RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Kamal Ashnawi terkaya di dunia, miliki RM20 trilion?

Posted: 21 Jan 2012 06:20 PM PST


Kamal Ashnawi


KUALA LUMPUR 21 Jan. – Walaupun tidak tersenarai sebagai orang terkaya di dunia, anak kelahiran Perak, Kamal Ashnawi (KA) mendakwa beliau kini mempunyai wang simpanan melebihi 5 trilion Euro (RM20 trilion).

Dakwaan kekayaannya itu ditunjukkan dengan mengemukakan kepada pemberita salinan penyata bank HSBC di London yang seharusnya membolehkan beliau menjadi individu pertama di dunia bergelar 'trillionaire'.

Kamal adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sierra Petroleum (M) Sdn. Bhd. yang pernah mencadangkan projek kilang penapis minyak mentah di Kedah pada 2005.

Menurut majalah Forbes, Carlos Slim dari Mexico merupakan manusia terkaya di dunia tahun lepas dengan anggaran kekayaannya mencecah RM224.7 bilion dan Pengasas Microsoft, Bill Gates menduduki tempat kedua dengan kekayaan berjumlah RM170 bilion.

"Saya terpanggil untuk tampil bagi menolak segala tuduhan buruk yang dilemparkan sebelum ini ekoran cadangan projek pada 2005 yang tidak berjaya dilaksanakan kerana dihalang oleh pihak-pihak tertentu.

"Ini adalah tawaran terakhir saya bagi membantu orang Melayu dan syarikat-syarikat dengan melaburkan dana dalam tiga projek cadangan di Perlis, Johor dan Kelantan dalam masa yang terdekat," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini semalam.

Katanya, tiga projek yang bernilai trilion ringgit tersebut ialah projek pelancongan komersial di Kuala Perlis, taman tema berkonsepkan Pirates of The Carribean di Danga Bay, Johor Baharu, dan projek penempatan komersial di Kelantan.

Kamal berkata, segala urusan berkaitan tiga projek tersebut akan diserahkan kepada SAS Group iaitu sekumpulan pelajar alumni Sekolah Alam Shah yang merupakan bekas sekolah beliau sendiri.

Sejak projek penapisan kilang minyak di Kedah itu tergendala, katanya, dia lebih banyak menghabiskan masa di luar negara bagi menguruskan perniagaan.

Menurutnya, beliau akan bermastautin di Hong Kong mulai Mac ini bersama keluarganya sebelum ke Indonesia beberapa tahun kemudian.

Kamal memberitahu, kekayaan yang diperoleh berasal daripada warisan diraja menerusi akaun bagi Combined International Collateral of the Global Debt Facility yang dibuat keluarga diraja dunia pada 1875.

Dakwanya, beliau juga adalah keturunan diraja dari Jawa, Indonesia dengan namanya Raden Mas Prabhu Gusti Agung Ki Asmoro Wijoyo dan dijangka ditabal menjadi Maharaja Indonesia dalam beberapa tahun lagi.

Kembar terpisah 67 tahun

Posted: 21 Jan 2012 06:15 PM PST

Kembar

BATU PAHAT – Siapa sangka, dalam keadaan berputus asa setelah usaha mencari kembarnya di negara asing selama berpuluh tahun, bukan setakat gagal malah langsung tiada petunjuk, ketika itulah doa Walitah Sawiyan, 70, dimakbulkan.

"Saya sudah bertekad, jika tak jumpa juga dengan kembar saya, Walitih, inilah kali terakhir saya mencarinya. Saya akan pulang ke Indonesia dan terus tinggal di sana. Kiranya saya sudah putus asa," kata Walitah.
Namun takdir menentukan pada 4 Januari lalu ketika menunggu feri di Jeti Kukup, Pontian untuk pulang ke Tembilahan, Sumatera dalam perjalanan yang disangkanya adalah yang terakhir untuk mencari kembarnya itu, dia tiba-tiba ditegur oleh seorang wanita yang tidak dikenali.
"Orang itu tegur saya kerana menyangka saya jirannya di Batu Pahat," katanya.
Lalu Walitah mengajak wanita yang menegurnya itu untuk membawa dia bertemu dengan jirannya yang dikatakan wajah saling tak tumpah itu.
"Hati saya melonjak-lonjak mahu dibawa bertemu dengan jirannya. Tiba di sana, memang benarlah. Dialah Walitih yang saya cari-cari selama ini, malah saya pun sudah hampir berputus asa untuk mencarinya lagi," kata Walitah sambil mengesat air mata.
Terharu sungguh dia dengan pertemuan yang tidak disangka-sangkanya itu.
Walitih yang turut serta dalam pertemuan dengan Sinar Harian, bagaimanapun memilih untuk tidak berkata apa-apa.
Dia lebih selesa melayan perasaan dengan caranya yang tersendiri setelah dipertemukan dengan kembar yang dirinduinya selama 67 tahun itu.
Apa pun, setelah bertemu Walitih, pencarian Walitah sebenarnya masih juga belum berakhir. Mereka kini sedang mencari seorang lagi adik, Tiwan yang berusia 10 tahun ketika hilang sebaik Perang Dunia Kedua meletus.
Menceritakan detik perpisahan mereka, Walitah berkata, dia diserahkan kepada keluarga angkat yang kemudian membawanya ke Sumatera untuk menyelamatkan diri daripada serangan tentera Jepun ke atas Malaya.
"Walitih pula diserahkan kepada keluarga angkat yang lain. Dia terus tinggal di kampung halaman kami, Kampung Parit Jorak Senawi, Batu Pahat," katanya.
Meskipun berjauhan, kata Walitah, sejak itu dia tidak pernah melupakan adik beradiknya, yang kesemuanya lima orang.
"Dua daripada saudara saya, lelaki. Kedua-duanya hilang pada zaman perang. Seorang lagi perempuan, sudah meninggal," katanya.
Bermula awal 2010, Walitah berkali-kali datang mencari kembarnya di sekitar Bukit Naning dan Batu Pahat.
"Saya bukan saja gagal temui dia, malah langsung tidak ada petunjuk,"katanya.
Rupa-rupanya, usaha Walitah itu disukarkan oleh satu sebab, Walitih kini bukan lagi dikenali sebagai Walitih.
"Dia sudah punya nama baru, Patimah Ijap. Sebab itu saya tak jumpa dia," kata Walitah dengan sedikit senyuman terukir di bibirnya.
Kerana itulah juga, kata Walitah, jika Walitih tidak juga ditemui, dia akan hentikan terus pencarian itu.
Kini, setelah bertemu dengan kembar yang dicari-carinya, Walitah sebaliknya sudah tidak mahu kembali ke Indonesia lagi.
"Di sini kampung halaman saya, tanah tumpah darah saya. Saya mahu tinggal terus di sini bersama kembar saya sampai akhir hayat," katanya.
Sehubungan itu, kata Walitah, dia berharap ada pihak dapat membantu memakbulkan satu lagi hajatnya iaitu menjadi warga Malaysia.
"Kami tidak sanggup untuk berpisah lagi. Biarlah sisa usia yang ada kami isi bersama setelah 67 tahun kami terpisah," katanya dengan nada dan wajah yang sangat terharu.
Bersuara bagi pihak ibunya, anak Walitih, Saniyah Sahidan, 43, berkata, dia dapat merasai kegembiraan dan kelegaan hati ibunya setelah dipertemukan semula dengan kembar yang dirinduinya sejak sekian lama.
"Saya tak sanggup melihat dia sedih semula. Kerana itu, saya harap ada pihak sudi membantu ibu saudara saya ini kembali semula menetap di tanah air yang telah ditinggalkannya sekian lama. Ini negaranya, dia lahir di sini dan ibu bapa mereka juga orang sini. Cuma kepayahan hidup pada zaman perang yang membawa dia ke sana sedangkan itu bukan negaranya," katanya.

Pakej Celcom tawar Galaxy Tab 7.0 plus

Posted: 21 Jan 2012 06:14 PM PST

Celcom

Celcom Axiata Bhd (Celcom) menawarkan pakej menarik untuk tablet Samsung sempena pengenalan koleksi terbaru Galaxy iaitu Samsung Galaxy Tab 7.0 plus.

Ketua Operasi Data Lanjutannya, Afizulazha Abdullah berkata, meletakkan pengguna sebagai keutamaan utama, Celcom berbesar hati memberikan pengalaman mudah alih terbaik kepada pelanggan.
"Menyedari peningkatan prestasi dari koleksi Samsung Galaxy, Celcom giat menaik taraf rangkaiannya. Selain itu Celcom juga akan sentiasa memastikan keperluan dan kehendak pengguna dipenuhi, pada masa sama mengekalkan perkembangan teknologi dalam menghasilkan produk premium," katanya.
Samsung Galaxy Tab 7.0 plus dilengkapi dengan kadar suara menarik serendah RM0.15 seminit, RM0.12 setiap SMS, RM0.20 setiap MMS dan RM0.15 seminit untuk panggilan video. Malah, pengguna juga dijamin akan memiliki pakej yang sesuai dengan keperluan mereka.
Selain Samsung Galaxy Tab 7.0 plus, Celcom turut menawarkan beberapa tab­let lain antaranya Samsung Galaxy Tab 8.9, Samsung Galaxy Tab 7, Samsung Galaxy Tab 10.1 dan BlackBerry Playbook.

Digi pilihan 5.2 juta pelanggan

Posted: 21 Jan 2012 06:06 PM PST

Digi pilihan 5.2 juta pelanggan

SHAH ALAM - Digi.Com Bhd (Digi) mengalami pertumbuhan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 yang baik dijana oleh asas pelanggan yang lebih besar iaitu 9.9 juta, peningkatan penggunaan suara dan data, serta pertambahan pembelian tawaran-tawaran pakej telefon pintar dan peranti.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Henrik Clausen berkata, pendapatannya bagi tahun berkenaan meningkat kepada RM5.963 bilion daripada RM5.406 bilion. Pendapatan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun lalu juga itu bertambah kepada RM1.545 bilion berbanding RM1.429 bilion bagi suku yang sama tahun kewangan lalu.

Dalam kenyataan medianya, syarikat telekomunikasi itu berkata, Digi berbangga kerana menjadi pilihan 5.2 juta pengguna Internet mudah alih yang aktif.

"Kami gembira tentang daya tarikan sebagai pilihan lebih bijak bagi Internet mudah alih, dan peningkatan penembusan data dalam kalangan pelanggan-pelanggan kami," katanya.

Clausen berkata, Digi telah menambah pelaburan perbelanjaan modalnya kepada RM610 juta daripada RM550 juta untuk mempercepatkan pelancaran laman-laman baru dan menambah kapasiti.

33 penagih, pengedar dicekup

Posted: 21 Jan 2012 06:04 PM PST

KUMPULAN penagih dadah yang ditahan dalam serbuan dalam ladang kelapa sawit di Kampung Menerong, Pokok Sena semalam.


ALOR SETAR - Selepas tiga bulan bermaharajalela, kegiatan sekumpulan penagih dadah dan pengedar dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Menerong, Pokok Sena dekat sini berakhir selepas seramai 33 orang ditangkap dalam serbuan polis cawangan narkotik pukul 6 pagi semalam.

Serbuan hasil intipan selama sebulan itu dilakukan selepas ada penduduk kampung terhidu kegiatan kumpulan tersebut yang berkumpul di sebuah bangsal dalam ladang berkenaan bagi melepaskan ketagihan dadah khususnya pada waktu pagi dan hujung minggu.

Sewaktu serbuan, ada penagih bertempiaran lari tetapi kesemuanya berjaya ditangkap bersama rampasan 23 buah motosikal dan tiga buah kereta serta sejumlah dadah jenis ganja dan beberapa botol ubat batuk.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, seramai 32 penagih serta seorang pengedar dadah ditahan, kesemuanya berusia 20 tahun hingga 50 tahun.

Menurutnya, kesemua yang ditahan adalah rakyat tempatan, menetap dan bekerja di kawasan berhampiran.

"Kawasan tersebut agak tersorok daripada laluan utama, ini memudahkan mereka melakukan kegiatan menghisap dadah.

"Biasanya kawasan itu menjadi tumpuan penagih dadah sekitar Pokok Sena dari pukul 9 pagi hingga 3 petang terutama pada hari cuti dan hujung minggu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan semalam.

Tahun Baru Cina penyubur perpaduan nasional

Posted: 21 Jan 2012 06:03 PM PST


NAJIB menggaul yee sang sempena sambutan Tahun Baru Cina sebelum majlis Pelancaran Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di Kuantan semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Malaysia memperteguh semula tekad untuk mempertahan, mengukuh dan menyuburkan perpaduan nasional yang dibina selama ini dengan berasaskan prinsip toleransi, penerimaan dan seterusnya meraikan kepelbagaian.

Dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina yang dimuatkan dalam laman blog beliau, www. 1Malaysia.com.my semalam, Perdana Menteri berkata, sempena hari bahagia itu, "kebersamaan yang ada antara kita adalah lebih besar daripada perbezaan yang wujud".

"Semua kita mendambakan masa depan yang lebih baik untuk diri dan anak-anak kita. Oleh itu marilah kita berusaha bersama-sama bagi memastikan masa depan yang sarat harapan untuk semua," katanya.

Lebuh raya mula sesak

Posted: 21 Jan 2012 06:01 PM PST


SESAK Beginilah keadaan trafik di lebuh raya PLUS berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh (Arah Utara) semalam.


KUALA LUMPUR - Trafik menghala keluar ibu negara bergerak perlahan sejak lewat petang kelmarin dan semalam berikutan warga kota mula meninggalkan kediaman masing- masing untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut mulai esok.

Jurucakap PLUSLine ketika dihubungi berkata, berlaku peningkatan trafik di beberapa lokasi di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke arah utara dan selatan.

Beliau berkata, antara laluan yang dilapor bergerak perlahan adalah dari Nilai ke Seremban, Kota Damansara ke Bukit Lanjan, Sungai Buloh ke Bukit Tagar dan Hentian Rehat dan Rawat Tanjung Malim ke arah utara.

PLUSLine menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan bijak bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan pada musim perayaan ini.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 1800-88-0000 atau melayari Twitter PLUS di www.twitter.com/plustrafik.

Janda Hattan dianiaya

Posted: 21 Jan 2012 05:59 PM PST


LAPORAN polis terhadap kejadian godam e-mel dan blog juga dibuat Farah.


PADA mata khalayak, Farah Othman pernah dikenali sebagai janda Hattan. Perkahwinan dan kebahagiaan yang dibina bersama penyanyi lagu Biso Bonar itu hanya mampu bertahan 63 hari sahaja. Dinikahi pada tarikh cantik 11 November 2011, talak satu kemudian jatuh ke atas usahanita berjaya itu pada tarikh 12 Januari 2012 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Impak perpisahan dengan jangka perkahwinan pendek itu benar-benar menimpa Farah Ashikin. Dia terpalit pelbagai spekulasi yang memberi kesan kepada diri dan kerjayanya. Bertemu Farah di butik Amir Luqman yang merupakan rakan kongsinya, Farah meminta ruang untuk menerangkan spekulasi yang bergerak dalam atmosfera percakapan khalayak. Malah, ibu kepada dua orang anak ini juga sempat memberitahu tentang onar yang menimpa dirinya.

"Pertama sekali saya mahu membetulkan spekulasi yang menyatakan Hattan ceraikan saya kerana gambar saya yang disiarkan di Internet. Itu tidak ada kena mengena. Perpisahan ini lebih kepada tiada jodoh dan persefahaman," ujar pengarah urusan Into Equity ini dan menegaskan bahawa perkahwinannya dan Hattan mendapat restu keluarga.

"Saya rasa keadaan sekarang sangat tough. Saya perlu bersuara. Ya, saya akui gambar yang disebarkan adalah gambar saya. Salah tetap salah tetapi gambar itu adalah gambar lima tahun dahulu. Saya perlu bersuara sebab beberapa blog memainkan isu saya dan saya anggap tidak relevan," ujar Farah yang menganggap tidak adil gambarnya disebarkan sedangkan dia bukanlah seorang selebriti.

"Saya juga ingin membetulkan bahawa saya tidak pernah diceraikan talak tiga seperti yang pernah diuar-uarkan. Saya meletakkan nyawa saya kepada perkahwinan itu dan saya jujur terhadap perkahwinan," sambungnya yang bersikap optimistik dalam menjalani rencah kehidupan kini.

"Saya ada maruah dan saya ada keluarga. Saya sangat melindungi anak-anak saya. Bila tersebar gambar berkenaan memang saya malu dan reputasi saya jatuh," luahnya yang kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Lebih penting lagi dalam pertemuan bersama Farah, penekanan diberikan kepada penganiayaan siber yang menimpa dirinya.

Bukan baru berlaku pada tahun ini tetapi penggodam tersebut telah memasuki ruang e-mel Farah dan menambah kandungan dalam e-mel serta kemudian melayangkan kepada setiap data yang berada dalam e-mel tersebut. Malah kandungan tambahan tersebut dimasukkan ke dalam blog milik Farah.

Pertama kali melakukan laporan polis pada 2010, laporan akhbar tentang penganiayaan tersebut turut muncul dalam akhbar Malay Mail pada September 2010.

Selepas mengahwini penyanyi Hattan, kejadian tersebut berulang malah bekas suaminya itu pernah menemaninya membuat laporan polis sekali lagi sebelum mereka berlepas ke London pada Disember lalu.

Melihat situasi ini sebagai satu cubaan menjatuhkan maruah dan reputasi dirinya sebagai usahanita, Farah menjelaskan impak dan bisnes yang sedang dijalaninya.

Melalui syarikat Into Equity Sdn. Bhd., Farah menjalani bisnes dalam bidang hartanah dan pendidikan kanak-kanak yang beroperasi di London dan Hong Kong.

Bukan sahaja di luar negara, Farah merupakan pembekal barangan untuk hotel terkemuka di Kota Kinabalu dan membekalkan peralatan kesihatan kepada Kementerian Kesihatan.

"Apabila penggodam ini menceroboh e-mel, menyebar gambar saya dan melakukan penganiayaan siber, reputasi saya sebagai usahawan terjejas. Kalau dengan pelanggan luar negara tidak ada masalah tetapi kalau dengan pelanggan dalam negara macam mana? Saya perlu bersihkan nama saya yang tercalar," ujarnya yang telah mendapat nasihat peguam dan akan mengambil tindakan.

Menganggap perkara penggodaman e-mel dan blog serta penyebaran gambarnya sebagai sesuatu yang sangat serius, tindakan akan dibuat sekembalinya Farah dari Hong Kong kelak.

"Saya akan ke Hong Kong untuk urusan perniagaan. Sekembalinya saya nanti, saya mahu membersihkan nama saya. Saya sudah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan terhadap beberapa blog hiburan yang menyiarkan gambar saya," kata Farah tegas.

Timbul tenggelam Fezrul Khan

Posted: 21 Jan 2012 05:54 PM PST

FEZRUL KHAN muncul dengan filem perdananya, Sumpahan Kum Kum yang mula ditayangkan pada 26 Januari ini.


AKTOR ini memulakan mukadimah dengan satu pernyataan benar tentang dirinya. Fezrul Khan ketawa kecil tapi memberi gambar besar tentang penampilannya sebagai seorang pelakon.

"Saya bukan pelakon method," itu ayat ringkas yang menjelaskan pendirian Fezrul Khan.

Secara harfiahnya, Fezrul banyak bergerak dengan faktor teknikal. Dia bernaung bawah syarikat yang menawarkan khidmat sewa peralatan seperti lampu dan barang-barang untuk produksi. Hari-harinya banyak bergulir dengan suasana teknikal setelah mendirikan MRG Entertainment Sdn. Bhd. sejak dua tahun lalu.

Penubuhan syarikat atas dasar kecintaan kepada bidang kerja yang digemarinya ini menjadi antara faktor mengapa pelakon berusia 29 tahun ini semakin bergerak pantas. Banyak menumpukan perhatian kepada syarikat, namun Fezrul mengaku semakin serius meletakkan dirinya sebagai aktor.

Faktor teknikal

Menggalas topik teknikal yang dibawakan Fezrul, dia memulakan cerita tentang faktor penting yang membantu perjalanan karier seninya namun agak dipandang sepi oleh sesetengah pelakon.

"Saya memulakan bidang seni dengan kerja-kerja belakang tabir. Itu permulaan saya. Boleh saya katakan bahawa faktor teknikal membantu 50 peratus dalam lakonan saya. Saya melihat juga tidak ramai pelakon tahu tentang teknikal. Majoritinya hanya banyak tertumpu kepada penyampaian dan jalan cerita.

"Kalau kita sedar bahawa faktor lampu, pergerakan kamera dan peralatan akan dapat banyak membantu perjalanan lakonan. Itu yang saya katakan bahawa saya ini lebih kepada pelakon teknikal dan bukan method," senyumnya yang mengaku seorang yang pemalu.

Namun pada kadar kelajuan sederhana sekarang yang tidak perlu dipacu deras, Fezrul yang kadangkala seakan tenggelam dan timbul bersyukur dengan tawaran lakonan yang semakin banyak menghampiri.

"Alhamdulillah ada tawaran dan saya memilih daripada sudut jalan cerita. Berdasarkan pemerhatian saya, enam daripada 10 buah filem tempatan mempunyai jalan cerita yang baik," tambahnya.

"Saya rasa tidak laju dalam kadar pencapaian berlakon. Saya sebenarnya juga tidak mahu lambakan lakonan saya dalam produk takut orang muak tengok saya. Banyak lagi yang saya pelajari. Bagi saya adalah penting untuk mengambil masa untuk mengkaji dan membentuk sesebuah karakter," ujar teman baik Shaheizy Sam yang selalu memancing bersama.

Pengalaman kena tipu

Fezrul mula bersifat selektif dalam pemilihan watak kerana pengalaman lalu banyak meninggalkan kesan terhadapnya.

Dakwa pelakon yang berasal dari Johor, pengalaman ditipu bayaran merupakan pengalaman pahit buatnya. Sakit hati sudah pasti tapi pengajaran positif yang kemudian diambil adalah dengan menyertai sebuah pengurusan artis yang mampu menjaga kebajikannya.

"Ya, saya pernah ditipu dengan tidak dibayar. Lalu dengan nasihat Sam, saya menyertai pengurusan Metrowealth (MIG) yang akan menjaga saya sebagai pelakon. Perancangan jangka panjang, inilah yang saya nampak baik untuk saya," ujar Fezrul yang pernah terkena sihir beberapa tahun lalu.

Melalui MIG, Fezrul pada tahun ini muncul sebagai pelakon utama dalam filem Sumpahan Kum Kum. Respons yang diterima usai tayangan, filem tersebut adalah sebuah tanda aras positif untuk Fezrul. Ramai yang memuji lakonannya manakala filem arahan Ismail Bob Hashim itu dianggap antara yang paling seram. Filem yang bakal ditayangkan pada 26 Januari ini adalah hasil gandingan Fezrul bersama Shima Anuar, Wawa Zainal, Razak Ahmad dan Kaza.

"Ini filem pertama saya. Sebelum ini pernah berlakon filem tetapi ditipu. Saya membawakan watak Adi yang membalas dendam terhadap kematian adiknya. Dia seorang lelaki yang selalu cemas dan panik. Juga berkebolehan mengubatkan orang kerana ada keistimewaan mistik," terang Fezrul yang sebenarnya turut mempunyai perasaan cepat panik selepas terkena sihir satu ketika dulu.

"Saya target untuk tahun 2012 untuk keluar dengan produk filem. Alhamdulillah, saya akan muncul dengan filem Minyak Dagu arahan Azhari Zain dan Hanya Aku Cinta Kau Seorang arahan Ollyn untuk tahun ini," katanya.

Di kaca televisyen juga, drama Santau Merasuk juga sudah mula ditayangkan. Penampilan Fezrul bersama Yana Samsudin sekali lagi menyaksikan dirinya dalam atmosfera genre seram.

"Saya tahu saya banyak berlakon produk seram. Tetapi saya perlu berhenti daripada melakonkan genre seram kerana mahu fokus kepada genre lain. Mungkin wajah saya ini sesuai dengan produk hantu," ketawanya yang mengagumi Kevin Spacey dan John Leguizamo ini.

Untuk Fezrul, 2012 tampaknya sebagai sebuah permulaan dengan langkah kanan. Muncul dengan sebuah perdana memungkinkan nama yang dilihat tenggelam timbul itu ada pada permukaan yang lebih jelas.

"Saya memang suka berlakon kerana suka berfikir," tambahnya yang jelas gemar berfikir kerana menbalas setiap soalan dengan pemberhentian masa beberapa detik sebelum deras menjawab.

Mimpi lelaki tua berserban

Posted: 21 Jan 2012 05:52 PM PST


SYARIKAT ini memperoleh persijilan ISO 9001:2000 daripada SIRIM QAS International pada April 2003.


MINYAK urut jenama Afiat telah lama diketahui berkesan untuk mengatasi masalah terseliuh, kebas atau membetulkan perjalanan darah. Ia juga popular dalam mengembalikan kesihatan wanita lepas bersalin.

Terletak di Batu 30, Jalan Ipoh, Kuala Kangsar, Perak, syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd. telah beroperasi selama lebih 80 tahun. Ia diasaskan oleh Panjang Kamaruddin di Tambun.

"Nama 'afiat' itu diambil daripada ungkapan sihat walafiat. Imej lelaki memakai songkok pada produk Afiat pula merupakan gambar Haji Panjang Kamaruddin yang sengaja dipaparkan secara animasi," kata Pengarah Urusan Minyak Afiat, Ahmad Zakaria Khalid.

Zakaria berkata, asal-usul perniagaan itu memiliki sisi eksentrik. Cerita beliau, Panjang yang merupakan ketua sebuah kampung di Tambun tiba-tiba lumpuh kedua-dua belah kaki tanpa diketahui sebabnya.

Walaupun, pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan penyakitnya ia masih gagal. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari semasa Panjang sedang tidur, beliau bermimpi didatangi seorang tua berserban dan berjubah putih.

Mimpi

Orang tua itu menyuruh Panjang mengambil satu bungkusan putih yang di dalamnya mengandungi beberapa jenis herba.

Panjang diberitahu bahawa bungkusan putih itu tertanam di dalam tanah di hujung kampung dan perlu dicampurkan dengan minyak kelapa hijau sebelum disapu di tempat yang sakit.

Selepas itu, Panjang meminta anak saudaranya bernama Khalid Uda Ismail yang merupakan bapa Zakaria, mengambil bungkusan itu keesokan harinya.

"Bungkusan berkenaan mengandungi 40 jenis herba antaranya daun pucuk jambu, rambutan, pegaga dan pandan.

"Setelah ayah saya membawanya pulang, herba berkenaan dicampur dengan minyak kelapa hijau. Apa yang menghairankan, Panjang pulih daripada penyakit lumpuh tidak lama selepas diurut dengan minyak herba itu," cerita Zakaria.

Khalid mengkomersialkan minyak tersebut pada tahun 1924.

"Bagaimanapun, ayah saya seorang yang pendiam menyebabkan beliau sukar untuk menjual minyak itu," kata Zakaria.

Namun, satu kejadian pada penghujung tahun itu membuatkan Khalid bertukar peramah.

Menurut Zakaria, bapanya telah menjual sebotol minyak Afiat kepada seorang tukang rumah yang dikenali sebagai Haji Seman di Parit Buntar.

Semasa ingin memaku bumbung rumah, Haji Seman terketuk jari telunjuk tangan kanannya menyebabkan ia berdarah.

"Kerana terlalu sakit, beliau menjerit hingga ramai penduduk pekan Parit Buntar mendengar suaranya. Ayat yang beliau gunakan ialah 'mana minyak Afiat, jari aku berdarah'," ujar Zakaria.

Haji Seman mengayuh laju basikalnya untuk pulang ke rumah dan menyapu luka jarinya dengan minyak Afiat. Tangannya berhenti berdarah dan pulih beberapa hari kemudian.

Selepas itu, Haji Seman menjadi ejen tidak rasmi mempromosikan minyak Afiat. Khalid juga dapat belajar daripada Haji Seman yang peramah cara-cara menjual minyak itu.

Ayam sabung

Sejak itu, cara pemasaran minyak Afiat mula berubah dengan Khalid menjualnya di pasar malam dan sekitar kampung di Perak.

Sama seperti babak menjual ubat di pasar sambil menyanyi dalam filem Do Re Mi arahan Tan Sri P. Ramlee, medium yang sama digunakan oleh Khalid. Beliau bermain gambus.

"Malangnya ramai orang kampung kurang yakin dengan khasiat minyak itu, lalu mereka mencabar ayah supaya memulihkan kaki ayam sabung yang patah.

"Ayah saya menyapu minyak Afiat pada kaki ayam itu dan mengurungnya di dalam reban. Beberapa hari selepas itu kaki ayam itu pulih," cerita Zakaria lagi.

Setelah hampir 87 tahun beroperasi, syarikat Minyak Afiat kini mempunyai lebih 30 pekerja. Ia turut memperoleh persijilan ISO 9001:2000 daripada SIRIM QAS International pada April 2003.

Apa yang menarik, pelanggan mereka juga terdiri daripada kerabat diraja, bekas perdana menteri dan juga menteri besar.

"Ada kerabat diraja di sebuah negeri yang membeli secara berterusan dengan kami tetapi siapakah dia, adalah menjadi rahsia kami. Ada bekas perdana menteri dan menteri besar yang menggunakan produk kami hingga sekarang.

"Malah, bekas pegawai British ada yang membawa pulang minyak itu ke negara mereka apabila tidak lagi bertugas di Tanah Melayu," ujarnya.

Kami bukan gengster

Posted: 21 Jan 2012 05:51 PM PST


MOHAMAD Kamal (kiri) dan Mahathir menganggap tugas pengawal peribadi penuh dengan cabaran dan godaan.


SEKILAS pandang, lelaki-lelaki ini berwajah garang dan berhati kering. Dengan tubuh yang tegap dan sering berkaca mata hitam, lagak mereka kadangkala seperti kaki pukul yang sanggup membelasah sasaran tanpa belas kasihan.

Bagaimanapun, pandangan itu mungkin berubah jika anda berpeluang berbual dengan Mahathir Manan, Pengarah Urusan CPP Training and Services Sdn. Bhd. Syarikat itu menyediakan perkhidmatan dan latihan pengawal peribadi di negara ini.

"Kami bukan gengster atau kerja pukul orang. Ada masanya pengawal peribadi juga disuruh mencuci lantai dan memotong rumput di laman rumah.

"Lebih lucu lagi ada klien meminta kami memilih jenis seluar dalam yang mereka hendak pakai selain mengatur makan minum mereka di rumah atau di luar," kata Mahathir diiringi ketawa kecil.

Syarikat tempat Mahathir bekerja banyak menerima permintaan untuk melatih pengawal peribadi daripada orang kenamaan, syarikat-syarikat besar dan agensi penguatkuasaan kerajaan.

"Walaupun seorang pengawal peribadi dibayar gaji di antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan, tugas kami bukanlah mudah.

"Demi menjaga keselamatan klien, kami sendiri akan menjadi pemandunya untuk ke destinasi tertentu, memastikan tiada ancaman tersembunyi seperti penembak curi dan menyiasat latar belakang orang yang berurusan dengan klien," jelasnya.

Mahathir memberitahu, pengawal peribadi kini bukan sahaja terdiri daripada bekas anggota polis dan tentera bahkan orang awam ramai yang memilih profesion itu.

"Malah, ada antara mereka yang kerja berkebun sebelum ini. Bagaimanapun, semua calon pengawal peribadi mesti bebas daripada rekod jenayah," katanya sambil menegaskan, kaum wanita jarang bekerja dalam bidang itu memandangkan ia memerlukan komitmen masa yang tinggi.

Sudah namanya bekerja, kena maki dengan majikan iaitu klien sendiri merupakan perkara biasa. Menurut Mahathir, ada juga majikan yang mengarahkan pengawal peribadi membuat kerja yang berada di luar bidang tugas mereka.

"Kadang-kadang ada klien mengarahkan kami untuk menjadi pekebun dan menjaga pokok bunga dan hiasan mereka apabila mereka ke luar negara.

Serbu

"Ada juga yang perlu membasuh kolam dan mencuci lantai bahkan bilik air seperti pembantu rumah. Keadaan seperti itu tidak seharusnya berlaku," jelas Mahathir.

Beliau berkata, walaupun dilengkapi dengan senjata api, ia merupakan pilihan terakhir yang akan digunakan khususnya dalam situasi kritikal dan tidak terkawal.

"Seperti yang saya katakan tadi, kami bukan samseng. Meskipun muka nampak garang, senjata api cuma dipakai semasa kecemasan. Sebenarnya, ia jarang digunakan sekalipun kami bertindak agresif demi melindungi klien," katanya.

Kebanyakan senjata api yang mereka gunakan ialah pistol jenis Viking dan Glock yang memerlukan lesen khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya, Mahathir berkata ia adalah peristiwa beliau mengawal seorang usahawan jualan langsung (MLM) yang diserbu pelanggannya di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan.

"Usahawan itu menghadapi masalah perniagaan menyebabkan dia tidak mampu membayar balik modal ejen syarikatnya.

"Keadaan pada masa itu sangat kritikal. Bayangkan dewan hotel itu dipenuhi tiga ribu orang yang sedang marah terhadap usahawan itu sedangkan hanya ada 10 orang pengawal peribadi untuk melindunginya," cerita beliau.

Mujurlah, tambah Mahathir, mereka berjaya membawa keluar usahawan terbabit dan menyembunyikannya di dalam sebuah bilik.

"Ramai orang menyangka usahawan itu telah dibawa pergi menggunakan helikopter tetapi sebenarnya dia berada di bilik hotel yang sama. Namun, 10 pengawal peribadi tadi termasuk saya mengalami kecederaan yang agak serius kerana dipukul dengan objek keras di kepala, kaki dan tangan," jelasnya.

Mahathir juga mendedahkan satu rahsia yang beliau simpan selama ini.

"Ada seorang klien yang merupakan usahawan berjaya tetapi hanya mempunyai seorang anak. Kerana khuatir keselamatan anaknya, saya ditugaskan mengawal anaknya dengan rapi sewaktu remaja itu balik dari sekolah.

"Saya juga kena tahu apa yang dia lakukan di dalam bilik tidurnya bahkan jika dia ingin mandi pun saya akan memantaunya dari luar.

"Kalau dia bertemu kawan-kawan atau teman wanitanya, saya pasti akan duduk berhampiran dengannya," ujarnya.

Godaan

Kawalan ketat itu menyebabkan remaja itu berasa sungguh janggal kerana semua perkara yang dilakukannya akan diperhatikan.

"Tetapi ada masanya saya membiarkan dia bertemu teman wanitanya dan berbohong kepada usahawan terbabit kononnya anaknya itu lambat pulang ke rumah kerana kesesakan lalu lintas.

"Kini, remaja tadi belajar di luar negara. Dia juga belum mahu pulang ke negara ini kerana khuatir akan dikongkong oleh keluarganya," beritahu Mahathir.

Sesetengah klien gemar menguji pengawal peribadi yang mereka upah. Ini termasuk sengaja meninggalkan sejumlah wang yang banyak di dalam kereta bagi mengetahui tahap kejujuran pengawal peribadi terbabit.

Bagi seorang pengawal peribadi, Mohammad Kamal Bolkin, keselamatan klien tidak boleh dikompromi. "Ibaratnya, jika ada lubang saya yang akan jatuh dahulu," ujar beliau yang ditugaskan menjaga keselamatan seorang usahawan dari Kuala Lumpur.

Mohd. Zulkefli Jafri pula agak gugup semasa mengawal seorang klien yang kaya raya lebih-lebih lagi dia tidak mahir memandu kereta mewah BMW dan Porsche.

"Pada waktu itu saya gelabah dan takut sekiranya kenderaan itu rosak disebabkan oleh saya. Rupa-rupanya sistem kenderaan itu berbeza berbanding kereta jenis lain.

"Saya sekadar seorang pekebun sebelum ini jadi kurang mahir dengan kereta mewah," katanya.

Kapal merintih sebelum terbalik

Posted: 21 Jan 2012 05:45 PM PST



KAPTEN kapal persiaran mewah Costa Concordia, Francesco Schettino, 52 tahun, dianggap bertindak lambat dan cuai untuk melaporkan insiden perlanggaran kapal itu dengan terumbu batu berhampiran Pulau Giglio di Tuscany, 15 kilometer ke selatan tanah besar Itali pada malam Sabtu minggu lalu.

Dia juga berlengah-lengah membunyikan tanda amaran sedangkan kapal sudah semakin senget. Malah, ada penumpang yang lebih awal menghubungi polis dengan telefon bimbit untuk meminta bantuan dan memaklumkan keadaan kapal yang kelam-kabut.

Bahkan ketika pengawal pantai menghubungi Schettino melalui radio untuk bertanya apa yang tidak kena dengan Costa Concordia, lelaki itu hanya menjawab, terdapat sedikit gangguan bekalan elektrik pada kapal berkenaan.

Hanya pada pukul 10.30 malam waktu tempatan atau satu jam selepas kapal tersebut melanggar terumbu batu, barulah Schettino meminta bantuan.

Kelewatan tersebut sebenarnya menyukarkan keseluruhan operasi menyelamat terutamanya memindahkan ribuan penumpang dan anak kapal memandangkan kapal sudah semakin menyenget ke sebelah kanan.

Lewat


ROBEKAN sepanjang 50 meter pada badan kapal menghasilkan bunyi yang disifatkan penumpang sebagai 'mengerikan'.


Pendakwa raya di Itali kini sedang menyiasat adakah tindakan Schettino yang sengaja melewatkan proses pemindahan itu ada kaitan dengan keengganannya untuk mengakui keputusan yang dia ambil untuk bergerak lebih hampir dengan pantai.

Selain itu, Schettino juga berdepan dengan tuduhan mengingkari arahan pegawai Pengawal Pantai bertugas, Gregorio de Falco, untuk kembali ke kapal dan mengawasi operasi menyelamat. Dia sebaliknya menyelamatkan diri dengan menaiki bot penyelamat.

Rakaman perbualan di antara Schettino dengan de Falco pada malam kejadian seperti yang dilaporkan akhbar Corriera della Sera memperlihatkan Schettino seperti tidak prihatin dengan apa yang berlaku pada penumpang, kru dan juga kapal mewah bernilai RM1.5 bilion itu.


COSTA Concordia adalah dua kali ganda lebih besar daripada kapal Titanic yang tenggelam pada tahun 1912.


"Dia mengelak apabila diarahkan supaya kembali ke kapal. Dia juga kata mahu memantau operasi menyelamat sedangkan dia berada di atas bot penyelamat," ujarnya.

Menurut rekod sama, Schettino didapati langsung tidak kembali ke kapal walaupun operasi menyelamat berjalan sehingga pukul 6 pagi.

Schettino memberitahu stesen televisyen Itali, TGCOM, kapalnya melanggar batu yang tidak tercatat dalam carta dan dia telah cuba menyelamatkan seberapa ramai orang yang boleh.

Dalam satu temu bual selama tiga jam bersama The Independent pula, Schettino yang sekarang merupakan orang paling dibenci di Itali mendakwa dia ada sebab untuk meninggalkan kapal itu.

"Sewaktu kapal mula menyenget, penumpang berasak-asak ke ruang dek untuk menaiki bot penyelamat.

Sejuk


SEBAHAGIAN daripada 4,000 penumpang Costa Concordia yang berjaya diselamatkan.


"Saya turut berada di sana untuk membantu penumpang turun ke bot. Malah, saya menyerahkan jaket keselamatan saya kepada seorang penumpang.

"Malangnya, ketika sibuk membantu, tiba-tiba kaki saya tersadung dan terjatuh memasuki sebuah bot penyelamat memandangkan kapal sudah senget pada kedudukan 60 hingga 70 darjah.

"Saya bukan sengaja mahu meninggalkan kapal. Lagipun masih ada banyak bot penyelamat untuk memindahkan penumpang," kata Schettino.

Dia yang kini menjalani tahanan rumah berdepan kemungkinan hukuman penjara selama 15 tahun atas dakwaan membunuh secara beramai-ramai. Sehingga kini, 11 mangsa disahkan mati dan 21 lagi masih hilang.

Schettino turut mendakwa dia telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa dengan membawa kapal menghampiri pantai.

Bagaimanapun, alasannya itu tidak diterima Pengarah Industri Costa Cruises, Pier Luigi Foschi. Dia tetap dipersalahkan atas tragedi hujung minggu lalu itu.

Menurut Foschi, Schettino telah menyimpang dari laluan yang ditetapkan.

Dia juga dituduh membawa kapal itu belayar di dalam radius 137 meter dari garisan pantai untuk memberi penghormatan kepada ketua pelayan Costa Concordia, Antonello Tievoli yang keluarganya menetap di Pulau Giglio.


KOLAM renang dan gelongsor air sudah cukup untuk menggambarkan betapa mewahnya kapal ini.


Padahal, kapal itu sepatutnya berada pada jarak 10 kali ganda dari jarak tersebut.

"Antonello menelefon dan berkata kami harus melihat dari jendela sekitar pukul 9.30 malam kerana dia akan berada di kapal yang akan lalu sangat dekat ibarat di sebelah Pulau Giglio dan kami harus melihatnya.

"Semua kapal pernah mendekati pulau tetapi bukan seperti Costa Concordia, ia terlalu hampir," ujar bapa Antonello, Giuseppe.

Malam sebelum tragedi itu, Antonello telah diundang ke anjungan ketika kapal melintasi pulau itu.

"Ke mari dan lihatlah, Antonello. Kita seperti berada di depan Giglio," kata Schettino.

Antonello menyedari kapal itu bergerak terlalu dekat dengan batu karang. Dia berkata kepada Schettino, 'awas, kita terlalu dekat dengan pantai!'

Namun peringatan itu sudah terlambat. Sekitar pukul 9.40 malam, para penumpang mendengar 'rintihan mengerikan' ketika kapal sepanjang 304 meter itu dirobek batu karang dan kabinnya menjadi gelap akibat bekalan elektrik terputus.

"Bunyi itu cukup mengerikan. Saya rasa rintihan adalah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkannya.

"Ia membawa aura panik yang luar biasa," kata seorang anak kapal, Rose Metcalf, 23, yang berasal dari Dorset, Britain.

Ketika kejadian, Costa Concordia yang membawa 4,000 penumpang dan anak kapal baru dua jam berlepas dan dalam perjalanan ke Laut Mediterranean.

Pada masa itu, kebanyakan penumpang sedang menikmati hidangan makan malam dan Schettino berada di anjungan kapal seberat 112,000 tan itu.

Lokasi kemalangan yang tidak terlalu jauh dengan pulau membuatkan ramai penumpang berasa yakin untuk terjun dan berenang ke pantai.

Keadaan air laut yang sejuk menyebabkan beberapa penumpang mati walaupun masing-masing mengenakan jaket keselamatan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories