RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Beralih arah

Posted: 25 Apr 2012 11:26 PM PDT

pix_gal0
BUKAN kerana kecewa atau kecil hati, tetapi bintang baru dalam dunia lakonan, Neelofa memutuskan untuk kurang menerima tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan terhadap bidang pengacaraan TV.

Dia menganggap peluang menjadi pengacara program TV memang bidang yang diimpikan selama ini dan menyifatkan ia sebagai kerjaya lebih terjamin berbanding lakonan.
"Sekarang saya lebih yakin dengan kerjaya sebagai pengacara. Dibandingkan dengan lakonan, saya lebih meminati dunia pengacaraan dan dari dulu lagi sebenarnya suka menjadi hos.
Menjadi pengacara adalah salah satu impian apabila menjejakkan kaki ke dunia seni tempatan.

"Apatah lagi apabila saya ditawarkan menjadi pengacara sebuah program TV yang sudah mantap dan dikenali, memang saya terima dengan gembira. Bukan setakat itu, saya juga bersyukur sebab baru saja menerima satu lagi tawaran sebagai hos, namun belum boleh diperkatakan mengenai perkara tersebut.

Saya akui sasaran saya adalah untuk berjaya dalam bidang pengacaraan.

"Melihat kepada bidang lakonan pula, saya tidak mengambil banyak tawaran berlakon drama. Lihat saja tahun ini, tidak banyak drama saya disiarkan di televisyen. Saya juga menyasarkan hanya satu atau dua drama dalam setahun," katanya kepada Hip.
Namun, Neelofa menjelaskan ia bukanlah bermaksud dia memilih watak, tetapi memang diakui agak memilih dari segi jalan cerita yang bagus.

"Saya tidak kisah dengan watak apa sekalipun yang diberikan, tetapi jalan cerita sesuatu drama itu perlulah bagus untuk menarik minat saya berlakon.

"Tahun ini saya hanya menjayakan dua drama saja, yang mana satunya adalah arahan Erma Fatima berjudul Kau Yang Terindah dan aktiviti penggambaran akan dimulakan pada bulan depan.

"Satu lagi drama saya akan ditayangkan pada September nanti, tapi tawaran itu masih dalam pertimbangan," katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran telefilem Nyanyian Sakaratul Maut," katanya.

Bukan saja bergelar pelakon merangkap pengacara, anak jati Kelantan ini juga berminat dalam dunia perniagaan.

Sebelum ini kisah kreativitinya menghasilkan kasut tumit tinggi ligat diperkatakan, malah pernah menghasilkan sepatu untuk perkahwinan Ezlynn.

Bukan sekadar meletakkan ideanya itu di bawah satu jenama, Neelofa Heels, Lofa juga bakal keluar dengan produk kesihatan dan kecantikan di bawah syarikatnya sendiri pada bulan hadapan. Ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi portfolionya sebagai usahawan wanita.

Adakah beralih minat ini disebabkan rasa kecewa kerana harapannya untuk meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011) pada 8 April lalu?

Neelofa menegaskan dia tidak mahu mempersoalkan keputusan yang sudah dibuat oleh peminat tetapi memang terkejut dengan kemenangan Tasha Shila kerana jangkaannya ialah penyanyi muda berbakat besar, Najwa Latif.

"Memang agak mengejutkan.

Kerana saya sangka yang menang Najwa Latif. Tapi memang kita akui Tasha, pelakon yang banyak membintangi drama dan sering muncul di kaca TV.

"Lagi pun, ini memang sudah rezeki Tasha, bukan saja atau Najwa, Izara Aishah atau Nur Fathia yang sama-sama dicalonkan dalam satu kategori," kata Neelofa.

Generasi muda berita RTM

Posted: 25 Apr 2012 07:05 PM PDT



SELAMA ini penonton setia saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah mengetahui mengenai peranan saluran media elektronik tersebut yang membawa mesej kerajaan dan menyampaikan maklumat, misalnya menerusi rancangan berita yang disiarkan setiap hari.

Biarpun terpaksa bersaing dengan stesen televisyen swasta untuk menarik perhatian penonton, namun RTM tidak pernah ketinggalan untuk melakukan beberapa perubahan bagi meningkatkan lagi mutu rancangan yang disiarkan.

Contohnya pada tahun 2009, stesen berkenaan telah melakukan penstrukturan apabila TV1 dijadikan saluran berita beroperasi selama 24 jam sehari serta dimuatkan dengan program berita, dokumentari, bual bicara dan majalah, manakala TV2 sebagai saluran hiburan yang membuatkan program berbentuk hiburan atau muzikal drama.

Ketua Penyampai Berita TV RTM, Fathil Hidayat Ghazali berkata, buat masa ini program berita RTM terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Berita Nasional, Berita Wilayah dan Berita Semasa.

"Untuk program Berita Nasional, ia akan disiarkan pada pukul 7 pagi, 1 tengah hari, 8 malam dan 12.30 tengah malam, manakala Berita Wilayah akan disiarkan selama sejam setiap hari pada pukul 5 petang.


BARISAN penyampai muda dan baharu penyampai berita RTM (dari kiri) Syah Hairizal, Farhatul, Fathil, Hanim, Shahril, Hazel, Kamal dan Athikah.


"Menariknya tentang Berita Wilayah ini, ia lebih fokus kepada berita-berita di Sabah dan Sarawak dan lintas langsung akan dibuat dari studio mini di kedua-dua negeri tersebut. Selain itu, ada juga lintas langsung dari sebuah negeri di Semenanjung mengikut giliran pada setiap hari," ujarnya.

Tambahnya, Berita Semasa pula akan disiarkan sebanyak tujuh kali sehari iaitu pada pukul 9 pagi, 10 pagi, 11 pagi, 12 tengah hari, 3 petang, 4 petang dan 10 malam selama lima minit.

Mengenai kerjaya sebagai penyampai berita pula, Fathil menceritakan, bagi sesiapa yang baru ditugaskan sebagai penyampai berita RTM, mereka akan ditugaskan untuk menjadi penyampai Berita Semasa terlebih dahulu.

"Setelah diberi tugas sebagai penyampai Berita Semasa dalam tempoh yang ditetapkan, kemudian barulah mereka akan diserapkan untuk Berita Wilayah. Bagi program Berita Nasional pula, tugas penyampai biasanya diberikan kepada mereka yang lebih berpengalaman," jelasnya.

Lebih menarik lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, program berita di RTM sebenarnya telah menampilkan ramai penyampai berita yang terdiri daripada generasi muda yang sangat berbakat.

Malah, ada antara penyampai yang bakat mereka dikesan menerusi program realiti Penyampai Ikon RTM 2009 yang pernah dianjurkan sebelum ini dalam usaha untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penyiaran.

Antara penyampai berita RTM pada masa ini yang merupakan finalis program tersebut adalah seperti Shahril Sarapudin, Hazel Desmond, Athikah Mohd. Naim dan Kamal Firmanshah Kamaluddin.


FATHIL dan Hanim sudah menimba banyak pengalaman di bilik berita RTM.


Menurut Shahril Sarapudin yang kini bertugas sebagai penyampai Berita Nasional, dia sendiri tidak menyangka akan menjadi seorang penyampai memandangkan bidang pengajiannya di universiti sebelum ini adalah pengurusan bank.

"Sebenarnya saya merupakan penyampai berita paling muda di RTM dan sangat berbangga kerana sudah diberikan tanggungjawab untuk menjadi penyampai Berita Nasional, meskipun tidak mempunyai pengalaman yang luas.

"Saya memulakan kerjaya di RTM pada tahun 2010 dan bermula sebagai penyampai Berita Wilayah. Namun, saya selepas tiga bulan, terus saya diserapkan pula untuk menjadi penyampai Berita Nasional, " ujar pemuda berusia 22 tahun itu.

Sementara itu, menjadi penyampai berita bukan Melayu di RTM yang menyampaikan berita berbahasa Melayu, Hazel Desmond menganggap ia bukanlah satu masalah yang besar buat dirinya apabila ditugaskan menjadi penyampai Berita Nasional.

Tekanan kuat

Sebagai seorang gadis berketurunan Iban, proses menguasai penggunaan bahasa Melayu dirasakan sesuatu yang cukup mencabar dan dengan bantuan rakan-rakan serta kerap membaca buku, telah banyak membantu dirinya untuk bertutur dengan fasih.

"Saya menganggap ini adalah satu penghargaan yang cukup besar apabila ditugaskan untuk menjadi penyampai Berita Nasional. Tidak dinafikan tekanan yang dirasa agak kuat, tetapi peluang diperoleh haruslah digunakan sebaik-baiknya," ujarnya.

Bagi Athikah Mohd. Naim pula, tanggungjawabnya sebagai seorang penyampai Berita Wilayah sememangnya cukup menarik dan cara penyampaiannya juga agak berbeza berbanding Berita Nasional dan Berita Semasa.

"Boleh dikatakan gaya penyampaian untuk Berita Wilayah agak lebih santai, cuma ia memerlukan penghayatan yang lebih mendalam supaya sesuatu maklumat yang disampaikan itu dapat diterima penonton.

"Pada mulanya, memang perasaan saya agak gementar juga apabila diberi tanggungjawab ini. Namun, disebabkan minat yang cukup mendalam, saya mencabar diri sendiri bagi memenuhi cita-cita untuk menjadi seorang penyampai berita," ujarnya.

Athikah mengakui mempunyai keinginan yang besar untuk tampil menjadi penyampai Berita Nasional. Bagaimanapun, buat masa ini dia merasakan lebih selesa sebagai seorang penyampai Berita Wilayah.

Kamal Firmanshah Kamaluddin dalam pada itu berkata, dia melalui perjalanan yang agak sukar dan mencabar untuk menjadi seorang penyampai berita.

Ujarnya, masalah paling utama yang dihadapi dan kerap menghantui jejaka kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ialah sebutan slanga Sabahnya yang susah untuk diatasi ketika mula-mula bergelar penyampai berita dahulu.


HAZEL dan Shahril mahu memberikan hanya yang terbaik.


"Dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi itu menyebabkan saya perlu berusaha dengan lebih keras untuk memperbaiki slanga saya. Kini, saya bersyukur apabila masalah tersebut akhirnya sudah dapat diatasi terutamanya dengan bantuan rakan-rakan," ujarnya.

Bidan terjun

Berbeza dengan keempat-empat orang penyampai berita yang dilahirkan menerusi Penyampai Ikon RTM 2009, pembabitan Syah Hairizal Kamalul Arifin pula adalah sebagai bidang terjun.

Dia memulakan kerjayanya di RTM sejak tahun 2001 sebagai seorang penyampai pengacara rancangan Infopsikik (TV2) dan wartawan untuk rancangan Titik Sentuhan (TV1).

"Kerjaya saya sebagai seorang penyampai berita bermula pada tahun 2008 apabila seorang penyampai Berita Semasa telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sepatutnya penyampai tersebut perlu menyampai berita pada pukul 3 pagi.

"Sedangkan semasa penerbit mendapat tahu tentang kejadian kemalangan itu, masa yang ada tinggal lima minit sahaja lagi sebelum Berita Semasa disiarkan. Akhirnya, saya telah dipilih oleh penerbit kerana sudah kesuntukan masa untuk mencari pengganti," jelasnya.

Mengenai perasaannya apabila diberikan tanggungjawab memikul tugasan yang telah diberikan, katanya: "Tidak dapat dibayangkan perasaan saya ketika itu kerana tiada sebarang persediaan yang dilakukan, apatah lagi ia disiarkan secara langsung dan tempoh lima minit dirasakan cukup lama. Namun, selepas itu saya terus ditawarkan untuk menjadi penyampai berita."

Sementara itu, penyampai Berita Wilayah, Farhatul Aishati Othman atau Farah memberitahu, dia berminat untuk menjadi seorang penyampai kerana menggemari dua orang penyampai berita senior RTM iaitu Farid Ismeth Amir dan Harjit Singh Hullon.

Ujarnya, selepas menamatkan pengajian peringkat Diploma Pemasaran di Kolej Multimedia pada tahun 2009, dia terus ditawarkan untuk menjadi pengacara di RTM menerusi rancangan Panorama yang disiarkan di saluran TV1.

"Memandangkan saya tiada sebarang pengalaman dalam bidang pekerjaan, akhirnya saya bersetuju untuk berkhidmat dengan RTM sebagai pengacara. Namun, minat saya yang mendalam untuk menjadi penyampai berita tetap ada.

"Tidak lama kemudian saya telah dipindahkan ke bilik berita TV RTM dan diberi tanggungjawab untuk menjadi penyampai Berita Semasa. Biasanya saya akan ke udara pada pukul 3 atau 4 pagi, tetapi tidak kisah kerana menjadi penyampai berita merupakan impian saya," ujarnya.

Studio 3 guna teknologi terkini

Posted: 25 Apr 2012 07:04 PM PDT


PARA penyampai berita RTM kini tidak perlu lagi disolek dengan tebal berikutan penggunaan kamera High Density HD yang mampu memaparkan visual dengan lebih jelas dan jitu.


Pada bulan April 2007, kerajaan telah mengumumkan dunia penyiaran negara akan memasuki era digital sepenuhnya pada tahun 2015 dalam usaha menjadi negara maju menjelang 2020.

Malah, setahun sebelum itu Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menjalankan projek perintis digitalnya pada September 2006 dengan melibatkan 1,000 responden di Lembah Klang yang menggunakan standard digital video broadcasting terestrial (DVB-T) yang diguna pakai di kebanyakan negara Eropah.

Selain itu, peruntukan RM100 juta digunakan bagi keperluan projek perintis selama enam bulan itu termasuk kos pembangunan infrastruktur seperti pemancar dan kandungan siaran digitalnya.

Kemudian pada tahun 2009, RTM telah melakukan penstrukturan TV1 dijadikan saluran berita beroperasi selama 24 jam sehari, dimuatkan dengan program berita, dokumentari, bual bicara dan majalah.

Saluran TV2 pula sebagai hiburan saluran hiburan yang mengeluarkan program berbentuk hiburan atau muzikal drama.

Menurut Ketua Penyampai Berita TV RTM, Fathil Hidayat Ghazali, memandangkan era digital yang disasarkan akan berlangsung tiga tahun lagi, bersempena dengan ulang tahun RTM ke-66 yang disambut pada 1 April lalu, beberapa perubahan telah dilakukan di bilik berita RTM.

"Salah satu perubahan yang telah dilakukan ialah pengubahsuaian yang dilakukan bilik berita Wisma TV, Angkasapuri atau lebih dikenali sebagai Studio 3 kepada reka bentuk baharu yang dikenali sebagai Virtual Studio.

"Boleh dikatakan kebanyakan bilik berita di stesen televisyen lain masih meletakkan prop seperti televisyen. Namun, Virtual Studio cuma menggunakan latar berwarna hijau dan sebarang gambar boleh dipaparkan menerusi konsep Croma Key sewaktu siaran berita ke udara," ujarnya.

Teknik robotik

Pada masa yang sama, Fathil memberitahu pada tahun ini, juga RTM mencatat satu lagi kemajuan dalam bidang penyiaran dengan penggunaan kamera berteknologi terkini iaitu High Density HD yang boleh digerakkan secara robotik.

Ujarnya, antara kelebihan yang terdapat dengan penggunaan kamera berkenaan apabila ia tidak lagi dikawal secara manual. Sebaliknya, segala kawalan akan dilakukan telah menggunakan teknik robotik.


SEGALA pergerakan kamera akan dikawal oleh jurukamera secara robotik di bilik unit kawalan kamera yang terletak di bahagian atas studio.


"Selalunya akan ada jurukamera yang akan mengawal kamera di dalam studio. Namun, kini yang ada cuma pembaca berita akan berada di dalam studio kerana pergerakan kamera akan dikawal di bilik unit kawalan kamera yang terletak di atas studio.

"Selain itu, pembaca berita juga tidak perlu lagi membuat solekan yang tebal kerana visualnya sudah nampak cukup terang dan jelas. Kalau solekan terlalu tebal, pasti wajah pembaca berita kelihatan kurang menarik di kaca televisyen," jelasnya.

Mengenai pembaharuan yang dilakukan, pembaca berita berkenaan mengakui pada awalnya tidak ramai yang sedar tentang pembaharuan yang telah dilakukan oleh bilik berita RTM.

Bagaimanapun, penonton setia program berita di RTM semakin menyedarinya dan maklum balas yang diterima juga sangat positif. Misalnya, ada yang menggemari visualnya yang kini kelihatan lebih ceria, terang dan jelas.

"Itu merupakan antara penambahbaikan yang telah dilakukan oleh RTM bagi memberikan kepuasan kepada penonton. Selama tiga bulan tempoh yang diambil untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dalam usaha ke arah era digital sepenuhnya yang bermula pada tahun 2015," ujarnya.

Segmen baharu

Selain melakukan pembaharuan dari sudut teknikal, terdapat beberapa segmen baharu yang diperkenalkan menerusi Berita Nasional bagi memantapkan lagi kandungan berita yang dipaparkan.

Ujar Fathil, buat masa ini cuma ada tiga segmen baharu iaitu Singkap (setiap Ahad), Inovasi (setiap Rabu) dan Destinasi (setiap Jumaat). Ketiga-tiga segmen berkenaan sudah pun dimulakan sejak awal bulan ini.

"Dalam segmen Singkap, isu-isu sosial masyarakat akan diutarakan dengan pendekatan sensasi seperti pendedahan tentang kes buang anak, kes culik dan jenayah semasa yang kurang didedahkan secara terperinci kepada khalayak.

"Untuk segmen Inovasi pula akan memberi pendedahan tentang aplikasi teknologi dan penemuan sains terbaharu, manakala segmen Destinasi pula memaparkan pelbagai lokasi pelancongan menarik yang terdapat di Malaysia," jelasnya.

Legasi empat kurun Santa Maria Novella

Posted: 25 Apr 2012 07:02 PM PDT


PARA pekerja makmal Santa Maria Novella sedang tekun membuat barangan cenderamata lilin.


BAU harum yang menusuk hidung, menyambut pengunjung sebaik sahaja melangkah kaki ke ruang legar Santa Maria Novella di Florence, Itali.

Tempat itu merupakan makmal pembuatan minyak wangi terkemuka bagi golongan penyair, bintang filem dan hartawan wanita sejak berkurun-kurun yang lalu.

Menurut sejarah, industri pembuatan minyak wangi di situ sebenarnya bermula pada tahun 1221 oleh para biarawan yang memproses herba menjadi bahan ramuan dan salap. Perusahaan itu mengambil tempat di dalam sebuah dewan yang menawarkan panorama pusat bandar yang menakjubkan.

Kemasyhuran produk yang dihasilkan itu terus tersebar sehingga ke luar kawasan biara. Pada tahun 1612, pihak biara telah membuka pintunya kepada orang ramai di bawah syarikat keluarga Medici yang menjadi duta kepada produk wangian itu.

Ketika berkahwin dengan Raja Perancis, Henry II, Catherine de Medici (1519-1589) membawa bersama wangian berasaskan bergamot yang dinamakan sebagai Eau de la Reine, sekali gus mencetus revolusi baharu selepas ia meraih populariti dalam kalangan kerabat diraja.

Menggunakan alkohol

"Sebelum ini, minyak wangi dicampurkan dengan minyak dan cuka, tetapi golongan paderi menyarankan institusi itu menggunakan alkohol.

"Eau de la Reine merupakan minyak wangi pertama yang popular di Eropah yang dihasilkan daripada alkohol," kata pengarah komersial, Gianluca Foa.

Sehingga kini, Santa Maria Novella masih menghasilkan Eau de la Reine, yang merupakan produk pencetus kejayaan syarikat itu biarpun berhadapan dengan krisis ekonomi dunia. Pada tahun lalu sahaja, pendapatan syarikat itu meningkat sehingga 37 peratus.

Sejak berkurun-kurun yang lalu, makmal itu masih mengekalkan keaslian binaannya sehingga kini.

Bahagian tingkap dan ruang kaunter tidak pernah berubah sejak tahun 1612, walaupun golongan biarawan dipaksa meninggalkan biara ketika penjajah Itali menawannya sebagai usaha besar-besaran merampas harta benda gereja.

Ia kemudiannya dijual kepada salah seorang anak saudara ketua biarawan dan sehingga kini sebanyak empat generasi daripada keluarga yang sama telah menguruskan syarikat itu.

Sebanyak 80 peratus daripada pelanggan syarikat itu merupakan rakyat asing, seperti Sabrina yang datang dari wilayah Sichuan di China.

"Saya sangkakan ia hanya sebuah kedai biasa tetapi ia ternyata sangat hebat dan terkenal," katanya sambil menghayati lukisan dinding.

Produk yang berbeza mendapat sambutan mengalakkan di sesetengah negara. Krim calendula misalnya, mendapat permintaan menggalakkan di China, pastil pudina geranium di Jepun dan krim idralia di Korea Selatan.


PARA pelanggan sedang bertanyakan sesuatu kepada jurujual di kedai barangan Santa Maria Novella yang terletak di Florence, Itali.


Firma itu juga kini melabur dalam kerja baik pulih gereja yang terletak bersebelahan, San Niccolo, untuk menjadi sebuah arkib yang istimewa.

Tenaga manusia

Rak-rak di Santa Maria Novella dipenuhi krim kecantikan, minyak wangi, minuman keras dan lilin yang dibungkus secara ringkas namun elegan.

Sebahagian besar bahan-bahan itu berasal dari ladang herba syarikat tersebut yang terletak jauh dari biara.

Makmal utamanya yang seluas 4,500 meter persegi terletak di bahagian luar dengan mekanisme pengeluaran masih menggunakan tenaga manusia. Daripada peringkat membuat buku-buku sabun, mengukir lilin sehinggalah pelabelan, semuanya dilakukan secara manual.

Buku-buku sabun kelihatan seperti gulungan keju, dikeringkan selama dua bulan dalam kebuk yang mempunyai ruang pengudaraan.

Proses pengeluaran yang agak kompleks dan penggunaan bahan mentah terpilih secara tidak langsung dapat mengawal penghasilan produk-produk palsu.

Kualiti ketat terhadap penghasilan produk di bawah jenama Santa Maria Novella berjaya menarik ramai golongan terkenal. Antaranya, penyair, Dante dan Lord Byron, pelakon Penelope Cruz dan Monica Bellucci serta aristokrat seperti Puteri Caroline dari Monaco.

Syarikat itu tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk pengiklanan. Diperkenalkan melalui filem-filem popular seperti Hannibal lakonan Anthony Hopkins pada tahun 2006 dan filem James Bond, Casino Royale telah membantu mengukuhkan jenama itu dalam kalangan penggemarnya.

Sehingga kini, Santa Maria Novella mempunyai 200 cawangan di seluruh dunia termasuk di Auckland dan Hong Kong.

"Pada hari ini, demografi pelanggan-pelanggan Santa Maria Novella kelihatan bertambah muda dari sehari ke sehari.

"Ia satu petanda yang baik. Mereka menyalurkan keterujaan terhadap produk ini dan kelihatan bertambah muda," kata ketua eksekutif syarikat, Eugenio Alphandery.

Walau apapun sambutannya, harga yang dibayar adalah seiring dengan kualitinya. Sebotol kecil minyak wangi dijual pada harga 80 euro (RM320) dan potpuri pula dijual pada harga sekitar 15 euro (RM60).

Cenderamata paling murah? Sebuah kotak yang mengandungi pastil yang enak berharga 5 euro (RM20).

Kitar semula inisiatif Tetra Pak

Posted: 25 Apr 2012 07:02 PM PDT



DENGAN hanya lima saat, anda perlu meleperkan lima kotak pembungkus minuman kosong bagi tujuan kitar semula. Bolehkah anda melakukannya? Jika berjaya anda akan diberi sepasu anak pokok.

Nampak mudah, tetapi percayalah bahawa tiada seorang pengunjung pun berjaya melakukan cabaran tersebut sepanjang tiga hari program yang diberi nama Flip, Flap & Flat for the Forest with Tetra Pak berlangsung bermula 20 hingga 22 April lalu.

Salah seorang pengunjung, Brian Candler, 33, mengakui cabaran itu amat sukar untuk dijayakan. Walaupun ia nampak mudah, tetapi tempoh lima saat yang diberikan tidak mencukupi.

"Saya perlukan lebih banyak masa untuk melakukannya. Cabaran ini memang menarik, tetapi untuk permulaan ia agak mengambil masa. Bagaimanapun, selepas ini saya akan terus mencubanya di rumah," tutur Candler yang hanya berjaya meleperkan dua kotak minuman dalam tempoh 12 saat.

Menetap dan bekerja di ibu negara sejak lima tahun lalu, Candler turut berkongsi pengalaman tentang program kitar semula di Malaysia yang dilihatnya semakin berkembang dari semasa ke semasa.

Sempena Hari Bumi


MESKIPUN kempen mengitar semula kotak minuman dilakukan di Malaysia sejak tujuh tahun lalu, namun kesedaran masyarakat masih rendah.


"Saya rasa rakyat negara ini semakin sedar tentang kepentingan untuk mengitar semula barangan yang telah kita gunakan. Selain itu, saya lihat terdapat banyak pusat pengumpulan kitar semula diwujudkan untuk kemudahan orang ramai

"Apa pun, ini satu program yang bermanfaat untuk masyarakat dan perlu dihargai," ujar lelaki kelahiran Amerika Syarikat itu.

Bertempat di pekarangan zon Rainforest, pusat beli-belah One Utama, Selangor, Tetra Pak buat julung-julung kalinya telah menganjurkan program tanggungjawab korporat sosial (CSR) bagi menyuntik kesedaran mengenai kitar semula pembungkus minuman dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Komunikasi dan Alam Sekitar Tetra Pak Malaysia, Singapura dan Filipina, Terrynz Tan berkata, sebenarnya masih ramai yang tidak menyedari bahawa pembungkus minuman di dalam kotak boleh dikitar semula.

"Secara umum, masyarakat hanya tahu barang-barang yang boleh dikitar semula terdiri daripada kertas, kaca atau pun botol plastik. Tetapi mereka tidak tahu bahawa kotak minuman juga boleh dijadikan bahan untuk kitar semula.

"Justeru, kami mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini semata-mata mahu meningkat kesedaran tentang betapa pentingnya kitar semula kotak pembungkus minuman yang digunakan sehari-hari," ujar Terrynz ketika ditemui Kosmo!.

Program pasu angkat


AKSI seorang warga Amerika Syarikat, Brian Candler (berbaju hijau) ketika cuba menyahut cabaran meleperkan kotak minuman dalam tempoh lima saat.


Menurutnya lagi, program yang bertujuan meraikan sambutan Hari Bumi yang disambut pada 22 April setiap tahun itu turut memberi manfaat kepada Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia melalui penanaman pokok secara terancang dan sistematik.

Sebagai syarikat pemprosesan makanan dan penyelesaian pembungkusan terkemuka di dunia, Tetra Pak komited untuk mempromosikan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Paling penting, kami mahu meningkatkan lagi kadar kitar semula kotak minuman di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif untuk kepentingan generasi akan datang," jelas Terrnyz sambil menunjukkan tiga langkah mudah meleperkan kotak minuman yang telah kosong.

Sementara itu, Pengurus Alam Sekitar Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., Manjula Murugesan memberitahu, terdapat tiga kaedah untuk pengunjung menyertai program pokok pasu angkat yang ditawarkan.

"Pertama mereka perlu berjaya dalam cabaran Flip, Flap & Flat iaitu meleperkan lima kotak minuman Tetra Pak yang kosong dalam tempoh lima saat. Kedua, mereka juga boleh membuat pertukaran untuk mendapatkan sepasu pokok dengan sepuluh kotak minuman yang telah digunakan tanpa mengira jenama atau saiz.

KREATIF dan comel. Antara koleksi kraf yang dihasilkan daripada kotak minuman terbuang.


"Akhir sekali, jika kedua-dua langkah di atas tidak dapat dipenuhi, pengunjung hanya perlu menyumbang RM10 untuk keperluan dana Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia dan membawa pulang sebatang pokok untuk ditanam," terang Manjula.

Tambahnya lagi, pengunjung juga akan menerima satu paket minuman UHT percuma dengan setiap batang pokok angkat yang dimiliki di samping mengambil bahagian dalam pelbagai acara menarik yang diadakan sepanjang program tersebut.

"Antaranya, termasuklah mewarna muka dan tangan selain menghasilkan kraf tangan kreatif daripada kotak minuman seperti robot atau apa-apa ciptaan yang diimaginasi sendiri," kata Manjula sambil memberitahu tema program itu ialah Life of a Carton, Tetra Pak Way.

Apabila taman negara diceroboh

Posted: 25 Apr 2012 07:01 PM PDT


PANORAMA menarik dan menyegarkan ditawarkan kepada pengunjung Taman Negara Komodo, namun ia sedang diancam kerakusan manusia.


BEBERAPA bulan lalu, hidupan laut penuh warna-warni menghiasi landskap salah satu daripada taman terumbu karang menakjubkan di Asia. Bagaimanapun, kegiatan nelayan haram yang menggunakan bahan letupan atau sianida untuk membunuh hasil tangkapan di taman berkenaan telah menyebabkan khazanah lautan tersebut berubah sama sekali.

Tapak tersebut merupakan antara beberapa kawasan yang diceroboh di Taman Negara Komodo. Ia merupakan zon rizab seluas 202 hektar di timur Indonesia. Kawasan tersebut cukup terkenal dengan komodo yang merupakan cicak terbesar di dunia.

Selain daripada reptilia itu, kawasan terpencil tersebut juga menempatkan pelbagai spesies dan hidupan laut menarik seperti batu karang yang berwarna merah serta kuning pendarfluor.

Di situ juga menjadi habitat sotong kurita bermata jalur hijau limau dan ular laut hitam serta biru.

Menurut pengusaha aktiviti selam skuba dan ahli pemuliharaan, kerajaan tidak melakukan penguatkuasaan secukupnya untuk membendung aktiviti nelayan haram di sempadan taman negara itu, sedangkan ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) .

Mereka berkata, penguatkuasaan merosot dengan mendadak berikutan kumpulan alam sekitar dari Amerika Syarikat (AS) yang membendung amalan perikanan tanpa etika, telah meninggalkan zon itu dua tahun lalu.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai tempatan membidas kenyataan tersebut dengan mengatakan terdapat puluhan tangkapan telah dilakukan, malah berdepan beberapa insiden tembak-menembak dengan suspek sehingga maut.

Nelayan haram

Seorang jurulatih skuba dan jurugambar dalam air profesional yang telah melakukan beratus-ratus lawatan ke kawasan itu, Michael Ishak, berkata, dia melihat lebih banyak nelayan haram pada tahun ini berbanding tahun-tahun lalu.


IKAN-IKAN dan terumbu karang mewarnai lautan Taman Negara Komodo kini diancam aktiviti penangkapan ikan secara haram.


Pada bulan lalu, dia telah kembali ke salah satu kawasan yang digemarinya iaitu Tatawa Besar yang terkenal dengan panorama warna-warni ikan kepala batu, ikan basslet dan penyu.

Michael terkejut apabila mendapati kira-kira 500 meter persegi kawasan terumbu telah tercemar.

"Pada mulanya saya terfikir, tidak mungkin perkara itu terjadi dan menyangka telah menyelam di lokasi yang salah. Bagaimanapun, ia merupakan lokasi yang sama. Semua terumbu karang keras telah diletupkan malah diterbalikkan tetapi ada yang masih hidup. Saya tidak pernah melihat keadaan ini," katanya.

Batu-batu terumbu karang yang terdapat di taman negara sepatutnya dilindungi, tetapi nelayan-nelayan tertarik dengan kawasan berkenaan kerana terdapat ikan-ikan popular tempatan yang mempunyai nilai eksport tinggi seperti kerapu dan siakap.

Dalam pada itu, semakin banyak ikan mati di lantai laut dan terapung di permukaan lautan dan ia dapat dilihat dengan jelas oleh pengusaha selam skuba.

"Masalah utama adalah nelayan seolah-olah bebas memasuki Taman Negara Komodo dengan mengabaikan peraturan penggunaan sumber," kata saintis perikanan, Jos Pet, yang pernah berkerja bersama beberapa kumpulan pemuliharaan marin di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Dia berkata, mereka bagaikan mengosongkan tapak khazanah dunia tersebut.

Sementara itu, ketua taman berkenaan, Sustyo Iriyono, berkata, masalah tersebut sengaja diperbesarkan dan menafikan dakwaan tentang kelemahan aspek penguatkuasaan.

Dia berkata, renjer telah menahan lebih daripada 60 nelayan dalam tempoh dua tahun, termasuk kumpulan lelaki ditangkap pada bulan lalu selepas mereka kelihatan menjalankan pengeboman ikan di perairan bahagian barat taman itu.

Insiden serangan

Bahkan dia menambah, salah seorang daripada suspek telah ditembak dan terbunuh selepas nelayan-nelayan cuba melarikan diri dengan membaling bom ikan pada renjer. Tiga lagi termasuk remaja berusia 13 tahun mengalami cedera ringan.


PENGUNJUNG yang mengunjungi Taman Negara Komodo pasti dapat melihat 'penghuni' tetap taman berkenaan.


"Tidak ada orang boleh mengatakan saya tidak bertindak tegas dalam membendung orang yang menghancurkan lokasi selaman!" tegasnya.

Dia menambah, taman tersebut merupakan salah satu daripada beberapa lokasi di Indonesia yang kerap dipantau bagi mengawal aktiviti pengeboman ikan.

Bagaimanapun, penyelam-penyelam berkata, penguatkuasaan telah menurun secara mendadak sejak tahun 2010 apabila kerajaan mengambil alih operasi taman berkenaan.

Sejak dua dekad lalu, The Nature Conservancy, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di AS telah membantu kerajaan menangani isu penangkapan ikan yang membawa kemusnahan.

Pada tahun 2005, pihak kerajaan telah memberi permit selama 30 tahun kepada The Nature Conservancy dan Bank Dunia untuk mengendalikan kemudahan pelancongan taman tersebut dengan harapan ia mampu menjana pendapatan sendiri. Bagaimanapun, perjanjian itu telah dibatalkan pada tahun 2010.

Operator-operator selaman dan jurugambar dalam air telah meminta The Nature Conservancy serta pertubuhan seumpamanya seperti Dana Alam Sedunia (WWF) Indonesia kembali ke Taman Negara Komodo untuk membantu usaha memulihara kawasan tersebut.

Kuasa ultra M3

Posted: 25 Apr 2012 07:00 PM PDT


MODEL terbaharu ini dilengkapi pemproses Intel Core i5-2467M dan kad grafik NVIDIA GeForc untuk kelancaran navigasi serta visual.


SUNGGUHPUN komputer tablet semakin mendapat tempat di hati penggemar teknologi, komputer riba mudah alih masih menjadi salah satu peranti yang menjadi keperluan pengguna hari ini.

Terbaharu, Acer telah memperkenalkan Ultrabook Aspire Timeline Ultra M3 yang merupakan model terkini dari keluarga Ultrabook dan Acer Timeline yang cukup popular dalam kalangan penggemar teknologi negara ini.

Dengan menampilkan reka bentuk dinamik dan lebih nipis, peranti terbaharu ini dijangka mampu menarik perhatian penggemar teknologi berkuasa tinggi.

Bahkan, beratnya yang hanya mencecah 2.25 kilogram (kg) tentu sekali akan memudahkan lagi pengguna yang gemar mengembara ataupun melakukan tugasan di luar pejabat.

Dalam pada itu, ia dilengkapi pemproses Intel Core i5-2467M dan kad grafik NVIDIA GeForce sudah pasti akan dapat melancarkan lagi navigasi apabila menggunakan peranti terbaharu ini.

Ia juga tentu sekali akan memberi kelebihan kepada pengguna apatah lagi bagi mereka yang gemar melakukan pelbagai tugasan dalam satu masa.

Prestasi peranti terbaharu ini turut tidak terjejas atau tersekat-sekat apabila menggunakan aplikasi multimedia dan penggunaan grafik seperti bermain permainan video.

Dengan paparan skrin 38.1 sentimeter (sm), pemacu optik dan sistem hiburan berprestasi tinggi, pengguna akan merasai pengalaman lebih menarik apatah lagi ia didatangkan bersama sistem audio Dolby Home Theater.

Bagi mereka yang gemar melayari Internet, Timeline Ultra M3 dilengkapi Acer Green Instant-On dan Acer Instant Connect untuk memastikan penyambungan Internet yang lebih pantas.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang dijual pada harga RM2,599 ini, pengguna boleh melayari laman web www.acer.com.my atau hubungi talian 1800-88-1288.

Abadikan kenangan detik ekstrem

Posted: 25 Apr 2012 06:57 PM PDT


GOPRO membolehkan anda meletakkan kamera pada kedudukan yang selamat tanpa bimbang ia terjatuh.


PEMINAT sukan lasak atau aktiviti luar seperti sukan bermotor pastinya ingin aksi anda dirakamkan untuk tontonan ahli keluarga dan teman-teman.

Kebiasaannya, mereka yang terlibat dalam sukan seperti paintball, terjunan bebas, basikal gunung mahupun perlumbaan kereta mempunyai rakan lain untuk merakamkan aksi mereka sama ada dalam bentuk foto mahupun video.

Kini terdapat satu lagi kaedah merakam gambar atau video tanpa bantuan sesiapa.

Bahkan, hasil rakaman jauh lebih menarik kerana posisi kamera diletakkan di tempat unik sekali gus merakam gambar dan video dari sudut sukar.

Sungguhpun terdapat teknik menggunakan kamera biasa yang diikat pada badan atau kenderaan, tetapi ada kalanya ia berakhir dengan kerosakan pada kamera itu sendiri.

Ia kemungkinan terjatuh kerana tidak dibina dengan perlindungan untuk aktiviti lasak.

GoPro menawarkan penyelesaian kepada mereka yang inginkan secebis kenangan daripada aktiviti mereka sertai melalui kamera berdefinisi tinggi (HD).

Ia juga tahan lasak dan ditawarkan dengan pilihan beraneka aksesori yang sesuai untuk dipadankan dengan aktiviti ingin dilakukan pengguna.

Dua pilihan model


KINI dengan GoPro anda tidak perlu lagi meminta bantuan rakan untuk merakamkan aksi lasak anda.


Didatangkan dengan dua model utama iaitu GoPro HD Hero yang sesuai digunakan oleh golongan amatur, manakala GoPro HD Hero2 untuk golongan profesional.

HD Hero atau lebih popular dengan panggilan HD Hero Original menawarkan beberapa submodel seperti HD Helmet Hero, HD Motorosports Hero, HD Surf Hero, HD Hero Naked dan HD Hero 960.

Mereka yang terlibat dalam sukan lasak yang memerlukan anda memakai topi keledar seperti basikal gunung dan sukan payung terjun boleh memilih HD Helmet Hero.

Ia didatangkan dengan aksesori khusus yang boleh dipasang pada topi keledar. HD Motorsports Hero pula amat sesuai bagi mereka yang gemar aksi sukan bermotor.

Tidak kira anda berkecimpung dalam sukan kereta drag atau gemar menguji jentera motosikal berkuasa tinggi di litar Sepang, Selangor, model itu dibekalkan dengan peranti khas yang membolehkan kamera tersebut dilekatkan dengan selamat pada kenderaan anda.


KAMERA keluaran GoPro terbukti mampu menghasilkan foto berkualiti walaupun ketika subjek dalam kelajuan tinggi.


Air bukanlah penghalang bagi HD Surf Hero untuk mengabadikan kenangan ketika melakukan aktiviti sukan air seperti meluncur air atau selaman skuba.

Hanya pasangkan kamera pada permukaan papan luncur atau di dahi pada bahagian atas topeng muka skuba untuk merakamkan kemahiran meluncur atau aksi anda bersama hidupan bawah laut.

Perbezaan ketara antara HD Hero dengan HD Hero2 ialah dari sudut spesifikasinya. HD Hero didatangkan bersama kamera lima megapiksel, manakala HD Hero2 mempunyai kamera beresolusi 11 megapiksel.

Bagaimanapun, kedua-dua mampu merakam aksi berdefinisi tinggi dengan tempoh rakaman sehingga 2.5 jam. Namun, bagi yang inginkan rakaman lebih panjang, anda boleh memilih menggunakan kad SD berkapasiti 32 gigabait (GB) yang boleh dibeli secara berasingan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories