Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Reputasi Nicol tiada tandingan
- Serangan berdarah di Yala
- Loteri RM1.95 bilion sudah ada pemenang
- Nenek pendayung Kampung Kuantan
- Sindrom bahasa asing
- Bakar mayat pakai kayu
- bertudung Pelagak ngeri
- Bumbu Bali tampil eksentrik
| Reputasi Nicol tiada tandingan Posted: 31 Mar 2012 09:19 PM PDT
RATU skuasy negara, Datuk Nicol David mengukuhkan statusnya sebagai pemain wanita No. 1 dunia apabila merangkul gelaran juara Kejohanan Skuasy Terbuka KL CIMB Nicol David di gelanggang kaca Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam. Nicol yang mendapat sokongan padu peminat tempatan di ruang legar pusat beli-belah terkemuka itu, mudah mengetepikan cabaran pemain No. 10 dunia, Annie Au dari Hong Kong dalam aksi final dengan kemenangan straight set 11-4, 12-10, 11-9. Ia merupakan gelaran kelapan yang dimenangi pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada kejohanan tersebut yang kini dikenali dengan namanya sendiri sebagai penghormatan terhadap pencapaian Nicol yang menakjubkan dalam Persatuan Pemain Skuasy Wanita Dunia (WSA). "Sudah tentu saya berasa sangat gembira sekali kerana berjaya menjuarai kejohanan ini buat kali kelapan dan lebih manis kejohanan ini juga telah diubah kepada nama saya dan ia sesuatu yang amat istimewa. "Saya juga amat menghargai sokongan para penyokong Malaysia yang setia memenuhi ruang legar di Berjaya Times Square ini. Saya tujukan kemenangan ini kepada mereka yang hadir di sini," jelas Nicol selepas tamat perlawanan semalam. Begitupun, Nicol menjelaskan bahawa kemenangannya ke atas Annie semalam bukannya mudah, apatah lagi pemain berusia 23 tahun itu bangkit memberi tentangan sengit pada set kedua dan ketiga. "Kemenangan saya hari ini (semalam) sebenarnya bukan mudah. Selepas menang set pertama, Annie jelas sekali mempamer kebangkitan pada set kedua dan ketiga menyebabkan saya ketinggalan kepadanya. "Apa yang saya boleh buat ketika itu ialah hanya terus memberi tumpuan dan cuba mengutip mata demi mata serta bermain dengan tenang. "Selepas itu, saya mula mendapat keyakinan dan kembali menguasai permainan. Apa pun, Annie juga beraksi dengan baik dan dia juga seorang pemain yang berpengalaman. "Jadi gembira sekali kerana kami dapat mempamerkan satu perlawanan yang menarik kepada penonton," tambahnya yang turut muncul juara edisi 2000, 2002, 2005, 2007, 2008, 2010 dan 2011. Selaku juara, Nicol membawa pulang hadiah kemenangan bernilai AS$11,400 (RM34,906), manakala Annie pula AS$7,800 (RM23,883). Sementara itu, pemain Mesir, Omar Mosaad menjuarai aksi final lelaki dengan menewaskan pemain England, Adrian Grant 11-6, 12-10, 12-14, 6-11, 11-8. | ||
| Posted: 31 Mar 2012 09:19 PM PDT
YALA, Selatan Thailand – Sebelas orang maut manakala puluhan yang lain cedera dalam tiga serangan bom di bandar ini, kata pihak tentera. Siri letupan itu menggegarkan pusat bandar ini selang beberapa minit sekitar tengah hari semalam. "Sebelas orang disahkan terbunuh, lebih 110 lagi cedera dalam letupan bom di Yala," kata jurucakap pasukan tentera selatan Thailand, Kolonel Pramote Promin. "Tiga buah bom meletup dengan serangan pertama melibatka sebuat trak berisi bom disususli letupan bom kereta 20 minit kemudian manakala bom ketiga disembunyikan dalam motosikal," tambahnya.. Beberapa rumah kedai di sekitar lokasi kejadian terbakar dengan sejumlah kereta dan motosikal turut rosak dalam letupan kuat berkenaan. Seorang anggota polis di sini turut memberitahu, lebih 50 mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital. "Bom-bom tersebut meletup selang 10 minit," katanya. Pramote berkata, sebutir bom kecil meletup di sebuah kedai makan di daerah Mae Lan, dalam wilayah Pattani tetapi beliau masih belum menerima maklumat sama ada berlaku kemalangan jiwa dalam letupan tersebut. Sejak 2004, selatan Thai yang bersempadan dengan Malaysia digegarkan dengan insiden tembakan dan serangan bom yang meragut ribuan nyawa manusia dan berlaku hampir setiap hari. | ||
| Loteri RM1.95 bilion sudah ada pemenang Posted: 31 Mar 2012 09:17 PM PDT ![]() ORANG RAMAI beratur untuk membeli tiket loteri Mega Millions di sebuah kedai serbaguna di Los Angeles kelmarin. NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Hadiah loteri terbesar di dunia berjumlah AS$640 juta (RM1.95 bilion) dilaporkan telah dimenangi oleh sekurang-kurangnya seorang pemenang semalam dengan media tempatan menyatakan, tiket bertuah itu dijual di negeri Maryland. Nombor kemenangan tersebut - 2, 4, 23, 38, 46 dan 23 diumumkan di sini pada pukul 11 pagi waktu AS. Namun, firma yang mengendalikan loteri berkenaan, Mega Millions masih belum membuat pengumuman rasmi mengenainya. Saluran televisyen AS, MSNBC memetik kenyataan seorang pegawai loteri di negeri Maryland apabila melaporkan berhubung kemenangan tersebut. Akhbar Washington Post yang menggunakan sumber sama, melaporkan tiket kemenangan itu dijual di daerah Baltimore. Bagaimanapun, masih belum jelas setakat ini sama ada tiket loteri di Maryland itu merupakan satu-satunya tiket kemenangan loteri berkenaan. Beberapa pakar menyatakan, ia mungkin mengambil berhari-hari malah, hingga beberapa minggu sebelum seseorang tampil untuk menuntut hadiah cepumas itu ekoran pemenang biasanya akan berbincang mengenai aspek perundangan dengan peguam mereka sebelum mengambil hadiah. Sebanyak 176 juta tiket atau lebih 2 tiket loteri berkenaan bagi setiap warga AS telah dijual di kedai serbaguna dan kios di seluruh negara. Peluang untuk memenangi loteri berkenaan pula ialah satu dalam 176 juta. "Saya tahu peluang untuk menang tipis tetapi jika saya menang, saya akan berpindah ke New Zealand kerana terdapat lebih banyak kambing daripada manusia di negara itu. Terlalu ramai orang di New York," kata seorang imigran Romania, Cosmin Barbos, 37 selepas membeli tiket loteri Mega Millions. Satu tiket loteri itu berharga AS$1 (RM3.06) Pemenang boleh memilih untuk mengambil wang tunai serta-merta atau menerima wang tersebut menerusi 26 pembayaran tahunan. Hadiah cepumas tersebut akan ditolak sejumlah cukai negeri dan persekutuan AS. Cepumas berkenaan meningkat kepada AS$640 juta selepas tiada pemenang untuk loteri berkenaan sejak cabutan pada 24 Januari lalu. Mengulas mengenai loteri tersebut, akhbar tempatan Kansas City Star menyatakan, cepumas itu mencukupi untuk membeli sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner bersama sebuah pulau persendirian di Thailand. Namun, beberapa akhbar lain pula melaporkan tentang nasib malang yang menimpa empat pemenang loteri cepumas di AS sebelum ini. Ia termasuk kisah Jack Whittaker yang memenangi AS$315 juta (RM964.5 juta ) pada 2002 tetapi wang kemenangannya tidak kekal lama akibat dicuri dan sifatnya yang gemar berbelanja mewah. | ||
| Nenek pendayung Kampung Kuantan Posted: 31 Mar 2012 09:17 PM PDT
HANOM tiba di Jeti Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor, tatkala lembayung senja mula menyinari dada langit. Dengan menjinjing dua kaki payung, langkah tuanya diayun perlahan menuju ke deretan bangku kayu yang membelakangi Sungai Selangor. Sambil melepaskan lelah, Hanom atau nama sebenarnya Hasimah Kasim mengukir senyuman sewaktu melihat dua buah bas persiaran memasuki pekarangan jeti. "Alhamdulillah, ada rezeki saya mendayung malam ini. Nampak gaya boleh juga buat satu dua trip," ujar ibu tunggal berusia 63 tahun ini. Suasana yang tadi lengang mula riuh dengan canda tawa dan gelagat pelancong dari Jepun, Eropah dan Asia Barat. Mereka memenuhi ruang menunggu sementara menanti hari bertukar gelap. Keterujaan jelas terpancar di wajah mereka. Masing-masing tidak sabar untuk mendekati habitat asal kelip-kelip, sejenis serangga berkepak yang boleh menghasilkan tiga kerlipan cahaya dalam masa sesaat. Sementara kebanyakan pelancong ghairah merakamkan panorama biasan mentari senja di gigi air, Hanom tekun memeriksa keadaan sampannya. Selesa bekerja tanpa kasut, nenek kepada tiga cucu ini memasang pendayung kayu pada tali di kedua-dua belah sampan. Keadaan air sungai yang pasang dan berarus membuatkan sampannya teroleng-oleng. Badan Hanom kelihatan uzur, bagaimanapun, dia masih mampu berdiri dengan stabil. Mungkin juga kerana pengalamannya selama 15 tahun mengendalikan sampan menjadikan wanita ini memahami lenggok aliran air. "Bagi yang tak biasa, mereka mang kecut perut bila mahu turun ke sampan. "Gelagat pelancong memang macam-macam, terutamanya yang datang dari luar negara. "Ada yang ringan mulut bertanyakan itu ini, ada juga yang lebih suka memerhati keindahan cahaya kelip-kelip dalam keadaan tanpa sebarang gangguan. ![]() KELIP-kelip hidup dalam suhu lembap di kawasan berpaya. Tunggu sejam "Kerap juga pelancong Barat bertanya, mampukah saya mendayung sampan yang dinaiki empat penumpang dewasa. Tidakkah ia terlalu membebankan? "Malah ada yang kasihan dan mahu menggantikan saya mendayung," ujarnya sambil tersenyum. Berkongsi cerita tentang kerjaya sebagai pendayung di pusat ekopelancongan itu, Hanom memberitahu, kebiasaannya dia memulakan tugas pada pukul 7.45 malam. "Selesai solat Maghrib, anak akan menghantar saya ke sini untuk mendayung. Jika berasa penat, saya akan berhenti dan minta anak datang menjemput pulang," ujar Hanom. Menurutnya, pada musim cuti sekolah atau hujung minggu, memang ramai pengunjung yang datang ke situ untuk melihat kelip-kelip. "Adakalanya mereka perlu menunggu sejam sebelum dapat menaiki sampan," katanya. Dianggap sebagai musim kemuncak, seorang pendayung boleh membuat antara lima hingga lapan trip semalam. "Pada hari biasa, jumlah pengunjung tidak begitu ramai. Mungkin satu dua trip, sudah habis. "Biasanya kami mendayung sehingga 300 meter sehala dan penumpang mahu berada lebih lama di satu-satu pokok yang nampak lebih bercahaya," katanya yang bekerja apabila keadaan kesihatannya mengizinkan. Hanom mula mendayung selepas suaminya terlantar akibat serangan strok. Demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga, ibu cekal ini mengambil alih tugas suaminya dengan mencuba nasib sebagai pendayung sampan di Jeti Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan. Lagu Jepun Terdapat 30 pendayung sampan di jeti tersebut dan Hanom adalah satu-satunya pendayung wanita di situ. "Ketika itu, anak-anak sudah ada yang bekerja, hanya yang bongsu masih bersekolah. "Begitupun, saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada anak-anak kerana pendapatan mereka tidak menentu. "Mahu tidak mahu, saya perlu keluar bekerja. Lagipun, kerja mendayung hanya pada waktu malam. "Saya masih boleh menjaga suami dan melakukan kerja rumah pada sebelah siang. "Selepas suami meninggal dunia, saya berehat seketika namun kembali mendayung beberapa bulan kemudian," katanya. Dalam usia yang semakin lanjut, kudrat Hanom sudah tidak sekuat dahulu. Dia yang menghidap kencing manis dan sakit sendi di bahagian lutut kini tidak mampu mengejar trip lagi. ![]() KUMPULAN besar kelip-kelip akan mengeluarkan cahaya serentak seakan-akan gerakan berirama. "Dahulu selalu juga buat lima trip, sekarang nak buat dua trip pun sudah mengah. "Setiap trip memerlukan 20 hingga 30 minit dayungan. "Pendayung akan mudik ke hulu terlebih dahulu sebelum menghilir sungai. "Kami akan membawa pengunjung dekat dengan pokok berembang yang menjadi habitat semula jadi kelip-kelip," katanya yang dibayar RM18 untuk setiap trip. Hidup Hanom sangat rapat dengan kelip-kelip. Hatinya berasa bangga kerana keajaiban kerlipan cahaya daripada serangga sebesar beras yang ada di kampung kelahirannya itu mampu menggamit kedatangan puluhan ribu pengunjung setahun dari seluruh dunia. Malah, dia yang hanya bersekolah hingga darjah enam itu sudah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris mudah dan menyanyikan serangkap lagu Jepun yang dipelajari daripada para penumpangnya. Setiap kali mengambil penumpang, dia akan mengingatkan mereka supaya tidak menggunakan lampu kilat kamera jika ingin merakamkan aksi kelip-kelip. "Penggunaan lampu suluh dan cahaya daripada telefon bimbit juga dilarang kerana kelip-kelip amat sensitif terhadap cahaya. "Sewaktu berkelip, ia sedang mengawan. Jika diganggu dengan cahaya lebih terang, ia mungkin akan jatuh, mati atau terbang. Proses mengawan berkemungkinan besar gagal," ujar Hanom. Membentuk keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, formasi kerlipan cahaya kelip-kelip ini kelihatan seakan-akan pokok Krismas. Bukan sekadar mendayung, Hanom turut mengambil tanggungjawab memberi penerangan tentang kelip-kelip di Kampung Kuantan kepada penumpangnya walaupun tiada yang menyuruh. "Saya mahu penumpang faham tentang kitaran hidup kelip-kelip, habitat asal dan keistimewaannya. "Kelip-kelip ada di beberapa negeri lain tetapi populasinya lebih banyak di sini. ![]() MENJELAJAHI Sungai Selangor untuk melihat kelip-kelip dengan menaiki sampan menjanjikan lebih kepuasan kepada pelancong asing. "Sepanjang 10 kilometer tebing sungai ini ditumbuhi pokok berembang yang merupakan rumah kelip-kelip. Malah, kalau bernasib baik, kelip-kelip akan bermain-main dengan kita," katanya. Menjadi sumber rezeki dan tarikan pelancongan, Hanom selalu berdoa agar kelip-kelip kesayangannya itu tidak akan pupus ditelan arus urbanisasi. "Selagi ada bulan dan bintang, biarlah kelip-kelip ini terus wujud di Kampung Kuantan," katanya penuh mengharap. | ||
| Posted: 31 Mar 2012 09:16 PM PDT
TIDAK lama dahulu, seorang remaja dari Besut, Terengganu, Noraini Ismail, tiba-tiba boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, Hokkien dan Korea selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal. Namun, apa yang pelik ialah, dia hanya mampu bercakap bahasa asing itu ketika bangun tidur pada waktu subuh. "Kadang-kadang saya diserang sakit kepala yang kuat tapi saya tak tahu kenapa saya cakap bahasa asing. Saya nak cakap Melayu seperti biasa tapi tak boleh," ujar Noraini, 17. Gadis itu terlibat dalam kemalangan pada 10 Januari lalu semasa pulang dari sekolah. Dia membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18, sebelum mereka melanggar sebuah lori kecil. Pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan mendapati Noraini yang pengsan selama 11 jam hanya mengalami luka kecil di kaki. Tetapi selepas itu, doktor memaklumkan terdapat darah beku di kepalanya. Sebenarnya, kebolehan bercakap bahasa asing akibat kemalangan atau selepas diserang penyakit sering dikesan berlaku di seluruh dunia. Selain hentakan kuat pada kepala, punca lain ialah strok, demam selesema dan pengsan. Namun, tidak kurang pula yang mengaitkannya dengan gangguan makhluk halus. Pada Oktober lalu, seorang wanita Scotland, Debbie McCann, 48, yang baru pulih daripada strok terkejut besar apabila mendapati dia boleh bercakap bahasa Itali dan Cina. Sindrom Walaupun tidak pernah pergi ke kedua-dua negara tersebut, bahasa Itali dan Cinanya cukup jelas. Namun, kebolehan eksentrik itu hanya membuatkan dia berasa malu untuk bercakap dengan orang lain. Sebulan selepas itu Debbie jatuh sakit manakala kedua-dua bahasa itu hilang entah ke mana. Bagaimanapun selepas pulih, dia mampu bercakap dalam loghat Glasgow yang pekat. Kejadian yang sama menimpa Kay Russel. Wanita Britain itu boleh bercakap dalam bahasa Perancis selepas mengalami sakit kepala yang teruk. Malangnya, sindrom bahasa itu menyebabkan dia dipinggirkan orang ramai. Juga di Britain sebulan lepas, Cebie Royston yang berasal dari Birmingham bertutur dalam bahasa Perancis secara tiba-tiba sebaik sahaja sembuh daripada demam selesema. Sebelum itu, dia menghidap sejenis penyakit yang telah melumpuhkan kebolehan bertuturnya selama sebulan. Makhluk halus Dalam ilmu perubatan moden, penyakit itu dikenali sebagai sindrom bahasa asing. Ia dipercayai dihidap oleh kira-kira 60 orang sahaja di dunia ini sejak dikesan seabad lalu. Mengikut rekod perubatan, sindrom itu kebanyakannya dialami wanita tetapi punca kenapa kaum Hawa menjadi mangsa tidak diketahui hingga sekarang. Seorang pengkaji paranormal, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, individu yang menghidap sindrom bahasa asing mempunyai keistimewaan tertentu. "Mereka sebenarnya boleh menjadi seorang pengkaji paranormal atau pengamal perubatan tradisional disebabkan kehadiran makhluk halus di dalam badan mereka. "Cuma keistimewaan bercakap bahasa asing itu terhad pada tempoh tertentu, bergantung pada keadaan dan kesediaan makhluk halus berkenaan," katanya kepada Jurnal. Jelasnya, makhluk halus mampu berbahasa asing mengikut negara mereka tinggal. "Tetapi makhluk itu tidak mengganggu kehidupan mangsa. Mungkin mahkluk itu sekadar 'menumpang' seketika. "Namun, lebih baik pesakit mendapatkan rawatan sama ada menggunakan kaedah moden atau tradisional," ujarnya. Idrus memberitahu, individu yang mengalami sindrom ini mungkin menghadapi masalah bergaul dengan masyarakat kerana kebolehan eksentrik itu. "Memiliki keistimewaan yang pelik pun boleh menjadi bahan umpatan orang," komen Idrus. | ||
| Posted: 31 Mar 2012 09:15 PM PDT ![]() SASHIDEVI (kiri) bersama adiknya, Theirakumar membantu bapa mereka di tempat pembakaran mayat di Sentul, Kuala Lumpur. MASYARAKAT pelbagai agama dan budaya di dunia mempunyai cara berbeza untuk menyemadikan mayat. Pada zaman Mesir kuno, mereka mengamalkan kaedah pemumiaan bagi melindungi mayat daripada reput. Orang Islam dituntut mengkebumikan jenazah manakala masyarakat Hindu dan Buddha ramai yang memilih untuk membakar mayat. Namun, di sebalik penggunaan insinerator elektrik, masih ada penganut Hindu di Malaysia yang memilih kaedah pembakaran mayat secara tradisional iaitu menggunakan kayu api. Salah seorang pengusaha tempat pembakaran mayat tradisional di negara ini ialah S. Balasubramaniam, 49. Semasa ditemui di premisnya di Perkuburan India Wilayah Persekutuan di Sentul, Kuala Lumpur, Bala sedang sibuk menyusun kayu api secara bertingkat. Wanita "Ada satu mayat yang perlu saya uruskan hari ini. Mendiang ialah rakan sekelas saya suatu ketika dahulu," kata Bala yang mewarisi perniagaan itu daripada bapa dan datuknya. "Saya membantu bapa membakar mayat sejak usia 17 tahun lagi. Kerja ini dimulakan dengan menyusun kayu api sehinggalah mayat dibakar sampai menjadi abu. Abu mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada ahli keluarga mendiang," cerita beliau. Pada hari itu, Bala dibantu anak perempuan sulungnya, Sashidevi, 22. Dalam masyarakat India, golongan wanita, orang tua dan kanak-kanak jarang dibenarkan terlibat dalam upacara pembakaran mayat. Ini kerana mereka dikhuatiri akan terjun ke dalam api akibat terlalu sedih dengan pemergian orang tersayang. Ditanya sama ada beliau pernah meracau akibat diganggu roh mayat terbabit, Sashidevi menggelengkan kepalanya. "Dahulu kami sekeluarga mendiami kawasan pembakaran mayat ini. Selama empat tahun tinggal di sini, tiada kejadian penghuni dirasuk," katanya kepada Jurnal. Menurut Bala, rumah pembakaran mayat itu dimulakan oleh datuknya sejak tahun 1936 di tapak yang ada sekarang. "Saya mengambil alih tanggungjawab itu daripada bapa pada tahun 1984 selepas beliau meninggal dunia," beritahu Bala. Di tempat pembakaran mayat ini terdapat empat tapak bersimen khas bagi tujuan membakar mayat. Kata Bala, kos untuk membakar satu mayat adalah RM360 sahaja berbanding kaedah moden sekitar RM1,500. "Membakar mayat menggunakan kayu lebih murah dan menjimatkan berbanding insinerator elektrik," ujar Bala. Menurut beliau, tempoh pembakaran mayat juga berbeza. Pembakaran tradisional mengambil masa sehingga empat jam manakala insinerator dua jam sahaja. ![]() TIMBUNAN kayu seberat 22kg digunakan untuk membakar satu mayat. Abu Bercerita mengenai bagaimana mayat itu dibakar, Bala berkata kayu getah atau kayu hutan yang telah dipotong sepanjang satu meter disusun sebanyak empat lapisan di atas lantai simen. Kemudian, keranda berisi mayat diletakkan di atasnya dalam keadaan penutupnya dibuka. Selepas itu, dua lapis susunan kayu lagi diletakkan di atas keranda tadi. "Ia disusuli dengan empat batang besi halus dipacak dan diikat di kiri dan kanan keranda supaya mayat tidak terangkat akibat suhu panas," katanya yang akan membakar mayat dengan menuang minyak diesel ke dalam unggun kayu itu sebelum menyalakan api. Bala menganggap tidak sukar untuk membezakan abu mayat dengan abu kayu. "Abu mayat berwarna putih manakala kayu yang terbakar bertukar hitam," ujar Bala sambil menambah, sebanyak 22 kilogram kayu diperlukan untuk sekali upacara pembakaran mayat. Difahamkan, kayu getah seberat tiga tan berharga RM660 boleh digunakan selama antara dua hingga tiga bulan. Secara purata, terdapat tiga mayat dibakar dalam seminggu di pusat pembakaran ini. Selepas semuanya hangus, air susu akan dituang ke atas abu bagi menyejukkan sisa-sisa kebakaran. "Sebaik sahaja disiram susu, tulang-tulang kecil yang hangus tetapi tidak menjadi abu akan timbul sekali gus memudahkan ia dikutip. "Abu mayat itu akan dicurahkan ke dalam sungai sesuai dengan kepercayaan Hindu bahawa orang yang telah mati akan bergabung semula dengan alam semula jadi," ujarnya. Bukan mayat orang India sahaja yang diuruskan Bala, malah ia turut melibatkan mayat penganut Sikh dan Buddha. | ||
| Posted: 31 Mar 2012 09:15 PM PDT ![]() AKSI Jet Ski yang dilakukan Ilia dalam filem Adnan Sempit 2. BERBEKALKAN sebuah motosikal kapcai berkuasa 110cc, gadis berusia 26 tahun ini mampu memukau penonton dengan pelbagai aksi lagak ngeri. Sedikit pun tidak nampak kekok, Ilia Iryani Shuib berjaya mengawal motosikal seberat hampir 100 kilogram tersebut sama seperti sedang bermain basikal. Aksi-aksi lagak ngeri yang dinamakan sebagai Jet Ski, Chainsaw, Merry Go Round dan 12 O'Clock itu mudah sahaja dilakukannya. Secara fizikal Ilia Iryani bukanlah seorang gadis kasar. Sukar untuk mempercayai bahawa seorang gadis bertudung dapat mempamerkan aksi yang jarang dilakukan wanita Melayu itu. Biarpun motosikal kapcai mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding jentera berkuasa besar, baginya penggunaan motosikal daripada jenis tersebut memberi cabaran yang lebih besar. "Melakukan aksi stunt dengan motosikal berkuasa kecil sebenarnya lebih sukar berbanding motosikal berkuasa besar. "Motosikal biasa ini direka untuk pemanduan di jalan raya sahaja berbanding superbike yang digunakan untuk memandu laju dan dilengkapi ciri-ciri untuk aksi stunt," terang gadis berbintang Scorpio ini. Pada mulanya Ilia tidak begitu menggemari sukan tersebut, apatah lagi dia hanya mahir menunggang motosikal setelah berusia 22 tahun. Namun, dia mula jatuh cinta dengan aktiviti lagak ngeri bermotosikal ketika menuntut dalam tahun satu di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. "Secara kebetulan saya menjadi ahli jawatankuasa penganjur pertandingan skuter dan ditugaskan untuk mendapatkan penajaan. Semasa mengunjungi pejabat syarikat motosikal RKM, saya telah ditawarkan untuk belajar melakukan lagak stunt itu. "Sebenarnya saya agak takut kerana tidak pernah meminati bidang itu. Tetapi setelah mencuba, ia memang memberikan saya kepuasan," ujarnya yang membeli sebuah skuter Yamaha Ego S sebaik sahaja memperoleh lesen B2 empat tahun lalu. Dalam tempoh dua tahun melakukan latihan bersama RKM, pelbagai aksi lagak ngeri bersama motosikal kapcai menjadi mudah di tangannya.
GP Sepang Ilia mengikuti latihan di bawah seorang jurulatih bertauliah apabila mempunyai kelapangan daripada jadual kelas. Latihan sejak tahun 2008 hingga 2009 itu telah mematangkan Ilia dalam bidang tersebut. Sebagai seorang wanita bertudung yang menyertai sukan lasak seperti itu, Ilia pasti berdepan dengan cemuhan. "Ada yang menggelarkan saya sebagai 'rempit bertudung hina Muslimah' selepas terlibat melakukan aksi stunt dalam filem Adnan Sempit 2. "Tapi selagi saya tidak melanggar undang-undang mahupun batasan syariat, saya akan meneruskan minat saya ini," katanya yang sering terjatuh ketika melakukan latihan. Ilia pernah membuat persembahan aksi lagak ngeri bermotosikal semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Sepang pada tahun 2009. "Ramai penonton luar negara tidak percaya bahawa wanita bertudung mampu melakukan aksi stunt motosikal," ujar anak ketiga daripada enam adik-beradik ini. Kini minatnya yang mendalam dalam sukan tersebut menambahkan lagi kecintaannya terhadap jentera itu. Bagi gadis kelahiran Seri Kembangan, Selangor ini, menunggang motosikal merupakan pilihannya berbanding kereta. "Banyak kelebihan menunggang motosikal. Saya tidak perlu bersesak-sesak dengan kenderaan lain semasa kesesakan lalu lintas. Jadi saya lebih suka menunggang motosikal untuk ke tempat kerja atau ke mana-mana. "Lagipun motosikal lebih mudah dikawal berbanding memandu kereta," ujarnya yang kini berusaha mendapatkan lesen memandu kereta. Biarpun hebat beraksi dengan jentera dua roda itu, Ilia tidak mahir mengenai selok-belok enjin kenderaan itu. "Kalau motosikal saya rosak di tengah jalan, saya akan panggil mekanik sahaja. Saya tidak pandai membaiki motosikal, hanya tahu tunggang," ujarnya sambil ketawa. | ||
| Posted: 31 Mar 2012 09:05 PM PDT ![]() KAUNTER pembayaran tampil eksklusif dengan perabot rona coklat gelap yang diberi sentuhan ukiran tangan. SEBUT sahaja Bali, ramai antara kita pasti teringatkan keindahan pantainya yang memutih, indah dan mendamaikan. Kata orang, Bali adalah fantastik. Bagi yang pernah menerjah Bali, pulau itu memang mengujakan dengan pelbagai aktiviti pelancongan. Malah, keunikannya sentiasa menjadi tanda ingatan sehingga ada yang mengabadikannya dalam hiasan rumah. Meminjam inspirasi Bali, seorang usahawan, Eddy Tan, sanggup berhabis hampir RM1 juta untuk menghias restorannya bagi mencapai kualiti seperti kebanyakan restoran di Pulau Bali. Restoran yang dikenali sebagai Bumbu Bali tersebut mendapat sentuhan abang iparnya, yang merupakan seorang warga Indonesia. Cerita pengurus Bumbu Bali, Norshazmira Abu Bakar, 35, restoran itu beroperasi sejak Mei 2004 di Bandar Puteri, Puchong, Selangor. Dalam tempoh lapan tahun, Bumbu Bali sudah mempunyai empat cawangan di sekitar Lembah Klang. "Isteri Eddy merupakan wanita Bali dan dia mahu restorannya berkonsepkan suasana semula jadi. Abang ipar Eddy membantu mereka bentuk restoran ini selain mencadangkan set perabot, ukiran berasaskan kayu dan tradisi Bali. "Antaranya, cicak tokek, patung wanita bali, serta beberapa haiwan peliharaan seperti kucing yang diabadikan dalam ukiran kayu," ujar Norshazmira. Dia yang lebih mesra disapa Mira berkata, hampir 99 peratus koleksi dan set perabot di restoran berkenaan menampilkan ciri-ciri dan seni budaya kehidupan masyarakat Bali. Beroperasi di bangunan dua tingkat, Bumbu Bali dioles rona coklat gelap hampir di keseluruhan restoran itu. Payung Menurut Mira, set meja makan di tingkat bawah dan atas restoran itu turut menggunakan warna coklat gelap.
"Semua meja makan ini eksklusif dan unik kerana diukir daripada kayu jati. Ia dipasang tanpa menggunakan skru atau nat dan diimport khas dari Indonesia. "Di setiap penjuru restoran ini juga digantung bubu yang dijadikan hiasan siling," katanya. Di sudut kanan restoran itu menempatkan barang-barang koleksi daripada ukiran kayu dan lukisan cat minyak serta payung pelbagai warna. Payung berwarna putih dan kuning juga menjadi hiasan di Bumbu Bali tetapi ia bukanlah payung yang digunakan ketika hujan atau menahan terik mentari. Menu wajib "Biasanya payung menjadi simbol kemegahan dan digunakan masyarakat Hindu di Bali sewaktu upacara pemujaan atau menyambut orang kenamaan sahaja. "Warna putih selalunya membawa lambang kemegahan, kesucian manakala kuning bermaksud kuasa atau berani," jelasnya. Hiasan di Bumbu Bali bukan sekadar halwa pandangan tetapi Mira turut menjualnya jika ada pengunjung yang mahu membeli barangan tulen dari Bali tersebut. Bercerita lanjut mengenai Bumbu Bali, Mira menjelaskan, nama 'bumbu' membawa maksud 'rempah-ratus' dalam kalangan penduduk Bali. "Masakan penduduk Bali sentiasa berasaskan rempah-ratus yang asli dan sedap," ujarnya. "Kita pasti teringatkan keindahan landskap yang berlandaskan alam semula jadi. Masakan Bali juga diwarnai pelbagai rempah-ratus" katanya. Beberapa koleksi pelik dan mistik antaranya cicak tokek, kucing dan kuda laut setinggi 1.5 meter turut menarik perhatian penulis. Menurut Mira, sebenarnya kesemua ukiran berbentuk haiwan ini hanya menunjukkan kemahiran kraf tangan masyarakat Bali, selain menjadi ole-ole untuk pelancong. Tangga berlingkar menuju ke tingkat dua restoran ini dibina menggunakan kayu jati manakala pemegangnya dililit tali jut. Sampai ke tingkat atas, pengunjung akan disambut koleksi keratan akhbar yang bercerita tentang keindahan Bumbu Bali. Selain itu, poster Buddha serta patung kayu berukiran singa mengisi ruang di tepi tangga berlingkar. ![]() POTRET ukiran kayu yang mencerminkan kehidupan masyarakat Bali. Menyentuh aspek makanan, Bumbu Bali menghidangkan pelbagai makanan berasaskan rempah seperti serai, kunyit, limau kasturi dan cili padi. Sate daging ayam atau daging lembu yang digumpal pada batang serai sebelum dipanggang dihidangkan dengan nasi uduk iaitu nasi dimasak bercampur keledek. Kunjungan ke Bumbu Bali pasti tidak lengkap jika tekak tidak dibasahi minuman lemon grass mojito iaitu resipi minuman air bergas 7Up yang diadun serai, pudina dan sirap istimewa. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


















0 ulasan:
Catat Ulasan