Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Aliff nafi risik Anne
- Smash dicakar peminat
- Terselamat serangan strok
- Persaingan Mentor 6 bermula
- PM lancar pelancongan bermotosikal
- Tiga suspek bunuh Dirang dilanjut reman seminggu lagi
- 4 pelajar didakwa bunuh Zara, bapa
- Lelaki takut diperkosa wanita
- Perry 'pukau' penonton
- Fenomena filem The Hunger Games
- Lelaki dipenjara 30 tahun kerana simbah asid
- Kapal terbang kertas gergasi meluncur selama enam saat
- Mandi bersyampu, sakit berubat panadol
- Kompak mesra alam Honda
- Roadster Moden BMW
- Civic Direzza
- Volvo V40: Designed Around You!
- Sarapan selera Pantai Timur
| Posted: 23 Mar 2012 11:36 PM PDT
SEBELUM ini pelakon Nasriah Ngasri atau Anne, 28, digosip bercinta dengan penyanyi muda kelahiran Singapura, Aliff Aziz, namun mereka menafikannya. Terkini, Anne yang juga ibu tunggal kepada tiga anak, Abdul Warits, 6, Abdul Watri, 4, dan Na'szhara Afroza, 2, dihujani spekulasi ekoran kehadiran ibu Aliff, Siti Hafiza yang datang dari Singapura untuk berjumpa keluarga Anne di Kuala Lumpur. Timbul gosip di Internet dan Twitter mendakwa keluarga Aliff datang merisik Anne. Bagi mendapatkan kepastian tentang gosip tersebut, Kosmo! telah menghubungi sendiri Anne, semalam. Kosmo!: Mungkin Anne sedar bahawa ada gosip baharu mengatakan ibu Aliff terbang dari Singapura dan datang berjumpa keluarga Anne untuk merisik Anne. Adakah ia benar? ANNE: Ibu Aliff datang ke Kuala Lumpur bukan untuk berjumpa Anne, tapi sebenarnya untuk berjumpa Aliff untuk melawat anaknya itu. Tapi, memandangkan kami sangat baik, jadi alang-alang ummi (panggilan Anne untuk ibu Aliff) Aliff langsung datang bertemu keluarga Anne untuk mengenali lebih dekat dengan siapa anaknya berkawan. Kebetulan juga kami rapat kerana Aliff terlibat dalam drama terbitan syarikat produksi saya, Antara Kita. Anne mengaku agak rapat dengan Aliff dan sedang mengenali hati budi masing-masing. Tapi sejujurnya, belum sampai tahap untuk pergi jauh sehingga itu. Anne tidak rasa Aliff terlalu muda untuk pikul tanggungjawab sebagai bapa kepada tiga orang anak Anne itu? Anne memang menitikberatkan soal itu kerana apa yang penting ialah anak-anak saya. Tapi, bila cakap tentang perhubungan, saya kini solo dan tiada sesiapa dalam hidup saya, jadi tidak salah jika saya berkenalan dengan sesiapa. Namun buat masa ini, belum lagi hingga ke tahap tersebut. Usia bukan penghalang dan jodoh pertemuan ditentukan Allah. Dia juga sudah kenal dengan anak-anak Anne. Keluarga pula bagaimana? Tidak kisah dengan perhubungan Anne dan Aliff? Alhamdulillah, keluarga Anne tidak berkata apa-apa. Apa pun, Anne sentiasa memerlukan restu keluarga untuk berbuat apa jua dalam hidup ini. Anne juga sentiasa berdoa semoga Tuhan berikan yang terbaik buat Anne dan anak-anak. Anne bukan mahu terlalu ingin hebohkan tentang perhubungan ini, tapi Anne tidak mahu menjadi hipokrit. Ini kerana jika orang nampak kami berdua, orang masih akan bercakap. Jadi lebih baik Anne jujur. BERIKUT pula sedutan temu bual bersama Aliff, 21, yang bakal muncul dengan single, Jangan Ganggu Pacarku. Kosmo!: Benarkah ibu Aliff datang ke Kuala Lumpur untuk merisik Anne? Boleh komen? ALIFF: Sebenarnya, apa yang digembar-gemburkan dalam laman Twitter dan Internet mengatakan keluarga saya datang merisik Anne adalah tidak benar dan hanya propaganda. Memang ummi Aliff pergi berjumpa keluarga Anne, tapi hanya untuk mengeratkan silaturrahim memandangkan ummi ingin tahu dengan siapa anaknya berkawan. Kedua-dua keluarga Aliff dan Anne tidak kisah dengan hubungan kalian berdua? Kedua-dua keluarga kami tiada masalah, kami semua okay sahaja. Tidak salah, jika Aliff mahu berkawan dengan sesiapa. Biasalah, jika kita berkawan, mesti lepak dan keluar bersama, jadi saya memang rasa ia bukan masalah besar. Sebab pastinya jika kita berkawan rapat dengan sesiapa, ibu bapa pasti ingin kenal dengan rakan kita itu. Berapa lama Aliff sudah mengenali Anne dan bagaimanakah sekiranya kalian berdua bertemu jodoh? Baru empat bulan. Jodoh adalah untuk setiap orang dan kita tidak boleh melawan takdir. Jika dijodohkan oleh Tuhan kami bersama, saya tidak kisah. Tapi buat masa ini, belum lagi kerana memang saya terlalu muda untuk fikirkan perkara ini. Kalau jodoh, tidak kira apa pun, saya harus kotakan tanggungjawab sebagai suami. Kami sebenarnya masing-masing faham dan sentiasa menyokong. Ada pihak kata Aliff terlalu muda untuk Anne. Boleh komen? Pada saya, status dan usia bukan menjadi kayu ukur dalam sesebuah perhubungan. Apabila kita berkawan dengan orang, saya akan lihat karakternya. Lagipun, saya tidak boleh menjaga hati semua orang kerana orang sentiasa berkata-kata. So, just do whats best and always think positive. Saya akui kami sangat rapat berkawan dan ia bukan perkara besar. Saya tidak mengerti mengapa mereka harus memperbesarkan hal ini. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 11:36 PM PDT ![]() SMASH menafikan mereka tidak memiliki identiti tersendiri. BARU pertama kali datang ke Malaysia tapi sudah berani buat hal? Itu tanggapan pertama pihak media apabila terpaksa menunggu beberapa jam untuk menemu- ramah tujuh anak muda Indonesia yang menggelarkan diri mereka Smash iaitu singkatan daripada 'Seven Men As Seven Heroes'. Prasangka buruk itu akhirnya lenyap tatkala pihak perhubungan awam Warner Music yang menguruskan promosi dan persembahan mereka di Malaysia memberi perkhabaran bahawa ketujuh-tujuh anak muda yang membawakan muzik pop dance ini dilanda virus demam, selesema dan batuk sejurus menjejakkan kaki ke Malaysia. Mereka khabarnya terpaksa dibawa ke klinik dengan segera. Ternyata demam yang belum sepenuhnya kebah bukan penghalang kepada Morgan Oey, Rangga Dewamoela Soekarta, Rafael, Dicky Muhammad Prasetya, Reza Anugrah, Muhammad Ilham Fauzi dan Bisma Karisma mengadakan persembahan bertenaga pada 17 Mac lalu di Pusat Beli-Belah Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Membawakan lima buah lagu termasuk lagu popular mereka I Heart You, biarpun kemunculan Smash di atas pentas hanya pada pukul 3 petang, namun peminat-peminat mereka sudah berkumpul dan membanjiri pusat beli-belah tersebut seawal pukul 11 pagi lagi. Menyingkap sisi sebenar kumpulan ini, Smash merupakan kumpulan pertama di Indonesia yang membawakan muzik pop dance yang kini begitu popular di Korea (K-Pop), Jepun (J-Pop) dan serantau Asia. Kini, sudah banyak kumpulan yang membawakan genre muzik sedemikian yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Indonesia. Sejak mula ditubuhkan pada 10 April 2010, Smash berjaya menawan hati peminat-peminat di Indonesia sehingga meraih pengiktirafan 1 Million Award bersempena dengan jumlah jualan album mereka yang mencecah 1 juta unit dalam tempoh enam bulan. Walaupun baru dua tahun berada dalam industri hiburan, kumpulan ini sudah meraih empat anugerah pada Inbox Award 2011 dengan memenangi Anugerah Pendatang Baharu Paling Inbox, Boyband Paling Inbox, Penampilan Paling Inbox dan Lagu Paling Inbox (I Heart You). Album pertama mereka, Smash yang mengandungi 10 buah lagu itu turut memuatkan empat lagu yang mendapat sentuhan daripada komposer terkenal Malaysia, Audi Mok iaitu Senyum Semangat, Ahh, Akhiri Saja dan Selalu Bersama. Berkongsi pengalaman mereka sepanjang bergelar anak seni, salah seorang anggota Smash iaitu Reza, 17, mendedahkan, pernah terjadi satu insiden mereka dicakar dan dicium peminat ketika menjayakan persembahan di Medan, Indonesia. "Ada peminat yang begitu fanatik memeluk, mencium dan mencakar kami. Memang pada mulanya kami rasa kaget (terkejut) dengan tindakan mereka tetapi ia sudah menjadi kebiasaan setiap kali kami menyanyi," ujarnya dalam ketawa. Tambahnya, bukan itu sahaja pernah juga terjadi insiden peminat bergaduh dan pengsan ketika mereka baru selesai menyanyikan lagu pertama. Ujar pula anggota paling tua dalam Smash, Rafael, 25, ada juga pengalaman manis ketika mereka mengadakan persembahan di Bali, Indonesia. Peminat di sana dikatakan sanggup menonton persembahan mereka dalam keadaan hujan lebat sambil membawa kek menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi sempena ulang tahun penubuhan kumpulan tersebut. Ditebak soalan adakah terdapat peminat yang membenci dengan muzik pop yang dibawa mereka, menurut Rangga pula, tidak semua yang suka dengan muzik yang dibawa mereka. "Ada juga yang kata kami ini perasan seperti K-Pop tetapi kami akan pastikan untuk buat berbeda (berbeza) dengan K-Pop. Mungkin imej kami lebih kurang sama dengan anggota K-Pop kerana kami kumpulan yang menyanyikan lagu pop serta menari dan inspirasi kami juga daripada band popular seperti Super Junior, 2PM dan Michael Jackson. "Tetapi tidak bermakna yang kami tidak mempunyai identiti sendiri. Kami berasal dari Indonesia, menyanyi dalam bahasa Indonesia cuma rentak sahaja pop yang kebetulan menjadi trend masa kini. Kalau di Korea sudah punyai K-Pop, mengapa di Indonesia tidak boleh ada I-Pop," tuturnya mengenai Smash yang bakal muncul dengan album kedua sekitar bulan Jun ini. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 11:35 PM PDT
TIGA tahun lalu, dia hanya membilang hari menanti ajal di katil hospital. Berperang dengan serangan strok dan didiagnosis menghidap arrhythmia iaitu penyakit berkait dengan kadar degupan jantung tidak setara, langsung tidak terlintas di hatinya untuk menjadi sebutir bintang yang bersinar dalam dunia muzik global. Dia yang dimaksudkan ialah Jessica Ellen Cornish, 23, anak kelahiran Redbridge, sebuah bandar di utara kota London, England. Dia kini dikenali di seluruh dunia dengan nama Jessie J! "Ketika terlantar di hospital, saya hanya melihat orang sekeliling saya bermain teka-teki akan nasib masing-masing yang bakal menyusuri. "Saya antikafein, bukan seorang perokok, pemabuk apatah lagi menyentuh najis dadah! Saya tidak seharusnya meracuni diri dengan bahan-bahan yang mungkin insan normal jadikan sumber keyakinan, tapi muzik adalah terapi buat saya," luahnya. Jessie J kini menjadi jenama yang mewakili putaran irama lagu Price Tag, Domino, Do It Like a Dude, Nobody Perfect dan yang terbaru, Who's Laughing Now. Hakikatnya, dirinya semakin mekar berkembang biar pun usianya dalam industri muzik masih setahun jagung. Namun begitu sebelum bergelar penyanyi, dia nyata sudah terlebih dahulu menggali pengalaman sebagai seorang penulis lirik. Dia merupakan individu yang mengarang lirik lagu Party In the USA yang dipopularkan Miley Cyrus dan I Need This nyanyian Chris Brown. Kini, penyanyi yang sering tampil dengan imej rambut bob hitam dan fringe yang hampir menutupi seluruh dahinya itu sudah memiliki sebuah album berjudul Who You Are. Malah, tidak lama lagi dia juga akan muncul dengan album keduanya. Cukur kepala, cedera kaki Dia pernah menawarkan diri untuk mencipta sebuah lagu untuk penyanyi kesayangannya, Britney Spears, namun ditolak mentah-mentah! Dugaan pahit itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan menyanjungi bintang idolanya itu. Jika Britney pernah hampir tumbang dalam kehidupan selepas bercerai dengan suaminya sehingga nekad mencukur kepalanya suatu ketika dahulu, tindakan yang sama dilakukan oleh Jessie. Bukan kerana kecewa tapi berteraskan niat yang tulus! Dia mahu rambutnya dipotong untuk mengumpul dana demi kebajikan. "Tahun depan saya akan mencukur kepala saya untuk sumbangan kebajikan, perkara itu akan berlaku sekiranya saya boleh mengumpul AS$1 juta (RM3.08 juta) yang saya yakin akan berhasil! "Saya teruja untuk menghapuskan imej rambut bob saya ini bersama beberapa orang selebriti yang setuju untuk melakukannya bersama-sama," ungkapnya. Tambah Jessie, tidak mustahil untuk dia memakai rambut palsu selepas membotakkan kepala. Alasannya peminat mungkin tidak tahu bahawa rambut di kepalanya itu bukan yang asli. ![]() FUGURA unik ini merupakan rakan sekelas Adele dan Leona Lewis ketika mereka sama-sama belajar di BRIT School. "Namun, jika saya dapat mengumpulkan sejumlah wang untuk menyelamatkan beberapa nyawa, saya sanggup!" katanya yang disuntik inspirasi ketika dikelilingi kanak-kanak kurang bernasib baik sewaktu menjalani rawatan kakinya yang cedera pada tahun lalu. Menutup tirai tahun 2011 mungkin bukan waktu yang bertuah bagi Jessie. Dia malangnya terjatuh dari platform sewaktu sesi latihan untuk sebuah persembahan di Stadium Wembley, London, England. Akibatnya, buku lali kaki kirinya terkehel dan sebahagian urat dan tisu kakinya rosak hingga menyebabkan kakinya terpaksa disimen. "Saya dipaksa untuk berehat di rumah tapi saya rasa itu tindakan yang gila! Saya sudah tentu tidak akan menghampakan harapan peminat-peminat saya dengan hanya berehat di rumah. "Ada juga saya meminta pihak hospital untuk menyediakan stokin kristal tapi ini (kaki disimen) saja yang mereka ada," bicaranya berseloroh sewaktu mengadakan konsert mini pada waktu itu. The Voice Kembali ke United Kingdom selepas siri jelajah di Australia, Malaysia dan Indonesia baru-baru ini, dia kini sedang sibuk mencari bakat-bakat baharu untuk sebuah rancangan realiti TV nyanyian, The Voice versi United Kingdom. "Perbandingan antara penyanyi sudah menjadi sebuah trend masa kini tapi saya fikir rancangan ini berdiri dengan sendirinya. "Rancangan ini menumpukan semata-mata pada vokal, muzik dan bakat. Sebagaimana nama programnya, itu yang mereka fokuskan," ujarnya yang teruja dilantik menjadi salah seorang juri dan mentor rancangan itu bersama will.i.am, Tom Jones dan vokalis The Script, Danny O'Donoghue. Menurutnya, kemungkinan besar dia bakal membuat kolaborasi bersama ketiga-tiga nama besar itu untuk albumnya yang akan datang. "Danny, will.i.am, Tom Jones nan dan Jessie J akan menyanyi bersama-sama di sebuah studio nanti," cerita anak bongsu daripada tiga saudara perempuan itu. The Voice bakal disiarkan menerusi BBC One bermula hari Sabtu ini pukul 7 petang. Tinie Tempah Jessie suatu ketika dahulu pernah mengakui memiliki orientasi seks yang berbeza daripada orang normal. Dia menyifatkan dirinya biseksual! Namun, sebelum mengadakan konsertnya bersempena Future Music Festival di Flemington Racecourse, Australia, dia dikatakan keluar senyap-senyap untuk berjumpa dengan penyanyi rap Tinie Tempah. ![]() JESSIE J bersama (dari kiri), Danny, Tom dan will.i.am di pentas The Voice versi United Kingdom. Menurut laporan sebuah akhbar antarabangsa, The Sun, penyanyi itu sebelum ini tinggal di sebuah apartmen milik Tinie di London sebelum mengadakan konsert jelajah ke Asia dan Australia. Lapor seorang rakan Jessie: "Jessie dan Tinie pernah keluar bersama beberapa malam sebelum ke konsert jelajah Asia dan Australia seolah-olah mereka sedang menjalinkan hubungan. Lagipun mereka nampak serasi bersama" Tambah sumber itu, Jessie mula kerap bertemu Tinie apabila masing-masing ada kelapangan. Pasangan itu pertama kali bersua sewaktu sebuah majlis keraian pada dua tahun lalu. Namun, hubungan mereka semakin berkembang selepas dijadualkan bakal membuat persembahan bersama di Royal Albert Hall, London pada awal bulan depan untuk pertubuhan kebajikan, Teenage Cancer Trust. Jessie turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Tinie sebelum memutuskan untuk bekerjasama dalam program The Voice. "Jessie mengaku kepada beberapa orang rakan terdekat bahawa dia kini mempunyai seorang teman lelaki secara rahsia," kata sumber itu lagi. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 11:32 PM PDT ![]() SAINGAN Kumpulan A kini tanpa Wanie (kanan) yang menarik diri pada saat akhir. PROGRAM realiti Mentor musim keenam (Mentor 6) membuka tirai menerusi persembahan pembukaan pada Ahad lalu, sekali gus memulakan saingan enam orang mentor dan protege yang bakal merebut gelaran juara. Persembahan yang berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam, Selangor itu menyaksikan persembahan mantap protege iaitu Salwani Sawi (Wanie), Abdul Kadir Unding Lana (KJ), Puteri Caroline Mohd. Kamel (Puteri Caroline), Ana Syuhada Noor Asram (Ana Syuhada), Noor Nazatul Farahin (Zatul) dan Anas Ridzuan (Anas). Walaupun masih tidak mempunyai sebarang pengalaman beraksi di pentas yang besar, tetapi rata-rata protege yang membuat persembahan mendapat pujian daripada dua orang juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini. Menurut Ramli MS, kesemua protege yang bertanding pada musim ini dilihat sudah mempunyai kekuatan vokal dan boleh lagi digilap, manakala mentor pula perlu memainkan peranan untuk membentuk protege agar mereka memiliki identiti tersendiri. "Untuk persembahan permulaan ini saya berpuas hati kerana menampilkan mutu vokal yang mantap. Masing-masing ada potensi untuk pergi lebih jauh, cuma mereka tidak harus dibayangi oleh mentor sendiri. "Kalau mahu menjadi seorang penyanyi yang bagus, seseorang individu itu tidak terikut-ikut dengan cara dan gaya penyanyi sedia ada. "Jadi, peranan mentor amat penting supaya protege mereka memiliki identiti yang berbeza dengan orang penyanyi lain," jelasnya. Menurut Ramli, meskipun persaingan masih lagi di peringkat awal, dia meminta supaya kesemua mentor terus membimbing protege masing-masing supaya mereka mampu bertapak kukuh dalam industri hiburan. "Saya ingin berpesan kepada semua mentor supaya tidak mengabaikan terus anak didik mereka selepas program ini berakhir. Seharusnya mereka perlu dibimbing lagi sehingga melahirkan album atau single sendiri," tegasnya. ![]() INI pula barisan mentor dan protege Kumpulan B. Seorang lagi juri tetap iaitu Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah menyatakan, terdapat beberapa kelainan yang ditampilkan protege pada kali ini, berbanding ketika dia menjadi mentor pada program musim sebelumnya. Jelas Kak Pah, dia sudah mula nampak potensi beberapa orang protege yang bakal memberikan saingan sengit, tetapi enggan mendedahkannya kerana mahu berlaku adil kepada semua protege yang bertanding. "Apa yang saya mahukan adalah semua protege terus menampilkan persembahan yang lebih baik untuk minggu berikutnya. Mereka juga diingatkan agar tidak tertipu dengan sorakan gemuruh penonton yang boleh membuatkan diri menjadi terlalu yakin," tegasnya. Aksi pembukaan pada malam tersebut juga menyaksikan kesemua protege dan mentor dipecahkan kepada dua kumpulan dan telah diumumkan oleh pengacara Ally Iskandar selepas persembahan berakhir. Kumpulan A bakal menyaksikan persaingan sengit tiga orang protege iaitu Wanie (Ferhad), Ana Syuhada (Ramlah Ram) dan Anas (Faizal Tahir), manakala Kumpulan B pula terdiri daripada KJ (Adam), Zatul (Ogy Ahmad Daud) dan Puteri Caroline (Ella). Mentor 6 akan disiarkan secara langsung setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di saluran TV3. Ia masih mengekalkan format asal iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus daripada juri awam. | |||||
| PM lancar pelancongan bermotosikal Posted: 23 Mar 2012 11:29 PM PDT ![]() NAJIB menunjukkan isyarat 1Malaysia di atas motosikal Chopper 1Malaysia di PWTC semalam. Turut kelihatan Teutul (tengah), Zahid (dua dari kiri) dan Yen Yen (tiga dari kanan). KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan pakej pelancongan bermotosikal 'Five-Mountain Motorcycle Tour' untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang unik untuk kembara motosikal. Beliau melahirkan keyakinan bahawa pakej itu akan mendapat sambutan hangat dalam kalangan penggemar motosikal warga asing. "Pada hemat saya pakej pelancongan ini merupakan inisiatif yang sangat baik untuk mempromosi Malaysia sebagai sebuah destinasi pengembara motosikal yang paling unggul di rantau ini. "Tentu sekali mengambil kira Malaysia ini merupakan bumi bertuah yang dianugerahi dengan keindahan alam semula jadi, maka sudah tentu apabila kita kembara seperti ini, kita akan dapat banyak pengalaman manis seperti perjalanan ke Genting Highlands, Bukit Fraser, Cameron Highlands, Bukit Larut dan Gunung Jerai," katanya di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam. | |||||
| Tiga suspek bunuh Dirang dilanjut reman seminggu lagi Posted: 23 Mar 2012 11:29 PM PDT
JOHOR BAHRU - Perintah tahanan reman ke atas tiga suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih dikenali sebagai Dirang dilanjutkan seminggu lagi. Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Hidayah Manaf membenarkan ketiga-tiga tertuduh berusia 30-an itu direman sehingga 30 Mac ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ketiga-tiga suspek tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru dengan menaiki van polis dengan masing-masing tangan bergari pada pukul 9.15 pagi sebelum dibawa keluar dari kamar mahkamah sejam kemudian. Polis sebelum ini menahan empat orang termasuk bapa kandung Dirang, Henry Yondot bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada 1 Mac. Bagaimanapun, siasatan polis mendapati bapa Dirang tidak terlibat dengan pembunuhan kejam anaknya itu dan hanya tiga suspek berkenaan dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut. | |||||
| 4 pelajar didakwa bunuh Zara, bapa Posted: 23 Mar 2012 11:27 PM PDT
PETALING JAYA – Kekasih kepada seorang pensyarah kolej swasta yang ditemui mati dibunuh bersama bapanya di Puchong dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bersama tiga lagi rakannya atas dua tuduhan membunuh. Tertuduh Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, dan tiga lagi rakan, Mohamad Sharafee Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20, dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, kelihatan tenang dan hanya menjawab mereka faham, semasa ditanya berhubung tuduhan tersebut. Namun tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh yang merupakan pelajar di kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Cheras, Kuala Lumpur tempat mangsa mengajar. Mereka didakwa membunuh Zara Eleena Omar Peter, 23, juga orang kelainan upaya (OKU) di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara Puchong antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac lalu. Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa membunuh bapa Zara, Omar Peter Abdullah, 57, di antara pukul 11.30 malam, 8 Mac lalu hingga pukul 1.30 pagi, 9 Mac lalu di rumah sama. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menetapkan 23 April depan untuk sebutan semula kes itu bagi menunggu laporan bedah siasat serta untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi. Tiada jaminan ditawarkan dan kesemua tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu kes dibicarakan. Ahli keluarga mangsa dan juga kesemua tertuduh tidak kelihatan di mahkamah semalam. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 11:24 PM PDT
MASHAVA, Zimbabwe - Susan Dhliwayo tergamam ketika dia memberhentikan keretanya kerana ikhlas mahu menumpangkan sekumpulan pengembara lelaki baru-baru ini tetapi mereka menolak pelawaannya. Puncanya adalah kerana lelaki itu bimbang akan dirogol. Zimbabwe kini digemparkan dengan laporan sensasi bahawa terdapat geng wanita cantik merogol beberapa pengembara lelaki dan meletakkan sperma mereka di dalam kondom bagi tujuan ilmu hitam. "Sekarang ini, lelaki takut kepada wanita," kata Dhliwayo yang berusia 19 tahun. Menurutnya, para pengembara tidak akan menaiki kereta yang dipandu wanita kerana mereka tidak mempercayai lagi kaum Hawa itu. Media Zimbabwe sebelum ini melaporkan beberapa lelaki yang ditemui di lebuh raya telah diberi ubat tidur, diugut dengan menggunakan pistol atau pisau dan diberikan ubat perangsang seks sebelum mereka dirogol berulang kali dan ditinggalkan di tepi jalan. Berita tentang kumpulan perogol itu yang digelar 'pemburu sperma', pertama kali disiarkan di dada akhbar tempatan pada tahun 2009. Namun, sehingga kini, polis hanya berjaya menangkap tiga wanita yang ditahan bersama satu beg plastik berisi 31 kondom terpakai. Mereka didakwa kerana memperkosa 17 lelaki. Tiga orang yang ditangkap itu terdiri daripada Sophie Nhokwara, 26 dan adiknya, Netsai, 24, serta Rosemary Chakwizira, 28. "Kami tidak tahu jumlah sebenar kes rogol seperti ini," kata jurucakap polis, Wayne Bvudzijena. "Kebanyakan kes ini berlaku apabila mangsa menumpang kenderaan persendirian. Kami menggalakkan orang ramai agar menggunakan kenderaan awam." Menurutnya, tujuan sperma itu diambil si mangsa masih tidak jelas tetapi ia dipercayai digunakan dalam amalan sihir yang dikenali sebagai 'juju' atau upacara membawa tuah termasuk bagi tujuaan mendatangkan kekayaan, melariskan perniagaan dan mengelak penjenayah daripada dikesan. "Isu ini sukar untuk difahami," kata pakar sosiologi Universiti Zimbabwe, Watch Ruparanganda. "Apa yang jelas sperma ini digunakan dalam upacara ilmu hitam," tambahnya. Ruparanganda berkata, beliau hairan apabila mendapati sperma menjadi barangan komoditi ketika dia sedang melakukan kajian sosial di Harare tujuh tahun lalu. Dia diberitahu oleh remaja jalanan bahawa ahli-ahli perniagaan akan membawa mereka ke hotel bagi tujuan seks. Seorang pemuda berusia 24 tahun, Tende Marahu turut mengesahkan perkara tersebut. Menurutnya, beberapa lelaki dan wanita datang untuk mengambil lelaki di kawasan kejiranannya bagi mendapatkan sperma yang dikumpulkan dalam kondom selepas mereka melakukan hubungan seks. "Perkara ini telah lama berlaku," katanya. Amalan songsang tersebut turut dikecam Persatuan Pengamal Perubatan Tradisonal Zimbabwe. "Kami percaya amalan ini adalah sihir dan kami mengecamnya," kata jurucakap persatuan berkenaan, George Kandiyero. Menurutnya, pemburu sperma tidak akan mengambil sperma kekasih atau suami mereka untuk upacara juju kerana ia boleh memudaratkan lelaki itu. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 11:24 PM PDT
BERLIN - Penyanyi lagu I Kissed A Girl, Katy Perry memukau penonton dengan pakaian seksi dan persembahan yang bertenaga pada Anugerah Muzik ECHO kelmarin. Perry memakai sut ketat futuristik ketika dia membuat persembahan yang berlangsung di Dewan Palaisam Funkturm di sini. Pada malam itu, Perry, 27, menyanyikan lagu popularnya, Part of Me dengan diiringi barisan penari yang yang memakai baju dan seluar biru. Terdahulu, dia mencuri tumpuan media apabila muncul pada anugerah berkenaan dengan memakai pakaian yang ketat berwarna perak. Penyanyi berkenaan kini menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya nyanyiannya selepas berpisah dengan suami, Russell Brand. | |||||
| Fenomena filem The Hunger Games Posted: 23 Mar 2012 11:23 PM PDT
LOS ANGELES - Sejumlah besar orang membanjiri pawagam-pawagam di Amerika Syarikat untuk menonton tayangan tengah malam filem fenomena remaja, The Hunger Games kelmarin. Diterajui bintang baharu seperti Jennifer Lawrence, Josh Hutcherson dan Liam Hemsworth, filem berkenaan dijangka mengungguli carta box-office di rantau Amerika Utara untuk tayangan pada hujung minggu ini. Agensi tempahan tiket di Internet, Fandango menyatakan, The Hunger Game kini menduduki tempat ketiga senarai tempahan tiket awal yang tertinggi di AS di belakang filem The Twilight Saga: New Moon dan Harry Potter and the Deathly Hallows: Part 2. Menurut Fandango, sebanyak 10 tiket The Hunger Games dijual pada setiap saat manakala 2,500 tayangan juga telah habis ditempah. Filem The Hunger Games diadaptasi daripada novel dengan menggunakan tajuk yang sama. Novel itu dihasilkan penulis Suzanne Collins dari AS. Sebanyak 30 juta buku tersebut telah dijual di seluruh dunia setakat ini. Seorang guru di sini, Daniela Perry, 32, berkata: "Saya mungkin menangis semasa menonton filem itu. Terdapat beberapa bahagian yang menyentuh emosi dengan beberapa budak mati. "Dalam buku, kisahnya digambarkan amat menarik menyebabkan saya mahu menonton filem tersebut". Menurutnya, dia menangis semasa membaca buku tersebut. Filem itu mengisahkan seorang gadis yang terpaksa berjuang dalam sukan maut demi meneruskan hidupnya. Ia bakal menemui peminat di Perancis dan sebahagian besar Eropah pada Rabu ini. | |||||
| Lelaki dipenjara 30 tahun kerana simbah asid Posted: 23 Mar 2012 07:06 PM PDT ![]() LEFRANC di sebuah mahkamah di Brussels pada Rabu lalu.(gambar kecil) WAJAH Lefranc sebelum dia disimbah asid. BRUSSELS – Seorang lelaki Belgium yang menyerang bekas kekasihnya dengan asid sulfurik dihukum penjara 30 tahun selepas didapati bersalah melakukan percubaan membunuh. Juri sebuah mahkamah di sini mendapati lelaki tersebut, Richard Remes, 57, bersalah kelmarin dalam kejadian yang berlaku pada tahun 2009. Remes menyimbah muka dan badan bekas kekasihnya, Patricia Lefranc dengan asid sehingga mangsa terpaksa menjalani 86 pembedahan. Lefranc berada dalam koma selama tiga bulan ekoran kejadian tersebut. Serangan asid itu berlaku setelah dia menamatkan hubungan dengan Remes. Semasa perbicaraan, pihak juri melihat gambar bogel Lefranc yang mempunyai kesan akibat disimbah asid. Ketika kejadian, beberapa jirannya membantu menghantar dia ke hospital selepas mendengar jeritannya setelah disimbah dengan asid. | |||||
| Kapal terbang kertas gergasi meluncur selama enam saat Posted: 23 Mar 2012 06:07 PM PDT
ELcaptionOY, Amerika Syarikat (AS) – Sebuah kapal terbang kertas gergasi meluncur di udara selama enam saat di sebuah gurun di sini kelmarin. Kapal terbang sepanjang 12.19 meter (m) dan seberat 362.87 kilogram itu direka oleh jurutera terkenal, Art Thompson. Ia dicipta bagi menggalakkan golongan muda meminati penerbangan. Sebuah helikopter menarik pesawat kertas itu ke udara pada ketinggian setinggi 1,219m dengan menggunakan kabel. Helikopter itu kemudian mengendurkan kabel tersebut bagi membolehkan kapal terbang berkenaan meluncur di udara. Kapal terbang tersebut kemudian jatuh di kawasan gurun itu selepas bergerak pada kelajuan 157.71 kilometer sejam. | |||||
| Mandi bersyampu, sakit berubat panadol Posted: 23 Mar 2012 06:05 PM PDT
TIGA tahun lalu, Haslizam Abd. Halim, 32, tidak pernah mengambil berat perihal ayam serama. Namun, selepas diminta menjaga seekor ayam serama milik adiknya, kehidupan Haslizam berubah serta-merta. Semenjak itu, beliau mula berjinak-jinak dalam dunia pertandingan ayam serama. Adiknya pula menyerahkan sepenuhnya pemilikan ayam tersebut kepada Haslizam. Lelaki yang berasal dari Pasir Gudang, Johor itu tidak mengambil masa lama untuk menunjukkan kehebatan seramanya. Menerusi satu pertandingan, beliau berjaya menyandang tempat ketiga sekali gus menarik minat beberapa individu yang ingin membeli seramanya. "Saya tidak terus menjual ayam tersebut, tetapi meminta mereka memberikan masa buat saya mendapatkan baka serupa. Selepas berjaya mendapat bakanya, barulah saya menjualnya pada harga RM2,500," imbas Haslizam yang kini mempunyai sembilan ekor ayam serama di rumah. Bagi memastikan serama peliharaannya kekal cantik dan sentiasa bersedia untuk pertandingan, Haslizam sangat menitikberatkan soal penjagaan ayam tersebut. Ia melibatkan hal kesihatan dan kebersihan. "Tidak dinafikan, mengurus ayam serama amat rumit. Jika kita tidak tahu teknik-teknik penjagaan dengan betul, ekornya boleh rosak. Disebabkan itu, setiap hari saya menjemur ayam serama saya di bawah cahaya matahari selama 30 minit sehingga satu jam. "Cahaya matahari diperlukan bagi menaikkan ekornya agar tegak ke atas. Selain itu, ia juga efektif bagi mencantikkan bulu mereka supaya kekal berkilat," jelasnya yang telah menyertai sepuluh pertandingan. Jika memelihara ayam biasa, si pemilik tidak perlu bersusah-payah memandikan ayam-ayam tersebut, tetapi serama mesti dimandikan sekurang-kurangnya satu atau dua kali sebulan. Proses memandikan serama juga perlu disertakan dengan penggunaan syampu. Pastikan syampu yang dipilih sesuai dengan serama tersebut kerana ia penting dalam mengekalkan kecantikan bulu-bulu mereka. Vitamin dan panadol ![]() AYAM serama akan dimandikan sekurang-kurangnya dua kali sebulan menggunakan syampu untuk memastikan bulu sihat dan berkilat. Begitu juga dengan pemakanan serama. Meskipun makanan ayam tersebut sama seperti ayam biasa iaitu dedak dan jagung, tetapi bagi mendapatkan serama yang sihat dan hebat, si pemilik perlu memberinya vitamin kesihatan. Kongsi Haslizam, vitamin biasa ayam serama ialah minyak ikan dalam bentuk tablet. Ia merupakan tablet untuk manusia cuma bezanya, ia diberi dalam potongan kecil dan dimasukkan sendiri si pemilik serama ke dalam mulut ayam tersebut. Pemberian vitamin itu bertujuan mendapatkan bulu yang cantik dan berkilat. Sebaik-baiknya, vitamin itu diberikan setiap dua minggu sekali. Cerita Haslizam, sekiranya ayam seramanya tidak sihat dan mengalami demam atau selesema, ubat yang diberikan hanyalah panadol kanak-kanak yang berwarna merah jambu. "Panadol tersebut saya potong kecil-kecil dan masukkan ke dalam mulut ayam itu. Pada mulanya memang sukar untuk melakukan semua ini namun, lama-kelamaan serama itu sendiri sudah biasa. "Serama yang sakit boleh dilihat pada balungnya yang bertukar warna menjadi biru dan hidungnya juga berair. "Selain memberinya makan ubat, serama yang sakit juga boleh dilapkan dengan tuala basah agar badan mereka menjadi segar," ujar Haslizam yang memberitahu beliau tidak pernah membeli ayam serama daripada orang lain. Pencinta ayam serama juga akan memastikan ayam mereka selamat pada waktu malam. Musuh utama serama ialah nyamuk. Oleh yang demikian, Haslizam mengurung ayam seramanya di dalam sangkar bertutup bagi mengelakkan serangga itu menggigit ayam peliharaannya.
"Setiap malam saya pastikan kesemua serama saya disimpan dalam bekas bertutup dan diletakkan di dalam rumah. Jika tidak, nyamuk akan menggigit menyebabkan balung mereka rosak," jelas Haslizam bersungguh-sungguh. Pengekalan baka Pengerusi Persatuan Ayam Serama Melaka, Abdul Rahman Yaacob, 38, pula memberitahu, penjagaan yang baik mampu memanjangkan jangka hayat seekor ayam serama. Kebiasaannya, ayam serama dapat hidup selama lima tahun dan paling lama ia boleh mencapai usia lapan tahun. Teknik pembakaan juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan ayam serama berkualiti tinggi. "Ayam serama yang hebat perlu dikacukkan dengan baka yang hebat juga agar dapat mengekalkan kualitinya. Seperti contoh, ayam serama jantan akan dipasangkan dengan ibunya bagi mendapatkan baka yang sama hebat. "Hanya pengalaman dapat menjadikan seorang pencinta serama mendapatkan baka yang baik. Lebih lama seseorang itu bergelumang dalam dunia serama, lebih banyak pengetahuan yang dimilikinya," ujar Abdul Rahman yang ditemui ketika Pertandingan Seni Warisan Ayam Serama 1Malaysia di Taman Serama Sedunia, Mukim Durian Tunggal, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini. Dijual pada harga serendah RM500, seekor ayam serama boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit dan ia bergantung kepada kualiti ayam tersebut. Difahamkan, terdapat dua jenis ayam serama. Jenis yang pertama ialah serama yang dijadikan sebagai peliharaan, sama seperti ayam biasa. Harga serama itu lebih murah dan boleh disembelih untuk dimakan. ![]() SEBANYAK 300 ekor ayam serama dipertandingkan dalam lapan kategori pada pertandingan Seni Warisan Ayam Serama 1Malaysia di Melaka baru-baru ini. Menurut Abdul Rahman, serama jenis kedua pula digunakan untuk tujuan pertandingan. Serama itu mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan sangat mahal dalam urusan jual beli. Milik Malaysia Penaung Ayam Serama Kelantan, Tengku Mohd. Tengku Yahya Petra, 44, mendedahkan bahawa ayam serama berasal dari Malaysia secara mutlak dan mula mendapat perhatian pada sekitar tahun 1996 di Pantai Timur. "Serama sebenarnya berasal dari Kelantan dan ia merupakan warisan milik Istana Kelantan. Disebabkan ia jinak dan mudah dibela, serama mula dikomersialkan ke seluruh Malaysia pada era 90-an. Kehebatan ayam ini juga telah menarik minat beberapa buah negara luar seperti Indonesia, Belanda dan Amerika Syarikat. "Serama menjadi antara identiti negara paling bernilai kerana ia hanya terdapat di sini dan mereka yang ingin memilikinya perlu datang ke Malaysia," jelas Tengku Mohd. yang turut menyatakan bahawa pertandingan ayam serama di Kelantan memang telah dimasukkan dalam kalendar aktiviti tahunan negeri tersebut. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 06:04 PM PDT
SENARIO segmen kenderaan hibrid Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif sejak dua tahun kebelakangan ini. Pendorong utama di sebalik kemunculan kereta hibrid atas jalan raya tempatan berkait rapat dengan tindakan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai import dan eksais sehingga 31 Disember 2013. Insentif yang diperkenalkan sejak bajet 2009 menjadikan harga kenderaan hibrid diimport sepenuhnya (CBU) menjadi lebih murah. Faedah itu dinikmati oleh dua kelompok utama industri automotif iaitu pengeluar kenderaan dan pengguna Malaysia. Secara tidak langsung, ia menjadikan pasaran kereta hibrid di Malaysia lebih unik jika dibandingkan dengan negara lain. "Di negara-negara lain, kenderaan hibrid secara umumnya lebih mahal jika dibandingkan dengan model petrol. Hanya di Malaysia, situasinya berbeza. Kenderaan hibrid adalah lebih murah," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia), Yoichiro Ueno pada majlis pelancaran model Jazz Hybrid di Kepong, Selangor baru-baru ini. Statistik kenderaan hibrid di Malaysia merekodkan jualan kira-kira 300 unit pada 2009. Bilangan jualan itu kemudiannya melonjak kepada 8,400 buah tahun lalu. Selain pengenalan model baharu oleh pengeluar-pengeluar kenderaan jenama Jepun, sentimen pasaran dan kesedaran pengguna terhadap penjagaan alam sekitar turut menyumbang kepada pertumbuhan segmen berkenaan. Tahun lalu, pasaran kereta hibrid didominasi oleh Honda Malaysia menerusi model Insight dengan pegangan sebanyak 54 peratus. Selain Insight, satu lagi taruhan syarikat iaitu hibrid Honda CR-Z turut mencetuskan fenomena dalam pasaran. Dalam tempoh empat bulan sahaja, Honda Malaysia sudah menerima tempahan lebih kurang 1,000 unit CR-Z. Hibrid ketiga
Baru-baru ini, Honda Malaysia memperkenalkan model Jazz Hybrid. Kereta kompak lima pintu tersebut ditawarkan pada harga atas jalan sebanyak RM94,800 seunit termasuk insurans. Ternyata harga itu lebih murah iaitu sebanyak RM2,200 jika dibandingkan dengan model pesaing terdekatnya, Toyota Prius c. Meskipun Jazz Hybrid berjaya merangkul semula harga hibrid paling murah di negara ini, ia tidak semestinya menjejaskan pasaran Prius c. Ini kerana masing-masing ada peminat dan setiap model memiliki kelebihan tersendiri. Jazz Hybrid dilengkapi enjin petrol 1.3L i-VTEC dan diintegrasi dengan sistem IMA (Intergrated Motor Assist) hibrid. Ia sama seperti yang dipasang pada model Insight. Jika dibandingkan dengan varian Jazz petrol 1.5L, versi hibrid menawarkan kadar penggunaan petrol yang lebih rendah. Kadar peratusannya adalah antara 25 peratus hingga 30 peratus. Ia berupaya mencecah jarak perjalanan sejauh 21.3 kilometer (km) dengan setiap liter petrol. Berhubung kadar emisi karbon pula, ia hanyalah sebanyak 107 gram bagi setiap km. Pujian harus diberikan kepada jurutera-jurutera Honda kerana berjaya merealisasikan dua perkara penting sewaktu pembangunan model hibrid Jazz. Pertama mengekalkan ruang kargo jentera hibrid yang menyamai varian petrol. Kedua, menyempurnakan faktor aerodinamiknya. Ruangan kargo kereta mesra alam itu seluas 300 liter. Ia boleh ditingkatkan kepada 846 liter dengan melipat kerusi tempat duduk belakangnya. Harus diketahui bahawa kerusi belakang model ini ialah ultra seat. Ia boleh dilipat dalam keadaan menegak. Kekemasan rekaan ![]() JAZZ Hybrid dilengkapi enjin 1.3 liter dan Intergrated Motor Assist. Berhubung rahsia pemasangan sistem hibrid tanpa mengorbankan ruang kabin Jazz, Pemimpin Projek Jazz Hybrid, Honda Research & Development Co. Ltd., Shingo Nagamine berkata, pek bateri dan unit kawalan kuasa diintegrasi di kawasan bawah lantai but. Ini bermaksud ruang simpanan tayar ganti terpaksa ditiadakan. Pendek kata, pembeli Jazz Hybrid tidak diberikan tayar ganti. Sebagai pengganti, kit pembaik pulih tayar bocor akan diberikan kepada para pembeli. Pek bateri yang dipasang di antara kedua-dua tayar belakang mengelakkan ia mengalami kerosakan sekiranya terjadinya pelanggaran dari arah belakang. Kata Nagamine, tayar kenderaan itu berperanan sebagai penyerap impak jika berlaku kemalangan. Ciri aerodinamik diserahkan kepada tiga komponen utama Jazz Hybrid iaitu bampar hadapan dan belakang serta gril krom baharu. Ketiga-tiga komponen itu direka untuk meningkatkan kecekapan seretan udara sebanyak tiga peratus jika dibandingkan dengan varian Jazz petrol. Melangkah masuk ruang kabinnya, kelihatan beberapa pembaharuan kecil dilakukan. Papan pemuka model hibrid itu dipasang meter laju dengan tiga mod warna pencahayaan. Ia berperanan untuk memaklumkan kepada pemandu mengenai cara pemanduan efisien dan ekonomikal. Meter laju akan menunjukkan warna biru jika pemanduan tidak ekonomikal. Warna biru hijau untuk keefisienan bahan bakar tahap sederhana manakala hijau untuk pemanduan efisien. Penambahan lain meliputi pemasangan skrin paparan pelbagai maklumat (MID), meter Charge Assist Indicator, butang mod pemanduan ECON, fungsi Eco Assist, paddle shifter dan butang kawalan pada stereng.
Model tersebut juga sarat dengan pelbagai ciri keselamatan. Antaranya termasuklah enam buah beg udara, VSA, ABS, EBD, BA, Hill Start Assist, G-Force Control Technology dan banyak lagi. Setakat ini, hanya Honda dan Toyota benar-benar aktif membawa masuk model-model hibrid ke Malaysia. Satu lagi jenama Jepun iaitu Nissan sudah memaklumkan kesediaan melaksanakan program perintis bagi model kenderaan elektrik, Nissan Leaf sebelum akhir tahun ini. Semoga pengeluar-pengeluar kenderaan lain di negara ini mengikut rentak gergasi automotif Jepun untuk memperkenalkan lebih banyak model hibrid dan mengoptimumkan peluang yang disediakan kerajaan Malaysia. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 06:03 PM PDT ![]() KADAR penggunaan petrol bagi model Z4 hanyalah sebanyak 6.8 liter setiap 100 kilometer. BMW Malaysia Sdn. Bhd. (BMW Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan dua varian baharu roadster Z4 iaitu sDrive20i dan sDrive28i M Sport. Kedua-dua model itu dilengkapi enjin petrol empat silinder baharu dengan teknologi BMW TwinPower Turbo. Enjin turbo bersesaran 1,997cc itu dilengkapi pengawal injap boleh ubah VALVETRONIC cas turbo skrol berkembar dan kawalan aci sesondol boleh ubah Double-Vanos. Antara keistimewaan enjin empat silinder BMW adalah tawaran keyakinan dan kecekapan pemanduan pada pusingan enjin rendah. Ciri itu membantu mengurangkan penggunaan bahan bakar dan kesan bunyi enjin. BMW turut mengetengahkan transmisi automatik sport lapan kelajuan dengan kawalan pedal pada stereng sport. Sebelum ini, model-model Z4 hanya dilengkapi kotak gear enam kelajuan. Kotak engkol aluminium ringan dan pengenaan gandar depan yang lebih ringan pada varian baharu membantu meningkatkan ketangkasan dan pemanduan Z4 berbanding model-model sebelumnya.
Hasilnya, BMW Z4 sDrive20i berupaya menjana kuasa kuda dan tork maksimum masing-masing sebanyak 184hp dan 270Nm. Varian sDrive28i M Sport mampu meledakkan sebanyak 245hp dan tork 350 Nm. Pengeluar Jerman itu menawarkan sistem Brake Energy Regeneration sebagai ciri standard dalam kedua-dua varian Z4 sejajar dengan visi Efficient Dynamics BMW. Harga jualan atas jalan tanpa insurans bagi Z4 sDrive20i ialah sebanyak RM358,800 seunit. Model sDrive28i M Sports pula dijual pada harga RM488,800 sebuah. Ia turut meliputi pakej servis dan pembaikpulihan BMW. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 06:03 PM PDT ![]() TRANSFORMASI Honda Civic ini sudah pasti menarik perhatian peminat-peminat kereta. Kalau mengikut rekod peribadi pertama kali saya 'main' kereta, mungkin tarikhnya sekitar tahun 1997. Saya memiliki sebuah Proton Satria 1.3 karburetor. Waktu itu punyalah hebat sehinggakan jika naik tiga orang terpaksa mengular ketika hendak melalui bumper, walaupun bonggolnya tidaklah setinggi mana. Rendahnya jangan kiralah. Kalau boleh hendak rendah macam kereta Lotus. Pasa masa itu mana ada pegas gegelung untuk merendahkan kereta (spring lowered) yang berharga RM200 hingga RM300. Semuanya berharga beribu-ribu ringgit. Pada zaman itu, bank masih belum menawarkan pinjaman selama sembilan tahun dengan kadar faedah cuma 2.8 peratus. Itu adalah masa pinjaman hanya terhad kepada lima tahun sahaja. Faedah yang dikenakan pun lima peratus ke atas. Malah, kalau hendak membeli kereta terpakai faedah pinjaman adalah di antara enam hingga tujuh peratus. Sekali fikir, bagus juga kalau ia dikekalkan sehingga ke hari ini. Tidaklah timbul masalah kereta bertimbun di atas jalan dan satu keluarga memiliki dua atau tiga buah kereta. Situasi itulah yang menyumbang kepada kesesakan, sama ada di jalan raya mahupun di tempat parkir kereta. Zaman sekarang membeli sebuah kereta sudah cukup mudah. Kalau hendak beli Honda Civic baharu sekali pun, bayaran bulanannya mungkin sama sahaja dengan model Civic EK tahun 1997. Namun, bukan semua yang mampu kerana walaupun sudah berbelas-belas tahun berlalu, kereta dan barang-barang makin mahal, malangnya pendapatan kita sebenarnya statik. Jadi, jika hendak menambah pendapatan dan tidak mahu rasa rugi sangat apabila melakukan modifikasi kereta jadilah seperti pemilik Honda Civic FD ini. Dia cukup rajin berniaga barang-barang Type R dan Honda. ![]() ENJIN yang digunakan ialah K20A lima kelajuan automatik. Dunia FD ni memang berkisar tentang Type R sahaja. Maka, tidak hairanlah jika banyak juga modifikasi yang dibuat oleh segelintir pemiliknya memang tidak betul. Untuk menjadi bagus seperti model Direeza kuning ini, banyak komponen yang perlu ditukar. Bukan setakat tukar side step ada lampu buatan Taiwan dan rim 18 inci buatan China. Ia memerlukan ketelitian melihat bahagian-bahagian kereta yang ditukar supaya rupanya dekat dengan Type R. Apabila hendak menjadi begitu mirip kepada Type-R, sudah tentulah kena kumpulkan aksesorinya terlebih dahulu. Memang ada orang yang cukup gila beli Civic FD lokal kemudian salin semuanya kepada Type R. Kalau kira balik, baik beli Type R terus sebab half-cut je sudah berapa ringgit? Memang tidak berbaloi langsung. Tetapi rutinnya kalau sudah suka ubahsuai, beli FD2R hendak ubahsuai bagaimana lagi kalau bukan Type-R? Kereta ini memulakan hayatnya sebagai model 2.0 liter. Pemiliknya mula menyalin barang-barang Type-R sejak setahun lalu. Semuanya bermula dengan bahagian luar melibatkan penggantian FD2R yang terdiri daripada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler, bampar belakang dan lampu belakang. Selain lips hadapan replika J'S Racing dan Replika Mugen Grill. Sambil-sambil menyalin bahagian luar, ruang kabinnya sudah 99 peratus Type-R. Semuanya ada di sana, bermula dari tempat duduk, karpet, kemasan pintu, papan pemuka, pemijak pada bahagian pintu (door step), hendal, brek tangan dan bootgear asli yang membalut kawasan boot gear asal.
Nampak macam transmisi manual, sedangkan model K20 ini masih mengekalkan kotak gear automatiknya. Aksesori terakhir sistem audio ialah Head unit JVC, Stellar sub 12 inci, Power amp Mohican dan Pegasus Midbass. Di samping unit Blitz E-Throttle Controller. Perkara yang membezakan antara model FD2 jadian yang serius ialah brek. Untuk mengelirukan orang awam, pemilik jentera ini memasang brek Type-R Brembo 4 pot dengan rotor 320mm, cukup besar apabila dipadankan dengan rim 17 inci. Rim hadapannya ialah daripada Work Emotion CR Kai 17X9 dengan offset ET38. Sementara roda belakangnya pula menggunakan rim Advan RS 17X9 dengan offset ET35. Walaupun badan kereta dibalut dengan tema Direzza, tayar kereta ini lain sedikit namanya, Goodyear Revspec bersaiz 145/40/17. Boleh tahan lebarnya. Tengok dari belakang, kereta ini nampak lebih garang daripada sebuah Type-R original. | |||||
| Volvo V40: Designed Around You! Posted: 23 Mar 2012 06:02 PM PDT ![]() PINTU belakang V40 adalah warisan daripada model klasik Volvo P1800. BARU-BARU ini di Pameran Motor Antarabangsa Geneva, Volvo Car Corporation secara rasminya mendedahkan kepada umum model hatch lima pintu terbaharunya, V40. Model itu diposisikan dalam segmen premium dengan rekaan mewah dan karakter kereta besar tetapi bersaiz kompak. "Model V40 lima pintu dan lima tempat duduk adalah kesinambungan daripada model C30. Ia merupakan model pertama yang dibina berdasarkan strategi Designed Around You. Dilengkapi dengan ciri-ciri berteknologi tinggi, ia bakal mencabar pesaing-pesaing lain. "Terima kasih kepada pelanggan-pelanggan seluruh dunia untuk maklum balas yang diberikan. Varian model V paling kompak kami ini merupakan adunan rekaan, keselamatan dan versatiliti. "Kereta ini dipenuhi dengan ciri-ciri yang dimahukan oleh pembeli kereta mewah moden," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Car Corporation, Stefan Jacoby. Pengaruh Klasik Bonet berbentuk V klasik dikemaskan lagi dengan garisan ekspresif yang lebih menonjol. Gril depan direka rendah dan lebar bagi menampakkan imej sporty dan rapat ke bumi. Rekaan berlekuk pada bahagian bawah kereta bukan sahaja menambah karakter badan, bahkan turut mengalirkan angin untuk efek aerodinamik yang lebih baik. Lampu DRL (Daytime Running Lights) pula dipasang pada bahagian bawah bampar dan menghala ke atas jika dipandang dari hadapan. Lampu depan rekaan bilah pula mempunyai corak yang menarik di waktu malam. Bahu badan yang lebar bermula dari lampu hadapan dengan garisan yang tajam dan rekaan pada pintu belakang adalah warisan daripada model klasik P1800. Imej yang kuat pula boleh dilihat pada gugusan pintu belakang kereta. Silhouette bumbung kereta memberi impresi seolah-olah kereta condong ke depan seperti tidak sabar-sabar untuk bergerak. Rekaan lampu belakang yang menyerlah pula adalah sebahagian daripada DNA Volvo. Lampu tersebut diposisikan tinggi dan mengikut lekukan bahu badan kereta. But berbentuk heksagon yang pertama kali diperkenalkan pada model C30 dan diinspirasikan daripada model P1800ES juga merupakan signatur Volvo. Model V40 serba baharu itu turut dilengkapi dengan bumbung panorama yang besar. Dari cermin depan hinggalah ke belakang, ia memberi efek keluasan pada ruang kabin kereta. Cermin bumbung itu digelapkan dan direka bagi mengurangkan radiasi infra merah ke dalam kereta. Bagi menghalang pancaran matahari, bidai fabrik yang dikawal secara elektronik pula boleh dibuka dari belakang ke depan seterusnya membolehkan penumpang belakang 'berjemur' di bawah cahaya matahari. Pada masa yang sama, pemandu dan penumpang hadapan masih lagi boleh berteduh daripada pancaran cahaya. Citarasa Scandinavian. Ruang dalaman V40 baharu direkabentuk dengan fokus kepada manusia. Ia memberi penekanan terhadap aspek ergonomik, keselesaan dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Panel instrumen yang lebar bersama-sama rekabentuk pintu menjadikan kereta terasa lapang seperti sebuah kereta besar. Rekabentuk dalaman dibina bagi menawarkan pemandu dan penumpang atmosfera luas serta tenang dengan citarasa Scandinavian. Pemilihan material dan warna pula menekankan rasa mewah dan ketelitian. Selain itu, Volvo V40 turut menawarkan kepada pemandu opsyen grafik dengan tiga tema. Tema elegan memaparkan iluminasi ambar yang menampakkan aura yang tenang dan tradisional. Tema Eco pula mempunyai iluminasi latar belakang berwarna hijau bagi menampakkan efek alam sekitar. Meter Eco dipaparkan di sebelah kiri dan pemandu akan dihadiahkan lampu hijau apabila kereta dipandu secara ekonomikal. Tema Performance pula mempunyai iluminasi latar belakang berwarna merah, sesuai dengan imej prestasi. Enam Varian Enjin Volvo V40 memiliki penawaran enjin yang kompresif, bermula dari sesaran kecil hinggalah besar sama ada diesel atau petrol. Daripada output 115hp hinggalah 254hp untuk varian paling berkuasa. Enjin-enjin diesel yang ditawarkan ialah D2 1.6 liter berkuasa 115hp, D3 2.0 liter berkuasa 150hp dan D4 2.0 liter berkuasa 177hp. Enjin-enjin petrol yang ditawarkan pula ialah T3 1.6 liter berkuasa 150hp, T4 1.6 liter berkuasa 180hp dan akhir sekali T5 2.5 liter berkuasa 254hp. Volvo menyasarkan untuk menjual 90,000 unit V40 serba baharu setahun. Model itu secara primanya disasarkan untuk pasaran Eropah dengan 85 peratus daripada volum keseluruhan untuk benua itu. Antara pasaran besar yang dikenal pasti adalah United Kingdom, Jerman, Sweden, Perancis, Belgium, Itali, Belanda, Sepanyol, Jepun, China, Switzerland dan Australia. V40 baharu akan dibina di kilang produksi Volvo di Ghent, Belgium. V40 - Volvo yang bakal menarik pelanggan bukan tradisional jenama Sweden itu yang sinonim dengan rekabentuk bersegi dan keras. | |||||
| Posted: 23 Mar 2012 05:59 PM PDT
SEBUT mengenai menu sarapan popular di Kelantan, pasti ramai membayangkan keenakan nasi kerabu, nasi dagang, nasi berlauk dan nasi tumpang yang kaya dengan aroma serta rempah ratus memikat selera. Tidak ketinggalan laksam, sate dan aneka kuih seperti cek mek molek, pulut pagi serta ondeh-ondeh. Jika itu yang diinginkan, apa kata berkunjung ke Kelantan Delights yang terletak di Wisma Consplant, SS16, Subang Jaya, Selangor. Lokasi yang cukup strategik berhampiran dengan pusat beli-belah terkenal Subang Parade dan Empire Gallery itu memudahkan sesiapa sahaja mengunjunginya. Menurut Pengerusi Eksekutif Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah, promosi yang bermula sejak Februari lalu itu diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad dari pukul 8 hingga 11 pagi. Katanya, melalui promosi berkenaan pelanggan berpeluang menikmati pelbagai sajian sarapan pagi yang popular negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada kadar antara RM2 hingga RM7. "Selain nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi dagang, salah satu menu yang sukar dijumpa pada hari ini serta wajib dicuba ialah nasi tumpang. "Penyediaannya agak rumit dengan kombinasi nasi himpit bersama telur, serunding dan ikan yang dibalut di dalam daun pisang," jelasnya. Juhaidi berkata, bagi mereka yang mahukan sesuatu selain hidangan nasi, boleh mencuba laksam. Potongan laksam yang diperbuat daripada tepung beras dipadankan dengan kuah putih pekat daripada santan dan ikan selain disertakan telur, serunding bersama ulam-ulaman pasti merangsang selera. ![]() HIDANGAN nasi kerabu yang enak dan menyelerakan. Ujarnya, melalui promosi yang diadakan, restoran itu berpeluang memperkenal dan memartabatkan masakan tradisional Kelantan kepada orang ramai khususnya kepada warga kota. "Mereka tidak perlu lagi berkunjung ke Kelantan untuk menikmati sajian pagi yang enak dan menyelerakan kerana segala-galanya terdapat di sini," terangnya yang memberitahu restoran itu turut menyediakan hidangan makan tengah hari dan makan malam. Mula beroperasi pada Julai tahun lalu, Juhaidi berkata, restoran yang mengetengahkan rekaan seni bina eksklusif dengan gabungan elemen tradisional dan kotemporari itu mampu memuatkan kira-kira 200 pelanggan pada satu-satu masa. Setiap perincian dilakukan dengan teliti termasuk ukiran kayu pada dinding serta pelbagai kraf tangan yang disusun rapi di bahagian pintu masuk menyerlahkan aura Pantai Timur yang menjadi tema restoran itu. Sementara itu, lukisan dinding yang memaparkan kesibukan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu turut menjadi santapan mata pengunjung ketika menjamu selera. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |































0 ulasan:
Catat Ulasan