RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Gurauan jerat Wilma

Posted: 17 Mar 2012 08:25 PM PDT

Wilma Muhammad
Wilma Muhammad

ANDAI bertemu jodoh, dia tidak teragak-agak meninggalkan dunia lakonan dan peragaan. Itu tekadnya 11 tahun lalu, biarpun filem kedua lakonannya, Pasrah, baru menjengah pawagam ketika itu.

Dia tidak berpaling lagi dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia glamor kerana fokusnya beralih 360 darjah kepada suami tercinta, Allahyarham Mahir Effendi Mahmud yang menghembuskan nafas terakhir pada 27 Januari 2011 akibat saluran arteri tersumbat.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Ujar Wilma Muhammad, 39, istilah menyesal tidak wujud berikutan tindakan drastik itu bahkan sangat bahagia dengan laluan hidup yang dipilih. Bersama suami tersayang, dia menyulam bunga-bunga cinta dan dikurniakan lima cahayamata iaitu Raida Thaqifa, 10, Athira Inara, 8, Mahira Aqila, 6, Muhamad Yusuf, 4 dan Umar Al Faruq, 3.

Selepas sekian lama tidak muncul di layar perak mahupun skrin kaca, nama model dan pelakon jelita ini kembali menjadi perhatian apabila berita membintangi filem 1945: Malaya Without Malay arahan Emran Ismail tersebar.


Ketika menjayakan fotografi bersama SELEBRITI, ibu berjiwa penyayang ini dengan rendah diri menjelaskan tidak pernah terlintas di sanubarinya untuk beraksi semula di depan lensa kamera namun gurauan ketika menjawab pelawaan teman sepejabat 'menjeratnya' untuk kembali ke dunia yang sudah lama ditinggalkan.


"Kira-kira enam bulan selepas suami meninggal dunia, saya bekerja di syarikat kawan sebagai eksekutif pemasaran. Sepanjang memikul tanggungjawab itu, saya bertemu ramai orang termasuklah sahabat lama dalam industri. Ada antara mereka memujuk saya kembali berlakon bahkan sebelum itu banyak tawaran hadir tetapi hati ini belum terbuka.

"Nak dijadikan cerita, rakan saya, Asri Abdul Rahman, bertanya adakah saya minat untuk berlakon semula. Disebabkan banyak kali bertanya saya pun jawab dengan gurauan, kalau ada tawaran filem, watak utama, jalan cerita dan bayaran bagus serta saya boleh kekal bertudung, tidak mustahil.

"Tiba-tiba dia keluarkan surat kelulusan Finas untuk bikin filem. Saya terkedu, saya ingat dia main-main. Tidak lama selepas itu, dia bawa saya jumpa sahabatnya, Emran Ismail yang akan mengarah filem 1945: Malaya Without Malay.
Saya teliti skrip dan jatuh cinta dengan jalan ceritanya yang lain dari lain.
Selepas berfikir panjang, saya menyatakan persetujuan dan keputusan ini mendapat restu keluarga," katanya.

Mengulas lanjut filem terbarunya itu, Wilma yang anggun menggayakan busana rekaan O'oi Coutoure menjelaskan, ia diadaptasi daripada kisah benar namun diselitkan beberapa watak rekaan bagi mencantikkan lagi penceritaan.

Berlatarbelakangkan Tanah Melayu sebelum merdeka, rakyat hidup dalam ketakutan apabila komunis bermaharajalela. Kaum Adam diberkas, diseksa malah ramai dibunuh dengan kejam gara-gara enggan tunduk kepada tekanan komunis.

"Tatkala keadaan semakin darurat, wanita terpaksa mengambil alih tempat lelaki mempertahankan keselamatan tanah air. Ketika inilah Tengku Suraya, watak lakonan saya, menggantikan posisi suaminya sebagai pucuk pimpinan gerila Selimut Merah yang diiktiraf Kerajaan Tanah Malaya untuk menentang kekejaman
komunis.

"Saya teruja bawa watak berat ini. Ia bukan saja menuntut saya menjadi wanita bangsawan berjiwa rakyat tetapi sanggup berjuang demi keamanan negara dan menyelamatkan suami tercinta yang ditawan komunis.

"Pada masa sama, saya berdebar-debar. Maklumlah, sudah lama tinggalkan dunia lakonan. Risau memikirkan adakah persembahan saya mencapai piawaian yang penerbit serta pengarah mahukan kerana jika ikutkan, ini baru filem ketiga saya. Ketika membintangi Ghazal Untuk Rabiah, saya tidak ada asas atau pengalaman berlakon. Risau hanya Tuhan saja yang tahu apatah lagi saya pegang watak utama.

"Saya ingat itulah percubaan pertama dan terakhir, tak sangka pula tiba-tiba dapat tawaran menjayakan filem Pasrah di samping Erra Fazira dan Norman Hakim.
Baru saja filem itu ditayangkan, saya sudah berundur dari industri dan kini saya memikul peranan penting dalam 1945. Insya-Allah saya akan buat sehabis baik dalam filem ini," katanya.


Biasa menembak dan berburu

LOKASI 1945: Malaya Without Malay di sekitar Lembah Klang sangat melegakan Wilma kerana tidak perlu berjauhan dengan anak-anak. Meskipun ada babak dalam hutan, bergelumang dengan letupan bom dan bunyi tembakan senapang, dia tidak kekok.

Ini kerana dia yang menggemari aktiviti lasak mempunyai pengalaman menggunakan senapang ketika zaman remaja di Sabah.

"Ayah dan bapa saudara saya suka menembak dan berburu. Saya belajar menembak daripada mereka dan sesekali ikut mereka berburu. Mungkin kerana sudah terbiasa jadi saya tidak kisah menjalani penggambaran dalam hutan.

"Filem ini mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di mana saya difahamkan kira-kira 200 anggota tentera darat akan beraksi sebagai pelakon ekstra.
Sebelum penggambaran bermula, barisan pelakon akan diberi latihan ketenteraan.
Pengalaman ini sangat menarik malah saya rasa sangat bersemangat di lokasi penggambaran," katanya.

Ditanya seandainya ada lagi tawaran berlakon selepas ini adakah dia akan kembali lagi ke lokasi penggambaran, sambil tersenyum manis Wilma berkata, tidak mustahil jika produksi sanggup mengikut syarat yang diletakkannya.

"Jika ada tawaran menarik, skrip yang bagus, watak bersesuaian dan masih kekal bertudung, saya tidak ada masalah. Seboleh mungkin, saya mahu elak babak yang menuntut saya bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim dan jika penerbit atau pengarah bersetuju, mungkin saya akan terima watak yang ditawarkan.

"Saya tahu pasti ada yang pertikai kenapa saya mahu kembali berlakon jika itu tak boleh ini tak boleh. Bagi saya sebagai manusia kita ada pilihan, selagi termampu apa salah kita jaga," katanya mesra.

Mengulas statusnya sebagai ibu tunggal, Wilma mengakui banyak onak dan duri terpaksa ditempuh namun dia tidak pernah mengeluh. Apa yang berlaku itu sudah tersurat dan sebagai manusia dia reda dengan segala ketentuan Ilahi.

Menjadi prinsipnya sejak dulu, tidak perlu risau berlebihan atau kusutkan fikiran dengan terlalu banyak berfikir kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Cara terbaik, jalani saja kehidupan seadanya malah sentiasa suburkan jiwa dengan kesedaran bahawa Allah SWT Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani.

"Siapa yang tidak sedih jika suami menyahut seruan Ilahi apatah lagi dia pergi secara mengejut. Masih segar di ingatan detik-detik pemergiannya, pulang dari kerja, suami berjumpa anak-anak terlebih dulu sebelum naik ke bilik yang terletak di tingkat atas dan ketika masuk ke dalam bilik dia rebah tidak sedarkan diri.

"Saya yang kebetulan masuk ke dalam bilik terus memangku kepala suami dan ketika itu dia masih bernyawa. Tidak lama kemudian dia menghembuskan nafas terakhir di depan mata saya. Kehilangannya amat dirasai apatah lagi arwah suami yang sangat baik tetapi saya kena reda. Saya kena kuat demi anak-anak.

"Syukur saya dikurniakan keluarga mentua yang baik, kami sangat rapat malah setiap hari ibu mentua pasti datang menjenguk anak-anak. Ipar duai pun sangat mengambil berat malah mereka menghormati saya sebagai kakak. Berada bersama mereka buat saya rasa sangat disayangi.

"Memang tidak dinafikan hidup sebagai ibu tunggal banyak cabarannya tetapi saya tidak mahu fikirkan sangat.

Saya percaya nasib dan rezeki setiap manusia itu sudah ditentukan jadi kenapa perlu bebankan diri dengan terlalu banyak berfikir. Daripada menangisi nasib, ada baiknya belajar reda dan percayalah rezeki anak-anak pasti ada. Allah kan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang," katanya seraya tersenyum manis.

Tambahnya, memori bersama suami akan menjadi pemacu semangatnya membesarkan anak-anak. Sebagai ibu dia akan memberikan didikan terbaik buat zuriat yang menjadi amanahnya itu bahkan amat menitikberatkan didikan agama dengan harapan pewarisnya itu menjadi insan soleh serta solehah.

"Arwah suami sangat bertanggungjawab dan penyayang orangnya. Dari awal perkahwinan dia tidak pernah menghalang apa yang saya suka bahkan kalau saya mahu kembali aktif berlakon, dia izinkan tetapi saya yang tidak mahu.

"Saya tidak boleh buat dua perkara dalam satu masa. Justeru itu, pilihan harus dibuat dan sudah tentu keluarga jadi keutamaan. Kebetulan pula usia saya ketika mendirikan rumah tangga 29 tahun, saya mahu cepat menimang cahaya mata," katanya yang mula bertudung selepas sebulan bergelar isteri bahkan transformasi itu dapat dilihat ketika berlangsungnya majlis resepsi keduanya.

‘Tanggung’ dosa ibu

Posted: 17 Mar 2012 08:24 PM PDT

ARISYA... dapat 'ayah' pendendam dan panas baran
ARISYA... dapat 'ayah' pendendam dan panas baran

KUALA LUMPUR: Badan berbirat akibat dibelasah dengan tali pinggang manakala penampar dan sepak terajang menjadi 'makanan' harian seorang gadis sejak kecil, gara-gara dendam tidak berkesudahan lelaki dipanggil bapa.

Seksaan diterima Arisya (bukan nama sebenar), 24, hanya disebabkan lelaki berkenaan tidak dapat menerima hakikat dia terpaksa menjadi 'pak sanggup' dengan mengahwini ibunya selepas wanita itu hamil sebelum bernikah.


Menurut Arisya, zaman kanak-kanaknya tidak seperti rakan sebaya lain yang sentiasa disaluti kasih sayang ibu bapa serta kegembiraan.

Katanya, kehidupannya penuh kedukaan kerana didera 'bapanya' tanpa belas kasihan setiap kali melakukan kesilapan, biarpun tidak sebesar mana.


Disebabkan sering menerima layanan buruk 'bapa sendiri', Arisya sering tertanya-tanya, apakah dosa dilakukannya sehingga diperlakukan sedemikian.


Menginjak usia remaja, dia pernah terdengar pertengkaran besar di antara orang tuanya. Bapanya mengungkit yang dia terpaksa menjadi 'pak sanggup' kerana ibunya mengandung benih orang lain.

Akibat dendam kesumat itu, bapanya sering menjadikan ibunya sebagai mangsa deraan apabila cuba menyebelahi Arisya.


"Sebenarnya, ayah seorang yang panas baran terhadap emak, saya mahupun adik-adik. Namun saya paling teruk dibelasah walaupun kerana ingin bergurau, bergaduh kecil atau bermanja dengan adik-adik, seolah-olah melakukan kesalahan sangat besar.

"Saya tak tahu mengapa ayah terlalu baran dengan saya. Penampar yang diberi bertahun-tahun membuatkan jiwa saya tertekan.


"Terakhir ketika saya berusia 14 tahun apabila dibelasah dengan tali pinggang hingga menangis seharian akibat menanggung kesakitan yang amat sangat. Kesan daripada situ, saya membuat keputusan lari daripada rumah tapi tidak tahu ke mana hendak dituju.


"Ketika itu, yang terfikir ialah melarikan diri ke balai polis lalu membuat laporan saya didera ayah kandung. Polis kemudian membuat tangkapan dan ayah ditahan kerana kesalahan mendera berdasarkan laporan kesihatan oleh pihak hospital," katanya kepada Metro Ahad.


Bagaimanapun, kesan psikologi terhadap Arisya sangat teruk kerana terpaksa melalui dugaan yang bukan sedikit apabila dihantar ke rumah perlindungan kanak-kanak dan berpisah dengan keluarga.


"Ia pengalaman sukar yang terpaksa diharungi bagi remaja yang masih mentah seperti saya. Disebabkan laporan itu ayah dibuang kerja, menyebabkan kebenciannya terhadap saya makin meluap-luap.


"Namun, saya mungkin selamat kerana berada di rumah perlindungan kanak-kanak tapi terfikir juga, apa akan jadi dengan emak dan adik lain sepanjang ketiadaan saya," kata anak sulung itu.


Apabila ditempatkan di rumah perlindungan bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kedudukan tempat itu jauh daripada ibu kota dan di situlah bermula episod baru dalam hidup Arisya.


Keindahan hidup diimpikan Arisya tidak seindah disangka walaupun dia diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).


Ketika menuntut di IPTA, dia terpaut dengan rakan sekuliah dikenali sebagai Izzat (bukan nama sebenar) tetapi berlainan bidang pengajian dan hubungan mereka direstui kedua-dua keluarga.


Sebaik tamat pengajian mereka, Izzat menghantar keluarganya untuk meminang dan keluarga Arisya menetapkan tempoh pertunangan dua tahun kerana masing-masing ingin mengukuhkan kerjaya.


Sekali lagi Arisya diuji dengan peristiwa dahsyat apabila setahun selepas bertunang, Izzat meminta hubu ngan itu diputuskan tanpa sebab.


Puas memikirkan kesilapan dilakukan dan mendesak tunangnya menjelaskan perkara sebenar, akhirnya Izzat membuat pengakuan dan perkara itu benar-benar melukakan hatinya.


"Sebenarnya, emak Izzat yang meminta pertunangan diputuskan selepas dia mendapat tahu saya anak tidak sah taraf atau bahasa kasarnya, anak luar nikah.


"Bayangkan, luluhnya hati saya saat itu sehingga membuatkan jiwa tertekan, sekali gus jatuh sakit beberapa bulan. Walaupun Izzat meminta saya supaya tabah, apalah ertinya sebab dia sendiri tidak memberi sebarang harapan untuk memujuk emaknya.


"Akhirnya, saya terima hakikat yang Izzat sebenarnya 'anak emak' sebab apa saja keputusan ibunya diterima bulat-bulat, walaupun dia tidak mahu hubungan kami diputuskan," katanya.


Lebih memilukan Arisya, bekas tunangnya berkahwin beberapa bulan selepas itu dengan gadis pilihan ibunya, tetapi sehingga kini lelaki itu masih menghubunginya.


Katanya, Izzat menyatakan rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku tetapi lelaki itu kini dianggapnya kawan biasa.


Walaupun jauh di sudut hati, kasih sayang lelaki itu terhadapnya terlalu mendalam memandangkan Arisya cinta pertamanya, segala-galanya terpaksa dikorbankan kerana tidak sanggup memusnahkan rumah tangga Izzat yang dibina atas pilihan orang tuanya.


Kini Arisya tinggal bersama rakan di sebuah kondominium dan semangatnya semakin kuat menempuh setiap ujian hidup serta berhasrat untuk lebih berjaya dalam bidang diceburi walaupun kini belum ada pengganti.

Ezlynn Gemar Memasak Untuk Suami

Posted: 17 Mar 2012 08:21 PM PDT

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye memberitahu semakin ligat di dapur untuk memasak untuk suami tercinta, Adam Fahmi.

Ezlynn berkata, sejak berkahwin empat bulan lalu dia lebih rajin ke dapur dan sehingga kini sudah boleh memasak pelbagai hidangan kegemaran suaminya.

"Sebelum kahwin dulu memasak tu sekali sekala sahaja sebab kesibukan dengan pelbagai tugas tetapi lepas kahwin ni kena la lebih rajin ke dapur.

"Alhamdulilah sehingga kini lebih 15 jenis lauk pauk dah boleh masak dan suami menyukainya," ujarnya kepada mStar Online.

Bercerita mengenai selera suaminya, Ezlynn berkata, Adam tidak cerewet dari segi menu yang disediakan tetapi tidak gemar kepada makanan yang pedas.

Ujar Ezlynn, perkara itu menjadi cabaran kepadanya kerana dia suka kepada makanan pedas dan dalam setiap masakannya dia perlu berpada-pada menggunakan cili.

"Di sebalik dia tidak sukakan pedas dan saya pula sebaliknya perkara ini telah mengajar saya supaya bertoleransi dengan suami," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kehidupan berumah tangga, Ezlynn memberitahu setakat ini kehidupan mereka berjalan lancar dan suaminya rajin membantunya menguruskan kerja-kerja di rumah.

"Sebelum kahwin pun dia memang menguruskan dan menjaga saya, selepas kahwin perangainya tetap sama dan tidak berat tulang untuk membantu saya di rumah.

"Malah dia paling rajin kerana sikapnya yang seorang pembersih berbanding diri saya yang sedikit semak. Dia melengkapi saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul Dusta di bawah label Alibi Music dan akan sibuk mempromosikan single itu.

Shiro Pernah Cuba Masuk Raja Lawak Sejak Musim Ketiga

Posted: 17 Mar 2012 08:19 PM PDT

Kumpulan Shiro.

PETALING JAYA: Juara program Raja Lawak musim ke enam, kumpulan Shiro mendedahkan mereka pernah cuba untuk menyertai pertandingan itu sejak musim ketiga.

Dianggotai oleh Shahrol Azizie Azmi dan Mohamad Hanaffi Razak, Shahrol, 27, bagaimanapun berkata, ketika itu mereka berdua tidak menghadiri uji bakat secara berkumpulan tetapi secara berasingan namun gagal untuk menjadi peserta akhir.

"Saya sejak musim ketiga kami telah pergi uji bakat dan untuk dua musim saya layak ke pusingan akhir di Kuala Lumpur tetapi tidak terpilih sebagai peserta akhir," ujarnya kepada mStar Online.

Shiro ditemui selepas pertandingan akhir Raja Lawak Musim Ke Enam di sini pada Jumaat.

Tambah Hanaffi, 25, mereka mengambil keputusan untuk bergabung semasa uji bakat musim ke enam untuk mencuba nasib sebagai sebuah kumpulan dan nyata rancangan itu berjaya sehingga menobatkan mereka sebagai juara.

Shiro menewaskan kumpulan Zero dan Cuit yang masing-masing ditempat kedua dan ketiga dan mereka berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM100,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Ujar Shahrol, mereka masih tidak tahu apa akan dilakukan dengan wang yang dimenangi tetapi memberitahu merancang untuk menyimpan bagi kegunaan masa hadapan.

Dalam pada itu, Shahrol memberitahu mereka masih belum membuat perancangan sama ada ingin meneruskan kerjaya sebagai pelawak dan pelakon atau kembali bekerja di tempat asal mereka.

Kedua-dua mereka adalah penjawat awam yang mana Shahrol bekerja di Jabatan Imigresen Malaysia manakala Hanaffi adalah seorang tentera laut di Tentara Laut Di Raja Malaysia (TLDM).

"Kami masih belum membuat keputusan lagi kerana tidak menyangka akan sampai ke tahap ini. Bagaimanapun untuk tawaran dalam bidang hiburan kami serahkan kepada pihak Astro yang menentukan untuk kami," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai 'badi' kumpulan seperti mereka akan berpecah seperti mana terjadi kepada Sepah dan Kechik, Shahrol berkata perkara itu tidak mungkin berlalu kerana pertalian persaudaraan yang ada di antara mereka.

"Kalau berpecah pun saya dan dia nak lari ke mana kerana kami adalah sepupu. Pusing-pusing balik tetap akan berjumpa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya akan menerbitkan program susulan untuk juara Raja Lawak itu selain tidak mengabaikan peserta lain yang tidak berjaya memenangi pertandingan itu.

Nizam berkata, Astro sentiasa membuka pintu buat mereka mengembangkan kerjaya dengan medium sesuai seperti saluran Astro Warna.

"Seperti mana juara musim yang lalu kita akan memastikan bakat mereka tidak disia-siakan begitu sahaja dan program susulan akan diterbitkan selain tidak melupakan peserta lain," ujarnya.

Oprah Batal Penerbitan 'The Rosie Show'

Posted: 17 Mar 2012 08:18 PM PDT

Rosie dan Oprah.

RANCANGAN bual bicara berjudul The Rosie Show yang diterajui oleh Rosie O'Donnell telah dibatalkan penerbitannya oleh OWN Network yang dimiliki oleh Oprah Winfery pada Jumaat selepas gagal menarik meningkatkan peratusan penonton selama lima bulan.

"Berita ini adalah menyedihkan bagaimanapun saya menerima dengan hati terbuka. Program itu telah memberikan banyak kenangan dan pengalaman kepada saya.

"Saya harap ia dapat menarik minat penonton tetapi malangnya tidak," ujar Rosie dalam satu kenyataan kepada media.

Rosie memberitahu dia akan kembali ke New York untuk mencari peluang di sana selepas kegagalan program itu.

The Rosie Show membincangkan pelbagai topik tentang selebriti, berita, komedi dan sebagainya dan episod terakhirnya akan disiarkan pada 30 Mac depan.

Sementara itu, Oprah dalam satu kenyataan berkata, dia kesal program itu terpaksa dibatalkan dan menyifatkan kerjasama dengan Rosie adalah pengalaman luar biasa.

"Sepanjang 15 bulan program itu disiarkan pihak OWN telah mencuba sedaya upaya untuk meningkatkan rating program itu bagaimanapun saya mengucapkan tahniah kepada Rosie kerana telah memberikan dedikasi cemerlang sepanjang tempoh itu," ujarnya.

'Madagascar 3: Europe's Most Wanted' Bakal Temui Peminat

Posted: 17 Mar 2012 08:14 PM PDT

PRODUKSI DreamWorks Animation telah melancarkan klip francais filem Madagascar 3: Europe's Most Wanted yang bakal mengegarkan pawagan untuk tayangan pada musim panas tahun ini.

Masih mengekalkan watak seperti Alez, Gloria dan Melman, siri terbaru itu adalah kesinambungan daripada dua episod terdahulu iaitu Madagascar pada 2005 diikuti Madagascar: Escape 2 Africa pada 2008 yang mendapat sambutan di seluruh dunia.

Pihak Dreamworks turut juga mendedahkan filem terbaru berjudul The Rise of the Guardians yang dijadualkan untuk tayangan pada akhir tahun ini.

Diadaptasi daripada bukul hasil tulisan William Joyce, filem itu mengisahkan mengenai roh jahat yang cuba mengambil alih pemerintahan dunia.

Watak-wtak seperti Santa, Easter Bunny, Sandman dan Jack Frost yang ditugaskan untuk melindungi kanak-kanak.

Diarahkan oleh Peter Ramsay, filem animasi itu turut menggunakan khidmat pelakon seperti Alec Baldwin, hugh Jackman dan Jude Law yang menyumbang suara mereka.

"Watak-watak yang dipamerkan dalam filem berkenaan telah dikenali oleh semua masyarakat dan kita pernah menontonnya. Ia adalah sebuah filem yang akan diminati oleh kanak-kanak," ujarnya.

Bogel di lebuh raya

Posted: 17 Mar 2012 08:13 PM PDT

SELIMUT... pondan berbogel terpaksa diselimutkan selepas ditahan pihak berkuasa.
SELIMUT... pondan berbogel terpaksa diselimutkan selepas ditahan pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR: "Saya terkejut melihat rakaman dalam kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang 'wanita' berambut panjang tanpa seurat benang di laluan itu sebelum keluar dari bilik kawalan untuk menyelamatkannya tetapi bila didekati, dia sebenarnya lelaki," kata Anuar Borohan, 40, menceritakan kejadian seorang pondan bogel merayau berhampiran Plaza Tol Batu Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), di sini, semalam.

Anuar yang juga petugas bilik kawalan trafik Duke berkata, dia menerima panggilan daripada pengguna lebuh raya berkenaan yang mengadu ternampak kelibat pondan terbabit yang berbogel di Kilometer 3 arah timur, jam 1.45 tengah hari.


"Pengguna memaklumkan, ada orang jalan kaki memasuki lebuh raya dari Jalan Duta arah ke Sentul tanpa memakai baju sebelum saya memeriksa rakaman CCTV di laluan itu.

"Saya segera keluar dari bilik kawalan yang terletak tidak jauh dari tempat pondan terbabit merayau untuk menyelamatkannya kerana bimbang dia dilanggar kereta," katanya.


Menurutnya, sebaik keluar, dia segera memujuk pondan terbabit supaya keluar dari lebuh raya.


"Bagaimanapun, dia bukan saja enggan, malah menumbuk saya tiga kali menyebabkan bibir saya berdarah.

"Walaupun kesakitan, saya meneruskan usaha memujuknya sebelum dia melibas kaki saya dengan besi penghadang jalan," katanya.


Katanya, dia terpaksa bergelut dengan lelaki itu sehingga pakaiannya koyak direntap dan terpaksa meminta bantuan pengguna lebuh raya untuk menangkapnya.

"Mujur seorang pemandu memberhentikan keretanya dan membantu saya menangkap pondan terbabit. Dia juga menawarkan kenderaannya untuk menghantar pondan itu ke Plaza Tol Air Panas.


"Di plaza tol itu, pondan itu dipakaikan selimut untuk menutup tubuhnya sebelum diserahkan kepada polis peronda," katanya.


Anuar berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sejak tiga tahun bekerja dengan Duke dan akan dikenang sebagai pengalaman berharga.

Indah bagai lukisan

Posted: 17 Mar 2012 08:10 PM PDT

SINGGAH SEBENTAR...pelancong akan turut dibawa menikmati keunikan Empangan Hoover.
SINGGAH SEBENTAR...pelancong akan turut dibawa menikmati keunikan Empangan Hoover.

MERENTASI ribuan batu ke negara 'Uncle Sam' bagai memberikan satu keindahan yang melangkaui imaginasi. Hutan batu yang maju dengan teknologi hebat bukan lagi paksi utama, sebaliknya mengembara di tanah kontang, Grand Canyon menyingkap perspektif berbeza mengenai Amerika Syarikat.

Grand Canyon tidak lagi perlu diperkenalkan kerana selepas disenaraikan sebagai antara tujuh keajaiban dunia, gurun kontang yang membentangkan lautan misteri untuk diteroka menjadikannya tarikan utama pengunjung ke lokasi yang sarat sejuta keajaiban.

  • Foto

    PENGALAMAN TERINDAH...penulis menikmati pemandangan Grand Canyon dari pintu selatan, Eagle Point.

  • Foto

    PELANCONG mendaki sebuah bukit di grand canyon.

  • Foto

    MENJAMU selera di puncak grand canyon.

  • Foto

    BAS yang dinaiki penulis.

  • Foto

    PERKAMPUNGAN red indian.

  • Foto

  • Foto

    JUADAH tengah Hari yang disediakan.

  • Foto

    GRAND canyon skywalk.

  • Foto

    TASIK empangan hoover.

  • Foto

    PERSEMBAHAN red indian.

Memegang sejarah lebih jutaan tahun lampau, gurun batu dan kering ini punya seribu keunikan dan keistimewaan dengan jelas.

Tidak perlu berfikir atau cuba meneliti dengan mata hati, sebaliknya bentuk fizikal dan kejadian alam yang membina kubu batu-batan tertua di dunia ini memang satu destinasi lawatan yang terbaik jika berpeluang menjejakkan kaki di bumi Amerika Syarikat.


Meskipun tidak menawarkan limpahan lampu dengan bunyi bising seperti kota New York atau kemeriahan populariti dengan pesona bintang terkenal di Hollywood, Los Angeles, Grand Canyon masih menjanjikan sesuatu yang berbeza yang hanya boleh dilihat di sini.


Berkeluasan melangkaui banjaran Titiwangsa di Semenanjung Malaysia dengan panjangnya sekitar 450 kilometer dan lebarnya hampir 30 kilometer, curam terkenal ini terbentuk berjuta-juta tahun dulu.

Kedalaman curamnya melebihi 1.6 kilometer, sekali gus mencatat Grand Canyon sebagai antara ngarai paling dalam di dunia. Tanpa pagar atau penghadang di setiap tebing curam itu, pengunjung yang dahagakan pemandangan indah bagai sebuah lukisan berpeluang pergi hingga ke tepiannya jika tidak gayat.

Terletak di negeri Arizona yang hampir keseluruhan bentuk muka buminya adalah gurun tandus, Grand Canyon mempunyai geografi indah apabila ia diukir oleh Sungai Colorado.

Sejarahnya, Grand Canyon adalah kawasan penempatan yang dihuni oleh orang asli Amerika yang membina kediaman mereka di dalam tembok ngarai serta guanya.

Penglihatan pertama dicatat oleh seorang Eropah adalah pada 1540 oleh García López de Cárdenas dari Sepanyol. Ia umumnya tidak diketahui sehingga selepas Perang Saudara Amerika Syarikat.

Pada 1869, Mejar John Wesley Powell, bekas perajurit Perang Saudara yang hauskan ilmu sains dan pengembaraan, membuat perjalanan perintis merentasi Grand Canyon melalui Sungai Colorado. Beliau melakukannya bersama sembilan lelaki di dalam empat bot papan.

Sejauh yang diketahui, kumpulan ini yang pertama pernah membuat perjalanan sebegini. Powell merujuk kepada batuan enap sebagai 'halaman sebuah buku cerita yang agung'.

Malah, Presiden Theodore Roosevelt ialah penyokong utama kawasan Grand Canyon dan banyak kali mengunjunginya untuk memburu serta menikmati pemandangannya.

Melihat daripada perspektif geologi, lokasi gurun luas ini sangat bererti kerana jujukan batuan purba tebal yang dikekalkan dengan indah dan terdedah pada tembok ngarai. Lapisan batuannya mencatat banyak sejarah geologi benua Amerika Utara yang awal. Grand Canyon juga contoh hakisan semula jadi paling hebat di dunia.

Terlanjur mengikuti tugasan tayangan perdana sebuah filem yang berlangsung di Carefree, Arizona baru-baru ini, penulis lekas mencuri peluang bagi meninjau keindahan bentuk muka buminya yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Meskipun boleh pergi dengan menaiki kenderaan sendiri, pelancong dan mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini dinasihatkan mengambil pelbagai pakej ditawarkan kerana destinasi ke Grand Canyon adalah popular di semua bandar berhampiran.

Penulis terlebih dulu membuat sedikit kajian bagaimana untuk tiba di sana dan terus membuat tempatan pakej melalui laman sesawang pelancongan Amerika Syarikat.

Pengalaman melawat Grand Canyon paling mudah jika melalui dua bandar utama, Pheonix di Arizona atau Las Vegas, Nevada yang menyediakan banyak pusat pelancongan serta agensi menawarkan pakej dengan harga bermula AS$100 (RM310) hingga AS$500 (RM1,560).

Bukan saja mudah dan diberikan pelbagai pilihan untuk pelancong meninjau keindahannya, malah harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding membeli pakej di kaunter.

Memandangkan penulis hanya ingin merasai pengalaman melawat dan meninjau keseluruhan pemandangannya, pakej pada harga AS$110 (RM360) adalah pilihan terbaik. Pakej itu menawarkan peluang ke Hoover Dam (Empangan Hoover), selain diberi masa merasai pengalaman melihat keindahan panorama Grand Canyon dari Skywalk.

Seawal jam 6.30 pagi, penulis menanti bas di depan hotel dan seterusnya dibawa ke terminal bagi mendapatkan tiket dan pelbagai maklumat. Jam 8 pagi, bas mula bergerak dan tiba di Hoover Dam jam 9.30 pagi.

Masa diberikan selama 30 minit cukup untuk penulis dan pengunjung lain melihat keluasan empangan yang menjadi sumber air utama kepada beberapa bandar, termasuk Las Vegas.

Perjalanan diteruskan merentasi gurun tandus dan beberapa pekan kecil yang dihuni penduduk tempatan. Bas hanya berhenti sekali bagi memberi ruang kepada pengunjung berehat dan mendapatkan cenderahati.

Tepat jam 11 pagi, pengunjung tiba di terminal utama di Grand Canyon
(Pintu Selatan) dan penumpang dipindahkan ke sebuah bas lain kerana laluan ke pintu masuk utamanya perlu merentasi jalan tidak berturap sejauh 10 kilometer.

Jam 11.30 pagi, penulis akhirnya melihat keindahan Grand Canyon yang sememangnya sukar diterjemah dengan kata-kata.

Yang boleh disimpulkan, batu-batuan dan reka bentuk muka buminya yang berusia berjuta tahun itu tidak puas mata memandang. Lama juga penulis memerhati setiap inci batuan itu kerana ia mengundang rasa kagum dan terpesona dengan keunikan ciptaan Allah.

Makan tengah hari turut disediakan dalam pakej. Enggan membiarkan panorama indah Grand Canyon pergi begitu saja, penulis memilih untuk menikmati kopi panas dalam keadaan sejuk, ayam bakar berempah dengan salad Red Indian di atas sebuah pelantar berdepan ngarai.

Penulis tidak melepaskan peluang mengunjungi Skywalk yang membenarkan pengunjung berdiri di atas pelantar kaca setinggi lebih 305 meter untuk melihat kedalaman curam Grand Canyon. Lebih tinggi daripada bangunan berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan semua menara mencecah langit di dunia, penulis sedikit gayat ketika menjengah kepala keluar dari pemegang Skywalk.

Pengunjung turut dibawa ke sebuah kawasan perkampungan tradisional Grand Canyon yang direka seperti sebuah pekan klasik dilengkapi bar lama, kedai gunting rambut, kandang kuda yang menjadi pengangkutan utamanya serta beberapa tarikan pelancong lain.

Rasanya tidak puas masa diberi. Empat jam penulis diberi peluang menikmati keindahan Grand Canyon sebelum perlu menyambung semula perjalanan ke Las Vagas pada jam 4 petang.

Grand Canyon adalah pengalaman berbaloi dengan penat dan kebimbangan mengembara seorang diri pada awalnya. Mengimbas suasana berada di puncak curam ketika meneliti semula setiap keping gambar yang dirakam, terbit kerinduan untuk kembali menjejakkan kaki di bumi eksotik itu.

Nadira ‘pantau’ pelanggan di padang golf

Posted: 17 Mar 2012 08:09 PM PDT

MESRA...kerap berkongsi idea dengan pekerja.
MESRA...kerap berkongsi idea dengan pekerja.

DUA puluh lapan tahun lalu, gadis yang menyarung pakaian seragam berwarna putih berkain biru gelap itu sentiasa dikerumuni teman sekelas, terutama ketika ketiadaan guru di bilik darjah.

Bukan kerana teman sedarjah ingin bercerita mengenai rancangan kartun yang ditonton di televisyen pada malam sebelumnya, tetapi menantikan sesi membeli gula-gula dan makanan ringan di 'gerai kecil' milik si cilik bernama Nadira Mohd Yusoff.

  • Foto

    BAHAGIA...keluarga bahagia Nadira.

  • Foto

    IKTIRAF...Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd memenangi Anugerah NEF-Awani, Syarikat Paling Berinovasi 2011.

  • Foto

    BANGGA...syarikat diwarisi daripada bapa kini di tahap membanggakan.

  • Foto

    BANGGA...syarikat diwarisi daripada bapa kini di tahap membanggakan.

  • Foto

    PRODUK...Morrieland mendapat perhatian ramai.

Kini meneruskan legasi Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nadira mengakui seawal usia tujuh tahun, dia mencintai dunia perniagaan.

"Di kedai, kawan menerima lima biji gula-gula untuk 10 sen tetapi jika dibeli secara banyak (atau pukal) diskaun boleh dinikmati dalam bentuk pertambahan jumlah gula-gula.


"Di situ, saya memahami jika membeli secara borong atau pukal, lebih banyak kebaikan dan manfaat diterima oleh pembeli. Sejak itu, saya memulakan perniagaan runcit di kelas.


"Dan tak sangka, hal sama terjadi ke atas anak sulung yang kini aktif menjual biskut buatan saya di sekolah," katanya ketika ditemui di Damansara Perdana.

Menanam cita-cita bergelar polis akibat pengaruh drama bersiri Hong Kong satu ketika dulu, wanita muda yang murah dengan senyuman ini berkata, selain aktif 'menjaja', dia turut berkecimpung dalam sukan, terutama golf.

Pernah mewakili daerah Petaling dan negara, termasuk di kejohanan China Ladies Open, anak sulung daripada dua beradik perempuan ini berjaya meraih kedudukan juara pada 1994.

Katanya, bidang sukan membuatkan dirinya lebih bersemangat dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran mahupun pertandingan. Biarpun tidak berjaya mendapat kedudukan lima teratas, yang pasti kekecewaan ditebus dengan usaha berkualiti.

Biarpun zaman persekolahan sudah lama berlalu, minat Nadira terhadap sukan golf masih utuh dan kini, dia kerap menghabiskan masa bersama pelanggan di padang golf berbanding pusat hiburan.

Katanya, padang golf adalah pusat 'pemantauan' yang sesuai untuk mengenali
bakal pelanggan.

Sikap ditonjol ketika bermain di padang mencerminkan sifat mereka mengendalikan perniagaan.

Tidak mengenal erti 'duduk diam', pada saat teman sekuliah Fakulti Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan sebilik asyik menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan berlibur atau mengulang kaji pelajaran, Nadira sibuk mengajar tuisyen pada waktu malam.

Tidak cukup dengan itu, wanita berdikari ini sanggup merentas sempadan memasuki negara jiran, Singapura untuk menjana pendapatan lebih tinggi dengan bekerja sambilan di gedung beli-belah.

Katanya, dia enggan menghabiskan masa tanpa melakukan sesuatu, sebaliknya ia digunakan untuk mencari pengalaman serta kewangan. Yang pasti, Kota Singa menjadi pilihan apabila membayangkan pulangan lumayan.

Berakhir saja pengajian di UTM, Nadira mengambil langkah berani untuk meneruskan pencarian rezekinya di Singapura sebelum ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat elektronik hampir dua tahun.

Mengerah kudrat di negara yang mengamalkan budaya asing bukan sesuatu perkara mudah, apatah lagi, dia satu-satunya pekerja wanita yang juga dari Malaysia dalam kelompok tugasannya.

"Dikelilingi kelompok lelaki asing memberi kelebihan kepada mereka untuk 'membuli' saya. Erti kata, buli itu bukan bermaksud sentuhan fizikal, sebaliknya saya diminta bekerja melebihi waktu bertugas, malah kadangkala tidak berkesempatan pulang ke rumah 24 jam.

"Namun pengalaman di sana membuatkan saya bertambah kuat, berdisiplin dan enggan mengaku kalah dalam menghadapi cabaran. Pengalaman itu juga saya gunakan apabila mengambil alih Nadi-Ayu atas permintaan ayah," katanya.

Mula mentadbir syarikat pada 2002, wanita ini mengambil tindakan drastik memperkenalkan komputer riba jenama sendiri, Natsys. Bermula dengan enam kakitangan membabitkan ahli keluarga, komponen Natsys dipasang sendiri
dan dijual secara kecil-kecilan.

Dalam tempoh setahun, jenama Natsys mula dikenali ramai, pengeluaran pula mencecah 500 buah sebulan dengan pusat servis di seluruh Malaysia diuruskan bersama 30 kakitangan.

Menjelang 2007, Nadi-Ayu mula membekalkan komputer kepada Kementerian Pengajian Tinggi (Mohe) dan dianggap kejayaan besar bagi Nadira. Menyediakan komputer berasaskan Bumiputera, Natsys turut dibekalkan dengan aplikasi yang membantu pengguna ke tahap maksimum.

Pertemuan dengan seorang pelanggan membuka dimensi baru bagi Nadira apabila mencadangkan Nadi-Ayu menghasilkan aplikasi pengajaran Bahasa Inggeris untuk pelajar, terutama di tahap awal.

Pucuk di cita, ulam mendatang, Nadi-Ayu kemudian ditawarkan geran kewangan daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Nadira memulakan misi membangunkan satu aplikasi pendidikan Bahasa Inggeris secara on-line berfungsi meningkatkan skil membaca dan pengetahuan umum bagi kanak-kanak, Morrieland sebelum dilancarkan pada 26 Oktober 2011.

Menakjubkan apabila aplikasi yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima sambutan menggalakkan, terutama di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

Terbaru, Nadi-Ayu menerima Anugerah Jenama Komputer Terbaik Malaysia, Pilihan Editor HWM 2011 dan Anugerah NEF-Awani, Syarikat Paling Berinovasi 2011.

Sampah jadi seni

Posted: 17 Mar 2012 08:07 PM PDT

TERKENANG ZAMAN KANAK-KANAK...O'Brien bersama hasil kerja yang digemarinya, raifal tempur M4.
TERKENANG ZAMAN KANAK-KANAK...O'Brien bersama hasil kerja yang digemarinya, raifal tempur M4.

DAYA kreativiti seorang artis membolehkannya memberi makna baru kepada objek 'pakai buang' apabila dia membina pelbagai rekaan menggunakan kadbod terpakai.

Hasil ketelitiannya, Mark O'Brien mencantumkan kotak terbuang untuk membentuk objek tertentu dengan saiz sebenar.


Antara karyanya yang menakjubkan ialah kamera, kasut, topi, pistol dan kelengkapan di meja makan.

  • Foto

    KARYA DIIKTIRAF... peminat seni melihat hasil kerja tangan O'Brien di sebuah galeri.

  • Foto

    KAMERA SLR... pastinya bukan untuk foto digital.

  • Foto

    KOMPUTER RIBA... kalau boleh diguna, pasti ia komputer paling ringan pernah dihasilkan.

Karya O'Brien kini banyak dipamerkan di galeri seni, selain sesetengahnya menjadi penghias beberapa sekolah dan panggung teater.


Untuk menyiapkan sebuah kamera, O'Brien memerlukan masa dua hari menggabungkan pelbagai potongan kadbod secara teliti. Dia juga mahir membentuk alat muzik selo dan raifal M4.


Kata O'Brien, sebenarnya ramai pihak tidak menyedari kadbod adalah bahan yang hebat.

"Paling asas, ia percuma dan sangat membantu artis muda untuk berkarya tanpa mengeluarkan modal," katanya.


Selain itu, kata O'Brien, ia juga dekat dengan setiap orang kerana ramai daripada kita pernah bermain kadbod ketika zaman kanak-kanak.

Berasal dari Wigan, O'Brien berkata, dia mula melakukan eksperimen dengan kadbod ketika berusia 17 tahun.


"Saya memang suka membentuk pelbagai objek sejak kecil, seperti model kapal terbang," katanya.


Ditanya objek pertama berjaya dibentuknya dengan kadbod, O'Brien berkata: "Rasanya, senapang." Memiliki bakat semula jadi sejak awal, ia kemudian dikembangkan apabila O'Brien melanjutkan pelajaran dalam bidang grafik, seni dan reka cipta di Universiti Leeds.


Kata O'Brien, ia sesuatu yang baru dan bukan kursus seni tradisional.


"Bersama penuntut lain, kami mendapat kebebasan melakukan eksperimen guna pelbagai benda," katanya.


Selepas melakukan pelbagai percubaan, pensyarah O'Brien melihat keunikan pada karyanya dan memberi galakan supaya ia dikembangkan dengan betul.


Bermula secara kecil-kecilan, kini O'Brien membuka studio sendiri di Manchester, selain mempamerkan karyanya di pelbagai galeri serta kedai.


"Banyak karya saya dibeli dan sesetengahnya dihantar ke Amerika Syarikat untuk dipamerkan atau dijual," katanya.


Menurut O'Brien, antara pelbagai objek ciptaan, kebanyakan orang berminat kepada kasut dan topi.


Katanya, ketika berkarya, dia sering mencari barangan yang mempunyai nilai kebudayaan dan menghasilkannya secara kreatif.


"Kadangkala saya melakarkan dulu objek berkenaan, tetapi pada masa lain, saya terus memotong kadbod dan membinanya," katanya.


Disebabkan kreativitinya yang unik dan tinggi itu, sambutan diberi terhadap karya seumpama itu begitu menggalakkan.


Satu daripada gitar kadbod diciptanya kini dipamerkan di sebuah galeri di AS, manakala seseorang di Dubai menggantungnya di rumah.


Tidak lama lagi, ciptaan O'Brien akan dipamerkan di London.


"Kedai itu menjual perabot buatan tangan. Justeru itu, saya perlu menyiapkan pelbagai peralatan pertukangan kayu, seperti gergaji dan ragum," katanya.


O'Brien berkata, dia sangat gembira apabila karya seninya digemari dan dihargai.


"Saya tak fikir saya terlalu aneh," katanya.

Pastikan dapat cukup khasiat untuk bayi

Posted: 17 Mar 2012 08:05 PM PDT

AMBIL BERAT... wanita hamil perlu tahu makanan yang baik untuk mereka.
AMBIL BERAT... wanita hamil perlu tahu makanan yang baik untuk mereka.

MAKANAN yang begitu digemari, tiba-tiba terasa memualkan tekak. Kalau dulu, tidak menjadi masalah menghadap menu nasi campur setiap hari tetapi kini, mendengarnya saja membuatkan tekak kembang, apa lagi jika mahu menjamahnya.

Bermacam-macam pengalaman baru dilalui ibu hamil. Perubahan secara tiba-tiba kadangkala menimbulkan rasa pelik orang sekeliling dan sukar difahami mereka yang tidak pernah mengalaminya.


Namun, begitulah situasi yang perlu dihadapi wanita mengandung hinggakan ada kalanya banyak bauan yang mereka tidak boleh kompromi serta dirasakan mengganggu ketenangan, misalnya tumisan cili daripada gerai berhampiran mahupun bau bawang putih yang pada ketika tidak hamil, bukan masalah besar jika terhidu.

Walaupun banyak makanan sukar masuk ke mulut akibat loya dan muntah- muntah, wanita hamil perlu memastikan mereka mengambil makanan seimbang daripada semua kelas makanan.


Ketika hamil, pelbagai persoalan bermain di benak fikiran sama ada mereka boleh makan makanan tertentu atau sebaliknya. Ini disebabkan banyak makanan dikaitkan dengan kesan baik dan mudarat pada wanita mengandung mengikut kepercayaan sesuatu kaum.


Ada empat kelas makanan dalam piramid makanan yang perlu diambil berat iaitu kelas keempat, karbohidrat; kelas ketiga (buah-buahan dan sayuran), kelas kedua (makanan tenusu dan protein daging manakala kelas pertama (manisan).

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Klang, Dr Tricia Thomas, berkata wanita hamil perlu mengambil hidangan daripada kelas tertentu mengikut peratusan yang dinasihatkan dan makan lebih kerap, sekurang-kurangnya tiga hidangan yang normal iaitu pagi, tengah hari dan malam.


Mereka juga perlu mengambil dua atau tiga hidangan kecil antara hidangan besar berkenaan iaitu di antara waktu sarapan pagi dengan makan tengah hari dan waktu petang, bergantung kepada keadaan wanita terbabit.

Tiga bulan pertama kehamilan iaitu dari awal kehamilan hingga 12 minggu, wanita terbabit biasanya mengalami muntah-muntah. Waktu itu, mungkin sukar untuk mereka menjamah lebih banyak makanan.


Untuk mengelakkan dehidrasi, mereka perlu minum air yang mencukupi dan elakkan makanan berminyak serta makanan yang boleh menyebabkan mereka muntah-muntah.


Bergantung kepada individu, wanita itu sendiri boleh mengenal pasti hidangan yang boleh mereka ambil serta makanan yang mudah menyebabkan mereka muntah.


Ada yang menganggap wanita hamil perlu makan lebih banyak kerana mereka makan untuk dua orang. Sebenarnya, mereka tidak perlu berbuat demikian tetapi penting untuk memastikan mendapat keperluan zat dan vitamin yang cukup untuk tumbesaran janin.


"Lebihkan pengambilan makanan yang tawar manakala jika loya dan muntah-muntah dialami terlalu teruk hingga menyebabkan kekurangan air dalam badan, wanita terbabit dinasihatkan bertemu doktor.


"Proses menggantikan kehilangan air dalam badan akan dilakukan dan wanita terbabit ditahan di wad hingga keadaan kesihatannya stabil," katanya.


Sebaik-baiknya mereka minum air yang dimasak kerana air tapisan biasanya masih mengandungi bakteria. Seperti orang biasa, keperluan wanita hamil ialah lapan gelas sehari.


Makanan masam mungkin boleh membantu mengatasi loya tetapi ia perlu diambil dalam kuantiti sederhana.


Untuk memenuhi keinginan menikmati makanan yang diidam juga ada hadnya. Elakkan mengambil dalam kuantiti terlalu banyak, sebaliknya makan dalam kuantiti sederhana dan hidangan yang ada dalam kelas makanan.


Makanan seperti salad dan ulam boleh dimakan ketika hamil tetapi perlu dipastikan benar-benar bersih. Makanan mentah seperti sushi tidak digalakkan dimakan kerana mungkin mengandungi bakteria jika tidak disediakan dengan baik.


Sajian panggang atau salai seperti salmon dan daging juga perlu dielakkan kerana dikhuatiri tidak dimasak dengan betul atau masih mentah kerana mungkin mengandungi bakteria seperti listeria dan salmonella. Kehadiran bakteria salmonella misalnya boleh menyebabkan cirit-birit.


Pengambilan makanan yang tidak dipasteurkan seperti keju dan susu segar daripada ladang juga perlu dielakkan kerana dikhuatiri mengandungi bakteria.


Hindarkan ikan marlin, ikan yu dan makanan laut jenis kerang-kerangan mempunyai kandungan merkuri yang tinggi, sebaliknya ikan yang berminyak seperti salmon, kod, tilapia dan keli baik dimakan kerana mengandungi Omega 3 yang baik untuk kesihatan.


Bagaimanapun, usah diambil dalam kuantiti yang terlalu banyak, sebaliknya memadai dua atau tiga hidangan seminggu.


Pelbagai tanggapan dan andaian dikaitkan dengan telur ikan, udang atau sotong yang dikatakan mempunyai kolesterol tinggi atau boleh memberi kesan sampingan. Jika orang biasa pun tidak digalakkan makan terlalu banyak jenis telur berkenaan, apatah lagi ibu hamil.


Bolehkah mereka memakannya? Dr Tricia berkata, telur ikan atau sotong boleh dimakan wanita hamil tetapi dalam kuantiti sederhana. Begitu juga daging kambing dan lembu yang dikatakan 'panas,' wanita hamil masih boleh memakannya tetapi dalam kuantiti sederhana.


"Jangan tersalah anggap mengenai pendarahan yang berlaku pada wanita mengandung. Ia bukan disebabkan mengambil makanan 'panas' tetapi berpunca daripada kedudukan uri yang rendah atau disebabkan perubahan hormon.


"Semua kaum mempunyai kepercayaan tersendiri mengenai makanan yang boleh memberi kesan buruk jika diambil wanita mengandung, bagaimanapun tiada bukti kukuh mengenai teori berkenaan.


"Orang Cina, misalnya menganggap makanan 'sejuk' tidak boleh diambil ketika hamil, manakala orang Melayu percaya makanan 'panas' memberi kesan sampingan kepada ibu dan bayi dalam kandungan," katanya.


Memakan nanas pula dikatakan boleh menggugurkan kandungan dan ia kepercayaan kebanyakan kaum. Sebenarnya, ia bergantung kepada tubuh wanita berkenaan kerana ada ibu hamil yang terminum jus nanas tetapi tiada kesan mudarat. Jika teringin, makan dalam kuantiti sedikit kerana buah ini tidak sesuai dimakan ketika awal kehamilan.


Dr Tricia berkata, kafein sememangnya diketahui tidak baik untuk kesihatan dan ibu mengandung perlu mengelakkan pengambilan minuman itu.


Jika ibu hamil menggemari kopi, cuba hadkan pengambilan minuman itu kepada satu gelas sehari. Sementara itu, teh dan koko cuma mempunyai sedikit kafein berbanding kopi.


Ubat-ubatan dan herba juga perlu diberi perhatian kerana ada ubat yang boleh menjejaskan kandungan, terutama ketika proses pembentukan janin.


Wanita hamil memerlukan zat besi antara 30 hingga 60 gram sehari. Zat besi dan asid folik penting untuk mengelakkan kekurangan darah (anemia) dan ada kaitan dengan pembentukan saraf dan otak yang tidak sempurna pada bayi.


Dalam sesetengah keadaan, kekurangan zat besi dan asid folik menyebabkan 'neural tube defects' iaitu jenis kecacatan dalam otak seperti spina bifida, encephalocoele (otak membengkak menyebabkan kepala besar) dan anencephaly (tiada tengkorak).


Pada tiga bulan sebelum hamil, ibu hamil perlu mengambil 400 mikrogram asid folik sehari dan ia harus diteruskan sepanjang kandungan.


Vitamin C perlu untuk penyerapan zat besi bagi menghindari anemia. Biasanya, semua ubat berkenaan dibekalkan doktor. Apapun, jika ibu hamil mengamalkan pemakanan harian seimbang, keperluan vitamin C dan D untuk dirinya dan kandungan sudah mencukupi.


Bagi golongan pemakan sayur-sayuran (vegetarian), mereka boleh mendapatkan protein daripada kekacang seperti soya, kacang kuda, kacang hijau, kacang tanah dan kacang pinto.


Sumber protein lain ialah daripada bijirin penuh seperti oat, barli, roti dan nasi. Beras perang lebih banyak vitamin daripada beras putih. Selain itu, ibu hamil di kalangan vegetarian juga boleh mendapatkannya daripada bijirin dan pasta.


Menurutnya, bijirin penuh mengandungi kandungan vitamin B yang tinggi. Jenis kekacang seperti almond, badam, gajus, macadamia turut mempunyai protein dan sumber Omega 3 menggantikan daging.


Sumber kalsium pula banyak ditemui dalam sayur hijau, kekacang, susu dan tempe. Vitamin D juga penting untuk bayi dalam kandungan. Ia turut diperoleh daripada pancaran cahaya matahari.


Ada ibu hamil teringin makan benda pelik seperti sabun, arang atau tanah. Tidakkah tindakan mereka memakan makanan berkenaan memudaratkan kesihatan? Sebenarnya, mengidam makanan pelik mungkin menunjukkan ibu hamil kekurangan zat mineral tertentu dalam tubuh, terutama zat besi. Makan benda pelik tidak digalakkan kerana dikhuatiri memberi kesan buruk kepada kandungan.


Kuantiti kalori untuk wanita biasa yang tidak mengandung antara 1,600 hingga 2,000 kalori sehari. Pada tiga bulan (trimester) pertama (kehamilan 0 hingga 13 minggu), keperluan itu meningkat sehingga 85 kalori sehari, menjadikan keperluan mereka antara 1,685 hingga 2,085 kalori sehari.


Ketika trimester kedua (kehamilan 13 hingga 28 minggu), keperluan untuk mereka meningkat sehingga 285 kalori sehari, manakala trimester ketiga (kehamilan 28 hingga 40 minggu), peningkatan keperluan kalori ialah 475 kalori sehari.

ATV ibarat terapi minda

Posted: 17 Mar 2012 08:03 PM PDT

MINAT...Wan Ahmad Johari minat  mendorong golongan remaja terbabit dalam aktiviti ATV.
MINAT...Wan Ahmad Johari minat mendorong golongan remaja terbabit dalam aktiviti ATV.

FENOMENA baru menghangatkan lagi sukan permotoran dan pelancongan tanah air apabila All-Terrain Vehicle (ATV) diperkenalkan di pantai peranginan di Terengganu sebagai satu wadah sukan serta hiburan kepada peminatnya.

Kemudahan itu wujud sejak lapan bulan lalu di Pantai Batu Burok serta Teluk Ketapang dan dilihat dapat menarik minat golongan muda untuk merasai pengalaman mengemudi jentera empat roda berkenaan.

Dulu, ATV lebih popular di kawasan litar khas yang dibina, terutama di laluan mencabar dan berbukit, bagi menguji kelasakan pengendali jentera itu mengharungi laluan disediakan.

Bagaimanapun, lambakan jentera berkenaan, terutama dari China, mendorong pengusaha membawa masuk ATV dan mempromosikannya sebagai satu alternatif bagi golongan muda untuk tujuan rekreasi.


Peminat ATV, Nur Adlin Sahira Zulkifli, 19, berkata bermula daripada pengalaman pertama mencubanya lapan bulan lalu, dia kini kian meminati ATV memandangkan jentera itu lebih selamat digunakan.


"Setiap minggu, dua atau tiga kali saya menyewa ATV di Pantai Batu Burok dan dengan cara rekreasi menggunakan jentera itu dapat menghilangkan kepenatan serta melepaskan tekanan kerja.

"Walaupun dilihat mudah mengemudi, teknik betul perlu dipelajari bagi mengemudi jentera itu kerana ia adalah peralatan berenjin," katanya.

Menurutnya, ada yang berasakan sukan dan aktiviti itu tidak sesuai bagi wanita, namun tanggapan itu tidak tepat kerana ATV mudah dikendalikan semua golongan, termasuk kanak-kanak, tetapi harus memahirkan mereka sebelum dibenarkan mengendalikan secara berseorangan.

Katanya, aktiviti itu boleh dilakukan secara berkeluarga bagi yang berkemampuan dan ia pasti mengeratkan silaturahim antara mereka dan mewujudkan masyarakat penyayang.

Bagi Nor Aznina Safina Azhar, 15, dengan adanya kemudahan sewaan ATV, ia sedikit sebanyak dapat mengelak, terutama remaja, melakukan perbuatan tidak berfaedah seperti merempit.

"Dengan menggunakan ATV, 'kaki' rempit dapat melepaskan geram di tempat dibenarkan dan bukan di jalanan yang jelas membahayakan nyawa.

"Sukan dan riadah seperti ini dapat menenangkan jiwa, terutama golongan muda yang sering berdepan cabaran seharian, dan ia satu alternatif baru bagi remaja di negeri ini untuk berhibur.

"Dulu memang sukar menunggang ATV, namun kemudahan yang tersedia dengan kadar sewaan berpatutan membolehkan saya turut berpeluang mengemudi jentera itu," katanya.

Menurutnya, mengendalikan ATV memerlukan fokus tinggi dan ia bersesuaian dengan dirinya selaku pelajar yang menuntut fokus setiap hari dalam pembelajaran.

Katanya, mengendalikan ATV dapat menghilangkan tekanan pelajaran dan membantunya mencari ketenangan, terutama ketika peperiksaan, selain banyak membantunya menumpukan perhatian serta fokus dalam melakukan sesuatu perkara.

Kakitangan swasta, Wan Ahmad Johari Adli, 27, berkata kewujudan ATV yang disewakan di Pantai Batu Burok sememangnya sesuai memandangkan kawasan itu lokasi riadah bagi pelbagai lapisan masyarakat.

"Jika bermain ATV di litar khas di lokasi lain, peminat perlu membelanjakan ratusan ringgit, termasuk memakan masa perjalanan panjang, namun di Pantai Batu Burok semuanya menjimatkan.

"Deruman enjin dan keligatan roda berpusing di atas pasir pantai memberi kepuasan kepada saya, selain dapat menggunakan jentera itu bagi tujuan beriadah dengan menunggangnya sepanjang pantai.

"Suasana ini sungguh mendamaikan, terutama bagi yang berkeluarga, kerana menyelusuri pantai menggunakan ATV satu pengalaman indah yang boleh dirasai di negeri ini," katanya.

Menurutnya, fenomena ATV yang melanda negeri ini bukan saja bertujuan untuk riadah dan rekreasi, malah digunakan individu di kampung dalam memudahkan urusan kerja mereka seperti di ladang serta kebun.

Mohd Firdaus Johary, 16, pula berkata, ketahanan fizikal dan mental sangat perlu bagi mengendalikan jentera itu berikutan ia bukan digunakan pada jalan biasa dan kaedah tertentu diperlukan bagi menggerakkannya di kawasan berpasir seperti pantai.

Menurutnya, aktiviti sukan seperti itu perlu diperluaskan kepada golongan muda bagi mengelak mereka terbabit dengan gejala tidak bermanfaat dan berfaedah yang boleh menjurus kepada perilaku jenayah.

"Sebelum ini saya menunggang ATV di Taman Tema Sunway Lagoon, namun adanya kemudahan ini di pantai peranginan memudahkan orang ramai untuk turut sama merasainya.

"Kebiasaan kita hanya melihat individu beraksi menunggang ATV di kaca televisyen, namun situasi itu berubah apabila ATV mula dikomersial di kawasan pelancongan. Sememangnya pantai adalah lokasi terbaik bermain ATV memandangkan bentuk muka bumi berpasir dan sesuai dengan tayar jentera berkenaan.

"Bagaimanapun, aspek keselamatan perlu dititik berat memandangkan ATV adalah jentera berenjin dan boleh mewujudkan pelbagai risiko jika tidak dikendalikan dengan sempurna," katanya.

Menurutnya, ATV adalah terapi minda yang baik dan mampu memberi kesegaran badan selepas beraksi dengan fokus tinggi bagi mengelak berlakunya kemalangan.



PROFIL 1:

NAMA: Nor Aznina Safina Azhar
UMUR: 15 tahun
ASAL: Manir, Kuala Terengganu
STATUS: Pelajar


PROFIL 2:

NAMA: Nur Adlin Sahira Zulkifli
UMUR: 19 tahun
ASAL: Batu Burok, Kuala Terengganu
KERJAYA: Kakitangan swasta


PROFIL 3:

NAMA: Wan Ahmad Johari Adli
UMUR: 27 tahun
ASAL: Kampung Kepong, Kuala Terengganu
KERJAYA: Kakitangan swasta


PROFIL 4:

NAMA: Mohd Firdaus Johary
UMUR: 16 tahun
ASAL: Kampung Panji, Kelantan
STATUS: Pelajar


INFO:

NAMA KENDERAAN: All-Terrain Vehicle (ATV) berkuasa 125cc dan 110cc
ASAL: Diimport dari China

SERVIS: Boleh disewa dengan kadar RM15 untuk 15 minit di Pantai Batu Burok dan Pantai Teluk Ketapang

SOKONGAN: Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu dan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Terengganu

Belajar menerima takdir

Posted: 17 Mar 2012 07:53 PM PDT

NERAKA DUNIA...sentiasa dikawal ketat.
NERAKA DUNIA...sentiasa dikawal ketat.

MELIHAT riak wajahnya, sukar mempercayai wanita berbangsa Cina yang hanya mahu dikenali sebagai Bella ini adalah banduan, apatah lagi dia dituduh membunuh teman lelakinya.

Berusia 37 tahun dan berasal dari Selangor, nyata terbit seribu kekesalan pada wajah wanita berkulit mulus ini. Bella didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dengan niat sebelum diturunkan kepada Seksyen 304 kanun sama kerana bunuh tanpa niat dan dijatuhi hukuman 12 tahun penjara.

  • Foto

    BELLA...dakwa mangsa keadaan.

  • Foto

    SITI...dakwa dianiaya adik.

Sambil menitiskan air mata, Bella memulakan bicara sepatah demi sepatah.
Mengakui kesal pada awalnya, namun sedikit demi sedikit dia cuba menerima ketentuan dunia.

"Bulan ini, genap dua tahun saya di sini. Sepanjang hayat, tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran akan menjejakkan kaki di penjara. Namun takdir tuhan tiada siapa tahu.

"Begitu juga saya yang tidak pernah terfikir akan jadi penghuni penjara pada usia 37 tahun," katanya yang sebelum ini bergelar guru muzik di sebuah pusat beli-belah terkenal.

Menurut Bella, titik hitam yang berlaku dalam hidupnya bermula selepas dia pulang bekerja pada awal pagi di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.

Sebaik membuka pintu utama, dia terkejut apabila mendapati sekujur tubuh kaku tidak bernyawa tertiarap di bahagian ruang tamu rumah pangsanya.

"Waktu itu saya terkejut dan panik seketika. Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana pertama kali berdepan situasi seperti itu. Saya kemudian mengambil sarung tangan dan itulah kesilapan paling besar dalam hidup apabila saya menyentuh dan menggoncangkan badan mangsa.

"Tindakan itu juga secara tidak langsung menjerat diri sendiri kerana cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) saya terlekat pada sarung tangan," dakwanya yang pernah berkahwin dan bercerai.

Tidak lama kemudian, polis tiba sebelum menahan Bella bagi membantu siasatan kerana dia satu-satunya saksi yang ada di tempat kejadian.

Ditanya perasaannya ketika dijatuhi hukuman, dengan tenang dia menjawab, ketika itu dia seakan-akan tidak berpijak di bumi dan merasakan hidupnya musnah.

Perit untuk diterima, namun Bella tiada pilihan dan terpaksa reda dengan ujian paling hebat dalam hidupnya. Mujur keluarga banyak memberi sokongan moral dan sentiasa bersamanya di saat suka dan duka.

"Saya rasa bertuah kerana keluarga sentiasa di sisi menemani. Mereka juga tidak pernah menyisihkan saya, malah datang melawat setiap bulan. Sokongan yang tidak pernah berbelah bagi menyebabkan hidup lebih tenang dan saya belajar menerima takdir yang ditetapkan," kata anak sulung empat beradik ini.

Pengalaman di dalam penjara banyak mengajarnya erti kehidupan sebenar. Mengakui janggal pada awalnya, namun selepas beberapa bulan Bella dapat membiasakan diri, apatah lagi dengan rakan senasib.

"Terus terang, dulu saya ingat penjara adalah tempat yang teruk, kotor dan membosankan, tapi kini selepas menjadi penghuni, saya tidak pernah rasa seperti yang orang luar katakan. Semua itu hanya momokan semata-mata.

"Meskipun kehidupan kami hanya di sebalik tembok, kami tidak pernah jemu atau bosan kerana sentiasa sibuk dengan aktiviti menyeronokkan dan membina keyakinan diri," katanya.

Hampir dua tahun menjadi penghuni penjara, banyak perkara dipelajari Bella, antaranya menjadikan hidupnya lebih berdikari dan sentiasa matang.

"Rutin harian di sini sangat berbeza dengan kehidupan di luar. Setiap hari kami perlu mencuci sendiri penjara kerana kebersihan sangat dititikberatkan.

"Saya juga banyak belajar mengenai kemahiran, misalnya cara membuat kek dan roti, mencanting batik, buat gula-gula dan kraftangan yang akan diaplikasikan sebaik keluar dari sini," katanya yang dijangka keluar pada 2018.


Gagal kawal marah kerana tandas

SEGALA-GALANYA malap bagi seorang gadis apabila ditahan polis selepas dituduh melakukan kekerasan terhadap adik perempuan kandungnya beberapa hari sebelum dia sepatutnya disahkan jawatan sebagai penolong akauntan di sebuah syarikat swasta terkenal negara.

Selain menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengawal sifat panas baran, dia terkilan adiknya tergamak membuat laporan polis hingga menyebabkannya terperuk dalam penjara akibat kesalahan tidak seberapa.

Lebih mengecewakan, darah daging sendiri sanggup ke balai polis bagi 'mengenakannya', sedangkan keesokannya si adik bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hanya mahu dikenali sebagai Siti, 24, semuanya gara-gara salah faham dan masalah keluarga yang sepatutnya boleh diselesaikan secara baik.

"Saya mengaku memang saya panas baran dan ada kala tidak dapat tahan perasaan itu, terutama apabila marah. Mungkin juga disebabkan saya mewarisi darah keturunan ayah yang berasal dari Qatar.

"Apabila kemarahan saya pada tahap maksimum, tubuh badan menggigil dan saya tidak mampu bercakap walau sepatah," kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Peristiwa itu berlaku hujung tahun lalu ketika tiada siapa di rumah keluarganya kecuali dia dan adik bongsu perempuannya. Orang tuanya juga sudah berpesan kepada dua beradik ini supaya jangan bergaduh dan buat hal sendiri.

"Sebelum keluar, mama berpesan kepada adik supaya jangan ganggu saya dan buat hal masing-masing, apatah lagi dia bakal menduduki SPM keesokan harinya. Ketika menonton televisyen, tiba-tiba saya sakit perut lalu bergegas ke tandas.

"Saya dapati adik berada di dalam tandas lalu menyuruhnya keluar sebab tidak tahan mahu buang air, namun dia tidak mengendahkan saya, malah mengejek dengan suara menyakitkan hati.

"Saya bengang dan terus naik marah. Sebaik dia keluar daripada tandas, saya mencampakkan sebakul kain yang sudah dikeringkan ke arahnya sebagai tanda tidak puas hati (hingga menyebabkan kecederaan)," katanya yang kehilangan ayah tercinta akibat serangan jantung.

Selepas kejadian itu, Siti merasakan ia berakhir dan terus menonton televisyen sebelum masuk ke bilik. Tidak berapa lama kemudian, pintu biliknya diketuk dan dia terkejut apabila mendapati dua anggota polis menyuruhnya mengikut ke balai akibat kekasaran yang dilakukan terhadap adik kandungnya.

Siti kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil untuk direman selama empat hari sebelum dibawa ke Mahkamah Jalan Duta untuk dibicarakan.

"Waktu itu saya kehilangan kata-kata dan rasa 'down' apabila adik kandung sanggup menganiaya. Siapa tidak sedih bila darah daging sendiri tergamak melakukan perbuatan yang tidak patut berlaku, malah boleh diselesaikan secara aman.

"Perasaan kecewa, marah dan geram semuanya ada, namun apa yang mampu saya lakukan? Mujur mama masih percaya dan terus memberi sokongan untuk saya melalui hari-hari mendatang di sini. Saya juga hampir putus asa kerana kehilangan kerjaya yang diimpikan selama ini.

"Saya bercita-cita menjadi akauntan berjaya. Untuk merealisasikan impian itu, saya perlu menghadiri lima kali temu duga sebelum diterima bekerja, namun kini semuanya hilang dalam sekelip mata," katanya kesal.

Meskipun tidak biasa dengan kehidupan di penjara, Siti dapat menyesuaikan diri sedikit demi sedikit. Dia sedar setiap yang berlaku pasti ada sebab.

Siti kini menerima kenyataan dia bergelar banduan, namun sokongan diterima daripada ibunya menguatkan semangat untuk melalui hari mendatang dengan tenang dan tabah.

Ditanya adakah adiknya datang melawat, sambil tersenyum Siti menjawab, ada.
Adiknya datang bersama ibunya sambil tidak berhenti-henti memohon maaf atas apa yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.

"Saya sudah lama maafkan dia, cuma tidak boleh lupakan peristiwa ini sepanjang hidup. Ia memberi impak besar kerana dalam sekelip mata saya hilang segala-galanya," katanya yang dikenakan hukuman penjara setahun mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Selera Yemen di Lazeezah

Posted: 17 Mar 2012 07:50 PM PDT


Kebab yang diselang-seli dengan bawang dan cili benggala.


KEENAKAN menikmati hidangan autentik dari Yemen pasti menjadi antara detik terindah apabila pengunjung dipelawa menyarung hajaba atau jubah labuh bersulam dan bertitip manik warna-warni.

Dipadan pula dengan hiasan kepala juntaian manik hasil kerja tangan wanita Yemen sambil duduk bersila dalam 'khemah badwi' merah berbelang hitam - cukup melengkapkan suasana Timur Tengah di restoran ini.

Sinonim dengan gelaran Lazeezah yang bermaksud lazat, restoran ini mementingkan ramuan asli untuk mengekalkan rasa tulen dalam masakan dengan hanya menyajikan hidangan berkualiti dan terpilih. Empat chef dibawa khas dari Yemen bukan sekadar memilih rempah ratus untuk hidangan lauk-pauk namun nasi seperti kabsah dan haneeth, yang juga enak dimakan begitu saja.

Dekorasi Flight 001 curi tumpuan

Posted: 17 Mar 2012 07:49 PM PDT


Bentuk separa bulat menggambarkan replika kapal terbang.


KEDATANGAN penulis ke butik ini disambut mesra oleh pekerja yang lengkap seragam pramugari. Dengan berpakaian biru, mereka tampil kemas dan mesra menyambut pelanggan di pintu masuk.

"Selamat datang ke Flight 001," ucap 'pramugari' ini selayaknya penumpang melangkah masuk ke dalam pesawat.

Reka bentuk dalam butik ini kelihatan berbeza dengan butik-butik sederet dengannya.

Terletak di kompleks beli-belah Bangsar Village 11, Kuala Lumpur, ia menampilkan dekorasi yang unik.

Pengunjung pasti teruja dengan rekaan hiasan dalaman yang ringkas tetapi kemas dan bergaya.

Bentuk separa bulat menggambarkan replika kapal terbang.

Kaunter bar dicipta khas untuk mempamerkan rekaan unik dan glamor alaf.

Berhenti kerja kumpul barang antik

Posted: 17 Mar 2012 07:48 PM PDT


ROM bersama sebahagian daripada koleksi mesin taip antik miliknya.


ASALNYA, jejaka berusia 27 tahun ini mencari barang-barang lama seperti mesin taip, kamera dan peti kayu lama bagi menghiasi rumahnya yang berkonsepkan gabungan vintaj dan moden.

Mendapat inspirasi dekorasi daripada rumah-rumah di luar negara seperti di England dan Amerika Syarikat melalui blog-blog yang diikutinya, barangan antik itu bukan sekadar dijadikan perhiasan malah diubah suai untuk pelbagai kegunaan seperti peti kayu lama diletakkan kusyen di atasnya lalu menjadi tempat duduk merangkap kotak menyimpan barang.

Keterujaan Mohd. Romaizie Muhammad Mustapha atau mesra disapa Rom membawanya hingga ke kawasan pedalaman demi memburu barang-barang lama.

Mesin-mesin taip lama diletakkan di penjuru rumah melengkapkan citarasanya dalam seni hiasan dalaman vintaj dan moden.

Batasan kehidupan manusia

Posted: 17 Mar 2012 07:46 PM PDT


KARYA berbentuk Surrealist ini sesuai dengan tajuknya, Limitless yang mampu merungkai proses kehidupan manusia.


Lagu tersebut sudah tentu tidak asing dalam kalangan masyarakat di negara ini, lebih-lebih lagi apabila ia dinyanyikan oleh Ratu Rock, Ella.

Bagaimanapun, rama-rama yang dilukis oleh seniman muda tempatan, Haafiz Shahimi amat berlainan daripada yang lain.

Karya berbentuk Surrealist ini tampak kemas dan sesuai dengan tajuknya, Limitless. Ia membolehkan rama-rama itu mengingatkan kita mengenai kebesaran dan kehebatan-Nya.

Biarpun tidak ramai pelukis menjadikan serangga kecil itu sebagai subjek utama kepada lukisan mereka, Haafiz nyata bijak menggabungkan keindahan ilustrasi berteori psychoanalysis daripada Sigmund Freud.

Malah beliau secara tidak langsung berjaya mencipta satu siri kerja berdasarkan identitinya selaku seniman yang sedang mengukir nama bersama media campuran.

Keringkasan dan kedalaman makna yang tersirat dalam karya itu membawa maksud yang tersendiri, bergantung kepada mereka yang menilainya.

Kitar hidup rama-rama bangkit kesedaran

Haafiz berkata, rama-rama merupakan sejenis serangga yang unik dan sayapnya cantik dihiasi dengan pelbagai warna.

"Kitar hidup rama-rama yang dinamakan metamorfosis itu amat menarik diperhatikan bermula dari telur, larva (ulat bulu), pupa dan akhirnya menjadi imago (rama-rama).

"Pada permulaannya, telur akan mengeluarkan ulat bulu yang kelihatan hodoh dan hanya boleh merayap di pokok-pokok dan memakan dedaun.

"Sampai suatu masa, ulat bulu akan menjadi pupa atau dalam bahasa mudahnya menjadi kepompong dan bersedia untuk menjadi rama-rama.

"Setelah sampai suatu tempoh, akhirnya keluarlah rama-rama yang cantik. Ia hebat dan indah bukan?," jelasnya ketika ditemui di Galeri Core, SS 15, Subang Jaya.

Berbalik kepada karyanya itu, beberapa pengajaran atau ulasan boleh diperhatikan.

"Rama-rama dilihat manusia sebagai satu hidupan yang terbang bebas dengan aman damai tanpa ada musuh atau masalah.

"Proses kitaran hidupnya juga mirip dengan proses kelahiran manusia. Sebab itu, saya pilih serangga ini bagi menggambarkan kehidupan yang mempunyai perjalanan yang amat panjang dan penuh berliku.

"Kehidupan adalah suatu perjalanan panjang yang perlu dilalui oleh setiap manusia dengan betul supaya kelak akhirnya sampai ke matlamat yang benar," katanya.

Dianggarkan lebih daripada berjuta spesies rama-rama telah dikenal pasti dan kehidupan mereka amat singkat.

Menurutnya, karya Limitless ini menerangkan mengenai kehidupan di dunia hanyalah sementara dan tidak kekal.

"Saya cuba untuk menceritakan kehidupan rama-rama yang hidup di atas muka bumi ini dengan pelbagai rintangan hingga akhir hayat.

"Walaupun ia hanyalah satu karakter kecil pada pandangan ramai, tetapi ia menarik minat penonton yang menyaksikannya," ujarnya.

Sajian Thai pembuka selera

Posted: 17 Mar 2012 07:45 PM PDT


CHEF IRIZUAN AHMAD


MASAKAN Thai cukup terkenal di Asia kerana keseimbangan perasa yang terdapat di dalam setiap hidangannya.

Antara hidangan yang terkenal seperti tom yam kung pastinya membuka selera makan tengah hari ataupun malam setiap individu.

Setiap hidangan tom yam yang pelbagai jenis itu disajikan dengan rasa pedas, masam, manis dan masin menjadikan hidangan itu cukup menyelerakan.

Maka tidak hairanlah mengapa masakan Thai yang dikatakan berasal dari empat rantau yang berbeza mempunyai pengaruh yang tersendiri.

Menurut Chef Irizuan Ahmad dari Hotel Vistana Kuala Lumpur, masakan Thai merupakan antara sajian kegemaran pelanggan- pelanggannya, selain masakan Melayu.

"Masakan Thai digemari ramai kerana rasanya unik dan aromanya segar dengan bahan-bahan campuran pelbagai jenis melengkapi kehendak ramai," katanya.

Katanya, sajian itu biasanya dimakan bersama nasi dan hidangan lain yang saling melengkapi di antara satu sama lain serta boleh dikongsi seisi keluarga.

Menunya dihidangkan pada satu masa yang sama. Misalnya sajian yang terdiri daripada nasi goreng nanas, kari ayam hijau, som tam dan cendol nangka membuatkan mereka yang melihatnya berasa terliur.

"Masakan Thai sangat terkenal dengan penggunaan herba kering seperti daun ketumbar, lengkuas, pes cili Thai dan daun pudina.

"Sesetengah perisa lain dalam masakan Thai diperoleh daripada halia, lengkuas, kunyit, bawang putih, kacang soya, bawang merah dan lada hitam," katanya.

Pes cili Thai sedapkan hidangan

Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana pes cili Thai dihasilkan, ia tidak sesukar seperti disangka dan amat mudah didapati di pasaran.

Namun bagi Chef Irizuan, pes buatan sendiri pastinya lebih enak berbanding dengan pes segera.

"Pes cili buatan sendiri pasti lebih segar dan aromanya lebih kuat. Selain itu, kita boleh memeram pes tersebut sesuai dengan kehendak sesuatu masakan.

"Semua jenis cili boleh menghasilkan pes cili Thai. Daripada cili segar sehinggalah cili kering yang dikisar bersama bawang merah, bawang putih, daun limau, serai, lengkuas, daun pandan, garam, air limau kasturi, daun ketumbar, lada hitam dan daun pudina bakal menyedapkan lagi masakan anda,"

katanya.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin menikmati masakan tulen Thailand, apa kata singgah ke Vistana Coffee House yang sedang mempromosi makanan dari Negara Gajah Putih itu selama dua bulan sehingga 21 April ini.


Tak peduli anak gadis berkahwin

Posted: 17 Mar 2012 07:45 PM PDT

TIDAK semua anak bahagia bersama keluarga masing-masing, ada juga kalangan mereka yang terpaksa hidup menumpang dengan orang lain kerana ibu bapa amat sibuk dengan urusan dunia.

Maka membesarlah anak itu dengan orang yang diberi tanggungjawab mendidik mereka sehingga menjadi manusia walaupun orang yang mendidik adalah nenek sendiri.

Begitulah mukadimah kisah minggu ini, luahan hati seorang nenek mengenangkan nasib cucu sulungnya yang tidak dipedulikan ibu bapa sendiri.

Sehingga ke saat anak hendak diijabkabulkan, mereka masih berlagak macam orang asing, sehinggakan pada hari pernikahannya, si nenek menitiskan air mata kerana anak dan menantunya hanya datang sebagai tetamu,'' demikian cerita Makcik Lina kepada saya.

Untuk teladan dan iktibar, kita ikuti cerita seterusnya sebagaimana yang diceritakan oleh Makcik Lina.

"Saya berusia lewat 50-an, bekas pesara guru. Saya mempunyai tiga orang anak yang telah mempunyai kehidupan mereka sendiri. Anak sulung saya lelaki, dan dua anak perempuan.

"Sebagai anak sulung, tentunya dia memikul tanggungjawab berat untuk menjaga kebajikan saya dan suami, adik-adik serta anak-anaknya seramai empat orang.

"Anak sulung saya mempunyai tiga orang anak. Yang sulung perempuan, berusia 21 tahun, anak lelaki berusia 17 tahun dan yang bongsu, anak perempuan berusia 14 tahun.

"Ketika mereka berkahwin dulu, anak lelaki saya masih terkapai-kapai untuk hidup. Sama seperti anak saya, isterinya juga berkelulusan universiti. Secara umum memang saya bangga mempunyai anak dan menantu berkelulusan tinggi.

"Setelah enam bulan bernikah, menantu saya disahkan mengandung. Tentu seluruh keluarga amat gembira, lebih-lebih lagi saya dan suami kerana status saya akan bertukar menjadi nenek.

"Mereka dikurniakan anak perempuan yang diberi nama Amira. Saya amat gembira dengan kelahiran Amira. Walaupun sibuk mengajar, saya masih ada masa untuk mendidik dan mengajar Amira sehingga dia berjaya dalam pelajaran.

"Sebagai ibu, tentunya saya kasihan melihat anak dan menantu terkejar ke sana sini, mana hendak ke pejabat dan mana hendak menguruskan Amira. Akhirnya saya menawar diri untuk menjaga Amira sementara mereka mencari orang gaji atau pengasuh.

"Kegembiraan saya berganda apabila Amira tinggal bersama saya. Ketika itu, anak perempuan kedua saya belum berkahwin, dia turut membantu menguruskan Amira.

"Belum pun Amira berusia dua tahun, dia sudah ada adik, begitulah seterusnya sehingga anak ketiga mereka lahir, Amira seperti tidak ada dalam kehidupan ibu bapanya.

"Setiap kali saya ajukan pertanyaan bila hendak ambil Amira, anak lelaki saya akan berkata, tunggu dulu, tunggu dulu. Sehinggalah Amira masuk sekolah, tidak ada tanda-tanda mereka akan mengambilnya untuk dijaga. Akhirnya saya nekad tidak akan bertanya lagi sebab saya tidak mahu hubungan anak dan menantu menjadi renggang disebabkan saya mendesak mereka mengambil Amira.

"Saya pernah suarakan pandangan supaya mereka mengambil Amira semula tetapi jawapannya tetap sama, dia selamat bersama saya.

" Sepanjang tempoh itu, Amira tidak pernah mengeluh dan tetap menghormati ibu bapanya seperti tidak ada apa-apa berlaku.

"Yang saya sedih, ketika Amira dipinang orang, ibu bapanya tidak pulang meraikannya kerana berada di luar negara. Biarpun telah saya maklumkan tentang khabar gembira itu, dua minggu lebih awal, mereka tetap tidak ambil kisah dengan alasan tiket telah ditempah awal.

"Mereka hanya datang pada hari pernikahan kerana Amira perlukan wali. Pada hari persandingan, mereka datang sebagai tetamu. Terguris juga hati saya apabila mereka tidak tidur di rumah saya, sebaliknya menginap di hotel.

"Amira tidak ambil hati dengan sikap ibu bapanya itu sebab dia lebih sayangkan saya. Dia kata dia tidak peduli jika ibu bapanya tidak hadir, asalkan saya ada. Bayangkan anak yang sudah berusia 21 tahun berkata begitu setelah kehadirannya dalam usia itu seperti tidak wujud dalam diri ibu bapanya.

"Saya mengaku ia kesilapan saya di peringkat awal tetapi niat saya hanya untuk membantu meringankan hidup mereka. Tidak ada niat untuk memelihara Amira sehingga dia dewasa. Malangnya lain pula yang berlaku. Pada hari pernikahan Amira, saya katakan kepada anak saya (bapa Amira) yang saya amat sedih dan terkilan dengan sikapnya terhadap anaknya itu.

"Sepatutnya sebagai ibu bapa mereka ambil berat, tunjuk ajar, rasa gembira kerana anak akan melalui fasa baru dalam kehidupan. Ini tidak, mereka ingat sekadar bagi duit boleh mengubat hati saya dan Amira?

"Kalau mereka tidak bagi duit pun untuk urusan kenduri, saya boleh keluarkan duit sendiri. Anak-anak saya yang lain merungut dan marahkan abang mereka tetapi saya katakan kepada mereka, biarlah Allah yang tentukan apa yang terbaik untuk mereka.

"Amira dan anak-anak saya yang dua orang lagi memang rapat, ibu dan bapa saudaranya sangat sayang kepada Amira dan menjadi tulang belakang kepada majlis pernikahan tersebut.

"Saya sedih kerana keluarga mentua Amira tidak tahu akan nasib menantu mereka tetapi saya berharap jika mereka tahu sekalipun, biarlah Amira yang menceritakannya, bukan saya.

"Apa pun saya bersyukur kerana Amira telah selamat menjadi isteri orang. Semoga dia bahagia bersama suaminya walaupun saya akan kehilangannya dan akan merinduinya setiap waktu.

"Kepada ibu bapa di luar sana, jangan ketepikan anak-anak yang dipelihara oleh orang tua anda. Layan mereka seperti anak-anak lain walaupun anda tidak menjaga dan mendidiknya.

"Kepada ibu bapa pula, jangan terlalu simpati dengan kesusahan anak-anak, biarkan mereka berdikari dan belajar untuk hidup. Saya mengaku telah membuat kesilapan dan saya belajar daripada kesilapan itu dan berharap cucu-cucu saya tidak akan melakukan kesilapan yang sama. Mudah-mudahan Allah lindungi keluarga saya dunia dan akhirat,'' Makcik Lina menutup ceritanya.

Begitu cerita Makcik Lina. Saya faham kemelut yang dihadapi oleh Makcik Lina. Apa pun, tentunya Amira amat terhutang budi dengan neneknya itu. Saya puji sikap Amira yang tidak menyalahkan ibu bapanya, sebaliknya menerima takdir hidupnya dengan reda.

Semoga rumah tangga Amira akan kekal ke akhir hayat. Pesanan saya, jenguk-jenguklah ibu bapa bersama suami jika kelapangan dan jangan sekali mensia-siakan nenek yang telah mendidik anda sejak kecil hingga menjadi isteri orang.

Apa yang berlaku, anggap ia sebagai ujian untuk memberi kita yang terbaik dalam hidup ini.

Menutup catatan, jadikan rumah mu sebagai syurga yang diisi dengan ketenangan dan kasih sayang kerana dua perkara itu amat bernilai serta memancarkan cahaya yang di penghujungnya ada bahagia.

Salam

Dino 'kejar' Sitty selama 10 tahun

Posted: 17 Mar 2012 07:44 PM PDT


MESRA... Mahyuddin Sidik menerima belaian daripada isterinya, Sitty Chadijah.


UMPAMA seperti dalam filem Ali Setan, begitulah percintaan yang diibaratkan oleh Mahyuddin Sidik, 36, terhadap Sitty Chadijah Syarifuddin, 36. Tahap awal menyaksikan bagaimana dia cuba mencuri hati isterinya itu, biarpun cabaran demi cabaran terpaksa dilalui.

Penampilan dan personaliti Sitty Chadijah bagi Mahyuddin atau senang dengan panggilan Dino amat memikat perhatiannya. Justeru, dia mencuba pelbagai cara untuk memikat hati gadis idamannya itu. Namun begitu, seringkali dia tidak mendapat respons daripada Sitty Chadijah atau mesra dipanggil Sitty sahaja.

''Pada masa itu, kami baru masuk semester pertama pada tahun 1994. Kami belajar di fakulti yang sama iaitu Seni Lukis dan Seni Reka di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) di Shah Alam, Selangor.

''Pada mulanya, saya ingin mengambil jurusan seni halus iaitu bidang yang amat dekat dengan hati saya, namun apabila saya dapat tahu Sitty memasuki jurusan seni fesyen, terus saya bertukar jurusan yang sama untuk mendekatinya," kata Dino tersenyum memandang isterinya.

Apabila telah belajar dalam jurusan yang sama, Dino, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik tidak pernah berhenti mencuba untuk menakluk hati Sitty dengan pelbagai cara termasuk meminta bantuan daripada rakan-rakan Sitty.

Namun dia tetap tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada Sitty, sehinggalah memasuki semester keempat atau semester akhir, barulah Sitty mahu berkawan dengan Dino.

''Tidak tahulah kenapa saya tidak respons dengan dia pada awalnya. Saya rasa dia ini 'loyar buruk', macam suka main-main. Tapi lama-kelamaan saya boleh terima dia.

''Mungkin sebab kesungguhan yang ditunjukkan Dino menyebabkan saya rasa terharu dan mula membuka hati saya kepadanya," kata Sitty anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu apabila ditanya bagaimana akhirnya hatinya terbuka untuk menerima cinta Dino yang berasal dari Bagan Serai, Perak itu.

Hubungan mereka semakin serius setelah menamatkan pengajian dengan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam pengajian masing-masing pada 1998. Namun hubungan mereka masih tidak sampai ke alam rumah tangga.

Mereka perlu menimba pengalaman di pelbagai tempat termasuk pihak produksi dan agensi dalam bidang rekaan fesyen.

Sambil itu, Dino mula menghimpun duit kahwin. Rezeki untuk Dino akhirnya terbuka luas, apabila dia yang terkenal dengan kreativiti hasil rekaannya muncul juara dalam Pertandingan Jarum Berlian Rias (sebuah majalah terbitan Kumpulan Utusan) pada 1999. Dino juga pernah menerima anugerah Kostum Terbaik bagi Filem Puteri Gunung Ledang pada 2005.

Perjuangan mereka dalam dunia fesyen diteruskan dengan menyertai pelbagai pertunjukan fesyen di seluruh negara sebelum akhirnya menubuhkan Butik Molec yang berpangkalan di Ampang, Selangor, pada ketika itu.

''Dalam bidang rekaan, Dino memang seorang yang kreatif. Hasil ciptaannya amat mengagumkan dan saya banyak membantu menjadi orang di sebalik tabir.

''Idea menubuhkan Butik Molec dilontarkan saya kerana berpendapat sudah sampai masanya kami mempunyai sebuah tempat khusus untuk menghasilkan rekaan," kata Sitty yang pernah memenangi Anugerah Most Promising Young Designer oleh Datuk Bernard Chandran pada tahun 2000 dalam Pertandingan Jarum Berlian Rias.

Jikalau sudah jodoh memang tidak ke mana, pasangan ini akhirnya diijabkabulkan pada 10 Disember 2004 di Ampang Jaya, Selangor, dalam suasana penuh meriah ibarat reunion kepada rakan-rakan dan pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka ketika itu selepas enam tahun menamatkan pengajian.

Melayari bahtera kehidupan rumah tangga selepas 10 tahun cuba memikat dan mengenali hati budi Sitty, Dino yang aktif dalam Persatuan Pereka Fesyen Rasmi Malaysia (MODA) memberitahu, kehidupannya sekarang bahagia dikurniakan dua cahaya mata comel, Dhiya Camalia, 5 1/2 tahun dan Durra Kaiyisa, 3 1/2 tahun dan Sitty sekarang sedang berbadan dua mengandungkan anak yang ketiga.

Adatlah dalam dunia rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Keadaan itu turut dialami oleh pasangan ini, namun mereka sepakat berkata, setiap kali berlaku perselisihan faham, salah seorang daripada mereka perlu mengalah.

''Memang kena banyak sabar dalam dunia rumah tangga, tapi Dino memang seorang yang penyabar," kata Sitty.

Dalam bidang rekaan, Sitty lebih gemar dengan rekaan fesyen yang elegan, sebaliknya Dino lebih kepada rekaan berbentuk couture dan Islamik.

''Sekarang ini, kami lebih kepada menghasilkan busana daripada pelanggan tetap yang memang telah mengenali Butik Molec.

''Perancangan tidak lama lagi, kami berhasrat untuk memakai jenama Molec dalam setiap rekaan ready-to-ware yang akan kami letakkan sama ada di butik, mahupun di kompleks beli-belah mengikut peredaran masa dan fesyen," kata Sitty yang turut aktif bergiat dalam Persatuan Usahawan dan Produk Busana Muslim Malaysia.

Menambah lanjut, Dino memberitahu dirinya sekarang banyak melakukan projek penataan dan kostum untuk teater, iklan televisyen, drama dan yang terbaru adalah Projek Pop yang disiarkan di 8TV.

Kesenian pintu gerbang dan simbol tamadun

Posted: 17 Mar 2012 07:41 PM PDT


SEBANYAK 13 koleksi pintu gerbang menjadi daya tarikan terbaru kepada pengunjung pada Pameran Pintu Gerbang di Muzium Negara Kuala Lumpur.


BUKAN gayanya yang menarik perhatian. Tetapi pandangan matanya yang begitu fokus dan tumpuan yang diberikan wanita Mat Salleh ini terhadap apa ynag saksikannya menarik perhatian.

"Saya kagum, hasil seninya sangat indah, ini bukan sebarang ukiran," ujar Veta Shapkina, 30, berasal dari Moscow Rusia dalam bahasa Inggeris yang fasih.

Sambil mengusap-usap kehalusan sebidang besar ukiran kayu bertinta emas, Veta tidak ragu-ragu menyatakan bahawa mungkin dia akan memilih Malaysia sebagai negara baru untuk didiami jika benarlah negara ini begitu kaya dengan hasil seni yang sebegini indah.

"Anda pun tahu, sejak Soviet Union (Rusia) berpecah saya seperti kehilangan negara saya sendiri, yang tinggal hanyalah saya seorang yang berbangsa Rusia tetapi kemungkinan besar saya harus memilih sebuah negara baru untuk saya diami dan sehingga kini hati saya kuat untuk memilih Malaysia.

"Negara anda mempunyai banyak keindahan tersendiri, terutama hasil seni seperti ini bererti anda mempunyai pelbagai amalan budaya yang unik dan walaupun ukiran ini berunsurkan Islam (tulisan khat ayat-ayat suci Al Quran) tetapi ia membuatkan saya ingin meneroka dengan lebih jauh akan maksud di sebaliknya," katanya.

Veta ditemui di balai Pameran Pintu Gerbang yang akan berlangsung selama sebulan mulai esok, 17 Mac di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Suatu pameran yang tidak harus dilepaskan kerana dengan mengunjungi Pameran Pintu Gerbang ia bagaikan melangkah masuk dari pintu gerbang yang akan membawa kita kembali mengenali budaya bangsa.

Sebanyak 13 koleksi pintu gerbang dipamerkan dengan sembilan daripadanya adalah koleksi kaum Melayu khususnya dari Kelantan. Tiga lagi koleksi kaum Cina dan sebuah lagi adalah pintu gerbang dari Keraton (Istana) Jawa, Indonesia.

Rata-rata apa yang bakal anda saksikan adalah tidak sekadar daun-daun pintu bersaiz besar, tetapi terdapat di sebaliknya adalah catatan sejarah dan pengaruh budaya bangsa yang menjadi satu simbol tamadun dan kekuasaan yang pernah kita miliki.

Jika anda membayangkan sebuah struktur pintu gerbang yang menjadi satu pintu masuk sebuah kota yang besar dan pernah wujud di negara ini maka sejarah mencatatkan sebagaimana tertulis dalam Hikayat Sulalatus Salatin, pintu gerbang atau pintu kota mula digunakan sejak zaman kerajaan Gangga Negara yang terletak di Bruas Perak.

"…Maka segala rakyat Raja Suran pun datanglah mengepung Kota Gangga Negara maka dilawan berperanglah orang di atas kota itu. Maka beberapa ditikam dan dipanah orang dari atas kota, tiada diendahkannya maka tampil juga ia menghampiri pintu Kota Gangga Negara dipalunya dengan cokmarnya, maka pintu Kota Gangga Negara pun robohlah. Maka Raja Suran masuklah ke dalam Kota Gangga Negara dengan segala hulubalangnya…"

Maka sudah tentu, kesan peninggalan struktur pintu gerbang Kota Gangga Negara itu sudah tiada lagi. Tetapi sejak itu terutamanya hampir setiap kerajaan Melayu lama di seluruh Nusantara, mula ditandai kekuasaan yang mereka miliki dengan kehebatan binaan kota, kubu dan pintu gerbang yang antara lain bagi menghalang serbuan dan serangan dari pihak-pihak musuh.

Ini bermakna bagi kerajaan Melayu, pintu gerbang merupakan pintu keselamatan untuk sesebuah istana yang kekuatannya dilihat dari aspek bahan binaannya dan keindahan dari aspek motif dan hiasan.

Tatkala Laksamana Melayu tersohor Hang Tuah misalnya dalam hikayatnya ada menyebutkan pengalaman ketika melawat Kota Patani di selatan Siam:

"Maka Laksamana pun turun ke sampan menuju Patani. Setelah datang ke pantai, maka Laksamana pun naik ke darat lalu ke bandar. Maka dilihatnya Kota Patani itu. Maka Laksamana pun memuji-muji akan kedudukan negeri itu, sukar dialahkan oleh musuh. Adapun muka pintu gerbangnya itu, kepala naga matahari hidup, ekornya matahari mati."

Sehingga tiba pada zaman kejatuhan kerajaan Melayu Melaka tahun 1511, bukan sahaja telah roboh Kota Melaka tetapi telah digantikan dengan Kota Portugis A Famosa dengan pintu gerbang batu yang sering dikunjungi pelawat sehingga hari ini.

Dengan membawakan fakta sedih di sebalik pintu gerbang itu, ia merupakan batu-batu laterit yang diambil dari binaan masjid yang sengaja diruntuhkan bahkan juga batu-batu dari makam atau kubur milik orang Islam dari kerajaan Melayu Melaka.

Begitupun banyak lagi yang harus dipelajari dari setiap binaan pintu gerbang sekalipun ia menjadi satu mercu tanda sesebuah istana, mahligai, rumah-rumah bangsawan sehinggalah kepada candi-candi dan terutama sekali pintu masuk ke masjid-masjid.

Sehingga hari ini pun, jika kita melalui Lebuh Raya Persekutuan pastinya akan ada satu pintu gerbang batu, iaitu Kota Darul Ehsan sebagai tanda kita telah memasuki sempadan yang memisahkan antara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri Selangor.

Gaya berani berjilbab

Posted: 17 Mar 2012 07:40 PM PDT


GAYA santai Dian Wahyu Utami iaitu anak pengasas Dian Pelangi.


SIAPA kata apabila wanita memakai jilbab, ia akan membataskan citarasa berfesyennya? Wanita berjilbab masih boleh mengikuti perkembangan fesyen semasa asalkan tidak melanggar tatasusila yang ditetapkan Islam.

Gaun labuh digayakan dengan jaket, selendang berwarna-warni dililit pelbagai cara, aksesori menarik melengkapkan gaya, ternyata revolusi busana muslimah moden semakin kreatif dan menarik perhatian ramai sekali gus menepis tanggapan orang bertudung tidak boleh bergaya.

Di Butik Dian Pelangi yang terkenal di Indonesia dan kini melebarkan sayapnya di sini, koleksinya ternyata memberi pilihan yang lebih luas kepada wanita Malaysia untuk bergaya tetapi masih menutup aurat.

Butik pertama Omega di Pulau Pinang

Posted: 17 Mar 2012 07:39 PM PDT


Rekaan dalaman butik Omega terbaru di Pulau Pinang juga mengambil kira keselesaan pengunjung.


PENGGEMAR jam tangan mewah di Pulau Pinang dan negeri-negeri di kawasan utara Semenanjung Malaysia kini tidak perlu bersusah payah mencari jam tangan kegemaran mereka di ibu kota lagi.

Ini kerana, pembuat jam tangan mewah Swiss dan penjaga masa rasmi bagi Sukan Olimpik London 2012, Omega, secara rasmi melancarkan butik pertamanya di pulau itu baru-baru ini.

Terletak di tingkat bawah Plaza Gurney dan dikendalikan oleh Swiss Watch Gallery, yang dimiliki oleh peruncit barangan mewah, Kumpulan Valiram, butik ini mempunyai keluasan 274.32 meter persegi dan memiliki kesemua koleksi jam tangan yang terdiri daripada Constellation, Seamaster, Speedmaster dan DeVille.

Selain jam tangan, butik ini menampilkan seni bina dan reka bentuk yang hampir sama dengan butik terbesar berkonsep global di Starhill Gallery Kuala Lumpur.

Ia merupakan hasil ilham arkitek Jepun, Kazuo Adachi bersama rakan sejawatnya, Hiroshi Yamashita dari Design Fresco Inc.

"Istimewanya tentang butik Omega di Pulau Pinang ini adalah ia memberi penghormatan kepada hasil pertukangan para pembuat jam tangan yang sempurna, daripada penelitian yang tepat kepada kualiti, perincian yang halus dan seni bina kontemporari.

"Bahagian luar butik juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia diilhamkan daripada unsur-unsur matahari, air, bumi, dan masa.

"Di sini, pencahayaan terang menyinari produk-produk dalam kaca pameran mewakili sinaran cahaya matahari," ujar David Ponzo, Naib Presiden Omega Asia Tenggara.

Jelas Ponzo, rekaan dalaman butik ini juga mengambil kira keselesaan pengunjung dan lapisan dinding serta lantai juga dipilih mengambil kira cuaca tempatan.

"Untuk memberikan pengalaman membeli-belah dan penghayatan yang lebih pada jenama ini di Pulau Pinang, pengunjung butik Omega akan disambut oleh kakitangan yang pakar dalam produk pembuat jam tangan berusia 161 tahun ini.

"Mereka sedia berkongsi pengetahuan luas mengenai jenama jam tangan yang paling dihormati di dunia.

"Kehadiran Omega di sini merupakan satu peristiwa penting bagi kami. Dengan adanya butik ini, kami berupaya menyediakan khidmat kepada pelanggan kami di kawasan utara.

" Tahap perkhidmatan peribadi yang sedemikian adalah keunikan jenama ini", kata Ponzo lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Swiss Watch Gallery & Kumpulan Valiram, Ashvin Valiram berkata, butik Omega yang pertama di Pulau Pinang ini memberi peluang strategik untuk mengembangkan rangkaian dalam kategori jam tangan mewah di kawasan utara.

Ledakan fenomena New iPad

Posted: 17 Mar 2012 07:38 PM PDT




SAMA saja seperti sebelumnya, apa saja produk Apple yang dilancarkan, bagaikan suatu kewajipan peminat tegar Apple dan Steve Jobs beratur panjang untuk mendapatkannya.

Begitu juga dengan produk iPad terkini, yang dilancarkan dan dijual di beberapa negara sejak 16 Mac lalu di 10 negara iaitu United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jerman, Perancis, Switzerland, Hong Kong, Singapura, Australia dan Jepun (pelancaran di Malaysia belum ditentukan lagi).

Bilangan mereka yang memesan secara dalam talian pada 7 Mac lalu (walaupun produk belum berada di pasaran) amat memberangsangkan sehinggakan pihak Apple hanya dapat menghantarnya pada 19 Mac bagi mereka yang memesan lewat.

Memetik akhbar New York Times pada 12 Mac lalu, jurucakap Apple, Trudy Muller berkata, sambutan pelanggan terhadap iPad baru amat memberangsangkan.

Fahami kombinasi tiga

Posted: 17 Mar 2012 07:36 PM PDT


Aperture kecil : Bukaan pengatup kecil sesuai digunakan untuk rakaman gambar pemandangan.


PENGENDALIAN sebuah kamera DSLR yang dipenuhi butang dan menu-menu tetapan cukup untuk memeningkan kepala terutama bagi yang pertama kali memegang kamera jenis itu.

Ia kelihatan rumit tetapi sebenarnya lebih sukar jika anda tidak tahu di mana untuk bermula. Dalam kecelaruan itu, merakam gambar setiap hari langsung tidak membantu apa-apa.

Untuk bermula, tiga perkara paling asas dalam fotografi perlu difahami. Bukan sahaja difahami setiap satunya, kefahaman itu juga perlu dikombinasikan dengan betul untuk menghasilkan sekeping gambar yang baik.

Tiga perkara tersebut adalah aperture (bukaan pengatup yang mengawal jumlah kemasukan cahaya), shutter speed (tempoh dedahan rakaman) dan ISO (tahap sensitiviti sensor kamera kepada jumlah cahaya di persekitaran).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories