RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Emma Maembong Terima Teguran Kerana Imej Selekeh

Posted: 06 Nov 2012 02:58 PM PST

Emma mengakui pernah ditegur tentang imejnya yang dikatakan selekeh dan berjanji akan memberi tumpuan kepada perkara itu.
PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong mengakui pernah ditegur oleh beberapa pihak apabila dia dikatakan tampil berimej selekeh dan penampilannya tidak menarik sebagai seorang artis.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 20, berkata, dia menyedari perkara itu yang pada dasarnya berpunca daripada cara dia dibesarkan oleh bapanya, Ismail Maembong iaitu seorang pelukis terkenal negara.
"Saya akui kurang bijak berfesyen kerana mungkin saya dibesarkan tanpa pengaruh seorang wanita dalam hidup saya selepas ibu bapa bercerai.
"Bapa banyak mempengaruhi siapa diri saya sekarang kerana beliau sendiri seorang yang cukup 'simple' dan sejujurnya saya senang dengan gaya yang ringkas dalam berfesyen," ujarnya kepada mStar Online selepas ditemui pada majlis pelancaran drama Cinta Itu Milikku di sini baru-baru ini.
Cinta Itu Milikku terbitan Orangetree Production itu akan pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3 bermula 12 November ini.
Emma berharap gandingannya dengan pelakon Fazreen sebagai watak utama menerusi drama bersiri Cinta Itu Milikku akan mendapat perhatian penonton.
Selain Emma, drama bersiri 24 episod itu turut menampilkan Fazreen Rafi, Ana Dahlia, Ery Putra, Mustapha Kamal, Karl Shafek, Sherry Merlis dan Liza Abdullah.
Dalam pada itu, Emma berkata, dia berjanji akan mengubah penampilannya supaya tampak lebih baik demi menjaga statusnya sebagai seorang pelakon.
Namun kata Emma, dia tidak akan melakukan perubahan drastik kerana lebih senang dengan imej sebenarnya.
"Saya akui kepentingan berfesyen apabila bergelar artis dan akan melakukan perubahan secara perlahan-lahan supaya sesuai dengan status saya sebagai pelakon," katanya.
Sementara itu, Emma memberitahu dia tidak mahu lagi diberi tumpuan kerana kisah peribadi sebaliknya ingin masyarakat melihat bakat lakonan yang ada padanya.
Masih banyak perkara yang perlu diberikan tumpuan memandangkan baru lima bulan dia terlibat dalam industri lakonan yang sebenarnya masih lagi baru.
"Rasanya sudah cukup saya mengulas mengenai kontroversi yang melanda diri saya sebelum ini dan sudah tiba masanya tumpuan diberikan kepada kerjaya saya pula.

Jamal Abdillah & Jay Jay Bergabung Untuk Konsert Di Rompin

Posted: 06 Nov 2012 02:57 PM PST

Jay Jay dan Jamal akan bersatu menerusi sebuah konsert sempena Fiesta Karnival Lanjut BBQ Seluruh Dunia pada 24 Disember depan.
KUALA LUMPUR: Dua penyanyi legenda tanah air iaitu Jamal Abdillah dan Jay Jay bakal bersatu menerusi sebuah konsert sempena Fiesta Karnival Lanjut BBQ Seluruh Dunia pada 24 Disember depan.
Konsert itu akan berlangsung di Lanjut Golden Beach and Golf Resort, Kuala Rompin, Pahang yang akan diadakan pada pukul 8 malam.
Menurut wakil resort itu, Ghani Syah Rahim, ia merupakan penganjuran pertama oleh pihaknya membabitkan dua penyanyi berkenaan dalam sebuah acara hebat.
"Jamal dan Jay Jay sudah pun mempunyai peminat yang tersendiri dan mereka masih kekal hebat sehingga ke hari ini.
"Pihak kami yakin gabungan dua nama ini akan memberikan kepuasan yang maksima kepada penonton," katanya pada sidang media konsert itu di Gloria Jean's, Wisma Nusantara, dekat sini, Selasa.
Tambah Ghani, konsert selama 2 jam 30 minit itu akan menampilkan sebanyak 22 lagu hit daripada Jamal manakala Jay Jay akan mempersembahkan sebanyak tujuh buah lagu.
Selain berhibur, pengunjung juga dapat menikmati hidangan makan malam di tepi pantai.
Menarik lagi hidangan yang disediakan merupakan empat menu BBQ terbaik seperti Tex-Mex, Oriental, Continentals serta hidangan tempatan.
Sementara itu, Jamal berkata, persembahannya kali ini akan diiringi pemuzik pengiring yang dibawa khas dari Kuala Lumpur.
"Memandangkan persembahan ini diadakan di tepi pantai, maka 'mood' yang dibawakan lebih santai.
"Malah saya tidak akan menetapkan lagu-lagu apa yang akan disampaikan, sebaliknya, pilihan lagu dibuat secara spontan, ikut pada keadaan, perasaan, dan suasana penonton pada ketika itu," ujarnya.
Jay Jay pula berkata, dia begitu teruja apabila pertama kali bergandingan dalam sebuah konsert bersama Jamal dan mungkin akan berduet dengan Raja Pop itu untuk sebuah lagu yang bakal dipilih.
"Agak seronok sebenarnya apabila mendapat tahu saya akan membuat persembahan dengan Jamal.
"Walaupun sudah lama kami berada dalam industri muzik tempatan, kami belum pernah lagi digandingkan.
"Bagaimanapun, saya akan menyampaikan lagu-lagu popular solo saya dan kumpulan Carefree yang pernah saya disertai dahulu," ujarnya.
Tiket konsert yang berharga RM399 hingga RM699 (disertai hidangan makan malam) boleh ditempah dengan menghubungi talian 09-4145113.
Selain itu, diskaun bagi harga bilik penginapan turut diberikan bagi mereka yang ingin bermalam di resort tersebut.

'Saya berguling atas simen'

Posted: 06 Nov 2012 02:52 PM PST


Mohd Zakee Daud
Mohd Zakee bersabung nyawa ketika disambar api, pagi kelmarin.
KOTA BHARU - "Semasa kejadian, saya ada di bawah tangki minyak silinder untuk membantu anggota lain memadam kebakaran, sebelum ia meletup dan api menyambar seragam saya pakai," kata Mohd Zakee Daud, 39, salah seorang anggota yang terselamat dalam kebakaran kilang tayar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, pagi kelmarin.

Menceritakan detik cemas itu, Zakee hanya sempat menoleh ke belakang sebelum berlari menyelamatkan diri selepas api menyambar bajunya yang dipenuhi tumpahan minyak bocor dari tangki itu.

"Apa yang saya fikirkan ketika itu untuk memadamkan api di pakaian saya. Tanpa berlengah, saya terus berguling di atas simen beberapa kali yang jaraknya hampir 20 meter dari tempat kejadian sebelum masuk ke dalam lopak air.

"Mujurlah api yang pada mulanya marak membakar baju dapat dipadamkan dan saya hanya lecur di leher dan kedua-dua telinga," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), semalam.

Mohd Zakee berkata, buat masa ini dia diberi cuti tiga hari dan dinasihatkan berehat.

"Sepanjang berkhidmat sebagai anggota bomba selama 16 tahun, ini adalah pengalaman pertama saya menghadapi kebakaran paling besar dan menyebabkan kecederaan.

"Walaupun kejadian ini menyebabkan saya dan sembilan lagi anggota terpaksa menanggung kesakitan, namun saya tidak patah semangat dan akan terus berkhidmat dalam pasukan demi membantu masyarakat dan memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, 10 anggota bomba cedera selepas tangki minyak silinder yang mengandungi campuran minyak diesel meletup setelah dua daripada empat tangki itu bocor ketika anggota bomba memadam kebakaran.

Akibat letupan tersebut, lima anggota cedera parah dan ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) manakala yang lain cedera ringan, menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Bakal pengantin dakwa ditipu

Posted: 06 Nov 2012 02:51 PM PST


Bakal pengantin dakwa ditipu
Suri menunjukkan cincin yang sepatutnya disarungkan ke jarinya di hari bahagianya berkenaan.
BATU PAHAT – Impian seorang wanita untuk mendirikan rumah tangga pada Jumaat lalu tidak kesampaian, sebaliknya majlis pernikahannya terpaksa ditukarkan kepada majlis kesyukuran.

Perkara itu berlaku apabila lelaki yang sepatutnya mengahwini wanita berkenaan memberitahu wangnya RM18,000 termasuk wang hantaran RM12,000 dirompak.

Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Suri mendakwa, dia menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada lelaki berkenaan yang mengatakan dia dirompak di Sungai Dulang pada Isnin minggu lalu.

"Sepatutnya dia memberi wang hantaran sebanyak RM12,000 pada hari terbabit, sebaliknya saya menerima SMS daripadanya mengatakan wang yang dikeluarkan dari sebuah bank sebanyak RM18,000 dirompak.

"Curiga dengan mesej yang diberikan, saya membuat pemeriksaan di bank terbabit dan mendapati dia tidak mempunyai akaun seperti yang dinyatakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di sini, semalam

Suri berkata, walaupun curiga, dia bersama lelaki berkenaan kemudiannya membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

"Namun setelah membuat laporan polis, kemudiannya dia memberitahu hanya RM8,000 pula duitnya dirompak," katanya.

Berikutan itu katanya, dia mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinannya kerana berasa tertipu.

"Saya tidak sangka dia sanggup berbuat demikian kepada saya dan keluarga sehingga menjatuhkan maruah kami," katanya.

Suri berkata, dia sekeluarga akan membuat laporan polis dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerugian lebih RM20,000 yang dialaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan menerima laporan polis mengenai seorang yang didakwa dirompak.

Katanya, polis sedang dalam proses siasatan.

'Air macam ombak besar'

Posted: 06 Nov 2012 02:50 PM PST


ʻAir macam ombak besarʼ
Beberapa penduduk berbincang sesama sendiri mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan berkenaan.
ʻAir macam ombak besarʼ
Keadaan tanah yang rebak berhampiran rumah di kawasan berkenaan.
ʻAir macam ombak besarʼ
Keadaan gerai makan yang ranap dalam kejadian tanah runtuh kelmarin.
ʻAir macam ombak besarʼ
Sebahagian penduduk kelihatan meninjau kerja-kerja penambakan pasir di sekitar tebing sungai berikutan kejadian tanah runtuh kelmarin.
IPOH - "Air sungai kelihatan seperti ombak besar 'merempuh' dan memusnahkan kedai makan dan kedai runcit yang saya usahakan hanya dalam sekelip mata.

"Kami sekeluarga tidak mampu berbuat apa-apa cuma mampu melihat air deras terus mengakis tanah sehingga menyebabkan kedai itu runtuh awal pagi tadi (semalam)," luah Cik Gun Mohd Sebab, 55, salah seorang penduduk yang terbabit dalam kejadian yang berlaku di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor.

Menurutnya, sewaktu kejadian dia baru saja menutup kedai makan yang diusahakan sejak dua tahun lalu yang terletak bersebelah dengan rumahnya.

"Ketika itu, hujan rintik-rintik namun saya lihat air Sungai Pari yang terletak kira-kira 20 meter dari kedai mengalir deras.

"Air sungai juga mula naik dan mengakibatkan kami termasuk penduduk berhampiran terlalu bimbang untuk tidur malah menunggu di luar rumah masing-masing untuk memastikan semua dalam keadaan selamat.

"Bagaimanapun, lebih kurang jam 4 pagi tadi (semalam) kedai saya dirempuh air yang sangat kuat sehingga menyebabkan ia runtuh," katanya yang membina kedua-dua kedai itu dengan harga RM20,000.

Katanya, kejadian tersebut adalah yang pertama berlaku selama tujuh tahun menetap di kawasan itu.

"Bukan sahaja kedai saya musnah malah rumah berhampiran turut dimasuki air. Selain itu, tanah di sekeliling rumah juga mulai rebak dan jika hujan lebat berterusan berkemungkinan ia akan memberi kesan kepada kediaman kami," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chepor Dalam/Klebang, Sukiman Jalil berkata, kejadian arus deras sungai kelihatan sejak jam 11.30 malam sehingga 4.30 pagi semalam.

"Selepas Subuh baru kami lihat jalan terputus sehingga mengakibatkan pengguna tetap jalan ini terpaksa mengikut laluan lain.

"Dua kawasan yang terbabit adalah di RPT Chepor (lima keluarga) dan Desa Seri Chepor (60 keluarga). Seramai 220 keluarga ditempatkan di Dewan Komuniti Desa Seri Chepor buat sementara waktu," katanya.

Menurutnya, antara pihak yang turun padang membantu termasuklah pasukan bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Daerah dan Tanah dan Pejabat Penghulu.

"Malah, dua bot turut digunakan sewaktu memindahkan empat warga emas yang uzur untuk ditempatkan di dewan berkenaan." katanya.

Dari segi bantuan, Sukiman berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitumal telah datang memantau kawasan dan pihaknya sedang menyediakan segala dokumen yang diperlukan supaya bantuan dapat disalurkan kepada penduduk.

Katanya, air deras itu berpunca daripada ban pecah yang terletak di Hulu Kuala Kuang dan menyebabkan air dari kawasan tersebut turun dengan laju.

"Berikutan itu, kerja menambak pasir sedang dijalankan menggunakan kren dan selepas selesai ia akan disambung dengan penurapan jalan," katanya.

Sementara itu, salah seorang pengguna jalan tersebut, Azri Atan, 34, berkata, jalan tersebut sering digunakan penduduk tempatan sebagai jalan pintas untuk ke tempat kerja.
Dia yang sering berkunjung ke rumah ibu mertuanya di Kampung Chepor Dalam berkata, kejadian terburuk berlaku di kawasan berkenaan.

"Saya berharap pihak yang berkaitan tampil menyelesaikan perkara ini dengan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Buruh dipenjara 9 bulan

Posted: 06 Nov 2012 02:46 PM PST


Buruh dipenjara 9 bulan
Fauzi dibawa keluar selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 9 bulan.
KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang buruh mencuri beg milik seorang pelajar perempuan di sebuah masjid membawa padah apabila dia dihukum penjara sembilan bulan, semalam.

Majistret Noradila Ab Latiff menjatuhkan hukuman itu terhadap Fauzi Mat Nawi, 48, selepas dia mengaku salah.

Fauzi dari Kampung Tanlong, Dungun didakwa mencuri beg tangan warna hitam, milik Noratiqah Najwa Mustaffa, 21, pada Sabtu lalu, kira-kira jam 4.30 pagi di beranda ruang solat wanita Masjid Zainal Abidin.

Berdasarkan fakta kes, Noratiqah Najwa yang baru tiba di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada jam 4.30 pagi telah ke tandas masjid berkenaan sementara menunggu abangnya menjemputnya.

Mangsa meninggalkan beg tangan dan barangannya di beranda ruang solat wanita.

Bagaimanapun, ketika di dalam tandas, penuntut Kolej ICAN itu terdengar bunyi pelik lalu menjengah keluar dan mendapati beg yang ditinggalkan di beranda hilang.

Mangsa kemudiannya ternampak seorang lelaki berlari keluar dari masjid sambil membawa dua beg miliknya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, wang tunai RM108 dan dokumen penting lain.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor L Ratna.

Berdepan penjara 20 tahun

Posted: 06 Nov 2012 02:45 PM PST


Berdepan penjara 20 tahun
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas berdepan tuduhan, semalam.
KOTA BHARU - Angkara RM5 dan sebuah telefon bimbit, seorang remaja berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan kerana dituduh merompak barangan itu, bulan lalu.

Tuduhan terhadap remaja berusia 18 tahun itu dibuat di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Dia yang juga seorang buruh itu didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas pelajar, Mohamad Haziq Mohammed, 17, di cabang tiga, Kampung Surau Bator, Jelawat, Bachok, 20 Oktober lalu.

Ketika rompakan jam 9.45 malam itu, tertuduh didakwa bersenjatakan pisau sebelum melarikan telefon bimbit jenis Sony Ericsson Experia bernilai RM250 dan wang tunai RM5.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof. Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Dalam perkembangan sama, dia juga menafikan tuduhan bersama seorang yang masih bebas menjual telefon bimbit berkenaan pada jam 5 petang, keesokan harinya.

Susulan itu, Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Kes bersambung 5 Disember depan.

Ana Dahlia menyesal

Posted: 06 Nov 2012 02:37 PM PST


ANA DAHLIA dan Chef Riz bernikah 11 bulan lalu. Rumah tangga mereka kini sedang bergolak.


BADAI yang melanda rumah tangga pelakon filem Mantra, Ana Dahlia dan chef selebriti terkenal, Chef Riz menjadi teka-teki dan status perkahwinan mereka masih mengundang tanda tanya ramai pihak.
Kontroversi itu muncul setelah pasangan itu dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor pada awal minggu lalu untuk mengambil borang penceraian.
Walaupun kedua-duanya telah memberikan kenyataan balas mengenai keadaan hubungan mereka, namun punca sebenar keretakan rumah tangga mereka belum lagi didedahkan.
Kosmo! yang berkesempatan bertemu dengan pelakon Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, di majlis ramah mesra drama bersiri Cinta Itu Milikku di Sri Pentas baru-baru ini untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripadanya.
Kosmo!: Sepanjang kes rumah tangga Ana dibicarakan dengan lebih meluas sejak akhir-akhir ini, tiada lagi kenyataan mengenai punca masalah rumah tangga kalian bergolak. Apakah komen anda?
Ana Dahlia: Hal ini terlalu peribadi buat saya. Sampai masanya orang ramai akan tahu perkara sebenar. Tidak perlu saya aibkan diri saya, keluarga kedua-dua belah pihak dan orang sekeliling.
Benarkah anda dan Chef Riz hadir ke mahkamah untuk mengambil borang penceraian baru-baru ini?
Saya tidak boleh cakap apa-apa. Saya tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu.
Benarkah ada dakwaan anda kini sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang sehingga menyebabkan keretakan rumah tangga anda?
Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki jauh sekali untuk berlaku curang.
Boleh anda jelaskan tentang status perkahwinan anda kini? Adakah kalian masih tinggal sebumbung?
Itu terlalu peribadi, jadi saya tidak perlu jawab. Buat masa ini saya tidak boleh jelaskan lagi mengenai status perkahwinan saya. Sampai masa perkara ini akan jelas dengan sendiri.
Anda dan Chef Riz hanya baru 11 bulan berkahwin dan kini perkahwinan kalian sudah bergolak. Anda ralat?
Saya akui kami berkenalan dalam tempoh yang singkat sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dan tidak cukup mengenali hati budi masing-masing.
Itu salah saya. Sebaik-baiknya, janganlah membuat keputusan terburu-buru dan menyebabkan kita tersilap langkah. Saya terima keluarga sebelah mentua kerana mereka sangat baik dan rapat dengan saya.
Apakah tindakan anda sekarang? Adakah anda berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan kalian?
Saya rasa semua orang melakukan perkara yang sama untuk menyelamatkan rumah tangga (jumpa kaunselor). Kini saya hanya berserah dan berusaha untuk diri saya.
Adakah isu kepincangan rumah tangga anda kini mengganggu fokus kerja?
Terus-terang, ya. Tapi saya harus fokus terhadap karier dan tidak mahu memikirkan hal ini sehingga ia menjejaskan kehidupan saya.
Buat masa ini, saya masih perlu menjalani penggambaran drama Cinta Itu Milikku dan saya juga tidak ada menerima tawaran lain.

Tolak populariti, terima kualiti

Posted: 06 Nov 2012 02:37 PM PST



TANPA berselindung, Faizal Hussein, Maya Karin mahupun Azhanrani memberitahu mereka tidak meletakkan harapan untuk menang dalam Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) yang bakal berlangsung pada 9 November ini. Tegas anak-anak seni berkaliber itu, mereka bekerja secara ikhlas dan lebih mementingkan kualiti serta kepuasan dalam bekerja.
Biar masing-masing tidak meletak sasaran untuk menang, namun melihat kepada filem dan watak yang didukung mereka begitu hebat, maka kebarangkalian untuk mereka menang adalah besar.
ASK 2012 boleh dikatakan medan 'tuah' buat Faizal apabila tiga filem lakonannya tercalon iaitu Bunohan, Abuya dan Datin Ghairah. Tercalon untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem Bunohan, tegas Faizal, dia bersyukur kerana filem itu juga berjaya mewakili negara ke pencalonan awal Academy Awards ke-83.
Bagi Maya Karin atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 33, dia berbangga dengan pencapaian filem Ombak Rindu yang menerima banyak pencalonan termasuk pencalonan untuk dirinya iaitu Pelakon Wanita Terbaik Filem dalam anugerah tersebut.
Menganggap pencalonan tersebut sebagai rezeki, jelas Maya, bukan kemenangan menjadi keutamaan, sebaliknya dia lebih mementingkan kualiti kerja dan sentiasa menunjukkan komitmen 100 peratus dalam bekerja.
Sebaliknya, bagi pelakon berbakat besar, Azhanrani, 37, ini adalah kali pertama dia tercalon untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk drama Pelarian.
Tidak meletakkan sebarang sasaran, ungkap lelaki yang senang disapa Azhan itu, jika menang ia merupakan satu bonus buat dirinya.
Faizal ke Hollywood
Tepat jangkaan Faizal, 45, apabila filem Bunohan berjaya mewakili negara ke Academy Awards ke-83 pada tahun hadapan. Disebabkan itu, pelakon yang cukup sinonim dengan filem nostalgia Gila-Gila Remaja itu tidak terkejut dengan pencalonan filem tersebut ke luar negara.
Ungkapnya, biar pada mulanya filem tersebut menerima kritikan orang ramai apabila ditayangkan tetapi dia sedar filem itu bagus dan mampu ke peringkat antarabangsa.
"Saya cukup berbangga dengan pencapaian ini dan secara tidak langsung menjadi duta yang mewakili negara kita di Hollywood. Saya rasa ini merupakan satu petanda aras bahawa filem Malaysia akan diangkat ke mata dunia suatu hari nanti," katanya.
Cuma, harapannya kini agar filem Bunohan mampu memasuki pencalonan Top 5 Academy Awards ke-83, seterusnya membuka ruang dan peluang untuknya melangkah kaki ke Hollywood.
Ternyata harapannya itu bakal menjadi kenyataan apabila dedah Faizal, baru-baru ini dia ada menerima dana daripada sebuah syarikat komunikasi untuknya bertapak di Hollywood.
Biarpun pada mulanya Faizal agak keberatan untuk berkongsi cerita tersebut kerana beranggapan perkara itu masih lagi dalam perbincangan, namun kerana rasa gembira impiannya selama ini bakal tercapai perkara itu akhirnya dikongsikan secara eksklusif bersama Kosmo!.
"Sebenarnya ada projek rahsia yang bakal saya jalankan. Baru-baru ini saya ada menerima dana daripada sebuah syarikat komunikasi yang sudah merangka perjalanan karier saya di Hollywood," jelasnya.
Luah Faizal, sebenarnya sejak umurnya 20-an lagi dia sudah mengimpikan untuk ke Hollywood namun, ternyata impiannya itu terlaksana ketika usianya mencecah 45 tahun.
Berasakan tidak terlalu lewat untuknya pergi ke peringkat antarabangsa, ujar Faizal, projek itu akan berjalan sepanjang pencalonan filem Bunohan bagi kategori Filem Asing Terbaik dalam Academy Awards ke-83 yang akan berlangsung pada 10 Januari 2013.
Berjaya atau tidak projek itu nanti bukan menjadi keutamaan Faizal, tetapi tegasnya ia bertujuan sebagai pembakar semangat kepada pelakon-pelakon Malaysia untuk tampil ke peringkat antarabangsa.
Ia akan dapat membuka peluang yang lebih besar lagi kepada aktor-aktor tempatan untuk meluaskan lagi bakat mereka di luar negara khususnya di Hollywood.
"Saya boleh katakan projek tersebut sebagai pembakar semangat dan motivasi kepada pelakon-pelakon di Malaysia untuk ke peringkat antarabangsa," ujarnya.
Selain Faizal, filem yang mengambil latar belakang cerita di sebuah kampung di Kelantan itu turut dibintangi oleh pelakon lain seperti Zahiril Adzim, Bront Palarae, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Wan Hanafi Su dan Tengku Azura.

DARI kiri: Faizal Hussein, Maya Karin dan Azhanrani memiliki karisma tersendiri sebagai anak seni yang disegani. Ketiga-tiganya dilihat sebagai pencabar hebat dalam kategori yang mempertandingkan mereka menerusi Anugerah Skrin 2012 yang bakal berlangsung pada Jumaat ini.


Mengenai perkembangan terkini, Faizal mengakui terpaksa menyimpan jambang sehingga malam ASK 2012 kerana terlibat dengan penggambaran drama 13 episod untuk RTM 1 iaitu Beret Hijau.
Membawa peranan sebagai ketua militan jahat bernama Abu Farsi, dedah Faizal, dia mampu bertahan dalam industri seni berkat daripada peranan antagonis yang dibawa sejak tahun 2000.
"Saya ada strategi untuk membuatkan penonton dan peminat tidak puas menonton lakonan saya. Disebabkan itu, bermula tahun 2000, saya banyak menerima watak antagonis tidak kira dalam drama mahupun filem," jelasnya yang risau penonton muak jika terlalu kerap muncul di media.
Eksperimentasi Maya
Bakal muncul dengan persalinan ala puteri raja daripada pereka Khairi Sufi untuk ASK 2012 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, ini merupakan penampilan pertamanya dalam anugerah tersebut selepas lima tahun tidak berpeluang menghadirinya.
Bukan sebab tidak dicalonkan, tetapi menurut pelakon yang memegang peranan Katerina dalam filem terbaharunya iaitu Lagenda Budak Setan 2, dia tidak dapat hadir ke ASK sebelum ini kerana tidak mempunyai kelapangan waktu.
Ditanya bagaimana dia mampu bertahan dalam industri seni sehingga kini, ujar Maya, semuanya kerana dia bijak mengawal kualiti kerja dan melakukan sebaik mungkin setiap watak yang diberikan.
Disebabkan itu, katanya, dia tidak pernah mengambil dua kerja dalam masa serentak kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada satu karya.
Menolak semua tawaran drama yang datang, jelas Maya, ia bukan disebabkan dia berlagak diva atau menganggap dirinya besar dan tidak layak untuk berlakon drama, tetapi dia akui begitu selektif memilih watak dan jalan cerita yang benar-benar berkualiti untuk dilakukan.
"Saya bukan berlagak tidak mahu berlakon drama dan hanya berlakon filem sahaja, tetapi saya kena selektif. Kebanyakan drama yang saya terima ada skripnya yang masih belum siap, jalan cerita yang tidak jelas penghabisannya dan masa penggambaran yang terlalu lama," ujarnya yang tidak suka menerima karya yang tidak bermutu.
Ujar Maya, jika terbabit dengan sesebuah filem sekalipun, dia hanya memberikan masa paling lama enam minggu untuk melakukannya namun, janjinya dia akan meletakkan 100 peratus komitmen untuk karyanya itu.
Selepas itu, tutur wanita cantik itu lagi, dia akan melakukan pelbagai aktiviti kesukaannya seperti mendaki gunung untuk kepuasan peribadi.
Mengakui suka bereksperimentasi dalam mencuba pelbagai watak, dedah Maya dia harus akur bahawa selera peminat lebih suka melihatnya membawakan watak yang sama seperti watak Izzah dalam filem Ombak Rindu.
"Saya menerima banyak komen peminat yang mempertikaikan jika saya membawakan watak yang lain daripada watak sebelum ini. Sebaliknya, saya pula tidak suka membuat benda yang sama (berlakon watak yang sama). Bagaimanapun, selepas menonton lakonan saya, peminat akhirnya menerima dan menyukai watak baharu yang saya lakonkan," ceritanya.
Tidak meletakkan sasaran sehingga bila dia akan berlakon, kata Maya, menjadi keutamaan baginya setiap kali muncul di kaca TV atau layar perak, peminat menyukai hasil lakonannya dan dia juga mendapat kepuasan maksimum.
Populariti Azhanrani
Azhanrani mula berlakon pada tahun 2005 apabila menghiasi slot Samarinda, Sesuci Cinta Sofia di TV3. Namun, impak lakonan yang dibawa lelaki berwajah serius ini masih belum menyerlah di kaca mata peminat.
Hampir tujuh tahun merangkak kemudian bertatih dalam industri bukan jangka masa yang singkat namun, ia tidak pernah mengecewakan Azhan.
Sehingga dia muncul dalam drama Gemilang, Supermak dan terbaharu Amukan Pocong untuk slot Seram diTV3, baru kehadirannya dalam industri lakonan disedari.
Pun begitu, akui Azhan, sehingga kini orang ramai masih lagi tidak mengetahui namanya.
"Banyak kali orang yang terjumpa saya akan cakap, 'Eh awak ini yang berlakon dalam drama Amukan Pocong itukan...', 'Awak berlakon dalam drama Supermak kan...'," dedahnya yang tidak ambil hati kerana namanya masih tidak dikenali peminat.
Bagi pelakon yang mencuri perhatian peminat dengan karisma lakonannya, tidak dikenali bukan merupakan satu isu besar bagi dirinya, sebaliknya dia lebih suka orang mengenali karakter yang dibawanya di dalam drama atau filem.

MAYA, Azhan dan Faizal lebih mementingkan kualiti kerja berbanding menerima tempias popular kerana kontroversi.


Mengakui kurang dikenali dari segi nama dan kurang pendedahan di dada akhbar mahupun program hiburan, bagaimanapun, tawaran lakonan tetap bertali arus.
"Walaupun kurang pendedahan di majalah atau surat khabar, peluang sentiasa ada. Biarlah nama saya tidak popular seperti pelakon lain, asalkan tawaran lakonan sentiasa ada.
"Dari segi perkembangan karier, saya bersyukur kerana tawaran sentiasa ada, malah kadangkala terpaksa tolak," katanya.
Dalam nada rendah diri, Azhan akui seronok dapat bekerja dengan ramai pengarah besar tempatan. Tanpa berselindung, itulah impiannya selama bergelar pelakon iaitu bekerja dengan semua pengarah tempatan untuk merasai nikmat kepuasan berlakon.
"Saya membesar dengan teater sejak kecil. Selepas lama bergiat dalam teater dan bermula daripada Lantai T Pinkie, saya dibawa masuk ke dunia penyiaran oleh tiga pengarah iaitu Along Kamarudin, Ahmad Nor Bujang dan Zuraidah," jelasnya.
Sejak itu, Azhan menggalas peranan sebagai anak seni dalam lebih 40 buah drama TV, antara lain Ku Milikmu, Tower 13, Lembing dan Dayang dan Warkah Terakhir.

Kontrak tetamu Timberlake-Biel

Posted: 06 Nov 2012 02:34 PM PST


GAMBAR perkahwinan Justin Timberlake dan Jessica Biel telah menjadi muka depan majalah Hello!.


JUSTIN TIMBERLAKE dan Jessica Biel telah pun selamat berkahwin pada 19 Oktober lalu. Pasangan tersebut kini sedang menikmati bulan madu mereka di Tanzania.
Namun, rupa-rupanya setiap tetamu yang hadir ke majlis tersebut harus menandatangani satu kontrak yang telah disediakan oleh pasangan selebriti tersebut.
Hal itu didedahkan oleh bintang Jimmy Falon. Falon memberitahu: "Ya, saya telah menandatangani satu kontrak sebagai tetamu pada majlis tersebut."
Dia bagaimanapun tidak menjelaskan isi kandungan kontrak yang perlu ditandatangani para tetamu. Sebaliknya hanya memberitahu majlis tersebut telah berjalan dalam suasana yang cukup sederhana tetapi romantik.

Ular sawa dilayan bagai 'anak kandung'

Posted: 06 Nov 2012 02:33 PM PST


PHANG CHIA TAK, anak kepada Joon Siong, bermain dengan ular di rumahnya di Stutong Baru, Kuching semalam.


KUCHING - Siapa sangka ular sawa yang sinonim dengan kelicikan dan ganasnya boleh menjadi begitu manja dan bebas bermain di dalam rumah seorang kontraktor, Phang Joon Siong sejak 22 tahun lalu.
Pasti ramai yang kehairanan apabila melihat Joon Siong yang berusia 52 tahun sibuk melayan seekor ular sawa jantan sepanjang tujuh meter dengan berat mencecah 80 kilogram.
Paling pelik, rasa sayangnya terhadap reptilia itu memang tiada batas apabila dia menganggap ular sawa yang dinamakan sebagai Sako atau bermaksud 'abang kandung' itu sebagai anak kandung sendiri.
Joon Siong ketika ditemui Kosmo! berkata, pada awalnya, dia enggan menerima Sako daripada seorang rakannya pada tahun 1990 kerana geli menyentuh ular itu.
Namun, ekoran rasa cintanya terhadap haiwan sejak kecil membuatkan dirinya memahami haiwan itu dan melayan reptilia tersebut dengan begitu manja.

Pemandu kontena dipaksa kejar trip

Posted: 06 Nov 2012 02:31 PM PST


SEBAHAGIAN daripada pemandu lori kontena berkumpul secara aman di Butterworth, semalam.


BUTTERWORTH - Kira-kira 70 pemandu kontena dari sebuah syarikat yang berpangkalan di Perai di sini berkumpul secara aman semalam bagi membantah tindakan majikan mereka yang didakwa memaksa bekerja melebihi had masa yang sepatutnya.
Rata-rata mereka yang ditemui mendakwa syarikat berkenaan bukan sahaja enggan berunding dengan pekerja untuk menyelesaikan perkara itu malah mengugut mereka dengan mengeluarkan surat berhenti kerja sekiranya pekerja enggan menuruti arahan tersebut.
Wakil pekerja, Anuar Yusof, 45, berkata, pemandu kontena terlibat dipaksa melakukan tiga trip perjalanan antara Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan Perai di sini bagi mengangkut barangan dagangan seperti kayu dan getah dari Thailand sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, jarak perjalanan sehala antara kedua-dua lokasi itu ialah 80 kilometer.

Maut kena sengat ikan pari

Posted: 06 Nov 2012 02:30 PM PST


SENGAT ikan pari sangat berbahaya hingga boleh membawa maut jika terkena.


MUAR - Seorang nelayan meninggal dunia selepas koma selama dua hari apabila terkena sengat ikan pari pada tangan kanannya ketika hendak mengeluarkan haiwan tersebut yang tersangkut pada jaring Sabtu lalu.
Pesara tentera, Rashid Arshad, 55, disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini semalam.
Mengimbau semula kejadian itu, isteri mangsa, Rashidah Ali, 48, memberitahu, kejadian berlaku pada pukul 5 pagi Sabtu lalu apabila suaminya turun ke laut dan memasang sebanyak 60 jaring untuk menangkap ikan bersama seorang rakan sejam sebelum itu.
Katanya, semasa menarik dua jaring terakhir, suaminya cuba mengeluarkan seekor ikan pari yang tersangkut namun tanpa diduga, tangan kanan suaminya telah terkena sengat.

MAIS siasat pengurusan masjid

Posted: 06 Nov 2012 02:28 PM PST

MASJID Al-Husna yang terletak di Bandar Sunway, Subang Jaya.


SUBANG JAYA – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan Masjid Al-Husna di Bandar Sunway, di sini jika siasatan mendapati berlaku kepincangan dalam pengagihan wang bantuan hari raya kepada anak yatim.
Pengurus Perhubungan Korporat MAIS, Rohana Hassan berkata, pihaknya telah memulakan siasatan mengenai dakwaan seorang ibu bahawa lima orang anaknya yang merupakan anak yatim tidak mendapat bantuan yang disalurkan oleh badan itu melalui masjid tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, pihaknya telah menyemak semua dokumen berkaitan dan akan menghantar beberapa pegawainya ke masjid berkenaan untuk membuat siasatan pada minggu ini.
"Kita sedang siasat perkara ini termasuk pergi ke masjid terlibat minggu ini untuk mengenal pasti masalah ini. Tindakan bergantung kepada hasil siasatan yang diperoleh kelak.
"Isu seperti ini pertama kali dibangkitkan kepada MAIS dan kami berharap dapat menyelesaikannya secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ecuador rancang bina menara tertinggi dunia

Posted: 06 Nov 2012 02:26 PM PST

BANGUNAN Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.


QUITO - Ecuador merancang membina sebuah menara setinggi 1.6 kilometer sekali gus menjadi bangunan tertinggi di dunia.
Timbalan Gabenor Quito, Marcela Costales berkata, selain menarik ramai pelancong, menara itu akan menjadi simbol penghormatan kepada budaya penduduk pribumi, Quitu-Cara.
Menara tersebut dilaporkan menelan kos AS$200 juta (RM612.3 juta) untuk dibangunkan.
Costales berkata, beberapa pelabur asing dari Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah serta Qatar telah melawat Ecuador dan berminat untuk melabur dalam pembinaan itu.
Sehingga kini, Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu diiktiraf sebagai bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 828 meter.
Sementara itu, pendokong utama pembinaan menara yang termasuk dalam Quito ialah gabenor wilayah Pichincha, Gustavo Baroja.
Katanya, pembinaan bangunan paling tinggi itu akan dinamakan sebagai Menara Matahari.
"Kami mahu ia menjadi satu ikon global yang mencerminkan siapa diri kami," kata Baroja.

Kumpulan anak muda perkenal parkour di Gaza

Posted: 06 Nov 2012 02:25 PM PST


TIGA pemuda melompat semasa menunjukkan kemahiran parkour yang dimiliki mereka di Khan Yunis, Gaza pada
7 Oktober lalu.


KHAN YUNIS, Palestin - Sukan ekstrem parkour yang menggabungkan kombinasi berlari, melompat dan gimnastik diperkenalkan sekumpulan anak muda di Genting Gaza.
Sebuah kumpulan yang dianggotai 12 lelaki berusia dalam lingkungan 20-an membuat demonstrasi sukan tersebut di Hospital Nasser, Genting Gaza baru-baru ini.
Sejumlah penonton termasuk pesakit dan doktor melihat aksi kumpulan anak muda itu.
"Dia seperti Superman," kata seorang penduduk yang melihat seorang anggota kumpulan itu, Mohammed Jakhbir berlari ke arah dinding dan membuat lompatan.
Seorang pemuda, Jihad Abu Sultan, 24, berkata, dia menyertai kumpulan itu empat tahun lalu selepas melihat klip video Mohammed di laman YouTube.
"Saya kagum dengan parkour terutamanya ketika melibatkan aksi lompatan," katanya yang mempunyai latar belakang seni mempertahankan diri kungfu.
Anggota-anggota kumpulan itu melakukan latihan di kem pelarian Palestin di sini.
Parkour diperkenalkan oleh kumpulan Yamakasi di Perancis pada 1980-an.

Burung emu diternak di India

Posted: 06 Nov 2012 02:24 PM PST


SEORANG pekerja membuka pintu ladang burung emu di Kampung Vasna-Rathod, 40 kilometer dari Ahmedabad, India pada Khamis lalu.


NEW DELHI - Terdapat lebih 1,500 ladang burung emu di India.Burung itu diternak kerana daging haiwan tersebut mempunyai kandungan lemak yang rendah dan ia boleh dijual untuk memperoleh pendapatan.
Lemak haiwan emu juga boleh digunakan untuk menghasilkan minyak untuk pembuatan alat solek dan dijadikan diet tambahan.
Bulu haiwan tersebut juga boleh digunakan untuk membuat kasut dan dompet.
Haiwan yang berasal dari Australia itu tidak boleh terbang dan ia kelihatan seperti burung unta.

Korea Selatan beri anugerah kepada Psy

Posted: 06 Nov 2012 02:23 PM PST


PSY (tengah) menari tarian kuda di depan penonton di Dataran Trocadero, Paris kelmarin.


SEOUL - Korea Selatan memberi anugerah tertinggi kebudayaan kepada penyanyi rap terkenal, Psy kerana kejayaannya menerusi lagu Gangnam Style.
Kementerian Kebudayaan negara ini mengumumkan semalam bahawa penyanyi berusia 34 tahun itu akan menerima anugerah Penghargaan Kebudayaan Okgwan.
Anugerah tersebut diberikan kepada individu yang berjasa besar dalam bidang seni.
"Psy dipilih bukan kerana dia telah lama menjadi artis tetapi juga disebabkannya memperkenalkan Gangnam secara meluas serta meningkatkan minat dunia kepada Korea Selatan," kata seorang pegawai di kementerian berkenaan.
Gangnam merupakan sebuah daerah yang menempatkan pusat beli-belah dan hiburan.
Populariti Psy meningkat apabila muzik video Gangnam Style mencatatkan tontonan yang kedua tertinggi di YouTube.
Muzik video yang menunjukkan dia menari tarian kuda itu kini ditonton lebih 654 juta kali sejak dimuat naik di YouTube pada Julai lalu.
Tempat pertama menjadi milik penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber menerusi muzik video yang mencatatkan 796,445,212 tontonan.
Sementara itu, portal berita examiner.com melaporkan, kira-kira 20,000 penonton menyaksikan persembahan Psy di Paris, Perancis.
Penonton di Dataran Trocadero itu turut menyertai Psy menari tarian kuda.

Tidak pernah putus pembeli

Posted: 06 Nov 2012 02:22 PM PST



KALA tangan mencampakkan dedak makanan ke kawasan lapang, ayam-ayam kampung berlari berduyun-duyun mengerumuni makanan yang diberikan. Sekali-sekala, kumpulan ayam yang terlalu bersesak dileraikan bagi mengelakkan ayam itu terlalu berhimpit.
Keriuhan kokokan ayam ibarat, alah bisa tegal biasa bagi Dzali Ismail, 53, kerana sudah menjadi rutin hariannya sejak empat tahun lalu.
Ladang seluas 13,500 meter persegi yang diberi nama Dztrio Agro di Teluk Panglima Garang, Selangor itu diusahakan bersama isterinya, Zainab Mohamed, 50. Kedua-dua mereka merupakan pesara tentera
Agak pelik apabila penulis memasuki reban ayam itu tiada bau yang kurang menyenangkan menusuk hidung seperti kebiasaan ladang ternakan haiwan lain. Ketika melepasi pokok-pokok rendang limau kasturi, barulah penulis faham kebijaksanaan pasangan itu.
"Selain bau daripada pokok limau kasturi, kami turut menyembur cecair efektif mikroorganisma (EM) iaitu sejenis bakteria berfaedah bagi menghilangkan bau dan jangkitan kuman berbahaya kepada haiwan ternakan," ujar sang suami.
Dulu cacing sekarang ayam kampung
Memulakan kisah bisnes ternakan ayam kampung mereka, Dzali memberitahu, dia dan isteri menggunakan modal sendiri sebanyak RM70,000 pada tahun 2008 yang merangkumi pembinaan reban ayam berbumbung dan lantai simen.
Pada mulanya, mereka menceburi pemeliharaan cacing yang suatu ketika dahulu mendapat permintaan tinggi. Namun entah di mana silapnya, pulangan lumayan yang diimpi mendatangkan kerugian besar.
Tidak mahu terus dirundum kekecewaan, mereka lantas mencari alternatif lain bagi meneruskan minat dalam bidang penternakan. Setelah puas berunding, akhirnya pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun itu sepakat mencuba nasib menternak ayam kampung.

DZALI memberi dedak kepada ayam kampung yang diternaknya di ladang Dztrio di Teluk Panglima Garang.


"Sebenarnya suami saya yang mencadangkan idea ini kerana tahu penternakan ayam kampung tidak memakan masa yang panjang, selain ia mudah untuk dijaga," jelas ibu kepada tiga anak itu.
Kondusi ayam kampung yang tahan lasak dan sukar dijangkiti penyakit memberi kelebihan kepada penternak.
Malah, Dzali dan Zainab tidak perlu merunsingkan kepala untuk mempercepatkan pembesaran ayam kampung dengan perubatan tertentu seperti mana yang biasa dilakukan ke atas ayam daging.
"Ayam kampung tidak memerlukan sebarang suntikan kerana itu ia menjadi pilihan ramai orang yang mementingkan kesihatan," kata Dzali.
Memilih menternak ayam kampung kacuk, setakat ini mereka sudah mempunyai tiga reban ayam yang dibahagikan mengikut umur.
Selain daripada faktor usia, jenis makanan juga diambil kira sewaktu pengasingan ayam tersebut.
"Sebagai contoh, ayam yang berusia dua bulan diberi makan dedak yang diproses dan dicampur dengan rumput-rumput yang tumbuh meliar di kawasan reban," ujarnya.
Proses penjagaan dan pemakanan ayam kampung adalah mudah dan ringkas. Ia hanya diberi makanan khas selain dibiar mengais makanan sendiri dalam kawasan reban. Namun, yang perlu diberi perhatian adalah anak-anak ayam yang berusia sehari. Ia biasanya akan ditempatkan dalam reban yang ditutup rapat dengan kain kanvas.
Reban tersebut turut dialaskan habuk kayu bagi mengekalkan suhu panas kepada anak ayam sehingga ia berusia 14 hari. Selepas itu, sedikit demi sedikit kain kanvas dibuka bagi memberi udara.
Menurut Zainab, mereka tidak dapat menternak ayam sehingga ia bertelur kerana permintaan yang tinggi daripada pembeli. Oleh kerana itu, ayam yang mencapai usia dua hingga tiga bulan akan dijual kepada pembeli.
"Lagipun, proses ayam untuk bertelur juga memakan masa yang lama iaitu selama enam bulan maka kerana itu kami memutuskan hanya membeli anak ayam daripada pembekal di Pulau Pinang," ujar Zainab.
Selain harga makanan ayam yang sedikit mahal, Zainab turut mengeluh kerana sering berdepan dengan masalah gangguan binatang-binatang liar seperti biawak, ular dan monyet yang memakan telur itik dan anak ayam.
Lumrah alam tidak dapat dielak apabila mereka pernah mengalami kerugian 1,000 ekor mati tahun lalu akibat penyakit sampah yang turut melanda ladang-ladang ternakan berdekatan.
"Mujur pihak veterinar banyak membantu kami dengan memberi ubat-ubatan bersesuaian sehingga masalah ini kembali reda," jelas Zainab lagi.
Ketika ditanya mengenai pulangan pendapatan yang diraih, kedua pasangan itu bersyukur kerana pasaran ayam kampung sentiasa mendapat permintaan yang tidak putus.
Tanpa sebarang promosi atau pemasaran yang meluas, ayam-ayam kampung ternakan ladang Dztrio Agro sentiasa habis terjual.



"Syukur ke hadrat Ilahi kerana setakat ini kami tidak pernah berdepan masalah mencari pembeli kerana kebiasaannya mereka yang mencari ladang kami," jelas Zainab. Beliau menambah, harga ayam kampung jualan mereka adalah lebih murah iaitu RM11 sekilogram baik dibeli secara pukal atau beberapa ekor sahaja.
Biarpun harga seekor ayam kampung dijual pada harga yang agak tinggi berbanding harga ayam daging, ramai yang sanggup membelanjakan duit bagi mendapat khasiat daripada haiwan ternakan itu.
Daging ayam kampung lebih enak
Penggemar ayam kampung akan mudah merasai perbezaan rasa dan kekenyalan daging jika dibandingkan dengan ayam daging.
Walaupun dihidang makanan yang sama setiap hari yakni nasi kosong berlauk ayam kampung, jejaka berasal dari Kelantan, Mohd. Kamal Yacob, 30, tidak pernah berasa jemu dengan resipi itu.
Jelasnya, beliau mengambil lauk-pauk daripada ayam kampung yang dimasak gulai atau goreng setiap kali berkunjung ke restoran ayam kampung kegemarannya.
"Kebetulan terdapat sebuah restoran ayam kampung yang berdekatan dengan rumah saya yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor," ujarnya ketika ditemui oleh Kosmo! baru-baru ini.
Dzulhafiz Hafshim, 30, dan Firdaus Kamarudin, 32, turut mengiyakan bicara Kamal, malah mengakui terdapat perbezaan dari segi rasa daging ayam kampung berbanding ayam daging.
"Isi ayam kampung lebih lembut, malah ia tidak mempunyai banyak lemak seperti ayam biasa.
"Rasanya lebih sedap dan manis terutamanya jika ia digoreng garing, dicicah bersama campuran kicap dan cili api," ujar Firdaus.
Menurut pakar pemakanan dari program dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Shariza Abd. Razak, ayam kampung mempunyai nutrisi yang lebih tinggi berbanding ayam daging kerana cara hidup yang lebih semula jadi.
"Selain itu, ia tidak disuntik dengan sebarang ubat-ubatan sepanjang proses pembesaran," ujarnya ketika dihubungi oleh Kosmo!.
Berbanding ayam daging, tambahnya, ia akan disuntik dengan dua suntikan pada kebiasaannya bagi membantu kelangsungan hidup ayam tersebut.
"Salah satu suntikan tersebut adalah suntikan hormon yang menggalakkan proses tumbesaran ayam. Dalam masa yang sama, ia turut disuntik dengan suntikan antibiotik yang bertujuan untuk mengelakkan sebarang penyakit menjangkiti ayam ternakan," jelasnya.

RESTORAN ayam kampung mendapat sambutan daripada penggemar ayam itu apatah lagi dihidangkan dengan masakan ala kampung.


Suntikan hormon mengambil masa selama 30 hingga 60 hari untuk larut dalam badan ayam dan selamat untuk dimakan. Selepas tempoh masa tersebut, barulah ayam patut dijual kepada pengguna.
"Sayangnya, terdapat peniaga atau penternak yang tergesa-gesa menjual ayam sebelum tempoh yang dibenarkan. Ia boleh memudaratkan kesihatan kerana sukar bagi pengguna mengetahui proses larutan suntikan hormon tersebut dengan mata kasar," ujarnya.

Mesej dakwah Maher Zain

Posted: 06 Nov 2012 02:19 PM PST



SEBELUM ini penulis hanya berkesempatan mendengar dendangan lagu-lagunya yang menjurus kepada genre spiritual dan kerohanian.
Bait-bait lirik dengan melodinya kedengaran sangat jujur. Seolah-olah ia lahir dari jiwa tulus penyanyinya membuatkan mesej dakwah yang disampaikan mudah meresap ke dalam hati pendengar.
Maher Zain antara nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada pencinta muzik negara. Dua tahun lalu, nama jejaka keturunan Lebanon yang dibesarkan di Sweden itu mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat Malaysia.
Sudah melahirkan dua album iaitu Thank You Allah pada tahun 2009 dan Forgive Me pada bulan April lalu, populariti bapa kepada seorang cahaya mata bernama Aya Zain itu semakin melonjak naik. Malah, populariti menjadi satu fenomena dalam dunia hiburan Islam antarabangsa.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeronautik yang pernah bekerja sebagai penerbit muzik itu memberitahu, dia tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi sebelum ini.
"Dahulu saya jauh daripada Islam kerana tidak mempraktikkannya dalam cara hidup seharian. Setelah tersedar dalam belenggu kelalaian dan mula mempelajari Islam, saya tidak mahu anak muda lain 'tersasar' seperti saya.
"Jadi, saya mahu kongsikan apa yang dipelajari melalui muzik untuk mengajak mereka ke arah kebaikan. Saya melihat cara ini lebih mudah untuk diterima dengan meluas," katanya sambil menyifatkan karyanya tidak hanya menekankan ajaran Islam, bahkan sarat dengan nilai kemanusiaan, kehidupan dan kekeluargaan.
Baginya, muzik merupakan bahasa antarabangsa kerana ia 'berbicara' dengan semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.
"Jika anda menghasilkan muzik yang bagus, mereka akan mendengar dan menghayati bait-bait lirik yang penuh dengan inspirasi.
"Saya menerima maklum balas baik daripada orang bukan Islam daripada pelbagai latar belakang, budaya, agama dan usia," ujarnya yang mempunyai lima juta pengikut di laman sosial Facebook pada masa ini.

AURA Maher Zain membuatkan para peminat setia sanggup turun padang menghadiri konsert penyanyi kesayangan mereka itu.


Rahsia populariti Maher Zain
Apakah yang membuatkan Maher Zain meraih populariti mendadak hingga menjadi fenomena umat Islam seluruh dunia?
Tidak berniat melontarkan soalan berbaur provokasi, penulis bertanya: "Apa istimewanya anda sehingga mampu mencetuskan fenomena? Peminat terima anda kerana wajah yang kacak atau kualiti lagu-lagu yang dihasilkan?"
Dengan nada tenang, Maher Zain yang turut berlakon dalam siri drama televisyen Indonesia bertajuk InsyaAllah, Ada Jalan memberitahu, segalanya akan mustahil tanpa keredaan Allah.
"Di sebalik sesuatu kejayaan bergantung kepada beberapa elemen. Perlu ada kerja keras, dedikasi, matlamat dan pasukan yang sangat komited menyokong apa yang anda lakukan. Tanpa sumbangan besar mereka, siapalah saya.
"Ia sebenarnya satu pakej. Anda mungkin ada suara, tetapi tiada lagu yang bagus atau punya lagu bagus, tetapi tidak mempunyai suara sedap dan sebagainya," katanya yang tidak pernah lekang dengan senyuman.
Ujarnya, segala yang hebat itu datangnya daripada Allah. Sebenarnya Maher Zain tidak pernah melakukan sebarang promosi atau datang ke Malaysia sebelum ini. Seseorang telah memainkan lagu-lagunya di sini dan ia terus mendapat sambutan ramai sekali gus melakar fenomena.
Maher Zain memberitahu, dia selesa dan tidak menghadapi masalah menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu kerana sebutan vokalnya hampir sama dengan bahasa yang dituturkannya iaitu bahasa Sweden. Bagaimanapun, ujarnya bahasa Turki dianggap paling sukar untuk dituturkan beliau.
Menyedari bahawa populariti yang dikecapinya akan ada pasang surutnya, Maher Zain sudah bersedia menempuh fasa tersebut.
Andai jodohnya dengan industri muzik tidak lama, dia memasang impian membuat sesuatu yang dekat dengan kanak-kanak kerana baginya mereka adalah penentu masa depan.
Seperti lagu-lagunya yang sarat dengan mesej dan nilai-nilai positif, Maher Zain sempat menitipkan pesan buat para peminatnya di negara ini.
"Sentiasa tekankan nilai positif dalam diri dan anggaplah esok anda menempuh hari baharu, walaupun hari ini anda berdepan dengan kesukaran. Sentiasa bersedia menempuh hari esok dan cuba menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Sambutan memberangsangkan terhadap penjualan album Thank You Allah membolehkan Maher Zain mendapat Anugerah Platinum.


"Saya suka untuk berkongsi falsafah yang menjadi pegangan hidup saya kini iaitu Live your life as if you will live forever, live for akhirah as if you will die tomorrow. Percayalah, anda akan menjadi lebih bahagia," ujarnya.

Ciri keselamatan KSOS 2

Posted: 06 Nov 2012 02:18 PM PST

DARI kiri: Pengarah Saluran Jualan Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong, Pengarah Korporat Jualan Kaspersky Lab Asia Pasifik, Gun Suk Ling dan Jurutera Teknikal Kaspersky Lab, Jason Siew menunjukkan produk terbaharu KSOS 2.


SEBUAH syarikat kecil dan sederhana (SME) biasanya mempunyai pekerja seramai 25 orang atau kurang.
Bagaimanapun, definisi untuk sebuah SME berbeza mengikut negara.
Pada bilangan yang sama, ia dianggap sebagai syarikat yang terlalu kecil di China dan India.
Namun, apa juga definisinya berdasarkan kajian yang dilakukan oleh B2B International dengan Kaspersky Lab, tinjauan menunjukkan 41 peratus syarikat di seluruh dunia tidak bersedia menghadapi ancaman siber.
Data tersebut sangat membimbangkan kerana perniagaan SME membentuk 98 peratus daripada keseluruhan syarikat yang ada di Malaysia. Bahkan, ia menyumbang sebanyak 31 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 56 peratus tenaga kerja.
Justeru, Kaspersky Lab melancarkan produk keselamatan terbaharu yang direka mengikut bilangan pekerja SME. Dikenali sebagai Kaspersky Small Office Security 2 (KSOS 2), ia dilancarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KSOS 2 menaik taraf beberapa ciri-ciri keselamatannya seperti pelayan keselamatan, back-up, enskripsi, polisi web dan pengurusan kata kunci.
Pengurusan kata kunci membolehkan seluruh rangkaian perniagaan kecil diuruskan dengan sebuah komputer tunggal. Menggunakan konsol pentadbiran, status keselamatan untuk semua komputer boleh diperiksa, mengesan masalah seterusnya diselesaikan.
Sambungan WiFi juga boleh dipantau dan kaedah bagi membaiki sebarang ancaman boleh diberi saranan.
Menurut kajian Smith School, Universiti Maryland dan Network Solution, para pekerja di syarikat kecil menghabiskan sehingga 24 peratus waktu bekerja dengan melayari rangkaian sosial.
Ciri Pengurusan Polisi Web KSOS 2 boleh memastikan para pekerja bekerja dalam keadaan optimum dengan melakukan tetapan polisi pada internet dan komputer.
Selain itu, pemilik syarikat boleh mengawal aktiviti memuat turun fail bagi mengelakkan ia memberi kesan kepada sambungan jalur lebar dan menyekat sebarang laman web.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories