RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tergamak Tinggalkan Ibu Di Hotel Murah!

Posted: 22 Mar 2012 06:23 PM PDT

Britannica akur saingan digital

Posted: 22 Mar 2012 05:19 PM PDT



LAZIMNYA pada masa lapang, D.G. Martin akan menghampiri rak buku yang berdiri gah di satu sudut rumahnya. Dengan pantas jarinya menarik sebuah buku berkulit tebal warna coklat. Kemudian, sebaik saja melabuhkan punggung di kerusi empuk, pemuda kelahiran Atlanta, Amerika Syarikat (AS) berkenaan menyelak halaman 335.

Wajahnya mula mengukir senyuman apabila membaca artikel bertajuk, United States of America: Made my way to the North Carolina. Apatah lagi, di penghujung cerita itu tercatat susunan huruf Pe.S.G/D.G.M yang merujuk kepada nama Peter S. Gilchrist dan D.G. Martin.

Jika ditanya, sehingga ke hari ini, Martin tidak mempercayai bahawa artikel hasil nukilannya bersama rakannya terpilih untuk disiarkan secara rasmi dalam Ensiklopedia Britannica, Jilid 29.

"Saya sering mengisi masa lapang dengan membaca artikel ini berulang kali. Terasa bangga dan gembira kerana nama kami tercatat secara rasmi dalam ensiklopedia yang paling popular di serata dunia.

"Menarik mengenai ensiklopedia ini, ia bukan saja mendedahkan pembaca dengan pelbagai fakta dan informasi berguna malah turut memaparkan koleksi foto yang cantik," tutur Martin, bekas peguam, ahli politik dan merangkap hos UNC-TV, program North Carolina Bookwatch.

Bicara Martin yang pernah berkhidmat di bahagian pentadbiran Universiti Carolina, AS, menulis artikel untuk dimuatkan dalam Ensiklopedia Britannica secara tidak langsung membantu mengukuhkan portfolionya. Pada masa yang sama, ia membuatkan ramai pihak mempercayai kredibiliti Martin dalam bidang penulisan.

Menyorot penglibatannya menulis untuk ensiklopedia yang berusia 244 tahun itu, semuanya bermula pada dua dekad lalu. Seorang kawannya, Marshall Gilchrist telah mencadangkan nama Martin kepada penerbit Britannica untuk bergabung bersama Peter S. Gilchrist untuk menghasilkan artikel mengenai Carolina Utara.

Pada ketika itu, Martin ditawarkan sebanyak $300 (RM923) sebagai upah tugasan tersebut. Namun, graduan Kolej Davidson itu enggan menerima bayaran itu sebaliknya memohon untuk digantikan dengan satu set lengkap Britannica.

"Mereka tidak percaya saya inginkan set Britannica berbanding wang. Melihat tekad saya untuk memiliki Britannica, akhirnya permintaan saya diluluskan. Lebih mengharukan, set baharu Britannica yang saya terima memuatkan artikel saya bersama Gilchrist.

"Sebelum munculnya era digital, ensiklopedia ini adalah sumber rujukan lengkap dan ideal untuk semua peringkat umur. Saya sanggup menyelak satu persatu helaiannya semata-mata untuk membaca kandungannya," ujar Martin dalam nada sedih apabila buku Britannica semakin berkurangan dan dipandang sepi memandangkan individu hari ini cenderung mencari maklumat menerusi Internet.

Bertambah mengecewakan apabila pada awal Mac lalu, Martin dikejutkan dengan berita bahawa penerbitan Britannica versi buku akan dihentikan kerana mereka ingin fokus pada versi digital.


WAJAH lukisan Andrew Bell yang merupakan salah seorang pengasas Ensiklopedia Britannica.


Himpunan maklumat

Ensiklopedia Britannica mula diterbitkan pada tahun 1768 di Edinburgh, Scotland. Cetakan pertamanya hadir dengan judul, A Dictionary of Arts and Sciences yang menghimpunkan maklumat tentang seni dan sains. Ia diasaskan oleh Colin Macfarquhar dan Andrew Bell, warga Scotland yang memiliki kepakaran dalam bidang cetakan, ukiran dan penjualan buku.

Pada awalnya, tujuan ia diterbitkan adalah untuk menawarkan bahan bacaan berbentuk ilmiah. Sekitar tahun 1974 sewaktu melancarkan ensiklopedia jilid ke-15, pihak Britannica menyasarkan objektif untuk mendedahkan kepelbagaian ilmu pemahaman manusia.

Selama dua abad beroperasi dalam industri buku, Britannica mengekalkan konsep, saiz, ketebalan dan isi kandungan yang sama. Setakat ini, dianggarkan Britannica sudah mencetak 40 juta perkataan dan setengah juta topik mengikut peredaran semasa.

Walaupun pusat operasi ensiklopedia tersebut telah berpindah ke AS pada tahun 1901, sidang pengarangnya masih menggunakan ejaan British.

Sepanjang penerbitan, setiap kandungannya dikemas kini oleh 100 orang pengarang sepenuh masa dan 4,400 orang penyumbang artikel. Kredibiliti dan kesahihan maklumat Britannica tidak dipertikaikan memandangkan ia turut melibatkan penyumbang profesional seperti ahli fizik tersohor, Albert Einstein; bekas Presiden AS, Bill Clinton; dan bekas Ketua Biskop Cape Town, Desmond Tutu.

Dari segi pemilikan pula ia bersilih ganti. Pada era kedua cetakan, syarikat itu diambil alih oleh firma penerbitan Edinburgh, A & C Black, sebelum bertukar hak milik kepada Horace Everett Hooper, Sears Roebuck dan William Benton. Pada tahun 1911 hingga kini, penerbitannya adalah di bawah syarikat Encyclopedia Britannica Inc., milik jutawan Switzerland, Jacqui Safra.

Kenangan ilmiah

Dalam pada itu, pemilik kedai buku antik MacLeod's Books, yang terletak di bandar Vancouver, Kanada, Don Stewart, melahirkan rasa bertuah kerana memiliki 20 set Britannica sejak dari keluaran tahun 1817. Jelasnya, ensiklopedia tersebut unik memandangkan ia mengandungi bermacam-macam topik, ilustrasi dan diagram.

"Salah satu topik yang menarik minat saya berkaitan dengan cara menghasilkan belon udara panas. Pembaca diberi penerangan yang lengkap dan jelas tentang proses pembuatannya kerana dilengkapi ilustrasi.

"Sememangnya Britannica melalui proses suntingan dan pemilihan artikel yang begitu teliti serta perlu mengikut standard yang ditetapkan," ujar Stewart.

Sejak berita berakhirnya penerbitan Britannica diumumkan pada awal Mac lalu, ia menjadi topik hangat dalam kebanyakan agensi berita antarabangsa, blog dan laman sosial.


PENGGUNA kini selesa melayari maklumat dan informasi menerusi Ensiklopedia Britannica versi digital.


Kumpulan pakar akademik khususnya tidak bersetuju dengan isu berkenaan kerana menyifatkan Britannica antara ensiklopedia nostalgik yang sarat dengan informasi berguna.

Walaupun reaksi demikian sudah dapat dijangka, Encyclopaedia Britannica, Inc., yang menguruskan buku itu sudahpun menghentikan pencetakan sejak dua tahun lalu. Set Jilid 32 merupakan koleksi Britannica yang terakhir dan ia telah dicetak sebanyak 8,000 set. Kini pihak Britannica sedang berusaha untuk menjual koleksi ensiklopedia yang masih berbaki 4,000 set.

Kejatuhan jualan

"Ini berita yang paling menyedihkan. Saya mula membaca Britannica ketika belajar di sekolah rendah kerana terhibur dengan paparan topiknya. Suatu ketika dahulu, kanak-kanak yang membaca Britannica selalu diejek sebagai nerd (ulat buku yang tidak tahu bersosial) tetapi saya tidak ambil peduli," jelas Diakow, pengacara Breakfast Television menerusi Twitternya.

Jika diteliti, tahun 1990 dianggap detik yang melonjakkan nama ensiklopedia itu apabila sebanyak 120,000 set versi cetakan berjaya dijual di seluruh dunia. Tapi, kejayaan itu tidak bertahan kerana penjualannya jatuh mendadak hinggakan pada tahun 1996, hanya 40,000 set dapat dijual.

Menurut pegawai bahagian bahasa, sastera dan sejarah, Perpustakaan Negeri Hawaii, Lynne Kobayashi, hakikatnya 70 peratus pengguna selesa merujuk bahan bacaan versi cetakan. Namun, seiring dengan kecanggihan teknologi yang serba pantas, selera masyarakat mula berubah.

Setiap tugasan dan maklumat ingin diperoleh dalam masa yang singkat maka Internet merupakan jalan penyelesaian terbaik.

Penggunaan enjin carian seperti Google dan Yahoo! sudah memadai untuk memberikan informasi dalam tempoh yang singkat. Disebabkan itu, individu gemar klik pada web Wikipedia berbanding membelek helaian demi helaian ensiklopedia Britannica.

"Terdapat banyak keistimewaan carian maklumat secara dalam talian. Hanya menaip beberapa kata kunci segala informasi tertera di skrin komputer. Pengguna cuma perlu melakukan kajian sama ada maklumat itu sahih atau tidak.

"Tetapi, kekurangannya pula apabila kita terpaksa memiliki komputer dan peranti untuk mengakses Internet," tegas Kobayashi yang turut menyatakan sebahagian besar perpustakawan masih memerlukan sumber bahan bacaan kerana segala catatan yang terkandung dalamnya daripada sumber yang sahih.

Awas helah psikologi

Posted: 22 Mar 2012 05:17 PM PDT


SKIM cepat kaya serta gores dan menang bijak memanipulasi psikologi manusia untuk mengaut keuntungan besar. – Gambar hiasan.


SEJAK akhir-akhir ini, seperti yang dilaporkan dalam akhbar, begitu banyak ahli masyarakat khususnya di luar bandar yang terpengaruh dengan skim cepat kaya.

Ada yang ditipu dengan begitu mudah hingga tergadai harta dan wang ringgit semata-mata termakan pujukan individu yang menawarkan mereka jalan pintas menjadi jutawan.

Apakah sebenarnya yang menyebabkan segelintir ahli masyarakat kita mudah terpedaya, walaupun dalam pertimbangan logik adalah sangat mustahil untuk mencapai kekayaan tanpa perlu melakukan sebarang usaha?

Mengapa ada orang yang terpesona dengan janji manis melihat angka keuntungan?

Sebenarnya, inilah antara isu yang sering menjadi topik perbincangan dalam bidang psikologi. Adakalanya orang terpengaruh dengan kesan 'meminta yang kecil, mengambil yang besar'. Ada pula yang tertipu dengan 'meminta yang besar, mengambil yang kecil'.

Ia simptom yang sering muncul dalam kehidupan kita yang adakalanya tidak kita sedari.

Misalnya, ada penjual produk tertentu yang menggunakan helah meminta yang kecil, mengambil yang besar apabila datang ke rumah kita. Mulanya, mereka akan bertanya sama ada kita boleh memberikan mereka sedikit air sejuk untuk diminum.

Setelah kita menghidangkan mereka dengan segelas minuman, mereka akan meminta pula untuk berehat seketika. Setelah permintaan mereka dipenuhi, mereka kemudiannya akan mula menunjukkan produk yang dijual, adakalanya hanyalah sebagai helah sahaja.

Jangan mula beri peluang

Secara psikologikalnya manusia akan lebih mudah memberi sesuatu yang lebih besar setelah mula memberikan sesuatu yang lebih kecil. Ini kerana pemberian kecil yang pertama tadi membuatkan mereka terbuka untuk memberikan hal yang lebih besar lagi.

Lama-kelamaan, mereka akan terus memberi kalau diminta lagi sekalipun ia permintaan yang besar.

Ia ibarat diberi betis, kemudiannya paha. Banyak kes, anak gadis yang terpedaya apabila mereka mulanya hanya diminta dengan sesuatu yang mudah, misalnya memberikan nombor telefon.

Kemudiannya, apabila keadaan kian mesra, mereka akan lebih mudah untuk diajak keluar. Lama-kelamaan mereka akan sanggup menjualkan maruah diri hanya kerana mula memberikan sesuatu yang kecil sahaja.

Sebab itulah, kalau kita didatangi dengan manusia yang tidak dikenali atau dicurigai yang meminta sesuatu, ada baiknya kita jangan memberikan mereka sebarang peluang untuk melakukan permintaan.

Begitu juga dengan kes meminta yang besar, mengambil yang kecil. Ia selalu juga terjadi.

Misalnya, kita ditawarkan dengan produk yang harganya sangat mahal dan tidak masuk akal. Bagaimanapun, apabila kita ditunjukkan dengan sesuatu yang sangat murah, kita bersedia menerimanya. Ini kerana secara psikologinya, kita merasa beruntung dan tidak kehilangan wang yang banyak.

Hakikatnya, penjual tadi hanya ingin menjual sesuatu yang murah itu sahaja. Produk yang mahal hanyalah sekadar umpan sahaja.

Semua ini adalah simptom psikologikal yang sering memerangkap kita.

Bagaimana dengan konteks skim cepat kaya? Biasanya pelanggan akan dipujuk untuk melakukan pelaburan yang kecil sahaja. Dalam beberapa minggu, mereka akan mula mendapat pulangan yang sangat besar.

Setelah itu, mereka akan diminta lagi untuk melakukan pelaburan yang lebih besar kerana kononnya pulangan yang diterima akan lebih menakjubkan. Biasanya, mereka yang mula melakukan pelaburan yang kecil pada awal tadi, akan sanggup juga untuk memberikan pelaburan yang lebih besar.

Semua ini hanyalah helah psikologikal yang akan memerangkap sesiapa sahaja sekiranya tidak berhati-hati. Ia simptom yang berlaku dalam kehidupan kita sehari-harian.

Ia juga boleh menyebabkan kita terpedaya dalam banyak hal, bukan sekadar wang ringgit, malah adakalanya melibatkan maruah diri.

Jalan terbaik untuk kita semua adalah dengan tidak membuka ruang kepada mereka yang tidak dikenali apabila mereka mula memintakan sesuatu, sama ada permintaan itu kecil atau besar.

Ia jalan terbaik menyelamatkan kita daripada manipulasi manusia berniat buruk dan berhati jahat.

Tasputra Perkim beri sinar baharu

Posted: 22 Mar 2012 05:16 PM PDT



HATI sebak dan pilu saat melihat anak-anak kecil seawal usia dua tahun menjalani latihan fisioterapi ketika penulis menjejakkan kaki ke taman asuhan harian untuk kanak-kanak cacat, Tasputra Perkim (Tasputra), Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebak bukan kerana mereka tidak dijaga dengan baik, tetapi mengenangkan bagaimana mereka melalui hari-hari mendatang dengan fizikal yang kurang sempurna seperti kanak-kanak normal lain.

Kebanyakan kanak-kanak istimewa yang dihantar ke pusat asuhan harian yang dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang itu menghidap penyakit palsi serebrum, hiperaktif dan sindrom Down.

Tidak seperti pusat jagaan harian lain, Tasputra bukan sekadar memberikan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak istimewa, malah menyediakan pelbagai jenis terapi yang dilakukan oleh ahli fisioterapi yang terlatih.

"Pusat ini merupakan pusat latihan harian untuk kanak-kanak yang menghidap kecacatan pelbagai yang memerlukan keperluan istimewa.

"Kanak-kanak di sini terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, India, Cina dan beberapa kanak-kanak dari Thailand, Indonesia dan Nigeria. Sesiapa yang memerlukan bantuan, kami sedia membantu," kata Pengerusi Tasputra, Elahe Norman.

Wanita kelahiran Iran yang sudah mendapat kerakyatan Malaysia itu memberitahu, pusat asuhan harian tersebut boleh menampung hingga 52 kanak-kanak iaitu jumlah yang dibenarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berdasarkan ruang yang ada.

Buat masa ini, jumlah kanak-kanak yang diasuh di Tasputra kurang daripada 50 orang dan masih ada ruang untuk beberapa kanak-kanak bagi mencukupkan kuota sehingga 52 orang.


KANAK-KANAK palsi serebrum perlu menjalani fisioterapi bagi mengelakkan otot-otot pada kaki dan tangan mereka mengecut hingga menyebabkan kaku.


Pelbagai terapi

Ketika sedang asyik melihat kanak-kanak di Tasputra menjalani fisioterapi, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki memakai baju berona merah, Amry Daniel Azman, 15, tersenyum sambil menunjuk ke arah lensa kamera jurufoto Mohd. Farizwan Hasbullah apabila keletahnya dirakamkan.

Di sudut lain pula kelihatan Izz Raimi Hakim Mohd. Izham, 6, sedang dipakaikan alat bantuan persis kerusi roda untuk memulakan sesi terapi.

"Kanak-kanak yang dihantar ke sini menjalani rawatan fisioterapi dan terapi cara kerja bagi mengajar mereka kemahiran asas harian supaya boleh berdikari kelak.

"Pusat ini juga menyediakan terapi aroma, terapi akua, hippotherapy, terapi urut, terapi muzik, snoezelen dan terapi pertuturan," ujarnya.

Dengan menawarkan pelbagai jenis terapi, kakitangan di situ dapat mengesan potensi dalam diri kanak-kanak istimewa berkenaan.

Hippotherapy misalnya membolehkan kanak-kanak istimewa itu mengendalikan kuda dengan bantuan tenaga pengajar. Ia mengajar supaya kanak-kanak duduk dengan postur yang betul bagi mengelakkan mereka jatuh, mendengar arahan dan pada masa yang sama membina keyakinan dalam diri.

Dalam pada itu, bagi memberikan pendidikan terbaik untuk kanak-kanak tersebut, Elahe bercadang mengadakan sistem pendidikan baharu dengan menggunakan satu kaedah dari Amerika Syarikat yang dibangunkan selepas penyelidikan selama 30 tahun.

"Kaedah pendidikan tersebut mampu mengajar kanak-kanak ini dari segi pembangunan karakter yang sangat penting buat mereka.

"Ia bukan sahaja penting kepada golongan kanak-kanak istimewa sahaja, malah turut memberikan manfaat kepada kita yang normal," katanya yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun menguruskan pusat tersebut.

Bagi menguruskan pusat asuhan khusus untuk kanak-kanak istimewa itu, Elahe memberitau, pihaknya memerlukan sehingga RM45,000 sebulan yang digunakan untuk membayar segala perbelanjaan termasuk gaji kakitangan, petrol, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso), tunai runcit (petty cash) dan penyediaan makanan.

Menjamin kelangsungan operasi pusat asuhan tersebut, Tasputra mengenakan sedikit bayaran kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke situ pada bayaran RM350 sebulan.


TASPUTRA juga menyediakan terapi cara kerja bagi membolehkan kanak-kanak istimewa itu berdikari apabila dewasa kelak.


"Apa yang membuatkan Tasputra istimewa apabila kami menawarkan pelbagai jenis terapi untuk pelbagai jenis kecacatan yang dialami oleh kanak-kanak.

"Jika anda pergi untuk menjalani fisioterapi di tempat lain, anda akan dikenakan caj sehingga RM100 untuk tempoh 45 minit atau satu jam tetapi di sini, dalam satu hari sahaja pelbagai jenis terapi dilakukan," jelasnya.

Kanak-kanak yang menghidap palsi serebrum amat memerlukan fisioterapi. Pengabaian fisioterapi akan menyebabkan otot kanak-kanak tersebut mengecut mengakibatkan kaki dan tangan mereka kaku.

Jangan simpan anak di rumah

Bayangkan jika Tasputra dikomersialkan, berapa kos yang perlu ditanggung oleh ibu bapa bagi membolehkan anak-anak istimewa mereka mendapatkan terapi sedemikian.

Dengan usaha keras yang telah dicurahkan selama 25 tahun itu, Elahe berharap ibu bapa dapat memahami betapa pentingnya pendidikan dan penjagaan rapi buat anak-anak istimewa mereka.

"Ada segelintir ibu bapa tidak menghantar anak-anak istimewa mereka ke sini walaupun telah membayarnya kerana mahu anak-anak mereka berada di rumah. Ada juga antara ibu bapa yang tidak lagi datang menghantar anak-anak mereka tanpa memberitahu kami terlebih dahulu.

"Keadaan ini amat menyedihkan. Di sini, segala keperluan untuk mereka menjalani terapi disediakan. Jadi, gunakanlah ia sepenuhnya. Jika anak-anak ini di rumah, tiada banyak benda yang boleh dilakukan mereka," katanya.

Ujar Elahe lagi, Tasputra menyediakan kenderaan untuk mengambil kanak-kanak tersebut di rumah dan menghantar mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan tanpa dikenakan bayaran.

Ia tidak memerlukan ibu bapa mengambil cuti semata-mata untuk membawa anak mereka ke klinik berjumpa dengan doktor.

"Tasputra mempunyai dua orang ahli fisioterapi dan dua orang jurupulih pekerjaan.

"Kami mahu mendedahkan kanak-kanak ini dengan aktiviti yang menyeronokkan dalam masa yang sama memberi manfaat kepada mereka iaitu mengajar mereka melukis, mewarna, membuat kraf, menanam bunga dan memasak dengan seliaan kakitangan di sini," ujarnya.

Menurutnya, Tasputra sudah banyak kehilangan kakitangan berpengalaman menjaga kanak-kanak istimewa kerana tidak mampu memberikan gaji yang besar dan apa yang lebih menyedihkan, mereka terpaksa bekerja sebagai tukang cuci kerana bayarannya lebih tinggi.

Elahe tidak menafikan bahawa ada penderma yang bermurah hati mahu mendermakan beberapa peralatan keperluan namun itu bukan perkara utama.

"Bagaimana untuk menggunakan segala peralatan yang diberikan jika kakitangan tidak mencukupi. Mereka ini perlukan belaian dan sentuhan. Alatan tidak boleh menjaga mereka.

"Melihat kanak-kanak ini membesar dan menunjukkan perkembangan positif setiap hari sudah membuatkan saya puas dan gembira," katanya sambil memberitahu Tasputra turut mengadakan jualan lambak setiap bulan untuk mendapatkan wang.

Sudah menjadi rutin Elahe setiap hari melayani dan bermesra dengan kanak-kanak Tasputra persis seorang nenek melayan kerenah cucu.

Dalam pada itu, seorang bapa, Mohd. Izham Ismail, 33, memberitahu, dia mula menghantar anaknya, Izz Raimi Hakim yang mengalami palsi serebrum sejak berusia dua tahun lagi.

"Di sini Raimi boleh mendapatkan pelbagai jenis terapi di bawah satu bumbung setiap hari yang tidak dapat ditawarkan di tempat lain.

"Selama berada di sini, anak saya menunjukkan perkembangan yang positif. Dia sudah boleh duduk sendiri dan melutut. Rasa tidak risau untuk menempatkannya di sini kerana kakitangan Tasputra terlatih untuk menjaga kanak-kanak istimewa seperti anak saya," ujarnya.

Zakiah Wandi, 49, yang bertugas sebagai penolong penyelia di Tasputra sudah menabur bakti selama 23 tahun.

Baginya, menguruskan kanak-kanak istimewa perlu mempunyai kesabaran yang tinggi kerana mereka memerlukan lebih perhatian.

"Kita perlu tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan kanak-kanak ini. Selagi terdaya saya akan terus berkhidmat di Tasputra ini," katanya.

Segalanya tentang kecantikan

Posted: 22 Mar 2012 05:09 PM PDT


DARIPADA produk solekan, merias kuku sehinggalah tuala mandi semuanya dapat ditemui dalam pameran Beauty Professional 2012.


MEMANG sudah lumrah, kecantikan tidak boleh dipisahkan daripada dunia mana-mana wanita.

Setiap wanita inginkan kesempurnaan dalam berpenampilan baik untuk kepuasan diri mahupun orang tersayang.

Oleh kerana itu, bisnes kosmetik dan kecantikan tidak dapat dinafikan telah menjadi salah satu daripada penggerak ekonomi dalam kebanyakan negara.

Menyedari hakikat bahawa perniagaan mengenai kecantikan semakin berkembang, satu pameran perdagangan kecantikan Beauty Professional 2012 diadakan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Kira-kira 100 pempamer dari 15 buah negara termasuk New Zealand, Kanada, Perancis, Itali, Switzerland, Belgium, Australia dan Jepun menyertai pameran itu untuk mempamerkan produk penjagaan kulit, kosmetik, rambut, kuku dan perkhidmatan kecantikan lain.

Pameran yang berlangsung selama empat hari itu memberi peluang kepada pemilik perniagaan kecantikan tempatan dan orang ramai memperoleh produk-produk kesihatan berteknologi tinggi serta terbaharu.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang pameran termasuklah seminar-seminar kecantikan dan demonstrasi solekan.

Sementara itu, jurucakap pameran Beauty Professional 2012, Selina Goh berkata, pameran tersebut diadakan buat julung-julung kalinya secara besar-besaran di Malaysia.

Katanya, segala-gala mengenai dunia kecantikan boleh didapati dalam pameran tersebut.

Platform untuk peniaga

"Pendek kata, daripada pengedar produk kepada syarikat farmaseutikal, institusi penyelidikan dan pembekal bahan semuanya di bawah satu bumbung PWTC,"katanya.

Mengulas lanjut mengenai pameran itu, beliau berkata, kebanyakan peserta pameran mencari rakan niaga yang sesuai atau pengedar bagi produk mereka.

"Jadi, jika anda mencari peluang tersebut, ini adalah platform yang terbaik. Para usahawan yang menceburi perniagaan dalam bidang itu boleh mengambil kesempatan tersebut untuk mendapatkan peralatan barangan.


HARGA yang berpatutan menyebabkan Beauty Professional 2012 menarik ribuan pengunjung ke pameran selama empat hari itu.


"Pelawat juga turut dialu-alukan kerana mereka boleh mengetahui lebih lanjut mengenai beberapa produk kecantikan terkini di pasaran,"katanya.

Antara label yang mengambil tempat dalam pameran itu ialah Alive, Helan, Wax Haven, Biossentials, Derma Floral, La'derm, BioVita dan pH formula.

Dalam pameran itu, turut diadakan ceramah Feng Shui bagi mengetahui bagaimana cara untuk berjaya dalam perniagaan mereka selain pertandingan seni merias kuku.

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang membuka perniagaan kecantikan menyifatkan pameran itu sebagai satu platform yang memberi manfaat kepada mereka mengenai produk-produk tersebut.

Seorang pemilik kedai salun, Mei Ai Ling, 27, berkata, dia teruja dengan pameran tersebut kerana kesemua produk berkaitan kecantikan boleh didapati dalam pameran berkenaan.

Menurutnya, dia yang pertama kali menghadiri pameran tersebut menyifatkan ia wajar dilakukan pada masa akan datang.

"Produk-produk yang dijual di sini belum pernah dijumpai di mana-mana pasaran lagi. Malahan, harga kesemua produk juga berpatutan,"ujarnya.

Bagi Noramalina Hashim, 39, yang baru sahaja berniat membuka perniagaan berkata, dia teruja dengan jualan produk-produk tersebut.

"Menerusi pameran ini, kami dapat mengadakan perbincangan dengan pengusaha dari luar negara bagi mendapatkan bekalan bahan mentah,"ujarnya.

Kehalusan kain Tenun Pahang Diraja

Posted: 22 Mar 2012 04:58 PM PDT

PELBAGAI cenderamata yang diperbuat daripada kain Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan pelancong luar dan tempatan yang berkunjung ke galeri Perniagaan Sutera Pulau Keladi.


SAAT menjejakkan kaki di bengkel Perniagaan Sutera Pulau Keladi, Pekan, Pahang, kedengaran bunyi ketukan mesin kek (mesin tenun tradisional) yang menjadi 'irama' peneman.

Suasana itu memberikan mood kepada penenun untuk lebih tekun dan fokus menghasilkan tempahan kain Tenun Pahang Diraja.

Begitulah rutin harian di bengkel milik Azman Zakaria, 41, yang terlibat dalam pelaksanaan projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Kraftangan Malaysia.

Kelihatan ada penenun yang sedang melakukan proses mengubung (mengikat sehelai demi sehelai benang), meneguh dan menenun.

"Di bengkel ini sahaja kami mempunyai tujuh orang penenun, namun terdapat beberapa lagi penenun di sekitar Pulau Keladi, Kampung Temai, Kampung Pulau Rumput dan Felda Chini Timur.

"Dengan bantuan alat menenun dan bantuan kewangan daripada Kraftangan Malaysia, kini saya dapat membesarkan bengkel tenunan ini," katanya yang memulakan perusahaan tenun pada tahun 2003 di bangunan muzium di Kampung Budaya Pulau Keladi.

Menjadi salah seorang pemain dalam industri kain Tenun Pahang Diraja, Azman masih mengekalkan ciri tradisional dalam penghasilan kain tenunnya selain pada masa yang sama menyuntik elemen kontemporari selari dengan permintaan semasa.

Menurutnya, pelancong asing lebih menggemari kain tenun yang mempunyai reka corak tradisional berbanding kontemporari.

Dia yang mula menenun pada tahun 1999 mengikut jejak arwah ibunya mengambil masa setahun untuk memahirkan diri.

Kerja rumit

Azman memberitahu, dalam menghasilkan kain Tenun Pahang Diraja, seseorang penenun itu perlu mempunyai minat, ketekunan, kesabaran yang tinggi dan ketelitian sebagai kriteria utama.

"Penghasilan kain tenun melibatkan tujuh proses sebelum memulakan tenunan iaitu proses mewarna, menerau, menganing (mengatur corak), menyusuk, menggulung, mengubung dan meneguh.

"Penenun yang baik perlu menguasai kesemua proses tersebut dan seseorang itu mengambil masa setahun untuk memahirkan diri dalam bidang ini," ujarnya sambil memberitahu proses menyambung benang merupakan proses yang paling rumit.

Katanya, kain tenun dengan motif tradisional lebih mahal kerana ia memerlukan lebih banyak corak. Oleh kerana itu, kebiasaannya kain tenun tradisional hanya dihasilkan oleh kakaknya iaitu Norakama, 43.

Bekalan bahan mentah pula diambil dari Terengganu dan Kelantan, manakala bekalan benang sutera pula dari China.

"Setiap penenun diberikan elaun sebanyak RM100 sebulan dan pemberian gaji dikira berdasarkan pengeluaran iaitu dalam lingkungan RM600 hingga RM2,000 atas komitmen yang diberikan," katanya memberitahu penenun wanita lebih tekun dan cekap.

Penenun yang cekap mampu menghasilkan sepasang kain tenunan berukuran dua suku meter dalam masa satu setengah hari.

Dalam pada itu, Norakama memberitahu, cepat atau lambat penghasilan kain tenun bergantung kepada panjang kain dan reka coraknya.

"Selain menjual samping dan kain pasang kain Tenun Pahang Diraja, di sini turut menjual pelbagai produk cenderamata daripada kain tenun seperti kotak pensil, kerongsang, sarung kotak tisu dan beg kecil yang dijual antara harga RM10 hingga RM3,000.

"Kain tenun ini ada cara penjagaannya iaitu perlu dibasuh dengan menggunakan kaedah cucian kering, basuh dengan menggunakan pelembut pakaian, tidak boleh diperah kuat dan tidak boleh dijemur di tengah panas," katanya yang mula menenun pada usia 18 tahun.

Dalam pada itu, Norlianawati Ayob, 22, yang sudah tiga tahun menjadi penenun di Perniagaan Sutera Pulau Keladi memilih untuk berkecimpung dalam bidang tenunan kerana minatnya yang mendalam terhadap seni kraf tersebut.

"Jika bukan orang muda yang menjadi pelapisnya, siapa lagi yang mahu meneruskan warisan ini?" katanya yang mampu menenun sehelai selendang dalam satu hari.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hey there! I realize that is relatively off-topic but I required to
consult. Does running a well-established site such as yours have a lots of deliver
the results? We are brand-new in order to posting however i carry out generate during my record everyday.
I’d love to begin a blog to share my very own encounter in
addition to vistas on the net. You need to figure out when
you've got every recommendations or perhaps tips for fresh soon to be weblog owners. Enjoy it!
Feel free to surf my website : Home Remedies For Genital Warts

Catat Ulasan

Categories