RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Nenek dibuli dapat sumbangan RM2.21 juta

Posted: 22 Jul 2012 05:17 PM PDT


IMEJ yang dirakamkan dari YouTube menunjukkan Klein tidak mempedulikan ejekan dan kata-kata kesat yang dilemparkan budak sekolah di dalam sebuah bas di New York.


NEW YORK - Laman Indiegogo di internet berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak AS$703,873 (RM2.21 juta) dalam tempoh sebulan untuk diberikan kepada seorang nenek, Karen Klein yang dibuli sekumpulan budak sekolah.

Kempen mengumpulkan derma itu dimulakan oleh seorang lelaki dari Toronto, Kanada, Max Sidorov, 25, di laman tersebut.

Pada satu temu ramah bulan lalu dengan saluran ABC News, Sidorov berkata, dia pernah dibuli.

"Saya tahu perasaan dibuli dan sepatutnya tiada ada sesiapa pun yang perlu melaluinya," katanya.

Pengumpulan derma itu berakhir pada Jumaat lalu.

Pada mulanya, sasaran wang yang mahu dikumpulkan ialah sebanyak AS$5,000 (RM15,747) bagi membiayai percutian Klein yang berusia 68 tahun.

Seorang jurucakap laman itu menyatakan lebih 32,000 orang memberi sumbangan.

Menurutnya, sumbangan tersebut datang dari 84 buah negara.

Derma itu dilakukan selepas sekumpulan budak sekolah berusia 12 dan 13 tahun memuat naik video di laman Facebook dan YouTube pada bulan lalu.

Video yang dirakamkan menerusi telefon bimbit itu menunjukkan Klein cuba untuk tidak mempedulikan ejekan dan kata-kata kesat yang dilemparkan kumpulan budak sekolah tersebut berhubung berat badannya di dalam sebuah bas sekolah.

Budak tersebut merupakan pelajar Sekolah Tinggi Greece Athena di sini.

Klein yang berkhidmat sebagai pemantau keselamatan pelajar dalam bas sekolah menyatakan dia amat menghargai sumbangan tersebut.

Menurutnya, sebahagian wang tersebut akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan.

10 maut akibat hujan paling lebat di Beijing

Posted: 22 Jul 2012 05:16 PM PDT


AP
SEORANG lelaki mendukung seorang wanita dekat sebuah kereta yang terperangkap dalam banjir di Beijing kelmarin.



AFP
BEBERAPA orang berjalan dalam hujan di tepi runtuhan sebuah struktur bangunan di Beijing kelmarin.


BEIJING - Seramai 10 orang maut selepas hujan paling lebat dalam tempoh 60 tahun melanda ibu kota China ini yang turut menyebabkan banjir, lapor agensi berita Xinhua semalam.

Kira-kira 80,000 orang turut terperangkap di sebuah lapangan terbang utama di sini ekoran hujan tersebut.

Hujan itu bermula pada waktu tengah hari kelmarin dan berterusan sehingga malam.

Beberapa batang jalan raya turut dilanda banjir.

Menurut agensi berita tersebut, dua orang terbunuh selepas bumbung sebuah bangunan runtuh manakala seorang lagi maut dipanah petir di pinggir Tongzhou.

Beberapa kematian lain berlaku disebabkan kejutan elektrik ekoran tiang elektrik tumbang, lapor Xinhua.

Menurut Beijing News, lebih 500 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Bagaimanapun, sistem tren bawah tanah tidak terjejas walaupun terdapat ramai orang yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke rumah selepas mereka tidak dapat menggunakan teksi, bas dan kereta sendiri.

Menurut Xinhua, ibu kota ini menerima secara puratanya kira-kira 170 milimeter (mm) hujan.

Ia melaporkan daerah perbandaran Fangshan menerima sebanyak 460mm hujan.

Budak hidap tumor dibawa ke AS

Posted: 22 Jul 2012 05:13 PM PDT


GAMBAR menunjukkan tumor pada badan Jose.


ALBUQUERQUE, New Mexico - Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang mempunyai tumor pada badannya telah dibawa keluar dari sebuah kawasan perumahan yang berbahaya di Mexico dengan menggunakan kenderaan berperisai oleh ejen-ejen keselamatan Amerika Syarikat (AS), kata keluarganya.

Budak tersebut yang identitinya hanya dikenali sebagai Jose dibawa ke sempadan untuk mendapatkan rawatan perubatan di New Mexico, AS.

Dia dan keluarganya dibawa keluar dari kawasan perumahan yang terkenal dengan kegiatan jenayah di Ciudad Juarez setelah beberapa kakitangan sebuah gereja melihatnya dan berusaha untuk membantunya.

Keluarga budak tersebut menyatakan tumor di leher dan bahunya itu semakin membesar sehingga menjejaskan penglihatannya.

Tumor itu dihidapi budak tersebut sejak dia dilahirkan.

Namun, keluarganya tidak mempunyai wang untuk membawanya menjalani rawatan.

Penyelaras bantuan untuk Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri AS, Denise Gutierrez berkata, dia seperti mahu menghulurkan bantuan selepas melihat gambar budak tersebut.

Gutierrez menyatakan budak itu dan bapanya diberikan visa kemanusiaan selama 45 hari untuk menjalani rawatan.

Pasukan Pengawal Sempadan AS membantu membawa masuk budak tersebut memasuki New Mexico.

Tentera Bashar bertempur di Damsyik

Posted: 22 Jul 2012 02:22 PM PDT


AFP
SEBUAH bangunan musnah akibat serangan tentera Bashar di pinggir Damsyik.


AMMAN - Para pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad (gambar) dekat sebuah ibu pejabat agensi perisikan di bandar Aleppo, utara negara itu semalam.

Menurut saksi-saksi, beberapa buah helikopter membedil beberapa daerah di Damsyik dalam usaha untuk mengusir para pemberontak.

Pertempuran berlaku di beberapa bahagian lain di Aleppo yang merupakan hab perdagangan dan industri.

"Bunyi letupan kedengaran dari beberapa tempat yang berbeza sehingga menggegarkan bandar raya itu.

"Satu pertempuran melibatkan insiden berbalas tembakan berlaku dekat Ibu Pejabat Keselamatan Negara di daerah al-Mouhafaza sejak waktu pagi," kata seorang suri rumah kepada agensi berita Reuters menerusi telefon.


REUTERS
SEBUAH trak musnah dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad di Erbeen, Damsyik kelmarin.


Sementara itu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat menyatakan Washington memberikan bantuan sebanyak AS$100 juta (RM314.95 juta) kepada Jordan untuk membantu puluhan ribu penduduk Syria yang melarikan diri dari negara mereka.

Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, lebih 19,000 orang telah terbunuh di Syria sejak kebangkitan penduduk menentang pemerintahan Bashar bermula pada tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya 19,106 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sejak Mac tahun lalu," kata seorang kakitangan kumpulan itu, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.

Jumlah itu melibatkan 13,296 orang awam, 4,861 askar Bashar dan 949 pembelot.

"Jumlah itu tidak termasuk ribuan orang yang hilang di dalam tahanan," katanya.

Polis hidu bau nafas penunggang motosikal

Posted: 22 Jul 2012 02:21 PM PDT



SEORANG anggota polis menghidu bau nafas seorang penunggang motosikal semasa satu sekatan jalan raya diadakan di Kathmandu pada 17 Julai lalu.


KATHMANDU - Beberapa anggota polis di sini menghidu bau nafas para penunggang motosikal bagi mengesan mereka yang meminum minuman keras, lapor agensi berita AFP semalam.

Ketiadaan alat penguji nafas dan ujian darah menyebabkan anggota-anggota polis menggunakan kaedah mengesan bau nafas para penunggang motosikal.

Salah seorang penunggang motosikal itu, Ram Thapa, 27, telah dikenakan denda sebanyak 1,000 rupee (RM37.79) manakala lesennya dirampas kerana polis mendapati nafasnya menunjukkan dia telah meminum minuman keras.

Namun, dia tidak ditangkap.

Menurutnya, dia minum tiga gelas kecil wain buatan tempatan.

Gaya hidup pengaruhi cita rasa

Posted: 22 Jul 2012 02:19 PM PDT



SUDAH masuk dua kali Ramadan tinggal berjauhan daripada keluarga, hati Md. Aznan Jusoh, 39, pasti terusik apabila terkenangkan isteri dan anak-anaknya yang menetap di Kulaijaya, Johor Bahru. Memori waktu bersahur bersama keluarga pada tahun-tahun lalu masih segar dalam ingatannya.

Akur dengan tuntutan tugas sebagai pemandu van dan bas di sebuah institusi pengajian tinggi di Selangor, dia ternyata merindui momen bersama keluarganya lebih-lebih lagi apabila Ramadan menjelma.

Walaupun tidak bersahur bersama keluarga tercinta, Aznan mempunyai perancangan yang rapi untuk menghadapi Ramadan terutamanya ketika waktu bersahur.

Bercakap tentang persiapan pada awal pagi sebelum fajar itu, dia lebih gemar memasak sendiri hidangan sahur berbanding membeli hidangan di restoran mahupun di bazar Ramadan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di negara ini.

"Seperti bulan Ramadan tahun-tahun sebelum ini, saya pastikan saya memasak sendiri hidangan sahur kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan.

"Hidangan yang menjadi pilihan tentunya hidangan yang mudah untuk disediakan. Paling utama, ia mampu memberikan khasiat kepada saya," jelasnya yang mempelajari cara-cara memasak daripada isterinya sejak 10 tahun lalu.


AZNAN sudah dua tahun berjauhan dengan keluarga pada bulan Ramadan. Segala persiapan berpuasa seperti bersahur dilakukan sendiri.


Menu nasi putih, sayur lemak kacang panjang, ikan goreng dan budu menjadi pilihan utama kepadanya kerana kesemua menu tersebut tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan serta kosnya murah.

"Sebagai anak jati Kelantan, budu mampu menambah selera saya ketika waktu bersahur," ujar bapa kepada dua anak itu.

Tidak hanya tertumpu pada satu menu, dia juga akan memasak hidangan sampingan seperti kari daging, kari ayam, kacang panjang masak kicap, tomyam campur atau singgang ikan untuk bersahur. Jika ada lebihan lauk, ia akan disimpan untuk hidangan berbuka puasa pada hari tersebut.

Ala kadar

Dalam konteks masyarakat di Malaysia, amalan bersahur berbeza dengan waktu berbuka puasa. Ketika berbuka puasa, lazimnya lambakan makanan dan minuman tersedia di atas meja untuk menjadi santapan.

Namun, sudah menjadi kebiasaan umat Islam di negara ini terutamanya lelaki, mereka lebih gemar bersahur dengan hidangan ala kadar.

Walaupun kaum Hawa lebih sinonim dalam proses penyediaan hidangan untuk bersahur, kaum lelaki khususnya yang tinggal bersendirian mementingkan amalan bersahur walaupun secara sederhana.

Jika Aznan memilih untuk menyediakan hidangan sahurnya sendiri, berbeza pula dengan seorang pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam, Eddy Aqmal Mohamed Hamidi, 22.


MUHAMMAD AZMAN (kanan) bersama isterinya gembira dapat menjalani ibadah puasa dan rutin bersahur sebagai suami isteri buat kali pertama.


Penuntut itu memilih untuk bersahur dengan rakan-rakan sebilik yang tinggal bersama di kolej kediamannya di Wisma Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Seksyen 3, Shah Alam.

Gemar mencuba pelbagai hidangan dari gerai yang berbeza di sekitar Shah Alam, beliau mempunyai lebih variasi dalam pemilihan hidangan bagi menepati keinginan seleranya waktu bersahur.

"Kebiasaannya saya dan rakan-rakan akan ke Uptown, Seksyen 24, Shah Alam dan restoran yang menjadi pilihan kami ialah D'Selera Timur Uptown kerana masakan panasnya seperti nasi goreng cendawan, tomyam dan nasi paprik menepati cita rasa di samping harganya yang berpatutan.

"Sebagai pelajar, pengisian waktu malam saya sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti sukan bersama rakan-rakan seperti bermain futsal dan badminton. Kadangkala aktiviti itu berlanjutan sehingga waktu sahur," ujar anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu.

Sudah menjadi lumrah seorang pelajar, masalah kewangan adalah aspek yang amat diberi perhatian memandangkan dia sentiasa membeli makanan untuk bersahur dan berbuka puasa.

Tambah Eddy, walaupun dia seronok bersahur bersama rakan-rakan, dia tetap merasakan bahawa bersahur di rumah bersama keluarga adalah yang terbaik untuk dirinya.

Institusi kekeluargaan memainkan peranan yang penting terutamanya untuk mendidik ahli keluarga merasai kenikmatan menjalani ibadah itu bersama-sama.

Selain itu, hubungan silaturahim antara ahli keluarga menjadi lebih erat. Suami digalakkan untuk membantu isteri dalam penyediaan juadah ketika bersahur dan kemudian bersama-sama menunaikan solat subuh berjemaah.

Sahur berpasangan


EDDY merasakan lebih mudah dan seronok jika bersahur bersama rakan-rakan di luar rumah.


Bagi pasangan suami isteri, Muhammad Azman Masdarajis, 24, dan Nursyuhada Nadzeri, 24, ibadah puasa pada tahun ini menjanjikan kelainan kepada mereka kerana ini merupakan Ramadan pertama yang akan ditempuhi setelah tujuh bulan berkahwin.

Lebih manis, mereka juga menanti kehadiran cahaya mata yang dijangka lahir selepas Syawal nanti.

Bagi Azman, dia amat teruja kerana pada tahun ini dia tidak lagi keseorangan ketika bersahur sebaliknya isteri tersayang akan menemaninya.

"Kami jarang memasak ketika di rumah lebih-lebih lagi isteri saya sedang sarat mengandung. Saya dapat jangkakan bahawa kami akan lebih kerap bersahur di luar berbanding di rumah.

"Isteri saya gemar makan burger dan dia juga mahu hidangan burger untuk menu sahur kami nanti. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak isteri saya," ujar siswazah bidang Sains Kuantitatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Jelasnya, dia dan isteri tidak cerewet dalam perihal makanan dan mereka tiada masalah sekiranya bersahur dengan minum segelas susu sahaja.

Untuk menyara keluarga, Azman melakukan dua pekerjaan iaitu sebagai pembantu gudang pada waktu siang dan membuka gerai burger di Bandar Seri Permaisuri, Cheras pada sebelah malamnya.

Walaupun sibuk dengan rutin harian, dia berjanji untuk sentiasa mencari peluang menjalankan ibadah sahur bersama isterinya setiap hari.

Memberi tenaga

Amalan bersahur juga dituntut dalam Islam. Mengikut kajian saintifik, bersahur mampu memberi tenaga yang cukup sepanjang tempoh umat Islam berpuasa iaitu bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Bagi mereka yang mengambil berat tentang sahur dan manfaatnya, ibadah tersebut bagaikan satu kewajipan yang ditanam dalam diri mereka.

Prinsip itu juga menjadi pegangan pensyarah muda program komunikasi dan media, Kolej Teknologi Timur, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Muhammad Izzat Jamaluddin, 26.

Beliau merasakan setiap kali tiba bulan Ramadan, bukan sahaja ibadah puasa itu wajib malah beliau turut mengejar fadilat dan pahala ibadah sahur yang sangat dituntut dalam Islam.

Menggemari makanan yang mudah dan ringkas untuk bersahur, beliau lebih selesa bersahur di restoran mamak yang beroperasi 24 jam. Selain terdapat banyak pilihan menu, waktu operasi itu begitu ideal untuk disesuaikan dengan masa kunjungannya.

Sebuah restoran mamak yang terletak di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan sering menjadi pilihan pensyarah yang berasal dari Jitra, Kedah itu untuk bersahur.

Menurut Muhammad Izzat, faktor kekurangan restoran yang beroperasi secara 24 jam di kawasan kediamannya membuatkan beliau sanggup untuk ke restoran tersebut walaupun mengambil masa perjalanan lebih kurang 20 minit.

"Aneka pilihan makanan yang terdapat di situ membuatkan saya seronok bersahur walaupun bersendirian.

"Saya memerlukan tenaga yang cukup untuk melakukan kerja-kerja seharian dan menu yang ringkas serta mudah itu ternyata membantu untuk mengalas perut dan membekalkan tenaga sepanjang saya berpuasa," ujarnya.

Helang inspirasi hidup belia

Posted: 22 Jul 2012 02:18 PM PDT


STOTTS kini gigih membantu golongan belia bermasalah di AS untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.


BENNY dan James merupakan pasangan burung helang yang dibiakkan di Arab Saudi dan kini berada Amerika Syarikat (AS) dengan misi untuk mengubah nasib belia di negara itu.

Jika ia kedengaran seperti mustahil, begitu juga kisah Rodney Stotts, yang memakai sarung tangan getah sebaik sahaja kedua-dua burung itu bertenggek di atas di tangannya di sebuah kawasan desa yang terletak kira-kira setengah jam pemanduan dari Washington.

Stotts, 41, merupakan warga Afrika-Amerika yang mempunyai lesen yang membolehkan dia menangkap, melatih dan menyimpan helang.

Mengimbau kehidupan silamnya kira-kira 20 tahun lalu, Stotts merupakan seorang pengedar dadah di salah sebuah kawasan kejiranan di bandar raya AS yang sering dibayangi jenayah dan keganasan jalanan.

"Saya merupakan seorang pengedar dadah tegar. Saya menjual pelbagai jenis dadah seperti ganja, pil dan apa sahaja asalkan ia mampu menghasilkan wang. Saya juga menyimpan beberapa jenis senjata api," katanya kepada AFP.

"Saya fikir saya tahu segala-galanya," tambah Stotts.

"Saya terlalu angkuh dengan orang di luar. Saya sanggup melakukan apa sahaja untuk memperoleh keinginan saya."

Dia tidak bersendirian dalam menjalani sisi kehidupan hitam itu, namun dia agak bertuah kerana masih terus hidup sehingga ke hari ini. Selepas menghadiri sekitar 33 majlis penggebumian beberapa kenalannya di selatan Washington pada tahun 1992, Stotts bertekad mengubah kehidupannya.

Mencari sinar hidup baru

Langkah pertamanya adalah melibatkan diri dengan aktiviti anjuran sebuah badan bukan kerajaan, Earth Conservation Corps. Diwujudkan semasa pemerintahan Presiden AS ketika itu, George H. W. Bush, ia bertanggungjawab melaksanakan projek alam sekitar melibatkan golongan belia.

Pertubuhan itu kemudiannya melantik Stotts dan lapan individu lain untuk membersihkan Empangan Lower Beaver Creek, anak sungai Sungai Anacostia yang mengalir di bahagian timur Washington.

"Kami berjaya mengeluarkan lebih 5,000 tayar terpakai. Enjin kereta, motosikal, sofa, kerusi panjang atau kabinet dapur. Sebut apa sahaja, semuanya ada," katanya.

"Selepas tiga minggu, kami mula menemui penyu, memerang dan burung bangau biru berterbangan di sekitar empangan. Ia sesuatu yang amat bermakna dan kami tidak mampu menghalang kehadiran haiwan-haiwan itu."


STOTTS antara sebahagian kecil warga Afrika Amerika yang mempunyai lesen menjinakkan burung pemangsa.


Pada masa yang sama, aktiviti itu juga membawa kembali helang botak, burung kebangsaan AS, buat pertama kalinya di ruang udara Washington sejak tahun 1954. Sejak itu, Stotts mula mempelajari mengenai spesies-spesies burung pemangsa.

Dalam tempoh itu, dia telah melatih kira-kira 10 ekor burung, membela haiwan tersebut di sangkar yang dibina di belakang rumahnya di pinggir Fort Washington, Maryland sebelum melepaskan semula ke habitat asalnya.

Tidak sekadar menjerat dan melatih burung-burung di hutan, Stotts juga membawa 'rakan baharunya' itu mengembara ke taman-taman berhampiran, kelab yang menjadi tumpuan muda-mudi, hospital dan rumah orang tua untuk berkongsi pengalamannya.

"Saya melakukannya selama 96 hari yang lalu tanpa henti. Saya membawa burung-burung itu ke kesemua lokasi berkenaan.

"Berjalan sambil membawa burung helang di tangan pastinya menarik perhatian orang ramai," katanya.

Ujarnya: "Sebahagian besar orang yang saya temui menunjukkan reaksi terkejut kerana saya berkulit hitam. Sebelum ini mereka tidak pernah melihat pengendali burung helang berkulit hitam."

Hari ini, Stotts merupakan koordinator program pengawasan burung bagi Wings Over America, salah sebuah agensi di bawah Earth Conservation Corps yang menggunakan burung pemangsa untuk mengubah kehidupan dan memberi semangat kepada golongan belia bermasalah.

Sebagai permulaannya, sebuah kawasan hutan seluas 240 hektar di luar Washington serta sebuah bangsal yang kini dalam proses pengubahsuaian dipilih bagi menempatkan burung-burung itu di samping lokasi penganjuran pelbagai aktiviti yang berkaitan.

"Saya mahu menebus semua kesalahan lampau saya dengan memberi kembali sesuatu kepada masyarakat. Saya mahu golongan belia melihat mereka mempunyai alternatif untuk mengubah kehidupan.

"Saya mahu buktikan bahawa tiada apa yang mustahil dan menghalang mereka daripada melakukannya," jelasnya.

Salah seorang yang menjadikan Stotts sebagai sumber inspirasi ialah anak tirinya, Dallas Coleman, 20. Dia turut membantu melatih Benny dan James untuk melakukan persembahan di depan khalayak.

Pemudah ibadat dan pelengkap gaya

Posted: 22 Jul 2012 02:17 PM PDT



ALUNAN lagu Kain Pelikat dendangan Anuar Zain dan Ellina pasti menjentik memori lampau. Paduan melodi dan lirik ringkas menjadikan karya muzik itu mudah melekat dalam minda masyarakat sehingga ke hari ini.

Baik kanak-kanak ataupun golongan dewasa, rata-rata menggemari irama lagu Kain Pelikat. Apakah yang menyebabkan sehelai kain basahan digubah membentuk menjadi sebuah lagu? Keistimewaan kain pelikat mungkin dipandang remeh namun jasanya cukup besar kepada kebudayaan negara dan rantau Melayu.

Tiada kajian terperinci menunjukkan kain pelikat datang dari negara ini, malah kebanyakan jenama ternama pada masa kini datangnya dari negara jiran, Indonesia. Jika ada pun keluaran tempatan, ia kurang menyerlah dan sukar menembusi pasaran.

Pemodenan turut membawa pembaharuan dari segi konteks sosial masyarakat. Peradaban pada sudut pemakaian beranjak membentuk gaya moden dan adaptasi yang cuba dibawa anak-anak muda. Begitupun aura kain pelikat masih bersisa walau pengaruhnya hampir malap.


KOMBINASI kurta dan kain pelikat tenun menyerlahkan imej mewah yang ranggi pada lelaki muda.


Bekas peserta program realiti Imam Muda 3 terbitan Astro Oasis, Omar Mohd. Mokhtar, 21, berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki sepanjang bergelar lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan kain pelikat.

"Secara jujur saya jarang mengenakan kain pelikat kerana bergelar pelajar memerlukan saya memakai seluar ke kelas. Selalunya kain pelikat saya gunakan untuk menghadiri ceramah agama pada waktu malam yang dipadankan dengan jubah.

"Sejak kecil, saya memang tidak pernah dididik memakai kain pelikat. Tiada paksaan atau permintaan walaupun ayah saya sering menggunakan kain tersebut.

"Seingat saya, kain pelikat mula saya gunakan ketika di bangku sekolah rendah dan cara pemakaian pun tidak diajar sesiapa. Saya aplikasikan pemakaian samping kerana ia hampir serupa," tutur Omar yang sedang menuntut dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Industri Selangor (Unisel), Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Kain pelikat pada majoriti lelaki muda lebih condong terhadap golongan berusia. Bagi mengubah perspektif itu, Omar menyarankan agar syarikat-syarikat pengeluar kain pelikat menggunakan orang-orang muda sebagai wajah promosi.

"Keberkesanannya lebih positif kerana golongan muda mahukan sesuatu yang dekat dengan jiwa mereka. Jadi apabila melihat lelaki yang berada dalam kelompok usia mereka segak berkain pelikat, secara tidak langsung mereka jadi terdorong," luah Omar yang menggemari warna hitam.

Meskipun kain pelikat bukan kelaziman pada Omar, namun setiap kali berjalan jauh, beliau pasti membawa sehelai kain pelikat untuk tujuan bersolat.

Pelikat penyelamat

Menurut lelaki yang menetap di Melaka itu, dalam keadaan sedemikian, tahap kebersihan seluar yang dipakai mungkin boleh diragui. Ketika itulah kain pelikat bertindak sebagai penyelamat kerana kesuciannya diyakini.


BUDAYA berkain pelikat kian tenggelam dalam kalangan anak muda yang beranggapan ia pakaian yang meremehkan.


Dengan ketibaan Ramadan tidak lama lagi, tidak salah rasanya jika kaum Adam yang masih belia memilih untuk menggunakan kain pelikat bagi menunaikan solat tarawih.

Tambah Omar, kain pelikat lebih praktikal dan mudah dibawa solat. Adab beribadat juga menuntut pakaian yang bersih digunakan. Terdapat pendapat mengatakan, seluar yang dibawa ke tandas kurang sesuai dipakai untuk sembahyang namun ia tidaklah haram atau ditegah.

"Apabila ke tandas, kita mungkin tidak sedar terdapat percikan-percikan kecil najis terkena pada seluar. Najis yang melekat tersebut kemudiannya dibawa solat. Kita mungkin tidak perasan namun dari segi adab ia agak menganggu.

"Jadi, golongan lelaki dinasihatkan supaya membawa sekurang-kurangnya sehelai kain pelikat bersih bersama terutamanya mereka yang sering bekerja di luar pejabat," saran Omar.

Cara pemakaian kain pelikat juga diberi perhatian khusus oleh Omar. Beliau akan menyarungkan kain pelikat dari atas kepala dan bukan dari bawah seperti yang dilakukan kebanyakan orang.

Mengusik aspek tatacara penggayaan kain pelikat yang menjadi kebiasaannya, Omar menguntum senyum sebelum berkongsi pandangan.

Kain pelikat putih polos yang tidak jarang bersama jubah putih atau hitam ibarat signatur Omar. Beliau gemarkan warna senada dan mudah dipadankan.

Imej suci

Kain pelikat bermotif kotak dan baju Melayu cekak musang pula rupa asas yang lebih sesuai untuk lelaki berusia. Omar sendiri tidak begitu tertarik pada gaya sebegitu tetapi jika bijak bermain dengan warna, ia mampu mencipta konsep pemakaian yang mencuri pandangan.

Berdasarkan gaya yang dilihat pada Omar, jejaka muda di luar sana diharapkan dapat meminjam inspirasi yang ditampilkan. Paduan kurta putih ringkas bersama kain pelikat berkotak kecil biru memberi imej kesucian sekali gus menyejukkan mata sesiapa pun yang melihat.

Baju Melayu teluk belanga berkotak dengan rona merah jambu dan putih tampak menarik disatukan bersama kain samarinda. Kain pelikat yang sinonim dengan lelaki Indonesia itu amat klasik kerana coraknya seakan-akan batik.


JANGAN takut bereksperimen dengan kain pelikat berlainan jenis seperti kain samarinda ini.


Sesekali, lelaki juga perlu membentuk gaya berkain pelikat berbeza. Kain pelikat tenun berpotensi menyuntik penampilan mewah dan eksklusif walaupun harganya agak sedikit mahal. Suaipadankan kain pelikat tenun dengan baju Melayu polos bagi memberi impak maksimum pada kain tersebut.

Jean potongan ringkas

Posted: 22 Jul 2012 02:16 PM PDT


KEMEJA berkotak lengan panjang dan jean adalah gaya ringkas seorang lelaki.


SEDAR atau tidak semoden mana sekalipun trend, fesyen yang berkembang di seantero dunia, golongan jejaka masih setia pada pemakaian seluar jean. Ia disifatkan sebagai salah satu item fesyen yang membantu menyuntik kepelbagaian corak penampilan si pemakai.

Daripada gaya ranggi, santai, kasual sehinggalah stail semi formal, semuanya dapat diaplikasikan dengan bantuan sepasang seluar jean yang dipadankan bersama pelengkap gaya pilihan.

Memahami sifat segolongan jejaka yang lasak dan aktif tetapi mahu tampil segak serta kemas, jenama Levi's memperkenalkan Go Forth siri kedua yang menampilkan seluar jean terbaharu, This Is a Pair of Levi's.

Levi's ialah jenama denim asli yang direka oleh tukang jahit Jacob Davis bersama Levi Strauss pada tahun 1873 untuk seorang pemotong kayu. Pada asalnya, rekaan yang diterapkan pada seluar jean berkenaan adalah untuk menampung perut si pemotong kayu yang besar.

Keunikan Levi's

Pertunjukan fesyen Go Forth yang diadakan di dewan Zebra Square, Kuala Lumpur pada minggu lalu berlangsung dalam suasana yang cukup meriah. Sebaik saja lampu dipadamkan mata para hadirin tertumpu pada sebuah skrin besar yang memaparkan video ringkas mengenai keunikan dan keistimewaan seluar jean Levi's koleksi This Is a Pair of Levi's.

Kali ini, Levi's memilih untuk menghasilkan koleksi seluar jean berpotongan ringkas dan hasil kerja tangan yang halus. Koleksi terbaharu itu menggabungkan elemen pertukangan, kejujuran dan daya tarikan keunikan yang tersendiri.

This Is a Pair of Levi's menampilkan empat koleksi iaitu 511 Slim Taper, 520 Extreme Taper, 508 Regular Taper dan 562 Loose Taper yang diperbuat daripada material berkualiti dan bersesuaian dengan cuaca di Malaysia yang panas lembap.

Menariknya mengenai seluar jean This Is a Pair of Levi's tersebut ialah ia ideal digayakan oleh golongan jejaka daripada pelbagai kategori seperti pencinta fesyen, pelajar dan pemuzik. Begitu juga kumpulan artis, usahawan, korporat mahupun golongan profesional.

Selain baju T, seluar jean Levi's This Is a Pair of Levi's sesuai dipakai bersama kemeja, singlet, jaket kulit ataupun kardigan pelbagai warna serta corak.

Koleksi This Is a Pair of Levi's dijual pada harga antara RM189 hingga RM399 di butik Levi's di seluruh negara.

Warna segar sandal FitFlop

Posted: 22 Jul 2012 02:11 PM PDT


PADANAN warna kontra memberi kelainan gaya si pemakai.


DI negara yang mengalami musim panas, kesempatan bergaya selama beberapa bulan tentunya tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Biarpun hanya menyarungkan sandal yang menjadi penyeri sepasang kaki, ia perlu dilakukan penuh stail.

Jenama FitFlop kini menawarkan rangkaian rekaan dan warna terbaharu buat penggemarnya melalui koleksi musim panas 2012. Bagi pengikut jenama itu di Malaysia, iklim tropika sepanjang tahun membolehkan seleksi FitFlop itu digayakan pada bila-bila masa.

Bagi koleksi kali ini, kombinasi warna menjadi tarikan imej segar bagi model sandal wanita yang paling digemari ramai. Kejutan padanan warna menjadikan penampilannya lebih menyerlah tanpa berkompromi dengan aspek keselesaan.

Sebagai contoh, model Gemini menerapkan ciri blok warna melalui nama-nama kombinasi rona seperti Sunflower/Mink, Silver/Tan, Urban White/Tan dan Black/Tan. Ia diperbuat daripada material kulit premuim pada bahagian luar dan lapisan dalaman yang lembut dan selesa.

Sementara itu, model Floretta pula menghiasi kaki pemakainya dengan kuntuman bunga mekar. Gabungan warna seperti yang dinamakan Flame/Tan dan Pewter/Black nampak menarik pada setiap langkah, lebih-lebih lagi dengan tali pelaras di bahagian belakang tumit bagi kawalan pergerakan yang maksimum.

Lanjutan daripada model Rokkit yang cukup dikenali dalam koleksi sebelum ini, model Flare ialah versi yang direka lebih langsing. Hadir dalam tiga gabungan warna yang dinamakan Dark Shadow, hitam dan Pebble, sandal tersebut mempunyai hiasan batu-batu kilat pada bahagian jalur atasnya. Semua itu menjadikan pemakainya seumpama seorang fashionista, biarpun dalam persalinan yang ringkas dan santai.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories