RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Restoran turut jadi sarang GRO

Posted: 12 Feb 2012 06:00 PM PST


SEBAHAGIAN pengunjung dan GRO sebuah kelab malam memberi kerjasama kepada polis ketika proses mengambil keterangan dilakukan.


KUALA LUMPUR - Polis mendedahkan bahawa siasatan terhadap segelintir pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing yang ditahan mendapati wanita-wanita itu telah sewenang-wenangnya keluar masuk Malaysia sehingga 10 kali walaupun pernah ditangkap atas kesalahan melacur.

Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan soal siasat terhadap GRO yang pernah ditahan sebelum ini dan wanita-wanita yang ditahan dalam serbuan serentak di tiga tempat sekitar ibu negara semalam.

Katanya, selain itu, antara cabaran dan kesukaran untuk mengekang kegiatan GRO asing adalah kerana mereka datang ke negara ini atas kapasiti sebagai pelancong.

"Saya akan mencadangkan kepada Jabatan Imigresen supaya membuat saringan lebih ketat di pintu masuk negara ke atas mana-mana wanita yang mempunyai rekod salah guna pas lawatan sosial dan bekerja sebagai GRO.

"Kita tidak boleh menyekat kemasukan pelancong, namun jika ada saringan lebih ketat ia dapat mengurangkan kegiatan tidak bermoral itu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan polis yang menahan 104 GRO dalam serbuan serentak di tiga premis di Serdang, Jalan Pudu dan Bukit Bintang di sekitar ibu negara kelmarin.

Kesemua GRO dari China, Thailand, Vietnam serta Uganda berusia di antara 16 dan 35 tahun itu ditahan ketika sedang asyik melayan pelanggan masing-masing di dua buah pusat hiburan dan sebuah restoran di tiga lokasi itu.

Dapat dana kerajaan RM200 juta

Posted: 12 Feb 2012 05:59 PM PST


SULTAN Ibrahim (dua dari kiri) dan Najib memperkatakan sesuatu mengenai projek Danga Bay Waterfront di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Projek Pembangunan Pinggir Air Danga (Danga Waterfront) telah mendapat perhatian kerajaan apabila Kabinet bersetuju menyediakan dana pemudahan sebanyak RM200 juta untuk projek berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan untuk menyediakan dana itu sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan ke atas projek itu.

"Bandar Pinggir Air Bersepadu Iskandar di mana Danga Bay adalah tumpuannya merupakan antara kawasan pembangunan paling menarik di Malaysia, dan pastinya di Johor," kata beliau pada majlis ulang tahun ke-15 Danga Bay dan pelancaran Yayasan Danga di sini yang dihadiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan isteri, Raja Zarith Sofia.

Perdana Menteri berkata, akses yang mudah melalui udara, laut dan jalan raya ke projek itu dan kedudukannya yang unik di hujung Semenanjung dan bersempadan Singapura, merupakan kelebihan penting sebagai destinasi gaya hidup, serta dapat menarik perhatian para pelabur.

Projek Danga Waterfront itu yang merentasi sepanjang 25 kilometer dari bahagian timur ke bahagian barat Tambak Johor akan menyaksikan perubahan wajah Johor Bahru dan keseluruhan tapak berhadapan laut yang menghadap Singapura.

Pembangunan itu, yang akan dilancarkan beberapa fasa dalam tempoh 25 tahun dengan nilai pembangunan kasar RM80 bilion, adalah kerjasama awam-swasta yang melibatkan kerajaan dan Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH).

15,000 guru ijazah tidak naik gred

Posted: 12 Feb 2012 05:57 PM PST

SEREMBAN - Hampir 15,000 guru yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah masih ternanti-nanti tawaran kenaikan ke gred DG41 walaupun sebahagian besar daripada mereka telah ditemu duga untuk tujuan berkenaan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, terdapat sebilangan daripada guru berijazah tersebut telah menunggu tawaran kenaikan itu hampir dua tahun.

Katanya, keadaan semakin membimbangkan ekoran semakin ramai guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah akan menamatkan pengajian setiap tahun.

"Kalau ia dibiarkan terlalu lama, kita tidak mahu akan timbul pula perasaan tidak puas hati kerana tiada maklum balas daripada kerajaan berhubung perkara ini.

"Mereka sudah menjalani temu duga dan sepatutnya ditawar ke gred tersebut tetapi sehingga kini, kami tidak tahu mengapa ia masih tidak dapat dilakukan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, peruntukan bagi menawarkan guru berkenaan ke gred yang lebih tinggi telah ada dan NUTP amat berharap tindakan segera diambil bagi menangani masalah tersebut.

Laluan tambahan LRT siap 2014

Posted: 12 Feb 2012 05:55 PM PST



KUALA LUMPUR – Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menyasarkan projek penyambungan landasan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bagi aliran Kelana Jaya dan Ampang siap sepenuhnya pada tahun 2014.

Pengarah Kumpulan Divisyen Infrastruktur Prasarana, Zulkifli Mohd. Yusoff (gambar kecil) berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kemajuan projek terbabit yang kini mencecah 20 peratus.

"Projek ini berjalan dengan lancar dan kita menjangkakan perkhidmatan LRT Aliran Ampang dapat digunakan orang ramai pada Oktober 2014 manakala aliran Kelana Jaya pada Disember 2014," katanya pada Majlis Penerangan Projek Penyambungan Landasan Sistem LRT kepada media di sini semalam.

Zulkifli berkata, sebanyak 90 peratus daripada kontrak kerja penyambungan landasan sistem LRT telah dianugerahkan kepada kontraktor terpilih.

Menurutnya, nilai kontrak yang dianugerahkan kepada kontraktor bagi aliran Ampang bernilai RM2 bilion manakala aliran Kelana Jaya sebanyak RM2.5 bilion.

Jelas beliau, beberapa lagi kontrak masih dalam proses tender dan baki kontrak itu dijangka selesai dianugerahkan kepada para kontraktor yang layak pada April depan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan sebenar kontrak yang telah diberi, sebaliknya memberitahu jumlah keseluruhan kontrak berkenaan antara 40 hingga 50 kontrak.

Pencapaian menakjubkan

Posted: 12 Feb 2012 05:54 PM PST


AZIZULHASNI (kiri) dan Josiah menamatkan saingan dalam acara keirin elit lelaki dengan masing-masingnya memenangi pingat emas dan perak.


GANDINGAN dua pelumba pecut negara, Josiah Ng dan Azizulhasni Awang berjaya menghadiahkan kemenangan 1-2 buat Malaysia dalam acara keirin lelaki elit pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Strategi yang direncanakan dua pelumba negara itu berjaya menghalang dominasi Jepun dalam acara berkenaan yang turut mempunyai dua wakil iaitu Kazunari Watanabe dan Yudai Nitta, manakala dua slot lagi diisi pelumba Iran, Mahmoud Parash dan pelumba pilihan, Zhang Lei dari China.

Sorakan padu penyokong Malaysia sekali lagi menjadi azimat buat pelumba negara yang melakukan henjutan bertenaga pada saat-saat akhir sebelum mencecah garisan penamat, sekali gus menyaksikan Josiah, 31, memenangi emas dengan catatan 10.985 saat dan Azizul, 24, memenangi perak.

Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Jepun, Nitta selepas kemenangan Watanabe dibatalkan kerana memasuki laluan yang tidak dibenarkan dalam perlumbaan.

Kejayaan Josiah ini juga merupakan yang pertama bagi pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu sepanjang penyertaannya dalam ACC.

"Tidak dapat digambarkan lagi kegembiraan saya pada hari ini dan ia juga amat bermakna bagi saya kerana akhirnya tercapai juga impian memenangi pingat emas dalam ACC sepanjang karier saya dalam sukan berbasikal," kata Josiah.

"Sebelum ini, saya telah memenangi perak pada ACC 2011 di Korat, pingat emas dalam Sukan SEA dan Komanwel, jadi walaupun emas ini hadir setelah terlalu lama, namun ia satu penantian yang berbaloi.

"Lebih bermakna, Azizulhasni juga berjaya memenangi pingat perak dan ia kejayaan 1-2 kepada negara. Sebenarnya, saya tidak kisah siapa yang akan memenanginya asalkan ia pelumba Malaysia dan nampaknya hari ini kami berdua berjaya melakukannya," katanya.

Sementara Azizulhasni juga meluahkan rasa puas hatinya dengan prestasi semasa di ACC 2012 ini meskipun hanya mampu menyumbang pingat perak dalam acara pecut dan keirin.

Pelumba kelahiran Dungun itu menjelaskan bahawa dia kini hanya mahu memberi tumpuan kepada siri Trek Piala Dunia Klasik di London pada 14 hingga 15 Februari ini bagi melihat peningkatannya dengan pelumba dari Eropah selepas berehat panjang ekoran kecederaan.

"Kejayaan 1-2 ini sangat mengagumkan dan ia sama seperti ketika pencapaian kami di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi," kata Azizulhasni.

"Saya tidak terkilan walaupun gagal memenangi emas, pingat perak ini pun sudah cukup bagus kerana tumpuan saya ialah pada Piala Dunia Klasik di London dan juga Sukan Olimpik 2012.

"Masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki dari segi pecutan dan kuasa henjutan, saya harap saya sempat mendapat semula keadaan fizikal ketika memenangi pingat perak di Kejuaraan Dunia tiga tahun lalu," ujarnya.

Sejarah tercipta

Posted: 12 Feb 2012 05:52 PM PST

FATEHAH


RATU pecut negara, Fatehah Mustapa mencipta sejarah dalam sukan lumba basikal tanah air.

Dia muncul pelumba wanita pertama memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 yang berakhir di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Sorakan padu penyokong Malaysia yang memenuhi velodrom tersebut berjaya menyuntik semangat pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu untuk melakukan henjutan bertenaga pada 50 meter terakhir sekali gus mengejutkan pelumba pilihan, Lee Wai Sze dari Hong Kong.

Fatehah, 23, memenangi emas acara tersebut dengan catatan masa 11.672 saat menewaskan pelumba China, Xu Yulei di tempat kedua dan Wai Sze di tempat ketiga.

Pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu juga menyumbang pingat perak dalam acara pecut wanita elit dan gangsa dalam 500m ujian masa wanita elit.

"Sudah tentu saya gembira dengan kejayaan ini dan berasa sangat puas kerana berjaya menebus kehampaan dalam acara pecut dua hari lepas," kata Fatehah semalam.

"Saya hadiahkan pingat emas ini kepada ibu dan bapa saya serta John (Beasley, jurulatih) yang banyak memberi tunjuk ajar dan memberi bimbingan kepada saya.

"Emas ini juga ditujukan kepada semua penyokong Malaysia yang hadir di velodrom ini kerana sorakan dan sokongan padu mereka telah banyak menyuntik semangat saya," katanya.

Menurut Fatehah, strateginya untuk berada di belakang pelumba Hong Kong, Wai Sze nyata berhasil kerana pelumba yang mendahului perlumbaan tersebut semalam, Xu Yulei lebih memberi tumpuan kepada Wai Sze dan memberi kelebihan kepadanya untuk menyerang secara mengejut.

"Sebelum perlumbaan, John ada beri arahan supaya mengekori belakang Wai Sze kerana dia paling kuat dalam acara ini dan ternyata strategi itu berhasil kerana pelumba China terpaksa memberi tumpuan kepada pelumba Hong Kong itu.

"Jadi, ia satu kelebihan buat saya untuk melakukan serangan mengejut dan terus membuat henjutan sekuat hati sehingga ke garisan penamat," kata Fatehah.

Fatehah kini hampir pasti beraksi di pentas Sukan Olimpik 2012 London kerana selepas kejayaan ini menyaksikan dia berada di tempat kedua dalam pungutan pelumba Asia di belakang pelumba China.

Selepas ini dia akan menyertai siri Trek Piala Dunia Klasik di London, 17 hingga 18 Februari ini bagi mengumpul mata ke Olimpik.

Israel bedil kandang lembu

Posted: 12 Feb 2012 05:49 PM PST

KANDANG lembu yang musnah akibat terkena bedilan peluru berpandu pesawat tentera Israel di bandar Gaza semalam.


GENTING GAZA - Satu serangan tentera udara Israel semalam membedil kandang lembu milik seorang penduduk Palestin di sini.

Beberapa ekor haiwan itu cedera dan terbunuh akibat serangan berkenaan.

Dalam serangan itu, seorang penduduk Palestin dilaporkan terbunuh.

Tentera Israel menyatakan serangan tersebut dilancarkan bagi membalas dendam terhadap satu serangan roket yang dilakukan para pejuang Palestin.

Pertubuhan Pusat Palestin Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di bandar Gaza menyatakan, penduduk yang maut itu ialah seorang petani, Wyad Abdul Hadi Rajab yang berusia 71 tahun.

Menurut pertubuhan itu, dia merupakan pemilik kandang lembu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Israel.

Kandang lembu itu diserang dengan peluru berpandu.

Menurut pertubuhan tersebut, semasa serangan, petani itu berada di dalam biliknya yang musnah.

Seorang anak lelakinya mengalami luka.

Beberapa ekor haiwan ternakan lain turut terbunuh manakala beberapa peralatan lain juga musnah.

Pada Sabtu lalu, satu serangan roket yang dilancarkan para pejuang Palestin mengenai bandar Ashkelon, selatan Israel menyebabkan seorang wanita negara itu cedera ringan.

Parti diteruskan walaupun Houston mati

Posted: 12 Feb 2012 05:48 PM PST


PITBULL (kanan) dan Ne-Yo membuat persembahan pada parti yang dihoskan Clive Davis di Hotel Beverly Hilton, Beverly Hills, California kelmarin.


LOS ANGELES - Parti sebelum Anugerah Grammy berlangsung yang dihoskan mentor penyanyi Whitney Houston, Clive Davis kelmarin diteruskan walaupun selebriti itu meninggal dunia kelmarin.

Namun, pada parti itu, majlis memperingati Houston diadakan dengan ucapan takziah dan menghargai sumbangan penyanyi berkenaan dalam industri muzik.

Parti itu dihadiri selebriti antaranya, Tonny Bennett, Dr. Dre, Mary J, Blige, Jennifer Hudson, Pitbull, Wiz Khalifa, Alicia Keys, Toni Braxton, Ne-Yo, Kim Kardashian, Adam Lambert, Britney Spears, Ray Davies dan Kelly Rowland serta bilionair, Richard Branson.

Bagaimanapun, Davis yang membaca sekeping nota pada parti itu menyatakan hatinya hancur luluh ekoran kehilangan seseorang yang memberi makna dalam kehidupannya.

"Dia (Houston) meminati muzik dan dia suka pada malam ini yang meraikan muzik.

"Whitney merupakan seorang wanita yang cantik dan dia mempunyai bakat yang tidak dapat dibandingkan," katanya.

Davis meminta tetamu senyap seketika gambar Houston semasaterpapar di skrin.

Kemudian dia berkata: "Kini, tuan- tuan dan puan- puan, mari kita mulakan muzik (berparti)."

Menurut penyanyi Tony Bennett dalam parti itu, sebelum ini penyanyi pop, Michael Jackson, Amy Winehouse telah meninggal dunia sebelum Houston.

Sementara itu, beberapa selebriti memberikan ucapan takziah di laman Twitter ekoran kematian Houston.

Antara yang memberi ucapan takziah itu ialah Mariah Carey yang menyatakan persembahan pentas Houston amat mengagumkan.

Penyanyi Rihanna menyatakan dalam Twitter: "Tiada kata-kata! Hanya menangis."

"Kami selalu menyayangi Whitney," kata penyanyi Katy Perry di Twitter.

Ikon penyanyi remaja dunia, Justin Bieber berkata di Twitter: "Saya baru dengar berita di Twitter. Salah seorang suara terhebat sudah tiada."

Bisnes replika pedang filem Hollywood

Posted: 12 Feb 2012 05:47 PM PST


FILOMENO DE GUZMAN memegang replika pedang dalam filem Braveheart di bengkelnya di bandar Pozorrubio di Filipina pada 19 Januari lalu.


POZORRUBIO, Filipina - Seorang tukang besi, Filomeno de Guzman bersama 15 orang petani yang menanam padi menghasilkan replika pedang seperti yang pernah digunakan dalam filem-filem Bollywood seperti Braveheart, Conan the Barbarian dan Rambo.

De Guzman yang juga seorang bekas sarjan tentera Filipina tidak pernah pergi ke universiti namun dia menghasilkan pedang tersebut selepas menonton filem.

Dia bersara daripada tentera pada 1980 dan mengambil kursus kemahiran kerja-kerja pertukangan logam anjuran pemerintah secara percuma.

Kilangnya terletak di bandar tanaman padi di sini, 180 kilometer ke utara Manila.

Apabila seorang rakannya membawa beberapa pedang buatannya pada satu pameran di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1990-an, de Guzman kemudian mempunyai hubungan dengan seorang pengedar menyebabkan perniagaan antarabangsanya bermula.

Menurut de Guzman, 63, dia menjual lebih 1,000 replika pedang Excalibur.

Pedang Excalibur terkenal di dunia kerana ia milik pemerintah England, Raja Arthur.

De Guzman berkata, dia memberikan nama salah satu pisau yang dihasilkannya, Rambo III.

"Saya mendapat sepucuk surat daripada para penerbit filem Rambo yang memberitahu saya supaya jangan menggunakan nama Rambo atau kami akan menyaman anda," katanya.

Namun, selepas pisau itu dinamakan The Stallone sempena nama aktor Sylvester Stallone, tiada lagi surat ancaman saman yang diterimanya, kata de Guzman.

Katil juruterbang dalam pesawat Boeing

Posted: 12 Feb 2012 05:43 PM PST


KATIL untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat Boeing 787 baharu yang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura di Singapura semalam.


SINGAPURA - Pesawat penumpang baharu Boeing 787 Dreamliner mempunyai ruang rehat untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat itu.

Ia juga mempunyai ruang rehat yang sama untuk kru penerbangan lain seperti pramugara dan pramugari.

Menurut laporan Bernama, pesawat Dreamliner itu mempamerkan keupayaan jarak jauhnya beberapa hari lepas, terbang tanpa henti dari Boeing Field di Seattle, Amerika Syarikat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok dengan jarak 12,358 kilometer.

Pesawat itu yang membawa hampir 300 penumpang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura yang bermula esok sehingga 17 Februari depan.

Ikan murah tanpa orang tengah

Posted: 12 Feb 2012 05:41 PM PST



DALAM suasana ekonomi dunia ketika ini yang baru pulih daripada kemerosotan, pergerakan pasaran secara relatifnya akan menunjukkan peningkatan harga barang yang mendadak terutamanya barang keperluan harian.

Kenaikan harga-harga barang keperluan harian yang semakin tidak menentu juga sering memberi tekanan kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Ketika ini, saban hari harga barang keperluan dapur semakin meningkat dan tidak menentu, walaupun telah wujud kawalan harga bahan makanan tersebut oleh kerajaan.

Jika diimbas kembali awal tahun 2000, dengan nilai wang RM100 cukup untuk kita membeli barang keperluan harian di pasar tani berbakul-bakul.

Namun berbeza kini, kadang-kadang tidak sampai separuh isi bakul yang dijinjing, wang RM100 yang dibawa sudah kehabisan.

Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab bagi membantu golongan berpendapatan rendah meneruskan kelangsungan hidup seorang anak jati kelahiran Sekinchan, Selangor Datuk Jamal Md. Yunos memperkenalkan konsep Kedai Ikan Rakyat 1 Malaysia (KIR1M) di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Konsep perniagaan menongkah arus yang dilakukan usahawan muda itu ternyata satu cubaan berani bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapat keperluan hidup dengan keuntungan minimum.

Sehubungan itu, idea beraninya mendapat sambutan positif oleh golongan berpendapatan rendah apabila sambutan jualan yang diterima di KIR1M sangat menggalakkan.

Seorang pelanggan KIR1M, Amy Shafina Mohd. Yusof, 36, yang pertama kali berkunjung ke kedai tersebut berpuas hati dengan harga barangan yang dijual di KIR1M terutama ikan.

"Kedai ini kelihatan bersih. Harga ikan yang dijual jauh lebih murah dan berpatutan dari pasar raya besar dan pasar ikan yang ada di Kuala Lumpur.

"Malah, ikan yang dijual di sini pelbagai jenis dan banyak pilihan selain segar-segar semuanya," kata pekerja swasta dari Keramat itu.

Tambahnya lagi, layanan yang diberikan kakitangan kedai juga mesra dan pelanggan yang membeli ikan boleh meminta bantuan kakitangan yang ada untuk membersihkan ikan dan memotongnya seperti yang dikehendaki.

"Saya nampak pihak pengurusan kedai memang mementingkan kebersihan kerana terdapat petugas khas melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Lantai di kawasan ikan sentiasa kelihatan bersih dan tidak basah. Begitu juga dengan sekitar kawasan dalam kedai. Barang-barang disusun rapi," katanya.

Kedai pilihan kini


TERDAPAT 30 jenis ikan di KIR1M dengan tujuh daripadanya dipanggil ikan rakyat yang dijual 40 peratus lebih murah.


Seorang pekerja swasta, Mohd. Yusri Mohd. Jainuri, 27, melahirkan rasa bangga dengan penubuhan kedai runcit harga patut yang diasaskan oleh anak jadi Selangor itu.

"Harga barangan di sini terbukti jauh lebih murah daripada harga barang di pasar raya yang ada di sekitar Lembah Klang," kata Yusri yang menjadikan KIR1M sebagai kedai utama kunjungannnya setiap masa untuk mendapatkan barangan runcit dengan harga murah.

Lebih menarik lagi, kata Yusri, semua jenis barangan daripada ikan, sayur, bawang dan barang runcit lain dalam keadaan segar dan 40 peratus lebih murah dari harga pasaran.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Syarikat Restoran Sekinchan Ikan Bakar (RSIB), Jamal memberitahu, tujuan KIR1M diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk berbelanja tanpa berasa terbeban memandangkan harga ikan dan barang runcit semakin mahal hari ini.

Menurutnya, kesemua ikan yang dijual di sini diambil terus daripada nelayan dan pengusaha pertama tanpa melalui orang tengah bagi mengurangkan nilai harga.

Dengan itu, pengurusan dapat menjual ikan dan barang runcit di KIR1M pada harga yang lebih murah daripada pasaran semasa.

"Ia merupakan salah satu faktor kami mampu menjualnya pada harga yang murah.

"Selain menjual ikan, kami juga menjual produk-produk runcit lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, daging dan barangan kering yang diambil terus daripada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya.

Katanya, di KIR1M terdapat tujuh jenis ikan terpilih dengan gelaran ikan rakyat. Tujuh jenis ikan itu dijual pada harga 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran antaranya ikan kembung, selar, selayang, cencaru dan pelaling. Bagaaimanapun secara keseluruhannya terdapat lebih 30 jenis ikan lain yang dijual segar di situ.

"Idea bagi menubuhkan kedai rakyat seperti sekarang ini tercetus apabila Perdana Menteri menyarankan penubuhan konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

"Dengan itu, saya menyahut saranan tersebut dengan menterjemahkan maksud Perdana Menteri itu dengan menubuhkan KIR1M," katanya.

2,000 pengunjung sehari


JAMAL (dua dari kanan) bersama pekerjanya mementingkan perkhidmatan yang mesra pelanggan di KIR1M.


Sebelum membuka kedai ini dakwanya, beberapa kajian telah dilakukan selama enam bulan bagi mengetahui harga semasa ikan dan barangan runcit serta perjalanan urusan jual beli.

"Kami lihat harga ikan di pasar basah sangat mahal kerana wujudnya orang tengah.

"Justeru, kami dapatkan ikan terus daripada nelayan dan pembekal serta menjualnya pada harga yang lebih murah berbanding di pasar.

"Barangan runcit seperti bawang dan kentang kami import dari India dan Pakistan. Begitu juga barangan lain diperoleh dari pembekal utama walaupun terpaksa mengimport dari luar," ujar Jamal yang bercadang membuka 30 cawangan KIR1M lagi di seluruh Malaysia.

Katanya, mereka mempunyai tanda aras untuk memastikan harga kami lebih rendah.

"Kami cuba pastikan harga ikan dan barangan runcit yang dijual lebih murah daripada pasar raya utama negara ini.

"Selain itu, pasar basah yang kami jadikan tanda aras ialah pasar borong Selayang, pasar borong Selangor, pasar Pudu dan pasar Sentul," kata Jamal yang kini menerima kunjungan 2,000 orang pengunjung ke kedainya setiap hari.

Gemerlapan bintang saloni di London

Posted: 12 Feb 2012 05:40 PM PST



HAKIKATNYA bukan mudah buat seseorang pereka fesyen dari negara luar mencipta nama apatah lagi, mempromosi koleksi fesyen di London. Ini disebabkan London yang dikenali sebagai kota fesyen itu sudah padat dengan kumpulan pereka anak tempatan yang berlumba-lumba mencipta nama di sana.

Situasi ini diakui sendiri oleh Saloni Lodha, pereka wanita dari Mumbai, India yang sedang mencipta nama di London. Jika pereka asing mengambil masa lima tahun ke atas untuk memperkenalkan nama tetapi Sanoli, 30, pula sebaliknya. Dalam masa tiga tahun namanya melonjak sehingga mendapat perhatian para selebriti dan pencinta fesyen di sana.

Menyorot ceritera penglibatannya dalam bidang fesyen, segala-galanya bermula selepas Saloni berpindah ke Hong Kong kerana mengikut suaminya, pada tahun 2002.

Menjalani kehidupan harian di lubuk fesyen terbesar di Asia Tenggara itu membuatkan Saloni terfikir tentang bisnes fesyen. Saloni, mendapati di wilayah seluas 1,104 kilometer persegi berkenaan orang ramai berpeluang bergaya memandangkan variasi item fesyen dijual secara besar-besaran pada harga berpatutan.

"Segala-galanya boleh dibeli di sini sama ada produk berjenama ataupun lokal. Kain-kain ela juga terdapat dalam bermacam-macam corak dan warna. Jadi, saya fikir adalah lebih baik membuka sebuah butik pakaian hasil rekaan saya sendiri.

"Bersyukur kerana mendapat sokongan daripada kumpulan artis Hong Kong yang sudi menggayakan pakaian saya. Malah, saya turut dibantu kelompok artisan yang memiliki kemahiran tinggi dalam aspek seni, rekaan dan buatan tangan yang halus," jelas Saloni yang menghasilkan pakaian konsep pop kontemporari menggunakan fabrik broked India, sutera dan kain kapas.

Dari HK ke London


EMMA WATSON antara selebriti yang memilih untuk menggayakan koleksi awal Saloni Lodha.


Hari demi hari, rasa cinta graduan rekaan grafik terhadap dunia fesyen semakin menebal. Enggan membiarkan minat itu terhad di satu negara saja maka dua tahun kemudian Saloni terbang pula ke London bagi mengembangkan daya kreativiti fesyennya. Umum mengetahui London merupakan sebuah kota fesyen yang sentiasa mempamerkan seleksi fesyen yang segar, moden dan ideal.

Setibanya di London pada musim panas, Saloni mengisi hari-harinya dengan menghadiri kursus rekaan fesyen dan jahitan di sekolah fesyen terkemuka di St. Martins, London. Mengambil semangat dan kreativiti yang terdapat di segenap sudut di kota berkenaan, maka Saloni bertekad menetap dan membuka sebuah butik fesyen di sana.

Akhirnya, berbekalkan semangat yang kental dengan mempertaruhkan jenama Saloni Lodha, Saloni mempamerkan kehebatan sepuluh pasang baju rekaannya di Minggu Fesyen London tahun 2007. Ternyata rezeki berpihak kepada Saloni apabila koleksinya terpilih untuk dijual di gedung Harvey Nichols.

Paling mengujakan apabila pelakon remaja filem Harry Potter, Emma Watson telah memilih gaun rona merah jenama Saloni Lodha ketika hadir ke studio CBS untuk bersiaran langsung program The Early Show.

Penampilan Watson pada hari itu tampak feminin dan anggun, apatah lagi gaun yang memiliki manik di pergelangan tangan berkenaan dipadankan bersama beg tangan koleksi Agyness Deyn's jenama Chanel selain rantai leher dan but separa buku lali.

"Gaun yang diperbuat daripada sutera dan sifon itu dihasilkan buat wanita yang gemarkan gaya ringkas tetapi ingin kelihatan feminin," tutur Saloni yang gembira kerana koleksi fesyennya diminati para selebriti Hollywood.

Keunikan fabrik India

Tambah Salomi, dia tidak pernah malu atau pun lupa dengan asal-usulnya meskipun kini berpangkalan di London. Bergelar warganegara India merupakan pengalaman manis dalam kamus hidupnya. Jelas, Saloni dibesarkan di Bandar Nasik, cukup menyeronokkan kerana setiap hari dia berpeluang melihat golongan wanita tidak lekang daripada memakai sari.


APABILA kecantikan dan kepintaran idea bersatu, lahirlah label Saloni Lodha yang mencetuskan fenomena di London.


"Sejak kecil saya sudah terbiasa dengan sari. Bagi saya ia sejenis kain yang unik dari segi rekaan, tekstur, cara pembuatan, corak dan warna. Sebab itu, hari ini saya cuba menerapkan elemen seni India dalam setiap rekaan khususnya permainan warna dan corak serta pemilihan fabrik.

"Inisiatif ini dilakukan bagi memperkenalkan kepada dunia bahawa India merupakan salah sebuah negara yang mempunyai seni kraftangan yang baik dan menarik. Atas faktor itu juga kerja-kerja jahitan, sulaman dan pembuatan fabrik saya lakukan di India. Butik di London hanya untuk pameran dan penjualan," kata Saloni yang kini turut merancang untuk menjual aksesori dan beg tangan.

Dalam pada itu, Saloni juga giat mempromosikan jenamanya dalam kalangan wanita tempatan. Umum mengetahui, India antara negara yang kaya dengan fabrik buatan tangan yang halus, berseni dan teliti.

Justeru, untuk menarik minat wanita India membeli himpunan pakaian siap pakai konsep urban, vintaj dan moden antara cabaran yang ingin diatasi Saloni.

"Tidak dinafikan sebelum ini jualan koleksi fesyen saya di India kurang memuaskan. Namun, segala-galanya berubah selepas dibantu oleh pihak Le Mill iaitu salah sebuah butik di Mumbai. Kami melakukan promosi fesyen Saloni Lodha musim bunga/panas 2011, secara besar-besaran.

"Sambutan daripada pembeli amat mengalakkan sehingga saya terpaksa menambah stok pakaian baharu," jelas Saloni yang baru saja melancarkan koleksi fesyen 2012 bertemakan Jepun.

Menyentuh mengenai selebriti wanita India yang dikagumi, Saloni yang sentiasa menguntumkan senyuman manis menyatakan: "Saya meminati pelakon Frieda Pinto, Deepika Padukone dan Sonam Kapoor. Jika diberi peluang saya ingin melihat artis bertiga ini menyarungkan persalinan koleksi Saloni Lodha (ketawa).


PERAGAWATI yang menggayakan busana Saloni Lodha bergambar dengan Saloni (lima dari kiri) semasa satu pertunjukan di London.


"Meskipun sebahagian besar kehidupan saya dihabiskan di London tetapi, saya sukar meninggalkan tabiat menonton filem-filem Hindustan. Malah, koleksi filem Bollywood saya lebih banyak berbanding rakan-rakan yang menetap di India.

Dalam tempoh terdekat ini, Saloni bakal melancarkan butik fesyennya secara dalam talian.

"Saya sama sekali tidak menjangka rezeki dan tuah yang dikecapi pada hari ini.

"Perjalanan karier saya dalam industri fesyen masih panjang untuk ditempuhi. Lagipun banyak lagi perkara dan ilmu fesyen yang perlu saya gali," tutur Saloni menutup bicara.

Kasual mewah Uniqlo

Posted: 12 Feb 2012 05:38 PM PST


WARNA terang kembali mendominasi koleksi terbaharu Uniqlo bagi menghidupkan gaya ceria dan funky.


JENAMA pakaian kasual terulung Jepun, Uniqlo mengumumkan koleksi terbaharu mereka untuk musim bunga/panas 2012 dengan penekanan diberikan kepada rekaan bertemakan rona-rona terang.

Rangkaian kali ini difokuskan kepada kod warna demi menghidupkan kembali imej Uniqlo sebagai jenama yang menawarkan gaya kreatif, cerah dan funky.

Deretan pelbagai warna bermusim dengan 36 pilihan warna pasti menarik perhatian pembeli, apatah lagi, setiap rekaan jenama itu menggunakan potongan yang kemas.

Parka (jaket bulu rata) untuk lelaki dan wanita menjadi signatur Uniqlo, ditampilkan dalam variasi warna bermusim yang menambah pilihan dan koleksi peribadi di dalam almari pencinta gaya kasual.

Penggunaan material yang pelbagai sehingga kepada teknik potongan langsing siluet, melengkapkan ciri keselesaan yang dititikberatkan pada setiap rekaan Uniqlo sekali gus menjadikannya sesuai sebagai pakaian harian.

Biarpun menampilkan gaya sofistikated ringkas, namun ia tetap mencerminkan imej segar dan bersih lebih-lebih lagi buat lelaki.

Musim kali ini juga menyaksikan koleksi Uniqlo di bawah rekaan UT menambah variasi mereka khusus buat warga Malaysia yang fanatik anime. Ia meliputi inspirasi anime-anime ternama Jepun seperti Attack of Titans, Space Brothers, Toriko dan banyak lagi.

Rekaan-rekaan UT untuk musim baharu itu juga mempersembahkan lebih banyak rekaan bercetak untuk wanita dengan menampilkan hasil kerja Laura Ashley yang menyediakan baju T edisi terhad yang direka berdasarkan kebudayaan Inggeris.


BAJU T berkolar rona biru menjadi penegasan kepada penampilan jejaka ini.


Tidak ketinggalan, rekaan Orla Kiely dengan signatur klasik, berani dan rona bercetak yang mewujudkan elemen nostalgik pada diri.

Buat pencinta fesyen, ia merupakan satu kemestian buat mereka memiliki koleksi Lulu Guinness yang sinonim dengan stail feminin glamor dalam palet hitam, putih dan merah lipstik.

Kunjungi butik-butik Uniqlo di Fahrenheit88 dan Suria KLCC, Kuala Lumpur serta 1Utama, Petaling Jaya, Selangor bagi menyuntik gaya kasual mewah pada diri.

Kasual lelaki Yuzairie

Posted: 12 Feb 2012 05:37 PM PST


PERKEMBANGAN fesyen lelaki di Malaysia membuatkan Yuzairie (dua dari kiri) bercadang membuka sebuah butik kasual lelaki pada masa akan datang.


BERGELAR pelajar tahun akhir dalam bidang ijazah sarjana muda fesyen membuatkan Muhammad Yuzairie Mohd. Yusoff, 24, sedikit gementar dengan perancangan masa depannya.

Dalam beberapa bulan sahaja lagi, beliau akan menjalani upacara konvokesyen, menandakan langkahnya sebagai pelajar di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor tamat secara rasmi.

Persiapan untuk menyertai industri fesyen tempatan sedang dirangka sebaiknya agar segala yang dihajatkan menjadi kenyataan. Jika tersilap langkah, pasti mengundang padah. Jadi, beliau telah mencongak tempoh masa yang diperlukan bagi memperkenalkan jenama Yuzairie Yusoff dalam arena fesyen Malaysia.

"Saya akan kembali berkhidmat di sebuah butik di Seremban, Negeri Sembilan iaitu tempat yang sama ketika saya menjalani latihan industri tidak lama dahulu.

"Di butik itu, saya akan bekerja sebagai salah seorang pereka dan diharapkan, ia dapat memberi pengalaman kepada saya sebelum saya betul-betul bersedia menubuhkan label sendiri," begitu terperinci perancangan yang dilakukan anak kelahiran Selama, Perak itu.

Meletakkan tempoh di antara empat hingga lima tahun bagi menaikkan nama beliau, Yuzairie juga bercadang untuk bekerja dengan beberapa jenama lain terlebih dahulu sebelum mampu membawa jenama sendiri.

Selepas cukup pengetahuan dan mengenali selok-belok industri, beliau berharap butik pertama yang menjadi idaman setiap pereka berjaya dijelmakan.

"Jika dilihat dalam lapangan industri fesyen kita, Malaysia kurang memberi perhatian kepada persalinan lelaki.

"Kalau ada pun, kebanyakannya merupakan jenama antarabangsa dan ia agak merugikan industri kita," jelasnya yang begitu mengagumi kredibiliti Bon Zainal selaku pereka pakaian formal lelaki tempatan.

Butik lelaki

Walaupun pasaran untuk pakaian lelaki dilihat agak perlahan bagi pereka-pereka tempatan, Yuzairie masih beranggapan jika sebuah butik lelaki dengan konsep pakaian kasual diketengahkan, ia mampu mendapat perhatian golongan Adam yang semakin bijak bergaya.

"Memandangkan Malaysia hanya mempunyai satu musim sahaja sepanjang tahun, jadi tidak semua rekaan antarabangsa yang direka secara bermusim sesuai digayakan.

"Dengan membawa rekaan kasual dan santai, ia menepati situasi negara kita dan sesuai disarungkan pada bila-bila masa sahaja," tambah bekas finalis program realiti Gaya Pesona itu lagi.

Melihat industri fesyen tempatan sebagai medan bagi pereka mengejar nama, Yuzairie pula lebih fokus kepada penjanaan pendapatan kerana hanya dengan cara itu seseorang pereka dapat bertahan lama dan perlahan-lahan mencipta nama.

"Jika saya terlalu sibuk mencipta nama sehingga tidak menjana pendapatan lumayan, saya bimbang saya tidak dapat merealisasikan hasrat dan impian saya dalam industri ini," jujur pegangan yang disematkan dalam diri peminat rekaan Roberto Cavalli itu.

Kreativiti dan kehalusan kerja Yuzairie terserlah menerusi koleksi yang dihasilkan untuk pementasan akhir pelajar-pelajar tahun akhir fesyen UiTM Shah Alam.

Menjadikan wira Melayu, Leftenan Adnan sebagai garis panduan, Yuzairie mengangkat rona perang sebagai warna asas. Lebih mengagumkan apabila melihat kemahiran beliau menggabungkan fabrik polivinil klorida (PVC) dengan kapas dril.

MTT umpama kereta api baharu

Posted: 12 Feb 2012 04:51 PM PST



PERTAMA kali berpeluang menaiki kereta api Malayan Train Tiger (MTT), Johari Mohd. Salleh, 34, begitu teruja.

Sebagai seorang yang meminati pengangkutan klasik itu, Johari memberitahu, MTT mempunyai sisi yang berlainan tetapi yang pasti lebih istimewa berbanding kereta api lain yang pernah dimiliki Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB).

"Walaupun kita tahu usia MTT menjangkau lebih 40 tahun, tapi atas disiplin dan kemajuan teknologinya yang luar biasa, gerabak kereta apinya masih bertahan," kata Pemeriksa Kawalan Mutu di Pasir Gudang, Johor itu.

Dia ditemui ketika turut serta dalam rombongan media dari Johor Bahru ke Tumpat, Kelantan menggunakan MTT baru-baru ini.

Perjalanan yang memakan masa hampir 16 jam itu seperti tidak dirasai oleh Johari.

"Keselesaan prasarananya lebih sekali ganda berbanding koc terdahulu. Pada masa yang sama, perjalanan menggunakan MTT untuk ke Pantai Timur juga lancar apabila kereta api tidak berhenti di banyak stesen," kata Johari yang juga ahli bagi Kelab Peminat Keretapi Tanah Melayu.

Seorang lagi penumpang, Salina Zainuddin, 40, turut menyuarakan pandangan yang sama. Ujarnya yang turut membawa dua anaknya, Mohd. Hafis Rosli, 14, dan Mohd. Danial, 9, MTT setakat ini merupakan produk terbaik dari KTMB.

Dia yang menaiki koc superior (ala dormitori) percaya, kunjungan pelancong ke Pantai Timur pastinya melonjakkan industri pelancongan negara.


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha (berkot) sambil ditemani Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan meninjau keadaan koc MTT.


Bagi Zarina Che Husin, 40, sebagai seorang yang gemar menaiki kereta api ke mana jua destinasi, pastinya perasaan ralat akan menguasai diri sekiranya tidak mencuba menaiki MTT.

"Bayi saya, Ailin Adrisha (9 bulan) yang tidur nyenyak menunjukkan betapa selesanya kereta api ini," ujar bersungguh.

Bertaraf kelas pertama

Secara keseluruhannya, tempat duduk termasuk jenis superior dan prima, kemudahan tandas, alat audio visual, pendingin hawa termasuk singki dan pili air, semuanya bertaraf kelas pertama. Percayalah, sekali anda mencuba untuk menaiki MTT, pasti anda ingin mengulanginya sekali atau beberapa kali lagi.

Apakah signifikan di sebalik pertukaran nama dari Blue Train kepada MTT atau Harimau Malaya?

Menurut Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail, Harimau Malaya tidak lain tidak bukan melambangkan semangat perjuangan negara.

Pada masa sama, KTMB merencanakan nama itu kerana mengambil kira perjalanan gerabak MTT yang melalui landasan di Pantai Timur Semenanjung.


SAAT menikmati makanan yang disediakan di kantin kereta api merupakan detik-detik yang paling menarik.


"Kawasan seperti Kelantan dan Pahang merupakan habitat harimau, justeru, amatlah bertepatan sekiranya nama itu diubah suai," kata Mohd. Fazil.

Mengulas mengenai transformasi warna oren dan biru pada gerabak tidak lebih hanya untuk menunjukkan ciri-ciri Malaysia. Bagaimanapun Mohd. Fazil berkata, beberapa tulisan Jepun yang ada pada dinding gerabak dikekalkan.

Pada 2010 yang lalu, kerajaan Jepun melalui Syarikat J.R. Kyushu dan IR West berbesar hati menyumbang 14 koc yang dikenali sebagai Blue Train yang melalui bandar raya Tokyo ke Kumamoto sebelum ini.

Koc terpakai yang digunakan lebih 30 tahun itu sejak tahun 1970 hingga perkhidmatan terakhirnya pada Mac 2009 yang diberikan secara percuma memerlukan kerajaan membelanjakan sekitar RM7 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories