RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Pasar kegemaran ekspatriat

Posted: 10 Mar 2012 03:41 AM PST



SUASANA di sekitar Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada pagi itu tampak sibuk.

Lori-lori kecil yang membawa pelbagai barangan segar seperti ikan dan sayur-sayuran bergilir-gilir memasuki aras bawah kompleks dua tingkat itu.

Di aras atas, keadaan agak riuh-rendah dengan suara peniaga dan pelanggan yang sedang tawar-menawar harga barangan.

Laungan segelintir peniaga yang tidak putus-putus menarik pelanggan juga turut kedengaran di sana sini.

"Haa... meh singgah dulu tengok ikan. Semua segar-segar. Haa... pilih-pilih," jerit seorang peniaga ikan yang berada beberapa meter di hadapannya.

Seorang penjual buah yang berada tidak jauh dari situ juga seakan-akan tidak mahu mengalah, "Haa... rapat.. rapat, limau manis, lelong.. lelong."

Wanita itu hanya tersenyum melihat pelbagai gelagat di depan matanya. Biarpun tidak memahami perkataan yang dituturkan, namun dia yakin setiap peniaga pastinya mempunyai strategi tersendiri melariskan hasil jualan mereka.

Apa yang pasti, sejak tiba di negara ini kira-kira enam bulan lalu, dia cukup teruja setiap kali berkunjung ke kompleks yang terletak di bersebelahan Jalan Wan Kadir itu.

"Sebut apa sahaja, semua boleh didapati di sini. Ia umpama sebuah pasar raya kecil yang lengkap.

"Lagi pun lokasinya amat strategik dan terletak berhampiran rumah saya di Bukit Kiara," kata Alexandra Le Vaillant, 32.

Wanita yang berasal dari Palaiseau, pinggir selatan Paris, Perancis itu berkata, dia lebih menggemari konsep pasar tradisi seperti di Pasar Besar TTDI berbanding berkunjung ke pasar raya besar atau kompleks membeli-belah.

Katanya, selain tidak terlalu sesak, dia juga berpeluang mendapat pelbagai produk basah dan kering yang segar dan berkualiti pada harga jauh lebih rendah.

"Di sini saya berpeluang mendapat ikan, ayam atau daging yang segar. Pastinya ia memberi kepuasan, lebih-lebih lagi mereka yang gemar memasak seperti saya.

"Di samping itu, konsep pasar tradisi membolehkan saya berkenalan dan berinteraksi dengan peniaga dan pelanggan. Secara tidak langsung ia membolehkan saya mengenali sosiobudaya masyarakat di negara ini lebih dekat," ujarnya yang berkunjung ke situ dua hingga tiga kali seminggu.

Sejarah Pasar Besar TTDI

Alexandra memberitahu, dia mengetahui kewujudan pasar itu daripada beberapa rakan senegaranya yang menetap di sekitar kawasan perumahan di situ.

"Lokasi ini menjadi tempat pertemuan kami saban minggu. Sekurang-kurangnya ia dapat menghilangkan kerinduan terhadap keluarga di Perancis," ujarnya.


KEWUJUDAN pelbagai pasar raya besar moden hari ini tidak menggugat kehadiran pengunjung ke Pasar Besar TTDI.


Terletak di kawasan seluas 1.36 hektar, Pasar Besar TTDI memulakan operasinya pada tahun 1985.

Sejarah pembinaannya bermula, apabila Pasar Besar Kuala Lumpur yang menjadi lokasi pasar basah dan kering kepada penduduk dan pelombong bijih timah di sekitar Kuala Lumpur satu ketika dahulu ditutup.

Bangunan penuh bersejarah itu telah dinaik taraf menjadi Pasar Seni yang menempatkan pusat kesenian dan jualan kraftangan seperti hari ini.

Kesemua peniaga terbabit kemudiannya telah dipindahkan ke tiga buah pasar moden yang baru dibina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) iaitu di Pasar Besar TTDI, Pasar Besar Gombak dan Pasar Besar Cheras.

Selepas 27 tahun beroperasi, sebahagian besar peniaga di Pasar TTDI merupakan generasi kedua dan ketiga peniaga-peniaga di Pasar Besar Kuala Lumpur.

Salah seorang peniaga yang masih terus bertahan ialah Minah Jakan, 85.

Wanita yang berasal dari Bukit Tinggi, Indonesia itu masih meneruskan perniagaan asalnya, menjual sayur dan produk-produk kampung seperti pucuk ubi, pucuk paku, halia, serai, tempoyak dan belacan.


ALEXANDRA memilih membeli-belah di Pasar Besar TTDI dua hingga tiga kali seminggu berbanding di pasar raya besar.


Katanya, Pasar Besar Kuala Lumpur sememangnya padat dengan aktiviti perniagaan dan sering menjadi tumpuan warga kota.

"Dahulu peniaga kurang selesa kerana ruang perniagaan yang sempit, padat dan tidak mencukupi sehingga menyebabkan ia melimpah sehingga ke luar.

"Di samping itu, kami juga dibebani pelbagai masalah seperti sampah sarap yang berselerakan, longkang tersumbat, keadaan lantai yang licin dan berlopak-lopak serta bau hanyir yang menusuk hidung," ceritanya.

Lebih moden dan sistematik

Bagaimanapun, semuanya berubah sebaik sahaja berpindah ke lokasi baharu.

"Pasar ini lebih moden dan sistematik. Ruang yang lebih luas untuk jualan dan penyimpanan barang, laluan khas untuk mengangkut barang di samping tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

"Pada masa yang sama, ia juga lengkap dengan kemudahan parkir, tempat menurunkan barang, lif, eskalator, tandas dan surau," ujarnya.

Jelas Minah, walaupun berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan kurang daripada RM100 sehari dia berjaya membesarkan anak-anaknya di samping menunaikan haji dan umrah beberapa kali sebelum ini.

"Jika diikutkan, anak-anak melarang saya berniaga kerana faktor usia. Namun, saya bosan duduk tanpa berbuat apa-apa di rumah.

"Selagi kesihatan saya mengizinkan, saya akan terus berniaga. Lagi pun seronok dapat bertemu rakan-rakan lama di sini," katanya yang menetap di Kampung Sungai Penchala.

Sementara itu, peniaga rempah, Roseline Ong, 57, berkata, ketika pasar itu mula-mula dibuka, ramai peniaga mengalami kerugian disebabkan ketiadaan pelanggan.

Katanya, kawasan TTDI dan sekitarnya masih belum membangun sepenuhnya berbanding daerah-daerah lain di Kuala Lumpur.

"Hari ini, keadaan jauh berbeza. Banyak kawasan baharu yang dibuka untuk tujuan perniagaan dan perumahan menyebabkan pelanggan juga semakin bertambah.

"Jangan terkejut kerana satu pertiga pelanggan kami di sini merupakan golongan ekspatriat. Mereka menyukai konsep pasar tradisi ini yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri," ujar wanita yang berasal dari Pulau Tikus, Pulau Pinang itu.

Perniagaan rempah dan perencah makanan di bawah nama Lizar Chilli Curry Spices itu mendapat sambutan menggalakkan, khususnya bagi golongan yang bekerja kerana ia mudah disediakan dan tanpa berkrompomi tentang rasanya.


MINAH antara peniaga yang sehingga kini masih setia di Pasar Besar TTDI.


"Setiap hari saya memerlukan lebih 12 guni bahan asas seperti lengkuas, bawang merah, halia dan cili merah untuk menampung keperluan pelanggan termasuk tempahan bagi pengusaha restoran dan pasar raya," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan rempah dan perencah yang dihasilkan, Roseline berkata, ia terletak kepada resipi asli turun-temurun keluarganya yang berasal daripada masyarakat Peranakan.

"Istimewanya masakan masyarakat kami kerana ia menggabungkan elemen rempah-ratus masyarakat Melayu, Cina termasuk India.

"Tidak hairanlah, pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada masyarakat pelbagai kamu di negara ini, malah ekspatriat juga turut menggemarinya," katanya yang mendalami ilmu itu sejak dari kecil.

Hari Holi penuh warna-warni

Posted: 10 Mar 2012 03:41 AM PST


SERBUK pewarna dilemparkan ke arah orang ramai untuk memeriahkan lagi perayaan itu.


KEBIASAANNYA, perbuatan membaling serbuk pewarna ke muka orang lain bukan sahaja boleh menimbulkan kemarahan bahkan, mungkin boleh menyebabkan anda menerima tumbukan atau penampar.

Namun, pada hari perayaan Holi semakin banyak anda membaling serbuk pewarna, ia semakin disukai oleh penerimanya.

Sesuai dengan namanya festival Holi atau perayaan warna, pesta yang disambut pada bulan Phalguna mengikut kalendar Hindu atau awal bulan Mac itu merupakan antara perayaan paling meriah melibatkan penganut agama Hindu.


SEORANG lelaki tersenyum menampakkan gigi yang putih, biar pun mukanya sudah penuh disaluti pewarna biru.


Pada festival Holi, orang ramai akan berkumpul di lokasi tertentu untuk membaling serbuk pewarna dan haruman kepada pengunjung yang hadir. Dengan pelbagai muzik turut dialunkan sepanjang perayaan itu, pengunjung tidak kisah untuk mengotorkan baju dan mencomotkan muka dengan pelbagai jenis warna kerana hakikatnya itulah keistimewaan Holi.

Disambut di India, Nepal dan beberapa negara yang mempunyai penganut agama Hindu seperti Surinam, Malaysia dan Guyana, Holi merupakan salah satu daripada perayaan paling tua di India.

Terdapat pelbagai kisah dikaitkan dengan asal-usul berakarnya perayaan itu contohnya dikatakan dianjurkan oleh transkrip Jaimini's Purvamimamsa-Sutras dan Kathaka-Grhya-Sutras.

Selain itu mengikut legenda, ia juga dikatakan diadakan sebagai meraikan kejayaan Raja Hiranyakashipu menewaskan kuasa jahat suatu masa dahulu.


SERBUK pelbagai jenis warna digunakan untuk meraikan festival Holi.


Bagaimanapun, semakin ia berkembang asal-usul Holi itu semakin dilupakan. Holi diraikan juga sempena musim menuai dan tanda bermulanya musim bunga. Tetapi dalam kalangan orang muda hari ini, ia merupakan sebuah perayaan untuk mengeratkan perhubungan.

Hal ini kerana, di India perayaan Holi disambut tanpa membezakan umur, gender dan kasta. Semua orang akan menari sambil saling melontarkan serbuk pewarna ke tubuh orang lain.

Sabun sel stem epal

Posted: 10 Mar 2012 03:40 AM PST


MENURUT Zaiton, Magic Soap sesuai digunakan pada wajah dan badan.


TIGA tahun lalu, Zaiton Omar, sentiasa mengeluh keletihan dan tidak bermaya. Acap kali melakukan kerja-kerja harian, ibu kepada tiga cahaya mata itu cepat letih dan berasa sengal-sengal otot.

Enggan membiarkan dirinya terus lemah meskipun sudah menginjak usia 50 tahun, Zaiton berusaha mencari suplemen kesihatan. Bermacam-macam vitamin telah dicuba tetapi hasilnya tetap sama sehinggalah wanita yang menetap di Alor Setar, Kedah itu diperkenalkan dengan rangkaian produk jenama BCI.

"Tak dinafikan sebelum ini bermacam-macam produk kesihatan saya cuba tetapi keputusannya mengecewakan. Tapi, minuman kesihatan Stem Science Nutrifresh Beverage, jenama BCI pula sebaliknya.

"Dalam tempoh sebulan mengamalkan secara konsisten, saya merasai perbezaannya. Badan bukan saja terasa segar malah saya semakin aktif biarpun bekerja lebih daripada 12 jam. Lebih menggembirakan, kulit badan menjadi lembut dan kembali tegang," jelas Zaiton yang menyarankan supaya minum segelas Stem Science Nutrifresh Beverage, setiap pagi.

Tambah Zaiton, keistimewaan produk berkenaan adalah terletak pada bahan utamanya iaitu sel stem epal dari Switzerland dan kandungan kolagennya.

Selain bertindak mengganti sel-sel dalam badan yang rosak dek faktor usia, minuman kesihatan berperisa epal itu turut membantu menganjal dan menyerikan kulit badan.

BCI yang merupakan bisnes kosmetik dan minuman kesihatan berasaskan sel stem epal dari Switzerland itu diperkenalkan di negara ini sejak dua tahun lalu. Setakat ini BCI berjaya mengumpul hampir 10,000 orang ahli di Malaysia dan Indonesia.

Pada peringkat awal, BCI hanya menampilkan lima jenis produk yang terdiri daripada Stem Science Brightening & Firming Moisturizer, Stem Science Nano Gold Mositurizer, Stem Science Night Cream, Stem Science Nutrifresh Beverage dan Stem Science Nutrifresh Diet Slim.

"Kini kami memperkenalkan produk terbaharu Magic Soap iaitu sabun yang boleh digunakan pada wajah dan seluruh badan. Ia membantu mengatasi masalah jerawat, jeragat, kulit kusam dan mencerahkan kulit.


KRIM Stem Science Brightening & Firming Moisturizer membantu menganjalkan kulit.


"Kebanyakan individu berpendapat bahawa mencerah dan memutihkan kulit wajah merupakan proses yang sama. Padahal kedua-duanya berbeza kerana proses pencerahan berlaku selepas sel-sel kulit mati dibuang manakala pemutihan pula melibatkan teknik pengelupasan," jelas Zaiton mengenai Magic Soap yang dijual pada harga RM300 untuk dua biji sabun seberat 100 gram setiap satu.

Bebas bahan peluntur

Sabun yang diperbuat daripada sel stem epal itu, bebas bahan kimia dan hidrokuinon iaitu sejenis peluntur yang menghakis kulit.

Sementara itu, produk Stem Science Brightening & Firming Moisturizer bertindak dua dalam satu. Ia membantu mencerah dan melembutkan kulit, dan boleh digunakan sebagai krim asas.

Kepada mereka yang ingin mengetahui keistimewaan produk BCI, satu majlis minum petang bersama BCI akan diadakan di tiga buah zon iaitu Zon Utara, Zon Pantai Timur dan Zon Tengah. Acara untuk Zon Utara akan diadakan pada 31 Mac ini. Antara programnya ialah diskusi mengenai topik kecantikan dan khasiat sel stem epal, serta cabutan bertuah. Peserta berpeluang mendapatkan produk kecantikan BCI yang bernilai RM180. Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon drama bersiri, Juvana, Izreen Azminda Aznam. Mereka yang ingin menyertai program ini perlu membayar RM100 sebagai yuran penyertaan.

Bagi Zon Pantai Timur, majlis akan berlangsung pada 13 April ini, manakala Zon Tengah iaitu di Kuala Lumpur pada 12 Mei 2012.

Teroka keunikan sungai, hutan hujan dan laut Sabah

Posted: 10 Mar 2012 03:39 AM PST



"THAT is Blue-eared Kingfisher (burung raja udang). Dia tengah tidur," kata pemandu bot kami pada malam itu dalam loghat Sabah yang pekat. Penerangan ringkas itu disambut dengan hanya satu perkataan, "Wahh..." sebelum semuanya sibuk merakam gambar makhluk kecil berkepala biru itu.

Saya sebenarnya lebih kagum dengan kebolehan lelaki berusia kira-kira lewat 30-an itu yang mampu mengesan binatang pada waktu malam gelap pekat. Hanya bertemankan lampu suluh yang terangnya seperti lampu sorot kereta, matanya cekap mencari binatang-binatang yang ada di tebing sungai.

Hampir dua jam di atas bot, banyak juga binatang yang sempat dilihat. Burung hantu, musang dan paling menyeramkan pastinya seekor ular sawa sepanjang kira-kira dua meter yang bergerak malas selepas kenyang menjamu selera.

Sebelum pulang ke rumah penginapan di Proboscis Lodge, enjin bot dimatikan di tengah-tengah sungai. Kami semua diberi peluang menikmati pemandangan langit yang cerah dan penuh dengan bintang. Lupakan semua perkara lain, termasuklah buaya-buaya yang mungkin ketika itu sedang berenang santai berhampiran bot.

Pada petangnya, kami menjalani aktiviti sama. Menaiki bot dan melihat haiwan liar yang ada di sepanjang Sungai Kinabatangan. Paling banyak kelihatan ialah beberapa spesies monyet, termasuklah monyet berhidung besar atau nama orang putihnya, Proboscis monkey. Menjadi sungai terpanjang di Sabah (560 kilometer), Sungai Kinabatangan merupakan nadi kehidupan kepada penduduk di sana.

Ini bukan rombongan yang dikendalikan oleh Tourism Malaysia atau mana-mana agensi kerajaan berkaitan pelancongan. Sebaliknya, aktiviti menyusuri Sungai Kinabatangan itu adalah sebahagian daripada program Dura-Mission Kinabatangan - Semporna 2012 (Dura-Mission 2012) yang disusun khas oleh pihak Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (Isuzu Malaysia).

Berpeluh dahi

Dura-Mission bolehlah dikatakan sebagai aktiviti serampang dua mata. Selain menguji kemampuan sebenar trak pikap Isuzu D-Max, ia juga memberi peluang kepada para peserta untuk menikmati keindahan alam sekitar serta keunikan tempat yang dikunjungi. Setakat ini, lokasi kegemaran Isuzu Malaysia ialah Borneo.


KUMPULAN media dan kru Isuzu Malaysia yang menjayakan cabaran Dura-Mission Kinabatangan - Semporna 2012.


Berdasarkan berpengalaman menyertai Dura-Mission pada tahun 2009, saya sudah dapat mengagak bahawa Dura-Mission 2012 sememangnya tidak akan mengecewakan. Kali ini, para peserta dibawa meneroka keindahan bumi Sabah meliputi sungai, hutan dan laut.

Berbeza dengan program sama sebelum ini, Dura-Mission 2012 lebih santai. Tidak banyak memandu seperti dahulu. Malah, laluannya juga lebih terarah kepada lebuh raya. Bukannya off-road yang memerlukan peserta berpeluh dahi mengharung jalan berlumpur atau titi kecil. Biarpun begitu, laluan yang perlu ditempuh tetap boleh dijadikan ukuran mengenai sifat tahan lasak, jimat minyak dan selesanya trak pikap Isuzu D-Max.

Konvoi melibatkan 13 buah Isuzu D-Max. Dua automatik dan bakinya bertransmisi manual dengan campuran varian 2.5 serta 3.0 liter. Sementara tiga buah jentera yang bertindak selaku ketua konvoi, dipandu oleh krew kamera dan sweeper ialah D-Max yang telah diubah suai serta dipasang dengan pelbagai aksesori. Diberi nama Monster, rupa D-Max itu kira ganaslah juga.

Dalam tempoh enam hari, perjalanan sejauh hampir 620 kilometer (km) dimulakan di Sandakan sebelum berakhir di Tawau. Pada hari kedua, konvoi bergerak ke Sukau. Dalam perjalanan, kami singgah ke Santuari Orang Utan di Sepilok.

Lahar Lumpur Lipad

Selepas puas melihat aksi orang utan diberi makan dan menonton video mengenai primat itu, rombongan memandu selama empat jam menuju ke jeti untuk menginap di Proboscis Logde di tepi Sungai Kinabatangan.

Memang ramai yang ternanti-nantikan laluan lebih mencabar. Penantian itu berakhir apabila kami perlu menempuh jalan ladang kelapa sawit menuju ke Tabin Wildlife Resort (TWR) di Lahad Datu. Jalan tanah merah berdebu dan penuh lubang itu dapat diharung tanpa sebarang masalah oleh semua D-Max standard.

Terletak kira-kira 50km dari jalan besar, TWR merupakan hutan simpan hidupan liar terbesar di Malaysia dengan kawasan seluas 123,000 hektar. Resort yang terletak di tengah-tengah hutan hujan itu memang mendamaikan.

Tidak akan membosankan setiap pengunjungnya, TWR menawarkan pelbagai aktiviti menarik. Selain boleh berendam dan merasai kesejukan air sungai yang mengalir tidak jauh dari bilik, anda juga mesti pergi ke Lahar Lumpur Lipad atau Lipad Mud Volcano.

Tetapi, sebelum sampai ke sana, anda perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh 2.2km. Kemudian, semua harus menapak laluan berlumpur sejauh 700 meter untuk sampai ke Lahar Lumpur Lipad.

Dari atas menara pemantau, Lahar Lumpur Lipad hanyalah satu kawasan lapang berwarna kelabu. Tidak seperti gunung berapi lain, Lahar Lumpur Lipad hanya mengeluarkan lumpur kelabu yang kaya dengan mineral dan garam.


KONVOI Dura-Mission 2012 yang melibatkan 13 buah trak pikap Isuzu D-Max kali ini lebih terarah kepada pemanduan di atas jalan biasa.


Kalau hendak tahu, itulah rawatan spa semula jadi. Struktur lumpur itu licin, pekat dan menyejukkan sebaik sahaja disapu ke kulit muka atau tangan. "Simpan dalam botol, tidak payah beli SKII lagi," seloroh seorang kawan yang mukanya sudah bertukar kelabu dilumur lumpur gunung berapi tersebut.

Selepas makan malam, kami dibawa untuk aktiviti Night Safari. Oleh sebab penat, saya memilih untuk menghabiskan masa di dalam bilik sahaja. Mujur juga kerana tidak sampai separuh jalan, hujan turun dengan lebatnya.

Hujan yang turun membuatkan laluan keluar dari TWR pada keesokan harinya menjadi lebih menarik. Sempatlah kami semua melepaskan gian melayan jalan berlumpur dengan D-Max walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana.

Setelah memandu selama lebih tiga jam, kami tiba di jeti Semporna. Dari sana, kami menaiki bot selama 45 minit untuk sampai ke Pulau Mabul. Menjadi salah satu lokasi terkenal buat golongan penyelam, Pulau Mabul terletak tidak jauh dengan Pulau Sipadan.

Memandangkan ramai antara kami tiada lesen menyelam, Isuzu Malaysia memberi pilihan sama ada hendak mengikuti aktiviti snorkeling atau kursus asas menyelam (Discovery Scuba Diving, DSD).

Sebelum kembali ke tanah besar pada keesokan harinya, waktu senggang pada waktu pagi dimanfaatkan dengan berjalan-jalan di sekitar kampung di Pulau Mabul. Dihuni oleh hampir 2,000 orang yang kebanyakannya imigran dari Filipina, masyarakat Bajau Laut itu hidup dalam keadaan serba ringkas.

Walaupun Dura-Mission 2012 lebih kepada bercuti, misi Isuzu Malaysia untuk menyerlahkan kemampuan D-Max saya fikir berjaya, sekurang-kurangnya dalam kalangan peserta.

Sebabnya, seorang kawan yang pada mulanya sibuk hendak membeli Suzuki Vitara dua pintu terpakai sudah bertukar fikiran. Mahu beli D-Max pula katanya. Teori saya mudah sahaja, barang baik tidak perlu cakap banyak-banyak.

Mercedes-Benz merah jambu

Posted: 10 Mar 2012 03:39 AM PST


RIM jenama JnS buatan Taiwan menyerlahkan lagi penampilan Mercedes 123 ini.


MEMANDU kereta lama merupakan hobi sesetengah orang atau banyak orang pada zaman moden ini. Pada hari ini, saya ada seorang kawan yang sibuk benar membelek laman web jual beli barang, e-bay untuk mencari barang untuk model Alfa Romeo Alfasud.

Susahnya tak payah ceritalah. 'Main' kereta lama ibarat mengumpul tembikar klasik dari China. Ada duit belum tentu dapat membeli barang yang dihajati.

Mercedes siri 123 adalah siri Mercedes paling berjaya di dunia. Sebanyak 2.7 juta unit sudah terjual di seluruh dunia sejak ia diperkenalkan pada tahun 1976 hingga 1985. Kereta itu ibarat kereta kebal dan semua enjin yang diperkenalkan pada tahun pengeluarannya masih ada alat gantinya hingga ke hari ini.

Enjin paling popular yang pernah dipasang padanya ialah M115 dan M102 empat silinder petrol. Selain itu, jentera tersebut juga hadir dengan enjin berkapasiti 2.3, 2.4 (Diesel), 2.5, 2.8 dan 3.0 liter.

Bercakap tentang enjin, tidak ramai pemilik Mercedes lama memilih untuk menggunakan enjin kereta Jepun. Sebabnya, enjin model-model Mercedes klasik memang tidak banyak kerenah. Kalau rosak sekalipun, alat gantinya dijual merata-rata. Baik baru mahupun yang terpakai. Pemilik Mercedes merah jambu ini juga mempunyai pendapat yang sama apabila dia mula membaik pulih model 123.

Apa yang dibuat adalah menggantikan semua komponen enjin dengan yang baharu semasa proses overhauled penuh dilakukan. Lagipun, kereta itu datang dengan transmisi manual yang memang langsung tiada masalah. Selepas overhauled, kereta itu sudah tentu mampu bergerak untuk lima tahun lagi dengan sistem pendingin hawa yang sejuk dan kos penyelenggaraan murah.


TEMA klasik dikekalkan pada ruang kokpit menerusi penggunaan stereng dan kemasan papan pemuka kayu.


Setelah siap mengubahsuai bahagian enjin, pemiliknya mengalihkan perhatian kepada ruang dalaman pula. Jika masuk ke dalam kereta, pasti ramai yang terkejut dan mengakui bahawa hasil kerjanya memang menakjubkan.

100 peratus tulen

Saya memang puji orang yang mampu memulihkan kereta lama hingga sebegini rupa. Ini kerana untuk menjadikan kereta lama macam sebuah model asli bukannya senang.

Semua tempat duduk kereta direstorasi. Panel pintu dikemaskan semula dan papan pemuka dipulihkan. Boleh kata 100 peratus barang dalaman kokpit kereta itu adalah yang asal. Tema klasiknya tidak berubah dengan penggunaan stereng empat jejari kayu, panel bawah, malah semua suisnya masih berada dalam keadaan sempurna.

Tidak seperti kereta Mercedes/BMW moden yang anda biasa lihat, bahagian plastik kereta-kereta lama nampaknya lebih tahan lama dan kalis cuaca.

Satu perkara yang saya perasan pada kereta moden ialah lampunya. Jika anda lihat model baharu Mercedes seperti W203 atau W211, semua lampunya cepat kusam.

Kereta tidak sampai sepuluh tahun, tetapi lampu hadapannya sudah kabur semacam. Nampak Mercedes ini? Walaupun tidak berkilat, lampunya tidak kabur langsung. Saya rasa jurutera zaman itu langsung tidak berkira apabila memilih plastik/kaca yang berkualiti supaya kereta boleh dipandu sampai bila-bila.

Bahagian luarnya pula sangat kemas tanpa sebarang garis gelombang pada badan selepas ia dicat dengan warna merah jambu.

Pemilik Mercedes ini memilih rim bersaiz 18 inci jenama JnS buatan Taiwan yang dibalut dengan tayar Michelin 225/40/18. Rim dengan kesan krom itu cukup kontras dengan warna merah jambu.


ENJIN ini telah mengalami proses overhauled penuh dan masih boleh beroperasi dengan cemerlang.


Apabila sudah lengkap, tibalah masanya untuk jentera tersebut direndahkan. Menggunakan teknologi custom, kereta itu direndahkan menerusi padanan suspensi yang dibuat khas. Brek-brek asal model 123 itu masih dapat memberi khidmat yang cemerlang dan tidak pernah menyebabkannya gagal berhenti.

Memulihkan kereta klasik memerlukan semangat. Duit adalah perkara kedua. Sebabnya, kalau ada duit pun tidak semestinya semua boleh dibeli. Kasih sayang yang dicurahkan ke atas mesin-mesin lama begini lebih bernilai daripada wang ringgit yang telah dibelanjakan.

BMW Concept M135i

Posted: 10 Mar 2012 03:38 AM PST


MODEL tiga pintu ini dilengkapi enjin petrol enam silinder dengan pengenaan Twin Power Turbo berupaya meledakkan output lebih 300 kuasa kuda.


KRITIKAN rekaan tidak terhad kepada model-model kereta daripada jenama biasa atau pertengahan sahaja. Dalam artikel sebelum ini, saya ada menulis mengenai kutukan yang diterima oleh rekaan Honda Civic dan Accord menerusi komen-komen dalam blog yang bernada negatif.

Pengguna masa kini lebih bebas dan ekspresif dalam menyatakan pendapat. Maka tidak hairanlah jika pengeluar kereta banyak bergantung kepada kajian pasaran. Apa yang bakal pelanggan mahukan, itulah yang ingin mereka hasilkan.

Pengeluar kereta premium juga tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya. Buktinya, apabila imej BMW 1 Series baharu disebarkan, berbakul komen negatif dihamburkan. Rekaan depannya serba tidak kena sehinggakan mereka yang pandai dengan perisian rekaan mengubah apa yang tidak kena, sebelum memuat naik versi mereka sendiri.

Jika pereka model asal itu jenis sensitif, boleh jadi akan terasa pedih sampai ke tulang. Namun saya percaya, setiap keputusan bukanlah hak eksklusif perekanya, namun bersifat kolektif.

Model 1 Series yang banyak dikritik itu dipamerkan di Geneva. Tetapi dalam 'baju' yang berbeza. Paling menarik kuasanya juga berlipat kali ganda. Model yang dimaksudkan ialah BMW Concept M135i atau lebih senang jika disebut sebagai M1 Concept sahaja.

Model tersebut adalah varian berprestasi 1 Series tiga pintu. Rekaan luaran M1 Concept lebih sporty, segar dan atletik yang merupakan karekter tipikal kenderaan BMW M Performance.

Dengan penampilan yang sporty, model tiga pintu itu adalah lanjutan versi BMW Performance dalam segmen kompak premium. Kata BMW, versi M Performance daripada mereka menawarkan simbiosis di antara prestasi dan pemanduan harian.


MODEL M1 Concept tidak terlepas menerima kritikan berhubung rekaannya.


Mengeksploitasi kemahiran divisyen BMW M yang berdekad-dekad bergelumang dalam bidang pemotoran, setiap model yang dikeluarkan mempunyai enjin dan suspensi berprestasi tinggi. Selain ciri-ciri aerodinamik yang kesemuanya adalah gabungan harmoni yang berfungsi antara satu sama lain.

Pra-syarat keseronokan

Hasilnya, model BMW M Performance memiliki kelebihan dari segi ketangkasan, karekter pengendalian dan rekaan yang emosional. Sekali pandang, ciri-ciri yang dinyatakan tadi jelas boleh dilihat pada model BMW Concept M135i.

Penggunaan enjin enam silinder petrol dengan teknologi M Performance Twin Power Turbo dengan kuasa lebih 300hp adalah pra-syarat untuk keseronokan pemanduan mengikut standard badan penala M Division.

Bayangkan kuasa setinggi itu untuk sebuah kereta kompak. Lebih menarik lagi, BMW Concept M135i menggunakan sistem pacuan roda belakang! Jika model itu benar-benar dihasilkan dan jika boleh ditulis, BMW sudah gila agaknya. Namun itu bukanlah suatu yang pelik. Sebabnya, BMW F10 M5 yang baru dilancarkan ke pasaran tempatan berkuasa 560hp dengan 680Nm tork daripada enjin 4.4 liter V8 twin turbo!

Dari aspek karekter pengendalian, model Concept M1 dipasang dengan set suspensi yang ditala khas. Untuk pemberhentian yang berkesan, model itu menggunakan sistem brek M sports. Apron depan model konsep itu merupakan rekaan tipikal M Design yang fokus kepada jalan di hadapan.

Sementara saiz ruang kemasukan udara yang besar pula adalah praktikal untuk penyejukan enjin berkuasa tinggi dan komponen brek. Rekaan bahagian belakang pula dihias dengan apron berwarna Dark Shadow metalik, di samping dua ekzos pada kiri dan kanan kereta.


PENGENAAN warna metalik Dark Shadow dan ekzos masing-masing pada bahagian kiri dan kanan jentera mencerminkan imej sportynya.


Berbanding rupa bentuk BMW 1 Series lima pintu, model Concept M135i tiga pintu nyata lebih sporty dan elegan. Dari bentuk keseluruhan, model itu nampak lebih dinamik dan panjang. Dilihat dari sisi, model itu nampak atletik, rendah dan dijelaskan lagi dengan garis kontur horizontal pada pintu.

Saiz pintu yang lebar turut menambah karekter rekaan. Ia diserlahkan lagi melalui tingkap tanpa bingkai yang memanjang ke belakang. Roda aloi ringan bersaiz 18 inci M double spoke pula merupakan aksesori penyudah karakter sporty model konsep tersebut.

Apa yang dipaparkan oleh BMW itu menunjukkan suatu senario yang menarik. Ketika pengeluar kereta Jepun sibuk dengan teknologi hibrid, pengeluar Eropah seperti BMW masih yakin dengan teknologi konvensional yang ditambah baik dan paling penting model berkuasa tinggi.

Bukan sahaja BMW, lihat juga pada pengeluar lain seperti Audi, Renault dan Citroen. Masing-masing mempunyai model berprestasi tinggi. Saya tidak pasti apakah tindakan mereka ini betul atau sebaliknya.

Kemungkinan besar tindakan itu betul kerana biasanya mereka tidak membuat keputusan secara sembrono tanpa berdasarkan kajian pasaran. Senario seperti ini akan terjawab dalam masa beberapa tahun akan datang. Reaksi sebenar daripada pasaran, kereta berprestasi atau hibrid.

Prius c mobiliti urban

Posted: 10 Mar 2012 03:37 AM PST



KISAH di sebalik pengenalan model hibrid Toyota Prius c di peringkat global sebenarnya amat bermakna kepada pengeluarnya, Toyota Motor Corporation (TMC).

Prius c membuktikan keupayaan sebenar TMC untuk kembali bangkit selepas Negara Matahari Terbit itu dilanda bencana gempa bumi dan tsunami pada Mac tahun lalu.

"Kawasan yang menempatkan kilang TMC tidak terdedah kepada tsunami. Tetapi ia tetap menerima kesan gempa bumi. Ekoran itu, operasi kilang pengeluaran terpaksa ditangguhkan buat sementara.

"Malah Panasonic yang menghasilkan bateri hibrid untuk kenderaan di kawasan sama juga terjejas," demikian cerita Naib Presiden UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota), Takashi Hibi.

Malapetaka itu melumpuhkan industri automotif Jepun. TMC yang turut terjejas berhadapan dengan kemungkinan gagal menepati jadual asal pelancaran Prius c. Namun, gergasi automotif Jepun itu berjaya memulihkan operasi pengeluarannya pada Disember lalu.

"Jadi, ia (Prius c) adalah simbol pemulihan kami kerana berjaya dilancarkan tepat pada masanya," tambah Hibi. Kejayaan yang dikecapi bukan setakat itu sahaja, Prius c yang dikenali sebagai Aqua di Jepun nyata menerima sambutan luar biasa.

Timbalan Ketua Jurutera Kumpulan Perancangan Produk TMC, Hiroshi Hatada berkata, tempahan yang diterima untuk kenderaan hibrid itu meningkat sepuluh kali ganda berbanding unjuran awal.

Pada awalnya, TMC menjangkakan jualan sebanyak 12,000 unit sebulan, tetapi pada Januari lalu, tempahan yang diterima sudah mencecah 120,000 unit.

Baru-baru ini, Prius c diperkenalkan ke pasaran tempatan oleh UMW Toyota dengan satu pengumuman menarik. Apa lagi kalau bukan harga sebenar Prius c.


PRIUS c disasarkan kepada golongan eksekutif muda urban dan mereka yang mementingkan alam sekitar.


Ahli terbaharu dalam keluarga Toyota Prius itu dijual pada harga RM97,000 termasuk insurans. Ia jauh berbeza dengan harga anggaran awal iaitu RM103,990 yang dinyatakan UMW Toyota dalam laman webnya.

Kejutan tersebut pasti mencetuskan saingan sengit kepada pendahulu segmen hibrid tempatan iaitu Honda Insight. Prius c dianggarkan RM3,000 lebih murah jika dibandingkan dengan Insight.

Istilah 'c' pada namanya merujuk kepada maksud compact (kompak), clean (bersih), clever (pintar) dan city (bandar). Empat definisi itu sudah cukup untuk memberi gambaran mengenai karakter jentera lima pintu tersebut.

"Pengenalan Prius c bertujuan menjadikan kenderaan hibrid Toyota lebih mampu dimiliki. Kami mahu memberikan para pelanggan satu lagi peluang untuk menikmati inovasi terkini dalam teknologi hibrid," jelas Presiden UMW Toyota, Ismet Suki.

Ismet memberitahu, sejak Januari lalu, pihaknya sudah menerima tempahan sebanyak 600 unit untuk model hibrid berkenaan. Tempoh menunggu untuk mendapatkannya adalah di antara dua hingga tiga bulan.

Ruang kabin futuristik

Kereta kompak sepanjang 3,995 milimeter itu dipasang bampar aerocorner untuk kesempurnaan aliran udara. Selain itu, penggunaan gril radiator trapezoid mengoptimumkan aspek aerodinamik dan penyejukan.


ENJIN bersesaran 1.5 liter pada Prius c sesuai untuk kegunaan dalam bandar.


Kerangka Prius c diperbuat daripada keluli regangan tinggi yang ringan dan berperanan mengurangkan berat kenderaan. Ia juga menambah baik tahap pengunaan bahan api dan meningkatkan keselamatan pemandu serta penumpangnya.

Bahagian dalaman mempersembahkan ruang kabin futuristik dengan tona hitam, kelabu dan biru. Soal keselesaan turut ditekankan meskipun ruangnya kompak. Papan pemuka menempatkan paparan informatif menerusi skrin warna sesentuh TFT 3.5 inci MID (multi information display).

Stereng kereta itu pula dilengkapi butang kawalan jenis sesentuh yang membolehkan pemandu mengawal ketetapan pendingin hawa atau sistem audio. Prius c dilengkapi fungsi kawal jelajah (cruise control), di samping ciri Smart Entry & Start System.

Sistem Hybrid Synergy Drive (HSD) Prius c adalah 42 kilogram lebih ringan berbanding model Prius. Ia mampu menjana kuasa maksimum sehingga 74kw. Tiga mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Eco dan EV (elektrik).

Prius dan Prius Luxury

Turut mengiringi pengenalan Prius c ialah dua varian baharu iaitu Prius dan Prius Luxury. Enjin dan HSD yang digunakan pada dua jentera itu bagaimanapun sama seperti model Prius yang diperkenalkan pada 2009.


PEMBAHARUAN pada ruang kabin melibatkan penyempurnaan komponen tertentu, misalnya butang fungsi pada stereng.


Transformasi dilakukan pada bahagian hadapan. Ia membabitkan penggunaan lampu LED DRL (daytime running lights), bampar dan gril radiator baharu. Sementara lampu kabus ditempatkan pada bahagian bawah gril.

Set lampu belakang diberi rekaan baharu. Lampu brek kini diletakkan di dalam perumah berwarna merah. Untuk cermin sisi, ia kini boleh dilipat secara automatik.

Rekaan dalaman diubah dengan skim warna hitam bersama kemasan metalik pada komponen tertentu. Misalnya, tekstur yang lebih terang digunakan pada papan pemuka dan pemegang cawan di antara tempat duduk hadapan. Bagi varian Luxury, ia dipasang lampu projektor LED dan tempat duduknya dibalut material kulit.

"Kami berhasrat menjual sebanyak 1,500 unit Prius dan 2,500 unit Prius c," kata Ismet yang memberitahu rekod jualan Prius pada tahun lalu adalah sebanyak 2,707 unit.

Prius dan Prius Luxury ditawarkan pada harga RM139,900 dan RM145,500 seunit. Ia termasuk insurans dan diberi jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 km.

Menerusi pengenalan rangkaian model-model hibrid baharu khususnya Prius c, tidak mustahil UMW Toyota mampu berada di tangga pertama dalam segmen hibrid tempatan. Namun, saingan pastinya semakin sengit kerana sudah ada ura-ura mengatakan bahawa Honda bakal memperkenalkan satu lagi jentera hibridnya pada harga cukup menarik. Sama-sama kita nantikan!.

Infiniti FX 2012 lebih sporty

Posted: 10 Mar 2012 03:37 AM PST


BIARPUN menerima pelbagai penambahbaikan, harganya tetap tidak berubah.


PEMEGANG francais kenderaan jenama Infiniti di Malaysia, Auto Dunia Sdn. Bhd. (Auto Dunia) mengumumkan tawaran model baharu crossover mewah berprestasi iaitu Infiniti FX 2012.

Model Infiniti FX37 4WD GT diberi sentuhan lebih sporty menerusi penggunaan beberapa komponen baharu. Antaranya termasuklah gril hadapan, fasia luaran, rim aloi 20 inci dan gugusan instrumen.

Semua penambahbaikan itu secara langsung menempatkan model ikonik FX ke tahap lebih tinggi. Lebih menarik lagi, harga kenderaan itu tidak mengalami sebarang peningkatan berbanding varian terdahulu. Ia kekal pada harga RM435,000 seunit tanpa insurans. Model berkenaan boleh didapati di Infiniti Center Kuala Lumpur.

Infiniti FX 2012 dilengkapi enjin 3.7 liter DOHC V6 yang dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan automatik. Jentera berkuasa 320hp itu berupaya mencatat kelajuan maksimum 235 kilometer sejam (km/j). Masa yang diperlukan untuk pecutan 0km hingga 100km cuma 6.8 saat.

Bahagian hadapan menampilkan sepasang lampu kabus dan lampu utama HID xenon dwifungsi. Siluet agresif semakin menyerlah dengan adanya satu garis bahu yang bersambung dari hadapan sehingga ke belakang jentera. Tidak lupa juga pengenaan ekzos berkembar besar dengan kemasan krom.


KONSOL tengah yang padat dengan pelbagai butang kawalan audio dan navigasi.


Kenderaan tersebut dipasang dengan sistem pacuan pintar semua roda (Intelligent All-Wheel Drive) yang menggunakan strategi kawalan agihan tork. Ia mengagihkan kuasa tork secara automatik (0:100 sehingga 50:50 dari roda hadapan ke roda belakang) berdasarkan kepada keadaan jalan dan pemanduan.

Suspensi double-wishbone pada roda hadapan dan suspensi multi-link (roda belakang) menawarkan pengendalian yang selesa, keras dan tepat.

Tugas membrek pula diserahkan kepada brek cakera ventilasi pada keempat-empat roda bersama sistem Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA) dan Electronic Brake force Distribution (EBD).

Sebanyak tujuh pilihan warna ditawarkan iaitu Graphite Shadow, Malbec Black, Umbria Twilight, Liquid Platinum, Black Obsidian, Midnight Mocha dan Moonlight White.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.infiniti.com.my atau hubungi talian Infiniti 03-2142 3332.

Mini hasilkan kenderaan berkonsepkan van

Posted: 10 Mar 2012 03:36 AM PST


MINI Clubvan direka bagi membolehkan lebih banyak barang diangkut ke dalam ruang kargonya.


MINI bakal memperkenalkan kereta konsep yang pasti mendapat perhatian ramai pada Pameran Motor Antarabangsa Geneva 2012. Mini Clubvan Concept merupakan sebuah van untuk tujuan perniagaan dan santai. Ia menjadi model premium pertama dalam segmen kenderaan kecil berasaskan kepada van.

Jentera itu membuktikan bahawa gaya boleh diseimbangkan dengan praktikaliti dan tampil menarik. Kereta konsep yang dibina di atas kerangka Mini Clubman itu menggabungkan segala rekabentuk dan kualiti sebuah Mini, bersama kemampuan untuk membawa kargo.

Mini Clubvan concept membuka pasaran baharu buat Mini. Ia mempunyai dua tempat duduk, lima pintu dan kegunaan ruang kargo yang luas. Ruang itu juga boleh diubah suai mengikut keperluan pengguna. Misalnya, peralatan kecil boleh disimpan dengan kemas di dalam laci atau rak yang dibina secara berasingan.

Diserlahkan melalui warna hijau British Racing, badannya juga boleh menjadi ruang pengiklanan atau promosi yang unik dan bergaya.

Kia cee'd generasi kedua

Posted: 10 Mar 2012 03:36 AM PST


SETAKAT ini masih belum ada petanda bahawa cee'd akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia.


SEBAGAI penulis automotif, saya banyak menerima informasi terkini daripada pengeluar kereta. Setiap hari pelbagai berita yang diberi, seolah-olah pengeluar kereta mengeluarkan model baharu setiap hari.

Ada yang menarik dan ada juga yang tidak berbaloi hendak ditulis memandangkan model tersebut di luar kemampuan rakyat kebanyakan atau tidak dijual di negara kita. Tetapi yang pastinya sektor automotif dunia sangat rancak dengan pelbagai falsafah, teknologi dan rekabentuk.

Perkembangannya sangat pantas sehinggakan kita tidak hairan pun apa yang ditawarkan. Sedangkan pasukan pembangunannya mengambil masa bertahun-tahun dan berbelanja berbilion ringgit bagi menghasilkan sesebuah produk.

Pengguna masa kini dimanjakan dengan pelbagai pilihan. Dalam segmen kereta bandar misalnya, pelbagai model yang ditawarkan. Ada Proton Saga, Perodua Myvi, Hyundai i10 atau pun yang paling murah Perodua Viva.

Itu baru daripada pengeluar tempatan, Jepun dan Korea. Jika pengeluar Eropah dan China melambakkan produk mereka pasti pening kepala hendak membuat pilihan. Cuma apa yang menghadkan nafsu atau keperluan ialah citarasa atau tebal atau nipis poket kita.

Rebiu-rebiu kenderaan jenama Kia seperti yang banyak ditulis dalam sisipan ini memang mengagumkan. Syarikat Korea yang ditubuhkan pada tahun 1944 itu tidak pernah sepi daripada berita.


Papan pemuka yang mengambil inspirasi daripada ruang kokpit pesawat.


Perkadaran Jentera Coupe

Ada sahaja yang hendak diberitahu seolah-olah mereka ini ahli politik yang ingin meraih undi. Jika tiada berita pelancaran produk baharu, mereka akan berkongsi tentang produk konsep untuk masa depan.

Secara tidak langsung, ia mewujudkan kesedaran jenama supaya jenama Kia lekat di minda pengguna. Itu belum lagi diambil kira kebanjiran kereta-kereta Kia moden yang semakin menjadi-jadi di atas jalan raya.

Terkini, di Pameran Motor Antarabangsa Geneva 2012, Kia mempamerkan kepada umum model Kia cee'd generasi kedua. Entah berapa banyak model terbaharu Kia pun saya sudah tidak pasti.

Cee'd adalah gabungan rekaan yang dinamik, sofiskated dan matang. Berbanding model generasi pertama, cee'd baharu lebih panjang, lebar dan rendah tetapi memiliki jarak titik roda yang sama.

Selain itu, cee'd juga mempunyai perkadaran (proportion) seperti kereta coupe hasil daripada darjah tiang A yang 'masuk' ke dalam, garisan 'pinggang' depan yang rendah serta tingkap sisi yang dipanjangkan.

Bahagian depan cee'd pula adalah wajah korporat terkini Kia dengan gril hidung harimau serta bentuk lampu utama yang agresif dengan lampu LED siang hari (DRL). Pada pandangan sisi, 'sayap' depan dan belakang menonjolkan kelebaran trek kereta dengan posisi yang tegap.

Sementara bahagian luar kereta mempunyai banyak perincian kecil. Ia jelas menambah rasa prestij dan premium tanpa merosakkan keaslian serta keanggunan keseluruhan rekaan. Perincian tersebut terdiri daripada lencana baharu Kia yang sofistikated dan lebih jelas, bingkai cermin krom, selain lampu belakang dengan bentuk aerodinamik.


BAHAGIAN belakang cee'd direka bagi memenuhi citarasa pengguna di Eropah.


Cee'd baharu juga mempunyai ruang dalaman yang lebih premium pada visual dan sentuhan. Di samping kualiti lebih baik, teknologi skrin sentuh serta ergonomik posisi pemanduan yang lebih elok. Tata atur papan pemuka pula diinspirasikan daripada kokpit pesawat dengan fasia yang berorientasikan pemandu.

Panel kawalan utama dikelompokkan pada stereng yang mudah untuk dicapai pemandu, manakala suis lain seperti audio dan pendingin hawa dipisahkan untuk menjadikan ruang kabin semakin premium, mewah dan seolah-olah kereta yang lebih besar.

Perincian pada kabin menjadikan cee'd baharu lebih berprestij berbanding model terdahulu. Penggunaan material lembut memberikan nilai sentuh yang tinggi pada kualitinya. Instrumen dan alat kawalan mempunyai jaluran krom yang nipis, manakala pemegang pintu diperbuat daripada material berkualiti tinggi. Pembuka pintunya pula berbentuk cengkerang yang meneruskan tema premium yang ingin ditonjolkan Kia.

Harus tahu, Kia cee'd tidak pernah dipasarkan di negara kita. Fokus utamanya adalah untuk pasaran Eropah. Jika diikutkan skala ekonomi, setiap pengeluar perlu menjual sebanyak yang boleh bagi mendapatkan balik modal dan membuat keuntungan.

Namun, handal sungguh Kia sekarang. Ia sudah seperti kebanyakan pengeluar kereta utama dunia lain yang mampu mengeluarkan model eksklusif untuk sesebuah pasaran sahaja.

Pelengkap tawaran VW

Posted: 10 Mar 2012 03:35 AM PST



CARCOSA SRI NEGARA pada petang Ahad minggu lalu cukup meriah. Sekali pandang seperti hari keluarga. Banyak betul aktivitinya. Makan-makan, sesi fotografi, permainan video, sudut mewarna, sesi bercerita, kereta kawalan jauh, urut, malah merias kuku pun ada. Bagi kanak-kanak, pastinya kaunter gula kapas dan bertih jagung menjadi sasaran utama. Semua nampak relaks menghabiskan masa selama beberapa jam di sana.

Nampaknya, tema dan suasana aktiviti santai bersama keluarga sebegitu memang kena dengan pelancaran model terbaharu daripada Volkswagen Group Malaysia (VGM).

Ciri terbaik VW

Dikenali sebagai Sharan, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu sudah memasuki generasi kedua. Ia menjadi tawaran terbaharu VGM kepada pengguna Malaysia yang dilihat kian selesa dengan jenama dari Jerman itu selepas model-model seperti Polo, Golf, Jetta, Cross Touran, Passat, Passat CC, Tiguan dan Touareg.

Volkswagen (VW) mula mengeluarkan Sharan pada tahun 1995, sebagai respons kepada pasaran yang gemarkan MPV bersaiz besar, tetapi mampu menawarkan pemanduan seperti sebuah kereta.

Ketika itu, Sharan dibangunkan bersama Ford menerusi model Ford Galaxy sebelum VW melakukan rebadged model sama menggunakan jenama SEAT yang kemudian diberi nama Alhambra. Pada tahun 2006, Ford tampil dengan Galaxy baharu yang tiada kena mengena dengan Sharan, selain model MPV S-Max yang dibina di atas kerangka sedan Mondeo.

Selepas 15 tahun, biarpun cuma mengalami proses penambahbaikan (facelift) sebanyak dua kali, Sharan nyata diterima baik terutama di pasaran Eropah apabila lebih 600,000 unit berjaya dijual.


BUKAAN pintu yang luas untuk memudahkan proses keluar masuk kenderaan.


Di Malaysia yang kenderaan import sepenuhnya (CBU) memang mahal, VGM memposisikan Sharan sebagai sebuah MPV premium. Ini bukan dakwaan semata-mata kerana Sharan hadir bersama pelbagai ciri yang membuatkannya lebih mewah berbanding MPV sekelas dengannya.

Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay menyifatkan Sharan sebagai sebuah MPV yang unik. Sharan memiliki semua inovasi terbaik Volkswagen. Nilai tambahnya juga terletak pada rekabentuk menarik, ciri-ciri termaju dan sistem keselamatan. Di samping teknologi termasyur Volkswagen, enjin TSI turbocharged dan kotak gear berkembar Direct Shift Gearbox (DSG).

"Jadi, selain bersifat versatil untuk membawa seisi keluarga, MPV ini juga menawarkan pemanduan sporty," kata Ricky.

Berdasarkan kepada penampilan luaran, rekaan Sharan terbaharu itu nyata lebih menarik. Ia merupakan hasil tangan Ketua Perekabentuk Kumpulan VW, Walter de Silva dan Ketua Perekabentuk Jenama VW, Klaus Bischoff yang berpaksikan kepada DNA rekabentuk VW baharu.

Walaupun sekali pandang ia tetap berkotak seperti MPV lain, Sharan sebenarnya memiliki garis sisi yang kemas. Rekaan ringkas sebegitu bertujuan mencipta keseimbangan dan kelihatan energetik.

Rekaan itu tidak mengujakan saya. Namun kalau diikutkan, pembeli kenderaan sebegini tidak meletakkan rekaan sebagai kriteria terpenting untuk membelinya. Mereka lebih berminat kepada ruang dalaman luas, banyak ruang penyimpanan barang, tahan lasak dan menawarkan pengendalian yang stabil.

MPV itu tidak menggunakan teknik bukaan pintu konvensional. Ia sebaliknya diganti dengan pintu gelongsor yang boleh dikawal secara elektrik dengan hanya menekan butang pada rantai kunci. Satu ciri yang bagus jika anda terpaksa memakir di ruang sempit.

Satu lagi perkara yang semestinya disukai ramai ialah sistem bantuan ketika memakir kenderaan. Dikenali sebagai Park Assist 2.0, ia sangat berguna jika hendak memakir sama ada secara sejajar atau mengundur. Sistem itu dipertingkat lagi menerusi Park Distance Control (PDC) dan paparan kamera belakang.

Sebenarnya, inilah kali pertama Park Assist 2.0 dipasang pada kenderaan VW. Jadi, kalau dengan Park Assist 2.0 pun kereta boleh kemek, mungkin ada baiknya beli Perodua Viva sahaja.

Sesuai dengan statusnya sebagai MPV mewah, tempat duduk Sharan yang boleh menempatkan tujuh orang penumpang dewasa dengan selesa (termasuk tempat duduk baris ketiga) itu dibalut dengan kulit 'Vienna'.


ANDA boleh mengharapkan kualiti pemanduan yang responsif menerusi padanan enjin TSI 2.0 liter dan kotak gear DSG enam kelajuan automatik.


Kalau hendak mengangkat barang besar dan mahukan ruang kargo luas, lipat sahaja tempat duduk baris kedua dan ketiga. Operasinya juga mudah dengan hanya menarik satu tuil. Sekelip mata, ruang itu menjadi seluas 2,430 liter.

Tech Package

Papan pemuka yang berwarna hitam itu diserikan dengan kemasan berwarna perak titanium pada bingkai corong pendingin hawa, sistem audio dan butang kawalan. Sistem audio RNS510 dengan skrin sentuh pula diintegrasi bersama sistem navigasi yang turut boleh membaca fail daripada sumber kad SD.

Sementara pacuan DVD memiliki kapasiti simpanan fail mencecah 30GB. Maklumat navigasi dan audio dipapar menerusi paparan TFT. Sistem sama dipertingkat menerusi peranti antara muka MEDIA-IN bersama satu kabel adapter USB dan opsyen AUX-IN.

Bagi memudahkan pemanduan, Sharan dibekalkan dengan stereng multi fungsi dengan butang kawalan. Pemandu juga kekal berhubung dengan kenderaan melalui paparan multi fungsi 'Plus' yang diletakkan pada bahagian meter .

Jika di pasaran lain, misalnya United Kingdom Sharan ditawarkan sehingga 14 varian yang dibezakan menerusi pilihan enjin dan aksesori, VGM sebaliknya hanya menawarkan dua varian Sharan untuk pengguna Malaysia. Varian itu dibezakan oleh pakej teknologi atau Tech Package.

Pakej tersebut merangkumi Adaptive Chassis control (DCC), sistem bunyi premium DYNAUDIO dengan lapan pembesar suara berkuasa 800 watt, sistem kunci 'Keyless Access', sistem penghidup serta sistem amaran 'Lane Assist'.


PINTU gelongsor pada kedua-dua belah sisi yang bergaya dan praktikal.


Biarpun begitu, kedua-dua varian itu menerima aspek mekanikal yang sama. Sharan dipacu menggunakan enjin bersesaran 2.0 liter TSI turbocharged. Enjin dengan sistem pancitan terus yang turut digunakan oleh model Golf GTI itu mampu menjana kuasa sehingga 200PS @ 5,100rpm dan tork puncak 280Nm yang boleh diperoleh pada putaran enjin serendah 1,700rpm hingga 5,000rpm.

Enjin bercekapan tinggi itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan DSG. Ia bukan sekadar menawarkan pemanduan yang lancar, malah penjimatan penggunaan bahan api dengan catatan 8,5 liter untuk setiap 100 kilometer.

Jadi, jika anda merancang untuk membeli sebuah MPV bersaiz penuh yang mewah, ada baiknya singgah sebentar ke mana-mana bilik pameran VW. Anda mungkin berkenan dengan Sharan.

Toyota Avanza Mahu kembali popular

Posted: 10 Mar 2012 03:34 AM PST


VARIAN Sport 1.5S dilengkapi dengan bodykit Aero untuk kelihatan lebih sporty bagi menarik minat golongan muda.


SAMA ada kita sedar atau tidak, pasaran tempatan sekarang menawarkan banyak pilihan untuk segmen kenderaan pelbagai guna (MPV). Sama ada mewah atau mampu milik, kebanyakan pengeluar tahu minat pengguna terhadap kenderaan sebegitu semakin berkembang.

Antara sebab kenapa MPV sangat digemari adalah kerana sifatnya yang boleh membawa ramai penumpang, ruang kargo luas dan kualiti pemanduan tidak jauh berbeza dengan kereta. MPV juga menyebabkan orang sudah tidak kenal lagi kereta wagon, sedangkan ia menggunakan formula sama. Lazimnya, platform sedan yang ditambah dengan ruang luas ke belakang.

Populariti MPV juga banyak disumbang oleh kelompok keluarga muda. Maksudnya, apabila sudah dapat anak seorang, sudah sibuk hendak beli MPV. "Senang sikit, besar dan selesa untuk budak-budak," komen seorang rakan yang sudah tidak sabar menunggu Proton Exora yang ditempahnya bulan lepas.

Di Malaysia, fenomena MPV mampu milik dicetuskan oleh model keluaran Toyota, Avanza, pada Oktober 2004. Selepas selesa sebagai peneraju pasaran selama beberapa tahun, segmen MPV murah kemudian disertai oleh oleh model-model jenama bukan nasional lain seperti Nissan Grand Livina dan Chery Eastar.

Situasi pasaran menjadi semakin meriah apabila Proton dan Perodua turut menawarkan MPV masing-masing. Dengan harga yang murah dan status sebagai kereta nasional, Alza dan Exora mudah menjadi pilihan pengguna.

Avanza sebenarnya adalah antara model yang dibina Toyota untuk pasaran negara-negara membangun dalam projek yang diberi nama IMV (Innovative International Multi-Purpose Vehicles).

Selain Avanza, Innova (MPV), Hilux (trak pikap) dan Fortuner (SUV) juga termasuk dalam projek IMV. Konsep IMV ringkas, membina kenderaan pada skala global dengan kos paling minimum menerusi sumber Toyota yang cukup luas.

Untuk kekal relevan Toyota menerusi UMW Toyota Motor melancarkan Avanza generasi kedua pada bulan lalu. Berbeza dengan generasi sebelumnya, Avanza itu diimport dari Indonesia dan tidak lagi dipasang di kilang Perodua di Rawang Selangor.

Jadi, spesifikasinya tidaklah terlalu misteri kerana Avanza itu sudah dilancarkan di Indonesia pada tahun lalu. Maklumatnya pun sudah banyak di laman-laman web. Perubahan paling ketara adalah dari segi penampilan luarannya. Banyak benar lekuk dan alur pada tubuh Avanza, lebih unsur tiga dimensi (3D), kata Toyota. Hasilnya, ada yang suka dan ada pula yang tidak boleh terima.


PAPARAN papan pemuka Avanza yang diserikan dengan kemasan berwarna perak.


Kali ini, Avanza ditawarkan dalam empat varian yang dibezakan menerusi figurasi enjin, 1.5 liter atau 1.3 liter, selain aksesori yang ada padanya.

Avanza masih mengekalkan konfigurasi pacuan roda belakang. Walaupun ia menawarkan tahap pengendalian dan kestabilan lebih baik, jangan pandai-pandai pula hendak membuat aksi drift.

MPV itu seronok dipandu di bandar. Kuasa torknya jelas terasa, tambahan pula tubuh Avanza 20 kilogram lebih ringan berbanding model sebelumnya. Bagaimanapun, ketika meluncur di lebuh raya anda boleh mendengar bunyi angin dan enjin yang agak ketara, terutama selepas melepasi takat 110 kilometer sejam (km/j).

Enjin bersesaran 1.5 liter VVT-i itu dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan. Maka, kalau hendak memotong atau tiba-tiba pedal minyak ditekan keras, dengar sahaja ngauman enjin ketika jarum meter rpm beralih ke angka 4,000 hingga 5,000rpm untuk memperoleh kuasa.

Bagi pemandu yang bertubuh sederhana, anda mungkin sukakan posisi kedudukannya yang tinggi. Justeru, apa jua yang berlaku di sekeliling kenderaan dapat dilihat dengan mudah.

Saya tidak ada isu dengan ruang dalamannya. Rekaan papan pemukanya ringkas dan kemas, membuatkan semua butang kawalan mudah dicapai serta dioperasi. Seperti biasa, MPV itu menawarkan ruang kabin yang luas. Jika terpaksa mengangkut barang yang besar, turunkan sahaja tempat duduk baris kedua dan ketiga, selesai masalah.

Pendek kata, Avanza masih boleh berfungsi sebagai sebuah MPV yang mampu memenuhi keperluan pengguna yang kurang cerewet. Memandangkan ia berjenama Toyota, maka Avanza tetap akan ada pengikut setianya.

Jaguar XK Artisan

Posted: 10 Mar 2012 03:32 AM PST


JAGUAR XK yang menggunakan kerangka aluminium ini lebih ringan dan kukuh.


SETIAP model Jaguar XK memiliki kombinasi lanjutan kejuruteraan dan kemewahan. Tidak terkecuali buat produk edisi khas XK Artisan. Varian itu didatangkan sebagai jentera coupe dan kereta berhud.

Dikenali sebagai peneraju dalam industri dengan teknologi aluminium, Jaguar telah mengadun material berkenaan ke dalam pembinaan kerangka jenis monokok. Teknologi itu menawarkan kekuatan dan ketegaran kerangka, pada masa sama mengurangkan berat jentera.

Ruang kabin Artisan yang didominasi dengan material kulit turut dilengkapi sistem audio Bowers & Wilkins 525W, pemanas kerusi 16 cara, pemanas stereng dan kemasukan tanpa kunci.

XK Artisan didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan perak. Ia turut dilengkapi rim aloi bersaiz 20 inci baharu.

Enjin yang digunakan ialah jenis aspirasi biasa dengan sistem pancitan terus 5.0 liter yang berupaya menghasilkan kuasa maksimum 385PS. Harga di atas jalan bagi model Coupe ialah £77,350 (RM369,742). Sementara varian Convertible ditawarkan pada harga £82,500 (RM394,360) seunit.

Tenang di atas rumah bot

Posted: 10 Mar 2012 03:31 AM PST


RUANG dapur yang lengkap dengan segala peralatan untuk memasak dan dijaga bersih ini terletak di tingkat bawah rumah bot.


MENYEBUT nama Hutan Royal Belum, Perak, pasti ramai yang berasa kagum dengan keindahan persekitarannya. Jauh daripada pencemaran, kehijauan alam semula jadi hidup dengan subur di kawasan tersebut.

Ia merupakan sebuah hutan dara yang luas iaitu kira-kira 300,00 hektar dan diiktiraf di antara kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung Malaysia.

Namun siapa sangka, di sebalik kekayaan flora dan faunanya, hutan itu juga kaya dengan sumber ikan air tawar asli seperti toman, sebarau, temoleh, lampam, baung dan juga kelah.

Tidak hairanlah jika saban minggu lokasi itu menjadi tumpuan penduduk kampung yang mencari rezeki di samping kaki pancing dari seluruh negara.

Bagi yang berminat dan mahu meneroka pengalaman memancing di atas bot yang selesa dan santai, bolehlah menyewa houseboat (rumah bot) milik Belum Rainforest Resort (BRR).

Berkonsepkan bot dan rumah penginapan, kemudahan yang menelan perbelanjaan sebanyak RM700,000 itu membuatkan tetamunya terasa seperti sedang menaiki sebuah kapal persiaran mewah.

Keselesaan

Sepanjang perjalanan menyelusuri Tasik Banding menuju ke hutan itu, pengunjung pasti terpukau pada kehijauan hutan hujan yang berusia lebih 130 juta tahun itu.

Setinggi dua tingkat, bot ini lengkap sebagai sebuah penginapan yang menjanjikan keselesaan kepada pemancing.

Bahagian bawah bot itu menempatkan ruang dapur dan meja makan. Sementara itu, di tingkat atas pula, terdapat empat buah kabin utama yang menempatkan katil dan dua buah bilik air yang dilengkapi pemanas air.

Bahagian atas bot pula khusus untuk acara santai termasuk dapur khusus untuk aktiviti barbeku.

Anda juga tidak perlu bersusah payah untuk menyediakan makanan kerana pihak BRR turut membawa dua orang tukang masak untuk menyediakan pelbagai hidangan enak.


BERKONSEPKAN bot dan rumah penginapan, rumah bot BRR memberi pengalaman pelayaran umpama menaiki sebuah kapal persiaran mewah.


Jika bernasib baik dan berjaya 'menaikkan' ikan ketika menjalankan aktiviti memancing, pengunjung boleh meminta tukang masak berkenaan menghidangkannya mengikut selera masing-masing.

Permainan

Aktiviti di atas bot tidak terbatas dengan memancing semata-mata. Bagi mengisi waktu santai, penginap boleh mencuba beberapa permainan dalaman seperti karom, dam, catur termasuk fusbal. Set karaoke turut disediakan buat mereka yang mahu menyerlahkan bakat terpendam.

Jika ingin menyertai riadah akuatik, kayak turut disediakan bagi membolehkan pengunjung mengelilingi kawasan tasik dan melakukan pelbagai aktiviti di sekitarnya.

Kesempatan menjejakkan kaki di kawasan daratan membolehkan penginap rumah bot mengikuti aktiviti merentas hutan untuk mencari bunga raflesia dan melawat sira iaitu tempat haiwan seperti gajah mendapatkan sumber garam mineral.

Pihak pengurusan rumah bot BRR tidak lupa akan tanggungjawabnya terhadap alam sekitar. Penginap sering diingatkan supaya tidak melakukan sebarang bentuk pencemaran.

Sehubungan itu, semua sisa kumbahan dan makanan seperti najis manusia, minyak dan sampah tidak akan dibuang ke dalam tasik sebaliknya dibawa kembali ke jeti untuk dilupuskan mengikut cara yang mesra alam.

Bagi mereka yang berhasrat untuk merasai sendiri keunikan bercuti di atas rumah bot tersebut bolehlah mengumpulkan ahli keluarga atau rakan-rakan seramai 15 orang dan melakukan pelbagai aktiviti mengikut pakej yang telah ditentukan.

Rumah bot itu boleh disewa pada kadar RM3,500 untuk pakej dua hari satu malam atau RM5,500 untuk pakej tiga hari dua malam. Dengan berkongsi tanggungan kos tersebut beramai-ramai, tentulah ia tidak membebankan malah keseronokan gaya penginapan unik tersebut dapat dinikmati sepuas-puasnya!.

10 lokasi sukan ekstrem dunia

Posted: 10 Mar 2012 03:30 AM PST


ACARA-ACARA dalam Sukan X kini semakin popular di seluruh dunia.


SUDAH menjadi lumrah, setiap manusia suka menguji had dan kemampuan diri sendiri. Lebih mencabar aktiviti itu, semakin ia diminati.

Dalam usaha menyemarakkan semangat kesukanan, penasihat pelancongan dalam talian Cheapflights (www.cheapflights.com) menyenaraikan beberapa lokasi pertandingan sukan paling ekstrem di dunia khusus bagi mereka yang sentiasa dahagakan cabaran dan gemar menguji adrenalin.

1 Iditarod Trail Sled Dog Race - Alaska

Digelar sebagai lokasi perlumbaan luncur salji dengan anjing terbaik di dunia, Iditarod Trail pada asalnya merupakan laluan untuk menghantar bekalan kepada penduduk di sekitar Alaska, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, apabila virus difteria merebak di negeri itu pada tahun 1925, kira-kira 20 peluncur salji dengan anjing telah berkejar ke Anchorage untuk mendapatkan antiserum.

Sejak tahun 1973 sehingga kini, lokasi itu menjadi tumpuan peserta perlumbaan luncur salji dengan anjing dari seluruh dunia. Ditemani 12 hingga 16 ekor anjing, mereka akan berlumba sejauh 1,150 kilometer bermula dari Anchorge ke Nome.

Dalam pertandingan itu, kemampuan mental dan fizikal peserta diuji untuk melepasi laluan sukar melepasi kawasan tundra, hutan yang gelap-gelita dan laluan curam dan berbatu-batu.

Jika itu belum cukup menggoda, pertandingan yang sama pada 3 Mac lalu diiktiraf antara paling mencabar kerana berlangsung dalam keadaan cuaca ekstrem di bawah paras beku apatah lagi, waktu siangnya adalah jauh lebih singkat.

2 Hell's Gate - Il Ciocco, Tuscany, Itali

Terletak jauh di kawasan pergunungan indah di Tuscany, ia merupakan lokasi bagi pertandingan sukan motocross merentas desa (enduro) yang paling sukar di dunia dikenali sebagai Hell's Gate.

Perlumbaan yang diperkenalkan oleh legenda enduro dunia Fabio Fasola pada tahun 2006 itu bertujuan memisahkan situasi biasa di dalam sukan itu kepada cabaran yang lebih ekstrem dan menakjubkan.

Diadakan setiap tahun, Hell's Gate sememangnya menjanjikan cabaran getir kepada setiap peserta. Pada tahun 2010, daripada 103 penyertaan yang diterima hanya dua peserta sahaja yang berjaya menamatkan keseluruhan cabaran.

3 Ice Climbing World Cup - Kirov, Rusia

Mendaki tebing batu, mungkin merupakan antara sukan lasak yang popular pada hari ini.

Bagaimanapun, apabila berbicara pendakian tebing batu yang diselaputi ais yang sejuk dan dingin, pasti ramai yang menggelengkan kepala.


MEMASUKI edisi ke-80 tahun ini, 24 Hours of Le Mans sentiasa ditunggu-tunggu oleh para peminatnya di seluruh dunia.


Berlumba mendaki tebing ais dengan menggunakan dua batang penukul di tangan dan kasut berpaku mungkin kelihatan tidak begitu menyelesakan bagi sesetengah orang. Namun, ia merupakan lumrah yang perlu dilalui setiap peserta.

4 Crashed Ice World Championship - Quebec City, Kanada

Ia merupakan salah satu pertandingan paling popular dan ditunggu-tunggu setiap kali ketibaan musim sejuk.

Ketika bertanding, peserta yang berpakaian lengkap seperti atlet sukan hoki ais itu akan berlumba sesama sendiri di atas trek yang disediakan.

Tampak mudah, namun ia tidaklah sesenang yang disangkakan, lebih-lebih lagi apabila peserta perlu melalui laluan selekoh tajam dan beberapa halangan yang memerlukan mereka melompat dan sebagainya.

Siri terakhir pertandingan itu berlangsung di Quebec City, Fairmont Le Chateau Frontenac pada tahun lalu dan dihadiri lebih 100,000 penonton yang membanjiri sekitar laluan di Rue des Carrieres.

5 Billabong Rio Pro - Rio de Janeiro, Brazil

Bertarung nyawa daripada ditelan ombak ganas dan menjulang beberapa meter tinggi di udara dengan sebuah papan luncur hanya mampu dilakukan oleh peluncur-peluncur profesional yang gilakan suntikan adrenalin.

Persekutuan Siri Jelajah Luncur Profesional yang bertanggungjawab menganjurkan pertandingan itu saban tahun di seluruh dunia menjanjikan cabaran luar biasa kepada peserta tidak kira sama ada ia diadakan di Gold Coast, Australia atau di Banzai Pipeline di Hawaii.

Tahun ini pertandingan itu bakal diadakan di Brazil dengan menawarkan hadiah lumayan sebanyak AS$500,000 (RM1.5 juta).

6 24 Hours of Le Mans - Le Mans, Perancis

Siri perlumbaan kereta tertua di dunia itu kini memasuki edisi ke-80 yang bakal diadakan pada 16 hingga 17 Jun nanti.

Helah untuk memenangi pertandingan itu tidak sahaja terletak kepada kelajuan semata-mata sebaliknya, turut melibatkan keperluan mekanikal kenderaan terutama sistem tayar dan brek yang mudah terjejas di samping stamina tiga pemandu utama di dalam pasukan.

Peserta perlumbaan lazimnya dilepaskan pada pukul 4 petang. Deruman enjin kenderaan dan sorakan penonton akan terus bergema di litar sehingga pukul 4 petang keesokkan harinya.

7 Race Across America - Oceanside, Maryland, Amerika Syarikat

Jarak kayuhannya melebihi satu pertiga daripada jarak kayuhan perlumbaan basikal paling berprestij di dunia, Tour de France.

Mencabar minda, menguji stamina dan daya tahan tubuh, itulah keistimewaan pertandingan Race Across America apabila peserta perlu berkayuh sejauh 4,800 kilometer dari California ke Annapolis.

Berbanding perlumbaan basikal biasa yang mempunyai beberapa fasa perlumbaan, Race Across America berlangsung tanpa henti.

Dimulakan pada tahun 1982, pertandingan itu terbuka kepada semua kategori, asalkan setiap pelumba berjaya menamatkannya dalam tempoh kurang daripada sembilan hari.

Pemenang kategori individu lazimnya ditentukan bagi pelumba yang berjaya mengekalkan rentak kayuhan terpantas sepanjang pertandingan di mana memerlukan mereka berkayuh sehingga 22 jam sehari.

8 The X Games - Los Angeles, California, Amerika Syarikat


BERLARI dalam cuaca ekstrem sehingga 217 kilometer antara cabaran yang perlu dilalui dalam Badwater Ultramarathon.


Sekiranya anda terlepas menyaksikan pertandingan Winter X Games atau aksi luar biasa, peluncur salji terkenal, Shaun White di Colorado pada awal tahun ini, usah risau kerana anda masih boleh melihat aksi yang sama pada pertandingan Summer X Games yang diadakan di Los Angeles pada Ogos nanti.

Pertandingan sukan X semakin berkembang dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini sehingga turut menarik beberapa negara seperti Perancis dan China untuk menganjurkannya.

Pada pertandingan tahun ini, ia turut melibatkan beberapa acara popular seperti perlumbaan motocross, rali, BMX dan papan luncur.

9 Badwater Ultramarathon - California, Amerika Syarikat

Pertandingan itu bermula dari Death Valley, Badwater Basin yang terletak kira-kira 85.3 meter di paras bawah laut dan berakhir di puncak Gunung Whitney setinggi 2,500 meter membabitkan jarak sejauh 217 kilometer.

Diiktiraf sebagai pertandingan maraton paling sukar di dunia, Badwater Ultramarathon menguji keupayaan peserta berlari untuk jangka masa panjang di samping berdepan dengan cuaca panas di Death Valley yang mampu mencecah sehingga 54 darjah Celcius.

10 Artistic Wingsuit Competition - Siofolk, Hungary

Bagi mereka yang beranggapan sukan payung terjun bukan lagi satu cabaran yang menggerunkan, apa kata mencuba wingsuit flying (sukan terjunan bebas dengan suit khas).

Terbang bebas di udara umpama seekor burung atau terapung pada ketinggian yang menggerunkan, sukan itu mula dipopularkan menerusi filem Transformers: Dark Side of the Moon.

Golongan yang nekad melakukannya, akan menaiki pesawat sebelum melakukan terjunan pada ketinggian beberapa ratus meter di udara, membuka payung terjun dan mendarat di bumi.

Seperti juga sukan payung terjun, wingsuit flying menjanjikan pelbagai aksi, formasi dan kreativiti yang mengagumkan.

Menguji kelasakan di Gua Damai

Posted: 10 Mar 2012 03:29 AM PST



RASA gayat dan darah gemuruh memang sukar dibendung, lebih-lebih lagi apabila menyertai aktiviti yang melibatkan ketinggian. Namun, itulah keterujaannya apabila kita mencabar kebolehan diri.

Itulah yang dialami penulis ketika menyertai aktiviti sukan ekstrem di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Aktiviti itu turut disertai kumpulan media dan empat pelancong dari Perancis serta beberapa orang pemandu pendakian termasuk pengurus Taman Ekstrem Gua Damai dan Konsultan Wira Adventure, Mustapha Al Bakri Omar.

Pada mulanya, eksplorasi itu adalah sekadar untuk membuat sesi temu bual dengan beberapa pendaki, tetapi akhirnya penulis terpaksa menyertai aktiviti yang dijalankan kerana perlu mencatat kronologi eksplorasi berkenaan.

Eksplorasi Gua Damai yang mengambil masa sehari bermula dari pukul 10 pagi dengan aktiviti merentas dan mendaki hutan Gua Damai mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum tiba ke White Wall dan Red Rock yang merupakan kawasan untuk aktiviti rock climbing.

Pendakian mungkin mengambil masa lebih singkat bagi mereka yang berpengalaman, tetapi disebabkan kumpulan yang disertai penulis rata-ratanya adalah mereka yang jarang bersukan, perjalanan menjadi agak perlahan.

Malah, sehari sebelum aktiviti itu dijalankan, hujan turun dengan lebat menyebabkan laluan berbukit agak licin menyebabkan beberapa peserta tergelincir. Tetapi itu adalah lumrah pendakian.

Dari tembok White Wall berkenaan, kumpulan kami meneruskan aktiviti merentas dan mendaki menuju ke Lembah Maut. Terdapat pelbagai spesies herba hidup liar di sepanjang perjalanan. Antara yang sempat kami temui ialah tengkuk biawak, tongkat ali hitam dan sehelai sedaun.

Flying terpanjang di Malaysia

Kemudian, perjalanan berhenti seketika untuk berehat selama lima minit di Puncak Berangin sebelum turun ke Lembah Maut melalui Gua Anjing untuk sampai ke platform flying fox di Gua Kristal. Ia merupakan trek flying fox terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 250 meter.


MUSTAPHA memastikan kelengkapan flying fox berada dalam keadaan baik sebelum memulakan aktiviti berkenaan.


Penulis yang tidak pernah mencuba aktiviti itu akibat gayat terpaksa melakukannya untuk turun ke dataran kem yang merupakan lokasi perhentian berikutnya. Dengan perasaan berdebar-debar, penulis berharap tiada yang terkejut mendengar jeritan penulis.

Bagaimanapun, rasa gementar itu hilang sebaik sahaja penulis melepaskan kaki di platform kerana panorama sekeliling yang mendamaikan membuatkan jarak 250 meter begitu cepat berakhir!

Selepas makan tengah hari di dataran kem bersama semua peserta, kami mendaki semula melalui platform berkenaan dan memasuki Gua Ichibawa untuk aktiviti jelajah gua yang mengambil masa kira-kira sejam.

Penjelajahan Gua Ichibawa bermula dengan aktiviti merangkak melalui ruang yang sempit untuk sampai ke ruang (chamber) utama yang luas dan mempunyai beberapa bahagian tertentu.

Di ruang itu, Mustapha yang mengetuai kumpulan menerangkan serba sedikit mengenai pembentukan gua seperti stalagtit dan straw yang terhasil daripada pembentukan mineral hidup serta batu alir (flowstone) yang merupakan mendapan kalsium karbonat atau mineral lain yang terbentuk oleh air yang mengalir di dinding atau lantai gua.

Di dalam Gua Ichibawa juga, para peserta diminta untuk bertafakur selama seminit tanpa membuat sebarang pergerakan dan bunyi, malah semua lampu suluh ditutup. Ketika ini, barulah para peserta dapat merasai tekanan udara di dalam gua kerana telinga berasa berdesing, malah bunyi titisan air yang jatuh dari bumbung gua amat jelas kedengaran.

Selepas berakhir aktiviti menjelajah gua, para peserta dibawa mendaki Gua Cili Padi dan kemudiannya memasuki Gua Pokok Besar (Big Tree) menggunakan teknik abseilling setinggi 65 meter.

Penulis hampir tidak mahu menyertai aktiviti ini kerana bimbang gagal mengawal tali dan keadaan gua yang sangat gelap di samping dinding yang tidak sekata. Malah, di tengah-tengah aktiviti itu, terdapat lubang yang besar sehingga ke lantai gua di mana peserta akan tergantung dan perlu mengawal tali dengan cekap.


GHISLAINE mencuba aktiviti abseiling buat pertama kali dengan berhati-hati.


Semua peserta menyertai aktiviti ini kecuali seorang peserta dari Perancis yang terpaksa menunggu di pintu gua sebelum semua peserta kembali menuruni Gua Pokok Besar dan melakukan aktiviti abseiling sekali lagi setinggi 24 meter untuk tiba ke tempat permulaan aktiviti ekplorasi berkenaan menandakan tamatnya aktiviti pada hari itu sekitar pukul 5 petang.

Bagaimanapun, penulis dan beberapa yang lain tidak menyertai aktiviti terakhir dan memilih untuk menggunakan tangga yang disediakan kerana sudah kepenatan dan sakit tapak tangan akibat memegang tali abseiling terlalu kuat.

Dibuka setiap hari

Menurut Mustapha, Taman Ekstrem Gua Damai dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. Selain pakej aktiviti sukan ekstrem ditawarkan, taman berkenaan dibuka untuk aktiviti santai bersama keluarga secara percuma.

"Beberapa pakej ditawarkan antarannya kursus rock climbing asas tahap 1, eksplorasi Gua Damai, pengurusan tali halangan, pendakian dan paintball.

"Pengunjung juga boleh memilih aktiviti yang mereka suka sama ada mendaki, flying fox atau abseiling yang dikenakan caj-caj tertentu untuk aktiviti separuh hari," katanya.

Katanya, Taman Ekstrem Gua Damai menerima kunjungan kira-kira 400 orang pencinta sukan ekstrem dengan 20 peratus daripadanya adalah pelancong luar.

"Kesemua kelengkapan dan kemudahan ini lengkap sepenuhnya sejak tahun 2004 termasuk gazebo dan trek untuk berbasikal dan jogging," katanya.

Dalam pada itu katanya, terdapat lima buah gua penting di Gua Damai iaitu Gua Anjing, Gua Kristal, Gua Pokok Besar, Gua Ichibawa dan Gua Cili Padi, tetapi hanya Gua Kristal yang tidak dimasukkan ke dalam senarai eksplorasi kerana mengambil kira keadaan gua yang agak usang.

"Hanya mereka yang gemarkan aktiviti meneroka gua sahaja memilih untuk menjelajah gua ini bagi tujuan penyelidikan kerana keadaannya kurang stabil dan sempit," katanya.

Ujar Mustapha, untuk pakej eksplorasi Gua Damai, perjalanan secara keseluruhan membabitkan jarak sepanjang 2.5 kilometer dengan melalui aktiviti merentas dan mendaki, perjalanan terasa jauh.

"Untuk satu-satu pakej, jumlah peserta maksimum adalah 12 orang bagi menjamin keselesaan dan keselamatan. Setiap seorang mestilah memakai pakaian yang sesuai dan peralatan pendakian yang disediakan seperti memakai harness dan helmet.

"Mereka juga dimestikan menjaga kebersihan, tidak membawa bahan api dan tidak merokok untuk memastikan pemeliharaan gua," katanya.

Gemarkan flying fox

Sementara itu, pelancong dari Perancis, Bourrelly Ghislaine, 53, memberitahu, dia menggemari semua aktiviti eksplorasi yang disediakan lebih-lebih lagi aktiviti flying fox kerana ia adalah trek terpanjang yang pernah disertainya.


PARA peserta berehat sambil menunggu aktiviti abseiling di Gua Pokok Besar berakhir.


"Saya berasa takut pada mulanya, tetapi nekad untuk mencuba kerana rakan-rakan yang lain memberikan kata-kata semangat.

"Pada mulanya, saya sangat keletihan semasa aktiviti pertama iaitu merentas dan mendaki hutan Gua Damai sehingga terpaksa berhenti berkali-kali, tetapi selepas aktiviti flying fox dan berehat, saya aktif kembali," katanya.

Ey Angelique, 26, pula memberitahu, dia gemarkan suasana alam sekitar Gua Damai yang cantik dan berbeza berbanding di negaranya.

"Saya paling sukakan aktiviti flying fox di sini selain pernah mencuba sukan ini di negara saya. Tetapi, inilah kali pertama saya mengikuti eksplorasi gua dan pengalaman yang saya peroleh sangat menakjubkan," katanya.

Peserta tempatan, Chan Kin Hou, 48 pula berkata, dia sudah menyertai aktiviti sukan ekstrem sejak 25 tahun lalu, tetapi lebih kepada aktiviti mendaki dan merentas hutan.

"Saya bukanlah seorang yang gemarkan aktiviti menjelajah gua tetapi melalui pengalaman pertama meneroka gua di sini, saya dapat belajar banyak perkara mengenai gua," katanya.

Serap khasiat air panas

Posted: 10 Mar 2012 03:28 AM PST


KOLAM air panas ini digemari pengunjung yang datang pada waktu malam.


TERLETAK di dalam sebuah bandar kecil iaitu Baling, Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong merupakan satu tarikan pelancong yang harus dikunjungi di Kedah.

Ia bukan sahaja menawarkan pengalaman berendam di dalam kolam air panas yang luas, malah mempunyai bilik penginapan yang dilengkapi kemudahan selesa buat pengunjung.

Mereka yang bercadang melawat lokasi tersebut juga boleh merancang untuk menikmati percutian hujung minggu yang padat. Di sekitar Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong terdapat banyak lokasi pelancongan berhampiran seperti Air Terjun Lata Bukit Hijau, Air Terjun Celak, Kampung Iboi, Gua Batu Kapur, Gunung Baling dan Pemandangan Indah kawasan rawat dan rehat (R&R) Gunung Inas.

Terdapat dua pilihan keseronokan bagi pelibur yang mengunjungi destinasi popular tersebut. Kemeriahan suasana dapat dirasai di kolam air panas yang disediakan atau berendam di jeram semula jadi sambil menikmati suasana alam menghijau berlatarkan bukit-bukau di sekitar pusat rekreasi ini.

Rentas hutan

Selain menikmati rawatan air panas yang dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan, pengunjung juga boleh meredah hutan melalui denai-denai yang lazim direntasi para pelibur yang mahukan elemen lasak.

Sebagai ganjaran aktiviti itu, mereka boleh merasai kesejukan jeram air Lata Gading dan Lata Parit. Hutan Simpan Ulu Muda sememangnya menjadi medan untuk menguji kekuatan mental dan fizikal mereka yang gemarkan aktiviti sebegitu.

Tempat ini sungguh istimewa kerana ia dibuka 24 jam, lalu menjadikan ia satu-satunya kolam air panas yang menyediakan perkhidmatan sedemikian di Malaysia. Bagi yang sudah penat berendam, calet yang dilengkapi kemudahan asas turut sedia diinap.

Pihak pengurusan menyediakan enam buah calet berhawa dingin dan lapan buat dormitori berhawa dingin. Masing-masing mempunyai kemudahan bilik mandi, tandas dan tempat membasuh.

Calet VVIP ditawarkan pada harga RM350 untuk dua hari satu malam, manakala kadar sewa lain berharga di antara RM100 hingga RM200 untuk tempoh inap yang sama.

Sejarah

Bagi mereka yang mengetahui sejarah pembinaan kolam air panas di sini, pastinya mereka lebih teruja untuk datang melihat sendiri lokasi tersebut.

Diriwayatkan pada suatu ketika dahulu, nenda Sultan Abdul Halim iaitu Sultan Abdul Hamid telah berkenan untuk berkunjung dan bersiram di Kolam Air Panas Kampung Ulu Legong ini.

Justeru, penduduk kampung telah bergotong-royong membina kolam berbentuk segi empat daripada simen. Bahan-bahan binaan itu telah diangkut masuk ke kawasan berkenaan menggunakan gajah.

Bagaimanapun, tentera Jepun sekitar tahun 1940-an telah menjadikan persekitaran Kampung Ulu Legong sebagai salah satu kawasan operasi tentera yang merupakan laluan masuk dari Thailand. Sekitar tahun 1970-an pula ia digunakan sebagai markas operasi tentera oleh Angkatan Tentera Malaysia untuk memburu anggota komunis.

Pakej percutian seisi keluarga

Posted: 10 Mar 2012 03:28 AM PST



PAGI itu, laluan di sekitar Jalan Hulu Langat di sini sedikit sesak. Sebaik sahaja kenderaan memasuki Pekan Batu 9, aliran trafik mula bergerak perlahan.

Lazimnya, begitulah senario yang boleh dilihat di sekitar daerah Hulu Langat setiap kali cuti umum atau hujung minggu. Jumlah kenderaan khususnya dari arah ibu negara akan meningkat berkali-kali ganda daripada biasa.

Azman Ahad dan keluarganya tidak terkecuali. Mereka sekeluarga sedang dalam perjalanan menuju ke Lubuk Manggis, salah satu kawasan perkelahan yang semakin popular di daerah itu.

Di sana, beberapa rakan sepejabatnya dari syarikat penyelenggaraan, AWC Berhad dan ahli keluarga masing-masing sudah sedia menanti kehadirannya. Sememangnya pada pagi itu mereka sudah berjanji untuk menghadiri majlis barbeku yang akan diadakan di situ.

Dalam kesibukannya menyiapkan hidangan termasuk menu istimewa ayam panggang, Azman sempat memerhatikan sekeliling.

Ternyata, bilangan pengunjung ke lokasi itu semakin bertambah. Pondok-pondok rehat yang sebelum itu kosong telah mula dipenuhi pengunjung yang datang dari segenap ceruk kota.

Lokasi perkelahan

Hilai tawa anak-anaknya yang leka bermandi-manda dan bermain air jelas kedengaran dari cuping telinganya.

"Abang, adik, jom naik. Lepas makan nanti baru sambung mandi lagi," jeritnya dari atas tebing.

Biarpun pernah berkunjung ke beberapa kawasan perkelahan popular lain seperti di Ulu Yam, Janda Baik, Taman Lipur Rincing sebelum ini, namun Hulu Langat ternyata terlalu istimewa bagi Azman.

Boleh dikatakan hampir semua lokasi perkelahan popular di daerah itu seperti Hutan Lipur Sungai Congkak, Air Terjun Sungai Gabai, Hutan Lipur Sungai Tekala, Lubuk Manggis, Pangsung serta Hutan Lipur Gunung Nuang sudah dicubanya sebelum ini.


KEPELBAGAIAN tarikan pelancongan di sekitar Hulu Langat menyebabkan ia tidak pernah sunyi saban minggu.


"Kunjungan ke Hulu Langat ibarat menikmati satu pakej percutian yang lengkap untuk seisi keluarga.

"Pengunjung bukan sahaja boleh berkelah dan bermandi-manda malah boleh melakukan aktiviti lasak seperti menjelajah hutan, mendaki gunung atau menunggang basikal gunung," katanya yang kini mencecah usia 40 tahun.

Bapa kepada lima cahaya mata itu memberitahu, keunikan di daerah itu terletak kepada keindahan alam semula jadi serta suasana desa yang masih kekal terpelihara sehingga kini.

Tambah Azman, biarpun terhimpit dengan pembangunan pesat di sekitarnya seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun ia mengekalkan identitinya sebagai kampung di tengah-tengah kota.

"Di sini kita masih boleh melihat rumah-rumah tradisional Melayu yang berdiri megah di kiri dan kanan jalan.

"Jika musim buah pula, kawasan ini meriah dengan beraneka jenis buah-buahan tempatan," ujarnya.

Adat Perpatih

Terletak di kawasan seluas 840 kilometer persegi, Hulu Langat merupakan satu daripada sembilan daerah yang terdapat di Selangor. Ia terbahagi kepada tujuh mukim iaitu, Dusun Tua, Ampang, Cheras, Hulu Semenyih, Kajang, Semenyih dan Beranang.

Menurut cerita lisan, penduduk asalnya dipercayai terdiri daripada suku Orang Asli yang menjalankan aktiviti bercucuk tanam dan berburu.

Bagaimanapun, ketika Adat Perpatih mula berkembang di Negeri Sembilan, masyarakat Minangkabau dari negeri itu telah berhijrah ke Hulu Langat untuk memperluaskan pengaruh mereka.

Melalui jalan air, mereka telah tiba dan menetap di sekitar Dusun Tua. Ketika itu, rata-rata penduduknya menjalankan kegiatan ekonomi pertanian secara komersial dan memasarkan hasil pertanian ke kawasan perdagangan terdekat seperti Jelebu.


KEMUDAHAN yang lengkap memberi keselesaan kepada pengunjung di Air Terjun Sungai Gabai.


Kemajuan daerah itu dalam bidang pertanian turut menarik minat pedagang-pedagang Cina ketika pada era Yap Ah Loy. Mereka menggelarnya sebagai Air Hangat atau dalam loghat Cina disebut Air Langat berikutan kewujudan kolam-kolam air panas di sekitarnya.

Kini, Hulu Langat semakin pesat membangun. Penduduknya semakin bertambah dari setahun ke setahun. Bagi menampung keperluan itu, banyak taman perumahan dan lot-lot kedai serta perniagaan baharu turut dibuka.

Kemakmuran yang dinikmati di daerah itu juga menjadi rahmat kepada Jurifah Kadis, anak jati Kampung Jawa yang mengusahakan syarikat I.A.D.Z Enterprise.

Memperkenalkan aneka bahulu moden berperisa pandan, bertih coklat dan cacpucino serta bahulu gulung di bawah jenama Bahulu Classique, ia merupakan ole-ole yang wajib dibawa pulang tatkala berkunjung ke daerah itu.

Wanita berusia 44 tahun itu berkata, sejak memulakan perniagaan itu pada tahun 2001, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama di sekitar Lembah Klang.

"Sambutan yang tidak putus-putus dan di luar jangkaan, kadangkala menyebabkan ada dalam kalangan pelanggan terpaksa pulang dengan tangan kosong akibat kehabisan bahulu," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan bahulunya, Jurifah berkata, ia masih mengekalkan resipi tradisional asli yang digabungkan dengan elemen kotemporari dan moden.

"Aroma, rasa dan teksturnya masih sama, cuma kelainannya terletak kepada perisanya yang unik dan berbeza daripada bahulu biasa," jelasnya.

Ujarnya, setiap pek yang mengandungi 40 biji bahulu dijual pada harga RM10.

-"Menariknya selain pek biasa, pelanggan juga boleh memilih untuk mengisinya di dalam bekas-bekas khas yang sesuai dijadikan hadiah." katanya.

Restoran terapung

Jika perut berasa lapar, usah bimbang kerana terdapat pelbagai gerai dan restoran di sekitar daerah ini yang menyediakan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa.

Salah satu restoran yang boleh dicuba jika berkunjung ke sini ialah Teratak Ikan Bakar Sri Murni yang terletak di Batu 19, Kampung Jawa berhampiran lokasi perkelahan Air Terjun Sungai Gabai.

Beroperasi sejak 12 tahun yang lalu, restoran itu bukan sahaja menjadi tumpuan peminat-peminat ikan air tawar di negara ini, malah beberapa selebriti termasuklah Datuk Misbun Sidek.

Pemiliknya, Anuar Amin, 49, berkata, terdapat beberapa pilihan ikan yang ditawarkan seperti patin, baung, siakap dan tilapia yang dihidangkan secara segar mengikut selera pelanggan.


ANEKA hidangan yang lazat dan menyelerakan menggamit pengunjung ke Teratak Ikan Bakar Sri Murni.


"Setiap bulan kami menyediakan hampir dua tan ikan air tawar di restoran ini. Kesemuanya diperoleh daripada pengusaha-pengusaha di sekitar Hulu Langat," katanya.

Katanya, keistimewaan restoran itu juga terletak kepada konsep terapung dan suasana rimba yang ditawarkan di sekelilingnya.

"Selain menjamu selera, pelanggan juga berpeluang melihat ribuan ikan-ikan air tawar yang dipelihara di samping memberinya makan," ujarnya.

Dibuka setiap hari kecuali pada hari Khamis dari pukul 6 petang hingga 1 pagi, restoran itu yang mampu memuatkan lebih 250 orang pelanggan itu juga lengkap dengan kemudahan seperti tandas dan surau.

Nikmat destinasi di bumi India

Posted: 10 Mar 2012 03:27 AM PST


PANORAMA sekitar Kubu Ambar yang terkenal dengan seni bina lama dan aktiviti menaiki gajah.


PERCUTIAN ke luar negara sudah menjadi agenda tahunan saya sama ada bercuti bersama keluarga, teman rapat atau memenuhi undangan. Penghujung tahun lalu, saya dijemput untuk mengikuti percutian ke India oleh pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib selama 10 hari. Semestinya saya tidak melepaskan peluang itu kerana sudah lama ingin bercuti ke India, tetapi tidak berkesempatan.

Selain merupakan pengguna Jamu Mak Dara, saya dijemput kerana menjadi salah seorang selebriti yang banyak memberi sokongan kepada pembangunan Jamu Mak Dara. Rombongan itu disertai 10 orang termasuk stokis-stokis tertinggi Jamu Mak Dara.

Persinggahan pertama kami di India ialah Delhi. Tetapi, kami di sini sehari sahaja kerana keesokan paginya kami akan terus bergerak ke Jaipur.

Walaupun cuma sehari, saya dan ahli rombongan lain sempat berkunjung ke Pasar Sarojini Nagar dan bergambar di Gate of India. Saya mengambil peluang untuk membeli-belah di pasar Sarojini Nagar kerana di sana terdapat banyak barangan murah seperti sari dan aksesori.

Bagi mereka yang rajin meninjau, pasti akan terjumpa barangan yang sama dijual di Malaysia, tetapi harganya jauh lebih murah. Contohnya, aksesori barangan yang dibeli pada harga RM70 di Malaysia hanya RM3 di sana.

Keesokan paginya, kami bergerak menuju Jaipur dengan menaiki bas pelancongan yang disediakan. Perjalanan mengambil masa selama tujuh jam. Namun, saya tidak tidur kerana mahu menikmati pemandangan yang berbeza sepanjang perjalanan.

Jalan raya di sana agak teruk, tidak seperti jalan raya di Malaysia. Sebab itulah perjalanan mengambil masa yang panjang. Malah, kita dapat melihat banyak lembu tidur di tepi bahkan, di atas jalan raya!

Selain itu, bas juga perlu bersaing dengan kereta lembu dan memberi laluan kepada kereta-kereta lain. Jalan raya agak sibuk dan kenderaan di sana masing-masing akan menekan hon menyebabkan suasana agak bising.

Tetapi, barulah saya tahu bahawa menekan hon adalah budaya mereka supaya pemandu sentiasa peka dengan kehadiran kenderaan lain bagi mengelakkan kemalangan.

Batu permata di Jaipur

Jaipur sememangnya terkenal sebagai destinasi barangan perhiasan yang diakui seluruh dunia. Di sini, banyak kedai menjual batu permata dan aksesori seperti zamrud dan rubi. Banyak juga bengkel-bengkel kraf tangan yang membuat cincin dan memotong batu permata.


PENGANGKUTAN bot di Tasik Dal menjadi mata pencarian segelintir penduduk di Kashmir selain, menawarkan satu signatur percutian yang begitu indah.


Di Jaipur, kami singgah ke Istana Ambar (Amber Palace) yang merupakan monumen tinggalan sejarah unik kerana di dalamnya terdapat istana khas untuk musim sejuk dan musim panas yang berbeza suhu dalamannya.

Selain itu, makanan di sini sangat lazat dan menyelerakan. Saya dapat menikmati hidangan beriani ayam di The Palace Cafe yang mempunyai rasa asli India. Ia memang berbeza dengan beriani di Malaysia. Memang tidak dapat berdiet ketika di sini.

Di Jaipur juga kami berkunjung ke Kubu Ambar (Amber Fort) dan sempat menaiki gajah sambil menikmati pemandangan bandar lama yang indah dengan seni bina menakjubkan.

Keesokan harinya, kami kembali ke Delhi dan perlu melalui tujuh jam lagi perjalanan menaiki bas dan bermalam di Delhi. Kali ini, kami memesan makanan China kerana tidak sanggup lagi untuk makan makanan yang tinggi dengan lemak.

Keesokan harinya, kami menuju ke Lapangan Terbang Dehli untuk mengambil penerbangan ke Kashmir pula.

Dipukau kecantikan Tasik Dal

Kashmir adalah lokasi pelancongan yang sangat berbaloi dan menarik. Pemandangan di sana sangat cantik dan mendamaikan. Tiga hari di Kashmir seperti tidak cukup untuk bergambar dan membeli-belah.

Di sini, kami menginap di Houseboat yang dibina di atas Tasik Dal. Bot adalah pengangkutan utama bagi penduduk di sini yang tinggal di rumah atas tasik. Ia merupakan sumber mata pencarian segelintir penduduknya.

Sekiranya tidak membawa bot, sumber ekonomi penduduk di sana datang daripada pertanian dan perladangan. Ada penduduk yang menanam padi, mengusahakan ladang ceri dan epal.

Di Kashmir boleh dikatakan semua penduduknya mempunyai tanah masing-masing dan amat sukar untuk melihat peminta sedekah. Kalau ada pun, pasti datang dari tempat lain.

Mujur juga kami tidak datang pada musim sejuk kerana menurut pemandu pelancong, ketika musim sejuk Tasik Dal akan membeku dan menutup semua aktiviti pelancongan di sini.

Ketika di sana juga, barulah saya tahu kaum wanita Kashmir tidak keluar rumah lebih-lebih lagi pada waktu malam. Kalau dilihat pada waktu siang, mereka pasti berteman jika di luar. Kaum wanita di sana terkenal dengan sifat malunya.

Malah, ketika saya dan rakan keluar mengambil angin pada waktu malam kerana ingin melihat pemandangan malam di Kashmir, penduduk setempat yang melihat kami menyuruh kami pulang kerana risau dengan keselamatan kami.

Hari kedua di Kashmir, kami dapat berkunjung ke Jammu & Kashmir State Cable untuk menaiki kereta kabel tertinggi di dunia sambil menikmati pemandangan Gunung Gulmarg yang diliputi salji nipis.

Pelancong begitu ramai di sana menyebabkan kami terpaksa beratur panjang, malah ada pelancong yang memotong barisan kerana tidak sabar menunggu. Sebaik sahaja sampai di stesen di Gunung Gulmarg, saya begitu teruja memanjat pergunungan yang tidak curam untuk bermain ais dan bergambar.

Percutian di Kashmir memang memenatkan, tetapi pengalaman di sana begitu berharga.


TIDAK sah sekiranya tidak bergambar berlatar belakangkan Taj Mahal yang merupakan salah satu keajaiban dunia.


Di Kashmir juga, saya membeli-belah di kedai-kedai kain dan kraf yang terletak di atas Tasik Dal. Selain pakaian dan aksesori, Kashmir terkenal dengan karpet dan selendang buatan tangan.

Di sini juga, terdapat restoran yang menjual makanan asli Kashmir iaitu roti Kashmir yang sangat enak dimakan dengan kuah dhal atau kuah yang dibuat menggunakan kacang kuda.

Belum puas bercuti di Kashmir, kami terbang pula ke Agra untuk berkunjung ke salah satu monumen yang diiktiraf sebagai salah satu keajaiban dunia iaitu Taj Mahal. Saya memang terpesona dengan keunikan seni bina dan kebersihan Taj Mahal.

Malangnya, kami hanya mempunyai masa dua jam di sini dan tempoh masa itu dihabiskan dengan menjelajah bahagian dalaman monumen itu dan mengambil gambar sebanyak mungkin untuk kenangan.

Kami tidak berpeluang menunggu sehingga matahari terbenam walaupun dikhabarkan ia adalah antara detik yang sangat indah. Ini kerana kata orang, Taj Mahal akan berubah warna kerana seni binanya mampu memantulkan cahaya matahari terbenam dan menghasilkan imbasan berwarna daripada batuan yang menghiasi dindingnya.

Mungkin lain kali, saya akan berkunjung ke sini lagi semata-mata untuk menyaksikan pemandangan itu.

Hotel persinggahan pengembara perniagaan

Posted: 10 Mar 2012 03:26 AM PST


D'TASIK menawarkan pengalaman gastronomi bersaksikan panorama tasik yang indah.


LOKASI yang agak tersorok dan tiada papan tanda jalan khas mungkin menyebabkan bangunan Hotel Residence di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) jarang dapat dilihat jika anda melalui jalan utama di Bangi, Selangor.

Namun, ia ternyata popular bagi pengembara bisnes atau mereka yang menjalankan tugasan luar kerana kemudahan berkaitan yang disediakan pihak hotel.

Di hotel inilah seminar-seminar dan majlis keramaian sering berlangsung. Ruang lobi yang luas membolehkan urusan pendaftaran secara berkumpulan yang ramai malah, memberi keselesaan kepada semua.

Sebanyak 20 bilik seminar disediakan di sini yang mampu menampung kapasiti antara 10 hingga 200 orang pada satu-satu masa. Bagi acara lebih besar, sebuah dewan majlis yang dinamakan Musytari Banquet Hall disediakan mampu memuatkan sehingga 600 orang tetamu.

Bukan sahaja menjadi tuan rumah seminar, hotel bertaraf tiga bintang itu tidak kurang dari segi hospitaliti bilik tetamu yang menepati keperluan penginapan yang selesa.

Sebanyak 164 buah bilik penginapan disediakan merangkumi bilik Deluxe, Superior dan Family Suite. Hiasan dalaman berkonsepkan kontemporari dengan penataan warna dinding dua tona yang kontras mewujudkan suasana bilik yang luas dan ceria.

Kemudahan lain yang disediakan ialah bilik perkhidmatan yang beroperasi sehingga jam 11 malam, pusat perniagaan, surau, talian Internet WiFi percuma dan tempat letak kereta yang luas sama ada terbuka atau berbumbung.

Hotel itu juga mesra untuk orang kelainan upaya (OKU). Ia telah menjadi pilihan penginapan oleh atlet paralimpik negara sejak tiga tahun berturut-turut.

Setiap bilik kini mempunyai kelengkapan merangkumi televisyen plasma, bar mini, Internet, perkhidmatan saluran Astro, sejadah, pengering rambut, seterika, kemudahan kopi dan teh serta akhbar-akhbar harian.

Restoran terapung

Menariknya di Hotel Residence, sebuah restoran terapung di atas tasik yang dinamakan D'Tasik Seafood Restaurant sedia menyambut tetamu hotel sama ada penginap mahupun pengunjung dari kawasan sekitar.

tarikannya tentu terletak pada seleksi hidangan makanan laut yang segar di samping pilihan menu ala carte. Restoran itu mempunyai ruang dewan tertutup yang mampu memuatkan 120 orang serta ruang terbuka berkonsepkan beranda rumah yang mampu menampung sehingga 250 orang.

Pilihan ikan, sotong, udang, ketam dan makanan laut lain boleh dipesan mengikut cita rasa masakan kegemaran masing-masing. Ia diuruskan oleh Pengurus F&B Residence Hotel Uniten, Azlan Su Abdullah, yang mempunyai pengalaman 25 tahun dalam bidang kulinari perhotelan.

Kemuncak keseronokan di restoran tersebut bermula pada pukul 8 malam dengan persembahan band secara live yang memainkan pelbagai lagu-lagu terkini termasuk lagu-lagu permintaan pelanggan.

Bagi mereka yang inginkan pengalaman menjamu selera secara bufet pula, Jupiter Coffehouse & Terrace yang boleh menampung kapasiti 600 orang turut menawarkan pemandangan tasik di ruang terbuka dan berhawa dingin.

Menambat selera tetamu dengan menu yang lazat, ia dibuka setiap hari bermula pukul 6.30 pagi hingga 10.30 malam untuk hidangan bufet dan ala carte.

Persembahan stroller band secara langsung pada waktu makan tengah hari turut ditawarkan kecuali pada hari Isnin.

Jentera lasak ke Hutan Belum

Posted: 10 Mar 2012 03:25 AM PST



PERJALANAN dengan kenderaan pacuan empat roda di atas Lebuh Raya Utara-Selatan dari Kuala Lumpur ke Hutan Belum, Gerik, Perak, ternyata belum mencabar kemampuan jentera off road itu.

Selepas lima jam di atas lebuh raya, sekumpulan peserta media yang mengikuti aktiviti Eco Trail anjuran syarikat pengeluar kenderaan terkemuka, DRB-HICOM akhirnya selamat tiba di kawssan aktiviti tersebut iaitu sebelum merentasi jambatan di Tasik Temenggor untuk ke Pulau Banding.

Sementara matahari belum terbenam pada petang 5 Januari lalu itu, peserta rombongan mengambil peluang menghayati keindahan alam dan merasai pengalaman menguji pacuan empat roda di sekitar laluan lazim di belantara tersebut.

Dalam cuaca redup, ada peserta mula berpeluh memikirkan tentang cabaran yang bakal dilalui di atas laluan berliku tanah merah.

Tepat 5.45 petang, semua peserta rombongan dibahagikan ke dalam 20 buah kenderaan pacuan empat roda dan SUV edaran DRB-HICOM seperti Honda, Audi, Mitsubishi, Mahindra, Suzuki dan Isuzu memulakan cabaran lasak itu.

Perasaan teruja pada awalnya, tiba-tiba berubah apabila baru 15 minit cabaran dimulakan.Ada juga yang kecut perut apabila melihat beberapa buah kenderaan sudah 'tersadai' di tepi bukit.

Dengan perasaan itu, penulis bersama jurugambar Utusan, Mohd. Noor Amin yang menaiki Honda CRV terasa tidak yakin mengemudi kenderaan itu Lebih-lebih lagi prestasi jentera yang agak 'semput' ketika cuba melalui bukit kedua dalam laluan hutan tersebut.

Tidak mengalah

Hakikatnya, ia bergantung pada teknik jentera itu dikendalikan. Tidak mahu mengalah di situ, kami terus 'mendesak' kenderaan itu untuk sampai ke bukit yang ketiga.

Kami sempat berehat seketika di situ untuk memikirkan cabaran keempat iaitu bukit terakhir dan boleh dikatakan sebagai bukit paling tinggi untuk didaki.


KEDATANGAN para peserta rombongan Eco Trail ke Kampung Orang Asli Chuweh disambut dengan perasaan ingin tahu dan teruja.


Bukit keempat sememangnya memberi cabaran hebat kerana tiga kali kenderaan kami mengundur di laluan curam berkenaan. Oleh sebab kehilangan momentum, akhirnya kami terpaksa mengalah untuk terus menggunakan kenderaan tersebut sampai ke puncak.

Salah seorang marsyal konvoi yang memantau para peserta tidak henti-henti memberi arahan dan panduan kepada kami untuk melepasi bukit itu.

"Tekan pedal minyak sampai habis. Tekan! Tekan! Tekan!," tempiknya sambil diiringi sorakan sokongan daripada para peserta lain.

"Tidak apa, letak kereta anda di tepi dan tunggu kenderaan belakang sampai untuk tumpang ke puncak," ujarnya selepas kami gagal beberapa kali.

Walaupun kecewa, kami dan peserta lain tetap terasa kehangatan cabaran itu walaupun suhu di Hutan Belum itu dingin sekali. Kami menemui beberapa peserta lain yang lebih dulu berada di kawasan rehat bukit keempat.

Mereka sebenarnya sudah lama 'tewas' dalam mengemudi kenderaan, lalu menumpang kenderaan yang dipandu marsyal ke puncak bukit.

Seorang rakan media memberitahu, hanya Honda CRV kami yang berjaya sampai ke bukit keempat. Beberapa buah Honda CRV lain lebih awal ditinggalkan kerana tidak berjaya melepasi bukit ketiga.

Setelah bersantai seketika sambil menikmati pisang goreng panas, semua pemandu diarahkan untuk memulakan perjalanan menuruni bukit pula.


KEDIAMAN rumah bot di atas sungai menarik perhatian peserta yang mengunjungi Hutan Belum.


Tidak sesukar perjalanan mendaki bukit, laluan menurun lebih cepat dan mudah. Para peserta juga tidak sabar untuk mengikuti aktiviti seterusnya.

Bunga terbesar

Bagi yang tidak pernah sampai ke Hutan Belum, pasti tidak mahu melepaskan peluang melihat segala keajaibannya dengan lebih dekat.

Sungguh bertuah para peserta konvoi Eco Trail DRB-HICOM kerana diberi kesempatan menyertai aktiviti merentas hutan dan mendaki untuk mencari bunga raflesia iaitu bunga terbesar di dunia.

Untuk melihat bunga itu, peserta perlu menaiki bot laju merentasi Tasik Banding lebih kurang 20 minit sebelum tiba di satu lokasi untuk memulakan treking hutan.

Kira-kira 30 minit mendaki cerun bukit, akhirnya para peserta menemui beberapa bunga raflesia yang tumbuh di lantai hutan.

Seorang pemandu pelancong yang dikenali sebagai Roslan memberitahu, bunga raflesia mengambil masa beberapa bulan untuk berkembang dan mati beberapa hari kemudian.

"Bukan senang nak tengok bunga ini. Hanya orang yang bernasib baik akan menemuinya ketika ia dalam keadaan mekar," katanya sambil menunjuk ke arah beberapa bunga yang masih belum kembang dan beberapa bunga yang sudah mati.

Walaupun tercungap-cungap mengatur nafas akibat letih mendaki, semua peserta tidak mahu melepaskan peluang melihat bunga parasit tersebut.

Tidak ketinggalan, para peserta juga berpeluang melawat Kampung Orang Asli Chuweh untuk mendalami gaya hidup suku Jahai yang serba ringkas dan 'akrab' dengan sumber semula jadi di sekeliling mereka.

Hubungan baik


BUNGA raflesia ini ditemui dalam keadaan begini kerana hayatnya yang hampir berakhir selepas mekar beberapa hari.


Konvoi tiga hari dua malam di Hutan Belum, Gerik, Perak yang melibatkan 20 buah pacuan empat roda dengan 40 peserta media dan 40 wakil dari pihak penganjur peserta media berjaya mengeratkan lagi hubungan dua hala.

Pengarah Urusan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil, dalam ucapannya pada majlis makan malam di Belum Rainforest Resort berkata, tujuan utama program diadakan untuk menghargai kerjasama rakan media dalam membuat laporan dan mengenai DRB-HICOM.

"Selama tiga hari di sini bersama rakan media, kami merasa gembira dapat berkongsi pandangan dan menceriakan anda dalam setiap program yang diatur," ujar beliau.

Pada malam terakhir, kakitangan dan pegawai urusan DRB-HICOM serta peserta media berhibur dalam aktiviti makan malam bertemakan tropika. Suasana riang mengisi suasana mengiringi persembahan nyanyian, lakonan, permainan dan kuiz.

Persediaan konvoi

Ketua konvoi Eco Trail kali ini, Y.S. Khong, mengakui bahawa aktiviti membawa kumpulan media mengharungi cabaran laluan tanah merah mempunyai cabaran tersendiri.

Katanya, tempoh tiga bulan diambil untuk memastikan kelancaran ekspedisi itu yang dijayakan bersama tidak kurang daripada lima orang pembantu.

Bukan sahaja menyediakan peta laluan, malah mereka terpaksa berulang-alik lebih dari tiga kali dari Kuala Lumpur ke Hutan Belum untuk memastikan semua peserta konvoi selesa dan selamat sepanjang aktiviti berkenaan.


Kehidupan serba ringkas sebegini di dalam belantara pasti disukai golongan pencinta alam semula jadi.


"Kami perlu pastikan laluan cabaran yang dilalui peserta tidak mengelirukan. Faktor keselamatan adalah perkara paling utama," ujar Khong yang ditemui dekat hentian akhir konvoi iaitu di Glenmarie Golf Club (GGC), Shah Alam, Selangor sekembalinya dari cabaran belantara itu.

Khong dan para pembantunya juga bertanggungjawab untuk menyediakan kelengkapan pemanduan seperti sistem kedudukan global (GPS) Garmin dalam setiap sebuah pacuan empat roda yang menyertai konvoi itu.

"Menetapkan peta laluan dalam Garmin juga suatu yang agak rumit pada kami kerana jika tersalah membuat penetapan (setting), peserta mungkin akan sesat.

"Namun untuk elak daripada berlaku perkara itu, kami juga menyediakan sebuah buku panduan. Ia bukan sahaja memaparkan gambar setiap tempat yang dilewati dan lokasi berhenti, malah terdapat penanda arah untuk memudahkan peserta jika Garmin tidak berfungsi," katanya.

Untuk memastikan ketapatan masa sepanjang perjalanan pula, para peserta diingatkan agar berhenti di tempat yang telah dirancang dan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Langkah spiritual di Gurun Juda

Posted: 10 Mar 2012 03:24 AM PST


WADI QELT, merupakan satu-satunya kawasan oasis yang terdapat di Gurun Juda.


DIANUGERAHKAN panorama dan bentuk muka bumi yang mengagumkan, kawasan tanah gersang yang terhampar kira-kira 30 kilometer di barat daya Baitulmuqaddis merupakan lokasi terbaik bagi sesiapa yang mahu melihat keajaiban landskap gurun dan pergunungan.

Selain mengagungkan kebesaran Yang Maha Mencipta, Gurun Juda juga menjadi medan untuk mengenang sejarah silam yang merangkumi asal-usul agama Kristian dan kedatangan Islam.

Hari ini, selain golongan rahib yang menghuni banyak biara di kawasan tersebut, ia turut menjadi tumpuan ribuan pengembara lasak dari dari seluruh dunia.

Keunikannya turut diserlahkan dengan kehadiran cenuram-cenuram yang memukau dan batuan yang memanjang dan terbentang luas sehingga membentuk fokus di kaki langit.

Daripada kisah-kisah yang diceritakan di dalam kitab Injil, gurun itu pernah menjadi tempat tinggal ribuan rahib yang mahu mencari pengalaman kerohanian sekitar kurun keempat dan kelima Sebelum Masihi (SM).

Terhindar daripada godaan duniawi, mereka menjadikan celah-celah gua yang terdapat sekitarnya untuk mengasingkan diri sambil mencari kesempurnaan diri.

"Keinginan untuk menjejaki asal-usul dan perjalanan agama Kristian menyebabkan Gurun Juda sentiasa menjadi tumpuan bukan sahaja penganut-penganutnya malah pelancong asing," kata pengasas portal pelancongan, Elisa Moed yang menyalurkan maklumat mengenai perjalanan agama Kristian ke kawasan suci itu.

Katanya, lokasi itu dianggap sangat penting kerana mencatatkan banyak kisah sejarah perkembangan agama tersebut satu ketika dahulu.

"Tidak hairanlah, ia dianggap lokasi penting oleh penganutnya dan peluang mengunjungi gurun ini merupakan pelengkap kepada kehidupan mereka," ujarnya.

Sumber air semula jadi di kawasan tandus itu didapatkan daripada oasis atau wadi. Wadi Qelt yang terletak kira-kira 20 minit menaiki kenderaan dari Baitulmaqdis menghala ke Laut Mati merupakan satu-satunya kawasan hijau di Gurun Juda.

Segarkan tubuh

Bagi pengunjung yang datang dari sekitar Asia Barat pula, ia boleh diakses melalui pintu masuk di Israel dan Palestin. Pengembara yang ingin menyegarkan tubuh pasti tidak melepaskan peluang bermandi-manda di dalam airnya yang jernih.

Sepanjang berada di situ, pengunjung berpeluang melawat biara St. George yang pernah dimusnahkan oleh pemerintah Parsi pada tahun 614 sebelum ia dibina semula pada lewat abad ke-19. Pada hari ini, ia menjadi tempat tinggal komuniti kecil rahib ortodoks Greek.

Kira-kira dua tahun lalu, laluan ke tapaknya telah diperbesarkan bagi membolehkan lebih ramai pengunjung melawatinya selain memberi keselesaan akses kepada mereka. Sebahagian besar pengunjung yang berminat itu berasal dari Greece dan Romania.

Biarpun pelbagai penambahbaikan dilakukan sehingga kini, laluan ke Wadi Qelt masih dikekalkan seperti asal.


SABAN tahun, Gurun Juda menjadi tumpuan ribuan pengembara lasak yang mahu menikmati keindahan landskap gurun dan pergunungan yang ditawarkan.


Bas hanya dibenarkan menghantar penumpang sehingga ke pintu masuk. Seterusnya, pengunjung perlu berjalan kaki melalui laluan berliku-liku selama 15 minit sebelum tiba ke biara. Situasi itu pastinya memberi masalah besar kepada warga emas dan golongan kelainan upaya.

Bagaimanapun, golongan itu masih mempunyai alternatif lain. Terdapat perkhidmatan menunggang keldai yang ditawarkan oleh puak nomad, Arab Badawi dengan bayaran sekitar AS$20 hingga AS$30 (RM60 hingga RM90).

Salah satu destinasi popular di situ ialah Mount of Temptation yang jauhnya kira-kira 15 minit pemanduan dari Wadi Qelt.

Terletak berhampiran Tebing Barat, bandar Ariha, lokasi yang menempatkan biara lereng gunung itu sungguh unik. Petempatan kecil dibina pada keluk-keluk cenuram setinggi 360 meter dari paras laut. Sehingga awal 90-an, pengunjung ke biara itu perlu melalui pelbagai kesukaran termasuk mendaki di laluan sukar. Banyak gua boleh ditemui di situ dan ia lazim dijadikan tempat pertapaan mahupun berteduh.

Kereta kabel

Hari ini, terdapat perkhidmatan kereta kabel disediakan untuk menghubungkannya dengan Ariha. Hanya lima minit perjalanan diambil untuk merentasi kawasan pertanian yang menghijau di bawahnya.

Biara itu mempunyai satu binaan kekal, iaitu kediaman seorang paderi bernama Gerassimos. Paderi ortodoks Greek berusia 81 tahun itu telah menetap di situ hampir 30 tahun lalu.

"Sepanjang tahun, dia dikunjungi rahib-rahib lain untuk menjadi pembantunya dan menetap bersamanya untuk tempoh singkat," kata seorang paderi, Galactio, yang datang dari Greece bagi tujuan yang sama.

Kehadiran bekalan elektrik dan peralatan moden seperti televisyen dan dapur sedikit sebanyak mengubah kehidupan rahib-rahib di Gurun Juda. Bagaimanapun, komitmen utama mereka masih lagi bersembahyang dan menjalani kehidupan ringkas.

Rutin harian Gerassimos terarah kepada keseimbangan antara kehidupan dalam pengasingan dan keterbukaan terhadap dunia luar.

Dia bangun sekitar 6 pagi dan menghadiri perhimpunan di biara gereja sebelum menyambut kehadiran pengunjung yang datang setiap hari. Biara ditutup sekitar pukul 5 petang. Hanya selepas itu, Gerassimos akan kembali ke gua berhampiran untuk bertapa.


BIARA St. George menyimpan pelbagai sejarah dan asal-usul perkembangan agama Kristian di benua itu.


Kini, ruang itu menjadi ikon keagamaan dan sebahagian lokasi lawatan pengunjung ke biara. Pada kurun ke-15, ia menjadi lokasi untuk golongan rahib mencari titik ketenangan dalam diri bagi memerangi hawa nafsu.

Ahli arkeologi dari Universiti Hebrew yang menjalankan kajian di kawasan itu sejak tahun 80-an, Benny Arubas berkata, kebanyakan rahib bertapa di puluhan gua yang terdapat di sekitar Wadi Qelt.

"Kami telah mendokumentasikan kewujudan bilik-bilik kecil yang pernah didiami golongan yang bertapa. Itu yang anda sedang saksikan sekarang, semuanya terdapat di sekitar kawasan cenuram ini," katanya.

Laluan pintas

Pada kurun ke-15, terdapat ribuan rahib yang menetap sekitar kawasan gurun itu sehingga ia digelar 'Gurun Baitulmuqaddis'. Wadi Qelt secara tidak langsung merupakan laluan pintas golongan yang bertapa untuk ke kawasan suci itu.

Bilangan golongan yang mengabdikan diri kepada kepercayaan itu mula berkurangan selepas kemunculan kerajaan Islam pada pertengahan abad ke-7 dan peperangan yang berlaku pada abad berikutnya. Sepanjang tempoh pertembungan kepercayaan tersebut, berpuluh-puluh biara telah dimusnahkan atau terbiar dan ada di antara rahib itu turut terkorban.

Bagaimanapun, tradisi bertapa masih kekal pada hari ini. Pengunjung juga berpeluang melihat jasad seorang rahib terkenal Romania yang dipamerkan di dalam sebuah bilik kaca di St. George.

"Daripada semasa ke semasa, kami sentiasa melihat atau mendengar mengenai kehadiran rahib-rahib yang melakukan pertapaan di sini. Mereka bertapa dan menjalani kehidupan dalam pengasingan," kata Yoram Tsafrir, seorang pesara dalam bidang arkeologi di Universiti Hebrew yang pernah menjalankan kajian menyeluruh di gurun itu.

Tiga budaya pengaruhi seni bina

Posted: 10 Mar 2012 03:19 AM PST


PADA tahun 1999, Jabatan Muzium dan Antikuiti telah mengiktiraf masjid ini sebagai salah satu bangunan bersejarah di Melaka.


MELAKA sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan pelbagai warisan peninggalan sejarah dengan sebahagian besarnya kekal terpelihara sehingga kini.

Sejak ditemui oleh Parameswara atau Sultan Iskandar Shah pada kurun ke-14, Melaka telah menjadi pusat perdagangan utama yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari seluruh dunia.

Pada masa yang sama, syiar Islam turut berkembang di Melaka. Banyak masjid telah dibina sekali gus menjadikannya sebagai pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terulung di gugusan Nusatara.

Hari ini, puluhan masjid berkenaan terus kekal dan menjadi monumen dan warisan sejarah yang tidak ternilai harganya. Kewujudannya kini turut menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Salah satu daripadanya ialah di Masjid Kampung Kling yang yang terletak di Jalan Tukang Emas atau lebih dikenali sebagai Jalan Harmoni di sini.

Menurut sejarah, masjid itu dibina oleh pedagang-pedagang India Muslim semasa era pemerintahan Belanda pada tahun 1748.

Diceritakan juga, tapak masjid itu merupakan tapak asal bagi para pedagang berkenaan menunaikan solat sejurus tiba di Melaka sekitar kurun ke-14 dan ke-15 dahulu.

Pada asalnya, masjid itu dibina menggunakan kayu. Ia kemudiannya telah diruntuhkan dan digantikan semula dengan bahan binaan daripada batu-bata pada tahun 1872.

Ubah suai

Kerja-kerja pengubahsuaian bumbungnya turut dilakukan pada tahun 1908 dan binaan itu terus kekal seperti yang dilihat pada hari ini.

Masjid Kampung Kling direka bentuk mengikut seni bina masjid-masjid di kepulauan Sumatera, Indonesia yang banyak dipengaruhi dengan seni bina Hindu. Namun demikian, terdapat juga pengaruh budaya Cina pada bentuk menaranya yang seakan-akan struktur pagoda yang bertingkat-tingkat.

Reka bentuk itu sememangnya sinonim pada menara beberapa masjid lain di Melaka seperti Masjid Kampung Hulu dan Masjid Tengkera. Ia secara khusus membuktikan perkembangan teknologi pembinaan di Melaka ketika itu.


PADA setiap sudut di ruang dalaman masjid, terdapat banyak perincian yang mengangkat keindahan elemen seni bina.


Melangkah ke ruang dalamnya, pengunjung pasti kagum melihat elemen ketiga-tiga budaya iaitu Hindu, Cina dan Melayu digarap pada hiasan dalamannya.

Jubin seramik China yang diimport menghiasi bumbung, lantai dan dinding masjid. Pada masa yang sama, motif pada pintu, tingkap dan mimbar pula lebih bercirikan ukiran Melayu tradisional.

Kehadiran tiang-tiang utama dengan gerbang simetri di dalam dewan solat memisahkan ruang mimbar dan ruang solat.

Sementara itu, bahagian bumbungnya direka khas untuk membolehkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi dan sesuai bagi iklim lembap dan hujan seperti di Malaysia.

Menara konkrit masjid ini terletak berasingan daripada bangunan utama di sebelah barat manakala tempat berwuduk terletak di sayap selatan.

Tembok tinggi

Tiang yang menyokong bumbung kolah di masjid ini terdiri daripada besi padat dengan motif ukiran Arab manakala di tengah-tengahnya terdapat pancuran air yang dihias indah.

Pada tahun 1868, kawasan masjid itu dipagari tembok batu tinggi bagi melindunginya daripada dicerobohi dan pada yang sama menutup pandangan jalan di luarnya yang sibuk.

Keunikan masjid itu bukan sahaja terletak pada reka bentuk dan binaannya, malah kedudukannya yang terletak berdekatan dengan Kuil Hindu Sri Payyatha Viyanagar Moorthi dan Tokong Cheng Moon. Kedudukan rumah-rumah ibadat berlainan kepercayaan yang berdekatan antara satu sama lain itu secara tidak langsung melambangkan keharmonian masyarakat majmuk di situ sejak zaman-berzaman.

Pada tahun 1999, Jabatan Muzium dan Antikuiti telah menjalankan kerja-kerja pemuliharaan dan mengiktirafnya sebagai salah satu bangunan bersejarah di Melaka.

Hari ini, Masjid Kampung Kling masih teguh berdiri megah dan ia juga dibuka kepada pengunjung yang bukan beragama Islam.

Mereka boleh berada di ruang tertentu dalam kawasan masjid itu untuk mendalami falsafah di sebalik seni bina dan fungsinya. Untuk tujuan itu, pakaian jubah khas disediakan untuk dipakai agar tampil sopan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories