RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tun Mahathir penaung irama nasyid

Posted: 22 Apr 2012 01:02 AM PDT


WAKIL daripada Nasyeed.Com, Razin Che Mud bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir ketika berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, beberapa hari sebelum acara kemuncak Nasyeed.Com berlangsung.


SEPERTI irama muzik lain, putaran muzik nasyid turut berdepan evolusi yang menyaksikan survival irama untuk disemarakkan dan dibiakkan oleh pejuang-pejuangnya. Boleh digelar jihad muzik untuk memekarkan bunga-bunga kerohanian dan cinta Ilahi dalam jiwa, penyanyi nasyid dari Malaysia sebenarnya sudah terukir di peta dunia hiburan Islamik dan disegani ramai.

Jika tidak kerana kukuhnya penerimaan peminat di tanah air terhadap irama itu, masakan penyanyi lagu-lagu kerohanian antarabangsa Maher Zain berkali-kali berkampung di Malaysia untuk membuat persembahan dan promosi album baharu.

Tahun 1996 hingga 2000 menyaksikan tahun gemilang kepada kuasa irama nasyid. Ketika itu, Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana dan In-Team antara yang tidak asing di bibir peminat, namun segalanya mulai menyusut dan kini penghormatan terhadap nasyid semakin tipis.

Pemansuhan kategori nasyid dalam pesta meraikan pencapaian artis dari segi populariti contohnya dalam Anugerah Bintang Popular baru-baru ini, memberi isyarat bahawa artis nasyid sudah hilang satu tempat di mata umum.

Tidak menunggu sehingga bertahun untuk memulihkan semangat para pejuangnya, penganjuran Anugerah Nasyeed.Com oleh Nasyeed Edutainment Publishing Sdn. Bhd. pada 13 dan 14 April lalu cukup memberi makna. Ia seperti sinar baru kepada muzik yang cukup indah penghayatannya terutama kepada pencinta lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian.

Buat julung kali diadakan, acara yang berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur itu turut mendapat ruang apabila ia disiarkan secara langsung oleh TV Islamik Malaysia, TV Alhijrah.

Penaung kehormat

Melihat penganjuran yang berjalan lancar bermula dari peringkat perbincangan, promosi dan jelajah sehingga malam anugerah, Pengasas Nasyeed.Com, Azmee Abdul Manap berkata, apa yang paling membanggakan adalah sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada setiap karyawan nasyid.

"Setiap minggu, ada sahaja kumpulan yang tidak tercalon ke peringkat akhir tetapi tetap hadir memberikan sokongan.

"Semangat itulah yang kami mahu. Anugerah sekadar memberi pengiktirafan tetapi apa yang lebih penting daripada itu ialah setia kawan, permuafakatan dan kerjasama. Penyanyi nasyid harus bersatu hati dalam apa jua perkara," kata Azmee.

Lebih menguatkan keyakinan, dunia nasyid tempatan sebenarnya tidak pernah pudar di mata seorang negarawan ulung bernama Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu sendiri menyifatkan dakwah melalui kesenian dan menanam rasa cinta terhadap Allah dan Rasul yang menjadi asas nasyid merupakan cara paling mudah untuk mengajak peminat ke arah kebaikan.

"Melukis dengan perkataan," itu antara pesanan yang diberikan oleh Tun Mahathir kepada para penyanyi nasyid yang datang berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Bersetuju menjadi penaung kehormat program Anugerah Nasyeed.Com kerana menganggap ia sebuah program yang baik, Mahathir menjelaskan beliau sudah lama berhasrat untuk membantu tetapi tidak didekati oleh mana-mana pihak.


SELURUH karyawan Nasyeed. Com bergabung, bersatu hati demi meneruskan perjuangan menyemarakkan irama nasyid sebagai bukan sekadar hiburan tetapi terapi kerohanian untuk mendekatkan pencintanya ke jalan mendekati diri dengan kesucian agama.


"Saya bersyukur melihat kumpulan nasyid bergabung dalam satu badan. Bila berkumpul, lebih banyak kekuatan dan hikmah. Saya melihat nasyid adalah salah satu cara berkomunikasi dan dapat membawa pengetahuan kepada pihak lain."

"Kita akan mudah lupa. Jadi apabila kita suarakan pendapat atau informasi dengan berlagu, ia lebih mudah sampai dengan ingatan yang kemas. Nasyid ialah cara untuk menyampaikan mesej berkenaan agama. Perkataan mestilah tepat dan khalayak akan lebih faham tentang agama," ujar Mahathir yang mengamati perjalanan dunia nasyid dan menyifatkan muzik dan melodi nasyid dahulu kurang bervariasi.

"Saya sudah berusia 87 tahun dan telah banyak zaman saya lalui termasuk nasyid. Saya kesal muzik dari Barat menjadi pilihan orang kita. Lagu Barat dahulu boleh didengar kerana melodi dan liriknya yang baik tetapi tidak sekarang. Saya berharap kita dapat membina satu benteng daripada kemasukan lirik atau lagu yang bermoral rendah. Ini adalah satu tugas untuk ahli nasyid, bukan sahaja dari segi perkataan tetapi juga muzik. Saya harap para penyanyi nasyid dapat membina pendekatan ini dengan cara kita yang bermoral dan beretika," pesan Mahathir yang mahu lagu nasyid bukan sahaja diterima golongan Islam tetapi juga bukan Islam.

Saya bukan ditaja

Posted: 22 Apr 2012 01:00 AM PDT

Natasha Sheila Abd Razak atau Tasha Shila
Natasha Sheila Abd Razak atau Tasha Shila
pix_topright

GELARAN Artis Baru Wanita Popular dimenangi bintang muda yang mencipta nama, Natasha Sheila Abd Razak atau Tasha Shila, 25, di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) pada 8 April lalu, mencetuskan kontroversi.

Ada mengatakan pelakon yang mula dikenali menerusi drama Gemilang dan Sahara itu ditaja seorang duda berpangkat Datuk, dikenali dengan panggilan Datuk J.
Menurut dakwaan yang tersebar, Datuk J memberikan sejumlah wang kepada Tasha untuk membeli akhbar Berita Harian sehingga satu lori banyaknya, manakala ahli kelab peminat pelakon itu seramai 40 orang membantu untuk menguruskan undian buatnya.


Bukan itu saja, gadis berasal dari Ampang, Kuala Lumpur itu juga dikatakan menempah bas untuk peminatnya menyaksikan detik gemilang itu di Arena Of Stars, Genting Highlands bersama bilik penginapan. Pelakon itu turut membawa pengawal peribadi mengiringinya menghadiri majlis itu.

Ditemui dalam sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad, Isnin lalu, Tasha seperti dapat mengagak dia bakal diajukan soalan yang hangat diperkatakan, bukan saja di kalangan wakil media tetapi juga teman artis.

"Sewaktu hendak datang ke sesi fotografi ini, saya seperti mahu memakai 'baju kalis peluru'. Pastinya saya akan menerima tembakan membabitkan isu yang hangat diperkatakan ini. Sebaik menang, saya sedar ramai bercakap dan bertanyakan perkara sama.

"Bagi saya, kemenangan ini adalah rezeki. Sekali pun benar saya ditaja untuk membeli undi, tetapi sekiranya takdir tertulis bukan rezeki saya, pasti malam itu saya tidak akan menang.

"Banyak sangat nama Datuk yang dikaitkan dengan saya sebelum ini. Ada Datuk T, Datuk K dan sekarang Datuk J. Apa pula kaitannya Datuk hendak menaja saya. Itu semua tidak benar. Saya tidak ada hubungan dengan mana-mana Datuk dan inilah kenyataan sebenar.

"Tidak dinafikan, saya mengenali Datuk J yang dimaksudkan. Masalahnya, kami hanya kenalan biasa dan saya mengenalinya menerusi rakan artis juga. Kami pernah bertemu tetapi turut ditemani teman artis lain. Kami berbual dan bercakap seperti rakan lain. Tidak lebih daripada itu dan tidak pernah wujud perasaan cinta antara kami," katanya.

Akui Tasha, sepanjang ABPBH2011 berlangsung, dia ada meraih undi dan waktu sama turut menghargai usaha kelab peminatnya, TS Team yang tidak putus-putus berusaha untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

"Saya bersyukur apabila dicalonkan dalam lima kategori popular dan hargai usaha dilakukan Berita Harian dalam menghargai insan seni baru seperti saya. Apabila sudah disenaraikan, pasti saya turut berusaha meraih undi dan TS Team turut melakukan 'gerak gempur' dengan mengundi saya. Saya rasa teman artis lain juga melakukan perkara sama.

"Selain itu, saya mengikuti hampir semua jelajah promosi yang diadakan ABPBH2011 dan ia saya gunakan sebagai medan untuk meraih undi peminat. Keluarga juga saudara mara turut membantu. Kebetulan ibu punya restoran dan mereka turut membantu mempromosikan nama saya kepada pengunjung supaya mengundi.

"Lebih daripada itu, saya tidak nafikan sewaktu bekerja sebagai promoter di Butik Prada, Pavillion, Bukit Bintang saya ada ramai kenalan dari orang biasa hinggalah yang berpangkat dan punya kedudukan.

"Mereka menjadi kenalan saya hingga sekarang. Pastinya apabila berhubung, saya meminta mereka menyokong kerjaya seni saya dengan me­ngundi saya," katanya.

Mengenai bas dan bilik yang ditempah itu, kata Tasha, ia atas usaha kelab peminatnya dan sangat menghargai usaha mereka. Itu sebabnya Tasha mengambil peluang ke Genting Highlands menaiki bas bersama mereka serta meluangkan masa menghadiri jamuan ringkas TS Team selepas kemenangannya.

"Mengenai pengawal peribadi, perkara itu berlaku kerana salah anggap.

Sebenarnya, lelaki yang menjaga kawasan bilik di mana saya menginap itu bukan pengawal peribadi tetapi pemandu bas yang membawa rombongan saya ke Genting Highlands.

"Dia berasa terharu dengan layanan baik diberikan TS Team terhadapnya, apatah lagi dia seronok sepanjang bersama kami. Sebaik sampai, saya dan pembantu memintanya berehat di bilik tetapi dia secara sukarela mahu menjaga kami semua.

"Mungkin disebabkan itu, ada yang salah faham dengan menganggapnya pengawal peribadi saya.

Dia juga sa­ngat terharu kerana dapat memegang trofi yang saya menangi," katanya.


Masih bantu ibu di restoran

IBARAT cerita dongeng Cinderella menjadi nyata, begitulah gambaran hidup model dan pelakon Tasha Shila yang sebelum ini sering berangan dan menyimpan impian bergelar anak seni.

Kerana memahami minatnya sejak kecil, ibunya, Rosnah Suratman menghantarnya menyertai pertandingan model dan nyanyian seawal usianya empat tahun.

"Saya masih ingat, sejak usia tujuh tahun apabila mengisi borang pengenalan diri di sekolah, saya akan letak cita-cita pertama menjadi pelakon, kedua menjadi penyanyi dan akhir sekali peragawati. Perkara itu terbawa-bawa hingga ke zaman dewasa.

"Saya percaya impian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada doa sekiranya kita selalu bisik dalam hati. Allah maha pemurah dan pengasih. Kalau kita doa, pasti ia akan dimakbulkan tetapi apa yang saya peroleh sekarang tidak datang bergolek, sebaliknya harus disertakan dengan usaha," katanya.

Cerita Tasha lagi, orang melihat hidupnya indah selepas bergelar pelakon tetapi sebelum meraih segalanya termasuk anugerah dimenangi di ABPBH 2011, pelbagai kepayahan harus diharungi termasuklah mengutamakan keluarga sebelum dapat mengejar cita-cita.

"Kedua ibu bapa saya berniaga kedai makan. Sebelum mempunyai restoran di Ampang, banyak jatuh bangun yang terpaksa kami sekeluarga lalui. Saya pernah membantu ibu di warung dan payahnya keluarga kami hendak membina hidup, hanya Allah yang tahu.

"Dulu ibu terpaksa mengendong dan membuai saya di warung sambil berniaga.
Kerana itu, apabila saya berjaya meraih apa yang diimpikan, saya sangat bersyukur, menghargainya dan berusaha untuk menjadi lebih baik. Mengingati saat-saat payah yang saya lalui, akan membuatkan hati saya tersentuh. Saya mensyukuri dengan apa yang saya peroleh sekarang," katanya.

Walaupun menjalani hidup penuh glamor, kata Tasha dia tidak pernah meletakkan diri setinggi langit. Malah menjadi pelayan di restoran milik keluarganya seakan menjadi rutin hidup. Jika tiada penggambaran, dia akan menghabiskan masa sepenuhnya membantu ibunya.

"Kadang-kadang orang yang tidak tahu gerai dikunjungi itu milik ibu, terkejut apabila melihat saya mengambil pesanan. Memang saya artis tetapi sebenarnya saya tidak mahu status itu mengubah hidup dan pendirian saya.

"Pada saya, lakonan itu satu kerjaya dan keluarga tetap menjadi keutamaan apatah lagi saya anak sulung dan ada dua lagi adik yang perlu dibantu terutama membabitkan pelajaran mereka.

"Saya tidak mahu mereka susah seperti mana kesusahan yang saya lalui sebelum ini. Sebab itu saya kena kerja keras sama ada dalam dunia lakonan mahupun membantu membina empayar perniagaan restoran yang sudah dipelopori keluarga sejak dulu," katanya.

Memenangi anugerah Artis Baru Wanita Popular bukan bermakna Tasha boleh mendabik dada sebaliknya ia menjadi titik permulaan untuk dia membuktikan bakatnya. Gadis bertubuh lampai itu menyimpan impian untuk menggenggam trofi terbaik dan diiktiraf juri pula selepas ini.

"Syukur selepas menang di ABPBH2011, banyak tawaran yang datang termasuklah filem. Ada empat tawaran filem tetapi semuanya masih lagi dalam perbincangan.
Salah satunya dari pengarah Mamat Khalid dan satu lagi dari Red Film Sdn Bhd.
Saya tidak letak harapan tinggi tetapi pada saya, jika dapat berlakon filem, bermakna kerjaya seni saya akan lebih berkembang.

"Seperti Red Film, saya harus menghadiri uji bakat terlebih dulu. Saya lebih suka begitu kerana ia akan membuatkan saya lebih bersungguh-sungguh. Saya mahu belajar dan menimba lebih banyak ilmu dari pengarah berkaliber agar satu hari impian menggenggam trofi pelakon terbaik menjadi kenyataan," katanya turut menyimpan impian melebarkan bakatnya ke Indonesia.

Ada prinsip

Posted: 22 Apr 2012 12:58 AM PDT

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Yuna, Aizat susun langkah baru untuk cipta nama lebih besar dalam dunia muzik

INSAN seni sejati tidak akan pernah kenal erti kepuasan, malah setiap kejayaan yang diperoleh menjadi pemacu untuk memberikan sesuatu yang lebih baik tanpa pernah takut berdepan kegagalan.
Perjalanan singkat Yuna dan Aizat menghadiahkan pelbagai kejayaan yang memperlihatkan kredibiliti mereka sebagai pelapis legasi seni yang dihormati.
Segelintir masyarakat datang dan berkata kepada saya impian untuk ke luar negara itu sekadar angan-angan serta patut dilupakan. Saya bertekad untuk membuktikan mereka salah. - Yuna
Memulakan langkah berbeza namun membawa misi serupa, Yuna dan Aizat kental menjunjung prinsip diri dalam menyusun langkah ke destinasi impian.
Yunalis Zarai, 26, mencuri perhatian khalayak apabila membawa revolusi kepada wanita bertudung dengan menerjah pasaran komersial tanpa disokong label hebat.

Dan Sebenarnya memperkenalkan nama Yuna kepada peminat tempatan tanpa disangka membawa percaturan lebih besar apabila dilamar label antarabangsa, The Fader Label untuk merealisasikan impiannya mengumpul pengaruh di negara.

Akur pengalaman menjual bakat di negara sendiri jauh lebih mencabar, apatah lagi peminat di sini seolah dididik untuk menilai sisi peribadi berbanding karya yang dipersembahkan, Yuna mencabar diri meneroka pasaran Amerika Syarikat (AS).
"Ketika mula bertapak di negara sendiri, segelintir masyarakat datang dan berkata kepada saya impian untuk ke luar negara itu sekadar angan-angan serta patut dilupakan.

"Saya bertekad untuk membuktikan mereka salah. Saya jadikan kata-kata itu sebagai azimat untuk terus maju dan Alhamdulillah, perlahan-lahan saya membuktikan saya boleh berjaya di sana," katanya dalam temubual menerusi e-mel kepada B*POP.

Dalam persiapan untuk melancarkan album perdananya di AS pada 24 April ini, Yuna bersyukur kerana perjuangan muziknya diterima baik oleh pendengar di sana.
Meskipun perjalanannya dilihat sempurna, Yuna bagaimanapun enggan mendabik dada malah menyerahkan kepada pendengar untuk menilai setiap hasil kerjanya.

"Terpulang jika kehadiran saya dilihat memberi persepsi baru kepada penggemar muzik di sana. Itu penilaian masing-masing. Apa yang utama saya berasa terlalu bertuah kerana orang luar menerima karya saya.

"Selama berada di sana, saya tidak pernah berdepan masalah besar. Budaya AS dan Timur tidak sama namun mereka menghormati saya malah menerima seadanya tanpa bias dengan imej yang saya bawakan," katanya.

Dua tahun membina tapak di AS, Yuna mampu tersenyum kerana impian memiliki album penuh terlaksana malah berpeluang menjayakan persembahan dalam program bual bicara popular, Conan O'Brien selain bakal beraksi di festival muzik tahunan, Lollapalooza pada Ogos depan.

Membawa imej wanita Muslim dalam industri yang terbuka, Yuna tidak berasakan ia sebagai satu cabaran besar. Apa yang utama katanya, bagaimana dia membawa diri dan lebih penting menjadi diri sendiri.

"Mereka menerima semua agama sama rata jadi saya tidak menganggap ia sebagai suatu masalah besar. Tidak dinafikan pernah timbul perasaan gusar tetapi mereka menerima penampilan saya seadanya.

"Saya akui pada permulaan, saya juga tidak yakin tetapi dengan sokongan keluarga dan pengurusan masalah itu dapat saya atasi," katanya.

Dua kali mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk edisi 2010 dan 2011, Yuna dilihat sebagai pencetus kepada anak seni tempatan yang berusaha menggapai cita-cita yang sebelum ini dilihat sekadar angan-angan.

Bagaimanapun katanya, dia enggan meletak harapan terlalu tinggi kerana perlu realistik dengan perjalanan panjang yang masih belum ditempuhinya.
"Sulit untuk saya letakkan di mana posisi saya nanti. Semuanya bergantung kepada perkembangan karier di sini. Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan baik seperti dirancang.

"Saya akan cuba mencari sebanyak mungkin pengalaman, bukan untuk peribadi tetapi juga dikongsi bersama warga seni di tanah air.

"Setiap kali persembahan, saya tidak pernah lupa memperkenalkan dari mana saya berasal malah perkataan Kuala Lumpur, Malaysia sentiasa basah di bibir saya.
"Barangkali ia cuma satu usaha kecil namun Insya-Allah, pada masa akan datang saya berharap dapat melangkah lebih jauh," katanya.

Berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya meskipun sering berjauhan, Yuna berkata, dia terkejut apabila kembali diberi kepercayaan untuk memegang trofi Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 2011.

"Ia sesuatu yang di luar jangkaan, membuatkan saya terharu kerana peminat tidak pernah melupakan saya. Sokongan mereka membakar semangat untuk terus berkarya dan berkongsi bakat bersama mereka.

"Terima kasih kerana terus menjadi kekuatan dan tulang belakang yang menyokong perjalanan karier saya yang masih pada tahap permulaan," katanya.

Dimensi berbeza Aizat bersama Go Gerila!

MEMBINA tapak yang kukuh sebagai penyanyi solo tidak sentiasa memberikan keselesaan kepada Aizat untuk terus berada dalam zon yang sama.

Barangkali permulaan langkah Aizat juga tidak diwarnai dengan sesuatu yang manis tetapi kesungguhan pemilik nama lengkap, Muhammad Aizat Amdan ini meletakkannya dalam kelompok istimewa di hati peminat.

Pemilik empayar Kasi Gegar Entertainment ini sentiasa mencabar diri untuk memberikan sesuatu yang berbeza dalam setiap karya seninya.

Atas alasan itu, biarpun berpeluang mencari ruang untuk berkarya sendiri namun Aizat memilih menyatukan ideologi muziknya bersama empat pemuzik lain membentuk Go Gerila!.

Diasaskan untuk bertapak dalam program realiti, Versus siaran TV9 , Aizat melihat peluang itu sebagai ruang bereksperimen selain mencabar kreativitinya mencuba genre berbeza.

Go Gerila! yang turut disertai Amir Jahari katanya, bakal memberikan perspektif baru dalam karyanya selain melahirkan sebuah persembahan yang dinamik.

"Kalau atau menang bukan perkara utama kerana saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza. Saya melihat pertandingan ini dari sudut kreativiti dan keistimewaannya, saya dan Amir membawakan jalur muzik berbeza daripada apa yang pernah peminat dengar sebelum ini," katanya.

Dua minggu bersiaran, Aizat semakin selesa bersama Go Gerila! yang memperjuangkan eksperimen muzik apabila menyatukan elemen rock & roll dengan Brit Pop dan alternatif.

Gabungan itu kata Aizat, membentuk sebuah keunikan apabila menyatukan ideologi berbeza namun menuju destinasi perjuangan yang sama.

Menawarkan pulangan lumayan RM200,000, Versus turut disertai 6ixth Sense, Black Parallax, Hujan dan Sofazr jelas pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular, ABPBH 2009 itu membentangkan gelanggang menarik untuk mereka menguji kehebatan masing-masing.

PROFIL: Yuna
NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
USIA: 26 tahun
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah.

PROFIL: Aizat
NAMA PENUH: Muhammad Aizat Amdan
ASAL: Ampang, Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 21 Januari 1989
PENYANYI IDOLA: Once
ALBUM: Percubaan Pertama
dan Urusan Aizat Amdan.

Anzalna Sudah Berani Terima Watak Penting

Posted: 22 Apr 2012 12:56 AM PDT

Anzalna Nasir

PETALING JAYA: Pelakon baru Anzalna Nasir berkata dia semakin berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama televisyen dan filem selepas hampir setahun bergelar pelakon.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Nasir, 24, berkata kepercayaan penggiat industri dan rakan-rakan artis terhadap potensi bakatnya mengukuhkan kepercayaan untuknya menyahut cabaran itu.

"Saya mula berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama dan filem pada tahun ini.

"Sebelum ini, saya tidak yakin dan belum bersedia tetapi beberapa penerbit dan pengarah sering memberikan peluang itu," akuinya ketika dihubungi mStar Online, baru-baru ini.

Bekas finalis pertandingan Dewi Remaja 2010 ini menambah, dia yang kini mula menerima tawaran watak utama dalam beberapa produksi drama dan filem melihat perkembangan itu sebagai satu platform yang baik untuk perkembangan kerjayanya.

"Atas kepercayaan dan sokongan tersebut, saya perlu mencabar diri untuk menggalas watak utama dalam sesebuah drama atau filem yang ditawarkan.

"Baru-baru ini, saya ditawarkan watak utama untuk drama Marhabah untuk TV3, Adam & Hawa (Astro) dan bakal terlibat dalam filem Dr K Kahwin Lima (KRU Studios)," katanya.

Ketika ditanya mengenai publisiti yang berkurangan sejak kebelakangan ini, Anzalna berkata dia semakin aktif dihujani pelbagai tawaran dan tidak berkesempatan untuk berkongsi perkembangannya dengan pihak media.

"Saya masih aktif berlakon. Memang saya akui agak menyepi kebelakangan ini kerana kesibukan saya di lokasi penggambaran.

"Lagi pun, tiada apa yang panas atau sensasi untuk diperkatakan kerana tiada kontroversi mengenai saya pun," katanya.

Hafiz Bakal Lancarkan Album single Di Indonesia

Posted: 22 Apr 2012 12:55 AM PDT

Hafiz.

PETALING JAYA: Penyanyi lagu Awan nano, Hafiz (AF) bakal melancarkan album single di Indonesia sebelum penghujung tahun ini.

Hafiz berkata, dia telah bekerjasama dengan komposer dari Indonesia, Andi Buyou disamping dua komposer tempatan terkenal iaitu LY & Baiduri.

"Alhamdulilah, impian untuk melancarkan karier muzik di Indonesia semakin menjadi nyata dan berharap semuanya akan berjalan dengan lancar," ujarnya kepada mStar Online.

Hafiz berkata, untuk album single itu nanti akan memuatkan tiga buah lagu sebagai permulaan.

"Tengok dulu penerimaan peminat bagaimana dan selepas itu mungkin akan melancarkan album penuh pula," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata, buat masa ini dia tidak menerima sebarang tawaran lain kerana ingin fokus kepada Mania.

Ujar Hafiz, dia bertuah dapat bekerja dengan Ahmad dhani dan tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada.

"Bukan senang nak bekerjasama dengan orang yang berpengalaman luas dalam bidang muzik, jadi saya akan fokus untuk Mania sahaja buat masa ini," katanya.

ALBUM BARU: Tak Rugi Beli Album '+' Ed Sheeran

Posted: 22 Apr 2012 12:54 AM PDT

TAJUK ALBUM: +

ARTIS: Ed Sheeran

EDARAN: Warner Music Malaysia

KEMUNCULAN Ed Sheeran dengan album berjudul '+' yang bermakna positif terus melonjak naik di persada muzik Eropah, Hollywood dan terus 'merebak' ke negara-negara maju lain.

Ketika itu, keistimewaan Ed Sheeran sememangnya dipersoalkan dan jujur saya katakan, jarang sekali kesemua lagu yang dimuatkan dalam sesebuah album itu berbaloi untuk didengar.

Sebanyak 16 buah lagu yang dimuatkan pada lelaki Inggeris ini dan dia mempertaruhkan single The A Team dan Lego House sebagai tarikan.

Ternyata taruhannya untuk kedua-dua lagu itu berjaya menarik perhatian peminat sedia ada dan peminat baru untuk membeli album ini.

Mendengarkan lagu-lagu yang dimuatkan iaitu bermula dengan trek pertama, The A Team, Drunk, U.N.I, Grade 8, wake Me Up, Small Bump, This, the City, lego House, You Need Me I Dont Need You, Kiss me, Give Me Love, Autumn Leaves, Little Bird, Gold Rush dan Sunburn, ia memberikan satu kepuasan maksima kerana memiliki album ini, sedikit pun tidak merugikan.

Muzik lagu yang Ed tampilkan agak berbeza dan kedengaran lebih "urban" berbanding dengan lagu yang sedia ada. Campuran rentak "hip-hop", akustik, "folk" dan sedikit unsur-unsur "boy band" menampakkan keunikan pada album ini.

Sentuhan melodinya juga sedap di dengar di halwa telinga pendengar yang inginkan sebuah lagu yang segar dan unik.

Itu hanya pendapat daripada saya, namun ramai pengkritik album muzik di luar sana kurang gemarkan album ini kerana lirik yang diciptakan oleh Ed atau nama sebenarnya Edward Christopher Sheeran berbunyi sinis tentang kehidupan industri muzik Hollywood yang sering dikaitkan dengan dadah dan alkohol.

Lebih-lebih lagi menerusi lagu You Need Me, I Dont Need You, lagu itu menjadi satu isu di luar sana kerana para pengkritik menganggap pada lirik itu Ed seolah-olah menggambarkan dia yang sebelum ini seorang pemuzik "underground", tidak perlukan bantuan media serta "orang dalam" untuk meraih populariti.

Sungguhpun Ed membuatkan beberapa pihak terasa pedas dan kurang selesa dengan liriknya, harus diakui, lagu ini agak menarik untuk didengar. Ternyata penyanyi ini mempunyai satu tarikan dan cita rasa yang unik dalam menyampaikan jiwa muziknya kepada peminat-peminat.

LAGU PILIHAN: Give Me Love, You Need me And I Dont Need You, Lego House

Nicki Minaj Tutup Akaun Twitter

Posted: 22 Apr 2012 12:52 AM PDT

Nicki Minaj.

PENYANYI rap terkenal, Nicki Minaj memberitahu dia telah pun menutup akaun Twitter miliknya sejak seminggu lalu dan tindakan itu diambil kerana mendengar suara yang menyuruhnya berbuat demikian.

Nicki berkata, dia tidak peduli dengan 11 juta peminat yang mengikutinya di laman itu kerana telah mempunyai ikatan peribadi dengan mereka.

"Satu suara terus-terusan menyuruh saya menutup akaun twitter dan itulah yang saya lakukan," katanya.

Ditanya adakah dibakal kembali ke medan jaringan sosial itu, Nicki memberitahu dia tidak tahu tetapi ada terfikir mengenainya.

Nicki mempunyai 30 hari untuk mengaktifkan kembali akaunnya sebelum ia dihapuskan terus oleh pengurusan Twitter.

Nicki sebelum in i meninggalkan satu pesanan sebelum menutup akaunnya sebagai satu bentuk kemarahan terhadap peminat yang mendedahkan maklumat mengenai lagu terbarunya yang belum dilancarkan.

Ibu Kate Hudson Sangkal Anaknya Sudah Berkahwin

Posted: 22 Apr 2012 12:51 AM PDT

Kate Hudson.

IBU kepada pelakon Kate Hudson iaitu Goldie Hawn memdedahkan anaknya itu belum merancang untuk berkahwin dengan tunangnya iaitu Matt Bellamy.

Pasangan itu sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada April 2011.

Goldie ketika ditemuramah oleh majalah Us weekly berkata Kate tidak terburu-buru untuk melangsungkan perkahwinan buat masa ini.

"Kate sedang menikmati saat bahagia menjadi seorang ibu kepada bayi yang baru dilahirkan. Jika mereka sudah bersedia saya pasti perkahwinan itu akan menjadi kenyataan," ujarnya.

Kate dan Matt telah menyambut kelahiran anaknya yang pertama pada Julai 2011.

Sebelum ini, banyak khabar angin mengatakan pasangan itu telah bernikah sejak bulan lalu secara rahsia.

Kulit bersih, sihat lengah penuaan

Posted: 22 Apr 2012 12:45 AM PDT

BUANG STRES... merawat badan di spa dan rehat yang mencukupi boleh bantu meremajakan kulit.
BUANG STRES... merawat badan di spa dan rehat yang mencukupi boleh bantu meremajakan kulit.

KULITNYA yang cantik, halus dan putih bersih tanpa secalit noda menjadi perhatian mata yang memandang. Apabila ketawa atau malu, serta-merta pipinya bertukar kemerah- merahan sekalipun tidak mengenakan pemerah pipi.

Beruntunglah wanita yang memiliki kulit wajah cantik tanpa cela mahupun masalah. Tanpa perlu bersolek tebal, kejelitaan semula jadi terserlah hinggakan ramai menyangka dia lebih muda daripada usia sebenar.


Namun, tidak ramai di kalangan kita memiliki kulit sihat dan cantik. Meneruskan gaya hidup kurang sihat dan tidak tahu cara betul dalam penjagaan kulit wajah dan tubuh menyebabkan impian memiliki kulit cantik dan melambatkan proses penuaan cuma tinggal angan-angan.

  • Foto

    MASALAH... wajah tercela jika dipenuhi parut jerawat.

  • Foto

    MASALAH...kesan Melasma.

Jika wajah anda lebih muda daripada usia sebenar, ia dianggap bonus. Andai wajah bersesuaian dengan usia, ia masih boleh diterima tetapi sungguh mengecewakan apabila orang mengandaikan usia anda lebih tua disebabkan wajah yang cepat dimamah usia.


Kebanyakan wanita Asia memiliki kulit berminyak yang mudah mengundang jerawat. Kehadiran 'tetamu' tidak diundang itu bukan saja mencacatkan wajah, malah menimbulkan parut yang lambat pudar hingga terpaksa ditutup dengan solekan tebal.


Bagi mereka yang memiliki kulit kering, masalah lain pula timbul. Walaupun tiada masalah jerawat atau tona kulit tidak sekata, kulit kering mudah kusam, berkedut atau jeragat jika tidak dijaga dengan baik.

Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Guru Ratnavelu, berkata penting untuk kita mengetahui beberapa perkara yang menjadi asas dalam usaha memastikan kulit sihat dan cantik serta melengahkan proses penuaan.


Menurutnya, kulit berminyak akibat pengeluaran sebum secara berlebihan yang menjadi punca jerawat. Jerawat masalah biasa dialami, terutama di kalangan remaja yang akhir baligh, akibat perubahan hormon tubuh.

"Kulit wajah umpama belon. Ketika usia muda, ia dipenuhi udara. Apabila usia semakin tua, kulit umpama belon yang tiada angin, kendur atau hilang ketegangan.


"Ramai wanita prihatin dengan penjagaan kulit wajah dan tubuh. Jika boleh, mereka mahu kelihatan awet muda dan berusaha melambatkan proses penuaan," katanya.


Ini berbeza dengan golongan remaja yang kurang mengambil berat penjagaan diri, kecuali dinasihatkan ibu bapa supaya berbuat demikian.


Namun, mereka mula mengambil berat penjagaan kebersihan diri dan wajah apabila mula berkawan dengan berlainan jantina.


"Mereka mahu kelihatan menarik dan meminta pandangan ibu bapa atau doktor mengenai apa patut dilakukan untuk penjagaan diri dan wajah. Bagi menjaga kesihatan kulit tubuh dan wajah, kita perlu selalu membersihkan diri dan wajah," katanya.


Dr Guru berkata, di negara bercuaca panas seperti Malaysia, tabiat mencuci muka perlu diamalkan bagi mengatasi masalah kulit berminyak.


Dalam membantu menjaga dan mengekalkan kulit sihat, krim pelindung matahari perlu disapu pada wajah bagi mengelak ia menjadi gelap dan kusam apabila terdedah secara langsung dengan sinaran matahari.


"Krim pelindung matahari SPF 50 sesuai digunakan untuk mereka yang sering berada di luar, misalnya bersukan, makan angin atau ketika di tepi pantai, manakala SPF 30 untuk mereka yang bekerja di dalam pejabat. Sesetengah krim pelindung matahari mempunyai minyak mineral yang membuatkan masalah jerawat bertambah buruk.


"Mereka yang mengalami masalah jerawat dinasihatkan tidak menggunakan krim pelindung matahari yang mempunyai kandungan minyak mineral.


"Ketika membeli produk di kedai barangan penjagaan diri, cari krim pelindung matahari yang tertulis 'noncomedogenic' iaitu istilah digunakan untuk krim atau losyen yang tidak menyekat liang roma," katanya.


Penuaan intrinsik ialah kesan penuaan kulit dipengaruhi faktor dalaman fisiologi atau perubahan mengikut usia manakala penuaan ekstrinsik adalah proses kemerosotan disebabkan faktor luaran seperti radiasi, pendedahan cahaya matahari dan bahan kimia.


"Untuk mengetahui kesan penuaan intrinsik, perhatikan bawah lengan kita kerana kulit berkenaan biasanya cerah, licin dan lembut berbanding pada belakang tangan yang kering dan berkedut kerana terdedah kepada cahaya matahari.


"Petani lebih mudah mengalami kesan penuaan ekstrinsik melalui pendedahan cahaya matahari, menyebabkan kulit mereka kering dan berkedut.


"Pendedahan secara langsung kepada cahaya matahari banyak menyebabkan perubahan pada wajah, sebab itu kebanyakan petani memakai topi lebar dan baju lengan panjang.


"Di Australia, kejadian kanser kulit tinggi kerana mereka gemar berjemur di bawah sinaran matahari bagi mendapatkan kulit lebih gelap," katanya.


Katanya, orang Asia nampak lebih muda daripada orang putih (Caucasus). Tabiat mat salih yang suka terdedah kepada cahaya matahari menyebabkan kerosakan kulit.


"Tambahan pula, jumlah melanin orang Asia yang lebih banyak menjadikan kulit lebih gelap berbanding orang putih, menyebabkan kita lebih tahan cahaya matahari.


"Untuk mengekalkan kulit cantik dan meremajakan kulit dari dalam, amalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang dan lebihkan buah-buahan. Kekalkan kecergasan tubuh dengan bersenam dan minum air putih sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.


"Orang Asia banyak mengambil makanan mengandungi karbohidrat, makanan menggemukkan dan berminyak. Ia tidak bagus untuk kesihatan dan jika mahu kekal sihat dan nampak muda, gaya hidup dan pemakanan perlu diubah.


"Elakkan stres, bersenam setiap hari dan tidur enam hingga lapan jam sehari. Mengurangkan pengambilan makanan berlemak dapat mengurangkan masalah sakit jantung.


"Ketika tidur malam, sapu pelembap antioksidan yang diperkaya dengan vitamin. Tidur malam ialah waktu terbaik untuk menyerap kandungan aktif pada produk penjagaan kulit.


"Bersenam setiap hari biarpun cuma untuk waktu singkat, membantu anda mencapai impian memiliki tubuh sihat dan bertenaga. Senaman secara rutin membolehkan peredaran darah menjadi lebih lancar dan kulit kelihatan lebih tegang dan muda," katanya.


Menurutnya, pengambilan minuman beralkohol dan merokok perlu dielakkan kerana tidak baik untuk kulit, mulut dan gigi. Merokok membuatkan seseorang nampak lebih tua daripada usia sebenar.


Bagi yang tidak merokok (perokok pasif), elakkan pendedahan pada asap rokok kerana ia bukan saja merosakkan kulit tetapi mempunyai risiko dua kali ganda untuk mendapat penyakit berbanding mereka yang merokok.


"Indeks jisim tubuh (BMI) perlu dikekalkan pada tahap ideal. Sebilangan kita suka makan banyak walaupun sudah kenyang, terutama ketika berjamu secara bufet. Ini menyebabkan faktor berat badan berlebihan. Sebaik- baiknya kita makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang," katanya.


Untuk memiliki kulit cantik, amalkan makan buah- buahan. Anda juga boleh membuat sendiri jus buah, tetapi elakkan menambah gula. Perkara ini juga perlu dilakukan jika memesan jus buah ketika makan luar.


Rawatan muka di salun boleh membuatkan kita berasa lebih selesa, malah orang yang sentiasa gembira nampak lebih muda kerana kegembiraan yang terpancar di wajah antara rahsia awet muda. Ini berlainan dengan orang yang selalu stres yang kelihatan cepat tua.


"Semua orang berdepan stres, cuma kita perlu tahu bagaimana mahu menguruskannya supaya tidak mengganggu kehidupan dan kesihatan," katanya.


Beliau berkata, kini ramai lelaki mementingkan penjagaan diri dan wajah supaya tampil lebih menarik. Pertambahan usia meningkatkan kesedaran seseorang untuk menjaga penampilan diri, ditambah dengan pendapatan yang meningkat, membolehkan ia digunakan untuk memanjakan diri iaitu dengan penjagaan kulit.


Melasma atau bintik perang pada wajah biasa dialami mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Ia perkara lazim berlaku di kalangan wanita Asia dan susah dirawat.


Antara faktor menyebabkan melasma ialah pendedahan kepada cahaya matahari, disebabkan pertambahan jeragat, pengambilan pil perancang dan perubahan hormon.


Rawatan laser atau penggunaan krim membantu mengatasi masalah bintik perang pada wajah tetapi masalah itu akan berulang jika kulit wajah tidak dijaga dengan baik dan tiada perlindungan daripada sinaran terik matahari.

Shahrizal warisi legasi datuk

Posted: 22 Apr 2012 12:41 AM PDT

PERBAHARUI...berusaha menghasilkan produk baru.
PERBAHARUI...berusaha menghasilkan produk baru.

JIKA lena warga desa dikejutkan kokokan ayam jantan menandakan kedatangan sang mentari, anak muda ini dibangunkan dengan irama terhasil daripada kilang kecil yang juga teratak milik datuknya, Zainol Said di Sungai Lokan, Seberang Prai, Pulau Pinang.

Andai teman lain terasa nyaman dan selesa menghirup udara segar, Shahrizal Zoal yang kini Pengarah Pemasaran dan Jualan, Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd (HTSB) pula dianugerahkan aroma harum hasil proses memanggang kopi.

  • Foto

    KECIL...rumah pengasas yang juga kilang kecil kopi Hang Tuah.

  • Foto

    BAHAGIA...Shahrizal bersama keluarga.

  • Foto

    PERIKSA...Shahrizal bersama kakitangannya.

  • Foto

    TERBARU...kilang berteknologi tinggi.

Terbiasa didedahkan dengan persekitaran dipenuhi kopi acap kali pulang ke kampung, Shahrizal tidak memperkecilkan kelebihan dimiliki sebiji kopi yang mampu memberi ketenangan kepada penggemarnya.

Penggemar kopi jenis Arabica yang enak dan berkualiti tinggi, beliau berkata, perniagaan Kopi 'O' dipelopori arwah datuknya secara kecil-kecilan bermula sejak 1952 menggunakan nama Hang Tuah sempena pahlawan tersohor Melaka.


"Namun ideanya tidak disukai pihak penjajah ketika itu (British), lantas ditukar menjadi Chap Tiga Murid. Selepas kemerdekaan, arwah kembali menggunakan nama Hang Tuah bagi setiap produk dikeluarkan, termasuk biji kopi, serbuk kopi mahupun rempah ratus.


"Dengan kegigihan arwah, HTSB kini menjadi antara syarikat Bumiputera kukuh di pasaran. Jangan tidak percaya, datuk hanya menggunakan ruang bawah rumahnya untuk memajukan syarikat berbekalkan modal RM20,000 hasil pajakan tanah pusaka miliknya.

"Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian. Peribahasa sesuai menggambarkan kesungguhan datuk dan kini syarikat ini diwariskan kepada anaknya yang juga bapa saya, Zoal @ Zulkiflee.

"Menjadi tanggungjawab saya memastikan syarikat legasi keluarga berusia 60 tahun ini terus berkembang dan meluaskan pasaran tempatan mahupun antarabangsa," katanya ketika ditemui.

Menggalas peranan sebagai jurujual utama, lelaki berusia 33 tahun ini mengakui tidak terlalu berminat mendalami proses penghasilan kopi, cukup sekadar untuk pengetahuannya, sebaliknya lebih gemar mencari idea serta mencipta strategi bagi menerokai pasaran baru.

Giat berusaha menembusi pasaran asing, Shahrizal kerap menyertai pameran, termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) dan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha).

Membanggakan, kopi pahlawan ini turut dieksport, antaranya ke Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Australia dan Britain.

"Kopi antara minuman kegemaran masyarakat dunia. Setiap negara mempunyai cita rasa tersendiri, sekali gus membezakan satu sama lain.

"Di Malaysia, ramai menggemari kopi 'O'. Rasanya pekat, likat, kuat dan aroma yang wangi. Di Jepun pula, masyarakatnya tidak terlalu menggunakan manisan atau gula bagi hidangan mereka, termasuk pakej tiga dalam satu.

"Percubaan kita membawa kopi 'O' Hang Tuah ke Paris menerima reaksi dan maklum balas positif. Di negara Eropah lain, sememangnya masyarakatnya mencintai kopi dan hampir segenap lokasi mempunyai kedai kopi.

"Boleh dikatakan hampir setiap rumah di sana memiliki mesin kopi tersendiri, ini juga membuktikan kopi menjadi budaya dan gaya hidup masyarakat di sana," katanya.

Menurutnya, perkataan kopi 'O' berasal daripada gabungan dua bahasa iaitu bahasa Melayu bagi 'kopi' manakala 'O' pula perkataan Hokkien bermaksud hitam.
Oleh itu, kopi 'O' jelas dikenali sebagai kopi hitam atau pekat.

Menjadi satu daripada syarikat pakar dalam penghasilan kopi 'O', Shahrizal berkata, biarpun penggunaan teknologi baru diaplikasikan bagi proses pembuatan kopi, tenaga manusia masih diperlukan, terutama bagi memastikan kualiti bahan minuman berkenaan.

Berusaha memastikan produk berkualiti, pemilihan biji kopi terbaik disimpan di tempat terkawal dan kering atau dikenali 'out-gassing'.

Ia bertujuan mengeluarkan lembapan daripada biji kopi sebelum dihantar kepada pakar kopi bagi proses memanggang.

"Ketika proses memanggang, pengalaman pakar kopi diperlukan bagi mengawal penghasilan kualiti dan aroma kopi. Kopi yang dipanggang akan dicampur dengan gula, sekali gus bertukar warna dan menjadi karamel. Kemudian ia dibiarkan sejuk dan keras sebelum dikisar.

"Bagi mengekalkan kualiti yang mungkin terjejas akibat kehadiran udara, kelembapan, haba dan cahaya, kita menggunakan nitrogen dalam pembungkusan sejak tahun lalu, sekali gus memelihara aromanya," katanya.

Memiliki empat cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Klang dan Chenor di Pahang, Shahrizal mahu mengukuhkan pasaran tempatan menerusi pasar raya besar selain mengekalkan penghantaran ke kedai runcit.

Katanya, Johor antara pasaran tempatan terbaru yang bakal diterokai mengikut penjualan terkini.

Memasarkan 37 jenis produk, termasuk kopi dan rempah ratus, HTSB cuba mempelbagaikan alternatif baru selain mengambil kira permintaan pelanggan, termasuk minuman kopi dalam tin dijangka di pasaran pada Jun tahun depan.

Sebagai orang yang mendominasi bidang pemasaran, Shahrizal yakin pembangunan dan variasi produk adalah pembuka jalan serta pemangkin pasaran baru, selain mengukuhkan permintaan sedia ada.



PROFIL:

NAMA: Shahrizal Zoal
JAWATAN: Pengarah Pemasaran dan Jualan, Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd
LAHIR: 4 Mac 1979
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, University Edith Cowan, Australia
ISTERI: Chut Nyak Esqanita Chut Nyak Aziz.

Tarikan tinggalan sejarah

Posted: 22 Apr 2012 12:38 AM PDT

pix_middle

KEADAAN cuaca yang hampir sama dengan Malaysia membuatkan penulis berasa seperti berada di tanah air sendiri sebaik menjejakkan kaki di bumi Chile, baru-baru ini.

Kunjungan ke republik bekas jajahan Sepanyol yang digelar 'Switzerland Selatan' itu atas tugasan lima hari mengikuti penggambaran rancangan terbaru Discovery Channel, 'One Car Too Far'.

  • Foto

    MENARIK...Museo de Bellas Artes atau Muzium Seni Halus.

  • Foto

    BANYAK...penulis membeli magnet peti sejuk di sebuah kedai cenderahati.

  • Foto

    KREATIF...sebahagian seni arca unik yang dipamerkan di kiri kanan sepanjang jalan antara Isidora Goyanechea ke El Golf.

  • Foto

    ANTIK...pelancong melihat barangan antik yang dijual di Peru Square.

  • Foto

    TINGGI...pelancong menaiki kereta api kabel untuk ke Bukit San Cristobal bagi menyaksikan pemandangan bandar raya Santiago.

  • Foto

    KREATIF...sebahagian seni arca unik yang dipamerkan di kiri kanan sepanjang jalan antara Isidora Goyanechea ke El Golf.

Lebih sehari penerbangan dengan dua transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ministro Pistarini, Argentina sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudahuel, Santiago, Chile memang memenatkan, apatah ini pengalaman kali pertama ditugaskan ke destinasi sejauh ini.

Sebaik tiba di ibu negara Chile iaitu Santiago, penulis bersama seorang rakan wartawan mendaftar masuk di Hotel Hilton Garden Inn berhampiran lapangan terbang dan keesokannya kami menaiki pesawat ke bandar Copiapo iaitu dua jam perjalanan.


Di sana, kami bertemu rakan wartawan antarabangsa termasuk dari Taiwan, Hong Kong, Norway, Mexico dan Amerika Syarikat yang turut membuat liputan program terbaru itu yang bakal disiarkan menjelang akhir tahun ini, dibawa menikmati jamuan makan malam di sebuah restoran Itali.


Keesokannya, tugasan bermula apabila kami dibawa ke set penggambaran One Car Too Far di utara Copiapo, iaitu gurun paling kering di dunia, jam 9 pagi waktu tempatan dengan menaiki bas.

Sepanjang perjalanan lebih sejam ke lokasi, penulis sempat merakam gambar di kiri kanan jalan yang dihiasi banjaran gunung dan 'lautan' padang pasir yang luas dan kaya pelbagai sumber galian berharga.

Tidak hairan penduduk Chile menjalankan perlombongan pelbagai logam, termasuk tembaga yang menjadi eksport utamanya dan di dunia.

Penulis tidak berkesempatan melawat tempat menarik di bandar Copiapo kerana tugas dan sebaik selesai penggambaran dan sesi penerangan ringkas oleh kru penerbitan, kami makan tengah hari di sebuah restoran sebelum pulang ke hotel dan berlepas ke Santiago pada jam 2 petang.

Di Santiago, banyak perkara menarik boleh dilakukan dan penulis menikmati keindahan panorama bandar raya berpenduduk lebih enam juta orang ini, di samping mengenal sejarah bangsa, budaya dan cara hidup mereka yang menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi.

Pesat membangun di segenap pelosok bandar, keprihatinan kerajaan Chile memulihara tinggalan sejarah seperti bangunan kolonial menambah nilai tempat pelancongan dan penulis menggunakan perkhidmatan bas dua tingkat Santiago Turistik 'open top hop on/hop off yang beroperasi dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang.

Dengan tiket berharga peso Chile 19,000 atau kira-kira RM120, bas ini membawa pelancong mengelilingi bandar raya Santiago dalam masa dua jam melalui 13 hentian dan penumpang boleh menaiki bas ini di mana-mana hentian sehingga jam 6 petang.

Pelancong boleh memilih untuk turun di setiap hentian dan melawat tempat menarik atau duduk di dalam bas dan merakam pemandangan di sepanjang perjalanan sambil pemandu pelancong memberikan penerangan ringkas lokasi dilalui dalam dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol.

Penulis menaiki bas ini dari tempat penginapan di Hotel W Santiago menuju ke hentian ke 12, Barrio Bellavista iaitu satu daripada pusat kebudayaan Santiago.

Di sini, penulis menaiki kereta api kabel bagi melihat panorama indah bandar Santiago dan merakam gambar dari puncak Bukit San Cristobal setinggi 860 meter dari aras laut yang juga sebahagian daripada taman metropolitan berkeluasan 722 hektar. Di taman ini juga ada zoo dan Muzium Pablo Neruda.

Lokasi ini juga menjadi tumpuan penunggang basikal selain pelancong boleh membeli cenderahati atau melepak sambil menikmati minuman di gerai disediakan.

Puas melawat, penulis menaiki kereta api kabel yang tidak secanggih kereta api kabel di Bukit Bendera Pulau Pinang untuk menuruni bukit dan bersiar-siar di kawasan berhampiran serta menyaksikan kreativiti penduduk Chile menghiasi dinding bangunan dengan lukisan grafiti unik.

Penulis kemudian singgah ke deretan gerai menjual pelbagai cenderahati dan hasil kraftangan tempatan.

Di sini pelancong boleh membeli pelbagai barangan daripada baju T, barangan kulit, kasut, baju, lukisan cat minyak dan magnet peti sejuk pada harga murah.

Dari situ, penulis menaiki bas balik ke hotel untuk acara makan malam dan membuat sedikit ulang kaji bagi sesi temubual keesokannya bersama Timbalan Presiden Pembangunan Rangkaian Antarangsa Discovery merangkap Penerbit Eksekutif rancangan One Car Too Far, Sarah T Davies dan dua pengacara iaitu Bill Wu dan Garry Humprey.

Sebelum pulang ke tanah air, penulis merayau sekitar Peru Square di Jalan Isidora Goyanechea dan melihat kemeriahan pasar antik yang menjual pelbagai barangan tulen dan berjenama, antaranya jam tangan, cermin mata, pemetik api, peralatan golf, barangan kaca dan kulit mahupun buku dan majalah dan khusus dibuka setiap Ahad.

Jika bernasib baik, pelancong berpeluang melihat aksi pemuzik jalanan warga emas menghiburkan pengunjung secara 'percuma' tetapi mengharapkan 'tip'.

Penulis kemudian menuju ke kawasan El Golf atau digelar sebagai Sanhattan iaitu campuran nama Manhattan dan Santiago yang pesat membangun sebagai pusat kewangan dan perhotelan baru di Santiago dan melihat kecanggihan seni bina moden bangunan ibu pejabat syarikat antarabangsa.

Di sepanjang jalan antara Isidora Goyenechea ke El Golf, banyak lukisan arca abstrak menghiasi kiri dan kanan jalan, sekali gus menambah keindahan lanskap bandar raya, selain deretan kedai dan kafe.

Selain berpeluang melihat negara orang, antara pengalaman tidak dilupakan ialah merasai gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang menggegarkan Chile pada jam 6.37 pagi (waktu tempatan).

Ilham 'kuasa ghaib'

Posted: 22 Apr 2012 12:37 AM PDT

BESAR DAN LUAS... pemandangan di dalam.
BESAR DAN LUAS... pemandangan di dalam.
UNIK... Burgess hanya membelanjakan RM36,000 untuk menyiapkan rumah ini.
UNIK... Burgess hanya membelanjakan RM36,000 untuk menyiapkan rumah ini.

RUMAH di atas pokok paling tinggi di dunia yang terletak di Crossville, Tennessee, Amerika Syarikat, pasti menjadikan rumah keluarga Robinson kelihatan sangat kecil.

Ia begitu besar kerana pemiliknya mendakwa dia membinanya selepas diarah oleh kuasa ghaib.


Filem Disney yang diterbitkan pada 1960 mengenai keluarga yang terdampar di sebuah pulau selepas kapal mereka musnah di laut, menggambarkan rumah di atas pokok yang sungguh menarik, siap dengan kincir anginnya tersendiri.

Namun rumah keluarga Robinson itu akan kelihatan kecil jika dibandingkan dengan struktur ini.


Pemiliknya, Horace Burgess, berkata dia mengambil masa 11 tahun untuk menyiapkan ran gergasi ini.


Menurut Burgess, yang menghuni rumah kayu 10 tingkat itu, dia mula membinanya pada 1933 selepas mendapat ilham daripada satu kuasa ghaib yang memberitahunya, dia tidak akan keputusan bahan jika membina rumah itu.

Ran gergasi itu mempunyai keluasan 3,500 meter persegi tetapi dia hanya membelanjakan AS$12,000 (RM36,000) kerana sikap jimat cermatnya yang menggunakan bahan kitar semula.


Di dalamnya ada tangga berpusing, tempat perlindungan, pentas koir, gelanggang bola keranjang, bilik yang tidak terkira banyaknya, laluan dan balkoni.

Gambar ini dirakam oleh jurufoto, Tom Whetton baru-baru ini.


Katanya: "Rumah di atas pokok ini sungguh menakjubkan. Anda tidak akan dapat menghargai kebesaran rumah itu kecuali anda berdiri di sebelahnya. Ia sungguh besar.


"Saya diberitahu, keseluruhan rumah itu hanya disokong oleh enam pokok dan Burgess menggunakan 258,000 paku saja untuk membinanya.


"Ia pasti menjadi impian setiap kanak-kanak. Malah, orang tua seperti saya juga seronok untuk masuk ke dalamnya."

Gabung 4 jenis sukan

Posted: 22 Apr 2012 12:35 AM PDT

BAGUS...Nurul Diyana berharap lebih ramai penuntut IPTA menyertai racketlon.
BAGUS...Nurul Diyana berharap lebih ramai penuntut IPTA menyertai racketlon.

MENCABAR dan luar biasa. Ini boleh dirumuskan mengenai sukan racketlon yang menuntut tahap kecergasan mental dan fizikal ke tahap tertinggi buat pemainnya.

Nama racketlon mungkin asing kerana ia baru beberapa tahun diperkenalkan di Malaysia dan ramai peminat sukan belum memahami aspek permainan berasal dari England ini.

  • Foto

    CABARAN...Lam Kian Yip diamanahkan sebagai timbalan ketua pengarah projek kejohanan racketlon anjuran kelab skuasy UKM, baru-baru ini.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    SENARAIKAN...Mohd Saiful yakin racketlon akan mendapat sambutan jika diberi pendedahan sewajarnya.

Permainan ini menggabungkan empat jenis sukan berteraskan raket iaitu badminton, ping-pong, tenis dan skuasy, dan pemain perlu beraksi dalam semua acara secara berterusan.

Pusingan pertama sukan ini dijalankan mengikut sistem kalah mati iaitu pemain berdepan lawan sama tanpa henti dalam semua acara berkenaan.


Cara dan peraturan empat sukan terbabit tidak berubah, tetapi pemarkahan mata diberikan kepada pemain berdasarkan keputusan perlawanan mereka dalam semua acara.


"Apapun pemain yang kalah tetap mendapat mata berdasarkan keputusan perlawanan mereka. Ini sekali gus menghidupkan kembali peluang mereka menebus kekalahan dalam aksi pertama dengan memenangi acara seterusnya.

"Pemenang ditentukan menerusi kutipan mata tertinggi yang diperoleh dalam semua empat acara sebelum mara ke pusingan seterusnya," kata Lam Kian Yip, 22.

Menurut pelajar jurusan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi ini, permainan ini mungkin nampak mudah secara sistematik tetapi hakikatnya ia menuntut kecergasan mental dan fizikal di tahap tertinggi untuk menyertainya.

Katanya, cabaran sukan ini sama seperti acara triatlon yang memerlukan peserta menamatkan setiap acara untuk mara ke peringkat berikutnya.

"Mereka yang tiada pengalaman dan mahu mencuba sukan ini dinasihatkan tidak terus melakukannya. Perkara terpenting perlu dilakukan ialah meningkatkan kecergasan fizikal dan mental sekali ganda.

"Beberapa rakan menjadi 'mangsa' sukan ini akibat melakukan persediaan sambil lewa dan tidak serius apabila pengsan serta pitam ketika baru beraksi dalam acara kedua," katanya.

Justeru, dia menasihatkan orang ramai tidak memandang mudah permainan ini kerana seseorang pemain itu dianggap hebat jika berjaya melengkapkan semua acara, biarpun tewas.

Menyedari racketlon masih baru dalam arena sukan negara ini, Kian Yip berharap pihak bertanggungjawab membuat pendedahan lebih meluas mengenainya.

Katanya, pembabitan UKM dalam memperkenalkan sukan ini di peringkat kebangsaan diharap membuka mata semua pihak, terutama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain untuk turut sama berganding bahu.

"Penganjuran Kejohanan Racketlon UKM 2012 baru-baru ini julung kali diadakan oleh mana-mana IPTA tempatan. Biarpun pernah dianjurkan oleh beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kami berharap UKM menjadi perintis buat IPTA.

"Sukan ini paling sesuai disertai penuntut universiti seperti saya kerana ia mempunyai banyak manfaat bukan saja daripada aspek fizikal, malah membantu pembelajaran," katanya yang mula aktif dalam sukan racketlon dua tahun lalu.

Pendapat itu dipersetujui Nurul Diyana Shariff, 25, seorang daripada 20 rakan sekuliah Kian Yip yang aktif mengembangkan sukan ini di UKM.

Kata pelajar jurusan sains nuklear ini, umum mengetahui kecerdasan mental bermula daripada kecergasan diri dan racketlon membantu membawa kedua-dua aspek itu ke tahap baru.

"Saya akui racketlon sukan paling mencabar pernah saya sertai kerana bukan saja memerlukan stamina tinggi, malah ketahanan mental turut diuji.

"Bayangkan tahap kepenatan dialami setiap pemain untuk mara ke pusingan seterusnya apabila terpaksa bermain tanpa henti ada ketikanya dalam masa sehari, bergantung kepada jumlah peserta satu-satu pertandingan itu," katanya.

Sementara itu, juara perseorangan dan beregu wanita Kejohanan Racketlon UKM 2012, Jisha Liang Chay Yi, 21, berkata, dia melakukan persediaan selama lima bulan untuk menyertai kejohanan itu.

Katanya, fokus latihan sepanjang empat bulan pertama tertumpu kepada usaha meningkatkan kemahiran dan teknik permainan setiap acara diikuti persediaan mental pada bulan terakhir.

"Kekuatan mental membantu saya menewaskan Nurul Diyana pada perlawanan akhir kerana tenaga saya sudah habis ketika itu.

"Mental kuat membolehkan saya bertenang dan menilai situasi permainan serta lawan sebelum mengubah corak permainan lebih kepada taktikal berbanding fizikal untuk menang," katanya.

Penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Airee Afiq Abd Rahim, 23, pula berkata, selain menguji ketahanan rohani dan jasmani, racketlon membina interaksi sosial bagus, terutama di kalangan penuntut universiti.

"Apabila seseorang itu bermain racketlon, dia secara tidak langsung akan berkenalan dengan pemain daripada cabang sukan lain. Saya sebagai contoh, sebelum ini hanya aktif dalam badminton dan skuasy tetapi apabila menyertai racketlon, saya mendapat rakan baru di kalangan pemain ping-pong dan tenis.

"Justeru, saya berharap IPTA lain akan mengikuti jejak UKM dengan menganjurkan kejohanan sukan ini pada masa depan kerana melaluinya juga dapat memupuk hubungan silaturahim sesama penuntut berlainan universiti," katanya.

Harapan sama turut diluahkan Mohd Saiful Mohamed yang berpendapat sukan ini mampu diketengahkan lebih jauh jika diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, langkah pertama ke arah itu ialah menyenaraikan sukan ini dalam kalendar acara sukan tahunan sukan universiti atau lebih baik lagi, di peringkat kebangsaan.



PROFIL 1:

NAMA: Lam Kian Yip
UMUR: 22 tahun
ASAL: Selangor
JURUSAN: Undang-undang
PENGALAMAN BERSUKAN: Tujuh tahun

PENCAPAIAN: Juara Kejohanan Skuasy Anjuran Sportshorizon 2010 dan juara Skuasy SUKEM UKM 2012


PROFIL 2:

NAMA: Nurul Diyana
Shariff
UMUR: 25 tahun
ASAL: Selangor
JURUSAN: Sains nuklear
PENGALAMAN BERSUKAN: Sejak sekolah rendah

PENCAPAIAN: Juara Berkumpulan Skuasy Karnival Kokurikulum Matrikulasi 2006


PROFIL 3:

NAMA: Mohd Saiful Mohamed
UMUR: 24 tahun
ASAL: Johor
JURUSAN: Mekanikal Pembuatan
PENGALAMAN BERSUKAN: Tiga tahun

PENCAPAIAN: Juara Skuasy Hari Terbuka UKM dan naib juara Skuasy Berkumpulan SUKEM 2012


PROFIL 4:

NAMA: Jisha Liang Chay Yi
UMUR: 21 tahun
ASAL: Sabah
JURUSAN: Ekonomi
PENGALAMAN BERSUKAN: Sejak sekolah rendah

PENCAPAIAN: Juara Skuasy Sukan Wanita Kebangsaan 2005, Juara Skuasy Berpasukan Wanita MSSM Bawah 15 Tahun 2006, juara Skuasy Berpasukan Wanita MSSM Bawah 18 Tahun 2007, juara perseorangan dan beregu wanita Kejohanan Racketlon UKM 2012.

Untung besar walau diperlekeh

Posted: 22 Apr 2012 12:31 AM PDT

PELBAGAI PILIHAN...antara aksesori telefon bimbit yang dijual di premis perniagaan Bob di Uptown Cheras, Kuala Lumpur.
PELBAGAI PILIHAN...antara aksesori telefon bimbit yang dijual di premis perniagaan Bob di Uptown Cheras, Kuala Lumpur.

"BELI satu percuma satu, murah... murah!" Dialog ini sering kedengaran di pasar malam moden, sama ada dipanggil uptown atau downtown yang makin popular di seluruh negara.

Mungkin pekikan peniaga terbabit keras, namun itulah tarikan utamanya selain kepelbagaian barangan dijual.

Murah dan banyak pilihan menjadi faktor masyarakat memilih uptown sebagai destinasi beli-belah. Sebut apa saja peralatan elektronik, beg, pakaian, perhiasan diri, kasut dan jersi, malah produk kesihatan moden dan tradisional boleh diperoleh di kebanyakan uptown.

Ada yang memanggilnya bazar larut malam, pasar minggu dan gerbang malam, namun konsep perniagaan tetap sama iaitu menjual pelbagai barang dengan harga murah dan banyak pilihan.


Meskipun nampak 'lekeh' kepada sesetengah orang, siapa sangka perniagaan itu mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada peniaga, malah ada yang mampu meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan!


Meskipun hanya dibuka antara lima hingga enam jam sehari, uptown tetap mempunyai pengunjung tersendiri yang sanggup bersengkang mata untuk membeli barangan dihajati.

Peniaga aksesori telefon, Mustaffa Kamal, 28, atau lebih dikenali dengan panggilan Bob di kalangan keluarga dan rakan berkata, berniaga di uptown mampu memberi pulangan lumayan, namun ia bergantung kepada keadaan.

"Saya mula berniaga lima tahun lalu. Awalnya, ia hanya perniagaan diwarisi keluarga di pasar malam.

"Namun sejak wujudnya perniagaan ini, kami sepakat untuk bertukar angin dengan memilih uptown.

"Mungkin ia nampak macam 'cikai' kerana harga barangan dijual bermula RM5 saja.

"Namun sebenarnya ia menjadi lubuk rezeki kepada peniaga sama ada yang menjalankan perniagaan separuh atau sepenuh masa," katanya yang berniaga di Uptown Cheras, Kuala Lumpur.

Bob mengakui saingan sengit di kalangan peniaga uptown kerana kira-kira 20 gerai menjual produk sama.

Bagi mengatasinya, dia sentiasa perlu mempunyai strategi bagi menarik pelanggan.

"Walaupun saingan sengit, saya bersyukur kerana masih ada pelanggan tetap yang datang setiap bulan untuk membeli aksesori telefon kegemaran mereka.

"Mungkin ia disebabkan kualiti, layanan dan harga yang saya tawarkan lebih murah berbanding yang lain," katanya.

Mengakui perniagaan itu boleh membawa keuntungan besar, namun ia bergantung kepada keadaan dan musim. Jika musim perayaan dan cuti sekolah, peniaga bakal mendapat 'durian runtuh' kerana ramai pengunjung, manakala pada hari biasa pendapatannya hanya cukup makan.

"Biasalah adat berniaga memang ada turun naik, tapi yang penting masih ada keuntungan.

"Pendapatan memang tidak menentu. Pernah saya hanya membawa pulang sekitar RM4,000 sebulan.

"Namun apabila jualan memberangsangkan, ia pernah menjangkau hingga RM35,000 sebulan.

"Sebelum bergelar peniaga lagi, saya mempersiapkan fizikal dan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Gerbang Gah

Posted: 22 Apr 2012 12:27 AM PDT

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    Pintu gerbang Kelantan.

  • Foto

Binaan simbol kekuatan, kemasyhuran tamadun

PINTU gerbang adalah satu struktur yang menjangkau ruang dan menyokong beban. Dikatakan kemunculannya seawal abad kedua sebelum masihi pada zaman Mesopotamia dengan binaan pertama dikenali sebagai Gerbang Kemenangan (Triumphal Arc). Ia dibina sebagai penghormatan di atas kejayaan tentera yang memenangi peperangan.
Di negara ini, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar binaan ini mula muncul tetapi dipercayai mula diperkenalkan sejak zaman kerajaan Gangga Negara di Beruas, Perak berdasarkan petikan dalam Sulalatus Sulatin.
Pintu gerbang membuktikan kreativiti dan inovasi masyarakat Melayu walaupun tiada kelengkapan mahu pun jentera moden bagi memudahkan kerja mengukir dan membina gerbang berkenaan. - Ibrahim Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara.
Berdasarkan kajian, gerbang adalah elemen seni bina tidak asing dalam kehidupan masyarakat Melayu terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sehingga hari ini pintu gerbang masih menjadi binaan yang biasa ditemui di seluruh pelusuk negara termasuk di kawasan komersial, pentadbiran kerajaan, kediaman mahu pun kelab rekreasi serta taman awam.

"Fungsi dan falsafah pembinaan pintu gerbang bukan sekadar menjadi pintu masuk ke kediaman. Ia lebih daripada itu yang berkait rapat dengan budaya dan kemunculan ketamadunan satu-satu bangsa di sebuah negara," kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail.

Malah, Ibrahim berkata, pintu gerbang melambangkan kekuatan, kemegahan dan kemasyhuran sesebuah tamadun itu. Pembinaannya selalunya dikaitkan dengan penguasaan ke atas sesuatu kawasan atau wilayah selain mercu tanda kemenangan dan kekuatan sesebuah kerajaan.
"Contoh pintu gerbang menandakan kemenangan adalah pembinaan Gerbang Kemenangan (Arch de Triomphe) dibina pada tahun 1806 di Kota Paris pada zaman Napoléon Bonaparte bagi memberi penghormatan ke atas kejayaan tentera mempertahankan Perancis dari pihak musuh," katanya.

Di sebalik pintu gerbang itu biasanya dibina sebuah kota sama ada sebagai kawasan pentadbiran atau kediaman rakyat.

Pintu gerbang juga mercu tanda sesebuah kerajaan atau sempadan negara, negeri atau pun wilayah selain berfungsi sebagai pintu masuk ke sesuatu kawasan di bawah kekuasaan seseorang pemimpin, kerajaan atau pemerintah.

"Pintu gerbang A Famosa di Melaka adalah tanda kekuasaan Portugis ke atas Melaka," kata Ibrahim.

Dalam maksud tersirat yang lain, menurut Ibrahim, pintu gerbang juga adalah mercu tanda atau perlambangan kuasa dan kekuatan.

"Dari segi psikologinya, dengan adanya pintu gerbang yang gah, besar pastinya ia menggerunkan musuh yang berhajat untuk menyerang kota. Dalam erti kata lain pintu gerbang seakan berfungsi sebagai pengawal pintu atau penjaga kota mahupun istana," katanya.

Dari segi budaya, Ibrahim berkata, pintu gerbang adalah penyambut tetamu atau simbolik mengalu-alukan kedatangan tetamu serta cerminan budaya atau identiti masyarakat.

Selain itu, pintu gerbang juga menjadi mercu tanda kawasan, wilayah atau daerah dan penanda sempadan antara negara mahu pun negeri.

"Kota Darul Ehsan adalah contoh pintu gerbang pemisah sempadan. Pintu gerbang itu dibina sebagai tanda sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor hasil cetusan idea Sultan Selangor ketika itu," katanya.

Pameran Pintu Gerbang anjuran Muzium Negara bermula 17 Mac hingga 17 Mei ini menampilkan 13 koleksi pintu gerbang. Semuanya menampilkan ukiran kayu di mana 10 koleksi berasal daripada pantai timur menampilkan seni ukiran Melayu manakala tiga koleksi Cina dan satu lagi dibawa dari Indonesia.

Menurut Ibrahim, pintu gerbang koleksi tempatan mahu pun nusantara yang dipamerkan mempunyai keunikan dan kekuatan masing-masing serta falsafah tersendiri di sebalik pembinaannya.

Pintu gerbang juga melambangkan status pemilik kediaman. Selain istana, hanya orang besar istana atau golongan bangsawan membina pintu gerbang untuk kediaman mereka.. Masyarakat biasa atau golongan rakyat zaman dulu di alam Melayu biasanya tidak membina pintu gerbang untuk kediaman mereka.

Ia juga menjadi sempadan sosial antara pembesar dengan rakyat biasa. Pintu gerbang dianggap elemen penting, ia dibuka dan ditutup mengikut kesesuaian kerana istana adalah tempat urus tadbir negeri, kediaman raja serta menyimpan pelbagai rahsia kerajaan.

Pintu gerbang kerajaan hanya akan dibuka kepada rakyat untuk memberi peluang menyaksikan upacara besar di istana, termasuk majlis pertabalan dan perkahwinan diraja.

"Namun, bagi saya, pintu gerbang membuktikan kreativiti dan inovasi masyarakat Melayu pada zaman yang tidak mempunyai kelengkapan mahu pun jentera moden bagi memudahkan kerja mengukir dan membina gerbang berkenaan. Pengaruh budaya dan agama juga begitu jelas dalam seni bina serta ukiran yang ditampilkan.

"Paling penting pengaruh yang saya sebut tadi mempunyai maksud tersirat dari segi reka bentuk, ukiran dan motif yang ditampilkan," katanya.

Malah dipercayai ukiran ayat Al-Quran pada kepala pintu gerbang walaupun sekadar tulisan 'Bismillah' mempunyai makna yang besar kepada pemilik kediaman mahupun istana.

"Ia mungkin sekadar kata pembuka, namun saya percaya ia lebih daripada itu. Begitu juga ayat-ayat suci yang lain seperti ayat Kursi, ayat Seribu Dinar mahu pun doa-doa lain pada ukiran yang ada," katanya.

Dikatakan ada juga ayat pelindung atau karektor mahupun huruf yang diletakkan pada pintu gerbang sebagai alat pelindung kediaman. Malah, ada yang menyatakan ubat pengasih turut diletakkan di bendul pintu gerbang sebagai aspek keselamatan dari segi spiritual.

Perlambangan tubuh manusia

MENURUT Adiguru Ukiran, Norhaiza Nordin, pintu gerbang adalah satu metafora kepada anatomi tubuh manusia dari kepala, badan hingga ke kaki.

Justeru, binaan sebuah pintu gerbang dilihat seperti seorang manusia berdiri tegak seolah-olah pelindung atau pengawal di bahagian hadapan kediaman mahu pun istana.

Di alam nusantara pintu gerbang memberi makna dan fungsi tertentu pada tempat ia didirikan. Bagi istana Melayu, pintu gerbang adalah laluan masuk kepada ruang halaman istana serta menjadi pintu keselamatan.

Kekuatan sesebuah pintu gerbang dilihat dari segi bahan binaannya. Manakala keindahannya terletak kepada ukiran dan motif yang digunakan.

Antara motif yang ditonjolkan mempunyai kaitan dengan pengaruh budaya dan agama. Justeru, di alam nusantara kebanyakannya menggunakan motif alam, tulisan khat dan geometri.

Namun, masih ada motif yang menampilkan simbol yang masih ada pertalian dengan pengaruh zaman pra-Islam seperti motif gunungan, Kala, buah baton atau stupa.

Motif Kala adalah dari sejenis makhluk yang derhaka, yang diperintahkan oleh Dewa Siva untuk memakan dirinya sebagai hukuman. Persis wajah Kala iaitu kepala terpenggal, mata terjojol, hidung seperti singa dan mulut yang ternganga diberi nafas baru dengan kini diukir sebagai sekuntum bunga yang sedang mekar.

Motif stupa terhasil daripada bayangan puncak gunung dan dipercayai daripada lembaga manusia yang duduk bersila sambil bertafakur dalam seni ukir Melayu. Biasanya, ia diukir seperti buah buton dan didapati dalam kedudukan menegak pada pintu gerbang.

Motif gunungan dalam seni ukiran asalnya melambangkan kediaman dewa-dewi di pusat kosmos mengikut kepercayaan agama Buddha. Namun, dengan kedatangan pengaruh Islam motif itu dikenali sebagai Gunung Meru dan biasanya berbentuk seperti piramid, melebar di dasar dan merancung di puncak. Diinterpretasi sebagai lambang kuasa dan kesatuan yang turut melambangkan status pemilik kediaman.

Motif teratai pula adalah lambang suci dan penciptaan dan sering digunakan sebagai ragam hias pada dasar, kaki atau pinggir objek termasuk kaki pintu gerbang. Ia kemudian berkembang sebagai corak pucuk rebung dalam seni ukir Melayu Islam.

Motif Kala dihasilkan secara tidak langsung melalui motif tumbuhan. Manakala motif gunungan sering digunakan untuk hiasan atas pintu dan diserikan dengan bahagian tepi bentuk buah baton atau stupa. Motif tumbuhan yang biasa digunakan adalah bunga teratai, pucuk rebung, sesayap, sulur kacang dan bayam peraksi.

Antara koleksi berjaya menarik perhatian adalah pintu Gerbang Kelantan yang mempunyai bentuk gunungan yang bercorak getam guri manakala bahagian kepala pintunya berbentuk 'stokono' atau 'geligis'. Berasal daripada Pasir Mas Kelantan pintu gerbang ini dihasilkan daripada kayu cengal dan menjadi pintu masuk kediaman golongan bangsawan di sana.

Gerbang Keraton Jawa yang diperbuat daripada kayu jati dan berasal daripada istana (kraton) di Pulau Jawa, hasil tangan Melayu Sambas. Gerbang berusia lebih 100 tahun ini memiliki unsur seni ukiran Jawa dan Melayu dihiasi sepenuhnya potongan ayat suci al-Quran, termasuk Ayat Seribu Dinar serta surah al-Ikhlas dalam tulisan khat Thuluth berwarna emas.

Gerbang Cina yang dikenali sebagai 'bed arch' berasal dari Hopei, China milik orang persendirian antara koleksi wajib dilihat. Berusia 200 tahun, gerbang ini diukir secara halus dan berseni menggambarkan kehidupan alam dunia dan kayangan seperti singa, pokok, burung dan tokong.

Info:
Nama: Pintu Gerbang Kota Kuala Kedah
Kategori: Koleksi Etnologi,
Lokasi: Perkarangan Muzium Negara,

Pintu gerbang ini mengambil bentuk Pintu Malim iaitu salah sebuah pintu gerbang Kota Kuala Kedah yang terletak di muara Sungai Kedah. Kota Kuala Kedah adalah satu-satunya Kota Melayu yang diperbuat daripada batu-bata yang masih kekal dan boleh dilihat hingga hari ini.

Kota ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah ketika baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 1760. Kota ini dibina bagi mempertahankan Kedah dari serangan tentera Siam pada masa itu.

Pelan kota ini disediakan Datuk Maharaja Kadhir dengan dibantu oleh anak saudaranya, Maulana Ibrahim Sahab dari India dengan membawa bersamanya tukang batu dari sana. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 1771 dan siap sembilan tahun kemudian. Kota ini meliputi kawasan seluas dua ekar.

Pada bahagian menghala ke laut dan sungai, dua tembok dibina dan di antaranya, diisikan dengan tanah. Manakala bahagian belakang didirikan tembok selapis saja, Meriam besar buatan British dibeli dan dipasang pada kota yang menghala ke laut dan dua di antaranya mempunyai nama khas iaitu 'Badak Berendam' dan 'Katak Puru'.

Apabila Negeri Kedah menerima Penasihat Inggeris, kota ini digunakan sebagai pusat pentadbiran. Untuk kemudahan mereka, sebuah pintu baru dibina di mana ia lebih besar dari Pintu Malim dan dikenali sebagai Pintu Inggeris. Replika ini dibina sebagai lambang kekuasaan dan kekuatan Kesultanan Melayu lampau.

Nama: Pintu Gerbang
Kategori: Koleksi Arkeologi,
Lokasi: Perkarangan Muzium Negara,

Pintu gerbang yang diperbuat daripada kayu cengal ini adalah hasil rekaan pengukir Diraja Nik Abdullah dari Kampung Atas Banggol, Kelantan. Ia siap dibina pada tahun 1934 bersamaan dengan 1353 H.

Pada asalnya pintu gerbang ini menghiasi rumah Tuan Haji Wan Hassan Wan Haji Ahmad, Mufti Negeri Perak ketika pemerintahan Sultan Idris. Ia kemudian dihadiahkan kepada Muzium Negara oleh Tuan Haji Wan Yusof Haji Wan Hassan pada 1978.

Pasangan 'punk' dihukum rotan

Posted: 22 Apr 2012 12:25 AM PDT

WANITA 'punk' lengkap berpakaian serba putih menjalani hukuman sebat di Langsa.
WANITA 'punk' lengkap berpakaian serba putih menjalani hukuman sebat di Langsa.
Pesalah antara 10 disebat kerana berjudi, peri laku tidak bermoral

LANGSA: Sepasang pengikut punk disebat sembilan kali di khalayak ramai di Aceh, satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam selepas ditangkap atas kesalahan melakukan hubungan seks luar nikah.
Pegawai pejabat pendakwa, Putra Masduri, berkata selain pasangan itu, sembilan lagi yang disabitkan bersalah kerana berjudi dan peri laku tidak bermoral, disebat empat hingga 12 kali.
Mereka pengikut punk. Mereka ditangkap oleh penduduk ketika melakukan hubungan seks luar nikah dan ditahan polis Syariah. - Putra Masduri, Pegawai pejabat pendakwa
Masduri berkata, pasangan 'punk' berkenaan ditemui dalam keadaan bogel oleh penduduk tempatan.

"Mereka pengikut punk. Mereka ditangkap oleh penduduk ketika melakukan hubungan seks luar nikah dan ditahan polis Syariah," katanya merujuk kepada pasangan berkenaan yang berusia 21 dan 23 tahun.

Masduri berkata, pasangan itu kerap dilihat berlegar-legar di jalan raya dengan berpakaian punk. Ketika hukuman dijalankan, kedua-duanya berpakaian serba putih.

Meskipun ditahan atas dakwaan melakukan hubungan seks luar nikah, hukuman ke atas mereka dilaksanakan ketika pihak berkuasa melancarkan usaha membanteras budaya punk di wilayah autonomi itu.
Antara langkah diambil ialah serbuan polis terhadap kafe dan taman untuk menahan remaja pengikut budaya 'punk' yang digelar sebagai penyakit sosial.

Disember lalu, lebih 60 pemuda yang mengikut budaya punk ditahan di sebuah konsert dan dipaksa mengikuti kem pemulihan moral selama 10 hari yang dikendalikan polis.

Rambut mereka dipotong atau dicukur, dan dipaksa mandi dalam tasik, memakai pakaian konservatif dan bersolat, yang mengundang kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan pengikut budaya itu di seluruh dunia.

Aceh, yang terletak di Sumatera, menjadi satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Syariah pada tahun 2001 sebagai sebahagian pakej autonomi bertujuan mengawal sentimen pemisah.

Cuma penduduk Islam didakwa mengikut undang-undang Syariah walaupun komuniti bukan Islam dijangka mematuhi beberapa peraturan atas dasar hormat.

Hampir 90 peratus daripada 240 juta rakyat Indonesia beragama Islam dan majoritinya berpendirian sederhana.

Aroma di Det Station

Posted: 22 Apr 2012 12:23 AM PDT

dET Station memberi tumpuan menu nasi lemak, burger dan charkuetiau.

AROMA menyelerakan nasi lemak di Det Station menusuk hidung saat penulis melangkah masuk ke premisnya yang terletak di Avenue Ampang.

Tidak sia-sia memesan sepinggan nasi lemak ayam goreng berempah kerana nasi, sambal dan ayamnya mempunyai rasa tersendiri yang pasti akan membuatkan pelanggan tidak sabar untuk berkunjung ke sana sekali lagi.

Rasa sambalnya yang pedas diseimbangkan dengan manis gula dan ayam goreng berempahnya pula tidak berminyak tetapi sungguh rangup dengan salutan adunan biji ketumbar, jintan manis serta jintan putih.

Pemilik kedai ternyata tidak lokek dengan nasinya yang bukan semata-mata gabungan nasi, santan, halia dan daun pandan, tetapi turut ditambah dengan marjerin, bunga lawang dan kayu manis bagi membangkitkan aroma serta menambahkan rasa berempah.

Peluang hidup kedua

Posted: 22 Apr 2012 12:22 AM PDT

Esmail Mengan bersama isteri, Salmiah Mohamad ketika ditemui di kediaman mereka di Yayasan Al-Jendrami, Kampung Jenderam, Dengkil.

MULUTNYA herot dan patah kata yang terbit dari bibirnya hanyalah desisan angin. Namun, semangatnya begitu kental. Jauh di dasar sanubarinya yakin 'sebelah nyawanya' yang hilang akan dikembalikan.

"Masa depan seolah-olah gelap gelita apabila disahkan strok oleh doktor, tiada ruang lagi untuk saya meneruskan kehidupan," luah Esmail Mengan, 65.

Menceritakan saat-saat dirinya diserang strok , katanya, segala-galanya berpunca daripada penyakit darah tinggi serta pemakanan yang tidak seimbang.

"Pada awalnya, tangan saya menjadi kebas. Tiba-tiba, bahagian tubuh kanan pula tidak boleh digerakkan, malah rasa sekeliling saya seperti berpusing dan separuh badan keras. Bayangkan masa itu saya sedang berjalan bersama isteri. Tiba-tiba saya jatuh pengsan," ceritanya.

Rosmizah menulis ketika pagi buta

Posted: 22 Apr 2012 12:21 AM PDT

MENITI jadual seharian penulis novel Tujuh Hari Mencintaiku, berjaga untuk meluahkan karyanya sewaktu ramai sedang diulit mimpi mungkin membuatkan orang lain mengeluh namun ia perkara biasa baginya.

Ketika hening pagi hari itulah idea mencurah-curah keluar dari mindanya membuatkan dia berjaga pada pukul 2 pagi dan ralit menulis hingga ke subuh.

Itulah permulaan jadual hariannya ketika dalam misi menyelesaikan setiap novelnya sehingga sanggup tidur satu atau dua jam sahaja kerana perlu bangun menguruskan keluarga serta ke pejabat di siang hari.

"Mungkin cara penulisan saya sedikit berbeza dengan penulis lain yang sanggup mengambil masa setahun atau lebih untuk menyiapkan sebuah novel kerana saya akan tetapkan tarikh akhir menyiapkannya.

Botero buat lukisan bercakap

Posted: 22 Apr 2012 12:20 AM PDT

Artis Colombia, Fernando Botero tidak boleh berpisah daripada berus lukisannya.

Fernando Botero menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-80 minggu ini, namun pelukis dan pemahat arca terkenal yang mencipta nama di kota seni, Paris itu mengandaikan bersara daripada memegang berus lukisan lebih menakutkannya berbanding kematian.

Bagi lelaki berasal dari Colombia itu, lebih 3,000 lukisan dan 300 arca yang pernah dihasilkannya masih belum mencukupi.

"Saya selalu berfikir mengenai kematian dan rasa sedih untuk meninggalkan dunia ini kerana tidak boleh melukis lagi. Saya terlalu cintakan bidang ini," katanya dalam wawancara eksklusif dengan AFP di kediamannya di Rionegro, Colombia.

Menariknya, kawasan itu bukan saja tempat kelahirannya bahkan menjadi saksi kejayaannya menjual lukisan pertama ketika berusia 15 tahun.

Teringin 'masuk' ke dalam poskad

Posted: 22 Apr 2012 12:18 AM PDT

POSKAD yang disimpan Azwa mencecah hampir 1,000 keping.

SETIAP kali membelek koleksi poskad yang disimpannya sejak 19 tahun yang lalu, fikiran Nur Azwa Ismail pasti melayang jauh.

Terus Azwa memasang angan-angan yang suatu hari nanti dia pula akan berada di dalam gambar pemandangan destinasi yang tertera pada poskad simpanannya itu.

Bukan sekadar menyimpan rapi koleksi poskadnya di dalam kotak, Azwa dilihat amat mengenali dan memahami setiap poskad tempat pelancongan simpanannya seolah-olah dia telah melancong ke serata dunia setara dengan lokasi tempat asal poskadnya itu.

Dari London, Korea, Paris hingga ke Beijing, koleksinya terkumpul sehingga berjumlah hampir 1,000 keping.

"Saya berasa puas bila melihat gambar-gambar dalam poskad saya tidak kira gambar tempat pelancongan, haiwan mahupun artis tempatan, semuanya mempunyai cerita sendiri.

Nasi Arab Alkhidmah Salam

Posted: 22 Apr 2012 12:15 AM PDT

mohd. Sulaiman Mohd Yahya di hadapan restorannya.

AHLAN wasahlan!, perkataan Arab yang seringkali diguna pakai oleh orang Arab yang membawa maksud selamat datang kepada tetamu yang hadir.

Ucapan sama akan anda dengari apabila melangkah ke restoran-restoran makanan Arab yang sekarang ini muncul bagai satu fenomena bagi memenuhi selera masyarakat tempatan.

Makanan Arab khususnya paling popular nasi Arab, walaupun harganya agak mahal tetap dicari orang kerana keenakan dan menepati cita rasa.

Antara yang semakin mendapat perhatian khususnya di kalangan penduduk sekitar Lembah Klang ialah Restoran Alkhidmah Salam, yang terletak di Lot 2334-9, Jalan Batu Caves, Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor.

Pengurusnya, Mohd. Sulaiman Mohamad Yahya berkata, restoran tersebut sudah lama beroperasi tetapi baru tahun ini memperkenalkan dan menambah menu baru iaitu pelbagai hidangan Arab.

"Dulu masyarakat kita hanya berpeluang merasai makanan Arab ketika menunaikan haji atau umrah di Mekah.

"Sekarang ini ia boleh dinikmati pada bila-bila masa kerana semakin banyak restoran menawarkan sajian ini," katanya di temui di restorannya baru-baru ini.

Istimewanya di sini kata Mohd. Sulaiman, setiap masakan dihasilkan oleh chef yang dibawa khas dari negara padang pasir itu, Chef Hatim Salleh.

Antara hidangan Arab yang terdapat di restoran ini adalah nasi ayam Mandy dan nasi Kabsah sama ada pilihan ayam atau kambing, roti Arab dan pelbagai lagi.

Selain keenakan rasa hidangan, harga ditawarkan di Restoran Alkhidmah Salam juga lebih berpatutan.

"Kami juga menerima tempahan dan katering untuk pelbagai acara. Jika hidangan diminta untuk kumpulan yang ramai, makanan dihidang dalam dulang seperti tradisi orang Arab," katanya.

Dalam pada itu sebagai memberi pilihan kepada setiap pengunjung yang datang, restoran tersebut juga menyediakan masakan Thai, Barat dan stimbot.

Malah, Restoran Alkhidmah Salam juga menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti surau, wifi secara percuma, dewan seminar, dewan berhawa dingin dan sebagainya.

Selain itu, restoran tersebut telah mengambil satu inisiatif untuk mengadakan kelas masakan nasi Arab ini kepada mereka yang berminat.

Menurut Mohd. Sulaiman, kursus ini memberikan peluang kepada mereka yang ingin belajar cara masak nasi Arab dengan betul..

Yuran penyertaan sebanyak RM600 dikenakan yang turut meliputi bahan-bahan masakan.

"Kursus ini akan diajar sendiri oleh Chef Hatim. Peserta akan diajar secara teori dan praktikal bagaimana menyediakan nasi Arab.

"Segala keperluan untuk kursus tersebut akan disediakan oleh pihak kami.

"Tujuan kami ini juga untuk menyampaikan ilmu kepada mereka yang betul-betul berminat. Kursus ini akan bermula pada 28 April dan 1 Mei ini," jelasnya.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 012-2960776.

Peserta Gerbang Cinta menaruh harapan

Posted: 22 Apr 2012 12:14 AM PDT

Pasangan Ahmad Faiz Mujahid Annuar dan Wan Nornastasha Wan.

Terpancar harapan dan impian bagi 30 pasangan yang terpilih dalam sesi temuduga bersama panel Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia Musim Ke-3 bagi melayakkan diri sebagai antara 10 pasangan terbaik pada peringkat akhir nanti.

Sesi temuduga untuk pemilihan 10 pasangan akhir itu dikendalikan oleh barisan ahli panel terdiri daripada wakil penganjur dan penaja yang diketuai sendiri oleh Penolong Ketua Pengarang 2 Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid.

Kesemua 30 pasangan ini tersenarai selepas melalui dua saringan pemilihan.

Pada saringan pertama sebanyak 100 pasangan disenarai pendek daripada lebih 10,000 penyertaan yang diterima bagi peraduan musim ini.

Selain melihat dari segi keserasian pasangan, turut dinilai pada sesi temuduga ialah keterampilan, keyakinan, pengetahuan dan perancangan selepas perkahwinan.

Biarpun sesetengah pasangan pada awalnya nampak gementar berhadapan dengan barisan ahli panel, rata-ratanya begitu teruja dan bersemangat menjawab soalan yang diajukan.

Pasangan Ahmad Faiz Mujahid Mohd Annuar, 29 dan Wan Noornastasha Wan Nasaroldin, 29, mengakui amat bersyukur kerana terpilih sehingga ke peringkat ini dan berharap rezeki menyebelahi mereka untuk dicalonkan pada peringkat akhir nanti.

"Kami bersyukur kerana dapat menjawab soalan yang ditanya ketika sesi temuduga bersama juri tadi.

"Beberapa persediaan dilakukan sebelum hadir hari ini supaya sesi temuramah berjalan dengan lancar dan tenang.

"Kami berharap rezeki menyebelahi untuk ke peringkat seterusnya memandangkan semua peserta yang datang semuanya nampak yakin dan bersemangat," kata Ahmad Faiz Mujahid.

Tambahnya, penyertaan pertama kali ini adalah atas inisiatif ibunya yang merupakan pembaca setia akhbar Utusan Malaysia.

"Tanpa berfikir panjang kami mencuba nasib menyertai pertandingan ini, tambahan hadiah yang ditawarkan kepada bakal pemenang sangat lumayan dan membantu bakal pasangan yang akan mendirikan rumah tangga," katanya.

Pasangan Tentera Laut dan Tentera Darat, Mohd. Zaidi Mohd Bishan, 26 dan Zazalina Ghazali, 26, pula tidak menyangka akan dipanggil untuk sesi temuduga.

"Ketika dihubungi pihak penganjur untuk hadir pada hari ini rasa macam tidak percaya.

"Rasa bersyukur dan berterima kasih diucapkan kepada pihak penganjur kerana memilih kami memandangkan jumlah pasangan yang memohon adalah ramai.

"Kami memang mengikuti Peraduan Gerbang Cinta ini sejak musim pertama dan kedua lagi, sehinggalah kami terbuka hati untuk menghantar borang pada musim ketiga ini," katanya.

Jelas Mohd. Zaidi, cadangan kakaknya supaya mereka menyertai peraduan ini nyata tidak sia-sia sehingga terpilih untuk sesi temuramah.

Seorang lagi pasangan, Amir Hashim, 26 dan Norsyazwani Johari, 25, mengakui terkejut dan gembira kerana terpilih dalam pencalonan ini.

"Alhamdulillah kami tenang ketika menjawab soalan tadi tambahan ada membuat sedikit pembacaan sebelum datang ke sini.

"Kami juga berharap rezeki memihak kepada kami untuk terpilih sehingga ke peringkat akhir," katanya.

Selain kereta dan wang tunai, juara Peraduan Gerbang Cinta musim ini bakal membawa pulang hadiah pakej perkahwinan bernilai RM150,000 serta barang kemas, set sofa, barang elektrik dan spa.

Tempat kedua dan tiga hadiah ketiga masing-masing akan membawa pulang motosikal skuter dan pakej perkahwinan berjumlah lebih RM100,000 dan RM80,000, serta hadiah sampingan lain.

Peraduan musim ini juga menyaksikan penyertaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai penaja utama bersama Dios Astana Bridal (busana dan cenderamata) sebagai penaja bersama serta rakan-rakan strategik lain, Mastar Catering (jamuan), Kampung Pengantin (lokasi), Precious Moments (pelamin), D'Sayang Entertainment (sistem bunyi dan fotografi) dan Afidah Khamis Makeup & Stuff (jurusolek).

Turut menaja , Preety Peektures (video perkahwinan), Sri Sutra Travel (pakej bulan madu), CJ Print (kad perkahwinan) dan Utusan Online (laman sesawang rasmi peraduan).

Satu keluarga satu anak angkat

Posted: 22 Apr 2012 12:12 AM PDT


NOrlina Alawi, kasih sayangnya terhadap anak-anak tiada sempadan.


ANAK-anak ini putih! Jiwa mereka polos. Mereka tak bersalah, mereka tak berdosa. Siapalah kita mahu hukum mereka? Mereka berhak dicintai dan dikasihani. Mereka ini amanah Allah SWT kepada kita semua.

"Percayalah... biar sekadar sepotong roti atau sesuap nasi sahaja yang mampu saya berikan buat anak-anak ini, saya sanggup! Biarlah saya tak makan... biarlah saya terpaksa berpuasa demi anak-anak ini, saya akan buat apa sahaja!

"Saya selalu bermohon dan merayu dalam doa, mudah-mudahan, mereka yang mengata saya, mereka yang menuduh saya berpura-pura, dilimpahi Allah kasih sayang yang lebih daripada saya terhadap anak-anak ini.

"Pegangan saya mudah, kejarlah akhirat... carilah akhirat... Insya-Allah selepas itu, hak dunia akan mengejar kita, orang-orang yang mencari dunia juga akan mencari kita. Ini lebih indah bukan?

"Mudah-mudahan dengan terbitnya kisah Cinta Tanpa Sempadan Norlina Alawi ini, akan lahirlah lebih ramai klon-klon seperti saya. Sama-samalah kita berkongsi rezeki, membahagi kasih sayang dengan anak-anak yang terpilih mendepani ujian Allah dan saling memahami takdir hidup yang sememangnya tidak pernah sama di antara satu sama lain. Saya yakin hidup ini akan lebih indah jikalau kita mampu berbuat demikian."

Sengaja dimasukkan rintihan ibu tabah ini, Norlina Alawi kerana faham ada ramai yang memberikan stigma negatif terhadap apa yang beliau lakukan selama ini.

Norlina ditemui di pejabatnya yang terletak di Taman Cahaya Indah, Ampang, Selangor, ketika sesi bertemu media bagi mempromosikan program kesedaran yang dinamakan Jelajah Cinta Tanpa Sempadan (JCTP).

Program tersebut bermatlamat melahirkan lebih ramai ikon dalam masyarakat untuk mengikuti jejak langkahnya.

"Selepas 10 tahun saya berjaya menyelesaikan lebih dari 200 kes anak angkat menerusi Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) yang kebanyakan daripadanya anak yatim yang menghidapi HIV/AIDS, anak tidak sah taraf, anak mualaf dan anak bukan warganegara.

"Menerusi program jelajah ini saya amat berharap dapat memberi kesedaran seterusnya melahirkan lebih ramai individu yang prihatin dan penyayang serta ikhlas memikul tanggung jawab sebagai ibu bapa yang telah diamanahkan oleh Allah," jelasnya.

Menurut Norlina, antara pendekatan yang digunakan ialah dengan bertemu hati ke hati menerusi slot yang dirangka pada tiap lokasi jelajah.

"Sebanyak 12 negeri akan kami jelajah bermula dari 24 Mei ini iaitu di Johor. Pelancaran program kesedaran ini akan dilakukan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada tarikh 6 Mei nanti.

"Dalam jelajah itu nanti, akan diadakan juga pameran gambaran sebenar tentang bagaimana kehidupan saya sekeluarga. Kami juga akan mengedarkan risalah, komik motivasi dan beberapa slot menarik.

"Selain itu terdapat juga karnival, pameran, jualan dan pertunjukkan fesyen jubah," jelas Norlina.

Norlina memberitahu, jelajah itu bukan saja melibatkan dalam negeri malah luar negara juga.

"Insya-Allah dalam pada jelajah di antara negeri dalam Malaysia, kami juga akan ke negara seperti United Kingdom, Singapura, Thailand, Brunei, Arab Saudi dan banyak lagi negara cuma tarikhnya belum ditentukan lagi.

Menurut Norlina, program jelajahnya ini mendapat sokongan dan kerjasama dari Platun Seni Rejimen 515 di mana tempat suaminya bertugas.

"Ini adalah satu penghargaan besar dan saya yakin dengan kerjasama ini ia bakal memberikan impak yang lebih besar buat negara dan seluruh dunia," ujarnya.

Bagi sesiapa yang menyokong program ini dijemput mengikuti perkembangan JCTP menerusi blogspot norlinaalawi.blogspot.com.

Farhana dinoda jiran durjana

Posted: 22 Apr 2012 12:11 AM PDT


Farhana (bukan nama sebenar) berkongsi kisah duka selepas mengandung akibat dirogol oleh jirannya.


FARHANA (bukan nama sebenar) 17 tahun, adalah seorang gadis ceria yang mempunyai ramai kawan kerana sikapnya yang peramah dan mudah mesra, tambahan dia merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga.

Dibesarkan bersama-sama abang dan adik oleh ayahnya sejak kematian ibu mereka 10 tahun lalu, menjadikan Farhana seorang remaja yang berdikari.

Setiap kali cuti sekolah menjelma dia akan mengisi masa lapangnya dengan bekerja di kedai berdekatan kampungnya untuk mencari duit poket.

Saat penulis bersua muka dengannya, hanya senyuman dilemparkan walaupun di ruang matanya terselit seribu kesedihan tambahan tubuhnya yang kecil ketika itu tidak menampakkan usia sebenar kandungan yang mula mencecah tujuh bulan ketika itu.

Tragedi hitam dinodai oleh jiran ketika lewat malam di rumah terletak berdekatan kawasan pedalaman di Pahang pada tahun lepas tidak mungkin luput dari ingatan gadis ini walaupun ia cuba dipadam sehingga hari ini.

Imbas Farhana dirinya tidak menyangka jiran yang selama ini dianggap seperti abang sendiri sanggup merogolnya hanya kerana dia tidak melayan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan permintaan Azman untuk menjalinkan hubungan yang serius.

Azman (bukan nama sebenar) sudah berkahwin dan hanya jarak tiga buah rumah memisahkan rumah mereka.

Lelaki berusia pertengahan 20-an itu merupakan kawan abang Farhana dan sering berkunjung ke rumahnya.

Tetapi hubungan mereka tidak rapat kerana Azman bukanlah seorang lelaki yang baik dan segala keperluan hidup ditanggung oleh isterinya.

"Malam itu, ketika saya sedang mendengar radio berseorangan di dalam bilik tiba-tiba terasa mulut dicekup dengan kuat dari arah belakang.

" Walaupun saya cuba menjerit tetapi tidak berdaya kerana tiada kudrat untuk melawan tambahan bilik saya terletak di ruang belakang rumah.

"Tambahan ketika itu juga Ayah dan adik sedang asyik menonton televisyen dan tidak mendengar jeritan saya kerana kebiasaan tabiat saya suka memasang radio dengan kuat.

"Selepas kejadian itu, saya masih seperti biasa dan tidak memberitahu ayah bahawa saya dirogol kerana malu dan takut dimarahi," katanya.

Dalam tempoh tersebut juga Farhana tidak sedar bahawa diri sudah mengandung selama empat bulan kerana kitaran haidnya yang tidak menentu sebelum ini.

"Saya hanya mengetahuinya selepas membuat pemeriksaan sendiri menggunakan kit ujian mengandung yang dibeli di farmasi," ujarnya.

Ujar Farhana, setelah disahkan mengandung, pelbagai cara dilakukan untuk menggugurkan kandungan kerana tidak sanggup menanggung perasaan malu apatah lagi kandungannya semakin membesar.

"Saya mencari sendiri maklumat di Internet cara-cara untuk menggugurkan kandungan sehingga saya berjaya menghubungi seorang doktor.

"Doktor tersebut mempunyai kemahiran menggugurkan kandungan menggunakan mesin, tetapi saya berasa hampa kerana kandungan tidak boleh digugurkan disebabkan bayi sudah membesar dan cukup sifat.

"Ketika itu juga, saya masih pergi ke sekolah dan berjumpa dengan kawan-kawan seperti biasa. Walaupun usia kandungan semakin bertambah perut masih belum nampak perubahan ketara.

Apabila memikirkan kandungan yang semakin membesar, akhirnya Farhana bertindak berani memberitahu ayahnya perkara tersebut.

"Pada permulaan mereka tidak dapat menerima berita itu. Akibatnya saya dipukul kerana disyaki dengan rela hati melakukan perkara terkutuk tersebut sehingga mengandung.

"Selepas mengetahui saya mengandung, kawan-kawan dan keluarga cuba menjauhkan diri dan menyebabkan saya rasa tertekan.

"Kerana ingin menutup malu dan melindungi saya, ayah telah memohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) untuk menempatkan saya di rumah perlindungan sehingga saya selamat melahirkan anak.

"Selepas tinggal di Rumah Perlindungan Taman Seri Puteri Cheras, saya rasa lebih selesa dan tenang kerana semua kawan-kawan yang ada di sini senasib dengan saya ditambah terdapat pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan untuk kami di sini," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories