RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Panorama indah tasik

Posted: 21 Jun 2013 06:27 PM PDT



PENGUNJUNG yang ingin merasai pengalaman seperti berada di kampung bolehlah berkunjung ke Tasik Timah Tasoh.


ACAP KALI apabila menyebut nama Padang Besar yang terletak di Perlis, ramai yang akan membayangkan syurga beli-belah barangan murah di Malaysia.
Namun tidak ramai yang menyedari Padang Besar bukan setakat tempat untuk membeli-belah. Hakikatnya, tidak ramai yang mengetahui kewujudan sebuah tasik yang menyimpan pelbagai tarikan unik.
Tasik Timah Tasoh ialah nama yang tidak asing bagi penduduk Perlis. Ia bukan sahaja nadi pertanian di utara Semenanjung Malaysia, bahkan empangan saliran terbesar itu merupakan lokasi percutian pelancong yang cintakan alam semula jadi.
Tasik tersebut pada asalnya merupakan pertemuan dua buah sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Ia juga merupakan lokasi sebuah kampung iaitu Tasoh yang telah ditenggelamkan bagi mewujudkan empangan tersebut.
Turut ditenggelamkan bersama kampung itu ialah masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan. Selain nostalgianya yang semakin luput daripada ingatan penduduk setempat, kampung tersebut terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan air bagi menyediakan bekalan air domestik dan perindustrian. Selain itu, ia bagi memenuhi keperluan untuk mengairi 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.
Buah percuma
Selain pemandangan yang menarik, tetamu di Tasoh Lake Resort & Retreat boleh menikmati buah-buahan secara percuma di dusun-dusun di sekitar tasik tersebut.

SEORANG pekerja memetik mempelam harumanis di ladang Jabatan Pertanian Bukit Bintang, Kangar. - Gambar hiasan


Bagaimanapun, tidak lengkap percutian di Perlis tanpa menikmati buah mempelam tempatan iaitu harumanis yang berharga RM20 sekilogram. Buah mempelam itu digelar harumanis kerana ia mengeluarkan aroma yang harum, rasa yang manis dan isinya tebal. Mangga tersebut juga enak dimakan bersama pulut.
Ketua Pegawai Eksekutif Tasoh Lake Resort & Retreat, Helmy Faizal Mohd. Kamal memberitahu, harumanis juga merupakan satu daripada sajian tradisi Perlis dan isinya boleh diproses menjadi jus atau jem. Buah-buahan lain yang terdapat di dusun tersebut ialah durian, durian belanda, rambutan dan mangga yang boleh dipetik terus dari pokoknya.
Sekitar satu kilometer ke utara dari calet tersebut ialah Padang Besar. Padang Besar merupakan pusat beli-belah dan pintu masuk ke Thailand bagi pelancong yang ingin ke Hat Yai, Krabi atau Phuket.
Kedudukan Tasik Timah Tasoh juga berhampiran Wang Kelian iaitu pasar sehari yang menjadi tumpuan masyarakat setempat dan Thailand berbelanja. Mereka hanya perlu menunjukkan identiti pengenalan diri masing-masing.
Menurut Helmy Faizal, ramai pelancong asing yang singgah berehat di Tasoh Lake Resort & Retreat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand.
"Misalnya, kita mempunyai pelanggan tetap dari England yang membawa Carry Van dan menetap selama sekurang-kurangnya sebulan di dalam van yang diletakkan di tepi tasik itu," kata Helmy Faizal.
Percutian di tasik itu juga menjanjikan syurga kepada kaki pancing Antara ikan air tawar yang terdapat di tasik itu ialah tilapia, ubi, keli dan haruan.
Spesies ikan
Ikan segar yang diperoleh dibakar terus di tepi tasik pada waktu malam yang bersuhu 28 darjah Celsius sambil bersantai di gazebo yang disediakan. Terdapat juga nelayan yang menjala ikan di situ. Para pemancing yang menyertai nelayan boleh mendapat hasil yang lebih lumayan.
Di tasik tersebut, orang ramai berpeluang menikmati pelbagai aktiviti air seperti berakit, berkayak dan sukan air. Tasik Tasoh juga menjadi lokasi yang dipilih untuk sukan layar peringkat kebangsaan sejak 2010.
Jika memancing atau aktiviti air tidak menjadi pilihan, pengunjung boleh memilih untuk melakukan 12 aktiviti merempuh halangan dan menyertai pasukan bina semangat.

TASIK Timah Tusoh terletak berhampiran Wang Kelian iaitu pasar sehari yang menjadi tumpuan masyarakat setempat dan Thailand berbelanja.


Tasik tersebut juga dilengkapi kemudahan tapak perkhemahan bagi yang tidak mahu menginap di 51 unit calet pada kadar harga dari RM80 hingga RM500.
"Antara syarikat terkemuka yang pernah membuat aktiviti bina semangat di sini ialah Prudential, Safura dan institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara," tambah Helmy Faizal.
Lazimnya, pada bulan Ogos, Timah Tasoh menjadi santuari burung-burung hijrah terutama dari negara-negara sejuk. Pada bulan itu, tasik ini dan persekitaran semula jadinya menawarkan habitat termasuk makanan dan perlindungan yang diperlukan burung-burung berkenaan.
Timah Tasoh juga sering menjadi lokasi penggambaran drama bersiri Astro seperti Kiah Pekasam dan lokasi penggambaran klip video lagu Kisah Hati nyanyian Alyah.
"Majlis perkahwinan Fasha Sandha dan konsert sulung kumpulan Bunkface juga pernah diadakan di sini tiga tahun lalu," katanya.

Pulau Mutiara syurga makanan

Posted: 21 Jun 2013 06:26 PM PDT



PENGIKTIRAFAN George Town, Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 26 Julai 2008 memang keputusan yang tepat.
Pelbagai tarikan dapat disaksikan di pulau tersebut seperti bangunan, budaya, makanan dan lokasi untuk beriadah seisi keluarga.
Salah satu tarikan yang mungkin sudah sebati dengan kehidupan masyarakat di negeri tersebut ialah makanan yang disajikan di lorong-lorong jalan.
Nasi kandar antara makanan yang cukup sinonim dengan Pulau Pinang. Jadi, kunjungan ke Pulau Mutiara seakan-akan tidak lengkap sekiranya tidak menikmati hidangan tersebut.
Nasi kandar merupakan nasi putih yang dihidangkan bersama kari dan bermacam-macam pilihan lauk seperti ikan, ayam, sotong, udang dan daging. Kepada mereka yang menggemari makanan yang berempah dan pedas, nasi kandar merupakan pilihan yang tepat.
Antara gerai yang menjadi tumpuan ramai ialah Nasi Kandar Imigresen. Gerai itu dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 10 malam kecuali hari Jumaat.
Setelah tiga kali berusaha mencari lokasi tersebut, akhirnya kami menemui gerai tersebut. Ia terletak di Lorong Pasar, Jalan Masjid Kapitan Keling iaitu di depan Kafe Asia.
Di gerai ini disediakan beberapa buah kerusi dan meja untuk pelanggan menjamu selera. Ada juga pelanggan Kafe Asia yang menempah hidangan istimewa itu.
Kafe Asia merupakan kedai kopi Cina lama dan banyak poster-poster lama di dinding kedai itu.
Meskipun jam menunjukkan pukul 11.45 pagi, namun pelanggan sudah mengerumuni gerai tersebut. Ada yang membeli untuk makan di gerai, tidak kurang yang membungkus untuk dibawa pulang. Ia menjadi tumpuan pelanggan berbilang kaum.
Nasi kandar
Beroperasi sejak 15 tahun lalu, Nasi Kandar Imigresen antara gerai yang mendapat perhatian di negeri ini. Pada asalnya, kedai tersebut didirikan di belakang bangunan Imigresen Pulau Pinang sebelum berpindah ke lokasi sekarang.
Menikmati sepinggan nasi dengan campuran lauk daging, sotong dan sayur serta campuran kuah kari membuatkan sepinggan nasi licin dalam masa yang singkat.
MI goreng hasil tangan Mahboob terkenal dalam kalangan pelanggannya.


Masakan yang dihidangkan terasa enak dan tidak hairanlah jika gerai itu menjadi tumpuan pelanggan.
"Saya memasak lauk-pauk di rumah sebelum dibawa ke gerai ini. Nasi kandar lebih sedap dinikmati jika nasinya dilimpahi kuah kari," kata pemilik gerai, Sikkandar Dulkarunai Mohd. Noordeen, 59. Selain mengambil empat orang pekerja, anak lelakinya, Faizal Ali, 23, turut membantunya di gerai.
Selepas kenyang makan nasi kandar bersama air sirap, saya dan jurugambar, Zaini Husin meneruskan misi mencari beberapa buah gerai lain.
Sebelum itu, Pengurus Palanquinn Heritage Suites (Palanquinn), Cheah Leong Keah mencadangkan kami mencuba mi goreng di Lorong Bangkok. Palanquinn merupakan sebuah hotel butik yang juga terletak di Lorong Bangkok.
"Saya sangat sukakan mi goreng di gerai ini kerana rasanya agak masam dan sedap dimakan. Saya juga boleh meminta mi goreng banjir iaitu diletakkan lebih banyak kuah sambal," katanya yang merupakan pelanggan tetap mi goreng gerai di lorong tersebut.
Leong Keah juga menyatakan, keenakan makanan di Pulau Pinang termasuk mi goreng tersebut membuatkan dia tidak mahu menetap di luar negara.
Sebelum terbabit menguruskan hotel itu beberapa tahun lalu, dia pernah belajar dan bekerja di luar negara tetapi telah mengambil keputusan nekad kembali ke Pulau Mutiara.
"Saya rindu hendak menikmati mi goreng yang telah sebati dengan saya sejak zaman kanak-kanak. Selain itu, saya juga mempunyai pelbagai makanan kegemaran di George Town yang sukar hendak diperoleh di luar negara," katanya yang sebelum ini belajar di London, Britain.
Mi goreng
Apabila sampai di lokasi tersebut, saya dapati, gerai mi goreng itu terletak di dalam Kedai Kopi Sing Lee. Dari jauh kelihatan seorang lelaki, Mahboob Mohd. Zakaria, 57, lincah memasak mi. Aksi dan gayanya menarik perhatian kami. Bunyi sudip terkena kuali dan pekerja yang sibuk melayan tempahan pelanggan membuktikan betapa mi goreng ini mempunyai keunikan tersendiri.
"Cili, tomato dan sos saya buat sendiri, kemudian campur ubi kentang, cucur udang, sotong, telur dan tauge. Mi goreng ini memang asli, masakan stail lama," katanya. Menurut Mahbood, keluarganya telah berniaga di Pulau Pinang sejak lapan dekad lalu dengan menolak kereta empat roda dari satu tempat ke tempat lain.
Jelasnya, sejarah pembabitan keluarganya dalam perniagaan mi goreng tersebut sebenarnya lebih panjang iaitu sebelum berhijrah ke Malaysia lagi. Ketika itu, datuknya memulakan perniagaan di India dan setelah berhijrah ke Pulau Pinang dia meneruskan kerjaya tersebut dengan pelanggan utama merupakan pekerja-pekerja buruh.

George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia kerana mempunyai bangunan-bangunan lama yang unik dan bersejarah.


Ketika pemerintahan British di Pulau Pinang, para peniaga jalanan tidak dibenarkan beroperasi dan jika ditangkap akan dirotan. Bagaimanapun, datuknya tetap berniaga tetapi secara sembunyi-sembunyi.
Dalam pada itu, sepinggan mi goreng campur sotong berharga RM5 manakala mi goreng bersama telur berharga RM4. Gerai tersebut dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 6 petang kecuali hari Isnin.
Roti bakar benggali
Walaupun perut masih kenyang, namun untuk menolak sepinggan mi goreng bercampur sotong amat sukar. Kami dapati mi goreng itu agak kering namun sedap dinikmati ketika masih panas. Rasa masam memang kuat tetapi rasanya sangat sedap. Tidak hairanlah mengapa kedai kopi itu sentiasa penuh terutama pada waktu tengah hari.
Di hadapan gerai mi goreng tersebut terdapat peniaga yang menjual roti bakar dan telur separuh masak.
Walaupun makanan ini kelihatan biasa sahaja, ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Menggunakan roti benggali, roti tersebut dibakar menggunakan arang sekali gus menjadikannya beraroma harum. Roti itu kemudiannya disapu marjerin dan kaya.
Telur separuh masak di gerai milik Abdul Manaf Jahir, 59, terasa enak dan garing.
"Saya menggunakan roti benggali kerana rasanya lebih sedap jika dibakar dengan arang manakala telur rebus dimasak menggunakan air yang betul-betul panas supaya telur menjadi separuh masak," katanya. Lelaki itu telah berniaga sejak tujuh tahun lalu dan mempunyai ramai pelanggan tetap termasuk di luar Pulau Pinang.
Hidangan tersebut menjadi lengkap apabila dinikmati secara set iaitu dua keping roti bakar bersama dua biji telur rebus yang berharga RM2.40. Harganya jauh lebih murah berbanding di Kuala Lumpur.
Menurut Abdul Manaf, perniagaan itu diwarisi daripada bapanya yang memulakannya sejak 63 tahun lalu. Gerai tersebut diuruskannya sejak tujuh tahun lalu setelah bapanya yang berusia lebih 80 tahun tidak larat untuk menguruskannya. Gerai itu dibuka setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 5 petang.

Bermalam di rumah Bajau Suluk

Posted: 21 Jun 2013 06:25 PM PDT


PELANCONG yang menginap di Nuryati Inn dapat menikmati pemandangan laut yang terbentang luas di hadapan inap desa itu.


BAGI pelancong yang pernah berkunjung ke Pulau Mabul yang terletak di daerah Semporna, Sabah, ketenangan kawasan kampung yang didiami oleh masyarakat Bajau Suluk dan kebiruan air laut pasti menjadi memori indah untuk dikongsi bersama kenalan.
Pulau itu juga menjadi destinasi tumpuan para penyelam skuba dari seluruh dunia untuk melihat kecantikan dan keindahan batu karang serta hidupan lautnya. Eel Garden dan House Reef antara dua kawasan tumpuan untuk aktiviti skuba di pulau itu.
Usah risau mengenai penginapan sepanjang bercuti di Pulau Mabul kerana terdapat kira-kira 10 buah resort dan inap desa yang diusahakan oleh penduduk pulau itu.
Pengalaman bermalam di inap desa atas air merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Walaupun sentiasa dipukul ombak, kediaman yang dibina oleh masyarakat Bajau Suluk daripada kayu belian itu masih utuh berdiri.
Nuryati Inn merupakan antara inap desa atas air di Pulau Mabul. Ia sebuah penginapan yang ringkas dan mempunyai pelbagai kemudahan.
Pemilik homestay itu, Mohd. Yusof Jalal, 55, memberitahu, inap desa itu mempunyai warna tema iaitu biru dan putih. Ia dibina di kawasan seluas 0.8 hektar dengan kemudahan jeti botnya sendiri.
Dia yang juga Ketua Kampung Pulau Mabul berkata, pihaknya menyediakan sembilan bilik tidur dan lima bilik air.
KANAK-KANAK Bajau Laut sedang bermain-main di sekitar perairan Pulau Mabul.


Keperluan asas
"Bersesuaian dengan konsep ringkas, setiap bilik disertakan dengan dua buah katil, kipas dan soket elektrik yang merupakan keperluan asas pelancong sepanjang bercuti di sini.
"Penginapan dua hari satu malam merupakan pakej minimum di Nuryati Inn. Pakej itu meliputi pengangkutan dari Jeti Umum Semporna ke Pulau Mabul. Jadi, anda tidak perlu risau untuk menyewa bot ke sini," ujarnya yang dikenali sebagai Panglima oleh penduduk tempatan.
Kemudahan lain yang disediakan ialah kedai runcit yang menjual barang-barang keperluan asas seperti beras dan gula. Turut dijual ialah barangan cenderamata seperti kemeja-T.
Dalam pakej itu juga, pihak Nuryati Inn menyediakan hidangan sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Lebih menarik, anda berpeluang menikmati hidangan.

Perkampungan tebing curam Itali

Posted: 21 Jun 2013 06:24 PM PDT



RUMAH Bangsawan yang dinamakan Le Sirenuse ini merupakan sebuah tempat penginapan berkonsep seni bina Eropah abad ke-17.


POSITANO merupakan sebuah perkampungan lereng bukit yang terletak di pesisir pantai Amalfi di Compania, Itali. Kunjungan ke Positano membuka ruang untuk pelancong mengenali dengan lebih dekat tentang struktur binaan yang menegak ke atas bukit dan diselangi dengan laluan sempit di celah-celah kediaman.
Pengunjung boleh berhenti berehat di mana-mana sahaja untuk menjamu selera kerana terdapat banyak restoran yang menawarkan hidangan tradisional Itali di sana.
Mereka boleh mencuba laluan perjalanan dari Chiesa Nuova hingga ke S. Maria del Castello, Positano untuk menikmati pemandangan indah sungai dan alam semula jadinya.
Pada Zaman Pertengahan, Positano merupakan sebuah pelabuhan di Republik Amalfi yang berkembang maju pada abad keenam dan ketujuh. Namun, pada abad kesembilan pelabuhan tersebut mengalami zaman kejatuhan sehingga menyebabkan separuh daripada populasinya berhijrah ke Australia.
Positano menjadi kawasan tumpuan bagi golongan nelayan pada abad ke-20 dan telah menarik ramai pengunjung untuk melawati perkampungan unik tersebut sekitar tahun 1950-an. Pelancong asing berminat mengunjungi kampung nelayan tersebut selepas membaca artikel yang ditulis oleh John Steinbeck pada tahun 1953 yang bertajuk Positano bites deep.

INILAH perkampungan lereng bukit Positano di Itali yang terkenal dalam kalangan pelancong.


Perkampungan nelayan
Positano merupakan sebuah lokasi impian yang sangat unik dan selepas meninggalkannya ia sering terbayang-bayang dalam kenangan anda.
Positano pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa filem terkenal Hollywood seperti Only You (1994) dan Under The Tuscan Sun (2003). Ia juga menjadi lokasi tahunan penganjuran Festival Kartun Teluk yang mempertandingkan pelbagai anugerah kecemerlangan dalam bidang filem animasi.
Bagi yang ingin menikmati keindahan Positano, anda boleh ke sana dengan menaiki pesawat menuju ke lapangan terbang terdekat iaitu Napoli-Capodichino dan Salerno-Pontecagnano yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Positano.
Jika anda gemarkan percutian santai dan keindahan alam semula jadi, terdapat beberapa rumah ladang dan kampung yang menawarkan tempat penginapan yang selesa.
Salah satu daripadanya ialah Rifugio degli Dei iaitu sebuah rumah ladang yang dibina pada pertengahan abad ke-18. Ia diubah suai pada tahun 2007 untuk dijadikan tempat penginapan pelancong dari seluruh dunia.
Di rumah ladang tersebut, pengunjung berpeluang menikmati pemandangan keseluruhan kampung Positano yang menakjubkan dan keindahan Pulau Li Galli dengan suasana yang damai lagi menenangkan.

Jenama produk sukan lasak

Posted: 21 Jun 2013 06:20 PM PDT

PELANGGAN menggemari barangan TLD kerana ia unik dan tahan lasak.


BERWARNA terang, unik dan selesa dipakai ialah antara sebab peminat sukan berbasikal dan motosikal lasak menggilai jenama barangan serta peralatan keluaran Troy Lee Designs (TLD).
Manakan tidak, sejak dicipta oleh Troy Lee lebih 30 tahun lalu di Corona, California, Amerika Syarikat, jenama tersebut dikenali di seluruh dunia sebagai peneraju barangan sukan khususnya topi keledar dan aksesori sukan pemotoran.
Sebutkan sahaja acara sukan lasak seperti Formula Satu, Nascar, Enduro, perlumbaan jalanan, litar atau lumpur, pasti jenama TLD ada di situ.
Di Malaysia, jenama itu mempunyai pengikutnya sendiri walaupun ia baru dibawa masuk pada tahun 2010 oleh Ketua Pegawai Eksekutif TLD, Datuk Seri Patrick Tan Hing Chew.
Bagaimanapun, baru-baru ini, syarikat terbabit telah membuat penjenamaan semula. Kini, ia dikenali sebagai Troy Lee Designs Concept Store. Kedai itu bukan sahaja menjual barangan TLD malah barang-barang berjenama lain seperti Ducati, Fox Racing, Oakley dan Go Pro.
Ketika ini, TLD menguasai 75 peratus pasaran downhill dan 45 peratus trail riders di pasaran tempatan. Syarikat berkenaan juga menyasarkan untuk menguasai pasaran sukan lasak lain.

ARJUNAIDI (tengah) merasmikan pembukaan TLD Concept Store di Dataran Glomac, Petaling Jaya baru-baru ini.


"Terdapat ramai anak muda di negara ini yang meminati aktiviti sukan lasak tetapi mereka takut dilabel sebagai budak nakal. Kebanyakan mereka yang terlibat pula tidak mengutamakan aspek keselamatan.
"Kita mahu memberitahu orang ramai bahawa sukan lasak seperti basikal atau motosikal adalah selamat. Mereka cuma perlu menitikberatkan aspek keselamatan ketika menunggang," kata Hing Chew pada majlis perasmian penjenamaan semula TLD di Dataran Glomac, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.
Duta produk
Selain itu, salah satu objektif TLD adalah untuk menarik lebih ramai kaum wanita supaya terlibat dalam sukan ekstrem seperti menunggang basikal.
Bagi menyokong pendekatan itu, TLD melantik selebriti seperti Ruzana Ibrahim, Nishaa Dir, Linora Low dan Chelsea Ng sebagai duta produk.
"Saya sangat teruja apabila dilantik sebagai duta produk TLD kerana saya memang meminati sukan lasak. Produk TLD berkualiti tinggi malah terdapat pakaian sukan khas untuk wanita.

DARI kanan, Nishaa, Linora, Chelsea dan Ruzana merupakan duta-duta TLD.


"Sebagai duta produk saya berharap dapat membantu TLD menarik lebih ramai golongan wanita terbabit dalam sukan ekstrem," kata Nishaa.
Seorang pelanggan, Zulirwan Zulkifli, 31, dari Bangsar, Kuala Lumpur berkata, sebelum ini dia terpaksa memesan menerusi rakan-rakan yang pergi ke luar negara supaya membelikannya produk jenama TLD.
Ujarnya, sejak premis tersebut dibuka tiga tahun lalu, dia tidak melepaskan peluang untuk membeli produk yang diminatinya.
"Biasanya saya beli produk berkaitan sukan basikal bukit seperti pakaian kerana kualitinya sangat baik dan tahan lasak," katanya yang bekerja di syarikat minyak dan gas.

Zue's Oven guna blog jual kek 3D

Posted: 21 Jun 2013 06:17 PM PDT

ZURIANI kini boleh menarik nafas lega apabila produk Zue's Oven mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.


BERMULA sekadar suka-suka, usaha Zuriani Abd. Kadir, 47, menghasilkan kek cawan kini menjana pendapatan lumayan.
Pemegang Ijazah Sarjana Perakaunan dari Universiti London Timur, United Kingdom itu sanggup meninggalkan kerjayanya demi perniagaan bakeri.
Bekas kakitangan sumber manusia Syarikat Bina Darul Aman, Alor Setar iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu berhenti kerja empat tahun lalu semata-mata mahu memberi tumpuan kepada perniagaan bakeri yang semakin mendapat sambutan.
Minatnya yang mendalam terhadap pembuatan kek menyebabkan Zuriani lebih mementingkan kepuasan pelanggan berbanding keuntungan.
Zuriani atau lebih mesra dengan panggilan Zue berkata, sejak di bangku sekolah dia memang gemar melukis dan memasak kek.
"Sejak kecil saya sering membantu ibu menyediakan pelbagai jenis biskut raya yang ditempah secara kecil-kecilan.
"Ketika belajar di luar negara selama enam tahun, saya dan teman-teman akan bergotong-royong menyediakan kek dan biskut sebagai juadah hari raya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Usaha Zuriani menghasilkan biskut dan kek itu mendapat sokongan daripada suaminya, Mohd. Jafri Abd. Hamid, 47, serta tiga orang anak mereka.
Zuriani terlibat secara tidak langsung dalam perniagaan bakeri lima tahun lalu menggunakan jenama Zue's Oven.
"Bisnes ini bermula selepas saya membawa marble cheese brownies ke pejabat. Mereka sukakannya. Sejak itu ramai kawan-kawan yang menempah kek, biskut dan makaroni saya," katanya yang berusaha memantapkan kemahiran dengan mengikuti kelas-kelas menghias kek.
Tempahan
Pada hari-hari biasa, Zuraini biasanya menerima tempahan kira-kira 10 biji kek. Permintaan itu akan meningkat pada musim perayaan.
Meskipun Zuraini lebih suka membuat kek tanpa bantuan orang lain, anak-anaknya sering membantunya.

SEORANG anak Zuriani membantunya membuat dan membungkus kek.


Kek hasil tangan anak ketiga daripada lapan beradik itu bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan orang tempatan malahan pernah mendapat tempahan dari luar negara seperti Belanda dan India.
Selain itu, jirannya yang merupakan warganegara Jerman juga sangat menyukai kek yang dihasilkan Zuraini dan pernah memintanya membuat kek marble cheese brownies untuk dijadikan buah tangan.
Selain kreatif menghias kek dengan pelbagai figura bunga, Zuriani juga berbakat dalam membuat kek tiga dimensi (3D), kek balang, biskut, brownies, pasta, pemanis mulut dan kek mini.
Malah, dia pernah diberi kepercayaan menyediakan kek untuk sambutan hari lahir bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abd. Razak.
Produk-produk hasil tangan Zuriani juga berjaya mendapat tempat di hotel-hotel di sekitar Alor Setar.
Dia yang berasal dari Nilam Puri, Kelantan turut mengiklankan produk Zue's Oven dalam blog dan Facebook.
Selain itu, Zuriani juga menyediakan katalog yang dimuatkan dengan gambar-gambar produk bakeri hasil buatannya untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan.
Mereka yang berminat boleh membuat tempahan melalui blog miliknya iaitu cekmekzue-zue.blogspot.com atau www.facebook.com/pages/Zues-oven.

Yuna pilih jejaka Inggeris

Posted: 21 Jun 2013 04:21 AM PDT


Yuna
Yuna
SETELAH hubungan cintanya bersama pelakon, Qi Razali kecundang di tengah jalan, penyanyi terkenal, Yuna, lebih selesa untuk tidak membincangkan soal hubungannya dengan mana-mana lelaki. Malah, mengambil pengajaran di atas kegagalan cinta lalu, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, mengakui serik untuk berbicara soal cinta secara terbuka.

Namun, lumrah kehidupan selebriti, setiap langkah dan pergerakannya sering menjadi perhatian masyarakat dan peminat. Dalam kesibukannya menguruskan kerjaya seni di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Yuna dikatakan sedang hangat bercinta dengan jurufoto berbangsa Inggeris, Julian Schratter.

Hubungan mesra itu mula dihidu setelah Yuna memuat naik beberapa gambar mesranya bersama Schratter di laman sosial, Instagram. Malah, menerusi muzik video terbarunya yang merupakan single pertama sejak bernaung di bawah syarikat rakaman, The Verve Music Group, I Wanna Go, Yuna turut menampilkan Schratter sebagai watak dalam video tersebut.

Enggan membiarkan peminat dan masyarakat terus membuat spekulasi liar, Yuna tampil memberitahu hubungannya bersama Schratter masih di peringkat awal.

"Kami selesa berkawan dan kini sedang mengenali hati budi masing-masing secara lebih dekat. Namun saya kurang selesa berbicara mengenai kisah peribadi dan tidak mahu bercerita dengan lebih panjang mengenai hubungan kami.

"Saya banyak belajar daripada pengalaman lalu. Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini dan saya telah menerima pengajaran dalam hubungan lalu," jelas Yuna melalui Skype ketika sidang media eksklusif Konsert Yuna, semalam.

Konsert sulung di IB

Bercerita mengenai persembahan sulungnya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) yang bakal berlangsung pada 6 hingga 8 September depan, Yuna turut meluahkan rasa teruja untuk menjayakan persembahan itu. Malah, Yuna menyifatkan persembahan tersebut adalah satu daripada impiannya untuk beraksi di pentas bertaraf antarabangsa itu.

"Ia seperti mimpi jadi kenyataan. Jika sebelum ini saya hanya berpeluang menyaksikan konsert di atas pentas itu, namun kini giliran saya pula. Saya berterima kasih kepada pihak yang terlibat kerana memberi peluang kepada pemuzik muda seperti saya untuk beraksi.

"Bukan senang nak dapat peluang seperti ini, apatah lagi saya kini sibuk dengan kerjaya di luar negara," katanya.

Konsert yang akan berlangsung selama dua jam itu bakal diiringi orkestra dan turut mengundang beberapa artis tempatan untuk berduet termasuk penyanyi hebat, Aizat Amdan.

"Walaupun belum mendapat kepastian lagi, namun Aizat menjadi pilihan kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini. Mungkin dua atau tiga penyanyi akan dijemput namun semuanya masih dalam perancangan," kata Yuna yang memiliki tujuh tahun pengalaman dalam bidang muzik.

Lancar album baru

Bertanya mengenai perkembangan terkininya, Yuna memberitahu, dia kini sedang giat menyiapkan album keduanya di luar negara. Katanya, album tersebut akan memuatkan 12 lagu Inggeris menggunakan konsep instrumen tradisional seperti kompang.

"Menariknya, ada satu lagu yang mengetengahkan unsur dikir barat walaupun tidak secara keseluruhan tetapi ia sangat unik bagi saya. Dalam album ini, saya ingin memperkenalkan muzik tradisional Malaysia ke luar negara.

"Saya juga berpuas hati dengan lagu baru, Lelaki... yang mendapat sambutan hangat dan sering diputarkan di stesen radio tempatan. Walaupun saya jauh, namun saya gembira dan terharu dengan sokongan peminat tempatan," katanya.

Shila Amzah Buka Mulut Isu Baju Sendat

Posted: 21 Jun 2013 04:20 AM PDT

Shila Amzah
KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah menganggap tindakannya memuat naik gambar pakaian senaman yang dilihat agak sendat di laman sosial Instagram hanya untuk berkongsi bersama peminat-peminatnya.
Shila, 23, berkata dia tidak menyangka perkara tersebut telah mencetuskan kemarahan masyarakat yang menganggap gambar tersebut sebagai tidak sopan.
"Saya tidak sedar dan tidak terfikir langsung perkara tersebut boleh jadi isu kerana tujuan sebenar saya berbuat demikian adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan peminat yang saya memiliki pakaian yang sesuai untuk ke gim.
"Setelah memuat naik gambar itu, saya terus tinggalkan telefon bimbit di rumah dan sejam selepas itu saya lihat ibu dan ayah hantar mesej meminta saya menghapuskan gambar tersebut dengan segera. Ketika itu baru saya tersedar ia sensitif," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu Shila yang kini bermastautin di Shanghai, China mengakui aktif berkomunikasi dengan peminat-peminatnya melalui laman sosial Instagram dan berkongsi aktivitinya setiap hari.
"Saya tinggal di sana sendirian jadi saya banyak habiskan masa dengan peminat jika ada masa terluang.
"Mungkin kerana itu saya tidak menyangka ia boleh dijadikan isu kerana saya faham cara berfikir kita berbeza, saya fikir lain orang lain pula nampak lain," jelasnya.
Gambar baju senaman yang menimbulkan kontroversi awal minggu lalu.
Bagaimanapun, kata Shila dia mengambil positif kejadian tersebut sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati ketika berkongsi kegiatan hariannya.
Sementara itu, diminta mengulas berkaitan bekas kekasihnya Sharnaaz Ahmad yang dikatakan rapat dengan seorang pelakon baru berasal daripada Singapura, Elfaiza Ul Huq, Shila menganggap ia adalah perkara peribadi aktor tersebut.
"Hubungan kami sudah berakhir dan itu adalah hak dia untuk berkawan dengan siapa sahaja.
"Bagus untuk dia dan saya harap yang terbaik sahaja," katanya.
Jelas Shila, dia tidak mengikuti perkembangan aktor tersebut berikutan banyak laman web dan laman sosial yang tidak dibenarkan oleh negara tersebut.
"Banyak laman web yang diharamkan di China, jadi saya kurang ambil tahu. Kadang-kadang berita industri hiburan Malaysia pun saya tertinggal," katanya.
Namun, Shila berkata jiwanya kini lebih tenteram dan bahagia dalam menjalani kehidupan dan persekitaran kerja yang baharu.
Dalam perkembangan lain, Shila yang bercuti selama dua minggu sebelum pulang ke China akan melancarkan album terbaharunya dalam masa terdekat.

Che Ta bukti 'kemampuan' bukan hanya melaram

Posted: 21 Jun 2013 04:20 AM PDT


Rozita Che Wan
Rozita Che Wan
KETIKA awal kemunculannya dalam program Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua, ramai yang mempertikaikan cara pemakaiannya yang dikatakan terlalu 'over'.
Malah tidak kurang yang mempersendakannya dan mengatakan bulu matanya akan jatuh ke dalam masakan dan banyak lagi.

Namun, tatkala program realiti berkenaan menghampiri titik noktahnya, ramai yang menyedari, kehadiran Rozita Che Wan dalam program tersebut bukan sekadar untuk melaram semata-matanya.

Sebaliknya anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sememangnya mempunyai bakat memasak yang seiring dengan kecantikannya.

"Macam yang saya katakan sebelum ini, nak masak tak semestinya kena pakai comot-comot. Kita berpakaian cantik pun kita boleh masak. Tak semestinya orang yang cantik itu tak pandai masak.

"Saya juga mahu ingatkan pada kaum wanita, tak semestinya bila kita di dapur, kita perlu pakai comot-comot dan lepas masak rupa macam hantu. Saya rasa kalau betul saya hanya berbekalkan rupa semata-mata, dah lama saya terkeluar daripada program ini," ujarnya kepada Zass.

Rozita berkata, semenjak menyertai program berkenaan, banyak tip-tip berguna yang diperolehnya, di samping dapat mengasah semula skil masakannya.

"Sebelum saya menjadi artis, saya memang suri rumah tangga sepenuh masa, siang malam memasak. Cuma bila bergelar artis, nak masak setahun sekali pun susah.

"Jadi bila masuk Masterchef dapatlah saya baiki skil masakan, di samping dapat juga belajar memasak masakan barat dan tidak terarah kepada masakan Melayu semata-mata.
"Malah sekarang ini saya akan cuba curi masa untuk memasak dan rasa lain kalau tidak memasak satu hari," katanya.

Di tebak mengenai ramalan juaranya yang dikatakan berpihak kepada dirinya sebelum ini, Rozita berkata, rakaman episod akhir sudah di buat dan dia berharap peminat setia program berkenaan akan setia mengikuti bagi mengetahui siapakah juara itu nanti.

"Kami ada perjanjian dengan Astro untuk merahsiakan siapa juara dan benar rakaman episod akhir sudah di buat serta siapa juaranya juga sudah diketahui. Tapi ia masih lagi rahsia dan bagi mengetahui siapakah juaranya jangan lupa menonton episod akhir 25 Jun ini.

"Saya juga sangat seronok sepanjang menyertai program ini dan jika di beri peluang, saya tidak kisah untuk menyertainya lagi pada tahun hadapan," ujarnya.

Tawaran mencurah

Dalam pada itu berkongsi mengenai perihal karier seninya, Rozita berkata, dia masih menerima tawaran berlakon, termasuklah untuk slot Ramadhan dan Syawal nanti.

"Saya baru sahaja selesai menjalani rakaman Primadona Raya, ada 10 episod dan juga baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Seindah Janji untuk TV9.

"Selepas ini saya akan menjalani penggambaran Rumah Kedai untuk TV3 dan juga beberapa drama untuk bulan puasa dan hari raya nanti.

"Jadual saya memang penuh sentiasa, sebab bila orang panggil berlakon, saya terima. Pendek kata, selagi hayat di kandung badan saya akan berlakon sahaja," katanya.

Menyentuh mengenai persiapan kahwinnya, Rozita berkata, dia masih belum membuat sebarang persiapan memandangkan tarikh perkahwinan mereka masih jauh lagi.

Pierre Andre Berdebar Untuk Jadi Suami Ahad Ini

Posted: 21 Jun 2013 04:19 AM PDT

Pierre Andre (tengah) bersama para pelakon Dewi Lasak
PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah filem Pierre Andre teruja dan berdebar untuk menempuhi alam perkahwinan bersama seorang model yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.
Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 28, berkata, dia bersyukur kerana salah satu impiannya untuk bergelar suami akhirnya terlaksana.
"Untuk bergelar seorang suami merupakan impian saya selama ini dan saya bagaikan tidak sabar untuk menantikan detik-detik tersebut.
"Namun, perasaan berdebar tetap ada dan setiap malam saya akan menghafal lafaz akad nikah sebelum tidur," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Dewi Lasak, di sini, Khamis.
Pierre akan bergelar suami kepada Siti Nurhidayah Hashim dalam satu majlis akad nikah Ahad ini yang akan diadakan di Masjid Al-Ikhlas, Taman Melati, Selayang dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari.
Tambahnya, majlis resepsi kedua-dua pihak akan dilakukan secara sederhana dan hanya akan dihadiri oleh keluarga terdekat.
Bagaimanapun kata Piere pihaknya masih belum menetapkan tariknya lagi.
"Majlis resepsi sebelah perempuan mungkin akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti manakala sebelah saya pula tidak dapat dipastikan. Yang pasti ia akan dibuat secara tertutup untuk keluarga sahaja," ujarnya.
Pierre dan tunangnya Nur Hidayah bakal bernikah pada Ahad ini.
Pierre yang mengenali Siti Nurhidayah sejak dua tahun lalu mengakui wanita tersebut mempunyai ciri-ciri isteri yang diidamkannya.
"Ketika jumpa dia, saya tidak beberapa yakin untuk ada hubungan kerana dia seorang model sudah tentu kehidupan berbeza.
"Tapi bila saya kenal keluarganya, saya tahu dia seorang wanita yang terdidik kerana keluarganya guru.
"Dia juga seorang yang tidak cerewet dan sentiasa bersederhana," ujarnya.
Ditanya sama ada dia akan menjemput bekas teman wanitanya iaitu pelakon Yana Samsudin, Pierre berkata, soal jemputan diserahkan kepada keluarga.
"Insya-Allah kita akan jemput tapi saya serah kepada pihak keluarga tentang urusan jemputan. Lagipun saya kena juga ambil pandangan dan jaga hati bakal isteri saya," katanya.
Bercakap tentang drama aksi pertama arahannya, Dewi Lasak, Pierre berkata, cabaran utama adalah membentuk pelakon-pelakon baharu bagi menghidupkan adegan pertarungan.
"Inta Ladyana tidak ada masalah kerana dia sudah biasa watak aksi tapi pelakon lain semuanya masih baru.
"Saya kena cari keserasian dan beri mereka benar-benar menghayati watak serta berlatih seni mempertahankan diri," katanya.
Drama bersiri 13 episod ini bakal ditayangkan di TV3 bermula 26 Jun ini, pukul 9 malam.
Ia memaparkan aksi-aksi pertarungan dengan diselitkan unsur-unsur kekeluargaan, cinta dan komedi.
Selain Intan Ladyana, drama ini turut dibintangi Bella Dewi, Atikah Suhaime dan Azwan Kombos.

Putus Tunang Didesak Keluarga, Shahrizal Jaszle & Puteri Masih Intim

Posted: 21 Jun 2013 04:17 AM PDT


Hubungan cinta Shahrizal dan Redzwani masih mesra seperti biasa.
PETALING JAYA: Hubungan cinta pelakon Shahrizal Jaszle, 25, dengan tunangnya Redzwani Puteri, 25, diputuskan atas desakan keluarga dan bukannya kerelaan hati pasangan tersebut.
Sumber terdekat pasangan itu berkata, keputusan untuk memutuskan pertunangan pada 10 Jun lalu dibuat oleh keluarga pihak perempuan dan ia seboleh-bolehnya tidak diingini oleh pihak lelaki.
"Keluarga perempuan yang mendesak untuk memutuskan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri selepas berita kes penangkapan khalwat Shahrizal dengan seorang wanita heboh diperkatakan.
"Secara jujurnya, Shahrizal dan Redzwani Puteri masih lagi pasangan kekasih dan mereka tidak sanggup untuk berpisah," kata sumber itu.
Sebagai bukti katanya, Redzwani Puteri kerap kali dilihat menemani Shahrizal di lokasi penggambaran dan jika benar mereka tiada kaitan, tidak mungkin pertemuan itu boleh berlaku.
Mesej berbalas yang dipaparkan pada Twitter Shahrizal dan Redzwani menunjukkan mereka masih lagi intim.
Jelas sumber itu lagi, Redzwani Puteri dan Shahrizal juga merasakan mereka masih lagi dalam ikatan pertunangan walaupun pada dasarnya pihak perempuan sudah memulangkan cincin pemberian pihak lelaki.
"Semalam (Khamis) Redzwani Puteri menemani Shahrizal di lokasi penggambaran sebuah drama di Taman Rimba Templer, Rawang. Ia adalah bukti mereka masih lagi mempunyai hubungan sama seperti pasangan kekasih lain.
"Ia diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua mereka sering membalas mesej di Twitter sambil meluahkan rasa sayang masing-masing," ujar sumber berkenaan.
Kisah pasangan tersebut menjadi bertambah rumit apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat mereka pada November depan.
Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian.
Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.
Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan itu bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa.
Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika sabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pertandingan 'MyEkspresi' Lahirkan Pereka Tari Bermutu

Posted: 21 Jun 2013 04:16 AM PDT


Empat peserta akhir MyEkspresi iaitu Hanafi (paling kiri), Tang Sook Kuan, Mohd Kamaludin dan Nazri bakal berentap dalam tiga tugasan disediakan bagi merebut gelaran juara pertama program itu.
PETALING JAYA: Pertandingan program realiti MyEkspresi yang mencungkil bakat mencipta gerak tari atau koreografer dilihat mampu menjadi pemangkin kepada arus pembangunan industri kreatif di negara ini.
Pengarah Kanan Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelarasan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohamed Adnan Hamzah berkata, menerusi program MyEkspresi ia mampu menghasilkan produk tempatan berkualiti tinggi bagi memenuhi pasaran.
"MyEkspresi telah berjaya mencetuskan semangat generasi muda Malaysia untuk merancakkan idea kreatif mereka dan JKKN tidak mahu ketinggalan dalam menggalakkan serta menjadi pemangkin kepada arus pembangunan industri kreatif.
"Pihak kami komited terhadap keperluan menyediakan generasi kreatif dalam mencungkil bakat mencipta gerak tari atau koreografer dari segenap pelosok negara untuk merealisasikan program realiti MyEkspresi yang sudah pun memasuki peringkat akhir," katanya.
Pertandingan akhir MyEkspresi bakal menyaksikan empat peserta iaitu Hanafi, Tang Sook Kuan, Mohd Kamaludin dan Nazri berentap dalam tiga tugasan disediakan bagi merebut gelaran juara.
MyEkspresi menjadi kelangsungan kepada kejayaan kerjasama JKKN dan RTM selepas berakhirnya program Mimpi Ke Bintang dan Lantai Cilik beberapa bulan lalu.
Ia bakal berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada Sabtu ini pukul 9 malam dan akan disiarkan di TV2.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, RTM, Norliza Ali melihat platform sebegini menaikkan industri kreatif boleh menjadi membuka ruang pekerjaan dan suntikan ekonomi.
"Melalui MyEkspresi ia membuka ruang dan peluang kepada kelompok masyarakat yang berbakat terutama generasi muda untuk menghasilkan karya tari kreatif sama ada dalam aspek multimedia, seni budaya atau warisan budaya dalam menghasilkan sesuatu yang kreatif seterusnya mendapat pasaran di dalam dan di luar negera," katanya.
Pada peringkat akhir nanti pereka tari terkenal, Sazlan akan bertindak sebagai penasihat dan pembimbing peserta akhir yang akan turut diserikan dengan persembahan menarik daripada artis seperti Stacy dan Noraniza Idris.
Juara MyEkspresi bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM40,000, sebuah Ipad Mini, Kamera Samsung Galaxy, pakaian sukan Figos dan piala.
Naib Johan pula akan menerima RM20,000, Ipad Mini, Kamera Samsung Galaxy, pakaian Sukan Figos dan piala.
Manakala tempat ketiga pula akan menerima RM10,000, Ipad Mini, Samsung Galaxy Tab, Pakaian Sukan Figos dan piala.

Raffi Ahmad Intim Dengan Mikha Tambayong

Posted: 21 Jun 2013 04:15 AM PDT


Raffi Ahmad (kiri) dan Mikha Tambayong
JAKARTA: Pengacara Raffi Ahmad dilaporkan mempunyai hubungan mesra dengan pelakon sinetron popular Mikha Tambayong.
Mikha bagaimanapun tidak menafikan hubungan tersebut sebaliknya menganggap hubungan mereka sekadar teman biasa.
Biarpun begitu, Mikha mengakui tidak mahu bercakap tentang cinta dan memberi peluang kepada Raffi untuk mengumumkannya sendiri.
"Ya kami rapat tapi seperti teman, apa juga status hubungan ini biarlah Raffi yang beritahu dahulu," katanya.
Seperti dilaporkan Detik.Hot, pasangan ini sering hadir bersama dalam banyak acara dan kelihatan mesra.

'Bercinta jangan sampai lupa daratan' - Bade

Posted: 21 Jun 2013 04:01 AM PDT


KIRI: Sakinah dan Syamiel menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu.


TERKENAL dengan sifat kegilaannya dalam memuat naik klip video nakal menerusi laman Keek, aktres Sharifah Sakinah, 24, kini popular dalam sekelip mata.
Namanya semakin hangat apabila dia diketahui umum menjalinkan hubungan cinta dengan Mohd. Syamiel Equan, 22, iaitu anak pasangan dua pengarah filem terkenal, Badarudin Azmi dan Erma Fatima.
Justeru, adakah Bade merestui hubungan cinta Sakinah dan Syamiel dalam usia yang boleh dianggap muda itu?
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Bade ketika dia ditemui di lokasi penggambaraan filem Sindiket di Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pangkalan Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Kosmo! : Adakah anda tahu hubungan cinta Sakinah dan Syamiel?
BADE: Ya, saya tahu mereka telah bercinta sejak setahun lalu.
Sebagai bapa kepada Syamiel, adakah anda ada halangan terhadap hubungan itu?
Tiada masalah bagi saya untuk tidak terima Sakinah (sebagai kekasih Syamiel), walaupun dia berperangai gila-gila kerana mereka saling mencintai.
Jadi, ini bermakna anda merestui mereka berdua?
Setiap orang apabila tiba pada satu peringkat usia seperti mereka semestinya akan mengalami perasaan untuk bercinta dan menyintai. Begitu juga dengan saya yang pernah melalui fasa tersebut. Mungkin itu akan membuatkan mereka jadi lebih dewasa.
Apa maksud anda dengan menjadi lebih dewasa?
Seperti yang saya katakan tadi, manusia akan bercinta. Saya percaya kepada Sakinah, tambahan pula dia lebih matang daripada anak saya. Saya tidak tahu apakah tarikan Syamiel sampaikan Sakinah jatuh cinta.
Sakinah dikenali sebagai gadis yang gila-gila. Dari sudut mana anda melihat kematangannya?
Saya kenal Sakinah kerana dia pernah membintangi drama arahan saya, Planet Kiara. Bagi saya, kalau mereka hendak bercinta, itu hak mereka. Apa yang penting, jangan sampai lupa daratan.

BADE (bersama isteri, Erma Fatima) menganggap percintaan antara Sakinah dan anak mereka Syamiel sebagai satu proses biasa yang akan mematangkan seseorang.


Maksudnya?
Syamiel dan Sakinah mempunyai tanggungjawab masing-masing. Mereka seharusnya bijak mengatur dan mengawal jadual profesion yang diceburi. Perkara utama yang mesti ada dalam diri mereka tentulah disiplin. Kalau mereka lupa akan hal itu, buruk padahnya.
Kita beralih kepada topik lain pula. Apa perkembangan filem terbaharu arahan anda, Sindiket?
Alhamdulillah, buat masa ini semuanya terkawal dan berjalan lancar. Biarpun terdapat sedikit kekangan dari segi jadual, kami dapat selesaikannya dengan bijak.
Semua pelakon dan kru juga faham peranan masing-masing. Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada pihak PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia khususnya dari sudut kelengkapan dan peralatan.
Kenapa Sabah dipilih sebagai lokasi utama filem ini? Apa yang ingin ditonjolkan sebenarnya?
Berdasarkan kajian saya, Sabah antara tempat kegiatan pemerdagangan manusia di Malaysia. Jadi, sudah pasti negeri ini dipilih.
Sebenarnya karya asalnya dibuat oleh rakan saya dan kemudian diolah semula berdasarkan situasi semasa. Skrip filem ini saya siapkan sendiri dalam masa seminggu.
Kalau tidak silap, Sindiket juga menggunakan khidmat pelakon Indonesia?
Ya, betul kerana kita mahukan suasana filem itu hidup terutama semasa penggambaraan di Pulau Sebatik, Kalimantan, Indonesia.
Antara pelakon Indonesia yang terlibat dalam Sindiket ialah Hardy Hartono dan Danny Agus selain Wangi Julianda daripada kumpulan The Fabulous Cats.

Elyana nafi hidap kanser

Posted: 21 Jun 2013 04:00 AM PDT


ELYANA menafikan spekulasi yang mendakwa dirinya menghidap kanser sehingga dia dan suaminya, Khairul Anuar terpaksa pergi menunaikan umrah bulan lalu.


KETIKA ini kisah mengenai artis berbakat besar iaitu pelakon dan penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau lebih popular dengan panggilan Elyana agak jarang kedengaran.
Kelihatan seperti memencilkan diri daripada industri hiburan, tiba-tiba ada sumber yang menyatakan penyanyi itu kini sedang bertarung dengan penyakit kanser. Namun begitu, sumber berkenaan tidak menyatakan jenis kanser yang dihidapnya.
Apa yang lebih mengejutkan, akibat penyakit yang dideritainya itu membuatkan Elyana pergi mengerjakan umrah baru-baru ini dan berdoa di depan Kaabah agar penyakitnya itu sembuh.
Bagi mendapatkan cerita yang sebenar, Kosmo! menghubungi Elyana yang sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang kerana ingin pergi bercuti bersama ibu dan kakaknya ke Vietnam.
Kosmo!: Rasanya sudah agak lama tidak mendengar perkembangan Elyana. Apakah aktiviti anda sekarang?
ELYANA: Buat masa ini saya sedang sibuk dengan proses pembikinan album terbaharu yang dijangka dilancarkan pada tahun ini. Ia merupakan album yang kelima selepas Jaga Diriku yang dihasilkan pada tahun 2007.
Minta maaf, saya ingin bertanya tentang kesahihan berita ini. Betulkah anda sedang menghidap penyakit kanser?
Sakit kanser? Rasanya sekarang saya masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kritikal. Kalau setakat demam itu memang ada, tetapi tidak pula mengalami penyakit kronik seperti kanser.
Ada orang kata pemergian anda ke Mekah untuk mengerjakan umrah tempoh hari kerana mahu berdoa di depan Kaabah agar penyakit itu cepat sembuh. Boleh komen sedikit?
Sebenarnya pemergian saya ke Mekah bersama suami merupakan undangan daripada pihak produksi rancangan Romantika yang akan disiarkan di Astro pada bulan Ramadan ini. Secara jujurnya saya agak terkejut dan ia undangan pada saat-saat akhir. Sebelum ini rancangan tersebut menyiarkan pasangan selebriti yang bercuti di tempat percutian yang menarik, tetapi apabila tiba giliran saya mereka buat keputusan untuk membawa kami ke Mekah dan saya rasa sangat bertuah.
Biasanya kebanyakan artis wanita yang pulang dari Mekah, pasti mereka akan membuat perubahan terutamanya tampil bertudung. Bagaimana pula dengan imej anda selepas mengerjakan umrah?
Secara jujurnya saya masih lagi tampil seperti biasa, namun sentiasa berdoa agar terbuka pintu hati untuk bertudung nanti. Buat masa ini saya mahu menjaga solat terlebih dahulu.
Berkenaan dengan pembikinan album, apa yang membuatkan anda mahu kembali muncul dengan album baharu?
Penerbitan album ini merupakan permintaan daripada peminat yang selalu bertanya tentang produk terbaharu saya. Lagipun kali terakhir saya menghasilkan album ialah kira-kira enam tahun lalu.
Selain itu, saya rindu untuk masuk semula ke studio rakaman setelah lama tidak berbuat demikian. Perancangan ini sudah lama dibuat, namun masa selalu tidak mengizinkan.
Boleh ceritakan tentang album berkenaan?
Setakat ini sudah ada dua buah lagu yang saya rakam, termasuk single yang dirakamkan pada dua tahun lepas berjudul Sewaktu Dulu-Dulu. Secara keseluruhannya ada 10 buah lagu yang akan dimuatkan dalam album itu.
Berkenaan dengan konsep pula, saya masih lagi mengekalkan muzik Pop Rock. Tetapi kali ini susunan muzik dan lirik untuk setiap lagu menjadi lebih matang dan bersesuaian dengan usia saya sekarang yang sudah menjangkau 26 tahun.
Bagaimana pula dengan aktiviti lakonan?
Saya mahu memperlahankan aktiviti lakonan kerana ingin memberikan lebih tumpuan kepada pembikinan album baharu saya ini. Selepas album tersebut disiapkan, barulah saya akan aktif semula.

'Saya memang gila-gila' - Sakinah

Posted: 21 Jun 2013 03:59 AM PDT




SHARIFAH SAKINAH, sekali pandang wajahnya cukup manis, ditambah dengan ketinggian yang dimilikinya.
Gayanya di hadapan lensa kamera persis seorang model profesional. Namun, apabila dia berceloteh, gelak tawa pasti menyambut, terserlah jelas perangai gila-gilanya.
Sakinah faham 'isi' pertemuan kami pada petang Isnin lalu. Ia tentu berkisar tentang klip video Keek yang dimuat naiknya sejak beberapa bulan lalu.
Perkara pertama yang diberitahu wanita ini, dia mengaku dirinya tidak popular menyebabkan dia memuat naik video ke laman sosial itu dengan sangkaan tiada siapa yang akan peduli.
Bagaimanapun, jangkaannya meleset. Klip video pertama yang ada menyebut tentang warna pakaian dalam yang dipakainya dikritik ramai. Video seterusnya yang dimuat naik juga mendapat reaksi yang sama.
Ada yang menganggap Sakinah tidak peka kerana video itu dikatakan berunsur lucah tetapi ada juga yang menyukainya kerana menganggapnya sebagai lawak dan hiburan semata-mata.
"Bagi saya, memuat naik video yang gila-gila ke dalam Keek merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Itulah diri saya. Tetapi reaksi yang luar biasa daripada orang ramai membuatkan saya terkejut.

SAKINAH tidak kisah dengan pandangan khalayak terhadap dirinya. Dia hanya ingin menjadi dirinya sendiri.


"Saya ingatkan tiada siapa yang ambil peduli tentang saya sebab itulah saya berani buat video yang sebegitu. Bila video itu keluar, banyak pula komen negatif mengenai saya.
"Saya akui memang terkejut dan rasa bersalah pada mulanya tetapi lama-kelamaan saya sudah tidak kisah apa orang ingin kata tentang diri saya," balasnya.
Walaupun dikritik kurang bijak dan tidak sopan, Sakinah terus memuat naik video sebegitu dengan niat untuk menghiburkan orang yang menontonnya.
"Dalam drama Mimpi Sampai Ke Bintang, saya bawa watak seorang wanita yang kurang cerdik, jadi saya tidak kisah kalau orang nak kata saya bodoh atau gila. Memang saya seorang yang gila-gila dan nakal, sebab itu saya suka kacau orang serta menghiburkan orang di sekeliling.
"Selagi video itu menghiburkan dan tidak melampaui batas, saya akan terus melakukannya," jawabnya.
Diakui, sejak kontroversi video Sakinah di laman Keek, tiba-tiba sahaja namanya menjadi popular. Malah setiap video yang dimuat naik olehnya pasti ditonton ramai orang.
Namun, lain pula pendapat Sakinah yang mengatakan kehidupan dan kerjayanya sama sahaja seperti dahulu.
"Popular ke saya? Saya rasa sama saja, tidak ada perubahan. Mungkin saya popular di laman sosial kerana berjaya menarik perhatian tetapi kerjaya saya masih seperti dulu.

SELAIN berlakon, Sakinah bercadang untuk mencuba bidang pengacaraan.


"Tawaran berlakon masih ada dan saya juga sibuk dengan penggambaran drama. Semuanya masih seperti biasa. Saya bukannya mencari populariti atau perhatian dengan video tersebut. Itu bukan cara saya untuk popular," luahnya serius.
Dua orang kakaknya yang juga selebriti, Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahira selalu menasihatinya supaya mengawal tindak-tanduknya, tetapi mereka tidak pernah memarahinya hanya disebabkan memuat naik video yang dikritik ramai itu.
"Dua orang kakak saya sangat faham dengan perangai saya. Kak Shira tidak marah, tetapi minta saya supaya mendiamkan diri buat seketika sehingga kontroversi itu reda.
"Dia tidak pernah menghalang saya daripada memuat naik video yang seterusnya. Pesannya jangan kerap sangat memuat naik video yang terlalu gila-gila sebab nanti orang menyampah," tuturnya.

211 sekolah di Muar ditutup

Posted: 21 Jun 2013 03:56 AM PDT


BANDAR Muar di Johor diselubungi jerebu teruk semalam.


NUSAJAYA – Sebanyak 211 buah sekolah di Muar dekat sini ditutup dua hari bermula tengah hari semalam disebabkan keadaan berjerebu di daerah tersebut yang kini pada tahap bahaya.
Ini bermakna sebanyak 76,940 murid di sekolah terbabit akan mendapat rehat selama empat hari. Mereka akan kembali bersekolah pada Isnin ini sekiranya tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kembali baik.
Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Mohd. Nor A. Ghani (gambar kecil) berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya menerima pekeliling mengenai garis panduan menangani jerebu yang membenarkan sekolah memberi cuti kepada pelajar sekiranya bacaan IPU melebihi 300.
"Kita telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan untuk menutup sekolah di kawasan yang mempunyai IPU melebihi 300 iaitu di tahap berbahaya.
"Setakat pukul 11 pagi semalam, IPU di Muar mencatatkan bacaan sehingga 383. Atas sebab ini maka keputusan menutup sekolah tersebut dilakukan," katanya.

Wajibkan ujian kehamilan dikaji

Posted: 21 Jun 2013 03:54 AM PDT


ABDUL HADI (depan, lima dari kanan) bersama para pelatih PLKN di majlis perasmian penutup PLKN Kumpulan 2 Siri 10/2013 di Kem PLKN, Penor, Kuantan semalam.


KUANTAN - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan untuk mewajibkan semua bakal pelatih wanita menjalani ujian kehamilan sebelum mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, peraturan itu bagi mengelak kejadian seorang pelatih wanita berumur 18 tahun yang melahirkan bayi lelaki di Kem PLKN Sri Ledang, Jementah, Johor kelmarin daripada berulang.
"Majoriti pelatih memang ada buat pemeriksaan kesihatan sebelum memulakan latihan di kem tetapi ujian kehamilan tidak diwajibkan.
"JLKN akan mengkaji perkara ini (mewajibkan ujian kehamilan) terlebih dahulu di peringkat yang lebih tinggi," kata beliau.

Kualiti udara Singapura cecah tahap bahaya

Posted: 21 Jun 2013 03:51 AM PDT



SEORANG pekerja memakai topeng muka untuk melindungi diri daripada jerebu yang melanda Singapura semalam.



SINGAPURA - Kualiti udara di Indonesia merosot ke tahap berbahaya semalam selepas jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia menyelimuti pulau ini sekali gus mengganggu aktiviti perniagaan dan pengangkutan.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini, masa lebih lama diperlukan untuk pendaratan dan pelepasan pesawat ekoran jarak penglihatan yang terhad.
Kerja-kerja di beberapa tapak pembinaan turut perlahan dengan rangkaian makanan ringan McDonald's menggantung perkhidmatan penghantaran di pulau ini.
Setakat pukul 1 tengah hari semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sini melonjak kepada 371 sekali gus menandakan kualiti udara mencapai tahap berbahaya.
Takat IPU melebihi 300 menandakan udara berbahaya manakala bacaan antara 201 hingga 300 menunjukkan kualiti udara amat tidak sihat.
Dalam pada itu, kerajaan Singapura mahu pemerintah Indonesia bertindak menangani krisis tersebut.
"Tiada negara atau badan korporat yang berhak mencemari udara sehingga menyebabkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Singapura terjejas," kata Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Vivian Balakrishnan di laman Facebooknya.
Menurut Balakrishnan, Singapura telah menghantar beberapa pegawainya bagi membincangkan masalah jerebu tersebut di ibu negara Indonesia, Jakarta.
Masalah itu berpunca daripada pembakaran hutan di Pulau Sumatera yang terletak di barat pulau ini dan Malaysia.
Pembakaran hutan itu berlaku pada musim panas antara Jun hingga September bertujuan untuk membersihkan tanah bagi penanaman kelapa sawit.
Bacaan IPU di sini sejak dua hari lalu melebihi paras tertinggi 226 yang direkodkan pada 1997 apabila jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia mengganggu laluan kapal dan perjalanan udara di Asia Tenggara.
Dalam pada itu, beberapa pegawai Indonesia cuba menyalahkan syarikat-syarikat negara ini berhubung kebakaran hutan tersebut.
"Apa yang kami tahu terdapat beberapa pelabur asing dari Singapura terlibat dalam pembakaran hutan itu," kata seorang pegawai kanan Kementerian Perhutanan Indonesia, Hadi Daryanto.
Namun, tiga syarikat di sini yang diberikan konsesi tanah di Indonesia iaitu Wilmar International Ltd, Golden Agri-Resources Ltd dan First Resources Ltd menafikan mereka melakukan pembakaran hutan untuk meratakan tanah.
Ketiga-tiga syarikat menyatakan, proses tersebut dilakukan secara mekanikal tanpa melibatkan pembakaran hutan.

3,500 pekerja kilang di Dhaka diganggu hantu

Posted: 21 Jun 2013 03:51 AM PDT



PARA pekerja kilang kain ini didakwa masih trauma dengan kejadian sebuah kompleks kain, Rana Plaza yang runtuh sebelum ini.



DHAKA - Seramai 3,500 pekerja kilang kain di sini terpaksa berhenti melakukan kerja masing-masing apabila tempat kerja itu diserang hantu dan mengganggu mereka.
Justeru, para pekerja berkenaan enggan meneruskan kerja kerana pihak pengurusan kilang enggan mengambil langkah sewajarnya untuk menghalau hantu tersebut.
Inspektor polis kawasan industri Gazipur, Showkat Kabir berkata, pemilik sebuah kilang kain di sini dipaksa untuk berdoa dan mengedarkan makanan kepada fakir miskin pada Rabu lalu.
Usaha itu diharap dapat menghalau hantu yang sering mengganggu para pekerja di kilang berkenaan.
Kira-kira 3,500 pekerja berhenti melakukan kerja mereka di sebuah kilang di Gazipur di utara Dhaka baru-baru ini.
Para pekerja itu kemudian bertindak memusnahkan kelengkapan perabut kilang bagi memaksa pemilik kilang bertindak menangani masalah tersebut.
Para pekerja kilang mendakwa mereka diganggu makhluk halus semasa berada di dalam tandas wanita.
"Semua pekerja, pemilik dan pengurus kilang akan menyertai majlis doa itu. Kilang akan beroperasi semula pada hari Khamis (semalam) selepas dua hari ditutup kerana gangguan hantu," katanya.

Gaun perkahwinan pertama Elizabeth Taylor dilelong

Posted: 21 Jun 2013 03:47 AM PDT


SEORANG pekerja firma lelongan Christie sedang menyediakan gaun mendiang Taylor untuk dilelong.


LONDON - Sehelai gaun pengantin milik aktres legenda Hollywood, mendiang Elizabeth Taylor yang dipakai semasa perkahwinan pertamanya akan dijual dalam satu acara lelongan di sini.
Mereka yang ingin memiliki gaun itu perlu menyediakan wang sekurang-kurangnya AS$47,000 (RM150,331) di samping mempunyai pinggang yang ramping untuk memakainya.
Pakaian tersebut akan dilelong oleh firma Christie's.
Gaun satin bersulam mutiara itu yang dilengkapi korset direka oleh pereka fesyen terkenal, Helen Rose.
Taylor baru berumur 18 tahun semasa memakai gaun berkenaan untuk melangsungkan perkahwinan dengan pewaris hotel, Conrad Hilton pada Mei 1950.
Majlis perkahwinan mereka berlangsung di studio MGM boasted yang dihadiri oleh ramai bintang Hollywood.
Pasangan tersebut bercerai sebulan kemudian.
Sepanjang hidupnya, Taylor telah berkahwin sebanyak tujuh kali.
Bintang legenda itu meninggal dunia pada 2011 ketika berusia 79 tahun.
Pakaian tersebut akan dijual pada 26 Jun ini dengan harga anggaran bermula dari AS$47,000 (RM150,331) sehingga AS$78,000 (RM249,486).

China bangun pantai bogel

Posted: 21 Jun 2013 03:46 AM PDT


GAMBAR menunjukkan imej pemandangan pantai di Luan, Hebei, China yang merupakan kawasan tumpuan pelancong.


TANGSHAN - Pihak pentadbiran sebuah daerah di wilayah Hebei, utara China akan membuka sebuah pantai yang membenarkan pengunjungnya berbogel, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Timbalan Ketua Daerah Luan, Tian Wenxue berkata, daerah itu akan melabur sebanyak AS$516 juta (RM1.6 bilion) untuk membangunkan pantai berkenaan.
Lokasi pelancongan itu meliputi kawasan seluas 533 hektar bersebelahan dengan sungai Luan.
Sebanyak 100 juta yuan (RM52 juta) lagi akan dilabur untuk pembangunan kelengkapan multimedia.
Katanya, lokasi tersebut akan dilengkapi padang golf dan ladang ternakan kuda.
Daerah Luan terletak di timur wilayah Hebei dan berada di bawah pentadbiran Bandar raya Tangshan.

Puteri Mary dekat di hati rakyat

Posted: 21 Jun 2013 03:45 AM PDT




PADA usia 41 tahun, wanita yang dilahirkan dengan nama Mary Elizabeth Donaldson ini sudah memiliki satu kehidupan yang sempurna. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan yang melatari kehidupannya menjadi dambaan jutaan wanita di seluruh dunia.
Daripada rakyat biasa di negara kelahirannya, Australia, Mary bertukar status menjadi Puteri Mahkota Denmark sebaik sahaja mengahwini suaminya, Putera Mahkota Frederik lapan tahun lalu.
Pasangan ini berkenalan pada September 2000 sewaktu Frederik berkunjung ke Sydney untuk menyaksikan temasya Sukan Olimpik.
Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan romantis ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Putera Christian, 8, Puteri Isabella, 6, serta Putera Vincent dan Puteri Josephine iaitu pasangan kembar yang kini berusia dua tahun.
"Masa menjadi begitu berharga apabila anda mempunyai anak. Ibu saya akan melakukan apa sahaja untuk anak-anaknya dan itu jugalah yang akan saya lakukan," ungkap Puteri Mary mengenai anak yang dianggap anugerah paling bernilai dalam hidupnya.
Ibarat kisah dongeng dahulukala apabila gadis kebanyakan disunting menjadi suri putera raja, begitulah yang berlaku pada Puteri Mary. Namun, pertukaran status menjadi golongan bangsawan tidak menyebabkan Mary lupa diri.
Sebaliknya, keperibadiannya yang lembut, bersopan santun, matang dan bijak menyesuaikan diri menyebabkan Puteri Mary bukan sahaja disenangi kerabat diraja Denmark bahkan disayangi rakyat negara tersebut.
Keluarga diraja Denmark dalam satu kenyataan yang mengulas hubungan Putera Frederik dengan Mary mengatakan: "Kesemua teman wanita putera yang lain banyak bercakap. Mary, dia hanya tersenyum dan mesra tetapi tidak berkata apa-apa. Disebabkan dia orang asing, Mary bersih. Kami tiada masalah dengannya."
Apa yang pasti, bahasa tubuh yang dipamerkan dalam setiap acara yang dihadiri menjadi bukti Puteri Mary tidak berpura-pura atau sekadar berlakon di hadapan rakyat jelata.
Ikon fesyen
Sifat keibuannya jelas terserlah sekiranya melawat anak-anak kecil di negara mana sekali pun. Memegang tangan, mengusap kepala si kecil dan merendahkan badannya atau bertinggung untuk meraikan kanak-kanak yang ditemui, semuanya dilakukannya.
"Hidup saya bukan satu kisah dongeng, ia sangat nyata. Sepanjang kehidupan yang dilalui saya sentiasa gembira. Bagi saya, kebahagiaan merupakan perkara paling penting untuk dikecapi dalam hidup ini.
"Apabila mencapai usia 40 tahun, anda pasti akan sedar apakah yang dinamakan kehidupan. Jujurnya, saya tidak memikirkan tentang usia fizikal. Cuma, saya rasa sangat bagus menjadi semakin dewasa," ujar Puteri Mary yang menjadi ikon fesyen kerana penampilan hebatnya dalam apa jua persalinan.

PUTERI Mary disambut oleh para jururawat di Hospital Putrajaya, Mei lalu.


Menurut Puteri Mary, setiap kanak-kanak pada satu peringkat pasti mengimpikan untuk menjadi putera atau puteri raja. Ia satu impian dan tidak mustahil menjadi kenyataan.
Dilahirkan pada 5 Februari 1972 di Hobart, Tasmania, Australia, Puteri Mary merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Bapanya, Prof. John Dalgleish Donaldson merupakan pakar matematik manakala ibunya, Henrietta Clark Donaldson ialah pembantu eksekutif kepada Naib Canselor Universiti Tasmania.
Puteri Mary mendapat pendidikan awal sekolah rendah di Clear Lake City yang kini di Houston, Texas, Amerika Syarikat kerana mengikut ayahnya yang bertugas di sana.
Apabila pulang ke Hobart, Puteri Mary meneruskan persekolahan di Sekolah Kanak-Kanak Teluk Sandy, Sekolah Rendah Waimea Heights dan Sekolah Tinggi Tarona di Tasmania sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Hobart.
Zaman remaja
Puteri Mary menyambung pengajian di Universiti Tasmania selama lima tahun dan memperoleh dwiijazah dalam bidang perdagangan dan undang-undang.
Antara tahun 1994 hingga 1996, Puteri Mary menghadiri program siswazah dan layak memiliki sijil daripada Persekutuan Pengiklanan Australia dan pemasaran langsung daripada Persatuan Pemasaran Langsung Australia.
Ketika zaman remaja, Puteri Mary aktif melibatkan diri dalam pelbagai jenis sukan dan aktiviti luar kurikulum. Antaranya bermain piano, seruling, klarinet dan bermain hoki serta bola keranjang. Selain itu, Puteri Mary juga gemar menunggang kuda miliknya yang bernama Diana.
Selepas tamat pengajian, Puteri Mary menjadi pelatih pemasaran dan komunikasi di agensi pengiklanan global di Melbourne iaitu DDB Needham dengan memegang jawatan Eksekutif Akaun.
Antara jawatan yang pernah disandang termasuklah Pengurus Akaun di Mojo Partners dan Pengarah Akaun di agensi pengiklanan antarabangsa, Young & Rubican di Sydney.
Puteri Mary turut melibatkan diri dalam bidang hartanah pada tahun 2000 apabila dilantik sebagai Pengarah Jualan Belle Property, sebuah firma yang pakar dalam pengurusan hartanah mewah.
Dua tahun selepas itu, Puteri Mary mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah perniagaan di Paris, Perancis. Tetapi, selepas berhijrah ke Denmark, Puteri Mary ditawarkan menjadi konsultan projek untuk pemasaran, komunikasi dan pembangunan perniagaan oleh syarikat Microsoft Business Solutions.
Sejak bergelar Puteri Mahkota Denmark, Puteri Mary telah melakukan beberapa siri lawatan diraja antarabangsa. Antaranya menghadiri majlis pengkebumian semula Permaisuri Maria Feodorovna di Denmark dan Saint Petersburg, Rusia.
Pada bulan November 2009, Puteri Mary membuat kejutan apabila melawat tentera Denmark di wilayah Helmand, Afghanistan. Salah satu perhentiannya ialah di Pangkalan Operasi Tentera Armadillo.

KELUARGA bahagia. Puteri Mary bersama suami dan tiga daripada empat anak mereka.


Sebagai penaung Majlis Pelarian Denmark, Puteri Mary melawat Uganda pada tahun 2008, dan timur Afrika (2011) sebagai menyokong usaha mengumpul dana untuk negara tersebut.
Puteri Mary juga banyak memainkan peranan dalam mempromosikan program antibuli berdasarkan model yang dilaksanakan Australia melalui pertubuhan Selamatkan Kanak-Kanak Denmark.
Puteri berambut coklat gelap itu juga melibatkan diri dalam kempen bagi meningkatkan kesedaran terhadap kanser kulit melalui Persatuan Kanser Denmark.
Pada bulan September 2007, Puteri Mary secara rasmi menubuhkan Yayasan Mary dengan modal daripada sumbangan orang ramai dan pihak swasta. Ia bertujuan untuk menuju ke arah kepelbagaian budaya dan menyumbang kepada masyarakat.
Bawa nama negara
"Saya sentiasa merasakan bahawa saya perlu menyokong mana-mana pertubuhan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
"Ia membolehkan saya menggunakan kemahiran yang ada untuk membantu membawa nama negara dengan baik. Jelas sekali saya telah mendapatkan nasihat, membuat pemerhatian dan belajar daripada kerabat diraja," jelas Puteri Mary dalam satu temu bual bersama akhbar mingguan terkemuka di Denmark, Berlingske pada awal Februari tahun lalu.
Terbaharu pada penghujung bulan Mei 2013, Puteri Mary berkunjung ke Malaysia dalam satu lawatan rasmi ke negara ini.
Antara program yang disertai ialah Konferen Wanita Global ketiga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, lawatan ke Hospital Putrajaya, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Projek Jom Mama antara Kementerian Kesihatan dan Novo Nordisk Malaysia serta melawat Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) di negara ini.
Dalam lawatan empat hari itu, Puteri Mary turut mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman rasmi Putra Perdana.
Putera Frederik, 43, merupakan pewaris takhta Denmark yang kini diperintah Ratu Margrethe II sekali gus membolehkan Puteri Mary bakal menjadi rakyat Australia pertama bergelar permaisuri di Eropah.

Norliza popularkan bunga tangan felt

Posted: 21 Jun 2013 03:43 AM PDT



SAAT melangkah masuk ke Sekoci's Craft House di Taman Kencana Indah, Seksyen 30, Shah Alam, Selangor hasil kraf memenuhi segenap ruang.
Jika ruang tamunya dipenuhi bunga felt pelbagai warna, raknya pula disusun kemas dengan kain felt dan bunga tangan.
"Tempat ini merupakan lokasi khas untuk saya melakukan aktiviti kraf yang ditempah pelanggan.
"Pada waktu cuti, saya akan berada di sini seharian bagi menyiapkan tempahan kraf tangan terutamanya bunga tangan selain aksesori yang lain," kata pemilik premis tersebut, Norliza Samingon, 34.
Ibu kepada Ridwana Rif'iah Rafiq, 9, dan Muhammad Rizqin Rafiq, 4, itu mengakui dia bukanlah seorang yang mahir menjahit. Menurut Norliza, minatnya terhadap seni kraf felt berputik pada empat tahun lalu ketika hamil anak kedua.
Pada masa itu, Norliza sibuk mencari buku bayi yang bagus dan berkualiti dikenali sebagai buku busuk.
Norliza mendapati buku-buku bayi di pasaran agak mahal iaitu sekitar RM80 hingga RM85 sebuah. Bahkan, dia tidak menafikan untuk mencari buku tempahan khas juga agak sukar namun dia tetap mahukan sesuatu yang istimewa untuk permata hatinya itu.
"Saya mencari-cari di internet mengenai produk terkini dalam pasaran dan kemudian terjumpa tutorial secara talian yang menunjukkan cara-cara menjahit buku bayi. Ia memberikan idea kepada saya," jelasnya.
Selepas bersalin dan melakukan pemeriksaan kesihatan bulanan untuk bayi, Norliza membawa muka surat buku yang belum siap untuk dijahit. Sementara menunggu giliran, Norliza mengisi masa dengan menghabiskan jahitan tersebut.
Tanpa disangka-sangka, 'aktiviti'nya itu mendapat perhatian daripada ibu bapa lain, lalu dia mula mendapat tempahan
Memandangkan tidak mempunyai mesin jahit dan melakukannya secara sendirian, Norliza tidak mampu memenuhi permintaan yang banyak.
Kewujudan buku bayi tersebut yang semakin meluas di pasaran membuatkan jurutera rangkaian ini mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza.
Sejak itu, Norliza semakin ligat membuat aksesori kanak-kanak seperti klip rambut, cekak rambut, rantai kunci, signage dan terkini ialah jambangan bunga tangan.

KAIN felt pelbagai warna yang digunakan untuk menghasilkan barangan kraf.


Fenomena felt
Pada bulan Mac 2011, dia mula berjinak-jinak menghasilkan bunga tangan felt. Namun, rezeki kurang menyebelahi kerana produk tersebut gagal dijual selama enam bulan.
"Kemudian, saya buat sesi fotografi bersama teman-teman di Taman Tasik Shah Alam, ambil gambar sendiri dan ketika itu ramai yang melihat apa yang kami lakukan," ceritanya mengimbas detik awal bertatih dalam bidang kraf felt.
Sungguhpun dia menjual bunga tangan felt pada harga yang lebih rendah daripada harga kos iaitu RM50, tiada sesiapa pun yang mahu membelinya.
Rasa kecewa yang terbuku di hatinya terubat selepas seorang pelanggan yang juga blogger memuat naik foto bunga tangan ciptaannya.
Kini di Malaysia, bunga tangan sudah menjadi satu fenomena. Masing-masing mahukan bunga tangan sendiri dan tidak mahu menyewa daripada butik pengantin.
"Bunga tangan ini mula mendapat perhatian ramai sekitar pertengahan tahun 2011.
"Saya sendiri mendapat inspirasi dan idea-idea menghasilkan bunga tangan ini dari luar negara," katanya yang melakukan promosi pengenalan bunga tangan di bazar-bazar, blog dan laman sosial Facebook.
Mereka yang mahukan bunga tangan felt Norliza perlu menempahnya sebulan lebih awal. Dibantu oleh tiga orang pembantu yang terdiri dalam kalangan suri rumah, Norliza mampu membuat 20 set bunga tangan dalam tempoh sebulan.
Dijual pada harga antara RM80 hingga RM180 sejambak, Norliza biasanya akan berbincang dengan pelanggan khususnya bakal pengantin bagi menghasilkan bunga tangan mengikut bajet.
Tempahan dari luar negara
"Tempahan tidak bertumpu di dalam negara sahaja kerana saya turut menerima tempahan dari negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia dan Eropah.
"Namun, atas masalah kos penghantaran yang tinggi, pelanggan dari Indonesia dan Eropah membatalkan tempahan kerana harga penghantaran lebih tinggi daripada nilai barangan," ujarnya yang mendapatkan material dari China dan Thailand.
Bermula dengan modal sebanyak RM250, kini Norliza menghabiskan antara RM1,500 hingga RM2,000 membeli kain felt untuk stok selama dua bulan.
Walaupun membuat banyak aksesori lain menggunakan felt, 80 peratus daripada tempahan yang diterima adalah bunga tangan untuk perkahwinan, pertunangan dan sambutan ulang tahun.
MINAT terhadap seni kraf felt membuatkan Norliza belajar menjahit.


Selain memenuhi tempahan pelanggan, Norliza mengadakan kelas kraf jika ada permintaan.
"Kelas kraf yang diadakan bukan untuk orang dewasa sahaja, malah bagi kanak-kanak.
"Kelas kraf kanak-kanak terbuka kepada mereka yang berumur dari lima hingga 12 tahun. Kelas dewasa pula untuk mereka yang berusia 15 tahun ke atas," katanya yang pernah mendapat pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan.
Norliza juga menerima tempahan membuat signage yang dijual antara RM15 hingga RM40 berdasarkan bilangan huruf yang digunakan.
Tidak mahu selesa dengan produk yang sedia ada, kini Norliza berjinak-jinak menghasilkan bantal cincin yang digunakan untuk meletakkan cincin pertunangan atau cincin pernikahan. Pada masa yang sama dia juga merancang membuat bantal hadiah.
"Nampak senang untuk buat kraf felt ini tetapi cabarannya terletak pada pencarian idea dan kita perlu sentiasa kreatif bagi menghasilkan sesuatu yang baharu.
"Saya tidak akan pernah puas dengan apa yang saya lakukan dan bercadang untuk tampil dengan buku Do It Yourself (DIY) sendiri untuk kanak-kanak dan dewasa yang kini masih dalam proses untuk dihasilkan," ujar Norliza sambil memberitahu, anak lelakinya sudah pandai menjahit kraf daripada felt.

Kempen makan secara sihat

Posted: 21 Jun 2013 03:43 AM PDT


DUA kanak-kanak ini menjadi pembantu kepada Chef Hamidon untuk menyediakan bebola daging yang digandingkan bersama pasta.


RUANG legar Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di Kuala Lumpur pada hari itu tidak ubah seperti sebuah akademi seni dan masakan.
Kelihatan dua kanak-kanak yang lengkap dengan topi chef dan memakai sarung tangan, bersedia menerima arahan Chef Eksekutif PCMC, Hamidon Din bagi membuat demonstrasi masakan sihat.
Walaupun menjadi 'chef cilik' pada hari tersebut, kedua-duanya langsung tidak kekok beraksi. Segala arahan Chef Hamidon dilaksanakan dengan baik sekali.
"Saya sangat seronok dan pada masa yang sama rasa gemuruh dapat membantu Chef Hamidon melakukan demonstrasi masakan.
"Ia sangat mudah. Saya akan cuba membantu ibu memasak di rumah kelak," kata Amira Sofea Yuhada Ellis, 9.
Demonstrasi tersebut merupakan salah satu aktiviti PCMC sempena Bulan Nutrisi yang bertemakan Eat Right, Your Way, Every Day.
PCMC turut mengadakan pertandingan memasak untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun bagi mewujudkan kesedaran mengenai cara memasak makanan sihat memandangkan bilangan kanak-kanak yang menghidap obesiti di Malaysia semakin meningkat.
Di satu sudut lain, sekumpulan kanak-kanak teruja melihat kek cawan yang sudah siap dihias. Mereka meneliti satu persatu kerana selepas itu mereka dikehendaki membuat dekorasi untuk kek cawan masing-masing.
Kelihatan ada yang kekok memegang beg plastik krim yang dibekalkan. Usai menghias krim pelbagai warna, mereka sibuk mengambil bahan-bahan hiasan seperti strawberi, anggur, ceri, marshmallow dan anak patung kecil.
Ibu bapa turut membantu memberikan arahan dari jauh bagi memastikan hasil tangan anak mereka menjadi.

MASING-MASING begitu seronok memilih bahan-bahan hiasan untuk dekorasi kek cawan.


Mencuri tumpuan
Turut diadakan pada hari berkenaan ialah pertandingan melukis untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.
Seperti biasa, anak-anak ini dibantu oleh ibu bapa yang mengambil peluang meluangkan masa bersama sempena cuti hujung minggu.
Gelagat mereka amat mencuri tumpuan. Ada yang meniarap di atas lantai dan ada yang duduk dengan bermacam-macam gaya bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Dalam pada itu, Chef Hamidon memberitahu, demonstrasi masakan itu lebih bertujuan untuk mengajar dan mendedahkan anak-anak kepada makanan sihat.
"Di luar sana banyak makanan tetapi kita tidak tahu sama ada kandungan garam dan lemaknya dikawal atau tidak.
"Dalam resipi bebola daging yang kami buat sebentar tadi, kita letakkan sayur sebab kanak-kanak kebanyakannya tidak gemar makan sayur," ujarnya sambil menjelaskan, cuma sedikit garam dan minyak digunakan dalam masakan itu.
Katanya lagi, bagi ibu yang tidak sempat menyediakan hidangan untuk anak-anak setiap hari, sekurang-kurangnya mereka perlu memasak pada hujung minggu.
"Luangkan masa memasak untuk anak-anak. Sediakan masakan ringkas bersama mereka, secara tidak langsung ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan," katanya yang sudah berkhidmat selama enam tahun di PCMC.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemakanan anak-anak. Gaya pemakanan sihat mesti dibentuk sejak kecil lagi.
Jika pemakanan sihat tidak diberi penekanan, maka Malaysia akan kekal sebagai negara nombor satu di Asia Tenggara dengan kadar obesiti yang tinggi.
Kini, menurut Kementerian Kesihatan, seorang daripada enam rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan

Categories