menyukai rekaan ceongsam ala baju penari balet menganggap rekaan Hideaki lain daripada lain.

    "Kebanyakan ceongsam yang kita lihat berpotongan lurus dan ketat serta terbelah di kiri dan kanan paha.

    "Bagaimanapun ceongsam Hideaki ini nampak berbeza dan kelainan inilah yang memikat saya dan saya pasti akan memakainya semasa Tahun Baru Cina nanti,'' jelasnya.

    Inovasi inner berlabuci

    Posted: 18 Jan 2012 10:13 PM PST


    Fauziah Abd. Aziz menunjukkan inner berlabuci yang sesuai digayakan bersama blaus tanpa lengan.


    Wanita hari ini semakin menyerlah dan berani memberikan yang terbaru dari segi pemilihan fesyen dan tidak teragak-agak mengenakan fesyen yang terkini di pasaran untuk tampil cantik dan selesa.

    Biarpun teguh menjaga tatasusila dengan pemakaian tudung, misalnya, mereka tetap tidak mahu ketinggalan dalam menikmati fesyen terkini yang disuai padan agar kena dengan penampilan dan tetap menutup aurat.

    Salah satu cara untuk menjaga penampilan agar sentiasa mematuhi hukum dan syariat Islam, golongan wanita yang bertudung akan mengenakan inner (blaus dalam) yang akan dipadankan dengan apa sahaja baju atau rekaan di sebelah luarnya.

    Selain tampak lebih cantik dan elegan, ia juga membantu dalam memberikan penampilan yang hebat.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMC Benefit, Datin Fauziah Abd. Aziz, bersesuaian dengan keadaan semasa, pemakaian inner dilihat oleh Fauziah bakal memberikan satu cetusan fesyen terbaru dalam pasaran fesyen tempatan yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan.

    ''Tapi malangnya inner yang ada sekarang ini selalunya plain (kosong), kalau ada hiasan pun mungkin sedikit kerawang pada bahagian lengan, selebihnya ia tidak menarik langsung.

    ''Pihak saya telah mengkaji selama beberapa bulan mengenai pemakaian inner ini yang kelihatan polos biarpun di padankan dengan jubah atau baju yang berharga ribuan ringgit misalnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

    Tambah Fauziah, apabila individu itu bercakap atau berinteraksi dengan orang ramai atau individu lain, gerakan tangan dan lengan pastinya akan mendapat tempat dan pastinya selain wajah, ekor mata juga akan tertumpu di bahagian itu.

    ''Malangnya pemakaian inner yang kosong sekarang ini menyebabkan bahagian lengan dan tangan kelihatan kosong dan tidak menarik.

    ''Justeru, dalam hal ini saya telah memberikan sedikit sentuhan inovasi kepada inner yang ada untuk disesuaikan dengan sebarang fesyen yang akan dipakai oleh golongan wanita iaitu menambahkan jahitan manik di bahagian lengan agar memberikan inner ini menjadi lebih bergaya dan menarik," jelasnya.

    Baru dilancarkan produk inner ini dalam minggu pertama tahun ini dengan pemakaian jenama purpleturtle, Fauziah optimis inovasinya kali ini berjaya dan pasti mendapat sambutan daripada orang ramai dan pastinya bakal mendapat persaingan daripada usahawan tempatan lain.

    Blaus ini katanya memang menarik yang boleh dipadankan dengan busana muslimah lain atau boleh dipakai begitu sahaja.

    Kata Fauziah, jahitan manik-manik yang diimport dari Jepun pada lengan inner atau blaus dari kain kapas jersi itu merupakan jahitan tangan yang memerlukan perhatian yang amat teliti yang kadangkala memerlukan masa dua hingga tiga hari untuk menyiapkannya.

    Setiap rekaan berdasarkan elemen dan motif yang berlainan pastinya akan memberikan karakter berbeza setiap rekaan jahitan manik berkenaan untuk mendapatkan yang eksklusif.

    ''Saya memang senang dengan rekaan fesyen busana muslimah, saya lihat ramai di kalangan pereka fesyen lebih terarah kepada tudung dan jubah, namun saya rasa biarlah saya bermula dengan inner ini yang rasanya agak terabai dari segi inovasi.

    ''Saya rasa dengan pemakaian inner ini membuatkan si pemakainya tidak perlu lagi memakai aksesori di lengan kerana ia telah semula jadi cantik.

    ''Setakat ini Alhamdulillah, baru sahaja dipasarkan, kami telah menerima tempahan daripada orang ramai termasuk usahawan dari Singapura," katanya.

    Tambahnya lagi selain mempelbagaikan pemakaian inner itu, beliau tidak teragak-agak untuk memberikan nafas baru terhadap inner termasuk kesesuaian warna, rekaan dan sebagainya pada masa depan.

    Dalam pada itu beliau memberitahu, inner berwarna hitam adalah pilihan istimewa yang sentiasa menjadi ikutan di kalangan penggemar fesyen dan dijual dengan harga RM159.90.

    Kepada yang berminat boleh melayari www.cmcbenefit.com.my atau talian 03-561 22282.

    Koleksi alam semula jadi

    Posted: 18 Jan 2012 10:12 PM PST


    Koleksi piuter bertemakan alam semula jadi yang kini boleh didapati di semua bilik pameran Royal Selangor.


    KEMPEN menderma piuter anjuran Royal Selangor diakhiri dengan pelancaran Alam Collection yang terdiri daripada loket-loket dan arca-arca yang diilhamkan oleh alam semula jadi.

    Menyambut kemegahan hutan tempatan, satu pertiga daripada kutipan jualan ini akan disumbangkan kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk membantu usaha-usaha pemuliharaan habitat dan pendidikan alam sekitar.

    Majlis pelancaran koleksi tersebut diadakan di kedai jualan utama jenama piuter yang berusia 126 tahun itu di Pavilion, Kuala Lumpur.

    Turut hadir pada majlis ini adalah dua pengarca terkenal Malaysia, Tengku Sabri Ibrahim dan Zainal Abidin Musa yang telah mereka koleksi yang diperbuat sepenuhnya daripada piuter.

    Menurut Tengku Sabri, beliau mengambil inspirasi daripada cerita-cerita teladan zaman kanak-kanaknya dengan membentuk tiga arca, Beragas, Bokbon dan Kerong.

    Beliau percaya ketiga-tiga arca yang menjadi subjeknya mungkin boleh wujud dalam hutan belantara.

    Zainal Abidin pula telah mereka loket Fern, Pinang dan Lover's Pod yang mengambil inspirasi daripada haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di hutan.

    Berucap di majlis pelancaran, Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li berkata, setelah tiga bulan kempen, kini pihaknya dapat menyaksikan kemuncak kempen yang akan membantu MNS dalam usaha-usaha pemuliharaan hutan dan hidupan liar.

    ''Kami juga amat berbangga kerana Tengku Sabri dan Zainal Abidin telah memberi sentuhan artistik mereka untuk mencipta sebuah koleksi yang menawan dan unik.

    "Kami juga berterima kasih kepada mereka yang sudi menyumbangkan barangan piuter lama mereka untuk dikitar semula.

    ''Pelancaran koleksi ini juga dapat menonjolkan usaha-usaha MNS memulihara hutan Hutan Hujan Tropika Belum yang berusia 130 juta tahun.

    "Kami juga amat berterima kasih kerana terdapat badan-badan korporat seperti yang telah sudi menderma beberapa barangan piuter lama untuk dikitar semula dengan tujuan amal," tambah Yong.

    Peluk lebih nikmat

    Posted: 18 Jan 2012 10:11 PM PST


    PELUKAN adalah sangat diperlukan dalam hubungan suami dan isteri bagi mengekalkan perasaan kasih dan sayang. - Gambar hiasan


    PERKAHWINAN dan kasih sayang antara suami isteri boleh dikekalkan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih kepada pasangan masing-masing seperti ucapan sayangf sekurang-kurangnya tujuh kali sehari.

    Bukan itu sahaja, berkomunikasi dengan baik, bergurau senda dan memanggil pasangan dengan panggilan hebat seperti 'sayang', 'abang', 'manja' dan sebagainya juga dapat mengeratkan lagi perhubungan suami isteri.

    Masing-masing perlu memainkan peranan untuk memupuk perasaan sayang agar ia sentiasa mekar dalam jiwa dan membuahkan keserasian dan kemesraan.

    Selain itu, tahukah anda bahawa pelukan juga boleh membuatkan pasangan merasa lebih dekat dan intim?

    Bagi isteri, pelukan merupakan bentuk komitmen cinta dan kesetiaan pasangan. Kajian mendapati pelukan bukan sesuatu yang bersifat seksual. Ia satu daripada kaedah untuk mendapatkan keselesaan.

    Begitupun, biasanya suami menganggap pelukan bermakna isteri dahagakan hubungan seksual. Sebenarnya para isteri lebih menikmati pelukan dari hubungan seksual.

    Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Johor Bahru, Dr. Zubaidi Ahmad, para suami tidak perlu rasa 'kelam kabut' sekiranya tidak bersedia bila isteri minta dipeluk.

    Ini kerana jelas beliau, bagi suami, pelukan hanyalah pertautan fizikal dan ada kalanya merimaskan selain tidak memahami mengapa isteri sangat suka apabila dipeluk.

    mencadangkan 'rawatan pelukan'

    "Sebenarnya suami isteri saling memerlukan antara satu sama lain untuk mengurangkan tekanan perasaan.

    "Ramai pakar psikologi yang mencadangkan 'rawatan pelukan' di mana suami dan isteri digalakkan berpeluk sebelum tidur selama 10 minit. Pelukan ini harus dinikmati tanpa diteruskan dengan hubungan seks.

    "Tujuannya agar segala perasaan negatif yang tersimpan dalam hati sepanjang hari dapat dilepaskan dengan memeluk suami atau isteri. Jadi, pelukan sangat diperlukan dalam hubungan suami isteri. Ia akan merapatkan lagi hubungan suami isteri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Katanya, pelukan bukan bermakna mukadimah pada hubungan seks antara suami dan isteri.

    Ia juga harus dilihat sebagai hubungan perasaan dan perkongsian emosi antara suami dan isteri.

    Mengulas lanjut, Dr. Zubaidi berkata, pelukan adalah satu sentuhan fizikal yang erat dilakukan di leher, belakang badan atau pinggang.

    Pelukan juga kadang kala melibatkan kucupan, pandangan mata, sentuhan mesra dan beberapa gerakan tubuh lain.

    Oleh itu, mereka yang berpelukan menandakan hubungan mereka amat rapat dan mempunyai pertalian kasih sayang yang mesra.

    Kata Dr. Zubaidi, ramai ahli psikologi kini bimbang dengan pasangan suami isteri yang jarang berpelukan.

    Mereka bimbang perkahwinan pasangan seperti itu hanya diikat oleh 'lafaz nikah' dan hubungan fizikal dan seks saja dan bukan hubungan emosi serta perkongsian perasan.

    "Islam juga menggalakkan hubungan emosi dan dalam satu hadis Rasulullah SAW memberitahu, barang siapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi. (riwayat Bukhari dan Muslim).

    "Oleh yang demikian, perbanyakanlah luahan kasih sayang dengan ucapan dan sentuhan fizikal (pelukan).

    "Secara tidak langsung, bagi pasangan yang agak berat untuk meluahkan perkataan 'Saya sayang awak', pelukan adalah cara alternatif terbaik untuk melafazkannya," ujarnya.

    Pelukan juga akan menyebabkan kelenjar di otak mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine yang memberikan rasa tenang dan tenteram.

    Perbuatan itu juga akan menyebabkan gelombang di otak menjadi lebih tenang, lalu mengurangkan stres dan kerisauan.

    Oleh itu bagi pesakit yang mengalami masalah kerisauan (anxiety) dan mempunyai emosi yang tertekan, memeluk binatang peliharaan adalah rawatan kejiwaan yang baik.

    Namun apa yang lebih baik lagi bagi suami atau isteri selain memeluk pasangan masing-masing ketika mereka mengalami tekanan jiwa dan dalam keadaan kerisauan.

    Butik untuk mempelai

    Posted: 18 Jan 2012 10:11 PM PST


    Rosmawati Abdul Razak sentiasa teliti dengan pilihan dan cita rasa pelanggan dalam pemilihan kelengkapan pengantin termasuk pelamin.


    HARI ini perniagaan merupakan salah satu cabang untuk kaum wanita menambah pendapatan apatah lagi teknologi semakin canggih, ia boleh dilakukan di mana- mana jua.

    Disebabkan itulah, biarpun hanya bermula dari rumah, Rosmawati Abdul Razak, 31, atau lebih mesra dengan panggilan Waty, tidak lagi menoleh ke belakang malah, kini butik pengantinnya telah berjaya dibuka di Setapak, Kuala Lumpur.

    Menurut anak kelahiran Kajang ini, perniagaannya telah diusahakan sejak lima tahun yang lalu tetapi ia hanya beroperasi daripada rumah.

    Hari ini, apabila perkhidmatan butiknya semakin mendapat perhatian di samping pelanggan yang semakin bertambah, Waty telah membuat keputusan untuk membuka butik bagi memudahkan segala urusan.

    Katanya lagi, dengan pembukaan butik D'renjis Cinta Bridal tersebut, para pelanggannya dapat melihat dan mendapatkan kesemua produk perkahwinan di bawah satu bumbung.

    "Selama beroperasi di rumah, produk kami agak terhad dengan ruang kecil.

    "Jadi di sini (D'renjis Cinta Bridal), saya dapat menempatkan kesemua produk perkahwinan seperti pelamin, persalinan (baju), kasut, gubahan hantaran dan sebagainya untuk tatapan pelanggan.

    "Secara tidak langsung, ia memudah dan menjimatkan masa para pelanggan kami," ujarnya ketika ditemui dibutiknya yang terletak di 12A-1, Tingkat 1, Plaza Crystaville Setapak, Jalan Danau Niaga, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Tambah Waty, butik perkahwinannya boleh dipanggil pusat sehenti kerana pihaknya turut menawarkan perkhidmatan katering, kanopi, fotografi, videografi, gubahan hantaran dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan perkahwinan.

    Katanya, kesemua perkhidmatan tersebut bukanlah di bawah kelolaannya tetapi dia bekerjasama dengan rakan-rakan yang turut mengusahakan produk perkahwinan ini.

    Apa yang menarik boleh dikongsi bersama ialah, apabila tibanya hari minggu, kesemua adik-beradik Waty akan turut sama berganding bahu membantunya menguruskan persediaan yang ditempah.

    Dalam masa yang sama, ulas Waty, butiknya turut menyediakan beberapa pakej pada harga yang berpatutan malah sekiranya bakal-bakal pengantin tidak memilih mana-mana pakej, Waty juga boleh menyediakan persediaan mengikut bajet mereka.

    Berbicara lanjut mengenai penglibatannya di dalam bidang perniagaan tersebut, menurut anak ke lapan daripada 10 beradik ini lagi, dia mendapat pendidikan asas dalam bidang kecantikan (solekan) daripada Pusat Kecantikan Sri Mawar yang terletak di Pertama Kompekls dan mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan.

    Apabila menyentuh mengenai bidang jahitan pula, menurut Waty, dia sememangnya sudah tahu menjahit kerana ibunya juga merupakan seorang tukang jahit.

    Begitupun, dalam usaha mendalami lagi bidang jahitan dan rekaan baju, Waty sanggup mengeluarkan belanja dan 'bertapa' selama tiga tahun di Indonesia.

    "Di Indonesia, saya belajar menjahit kebaya dan juga reka bentuk serta corak-corak mereka (Indonesia).

    "Ini kerana kebaya yang dihasilkan Indonesia mempunyai seninya yang tersendiri selain cantik dan berbeza dengan Malaysia.

    "Sekurang-kurangnya para pelanggan boleh mendapat sedikit kelainan baju pengantin di butik saya," katanya lagi.

    Jadi bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat D'renjis Cinta Bridal, mereka bolehlah hubungi talian 017-8712817 dan ia tidak hanya terhad kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang sahaja.

    Lombong jadi sumber rezeki

    Posted: 18 Jan 2012 10:09 PM PST


    PASAR Batang Kali menjadi lokasi Muhamad Irawan Basar menjual hasil tangkapan ikan bagi menyara keluarga.


    DALAM keriuhan pagi di Pasar Batang Kali, Hulu Selangor, kelihatan kelibat wajahnya ceria melayan pelanggan. Itulah Muhammad Irawan Basar, 38, seorang usahawan kecil asnaf zakat yang bakal mewarnai kanvas Jejak Asnaf kali ini.

    Sekali imbas, tiada yang istimewa pada sosok lelaki ini. Namun tanpa disangka, dia adalah antara asnaf zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang berjaya merubah nasib diri dan keluarganya.

    Menghimbau kisah lalu, Irawan dan isterinya, Haslina Abdul Karim, 42, hanya mendiami sebuah rumah yang jauh dari penghuni lain di kawasan tasik dan kebun sayur-sayuran di belakang bandar Batang Kali atau lebih tepatnya di sekitar Ulu Yam.

    Di situlah, dalam serba kesederhanaan dia menampung kehidupannya sekeluarga dengan hanya bergantung kepada rezeki kampung.

    "Di Ulu Yam, saya mencari ikan di tasik-tasik tinggalan lombong bijih timah zaman Inggeris. Mencari pucuk-pucuk paku, rebung dan sebagainya untuk dijual di Pasar Batang Kali. Cukuplah buat makan pakai kami anak-beranak," terangnya ringkas.

    Semuanya berjalan sempurna, sehinggalah dia ditimpa kemalangan ngeri akhir tahun 2009. Sebuah lori pasir hampir meragut nyawanya.

    "Ia berlaku pada 25 November 2009, iaitu pada pukul 7 pagi di Jalan Batang Kali - Genting Highlands sewaktu membawa 20 kilogram ikan hasil tangkapan untuk dijual di pasar. Masih saya ingat, kejadian itu berlaku lagi dua hari umat Islam mahu menyambut Hari Raya Haji.

    "Sebuah lori pasir menggilis badan saya. Lebih tepat lagi di bahagian perut saya ini. Akibatnya, tulang pinggul saya terbelah dua dan tulang paha saya juga patah.

    "Pihak hospital tidak menjangkakan saya mampu hidup lagi. Bahkan mereka sendiri merasa ajaib apabila saya mampu bertahan.

    "Lapan hari saya koma di hospital. Kemudiannya, saya terlantar lagi selama tujuh bulan dengan tidak boleh melakukan sebarang kerja. Sedangkan anak-anak dan isteri perlukan pendapatan. Semua ini amat menjerakan sekali.

    "Hinggalah cukup bulan ke tujuh, saya tidak lagi boleh bersabar. Akhirnya, dalam kepayahan saya gagahkan diri mencari ikan di lombong walau pihak hospital tidak menggalakkan. Semuanya saya lakukan demi rezeki keluarga," katanya.

    Tanpa segan, dia membuka baju di bahagian perutnya demi menunjukkan parut besar akibat kemalangan lampau.

    Namun, rezeki manusia di tangan Allah SWT. Tidak lama setelah ditimpa kemalangan, LZS pun datang menghulurkan bantuan kepadanya.

    "Saya mula mendapat bantuan zakat pada tahun 2009. LZS memberi bantuan Ramadan dan raya, bantuan pendidikan, sewa rumah dan bantuan makanan dan wang bulanan kepada saya sekeluarga.

    "Bahkan, apabila LZS melihat kesungguhan saya mencari ikan di lombong, LZS turut memberi bantuan modal perikanan bagi membeli jaring, motor roda tiga dan peralatan perikanan bernilai RM2,000 kepada saya.

    "Sesungguhnya, semua ini amat bernilai bagi saya demi memulakan sebuah kehidupan baru," ujarnya.

    Kini, Irawan lebih selesa menjalankan kerja-kerja menangkap dengan kelengkapan yang dimilikinya. Bahkan LZS turut bersetuju memberikan modal pusingan lanjutan RM1,000 bagi membolehkan beliau berniaga gerai minuman.

    "Saya bersyukur kepada Allah dengan segala bantuan ini. Kelak, saya mahu membuka gerai menjual air minuman dan buah-buahan di Batang Kali. Jadi bolehlah sebelah pagi saya menjual ikan di pasar dan petangnya menjual air minuman dan buah-buahan potong.

    "Buat masa ini pun, saya sudah merasai pendapatan yang agak besar. Saya fikir, tidak berapa lama sahaja lagi saya dan keluarga akan mampu keluar daripada senarai asnaf di LZS," katanya

    Melalui kunjungan LZS ke rumahnya baru-baru ini, dia bangga menunjukkan peningkatan hidupnya. Kini mereka sudah berpindah ke sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Liga Mas, Batang Kali.

    Irawan juga sudah mampu memiliki motosikal demi memudahkan pergerakan isterinya menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah.

    Bahkan, tanpa menyangka, dia memilih sekolah jenis kebangsaan Cina untuk persekolahan anak-anaknya.

    "Alhamdulillah, anak sulung saya, Nurul Ain Waina, 9, mendapat nombor satu dalam darjahnya di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Chee, Ulu Yam Lama. Adiknya pun, Muhammad amirul hakimi, 8, nampaknya tidak mengecewakan.

    "Saya menghantar mereka ke sekolah cina, kerana mahu mereka mahir berbahasa Cina. Bagi saya, ia adalah modal untuk mencari peluang kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan," katanya penuh harapan.

    Inilah secebis kisah benar seorang asnaf yang tidak tega membiarkan dirinya diulit kesusahan. Semoga Allah SWT memberkati usaha Irawan dan seluruh ahli keluarganya.

    Semoga Allah SWT juga memberkati para pembayar zakat yang dengan ikhlas melestarikan harta mereka demi kebaikan seluruh umat.

    Ayesha berdakwah kepada wanita Korea

    Posted: 18 Jan 2012 10:08 PM PST


    Peranan Ayesha Kim (kiri) kepada siswi-siswi di negara Korea bukan sekadar berdakwah tetapi menjadi tempat rujukan, khasnya yang berjinak-jinak dengan Islam.


    DARIPADA namanya sahaja, orang sudah mengetahui asal wanita ini. Penggunaan nama Kim menjelaskan akan identitinya sebagai orang Korea. Sebab itu dia sengaja tidak membuangkan nama Kim walaupun telah memilih nama Ayesha sebaik bergelar Muslim.

    Kini, Ayesha Kim umpama sinar atau cahaya keyakinan kepada wanita-wanita Korea, khasnya para siswi di negara itu. Dia membimbing mereka menuju jalan kebenaran.

    Malah dia juga aktif menyampaikan ceramah dari kampus ke kampus. Ayesha memilih pendekatan logik dalam mengajar Islam.

    Menurut Ayesha, hidayah Ilahi datang kepada suami terlebih dahulu. Imam Mahdevoon yang sekarang ini Pengerusi Kesatuan Muslim di Korea Selatan. Mereka berdua berazam akan sentiasa bersama merentasi jalan kebenaran.

    Ayesha mampu menemui kebenaran di tengah-tengah peperangan yang membadai saat dia memilih Islam sebagai pegangan agamanya. Malah dia mengambil nama isteri junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai nama Islamnya dengan harapan nama tersebut akan membawa sumber kekuatan dan rahmat.

    Bila ditanya penglibatan awalnya dalam Islam, Ayesha diam seketika dan memejamkan mata seolah-olah sedang mencari sesuatu yang tersembunyi jauh di lubuk hatinya.

    Beberapa minit kemudian terpacul kata-kata: "Saya mencari ketenangan dalam hidup. Kebenaran suara hatilah yang telah mendorong dan menyakinkan saya bahawa mesti ada satu cara untuk mencapai kebenaran."

    Pada masa yang sama Perang Korea meletus dan memaksanya berpindah jauh ke pelabuhan Pusan. Ayesha semakin merenung dalam-dalam akan makna sebenar kehidupan.

    "Akhirnya saya bersetuju memeluk Islam di hadapan suami setelah melihat Islamlah satu-satunya benteng atau kubu yang akan menyelamatkan diri kita sendiri serta masyarakat," akui Ayesha.

    Perihal penglibatan Ayesha dalam dunia dakwah, ia tidak dapat lari daripada Omar Kim, yang memeluk Islam pada tahun 1950-an.

    "Sebelum Omar meninggal, dia pernah berpesan atau lebih tepat mendesak kami agar menyebarkan mesej Islam dan mengundang lebih ramai warga Korea untuk menerima Islam," jelas Ayesha.

    Selepas perang tamat, amanat Omar Kim diteruskan oleh Ayesha. Beliau pergi menemui keluarga mangsa-mangsa perang memberikan semangat kepada mereka.

    Ada antara mereka yang menerima Islam dan tidak kurang juga yang masih tetap dengan agama lama. Pun begitu, hubungan silaturahim antara mereka tetap teguh bertahun-tahun kemudian.

    Setelah itu, dakwahnya ditumpukan kepada dua orang anaknya. Akui Ayesha, dia memahami kesulitan mereka.

    "Namun saya yakin, bahawa kebenaran akan berbicara tanpa perlu saya memaksa mereka," jelasnya.

    Ia ditujukan kepada anak sulungnya yang menolak segala bentuk campur tangan ibu bapa dalam soal beragama. Namun pada usia 25 tahun, kejutan daripada anak itu dengan mengakui bahawa hatinya menjadi tenang apabila mendengarkan bacaan al-Quran.

    Namun, itu tidak bermakna dia akan menerima bulat-bulan tanpa mencari maklumat tambahan tentang Islam, sebelum benar-benar melakukan syahadah.

    Tidak lama selepas itu, anaknya itu menerima Islam. Namanya diubah dari Yoong kepada Jamila. Jamila kemudiannya bernikah dengan seorang Muslim Korea.

    "Anak perempuan saya menerima Islam pada usia jauh lebih muda daripada saya iaitu 20 tahun. Dia juga menikah dengan seorang Muslim Korea dan tinggal berdekatan dengan kami," katanya.

    Ayesha Kim, wanita Korea yang teguh, tegas, lembut hati dan tinggi keazaman telah melalui saat getir dalam mencari erti kebenaran sebelum pintu hatinya diketuk sentuhan cahaya Islam.

    Sejak itu, perjalanan hidupnya mengikut landasan Islam. Hari ini, Ayesha aktif berdakwah di kalangan wanita Korea. Dia telah mendorong ramai wanita Korea untuk menerima Islam.

    "Saya membuat mereka memahami bagaimana Islam melindungi hak-hak bersama pasangan yang telah menikah dan bagaimana Islam menyediakan dasar untuk kehidupan keluarga.

    "Hakikatnya agama Islam menghormati wanita. Segala puji bagi Allah, saya telah berhasil membimbing sejumlah besar wanita ke jalan kebenaran," ujar beliau.

    Ayesha bersyukur para mualaf Korea cukup istiqamah. Mereka umumnya menjadi pendakwah baru, seperti dirinya. Mereka juga terus didorong untuk aktif melakukan kegiatan sosial.

    "Itulah sesungguhnya inti pesan Islam, menjadi rahmat bagi siapa saja di sekelilingnya," ujarnya.

    Ditanya hasratnya di hujung usia, kata Ayesha, dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana suami, anak-anak dan dirinya menerima hidayah Allah SWT.

    Mereka telah beberapa kali menunaikan haji dan umrah. Sungguhpun masih ada di kalangan sanak saudara yang belum memeluk Islam, namun Ayesha masih berbaik dan saling hormat menghormati.

    "Ibadat haji saya yang pertama adalah pada tahun 1978 di mana saya mengambil peluang menjalani kehidupan dalam komuniti Muslim. Sekarang setelah kembali semula dari Arab Saudi ke Korea, saya tinggalkan hati saya di sana.

    "Kepulangan itu telah menambahkan lagi azam saya untuk terus berkunjung ke tanah kelahiran baginda Rasulullah SAW," jelasnya.

    Kejayaannya akui Ayesha adalah berkat berpegang teguh kepada firman Allah SWT sebagaimana dalam surah Ali Imran ayat 160 yang bermaksud: Jika Allah menolong kamu, maka tidak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu...

    Cuaca terburuk sejak 16 tahun

    Posted: 18 Jan 2012 10:07 PM PST




    UMAT Islam di Kashmir, India tetap menunaikan kewajipan solat Jumaat secara berjemaah di kaki lima jalan raya walaupun wilayah itu dilanda cuaca sejuk melampau sejak sebulan lalu.

    Cuaca sejuk dan hujan salji mengakibatkan salji meliputi seluruh taman dan masjid di Srinagar.

    Sejuk melampau yang melanda daerah itu merupakan cuaca terburuk direkodkan sejak 16 tahun lalu iaitu sehingga mencecah negatif 5.5 darjah celsius.

    IAM ceriakan persekolahan

    Posted: 18 Jan 2012 10:05 PM PST


    Zawahir Abdullah (kanan) membantu salah seorang kanak-kanak mencuba kasut baru.


    MEMBERI bukan bererti kita yang paling kaya manakala menerima pula bukan bererti kita yang paling miskin. Sebenarnya semua ini adalah ujian. Yang memberi dengan ujian memiliki, yang menerima dengan ujian ketiadaan.

    Memberi dan menerima adalah satu jalinan persaudaraan dan kasih sayang. Ia adalah perkongsian atas dasar peduli, prihatin dan tanggungjawab.

    Berulangkali Allah SWT berfirman di dalam al-Quran meminta hamba-hamba-Nya memberi kepada yang memerlukan. Ingatan ini pastinya sebagai tanda ingatan kita sebagai umat-Nya untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

    Yang pasti terlalu banyak kelebihan yang akan diperoleh oleh hamba-Nya yang suka memberi secara ikhlas. Ganjaran bukan sahaja rezeki yang berlipat ganda juga kesihatan, kebahagiaan, ketenangan jiwa, kejayaan hidup dan sebagainya. Yang paling besar mendapat hidayah dari Allah SWT.

    Antara firman Allah SWT menyeru hambanya memberi dan kelebihan amalan memberi: Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk reda Allah dan untuk memperteguh jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyirami, maka embun pun memadai. Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (al-Baqarah: 265)

    Walaupun sesi persekolahan untuk tahun 2012 telah dua minggu bermula, masih ada yang belum mampu memiliki kelengkapan persekolahan yang sempurna.

    Demi merealisasikan matlamat untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan, Islamic Aid Malaysia (IAM) terus menghulurkan bantuan bagi membantu mereka.

    Program kemanusiaan yang bertemakan projek Kembali Ke Sekolah adalah antara program komuniti bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan mendapat pembiayaan persediaan untuk kembali ke sekolah.

    Program ini memberi fokus kepada anak-anak yatim miskin dan anak-anak golongan fakir miskin di kawasan luar bandar.

    Melalui program ini, IAM bersama rakan penaja akan membantu para pelajar yang terpilih untuk menyediakan kelengkapan persekolahan untuk sesi persekolahan 2012.

    Penyediaan kelengkapan persekolahan ini merangkumi uniform sekolah, kasut, beg sekolah dan juga alat tulis. Program ini akan dilaksanakan oleh para sukarelawan dan juga rakan kerjasama pertubuhan. Program ini telah dilancarkan sebulan yang lalu bagi memberi manfaat pada mereka yang memerlukannya.

    Di Kota Bharu, Kelantan, IAM membantu lebih 50 pelajar miskin dan juga anak yatim dari beberapa daerah sekitar Kota Bahru untuk merasai sendiri pengalaman membeli-belah kelengkapan baru persekolahan.

    Ada di antara mereka yang meluahkan rasa terharu atas pengalaman pertama itu.

    Program ini mendapat kerjasama daripada pihak Mydin di Kubang Kerian melalui penglibatan kakitangannya yang turut membantu kanak-kanak ini memilih barangan mereka.

    Konsep satu kanak-kanak satu kakitangan diperkenalkan bagi memudahkan proses pemilihan barang-barang persekolahan tersebut.

    Pengurus Cawangan Mydin Kubang Kerian, R. Naidu berkata, pihaknya amat mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh IAM dan ini bukanlah kali kali pertama diadakan.

    "Ini juga sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami untuk mendekati golongan kurang berkemampuan dan kami berharap dengan sumbangan ini mereka lebih bersemangat untuk belajar," katanya.

    Di Kuala Lumpur IAM turut membantu komuniti bandar yang dihimpit dengan kemiskinan.

    "Panggilan telefon yang dibuat kepada pihak IAM, nampaknya membuahkan hasil. Saya sudah buntu, tidak tahu di mana mahu mengadu bagi membolehkan anak-anak saya mendapatkan baju sekolah beserta kelengkapan persekolahan untuk memulakan sesi persekolahan," kata Zuraida dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepong yang mempunyai 11 anak dan tujuh daripadanya masih bersekolah.

    Katanya, hidup mereka umpama jatuh ditimpa tangga apabila beberapa hari sebelum sesi persekolahan bermula suaminya jatuh sakit. "Alhamdulillah dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban persekolahan," katanya.

    Pada program itu, IAM membawa anak-anak Zuraida membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan di Mydin, Selayang.

    Usaha ini turut mendapat kerjasama kakitangan Mydin yang diketuai oleh Syamsul Kamal Zulkefli. Seramai enam kakitangan terlibat secara langsung dalam aktiviti amal yang memakan masa kira-kira dua jam.

    Di Alor Setar, program itu membabitkan bantuan kepada lebih 30 murid termasuk lapan anak yatim di Sekolah Kebangsaan Sri Mahawangsa, Kuala Sala.

    Walaupun sudah empat hari mereka memulakan sesi persekolahan, bantuan seumpama itu memastikan sesi persekolahan seceria kanak-kanak lain.

    Guru Besarnya, Shaari Alang terharu dengan penglibatan dan keprihatinan IAM membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk persediaan kelengkapan persekolahan.

    "Jarang ada usaha seumpama ini terutamanya bagi kami yang berada di kawasan luar bandar dan saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan," akuinya.

    Kata Shaari, kanak-kanak yang terpilih rata-ratanya datang daripada keluarga yang susah di sekitar Kuala Sala.

    Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, melalui program itu, anak-anak yang terpilih dibenarkan memilih sendiri kelengkapan seperti pakaian, kasut, alat tulis dan dibantu oleh sukarelawan IAM dan kakitangan Mydin.

    "Apa yang ingin kami berikan sebenarnya bukanlah pakaian serta barang kelengkapan persekolahan tetapi kasih sayang.

    "Sebelum ini, kami hanya menyumbangkan bantuan berbentuk pek makanan, namun atas dasar prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang kurang berkemampuan bagi meneruskan sesi persekolahan.

    "Kami turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai khususnya golongan korporat untuk turut sama dalam menjayakan program amal ini," ujarnya.

    Jelas Zawahir, pihaknya amat menghargai kerjasama daripada Pasaraya Mydin yang memberi diskaun dan layanan istimewa kepada pelajar yang kurang bernasib baik itu.

    Fesyen ke majlis malam

    Posted: 18 Jan 2012 10:05 PM PST


    Menawan dengan gaun syifon daripada fabrik bercorak.


    HARUS ada perbezaan antara pakaian untuk ke majlis malam dan siang. Ini kerana kebanyakan orang tidak menghiraukan pakaian yang sesuai untuk ke sesuatu majlis. Mereka memakai apa sahaja yang dirasakan cantik.

    Tidak bijak memilih pakaian untuk ke majlis malam akan membuatkan kita malu sendiri kerana bakal diberikan pandangan sinis dan jelingan tetamu lain.

    Tidak mungkin anda ke majlis malam dengan memakai kemeja, blaus, jaket atau baju kurung biasa. Nanti dikatakan orang, anda tidak tahu etika ke majlis.

    Mungkin anda tidak mempunyai masa untuk pulang ke rumah menukar pakaian namun tetamu lain tidak memahami masalah anda itu. Jadi jika anda telah mengetahui majlis yang akan dihadiri sebaik habis waktu bekerja, bawa pakaian yang hendak dipakai pada majlis malam itu.

    Atau bawa baju lain yang boleh disuai padan atau kasut yang lebih cantik dan dihiasi dengan batu permata atau kristal.

    Kini terdapat banyak butik dan kedai yang menjual pakaian malam yang telah siap pada harga yang berpatutan. Pilih warna yang bersesuaian dengan anda namun jangan pilih warna kelam.

    Pakaian untuk ke majlis malam lazimnya lebih bergaya daripada majlis di siang hari dengan warna-warna cerah dan terang seperti merah, biru dan sebagainya. Pakaian malam harus nampak lebih elegan, eksklusif dan bergaya.

    Dibuat daripada fabrik yang lembut beralun seperti syifon menjadikan anda tampak begitu menawan.

    Gaun kembang, dres labuh atau singkat yang dihiasi dengan batu-batu permata atau manik yang berkilat dan berkilauan amat sesuai bagi digayakan ke majlis malam. Ia membuatkan anda nampak lebih berseri daripada biasa.

    Inilah yang membezakan di antara pakaian majlis malam dan siang kerana pakaian yang dihiasi permata berkilauan tidak dipakai di siang hari.

    Aster Spring bantu raja sehari

    Posted: 18 Jan 2012 10:03 PM PST


    Demonstrasi solekan pengantin turut dipertontonkan pada majlis pelancaran Pakej Beautiful Bride Aster Spring.


    MERANCANG sebuah majlis perkahwinan bukan kerja main-main. Ia harus diurus dengan serius dan penuh ketelitian termasuk mengambil kira perkara-perkara yang mungkin dianggap remeh.

    Ini penting bagi memastikan peristiwa penting dan bersejarah dalam hidup meninggalkan kenangan cukup manis untuk diingati sepanjang hayat.

    Malah setiap pengantin pasti inginkan penampilan menarik pada hari paling bahagia dalam hidup mereka itu.

    Ia bukan sahaja menarik untuk tatapan para tetamu, lebih-lebih lagi suami, bahkan juga bagi meningkatkan keyakinan diri sendiri dalam memulakan penghidupan baru sebagai seorang isteri.

    Salah satu cara untuk kelihatan menarik lagi berkeyakinan tinggi menjelang hari perkahwinan ialah mengikuti rawatan kecantikan yang lengkap dirangka khas untuk bakal pengantin.

    Namun tuntutan tugas dan kesibukan bekerja kadang kala membantutkan apa yang sedang dirancang.

    Menyedari kepentingan itu, Aster Spring tampil menyediakan perkhidmatan menarik bagi membantu bakal raja sehari kelihatan anggun dan berseri sepanjang majlis berlangsung.

    Pakej tersebut yang dinamakan Beautiful Bride itu mempunyai formula semulajadi dan berkesan.

    Rawatan kecantikan yang lengkap merangkumi muka dan badan supaya bakal pengantin berasa segar, bertenaga, ceria lagi berseri.

    Selain itu, siri rawatan berikut mampu meningkatkan paras tenaga dalam badan serta merangsang pemulihan semulajadi sambil mengembali atau mengekalkan kesihatan dan kecantikan anda.

    Dengan menggunakan rawatan muka yang menyegarkan, bakal pengantin akan dapat menawan banyak hati dengan senyumannya pada pada wajah yang sihat berseri.

    Menurut Pengurus Besar Aster Spring, Michelle Lam, rawatan kecantikan bukan sahaja mampu menaikkan seri pada wajah tetapi juga turut memberikan kesihatan pada badan sendiri.

    Biarpun rawatan kecantikan sekurang-kurangnya dilakukan seminggu sebelum majlis, anda perlu tahu bahawa persiapan awal jauh lebih baik daripada dilakukan secara tergesa-gesa, apatah lagi sekiranya tubuh badan anda perlu 'banyak perubahan' dilakukan.

    "Sebab itu seboleh-bolehnya tiga bulan sebelum majlis dilangsung, rawatan perlu diberikan,'' ujarnya ketika ditemui sempena pelancaran pakej Beautiful Bride AsterSpring khas untuk bakal raja sehari baru-baru ini.

    Katanya, paling penting sebelum melakukan rawatan, perlu berbincang dengan perunding kecantikan dan menyatakan keinginan untuk tampil cantik berseri atau tampak lebih langsing pada hari bahagia.

    Ini kerana setiap jenis rawatan memerlukan tempoh dan masa untuk bertindak dengan baik.

    Selain itu kata Michelle, jangan kedekut berbelanja bagi mendapatkan penampilan yang diingini.

    "Biasanya pakej rawatan untuk bakal pengantin ini meliputi semua daripada wajah hingga kepada rambut, tubuh, kaki, tangan dan dalaman," katanya.

    Terang beliau, dalam rutin menjaga kecantikan tubuh badan, bakal pengantin tidak boleh menyerahkan semuanya pada rawatan luaran semata-mata.

    Sebaliknya, pada masa sama perlu mengambil inisiatif memberikan perhatian kepada pengambilan makanan sihat dan melakukan senaman ringan untuk kesegaran dan rasa bertenaga sepanjang hari bahagia.

    Malah badan yang bakal disarungkan dengan pakaian pengantin yang cantik juga boleh dipertingkatkan dengan rutin yang menyegarkan melalui rawatan Full Body Exfolition.

    "Dengan kaedah rawatan ini bukan sahaja boleh menanggalkan sel-sel mati dan kulit kusam tetapi menjadikan kulit lembut dan lebih muda yang pasti akan menjadi tarikan,'' ujarnya lagi.

    Katanya, rawatan awal juga adalah penting untuk yang bergelar raja sehari, keadaan itu perlu bagi memastikan kelancaran darah.

    "Di Aster Spring kami menyediakan rawatan keseluruhan bermula dari hujung rambut hingga ke kaki untuk bakal raja sehari," katanya.

    Sekolah Menengah Sains BP beroperasi Jun

    Posted: 18 Jan 2012 10:02 PM PST


    SEKOLAH Menengah Sains Batu Pahat ini bakal beroperasi Jun depan.


    BATU PAHAT 17 Jan. - Sekolah Menengah Sains Batu Pahat yang sebelum ini disenaraikan sebagai 'projek sakit' dua tahun lalu, akhirnya berjaya disiapkan dan dijadual mula beroperasi Jun depan.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah yang dibina dengan kos RM45 juta pada 2007 itu akan menerima kemasukan pertama seramai 150 pelajar tingkatan satu.

    Menurutnya, kemasukan sepenuhnya pelajar dijangka pada Januari tahun depan dan sekolah itu mampu menempatkan 900 pelajar tingkatan satu hingga lima bersama 68 guru.

    Beliau berkata, sekolah itu dilengkapi dengan kemudahan 30 kelas, stadium mini dan sebuah dewan untuk kegunaan warganya.

    "Sekolah ini sepatutnya disiapkan pada September 2009 dan dilanjutkan hingga April tahun lalu tetapi pihak kontraktor masih gagal berbuat demikian kerana menghadapi masalah kewangan.

    "Dulu ia dianggap sebagai projek sakit, tetapi kita telah lantik kontraktor penyelamat yang berjaya menyiapkan projek ini seperti dijanjikan," katanya selepas melawat sekolah itu hari ini.

    Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, sekolah itu yang siap sepenuhnya kini dalam proses memasukkan kelengkapan sekolah termasuk perabot.

    Sekolah Menengah Sains Batu Pahat adalah salah sebuah daripada 64 sekolah berasrama penuh di seluruh negara dengan jumlah pelajar melebihi 39,000 orang.

    Menurutnya, sebanyak 50,000 permohonan untuk memasuki sekolah menengah sains diterima di seluruh negara pada 2009 tetapi kementeriannya hanya mampu mengambil 6,000 pelajar akibat masalah kekurangan kemudahan termasuk disebabkan projek terbengkalai.

    Katanya, sebanyak enam kontraktor disenarai hitam kerana gagal menyiapkan projek pembangunan Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) membabitkan peruntukan keseluruhan RM180 juta.

    Syarikat tersebut terlibat dalam enam projek dan ia merupakan sebahagian daripada 45 projek 'sakit' daripada keseluruhan 14,181 projek di bawah kementerian tersebut.

    3 syarat eksport sarang burung walet ke China

    Posted: 18 Jan 2012 10:00 PM PST


    Noh Omar (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada ahli kimia, Cassie Lee (kiri) selepas merasmikan Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik 1Malaysia di Puchong, dekat Kuala Lumpur, semalam.


    KUALA LUMPUR 17 Jan. - Mulai tahun ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menetapkan tiga syarat terhadap pengusaha-pengusaha sarang burung walet untuk mengeksport produk tersebut ke China.

    Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pengusaha terbabit perlu mendapatkan sijil perakuan daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sekali gus melayakkan mereka memperoleh perakuan jenama 1Malaysia Best pada setiap produk tersebut.

    Katanya, ia bertujuan memastikan kualiti sarang burung tersebut memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan China.

    "Sijil dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar adalah bagi memastikan sarang burung tersebut tiada risiko jangkitan penyakit haiwan dan selamat untuk dimakan.

    "Sementara sijil pengenalan frekuensi radio (RFID) dari SKMM diperlukan untuk membolehkan sarang burung walet yang bermasalah dikesan menggunakan gelombang frekuensi radio untuk menentukan lokasi 'rumah' sarang burung berkenaan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik 1Malaysia yang pertama di Puchong dekat sini semalam.

    Menurut Noh, syarikat berkenaan juga perlu mengenal pasti sebuah syarikat di China sebagai rakan perniagaan bagi memudahkan eksport sarang burung walet dari Malaysia dipantau.

    "Syarikat di China itu pula mesti melakukan promosi bahawa hanya produk sarang burung walet jenama 1Malaysia Best sahaja yang dijamin kualitinya dan selamat untuk dimakan," ujarnya.

    Tambah beliau, antara lain, tindakan tersebut akan memulihkan kembali industri tersebut yang mengalami masalah pemasaran ke luar negara akibat dakwaan produk itu mempunyai kandungan nitrit yang boleh membahayakan kesihatan.

    "Pada 2011, kerajaan China telah melaksanakan penguatkuasaan kandungan nitrit sifar yang mengakibatkan kejatuhan mendadak harga sarang burung walet sehingga ke paras 50 peratus," ujarnya.

    Mengulas lanjut mengenai polisi kerajaan China tersebut, beliau berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan kedua-dua negara sedang berbincang bagi mencapai kata sepakat mengenai kandungan nitrit yang dibenarkan.

    Sementera itu, katanya, kementerian itu juga akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal mana-mana individu termasuk pelancong membawa sarang burung walet lebih daripada satu kilogram ke luar negara.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    1 ulasan:

    Unknown berkata...

    Saya Fatimawati, saya menggunakan waktu ini untuk memperingatkan semua rekan saya INDONESIANS.Who yang telah terjadi di sekitar mencari pinjaman, Anda hanya harus berhati-hati. satu-satunya tempat dan perusahaan yang dapat menawarkan pinjaman Anda adalah QUALITYLOANFIRM. Saya mendapat pinjaman saya dari mereka. Mereka adalah satu-satunya pemberi pinjaman yang sah di internet. Lainnya semua pembohong, saya menghabiskan hampir 32 juta di tangan pemberi pinjaman palsu. Tapi qualityloan memberi saya mimpi saya kembali. Ini adalah alamat email yang sebenarnya mereka: qualityloanfirm@asia.com. Email pribadi saya sendiri: fatimatu.said99@gmail.com. Anda dapat berbicara dengan saya kapan saja Anda inginkan. Terima kasih semua untuk mendengarkan permintaan untuk saran saya. hati-hati

    Catat Ulasan

    Categories