Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Populariti Sederhana Tidak Ganggu Amy Mastura
- Ustaz Don: 'Syurga isteri saya, syurgalah untuk saya'
- Kenangan Konsert Untukmu Loga
- Tomok tidak kecewa
- Syazwan bebas kontroversi
- Bomoh gila seks ditangkap
- Gadis kilang campak bayi direman
- Tidak sanggup kembar dipisah
- Dua firma Jepun tutup operasi
- William, Kate naik perahu perang
- Polis rampas kokain bernilai RM9.13j selepas berbalas tembakan dengan penyeludup
- PM Zimbabwe temui cinta sebenar
- Kelapa hibrid jana lebih hasil
- Pencemaran sungai di Jawa Barat
- Fabrik kapas sejukkan tubuh
- Istimewanya Sai Florist
- Puitis cara dua pria
- Hari tanpa kereta di Brussels
Populariti Sederhana Tidak Ganggu Amy Mastura Posted: 17 Sep 2012 08:55 PM PDT Amy, 41, berkata, dia tiada masalah dengan situasi itu kerana baginya apa yang lebih penting dia mampu mengekalkan prestasi kerjanya sehingga pada tahap berkenaan. "Dari dulu lagi saya tidak pernah mengharapkan populariti kerana apa yang penting saya melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan. "Tambahan pula saya tidak pernah menyangka akan berada di tahap ini kerana dulu saya sasar untuk buat sebuah album sahaja," katanya selepas ditemui pada pelancaran produk Infinity Kose Prestigious di sini pada Isnin. Tambah Amy, dia juga sudah tidak perlu bersaing dengan sesiapa untuk mengejar populariti kerana ia bukan lagi menjadi keutamaannya. Dalam pada itu, Amy berkata dia bersyukur kerana sentiasa mendapat kepercayaan daripada pelbagai jenama antarabangsa yang sudi mengambilnya menjadi juru cakap produk masing-masing. "Saya selesa menjadi duta produk dan sentiasa terbuka dengan tawaran yang datang kerana itu bukti kepercayaan orang terhadap kita. "Bagaimanapun pada usia begini saya perlu memilih tawaran yang datang supaya sesuai dengan status saya sebagai isteri dan ibu," ujarnya. Mengulas pembaharuan kontraknya bersama Kose, Amy memberitahu kerjasama itu berterusan atas persefahaman mereka yang baik selama ini. "Produk ini juga sangat serasi dengan saya dan saya tiada masalah untuk meneruskan usaha sama bersama mereka. Dalam perkembangan lain, Amy berkata dia bakal muncul dengan single terbaru iaitu Itu Dulu ciptaan Panji. | |||||||
Ustaz Don: 'Syurga isteri saya, syurgalah untuk saya' Posted: 17 Sep 2012 08:27 PM PDT Gadis bernama Husna Mohd Zahry, 24 ternyata telah menawan hati ustaz yang begitu tinggi keperibadiannya. Bertitik tolak daripada itulah, kedua-dua belah keluarga telah mengikat kata sepakat untuk menyatukan mereka dalam ikatan pertunangan. Tertib pertunangan dipelihara dengan sebaiknya sehingga tidak ramai yang menyedari akan berita pertunangan Ustaz Don yang memang cukup terkenal ini. Dalam pada itu, rutin harian sebagai pendakwah diteruskan seperti biasa malah dilaksanakan oleh ustaz yang penuh kerendahan hati dengan sebaik-baiknya. Begitu juga dengan tunangannya tetap meneruskan tanggungjawab sebagai pelajar dengan penuh khusyuk. Tanggal 23 Ogos 2012 bersamaan 5 Syawal 1433H selepas Asar dalam suasana serba sederhana di kelilingi ahli keluarga kedua-dua belah pihak pengantin, Ustaz Don akhirnya dinikahkan dengan tunangannya. Majlis pernikahan berlangsung di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Jelita Kuala Sungai Pinang Balik Pulau oleh bapa pengantin perempuan, Haji Sr Mohd Zahry Shaikh Abdul Rahman di hadapan jurunikah Pejabat Agama Daerah Barat Daya Balik Pulau, Ustaz Tuan Haji Saat. Enggan dedah kisah pertemuan Ternyata Ustaz Don lebih senang tidak mendedahkan kisah cinta mereka kepada umum. Malah ketika ditanya tentang pertemuan mereka, dirinya memaklumkan biarlah kisah mereka berdua menjadi rahsia antara mereka. "Perjumpaan, biarlah rahsia. Ia berlaku lebih daripada setahun," tutur Ustaz Don ringkas. Sungguhpun demikian, dia sudi berkongsi kegembiraannya dengan para hadirin yang bertandang ke majlis pernikahan dan resepsi pengantin perempuan di Dewan PKK Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 1 September yang lalu. "Perasaan saya ketika ini, seronok. Alhamdulillah. Cuma kenduri ini diadakan selepas akad seminggu yang lalu. Secara jujurnya, sepanjang seminggu ini perasaan takut itu masih ada dalam diri saya. "Saya sentiasa mendoakan agar perasaan takut itu sentiasa kekal di dalam diri saya kerana saya tahu saya sudah mempunyai satu tanggungjawab yang besar. Yang mana, syurga isteri saya, syurgalah untuk saya," tutur pensyarah KUIS ini ketika ditemui di majlis resepsinya. Bagi mempersiapkan diri menjadi seorang suami yang bertanggungjawab, beriman dan bertakwa Ustaz Don sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya dengan mendalami kitab-kitab agama yang berkaitan. "Perkara pertama yang perlu ada dalam perancangan untuk diri saya sendiri dan keluarga saya adalah kami perlu mendalami banyak lagi kitab-kitab. Saya mahu supaya pada masa hadapan saya akan lebih mendalami bidang agama. "Tambah pula, selepas saya berada dalam dunia ini iaitu di alam perkahwinan, barulah saya nampak aspek mana yang sepatutnya saya perlu beri perhatian," sambung Ustaz Don yang bakal menunaikan haji pada bulan Oktober nanti manakala isterinya pula akan terus menyambung pengajian di Mesir. Dalam pada itu, Ustaz Don turut mengakui bahawa cabaran rumah tangga yang bakal dialami adalah sama sebagaimana cabaran perkahwinan yang akan dialami oleh pasangan yang lain. Husna mahu selalu di samping suami Menjadi isteri individu terkenal pastilah sedikit sebanyak akan membuatkan isterinya turut terkena tempiasnya. Ketika ditanya tentang reaksi Husna saat berhadapan situasi sebegitu, wanita pemalu ini jujur mengakui dirinya akan cuba menabahkan hati. "Saya akan tabahkan hati dan dalam apa juga situasi saya akan selalu ada di samping suami saya," tuturnya lembut. Barangkali tidak biasa dengan situasi temu ramah yang melibatkan wartawan dan jurugambar, Husna kelu bila ditanya tentang sifat istimewa suaminya. Sebaliknya dia hanya melemparkan senyuman sebelum ditenangkan oleh suaminya sambil memaklumkan, isterinya itu malu dan tidak biasa dengan situasi sebegitu. "Setiap orang ada keistimewaan yang tersendiri. Saya cuma boleh kata Alhamdulillah," balas Ustaz Don saat menerangkan pertanyaan mengenai ciri-ciri istimewa yang ada pada isterinya itu. "Firman Allah, jika Dia hendak memberi rezeki Dia akan beri dan tidak mengira siapa. Wallahualam," sambungnya ketika ditanya soal cahaya mata. Pada hari itu juga, Ustaz Don dan isterinya Husna sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang sudi datang meraikan kegembiraan bersama dengannya. "Cuma satu pesanan saya, tolong doakan kami, kerana boleh jadi doa salah seorang daripada kita akan dimakbulkan Allah. Saya sendiri tidak tahu sama ada doa saya atau siapa akan dimakbulkan. Jadi, hantarlah doa kepada kami dan sekalian kaum muslimin yang ada. Insya-Allah, mudah-mudahan zuriat orang Islam akan semakin bertambah dalam keadaan bertakwa kepada Allah S.W.T," ucapnya penuh kerendahan hati. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 08:24 PM PDT BARU-BARU ini, Alleycats telah mengadakan konsert amal bagi mengutip dana untuk keluarga mendiang Datuk Loganathan Arumugam atau Loga yang pernah menjadi salah satu aset penting buat kumpulan legenda negara itu. Konsert Untukmu Loga yang dibawakan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu ternyata telah mendapat sambutan hangat daripada peminat kumpulan tersebut. Walaupun keluasan lokasi konsert diadakan yang bertempat di Kelab Hits, Kompleks Scott Garden di Jalan Klang Lama, Selangor itu tidak begitu besar, namun kelab tersebut dipenuhi peminat setia yang menyifatkan konsert tersebut mampu membangkit nostalgia terhadap lagu-lagu mereka selain sebagai tanda sokongan untuk mendiang Loga. Biarpun pada mulanya lokasi konsert kelihatan begitu lengang, namun sebaik ia bermula, khalayak mula memenuhi ruang kelab tersebut. Konsert yang dimulakan pada pukul 9 malam itu menyaksikan persembahan daripada Rabbit dan Shezay, diikuti oleh Mista G yang mendendangkan lagu bergenre hip hop sebagai pemanas pentas. Acara kemuncak yang dinanti-nantikan peminat Alleycats bermula setengah jam selepas acara pembukaan yang sememangnya mendapat tepukan gemuruh daripada peminat yang menantikan persembahan mereka. Tidak dinafikan konsert berskala kecil itu mampu mengubat rindu peminat setia Alleycats yang hadir. "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang sudi hadir dan menyumbang kepada dana yang ingin diberikan kepada keluarga Loga. "Saya sangat menghargainya dan terimalah persembahan istimewa daripada kami, Alleycats," tutur Datuk David Arumugam sejurus naik ke pentas memberi seiring menerima tepukan gemuruh daripada peminat yang hadir. Antara lagu hit yang didendangkan kumpulan lagenda itu ialah Andainya Aku Pergi Dulu, Senandung Semalam, Hingga Akhir Nanti dan Senyumlah Kuala Lumpur. Selain itu, anak perempuan mendiang Loga, Priyadashini atau Dasha juga sama-sama menyumbang suara dalam konsert tersebut. Mengikut jejak langkah bapanya, Dasha menyampaikan beberapa buah lagu yang pernah didendangkan oleh bapanya ketika zaman kegemilangan Alleycats. "Saya tidak sangka ramai yang hadir ke showcase ini untuk membantu kami sekeluarga. Jutaan terima kasih dari pihak keluarga saya kepada semua yang sudi membantu. "Menyanyikan kembali lagu-lagu yang dipopularkan bapa dan Alleycats mengingatkan saya betapa bapa seorang yang cintakan muzik sepenuh hatinya," tutur Dasha terharu sebelum memulakan persembahannya di pentas kelab tersebut. Sejurus selepas itu, pentas Kelab Hits dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi, Ning Baizura yang juga menyampaikan beberapa buah lagu Inggeris serta medley lagu-lagu mendiang Whitney Houstan sebagai pembuka. Sebagai penutup, Ning menyampaikan sebuah lagu yang katanya sentiasa menjadi permintaan peminat setiap kali dia mengadakan persembahan iaitu Awan Yang Terpilu. "Saya memang meminati dan mengagumi kumpulan legenda ini. Saya juga membesar bersama lagu-lagu nyanyian Alleycats. "Jadi, saya berbangga untuk berdiri di atas pentas yang sama serta terima kasih diucapkan kepada yang sudi menjemput sama untuk sama-sama memeriahkan konsert ini," tutur Ning yang kelihatan sedikit berisi namun sentiasa ceria melayan peminat. Sementara itu, dalam ratusan peminat yang hadir, ahli keluarga mendiang Loga seperti isterinya, Datin Susan Lovie serta anak lelakinya, Vigneshwaran turut hadir sebagai tanda sokongan dan terima kasih kepada pihak penganjur serta peminat yang prihatin terhadap nasib mereka. Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada keluarga mendiang Loga. Datuk Loganathan atau lebih dikenali sebagai Loga meninggal akibat penyakit kanser pada 4 Jun 2007. Walaupun begitu, legasi kumpulan Alleycats tetap diteruskan oleh abang kandungnya, Datuk David Arumugam. Kini, Alleycats Alleycats dibarisi Datuk David Arumugam Shanmugam, Frank Ong , Khoo Fok Sin, Tan Chin Hock dan Chester Danielle Pasarella. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 08:23 PM PDT
SELAMA ini Shah Indrawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Tomok memang cukup sinonim sebagai seorang penyanyi, tetapi kini dia juga sudah mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Setelah tampil dengan filem sulung berjudul Mantera pada Mei lalu, penyanyi yang sudah bergelar bapa sejak empat bulan lalu itu bakal tampil pula dengan filem terbaharu iaitu Istanbul Aku Datang yang akan dijadualkan tayangannya di pawagam hujung tahun ini. Ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Utusan Karya di Bangi, Selangor baru-baru ini, Tomok menyatakan, bidang nyanyian masih menjadi keutamaan biarpun merasakan semakin seronok berlakon. Pada masa yang sama, juara program One In A Million musim ketiga itu mempunyai keyakinan yang cukup tinggi, filem terbaharunya itu bakal mendapat sambutan yang lebih baik daripada penonton. Kosmo!: Bagaimana kehidupan Tomok selepas bergelar seorang bapa? TOMOK: Sudah tentu kehadiran Arrian Shah Akid dalam kehidupan saya dan isteri, Siti Rahayu Abas sejak 29 Mei lalu telah menceriakan lagi kehidupan kami sekeluarga. Biarpun tanggungjawab saya kini semakin besar apabila menjadi bapa, tetapi ia langsung tidak menjejaskan kerjaya saya. Malah, tawaran membuat persembahan masih lagi banyak terutamanya pada hujung minggu. Apakah projek terbaharu anda sekarang? Buat masa ini saya, sedang dalam proses untuk menghasilkan album solo kedua selepas album sulung yang berjudul Tomok dua tahun lalu. Setakat ini baru satu lagu sahaja dihasilkan berjudul Aku Datang yang merupakan single pertama dan menjadi lagu tema filem Istanbul Aku Datang. Untuk lagu-lagu yang lain pula, ia masih lagi dalam proses pemilihan dan saya memang tidak mahu terlalu tergesa-gesa untuk penghasilan album baru ini. Saya mahu memilih lagu-lagu yang dapat diterima pendengar. Sebelum ini filem lakonan anda berjudul Mantera kurang mendapat sambutan penonton. Adakah Tomok kecewa dengan situasi tersebut? Bagi saya filem Mantera cuma mendapat kutipan tiket yang tidak memberangsangkan, namun saya tetap mendapat banyak komen yang positif daripada penonton tentang lakonan saya dalam filem berkenaan. Bagaimanapun, saya akui masih banyak lagi yang perlu saya pelajari mengenai lakonan. Malah, segala kritikan yang diterima akan saya ambil sebagai sesuatu yang positif untuk memperbaiki lagi mutu lakonan saya pada masa akan datang. Adakah anda meletakkan harapan yang tinggi untuk filem kedua anda iaitu Istanbul Aku Datang? Setiap pelakon pastinya memang berharap filem lakonan mereka dapat diterima penonton. Jadi, saya juga meletakkan harapan yang tinggi dan saya yakin sambutan terhadap filem ini lebih baik memandangkan barisan pelakon yang cukup mantap seperti Lisa Surihani dan Beto Kushairy. Sekiranya filem Istanbul Aku Datang mengalami nasib yang sama seperti Mantera, adakah anda masih lagi mahu berlakon filem? Sudah tentu saya akan terus berlakon sekiranya mendapat tawaran yang sesuai, meskipun kalau filem lakonan saya masih lagi gagal memikat hati penonton. Saya tidak perlu berasa kecewa kerana apa yang lebih penting saya kena terus berusaha memberikan yang terbaik dan tidak boleh berputus asa. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 08:22 PM PDT
KEJAYAAN drama berjudul Juvana tidak dinafikan boleh dianggap sebagai fenomena dalam industri seni tempatan kita. Lebih menambah fenomena tersebut, rata-rata pelakon yang terlibat, berjaya menempah nama dan menambat hati masyarakat Malaysia dengan lakonan yang ditonjolkan. Jika disebut nama, pasti ramai yang telah mengenali jejaka berkulit hitam manis, Syazwan Zulkifly yang memegang watak sebagai Apek dalam drama bersiri tersebut. Hari demi hari, bintang Syazwan kelihatan bersinar menerangi industri seni tanah air melalui bidang lakonan. Sepanjang bergelumang dalam bidang lakonan selama hampir dua tahun, Syazwan dilihat sebagai seorang pelakon yang setakat ini bebas daripada kontroversi. Ternyata, namanya dikenali melalui bakat yang dicurahkan melalui bakat lakonan yang dianggapnya sebagai tidak sengaja. "Saya sebenarnya tidak sangka akan menemui kejayaan dalam bidang lakonan. Ia secara tidak sengaja dan mungkin rezeki saya di sini. "Sebelum ini, saya berpendapat, jika saya punya karier lain, maka saya memang akan terlibat dengan industri perhotelan kerana sebelum menjadi pelakon, saya merupakan seorang bellman di Hotel Le Meridien dan Novotel, Kuala Lumpur. "Minat menjadi pelakon mula timbul apabila saya menonton KL Drift. Saya akui pelakon lelaki yang saya minat selain aktor-aktor lama ialah Aaron Aziz. "Melihatkan minat serta keterujaan saya terhadap lakonan Aaron, seorang teman menyarankan saya agar menghadiri sesi uji bakat sebagai pelakon baharu," imbau pemegang diploma jurusan Pemasaran dan Multimedia dari Kolej Multimedia TM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu mengenai titik permulaan dirinya dalam industri seni. Perjalanan karier Tidak menafikan Juvana banyak membantu dirinya dikenali, tutur pemuda berusia 25 tahun ini, dia mengakui semakin lama menceburi bidang lakonan ini, minatnya semakin mendalam. "Ini semua rezeki bukan buat saya seorang, namun bagi pelakon-pelakon Juvana sendiri yang turut mendapat banyak peluang berlakon selepas drama rantaian tersebut berakhir. "Alhamdulillah, rezeki saya sendiri semakin murah, barangkali kerana selain saya benar ikhlas mahu menjadi pelakon, saya telah dipertemukan dengan orang-orang yang tepat dalam industri ini yang banyak membantu saya menjadi lebih baik lagi hari ini," jelas Syazwan bersyukur dengan apa yang dikecapinya. Memulakan karier dengan produksi Filmscape melalui drama Gemilang dan seterusnya Juvana, bekerja bersama produksi tersebut, membuatkan dirinya berasa selesa. Bagi empunya diri, pelakon seperti Bront Palarae, Beto Khusyairi, Tiz Zakiah, Azhanrani serta Zahiril merupakan antara pelakon yang hebat. "Dapat bekerjasama dengan mereka merupakan salah satu pengalaman yang bagus. "Ini kerana bagi pendapat saya, mereka merupakan barisan pelakon yang bagus dan menjadi terkenal bukan sebab publisiti murahan semata-mata, sebaliknya kerana keberkesanan dalam setiap karakter yang mereka bawa. "Justeru, apabila bekerja bersama orang-orang begini, saya sebagai pelakon baharu, terikut dengan rentak kerja mereka. Makin lama, saya makin suka dan ingin lebih tahu dan mendalami ilmu lakonan," jelas Syazwan yang nyata sudah jatuh cinta benar dengan dunia seni yang baru menjadi padang permainan buatnya. Impak watak Bercerita lanjut tentang kariernya yang semakin berkembang, jelas anak jati Kuala Lumpur ini, biar masih ramai yang memanggilnya dengan karakter Apek lakonan dalam Juvana, namun harus diingat, dia kini telah berlari pantas meninggalkan sosok Apek. "Jika dalam Juvana mungkin orang memanggil saya Apek. Namun setelah berlakon dalam Jangan Ambil Padang Kami, ada pula yang menggelar saya Arai. "Kini, nama Loco mula melekat selepas drama rantaian Mana Hilangnya Juwita? ditayangkan. Begitu juga dengan drama dan telemovie yang lain," katanya yang tidak kisah dipanggil dengan nama watak yang dimainkan kerana beranggapan telah berjaya meninggalkan impak kepada peminat. Biarpun begitu, hampir semua watak yang dimainkan Syazwan merupakan watak hitam seperti seorang gangster atau budak nakal. Ia dilihat agak stereotaip. Sedar akan senario tersebut, Syazwan punya penjelasan tersendiri. "Sebenarnya saya memang seorang yang berperwatakan sedikit kasar, tidak kiralah apabila saya bersama rakan perempuan mahupun lelaki. "Sejujurnya, saya memang gemarkan karakter yang jahat seperti watak gangster, namun ada yang pernah bertanya tentang karakter yang dianggap stereotaip sepanjang bergelar pelakon. "Tapi sebenarnya, jika diteliti semula, memang watak yang saya bawa dalam beberapa buah drama atau telemovie ialah seorang yang kasar. Namun, watak kasar tersebut hadir dalam beberapa sub karakter yang dipelbagaikan dan hakikatnya, ia berbeza," jelas Syazwan. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 07:00 PM PDT SEREMBAN – Taktik seorang bomoh memperdaya pesakitnya yang terdiri daripada golongan wanita untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan akhirnya memakan diri apabila dia ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu di sini semalam. Sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya, lelaki berusia 48 tahun itu turut mengadakan upacara nikah batin dengan wanita berkenaan. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Husaini Mustafa berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan ketika merawat seorang wanita berusia 23 tahun. Katanya, ketika ditahan, lelaki berkenaan hanya berseluar dalam manakala wanita terbabit masih berpakaian lengkap. "Serbuan itu dilakukan selepas kita menerima aduan daripada orang ramai dan risikan pegawai JHEAINS selama seminggu. "Hasil daripada serbuan itu, kita menahan lelaki terbabit kerana disyaki mengamal nikah batin sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya dengan alasan untuk merawat wanita berkenaan," katanya di sini semalam. Beliau memberitahu, lelaki yang tinggal di Kuala Lumpur itu datang ke rumah terbabit untuk merawat seorang wanita yang menghadapi masalah mendapatkan anak. "Kita dapati lelaki ini menggunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk memperdaya mangsa melakukan hubungan seks dengannya dengan alasan salah satu cara untuk mengubati penyakit. "Sebelum melakukan hubungan seks lelaki ini akan mengadakan upacara nikah batin dengan bayaran mas kahwin RM200 dengan alasan untuk menghalalkan hubungan tersebut," jelasnya. Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas beberapa buah kitab perubatan termasuk satu kitab suci al-Quran yang digunakan lelaki berkenaan ketika upacara nikah batin. "Kita percaya lelaki ini sudah aktif di beberapa negeri sejak beberapa bulan yang lalu namun tiada mangsa yang tampil membuat aduan," katanya. Katanya, lelaki itu yang bekerja sendiri dan sudah berkeluarga kini ditahan untuk siasatan lanjut. Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana mencela agama Islam, Seksyen 50 kerana menggunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan Seksyen 77 kerana memikat dan melarikan wanita untuk tujuan seks. Bagi setiap seksyen, tertuduh boleh dikenakan denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. | |||||||
Gadis kilang campak bayi direman Posted: 17 Sep 2012 06:59 PM PDT PETALING JAYA - Seorang ibu muda yang dipercayai tergamak mencampak bayinya hidup-hidup dari tingkat 3 Blok 1, Flat Desa Mentari di sini sebaik sahaja anaknya selamat dilahirkan direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes perbuatan kejam itu. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Suraya Syawal pada pukul 11.30 pagi semalam. "Mahkamah membenarkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!. Menurut beliau, laporan bedah siasat ke atas mayat bayi yang cukup sifat itu mengesahkan mangsa mati akibat mengalami kecederaan serius di kepala. "Bayi itu mengalami kecederaan teruk di kepala selepas dicampak dari tempat tinggi sebelum terhempas ke bawah," kata beliau. Arjunaidi memberitahu, suspek yang berusia 20 tahun dan belum berkahwin itu melahirkan bayinya secara sendirian ketika dia berada seorang diri di rumah keluarganya. Difahamkan bayi yang cukup bulan itu merupakan anak hasil hubungan suspek yang bekerja di sebuah kilang dengan teman lelakinya. Bagaimanapun, keluarga suspek tidak menyedari gadis itu mengandung. Polis setakat ini tidak menyiasat atau menahan kekasih suspek kerana belum ada keperluan dengan kes bunuh yang dihadapi suspek wanita itu. Suspek yang memakai baju T warna hitam, bertudung, berjaket merah jambu, berkain sarung batik, berstoking dan berselipar kelihatan bersahaja ketika diperintahkan ditahan reman oleh majistret. Wanita itu yang tidak ditemani ahli keluarga ketika dibawa ke mahkamah masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Semalam akhbar melaporkan, seorang bayi perempuan ditemui mati dipercayai dicampak dari tingkat tiga flat Desa Mentari di sini. Polis yang memeriksa mayat bayi itu kemudian menahan seorang gadis yang kelihatan lemah selepas dipercayai baru lepas bersalin di tingkat tiga blok 1 di rumah flat itu. Ketika ditemui, bayi yang masih bertali pusat itu sudah tidak bernyawa lagi. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 06:58 PM PDT KUALA LUMPUR – Meskipun sudah mampu menjalani kehidupan normal, sepasang kembar Siam yang menjalani pembedahan maraton di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hampir dua bulan lalu masih tidak dibenarkan pulang ke rumah mereka di Johor. Bapa kembar tersebut yang kini berusia 17 bulan, Azli Sabran berkata, hal tersebut disebabkan keadaan Muaimin yang kini memiliki kaki kanan sahaja sering menghidap demam berbanding abangnya, Muaiman yang sentiasa ceria. Katanya, kedua-dua anaknya itu masih menggunakan saluran paip khas setiap kali mereka mahu membuang air besar selain memakan ubat-ubatan yang ditentukan oleh doktor. "Saya lebih rela berada lebih lama di hospital untuk menjaga mereka kerana yang penting mereka mesti betul-betul sihat sebelum dibawa pulang ke rumah. "Tentu sukar untuk kami berulang-alik dari Segamat ke sini sekiranya mereka memerlukan rawatan tertentu selepas dibawa pulang ke rumah," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. Pasangan kembar itu mencatatkan sejarah tersendiri dalam dunia perubatan negara apabila mereka yang mempunyai tiga kaki, bercantum di bahagian tulang pinggul, berkongsi usus dan saluran kencing berjaya dipisahkan oleh sekumpulan pakar perubatan di HKL pada Julai lalu. Pembedahan maraton yang memakan masa selama 24 jam itu dibiayai sepenuhnya oleh HKL. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 06:54 PM PDT
BEIJING - Sekurang-kurangnya dua firma utama Jepun menggantung operasinya di China ekoran peningkatan protes anti-Jepun pada hujung minggu lalu, kata kedua-dua syarikat berkenaan semalam. Kakitangan kilang Canon Inc. di bandar Zhoushan, dalam wilayah Guangdong di selatan China diberikan cuti dua hari bermula semalam selepas berlaku tunjuk perasaan yang berlaku di berpuluh-puluh buah bandar di negara berkenaan berhubung pembelian tiga kepulauan kecil oleh kerajaan Jepun. Pulau-pulau berkenaan turut dituntut oleh Beijing. "Notis yang diterima menyatakan kami diberikan dua hari cuti dan akan mula bekerja pada 19 September ini," kata seorang kakitangan kilang Canon. Menurutnya, cuti tersebut diberikan "kerana hal ehwal dalaman" pihak pengurusan kilang tersebut. Seorang kakitangan kilang firma Panasonic Corp. di bandar Zuhai yang terletak berdekatan Zhoushan pula memberitahu bahawa mereka diberikan cuti sehingga esok. Pekerja Panasonic itu yang dikenali sebagai Liao menyatakan beberapa pekerja kilang berkenaan melancarkan mogok berhubung pemilikan tiga kepulauan kecil tersebut. Gugusan pulau berkenaan dikenali sebagai Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun. "Sekitar 12 pekerja China melancarkan mogok kerana isu kepulauan Diaoyu," kata Liao. "Anda tahu, kami marah berhubung isu ini (pembelian kepulauan berkenaan oleh kerajaan Jepun," tambahnya. Media Jepun pula melaporkan Canon menggantung operasinya di dua kilang lain di China semalam. Media negara berkenaan menyatakan, peruncit Jepun, Muji telah menggantung jualan di beberapa kedainya di sini manakala beberapa kedai dan restoran berkaitan Jepun di bandar raya ini turut ditutup semalam. Serangan ke atas beberapa kereta buatan Jepun dan kedai serta restoran berkaitan Jepun turut dilaporkan di sini dan beberapa bandar raya lain pada hujung minggu lalu. Dalam usaha mengawal bantahan tersebut, polis dan media China semalam menggesa penunjuk perasaan supaya bertindak secara rasional dan mematuhi undang-undang serta mengelak daripada menyerang hartanah dan rakyat Jepun. | |||||||
William, Kate naik perahu perang Posted: 17 Sep 2012 06:47 PM PDT HONIARA - Pewaris kedua takhta Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton menaiki sebuah perahu perang di Tavanipupu, Kepulauan Solomon semalam. Pasangan diraja itu diraikan ribuan penduduk yang menunggu kedatangan mereka. William dan isterinya itu tiba di sini kelmarin selepas melakukan lawatan ke Malaysia dan Singapura. Kate memakai gelaran Catherine selepas berkahwin dengan William pada 29 April tahun lalu. Lawatan itu diteruskan walaupun terdapat laporan berita bahawa majalah Chi di Itali telah menyiarkan gambar separuh bogel Kate. Edisi khas majalah itu kelmarin menyiarkan 18 gambar yang dirakamkan paparazi yang menunjukkan Kate dan William berjemur di sebuah rumah di Perancis. Para peguam pasangan diraja itu telah memfailkan aduan di sebuah mahkamah di Perancis ekoran sebuah lagi majalah, Closer menyiarkan gambar payu dara Kate. Kate dan William menuntut ganti rugi kerana mendakwa majalah tersebut menceroboh kehidupan peribadi mereka apabila gambar berkenaan dirakamkan. Bagaimanapun, gambar bogel tersebut tidak menjejaskan lawatan pasangan diraja itu. Kate dan William turut melawat sebuah kampung budaya di sini. Kelmarin pada satu majlis William berkata: "Tanah ini adalah yang paling indah dan penduduk di Kepulauan Solomon merupakan antara yang paling ramah serta baik." Ketika berucap, William memakai baju batik. Lawatan diraja itu diadakan sempena sambutan ulang tahun pemerintahan nenda William, Ratu Elizabeth II kali ke-60. | |||||||
Polis rampas kokain bernilai RM9.13j selepas berbalas tembakan dengan penyeludup Posted: 17 Sep 2012 06:45 PM PDT RIOHACHA, Colombia - Polis merampas sebanyak 1,825 kilogram dadah kokain di negara ini, kata beberapa pegawai kelmarin. Serbuan itu dilakukan anggota-anggota unit penguatkuasaan dadah polis. Kokain yang dirampas itu dianggarkan bernilai AS$3 juta (RM9.13 juta) milik kumpulan penyeludupan dadah, Los Urabenos. Kokain itu diangkut menggunakan sebuah trak. Bagaimanapun, beberapa orang yang menaiki trak itu melarikan diri selepas mereka berbalas tembakan dengan polis di sebatang jalan raya dekat bandar Dibulla. | |||||||
PM Zimbabwe temui cinta sebenar Posted: 17 Sep 2012 06:41 PM PDT HARARE - Perdana Menteri Zimbabwe, Morgan Tsvangirai menyatakan, beliau telah menemui wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri. Beliau yang berusia 60 tahun berkahwin dengan tunangnya, Elizabeth Macheka yang berumur 35 tahun pada Sabtu lalu. Ketika bercakap kepada para tetamu, beliau menyatakan selepas mengadakan temu janji dengan beberapa wanita, akhirnya beliau mendapati Macheka sesuai untuk dijadikan isteri. Majlis perkahwinan itu diadakan di sebuah stadium di sini yang dihadiri kira-kira 2,000 orang. Pada tahun lalu, Tsvangirai menceraikan Locar-dia Karimatsenga selepas 12 hari mereka berkahwin pada satu upacara perkahwinan tradisional. Sebuah mahkamah pada Jumaat lalu bagaimanapun memutuskan bahawa Tsvangirai masih menjadi suami yang sah kepada Karimatsenga menyebabkan beliau mungkin didakwa kerana melakukan poligami berdasarkan undang-undang negara tersebut. Bagaimanapun, undang-undang suku kaum membenarkan lelaki mengamalkan poligami. Tsvangirai melangsungkan perkahwinan itu berdasarkan undang-undang suku kaum yang membenarkan lelaki berkahwin lebih daripada seorang wanita. | |||||||
Kelapa hibrid jana lebih hasil Posted: 17 Sep 2012 06:40 PM PDT
SEJAK tahun 1983, Rumayah Mamun, 64, bergelumang dalam dunia jualan kuih-muih. Sebelum bergelar isteri, Rumayah memang arif menghasilkan kuih Melayu tradisional hasil pembelajaran daripada ibunya. Pada awal perniagaan, wanita yang dilahirkan di Kuala Lumpur itu memilih nasi lemak berlauk sebagai mata pencarian. Akibat faktor kesihatan yang tidak mengizinkan, Rumayah terpaksa menjalani pembedahan kaki dan bercuti berniaga untuk tempoh tiga bulan. Sekembalinya beliau ke lapangan penjualan nasi lemak, beliau dapati telah muncul peniaga lain yang menjual menu serupa. Berkat kesabarannya, Rumayah menukar hala kepada perniagaan laksa dan kuih. "Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan sehingga ke hari ini menerusi jualan kuih-muih. Walaupun perniagaan ini dianggap biasa kebanyakan orang tetapi sambutan yang diperoleh amat memberangsangkan," perlahan suara Rumayah ketika ditemui di Pasar Tani Batu Muda, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.
Secara kasarnya, kuih Melayu buatan Rumayah tiada bezanya dengan yang lain. Daripada 20 jenis kuih yang dipamerkan, kira-kira 10 jenis kuihnya berasaskan kelapa. Saat ditanya tentang perihal itu, Rumayah yang sibuk membuka bungkusan kuih lopes untuk dicelup ke dalam bekas berisi kelapa parut menyatakan, tanpa kelapa, kuih Melayu hilang enaknya. "Orang Melayu kita memang terkenal dengan masakan berasaskan kelapa. Selain kuih, lauk-pauk lain seperti gulai dan rendang juga menggunakan santan kelapa. "Kuih-muih yang dijual seperti lopes, cucur badak, tepung bungkus, lepat ubi, lepat pisang, pulut panggang dan banyak lagi sudah tidak dapat dipisahkan daripada kelapa. "Hendak menerangkan sebab musabab secara ilmiah saya tidak pandai tetapi apa yang saya tahu kuih tradisional dan kelapa saling melengkapi dan tanpanya ia tidak sempurna," cerita Rumayah yang masih membuat kuih lopes dengan cara merebus dan bukannya mengukus seperti yang menjadi amalan masyarakat hari ini. Dalam seminggu, kuih-kuih Rumayah dijual di tiga buah pasar tani berbeza. Jualan kuih-muih tersebut dilakukan oleh anak lelakinya di Pasar Tani Batu Muda pada hari Rabu, Pasar Tani Gombak setiap Khamis dan Pasar Tani Taman Melawati, Hulu Kelang pada hari Sabtu. Sebanyak lima hingga enam kilogram (kg) kelapa parut digunakan bagi menampung produksi kuih-muih Rumayah setiap hari. Berkongsi mengenai bekalan kelapa, Rumayah pantas menjawab Pasar Sentul merupakan satu-satunya lokasi dia mendapatkan bekalan kelapa dari awal penglibatannya dalam perniagaan sehingga hari ini.
Stok kelapa Beliau tidak pernah rasa sukar bagi mendapatkan stok meskipun segelintir pihak menyifatkan kelapa sebagai bahan mentah yang sukar didapati terutama di bandar-bandar besar dan pada musim perayaan. Dalam senyuman, Rumayah berbicara: "Peniaga kelapa di pasar itu pun sudah biasa dengan saya. Bayangkan sejak saya dan dia muda, sampai kami berdua bergelar warga emas, urusan jual-beli kelapa masih kukuh. "Cuma sekarang saya tidak lagi ke sana kerana tidak kuat berjalan. Dalam tempoh dua hari sekali, anak saya akan membeli kelapa di situ. Sekarang ia dijual pada harga RM5 untuk satu kilogram. "Setakat ini kualiti kelapa yang dijual itu masih sama. Dia hanya menjual kelapa parut putih yang bersih dan tidak seperti sesetengah peniaga yang mencampurkan isi kelapa yang kurang baik." Menjejak ladang kelapa di Malaysia tidaklah sukar namun tanpa disedari, bayang pohon kelapa sebenarnya semakin suram. Satu persatu pokok daripada keluarga palma atau arecaceae itu tumbang menyembah bumi. Mendedahkan kisah sebenar di sebalik kegusaran itu ialah pemilik ladang kelapa berkeluasan 0.8 hektar di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, Buani Roski, 63. Ujarnya, ramai peladang tempatan menggantikan tanaman kelapa dengan kelapa sawit yang dilihat lebih komersial dan popular dalam pasaran. Angin perubahan itu sekali gus mewujudkan kesulitan bagi pemborong memenuhi permintaan kelapa yang saban hari kian meningkat daripada pengguna. Kesannya, harga kelapa di pasaran khususnya di ibu kota melonjak kepada harga tidak munasabah. "Pada musim perayaan terutamanya Aidilfitri, harga kelapa tua pasti melambung dan sekarang susah bagi pemborong mendapatkan bekalan. Mereka menampung jualan dengan membeli kelapa dari luar negara seperti Indonesia dan Thailand.
"Memandangkan kelapa gugur serentak pada masa tertentu, adakalanya pada musim perayaan kelapa tidak mampu mengeluarkan hasil. Jadi, kelapa-kelapa saya awal-awal lagi sudah ditempah pemborong yang membelinya pada harga 80 sen bagi sebiji kelapa tua. "Setiap tiga bulan, kira-kira 3,000 biji buah kelapa dapat dibekalkan kepada pemborong. Secara keseluruhan saya mempunyai 120 pokok dan setiap pokok mengeluarkan tiga tandan kelapa," jelas Buani yang memberitahu setiap hektar ladang ditanam dengan 60 pokok sahaja. Usia sebatang pokok kelapa yang subur boleh melebihi 25 tahun. Kesemua pohon kelapa kepunyaan Buani telah pun berusia 36 tahun. Beliau mula menanam pokok-pokok itu pada tahun 1976. Kesesuaian tanah dan cuaca membantunya untuk terus mengeluarkan hasil. Kelapa hibrid Kekurangan bekalan kelapa dalam negara tidak disangkal oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Situasi sebenar menyaksikan negara terpaksa mengimport bekalan kelapa dari negara-negara jiran bagi menampung permintaan yang semakin tinggi. Timbalan Pengarah bahagian Pengurusan Perosak dan Penyakit MARDI, Dr. Azmi Man menyatakan, keluasan ladang kelapa di seluruh Malaysia kini melebihi 99,957 hektar dengan negeri Perak dan Sabah mencatatkan tanaman tertinggi. Peralihan peladang kepada kelapa sawit berpunca daripada faktor keuntungan yang kurang memberangsangkan yang diperoleh daripada perusahaan kelapa. Dalam setahun, kelapa tradisional negara hanya mencatatkan hasil 4,000 hingga 5,000 biji. "Kerajaan sedar dilema yang dialami industri kelapa, jadi kami giat menggalakkan peladang mengusahakan kelapa hibrid yang mampu menjana pengeluaran dan pendapatan lebih tinggi. "Kelapa matag dan mawa antara kelapa hibrid yang semakin popular. Kita mengeluarkan benih-benih baka baharu ini dan gantikan pokok kelapa tradisional dengan kelapa hibrid. "Dalam setahun, kelapa hibrid berupaya menyumbangkan keluaran sebanyak 20,000 hingga 25,000 biji kelapa kepada industri kelapa negara," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Tambah Azmi, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK - 10) telah pun merangka pelan bagi meningkatkan kos pengeluaran kelapa hibrid. Walaupun perkembangan kelapa hibrid dilihat menggalakkan, tiada jangka masa ditetapkan bagi memastikan kelangsungan bekalan yang cukup untuk penduduk negara tanpa perlu bantuan kelapa import. | |||||||
Pencemaran sungai di Jawa Barat Posted: 17 Sep 2012 06:39 PM PDT HAMPARAN sawah padi yang menghijau, layang-layang berterbangan di udara dan suara kanak-kanak ketawa keriangan menghiasi suasana kampung Sukamaju yang terletak di bahagian Jawa Barat, Indonesia. Namun di sebalik suasana indah itu, bau busuk menusuk hidung penduduk di situ. Longgokan sampah dan plastik yang mengalir dalam aliran Sungai Citarum membunuh keindahan kampung tersebut. Sungai sepanjang 297 kilometer itu dianggap sebagai tong sampah akuatik yang merentasi Kepulauan Jawa dan pusat bandar raya Indonesia iaitu Jakarta. Dilabel sebagai kawasan yang tercemar di dunia oleh agensi suruhanjaya kerajaan tempatan dan badan bukan kerjaan (NGO) yang terlibat dengan tahap kebersihan, sungai tersebut merupakan satu-satunya sumber air kepada 15 juta rakyat Indonesia walaupun ia berisiko kepada kesihatan dan tanaman penduduk di negara itu. Sungai tercemar Di Sukamaju, terdapat sebuah telaga di dataran kampung itu yang dijadikan tempat tumpuan orang ramai membersihkan diri. Telaga tersebut disambung terus dari terusan berdekatan. Seorang penduduk kampung, Noor, 40, mempunyai tompok putih pada lengan beliau sejak enam bulan yang lalu. "Setiap hari saya membasuh pakaian di sungai ini dan pada mulanya lengan saya hanya mengalami gatal-gatal. Ini merupakan kesalahan kilang-kilang yang telah menyebabkan sungai tercemar. "Saya tidak mempunyai wang untuk berjumpa doktor dan sehingga kini saya tidak tahu penyakit yang saya hidapi," ujarnya. Sukamaju terletak tidak jauh dari pusat bandar Jawa Barat iaitu Bandung. Lembangan Bandung merupakan salah sebuah pusat bersejarah dalam perkembangan industri tekstil di republik itu. Di lembangan itu, terdapat 1,500 kilang yang menumpahkan 280 tan sisa toksik sehari ke Sungai Citarum. Terusan Sukamaju terletak di antara sawah padi dan air dari terusan itu mengalir melalui sawah yang bertukar warna hitam. "Ini terjadi kerana pewarna tekstil dari kilang-kilang. Warna-warna itu berubah pada setiap dua jam bergantung kepada pembuangan pewarna yang telah digunakan dan ia telah memberi kesan kepada kualiti padi yang ditanam," luah Deni Riswandani tidak hati. Menurut Deni, kini hasil padi di kawasan tersebut telah menyusut sehingga 50 peratus. Di pinggir sawah padi, terdapat sebuah bangunan besar yang berwarna kelabu yang turut dilengkapi dengan beberapa cerobong dan dikelilingi kawat berduri. Di sebelah pantai pula kelihatan sebuah injap yang telah disambung ke tapak kilang sisa toksik yang dialirkan ke sawah padi. "Kebiasaannya kilang-kilang tidak boleh melupuskan sisa toksik ke dalam air tanpa merawatnya terlebih dulu. Secara teori, mereka seharusnya dikenakan hukuman berat akibat perbuatan ini. Kerajaan berpura-pura melakukan pemeriksaan tetapi pada dasarnya tiada apa yang berubah," jelas Deni. Penyakit akibat pencemaran Menurut Ketua Biro Wilayah Persekitaran Jawa Barat, Windya Wardhanbi, mereka mengamalkan kawalan intensif dan memantau kilang-kilang itu. "Di dasar Sungai Citarum, terdapat logam berat dan mendapan yang mungkin disebabkan oleh kilang-kilang ini. "Sungai itu juga mengandungi merkuri, plumbum, zink dan krom yang boleh menjadi salah satu faktor kepada penyakit kanser, kerosakan organ, jangkitan pada bayi serta kanak-kanak dan ia boleh membawa maut," jelas Windya. Menurut kajian, kesan daripada merkuri dan plumbum boleh menyebabkan penyakit sendi seperti reumatoid artritis dan penyakit buah pinggang, sistem pendarahan dan sistem saraf. Penduduk telah meminta pampasan kerana tanaman padi mereka rosak. Persatuan Tekstil Indonesia menegaskan, sumbangan industri itu kepada pencemaran sungai tidak lebih daripada antara 15 hingga 25 peratus. "Pencemaran sungai terjadi daripada hasil sisa domestik dan plastik. Jadi, tidak adil menuduh industri kami sebagai penyumbang utama kepada pencemaran sungai di negara ini," jelas Kevin Hartanto selaku Ketua Persatuan Tekstil Bandung. Tegasnya, mudah untuk mengira bilangan kilang-kilang tetapi tiada siapa yang mahu mengira bilangan manusia yang tinggal di tepi sungai dan membuang sampah ke dalam sungai setiap hari. Pembersihan Sungai Citarum dan 22 anak sungai telah menjadi satu keutamaan oleh pihak pemerintah Indonesia. Mereka telah melancarkan projek untuk memulihara sungai selama 15 tahun. "Kita perlu belajar beberapa kaedah untuk menangani isu ini dari negara Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan. Negara-negara ini mengalami pencemaran air di bahagian pertama abad ini. Bagaimanapun, mereka mempunyai pelan jangka masa panjang untuk menangani masalah ini," kata pakar sumber air Bank Pembangunan Asia (ADB), Thomas Panella. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 06:37 PM PDT
SEBAIK menyarungkan baju kurung motif bunga merah jambu, Nur Amira Sabahruddin, 6, tersenyum di depan cermin. Kemudian, dia lantas mengemaskan jalinan tocang yang diikat oleh ibunya. "Saya suka baju kurung ini, ia cantik. Ibu beli untuk saya pakai pada hari raya dan pergi mengaji. Baju ini tak panas. Kalau berpeluh pun badan tak gatal," luah Nur Amira mengenai baju kurung kain kapasnya. Pelajar Sekolah Tadika Kemas Lembah Jaya Selatan, Ampang, berkenaan merupakan peminat tegar pakaian yang berasaskan kain kapas. Setakat ini, dia memiliki lebih daripada 20 pasang gaun, baju kurung dan baju T yang diperbuat daripada kain kapas pelbagai corak serta warna. Bersesuaian dengan jiwa kanak-kanaknya, anak tunggal tersebut sedikit cerewet ketika memilih pakaian. Dia menggemari baju warna ceria dan tampak comel berbanding pakaian warna gelap dan suram. Ibu kepada Nur Amirah, Zuliana Ernie Zainon, 33, memberitahu, kebanyakan pakaian anak tunggalnya menggunakan kain kapas bermula daripada baju kurung, baju seragam sekolah hinggalah kepada gaun kasual. Kata petugas pentadbiran di sebuah syarikat swasta itu, pakaian berasaskan kain kapas memberikan keselesaan berpanjangan kepada anaknya. Elak masalah ruam "Maklumlah, kanak-kanak aktif bermain dan melakukan macam-macam aktiviti terutamanya di luar rumah. Dek terlalu aktif, mereka akan cepat berpeluh. Sebab itu, saya memastikan Nur Amirah memakai pakaian yang sesuai. "Lagipun, saya ingin mengelakkan kulit badannya daripada mengalami gatal-gatal atau ruam. Selain itu, pakaian yang diperbuat daripada kain kapas mudah dicuci dan ideal dipakai memandangkan cuaca di Malaysia yang panas serta lembap sepanjang tahun," jelas wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah, yang gemar membeli koleksi busana tradisional kain kapas di butik Maira Collection, Subang Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Tambah Zuliana, biasanya baju kurung kain kapas motif bunga kecil dan warna terang dibeli khas untuk anak perempuannya itu manakala busana polos pula menjadi pilihannya.
"Saya suka membeli baju kurung yang polos di bahagian atas, sementara kain bahagian bawah berjalur atau berpetak-petak. Justeru, bagi menyuntik seri pada baju, saya akan menghiasinya dengan taburan manik, labuci mahupun batu permata yang berwarna-warni," kata Zuliana yang menjahit perincian di bahagian kolar, pergelangan tangan dan kaki baju. Menurut Profesor Madya Psikologi dan Kinesiologi di Universiti Park, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), W. Larry Kenney, kain kapas merupakan salah satu fabrik yang membantu menyejukkan badan ketika cuaca panas mahupun sewaktu berpeluh. "Bagi mengelakkan badan berasa panas pastikan anda memilih pakaian kain kapas yang tidak terlalu tebal, warna lembut dan potongan longgar. Material kapas memang dikenal pasti dapat membantu mengurangkan masalah ruam dan bintik-bintik merah pada kulit badan," jelas Kenney dalam satu temu ramah kesihatan bersama agensi media antarabangsa. Secara ringkasnya, kain kapas dihasilkan daripada pokok kapas yang lazimnya tumbuh di kawasan tropika dan subtropika. Di sekeliling biji kapas terdapat gentian lembut yang diproses untuk dijadikan benang. Benang-benang itulah yang digunakan bagi menghasilkan fabrik yang lembut dan menyerap peluh. Namun begitu, sehingga kini belum ada pihak yang dapat mengenal pasti detik sebenar wujudnya pokok kapas. Sesetengah ahli sejarah mendakwa pokok berkenaan mula ditanam 7,000 tahun lalu di Mehrgarh dekat dataran Kachi, Pakistan. Ia dibuktikan melalui penemuan serat kapas yang terpelihara dalam manik tembaga. Pada tahun 800 Masihi, didapati pedagang Arab mula menjual kain kapas di Eropah manakala pada tahun 1492 Masihi, pokok kapas ditanam di Pulau Bahamas sebelum ia berkembang ke Florida dan Virginia, AS, sekitar tahun 1607. Seterusnya penanaman pokok kapas dan perusahaan kain kapas meluas di serata negara termasuklah di India dan Jepun. Fabrik berkualiti Menurut Pengurus Pemasaran Jakel Kuala Lumpur, Shafarhan Abdul Kahar, pengguna sentiasa dinasihatkan supaya memilih koleksi kain kapas yang berkualiti dan gred A. Mutu perlu diambil kira bagi mengelakkan kain menjadi 'berbulu' dan warnanya pudar selepas beberapa kali cucian. "Tidak dinafikan sesetengah pelanggan hanya memilih kain kapas yang dijual pada harga yang murah, corak menarik dan warna lembut atau terang. Aspek kualiti dan sifat kain pula diabaikan begitu saja. Sepatutnya ketika membeli, pengguna harus meneliti dan merasai permukaan kain sama ada ia kasar atau lembut. "Atas faktor itu, di Jakel kami menawarkan seleksi fabrik kapas berkualiti dan kekal baik meskipun ia digunakan beberapa kali. "Selain itu, kami juga mengingatkan pembeli supaya merendamkan kain kapas terlebih dahulu sebelum ia dihantar kepada pembuat baju," jelas Shafarhan yang menyatakan tujuan rendaman itu adalah untuk merapatkan jalinan benang kain bagi mengelakkan potongan menjadi singkat dan mengecut sesudah ia menjadi pakaian siap. Pada masa yang sama, pembeli juga disarankan membasuh pakaian kapas menggunakan tangan berbanding mesih basuh. Menyentuh soal jenis kain kapas yang terdapat di gedung Jakel, sambil menunjukkan koleksi kain kapas corak cetakan renda Perancis, polka dot, jalur dan motif daun parsli, Shafarhan menyatakan pembeli berpeluang mendapatkan kain kapas kategori viscose, Swiss, Inggeris, Polynosic, Kasa Rubiah, sulam dan linen. Kebanyakan kain kapas di Jakel diimport dari Korea, India dan Jerman. Setiap negara itu menghasilkan mutu jalinan benang yang berbeza tetapi jika diukur dari segi kualiti, kain kapas dari India mengatasi standard mutu kain kapas negara lain. "Kain kapas bukan saja popular di negara yang beriklim panas mahupun lembap sepanjang tahun malah diterima baik di Eropah dan AS. "Kelompok pereka fesyen akan menghasilkan pakaian berasaskan kain kapas terutamanya pada musim bunga dan musim panas," terangnya ketika ditemui Kosmo! di Jakel, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur. Kelengkapan kamar Jika kebanyakan individu lebih cenderung mengusahakan perniagaan menjual kain dan pakaian kapas, Jamilah Ibrahim, 47, pula mempunyai pandangan sebaliknya. Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, mengambil keputusan menjalankan bisnes kelengkapan kamar kanak-kanak yang berasaskan kain kapas. "Sebelum membuka butik Cotton Picking Craft & Design, saya terlebih dahulu berniaga di pasar lambak Plaza Mont Kiara, Kuala Lumpur, pada setiap hari Ahad. "Saya menawarkan pelbagai jenis barangan untuk bilik bayi dan kanak-kanak seperti bantal peluk, selimut, cadar, alas tilam dan beg menyimpan lampin. Menariknya, kesemua produk ini menggunakan kain kapas berkualiti dan direka serta dijahit oleh saya sendiri," jelas Jamilah yang kini mempunyai dua cawangan butik Cotton Picking Craft & Design yang beroperasi di Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan Ukay Boulevard, Hulu Klang, Ampang, Selangor. Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata itu, barangan yang berasaskan kain kapas baik untuk kesihatan dan keselesaan kanak-kanak. Permukaan kainnya lembut, menyerap peluh dan tidak berbulu. Memahami sifat kanak-kanak yang tertarik pada corak dan warna yang terang serta ceria maka Jamilah cukup menitikberatkan soal pemilihan fabrik ideal. Lulusan Ijazah Perakaunan dari Universiti of South Australia itu berkata, lazimnya dia mengimport kain kapas cetakan flora, abjad, pengangkutan, haiwan, angkasa lepas dan kartun dari Eropah, AS dan Australia. "Bagi saya, fabrik kapas dari Australia menepati konsep perniagaan saya. Ini disebabkan kain kapas di sana hadir dalam warna terang dan gambar kartun ceria yang ideal buat kanak-kanak. "Sementara itu, kain kapas Eropah dan AS pula banyak bermain dengan warna-warna lembut serta motif bunga dan polka dot," terang Jamilah yang turut menawarkan pakaian kanak-kanak, hamper dan perkhidmatan sewaan kelengkapan untuk majlis cukur jambul. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 06:35 PM PDT
SEIRING dengan usaha kerajaan memartabatkan perpaduan bangsa Malaysia, dua orang sahabat, Mohd. Razlan Ismail, 39, dan T. Bala Prakash, 40, tampil dengan pembukaan sebuah kedai bunga berkonsep 1Malaysia. Dengan hasrat murni untuk membekalkan bunga-bunga segar pada harga murah dan berpatutan, kedai konsep 1Malaysia, Sai Florist and Gift yang berlokasi di Lot G30, pasar raya Giant, Bandar Kinrara, Selangor adalah satu contoh perniagaan rakan dua kaum berlainan. "Sebenarnya kami juga mempunyai seorang rakan berketurunan Cina sebelum ini. Tetapi, dia baru beberapa bulan lalu meninggal dunia. Kami turut berkongsi pelancaran kedai ini bersama mendiang," kata Bala dalam nada simpati. Razlan pula memberitahu, sebelum beroperasi di premis tersebut, mereka menjalankan bisnes bunga di bawah nama Crystall Florist & Gifts secara dalam talian sejak dua tahun lalu.
Berdasarkan respons positif, mereka akhirnya membuat keputusan membuka kedai bunga itu dengan mengambil kira lokasi yang paling strategi iaitu di Puchong. Kedua-dua lelaki berkenaan turut menjual produk-produk hadiah, bunga-bunga plastik dan patung untuk disusun bersama dalam gubahan bunga mengikut tempahan. "Kami sedia memberi komitmen yang sepenuhnya kepada pelanggan. Mereka boleh datang membeli sendiri, menempah atau berkongsi idea gubahan bersama dua orang penggubah bunga di sini," kata Razlan. Tambah beliau lagi, bagi memastikan kualiti bunga seiring dengan harga dibayar, pihaknya memastikan bunga-bunga itu dibawa khas ke premis mereka sama ada dari Cameron Highlands atau diimport dari China dan India.
Dengan pilihan lebih 20 jenis bunga di kedai tersebut, salah seorang penggubah bunga, Thilaga Raman, 36, mengakui, bunga mawar menjadi permintaan klasik yang terus kekal dalam pasaran di samping bunga lili. Bunga mawar "Permintaan terhadap bunga semakin banyak kerana ia memberi pelbagai signifikan yang positif. Kami di sini menyediakan perkhidmatan menjual dan gubahan bermula dari harga RM35," ujar Thilaga lagi. Razlan, juga memberitahu, sebelum ini syarikatnya pernah membekalkan bunga untuk pelbagai acara termasuk acara-acara hiburan dan penghargaan tokoh Malaysia. Razlan menambah dengan respons berterusan daripada orang ramai, pihaknya merancang untuk membuka cawangan kedua Sai Florist and Gift di pusat beli-belah, The Curve, Damansara menjelang tahun hadapan. | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 06:31 PM PDT MINAT y ang mendalam terhadap bidang puisi membuatkan dua anak muda ini tidak pernah mengambil pusing mengenai kata-kata orang sekeliling mengenai minat mereka. Atas inisiatif sendiri, mereka berdua juga telah menjual naskhah risalah-risalah karya mereka kepada rakan-rakan terdekat serta peminat penulisan bebas di seluruh tanah air. Baru-baru ini sebuah syarikat penerbitan buku-buku alternatif tanah air, Selut Press telah membuka ruang kepada dua penulis muda tersebut, Mohammad Syukri Borhan, 28 dan Mohd. Wafi Zainodin, 23, untuk mengembangkan bakat penulisan puisi dan cerpen mereka menerusi karya bertajuk Rahsia 2 Pria. Penerbit Selut Press , Nurul Asyikin Abdul Hamid memberitahu, syarikat penerbitan miliknya memberi peluang kepada penulis-penulis muda untuk menghasilkan karya penulisan, sekali gus mewujudkan corak penulisan baharu dalam setiap karya. "Pemilihan Mohammad Syukri dan Mohd. Wafi sebagai penulis bersama dalam buku Rahsia 2 Pria ini berdasarkan kepada cara penulisan mereka yang nyata berbeza dengan penulis puisi dan cerpen yang lain. "Tidak ramai penulis lelaki yang mahu mencuba untuk menulis puisi, mungkin kerana puisi pada asalnya bersifat keluhan peribadi penulis mengenai kehidupan mereka. Namun, tidak bagi mereka berdua kerana mereka membawa sesuatu topik atau isu yang dekat dan sering dialami pembaca," jelasnya pada majlis pelancaran buku Rahsia 2 Pria di Shah Alam baru-baru ini. Rahsia 2 Pria mengandungi sebanyak 147 karya puisi dan cerpen hasil karya dua penulis itu yang menceritakan mengenai liku-liku kehidupan mereka yang mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia lain. Mohammad Syukri sebelum ini pernah muncul dengan sebuah naskhah yang bertajuk Telegram yang telah diterbitkan olehnya sendiri, manakala Mohd. Wafi pula popular dengan karya Dua Bulan Sehari. Menurut Mohd. Wafi yang menggunakan nama pena Adi Wafi, beliau dan Mohammad Syukri mempunyai idea yang penulisan berbeza dan berharap idea kolaborasi mereka mampu menarik pembaca yang meminati karya puisi yang lebih moden. "Bahasa yang ditonjolkan dalam buku Rahsia 2 Pria merupakan bahasa Melayu moden dan setiap perkataan yang kami lontarkan mempunyai ekspresi tersendiri walaupun ada pihak yang kurang bersetuju dengan gaya penulisan kami," ujar anak jati Kuantan, Pahang itu. Mohd. Wafi merupakan pemegang ijazah sarjana muda perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Rahsia 2 Pria dilancarkan pada 8 September lalu dan telah mendapat tempahan lebih daripada 100 naskhah tidak sampai seminggu buku itu berada di pasaran. Bagi Mohd. Syukri atau nama penanya Mosyuki Borhan, idea-idea penulisan yang terhasil dalam buku tersebut merupakan antara idea yang jujur dan telus daripada mereka. "Kira-kira 80 peratus hasil karya saya dalam buku ini merupakan kisah hidup saya sendiri dan pembaca juga memberi maklum balas yang baik mengenai karya kami," jelas pemegang ijazah sarjana muda hotel dan pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM). | |||||||
Posted: 17 Sep 2012 06:27 PM PDT BRUSSELS, Belgium - Beberapa batang jalan raya di bandar raya ini tidak dilalui sebuah kenderaan pun sempena Hari Bebas Kereta kelmarin. Sejumlah orang berjalan, berbasikal, menunggang skuter dan memakai kasut roda semasa mereka melalui jalan tersebut. Ia diadakan bagi menggalakkan orang ramai tidak menggunakan kereta ketika berada di kawasan bandar. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
1 ulasan:
hal yg tidak pernah terbayangkan kini menjadi kenyataan,dengan keluarga saya untuk AKY SANTORO kami ucapkan banyak terimah kasih karna berkat BANTUAN AKY SANTORO ALHAMDULILLAH keluarga kami bisa lepas dari segala HUTANG HUTANG. karna nomor togel yang di berikan KY SANTORO YAITU-4D. nya BENAR BENAR TERBUKTI TEMBUS 100% DAN SAYA MEMENANGKAN.125 juta.ALLHAMDULILLAH saya bisa menutupi semua tuhang hutang saya.dan MOTOR saya yg dulunya aku gadaikan,kini sudah di tebus kembali.dan kami juga sudah membuka usaha kecil kecilan,kami tidak menduga KY SANTORO TELAH MERUBAH NASIB KAMI DALAM SEKEJAP.dan hanya AKY SANTORO Lah DUKUN TOGEL YANG PALING BERSEJARAH DI KELUARGA KAMI.ini adalah benar benar kisah nyata dari saya.dan saya tidak malu menceritakannya.semua tentang kesusahan yg perna saya jalani.karna di situlah saya mulai berfikir bahwa mungkin masih banyak saudara kami yg membutuhkan bantuan seperti saya.yang ingin seperti saya silahkan hub AKY SANTORO DI NOMOR(_0823_1294_9955_)Atau KLIK DISINI
DI JAMIN 100% TEMBUS.JIKA ANDA PENUH KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN SILAHKAN ANDA BUKTIKAN SENDIRI.DAN SAYA SANGAT YAKIN BAHWA ANGKA GHOIB YANG DI BERIKAN KY SANTORO DAPAT MERUBAH NASIB ANDA SEPERTI SAYA.SEBELUMNYA SAYA MOHON MAAF KALAU ADA PERKATAAN SAYA YANG KURANG SOPAN.TOLONG DI MAAF KAN.TERIMAH KASIH.THANK'Z ROOMX ZHOBATH.!!!
Catat Ulasan