RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Lagu Lufya untuk Zarina Anjoulie

Posted: 24 May 2012 09:03 PM PDT

ZARINA ANJOULIE


PENYANYI Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar sebelum ini 'berperang' di laman sosial Twitter dengan Zarina Anjoulie Lavocah. Ia berlaku selepas Lufya mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya pernah diganggu dan dipandang serong masyarakat gara-gara wajahnya yang seiras dengan pelakon drama Anak Ponti itu.

Kenyataan Lufya itu membuatkan Zarina telah melancarkan 'perang' terhadapnya. Zarina membuat kenyataan balas bahawa Lufya sengaja membangkitkan isu tersebut kerana namanya kurang popular.

Lufya yang mengambil sikap berdiam diri dan tidak membalas kenyataan yang dibuat oleh Zarina mengatakan perang kenyataan yang dibuat oleh Zarina itu menjatuhkan imej artis-artis di Malaysia.

Ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu anjuran Rafflesia dan Lord's Tailor di Hotel Royal Kuala Lumpur baru-baru ini, Lufya yang bakal muncul dengan lagu kerohanian berjudul Doaku sempena bulan Ramadan ini memberitahu, dia menujukan lagu tersebut untuk Zarina. Ikuti temu bual Kosmo! bersama figura berdarah kacukan Arab, Melayu dan Indonesia itu.

Kosmo!: Khabarnya Lufya ada mencipta lagu sendiri berjudul Doaku?

LUFYA: Ya, lagu Doaku hasil ciptaan saya sepenuhnya. Lagu itu merupakan lagu kerohanian pertama saya dan bakal dipasarkan pada bulan Ramadan nanti.

Benarkah lagu Doaku ini ditujukan buat Zarina?

Ketika kecoh isu saya dan Zarina, secara kebetulan lagu Doaku memang sudah siap sejak pertengahan tahun lalu. Saya bukan cipta lagu ini khas buat dia tetapi saya tujukan lagu ini kepadanya kerana kutukan yang dibuatnya terhadap saya sangat melampau.

Adakah Lufya kesal kerana membuat kenyataan tentang wajah kalian yang seiras?

Saya tidak kesal membuat kenyataan tetapi saya kesal perkara ini secara tidak langsung telah menjatuhkan reputasi artis tempatan. Secara jujur saya tidak salahkan dia, cuma isu tersebut menjadi besar hanya akibat salah faham.

Komen Lufya terhadap segala kenyataan yang diberikan oleh Zarina?

Terserah kepada dia untuk cakap apa sahaja. Saya diamkan diri kerana berfikir tidak mahu besarkan isu tetapi tidak. Sebaliknya saya dikutuk bertubi-tubi. Memang saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai isu ini lagi, cuma saya tujukan lagu Doaku kepadanya. Saya harap dia akan dengar dan hayati lagu itu.

Bercakap soal lagu, kenapa mengubah genre lagu daripada irama pop ke kerohanian?

Saya tidak mahu menjadi penyanyi yang kekal dengan satu genre lagu sahaja. Kalau boleh saya ingin dikenali sebagai penyanyi yang versatil, lagu Doaku merupakan percubaan pertama saya dan berharap agar lagu ini diterima ramai.

Adakah selepas ini, Lufya akan beralih ke lagu-lagu kerohanian?

Bukan beralih sepenuhnya tetapi saya mencuba. Saya orang biasa dan saya mengaku bukannya alim tetapi setiap hari saya berdoa untuk menjadi orang lebih baik. Jika orang yang mendengar lagu ini mendapat inspirasi, saya sudah cukup berpuas hati.

Lagu-lagu Lufya sebelum ini kurang diputarkan di corong radio, adakah Lufya yakin lagu Doaku bakal mendapat sambutan?

Soal sambutan saya tidak boleh ramal, bagaimanapun daripada pengalaman saya sebelum ini saya akan mencuba yang terbaik untuk mempromosikan lagu tersebut. Sekiranya lagu saya tidak mendapat sambutan tidak bermakna saya akan berputus asa.

Muafakat Dayang - Anuar

Posted: 24 May 2012 09:02 PM PDT


WUJUD keserasian yang nyata dalam gabungan persembahan Dayang dan Anuar.


KALI kedua selepas sepuluh tahun lalu berkongsi pentas, dua ikon pop dan R&B, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah disatukan kembali dalam konsert amal anjuran Kelab Sukan & Rekreasi Petronas (KSRP) baru-baru ini.

Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi penyatuan dua jiwa itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada Dana Asy-Syakirin, Rumah Jagaan & Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas (Puchong) dan Rumah Kasih Harmoni.

Ujar Anuar, rasa seronok ditambah gementar sebati bermain dalam jiwanya sepanjang persiapan menjelang acara sehingga tamat konsert itu.

"Rasa teruja dan seronok itu sudah pasti ada, pentas ini (DFP) merupakan satu pengiktirafan terbesar untuk kami bersama-sama membuat persembahan.

"Tambah menggeletar apabila dimaklumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir sama untuk menyaksikan konsert kali ini, tapi syukur Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan penonton terhibur," katanya yang ditemui selepas acara berlangsung.

Anuar dan Dayang pernah digabungkan bersama kali terakhir pada tahun 2002 di Planet Hollywood, Kuala Lumpur untuk sebuah persembahan yang santai.

"Namun kali ini (di DFP) memerlukan persiapan yang lebih rapi dan lebih banyak latihan bukan saja nyanyian tapi juga kiraan untuk tunduk hormat.

"Tambahan lagi kami masing-masing sibuk dan susah untuk mencari kelapangan waktu untuk berlatih bersama," cerita Dayang.

Konsert tersebut turut memperlihat keupayaan Jenny Chin selaku pengarah muzik menggabungkan vokal unik Anuar dan Dayang.

Keseluruhan konsert amal Dayang dan Anuar kali ini boleh digambarkan sebagai dipenuhi aura nostalgia.


PERSEMBAHAN penuh mengasyikkan gabungan vokal Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah sukses dalam memancarkan aura nostalgia yang memenuhi segenap ruang Dewan Filharmonik Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini.


Persembahan yang bermula seawal pukul 8.30 malam itu menghidangkan 14 buah lagu hit mereka antaranya Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Hakikat Cinta, Dayang Sayang Kamu, Aku Rindu Aku Jemu, Seandainya Masih Ada Cinta, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih.

Paling mencuri perhatian lagu yang mempopularkan nama Dayang Nurfaizah, Seandainya Masih Ada Cinta yang hanya diiringi piano begitu sukses dalam memancarkan pesona romantis dan mengasyikkan di pentas konsert itu.

Memandangkan wujud keserasian, Anuar dan Dayang ditebak dengan perpersoalan andai mereka mahu disatukan bersama dalam sebuah album pula.

Kata Dayang: "Kami pernah berbincang sebelum ini, insya-Allah apa-apa boleh jadi. Sebenarnya kesukaran yang dihadapi adalah untuk mencari lagu yang sesuai sebab tonasi suara kami berbeza."

Bagaimanapun Anuar memberikan syarat sekiranya ada pengkarya yang ingin berkolaborasi dengan dirinya.

"Saya mahukan lagu-lagu yang memberi makna positif, tidak menjemukan, memudahkan pendengar mencerna serta memiliki lirik yang tidak terlalu berbunga-bunga," tegasnya.

Rekod ciptaan Phillip

Posted: 24 May 2012 09:01 PM PDT



HAKIKATNYA, bukan satu kejutan apabila Phillip Phillips menjadi juara terkini American Idol yang telah memasuki musim ke-11.

Sejak awal kemunculan, dia hadir dengan aura dan pesona tersendiri. Dalam setiap persembahan yang dilakukan pada setiap minggu, Phillip dilihat sentiasa konsisten walau sesekali ditegur juri tentang pemilihan lagu yang dibuatnya kurang bersesuaian untuk sebuah pertandingan. Namun Phillip adalah Phillip. Dia berani mengambil risiko, mendengar gerak hati dan sentiasa tampil dengan idea yang segar.

Maka ketika dia dipilih oleh sebanyak 132.2 juta peminat sekali gus menewaskan pesaingnya yang juga bukan calang-calang gadis, Jessica Sanchez ia dilihat bukan satu keputusan yang semborono.

Malah undian tersebut merupakan rekod baharu dalam sejarah American Idol sejak program realiti TV dimulakan 11 tahun lalu.

Malah laporan akhbar Los Angeles Times menyifatkan pertarungan akhir antara Phillip dan Jessica telah menampakkan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Phillip.

Ia berikutan impak daripada keupayaan Philip yang mengalunkan lagu Billy Joel, Movin' Out menjadi seperti lagu miliknya sendiri manakala Jessica pula mendendangkan lagu balada berjudul Change Nothing.

Sementelah Jessica dikatakan langsung tidak memberi saingan kepada Phillip, malah dia disarankan Los Angeles Times untuk mencari nama komersial bagi memastikan kelangsungan kariernya berjalan lancar.

"Ia adalah satu penghormatan buat saya kerana dapat beraksi di atas pentas ini dan bermain dengan banyak orang yang hebat.

"Kepada para peminat saya, berterima kasih kerana mengundi kami berdua sehingga ke peringkat ini," ucap Phillip sebelum diumumkan sebagai pemenang baharu program tersebut.

Berusia 21 tahun, Phillip yang berasal daripada Leesburg, Georgia, Amerika Syarikat sememangnya bukan peserta yang pertama tampil dalam American Idol bertemankan gitar atau kebolehan bermain instrumen. Dia juga bukan peserta pertama yang berbakat mengubah lagu sedia ada menjadi lebih segar.

Detik debaran Phillips dan Jessica ketika melangkah di pentas final American Idol 11.


Namun hal yang tidak dapat disangkal, dalam American Idol 11, hanya Phillip seorang yang membawa 'bekal lebih' berbanding peserta lain. Tidak dinafikan 13 peserta yang bertanding kali ini masing-masing mempunyai vokal yang mengagumkan.

Sekadar menyebut beberapa nama seperti Heejun Hun, Joshua Ledet, selain Jessica sendiri, ketiga-tiga mereka memang terkenal dengan vokal luar biasa.

Heejun misalnya sentiasa menggoda audiens dengan vokal dalam tonasi rendah, Joshua yang hanya menduduki tangga ketiga memukau dengan vokal emasnya selain Jessica yang tidak pernah gagal melontar vokal gemersik dengan kawalan yang cukup baik.

Tuah bagaimanapun lebih memihak kepada Phillip. Pada malam final yang berlangsung semalam, Phillip dilihat menangis sewaktu membawakan lagu karya sulungnya berjudul Home sebaik sahaja diumumkan sebagai juara American Idol 11 sebelum dia meninggalkan pentas dan berpeluk-pelukan dengan ahli keluarganya sebagai tanda meraikan kemenangan yang diperolehnya itu.

Sentiasa konsisten menukar lagu-lagu yang diberi menjadi seperti lagu miliknya, barangkali itu yang membuat pengundi tertawan dengan kebolehannya.

Selain itu, dia yang kerap mengucapkan ucapan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan mengundinya melalui Twitter peribadinya juga dilihat menjadi antara faktor kemenangan yang diperoleh.

Sakit

Di sebalik kemenangan dan kemasyhuran yang diperoleh, ada harga yang tetap perlu dibayar oleh jejaka dengan senyuman manis itu.

Oleh kerana dia terbabit dengan American Idol 11, Phillip terlepas untuk menghadiri majlis konvokesyennya selepas tamat pengajian di Albany Technical College, Albany, New York.

SAAT gemilang Phillip sebaik diumumkan sebagai juara American Idol 11 sambil dipeluk oleh Jessica.


Pada bulan Mac yang lalu, dia juga pernah dikejarkan ke hospital kerana masalah buah pinggang yang dihidapinya selama ini.

Malah sebaik dinobatkan sebagai juara American Idol 11, Phillip akan segera menjalani pembedahan bagi membantu dia bebas daripada penyakit tersebut.

Dia juga dikhabarkan tidak akan turut serta dalam beberapa buah promosi American Idol 11 kerana pembedahan tersebut yang memerlukan dia berehat panjang.

Namun sebaik sahaja dia sihat sepenuhnya, Phillip akan terus aktif dan memulakan kembara baharunya sebagai artis sebenar. Dengan semua bakat yang telah ditonjolkan dalam American Idol 11, persoalan timbul mampukah Phillip bersaing dengan artis sedia ada dan seterusnya mengekalkan popularitinya.

Lady Gaga batalkan konsert jelajah Asia

Posted: 24 May 2012 07:40 PM PDT

LADY GAGA ketika keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang di Bangkok kelmarin. - Agensi



PENUNJUK perasaan memegang poster membantah konsert Lady Gaga di Indonesia
pada 3 Jun depan. - AFP


SINGAPURA - Bintang pop Amerika Syarikat (AS), Lady Gaga yang sebelum ini berhasrat menunda tarikh konsert jelajahnya bercadang mahu membatalkan terus konsert tersebut, kata pengurusnya, Troy Carter semalam.

Ia berikutan beberapa konsert jelajahnya yang dicadangkan berlangsung di Asia mendapat bantahan keras daripada kumpulan-kumpulan agama dan konservatif.

Menurut Carter, konsert jelajah Lady Gaga mendapat bantahan di Korea Selatan, Indonesia dan Filipina sejak dari awal ia diumumkan lagi.

"Kami akan membatalkannya," kata Carter dalam satu persidangan muzik di Singapura.

Penganut Kristian konservatif di Korea Selatan, Filipina dan kumpulan agama Islam di Indonesia mengkritik penyanyi berimej pelik itu kerana sering mempromosikan tingkah laku tidak bermoral, manakala kebanyakan lirik lagunya disifatkan sebagai memuja syaitan.

Polis Indonesia tidak mengeluarkan permit kepada penganjur bagi konsert yang dijadualkan pada 3 Jun depan di Jakarta selepas mendapat ancaman keganasan daripada kumpulan-kumpulan militan.

Lady Gaga dijangka mengadakan 110 buah konsert pada tahun ini berikutan kejayaan album Born This Way yang terjual lebih enam juta unit di seluruh dunia sejak ia dilancarkan pada Mei 2011.

Ketua Perkhidmatan Rahsia AS minta maaf

Posted: 24 May 2012 07:39 PM PDT


BEBERAPA ejen Perkhidmatan Rahsia mengawal keselamatan calon pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, Mitt Romney semasa beliau tiba di Jacksonville, Florida pada 17 Mei lalu. Agensi


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Ketua Perkhidmatan Rahsia AS memohon maaf kelmarin berhubung skandal seks di Colombia yang mencemarkan imej pasukan keselamatan elit itu ketika semakin banyak tuduhan salah laku timbul.

Anggota Perkhidmatan Rahsia didakwa melanggan pelacur sebelum Presiden AS, Barack Obama menghadiri Persidangan Kemuncak Amerika di Cartagena, Colombia.

Akibatnya, lebih 24 anggota ejen Perkhidmatan Rahsia dan tentera yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan menjelang lawatan Obama telah dihantar pulang. Sementara sembilan lagi ejen meninggalkan agensi terbabit.

"Saya sangat kecewa dan memohon maaf atas salah laku anggota-anggota ini. Kami tiada alasan untuk perbuatan ini. Apa yang boleh saya beritahu adalah kami bertindak dengan cepat," kata Mark Sullivan (gambar) kepada Senat AS dalam penampilan awam pertamanya sejak skandal itu tercetus.

Dalam perkembangan lain, empat anggota Perkhidmatan Rahsia mengambil keputusan untuk mencabar pemecatan mereka dengan mendakwa telah dijadikan kambing hitam untuk tingkah laku yang sebelum ini tidak diambil kisah oleh agensi tersebut.

Harga petrol naik 42 sen di India

Posted: 24 May 2012 07:37 PM PDT


PENUNGGANG motosikal menunggu giliran mengisi petrol di Ahmadabad susulan pengumuman kenaikan harga minyak di India kelmarin.


NEW DELHI, India - Harga petrol naik mencecah 7.5 rupi (42 sen) seliter di India berkuat kuasa semalam.

Ia kenaikan harga bahan api itu yang tertinggi di India dalam tempoh satu dekad.

Harga baharu petrol tersebut dikuatkuasakan di sini dan beberapa bandar raya lain di negara berkenaan.

Beberapa syarikat minyak utama India memberitahu, kenaikan itu perlu bagi menampung kerugian akibat pelaksanaan harga subsidi, peningkatan harga minyak antarabangsa dan penurunan nilai mata wang rupi.

India mengimport lebih tiga perempat keperluan minyak mentah negara tersebut.

Meterai bukti kota Baitul Laham wujud

Posted: 24 May 2012 07:35 PM PDT


GAMBAR yang disiarkan dalam laman web Pihak Berkuasa Antikuiti Israel kelmarin menunjukkan meterai kuno yang tertera nama Baitul Laham. - Agensi


BAITULMUQADDIS - Sepasukan ahli arkeologi Israel menemui sebuah meterai (cop mohor) berusia 2,700 tahun yang tertera perkataan Baitul Laham dalam bahasa Ibrani, kata Pihak Berkuasa Antikuiti Israel kelmarin.

Ia dipercayai bukti terawal kewujudan kota Baitul Laham seperti yang disebut dalam kitab Injil.

Penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa dilahirkan di kota Baitul Laham.

Diperbuat daripada tanah liat, meterai itu ditemui semasa kerja ekskavasi di Kota Nabi Daud, berhampiran Bandar Lama di sini.

Pengarah ekskavasi berkenaan, Eli Shukron berkata, artifak berdiameter 1.5 sentimeter itu dihasilkan antara 700 hingga 800 tahun Sebelum Masihi ketika raja-raja Yahudi memerintah kerajaan Judah atau 700 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.

Pesawat tentera patah dua

Posted: 24 May 2012 07:34 PM PDT


ANGGOTA bomba memindahkan serpihan pesawat tentera An-30 yang patah dua.


PRAGUE, Republik Czech - Sebuah jet tentera Rusia terbabas dari landasan, patah dua dan terbakar semasa mendarat di sebuah pangkalan tentera udara di Caslav, 32 kilometer dari sini kelmarin.

Beberapa pegawai Rusia berkata, tujuh orang cedera dengan seorang parah dalam nahas tersebut yang berlaku ketika pesawat itu pulang daripada misi pemantauan.

Jurucakap tentera Republik Czech, Jana Ruzickova memberitahu, pesawat Antonov An-30 buatan Rusia itu membawa 23 orang.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Kolonel Igor Konashenkov, sistem pendaratan hadapan pesawat patah semasa mendarat.

Namun, punca sebenar nahas masih disiasat.

Saintis Eropah minta bulu Bigfoot

Posted: 24 May 2012 07:32 PM PDT

GAMBAR fail 5 Jun, 2000 menunjukkan seorang sukarelawan Muzium Willow Creek, California memegang acuan kaki Bigfoot.


LONDON, Britain - Sekumpulan penyelidik Eropah merancang menggunakan teknologi baharu analisis asid deoksiribonukleik (DNA) bagi merungkai kewujudan makhluk berbulu separa manusia, Bigfoot.

Projek tersebut diumumkan oleh pasukan saintis Universiti Oxford dan Muzium Zoologi Lausanne kelmarin.

Mereka merayu pihak muzium, saintis dan peminat Bigfoot di seluruh dunia agar berkongsi sampel bulu yang dipercayai berasal daripada makhluk misteri tersebut.

Teknologi baharu itu cuma memerlukan beberapa helai bulu dengan keputusan ujian dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu.

Jika sampel tersebut didapati berasal daripada spesies yang tidak diketahui, teknologi berkenaan dapat membantu saintis mengesan sama ada Bigfoot mirip kepada spesies lain termasuk manusia dan beruk.

Seorang penyelidik berkenaan daripada Universiti Oxford, Bryan Sykes berkata, mereka telah menerima beberapa tawaran sampel untuk diuji termasuk darah, bulu dan barangan yang dikunyah oleh Bigfoot.

Sykes dan saintis lain akan meneliti semua sampel yang mereka terima sebelum memilih spesimen yang akan diuji.

Mereka akan menyiarkan hasil kajian tersebut dalam sebuah jurnal saintifik.

Helikopter pengangkut CH-46 'bersara'

Posted: 24 May 2012 07:29 PM PDT

SEBUAH helikopter CH-46 terbang di tepi pantai dekat Kem Pendleton, California kelmarin. - Agensi


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Helikopter pengangkut, CH-46 menamatkan perkhidmatan dalam tentera AS kelmarin.

Helikopter itu digunakan dalam semua konflik melibatkan pasukan Marin AS sejak tahun 1964.

CH-46 kini digantikan dengan helikopter model baharu, MV-22 'Osprey'.

Sebanyak 500 buah helikopter CH-46 telah dibina sejak hampir 50 tahun lalu.

Perancis bentuk kabinet pariti

Posted: 24 May 2012 07:28 PM PDT



BEKAS wanita pertama Perancis, Carla Bruni akan sentiasa diingati kerana personaliti dan kecantikannya yang memukau seluruh masyarakat dunia.

Bagaimanapun, baru beberapa hari beliau meninggalkan Istana Presiden di Elysee akibat kekalahan suaminya, Nicolas Sarkozy dalam pertandingan jawatan presiden baru-baru ini, nama Bruni semakin dilupakan.

Semuanya, disebabkan kehadiran ahli-ahli politik jelitawan dan glamor yang kini membarisi Kabinet Perancis di bawah pimpinan Presiden Perancis yang baharu, Francois Hollande.

Bukan satu, bukan dua tetapi hampir separuh daripada keseluruhan 34 jawatan menteri dan menteri muda di negara itu kini dikuasai golongan wanita, sekali gus mencipta sejarah baharu di Perancis.

Wanita kuasai kabinet

Malah, Hollande bersama-sama Perdana Menterinya, Jean-Marc Ayrault, hampir tenggelam di sebalik pesona dan aura wanita-wanita pilihannya itu ketika mesyuarat pertama Kabinet di Istana Presiden baru-baru ini.

Tujuh calon yang dilantik berumur 40 tahun ke bawah. Mereka termasuk Najat Vallaud-Belkacem, 34, ahli politik tempatan di Lyon yang dilantik sebagai Menteri Hak-Hak Asasi Wanita. Bekas jurucakap kempen presiden itu juga dilihat bukan sahaja menguasai media, malah turut dilantik sebagai jurucakap kerajaan.

Vallaud-Belkacem dilahirkan di Maghribi sebelum mengambil keputusan menetap di Perancis bersama bapanya, seorang imigran. Dia belajar undang-undang dan politik sebelum menyertai parti Sosialis serta memainkan peranan penting dalam perjalanan karier, Jean-Marie Le calon presiden pada tahun 2002.

Selain itu, seorang lagi menteri di bawah usia 40 tahun termasuk Aurelie Filippetti, seorang bekas ahli ekologi, novelis dan Ahli Parlimen Lorrainde dilantik sebagai Menteri Kebudayaan dan Komunikasi. Sementara itu, ketua parti Green, Cecilie Duflot dilantik sebagai Menteri Wilayah dan Perumahan.

Salah satu jawatan paling tinggi dan signifikan dalam Kabinet baharu itu ialah jawatan Menteri Keadilan yang disandang oleh Christiane Taubira.

Wanita berusia 60 tahun itu merupakan Ahli Parlimen French Guiana sejak tahun 1993 dan pernah menulis undang-undang Perancis mengenai penghambaan sebagai salah satu jenayah kemanusiaan pada tahun 2001.


HOLLANDE (dua dari kanan) meletakkan kepercayaan kepada golongan wanita untuk menjadi sebahagian daripada barisan pentadbirannya.


Beliau juga merupakan calon wanita kulit hitam yang pertama semasa pemilihan presiden pada tahun 2002.

Marisol Touraine pula dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial dan Kesihatan. Sementara itu, penerbit filem Yamina Benguigui, dilantik sebagai Menteri Muda Organisasi Francophony dan Ekspatriat Perancis.

Keyakinan tinggi

Perdana Menteri, Ayrault berkata, biarpun anggota Kabinet rata-ratanya masih baharu dan kurang berpengalaman, namun kerajaannya akan berusaha mentadbir negara itu termasuk berhadapan dengan krisis ekonomi yang sedang melanda Eropah ketika ini.

"Kami tidak boleh membuang masa kecuali bekerja keras untuk meletakkan Perancis kembali ke landasan sebenar," katanya ketika ditemui wartawan.

Pelantikan itu adalah sejajar dengan manifesto, Hollande, presiden pertama daripada parti berhaluan kiri yang dipilih sejak 20 tahun lalu untuk mewujudkan kerajaan pariti atau kesaksamaan dalam segala hal pertama di Perancis.

Ia termasuk janjinya untuk memastikan keseimbangan gender dalam barisan kabinet negara itu di samping memberi lebih banyak tanggungjawab kepada golongan wanita.

Perancis telah meluluskan undang-undang pariti pertama pada tahun 2000, memaksa semua parti politik di negara itu meletakkan jumlah yang seimbang di antara calon lelaki dan wanita ketika pilihan raya.

Undang-undang itu telah membawa kepada peningkatan ketara perwakilan wanita dalam politik tempatan, namun ia gagal dilaksanakan sepenuhnya di peringkat pusat.

Sarkozy sebelum ini juga pernah berjanji untuk mewujudkan kerajaan pariti, bagaimanapun matlamatnya tidak kesampaian.


BUAT julung-julung kalinya barisan Kabinet Perancis mempunyai bilangan ahli wanita dan lelaki yang sama.


Jumlah ahli parlimen dalam Kabinet Perancis yang lalu ialah sebanyak 18.5 peratus, berbanding 21 peratus di United Kingdom (UK) dan 46 peratus di Sweden.

Disebabkan itu, tidak hairanlah tindakan Hollande itu dilihat bertepatan pada masanya di negara yang hanya membenarkan wanita mengundi pada tahun 1945.

Tindakan Perancis itu bukan pertama kali berlaku di Eropah apabila Perdana Menteri dari parti Sosialis Sepanyol, Jose Luis Rodriguez Zapatero, mempunyai wakil yang seimbang di antara lelaki dan wanita dalam barisan kabinetnya pada tahun 2004, termasuk Menteri Pertahanan, Carmen Chacon yang sarat mengandung tujuh bulan ketika itu.

Bagaimanapun, barisan baharu Kabinet Perancis dilihat lebih baik berbanding negara-negara Eropah dengan purata 26 peratus wanita dan lebih tinggi berbanding UK yang hanya mempunyai lima wakil wanita daripada keseluruhan 23 kerusi Kabinet.

Biarpun begitu, beberapa kumpulan prowanita di Perancis, memberi amaran kuantiti tidak sama dengan kualiti.

Pendapat itu ada benarnya kerana sebahagian besar jawatan kanan dalam kerajaan masih disandang oleh golongan lelaki, kecuali jawatan Menteri Kehakiman.

Selebihnya, kaum wanita memegang jawatan yang lebih cenderung kepada portfolio bersifat kewanitaan.

Julia Mouzon daripada kumpulan aktivis wanita The Beard berkata, secara umumnya beliau gembira dengan konsep kesamarataan atau pariti yang dibawa oleh kerajaan baharu itu.

"Kami bangga dengan pelantikan menteri-menteri wanita ini. Ini membuktikan kerajaan memberi kepercayaan kepada golongan wanita untuk mengambil bahagian dan memainkan peranan dalam urus tadbir negara," katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, di sebalik perkembangan positif itu, pihaknya tetap meneruskan perjuangan agenda-agenda wanita yang telah dirancang sebelum ini.

"Kami tetap berhati-hati, ini kerana daripada lapan orang pengawai peribadinya, hanya seorang sahaja wanita.

"Kami sedang melihat sama ada berlaku rombakan dalam kerajaan pada masa hadapan untuk memberi lebih peluang kepada golongan wanita sebagai ahli teknokrat dan penasihat," ujarnya.

Tidak sukar mengisi perut di Hong Kong

Posted: 24 May 2012 07:27 PM PDT



BAGI mereka yang kali pertama mahu menjejakkan kaki ke luar negara, ia pasti menjadi suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Banyak yang perlu diuruskan sebelum memulakan perjalanan ke sesebuah destinasi.

Daripada memikirkan tentang kos, perkara lain yang perlu dibuat adalah hal-hal seperti mengemas bagasi, pelan pengangkutan, penginapan hinggalah kepada mengenal pasti tempat makan bersesuaian.

Sewaktu Kosmo! mengikuti lawatan media ke Hong Kong anjuran syarikat Alfio Raldo pada 15 Mei lalu, timbul sedikit perasaan bimbang dalam kalangan peserta lawatan terutamanya mengenai isu mendapatkan makanan halal sepanjang berada di situ.

Bagaimanapun, selama tiga hari empat malam menikmati makan tengah hari dan malam di bandar Kowloon, Kosmo! sempat menemui beberapa pengusaha makanan Muslim di situ.

Pada mulanya, agar sukar untuk bertemu dan berurusan dengan pemilik restoran makanan di situ memandangkan kunjungan ke restoran mereka tidak disertai temu janji terlebih dahulu.

Bagaimanapun, pemilik Islam Food Restaurant, Tong Wai Man, 46, yang cukup terkenal di bandar Kowloon sudi berkongsi cerita tentang operasi bisnesnya.

Wai Man ramah menceritakan mengenai salasilah kewujudan restoran milik arwah bapa mertuanya, Ma Yan Fui itu. Premis niaga di Lung Kong Road itu, menurutnya, sudah menapak di bandar berkenaan sejak tahun 1950.

Ia menyediakan kira-kira 200 jenis makanan Cina halal antaranya seperti dim sum, pau, bebola daging, sup masam, veal goulash (ban berinti daging), kari ayam dan sayur-sayuran.

Turut mendapat permintaan popular ialah menu seperti ikan goreng yang dihidang bersama daun saderi, daging kicap dan mi goreng.

Harga berpatutan

Menyentuh mengenai menu di situ, Wai Man memberitahu, setiap tahun dia akan mengubah seleksi menu di restorannya supaya para pelanggan tidak berasa bosan.

Makanan yang dijual di Islam Food Restaurant itu boleh dinikmati pada harga serendah HKD5 hingga HKD70 (RM2 hingga RM28) sehidang.


KEBANYAKAN warga Pakistan membuka perniagaan menjual daging.


Memandangkan harganya yang berpatutan, baik bagi bajet pelancong luar mahupun orang tempatan, bisnes Wai Man mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk daripada pelanggan bukan Islam.

Rata-rata daripada mereka berkunjung ke restoran semata-mata mahu menikmati fried beef dumpling (ladu daging goreng) atau fried beef cake (potongan daging goreng).

Jika dilihat pada setiap meja pelanggan, pasti kedua-dua jenis hidangan itu disajikan.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 45, berkata, dia kerap mengunjungi restoran tersebut untuk menikmati fried beef cake yang menjadi kegemarannya.

"Makanan tersebut sememangnya tiada tolok bandingan dengan restoran lain. Saya sudah berkunjung banyak kedai makanan yang menjual makanan ini, tetapi rasanya tidak seenak seperti di sini," ujarnya.

Restoran berkenaan mempamerkan logo bintang dan bulan serta tulisan jawi yang menunjukkan status halalnya. Diperoleh daripada pertubuhan Islam Hong Kong, logo itu ternyata menjadi pemangkin kedatangan pelanggan yang tidak putus-putus daripada pelanggan tanpa mengira latar etnik, budaya dan agama.

Tinjauan yang sama juga mendapati terdapat logo yang menunjukkan bahawa restoran itu tidak menyediakan minuman beralkohol kepada pelanggannya.

"Kami tidak menyediakan apa-apa jenis minuman yang mengandungi alkohol dan 100 peratus makanan di sini adalah halal," tegas Wai Man, namun tidak menafikan terdapat segelintir restoran halal yang masih menawarkan pilihan minuman berkenaan untuk pelanggan bukan Islam.

Prosedur

Ketika ditanya mengenai prosedur mendapatkan status pengesahan status makanan halal, Wai Man mengakui prosedur untuk mendapatkan sijil halal daripada pihak Pemegang Amanah iaitu sebuah pertubuhan Islam di Hong Kong tidaklah terlalu sukar.

Syarat utama untuk membuka perniagaan makanan halal di Hong Kong, pemiliknya mestilah beragama Islam.

Namun demikian, untuk mendapatkan bekalan daging halal pula, ia tidak semudah yang disangkakan.

Di seluruh Wilayah Pentadbiran Khas China itu, hanya terdapat sebuah gerai penjual daging halal yang sah di pasar basah yang berlokasi di Haiphong Road.

Dia yang kini menguruskan operasi sebuah cawangan restoran lagi di Tak Ku Ling Road (juga di Kowloon) menjelaskan, dia menghadapi kerumitan kerana bergantung kepada gerai tersebut sahaja.


WAKIL-WAKIL media cetak tidak melepaskan peluang bergambar di hadapan Islam Food Restaurant yang terletak di Jalan Lung Kong, Bandar Kowloon.


"Sejak membuka perniagaan ini, kesemua daging dibeli dari kedai berkenaan, manakala bekalan ayam pula di sekitar Kowloon.

"Dengan bergantung kepada satu tempat sahaja, ia nyata membebankan para peniaga. Sebagai alternatif, ramai pengusaha makanan mengimport daging segar halal mereka dari China dan Brazil," katanya.

Sementara itu, lain pula bagi pemilik Ma's Restaurant, Ricky Lau.

Dia yang kurang fasih berbahasa Inggeris mengakui, restoran di Cheung Sha Wan Road itu menyediakan minuman alkohol kepada para pelanggan walaupun memiliki sijil halal daripada pertubuhan Islam.

Kosmo! difahamkan penyediaan minuman tersebut memandangkan terdapat pelanggan bukan Islam yang mengunjungi restoran berkenaan.

Ricky yang memiliki lebih 10 pekerja di restoran itu berkata, dia menyediakan makanan dengan menggunakan daging dan ayam yang halal sahaja.

Dia yang beragama Islam memberitahu, cara masakan tidak mempunyai sebarang perbezaaan dengan restoran bukan Islam.

"Semuanya sama, cuma ia halal dan para pelanggan kami dari pelbagai latar agama dan bangsa menyukainya," jelasnya sambil mengakui bahawa kadar sewa sebuah premis niaga di Hong Kong sememangnya mahal.

Jangan bimbang

Pelancong beragama Islam yang berkunjung ke Hong Kong tidak perlu gusar untuk mendapatkan makanan halal.

Menurut seorang jurupandu, Lau Kwok Foo, 52, perkara tersebut bukanlah satu perkara yang susah kerana makanan halal boleh didapati di sekitar Ashley Road, Wan Chai Road dan Nathan Road.

Apa yang menarik, di kawasan itu bukan sahaja terdapat makanan Cina, malah terdapat makanan India dan Pakistan.

"Jadi, jika anda mengunjungi bandar ini (Hong Kong), pergilah ke jalan-jalan tersebut untuk mendapatkan makanan halal," jelasnya.

Santai di Pulau Langkawi bersama ibu

Posted: 24 May 2012 07:25 PM PDT


KATA-KATA yang diungkapkan oleh si anak ini membuatkan ibunya sebak dan terharu.


SEMPENA sambutan Hari Ibu pada 13 Mei lalu, Resorts World Genting dengan kerjasama akhbar Kosmo! telah menganjurkan peraduan Warkah Buat Ibu bagi meraikan golongan berkenaan.

Melalui peraduan yang berlangsung dari 6 hingga 30 April lalu, para peserta dikehendaki menulis sepucuk surat tidak melebihi 200 patah perkataan berdasarkan mana-mana enam tema yang disediakan penganjur.

Sebanyak 703 coretan warkah telah diterima dalam e-mel pihak penganjur dan setelah dinilai kesemuanya, sembilan pemenang telah terpilih untuk menikmati pakej melancong tiga hari dua malam serta sesi spa di Awana Porto Malai, Langkawi bermula 18 hingga 20 Mei lalu.

Semua sembilan pemenang tersebut bersama ibu masing-masing telah mengikuti percutian itu yang turut diselitkan aktiviti-aktiviti menarik bagi merapatkan hubungan antara ibu dan anak.

Aktiviti pertama yang mereka sertai pada petang 18 Mei itu ialah belayar dengan bot Katamaran untuk menyaksikan keindahan detik matahari terbenam sambil menikmati jamuan ringan yang disediakan pihak penganjur.


PARA pemenang peraduan Warkah Buat Ibu berpeluang bergambar bersama Naib Presiden Perhubungan Awam dan Komunikasi Resorts World Genting, Katherine Chew (duduk, lima dari kanan) dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin (duduk, lima dari kiri) di Hotel Awana Porto Malai Langkawi, Kedah baru-baru ini.


Pada sebelah malam pula, para pemenang diminta membacakan warkah kemenangan mereka kepada ibu masing-masing sambil menikmati makan malam di pekarangan resort berkenaan.

Suasana sayu mengiringi para pemenang tatkala mereka membacakan warkah kemenangan tersebut dalam aktiviti yang berlangsung kira-kira sejam.

Aktiviti diteruskan keesokan harinya seawal pukul 10 pagi dengan para pemenang dibawa menikmati keindahan Tasik Dayang Bunting sebelum belayar di sekitar Pulau Singa Besar untuk menyaksikan gelagat helang-helang Langkawi.

Mereka juga dibawa ke Pulau Beras Basah bagi melakukan aktiviti bebas selama sejam di pulau berkenaan. Ada yang mengambil peluang itu untuk bersantai di ruang redup dekat hamparan pantai yang berpasir putih dan halus.

Ada juga yang memanfaatkan peluang itu untuk menyempurnakan tugasan fotografi yang diberi bagi melayakkan mereka memenangi hadiah.

Melalui pertandingan itu, setiap pasangan ibu dan anak dibekalkan sebuah kamera Fujifilm Instax Mini '7s' dan mereka perlu mengambil 10 keping gambar di sekitar kawasan yang telah dibawa beserta aksi-aksi tertentu.


PARA pemenang teruja melihat aksi terjunan bebas ketika berada di atas bot pelayaran.


Antara contoh gambar yang perlu diambil adalah aksi peserta memakai jaket keselamatan, helang-helang Langkawi serta papan tanda di sekitar Pulau Beras Basah.

Mereka kemudian bebas untuk melakukan aktiviti bersama ibu masing-masing pada sebelah petang, termasuk merehatkan diri di spa, sebelum menghadiri majlis penyampaian hadiah pertandingan fotografi dan penerima Like terbanyak di akaun Facebook Awana Hotels & Resorts dan Kosmo! Online.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang turut menginap di Hotel Awana Porto Malai telah meluangkan masa meraikan pemenang peraduan tersebut di majlis berkenaan.

Aktiviti bebas diteruskan pada hari terakhir Ahad lalu sebelum semua pemenang berangkat pulang kira-kira pukul 3.20 petang.

Kek strawberi Sunway Putra

Posted: 24 May 2012 07:22 PM PDT


KEK strawberi yang turut menggunakan buah badam dan krim kastard.


Adakah anda teringin untuk makan kek buah-buahan yang lemak dan manis. Sudah pasti kek buah strawberi menepati cita rasa anda.

Kek buah itu yang kaya dengan vitamin C, serat dan antioksida boleh didapati sepanjang Mei ini di Lobby Lounge, Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur.

Kek Swiss roll itu diperbuat daripada buah strawberi segar, buah badam selain setiap lapisan kek berkenaan disadur dengan krim kastard dan hirisan buah strawberi.

Menggunakan asas kek span, kek tersebut disadur dengan jeli strawberi sebelum ia dihiasi dengan kepingan coklat putih.

Jadi, kunjungilah Lobby Lounge hotel itu sepanjang bulan Mei ini untuk menikmatinya sendiri bersama secawan teh panas Inggeris atau boleh dibawa pulang.

Tempat: Lobby Lounge, Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur

Tarikh: Sepanjang Mei 2012

Harga: RM9++ sepotong dan RM70++

sebiji kek

Hubungi: 03-4042 9888

Penangan cinta online

Posted: 24 May 2012 06:42 PM PDT

JIKA anda tidak bijak mengendalikan aplikasi maya seperti Facebook, ia boleh mengundang kemusnahan pada kehidupan.- Gambar hiasan


DAHULU, orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya.

Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab, adakalanya tidak. Bernasib baik kalau surat itu dijawab. Kini, posmen tidak lagi perlu menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta.

Dunia hari ini, semua jenis aplikasi online seperti Facebook, Twitter, MySpace dan e-mel menjadi medium baharu manusia menjalinkan hubungan cinta.

Medium baharu ini juga tidak mengenal usia, sama ada tua atau muda. Sebab itulah, kita selalu mendengar banyak rumah tangga yang musnah kerana cinta online. Ada yang mula menjalin semula cinta dengan kekasih lama, walaupun pada masa yang sama sudahpun berumah tangga. Hal sebegini selalu kita dengar.

Cinta online itu juga adakalanya menyebabkan ramai anak gadis kita yang terpedaya. Tidak kurang juga wanita yang berkerjaya. Bahkan, ada yang terperangkap dengan cinta palsu hingga sanggup melabur puluhan ribu ringgit ke akaun kekasih online yang tidak mereka kenali.

Inilah hebatnya cinta dalam talian, malah ada yang patah hati dan tidak kurang juga yang membawa kebinasaan.

Tahun 2006, Megan Meier, gadis berusia 13 tahun telah membunuh diri hanya kerana teman lelakinya, Jose, menyakiti hatinya dengan tiba-tiba memutuskan hubungan mereka secara dalam talian.

Dua minggu setelah Jose tidak lagi membalas mesejnya, Megan akhirnya membunuh diri. Malang sekali, 'Jose' sebenarnya tidak pernah wujud. Ia hanya nama samaran yang Megan sendiri tidak ketahui siapakah jejaka palsu itu.

Lantaran medium online merupakan penghubung ikatan manusia zaman moden, banyak laman web muncul sebagai medium penjalin hubungan. Online Dating Magazine salah satu daripadanya. Tahun 2007, dalam tempoh sebulan sahaja, lebih 20 juta pengunjung melakukan janji temu secara online sekurang-kurangnya sekali.

Sifat terbuka

Secara psikologinya, apakah bentuk emosi yang terjalin setiap kali manusia melakukan komunikasi secara dalam talian? Anda sebagai pengguna Facebook atau Yahoo Messenger tentu pernah merasainya walaupun anda tidak tahu menghuraikannya.


MEDIUM online merupakan penghubung ikatan manusia zaman moden yang berkesan walaupun tidak memerlukan seseorang itu bersua muka. - Gambar hiasan


Dikatakan bahawa melalui komunikasi online, manusia akan mengalami disinhibition effects. Dalam erti kata lain, dalam keadaan yang bersifat anonymous, didapati bahawa manusia lebih cenderung untuk bersikap terbuka dan meluahkan emosi tanpa segan silu. Dikatakan juga bahawa manusia lebih cenderung menyatakan rasa hati dengan lebih baik jika dibandingkan secara bersemuka.

Kajian juga mendapati bahawa perhubungan melalui internet menjadikan manusia lebih cepat mesra. Komunikasi secara bertulis, menjadikan manusia berfikir dahulu apa yang patut ditulis dan bagaimana untuk mempersembahkan diri. Ia sukar dalam keadaan perhubungan secara fizikal kerana ada hal-hal yang tidak boleh dilakonkan.

Dikatakan juga, komunikasi melalui internet ini adakalanya lebih memungkinkan manusia menunjukkan diri mereka yang sebenar (true self). Mereka mungkin menyembunyikan nama sebenar tetapi watak, sifat dan diri mereka sebenar banyak ditonjolkan melalui tulisan.

Sebab itulah, dalam banyak situasi, ada ramai manusia baik yang boleh kita temui secara dalam talian. Bagaimanapun, jangan pula terpedaya. Ada manusia yang pandai memanipulasi keadaan ini.

Kita sering didedahkan dengan kisah mangsa yang telah dijual ke luar negara kerana terpedaya dengan cinta palsu, sama ada sebagai keldai dadah atau pelacur. Ini adalah antara musibah di sebalik tabir keindahan dunia online.

Kecurangan

Jalinan online juga sebenarnya memberikan kesan terhadap perasaan cemburu manusia. Dulu, rasa cemburu akan timbul kalau ada pasangan yang bermain mata dengan orang lain. Sekarang ini orang tidak bermain mata lagi. Facebook telah menjadi medium baharu yang tidak ada pada zaman sebelumnya.


MANUSIA lebih cenderung untuk bersikap terbuka meluahkan emosi tanpa segan silu melalui komunikasi online. - Gambar hiasan


Bagaimana agaknya sifat cemburu manusia kalau tahu pasangannya ada hubungan online dengan orang ketiga?

Kajian mendapati bahawa cybersex atau komunikasi yang terarah kepada rangsangan seks dianggap sebagai sama dengan perlakuan melakukan hubungan seks dengan orang lain. Ia dianggap sebagai satu bentuk kecurangan.

Wanita juga didapati sangat marah kalau mendapat tahu bahawa pasangan lelakinya mempunyai hubungan online dengan wanita lain, seolah-olah pasangan lelakinya itu ada ikatan emosi dengan wanita lain. Ini dibuktikan dalam banyak kajian.

Bahkan, wanita juga lebih besar kemungkinannya jika dibandingkan lelaki untuk sanggup memutuskan hubungan kalau mendapat tahu pasangannya menjalinkan hubungan online dengan wanita lain.

Bagaimana dengan anda?

Hakikatnya, medium online bukan sekadar menjadikan kita lebih mudah menjalin hubungan dengan teman-teman lama atau rangkaian perniagaan tetapi ia juga satu cabaran terhadap rumah tangga dan hubungan cinta.

Ia cabaran baharu yang sedang kita lalui. Bergantung sejauh manakah kita bijak memanfaatkannya, ia juga bakal menjadi medium menjadikan hidup manusia semakin huru-hara.

Nyaris Maut, Nassier Wahab Trauma

Posted: 24 May 2012 02:37 AM PDT

Nassier Wahab

PETALING JAYA: Penyanyi Nassier Wahab tidak dapat melupakan peristiwa ngeri yang berlaku kepadanya dan keluarga apabila terlibat dalam kemalangan di kilometer 433.7 Bukit Beruntong pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, Nassier berkata, kereta Honda Accord miliknya yang dipandu oleh seorang pembantu peribadi melanggar pembahagi jalan berulang kali.

"Pada waktu itu hujan turun dengan lebat dan kami sekeluarga sedang dalam perjalanan dari Pulau Penang menuju ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan nyanyian.

"Entah macam mana tiba-tiba kereta itu hilang kawalan dan terus melanggar pembahagi jalan. Mujurlah kami selamat. Cuma isteri saya yang duduk di bahagian belakang bersama anak patah tulang bahu.

"Ketika kereta sedang berpusing, saya hanya berserah kepada Tuhan dan berdoa supaya tiada kereta lain yang melanggar kami. Sehingga ke hari ini kami masih trauma dengan kejadian itu," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Tambah Nassier, dia kecewa kerana tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada sepasang suami isteri warga emas yang sanggup meredah hujan bagi membantu kami," katanya.

Sementara itu menurut Nassier, beliau terus dihantui trauma apabila dia dan abangnya yang pulang dari bengkel kereta pada Khamis (hari ini) sekali lagi nyaris terlibat dalam kemalangan.

"Ketika kami dalam perjalanan, saya ada bercakap kepadanya yang kita patut bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kehidupan di dunia ini dan redha dengan apa yang berlaku.

"Sebaik sahaja kami menukar lorong ke kanan, tiba-tiba sebuah lori telah melanggar beberapa kereta di lorong tengah.

"Kami terkejut dan mujurlah Allah menggerakkan hati kami untuk beredar dari lorong tersebut," tuturnya.

Dalam nada syukur, Nassier turut melahirkan rasa sedih apabila kereta kesayangannya itu remuk dan menelan kos sebanyak RM10,000 untuk membaikinya.

"Memang saya menangis melihat kereta saya hancur kerana ia dibeli hasil daripada titik peluh saya menyanyi. Tetapi bila fikir semula, duit boleh dicari, nyawa pula tiada pengganti.

"Bagaimanapun, berdasarkan apa yang berlaku, saya ingin menasihati semua untuk berhati-hati ketika memandu terutamanya ketika hujan," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

I am really lovіng the theme/dеsіgn of yοur web site.
Do you ever гun into any browser cоmpatibility issues?
A couple of my blog vіsitoгs haνе complained about my sіte not operating correctlу in Exрloгer but looks greаt in Firefox.
Do you have any solutionѕ to help fix this issue?



Also visit my web blog :: This Resource site
my page > Howtoplaytheflute.org/

Catat Ulasan

Categories