| Anak Rozita Che Wan Lari Akibat Merajuk Sudah Ditemui Posted: 18 Mar 2012 11:09 PM PDT Rozita Che Wan. PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rozita Che Wan menarik nafas lega apabila anak keduanya, Aniq Ezra yang dikatakan hilang sebenarnya hanya lari dari rumah akibat merajuk pada Sabtu lalu. Rozita memberitahu, Aniq Ezra,14, ditemui di rumah rakannya di USJ Subang Jaya, dekat sini selepas aktiviti mencari yang turut disertai pihak polis dilakukan pada hari kejadian. Berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan anaknya itu, Rozita dan pihak polis berjaya menjejaki anaknya yang memberitahu dia berbuat demikian kerana merajuk. "Saya panik apabila mengetahui dia hilang tanpa sebarang sebab tetapi akhirnya dia dapat ditemui atas bantuan pihak polis dan rakan-rakannya yang memberikan informasi di mana dia berada. "Dia beritahu polis dia lari dari rumah sebab merajuk kerana saya melebih-lebihkan si abang daripada dirinya," ujarnya kepada mStar Online menerusi mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, pada Isnin. Anak kedua Rozita, Aniq Ezra dilaporkan hilang pada malam Sabtu. Selain Aniq Ezra, Rozita mempunyai seorang lagi anak iaitu Ammar Effendi yang berusia 15 tahun. Dalam pada itu Rozita juga sempat bergurau dengan berkata selepas ini dia pula yang akan merajuk. "Kalau saya merajuk, saya pergi lagi jauh," selorohnya. Pada Sabtu lalu kecoh di Twitter apabila Aniq menjadi trending topic di kalangan pengguna laman sosial itu apabila dia dikatakan hilang. Sebuah hashtag menerusi laman sembang berkenaan telah diwujudkan atas nama #PrayForAniqEzra menjadi popular dalam satu usaha mengesan remaja berkenaan yang kali terakhir dilihat di kawasan perumahannya di USJ 11/12 dekat sini. Sebelum ini, anak sulungnya, Ammar dilaporkan menjadi mangsa buli kepada pelajar di sekolahnya iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuantan, Pahang. Ekoran insiden itu, Rozita telah mengambil keputusan untuk menukarkan anaknya ke sebuah sekolah di Subang Jaya yang lebih dekat dengan rumah mereka. Aniq yang juga bersekolah di tempat sama turut dipindahkan demi keselamatan mereka atas nasihat bekas suami Rozita iaitu Azuar Effendy Zulkaply. |
| Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan Posted: 18 Mar 2012 10:11 PM PDT KOTA BHARU - Sepasang kekasih yang mempunyai 'gigitan cinta' di leher antara 63 remaja yang diberi kaunseling dalam Operasi Lepak dan Cegah Jenayah melibatkan lima agensi yang diketuai Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam. Selain itu, beberapa pelajar yang berpakaian seksi, berpelukan, berpegangan tangan di khalayak ramai turut diberi kaunseling dalam operasi yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di sini. Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa MPKB-BRI Ramly Che Hussin berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 3 hingga petang itu berjaya 'menyelamatkan' 63 remaja, 15 daripadanya adalah pelajar. "Seramai 22 daripada yang dipanggil itu menjalani ujian saringan air kencing dan kesemuanya bebas pengaruh dadah. Mereka ini diberikan kaunseling serta pelajar yang terlibat dalam operasi diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN)," katanya semalam. Ramly berkata, lebih mengejutkan ketika operasi dijalankan ada di antara pengunjung tidak segan silu memakai baju ketat, pelajar perempuan tidak bertudung, mendedahkan dada, malah ada juga yang mewarnakan rambut pelbagai warna dan tindik telinga. Selain itu, ada juga di antara remaja yang memakai baju menjolok mata, lelaki berketerampilan perempuan, pelajar bawah umur mengunjungi pusat snooker turut ditahan untuk kaunseling. "Kesemua yang ditahan ini diberi peluang untuk mengubah cara hidup mereka dengan mengikuti kaunseling dari pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan ada diantaranya diarahkan menjalani ujian air kencing," katanya. Katanya, operasi seperti ini diteruskan dari masa ke masa supaya golongan remaja dan belia boleh akan mematuhi peraturan serta takut untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama Islam. Operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama Agensi Anti Dadah Kelantan (AADK), Jabatan Pelajaran Kelantan (JPN) dan polis. Turut serta dalam operasi berkenaan Ketua Inspektor MPKB-BRI, Mohamad Ali dan pegawai JPN, Wan Suraya Arifin. |
| Gegaran Sungai Petani Posted: 18 Mar 2012 10:05 PM PDT
SKETSA Aaron Aziz bersama peminat. PEMINAT Sam hadir bersama kain rentang. GELEKAN Fizz dan Izara meriuhkan suasana.
Peminat tidak kisah bersesak demi bintang pujaan masing-masingSEMUANYA tersenyum puas, tidak kira sama ada artis mahupun peminat, sejurus tamatnya siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 keempat di Village Mall, Sungai Petani, Kedah, kelmarin. Tentunya ia detik sukar dilupakan pengunjung pusat beli-belah terkenal itu apabila mereka dapat bersua muka dengan artis kegemaran masing-masing.Apatah lagi buat peminat Aaron Aziz dan Shaheizy Sam, antara finalis yang mendapat sorakan paling hebat, seperti mahu runtuh premis komersial terbabit. Jeritan peminat, terutama daripada kalangan perempuan, di ruang legar pusat beli-belah itu kaut bergema sebaik saja artis ini muncul dari belakang pentas.Biarpun muncul agak lewat pada sebelah petang, peminat tetap tidak berganjak menanti kemunculan dua artis kesayangan mereka ini. Ternyata Ombak Rindu memberi impak sangat kuat buat penonton. Mana tidaknya, sketsa yang dipetik daripada filem popular itu sekali lagi membuatkan peminat berebut-rebut untuk ke pentas berlakon bersama Aaroz. Malah mendengar Aaron menyanyikan beberapa baris bait lagu Ombak Rindu membuatkan peminat riuh bersorak. Bukan saja lakonan, nyanyian lagu itu oleh Hafiz juga pastinya membuatkan seorang peminat bertuah tidak tidur malam apabila dia diundang ke atas pentas untuk mengalunkan irama indah itu bersama bintang Akademi Fantasia terbabit. Mahu luruh jantung peminat itu saat Hafiz melutut di hadapannya, sambil memegang tangan. Pelbagai aksi ditonjolkan oleh finalis dan artis undangan acara siri jelajah kali ini, dalam menghiburkan kira-kira 5,000 peminat yang hadir. Sesak macam mana sekali pun, ia tidak menghalang mereka untuk melihat dari dekat seterusnya beramah mesra bersama barisan bintang pujaan masing-masing. Peminat Sam juga tidak kurang hebat apabila hadir bersama kain rentang. Ia jelas menunjukkan Bintang Paling Popular ABPBH2010 ini masih mempunyai peminat setia yang ramai. Kelab peminatnya yang dinamakan 'Shaheizy Sam Lover Club' ini setia menunggu Sam dari awal tengah hari, dan memenuhi hampir separuh bahagian depan pentas. Begitulah semangat yang ditunjukkan peminat untuk bertemu artis kesayangan. Bukan sekadar bersesak malah mereka juga cukup sporting apabila diminta pengacara siri promosi itu kali ini, Along Cham, Fara Fauzana dan Faizal Ismail, untuk menari mahupun menyanyi bersama artis. Seperti hendak pecah perut dibuatnya apabila permainan dan aktiviti pentas yang diadakan cukup kelakar. Sebagai contoh, aksi peminat bergelek sakan bersama Izara Aishah dan Fizz Fairuz dalam acara dinamakan 'Sekaki Berdarah' membuat hadirin ketawa tidak kering gusi. Masing-masing mahu memberikan yang terbaik untuk memenangi peluang menaiki kenderaan Nissan Livina XGear dan Nissan Teana 2.5L (A) tajaan Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd bersama artis pilihan. Turut mencuit hati ialah sketsa Cinta Elysa yang diarahkan Fasha Sandha dan Johan As'ari. Tambah kelakar apabila seorang jejaka, iaitu peminat Fasha dikuasai perasaan gementar dan gugup apabila disuruh berlakon bersamanya. Permainan mencari solekan terbaik membabitkan artis dan peminat, anjuran Avon, yang diacarakan calon kategori Artis Komedi Popular, Enot dan Along juga tidak kurang menghiburkan. Penghargaan buat penyokongDI samping acara permainan dan sketsa menghiburkan, selingan nyanyian daripada One Nation Emcees, Forteen, Shila Amzah dan Najwa Latif secara tidak langsung membuatkan siri jelajah promosi ini bertambah menarik. Shila yang diserang demam harus dipuji kerana dia masih mampu menghiburkan peminat dengan dua lagu iaitu Price Tag, nyanyian asal Jessie J, dan Patah Seribu. Meskipun masa agak terhad, inilah peluang keemasan bagi finalis untuk mempamerkan penghargaan mereka kepada peminat yang setia mengundi mereka hingga ke peringkat Top 5. Biarpun ada di antara mereka sibuk dengan aktiviti seni, tetapi masih mampu meluangkan seketika untuk bermesra bersama penyokong. Kali pertama menyertai siri jelajah ABPBH edisi ke-25 ini, finalis kategori Artis Baru Wanita dan Penyanyi Wanita Popular, Najwa, berkesempatan menyampaikan single ketiganya, Kosong, selain Cinta Muka Buku. Tampil berbeza, dia turut menjemput artis terbaru naungan NAR Records, I Am Neeta, berduet dengannya menyanyikan medley lagu Secret (One Republic) dan Wish You Were Here (Avril Lavigne). Diakhiri dengan persembahan bertenaga daripada Black dan Hazama, sememangnya kunjungan kali keempat ke Sungai Petani bukanlah usaha sia-sia. Kejayaan acara promosi di Zon Utara ini membuktikan ABPBH tetap kekal jenama yang berpengaruh di persada seni. Tidak hanya bertindak sebagai landasan mengurangkan jurang di antara artis dan peminat, ia juga dapat menonjolkan warna-warni industri seni kita kepada dunia luar. Ternyata acara yang dihadiri lebih 20 finalis daripada 16 kategori ini kenangan sukar dilupuskan. Lebih bermakna apabila peminat dapat mengabadikan kenangan bersama artis dalam bentuk foto yang dicetak bersama logo ABPBH. Najwa, Forteen, Johan As'ari, Hafiz dan Hazama ialah antara artis yang berkesempatan untuk bergambar bersama peminat sebelum acara pentas dimulakan pada jam 2 petang. Sementara itu, Siti Noor Hajar Kamaruddin, 27, dinobatkan peminat berpakaian paling kreatif mengikut tema ABPBH 2011, 'Big, Bold and Silver', manakala juara bagi dekorasi kek tercantik ialah Sakiroh Zainal. Masing-masing membawa pulang barangan LUX dan berpeluang untuk makan malam bersama barisan finalis yang hadir. Siri jelajah promosi ini akan menemui peminat di destinasi terakhir iaitu di Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru, pada 23 hingga 25 Mac. |
| Black Suka Tayang Badan Sejak Bertubuh Sasa Posted: 18 Mar 2012 10:04 PM PDT Black KUALA LUMPUR: Penyanyi Black mengakui perubahan drastik pada fizikalnya yang semakin sasa telah banyak meninggalkan impak positif dalam hidupnya sejak setahun yang lalu. Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah, 24, berkata dia berasa bahagia dan gembira dengan tubuh sasa yang dimilikinya itu kerana telah meningkatkan keyakinan dirinya berbanding sebelum ini. "Saya sangat suka dengan tubuh saya kini. Usaha saya melakukan senaman sejak setahun yang lalu telah membuahkan hasil. Ia memberikan kebahagiaan buat saya. "Jika sebelum ini, saya sering berasa rendah diri, kini saya semakin yakin khususnya ketika berdepan dengan peminat atau tempat umum," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Black berkata, perubahan fizikal itu turut membuatkan dirinya menjadi perhatian ramai terutamanya ketika dia bersukan dan bermain bola sepak. "Percaya atau tidak, ramai yang memberikan respons yang positif pada tubuh saya. Sejak bertubuh sasa, saya semakin yakin untuk menayangkan badan di khalayak umum selepas bersukan atau bermain bola sepak. "Ada juga peminat perempuan dan lelaki yang mengusik tetapi saya tidak kisah kerana ia adalah perkara biasa," katanya yang menolak dakwaan perubahan fizikal itu membuatkan dia bersikap bangga diri. Black dan Meet Uncle Hussain bergabung membentuk kumpulan Black Parallax dalam program Versus. Dalam perkembangan lain, Black berkata kolaborasi bersama kumpulan Meet Uncle Hussain yang menubuhkan kumpulan Black Parallax untuk program Versus adalah bagi membuktikan dia boleh menyanyi bersama sebuah kumpulan. "Selama ini, orang kenal saya sebagai penyanyi solo. Menerusi program Versus, saya mahu buktikan kepada peminat akan kemampuan saya beraksi dengan sebuah kumpulan. "Ia juga untuk memberitahu bahawa saya masih aktif dalam bidang nyanyian," katanya yang bakal berduet dengan seorang penyanyi lagenda dalam masa terdekat. Selain kumpulan Black Parallax, Versus akan mementaskan empat lagi kumpulan muzik iaitu Hujan, Sofazr, Sixth Sense dan Go Gerila (gabungan Aizat Amdan dan Amir Jahari). Ia akan disiarkan bermula 13 April depan selama lapan minggu, pada setiap Jumaat pukul 9.30 malam di TV9 dan stesen radio Hot FM. Layari laman web rasmi www.tv9.com.my/vs untuk info lanjut. |
| Aremeer (Sofazr) Akui Kurus Selepas Putus Tunang Posted: 18 Mar 2012 10:03 PM PDT Aremeer (berkaca mata) bersama kumpulan Sofazr. KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Sofazr, Aremeer mengakui pertunangannya yang terputus sebelum ini telah meninggalkan impak besar sehingga membuatkan fizikalnya semakin kurus. Penyanyi lagu Dan Bila Esok itu berkata, walaupun dia pernah memberitahu dia mahu menurunkan berat badan demi stamina sebagai penyanyi, Aremeer tidak menolak kekecewaannya akibat putus tunang turut memberikan perubahan drastik pada fizikalnya. "Seperti yang pernah saya beritahu, saya memang mengamalkan diet untuk turunkan berat badan daripada 74 kilogram kepada 59 kilogram kini. "Tapi saya tidak nafikan perasaan kecewa kerana putus tunang turut memberikan kesan pada kehidupan saya," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Ditanya mengenai pengganti, Aremeer berkata, susulan insiden itu, dia lebih selesa untuk bersendirian dan menyerahkan urusan jodoh kepada Tuhan, sebagaimana yang dinasihatkan ibunya. "Saya masih kekal solo dan belum berpunya sehingga kini. Ibu nasihatkan saya tidak perlu bersusah payah untuk mencari teman wanita, biarkan saja dia datang sendiri. "Kesibukan dengan urusan kerja membuatkan saya tidak terlalu memikirkan mengenai soal teman wanita," katanya. Menyentuh perkembangan kerjaya, Aremeer berkata kumpulan itu bakal kembali aktif pada tahun ini dengan lagu 'single' dan filem terbaru yang menunggu slot tayangan. "Kami akan muncul dengan lagu 'single' terbaru hasil kolaborasi dengan KRU Studios. Ia berada di dalam peringkat perbincangan dan akan diputarkan pada tahun ini juga. "Selain itu, filem pertama lakonan dan terbitan syarikat kami berjudul Sofazr The Movie: Jiwa Kacau juga akan ditayangkan pada tahun ini juga," katanya yang bakal terlibat bersama Sofazr dalam program Versus di TV9. Selain Sofazr, Versusakan mementaskan empat lagi kumpulan muzik iaitu Hujan, Sixth Sense, Go Gerila (gabungan Aizat Amdan dan Amir Jahari) dan Black Parallax (gabungan Black dan Meet Uncle Hussain). Ia akan disiarkan bermula 13 April depan selama lapan minggu, pada setiap Jumaat pukul 9.30 malam di TV9 dan stesen radio Hot FM. |
| Rumah Tangga Faezah Elai Tenang Tanpa Gangguan Posted: 18 Mar 2012 10:02 PM PDT Faezah Elai KUALA LUMPUR: Pelakon Faezah Elai memberitahu kehidupan rumah tangganya kini semakin diulit kebahagiaan dan ketenangan tanpa gangguan selepas enam bulan berkahwin dengan pengarah Heykal Hanifah. Pelakon berusia 30 tahun itu berkata, dia langsung tidak terganggu atau melatah dengan kontroversi ketegangan hubungannya dengan bekas isteri pengarah drama itu ekoran tuduhan yang mendakwa dia sebagai punca keretakan perkahwinan lelaki itu sebelum ini. "Sebenarnya sejak dari awal kontroversi ini tercetus, saya ambil pendekatan yang tenang dan relaks. Saya tidak melenting atau melatah kerana semua kekecohan itu bukan ditimbulkan oleh pihak saya. "Terus-terang, saya bahagia dan tenang dengan kehidupan yang saya dan suami lalui sekarang. Tiada apa-apa gangguan atau perkara negatif yang mengganggu," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Faezah Elai berkahwin dengan Heykal Hanafah, 38, di kediaman keluarganya di Gelugor, Pulau Pinang pada 9 September tahun lalu. Ditanya mengenai perancangan untuk mendapatkan anak, Faezah berkata walaupun dia tidak menolak seandainya dikurniakan anak, dia mengakui jadual kerjanya semakin padat sejak kembali aktif berlakon selepas beberapa bulan berehat. Faezah bersama pelakon dan tenaga kerja filem Jidin Sengal (dari kiri) Zach Diamond, Along, Jue Aziz, penerbit Ernie Chen, pengarah Esmi Zahara dan Angah pada majlis tayangan perdana filem itu, baru-baru ini. "Kami tidak merancang anak. Cuma belum ada rezeki buat masa ini dan kami masih terus mencuba. "Sekarang saya semakin sibuk dengan pelbagai komitmen lakonan. Saya kembali aktif berlakon kerana sudah puas berehat selepas berkahwin beberapa bulan lalu," katanya. Diminta mengulas mengenai kekecohan terbaru berhubung kemas kini status akaun Twitter suaminya yang didakwa tidak berpuas hati kepada pihak tertentu kerana terus mengganggu rumah tangga mereka, Faezah berkata dia enggan masuk campur dalam perkara itu. "Ia (status) adalah akaun Twitter suami saya dan sebagai isteri saya tidak berani untuk beri sebarang komen," katanya. Dalam perkembangan lain, Faezah yang bakal muncul dengan filem komedi terbaru, Jidin Sengal bermula 22 Mac ini berkata, dia berasa teruja dengan watak-watak komedi yang dterimanya kerana ia memberikan kepuasan dan mudha diterima penonton. "Saya pun tidak perasan banyak menjayakan watak komedi. Mungkin kebetulan sahaja tetapi saya gembira terlibat dalam filem-filem komedi," katanya. Selain Faezah Elain, filem arahan Esmi Zahara itu turut membariskan Jue Aziz, Along (Raja Lawak), Angah (Raja Lawak), Zach Diamond, Azrul (Raja Lawak), Mariani dan Hamid Gurkha. |
| Ebi (AF5) Mahu Peluang Kedua Dalam Industri Muzik Posted: 18 Mar 2012 10:02 PM PDT Ebi Kornelis (AF5).
KUALA LUMPUR: Naib juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Ebi Kornelis memberitahu dia masih aktif menyanyi walaupun sudah tiga tahun menyepi daripada industri muzik. Penyanyi berusia 28 tahun itu berkata sepanjang tempoh itu, dia aktif menyanyi di sekitar negeri asalnya Sabah walaupun sepi daripada sebarang publisiti dan liputan media. "Hakikatnya, saya tidak berhenti menyanyi. Saya aktif bergerak sebagai penyanyi di sekitar Sabah. Saya akui ada beberapa kelemahan sebelum ini memaksa saya menjauhkan diri selama tiga tahun. "Kini, saya mahu aktif kembali dan mencari peluang kedua untuk menyertai semula industri muzik," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Ebi yang pernah dikaitkan dengan kontroversi bersama penyanyi Mila Jirin sebelum ini berkata, peluang diberikan oleh para peminat yang mengundinya menerusi Hot Seat sehingga layak menyertai program Mania akan dipergunakan sebaik mungkin untuk kembali menyinar. "Saya cukup teruja dengan peluang ini. Saya mahu membuktikan kepada Malaysia bahawa saya semakin matang dan mahu menjadi penghibur yang lebih baik," katanya. Ketika ditanya mengenai pandangannya terpilih untuk berada di bawah bimbingan komposer terkenal Datuk M. Nasir dalam program itu, Ebi berkata dia berasa rendah diri dan amat menghargai peluang tersebut. "Semua orang tahu M. Nasir komposer yang hebat dan kini saya terpilih untuk bekerjasama dengannya. "Saya amat berbesar hati dan tidak akan mensia-siakan peluang ini. Saya akan lakukan dengan bersungguh-sungguh dalam pertandingan ini," katanya. |
| Rihanna Gembira Raikan Hari Jadi Nenek Posted: 18 Mar 2012 10:01 PM PDT Rihanna NEW YORK: Penyanyi Rihanna sempat berkongsi dengan peminat mengenai kehidupan peribadinya di rumah apabila dia dilaporkan memuat naik gambar-gambar sambutan hari lahir neneknya di Twitter pada Sabtu lalu (waktu tempatan). Bintang pop itu memasak hidangan untuk neneknya, Dolly Brathwaite di kediamannya di Brooklyn, di sini, dan memberikan hadiah berupa kek istimewa kepadanya. Rihanna berkongsi sambutan majlis itu dengan para peminat menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik di Internet, termasuk sekeping gambar yang menyaksikan dia menyolek wajah neneknya. Penyanyi remaja itu turut berkongsi kegembiraannya pada majlis itu melalui kemas kini status di Twitter yang berbunyi, "Datuk saya: 'Robyn (Rihanna) bagaimana awak boleh kerap menukar warna rambut daripada merah, kepada krim dan hitam sebab awak tidak memakai rambut palsu!!! Saya: Ketawa guling-guling di lantai (tanpa sepatah kata)." |
| Kehidupan Hugh Grant Berubah Sejak Menjadi Bapa Posted: 18 Mar 2012 10:00 PM PDT Hugh Grant LOS ANGELES: Aktor British Hugh Grant berkata pengalaman bergelar bapa telah mengubah dirinya menjadi manusia yang lebih baik berbanding sebelum ini. Bintang filem Notting Hill itu mencuri tumpuan media pada November tahun lalu apabila dia mendedahkan bahawa dia mempunyai seorang anak perempuan berusia sebulan, hasil hubungan dengan kekasih juga bekas peragawati Tinglan Hong. Bapa kepada bayi bernama Tabitha itu berkata kepada majalah Guardian, "Saya berasa sedikit emosional ketika mula-mula melihatnya (Tabitha). "Ramai yang berkata, tempoh selepas kelahiran bayi tidak menyeronokkan, tetapi saya begitu teruja. Saya sangat menyukai anak saya. Ia pengalaman yang hebat. "Adakah dia telah mengubah hidup saya? Itu saya tidak pasti tetapi saya sangat teruja kerana mempunyai anak sendiri. Saya berasa seolah menjadi orang yang lebih baik." Laman web contactmusic.com melaporkan, Grant berkata dia akan menerapkan disiplin pada anak perempuannya dari awal usia lagi. "Disiplin sangat penting. Saya berbangga mendapat didikan seorang ibu yang tegas pada aspek disiplin. "Ini kerana anda tidak akan mencapai sesuatu tanpa disiplin diri," katanya. |
| Puas digandingkan dengan Faizal, Sidek Hussein Posted: 18 Mar 2012 09:58 PM PDT LEBIH sedekad berkecimpung dalam bidang seni iaitu sejak 2002, pelbagai pahit getir dilalui pelakon berkaliber, Zizan Nin. Bukan saja namanya terpalit gosip liar dan kontroversi sebaliknya, rumah tangganya yang bahagia turut terkena tempiasnya. Namun pelakon berpengalaman yang pernah mengungguli kategori Pelakon Lelaki Harapan, dalam Festival Filem Malaysia Ke-20 ini tidak cepat melatah dengan kontroversi yang menimpanya.
Pelakon yang dikenali menerusi drama Janji Seorang Anak, Epilog Syurga Cinta, Rafflesia dan Teater Muzikal Tun Mahathir ini tidak ingin menoleh ke belakang lagi kerana ingin terus bergerak maju dalam bidang lakonan yang sudah sebati dalam dirinya.
"Tahun 2012 terus menjanjikan masa depan yang cerah dalam karier seni diceburi. Antaranya, dua filem terbaru lakonan saya akan ditayangkan di pawagam iaitu Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki (terbitan Tarantella Pictures) dan Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba (Pesona Pictures)."Secara peribadi, saya sendiri tidak sabar menantikan reaksi peminat membabitkan kedua-dua filem lakonan saya itu," katanya.Akui Zizan, selepas memenangi anugerah melalui Cinta Terakhir, ramai peminat terus menantikan filem itu ditayangkan di pawagam.
"Terus terang, saya sendiri tak tahu apakah kesudahannya dan terpulanglah kepada produser filem itu untuk memberi penjelasannya kepada peminat. Sebagai pelakon, saya sudah menjalankan tanggung-jawab dengan menampilkan lakonan terbaik seperti dikehendaki pengarah dan wataknya," kata Zizan.
Selain filem, artis yang bernaung di bawah payung Aquila Emas Sdn Bhd (AE) ini tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon projek drama bersiri dan telefilem daripada pelbagai produksi drama tempatan.
Malah, sesi fotografi bersama Rap juga terpaksa diatur di lokasi penggambaran telefilem lakonannya berjudul Bertemu Kasih terbitan syarikat sendiri, AE yang membabitkan lokasi di Kampung Seri Gumum, Tasik Chini, Pahang, baru-baru ini.
Dalam projek telefilem sulung terbitan AE itu, Zizan bergandingan dengan pelakon Juliana Ibrahim yang bernaung di bawah pengurusan yang sama dengannya. Apa yang menarik, Zizan bawa watak anak Orang Asli, Gebo dalam telefilem arahan Roslan Hussin itu.
"Saya begitu bangga menyaksikan AE maju setapak lagi dalam bidang penerbitan pula. Dengan pengalaman dan kepakaran AE, saya yakin, AE dan artis-artis yang bernaung di bawahnya akan sama-sama maju," katanya.
Pada masa sama, Zizan juga teruja dapat bergandingan dengan dua pelakon yang handal, Faizal Hussein dan Sidek Hussein, dalam drama itu.
"Saya rasa puas dan bangga dapat beraksi bersama mereka yang masing-masing memegang watak abang dan ayah Gebo. Mereka ada cara lakonan tersendiri dan cukup mantap. Saya rasa seronok sepanjang penggambaran itu berlangsung," katanya.
Menyusul selepas itu, kata Zizan, dia masih dalam perbincangan untuk satu lagi projek filem baru tahun ini.
"Ia genre drama berat dengan nilai artistik dan seni yang tinggi. Walau apa pun, saya perlu mengambil kira faktor masa dan persiapan untuk turut serta di dalam projek itu.
"Saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan. Semuanya, saya serahkan kepada pengurusan AE untuk mengatur jadual dan perancangan karier seni. Selain itu, peminat boleh berinteraksi dan mengikuti perkembangan karier seni saya melalui laman sosial twitter: zizannin serta fb/fan page: zizan nin," katanya.
Teringin bercuti ke Maldives
Menyentuh cerita peribadinya pula, duta Jaspal, Pensonic dan Estee Lauder ini memberitahu rumah tangga yang dibina dengan penyampai berita Edisi 7, Fazilah Hani Harun yang di bina lebih setahun lalu bahagia walaupun belum dikurniakan cahaya mata.
"Kami akan berpindah ke rumah baru tidak lama lagi. Pastinya, kami suami isteri tidak sabar untuk berpindah ke rumah dan lokasi baru dan bersama-sama menghias rumah impian itu.
"Sementara belum ada rezeki untuk kami menimang cahaya mata, kami mahu bercuti ke luar negara dan destinasinya belum diputuskan lagi. Saya teringin bercuti ke Maldives," katanya.
Kesibukan berlakon nyata tidak pernah menghalang Zizan yang berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan, De Montfront University, Leicester, England serta Diploma Pengurusan Perakaunan dari Institut Perdagangan Mara Kuala Lumpur ini untuk memenuhi cita-citanya untuk bergelar pensyarah pada tahun ini.
"Saya akan mula menjalankan tugas sebagai pensyarah jemputan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang tidak lama lagi. Saya bukan mengajar pelajar peringkat diploma dan ijazah untuk menjadi pelakon tetapi lebih kepada subjek dan pendedahan industri hiburan.
"Pendek kata, ia lebih kepada persediaan untuk menceburkan diri dalam bidang hiburan di Malaysia. Saya akan menjadi pensyarah secara separuh masa saja kerana jadual kerja yang padat dengan aktiviti lakonan," katanya.
Zizan juga menafikan dia menjadi pensyarah untuk mengejar wang sebaliknya kerana minat dan ingin mencurahkan pengalaman sedia ada pada anak bangsa di luar sana.
"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar, setakat ini. Saya sudah menyiapkan modul pengajaran saya sendiri, dan sudah mendapat penilaian dari fakulti berkenaan.
"Tidak saya nafikan, bahan rujukan berkaitan bidang hiburan tanah air amat terhad dan saya sendiri tercari-cari bahan rujukan untuk buat kajian kerana yang ada hanyalah buku-buku dari luar negara.
"Jadi, saya buat keputusan, lebih baik kalau saya sendiri dapat mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang dilalui selama hampir 12 tahun kepada pelajar yang mengikuti bidang berkaitan," katanya.
Trivia Zizan Nin
Tabiat buruk diri sendiri Suka membaca dalam gelap, malas nak bercukur dan tak suka gosok baju
Buku terakhir yang dibaca Tuhan Manusia tulisan Faisal Tehrani
Destinasi percutian yang menjadi impian Maldives, Eropah Timur dan Kota New York
Warna kegemaran Coklat
Harta benda kesayangan Portable DVD Player dan koleksi filem DVD kegemaran
Aktres Hollywood pujaan Natalie Portman
Aktor Hollywood kegemaran Leonardo DiCaprio |
| Polis perangkap penculik Posted: 18 Mar 2012 09:56 PM PDT  CEKUP...seorang suspek dibawa anggota polis.  BUKTI...Ahmad menunjukkan gari dan wang tebusan dirampas. ALOR SETAR: Tiga penjenayah termasuk seorang anggota polis digantung kerja tidak sempat 'meraikan' wang tebusan RM40,000 diperoleh apabila mereka ditahan selepas menculik seorang lelaki di depan hotel di Bedong, Sungai Petani, Jumaat lalu. Ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 50 tahun itu ditahan berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur arah utara, jam 2 pagi kelmarin selepas keluarga mangsa menyerahkan wang tebusan RM40,000.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, mangsa, seorang lelaki berusia 23 tahun dari Sedaka, Yan, dekat sini, diculik ketika mahu memasuki keretanya, Proton Gen2 di depan hotel berkenaan oleh tiga lelaki menaiki Honda Civic disyaki dicuri beberapa minggu sebelum itu.
Selepas menculik mangsa dan mencuri keretanya, suspek membawa lelaki itu ke ibu negara sebelum menghubungi keluarganya bagi meminta wang tebusan RM60,000. Bagaimanapun, hasil rundingan, kumpulan penculik itu bersetuju menerima RM40,000.Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, polis yang menerima laporan daripada keluarga mangsa merancang membayar wang tebusan itu di satu lokasi di ibu negara. |
| Pelatih dakwa kena belasah Posted: 18 Mar 2012 09:52 PM PDT  SAKIT...gambar menunjukkan kesan akibat dipukul.  LAPOR...Yap (kiri) dan Chew menunjukkan laporan yang dibuat. KUALA LUMPUR: Dua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendakwa sakit belakang dan sesak nafas selepas dibelasah dua pelatih lain dalam dua kejadian berasingan selang 15 minit di asrama mereka di Alor Gajah, Melaka, awal pagi kelmarin. Dalam kejadian bermula jam 2.15 pagi itu, dua pelatih terbabit iaitu Yap Chun Jen dan Chew Chee Yong, 18, mendakwa ditumbuk dan ditendang di perut, kaki dan belakang badan oleh dua pelatih terbabit yang datang menemui mereka dengan membawa sekumpulan pelatih lain. Menurut Yap yang berasal dari Puchong, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum didatangi sekumpulan 20 pelatih mengejutkannya dan seorang daripada mereka mengarahkannya keluar untuk berbincang berikutan itu hari terakhir mereka menjalani latihan. "Takut dikelilingi pelatih saya hanya menurut, namun sejurus selepas menjejakkan kaki keluar pintu asrama, mereka menumbuk tepat di perut serta menendang kaki saya. "Pelatih itu kemudian menyuruh saya memukulnya semula dan selepas saya berbuat demikian, dia terus memukul di belakang badan pula," katanya ketika membuat sidang media di Kepong, di sini, semalam.
Yap berkata, dia dibelasah akibat perselisihan faham yang berlaku antara mereka semasa permulaan program, Januari lalu.Dalam kejadian kedua yang berlaku 15 minit selepas itu, Chew mendakwa diserang di bilik asramanya oleh seorang pelatih yang menuduhnya pernah menumpahkan air.
"Saya tidak pernah menumpahkan air dan sepatutnya, pada hari akhir latihan, pelatih lebih bijak dalam menyelesaikan sesuatu perselisihan faham, bukannya menghukum dengan cara ini," katanya.Jurulatih yang menerima aduan mangsa kemudian membawa mangsa membuat pemeriksaan doktor di Hospital Alor Gajah (HAG) sebelum dibawa ke Balai Polis Simpang Ampat oleh ibu bapa masing-masing untuk membuat laporan polis. Sementara itu, Ketua Pasukan Petugas MCA Kepong, Tan Kok Eng berkata, MCA akan berhubung terus dengan PLKN, untuk mendapatkan penjelasan bagaimana perkara itu boleh berlaku serta akan membuat susulan dengan polis bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan telah mengarahkan pengurusan PLKN Alor Gajah membuat laporan penuh kejadian itu. |
| Hanya pelengkap rasa Posted: 18 Mar 2012 09:50 PM PDT SEORANG tukang masak pernah memberitahu, tidak sempurna rasa satu-satu hidangan jika tiada garam meskipun ia sajian manis. Masih perlu secubit garam sebagai pelengkap rasa. Namun bagi menyedia makanan yang menggunakan sos, garam dijadikan bahan terakhir - yang hanya dimasukkan jika perlu. Sememangnya itulah fungsi garam atau gula - sebagai pelengkap rasa. Jika tiada, sajian terasa hambar dan jika terlebih akan memudaratkan. Ini hakikat yang diketahui semua orang. Dalam pada kita berusaha mengurangkan pengambilan gula, mungkin ramai terlepas pandang kepada garam yang tersembunyi dalam makanan.
SAYUR JERUK...antara makanan yang tinggi kandungan garam. JADI PENGGUNA BIJAK...pilih sajian yang kurang garam. KONGSI...berkongsi snek kegemaran boleh hadkan jumlah yang anda makan. Garam memainkan peranan penting dalam keseimbangan cecair badan. Ia penting untuk membolehkan otot dan saraf berfungsi dengan baik. Namun kebanyakan kita mengambil terlalu banyak garam setiap hari, melebihi had yang disarankan iaitu kurang daripada 2,000 miligram sehari, bersamaan dengan satu sudu teh.
Kajian Pengambilan Makanan Di Kalangan Penduduk Dewasa 2002/2003 mendapati, pengambilan garam rakyat Malaysia adalah 25 peratus lebih tinggi daripada had yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Garam adalah nama umum bagi sodium klorida. Garam membabitkan dua elemen: 40 peratus sodium dan 60 peratus klorida. Rasa masin sebenarnya datang daripada klorida manakala sodium pula boleh memberi kesan buruk jika diambil terlalu banyak. Sumber garam tidak sekadar daripada garam kasar saja tetapi ia juga ada dalam pelbagai makanan seperti belacan, cencaluk, taucu, budu, semua jenis sos termasuk sos soya (kicap), sos tomato dan cili, sos salad, petis, garam laut, garam batu, ikan dan telur masin, jeruk, asam serta semua snek bergaram. Malah makanan lain seperti roti dan bijirin sedia dimakan dan beraneka biskut kraker juga sebenarnya mengandungi garam.
Seperti manis, rasa masin juga adalah rasa yang dipelajari sejak kecil. Dalam kajian yang dijalankan penyelidik Pusat Deria Kimia Monell di Philadelphia mendapati bayi di bawah enam bulan yang diberi makanan berkanji harian (seperti roti, biskut kraker dan bijirin sedia dimakan) - yang biasanya mengandungi garam tambahan mempunyai kecenderungan terhadap rasa masin.
Pada umur enam bulan, bayi yang didedahkan dengan makanan mengandungi garam lebih gemarkan minuman masin. Sebaliknya bayi yang tidak didedahkan dengan rasa masin menolak apabila diberikan makanan mengandungi garam.
Kajian susulan ke atas kanak-kanak yang sama mendapati pada umur prasekolah mereka suka menjilat garam daripada makanan, malah ada yang makan garam untuk memuaskan selera.
Penyelidik dalam kajian yang disiarkan dalam Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika berpendapat kebolehan bayi untuk mengenal rasa masin menjadi matang pada umur antara dua hingga enam bulan. Malah sistem rasa bayi terhadap rasa manis dan masin sebenarnya boleh dibentuk sejak kecil.
Teori itu dikukuhkan oleh kajian lain yang lebih besar dan pakar berkata, pendedahan awal terhadap makanan masin iaitu pada usia beberapa bulan memainkan peranan penting untuk menentukan kecenderungan cita rasanya sepanjang hayat.
Bukan tidak boleh memperkenalkan makanan berkanji lain seperti roti, biskut kraker atau bijirin sedia dimakan kepada bayi berumur enam hingga lapan bulan tetapi dalam kuantiti kecil. Sumber utama kalori harian mereka perlu datang daripada susu ibu, bijirin bayi, buah dan sayur.
Mengenal garam
Jika gula ada banyak nama, garam pun begitu juga. Semua perkataan sodium atau natrium bermakna garam. Di bawah ialah senarai jenis garam yang kerap digunakan, disertakan juga perkataan bahasa Inggeris sebagai rujukan.
Sodium alginat (alginate) Sodium askorbat (ascorbate) Sodium bikarbonat atau soda penaik Sodium benzoat (benzoate) Sodium kaseinat (caseinate) Sodium klorida (chloride) Sodium sitrat (citrate) Sodium hidroksida (hydroxide) Sodium sakarin (saccharin) Sodium steroil laktilat (stearoyl lactylate) Sodium sulfit (sulfite) Disodium fosfat (phosphate) Monosodium glutamat (MSG) Trisodium fosfat (phosphate)
Semua orang tahu pengambilan garam yang berlebihan akan memudaratkan kesihatan dan ia sering dikaitkan dengan risiko mendapat tekanan darah tinggi. Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah antara penyakit kronik yang lazim di negara kita kerana kini semakin ramai golongan muda mengalaminya.
Apa yang membimbangkan ialah ramai pesakit hipertensi gagal mengawal tekanan darah mereka ke tahap normal walaupun mengambil ubat. Malah ada yang berhenti mengambil ubat apabila didapati ia kurang berkesan tanpa menyedari tindakan itu meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Di negara maju seperti Amerika, usaha untuk merendahkan pengambilan garam dalam kalangan rakyatnya masih belum membuahkan kejayaan walaupun ia sudah dijalankan 40 tahun lamanya kerana ramai yang suka kepada rasa masin.
Keadaan di negara kita juga tidak jauh bezanya. Sebelum kita turut terjebak dalam perangkap tekanan darah tinggi, ada baiknya kita mengetahui dari mana sumber garam yang masuk ke dalam badan. Sebenarnya kebanyakan sumber garam kita terkandung dalam makanan terutama garam yang tersembunyi. Selain senarai di atas, antara makanan lain yang turut mengandungi banyak garam ialah:
Makanan sejuk beku Makanan dalam tin Bijirin sedia dimakan Makanan berproses Jus sayur Sup segera Bahan perapan dan perasa Sos (termasuk sos cili, kicap, pasta) Kerepek dan keropok Kacang goreng
Banyak bahan tambahan makanan yang mengandungi garam tersembunyi dalam bentuk monosodium glutamat (MSG). Ia membuatkan makanan terasa manis dan sedap tanpa kita sedari bahawa kandungan garamnya sangat tinggi. Faktor inilah menyebabkan kita sukar berhenti apabila menikmati snek yang kaya MSG.
Untuk mengetahui sama ada satu-satu produk itu mengandungi banyak garam atau tidak, baca label supaya anda boleh membuat pilihan bijak. Ada beberapa kategori yang anda perlu ketahui iaitu:
Bebas sodium: Kandungan garamnya kurang daripada lima miligram garam bagi setiap hidangan.
Sangat rendah sodium: Kandungan garamnya 35 miligram atau kurang bagi setiap hidangan
Rendah sodium: Kurang daripada 140 miligram garam bagi setiap hidangan
Dikurangkan sodium: Kandungan garam dikurangkan 25 peratus
Tidak bergaram atau tiada garam tambahan: Dibuat tanpa dimasukkan garam seperti yang biasa dilakukan tetapi produk berkenaan masih mengandungi garam semula jadi.
Manfaat mengurangkan garam
Tekanan darah boleh direndahkan dengan mengurangkan pengambilan garam. Tekanan darah tinggi adalah penyakit kronik yang serius kerana ia boleh menyebabkan penyakit jantung koronari, serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan lain-lain.
Pakar menyarankan kita mengambil kurang daripada 2,000 miligram sodium sehari (kira-kira lima gram atau satu camca teh garam). Bagi orang yang ada tekanan darah tinggi, jumlahnya perlu lebih kecil iaitu sekitar 1,500 miligram sehari (3.7 gram garam).
Individu yang menghidap diabetes, perlu lebih berhati-hati kerana mereka berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi. Jika ada kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal, maka penyakit lain akan segera menyusul.
Jurnal Perubatan New England edisi dalam talian Januari 2010 melaporkan, usaha penyelidik Universiti California, San Francisco mengumpulkan data daripada pelbagai kajian untuk mengetahui potensi kesan pengurangan garam ke atas kesihatan.
Saintis mendapati mengurangkan pengambilan garam sebanyak tiga gram sehari boleh merendahkan jumlah kes baru penyakit jantung koronari sebanyak 120,000 kes, strok (66,000 kes) dan serangan jantung (hampir 100,000 kes). Malah ia didapati boleh mencegah 92,000 kematian setahun akibat penyakit berkenaan.
Antara manfaat yang boleh diperoleh dengan mengurangkan pengambilan garam ialah:
Merendahkan risiko strok
Merendahkan risiko kanser perut
Merendahkan risiko penyakit buah pinggang
Terlalu banyak garam akan menyebabkan pengumpulan kalsium dalam air kencing yang meningkatkan risiko pembentukan batu karang.
Sesetengah penyelidik mendapati terlalu banyak garam juga boleh menjejaskan kesihatan tulang yang membuatkan ketumpatan tulang merosot khususnya pada perempuan.
Terlalu banyak garam juga akan memaksa jantung bekerja lebih keras sehingga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Perunding Neurologi Hospital Kolej Universiti Ibadan, Oyo State, Prof Sola Ogunniyi berkata, sodium dalam garam akan menarik air yang membuatkan jumlah darah bertambah dan memaksa jantung mengepam lebih kuat. Kerja lebih inilah yang menjadi asas kepada tekanan darah tinggi.
Panduan mengurangkan pengambilan garam
Sempena Bulan Pemakanan yang disambut sepanjang Mac ini, marilah kita sama-sama belajar dan berusaha untuk mengamalkan pemakanan sihat demi kesejahteraan kita sekeluarga. Antara langkah yang boleh diambil ialah:
Kurangkan makan snek masin seperti kerepek, keropok, kekacang dan makanan mengandungi banyak keju.
Baca label untuk mengetahui jumlah garam yang digunakan.
Pilih produk dengan label rendah garam, dikurangkan garam atau tiada garam tambahan
Pilih produk segar atau sayur sejuk beku bagi menggunakan makanan dalam tin
Ketika memasak, hadkan penggunaan beraneka jenis sos sebaliknya gantikan dengan herba untuk menaikkan rasa makanan
Hadkan pengambilan makanan sejuk beku
Buat sendiri bahan perapan untuk daging atau ayam
Sediakan buah-buahan yang siap dipotong untuk dijadikan snek pada bila-bila masa
Tidak salah untuk menikmati kerepek kegemaran anda tetapi kongsi dengan ahli keluarga atau rakan-rakan.
Makan makanan yang kaya dengan potassium. Potassium dikatakan boleh 'menumpulkan' kesan sodium ke atas tekanan darah. Antara sumber potassium ialah sayur berdaun hijau dan pisang
Ketika membuat pesanan di restoran, minta supaya dikurangkan garam dalam sajian anda
Jika restoran berkenaan menyediakan mentega dan roti sebagai pembuka selera, mintalah mentega tanpa garam atau kurangkan jumlah mentega yang disapu pada roti
Elakkan makanan yang mengandungi banyak keju. |
| Bersedia hadapi cabaran mendatang Posted: 18 Mar 2012 07:03 PM PDT  BELAJAR SEMULA...belajar dan mengambil peperiksaan ulangan juga satu alternatif sedia ada. MINGGU ini debaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu pasti terungkai, sekali gus bakal menentukan perjalanan masa depan sama ada memperoleh keputusan cemerlang atau sebaliknya. Pelajar yang mencapai keputusan cemerlang sudah tentu bercita-cita melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sementara bagi keputusan sederhana pula mencari institusi setara kelayakan.
KEMAHIRAN...pasaran luas industri berasaskan kemahiran membuka peluang pelajar membina kerjaya dengan mudah selain menikmati pulangan lumayan. BOLEH CEBURI...bekerja sendiri dengan menjadi usahawan juga boleh dilakukan. PELBAGAI...akses pendidikan mudah dan pelbagai memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk membuat pilihan diingini. SENGIT...peluang pekerjaan yang semakin sengit menjadikan pelajar perlu bijak memilih kursus ingin diikuti. Bagi yang gagal juga masih boleh merangka perancangan sama ada mahu memasuki institusi berbentuk latihan mahu pun melangkah ke alam pekerjaan.
Biar apapun keputusannya, pastikan ia tepat dan bersesuaian dengan kehendak diri supaya tidak menyesal hingga memusnahkan masa depan yang baru bermula. Pilihan apakah yang boleh dilakukan bagi memastikan setiap keputusan tidak sia-sia, sebaliknya menjamin kehidupan lebih sempurna? Ketua Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Kamaliah Abu berkata, banyak pilihan yang boleh dibuat berdasarkan keputusan diperoleh. Menurutnya, cemerlang atau tidak, pelajar seharusnya terus memandang ke depan dan bersedia merangka pelbagai perancangan. "Sebaik saja memperoleh keputusan, bersikap optimis dan segera merancang langkah seterusnya bagi memulakan penghijrahan kehidupan baru. "Berjaya atau tidak bukan persoalan kerana setiap pelajar mempunyai peluang dan pilihan sama tara untuk membina masa depan. Mungkin caranya saja berbeza. "Paling penting, pemilihan peluang perlu tepat supaya dapat membantu pelajar membina masa depan lebih baik," katanya. Setiap pilihan perlu diberi pertimbangan wajar dengan menekankan segala aspek kemungkinan walaupun pelajar membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pengajian, menceburi bidang kerjaya atau menduduki semula peperiksaan. Keputusan yang diambil juga mestilah selari dengan hasrat pelajar dan bukan disebabkan paksaan bagi mengelakkan masalah pada masa depan. "Pelajar perlu tahu kehendak sebenar diri sendiri. Pilih pilihan yang benar-benar diingini supaya tidak menyesal atau menimbulkan masalah. "Pertimbangan perlu dibuat secara rela dan bukan paksaan demi kebaikan bersama. Jangan buat keputusan terburu-buru atau mengikut kehendak orang lain. "Buatlah keputusan bijak biar pun keputusan itu ada kalanya tidak menggembirakan orang lain," katanya. SPM diiktiraf sebagai penanda aras pencapaian akademik bagi menentukan hala tuju masa depan pelajar. Mengakui SPM boleh membawa pelbagai definisi, beliau mengharapkan pelajar melihat konsep pendidikan dengan lebih terbuka di samping peluang yang sentiasa terbentang luas. Menurutnya, bagi yang berjaya, boleh meneruskan hasrat melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pilihan dalam pelbagai peringkat seperti matrikulasi, diploma atau ijazah. Sementara yang gagal atau kurang berjaya pula masih boleh memilih institusi berasaskan kemahiran yang juga banyak menawarkan program berprestasi tinggi di pasaran. "Hari ini, negara mempunyai banyak institusi yang mampu membuka peluang melanjutkan pengajian dengan rangkaian menyeluruh sama ada awam atau swasta juga tempatan dan antarabangsa. "Ada pelbagai pilihan boleh dilakukan termasuk berdasarkan minat dan cita-cita yang boleh memenuhi keinginan pelajar. Pilih saja dan tentukan hala tuju masa depan yang diingini. "Justeru, tidak timbul isu tidak berpeluang melanjutkan pelajaran disebabkan faktor seperti tidak layak atau tidak pandai," katanya. Biar apa pun pilihan itu, penting pelajar komited melaksanakannya dan menanam kukuh keinginan untuk lebih berjaya selain positif setiap pilihan adalah yang terbaik. "Sememangnya pilihan itu disediakan bagi membantu mengikut keperluan semasa dan individu. Pilihan yang betul boleh memberi banyak kelebihan. "Jangan terpengaruh atau susah hati dengan tanggapan negatif sedia ada. Setiap individu ada cara masing-masing untuk memacu dan membina kejayaan," katanya. Antara pilihan adalah melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi, diploma, persediaan ke luar negara, politeknik, institusi pendidikan guru, tingkatan enam, kemahiran khusus dengan syarikat perkapalan atau penerbangan, akademi, keusahawanan atau melangkah ke alam pekerjaan. Pelajar yang ingin melanjutkan pengajian peringkat matrikulasi, umpamanya perlu mempunyai persediaan mental dan fizikal kuat bagi melalui tempoh pengajian singkat sementara diploma pula bagi tujuan pasaran kerjaya atau melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda. "Setiap pilihan ada pro dan kontra. Jika memilih matrikulasi, pelajar perlu sentiasa cemerlang sementara diploma pula mempersiapkan mereka untuk meneroka pasaran kerjaya atau menyambung pengajian. "Semuanya ada cabaran tersendiri yang memerlukan usaha gigih untuk menikmati kejayaan," katanya menolak tanggapan pandangan pelajar gagal atau kurang cemerlang tiada masa depan. "Tidak berjaya dalam akademik bukan bermakna kegagalan sepenuhnya dalam hidup. Bidang kemahiran masih ada dan semakin mendapat perhatian luar biasa industri. "Banyak institusi menawarkan program latihan berbentuk kemahiran dengan kemudahan sokongan kewangan. Pelajar boleh menggunakan platfom ini untuk mempertingkatkan kemahiran diri. "Mungkin tidak gah seperti belajar di universiti namun penghasilannya juga lumayan. Tidak perlu berputus asa atau kecewa kerana tidak dapat memasuki universiti, sebaliknya realistik menghadapi situasi," katanya. Pelajar yang memilih institusi kemahiran disaran mengikuti program teknologi maklumat, pendawaian, automotif, perkhidmatan dan keusahawanan kerana prospek masa depan cerah. "Pasaran kerjaya bidang ini cukup luas kerana tidak ramai mempunyai kemahiran aspek teknikal. Ini juga satu jaminan kerjaya biarpun tanpa kelulusan tinggi dan tidak rugi mengikutinya," katanya. Pelajar yang mahu melanjutkan pengajian juga perlu bijak memilih kursus bagi mengelakkan digelar penganggur terhormat kelak. "Jangan pilih kursus yang tidak diminati atau kurang permintaan majikan. Sebaiknya ikuti perkembangan semasa industri supaya selalu mendapat maklumat terkini. "Bagaimanapun, antara faktor pelajar menganggur kerana sikap memilih pekerjaan selain paksaan belajar kursus tidak disukai. "Justeru, cuba dapatkan maklumat menyeluruh mengenai program dan bandingkan sama ada ia memenuhi kriteria minat atau sebaliknya," katanya. Pelajar juga boleh menduduki semula peperiksaan bagi memperbaiki keputusan atau bekerja bagi mencari pengalaman. "Dunia semakin maju, bidang kerjaya juga sudah meluas dan mencabar. Sama ada akademik atau kemahiran, setiap satu mempunyai kelebihan masing-masing. "Sentiasa optimis mengharungi kehidupan, itulah sebenarnya resipi kejayaan hidup," katanya. |
| Praktikal untuk ruang kecil Posted: 18 Mar 2012 06:53 PM PDT  AMAT mengecewakan apabila pensyarah ataupun eksekutif perniagaan tidak mampu manfaatkan ruang auditorium yang luas ketika mengadakan tayangan slaid. Ini kerana, kebanyakan projektor memerlukan jarak tertentu untuk memancarkan imej pada skrin sekali gus menyukarkan penonton melihat apa yang dipaparkan. Menyedari kekangan tersebut, syarikat terkemuka dalam pengimejan digital, Canon tampil dengan produk baru iaitu projektor multimedia model LV-8235 UST DLP. Projektor dengan harga yang kompetitif ini mempunyai ciri pantulan ultra-pendek yang membolehkan paparan dipancar dalam saiz besar walaupun dalam bilik lebih kecil. Dengan kelebihan tersebut, pembentangan mampu disampaikan dengan impak visual yang lebih menarik. Ia turut disempurnakan dengan pembesar suara binaan dalam, rangka luar yang tahan lasak serta ciri-ciri mesra pengguna lain bagi memudahkan persembahan slaid. |
| Gagal bela arnab berjaya ternak puyuh Posted: 18 Mar 2012 06:51 PM PDT  Keceriaan jelas terpancar pada wajah pasangan yang mengusahakan ternakan puyuh dan ayam kampung di Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan. RAJA Ali Raja Hassan bukanlah nama asing dalam industri ternakan burung puyuh di Kelantan. Bapa kepada lima orang ini sudah lebih 20 tahun mengusahakan ternakan tersebut dan berhasrat menjadi penternak, pembekal daging puyuh terbesar di negeri Cik Siti Wang Kembang. Berbeza dengan kebanyakan penternak lain yang mempunyai ladang dan pekerja, Raja Ali, 54, hanya mengusahakan ternakan burung puyuh di reban yang dibina di hadapan rumahnya di Kampung Badak Mati, Bukit Marak, Kota Bharu. Bermula dengan modal sebanyak RM1,000, Raja Ali dengan dibantu isteri tercinta, Rahimah Awang, 54, kini mampu tersenyum puas. Apa tidaknya, berkat penat lelahnya selama ini, dia dapat membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada kelima-lima anaknya itu yang kini sudah mempunyai kerjaya sendiri, selain mampu membeli rumah dan kereta. |
| Kereta nasional berinternet Posted: 18 Mar 2012 06:49 PM PDT  SYED Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (kiri) dan Yeoh Seok Hong (tiga dari kanan) melancarkan kenderaan nasional terbaru dilengkapi capaian Internet berkelajuan tinggi 4G. HARI ini, capaian Internet tanpa wayar (Wi-Fi) berkelajuan tinggi boleh nikmati dengan selesa di mana-mana sahaja kita berada. Akses tersebut biasanya tersedia di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah, restoran dan kafe, hotel serta di bangunan pejabat. Menerusi kemudahan itu, pengguna peranti mobiliti seperti telefon pintar, gajet tablet serta komputer riba boleh melayari Internet dan melakukan kerja-kerja harian mereka dengan lebih lancar. Melengkapkan atmosfera dunia tanpa sempadan itu, kini rangkaian Internet berkelajuan tinggi bakal disempurnakan pula di dalam kenderaan untuk tawaran akses Internet bergerak. |
| Naysila Mirdad, pikat penonton dengan air mata Posted: 18 Mar 2012 06:49 PM PDT Kejayaan menghayati watak menerusi lakonan pertama dalam sinetron, Liontin pada 2005, ternyata memberi tuah buat pelakon, Naysila Mirdad terus mewarnai bidang lakonan seberang. Setelah berjaya memikat hati penonton menerusi watak yang dipegang, pelakon berusia 24 tahun ini tidak terlepas dihujani pelbagai tawaran lakonan. Setiap watak yang diberikan kepadanya pasti tidak menghampakan kerana bakat yang dimiliki pelakon yang berasal dari Jakarta ini ternyata hebat sehingga mampu menitiskan air mata penonton. Menurutnya, setiap kali diberi tawaran lakonan, dia akan menghayati dan mendalam skrip yang diberikan bagi memastikan watak tersebut berkesan di hati penonton. "Saya sentiasa melakukan yang terbaik. Jika ada tawaran lakonan, saya hanya akan fokus kepadanya tanpa melakukan kerja-kerja lain. Saya bersyukur kerana percubaan pertama sudah diterima baik oleh penonton dan saya amat mengharapkan sokongan daripada mereka untuk terus berada di industri ini," katanya. Ternyata, segala usaha yang dilakukan berbaloi apabila baru-baru ini namanya telah tercalon sebagai pelakon wanita terbaik dalam Panasonic Award 2012. "Walaupun hanya tercalon, saya masih berbangga dengan pencapaian ini. Bagi saya ini adalah penghargaan yang bernilai dari peminat kepada saya," ujarnya. Ingin jadi usahawan Walaupun sibuk dengan bidang lakonan, Naysila, punya impian sendiri bagi menjamin masa depannya. Menurut gadis manis ini, dia ingin menubuhkan perniagaan butik pakaian wanita jenama sendiri, 'Deer'. Menurutnya, sudah menjadi asam garam kehidupan, setiap manusia tidak selalu berada di atas dan baginya karier lakonan tidak menjamin kehidupannya. "Siapa tahu nasib kita pada masa akan datang. Saya juga tidak tahu bagaimana rezeki saya dalam bidang ini sama ada akan berterusan dengan baik atau tidak. Oleh itu, saya menggunakan kelebihan yang ada mengusahakan sebuah butik pakaian. Buat masa ini saya sudah ada dua cawangan butik dan mahu kembangkannya seberapa besar yang mungkin," katanya. Tambahnya, minat dalam bidang fesyen adalah antara alasan dia memilih perniagaan butik pakaian. "Saya ada pereka pakaian sendiri. Di butik ini, saya akan memberi konsep dan idea tersendiri kepada pereka. Pakaian yang ada sesuai untuk gadis remaja dan wanita seumur saya yang gemar berfesyen. Apa yang penting, harga yang kami tawarkan juga berpatutan,"katanya. Dampingi Dude Herlino Sebagai selebriti, kontroversi dan gosip sentiasa menghantui mereka begitu juga dengan pelakon muda ini yang tidak pernah terlepas dengan cabaran itu. Sering digandingkan dengan aktor kacak, Dude Herlino, menerusi beberapa sinetron membuatkan pasangan ini sering mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang menyatakan mereka mempunyai hubungan istimewa. Khabar angin tentang hubungan cinta itu semakin meluas apabila Dude yang baru sahaja memutuskan hubungan bersama kekasihnya, Asmirandah sentiasa dilihat bersama Naysila di luar penggambaran. "Saya akui kami memang rapat tapi hanya sebagai seorang sahabat kerana sudah lama mengenali antara satu sama lain. Tiada hubungan istimewa pernah terjalin antara kami dan hubungan itu hanya wujud menerusi sinetron yang kami lakonkan," katanya. |
| Pesona gadis kacukan Anzalna Posted: 18 Mar 2012 06:47 PM PDT Bermula sebagai finalis Dewi Remaja 2010, bakat dan kelebihan yang dimiliki Anzalna Nasir, kini semakin mendapat perhatian pengarah dan penerbit tempatan. Rupa paras yang menawan merupakan kelebihan dimiliki pelakon berusia 24 tahun ini untuk terus mewarnai industri lakonan tanah air. Akui masih mentah dalam bidang hiburan, Anzalna bersyukur kerana tidak menang tangan menerima tawaran lakonan. Terbaru, Anzalna baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri, Amukan Pocong yang bersiaran di slot Seram TV3, setiap Khamis, jam 9.30 malam. Menurut Anzalna, penglibatan dalam drama tersebut memberi pelbagai pengalaman baru buat dirinya. "Dalam drama ini saya memegang watak sebagai gadis kampung bernama Sal yang akan mati di dahan pokok. Pada awalnya, saya sangka pokok yang perlu dipanjat tidaklah terlalu tinggi. "Saya agak takut apabila diberitahu pengarah saya perlu memanjat pokok setinggi pokok durian dan perlu bergerak dari dahan ke dahan. Masa itu, saya tidak yakin, lagipun saya tidak ada sebarang insurans lagi," ujarnya. Biarpun dikuasai perasaan ragu-ragu, pelakon genit ini mengambil risiko meneruskan lakonannya kerana beranggapan pengalaman seperti ini berbaloi untuk profilnya sebagai seorang pelakon. "Ini pengalaman yang berharga buat saya dan saya berterima kasih kepada pengarah yang memberi kepercayaan untuk melakonkan watak seperti itu. Sebagai seorang pelakon, saya perlu berani dan kuat kerana saya dibayar untuk lakonan ini. Saya mahu meneruskannya kerana mahu menjadi seorang pelakon yang versatil," katanya. Dalam perkembangan lain, gadis kelahiran Pulau Pinang ini bakal muncul dengan filem aksi Tyickoouns arahan Izan Hailmey Mokhtar, di samping aktor terkenal, Remy Ishak. Selain itu, filem termasuk Adam dan Hawa, Sepah The Movie dan Doktor K Kahwin 5 juga hanya menanti waktu tayangan. Idam watak baik Setiap pelakon pastinya mempunyai hasrat memegang watak yang diimpikan, begitu juga dengan pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur ini. Menurutnya, selain berani mengambil risiko melakonkan babak mencabar, Anzalna juga menyimpan hasrat mahu mencuba watak gadis Muslimah. "Saya tertarik dengan watak dan karakter seperti itu kerana sebelum ini tidak pernah melakonkannya. Jika diberi peluang, saya mahu mencubanya dan saya pasti ia memberi satu kelainan buat lakonan saya nanti. Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak begitu memilih watak kerana masih baru dalam bidang ini dan mahu menimba pengalaman seberapa banyak untuk bergelar pelakon ternama," katanya. Seakan satu trend, ada segelintir pelakon yang mahu mengembangkan bakat mereka melalui bidang nyanyian, Anzalna berpendapat buat masa ini, dirinya masih mahu memberi tumpuan kepada bidang lakonan. "Namun, sekiranya semua sudah stabil, tidak mustahil saya akan cuba ke bidang nyanyian pula," katanya. Pentingkan lakonan Bagi seseorang pelakon, pakej lengkap adalah kelebihan dan platform untuk terus menyerlah dalam industri lakonan tempatan. Menurutnya, bakat dan kualiti lakonan yang baik merupakan perkara terpenting yang perlu ada bagi seseorang pelakon untuk terus mencipta nama dan dikenali pelbagai pihak termasuklah peminat, pengarah dan penerbit tempatan. "Bagi saya, bakat lakonan yang tersendiri penting bagi seorang pelakon. Jika ada rupa, itu adalah satu bonus buat individu itu untuk terus menyerlah dalam industri ini. "Saya sendiri masih berada dalam proses belajar dalam bidang ini dan berharap pengalaman diperoleh dapat memantapkan lagi lakonan," katanya. |
| Tembusi pasaran antarabangsa Posted: 18 Mar 2012 06:47 PM PDT Sepuluh tahun dalam industri, kumpulan muzik terkenal Indonesia, Nidji kini semakin giat melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa. Memilih Australia sebagai destinasi pilihan untuk melancarkan album terbaru berjudul Victory, Nidji telah diintai oleh syarikat rakaman negara itu, Valleyarm sejak dua tahun lalu. Kumpulan yang dianggotai oleh enam anak muda ini menganggap pencapaian mereka itu sebagai hadiah sempena ulang tahun mereka yang ke-10 tahun ini. Menurut vokalisnya, Giring, mereka berbesar hati menerima undangan Valleyarm yang berhasrat mengadakan pelancaran album Victory di Australia pertengahan tahun ini. "Kami baru sahaja melancarkan album keempat kami, Liberty bulan lalu di Malaysia. Sebenarnya, album Liberty & Victory adalah album berkembar. Namun kami memilih untuk melancarkan album Victory di Australia memandangkan syarikat rakaman di sana meminta kami membuat pelancaran di situ. "Album Liberty adalah untuk pasaran di Indonesia dan Malaysia kerana dalam Bahasa Melayu, sementara album Victory mengandungi lima lagu Inggeris sesuai dengan pasaran antarabangsa," katanya semasa sidang media mengumumkan Nidji sebagai duta jenama Mister Potato di Kota Damansara, baru-baru ini. Selain melancarkan album, kumpulan ini juga berhasrat mengadakan sesi jelajah di negara Kanggaru itu selama sebulan. "Kami telah ke Melbourne lebih kurang 11 hari untuk pembikinan album tersebut dan hasilnya kami berpuas hati. Cuma kini hanya perlu menunggu masa untuk melancarkan album. Dalam pada itu, kami merancang untuk terus mengadakan aktiviti promosi di sana tidak lebih daripada satu bulan," katanya yang berhasrat membawa bersama isterinya, Cynthia untuk bercuti ke England. Selesa imej baru Terkenal dengan imej rambut Afronya sebelum ini, Giring kini ternyata lebih segak dengan potongan rambut baru. Menganggap transformasinya itu sebagai perubahan baru sempena usia Nidji yang telah mencecah sepuluh tahun, Giring berhasrat untuk memberi imej yang lebih segar buat tatapan peminat. "Sejak tahun lalu, saya sudah terfikir untuk mengubah imej. Jadi, memandangkan tahun ini ulang tahun ke-10 Nidji dalam industri, saya fikir ada eloknya melakukan perubahan. Bagaimanapun, saya masih rindukan rambut Afro yang dulu, malah ada juga teman dan peminat memberitahu, mereka juga rindu melihat Giring yang dulu," katanya sambil memberitahu selesa dengan gaya rambutnya sekarang. Dalam perkembangan lain, Giring kini dalam proses bekerjasama dengan sebuah syarikat produksi bagi menjayakan filem baru di Indonesia. "Saya baru menerima tawaran berlakon filem sebagai tunjang utama, namun masih belum menandatangani kontrak itu lagi. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan melakukan penggambaran di Jerman," katanya. |
| Mas Omar masih jadi pilihan artis Posted: 18 Mar 2012 06:46 PM PDT Walaupun pernah mempertaruhkan album di awal kemunculan dalam industri seni pada 1984, namun rezeki Mas Omar, 56, bukanlah dalam bidang nyanyian. Jika ditanya mana-mana artis atau penggiat seni, rata-rata mengenali insan ini yang sudah lebih 30 tahun menggalas tanggung jawab sebagai pengurus artis. Umum mengetahui, pengurus artis bukanlah kerja mudah kerana jatuh bangun seseorang artis bergantung kepadanya. Dalam erti kata lain, pengurus bertanggung jawab menjaga periuk nasi artis. Tidak perlu mempertikaikan kerja Mas Omar kerana hampir 99 peratus artis di bawah jagaannya mampu pergi lebih jauh dengan usahanya berlipat ganda. 30 tahun bukanlah tempoh masa singkat. Pelbagai pengalaman dan peristiwa ditempuhi Mas Omar untuk memegang tugas itu. Walaupun industri mengalami lambakan artis dan pengurus, namun nama Mas Omar tetap gah. "Saya akui, memang setiap artis itu tidak sama perangainya. Ada senang diurus dan ada memeningkan kepala. Namun, saya tetap lakukan yang terbaik. Jika mereka berjaya mematuhi arahan, mereka lebih berjaya. Tapi bagi malas berusaha, mereka tidak lama dalam industri. Setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri, jadi saya menganggap ini lumrah. "Tidak kurang juga 'lupa daratan' sehingga melupakan usaha saya menaikkan namanya. Namun, saya tidak pernah berkecil hati. Saya tidak pernah mendoakan keburukan untuk mereka, tetapi lambat laun mereka akan sedar," katanya yang kini menguruskan penyanyi baru, Haris Abdul dan kumpulan indie, Stubborn. Pernah jadi penyanyi Mengimbau sejarah penglibatannya, Mas Omar memberitahu, pada awal 80-an, dia mula berjinak sebagai penyanyi. Niatnya itu bukanlah sekadar angan-angan kosong kerana pada 1984, dia berjaya menampilkan album Disko Dangdut Barat (DBB Group) bersama R Jaafar. Album bertemakan pang lipur lara itu berjaya mencuri tumpuan pendengar menerusi killer song, Minah Kilang. Menurutnya, setelah rakan-rakan seangkatannya seperti Halil Chik, Hail Amir dan Latif Ibrahim mula mencuri tumpuan peminat, niatnya meneruskan karier sebagai penyanyi seakan terbantut. "Memandangkan mereka semua hebat dan sukar ditandingi, saya berundur. Persaingan ketika itu terlalu sengit. Jadi saya rasa, nyanyian bukanlah bidang saya. Tanpa disangka, saya mendapat tawaran daripada Omar Wahab dari Nawab Production sebagai pengurus artis. Saya mula mempelajari dunia pengurus. "Lama-kelamaan, saya dapat rasa bidang ini sesuai dengan saya dan ia terus menjadi karier sehingga sekarang. Pun begitu, saya sempat merakamkan tiga album lain iaitu Album Nasyid Pop, Seribu Bintang Berhari Raya dan Senandung Mesra Aidilfitri," katanya yang diberi tanggung jawab menguruskan artis pertama, Fareez (bekas suami Noraniza Idris), Noraniza Yusof (Juara Bintang RTM) dan Norynn Nor. Selain itu, Mas Omar turut menguruskan artis lain termasuk Nasir Wahab, Ramlah Ram, Liza Abdullah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Datuk Shake, Datuk M Daud Kilau, Datuk Jefrydin, Ella, M Nasir, Rahim Maarof, Search, Wings, May, Gersang, Siti Fairuz, Zur Eda, Herman Tino, N D Lala, arwah Izwan Pilus, KRU, Elite, Restu dan Trio Santan Berlada. Di sebalik nama Mas Bertanya mengenai pemilihan gelaran Mas dipangkal namanya, dia memberitahu, ia kenangan zaman percintaan bersama isteri, Sawiah Ali. Katanya, ketika itu, Malaysia Airlines System (MAS) mula diperkenalkan dan mereka mengambil singkatan itu yang membawa makna ikatan percintaan. "Mohamad and Sawiah. Disingkatkan menjadi Mas. Jadi, saya gunakan singkatan Mas untuk keturunan saya. Anak-anak dan cucu saya semuanya bermula dengan nama Mas. Begitu juga nama saya, saya gunakan nama pena, Mas pada pangkal nama. Saya harap legasi Mas ini diteruskan walaupun saya sudah tiada nanti. Ia kenangan manis saya dan isteri," kata bapa kepada Mas Sazly, (35), Mas Sazmy (32), Mas Sazny (30) dan Mas Mona (20). Dia pernah ilhamkan nama anak bongsunya, Mas Mona, untuk lagu dendangan, Datuk Jefrydin. Lagu itu menjadi siulan ramai walaupun anaknya ketika itu baru berusia enam bulan. Tidak hanya dikenali sebagai pengurus artis, Mas Omar bijak menyusun jadualnya mengendalikan dua syarikat sendiri, Masa Entertainment & Production dan Zasyaz Production. Jelas Mas Omar, Masa Entertainment & Production diuruskan isterinya. Syarikat itu ditubuhkan untuk mengurus dan menganjurkan majlis persembahan syarikat swasta dan korporat. "Bagi Zasyaz Production pula, kami menjadi pembekal kepada stesen televisyen untuk menyajikan drama bermutu. Sebelum ini, kami berjaya menerbitkan sitkom bersiri, Fa So La Ti Do untuk saluran RTM. Sitkom itu diarahkan Roslan Abd Aziz dan mengambil pendekatan atau idea daripada karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Bujang Lapok, Labu Labi dan Laksamana Do Re Mi. "Kini, kami optimis mengembangkan lagi syarikat ini. Selain mendapatkan persetujuan daripada stesen TV, kami mencari idea bernas untuk menampilkan rancangan menarik," katanya. |
| Chomell Fana berhabis demi kasut Posted: 18 Mar 2012 06:45 PM PDT Apabila menggemari sesuatu barang, pastinya kita akan cuba untuk mendapatkan barang tersebut. Tidak kiralah betapa susah atau payah untuk mendapatkannya, sedikit sebanyak usaha untuk mendapatkan barang itu pasti akan dilakukan walaupun mengetahui harganya tidak tercapai dek akal. Malah, ada juga orang yang jenis fanatik dengan barang akan sedaya upaya mengumpul duit bagi mendapatkan barang yang dihajati. Agak sukar sebenarnya untuk membaca kegilaan seseorang jika kita sendiri tidak mempunyai hobi dan minat seperti itu. Kadang kala kita akan terfikir bagaimana seseorang sanggup habiskan duit yang banyak untuk kepuasan diri. Bagi pelakon kecil molek, Chomell Fana, kepuasan dalam mendapatkan sesuatu barang yang diminati tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Tambahan pula, pemilik nama sebenar, Noorhanis Farhana Shaharuddin, ini turut mempunyai kegemaran mengumpul kasut atau sepatu. Bayangkan dalam tempoh masa lebih kurang lima tahun, gadis berusia 26 tahun ini telah mempunyai lebih 100 pasang koleksi kasut yang terdiri daripada pelbagai jenis fesyen dan warna. Tergamam seketika tatkala melihat koleksi kasutnya itu yang disusun rapi di dalam lima rak yang sememangnya khas untuk kasut. Malah, ada antara kasut yang masih terletak cantik di dalam kotak kasut seperti baru dibeli lagaknya. Melihat kepada koleksinya itu, gadis yang mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian ini sudah boleh membuka butik menjual kasut. Sementelah lagi, koleksinya itu terdiri daripada pelbagai jenis kasut seperti kasut sukan, sneakers, but, kasut tumit tinggi, platform, wedges dan stiletto. Teruja bercerita mengenai kegemarannya itu, Chomell mengaku begitu obses terhadap kasut sejak dari sekolah lagi. Menariknya mengenai kegilaan pelakon ini adalah koleksi sepatunya bukan calang-calang kerana ia mempunyai fesyen yang unik dan menarik. "Boleh dikatakan hampir kesemua koleksi kasut saya ini dipilih kerana fesyennya yang pelik tetapi sedap mata memandang. Malah, kebanyakan kasut saya ini jarang didapati dan dipakai oleh orang lain kerana fesyen dan warnanya yang pelbagai," katanya yang ditemui di rumah kediamannya di Bandar Sunway. Tidak menolak anggapan kasut-kasut tersebut menyerlahkan lagi personalitinya, Chomel berkata, koleksi kasut yang dipilih menggambarkan karakter dirinya yang sedikit gila-gila dan ranggi sesuai dengan umurnya. Selesa pakai sneakers Jika kebanyakan gadis seusianya lebih menggemari kasut tumit tinggi, namun gadis ini berbeza kerana lebih suka untuk memakai kasut sukan ataupun sneakers. Menurutnya, tabiat memakai kasut sukan atau sneakers dipupuk sejak zaman sekolah memandangkan dia seorang yang sukakan aktiviti lasak. Siapa sangka, gadis ini juga dahulunya merupakan seorang pemain bola sepak wanita Malaysia B dan bekas ahli silat serta olahragawati negeri Selangor. "Memandangkan saya dulu seorang yang lasak, jadi saya lebih selesa untuk memakai kasut sukan atau sneakers. Namun, sejak bergelar artis saya perlu belajar memakai kasut tumit tinggi," katanya yang belajar memakai kasut tumit daripada kakaknya, Rina Derina yang juga seorang jurusolek artis. Pelantun lagu BFF ini mula mengumpul kasut tumit tinggi pada 2008. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana memilih kasut tumit tinggi di kedai. "Pada mulanya, kakak yang akan membeli kasut tumit untuk saya kerana saya tidak tahu bagaimana untuk memilih kasut. Namun, lama kelamaan setelah diajar, saya sudah tahu cara memilih kasut tumit tinggi yang sesuai dengan pakaian yang saya pakai," katanya. Mengaku tidak kisah berbelanja banyak untuk membeli kasut, bagaimanapun Chomell akan memastikan kasut dipilih berpatutan dengan harga yang dibayar. Pun begitu, kadangkala gadis ini juga turut terlepas pandang membeli kasut yang diminati, namun sehingga sekarang masih belum berkesempatan mencuba kasut tersebut. Chomell juga tidak begitu menitikberatkan jenama kasut asalkan harganya berpatutan dan selesa dipakai. "Pernah suatu masa ketika saya bercuti di Thailand bersama kakak dan kakak angkat saya, mereka terkejut melihat saya membawa pulang 15 kotak kasut dalam tempoh sehari sahaja. Nasib baiklah kami ke sana menaiki kereta, jadi tidaklah sukar untuk meletakkan kasut-kasut yang saya beli," ujarnya sambil tergelak. Selain mendapatkan kasut di pusat membeli-belah, pelakon siri Comel ini juga sanggup melayari laman web yang memaparkan kedai kasut alam maya. Namun, sikap berhati-hati masih lagi diutamakan dalam dirinya biarpun kegilaannya terhadap tabiat yang satu itu cukup menebal. "Apabila melihat kasut yang dijual secara online, saya akan bertanya dengan rakan jika mereka ada melihat rekaan kasut seperti itu dijual di mana-mana. Malah, saya sanggup mencari kedai online yang kadangkala ada dibuka di gerai-gerai kecil seperti di Sunway Pyramid. Saya lebih senang untuk melihat sendiri kasut tersebut daripada membeli secara online," katanya yang setakat ini mempunyai kasut termahal daripada jenama Polo dan Aldo. Titik berat penjagaan Biarpun memiliki ratusan kasut, namun Chomell bukanlah jenis yang suka membazir kerana dia begitu mementingkan penjagaan kasut-kasutnya. Mengaku begitu sayang dengan barang-barang yang dibeli, pemenang tempat ketiga pertandingan nyanyian PPW Idol 2007 ini akan meluangkan masa untuk mengelap tapak dan permukaan luar kasut sebaik sahaja selepas dipakai. "Saya memang seorang yang sayang akan harta benda. Lagi pula, barang yang dibeli adalah hasil duit sendiri. Biasanya selepas pakai kasut, saya pasti akan lap tapak dan permukaan tepi kasut dengan air dan simpan semula elok-elok di dalam kotak ataupun di rak kasut," katanya yang juga menggunakan Febreeze untuk menghilangkan bakteria dan mengelakkan kasut berbau. Jika kasut yang dibeli rosak, Chomell juga sanggup berhabis duit bagi mencari kasut sama jenis dengan yang rosak itu. Malah, sekiranya ada dalam kalangan rakan-rakannya yang meminjam kasut kepunyaan gadis ini, dia tidak kisah memberi kebenaran asalkan ia dijaga dengan baik. "Pernah juga rakan saya pinjam kasut dan ada sedikit kerosakan pada kasut itu, tetapi mereka ini kenal perangai saya yang begitu sayangkan barang-barang. Jadi, rakan saya ini akan pergi betulkan balik kasut yang rosak sebelum memulangkan kepada saya. "Kebiasaannya, saya akan memeriksa dahulu kasut yang dipulangkan oleh mereka kerana saya mahu apa yang saya telah bagi pinjam keadaannya sama dengan yang dipulangkan," ujarnya yang memakai kasut bersaiz enam atau tujuh. Menurut Chomell lagi, dia juga kadangkala sanggup membeli kasut yang bersaiz lagi besar atau kecil daripada saiznya sendiri asalkan kasut tersebut menarik di matanya. "Apabila kasut yang saya minat sudah habis dan tidak sama dengan saiz kaki saya, saya tidak kisah untuk membeli kasut bersaiz yang lebih besar atau kecil bagi memuatkan kasut itu dalam koleksi saya," katanya. Kasut penyelamat nyawa Berkongsi cerita mengenai pengalamannya dalam memilih kasut, Chomell memberitahu dia pernah mengalami kemalangan berlanggar dengan bas pada tahun lalu. Dia yang ketika itu menunggang motosikal mengalami kecederaan teruk kerana kenderaannya terperosok di bawah bas. "Sewaktu kemalangan, baju dan seluar saya koyak teruk, namun yang menghairankan kasut yang saya pakai ketika itu tidak langsung mengalami sebarang kerosakan mahupun calar. Alhamdulillah, saya bersyukur terselamat dalam kemalangan itu biarpun tangan dan kaki saya sedikit tercalar," katanya. |
| Produk khusus buat wanita Posted: 18 Mar 2012 06:44 PM PDT Panasonic Malaysia Sdn Bhd optimis meningkatkan penguasaan pasaran bagi segmen kamkoder yang baru diperkenalkan kepada 24 peratus berbanding 19 peratus sebelum ini menjelang hujung tahun ini. Pengarah Urusannya, Jeff Lee berkata, sasaran itu akan didorong oleh pengenalan siri baru sembilan kamkoder model terbaru yang ditumpukan kepada kualiti berdefinisi tinggi, berbanding model sebelumnya. "Model terbaru ini telah ditambah baik dari segi lensa dan peranti sensor yang membantu mengurangkan sehingga 40 peratus bunyi bising berbanding model terdahulu," katanya selepas pelancaran rangkaian model baru kamera digital Lumix dan kamkoder, di Kuala Lumpur. Menurutnya, Panasonic turut menyasarkan 60,000 unit bagi 14 model rangkaian kamera digital Lumix yang baru diperkenalkan tahun ini, sekali gus menjangkakan peningkatan jualan kepada 70,000 unit tahun hadapan. Katanya lagi, 14 model kamera digital itu meliputi enam kategori yang direka khusus kepada golongan wanita. "Dengan siri terbaru yang nipis, kompak, ringan, zum tinggi dan didatangkan bersama sentuhan kecantikan pada imej sememangnya amat sesuai kepada golongan wanita moden. "Selain itu, model ini juga didatangkan dengan ciri kalis debu dan kalis air yang direka serta disasarkan kepada wanita aktif," katanya. Beliau berkata, Panasonic turut menjangkakan segmen kamera digital dan kamkorder akan menyumbang lima peratus kepada perolehan syarikat. |
| Sasar peningkatan jualan 20 peratus Posted: 18 Mar 2012 06:44 PM PDT Ixora Corporation Sdn Bhd menerusi jenamanya Alfio Raldo, optimis capai sasaran jualan 20 peratus menjelang hujung tahun ini, serentak dengan pelancaran koleksi Alfio Raldo Young Collection yang baru diperkenalkan. Pengarah Urusannya, Jordan Ling berkata, permintaan menggalakkan daripada penggemar jenama ini, telah memberi inspirasi dalam menghasilkan koleksi kepada golongan muda. "Jenama ini menjadi pilihan wanita sejak dulu lagi. Namun, kata mereka koleksi Alfio Raldo Klasik tidak begitu sesuai dengan cita rasa anak muda masa kini. Kami mengambil inisiatif menghasilkan sesuatu lebih berwarna-warni sesuai untuk mereka berumur 15 hingga 30 tahun. Dengan rekaan terkini dan harga berpatutan, di harap koleksi ini mendapat sambutan," katanya di Kuala Lumpur. Sementara itu, bagi mengukuhkan pasaran sedia ada, Alfio Raldo membuat konsep jualan secara runcit. Menurutnya, dengan menjalankan perniagaan secara runcit, ia lebih memudahkan pelanggan membuat pembelian tanpa perlu menunggu sehingga tempahan tiba. "Alfio Raldo mempunyai 20 butik jualan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dan buat masa ini kami telah menukar 12 butik sedia ada kepada konsep kedai runcit. Bagi memudahkan lagi urusan jual beli, kami telah menyediakan stok produk secukupnya," katanya. |
| Rempah Faiza semakin dikenali Posted: 18 Mar 2012 06:41 PM PDT Menyedari penerimaan dan penggunaan rempah ratus dalam masakan semakin digemari, Pengasas Syarikat Faiza, Faiza Bawumi Sayed Ahmad mula meneroka bidang itu sejak 35 tahun lalu. Ditubuhkan pada 2001, Faiza Marketing Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar rempah ratus Bumiputera menawarkan 123 jenis rempah selain garam gunung dan kurma yang hanya difokuskan pada bulan Ramadan. Berusaha ke arah mendapatkan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Faiza optimis meneroka pasaran luar dan meningkat perolehan antarabangsa sebanyak 30 peratus berbanding sebelum ini. Sejarah ciptaan rempah Faiza Pengarah Urusannya, Najwa Abu Bakar berkata, gemar makan kari mendorong ibunya, Faiza mendapat idea mencipta resipi rempah sendiri sekali gus menjualnya dari rumah ke rumah sebagai pasaran percubaan. Najwa berkata, tanpa disangka, walaupun berasal dari Mesir, ia tidak menjadi kekangan kepada ibunya mencipta resipi rempah dan cuba memasarkannya kepada umum. "Maklum balas diterima menjadi pemangkin kepada umi mengembangkan mekanisme jualan dengan memasuki kedai runcit sekitar Johor selepas dua tahun. "Bermula dari proses awal hingga akhir, semua dilakukan bersama dua pekerja dan kemudian menubuhkan Syarikat Faiza," katanya kepada Sinar Harian di Subang Jaya. Menurutnya, selain mengeluarkan rempah ratus, jenama Faiza juga terkenal dengan produk beras. Apabila perniagaan semakin maju maka pengurusan rempah dan beras diasingkan. Katanya, kini, semua produk diletakkan di bawah Syarikat Faiza, tetapi pengurusan beras dikelola Faiza Sdn Bhd, manakala rempah di bawah Faiza Marketing Sdn Bhd. Bimbingan Matrade, Fama, Mara Najwa berkata, melalui rangkaian Syarikat Faiza, rempah keluarannya mula menakluki pasar raya besar secara berperingkat seperti Carrefour, Giant dan Tesco. Dia berkata, kejayaan ini adalah berkat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memberi peluang kepada Faiza menembusi pasaran antarabangsa. "Antara negara berjaya ditakluki adalah New Zealand, Australia, Brunei, Singapura serta beberapa negara lain bersama dengan bimbingan Matrade untuk mengeksport produk rempah tersebut ke luar negara. "Pasaran antarabangsa terlalu besar untuk ditakluki maka kami perlu memastikan kualiti produk dikeluarkan menepati piawaian dan telah mendapatkan khidmat nasihat daripada Mardi," katanya. Katanya, Faiza menawarkan rempah tunggal iaitu rempah diproses tanpa campuran manakala rempah separa dibungkus dalam 10 jenis berbeza. Menurut Najwa, permintaan bagi rempah separa lebih tinggi dan menyumbang sebanyak 80 peratus kepada perolehan bulanan. "Purata pengeluaran setiap bulan mencecah 60 tan melibatkan saiz pembungkusan 25 gram, 220 gram dan sekilogram diproses di kilang terletak di Johor dengan kapasiti kakitangan 35 orang di bahagian pengeluaran. "Faiza bakal membuka sebuah kilang di Bandar Enstek, Sepang pada 2013 sekali gus menyasarkan peningkatan dua kali ganda dan meningkatkan kualiti produk," katanya. Perolehan, pengeluaran meningkat 40 peratus Najwa berkata, sambutan baik terhadap rempah Faiza menyumbang ke arah perolehan tinggi dan mencecah RM 5.5 juta bagi tahun 2011. Katanya, berikutan rempah semi premix lebih menyumbang kepada perolehan maka Faiza optimis ia akan meningkat sehingga RM 7.5 juta tahun ini. "Sehubungan itu, kami meramalkan peningkatan 40 peratus di bahagian perolehan dan pengeluaran. Tambahan pula, pengeluaran pes Faiza pada April nanti memudahkan kami mencapai sasaran tersebut. "Walaupun kini, sumbangan bagi pasaran antarabangsa tidak sampai 10 peratus tetapi selepas pelancaran lima pes perasa seperti kari, kurma, rendang, sambal tumis dan beriani dapat meningkatkan sehingga 30 peratus," katanya. Menurutnya, pengeluaran produk berbentuk pes dihasilkan apabila mendapat permintaan tinggi bagi pasaran antarabangsa sekali gus bakal merasmikan kilang yang melibatkan pelaburan hampir RM18 juta. Ke arah HACCP Katanya, tidak hanya mementingkan kuantiti pengeluaran tetapi kualiti produk turut menjadi keutamaan Faiza dan sedang menuju ke arah pembaikan. Najwa berkata, syarikat masih berusaha untuk mendapatkan taraf HACCP khususnya selepas pembukaan kilang baru dan meyakinkan pelanggan dengan produk keluaran Faiza. "Dengan adanya HACCP, pelanggan tidak akan was-was untuk membeli produk Faiza selain mempunyai sijil halal dan ISO 9001. "Apabila mendapat HACCP, ia turut memudahkan kami memasarkan produk ke pasaran antarabangsa sekali gus menjadikan Faiza satu-satunya syarikat rempah mempunyai sijil tersebut," katanya. Menurutnya, pengeluaran meningkat tetapi tenaga kerja bakal dikurangkan kerana Faiza akan menggunakan mesin automatik sepenuhnya selepas pembukaan kilang baru berbanding kini hanya separa auto. |
0 ulasan:
Catat Ulasan